Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • VIDEO: Evolusi Honda Accord dari 70’an hingga kini

    Julai lalu, Honda telah memperkenalkan Accord generasi kesepuluh bermula dengan pasaran Amerika Syarikat terlebih dahulu. Model generasi baharu ini menerima pelbagai ciri terkini seperti pengecas telefon pintar tanpa wayar, Wi-Fi 4G LTE dan juga enjin VTEC Turbo yang agak berkuasa dan efisien terdiri dari 1.5 liter dan 2.0 liter – enjin paling besar berkenaan diambil dari Civic Type R.

    Sama ada di Amerika atau di Malaysia, legasi Accord tentunya mempunyai kenangannya yang tersendiri bukan? Oleh itu, bagi menyorot kembali evolusi model eksekutif ini, Honda telah menghasilkan video baharu yang menampilkan Accord dari generasi-generasi terdahulu.

    Video ini menampilkan Accord dari setiap era, bersama penari yang lengkap dengan kostum era masing-masing bermula pada 70’an, 80’an, 90’an, Y2k dan pasca 2010. Untuk era 70’an, Accord tentunya diwakili oleh model generasi pertama (689) atau dikenali sebagai ‘Accord Pagar’ di Malaysia kerana kita menerima model yang menampilkan kemasan berbentuk seperti pagar pada bampar hadapan dan belakang.

    Bagi era 80’an pula, ia diwakili oleh Accord generasi ketiga (CA) yang mula diperkenalkan pada tahun 1985. Model yang tampil pada video ini merupakan versi yang dilengkapi lampu hadapan jenis ‘pop-up’ yang boleh disorokkan ketika tidak digunakan. Untuk pengetahuan anda juga, Accord CA menampilkan sistem suspensi jauh lebih maju dari pesaingnya ketika era berkenaan – dilengkapi sistem double wishbone pada hadapan dan belakang.

    Era 90’an, Accord diwakili oleh model generasi kelima (SV) atau dikenali sebagai ‘Accord Jerung’ di Malaysia, dan mula diperkenalkan pada tahun 1993. Accord sememangnya mempunyai versi hatchback tiga-pintu yang lebih sporty sejak dari model generasi pertama, namun ia berakhir pada model generasi ketiga (Aerodeck). Namun, bermula dari model generasi kelima ini, pasaran Amerika Syarikat mula menerima kembali Accord yang lebih ranggi menerusi versi coupe yang tampil pada video ini.

    Beralih ke era Y2K, Accord diwakili oleh model generasi kelapan (CP) yang mula diperkenalkan pada tahun 2007. Seperti yang diketahui, model ini agak istimewa di Malaysia kerana telah dijelmakan sebagai Proton Perdana generasi baharu, menerusi kerjasama strategik antara Honda dan Proton.

    Yang terakhir, tentulah Accord generasi baharu yang belum lagi sampai ke pasaran tempatan. Accord ini menampilkan rekabentuk sedan terkini Honda yang direka dengan garis badan seakan coupe, sama seperti Civic generasi kesepuluh. Dengan pelbagai kelengkapan terkini diberikan, Honda menggelar model berkenaan sebagai “Honda paling mengkagumkan yang pernah diperkenalkan”.

     
     
  • Harga minyak 21-27 Dis – semua naik antara 2-3 sen

    Harga minyak 21-27 Dis – semua naik antara 2-3 sen

    Selepas harganya turun selama tiga minggu berturut-turut, bagi minggu bertarikh 21 hingga 27 Disember 2017, kesemua bahan api utama di negara ini dilaporkan naik. Di mana petrol RON 95 dan RON 97 dilaporkan naik sebanyak 0.02 sen, masing-masing menjadi RM2.27 seliter dan RM2.54 seliter.

    Manakala bagi diesel pula naik sebanyak 0.03 sen, iaitu RM2.23 seliter bagi Euro 2 dan Euro 5 pula RM2.33 seliter. Semua harga baharu ini berkuatkuasa pada jam 12.01 tengahmalam ini sehingga Rabu terakhir bagi tahun 2017 iaitu 27 Disember hadapan.

     
     
  • Nio ES8 – SUV elektrik 643 hp, 352 km satu cas penuh

    Nio ES8 – SUV elektrik 643 hp, 352 km satu cas penuh

    Syarikat pengeluar kenderaan elektrik baru, iaitu Nio tahun lepas mengejutkan dunia automotif dengan pengeluaran supercar EP9 yang telah memecahkan rekod di Litar Nurburgring, bagi kenderaan yang boleh digunakan atas jalan biasa. Terbaru, syarikat itu mengeluarkan sebuah kenderaan yang lebih konvensional, iaitu SUV elektrik yang dinamakan sebagai ES8.

    Antara nombor-nombor penting bagi SUV ini adalah kuasa sebanyak 643 hp serta tork 840 Nm yang datang hasil daripada penggunaan sepasang motor elektrik yang menggerakkan semua empat tayar dan mendapat kuasa daripada pek bateri 70 kWh. Dengan sekali cas penuh, ia boleh bergerak sehingga 352 km, dan sekiranya sudah habis, ia boleh dicabut dan diganti dengan dengan bateri yang sudah dicas. Proses penukaran ini cuma akan mengambil masa tiga minit, manakala dengan cas selama 10 minit, ia boleh bergerak sehingga 100 km.

    Binaan badan aluminium sepenuhnya pada ES8 ini boleh menempatkan tujuh orang, dan ia dijangka mempunyai kelengkapan seperti kenderaan mewah termasuk kulit Nappa, panel instrumen digital, skrin hiburan yang besar – seperti Tesla Model S – penapis HEPA dan karbon, serta penjana ion negatif dalam sistem pengudaraannya.

