Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • GPX Racing Demon 150-GR 2018 akan tiba di Malaysia tidak lama lagi – 149 cc, rupa seperti Ducati Panigale

    GPX Racing Demon 150-GR 2018 akan tiba di Malaysia tidak lama lagi – 149 cc, rupa seperti Ducati Panigale

    Sebelum ini kami pernah menyampaikan berita ketibaan jenama motosikal dari Thailand, iaitu GPX Racing, dengan dua modelnya pernah dilihat di Malaysia iaitu Demon 150-GN dan Gentleman 200. Kini, syarikat itu turut memberitahu akan membawa satu lagi model menarik iaitu Demon 150-GR, yang mempunyai bentuk sports.

    Daripada sumber yang kami terima, model yang rekaannya mirip seperti Ducati Panigale ini akan membuat kemunculan di Malaysia selepas bulan Julai, dengan harga jangkaan sekitar RM11,000. Harga ini adalah sama seperti Gentleman 200, manakala Demon 150-GN dijangka berada pada sekitar RM8,000.

    Demon 150-GR dikuasakan oleh enjin satu silinder 149 cc dengan sistem penyejukan udara, dan dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. Pada bahagian hadapannya terdapat fork jenis terbalik (USD), manakala di belakang pula menggunakan monoshock. Daripada laman rasmi GPX, motosikal seberat 130 kg ini dikatakan boleh mencecah kelajuan maksimum sekitar 125 km/j.

    Sistem penghentian dijalankan oleh unit cakera di depan dan belakang, manakala rim pula menggunakan unit 14 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 140/70 di belakang. Segala informasi berkenaan motosikal dan operasinya dipaparkan pada unit LCD, dan lampu utamanya menggunakan sistem LED.

    Demon 150-GR dipasarkan di Thailand dengan tiga pilihan warna iaitu merah, hitam matte dan putih. Selain daripada itu, terdapat juga pilihan warna ‘sports’ yang terdiri daripada kombinasi warna merah/putih/kelabu dan putih/kelabu. Walaubagaimanapun, masih belum diketahui warna apakah yang akan tiba di Malaysia nanti.

    GALERI: GPX Racing Demon 150-GN


    GALERI: GPX Racing Gentleman 200

     
     
  • Nissan Terra – foto sedikit bahagian ruang dalaman didedahkan sebelum diperkenalkan secara rasmi

    Nissan Terra sekali lagi dikesan, kali ini kita berpeluang melihat ruang dalaman SUV tujuh-tempat duduk ini. Bakal dibangunkan berdasarkan model trak pikap NP300 Navara, terdapat desas-desus yang menyatakan Terra akan diperkenalkan pada umum di Beijing Auto Show 2018 yang dijangka berlangsung April hadapan.

    Berdasarkan imej ini, papan pemuka Terra kelihatan tidak begitu banyak berbeza dengan Navara, malah memang agak mirip dengan trak pikap tersebut. Ini termasuklah bentuk corong pendingin hawanya, suis kawalan suhu, rekaan roda stereng dan konsol tengah yang tidak banyak perubahan.

    Pendekatan ini dilihat berbeza dengan SUV yang berdasarkan pikap termasuklah Toyota Fortuner (berdasarkan Hilux), serta Isuzu MU-X (berdasarkan D-Max) untuk pasaran China. Contoh lain pula seperti Ford Everest (berdasarkan Ranger) dan Mitsubishi Pajero Sport (berdasarkan Triton), di mana peningkatan bagi bahagian kabin adalah berkaitan dengan pendekatan kebanyakan pasaran.

    Sementara itu, bahagian luarannya diberi kelainan berbanding Navara. Terra ditampilkan dengan gril utama signatur V-Motion Nissan bersaiz besar, digandingkan bersama lampu hadapan yang lebih tajam berbanding Navara. Manakala pada bahagian belakang pula, rekaan diberikan agak ringkas dengan DNA Nissan, meliputi lampu dengan rekaan ‘two-piece’ serta jalur krom yang merentangi pintu tailgate.

    SUV ini dijangka bakal dijana enjin 2.3 liter turbodiesel berkuasa 190 hp/450 Nm, digandingkan bersama kotak gear enam-kelajuan manual atau tujuh-kelajuan automatik. Ia juga berkemungkinan besar akan ditawarkan dalam versi pacuan roda-belakang dan pacuan empat-roda.

     
     
  • Perodua dilapor serius terhadap SUV mampu milik

    Perodua dilapor serius terhadap SUV mampu milik

    Tidak boleh dinafikan, SUV merupakan trend terkini dalam pasaran automotif global buat masa sekarang. Mitsubishi telah berhenti terus membuat kereta sedan untuk menumpukan terhadap penghasilan SUV, Lamborghini telah menghasilkan Urus bagi membolehkan mereka terus wujud sebagai pembuat automotif eksotik seperti apa yang dilakukan oleh Porsche dengan Cayenne dan Macan, manakala Volkswagen pula melaporkan SUV Tiguan menjadi model dengan pertumbuhan paling cepat dalam barisan modelnya untuk 2017 – kesemua contoh ini menggambarkan betapa pentingnya SUV buat masa sekarang.

    Walaupun kini sedang berada dikedudukan paling atas di Malaysia dengan menjual hatchback seperti Axia dan Myvi, pembuat automotif kedua nasional, Perodua, tentu sekali sedar dengan perkembangan trend berkenaan. Julai tahun lalu, CEO dan presiden Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh mengatakan syarikatnya sangat serius untuk mempertimbangkan bagi memperkenalkan SUV kompak.

    Apa yang dinyatakan oleh bos Perodua berkenaan boleh dilihat sebagai petanda yang kukuh bahawa jenama tersebut akan memperkenalkan kenderaan dalam segmen terbabit bagi memperkasakan lagi kedudukannya dalam pasaran.

    “SUV dilihat semakin digemari pada masa ini. Walau bagaimana pun, kami sedang mengkaji pelbagai perkara berkaitan untuk memperkenalkan SUV kompak bagi barisan model Perodua pada masa depan,” ujar Aminar sambil menambah syarikatnya kini menggunakan pelbagai sumber bagi perancangan produk yang menepati citarasa dan kehendak para pengguna.

    Perodua dilapor serius terhadap SUV mampu milik

    Pagi ini ketika ditemuramah di radio BFM 89.9 menerusi slot Breakfast Grille, Aminar berkata “kami baharu sahaja melancarkan Myvi, fokus sekarang adalah terhadap Myvi baharu. Namun begitu, SUV masih lagi berada dalam radar kami. Kami masih lagi mengkaji trend, apa sebenarnya trend pasaran buat masa sekarang. Apa pula sentimen pengguna terhadap SUV? Jadi ia masih terlalu awal. Ia masih dalam peringkat kajian.”

    Mengulas berkenaan pengguna Malaysia yang kini juga terarah untuk memiliki SUV sama seperti trend global, beliau berkata “kajian awal menunjukkan, sama ada ia konkrit, atau sama ada ia adalah kesimpulan, kami belum sampai tahap itu lagi. Saya berkata begitu kerana jika anda tengok apa yang kami capai pada 2017 – kereta kompak, hatchback, Bezza kami dan lain-lain – ia masih lagi bagus. Jadi ia masih terlalu awal, tetapi kami tahu memang ada trend kearah itu. Jadi ia adalah sesuatu yang kami lihat secara sangat dekat.”

    Mungkin prestasi berkenaan didorong kerana Perodua adalah antara jenama yang paling mampu milik di Malaysia. Persepsi biasa yang diberikan oleh masyarakat adalah Perodua laris dipasaran kerana harganya yang murah dan ia boleh diharap.

    Namun mengikut statistik jualan yang baharu menunjukkan Myvi kini ditempah dengan nisbah 85:15, di mana 85% adalah model 1.5L dan 15% adalah 1.3L, menandakan konsumer tidak berkira untuk membayar lebih untuk ciri yang lebih baik. Permintaan yang tidak disangka terhadap Myvi 1.5L secara tidak langsung menjadi “satu masalah yang baik” untuk Perodua. Dan ia juga menjadi petunjuk bahawa strategi harga merupakan kunci utama terhadap pemasaran pengeluar kereta mampu milik.

    Toyota Rush pasaran Indonesia

    “Harga sentiasa menjadi faktor penting. Ia merupakan faktor membuat keputusan. Namun demikian, kami masih lagi perlu untuk membuat ia semampu milik yang boleh. Kos merupakan isu, kos merupakan sesuatu yang perlu kami kawal. Kos merupakan sesuatu yang perlu lakukakan sesuatu. Bukan hanya untuk kami. Ia termasuk pembekal kami, vendor kami, dan prinsipal kami,” kata Aminar.

    Beliau menambah, Perodua turut mempunyai titik psikologi pada harga pada model-modelnya iaitu sekitar RM60,000. “Jika anda lihat model-model yang kami tawarkan, empat model, kesemuanya berharga di bawah RM60,000. Kami percaya pada tahap berkenaan buat masa sekarang, ia telah menjadi garis psikologi berkenaan. Namun demikian, kos merupakan sesuatu diluar kawalan kami; material dan perkara lain. Apabila berhadapan dengan perkara tersebut, kami terpaksa membuat berberapa keputusan. Kami perlu membuat berberapa pelarasan,” katanya.

    Sekiranya Perodua benar-benar hadir dengan SUV baharu menggunakan unit janakuasa dan ciri-ciri dari Myvi, adakah anda bersetuju untuk membayar RM70,000 untuk model berkenaan? Ini tidak mustahil kerana model generasi baharu Daihatsu Terios dan kembarnya Toyota Rush telahpun dilancarkan di Indonesia menggunakan enjin 1.5 liter siri 2NR, sama seperti Myvi.

    Perodua sebelum ini juga pernah menghasilkan SUV kompak yang diasaskan dari Terios dan Rush iaitu Kembara dan Nautica, namun untuk model generasi baharu ini, kedua-dua SUV berkenaan lebih bersifat seperti MPV tujuh-tempat duduk, dengan konsep seperti Honda BR-V dan Mitsubishi Expander.

    Perodua juga berkemungkinan dapat menghasilkan SUV yang diasaskan dari model konsep DN Trec yang tampil seperti sudah bersedia untuk diproduksi pada Tokyo Motor Show tahun lalu. Model ini agak berbeza dari Terios dan Rush kerana ia lebih bersifat seperti kenderaan crossover dengan lima-tempat duduk yang boleh berhadapan dengan Honda HR-V dan Toyota C-HR, tetapi dijana enjin Myvi untuk pasaran yang lebih mampu milik.

    GALERI: Toyota Rush pasaran Indonesia

     
     
  • Tali keledar 2-poin tidak lagi sah untuk diguna – JPJ

    Tali keledar 2-poin tidak lagi sah untuk diguna – JPJ

    Semua pengeluar kenderaan penumpang di Malaysia akan diwajibkan untuk memasang tali pinggang keledar 3-poin bagi semua penumpang bermula Januari ini, menurut laporan New Straits Times. Tali keledar 2-poin (lap belt) yang ada sebelum ini tidak lagi boleh digunakan; semua kenderaan yang dipasang bermula bulan ini perlu dilengkapi dengan tali keledar 3-poin atau ia tidak akan menerima kelulusan bagi Vehicle Type Approval (VTA).

    Ujian kemalangan yang dilakukan oleh pakar dalam industri telah membuktikan bahawa tekanan yang diberikan oleh tali keledar jenis 2-poin boleh menyebabkan kecederaan teruk, walaupun mampu menghalang penumpang daripada terpelanting jika kenderaan mereka terlibat dalam kemalangan, jelas Pengarah Kejuruteraan Automotif JPJ, Datuk Mohamad Dalib.

    “Dari ujian yang dijalankan, jelas menunjukkan penggunaan tali keledar 2-poin perlu diganti dengan tali keledar jenis 3-poin. Kecederaan yang disebabkan oleh penggunaan tali keledar 2-poin antaranya ialah pada bahagian bawah badan serta kemungkinan menyebabkan kecederaan bagi wanita yang pernah menjalani pembedahan Caesarean,” tambah beliau.

    Tali keledar 2-poin tidak lagi sah untuk diguna – JPJ

    “Kita mengguna-pakai Peraturan Kenderaan UN R14 dan R16 (berkaitan tali keledar keselamatan), yang telah diserapkan di dalam Peraturan Pengangkutan Jalan (pembinaan dan penggunaan) 1959, pada 2007 dan 2011,” jelas beliau lagi.

