Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kawasaki Malaysia siar teaser model baru – Z900RS?

    Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd, melalui laman Facebook-nya telah mengeluarkan satu teaser untuk sebuah model baru, yang hanya menampakkan bahagian lampu hadapan motosikal tersebut. Bersamanya, cuma terdapat ayat “Adakah anda bersedia untuk satu kejutan? Akan datang ke Malaysia.”

    Sudah tentu, daripada gambar ini, tidak banyak yang boleh diketahui, tetapi kami memberi jangkaan, ia mungkin adalah model Z900RS, yang pertama kali muncul di khalayak ramai semasa Tokyo Motor Show Oktober lalu. Ia adalah sebuah model yang membawa kesinambungan daripada model Z1 dari tahun 1970-an.

    Kawasaki Z900RS dikuasakan oleh enjin sama seperti Z900, iaitu unit empat silinder 948 cc, tetapi ditala semula untuk memberikan kuasa maksimum 111 hp pada 8,500 rpm dan 98.5 Nm tork pada 6,500 rpm. Walaupun enjin adalah sama, kerangka pula adalah berbeza bagi menempatkan tangki serta barangan lain yang menjadikan penampilan motosikal ini berbeza – lebih kepada klasik.

    Kawasaki Malaysia siar teaser model baru – Z900RS?

    Baru pada motosikal ini adalah angkup brek hadapan jenis radial bersama ABS (set berkembar cakera 300 mm dan angkup monobloc empat piston) dan sistem kawalan cengkaman KTRC dua mod. Untuk brek belakang, ia masih menggunakan cakera 250 mm dan angkup dua piston. Berat motosikal ini adalah 215 kg dan ia datang dengan rim 17 inci dan tangki 17 liter.

    Sekiranya Kawasaki Malaysia dapat memasang motosikal ini di dalam negara, harganya mungkin boleh jadi menarik dan tidak jauh daripada Z900 yang dipasarkan pada harga RM49,158 termasuk GST untuk model asas. Jika diimport, ia mungkin akan jadi lebih tinggi, seperti model W800, yang dipasarkan pada harga RM58,000 semasa dilancarkan.

    GALERI: Kawasaki Z900 RS


    GALERI: Kawasaki Z900 RS Cafe Racer

     
     
  • Volvo V40 generasi baharu bakal dijana kuasa hibrid T5 Twin Engine; 1.5L 3-silinder turbo, 250 ps/400 Nm

    Volvo V40 generasi baharu bakal dijana kuasa hibrid T5 Twin Engine; 1.5L 3-silinder turbo, 250 ps/400 Nm

    Selepas SUV kompak XC40 diperkenalkan, Volvo dilaporkan sedang membina pula hatchback dari asas yang sama iaitu V40 generasi baharu, lapor Auto Express. Model baharu yang turut akan menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) berkenaan bakal menawarkan kuasa janaan plug-in hybrid serta versi elektrik sepenuhnya (EV).

    “Kami menghasilkan CMA yang sememangnya boleh dipadankan dengan sistem plug-in sejak dari awal lagi,” kata ketua R&D Volvo, Henrik Green. “Dalam terma fizikal sebenar, kami perlu memadankan bateri pada lantai, tetapi CMA memberikan ruang yang agak baik. Segalanya dari kenderaan setinggi SUV penuh sehingga kereta serendah mungkin,” tambah Green.

    “CMA merupakan platform yang baik untuk membina SUV (XC40), tetapi kami juga boleh membina kereta yang rendah dan dinamik menggunakannya,” jelasnya lagi. “XC40 disasarkan untuk kegunaan persekitaran urban, memberikan anda keselesaan dan penglihatan yang tinggi pada trafik dan simpang. Tetapi kami tidak perlu mengikuti pendekatan ini untuk model-model siri-40 akan datang.”

    Volvo V40 generasi baharu dijangka akan memberikan bahagian dalaman yang lebih luas, terutamanya pada bahagian ruang kaki, berdasarkan jarak roda yang lebih panjang. Menurut laporan ini lagi, faktor tersebut berkemungikinan akan membuatkan V40 lebih luas berbanding Audi A3, Mercedes-Benz A-Class dan BMW 1 Series.

    Volvo V40 generasi baharu bakal dijana kuasa hibrid T5 Twin Engine; 1.5L 3-silinder turbo, 250 ps/400 Nm

    Untuk unit janakuasa pula, model siri-40 generasi baharu Volvo akan ditawarkan dengan enjin turbodiesel empat silinder D3 dan D4 (190hp/400 Nm), bersama enjin petrol turbo tiga-silinder T3 serta empat silinder T4 dan T5 (247 hp/350 Nm).

    Manakala untuk versi tertinggi dengan bantuan sistem hibrid tidak akan diberikan janakuasa T8, sebaliknya akan menampilkan enjin T5 Twin Engine yang mematuhi undang-undang EU6 baharu, menggabungkan enjin tiga-silinder Drive-E 1.5 liter turbo berkuasa 180 hp bersama motor elektrik 55 kW (sekitar 74 hp). Ia bakal dipadankan bersama kotak gear automatik klac berkembar tujuh-kelajuan yang baharu sahaja dibina.

    Secara keseluruhan, unit janakuasa T5 Twin Engine ini berupaya mengekstrak 250 PS bersama tork yang agak besar menghampiri 400 Nm. Secara teorinya, bekalan kuasa berkenaan mampu untuk memecut hatchback berkenaan dari pegun ke 100 km/j dalam masa sekitar 6.5 saat. Volvo turut bercadang untuk menggunakan unit janakuasa baharu ini pada kereta-kereta siri-60 generasi baharu (untuk berhadapan dengan BMW 330e dan Mercedes-Benz C 350 e) bagi menawarkan model hibrid dalam segmen eksekutif kompak yang lebih mampu milik.

    Tiada lagi sebarang perincian tepat berkenaan unit T5 Twin Engine ini (bakal didedahkan pada XC40 tidak lama lagi), namun Green memberitahu bahawa “paling kurang dua saiz bateri berbeza akan ditawarkan. Varian asas akan lebih efisien dari segi kos, tetapi jarak pemanduanya lebih terhad, dan pilihan lebih besar dengan harga lebih mahal turut ditawarkan, bagi memberikan lebih jarak dan kuasa.”

    Model konsep Volvo 40.1 (kiri) dan model produksi sebenar XC40 (kanan)

    Laporan ini turut menyebut sebuah model elektrik sepenuhnya turut akan dibina menggunakan platform CMA, tetapi tidak akan menggunakan logo Volvo. Kereta tersebut akan dihasilkan sebagai saloon berprestasi tinggi dengan nama Polestar 2 (model elektrik berkuasa 600 hp/1000 Nm Polestar 1 telah didedahkan sebelum ini tidak lama selepas jenama Polestar diasingkan dari Volvo). Kereta tersebut akan diperkenalkan pada tahun 2019 dan bakal mencabar Tesla Model 3 dalam pasaran.

    Untuk rupa V40, ia dijangka akan menerapkan rekaan model konsep 40.2 yang didedahkan sebelum ini – memandang model konsep 40.1 yang didedahkan bersama mempunyai persamaan dengan model produksi sebenar XC40.

    Untuk versi hatchback ini, ia bakal diberikan ciri tersendiri seperti lantai but yang boleh dilipat, ruang storan pada pintu yang lebih besar (pembesar suara dialihkan ke papan pemuka), cangkuk pada glovebox dan juga ruang simpanan di bawah tempat duduk. V40 juga mungkin akan menerima sistem infotaimen Sensus dengan skrin sesentuh sembilan-inci dan juga panel instrumen digital sepenuhnya sebagai ciri standard.

    Menurut Green lagi, platform CMA turut boleh menghasilkan kereta yang lebih kecil dari siri-40, dan Volvo mungkin akan membangunkannya pada masa hadapan. “Anda boleh bina kereta yang lebih kecil dengan platform CMA, tetapi kami tidak melihatnya secara serius buat masa sekarang. Jadi satu hari nanti kami mungkin akan ada SUV yang lebih kecil dari XC40, tetapi buat masa sekarang ini adalah kereta yang mengujakan buat kami,” ujar Green.