    ES8 juga padat dengan pelbagai teknologi keselamatan, bersama sistem bantuan pemandu NIO Pilot. 23 pengesan diletakkan pada kenderaan ini termasuk yang menghadap ke hadapan, kamera tiga fokal, empat kamera luar, lima radar gelombang milimeter, kamera pengawasan pemandu dan 12 pengesan ultrasonik. Semua ini membolehkan ia mempunyai fungsi brek kecemasan automatik, bantuan jalan sesak, pengendalian atas lebuh raya, pengesan titik buta, pengesan tanda jalan dan amaran keluar lorong.

    Nio ES8 – SUV elektrik 643 hp, 352 km satu cas penuh

    SUV elektrik sepenuhnya ini juga datang dengan NOMI, yang didakwa oleh syarikat itu sebagai “sistem AI dalam kereta pertama di dunia” yang boleh mendengar, membantu dan bercakap semula dengan pemandu berkenaan pemanduan mereka.

    Harga jualan ES8 di negara asalnya iaitu China bermula daripada US$67,715 (RM275,924), manakala 10,000 unit khas Founder’s Edition dijual pada harga US$82,824 (RM337,490). Sebagai tambahan, Nio juga menawarkan pelan sewaan bateri berharga US$193 (RM786) sebulan, dan ini dapat mengurangkan harga ES8 sebanyak US$15,114 (RM61,568).

    Di China juga, ES8 akan bersaing terus dengan satu-satunya SUV elektrik penuh yang dijual di sana, iaitu Tesla Model X. Nio ES8 ini pernah dijumpai di Malaysia, namun masih belum ada tanda bahawa sama ada ia akan dijual di sini ataupu tidak.

    GALERI: Nio ES8 di Malaysia

     
     
  • PLUS tutup lorong tambah nilai Touch ‘n Go menjelang Krismas dan Tahun Baharu, dari 22 Dis hingga 2 Jan

    PLUS tutup lorong tambah nilai Touch ‘n Go menjelang Krismas dan Tahun Baharu, dari 22 Dis hingga 2 Jan

    PLUS Malaysia telah mengumumkan penutupan sementara lorong tambah nilai Touch ‘n Go di semua plaza tolnya di seluruh negara menjelang cuti Krismas dan Tahun Baharu ini. Ia adalah bagi mengurangkan kesesakan trafik pada musim perayaan tersebut.

    Sebanyak 134 lorong tambah nilai yang terlibat ditutup mulai 22 Disember 2017 sehingga 2 Januari 2018. Walau bagaimana pun lorong tambah nilai di Bukit Kayu Hitam dan Bangunan Sultan Iskandar (masing-masing pintu pemeriksaan ke Thailand dan Singapura) tidak terlibat dengan penutupan ini dan terus beroperasi seperti biasa.

    “Secara purata, proses untuk tambah nilai mengambil masa sehingga tiga minit bagi setiap kenderaan. Justeru, penutupan sementara bagi lorong tambah nilai ini adalah bagi mengelakkan kesesakan akibat kenderaan yang beratur panjang di plaza tol menjelang musum perayaan,” ujar ketua pengawai operasi Zakaria Ahmad Zabidi.

    Syarikat konsesi lebuhraya terbabit juga menasihati para pengguna untuk memastikan mereka ada baki yang mencukupi di dalam kad Touch ‘n Go atau PLUSMiles sebelum memasuki lebuhraya. Tambah nilai kad tersebut juga boleh dilakukan di 9,200 lokasi lain termasuk mesin ATM, kedai serbaneka 24 jam dan stesen minyak.

    “Pengguna lebuhraya juga boleh menambah nilai kad mereka di semua stesen minyak di sepanjang lebuhraya. Berdasarkan pemantauan kami, penutupan lorong tambah nilai pada musim perayaan sebegini mampu mengurangkan kesesakan di plaza tol,” tambah Zakaria lagi.

     
     
  • Kilang Maserati terpaksa menghentikan operasi selama sebulan kerana permintaan yang rendah

    Kilang Maserati terpaksa menghentikan operasi selama sebulan kerana permintaan yang rendah

    Disebabkan permintaan terhadap kenderaan-kenderaan keluarannya, Maserati terpaksa menutup operasi kilang mereka sehingga 15 Januari tahun hadapan, lapor Automotive News Europe.

    Pembuat kereta mewah dari Itali berkenaan akan menghentikan seketika produksi dua sedan mewahnya iaitu Ghibli dan Quattroporte bermula 15 Disember tahun ini hingga 15 Januari, SUV Levante dari 20 Disember hingga 15 Januari, serta model sport GranTurismo dan Grancabrio dari 15 Disember hingga 8 Januari.

    Punca utama permintaan yang merudum ini adalah kerana kelembapan jualan di China. Bagi model Levante, produksi SUV berkenaan sebenarnya telah dihentikan sebanyak dua kali tahun ini. Ia adalah disebabkan undang-undang import baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan Republik Rakyat berkenaan yang secara tidak langsung menjejaskan permintaan terhadap SUV pada pasaran tersebut.

    “Amat jelas bahawa produksi diperlahankan dan pelaburan untuk model-model baharu kini ditangguhkan,” kata ketua kesatuan Federico Bellono.

    Mengulas berkenaan khabar angin yang mengatakan Maserati bakal menghasilkan SUV lebih kecil berasaskan SUV Alfa Romeo Stelvio, boss Maserati Reid Bigland menyatakan “tiada yang perlu disegerakan” untuk menambah sebuah lagi model crossover dalam barisan model jenamanya. Beliau tidak mahu SUV yang lebih kecil dari Levante melainkan mereka dapat membangunkan sebuah model “yang cukup berbeza” dari apa yang dihasilkan oleh Alfa Romeo.