    “Ini bermaksud, sepatutnya kenderaan penumpang yang dibina sejak 2012 tidak lagi boleh menggunakan tali keledar 2-poin. Kami telah memberikan masa yang diperlukan kepada pemain industri untuk membuat persiapan ke arah ini. Kenderaan yang dikeluarkan dari Januari ini tetapi masih lagi menggunaan lap belt tidak akan diberikan kelulusan VTA,” ujarnya lagi.

    Tali keledar 3-poin mengagihkan impak beban dalam kemalangan dengan baik, dan pada masa yang sama menghadkan pergerakan badan yang keterlaluan dan ganas, yang boleh mengakibatkan cedera lebih teruk pada penumpang, serta meminimumkan tekanan pada bahagian abdomen, jelas pegawai kajian Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Yahaya Ahmad.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz A250 Sport kini dapat 218 hp

    GALERI: Mercedes-Benz A250 Sport kini dapat 218 hp

    September tahun lepas, kami telah membawakan kepada anda berita kenaikan harga Mercedes-Benz A 250 Sport, yang menjadi RM248,888 tidak termasuk insurans (tambahan RM10,000). Tiada perincian spesifikasi atau perubahan yang diberikan pada masa itu, tetapi apabila dilihat secara terperinci barulah ia dapat dilihat kini.

    Pertamanya, enjin empat silinder turbo 2.0 liter M270 pada kenderaan ini akhirnya mampu menghasilkan 218 hp yang sepatutnya didapati waktu model facelift ini diperkenalkan. Pada mulanya Mercedes-Benz Malaysia mengurangkan kuasa tersebut kepada 211 hp, kerana kualiti minyak di Malaysia, tetapi sekarang nampaknya mereka sudah melakukan pelarasan dan kuasanya dapat ditingkatkan. Tork pula berada pada 350 Nm antara 1,200 hingga 4,000 rpm.

    Transmisi klac berkembar 7G-DCT tujuh kelajuan pada kenderaan ini turut diberi konfigurasi yang lebih sporty seperti enjin dan pemetaan pendikitnya; bunyi enjin yang lebih sporty juga boleh kedengaran. Hasilnya, pecutan 0-100 km/j sekarang dapat dilakukan dalam masa 0.1 saat lebih pantas, iaitu pada 6.3 saat, tetapi laju maksimum masih lagi sama iaitu 240 km/j.

    Turut diberi perubahan adalah pada bahagian casis, dengan A 250 Sport ini mendapat stereng sports sensitif kelajuan AMG, serta suspensi sport “Engineered by AMG” yang menggantikan tetapan sebelum ini. Kedudukan kereta juga 15 mm lebih rendah. Ciri kawalan stabiliti turut diubah, berkemungkinan menjadi kurang sensitif.

    Selain daripada itu, kereta ini masih sama seperti pada tahun 2016. Ia masih lagi tidak mempunyai sistem masuk tanpa kunci atau butang pemula enjin, dan pengawal pendingin hawa masih lagi manual. Tapi kit badan kenderaan ini menggunakan kit AMG penuh, berserta lencana “Sport” dan angkup brek warna merah.

    Turut disertakan adalah lampu utama LED High Performance dengan Adaptive Highbeam Assist, roda stereng rata di bawah, tempat duduk sport yang boleh dilaras secara elektrik dan fungsi memori, balutan kuliti Artico dan gentian mikro Dinamica, hiasan corak seperti gentian karbon, corong pendingin hawa merah, tali pinggang merah, skrin paparan media lapan inci, kamera undur dan Active Parking Assist. Untuk keselamatan, ia dilengkapi tujuh beg udara dan Collision Prevention Assist Plus dengan brek kecemasan autonomous.

     
     
  • Yamaha 07 GEN – kerusi roda elektrik untuk warga tua

    Yamaha 07 GEN – kerusi roda elektrik untuk warga tua

    Yamaha Motor Co. Ltd. telah mengeluarkan satu motosikal elektrik konsep tiga tayar yang dinamakan sebagai 07 GEN di Jepun. Daripada video promosi yang dikeluarkan, kenderaan ini dilihat dicipta untuk kegunaan warga tua, namun mempunyai keistimewaan tersendiri.

    Pertamanya, ia sudah tentu dijadikan selesa, tetapi turut diterap dengan kelengkapan yang bergaya, seperti pada kemasan akhir besi yang digunakan, tempat duduk kulit, beberapa bahagian tembaga dan rim yang moden. Menurut Yamaha, motosikal tiga roda ini memberikan penampilan gabungan klasik dan moden.

    Kuasa pemacu kenderaan ini tidak diberitahu, tetapi Yamaha menyatakan badan cukup kecil untuk lalu di atas laluan pejalan kaki, serta stabil kerana titik graviti yang rendah dan rim yang besar. Bahagian pemegang serta tempat duduk motosikal ini juga boleh dilaras mengikut kesesuaian penggunanya.

    Motosikal tiga roda ini akan dibawa oleh Yamaha ke beberapa pameran di Jepun bagi mendapatkan maklum balas orang ramai, sebelum proses produksi diambil kira.

     
     
  • KTM X-Bow GT4 2018 – hanya 15 unit, RM946k, 335 hp

    KTM X-Bow GT4 2018 – hanya 15 unit, RM946k, 335 hp

    Syarikat pengeluar motosikal dari Austria, iaitu KTM Motorcycles juga ada mengeluarkan jentera empat tayar, yang dinamakan sebagai X-Bow. Mungkin ramai yang mengetahuinya sebagai sebuah kereta dengan bumbung terbuka, tetapi KTM juga ada menghasilkan versi tertutup untuk perlumbaan yang dinamakan sebagai X-Bow GT4, dan model tahun 2018 baru diperkenalkan.

    Ia disasarkan kepada pelumba amatur yang mahu berjimat kerana menjanjikan kos penjagaan yang lebih murah. Untuk model 2018 ini, X-Bow GT4 datang dengan kotak gear sequential Holinger yang lebih kuat, dan ia dipadankan pada enjin empat silinder TFSI 2.0 liter yang boleh menghasilkan 335 hp dan 700 Nm tork. Servis untuk kotak gear juga dapat dipanjangkan menjadi 10,000 km berbanding 5,000 km sebelum ini.

    Casis monocoque yang digunakan pada X-Bow GT4 dibuat oleh Dallara dan dibangunkan bersama syarikat kejuruteraan perlumbaan Jerman, Reiter Engineering, dengan input dari KTM Technologies. Daripada aspek rekaan pula, ia diserahkan kepada KISKA, yang juga terlibat dalam pembangunan pelbagai motosikal KTM dan Husqvarna termasuk Svartpilen dan Vitpilen.

    KTM X-Bow GT4 2018 – hanya 15 unit, RM946k, 335 hp

    Kereta ini juga mempunyai kelengkapan yang dikhaskan untuk prestasi dalam litar, melibatkan antaranya sistem pengurusan enjin Motec M142, sistem pendawaian khas, kawalan cengkaman menggunakan spesifikasi GT3 dan butang pengawalnya kini lebih mesra pengguna.

    Dalam kelasnya, KTM X-Bow GT4 bersaing dengan kereta seperti Aston Martin Vantage, the Audi TT dan R8, BMW M3 GT4, M4 dan Z4, Lotus Evora, Mazda MX5, Nissan 350Z dan 370Z serta Toyota 86 GT4. Harga model ini adalah USD 233,120 (RM946,000) dan hanya 15 unit yang dihasilkan, tetapi kesemuanya telah habis dijual.

     
     
  • Proton dalam usaha naik taraf pusat 3S dan 4S – empat pengedar terlibat dalam kumpulan pertama

    Proton dalam usaha naik taraf pusat 3S dan 4S – empat pengedar terlibat dalam kumpulan pertama

    Beberapa hari sebelum tirai 2017 berlabuh dengan tenang, Proton telah mengadakan majlis menandatangani untuk kumpulan pertama bagi perjanjian Naik taraf Rangkaian Pengedar. Majlis diadakan di antara Proton dan empat pengedar untuk menghargai penambahbaikan cawangan mereka kepada pusat 3S dan 4S.

    Perjanjian telah ditandatangani antara Abdul Rashid Musa, Naib Presiden, Jualan & Pemasaran, Proton, bersama Azry Ibrahim, Pengarah, Baiduri Auto Sdn Bhd, Lee Chee Hong, Pengarah Urusan, Bunga Raya Auto Credit Sdn Bhd, Andrew Quek Tze Kean, Pengarah, Setia Gemilang Auto Sdn Bhd dan Dato’ Sri Tee Boon Kee, Pengarah, Vantage Speed Sdn Bhd.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dato’ Radzaif Mohamed serta barisan pengurusan kanan Proton.

    Cawangan-cawangan tersebut akan merangkumi penampilan dan persekitaran yang baharu; dan hampir kesemua cawangan akan dinaik taraf daripada pusat 1S/2S. Pusat 3S dan 4S yang telah dinaik taraf membolehkan pengedar menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dengan lebih cekap dan memberikan pengalaman yang dipertingkatkan kepada pelanggan.

    Malahan Cawangan yang telah dinaik taraf akan menjadi pusat sehenti yang menyediakan perkhidmatan penting seperti pejabat jualan, perkhidmatan selepas jualan, jualan alat-alat ganti serta perkhidmatan membaiki dan mengecat. Pelbagai lagi penambahbaikan sedang dilakukan oleh pengedar-pengedar sedia ada PROTON.

    Proton dalam usaha naik taraf pusat 3S dan 4S – empat pengedar terlibat dalam kumpulan pertama

    Penambahbaikan cawangan pengedar, pengubahsuaian dan penempatan semula sedang dilakukan untuk memastikan premis baharu sesuai dengan imej baharu Proton, dan sebagai persiapan kepada pengedar bagi pengenalan SUV pertama Proton yang akan datang. Peningkatan dan penambahbaikan cawangan ini adalah selaras dengan pematuhan garis panduan terkini bagi pelan pengembangan perniagaan Proton.

    “Sekarang anda tidak perlu pergi dari satu tempat ke tempat lain untuk membaiki kereta anda. Kami akan memastikan cawangan-cawangan yang dinaik taraf dapat memenuhi semua keperluan jualan dan perkhidmatan, yang dapat menjimatkan masa anda. Proton bukan sahaja menjual kereta tetapi juga menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan kerana menyediakan pengalaman kelas pertama kepada pelanggan adalah sangat penting kepada Syarikat dan jenama kami,” jelas Dr. Li.

    Dalam masa yang sama, Proton telah membuka peluang kepada para pengedar untuk melabur dan menaik taraf cawangan mereka ke pusat 3S dan 4S menerusi skim sokongan insentif. Tawaran ini juga terbuka kepada sesiapa yang ingin mengambil bahagian dalam pengedaran baharu. Skim ini bukan sahaja berdaya saing tetapi ia juga merupakan skim terbaik yang ada di dalam pasaran automotif Malaysia.

    “Untuk mengembangkan perniagaan, kami memerlukan rakan kongsi yang serius untuk menjual kereta. Kami berada dalam perniagaan ini untuk jangka masa panjang dan kami meletakkan minat yang besar untuk memastikan pelanggan gembira dan berpuas hati. Skim sokongan insentif oleh Proton adalah salah satu cara di pasaran yang ditawarkan kepada mereka yang merancang untuk mengembangkan atau menaik taraf perniagaan pengedar mereka ke pusat 3S dan 4S,” kata Dr Li lagi.

     
     
  • Tiada lagi kutipan tol di Batu Tiga serta Sungai Rasau (Selangor), Bukit Kayu Hitam (Kedah) dan EDL (Johor)

    Tiada lagi kutipan tol di Batu Tiga serta Sungai Rasau (Selangor), Bukit Kayu Hitam (Kedah) dan EDL (Johor)

    Bermula semalam, kutipan tol di empat lokasi telah dimansuhkan, selari dengan pengumuman yang dibuat ketika pembentangan Bajet 2018 lalu. Empat tol berkenaan ialah di Batu Tiga dan Sungai Rasau (Selangor), Bukit Kayu Hitam (Kedah) dan Eastern Dispersal Link (EDL, Johor).