    GALERI: Model konsep Volvo 40.2

     
     
  • VIDEO: Cara buat pusingan-U dengan motor kembara

    Mengendalikan motosikal berkuasa tinggi mungkin lebih mudah apabila ia bergerak dan mempunyai kelajuan. Disebabkan itulah ada yang mengatakan, untuk meningkatkan kemampuan dalam pengendalian, kita perlu lebih banyak berlatih mengimbangkan motosikal sewaktu perlahan atau mungkin tidak bergerak langsung.

    Antara keadaan perlahan yang boleh menyebabkan penunggang hilang kawalan kerana teknik yang tidak betul adalah sewaktu melakukan pusingan U. Dan sudah tentu, apabila terjatuh atau terkedek-kedek mengambil pusingan U, ia boleh jadi perkara yang memalukan dan menyebabkan kehampaan kerana motosikal ‘jatuh bodoh’.

    Ini ada satu video yang kami jumpa di Youtube, menunjukkan cara mudah mengambil pusingan U, untuk motosikal jenis kembara, yang mana boleh dilihat semakin banyak mendapat peminat di negara kita. Biasanya juga, motosikal jenis ini penuh dengan barangan dan risiko untuk jatuh sewaktu perlahan akibat teknik yang tidak betul lebih tinggi.

    Dalam video ini juga ia menunjukkan, sekiranya dilakukan dengan betul, anda tidak memerlukan ruang yang besar pun, dan pusingan U boleh dilakukan dengan pantas dan meyakinkan. Saksikan caranya, dan lakukan latihan supaya bila perlu nanti, tidaklah anda terkial-kial melakukan pusingan U.

     
     
  • Ford bakal kembali ke WRC sebagai pasukan rasmi

    Ford bakal kembali ke WRC sebagai pasukan rasmi

    Anda mungkin tahu bahawa Sebastien Ogier telah pun dinobatkan sebagai juara dunia Kejohanan Rali Dunia (WRC) 2017 dengan memandu jentera Ford Fiesta WRC. Namun tahukah anda bahawa pasukan yang diwakili pemandu Perancis berkenaan bukanlah pasukan rasmi dari kilang Ford sendiri?

    Untuk pengetahuan anda, Ford telah pun menarik diri dari WRC pada penghujung musim 2012. Dan selepas itu, bekas pemandu dari era Group B, Malcolm Wilson dan pasukan M-Sport miliknya bergerak sendiri membina kereta rali dunia berasaskan Ford Fiesta tanpa bantuan rasmi dari Ford. Untuk rekod, kerjasama rasmi M-Sport dan Ford untuk berlumba di dalam kancah WRC sudah pun bermula sejak tahun 1997 – tahun pertama peralihan regulasi WRCar dari undang-undang Group A sebelumnya.

    Namun dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh M-Sport World Rally Team bersama Sebastien Ogier tahun ini, Ford mengumumkan mereka akan kembali bertarung dalam WRC sebagai pasukan rasmi untuk musim 2018 – pasukan berkenaan akan dikenali semula dengan nama M-Sport Ford World Rally Team untuk musim hadapan.

    Ford bakal kembali ke WRC sebagai pasukan rasmi

    Sebastien Ogier akan terus kekal sebagai pemandu utama pasukan ini. Sebelum ini Ogier dikatakan hanya akan meneruskan kontraknya bersama M-Sport sekiranya pasukan tersebut menerima sokongan sepenuhnya dari Ford sendiri.

    “Adalah sangat hebat untuk melihat semula nama Ford disamping M-Sport dalam WRC. Kami mengalu-alukan peningkatan tahap sokongan teknikal dari Ford Performance. Tugas untuk mempertahankan gelaran adalah tugas yang berat perlu kami jalankan tahun hadapan, jadi kami menghargai sokongan dari Ford,” kata prinsipal pasukan Malcom Wilson.

    Tahun ini, Toyota kembali semula ke WRC setelah meninggalkan perlumbaan tersebut 17 tahun lalu dengan pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team yang dikendali lagenda WRC Tommi Makkinen, bersama pemandu utama Jari-Matti Latvala. Berita kembalinya Ford ke kejohanan ini sememangnya dinantikan oleh peminat rali bagi memastikan perlumbaan berkenaan kekal kompetitif dan seronok untuk disaksikan.

     
     
  • Prasarana lanjutkan tempoh operasi LRT, MRT, KL Monorail dan RapidKL sempena ambang tahun baru

    Prasarana lanjutkan tempoh operasi LRT, MRT, KL Monorail dan RapidKL sempena ambang tahun baru

    Klik untuk besarkan

    Sempena sambutan ambang tahun baru 2018 hujung minggu ini, Prasarana mengumumkan lanjutan tempoh operasi bagi perkhidmatan Light Rail Transit (LRT), Mass Rapid Transit (MRT), KL Monorail, Bus Rapid Transit (BRT) dan RapidKL sehingga 2 pagi pada hari Isnin, 1 Januari 2018.

    Perkhidmatan LRT laluan Ampang dan Sri Petaling dari stesen Masjid Jamek dan Bandaraya akan ditamatkan pada 2 pagi. Bagi LRT laluan Kelana Jaya juga sama, perkhidmatan dari stesen KLCC dan Masjid Jamek akan berakhir pada jam 2 pagi. Sementara itu, laluan sama dari stesen Pasar Seni, Ampang Park dan USJ 7 akan berakhir 1 pagi.

    Operasi Monorail di stesen Bukit Bintang pula akan dilanjutkan hingga 1 pagi, manakala perkhidmatan MRT Jajaran SBK di stesen Bukit Bintang, Mutiara Damansara dan Pasar Seni beroperasi sehingga 1 pagi juga. Sementara itu, bagi perkhidmatan BRT Jajaran Sunway dari stesen Sunway Lagoon dan Sunway-Setia Jaya akan berakhir 2 pagi. Dan, bagi stesen Mentari, SunMed, SunU-Monash, South Quay-USJ 1 dan USJ 7, perkhidmatan terakhir adapa pada 1 pagi.

    Prasarana lanjutkan tempoh operasi LRT, MRT, KL Monorail dan RapidKL sempena ambang tahun baru

    Bagi perkhidmatan bas RapidKL pula, bas terakhir akan bergerak pada 2 pagi dari stesen Pasar Seni, Munshi Abdullah, Lebuh Pudu dan Medan Pasar. Perkhidmatan dari Pasar Seni akan meliputi laluan 751 (ke Taman Sri Muda), 772 (Subang Suria), 780 (Kota Damansara), 640 (Taman Sentosa), 600 (Puchong Utama) dan 180 (Taman Dato Senu).

    Perkhidmatan bas dari Munshi Abdullah pula akan meliputi laluan 300 (Pandan Mewah) dan 220 (Taman Melawati), sementara dari Lebuh Pudu meliputi laluan 450 (Terminal Kajang) dan dari Medan Pasar, laluan 173 (Taman Jasa Utama).

    Prasarana juga menasihatkan pelanggan yang akan menghadiri acara sambutan tahun baru di ibukota untuk menggunakan kad Touch n’ Go atau MyRapid untuk perjalanan dan meletak kenderaan mereka di premis yang telah disediakan untuk memudahkan semua.

     
     
  • 10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Tahun 2017 hampir melabuhkan tirainya, dan untuk tahun ini pasaran automotif dilihat kekal meriah. Malah jika diteliti data jualan yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan keseluruhan kenderaan sehingga November lalu adalah 521,907 unit berbanding tempoh yang sama tahun lalu hanya sebanyak 515,293 unit.

    Menurut data yang disediakan oleh MAA setiap bulan juga, kedudukan top 5 sering diduduki oleh tiga jenama popular di Malaysia iaitu Perodua, Honda dan Proton. Maka tidak hairanlah tiga jenama ini mendominasi senarai 10 pandu uji paling popular yang dibaca pada laman paultan.org versi bahasa melayu ini.

    Selain dari dua jenama nasional dan satu jenama Jepun di atas, pembaca kami nampaknya kini menumpukan perhatian juga terhadap jenama Korea, buktinya dua jenama dari negara tersebut – Hyundai dan Kia – turut tersenarai kali ini.

    Berikut adalah 10 laporan pandu uji paling popular di laman paultan.org/bm untuk tahun 2017 dalam turutan menurun.