    Maserati dilaporkan akan menghasilkan Levante dalam versi GTS yang lebih berprestasi tinggi dijana enjin 3.8 liter turbo berkembar V8 yang diambil dari Ferrari, berkuasa 570 hp. Model berkenaan dijangka bakal dilancarkan pada separuh pertama tahun hadapan.

    GALERI: Spyshot Maserati Levante GTS V8

     
     
  • 258 kes kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di Kelantan sejak Januari lalu – PDRM

    258 kes kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di Kelantan sejak Januari lalu – PDRM

    Sebanyak 258 kes kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di Negeri Cik Siti Wan Kembang sejak Januari lepas hingga semalam, menurut Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

    “Antara penyumbang kepada kematian penunggang motosikal adalah disebabkan tidak memakai topi keledar. Telah menjadi semacam budaya bagi penduduk negeri ini untuk tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal terutama di kawasan luar bandar,” katanya.

    Di mana sebanyak 1,724 kes kemalangan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal dicatatkan pada tahun lepas dan 265 daripadanya membabitkan kemalangan maut dengan 281 mangsa direkodkan serta 5,204 saman dikeluarkan.

    Dalam masa yang sama sebanyak 9,967 saman dikeluarkan sepanjang tempoh tersebut kepada penunggang dan pembonceng motosikal.

    “Justeru, kita akan melakukan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap pengguna motosikal selepas ini kerana telah banyak peringatan diberikan kepada mereka sebelum ini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Hasanuddin berkata kebanyakan pelaku kesalahan terdiri daripada kalangan remaja yang tidak mempunyai lesen motosikal serta golongan dewasa.

     
     
  • Diskaun tol untuk LPT 1, Lebuhraya KL-Karak sempena Krismas – TTA untuk rancang perjalanan

    Diskaun tol untuk LPT 1, Lebuhraya KL-Karak sempena Krismas – TTA untuk rancang perjalanan

    ANIH Berhad, pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 10% yang bakal diberikan kepada para pengguna kedua-dua lebuhraya berkenaan sempena Krismas ini.

    Menurut Pengarah Eksekutif ANIH Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, diskaun untuk semua kelas kenderaan itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 24 jam bermula jam 12 tengah malam hingga jam 11.59 malam pada 25 Disember.

    Selain itu, ANIH turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna merancang perjalanan pulang ke Pantai Timur sempena cuti perayaan Krimas. Ia juga adalah bagi penyuraian trafik dan mengurangkan kenderaan bertembung pada waktu puncak di plaza tol khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak.

    Dijangkakan pada 23 Disember ini, ia akan melibatkan waktu puncak iaitu mulai 11 pagi hingga 1 petang bagi trafik yang menghala ke Pantai Timur. Dan pada 23 Disember pula, antara 3 hingga 6 petang untuk trafik menghala ke Kuala Lumpur.

    Diskaun tol untuk LPT 1, Lebuhraya KL-Karak sempena Krismas – TTA untuk rancang perjalanan

    Sehubungan itu, ANIH menyarankan pengguna yang ingin menuju ke Pahang pada 23 Disember untuk masuk ke lebuhraya sama ada pada 12 tengah hari hingga 3 petang atau antara 7 hingga 11 malam. Manakala pengguna yang ingin menuju ke Terengganu dan Kelantan pada tarikh sama pula boleh memulakan perjalanan antara 6 hingga 10 pagi atau 5 petang hingga 8 malam.

    Untuk perjalanan menghala ke Kuala Lumpur pada 25 Disember pula, pengguna dari Pahang boleh memilih sama ada untuk memulakan perjalanan antara 6 hingga 10 pagi atau antara 7 petang hingga 11 malam. Manakala pengguna dari Terengganu pula disarankan untuk memasuki lebuh raya antara 8 hingga 11 pagi atau antara 8 hingga 10 malam, manakala pengguna dari Kelantan boleh menggunakan lebuh raya bermula 6 petang hingga 10 malam atau antara 9 malam hingga 12 tengah malam.

    Menurut Nik Fauzi lagi, perkhidmatan tambah nilai kad di lorong tol akan ditutup sekiranya trafik mulai padat bagi mengelak berlakunya kesesakan di plaza tol. Justeru, sekiranya ingin membuat tambah nilai atau membeli kad TnG, pengguna boleh melakukannya di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) di sepanjang KLK dan LPT 1 iaitu di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong, Plaza Tol Karak, Plaza Tol Temerloh dan Plaza Tol Kuantan.

    Perkhidmatan itu bermula dari 7 pagi hingga 10 malam setiap hari dan tambah nilai juga boleh dilakukan di kios layan diri di Hentian Sebelah Gombak (arah barat), Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Genting Sempah, R&R Temerloh (arah Timur dan Barat) dan di Plaza Tol Gambang.

     
     
  • Range Rover Velar 2018 bakal tiba di Malaysia pada awal suku kedua 2018 – tempahan telah mula dibuka

    Range Rover Velar 2018 bakal tiba di Malaysia pada awal suku kedua 2018 – tempahan telah mula dibuka

    Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) telah memaklumkan bahawa Range Rover Velar 2018 bakal tiba ke pasaran negara oada awal suku kedua 2018. Dinamakan dari prototaip Range Rover yang dihasilkan pada tahun 1969, Velar merupakan SUV saiz sederhana yang ditawarkan dengan pelbagai elemen kemewahan.

    Velar yang diposisikan di antara Evoque dan Range Rover Sport telah menggunakan kerangka daripada aluminium berketahanan tingi dan dengan binaan Jaguar Land Rover Lightweight Aluminium Architecture. Malah ia juga dikatakan lebih ringan, hasil penggunaan material aloi aluminium, serta turut dipadankan dengan suspensi double-wishbone untuk hadapan dan Intergral Link di belakang bagi pengendalian yang lebih mantap dan selesa.