    Bernama melaporkan, pemansuhan tol di Sungai Rasau disambut dalam satu majlis ringkas, dengan kehadiran antaranya Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail serta Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

    Pemansuhan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau yang mula beroperasi sejak 15 November 1993 dijangka akan memberi manfaat kepada 270 pengguna di Shah Alam dan Klang, memberikan penjimatan sekitar RM48.40 dan RM126 sebulan.

    Pada 2015, dilaporkan sebanyak 155,662 kenderaan melalui Tol Batu Tiga setiap hari, dengan 110,978 kenderaan melakukan perkara yang sama di Tol Sungai Rasau – ini menjadikan kutipan purata di kedua-dua plaza tol berkenaan berjumlah RM378,000 sehari.

    Tiada lagi kutipan tol di Batu Tiga serta Sungai Rasau (Selangor), Bukit Kayu Hitam (Kedah) dan EDL (Johor)

    Kadar tol di Sungai Rasau ialah RM1 bagi kenderaan Kelas 1, RM1.30 bagi Kelas 2, RM2 bagi Kelas 3, 40 sen bagi teksi dan 80 sen bagi bas. Sementara itu, kadar di Tol Batu Tiga pula ialah RM1.10 bagi kenderaan Kelas 1, RM1.50 bagi Kelas 2, RM2.20 bagi Kelas 3, 40 sen bagi teksi dan 90 sen bagi bas.

    Sementara itu, pemansuhan kutipan tol di Bukit Kayu Hitam yang telah beroperasi selama 32 tahun dijangka akan memangkin pembangunan pekan disempadan, seperti dinyatakan oleh ADUN Datuk Ahmad Zaini Japar. Langkah itu disifatkan akan menggalakkan lagi pergerakan peniaga/pelancong dari negara jiran.

    Bagi pemansuhan EDL pula, pengguna di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hanya perlu membayar tol kepada PLUS menuju Tambak Johor sahaja selepas ini.

     
     
  • Volkswagen Golf – model ikonik dengan rekod 34 juta unit dihasilkan sejak generasi pertama Mk1 1974

    Volkswagen Golf – model ikonik dengan rekod 34 juta unit dihasilkan sejak generasi pertama Mk1 1974

    Selain dari Beetle, jenama “Kereta Rakyat” dari Jerman, Volkswagen, mempunyai satu lagi nama yang begitu ikonik dalam barisan modelnya iaitu Golf. Sejak diperkenalkan dalam bentuk hatchback buat pertama kali pada model Mk1 1974, ia kemudiannya turut diperkenalkan dalam bentuk Estate (wagon) dan Sportsvan, membolehkan ia diproduksi dengan jumlah mencecah lebih dari 34 juta unit sehingga kini.

    Untuk tahun lalu sahaja, Golf telah dihasilkan hampir sejuta unit. “Golf hatchback masih lagi kekal sebagai peneraju dalam kelasnya di Jerman dan Eropah. Golf Estate menunjukkan pertumbuhan yang paling kuat dalam keluarga Golf, pada +11%, berbanding tahun lalu”, menurut Volkswagen.

    Namun, pertumbuhan paling kuat untuk Volkswagen pada 2017 sebenarnya disumbangkan oleh SUV Tiguan generasi baharu, dengan peningkatan jualan 40% berbanding 2016. Untuk itu, leih 730,000 unit Tiguan telah diserahkan kepada pelanggan sepanjang 2017 manakala pasaran yang paling popular pula adalah di China dan Jerman sendiri.

    Volkswagen juga turut menerajui segmen MPV di Jerman menerusi model Touran. Sepanjang tahun lalu, hampir 150,000 unit Touran dijual di seluruh dunia.

    Untuk tahun 2016, Volkswagen sah sebagai sebagai jenama paling laris di dunia dengan jumlah jualan 10.3 juta kenderaan dan memecahkan dominasi Toyota buat pertama kali sejak jenama Jepun tersebut memegang takhta berkenaan bermula 2012. Namun pada Julai 2017, Pakatan Renault-Nissan dilaporkan sedang mendahului perlumbaan tersebut dengan jualan 5,268,079 unit berbanding 5,115,900 unit oleh Kumpulan VW pada tempoh sama.

    Volkswagen mensasarkan untuk menjual sebanyak 10.9 juta kenderaan sepanjang 2017. Adakah angka berkenaan dapat dicapai dan bolehkah VW berjaya memintas semula Pakatan Renault-Nissan sekaligus mempertahankan gelarannya tahun lalu? Sama-sama kita tunggu laporan dari kesemua gergasi automotif dunia ini tidak lama lagi.

     
     
  • VIDEO: Malle Moto – kategori paling sukar dalam Rali Dakar, peserta urus seorang diri termasuk baik pulih

    Mungkin ramai yang sudah tahu, Rali Dakar adalah antara perlumbaan lasak yang paling sukar di dunia dan ia sudah dianjurkan sejak tahun 1978 lagi. Terdapat banyak kategori dalam Rali Dakar ini, termasuk pembahagian jenis kenderaan, tapi satu kategori yang kurang mendapat perhatian, tapi boleh dianggap paling sukar adalah Malle Moto bagi motosikal.

    Dalam kategori ini, peserta perlu melengkapkan keseluruhan perlumbaan selama 12 hari berseorangan, bermakna, selain perlu menunggang motosikal, mereka juga perlu membaiki atau melakukan servis pada motosikal secara sendiri. Apa yang dibawa oleh peserta dalam kategori ini ke dalam perlumbaan adalah motosikal itu sendiri serta satu kotak peralatan.

    Dalam video ini, anda boleh melihat bagaimana kesukaran yang dihadapi oleh salah seorang peserta kategori Malle Moto ini, iaitu Lyndon Poskitt mengharungi segala cabaran getir dalam perlumbaan ini. Beliau bukanlah calang-calang penunggang, tetapi ada satu tahap, beliau sendiri hampir putus asa kerana terlalu mencabar.

    Namun akhirnya, selepas pelbagai insiden, Poskitt berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan sangat terharu dengan pencapaian beliau sendiri. Antara sebab utama beliau menyertai kategori ini adalah kerana beliau mahu merasakan sendiri kesukaran peserta Rali Dakar, seperti waktu beliau menonton acara ini semasa berusia tujuh tahun.

     
     
  • PLUS belanja RM1 bilion pada 2016 untuk selenggara lebuhraya – kenderaan berat sumbang 25% jalan rosak

    PLUS belanja RM1 bilion pada 2016 untuk selenggara lebuhraya – kenderaan berat sumbang 25% jalan rosak

    PLUS Expressways Bhd telah mengesahkan sebanyak RM1 bilion dibelanjakan pada tahun 2016 hanya untuk menyelenggara 5,000 kilometer lebuh raya di negara ini yang merupakan sebahagian daripada komitmennya untuk memastikan keselamatan pengguna.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, kos tersebut termasuklah bagi menyelenggara kawasan di sepanjang lebuh raya yang meliputi 7,000 cerun dan benteng, 500 jambatan, dua terowong iaitu Menora-Meru, 114 persimpangan bertingkat dan 24 kawasan servis istirahat 24 jam sehari.

    Katanya lagi, sepanjang tahun lalu sahaja, PLUS telah menjalankan lebih 10,000 pemeriksaan dan pemantauan aset di kesemua lebuh rayanya dengan melibatkan 1,000 anggota dalam dalam tugas besar bagi menyelenggara lebuh raya sepanjang 5,000 kilometer, menerusi laporan khas yang disiarkan Bernama.

    Beliau turut menambah, selain kereta penumpang dan kenderaan ringan, kenderaan berat sahaja menyumbang kira-kira 25% daripada jumlah lalu lintas dan merupakan penyumbang utama kepada kemerosotan muka jalan.

    PLUS belanja RM1 bilion pada 2016 untuk selenggara lebuhraya – kenderaan berat sumbang 25% jalan rosak

    Dalam hal yang berkaitan, beliau berkata PLUS mengamalkan strategi penyelenggaraan tiga cabang yang termasuk penyelenggaraan rutin, rawatan dan pencegahan.

    Bagi penyelenggaraan rutin, ia termasuklah memotong rumput dan pembersihan longkang. Sementara strategi kedua meliputi penyelenggaraan pembaikan, termasuk pembaikan struktur permukaan jalan berturap, cerun dan jambatan bagi mengekalkan kesesuaian perkhidmatan aset serta pengukuhan struktur.

    Sementara itu, penyelenggaraan pencegahan bertujuan untuk meminimumkan kecacatan dan kemerosotan dan merupakan penyelenggaraan yang dirancang untuk memastikan lebuh raya dipulihara, dirancang dan kekalkan lebih lama daripada jangka hayatnya.

    “Kami memastikan penyelenggaraan lebuh raya yang cemerlang selaras dengan piawaian keselamatan antarabangsa dan pematuhan syarat ketat yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

    Selain itu, PLUS turut membangunkan sistem pengawasan lalu lintas yang canggih yang dikenali sebagai Pusat Pemantauan Lalu Lintas (TMC) bagi mengumpul dan menyebarkan maklumat trafik masa nyata untuk pengurusan trafik yang cekap serta menyelaraskan bantuan untuk pengguna lebuh raya yang memerlukannya.

    PLUS belanja RM1 bilion pada 2016 untuk selenggara lebuhraya – kenderaan berat sumbang 25% jalan rosak

    PLUS juga membangunkan Sistem Pemantauan Masa Nyata untuk menyediakan maklumat masa nyata menerusi instrumen di lokasi di 90 stesen atau 79 lokasi strategik di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan. Hasilnya, pasukan teknikal PLUS akan mengetahui kedudukan jalan raya supaya siasatan awal dan penyelenggaraan rutin dapat dijalankan.

    Beliau juga berkata pemeriksaan robot pintar pembentung telah dibangunkan untuk memeriksa 5,000 pembetung secara remote, separuh daripadanya kecil dan tidak boleh diakses oleh pemeriksa bagi memastikan strukturnya masih kukuh dan dalam keadaan baik.

    PLUS juga meneroka penggunaan dron untuk pemantauan trafik menerusi udara semasa musim perayaan dan memantau cerun tinggi dan bukit.

    Beliau berkata air bertakung merupakan musuh utama jurutera dalam pembinaan dan operasi jalan dan lebuh raya, yang boleh menimbulkan risiko seperti kemalangan jalan raya.

     
     
  • Perodua Myvi 2018 – tempahan kini cecah 28,000 unit, serahan hampir 8,000 unit; nisbah 1.5L/1.3L ialah 85:15

    Perodua Myvi 2018 – tempahan kini cecah 28,000 unit, serahan hampir 8,000 unit; nisbah 1.5L/1.3L ialah 85:15

    Walaupun dilancarkan pada lewat 2017, Perodua Myvi 2018 generasi ketiga tetap mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Dibuka untuk tempahan pada 8 November 2017, iaitu seminggu sebelum pelancarannya, Myvi 2018 kini mencatatkan sebanyak 28,000 tempahan pada penghujung 2017. Dari jumlah itu, 8,000 unit sudah diserahkan kepada pelanggan.

    Angka terbaru ini dikongsikan oleh Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh pagi ini dalam dalam segmen Breakfast Grille BFM 89.9. Beliau juga memohon maaf kerana tempoh menunggu bagi Myvi 1.5L lebih panjang berbanding 1.3L.

    “Kerana terdapat banyak tempahan, kami kini bekerja lebih masa dan memohon maaf di atas sebarang kesulitan. Terutamanya bagi pelanggan yang menempah model 1.5L dalam varian paling tinggi, kami berharap dapat mengurangkan tempoh menunggu. Apa pun, kami tetap mempunyai model 1.3L dengan stok sedia ada. Jadi, bagi pelanggan yang perlukan kereta dalam kadar cepat, Myvi 1.3L juga boleh dijadikan pilihan,” tambah beliau.

    Perodua Myvi 2018 – tempahan kini cecah 28,000 unit, serahan hampir 8,000 unit; nisbah 1.5L/1.3L ialah 85:15

    Aminar juga mengakui, sambutan menggalakkan terhadap model dengan enjin yang lebih besar dan spesifikasi lebih lengkap 1.5L agak mengejutkan Perodua. “Saya perlu akui, bahawa perancangan awal kami terbukti silap. Kami menjangka untuk menerima nisbah 50-50 atau mungkin 55-45 antara model 1.5L dan 1.3L. Tetapi apa yang dapat dilihatk ketika ini, nisbahnya 85-15. Ini satu masalah, tetapi masalah yang baik dan cabaran untuk kami mengatasinya. Kami sedang berusaha untuk melayani permintaan yang menggalakkan ini. Harap pelanggan bersabar,” tambah beliau.