    10. PANDU UJI: Ford Everest 3.2L Titanium kurang popular, tapi tetap berkaliber, tahan lasak dan praktikal

    10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Walaupun agak kurang kelihatan di atas jalan raya, nampaknya ramai yang berminat untuk membaca pandu uji SUV Ford Everest yang diasaskan dari trak pikap Ranger T6 berkenaan. Walaupun kami turut memandu uji Toyota Fortuner tahun ini, namun hanya Everest yang berjaya mewakili SUV ladder frame dalam senarai 10 pilihan pandu uji paling popular untuk tahun 2017.

    9. PANDU UJI: Kia Sportage 2.0 GT-Line, bakal ubah persepsi tipikal terhadap kenderaan buatan Korea?

    10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Seterusnya, masih lagi SUV, tetapi kali ini yang lebih mesra jalan raya iaitu Kia Sportage – SUV segmen-C dari Korea. Dengan rupa yang begitu menarik terutama dari muka yang seakan Porsche Macan dan Cayenne, tentu saja ramai yang ingin mengetahui bagaimana prestasi pemanduannya bukan?

    8. PANDU UJI: Honda City Sport Hybrid i-DCD – prestasi lebih mengujakan dari model petrol konvensional?

    10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Ini merupakan satu-satunya sedan segmen-B dalam senarai pandu uji paling popular 2017. Jika Honda City facelift mungkin mempunyai karekter yang sama seperti versi asal kecuali dengan rupa yang lebih segar, tetapi versi Sport Hybrid ini memberikan pengalaman pemanduan yang jauh berbeza bukan sahaja dari segi penghantaran kuasa, malah turut berbeza pada talaan pengendaliannya. Pasaran Malaysia juga satu-satunya pasaran di dunia yang menerima model ini selain Jepun.

    7. PANDU UJI: Hyundai Elantra 2.0 liter dan Sport 1.6 liter Turbo – paradigma baharu falsafah kejuruteraan Korea

    10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Jika Honda Civic 1.5 liter VTEC Turbo adalah buku, maka Hyundai Elantra Sport 1.6 Turbo T-GDI ini adalah ruasnya. Sedan segmen-C berkenaan dijana enjin yang membekalkan kuasa 204 PS/265 atau 31 PS/45 Nm lebih bertenaga dari Civic Turbo. Jadi tidak hairanlah mengapa pembaca kami begitu mahu mengetahui bagaimana prestasi sebenar kereta ini.

    6. PANDU UJI: Honda CR-V 1.5TC-P – imej dan prestasi impresif; mampukah ia kekal mendahului segmennya?

    10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Nah, sebuah lagi SUV dalam senarai pandu uji paling popular tahun ini. Tidak dapat dinafikan, Honda CR-V antara SUV yang begitu memikat hati rakyat Malaysia sejak dari model generasi pertama. Model generasi baharu ini diberikan pelbagai ciri yang mendahului pesaing seperti enjin 1.5 liter VTEC turbo yang lebih berkuasa dari enjin 2.4 liter NA sebelum ini dan juga pakej keselamatan Honda Sensing.

    5. PANDU UJI: Kia Grand Carnival – dibangunkan secara teliti untuk kemudahan penggunaan setiap penumpang

    10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Kia Carnival atau Naza Ria merupakan MPV bersaiz besar yang agak popular satu ketika dahulu. Namun setelah pelbagai berita kurang enak untuk didengar yang disampaikan oleh pemilik-pemiliknya, Naza Kia Malaysia tidak membawa masuk model generasi kedua MPV ini. Tanpa diduga, model generasi ketiga MPV berkenaan kembali menerjah pasaran Malaysia. Sebagai sebuah model dengan reputasi jualan yang agak baik sebelum ini, tentunya pengguna berminat untuk mengetahui lebih lanjut apa pembaharuan yang dilakukan terhadapnya.

    4. PANDU UJI: Proton Ertiga Executive Plus AT – tunjuk potensi jadi kenderaan keluarga yang lebih bermanfaat

    10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Ertiga menjadi salah sebuah dari empat model Proton yang dilancarkan secara berterusan tahun lalu, dalam usaha mereka untuk bangkit semula menjadi peneraju dalam pasaran automotif tempatan. Adakah Proton Ertiga menawarkan alternatif lebih baik dari Perodua Alza? Mungkin ini faktor yang menarik pembaca bagi meletakkan MPV segmen-B nasional ini pada kedudukan keempat dalam senarai.

    3. PANDU UJI: Geely Boyue – tanggapan awal terhadap SUV pertama Proton, jangka diperkenalkan pada 2018

    10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Walaupun ia hanya uji pandu ringkas di China dan masih lagi dalam bentuk asal pemanduan sebelah kiri, Geely Boyue tetap menarik jumlah pembaca yang ramai sehingga ia mampu berada di tangga ketiga. Sudah tentu ramai yang tidak sabar menantikan kemunculan SUV pertama dari Proton ini menjelang tahun hadapan bukan?

    2. PANDU UJI: Perodua Myvi 2018 – adakah ia mampu untuk melangkaui jangkaan dan populariti Myvi lama?

    10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Berita berkenaan pelancarannya menjadi artikel paling popular untuk tahun 2017 di laman kami, dan ia juga dikatakan sebagai kereta yang paling kerap di cari oleh rakyat Malaysia pada laman carian Google – mengesahkan Myvi generasi baharu sebagai model terpenting di Malaysia tahun ini. Namun untuk laporan pandu uji, hatchback ikonik ini hanya berjaya berada pada kedudukan kedua paling popular.

    1. PANDU UJI: Honda BR-V – adakah ia benar-benar mampu memenuhi jangkaan bagi kegunaan keluarga?

    10 pandu uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Ia sebuah Honda, MPV keluarga dengan tujuh-tempat duduk, mempunyai rekaan seperti SUV, dan yang paling penting ditawarkan pada harga yang begitu kompetitif – ini mungkin kombo yang membuatkan begitu ramai yang ingin mengetahui apa pendapat kami terhadap Honda BR-V sehingga ia menjadi laporan pandu uji yang paling popular sepanjang 2017. Setelah dilancarkan pada Januari, model ini hanya mengambil masa tidak sampai tiga bulan untuk mencatatkan jumlah tempahan melebihi 8,500 unit.

     
     
  • Honda CBR500R, CB500F dan CB500X diberikan penampilan baru – harga antara RM31k hingga RM35k

    Honda CBR500R, CB500F dan CB500X diberikan penampilan baru – harga antara RM31k hingga RM35k

    Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) telah memberikan penampilan baru untuk barisan model CB500 pasaran Malaysia yang terdiri daripada model sport CB500R, naked CB500F dan adventure CB500X. Semua model ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna baru, berserta grafik yang berbeza.

    Bagi CB500R, tiga warna yang ditawarkan adalah Pearl Metalloid White, Grand Prix Red dan Graphite Black, manakala harganya pula bermula pada RMRM31,681.28 untuk model standard, sementara model dengan sistem brek ABS dipasarkan pada harga RM35,179.28.

    Pergi kepada model naked CB500F, ia kini ditawarkan dalam warna Force Silver Metallic, Candy Chromosphere Red dan Candy Caribbean Blue Sea, menggantikan warna-warna sebelum ini. Harga bagi model ini adalah bermula RM31,363.28 untuk model standard, dan RM34,861.28 untuk model ABS.

    Versi adventure CB500X juga ditawarkan dalam tiga warna baru, iaitu Force Silver Metallic, Candy Chromosphere Red dan Mat Gunpowder Black Metallic, manakala harganya bermula dari RM31,893.28 untuk model standard dan RM35,391.28 untuk model ABS. Semua harga yang disebutkan ini adalah termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan kos pendaftaran lain.

    Selain daripada warna dan grafik ini, kesemua model CB500 ini masih lagi mempunyai kelengkapan yang sama seperti sebelum ini, bermakna, ia masih lagi dikuasakan oleh enjin dua silinder selari 471 cc, dengan sistem penyejukan cecair dan kotak gear enam kelajuan. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 49.6 hp pada 8,500 rpm dan 44 Nm tork pada 7,000 rpm. kesemuanya juga didatangkan bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Tesla akan hasilkan trak pikap elektrik selepas Model Y

    Tesla akan hasilkan trak pikap elektrik selepas Model Y

    Tesla mungkin nampak seperti sangat sibuk sekarang memandangkan mereka perlu berhadapan dengan permintaan tinggi Model 3, dan pada masa sama, perlu memastikan model baru Roadster dan trak Semi boleh mula dikeluarkan pada masa yang ditetapkan. Selepas itu, akan keluar pula SUV elektrik Model Y, dan Elon Musk memberitahu, mereka tidak akan berhenti setakat di situ.