    Seperti mana yang telah dikhabarkan sebelum ini, Velar turut dipadankan dengan enjin petrol Ingenium 2.0 liter empat-silinder, sama seperti Jaguar F-Type, yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 300 PS dan tork 400 Nm. Ia bakal menyertai barisan dua varian enjin diesel Ingenium iaitu dengan kuasa 180 PS dan 240 PS, serta enjin petrol Ingenium 2.0 liter versi 250 PS.

    Range Rover Velar 2018 bakal tiba di Malaysia pada awal suku kedua 2018 – tempahan telah mula dibuka

    Seperti mana unit 2.0 liter pada F-Type, petrol Ingenium 300 PS untuk Velar ini juga dipadankan dengan pengecas turbo twin-scroll bersama ceramic ball bearing, dan menurut Land Rover, ia membantu menyalurkan lebih 26% aliran udara untuk meningkatkan lagi prestasinya. Varian petrol ini akan diletakkan di tengah bagi barisan petrol Velar, dengan versi 3.0 liter supercharged V6 380 PS sebagai model spesifikasi tertinggi.

    Begitu juga dengan penjana kuasa petrol empat-silinder 300 PS yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Elemen pilihan termasuk sistem Terrain Response 2 dan All Terrain Progress Control yang menguruskan pacuan semua-roda. Enjin petrol Ingenium 300 PS ini turut berkeupayaan memacu Vela dari 0-96 km/j dalam hanya 5.7 saat.

    Namun untuk pasaran Malaysia, JLRM masih belum mendedahkan varian mana yang bakal dibawa masuk. Malah segala perincian penuhnya termasuk harga hanya akan diumumkan pada pelancarannya kelak. Walau bagaimana pun, Range Rover Velar ini telah pun dibuka tempahannya di semua bilik Land Rover di seluruh negara. Malah bagi yang berminat, juga boleh mendaftar DI SINI untuk mendapatkan perkembangan lanjut mengenainya.

    GALERI: Range Rover Velar

     
     
  • VIDEO: Betty – Subaru Impreza LX dengan enjin boxer turbo, 600 whp, 12,000 rpm binaan GotitRex Australia

    Enjin turbo sering dikaitkan dengan penghasilan kuasa yang dan tork yang tinggi, namun letusan kuasa berkenaan diberikan pada takat rpm yang tidak tinggi seperti enjin NA. Namun, jentera yang didedahkan oleh video terbaharu fullboost Australia ini menyajikan sesuatu yang berbeza iaitu sebuah Subaru Impreza bernama Betty yang dibina oleh pakar WRX – GotitRex – dijana enjin boxer turbo yang mampu menjerit hingga 12,000 rpm!

    Untuk pengetahuan anda, Betty bukanlah Impreza WRX sebenar, sebaliknya hanya sebuah Impreza LX keluaran tahun 1994 yang pada asalnya dijana enjin EJ16 boxer empat silinder 1.6 liter, tanpa turbo mahupun sistem pacuan semua roda. GotitRex telah menyumbat enjin yang kini dalam peringkat R&D pada Betty iaitu enjin boxer turbo dari juga siri EJ (tidak dinyatakan sama ada EJ20 atau EJ25).

    Menurut fullboost, bagi membolehkan enjin ini meraung pada rpm tinggi, GotitRex telah memendekkan strok asal pada omboh enjin berkenaan (lagi sekali, spesifikasinya tidak didedahkan). Ia kemudiannya disuap dengan pengecas turbo Garrett GTW 3884 Gen 1 yang ditala dengan boost setinggi 2.9 bar (42 psi).

    Enjin ini kemudiannya ditala semula dengan unit pengurusan enjin Link dari siri G4, dan boleh beroperasi dengan bahan api ethanol E85. Hasilnya, enjin berkenaan menunjukkan bacaan kuasa kuda lebih dari 600 hp (pada roda, bukan pada aci engkol) di skrin mesin dyno.

    Tiada kotak gear perlumbaan atau sequential diberikan pada Betty, di mana kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear manual lima-kelajuan asal Subaru, bersama unit-unit LSD dari Cusco. Dengan takat rpm enjin yang begitu tinggi, padanan ini membolehkan Betty mencapai kelajuan 225 km/j hanya pada gear 3. Walau bagaimanapun, sistem transmisi ini dijangka bakal dirombak semula pada masa hadapan.

    Bukan sahaja enjin, malah Betty sendiri masih lagi dalam peringkat R&D. Oleh itu anda boleh lihat penampilan luaran dan dalamannya masih lagi seperti sebuah Impreza LX standard tanpa kit badan agresif, dan pemandu masih lagi duduk diatas tempat duduk asal.

     
     
  • Kawasaki anjur kursus tunggangan selamat pertama

    Kawasaki anjur kursus tunggangan selamat pertama

    Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB) buat pertama kalinya hari ini menganjurkan kursus tunggangan selamat (Kawasaki Safety & Responsible Riding Course, KSRR). Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap tunggangan berhemah dalam kalangan penunggang motosikal dan pelanggan jenama itu.

    Menurut Pengurus Besar dan Pengarah KMSB, Dato’ Jeffrey Lim, ini adalah anjuran julung kali bagi kursus seumpamanya. “Ia satu permulaan yang baik untuk kami. Selepas ini, kami mensasarkan untuk mengadakan program ini lebih kerap, mungkin dua atau tiga kali sebulan,” ujar beliau.

    Bagi peringkat awal ini, peserta-peserta akan dipilih berdasarkan rekod pelanggan Kawasaki bersama pengedar mereka dan diberikan secara percuma, dengan tumpuan kepada pelanggan yang berada di Lembah Klang. “Bergerak ke hadapan, kami akan meluaskan lokasi penganjurannya ke kawasan lain di Malaysia,” tambah Jeffrey. Program ini turut melibatkan agensi-agensi kerajaan seperti JPJ, JKJR dan PDRM.