    Menyentuh tentang mengapa lebih ramai yang memilih model 1.5L berbanding 1.3L, beliau menyatakan bahawa senarai ciri-ciri maju yang melengkapinya menjadi faktor utama, seperti enam beg udara, Advanced Safety Assist – sebelum ini tidak terdapat pada kenderaan bawah RM100k.

    “Dari pemerhatian kami, pelanggan akan melihat kembali kepada nilai untuk wang yang mereka keluarkan. Ciri-ciri yang kami tawarkan itu biasanya hanya terdapat pada kenderaan yang lebih mahal, tetapi melalui Myvi 2018, ia jadi lebih mampu milik,” tambah beliau.

    Ketahui lebih lanjut tentang model ini melalui barisan artikel yang telah kami sediakan sebelum ini, termasuk laporan pandu uji. Tidak ketinggalan, tonton juga video lengkap Myvi 2018.

    GALERI: Perodua Myvi 1.5L Advance 2018

     
     
  • JPJ sita sebuah Rolls Royce kerana guna cukai jalan Sarawak – 21,613 saman sepanjang Ops Patuh 2017

    JPJ sita sebuah Rolls Royce kerana guna cukai jalan Sarawak – 21,613 saman sepanjang Ops Patuh 2017

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melaksanakan Ops Patuh pada malam ambang tahun baharu kelmarin, turut menyita sebuah Rolls Royce – yang didakwa oleh sebuah akhbar tempatan – milik Pengarah Urusan D’herbs Holding Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri.

    Kereta mewah terbabit yang ketika itu dipandu oleh seorang warganegara Australia (yang dipercayai disewa daripada syarikat kereta sewa milik Aliff) disita di Jalan Bangsar kerana kesalahan kawasan pengisytiharan penggunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM). Di mana ia menggunakan cukai jalan Sarawak tetapi dipandu di Semenanjung. Pemeriksaan JPJ melalui sistem jabatan itu mendapati kereta berkenaan didaftarkan atas nama Aliff sendiri.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPJ Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, kereta berkenaan yang menggunakan cukai jalan Sarawak dengan harga RM5,000 iaitu jauh lebih murah berbanding LKM yang patut digunakan. Selain itu, JPJ turut mengesan kesalahan lain pada kereta mewah itu iaitu menggunakan nombor plat tidak mengikut spesifikasi.

    [Sila baca artikel mengenai cukai jalan Sarawak dan Sabah di sini]

    “Cukai jalan (LKM) Sarawak hanya boleh digunakan untuk kenderaan di negeri berkenaan sahaja dan kita sedang menyiasat bagaimana kenderaan berkenaan boleh berada di semenanjung,” katanya seperti mana yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Menerusi laporan Bernama pula, dalam Ops Patuh yang dijalankan antara Januari hingga Disember 2017, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 21,613 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

    Saman berkenaan melibatkan kesalahan seperti lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

    Dalam tempoh yang sama, sebanyak 42,478 kenderaan diperiksa dan lebih 28,000 notis dikeluarkan oleh JPJ selain 72 kenderaan turut disita.

    “Kita mendapati kebanyakan kenderaan yang disita dipandu oleh warga asing kebanyakan mereka tidak mempunyai lesen memandu. Selain itu, notis dikeluarkan untuk pemilik kenderaan membawa kenderaan menjalani pemeriksaan misalnya untuk pemeriksaan cermin gelap,” kata Wan Ahmad Uzir.

     
     
  • Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Hujung minggu ini, tahun 2017 akan meninggalkan kita dengan seribu satu kenangan yang tersendiri, dan kita akan melangkah masuk ke tahun baru. Bagi kami di paultan.org/bm, tahun ini tetap banyak perkara yang kami pelajari – dari industri dan tentunya anda, pembaca setia yang budiman – dan semua itu harapnya dapat mematangkan kita bersama dan membawa manfaat di masa hadapan.

    Seperti juga tahun lalu, bila menjelang penghujung tahun, kami akan merenung semula ke belakang bagi tempoh setahun ini dan bertanya; apa model-model kenderaan yang banyak memberi kesan kepada setiap individu di dalam pasukan editorial ini.

    Spektrum yang dibayangkan tentulah lebih luas. Tidak hanya kenderaan baru yang dilancarkan, ia boleh saja menjadi mana-mana kenderaan yang sempat kami alami sendiri pemanduannya, atau kereta lama yang baru kami berpeluang untuk mendekatinya, atau barisan motosikal-motosikal yang semakin bercambah dalam pasaran dan mungkin saja tentang tanggapan yang diperoleh daripada penawaran yang diberikan oleh sesebuah model di dalam pasaran.

    Untuk itu, di dalam artikel khas ini, setiap seorang daripada kami membariskan lima pilihan kenderaan yang dirasakan banyak mencuri perhatian kami secara individu sepanjang tahun 2017 ini. Selamat menikmati.

    IZWAASHURA SADALI

    Tahun 2017 menyaksikan deretan model baharu kenderaan diperkenalkan untuk pasaran Malaysia. Biar pun ada yang menyatakan pasaran automotif di Malaysia tidak sekencang negara jiran, terutamanya Thailand dan Indonesia, namun sekurang-kurangnya industri automotif tempatan tidak pernah malap, walau pun dilihat tidak sebegitu agresif seperti dua negara yang dimaksudkan.

    Moga pada tahun 2018, industri automotif kian rancak dan pasaran kita yang (diungkap oleh segelintir antara kita) dianggap kurang memberangsangkan akan kembali meriah serta memberikan pelbagai lagi variasi kenderaan terbaik dengan harga yang relevan.

    5. Honda CR-V 1.5 T-CP

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Apabila Honda Malaysia turut menawarkan varian enjin 1.5 liter turbo pada SUV popularnya, CR-V, seperti mana yang terdahulu diperkenalkan pada Civic 2016, terlintas di fikiran penulis, pastinya varian dengan enjin sebegini menjadi pilihan ramai. Telahan itu ternyata tepat.

    Biarpun sama ‘jantungnya’ dengan Civic, namun ia diberikan ‘denyutan’ yang berbeza atas faktor perbedaan saiz dan bentuknya. Bagi CR-V ini, ia diberikan hamburan kuasa sehingga 190 hp pada 5,600 rpm dan tork 243 Nm pada 2,000 rpm. Malahan sewaktu memandu ujinya, ternyata aspek pengendalian agak jauh berbeza berbanding model terdahulu. Ia lebih menyeronokkan, malah turut memberikan keselesaan dan lebih jitu.

    Perubahan gaya yang lebih signifikan turut diberikan bagi bahagian luaran dan dalamannya. Di mana ia ternyata lebih bergaya dan menarik pandangan. Malah rekaan kabinnya yang menerima sentuhan rekaan yang lebih diperkemaskinikan dan pastinya lebih segar juga antara daya tarikannya. Jadi dengan harga atas jalan RM167,700 bagi 1.5 TC-P ini, ia dilihat sebagai pemilihan dan pemilikan yang berbaloi bagi sebuah SUV.

    4. Subaru XV 2018

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Ya, dua daripada lima pilihan saya bagi tahun ini ialah SUV. Mungkin sebab saya memang penggemar dan juga memiliki sebuah SUV. Maka, tidak hairanlah jika kenderaan sebegini mudah menarik perhatian saya. Bukan hendak biased, tetapi kalau dah minat, nak buat macam mana kan?

    Namun Subaru XV 2018 ini sebenarnya bukanlah SUV crossover terhangat di Malaysia, tidak seperti pesaing terdekatnya, misalnya Honda HR-V. Namun, apabila XV 2018 telah menjalani perubahan kosmetik dan mekanikal yang boleh dikatakan agak besar, maka, sudah pasti crossover ini tidak wajar diketepikan.

    Dengan kehadiran enjin petrol baharu 2.0 liter naturally-aspirated suntikan-terus empat-silinder (156 PS/196 Nm) bersama Lineartronic CVT, ia juga disfatkan 7.8 kg lebih ringan berbanding model XV yang terdahulu. Malah kuasanya lebih 6 hp berbanding model sebelumnya. Jadi, prestasiya pasti lebih memberangsangkan bukan?

    Untuk rekaannya, bahagian luaran tidak menampakkan perubahan yang cukup besar namun tidak pada bahagian kabin. Kini bahagian kabin nampak lebih kemas dengan kehadiran pelbagai elemen yang bersesuaian dengan citarasa masa kini. Malah ruang dalaman juga lebih besar berbanding model terdahulu.

    3. Mercedes-Benz E-Class Coupe C238

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Merupakan salah satu model baharu bagi barisan Dream Car Collection, Mercedes-Benz E-Class Coupe C238 yang diperkenalkan di pasaran Malaysia pada Julai lalu, pastinya menjadi idaman hati. Ia menampilkan dua varian iaitu E 200 Coupe AMG Line dan E 300 Coupe AMG Line, serta satu varian eksklusif iaitu E 300 Coupe Edition 1 yang terhad 500 unit sahaja. Walaupun harganya mungkin akan “meningkatkan” lagi adrenalin anda iaitu antara RM435,888 hingga RM534,888, namun sesuailah dengan prestasi, kualiti dan imej yang diperagakan.

    Kalau bercerita tentang prestasi pula, tidak hairanlah sekiranya barisan E-Class Coupe C238 ini memiliki ledakan kuasa yang mengujakan. Biarpun ketiga-tigaya dijanakan oleh enjin yang sama iaitu 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris, namun prestasinya agak berbeza kerana hamburan kuasa yang terhasil berlainan. Apa pun adrenalin anda pasti membuak-buak ketika mengendalikannya.

    Imej yang diperagakan? Mewah, elegan, sofistikated dan sporty, adunan yang sekata, sekaligus menjadikan ketiga-tiga varian ini cukup mencipta ‘cinta pada pandangan pertama’. Mahu diulas apa lagi tentangnya? Harganya, prestasinya dan imejnya seiring sejalan. Kalau ada duit selambak bukit (atau gunung?), mahu saja ia menjadi antara pengisi ruang laman di rumah.

    2. Perodua Myvi 2018

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Boleh dikatakan Perodua Myvi 2018 wajar diangkat sebagai model kereta terhangat di Malaysia pada tahun ini. Tepatlah data yang dikeluarkan oleh Google baru-baru ini yang mengesahkan Myvi menjadi model kereta yang paling dicari di Internet.

    Malah tak sampai sebulan ia dilancarkan, tempahannya telah mencecah lebih 20,000 unit. Itulah kelebihan yang ada pada Myvi ini, ia masih kekal relevan walau pun sudah lebih sedekad diperkenalkan di negara ini. Kenapa saya agak teruja dengan kehadiran Myvi 2018? Pastinya kerana olahan gaya dan peningkatan bahagian mekanikalnya yang lebih mantap. Malah varian 1.3L telah diberikan enjin 1NR-VE berkuasa 94 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm.

    Manakala untuk versi 1.5L pula, enjin 3SZ-VE pada model sebelum ini telah digantikan dengan enjin 2NR-VE (102 hp/136 Nm). Sekaligus membuatkan prestasi kedua-dua varian ini pasti lebih best berbanding model terdahulu.

    Malah Myvi 2018 ini kelihatan mampu menyaingi model-model hatchback dari negara luar keranan banyak elemen yang nampak premium ditampilkan. Selain itu, saya percaya harga yang ditawarkan untuk semua varian Myvi ini juga mampu menjadi penarik iaitu sekitar RM44,300 hingga RM55,300. Sudah pasti ia menjadi pilihan bagi golongan yang berpendapatan sederhana mahu pun rendah, juga termasuk bagi mereka yang mahu menjadikannya sebagai kenderaan kedua. Memang berbaloi Myvi 2018 ini.