    Idea untuk sebuah trak pikap oleh Tesla dilontarkan semasa penampilan pertama model Roadster dan trak Semi, tetapi kini, ia diberitahu akan tiba selepas Model Y. Ini adalah berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Musk di dalam laman Twitter, di mana beliau meminta maklum balas daripada orang ramai.

    Dalam satu jawapan kepada ‘Vancouver Seed Bank’ yang meminta sebuah pikap elektrik, Elon Musk menjawab, “Saya berjanji kami akan menghasilkan trak pikap selepas Model Y. Rekaan asas dan elemen kejuruteraan asasnya sudah ada dalam fikiran saya selama lima tahun dan saya tidak sabar untuk membinanya.”

    Tesla akan hasilkan trak pikap elektrik selepas Model Y

    Ramai juga orang lain yang terlibat dalam perbualan ini, dengan ada yang mencadangkan pelbagai ciri seperti jangkaan waktu tiba, lampu suasana dalam kabin, pengesan isyarat tangan dan lapan kamera sebagai dashcam.

    Untuk rupanya pula, lukisan digital ini memberi petunjuk kepada sesuatu yang bersaiz besar, dengan Musk pernah memberitahu bahawa trak pikap Tesla boleh membawa sebuah lagi trak pikap di atasnya. Dalam perbualan di Twitter juga, Musk ada menyatakan bahawa trak pikap Tesla ini perlu menjadi besar sedikit daripada Ford F-150 bagi membolehkan trak tersebut dilengkapi dengan barangan yang “menetapkan tahap baru.”

     
     
  • Mazda perkenal Flair Wagon, serta versi Custom Style

    Mazda perkenal Flair Wagon, serta versi Custom Style

    Ketika ini nampak seperti pengeluar kenderaan di Jepun sedang berlumba-lumpa untuk meraih perhatian khalayak dengan pelbagai jenis model dan modifikasi – semuanya kerana acara Tokyo Auto Salon 2018 yang bakal berlangsung tak lama lagi.

    Menyertai Honda dan Daihatsu yang telag mengumumkan variasi model yang akan dipamerkan nanti ialah Mazda, yang akan tampil juga dengan model yang dikenali sebagai Flair Wagon serta Flair Wagon Custom Style. Diasaskan dari model Suzuki Spacia, model ini tampil dengan imej dan rekabentuk yang sangat sinonim dengan kei-car, walaupun nampak lebih tegap dan lebar dengan badan yang “tebal”, menurut Mazda.

    Mazda perkenal Flair Wagon, serta versi Custom Style

    Mazda Flair Wagon dilengkapi dengan pilihan antara dua jenis enjin 660 cc; model asasnya menjana sebanyak 52 PS dan 60 Nm tork, manakala versi yang lebih berkuasa hadir dengan 64 PS dan 98 Nm tork dengan turbocaj. Kedua-dua ini adalah sebahagian daripada sistem janaan hibrid dengan motor elektrik 3 PS/50 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT. Sistem pacuan depan sebagai standard, manakala sistem 4WD ada sebagai pilihan.

    Di dalam kabin, rekaannya lebih minimalis; di tengah kluster instrumennya terletak paparan speedometer yang besar, disertai dengan satu paparan digital yang lebih kecil. Bahagian utama papan pemuka pula terdapat skrin bagi sistem infotainmen, sementara bahagian lain ruang dalaman dihiasi dengan kemasan metalik sebagai kontras kepada tema warna krim atau hitam bagi upholstery yang digunakan.

    Mazda perkenal Flair Wagon, serta versi Custom Style

    Bahagian penumpang belakang, pintu gelungsur memudahkan lagi urusan keluar-masuk ke barisan kedua dan ketiga. Model ini juga lengkap dengan ciri keselamatan terkini, termasuk sistem amaran perlanggaran, high beam assist dan lane departure warning. Harga jualannya di Jepun bermula dari 1,333,800 yen (RM48,123) hingga 1,908,360 yen (RM68,852) bagi Flair Wagon Custom Style XT.

     
     
  • Audi TT 2.0 TFSI Black Edition tiba di M’sia – RM317k

    Audi TT 2.0 TFSI Black Edition tiba di M’sia – RM317k

    Audi Malaysia baru sahaja melancarkan model TT 2.0 TFSI Black Edition, dan ia ada dipamerkan di pusat pameran Audi di Glenmarie, Selangor. Model ini ditawarkan dalam unit yang terhad, pada harga RM317,400 (tidak termasuk insurans) bersama jaminan five tahun atau perbatuan tanpa had. Tiga pilihan warna yang disediakan adalah Vegas Yellow (seperti dalam gambar), Mythos Black dan Tango Red.

    Jika dibandingkan dengan TT 2.0 TFSi biasa, model Black Edition mempunyai harga lebih tinggi RM30,500, dan pemilik akan mendapat tambahan rim aluminium Audi Sport 19 inci berwarna hitam, dan dibalut dengan tayar 245/35. Turut ditambah adalah kemasan hitam pada gril dan bampar, serta kamera undur.

    TT 2.0 TFSI Black Edition ini juga datang dengan pakej S Line (bampar lebih tajam, side sill lebih sporty, diffuser belakang serta roda stereng dan tombol gear S Line), lampu utama Matrix LED serta sistem bunyi Bang & Olufsen 14-channel 680 watt dan 12 pembesar suara. Semua kelengkapan ini memerlukan bayaran tambahan untuk didapati pada TT biasa.

    Selain daripada barangan yang disebutkan tadi, bahagian lain model Black Edition ini masih sama seperti TT 2.0 TFSI biasa. Jadi, ia turut dilengkapi dengan sistem hiburan dan informasi MMI Radio dan MMI Touch, kokpit virtual Audi, balutan kulit/Alcantara, pengawal suhu dua-zon dan kemasan dalam dua tona warna, berserta jahitan yang kontras.

    Kuasa untuk kenderaan ini datang daripada enjin empat silinder 2.0 liter turbo yang mampu menjana 230 hp dan 370 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan S Tronic klac berkembar dan kuasa disampaikan kepada tayar hadapan. Kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j, manakala pecutan 0-100 km/j pula boleh dilakukan dalam masa 5.9 saat.

     
     
  • Harga minyak 28 Disember 2017 hingga 3 Januari 2018 – petrol turun satu sen, diesel sebaliknya naik tiga sen

    Harga minyak 28 Disember 2017 hingga 3 Januari 2018 – petrol turun satu sen, diesel sebaliknya naik tiga sen

    Menjelang tahun baru 2018 yang akan tiba hujung minggu ini, harga minyak untuk tempoh 28 Disember 2017 hingga 3 Januari 2018 akan turun sedikit bagi petrol, manakala untuk diesel pula ia bakal naik. Minggu lalu, kadar kenaikan yang dicatatkan ialah dua sen bagi petrol dan tiga sen bagi diesel.

    Bermula tengah malam ini, harga kedua-dua jenis petrol akan turun sebanyak satu sen, menjadikan RON 95 dijual pada harga RM2.26 seliter manakala petrol RON 97 pula dijual pada harga RM2.53 seliter.

    Sementara itu, diesel pula mencatatkan kenaikan sebanyak tiga sen berbanding minggu lepas. Diesel Euro 2 akan dijual pada harga RM2.26 seliter, manakala diesel Euro 5 – seperti biasa akan mahal 10 sen – akan dijual pada harga RM2.36 seliter.

    Harga runcit terbaru ini akan berkuatkuasa tengah malam nanti dan akan kekal sehingga Rabu minggu depan, 3 Januari 2018.