    Kawasaki anjur kursus tunggangan selamat pertama

    Lebih menarik, program ini dianjurkan dengan kerjasama dari KTEC Corporation Jepun, sebuah anak syarikat yang bernaung di bawah Kawasaki Heavy Industries Ltd; pelatih-pelatih yang terlibat di dalam program ini menerima latihan dan ditauliahkan oleh syarikat yang turut terlibat di dalam pembinaan model-model motosikal Kawasaki.

    Berkaitan apa yang mendorong Kawasaki untuk mengambil langkah ini, statistik kemalangan dan kematian yang melibatkan motosikal di Malaysia yang sangat membimbangkan menjadi antara sebab utama. Bagi tempoh 10 tahun terakhir (2007-2010), jumlah keseluruhan kemalangan yang berlaku ialah 73,954, di mana 63% daripadanya (40,609) melibatkan penunggang motosikal.

    Daripada jumlah itu pula, 80% daripada kemalangan motosikal yang berlaku disebabkan oleh kesilapan manusia. Program ini diharap dapat memberi manfaat kepada kemahiran penunggang serta menyumbang kepada tabiat trafik yang lebih baik dan selamat.

     
     
  • Khairul Idham Pawi tubuh pasukan lumba Cub Prix

    Khairul Idham Pawi tubuh pasukan lumba Cub Prix

    Nampaknya banyak langkah baru yang diambil oleh pelumba motosikal profesional negara untuk tahun hadapan. Setelah Zulfahmi Khairuddin mengumumkan akan menguruskan pasukan ARRC di bawah kelolaan SIC, Khairul Idham Pawi juga dilaporkan oleh Berita Harian telah menubuhkan sebuah pasukan sendiri yang dinamakan sebagai Akademi SuperKIP Racing untuk bersaing dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

    Pasukan lumba ini akan dikawal selia oleh ayah Khairul sendiri apabila beliau tiada di Malaysia, dan ia akan melibatkan latihan intensif, termasuk kecergasan, berbasikal serta aktiviti lain. Semua peserta pasukan ini juga dijaga dengan baik dan disediakan dengan tempat tinggal.

    Untuk permulaan, beberapa pelumba telah dipilih untuk menyertai pasukan Akademi SuperKIP Racing ini, termasuk adik Khairul sendiri iaitu Anuar Ibrahim, Md Afizat Supaat, Md Amer Rossi Amidi, Md Hazim serta Md Haziq Rosmaza. Beritahu Khairul kepada Berita Harian, beliau memilih dengan melihat kepada prestasi pelumba tersebut semasa musim 2017.

    Khairul Idham Pawi tubuh pasukan lumba Cub Prix

    Walaupun hanya baru berumur 19 tahun, Khairul sudah mempunyai pengalaman berlumba di peringkat dunia, dan beliau sedia untuk menurunkan ilmu yang ada, demi melatih pelumba-pelumba baru ini. Sokongan keluarga juga dianggap penting bagi setiap pelumba ini.

    Untuk sasaran, Khairul tidak meletakkan harapan yang tinggi melalui pasukan baru ini kerana pelumba yang ada ini baru berlumba dalam kategori yang lebih tinggi, iaitu CP115 dan Wira, dan terpaksa berhadapan dengan ramai pelumba yang lebih berpengalaman. Dapat meletakkan diri dalam kelompok lima pelumba teratas sahaja sudah mencukupi bagi Khairul.

     
     
  • Lexus LF-1 Limitless – satu lagi teaser dikeluarkan

    Lexus LF-1 Limitless – satu lagi teaser dikeluarkan

    Awal bulan ini, Lexus telah mengumumkan akan membawa satu model crossover konsep perdana iaitu LF-1 Limitless ke Detroit Auto Show 2018. Serentak dengan itu, satu gambar teaser bahagian belakang kenderaan itu dikeluarkan, dan terbaru, keunikan pencahayaan lampu bahagian depan kenderaan itu pula disiarkan.

    Daripada imej ini, kelihatan LF-1 akan menampilkan satu lagi rekaan bahagian depan yang rumit oleh Lexus, dengan lampu hadapan berbentuk tajam mengapit gril yang juga lebih kompleks. Terdapat juga pada penjuru bampar ini, lampu penunjuk arah berbentuk L terbalik.

    Penampilan rasminya cuma akan dilakukan pada 15 Januari nanti, dan rupa sebenar LF-1 masih lagi belum jelas. Walaubagaimanapun, Lexus mendakwa ia “menjanjikan sebuah genre baru untuk crossover mewah”, yang “bertujuan untuk memberi makna baru kepada kemewahan.”

    Lexus LF-1 Limitless – satu lagi teaser dikeluarkan

    Memandangkan nama crossover digunakan, dan bukannya SUV, besar kemungkinan LF-1 bukanlah pengganti model LX, tetapi sebuah model baru yang terletak lebih atas daripada RX. Model seperti ini akhirnya dapat membawa Lexus untuk bersaing dengan Mercedes-Benz GLS, dan BMW X7 yang akan diperkenalkan tidak lama lagi. Begitu juga dengan model mewah seperti Bentley Bentayga, Lamborghini Urus dan Rolls-Royce Cullinan.

    Lexus LF-1 Limitless adalah satu hasil kerja studio rekaan Toyota di California Selatan, Amerika, iaitu Calty Design Research. Studio ini juga terlibat dalam pembangunan konsep Toyota FT-1 sebelum ini.