    1. Honda Civic Type-R 2017

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Bagi car enthusiast, mungkin ramai di antara anda yang meletakkan Honda Civic Type R ini sebagai salah satu jentera idaman. Ya, begitu juga dengan saya. Tengoknya menerusi foto saja sudah membuatkan hati tertawan. Bila melihatnya di hadapan mata, cinta makin membuak-buak, namun sayangnya, perasaan indah itu tidak kesampaian (maka, nyanyilah lagu ‘Kalau Aku Kaya’ untuk menyedapkan hati sendiri).

    Untuk pasaran Malaysia, Civic Type R generasi baharu ini dijana enjin 2.0 liter VTEC Turbo K20C1, dipadankan dengan hanya kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat bersama short shifter dan LSD helical. Ia mampu memuntahkan kuasa sehingga 310 PS dan 400 Nm, dan membolehkan jentera dipacu dengan pecutan maksimum sehingga 272 km/j.

    Imejnya? Mungkin ada yang beranggapan, imej yang ditonjolkan oleh Civic Type R baharu ini agak keterlaluan, lebih sesuai untuk jentera di litar perlumbaan, bukannya digunakan untuk jalan raya biasa. Biasalah, masing-masing ada hak untuk mengemukakan pendapat sendiri.

    Namun bagi saya, imej luaran dan dalaman yang ditonjolkan cukup rencah dengan prestasi kuasa yang dipertaruhkan. Kalau terlalu ringkas, ada pulak yang cakap “Honda dah kering idea ke?”, tapi bila dah merealitikan sebegini, pun ada yang mengata ‘imejnya keterlaluan’. Apa sajalah pendapat anda, pastinya barisan jurutera dan pereka Civic Type R ada alasan mereka yang tersendiri mengapa ia dijelmakan sedemikian rupa.

    Harga atas jalan dah dimaklumkan iaitu bermula RM320k seunit, dan ia hanya ditawarkan dengan unit yang terhad. Namun sehingga kini, ia sudah menerima lebih daripada 60 unit tempahan. Walau pun dalam cerita-kedai-kopi-hipster hingga ke Dewan Parlimen, ada yang berdebat soal belanjawan rakyat, memang masih ramai lagi yang mampu untuk memiliki kereta sehebat ini. Dan penulis berharap, kita pun ada rezeki sebegitu. Jom aminkan ramai-ramai!

    FARID AWALUDIN

    2017 merupakan tahun kedua saya bersama team Paultan.org, dan seperti juga tahun lalu, saya menikmati sepenuhnya keterujaan bertugas sebagai penulis dalam dunia automotif. Cuma tahun ini sibuknya agak kurang sedikit berbanding awal 2016, kerana bermula dari awal tahun ini team Bahasa Melayu telahpun bergerak penuh dengan empat orang ahli. Jadi, dipendekkan cerita, apa kereta yang saya rasakan paling menarik pernah saya uji untuk 2017?

    5. Proton Iriz Refinement 2017

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Apa kelebihan utama Proton Iriz ketika mula diperkenalkan pada tahun 2014? Tentunya pengendaliannya yang membuatkan ia sebagai salah sebuah hatchback segmen-B yang seronok dipandu dalam pasaran. Namun Iriz juga mempunyai kelemahannya yang benar-benar ketara iaitu talaan kotak gear CVT yang ‘entah apa-apa’.

    Menerusi model 2017 yang diberi perincian semula ini, transmisi berkenaan telah ditala semula oleh Proton menjadikanya lebih responsif dan enjin tidak lagi meraung tidak tentu hala. Bukan itu sahaja, aspek NVH juga telah diperbaiki menjadikan ia lebih senyap ketika dipandu.

    Jadi dengan pakej baharu yang diberikan Proton ini, tiada apa lagi yang boleh dirungutkan berdasarkan harga yang ditawarkan oleh Proton.

    4. Honda Civic Type R

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Sejujurnya, saya hanya berpeluang memandu hot-hatch ni pada satu litar kecil ala-gymkhana di MAEPS Serdang sehari sebelum pelancarannya di Malaysia. Walaupun tidak dapat menguji sepenuhnya, dapat jugalah merasa pecutan dari enjin K20C 2.0 liter VTEC Turbo pada FK8 ini.

    Model asas Civic FC merupakan antara sedan segmen-C kegemaran saya jika menyebut berkenaan pengendalian – anda dapat rasakan cengkaman yang baik pada bahagian hadapan sambil bahagian belakang diberikan sedikit oversteer semulajadi sebelum ia dihentikan oleh VSA. Semasa menguji sedan tersebut tahun lalu, terdetik dihati saya “bagusnya kalau Honda buat Type R pakai platform ni”. Tak lama kemudian, muncul gambar prototaip FK8 Type R sedang diuji – hati saya meronta-meronta selepas itu.

    Kenapa anda perlu membeli hatchback berharga RM320k ini berbanding Nissan GT-R R35 terpakai atau Mercedes-AMG A45? Sebab utama adalah kerana Civic Type R FK8 merupakan kereta sport ‘paling mekanikal’ dalam pasaran buat masa sekarang – ini sesuatu yang tidak dapat dinilai dengan wang sekiranya anda benar-benar suka memandu.

    Cengkaman dan dinamik pengendalian yang diberikan bukan dari sistem kestabilan elektronik mahupun sistem pacuan pintar yang memberikan tork pada setiap roda dengan kiraan komputer, sebaliknya dengan cara old-school menerusi kiraan geometri suspensi dan juga pacuan hadapan konvensional dan dibantu unit LSD mekanikal.

    Bukan sahaja dinamik, malah masalah ‘torque steer‘ yang melanda kebanyakkan kereta pacuan hadapan berkuasa tinggi dapat diselesaikan Honda dengan kiraan geometri serta rekaan suspensi dua paksi pada bahagian hadapan. Ciri-ciri sebegini bukan dinilai dari angka catatan masa terpantas, tetapi nikmat ‘rasa’ yang diberikan sukar diungkap dengan kata-kata.

    Ditambah pula ditawarkan dengan hanya kotak gear enam-kelajuan manual bersama short-shifter, Honda Civic Type R lengkap sebagai sebuah kereta yang benar-benar ‘jantan’.

    3. Honda City Sport Hybrid i-DCD

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Tahukah anda menerusi Dasar Automotif Negara (NAP), kerajaan ada memberikan potongan cukai yang agak tinggi untuk kereta hibrid yang dipasang di Malaysia? Ini secara tidak langsung memberikan potongan harga yang cukup tinggi untuk kereta-kereta hibrid mewah, contohnya Volvo XC90 T8 Twin Engine dalam bentuk CBU dijual pada harga RM454k, setelah ia dihasilkan secara CKD di Shah Alam, harganya kini RM404k.

    Jadi untuk pasaran yang lebih rendah, apa pilihan yang kita ada untuk mengambil kesempatan ini? Tentunya hanya tiga iaitu Hyundai Ioniq, dan juga pilihan lebih mampu milik pasangan Honda dengan sistem janakuasa Sports Hybrid i-DCD Jazz dan City. Honda City Sport Hybrid i-DCD ini dijual dengan harga sedikit mahal dari City petrol gred E, tetapi sedikit lebih murah berbanding gred V.

    Ia semestinya pilihan berbaloi kerana teknologi yang ditawarkan pada sistem Sport Hybrid i-DCD berkenaan adalah teknologi yang sangat terkini serta sofistikated. Malaysia juga menjadi negara pertama di luar Jepun yang menerima unit janakuasa ini. Selain dari memberikan penjimatan bahan api (ia boleh beroperasi dengan bateri sepenuhnya tanpa enjin petrol dihidupkan, mengikut situasi), kuasa yang dibekalkan juga lebih tinggi dari versi petrol biasa.

    Saya juga menggemari respon penghantaran kuasa ke roda kerana kereta ini menggunakan kotak gear klac berkembar (walaupun ia tidak agresif seperti kotak gear DSG Volkswagen), berbanding kotak gear CVT yang ditawarkan pada model petrol konvensional.

    Selain dari mengolah semula tetapan spring dan penyerap hentak, Honda juga memberikan talaan sport yang mustahil kita boleh buat di bengkel luar – kerangka bahagian belakang badan kereta ini diperkuatkan lagi bagi mengurangkan flex badan ketika meredah selekoh, manakala nisbah stereng juga ditala semula bersama tiang-A yang juga diperkukuh bagi memberikan respon stereng yang lebih baik.

    Mengapa saya memilih City dan tidak Jazz? Pertama sebab City sedan yang lebih praktikal, dan kedua City Hybrid dilengkapi dengan pedal penukar gear pada stereng.

    2. Hyundai Elantra Sport 1.6 Turbo T-GDI

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Ini merupakan produk yang tidak disangka dihasilkan oleh Hyundai. Dengan enjin 1.6 liter turbo T-GDI, kereta ini dibekalkan dengan 204 PS/265 Nm – paling berkuasa dalam pasaran sedan keluarga segmen-C tempatan. Bukan itu sahaja, kuasa dari enjin disampaikan ke roda hadapan dengan menggunakan kotak gear klac-berkembar tujuh kelajuan yang begitu responsif.

    Anda pasti menyengih setiap kali menekan pedal pendikit kereta ini. Kuasa yang diberikan hampir sama dengan sebahagian hot-hatch sebenar, walhal ia hanya sebuah sedan keluarga dan ia sebuah Hyundai!

    Bukan sahaja kuasa, malah pengendalian kereta ini juga agak mantap. Tidak seperti model NA 2.0 liter yang diberikan suspensi ringkas torsion beam pada bahagian belakang, model 1.6 turbo ini diberikan suspensi jenis multilink. Talaan yang diberikan juga cukup baik, agak seimbang dari segi prestasi dan keselesaan, memberikan ia ‘perisa’ mirip kepada kereta Eropah.

    1. Perodua Myvi 2018

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Kenapa Myvi nombor satu, Type R FK8 nombor empat? Adakah kerana Myvi bagi hi-beam di belakang Type R ketika di lebuhraya? Tidak, saya letak Myvi pada kedudukan pertama adalah kerana tahap ‘wow’ yang diberikan – kita tahu Type R memang laju, tetapi apa yang diberikan oleh Perodua terhadap Myvi adalah sesuatu yang tidak dijangka.

    Ketika mula duduk tempat duduk pemandu Myvi 2018, saya rasa seolah-olah apa yang saya rungutkan selalu ketika memandu Myvi Lagi Best milik adik saya sendiri didengari para jurutera Perodua. Tempat duduk tidak lagi ‘jinjang’ seperti duduk di kerusi meja makan, tombol gear tidak lagi terasa seperti terletak di atas meja, dan bahu tidak lagi perlu ikut turun sekali ketika menurunkan brek tangan – Myvi kini sebuah hatchback yang normal!

    Secara peribadi, memandu Proton Iriz adalah lebih seronok berbanding Myvi 2018. Namun, karekter Myvi baharu ini benar-benar berubah – suspensi lebih tegar berbanding sebelum ini dan perasaan seperti ‘nak terbalik’ ketika meredah selekoh dengan laju kurang dengan amat drastik. Stereng Myvi 2018 ini secara jelas jauh lebih solid dari model terdahulu.

    Walaupun sistem ASA pada Myvi 1.5 Advance hanyalah sistem autonomous yang hanya berfungsi pada kelajuan rendah, ciri yang dibekalkan pada kereta ini sebenarnya secara tidak langsung akan menekan bukan sahaja pencabarnya dari segmen-B, malah model-model dari segmen-C berkemungkinan akan ‘dipaksa’ oleh konsumer untuk menawarkan sistem seumpamanya.

    Satu lagi sebab mengapa Myvi paling meninggalkan kesan kepada saya tahun ini adalah kerana kereta ini membuktikan apa yang jurutera Jepun buat, bukanlah sentiasa betul dan sempurna untuk kita gunakan di Malaysia. Jurutera di Perodua telah menghasilkan sesuatu yang lebih baik dari terus me’rebadge‘ kereta-kereta dari Daihatsu.

    Bayangkan jika Perodua masih lagi menggunakan Daihatsu Boon atau Toyota Passo untuk Myvi generasi ketiga ini, pastinya saya masih merungut dengan rupa seperti kuih cekodok dan juga duduk ‘tertenggek’ di kerusi pemandu.

    DURRANI SHAROM

    Sepanjang tahun 2017 ini di paultan.org/bm, saya diberi peluang menguji pelbagai jenis kenderaan, tetapi yang lebih memberi impak adalah jentera dua roda. Sebab itulah dalam senarai saya, anda boleh melihat semuanya adalah motosikal.