     
     
  • Isuzu MU-X facelift tampil di China, rekaan kabin baru

    Isuzu MU-X facelift tampil di China, rekaan kabin baru

    Jiangxi Isuzu Motors, sebuah usaha sama antara Isuzu dan Jiangling Motors, telah melancarkan model SUV MU-X versi facelift terbaru untuk pasaran China. Harganya berada di antara 178,800 yuan (RM111,421) dan 268,800 yuan (RM167,476).

    Dari luar, ia nampak sama seperti unit yang dijual di sini, dengan mengenakan beberapa sentuhan baru tentunya. Ini termasuk bahagian bampar baru di depan dan belakang, rim 18-inci, perumah lampu kabus rekaan baru (kini lebih banyak krom) serta rekaan gril baru.

    Isuzu MU-X facelift tampil di China, rekaan kabin baru

    Rekaan lampu utamanya juga kini datang sekali dengan DRL LED dan lampu panduan LED dengan grafik baru di dalam satu unit yang sama. Sementara di belakang, bentuk luaran bahagian lampunya kekal sama, tetapi kini diberikan rekaan dalaman grafik baru serta lampu panduan LED juga. Tampahan terbaru ialah lampu dengan pancaran logo Isuzu yang boleh kelihatan pada panel pintu depan.

    Perubahan paling ketara pada model facelift terbaru ini terletak di bahagian dalamnya. MU-X bagi pasaran China menerima rekaan ruang kabin yang baru sepenuhnya, dengan paparan infotainmen ala skrin tablet yang jelas dan besar. Skrin sentuh 8-inci itu juga hadir dengan sokongan Apple CarPlay dan CarLife Connectiviti oleh Baidu, termasuk fungsi media lainnya.

    Isuzu MU-X facelift tampil di China, rekaan kabin baru

    Bahagian lain yang turut diberi rekaan baru ialah pada tombol gear, tombol sistem Terrain Command 4WD serta sterengnya. Semua ini, termasuk kemasan kayu yang digunakan, lampu suasana dan sistem audio Yamaha memberikan kelainan pada ruang kabin bagi kenderaan ini – ia hadir lebih premium, berbeza dengan MU-X dengan spesifikasi Thailand.

    Dua enjin turbodiesel diberikan sebagai pilihan, diganding bersama gear manual enam-kelajuan atau automatik serta pilihan versi 4WD atau 2WD. Enjin baru RZ4E-TC 1.9 liter Ddi Blue Power dengan kuasa 150 PS/340 Nm menggantikan enjin 4JK1-TCX 2.5 liter sebelum ini. Ia disertai juga dengan enjin 4JJ1-TCX 3.0 liter, yang menjana 177 PS dan 430 Nm.

     
     
  • Toyota Crown Modellista akan tiba di Tokyo Auto Salon

    Toyota Crown Modellista akan tiba di Tokyo Auto Salon

    Toyota akan datang ke Tokyo Auto Salon dengan membawa sebuah lagi variasi sedan mewah mereka iaitu Crown Modellista. Model yang hanya akan dipasarkan di Jepun ini menggunakan asas daripada Toyota Crown Concept, yang pernah ditampilkan sewaktu Tokyo Motor Show Oktober lalu, dan merupakan generasi kelima belas bagi model tersebut.

    Kit Modellista ini memberikan tambahan aksesori kepada bahagian sedia ada, dengan lebih banyak kemasan krom termasuk di bahagian bampar yang kini mempunyai lip di dua penjurunya. Pada bahagian tepi, terdapat laluan udara di fender, manakala skirt tepi juga kelihatan lebih besar.

    Terdapat juga tambahan kemasan krom metalik pada bahagian luar cermin sisi, serta rekaan rim yang baru. Bampar belakang kini menempatkan empat muncung ekzos berbentuk petak, dengan perumah yang direka semula, memberikan bentuk seperti satu diffuser.

    Toyota Crown Modellista akan tiba di Tokyo Auto Salon

    Sementara itu, tiada sebarang perubahan berlaku di sebalik badannya. Bermakna, kereta produksi nanti akan dipasarkan dengan enjin petrol turbo 2.0 berkuasa 235 PS dan 350 Nm tork sebagai permulaan, dan model yang lebih tinggi menggunakan enjin petrol V6 NA 3.5 liter yang dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan.

    Juga terdapat versi hibrid, yang besar kemungkinan akan menggunakan padanan enjin V6 Multi Stage Hybrid System dengan dua motor elektrik untuk kuasa keseluruhan 354hp. Transmisi yang digunakan adalah unit empat kelajuan, tetapi apabila digabungkan dengan motor elektrik tersebut, ia mampu memberikan simulasi seperti kotak gear 10 kelajuan.

    Kelengkapan lain yang ada pada Crown generasi baru ini adalah termasuk sistem brek autonomous, serta sambungan komunikasi kereta-ke-infra (V2I) dan kereta-ke-kereta (V2V). Modul komunikasi data untuk sambungan kepada Internet of Things (IoT) juga datang secara standard.

    GALERI: Toyota Crown Concept

     
     
  • Kenichi Yamamoto – Bapa pembangunan enjin Wankel Rotary Mazda meninggal dunia pada usia 95 tahun

    Kenichi Yamamoto – Bapa pembangunan enjin Wankel Rotary Mazda meninggal dunia pada usia 95 tahun

    Jurutera yang mengetuai projek enjin Rotary Mazda setelah pembuat automotif berkenaan berjaya memperolehi paten dari warganegara Jerman, Dr. Felix Wankel iaitu Kenichi Yamamoto telah meninggal dunia pada usia 95 tahun, lapor portal berita Jepun, Asahi.

    Menurut laporan tersebut, Yamamoto disahkan meninggal dunia pada 20 Disember lalu, namun berita ini hanya disampaikan oleh keluarganya kepada media pada sambutan Hari Natal baru-baru ini.

    Yamamoto dilahirkan di daerah Kumamoto pada tahun 1922, dan kemudian berpindah mengikut keluarganya bandar kelahiran Mazda iaitu Hiroshima. Beliau kemudiannya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Tokyo pada tahun 1944, kemudian mula berkhidmat Kawanishi Aircraft Company.

    Namun Perang Dunia Kedua menyebabkan Yamamoto direkrut untuk menjadi tentera laut Jepun pada 1945, tetapi beliau dapat pulang semula ke Hiroshima pada September tahun tersebut setelah bandar berkenaan ditimpa bom atom yang menyebabkan Jepun mengangkat bendera putih.

    Serangan berkenaan menyebabkan ahli keluarganya terkorban kecuali Ibunya yang masih terselamat. Bagi menyara keluarga di bandar yang teruk terjejas tersebut, Yamamoto hanya berpeluang bekerja sebagai pekerja kilang Toyo Kogyo (nama lama bagi Mazda) yang memproduksi sistem transmisi.

    Bakat Yamamoto dikesan oleh jurutera senior kilang berkenaan setelah beliau dilihat bersungguh dalam menelaah blueprint setiap kotak gear dan unit differential yang dipasangnya dan kemudian setiap spesifikasi dan toleransi komponen berkenaan diteliti dengan rapi. Selepas itu, Yamamoto ditawarkan untuk bekerja sebagai jurutera sebenar dan menghasilkan enjin dengan injap pada bahagian atas (OHV) pertama Mazda pada umur 25 tahun.

    Yamamoto kemudiannya menjadi penolong pengurus untuk Divisi Enjin dan Rekabentuk Kenderaan Mazda serta terlibat dengan pelbagai projek termasuk trak K360 serta kereta penumpang pertama Mazda – R360. Kereta berkenaan kemudiannya menguasai 65% bahagian pasaran untuk segmen K-Car di Jepun, menjadikan Mazda salah satu jenama automotif terpenting di negara matahari terbit berkenaan ketika itu.

    Seterusnya, presiden Toyo Kogyo ketika itu iaitu Tsuneji Matsuda melantik Yamamoto untuk mengetuai pasukan pembangunan enjin Rotary Mazda. Pasukan berkenaan terdiri dari 47 orang jurutera, perekabentuk serta saintis material yang kemudiannya digelar ’47 Ronin’ sempena nama sepasukan samurai lagenda Jepun.

    Pasukan ini kemudiannya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh enjin Rotary yang pada asalnya dicipta oleh Dr Felix Wankel – terutamanya masalah pelinciran pada bahagian apex seal di setiap bucu rotor yang menyebabkan enjin tersebut tidak dapat dikomersilkan.