     
     
  • AWAS rekod sejumlah 417,684 saman sejak Mei 2017

    AWAS rekod sejumlah 417,684 saman sejak Mei 2017

    Dua bulan lepas, iaitu pada Oktober lalu, sejumlah 251,193 saman menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dalam tempoh lima bulan ia dilancarkan. Terkini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata, sehingga semalam, sebanyak 417,684 saman telah dicatatkan, menyaksikan peningkatan sebanyak dua kali ganda dalam tempoh hanya dua bulan!

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, saman itu melibatkan dua kesalahan iaitu melebihi had laju yang mencatatkan 385,474 saman dan melanggar arahan lampu isyarat sebanyak 32,210 saman, laporan Bernama

    “Sebanyak 11 lagi sistem AWAS yang dipasang di seluruh negara dijangka beroperasi sepanjang 24 jam pada Januari depan bagi memupuk kesedaran pemandu supaya mematuhi semua peraturan yang di?tetapkan,” katanya kepada pihak pemberita semalam.

    Wan Ahmad turut berkata, sistem AWAS yang dalam persediaan itu melibatkan dua kamera AWAS yang memantau had laju di Selangor, lima kamera AWAS di lampu isyarat di Perak manakala empat lagi di Kedah.

    Mengulas mengenai Ops Patuh 2 yang dilaksanakan sejak 25 November lepas, katanya, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 15,306 notis kesalahan daripada 30,236 kenderaan yang diperiksa.

    Di mana penunggang motosikal merupakan penyumbang saman yang paling tinggi iaitu 43% dengan 8,944 saman berbanding 5,078 saman terhadap pemandu kereta, 6,310 saman terhadap pemandu lori dan 271 saman terhadap pemandu bas.

    “Ops Patuh 2 ini akan diteruskan sehingga 31 Disember ini sebelum kami melancarkan Ops Sisih bagi memastikan semua pemandu bas ekspres bebas daripada kesalahan lalu lintas menjelang Tahun Baharu Cina pada awal tahun depan,” katanya.

     
     
  • Kawasaki H2 SX 2018 bakal tiba di M’sia tahun depan

    Kawasaki H2 SX 2018 bakal tiba di M’sia tahun depan

    Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB) hari ini mengesahkan bahawa model Kawasaki H2 SX 2018 yang membuat penampilan global di EICMA November lalu akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia tahun depan. Perkara ini dinyatakan oleh Pengurus Besar KMSB, Dato’ Jeffrey Lim, dan menjangkakan model berkenaan akan dilancarkan secara rasmi pada separuh pertama 2018.

    Walaupun motosikal berkenaan masih menggunakan enjin supercharge empat silinder 998 cc sama seperti H2 sebelum ini, ia dijadikan lebih “lembut” dengan penggunaan unit supercharger yang baru, dan kuasa kini menjadi 200 PS pada 11,000 rpm dan 137.3 Nm tork pada 9,500 rpm. Sebagai perbandingan dengan H2, enjin pada H2 SX adalah kurang 5 PS tetapi torknya lebih 4.2 Nm.

    Bukan sekadar untuk penyampaian kuasa, larasan ini juga dilakukan supaya H2 SX dapat memberikan penggunaan bahan api yang baik, dan ia dikatakan boleh menyamai Versys 1000 dan Z1000SX. Tangki bahan api yang disediakan oleh H2 SX adalah berkapasiti 19 liter.

    Kawasaki H2 SX 2018 bakal tiba di M’sia tahun depan

    Dalam penawaran standard, H2 SX dilengkapi dengan unit pengira inertia (IMU), yang sekaligus dapat mengaktifkan KTRC (termasuk traction control dan wheel lift control), KIBS (termasuk pitching control dan corner braking control) dan Kawasaki Engine Brake Control, tetapi bagi mode SE, ia mendapat tambahan KLCM (launch control).

    Suspensi yang dipasang pada H2 SX bukanlah unit yang boleh dikawal secara elektronik, tetapi masih lagi boleh dilaras iaitu fork 43 mm di hadapan dan penyerap gas tunggal di belakang. Brek pula adalah unit cakera berkembar 320 mm dengan angkup monobloc empat piston di hadapan dan cakera 250 mm tunggal serta angkup dua piston di belakang.

    Ikuti perkembangan seterusnya bersama kami diruang ini nanti, sebaik sahaja motosikal ini tiba di Malaysia nanti.

     
     
  • Prototaip Honda Insight generasi baharu bakal tampil di Detroit bulan hadapan – lebih sporty, lebih berkuasa

    Prototaip Honda Insight generasi baharu bakal tampil di Detroit bulan hadapan – lebih sporty, lebih berkuasa

    Setelah dilihat diuji menggunakan badan City yang dipanjangkan dan dilebarkan sebelum ini, Honda kini mengesahkan prototaip untuk Insight generasi baharu bakal membuat kemunculan sulung pada North American International Auto Show yang bakal berlangsung di Detroit, 15 Januari 2018.

    Bersama pengumuman ini, Honda turut menyiarkan foto penuh bahagian luaran serta sedikit teaser untuk bahagian dalaman kereta hibrid generasi baharu berkenaan. Dapat dilihat, Insight generasi seterusnya berkenaan menerapkan sepenuhnya rekaan signatur terkini Honda sama seperti Civic FC serta Accord generasi baharu yang telah diperkenalkan di Amerika Syarikat.

    Muka Insight generasi baharu ini menerima lampu hadapan tirus dengan jalur krom yang merentangi gril hadapan sama seperti Accord dan Civic. Ia turut dilihat diberikan lampu nyalaan siang LED berbentuk-L yang dibina dalam lampu utama. Beralih ke sisi, pengaruh Civic dan Accord dapat dilihat sekali lagi, menampilkan bentuk badan sedan empat-pintu dengan garis badan seperti sebuah coupe.