    Agak banyak juga model baru yang diperkenalkan tahun ini, dengan pengeluar masing-masing ada senjata sendiri untuk menarik perhatian pengguna. Tetapi bagi saya, lima model ini ada sebab tersendiri dijadikan pilihan, dan mungkin juga boleh dijadikan panduan untuk anda.

    5. Ducati Scrambler Desert Sled

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Semasa pertama kali melihat Ducati Srambler Desert Sled, saya tidak nafikan ada wujud sangkaan bahawa ini hanyalah satu lagi motosikal hipster yang sekadar diberikan perubahan pada penampilannya. Apatah lagi, dalam barisan model Ducati Scrambler sudah ada tujuh variasi termasuk Desert Sled ini.

    Namun padangan ini berubah apabila saya berpeluang menyertai sesi tunggang uji Desert Sled di Almeria, Sepanyol. Seperti biasa dalam sesi tunggang uji pengenalan sedunia ini, setiap bahagian motosikal diterangkan secara terperinci dan barulah mata saya terbuka.

    Begitu banyak bahagian yang diubah oleh jurutera Ducati untuk menjadikan Desert Sled ini sebuah model Scrambler yang boleh dibawa ke jalan offroad. Ini bermula dengan penukaran barang seperti fork hadapan USD Kayaba 200 mm, penyerap hentak belakang Kayaba dengan katrij gas berasingan dan pelarasan pra beban serta lantunan, rim aluminium 19 inci jenis lidi (spoked) di hadapan, 17 inci di belakang dan tayar Pirelli Scorpion Rally STR.

    Selain penukaran komponen ini, Ducati juga mengubah bahagian utama motosikal itu sendiri termasuk kerangka Trellis yang diperkuat, tapak enjin dan tapak lengan ayun diubah, jarak roda lebih panjang dan ergonomik yang berbeza. Semua ini bagi menjadikannya boleh bertahan dengan tunggangan offroad dan memberikan keselesaan kepada pengguna.

    4. Kawasaki Z900

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Waktu baru dilancarkan di Malaysia, Kawasaki Z800 sememangnya mudah menarik perhatian. Mungkin sebab ia tidak terlalu mahal, berkapasiti tinggi, menggunakan enjin empat silinder sebaris dan mempunyai penampilan yang garang. Walaubagaimanapun, saya tidak dapat nafikan, apabila ada yang meminta pendapat, agak sukar untuk saya mencadangkan mereka supaya membeli motosikal ini. Sebabnya, ia berat dan memerlukan kemahiran menunggang yang lebih.

    Rupanya, Kawasaki juga perasan akan perkara ini, dan setelah beberapa tahun proses pembangunan, akhirnya pengganti Z800, iaitu Z900 masuk dalam pasaran. Kini dengan senang hati, jika ada yang mahu memilikinya, saya boleh memberikan tanda setuju. Perbezaannya sangat jelas.

    Walaupun menggunakan enjin berkapasiti lebih tinggi berbanding Z800, iaitu empat silinder sebaris 948 cc yang berkuasa 124 hp dan 98.6 Nm tork, Z900 mempunyai kelebihan lain yang menjadi perhatian – ia lebih mudah dikendali dan rasa lebih neutral berbanding Z800. Berat keseluruhan Z900 adalah 210 kg, iaitu 21 kg lebih ringan berbanding Z800, dan ia dilengkapi dengan pelbagai barangan lain seperti klac slipper, panel instrumen LCD dan tiga mod tunggangan.

    3. Yamaha NVX155

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Skuter Yamaha NVX155 ini sememangnya ditunggu ramai di Malaysia, dan kita hanya menerimanya tahun ini, agak lambat berbanding negara jiran lain seperti Indonesia dan Thailand. Walaupun masih menggunakan asas sama seperti NMax, sambutan kepada NVX lebih hangat mungkin kerana penampilannya yang cukup sporty dan agresif.

    Tapi apa yang lebih menarik perhatian saya adalah kualiti tunggangan motosikal ini sepadan dengan rupanya. Kuasa yang dihasilkan enjin suntikan bahan api berkapasiti 155 cc padanya memberikan tindak balas kuasa yang cukup responsif, dan bukan itu sahaja, ia turut memberikan keyakinan kepada penunggang untuk berhadapan dengan selekoh.

    Daripada aspek teknologi pula, NVX turut didatangkan dengan sistem tanpa kunci, dan panel instrumen digital sepenuhnya yang cukup menarik. Walaupun begitu, satu perkara yang sering mengganggu dengan motosikal yang menarik di Malaysia adalah harganya.

    Walaupun asalnya, Hong Leong Yamaha mengeluarkan harga cadangan bagi NVX adalah RM10,500 termasuk GST, kami dengar di pasaran sekarang, harganya sudah mencecah sehingga RM14,800 jika dibeli secara tunai, tetapi tidak termasuk insurans. Ternyata, ada pihak yang mengambil kesempatan di sini.

    2. KTM Super Adventure 1290 R

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Saya adalah seorang yang percaya, anda tidak memerlukan sebuah motosikal dengan enjin berkapasiti begitu tinggi untuk merasakan kepuasan menunggang. Walaubagaimanapun, saya tidak boleh mengelak untuk memilih KTM Super Adventure 1290 R ini, kerana ia cukup ganas tetapi dalam masa sama mudah dikawal.

    Enjinnya sahaja sudah sama dengan Super Duke R, yang digelar sebagai ‘The Beast’, tetapi badannya lebih tinggi dan dihasilkan untuk tujuan kembara. Jadi pastinya, kedudukan sewaktu menunggang motosikal ini lebih selesa, dan anda boleh bertahan dengan jarak yang lebih jauh.

    Saya berpeluang menguji motosikal ini di Australia, dan bukan setakat di atas jalan biasa, malah juga jalan offroad. Dengan tetapan suspensi yang baik, serta ergonomik yang padan, saya dapat berseronok bermain dengan kuasanya dan menggelungsur atas jalan tanah merah. Apabila difikirkan kembali, ia sebenarnya mempunyai enjin 1,290 cc, tetapi pengendaliannya cukup mudah seperti motosikal yang lebih kecil dan ringan.

    1. Triumph Street Triple 765 RS

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Mungkin ada yang mengatakan pilihan ini adalah cliché, tetapi hanya mereka yang pernah mencuba sendiri Triumph Street Triple 765 RS ini sahaja yang tahu kenapa ia sering disebut-sebut. Anda tidak perlu membawa laju pun, apabila bertukar daripada motosikal lain, kepada 765 RS ini, anda akan dapat merasakan perbezaannya.

    Model pengganti kepada Street Triple 675 ini dijadikan lebih baik, bermula dengan enjin yang bakal digunakan oleh semua jentera Moto2 pada tahun 2019, iaitu unit tiga silinder berkapasiti 765 cc, dengan kuasa 120.7 hp dan 77 Nm tork.

    Motosikal ini adalah contoh terbaik yang menunjukkan anda tidak perlu enjin berkapasiti besar untuk menikmati kepuasan menunggang. Sebaliknya, kuasa yang mencukupi, bersama tetapan casis yang baik, menjadikan semua kuasa yang ada boleh dimanfaatkan sepenuhnya. Malah, jangan terperanjat jika di dalam litar, ia boleh mengatasi motosikal sports yang lebih berkuasa.

    Ditambah pula bagi model RS ini, kelengkapan yang diberi semuanya menjurus ke arah prestasi. Pada harga RM66,900, ia datang dengan barangan setaraf dengan motosikal harga ratusan ribu seperti brek Brembo Monobloc M50, tuil brek Brembo MCS, monoshock Ohlins boleh laras sepenuhnya di belakang, quickshifter, fork Showa boleh laras sepenuhnya di hadapan, lima mod tunggangan dan panel instrumen digital penuh berwarna.

    HAZRIL HAFIZ

    Seperkara yang sangat menarik berlaku sepanjang tahun 2017, kenderaan dengan pakej keselamatan yang maju kini lebih banyak ditawarkan di dalam pasaran. Ia satu perkembangan yang sangat baik, kerana sedikit-sebanyak dapat menyumbang kepada jalan raya dan paling penting, memupuk sikap pemanduan yang lebih bertanggungjawab dalam kalangan kita.

    Selebihnya, 2017 tidak sunyi dari pengenalan model-model yang tak kalah menarik, baik bagi jenama pengeluar kenderaan luar negara atau pengeluar tempatan kita sendiri. Berikut model-model yang saya fikir adil untuk disenaraikan di sini, di atas sebab-sebab yang tersendiri bagi setiap satunya.

    5. Vespa GTS Super 300

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Model ini memang belum lagi dilancarkan di Malaysia, tetapi saya sempat untuk menunggang ujinya di litar ujian kilang Piaggio di Hanoi, Vietnam, tempat model ini dipasang untuk jualan bagi pasaran rantau Asean, termasuk pasaran tempatan kita.

    Walaupun skuter bukanlah pilihan paling popular dalam kalangan pengguna motosikal di sini, ia tetap menawarkan keselesaan dan tunggangan yang sangat menyenangkan, terutama untuk kegunaan urusan harian. Dan, ketika mencuba skuter 278.3 cc dari Vespa ini, pilihan enjin dengan kapasiti yang lebih besar untuk skuter mampu memberikan tunggangan yang cukup menyeronokkan dan selamat.

    Selamat kerana ia membekalkan kuasa yang lebih daripada mencukupi untuk penunggang bergerak selari dengan kelajuan kenderaan lain di jalan raya tanpa terlalu mendesak skuter berkenaan. Dan, disebabkan ia pemasangan Vietnam (sebelum ini CBU dari Itali dengan harga sampai RM36k), harganya juga sepatutnya akan menjadi lebih rendah. Kalau anda belum pernah membaca tentang model ini, ikuti laporan tunggang uji dan video ringkas tentangnya yang pernah kami sediakan.

    4. Volvo S90/V90

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Bukan sebuah model yang datang dengan tanda harga yang mampu milik, Volvo S90/V90 bagaimanapun kami rasakan menjadi penawaran yang paling bergaya pernah tiba di Malaysia sepanjang tahun 2017. Apa lagi kalau mengambil kira versi T6 R-Design yang sempat dibawa untuk pandu uji.

    Kerana ia model dari Volvo, maka teknologi keselamatan yang melengkapinya sangatlah mengkagumkan; tetapi hal ini memang dijangkakan dari pengeluar berkenaan. Sisi paling menonjol model yang dimaksudkan ini sebenarnya terletak pada penampilan reka bentuk yang canggih dan berada jauh ke hadapan berbanding model-model pesaing.

    Ini contoh estetika rekaan kenderaan yang berjaya mengimbangkan sisi sporty dan praktikaliti dengan penuh bergaya. Dan, perkara yang turut meletakkannya jauh dihadapan ialah kata kunci ini; “perincian”. Sukar untuk dijelaskan – atau mungkin anda boleh mendapat idea dengan merujuk kepada galeri gambar yang kami sediakan – untuk melihat ketelitian estetik yang ada padanya kerana bagi saya, Volvo S90/V90 ini berusaha keras untuk mengunjurkan sempadan perincian rekaan yang ada padanya.

    3. Toyota C-HR

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Ini satu lagi model yang belum lagi dilancarkan di Malaysia, tetapi telah menarik banyak perhatian terhadapnya. Saya sendiri pada awalnya sedikit ragu-ragu untuk memasukkannya di dalam senarai ini. Tetapi, bila melihat kembali penawaran bagi segmen berkenaan, yang ketika ini tentunya dipelopori oleh Honda H-RV dan disertai oleh Mazda CX-3, saya tertarik untuk melihat apa yang model ini mampu lakukan sebaik ia dilancarkan nanti.

    Ketika mendekati model ini dan melihat di depan mata sendiri sewaktu ia dipamerkan kepada umum sebelum ini, Toyota C-HR nampak membawa penampilan yang jauh berbeza – ia lebih sporty, tajam dan berani (lihat juga beberapa versi modifikasi yang telah dilakukan terhadapnya oleh syarikat luar sebelum ini).