    Kejayaan projek berkenaan seterusnya membolehkan Mazda melancarkan kereta sport produksi pertamanya dengan enjin Wankel Rotary iaitu Cosmo Sport pada tahun 1967, dan kemudian legasi berkenaan disambung pada model R100, RX-3 dan seterusnya, sehingga yang terakhir Mazda RX-8 pada tahun 2003.

    Yamamoto turut terlibat dalam Projek Phoenix pada era 70’an yang menghasilkan enjin Rotary dengan penggunaan bahan api 40% lebih baik dari sebelum ini serta berjaya melepasi kadar emisi yang ditetapkan dalam undang-undang Akta Udara Bersih 1970. Kejayaan demi kejayaan ini membolehkan Mazda bertahan sebagai satu-satunya pengeluar automotif yang menghasilkan kenderaan dengan enjin unik berkenaan, dari 14 jenama yang turut menghasilkannya sebelum itu.

    Kenichi Yamamoto seterusnya dilantik sebagai presiden Mazda pada tahun 1984 dan kemudiannya sebagai pengerusi pada tahun 1992. Kemudian, beliau bertindak pula sebagai penasihat Mazda, sebelum bersara sepenuhnya. Nama Yamamoto telah dipahat di Japan Automotive Hall of Fame pada tahun 2007, atas “usaha berterusannya untuk menyahut cabaran dalam pembangunan enjin Rotary.”

     
     
  • TVS Apache RR310 dilancar di India – Mungkinkah bakal dijadikan sebagai ‘adik kecil’ BMW S1000RR?

    TVS Apache RR310 dilancar di India – Mungkinkah bakal dijadikan sebagai ‘adik kecil’ BMW S1000RR?

    Dua model terkenal BMW iaitu R1200GS dan S1000R sudah mempunyai adik kecil, iaitu G310GS dan G310R. Seperti yang diketahui ramai, dua model yang menggunakan enjin kapasiti 313 cc ini dibangunkan bersama TVS Motorcycles dari India, dan dijual pada harga lebih mampu milik iaitu di Malaysia, G310GS pada harga RM29,900 dan G310R RM26,900.

    Kini, TVS telah mengeluarkan satu lagi model baru di India, iaitu RR310, dan walaupun dijual menggunakan jenamanya sendiri, ia dilihat seperti memberi bayangan kepada satu lagi siri model ‘adik kecil’ BMW, dan kali ini untuk model sports S1000RR.

    Model ini juga menggunakan enjin sama seperti G310R dan G310GS, iaitu unit satu silinder berpenyejukan cecair, bersama padanan kotak gear enam kelajuan dan mampu menghasilkan sebanyak 34 PS pada 9,700 rpm dan 27.3 Nm tork pada 7,700 rpm.

    Berat motosikal ini cuma 170 kg, dan ini membolehkan ia memberi catatan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.17 saat, dan kelajuan maksimum 160 km/j. Di bahagian depan terdapat fork teleskopik, cakera brek 300 mm dan tayar 110/70-R17, manakala di belakang terdapat monoshock, cakera brek 240 mm dan tayar 150/60-R17.

    Di India, TVS Apache RR310 dijual pada harga 205,000 rupee (RM13,054), dan ini meletakkan ia dalam persaingan dengan model seperti KTM RC390, Kawasaki Ninja 300 dan Benelli 302R. Sementara itu, bagi model BMW G310GS dan G310R, ia masih belum dilancarkan lagi di India.






     
     
  • 10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Sebelum membeli sebarang motosikal, orang ramai perlu mempertimbangkan banyak perkara. Selain harga serta spesifikasi, rasa tunggangan juga perlu diketahui, apatah lagi tidak banyak kedai yang boleh memberi pelanggan peluang merasa terlebih dahulu sebelum membeli.

    Di sinilah pentingnya laporan tunggang uji, yang mana bagi paultan.org/bm , kami sentiasa cuba mendapatkan model-model terbaru dalam pasaran secepat mungkin untuk menyediakan laporan tunggang ujinya bagi rujukan orang ramai. Tidak kiralah sama ada ia model yang berkapasiti tinggi, kapcai mahupun skuter.

    Dalam tahun 2017, banyak juga model baru yang dilancarkan, dengan hampir semua wakil pengeluar menunjukkan ‘senjata’ masing-masing, malah ada juga model yang menandakan penyertaan pertama jenama dalam segmen tertentu. Kami ada senarai laporan tunggang uji manakah yang paling popular pada tahun ini, dan keputusannya agak menarik.

    Berdasarkan statistik laman web kami, laporan yang paling popular tahun ini adalah model yang tidak melebihi 400 cc pun, tetapi ia terdiri daripada pelbagai genre termasuk skuter, sports, naked, santai dan bajet. Model yang popular di pasaran sudah tentu menjadi perhatian, tetapi ada juga model yang seakan dilupakan, namun apabila kami mengeluarkan laporannya, ramai yang tertarik.

    Anda boleh saksikan sendiri senarai model ini di bawah, dan ia disediakan secara turutan menaik, bermaksud, dari kedudukan nombor 10, ke kedudukan nombor satu, iaitu yang paling popular. Anda juga mungkin boleh perasan, ada laporan yang dikeluarkan pada tahun 2016, tetapi ia masih mendapat sambutan pada tahun ini. Bagi yang sudah membaca laporan tunggang uji tersebut, adakah ia membantu dalam pembelian anda?

    10. Modenas Kriss MR2 110 – pilihan berbaloi untuk wang, tetapi prestasinya bagaimana?

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Model ini adalah satu penawaran Modenas ke dalam segmen mampu milik, dengan konsep ‘Motosikal Rakyat’, dan harganya cuma RM3,980 sewaktu dilancarkan. MR2 adalah lanjutan kepada model MR1, dan ia dikuasakan oleh enjin 110 cc serta padanan kotak gear empat kelajuan.

    9. Honda Future FI – kapcai 125 cc yang kita terlepas pandang; adakah harganya berpatutan?

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Honda Future FI ini diperkenalkan pada tahun 2016, dan ia adalah pengganti kepada model sebelumnya, dengan membawa pembaharuan dalam sistem bahan api, di mana ia menggunakan sistem suntikan elektronik (EFI). Kapasiti enjinnya berada di tahap pertengahan dalam segmen kapcai iaitu 125 cc, dan antara ciri menariknya adalah terdapat ruang simpanan yang boleh memuatkan helmet di bawah tempat duduk.

    8. Yamaha NMax skuter terbaik kini?

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Bagi mereka yang mementingkan praktikaliti, skuter memang adalah pilihan utama, dan Yamaha NMax adalah antara pilihan yang boleh dianggap berbaloi berada dalam pasaran Malaysia. Ia mempunyai saiz lebih besar daripada Nouvo dan didatangkan dengan pelbagai kemudahan seperti ruang simpanan yang luas, penggunaan bahan api baik kerana menggunakan sistem suntikan elektronik, enjin 155 cc dan brek cakera depan dan belakang. Harganya pula sekitar RM3,000 lebih murah berbanding pesaingnya, Honda PCX.

    7. KTM Duke 250 dan 390 2017 – lebih garang, terus tunjuk prestasi baik menari di selekoh

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Dua model jalanan permulaan daripada KTM ini mendapat sambutan hangat berkemungkinan kerana model yang digantinya sudah agak lama di pasaran, dan penampilan model baru ini lebih garang dan moden. Kedua-duanya adalah model naked, dan memberikan pilihan kepada pengguna bergantung kepada bajet serta kemahuan mereka. Selain enjin yang lebih berkuasa, Duke 390 juga menawarkan keistimewaan lain seperti meter digital berwarna.

    6. Honda NSS300 punya bermacam kelengkapan, sesuaikah untuk perjalanan jarak jauh?

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Satu lagi skuter yang masuk dalam senarai paling popular ini mempunyai enjin serta badan yang lebih besar, iaitu Honda NSS300. Model seperti ini juga dilihat semakin digemari pengguna di Malaysia kerana selain kegunaan harian, mereka juga mahukan kemampuan untuk berjalan jauh. NSS300 ternyata berkemampuan dan kami menunggangnya sehingga ke Pulau Pinang tanpa sebarang masalah.