    Bahagian belakang pula, Insight menampilkan lampu tirus ‘two-piece‘ yang lebih tersendiri jika dibandingkan dari kedua-dua abangnya tadi. Berbeza dari Insight generasi kedua yang hadir dengan badan lima-pintu seperti aeroback, model generasi baharu ini nampaknya dibina sebagai sedan empat pintu.

    Prototaip Honda Insight generasi baharu bakal tampil di Detroit bulan hadapan – lebih sporty, lebih berkuasa

    Berdasarkan spyshot sebelum ini, Insight generasi baharu ini dipercayai dibina berdasarkan platform Honda City yang telah dipanjangkan dan dilebarkan, sama seperti apa yang dibuat pada Insight generasi kedua. Honda turut mengumumkan model hibrid dedikasi ini tidak akan menggunakan unit janakuasa i-DCD seperti City Sports Hybrid, tetapi akan dikuasakan dengan unit janakuasa hibrid dengan dua motor elektrik – berkemungkinan besar diambil dari Accord Hybrid.

    Unit janakuasa yang digelar Sport Hybrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) berkenaan menggabungkan enjin petrol 2.0 liter empat silinder i-VTEC dengan kitaran Atkinson, digabungkan dengan dua motor elektrik yang disuap bateri lithium-ion. Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa 212 hp dan mampu mencatatkan penggunaan bahan api gabungan 20.4 km/liter.

    Ia jelas berbeza dengan Insight sebelum ini kerana model generasi kedua berkenaan hanya dijana unit Integrated Motor Assist (IMA) yang menggabungkan enjin petrol empat silinder 1.3 liter bersama sebuah motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 101 hp/199 Nm. Menurut Honda, Insight generasi baharu ini juga diletakkan lebih tinggi dari Civic, di bawah Accord dalam barisan model mereka.

    Prototaip Honda Insight generasi baharu bakal tampil di Detroit bulan hadapan – lebih sporty, lebih berkuasa

    Honda Insight Prototype

    “Dengan gaya yang sofistikated, stance yang dinamik, bahagian dalaman yang luas dan prestasi terbaik dalam kelasnya, Insight serba baharu ini merangkumi pendekatan Honda untuk menghasilkan kereta dengan teknologi elektrik tanpa kekurangan tipikal,” kata naib presiden senior jualan automobil dan penguruh besar Divisi Honda American Honda Motor Co., Inc., Henio Arcangeli, Jr.

    “Pada North American International Auto Show 2017 kami mengumumkan Inisiatif Teknologi Elektrik Honda dengan sasaran untuk menghasilkan dua pertiga jualan kenderaan Honda diseluruh dunia diberikan teknologi elektrik menjelang 2030,” kata Arcangeli.

    “Dengan pelancaran Insight pada lewat 2018 sebagai kereta kelima diberikan teknologi elektrik di bawa kepasaran sejak tahun lalu, kami mendemonstrasikan komitmen kami terhadap sasaran berkenaan,” tegasnya lagi.

    Honda Insight generasi ketiga akan diproduksi di Kilang Honda Greensburg, Indiana, bersama Civic dan CR-V menggunakan komponen yang diperolehi secara domestik dan global.

    GALERI: Spyshot Honda Insight generasi ketiga

     
     
  • Kajian semula NAP 2014, EEV ditetapkan tahun depan; Harga Honda City turun dari RM90k ke RM75k – MAI

    Kajian semula NAP 2014, EEV ditetapkan tahun depan; Harga Honda City turun dari RM90k ke RM75k – MAI

    Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI) Datuk Madani Sahari mengesahkan kajian semula Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014 akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada separuh pertama tahun depan.

    Beliau berkata, menerusi kajian semula dasar tersebut yang sedang dilaksanakan oleh MAI, antaranya akan memperluaskan skop pelaksanaannya kepada kenderaan jenis komersial dan aspek mobiliti lain secara keseluruhan.

    “Kajian sedang dibuat dan kita mengharapkan kalau tiada halangan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dapat melancarkan NAP yang baharu pada separuh pertama 2018,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Kajian semula NAP 2014, EEV ditetapkan tahun depan; Harga Honda City turun dari RM90k ke RM75k – MAI

    Sambungnya lagi, “Sejak dasar tersebut diperkenalkan pada 2014 dan sehingga September 2017, harga kereta EEV telah mencatat secara purata pengurangan sebanyak 13.1%. Manakala setakat November tahun ini, sebanyak 105 model kenderaan EEV telah diperkenalkan,” katanya.

    Menerusi pelaksanaan NAP, kerajaan telah memberi insentif kepada pengeluar kenderaan yang mengeluarkan model kereta jenis EEV dalam bentuk pengurangan cukai.

    “Sebagai contoh, pengurangan cukai sebanyak RM10,000 dan pengurangan tersebut mesti diberi kepada pengguna dalam bentuk pengurangan RM10,000 untuk harga kereta,” katanya.

    Tambahnya lagi, kerajaan telah menetapkan sasaran kereta jenis EEV akan mewakili 60% daripada jumlah jualan kereta pada tahun depan berbanding 45%, setakat ini.

    “Malah, kita yakin sasaran jualan model kereta jenis EEV pada akhir tahun ini sebanyak 50% mampu dicapai memandangkan hampir keseluruhan syarikat pengeluar kereta mengeluarkan kenderaan jenis EEV untuk model baharu mereka,” katanya.

    Kajian semula NAP 2014, EEV ditetapkan tahun depan; Harga Honda City turun dari RM90k ke RM75k – MAI

    Madani turut berkata harga kenderaan di Malaysia dijangka kekal kompetitif selari dengan kehendak pengguna yang mahukan kenderaan berasaskan keselamatan, keselesaan dan impak kepada alam sekitar.