    Cuma, adakah masa dan dan tanda harga akan menyebelahinya untuk memberi saingan padu terhadap H-RV? Itu kena tunggu dan lihat tahun depan. Tambahan pula, Honda H-RV dijangka akan diperkenalkan dalam versi facelift tak lama lagi. Makin seronoklah untuk melihat strategi kedua-dua jenama Jepun itu untuk menguasai sebuah segmen yang boleh dikira masih “muda” ini.

    2. Honda CR-V 2017

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    Untuk dua kedudukan teratas dalam senarai ini, saya mengalih pula cara pandang terhadap sesebuah kenderaan dengan mengambil kira aspek-aspek yang lebih nyata. Maksudnya, dalam konteks penggunaan seharian, apa yang boleh ditawarkan oleh sesebuah kenderaan itu. Adakah ia banyak memudahkan pengguna? Atau sisi praktikalnya adakah berada pada tahap yang diharapkan dan mampu memberi kesan kepada kelompok pengguna kebanyakan?

    Disebabkan itu, saya secara peribadi memilih Honda CR-V 2017 untuk kedudukan kedua ini. Walaupun tak ditawarkan dalam versi tujuh-tempat duduk seperti dipasaran luar, SUV ini mampu menampung dan memuaskan penggunaan yang pelbagai. Ruang tak jadi masalah. Keselesaan sudah tentu pada tahap yang baik dan prestasi juga – sepanjang yang sempat saya cuba sendiri – tidaklah mengecewakan.

    Tambahan pula, ada dua perkara yang sangat menarik ditawarkan sebagai pilihan kepada pelanggan yang mungkin berminat dengan model ini. Satu, pilihan enjin 1.5L turbo yang cekap dan menjimatkan. Kedua, ia juga dilengkapi dengan sistem keselamatan Honda Sensing – merupakan model Honda yang pertama ada ciri ini di Malaysia – yang sangat berguna kepada pemandu/penumpang, walaupun tanpa mereka sedari.

    1. Perodua Myvi 2018

    Lima model terbaik 2017 – editorial paultan.org/bm senaraikan kenderaan pilihan peribadi setiap seorang

    “Juara” dalam senarai saya tahun ini tentulah tidak lain dan tidak bukan, Perodua Myvi 2018. Rileks, sebelum ada yang mencemuh, biar saya jelaskan mengapa saya memilih model ini untuk menempati kedudukan pertama.

    Memang banyak kenderaan yang lebih cantik atau maju dalam pasaran, tetapi semua kenderaan-kenderaan itu mungkin saja tidak memberikan kesan yang sama seperti Myvi. Maksud saya, inilah sebuah kereta di mana kebanyakan daripada kita berani “bermimpi” untuk memilikinya, dan di dalam dunia nyata pula mampu untuk berbuat demikian. Ini bukan sebuah kereta yang kita impikan tetapi hanya berakhir sebagai poster dinding atau wallpaper pada laptop sahaja.

    Sebab itulah saya merasakan – sama ada suka atau tidak – kredit wajar diberikan kepada Perodua Muvi 2018 ini. Sekali lagi ia menolak banyak sempadan kebiasaan; ini rekaan tempatan, menawarkan penjimatan yang sukar ditandingi, meyakinkan untuk dipandu (saya selalu ragu-ragu dengan pengendalian pada Myvi yang sebelum ini) dan paling penting, sekali lagi saya tekankan, pakej keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) yang kini telah membolehkan kereta dalam julat harga seperti itu juga boleh menikmati ciri berkenaan. Semoga kita semua boleh menjadi pengguna jalan raya yang lebih baik dan bertanggungjawab selepas ini.

     
     
  • Paten Zotye T800 terdedah; ciplak Range Rover Sport

    Setelah ‘terseksa’ dengan kes rekaan Range Rover Evoque yang diciplak terus pada rekaan Land Wind X7, nampaknya sekali lagi Jaguar Land Rover (JLR) bakal sakit kepala dengan karenah pengeluar dari China. Ini kerana imej paten SUV baharu keluaran Zotye Auto yang digelar T800 yang terdedah mengesahkan ia direka seakan Range Rover Sport.

    Imej paten T800 ini didedahkan oleh CarNewsChina, menampilkan sebuah SUV baharu yang kelihatan saling tak tumpah dengan Range Rover Sport. Antara elemen rekaan yang dilihat diambil terus termasuk garis karekter yang menyerlah bermula dari lampu hadapan, melalui kesemua pintu dan berakhir pada lampu belakang.

    Liang aliran udara pada bonet juga berada di posisi sama seperti Range Rover Sport, serta direka dengan rupa yang seiras. Walau bagaimanapun, Zotye tetap membuat sedikit perubahan bagi membezakan produk ‘copy ori‘ dengan produk original. Tetapi jika anda lihatnya sepintas lalu, pasti sukar untuk membezakan antara kedua-duanya.

    Menurut sumber ini lagi, T800 akan diberikan rekaan dalaman yang agak berbeza dari Range Rover Sport. Ia juga dijangka akan dijana enjin 2.0 liter turbo berkuasa 200 hp, dan juga pilihan janakuasa hibrid dengan enjin 2.0 liter berkuasa 250 hp.

    Sebelum ini ketua rekaan Land Rover Gerry McGovern pernah dilaporkan berkata bahawa mereka gusar untuk mendedahkan apa-apa model konsep setelah berhadapan dengan kes Land Wind X7 dan menjadi sebab mengapa Range Rover Velar terus muncul dalam versi produksi tanpa apa-apa prebiu model konsep terlebih dahulu. Nah, tak lama selepas itu, betul-betul terjadi satu lagi kes cetak rompak dari China membabitkan JLR.

    GALERI: Range Rover Sport sebenar

     
     
  • Suzuki Alto Works RS/R – definisi JDM sebenar

    Suzuki Alto Works RS/R – definisi JDM sebenar

    Apabila berbicara berkenaan K-Car, kita di Malaysia sinonim dengan Daihatsu Mira. Ini kerana Mira merupakan satu-satunya K-Car asli dari Jepun yang diimport sendiri oleh Daihatsu ke Malaysia dalam jumlah yang sangat sedikit untuk melihat reaksi pasaran di sini, kemudian ia dipasang secara tempatan oleh Perodua dengan nama Kancil, dan ia menjadi fenomena selepas itu.

    K-Car merupakan segmen yang menjadi pasaran dianggap penting oleh pengeluar automotif di Jepun. Tetapan yang disyaratkan oleh kerajaan negara matahari terbit tersebut bukan sahaja membolehkan mereka menghasilkan kereta yang murah, malah diberikan kadar cukai istimewa seterusnya menyebabkan kereta-kereta ini menjadi pilihan kebanyakkan rakyat negara berkenaan.

    Oleh itu jika anda ke Jepun, K-Car bukan sekadar Daihatsu, malah ia turut dihasilkan oleh pengeluar-pengeluar utama lain seperti Mitsubishi, Nissan, Subaru, Mazda, Honda dan sebagainya. Dengan saiz yang kecil serta saingan yang sangat sengit, pelbagai K-Car dihasilkan dalam bentuk unik dan sangat comel.

    Model yang anda lihat kali ini adalah salah satu K-Car unik dari Jepun, yang dibina oleh pesaing utama Daihatsu iaitu Suzuki. Kereta milik saudara Mohd Khairul ini adalah dari model Alto generasi ketiga, dari versi Works RS/R. Untuk Alto, model yang diberi lencana ‘Works’ adalah versi berprestasi tinggi dijana enjin 657cc dengan bantuan pengecas turbo.

    Manakala RS/R pula menandakan ia adalah model pacuan semua roda (model pacuan hadapan dikenali sebagai RS/X, di mana Khairul turut mempunyai model tersebut dalam koleksinya). Untuk Alto Works berwarna merah yang sedang anda tatap ini, ia diberikan kotak gear lima-kelajuan manual.

    Saya agak terkejut ketika Khairul mengatakan bahawa Alto miliknya ini merupakan model keluaran 1989. Ini kerana pada era yang sama di negara kita, kebanyakkan kereta di Malaysia masih lagi menggunakan sistem karburator, manakala kereta-kereta mewah di bilik pameran masih lagi ada yang menggunakan sistem suntikan bahan api mekanikal.

    Suzuki Alto Works RS/R – definisi JDM sebenar

    Sebaliknya, enjin yang begitu kecil pada Alto ini sudahpun diberikan sistem suntikan bahan api elektronik sepenuhnya. Tidak cukup dengan itu, kepala enjin ini juga turut dilengkapi dengan dua batang aci sesondol (DOHC), yang mana Daihatsu Mira hanya dilengkapi teknologi sedemikian menerusi model L500 yang diperkenalkan pada tahun 1994.

    Kesemua sistem berkenaan membolehkan enjin tiga-silinder turbo ini menjana 64 PS pada takat 7,500 rpm dan juga tork maksima 77 Nm pada takat 4,000 rpm. Dipercayai, hanya dua buah Alto Works generasi ketiga ini mendarat di bumi Malaysia (Suzuki sememangnya tidak pernah mengimport kereta ini ke luar Jepun – ini merupakan contoh apa maksud JDM sebenar), dan kedua-duanya adalah milik Khairul.

    Oleh itu, tiada sebarang ubahsuai dilakukan terhadap kereta ini. Adakah Khairul tidak berminat dengan Alto yang lebih laju? Tidak, kerana dia sendiri berlumba secara sah di litar Sepang, manakala Alto berkenaan dibiarkan tanpa ubahsuai kerana mahu ia kekal sebagai collector item yang sangat berharga.

    Begitu juga pada bahagian luaran serta dalaman kereta ini, kesemua komponen yang direka di luar norma kereta produksi standard yang terlekat padanya adalah peralatan stok asli dari kilang Suzuki. Jika dizamannya model-model K-Car sudah mula direka dengan lampu hadapan petak (termasuk versi standard Alto), versi Works masih kekal dengan lampu bulat bersama kemasan penutup lampu sisi pada kedua-dua fender hadapan – membuatkannya sangat unik.

    Bampar hadapan juga agak tersendiri bersama gril utama yang hanya diberikan liang pada bahagian kiri. Manakala skup udara pada bonet enjin memberikan amaran bahawa terdapat unit intercooler untuk sistem turbo di sebaliknya.

    Agak normal sekiranya sesebuah hatchback tiga-pintu hadir dengan cermin belakang yang boleh dianjakkan sedikit bagi membolehkan udara masuk kedalam seperti pada Toyota Starlet KP61 yang kami tampilkan sebelum ini. Namun apa yang tidak normal adalah pada rekaan cermin berkenaan – ia lekuk di bahagian atas bagi menutup sebahagian kecil panel sambungan bumbung, dan ini antara salah satu lagi ciri unik ditampilkan Alto.

    Seperti yang saya katakan tadi, kesemua komponen pada kereta ini adalah spesifikasi asli. Ini termasuk air press bersaiz besar pada kedua-dua belah pintu hadapan serta plat Works yang turut dinukil dengan ‘ayat-ayat cinta’ yang terletak di sebelah ruang roda belakang.

    Beralih kebelakang, Kei-Car ini masih lagi diberikan lampu normal menegak ‘single-piece‘ pada setiap sudut, manakala pada pintu tailgate pula diberikan dua buah spoiler – satu pada bahagian atas, dan satu lagi spoiler dua tingkat terletak di bahagian tengah. Suzuki Alto Works dipadankan dengan rim aloi sport standard dengan rekaan yang agak menarik bersaiz 13-inci, serta dibalut dengan tayar bersaiz 165/60R13.

    Masuk ke kabin, Alto ini juga masih dibiarkan dalam keadaan hampir standard. Dapat dilihat, hanya berberapa peralatan aftermarket diberikan pada kereta ini antaranya roda stereng, tombol gear, pelapik pedal serta sebuah tolok boost turbo dari Auto Meter.

    Suzuki Alto Works RS/R – definisi JDM sebenar

    Bahagian dalaman kereta ini masih lagi kelihatan normal sama seperti kebanyakkan model K-Car lain. Tetapi, saya agak tertarik dengan rekaan tempat duduk hadapan kereta ini yang diberikan sokongan badan tambahan antara bucket sisi dan perehat kepala, di mana ia turut boleh dibuka/pasang dengan mudah menggunakan sepasang klip putar.