    5. Benelli RFS150i – hero tersembunyi?

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Laporan tunggang uji Benelli RFS150i ini sebenarnya baru sahaja kami siarkan, tetapi ia cukup mendapat sambutan sehingga meletakkannya di tangga kelima. Segmen kapcai 150 cc ini sememangnya sedang hangat, tetapi model Benelli ini seperti kurang diendahkan. Daripada pengalaman kami, ia tidak kurang hebatnya, malah lebih murah berbanding dua pesaingnya.

    4. Modenas Pulsar RS200 – adakah ia cukup sporty dan boleh menentang motosikal 250 cc?

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Pulsar RS200 ini mungkin adalah model yang dibangunkan oleh syarikat motosikal India, iaitu Bajaj Motorcycles, tetapi ia dipasarkan oleh pengeluar motosikal tempatan, iaitu Modenas. Mungkin ramai yang mahu mengetahui kenapa Modenas cukup yakin dengan motosikal ini dan bagaimana prestasinya melalui laporan tunggang uji ini. Dari aspek penampilan, ia cukup garang.

    3. Modenas Pulsar NS200 – pilihan terbaik untuk peralihan dari kapcai ke motosikal besar

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Pulsar NS200 ini pula adalah satu lagi model kerjasama dengan Bajaj, tetapi ia menggunakan badan jenis naked. Ramai juga yang menggemari motosikal bentuk sebegini kerana lebih minimalis. Kedua-dua RS200 dan NS200 dikuasakan enjin satu silinder 200 cc yang mempunyai tiga palam pencucuh, dan kuasa yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 24.5 PS pada 9,500 rpm dan tork 18.6 Nm pada 8,000 rpm.

    2. Modenas V15 beri alternatif gaya dan tunggangan kepada segmen motosikal bawah RM6k

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Jangan terperanjat, kerana laporan tunggang uji yang berada di kedudukan kedua adalah sebuah motosikal santai, yang juga dibangunkan dengan kerjasama Bajaj, tetapi dalam masa sama turut mengingatkan kembali kepada model Jaguh yang pernah dipasarkan oleh Modenas dulu. Enjin model ini cuma 150 cc, dan ia dijual pada harga menarik, iaitu RM5,989 termasuk GST.

    1. Yamaha NVX 155 – Adakah prestasi skuter ini cukup sporty seperti penampilannya?

    10 tunggang uji paling popular di paultan.org/bm 2017

    Inilah dia di tempat pertama, Yamaha NVX 155, yang seperti kita juga seperti boleh jangkakan. Selain daripada penampilan sebuah skuter yang sporty, kami juga mendapati NVX mempunyai prestasi yang berpadanan, hasil penggunaan enjin 155 cc berkuasa 14.8 hp dan 13.8 Nm tork. Harga motosikal ini adalah RM10,500, dan ia didatangkan dengan kelengkapan berteknologi antaranya seperti sistem tanpa kunci dan meter digital.

     
     
  • 10 artikel paling popular di paultan.org/bm bagi 2017

    Tahun 2017 akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Dan, sebelum kita masuk ketahun 2018 dengan cabarannya yang tersendiri, kami di paultan.org/bm ingin membawa anda untuk menyorot kembali artikel-artikel paling popular yang diterbitkan sepanjang tahun ini, yang menarik perhatian paling ramai pembaca.

    Bagi kami, subjek yang paling banyak menarik perhatian pembaca umum tahun ini bercampur baur. Tentunya, berita atau artikel tentang jenama pengeluar kenderaan tempatan Perodua menjadi pelopor. Tetapi, ia tidak berakhir di situ. Senarai 10 artikel paling popular ini turut disumbangkan antara lain oleh berita berkaitan motosikal, perihal harga minyak dan isu-isu semasa berkaitan lalu lintas.

    Jadi, kami mempersembahkan senarai 10 artikel paling popular sepanjang 2017:

    10. Honda Accord 2018 didedahkan – 1.5 VTEC Turbo dan 2.0 VTEC Turbo bersama transmisi auto 10-kelajuan

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm bagi 2017

    Julai lalu, Honda buat pertama kalinya mendedahkan model Accord 2018 generasi kesepuluh diperingkat global. Ia tidak hanya hadir dengan reka bentuk luaran yang serba baru, tetapi unit atau sistem jana kuasa yang digunakan juga baru – ditambah juga dengan kelengkapan keselamatan yang paling maju pernah dipasangkan pada Accord.

    9. GALERI: Toyota C-HR di M’sia – gambar sepenuhnya

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm bagi 2017

    Toyota C-HR merupakan model “dekat tapi jauh” untuk pasaran Malaysia. Sejak Mei, ia sudah diisyaratkan akan masuk ke pasaran Malaysia, dan pada bulan Ogos pula ia membuat penampilan menyeluruh yang pertama untuk pasaran tempatan. Dan, sehingga hari ini, ia masih lagi belum dilancarkan secara rasmi. Harapanya tempoh awal 2018 kita akan dapat lihat kelibat model ini di atas jalan raya tempatan.

    8. RON 95 RM4.09 seliter? Ini kenyataan rasmi dari Shell

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm bagi 2017

    Petrol RON 95 dijual pada harga RM4.09 seliter? Ini berita yang menjadi tular pada bulan Mei. Ramai yang awalnya mendakwa stesen minyak Shell turut melibatkan unsur penipuan di media sosial. Tapi, apa sebenarnya yang berlaku adalah kesilapan teknikal yang melibatkan 160 transaksi keseluruhannya. Ini pula adalah kenyataan rasmi daripada pihak Shell sendiri, yang dikeluarkan pada tarikh 18 Mei.

    7. Tukar logo jenama dan panel badan kenderaan salah?

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm bagi 2017

    Satu-satunya artikel isu semasa berkaitan lalu lintas yang masuk ke senarai ini ialah tentang peraturan sekiranya anda menukar lencana atau logo kenderaan anda; misalnya dari Perodua kepada Daihatsu. Walaupun bunyinya seperti tiada masalah, perbuatan itu sebenarnya salah di sisi undang-undang.

    6. Honda BR-V 1.5L dilancarkan di Malaysia – crossover 7-tempat duduk, 2 varian, harga bermula RM85,800

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm bagi 2017

    Ini antara model yang ditunggu-tunggu pada 2017. Menurut Honda Malaysia, ia sebuah MPV yang hadir dengan pakej sebuah SUV. Ditambah dengan tanda harga yang begitu berbaloi, Honda BR-V dengan kapasiti tujuh-tempat duduknya menjadi pilihan banyak keluarga muda di Malaysia. Ia juga mengisi kekosongan tersendiri di dalam pasaran automotif tempatan.

    5. Ford F-150 dipertonton di Malaysia – empat pilihan enjin, CKD pemanduan kanan, harga bermula RM389k

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm bagi 2017

    Trak gergasi yang terkenal di AS, Ford F-150 kini sudah berada di Malaysia. Mungkin kerana reputasinya di luar negara, atau mungkin saiznya yang besar telah menjadi daya penarik yang “aneh” bagi trak ini. Lebih menarik, ia tidak dibawa masuk oleh pengedar sah Ford di Malaysia, Sime-Darby Autoconnexion, tetapi oleh Hamawangsa Kredit Sdn Bhd. Kami juga ada sediakan ulasan video untuk tatapan anda.

    4. Petronas jelaskan isu pam tidak tepat – KPDNKK dan MCM uji, sahkan tiada penipuan dan percanggahan

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm bagi 2017

    Sekali lagi, isu harga minyak yang didakwa melibatkan penipuan di stesen – kali ini melibatkan Petronas – juga sempat tular dan meraih perhatian ramai pembaca dan di media sosial. Khabarnya, pam di stesen minyak berkenaan tidak tepat dalam mengeluarkan jumlah minyak seperti yang tertera. Kesudahannya, berdasarkan pemeriksaan KPDNKK, tiada penipuan atau percanggahan bacaan yang dilakukan.

    3. Ujian RON 95 Vs RON 97 terhadap Proton Saga – benarkah yang mahal lebih bagus dari yang murah?

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm bagi 2017

    Dan, lagi artikel berkaitan minyak yang mendapat perhatian ramai pembaca. Tetapi kali ini, kami melakukan ujian antara RON 95 dan RON 97 pada dua unit Proton Saga yang serupa spesifikasinya untuk melihat jenis minyak yang mana lebih menjimatkan sebenarnya. Dengan kerjasama Segmen Auto, Bulletin Utama TV3.

    2. Modenas Pulsar RS200 dan NS200 dilancarkan – enjin 199.5 cc, 24.5 PS dan 18.6 Nm, harga dari RM9,222

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm bagi 2017

    Satu-satunya berita tentang motosikal yang tersenarai di dalam 10 artikel paling popular tahun ini adalah berkaitan pelancaran model kerjasama Modenas-Bajaj, RS200 dan NS200 untuk pasaran Malaysia. Diperkenalkan pada bulan Mei, kedua-dua motosikal ini menjadi model utama dalam barisan produk Modenas sekarang. Turut kami sediakan ulasan video bagi kedua-dua model ini untuk anda.

    1. Perodua Myvi 2018 dilancarkan di Malaysia – model generasi baharu, 1.3L dan 1.5L, bermula RM44,300

    10 artikel paling popular di paultan.org/bm bagi 2017

    Mendahului senarai ini ditempat pertama tidak lain dan tidak bukan berita tentang pelancaran model terbaru Perodua Myvi 2018. Merupakan model serba baru, tetapi harga yang ditawarkan tidak jauh berbeza daripada model sebelumnya – bahkan ada varian yang harganya lebih rendah. Lebih penting, teknologi keselamatan maju seperti autonomous emergency braking (bagi varian 1.5 Advance) kini boleh dinikmati oleh segmen kereta mampu milik. Ikuti juga ulasan video lengkap yang telah kami sediakan.

     
     
  • Lebuhraya MEX bagi potongan 10% untuk Tahun Baru

    Lebuhraya MEX bagi potongan 10% untuk Tahun Baru

    Sempena sambutan Tahun Baru 2018 hujung minggu ini, pengguna lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada 1 Januari 2018 akan diberikan potongan kadar tol sebanyak 10%.

    Potongan harga ini sah bagi semua jenis dan kelas kenderaan (Kelas 1 hingga Kelas 5) yang menggunakan lebuhraya berkenaan, bermula dari pukul 12.01am hingga 11.59pm pada hari berkenaan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pemegang konsesi lebuhraya itu, dijangkakan sebanyak 108,000 kenderaan bakal menikmati potongan harga itu.

    Ketika ini, kenderaan Kelas 1 (dengan dua gandar dan tiga atau empat roda tidak termasuk teksi) dikenakan tol sama ada RM2 di plaza tol Salak Selatan, atau RM2.20 di plaza tol Seri Kembangan dan RM3.50 di plaza tol Putrajaya Utama.

     
     
  • Ford siar teaser Focus 2018 – tampil rupa penuh, namun dengan pelekat penyamaran warna-warni

    Ford siar teaser Focus 2018 – tampil rupa penuh, namun dengan pelekat penyamaran warna-warni

    Sebelum didedahkan sepenuhnya, Ford telah menyiarkan imej Focus generasi baharu sebagai teaser. Walaupun imej ini adalah gambaran sepenuhnya, namun kereta berkenaan diberikan pelekat penyamaran yang berwarna-warni bersama tanda pagar #TimeToFocus.

    Walau bagaimanapun, model generasi seterusnya ini jelas menampilkan rupa yang berbeza dari model sedia ada. Ia diberikan muka baharu dengan rekaan gril yang lebih besar bersama lampu seakan rekaan Fiesta terkini dan juga apron yang disentuh semula. Jarak antara garis bahu dengan bumbung kereta ini juga kelihatan lebih tinggi dari sebelumnya, membayangkan bahagian dalaman yang dapat direka lebih luas.

    Kami juga memperolehi spyshot model generasi baharu ini yang memberikan gambaran bahagian belakang. Bagi Focus 2018, ia nampaknya menggunakan rekaan lampu belakang yang lebih tirus dari sebelum ini. Selain dari sedan dan hatchback, Focus 2018 dalam versi wagon turut kelihatan sedang diuji. Walaupun berlainan bentuk badan, kesemua versi nampaknya menampilkan rekaan lampu belakang yang hampir sama.

    Berdasarkan rupa, Focus 2018 nyata nampak lebih besar dari model sedia ada, walaupun belum ada lagi angka dimensi rasmi dari Ford. Menurut khabar angin, Focus baharu ini bakal tampil dengan jarak roda lebih jauh bagi membolehkan ruang dalaman direka dengan lebih luas.

    Ia juga dikatakan akan menerima papan pemuka rekaan baharu sepenuhnya. Bahagian berkenaan bakal diberikan skrin paparan yang lebih besar, bersama ciri lain yang dijangka menyamai apa yang ditawarkan pada Fiesta generasi baharu.

    Model generasi baharu ini juga dijangka akan diberikan pilihan enjin turbo sepenuhnya tanpa kehadiran enjin NA empat silinder 2.0 liter Duratec Ti-VCT. Model asas akan dijana enjin Ecoboost tiga-silinder 1.0 liter turbo, manakala versi lebih berkuasa digerakkan dengan enjin EcoBoost empat-silinder 1.5 liter turbo.

    GALERI: Spyshot Ford Focus 2018 Hatchback

    GALERI: Spyshot Ford Focus 2018 Sedan

    GALERI: Spyshot Ford Focus 2018 Wagon

     
     
  • Daihatsu bawa sembilan model konsep ke Auto Salon

    Daihatsu bawa sembilan model konsep ke Auto Salon

    Tokyo Auto Salon merupakan pameran yang penting dan dinanti-nantikan, bukan hanya di Jepun tetapi juga oleh peminat di seluruh dunia. Dan, pameran ditempat sendiri bagi pengeluar-pengeluar negara matahari terbit itu sentiasa menjadi platform untuk menunjukkan kreativiti dan kehebatan masing-masing.

    Selepas Honda yang akan mempersembahkan barisan kenderaan syarikat itu untuk acara sama Januari 2018 nanti, Daihatsu juga tak ingin ketinggalan; sembilan model konsep akan dipertontonkan ketika acara berkenaan.

    Daihatsu bawa sembilan model konsep ke Auto Salon

    Yang pertama ialah dari barisan kenderaan sporty, dari versi Sporza bagi model hatchback Thor dan Mira dan satu lagi, Daihatsu Boon dengan Sporto Package. Setiap satu daripada model ini dipasangkan dengan dekorasi dwi-tona merah/hitam yang dipadankan pula dengan rim warna emas. Kelilingnya ialah bodykit sporty – termasuk sekali bampar depan yang lebih dalam dengan bahagian sisi dalam perincian warna merah.

    Kumpulan kedua pula terdiri daripada model yang lebih premium; terdiri daripada model Move Canbus, Tanto dan Thor dengan imej bersih warna putih serta kemasan hitam dan krom untuk membezakan penampilannya. Rekaan dan kemasan rim juga lebih bersahaja.

    Daihatsu bawa sembilan model konsep ke Auto Salon

    Kecuali Tanto, barisan model premuim ini datang dengan bumbung hitam, manakala bagi Thor dan Move Canbus turut disertakan dengan perumah cermin sisi hitam. Thor dan Tanto juga kelihatan dalam kedudukan yang lebih rendah untuk nampak lebih menawan.

    Kelompok ketika pula menampilkan kenderaan dalam imej yang lebih menarik – terdiri dari versi Active bagi kenderaan Daihatsu seperti Boon dan pikap Hijet. Boon Active menampilkan bahagian tambahan pada bampar, sisi dan lengkung tayar – dalam kemasan perincian warna perak dan oren.

    Daihatsu bawa sembilan model konsep ke Auto Salon

    Sementara itu, Hijet kabin berkembar juga mendapat sentuhan off-road – kedudukan badannya dinaikkan, tayar off-raod, pemijak sisi, lampu kabus pada bampar depan dan bumbung serta dekorasi dalam tema marin dibahagian luarannya.

    Hijet kabin tunggal pula diberikan sentuhan yang lebih klasik. Nuansa warna putih pada bahagian luaran membuatkan model ini tampil dengan imej bersih. Antara semua model Daihatsu yang ditampilkan ini, mana satu yang kena dengan selera anda?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026