    Saya pasti, penggemar-penggemar K-Car sedang menahan air liur ketika melihat gambar-gambar Suzuki Alto Works milik Khairul ini. Berminat untuk mendapatkan K-Car rare terus dari Jepun? Anda mungkin boleh berborak dahulu dengan Khairul menerusi laman facebook rasmi Go Daddy Motorsport.

    Kami sedang mencari lebih lagi kereta-kereta custom dan ubahsuai untuk dipaparkan di sini. Jika anda mempunyai kereta menarik untuk ditampilkan, jangan segan silu untuk emailkan butiran lanjut kepada [email protected]. Kami akan menghubungi anda semula selepas itu

     
     
  • Suzuki akan bawa 12 kereta ke Tokyo Auto Salon 2018

    Suzuki akan bawa 12 kereta ke Tokyo Auto Salon 2018

    Pameran Tokyo Auto Salon 2018 akan berlangsung pada 12 Januari 2018, dan dengan hanya tinggal kurang dua minggu, gambar kereta yang akan dibawa oleh pengeluar Jepun ke sana sudah mula tersebar. Empat model yang kami tampilkan ini adalah daripada Suzuki.

    Diubah suai secara sporty untuk kegunaan atas jalan biasa adalah Swift Sport, yang dicat dengan warna kelabu satin serta kemasan hitam dan merah. Jelas boleh dilihat kereta ini lebih rendah, dan menggunakan rim baru berkemungkinan saiz 17 inci. Ia akan dipamerkan bersebelahan dengan superbike GSX-S1000, yang juga akan menggunakan tema sama sepertinya.

    Sebuah lagi model adalah XBEE Winter Adventure, yang disudahi dengan motif warna camo biru serta beberapa bahagian berwarna kuning, putih dan perak. Dengan suspensi yang ditinggikan, berserta rak bumbung di atas, crossover wagon ini nampak gagah tetapi sebenarnya mempunyai badan yang kompak iaitu panjangnya cuma 3,760 mm – 135 mm lebih pendek berbanding Myvi baru.

    Bagi sebuah XBEE standard, di bawah bonetnya terdapat enjin tiga silinder 1.0 liter turbo, berserta bantuan sistem hibrid ringkas. Kuasa yang mampu dihasilkan sendiri oleh enjin petrol VVT tersebut adalah 99 PS pada 5,500 rpm, da 150 Nm tork pada 1,700 hingga 4,000 rpm, manakala motor elektrik pula boleh memberikan tambahan 3.1 PS pada 1,000 rpm dan 50 Nm tork pada 100 rpm. Transmisi yang digunakan adalah automatik enam kelajuan.

    Beberapa model Suzuki lain yang akan dibawa ke pameran yang kebanyakannya melibatkan kereta ubah suai ini adalah termasuk Solio Bandit, Alto Works dan Wagon R Stingray. Turut akan dibawa adalah trak kompak Carry dengan konsep memancing, serta Spacia untuk kegunaan mereka yang suka berkhemah.

     
     
  • Geely dapatkan 8.2% dalam syarikat trak AB Volvo

    Geely dapatkan 8.2% dalam syarikat trak AB Volvo

    Zhejiang Geely Holding (ZGH) Group telah mengumumkan perancangannya untuk mendapatkan 8.2% pegangan dalam AB Volvo daripada Cevian Capital, yang dilaporkan berjumlah US$3.3 bilion (sekitar RM13.4 bilion). Perjanjian ini akan menjadikan ZGH sebagai pemegang saham paling besar dalam syarikat pengeluar trak Sweden itu, dan kedua terbesar dalam hak mengundi (15.6%).

    “Kami berbesar hati dapat mencapai kata sepakat dengan Cevian untuk memperoleh pegangan mereka dalam AB Volvo, seterusnya menjadikan kami pemegang saham model terbesar dalam syarikat yang menjadi peneraju pelbagai aspek pembangunan, pengeluaran dan penjualan kenderaan komersial.”

    “Dengan pengalaman kami bersama Volvo Car Group, kami mengiktiraf dan menghargai sejarah serta budaya Scandinavian, posisi sebagai peneraju pasaran, teknologi maju serta kemampuan alam sekitar yang ada pada AB Volvo. Kami akan menyokong lembaga pengarah serta pengurusan AB Volvo dalam pelaksanaan strategi sedia ada sekarang,” kata pengerusi ZGH, Li Shufu.

    Syarikat dari China ini juga memiliki Volvo Cars, yang telah dipisahkan daripada AB Volvo pada tahun 1999. Walaubagaimanapun, ZGH tidak mempunyai perancangan untuk menyatukan kembali dua syarikat ini. AB Volvo juga memiliki 45% pegangan dalam Dongfeng Commercial Vehicles, iaitu sebuah syarikat pengeluar trak antara yang terbesar di China.

    “Geely Holding adalah pelabut jangka masa panjang strategik yang cukup dikenali, dan disebabkan itu, kami mempunyai sasaran untuk menyumbang secara positif dalam pembangunan jangka masa panjang AB Volvo. Geely Holding dapat menyumbangkan pengetahuan global, kepakaran dalam pasaran China serta aspek penyelidikan dan pembangunan terutamanya dalam bidang elektrik, pemanduan autonomous dan ketersambungan kepada AB Volvo,” tambah ketua pegawai kewangan dan timbalan presiden eksekutif ZGH, Daniel Donghui Li.

     
     
  • 10 video paling popular di paultan.org/bm bagi 2017

    Sepanjang 2017, selain daripada artikel-artikel yang disediakan, kami juga memberi tumpuan yang lebih banyak terhadap menerbitkan kandungan dalam bentuk video. Ia menjadi cabang tambahan kepada cara penyampaian maklumat, dan daripada sambutan yang ditunjukkan, ia menjadi semakin popular dalam kalangan pembaca.

    Untuk itu, di sini kami senaraikan 10 video paling popular di paultan.org/bm sepanjang tahun 2017. Ia pengambil kira jumlah tontonan dari dua saluran utama, iaitu di Youtube serta jumlah yang lebih besar tentunya di laman Facebook rasmi kami. Jadi, agaknya, video mana yang paling banyak ditonton? Tak perlu meneka-neka lagi, ikuti saja senarai yang kami sediakan ini.

    10. TINJAUAN AWAL: Ford F150 di Malaysia – RM389k

    Walaupun ia sebuah model yang sangat sinonim dengan pasaran AS – dengan saiz trak yang besar, tinggi dan panjang – berita kehadiran trak pikap gergasi Ford F-150 ke pasaran Malaysia menerima sambutan yang hangat juga. Video ini berhasil menghimpun sekitar 118,000 tontonan sejak ia diterbitkan tak berapa lama dahulu pada hujung Oktober 2017.

    9. TINJAUAN AWAL: Mercedes-Benz E-Class Coupe C238 di Malaysia – RM436k-RM535k

    Ini merupakan satu daripada dua video berkaitan kereta dari jenama premium di Malaysia yang menarik minat ramai untuk menonton video dalam medium Bahasa Malaysia sepanjang 2017. Mercedes-Benz E-Class Coupe ini dapat menarik sebanyak kira-kira 137,000 tontonan sejak ia mula diterbitkan pertengahan September lalu hingga kini.

    8. Proton Iriz versi 2017 – tanggapan awal pemanduan

    Proton Iriz 2017 ketika diawal pengenalannya menerima banyak maklum balas positif, tertutama dari wakil media. Penambah baikan yang dilakukan terhadapnya bukanlah sekadar gimik pemasaran. Dan, ia menjadi “projek” terakhir agaknya sebelum pihak pengurusan Geely bergabung dan menentukan hala tuju baru dalam menentukan model-model yang akan diperkenalkan selepas ini. Video ini berjaya menghimpunkan sekitar 147,000 tontonan sejak diterbitkan Mei lalu.

    7. ULASAN VIDEO: Volvo S90 T8 plug-in hybrid di Malaysia – RM369k

    Ini satu lagi model kereta premium yang mendapat perhatian penonton-penonton yang lebih selesa dengan medium Bahasa Malaysia menerusi saluran kami. Volvo S90 T8 Twin Engine ini merupakan sebuah kereta dengan teknologi plug-in hybrid, dan lebih penting, ia merupakan versi pemasangan tempatan. Itu maksudnya, model ini dijual pada harga yang jauh lebih rendah, bahkan lebih rendah berbanding pesaing terdekatnya. Kalau ada belum lagi menonton video yang berjaya meraih 156,000 tontonan ini, silakan berbuat demikian.

    6. TINJAUAN AWAL: Honda CR-V 2017 di Malaysia

    Ini berkaitan SUV paling popular di Malaysia, bahkan sejak generasi awalnya yang diperkenalkan di sini lagi. Honda CR-V 2017 dari generasi kelimanya banyak menampilkan pembaharuan serta pertambahan ciri keselamatan – ini termasuk pilihan enjin 1.5 turbo dan pakej Honda Sensing. Video ringkas ketika pelancarannya ini berjaya mencatatkan sekitar 169,000 tontonan setakat ini.

    5. ULASAN VIDEO: Yamaha NVX 155 di Malaysia – RM10,500

    Walaupun secara umumnya skuter tidak menjadi pilihan yang popular dalam kalangan pengguna motosikal di Malaysia, pengenalan model skuter sporty Yamaha NVX 155 ada memberikan kesannya yang tersendiri. Dengan spesifikasi yang menarik, serta padanan tanda harganya yang masih dikira berpatutan, ramai yang ternanti-nanti ulasan videonya dalam Bahasa Malaysia. Jika anda belum tengok, jangan tunggu lama-lama; dan kalau lepas tonton terus rasa nak beli sebuah, itu di atas pilihan sendiri. Video ini mencatatkan jumlah tontonan sekitar 187,000 setakat ini.

    4. Ulasan Video: Modenas Pulsar RS200 dan NS200

    Modenas kembali untuk merebut semula perkongsian dalam pasaran motosikal tempatan tahun ini dengan menawarkan antaranya dua model hasil dari kerjasama Bajaj India ini, iaitu Pulsar RS200 dan versi naked Pulsar NS200. Dari tanda harga dan pengalaman tunggangannya saja, dua motosikal ini mempunyai banyak kelebihan dan berbaloi untuk dimiliki, terutama buat mereka yang ingin berjinak-jinak sebagai pemula sebelum ke motosikal yang lebih besar kuasanya. Video ini telah menarik perhatian 233,000 penonton setakat ini.

    3. Mengapa anda PERLU gunakan tempat duduk keselamatan kanak-kanak – dipacu oleh Proton

    Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan sangat penting. Dan, mungkin ada ramai juga yang tidak tahu bagaimana cara yang betul untuk memasangnya. Untuk itu, dengan kerjasama Proton, kami telah menerbitkan tiga siri video berkaitan hal ini, dan menunjukkan cara-cara yang betul pemasangan dan penggunaannya. Dengan jumlah tontonan sekitar 245,000, sekurang-kurangnya kami tahu ramai yang mendapat manfaat daripadanya, dan diharap dapat menyumbang untuk meningkatkan kesedaran lebih ramai pengguna selepas ini.

    2. ULASAN VIDEO: Modenas V15 di Malaysia – RM5,989

    Nampaknya tak hanya satu video tentang motosikal Modenas layak berada di dalam senarai ini. Sebuah lagi motosikal hasil kerjasama dengan Bajaj India, Modenas V15 ala cruiser/cafe racer dengan kapasiti enjin 150 cc rupa-rupanya menarik lebih banyak jumlah penonton – sekitar 266,000 tontonan. Ini mungkin juga disebabkan tanda harganya yang sangat berbaloi untuk dimiliki, atau imej retro klasik yang dibawakannya.

    1. Perodua Myvi 2018 baru – review Bahasa Malaysia dengan ujian 0-100 km/j, ASA, minyak & NVH

    Ini pula tidaklah mengejutkan; tempat pertama dalam senarai video paling popular ini menjadi milik Perodua Myvi 2018. Oleh kerana ia melibatkan pengluar tempatan, dengan penawaran produk untuk pasaran yang meluas, tentulah ramai orang dari segenap lapisan masyarakat berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang model ini. Maka, kami pun membikin sebuah video yang boleh saja dirujuk sebagai panduan lengkap tentang Myvi. Ia juga menjadi video paling panjang yang pernah kami rakam dan persembahkan kepada anda. Dengan jumlah tontonan setakat ini mencecah 631,000, luangkan sedikit masa dan tontonlah.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026