    “Sebagai contoh, harga terendah Perodua Axia adalah RM25,800 dan antara termurah di dunia. Kenderaan tersebut adalah jenis EEV dan mempunyai ciri-ciri keselamatan dan keselesaan. Manakala bagi model Honda City, dahulunya harga di Thailand antara RM60,000 dan RM65,000 manakala di Malaysia sehingga RM90,000 tetapi hari ini, Honda City (Automatik) boleh dibeli dengan harga RM75,000 di Malaysia berbanding Honda City (Manual) di Thailand berharga RM69,000.

    Kita boleh melihat perbezaan harga yang semakin berkurangan, namun produk yang berada di Malaysia berada pada tahap antara yang terbaik di Asia. Ini antara aspek yang perlu kita lihat, bukan semata-mata pada harga yang murah tetapi harga yang kompetitif sesuai dengan faktor keselamatan dan keselesaan serta impak kepada alam sekitar yang turut diambil kira,” katanya.

     
     
  • Perodua Myvi 2018 terima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang – jalani protokol ujian yang lebih ketat

    Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) secara rasminya telah menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Perodua bagi model Myvi 2018 yang telah menerima penarafan lima-bintang bagi ASEAN NCAP. Ujian kemalangan itu dijalankan pada Oktober tahun ini.

    “Kami berbangga dan pada masa yang sama berasa rendah hati dengan pengiktirafan pencapaian terbaru ini. Perodua merupakan sebuah syarikat yang meletakkan pelanggan dahulu, dan Myvi baru ini mencerminkan usaha bersungguh kami setakat ini untuk memastikan keselamatan pelanggan dan penumpang di dalam kenderaan kami,” jelas Presiden dan CEO Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

    Lebih penting, Myvi 2018 telah diuji berdasarkan protokol terkini ASEAN NCAP 2017-2020 yang lebih ketat. Ia melibatkan perbezaan berbanding piawaian ujian sebelum ini, dan anda boleh membaca lanjut tentangnya di sini. Myvi mencatatkan 32.71 mata daripada keseluruhan 36 mata bagi ujian Adult Occupant Protection (AOP), mewakili 90.9% pencapaian. Ini diikuti dengan 43.14 mata daripada jumlah keseluruhan 49 mata bagi Child Occupant Protection (COP), mewakili 88% pencapaian.


    Klik untuk besarkan

    Penarafan lima-bintang yang diterima adalah untuk semua varian Myvi, yang hadir dengan ciri standard empat beg udara, ABS dan EBD, VSC, Emergency Stop Signal, ISOFIX, sensor undur dan peringatan tali pinggang keledar bagi semua tempat duduk.

    Varian 1.5L pula lengkap dengan enam beg udara, sementara varian dengan spesifikasi paling tinggi, 1.5L Advance turut hadir dengan ciri Advanced Safety Assist (ASA) yang terdiri dari empat ciri; Pre-Collision Warning, Pre-Collision Braking, Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control.

    “Myvi terbaru ini menjadi satu-satunya kenderaan di Malaysia yang menawarkan pakej keselamatan maju pada tanda harga berkenaan. Malah, ia adalah kereta paling mampu milik yang datang dengan ciri autonomous emergency braking dalam pasaran Malaysia kini. Kami ingin membawakan ciri keselamatan aktif untuk manfaat lebih ramai pengguna,” tambah beliau.

    Untuk tahu lebih lanjut tentang Myvi 2018, ikuti laporan pandu uji serta ulasan video yang telah kami sediakan sebelum ini. Myvi 2018 dijual pada harga dari RM44,300 hingga RM55,300.

    GALERI: Perodua Myvi 1.5L Advance 2018

     
     
  • SIC sasar letak Hafizh Syahrin dalam pasukan MotoGP Jepun pada tahun 2019 sekiranya tunjuk prestasi baik

    SIC sasar letak Hafizh Syahrin dalam pasukan MotoGP Jepun pada tahun 2019 sekiranya tunjuk prestasi baik

    Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin akan berlumba dalam pasukan baru Petronas Sprinta Racing bermula musim hadapan, dan pasukan ini diuruskan bersama oleh Sepang International Circuit (SIC).

    Mengulas lebih lanjut berkenaan perkara ini, ketua pegawai eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali memberitahu New Straits Times bahawa sekiranya Hafizh berjaya mencapai KPI lima tempat teratas secara keseluruhan pada musim hadapan, SIC boleh membantu membawa beliau ke kategori MotoGP pula seterusnya.

    Razlan memberitahu lagi, sekiranya perkara itu berlaku, beliau sudah nampak pasukan mana yang berpotensi untuk Hafizh. Sementara pasukan Repsol Honda, LCR Honda, Movistar Yamaha dan Yamaha Tech 3 masing-msing semua sudah ada pelumba untuk sehingga tahun 2019, beliau seterusnya melihat kemungkinan kepada pasukan Suzuki Ecstar dan Ducati.

    SIC sasar letak Hafizh Syahrin dalam pasukan MotoGP Jepun pada tahun 2019 sekiranya tunjuk prestasi baik

    Walaubagaimanapun, Razlan memberitahu New Straits Times lagi bahawa beliau lebih senang bekerjasama dengan pasukan Jepun kerana beberapa sebab. Antaranya adalah beliau dapat mengkomersialkan pasukan Malaysia melalui pasukan Jepun dengan lebih baik.

    Berkenaan penubuhan pasukan SIC sendiri dalam MotoGP, Razlan memberitahu masih belum mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk berbuat sebegitu, sebaliknya cara terbaik untuk masa ini adalah dengan meletakkan pelumba dalam pasukan yang sudah ada seperti yang dilakukan melalui Zulfahmi Khairuddin sebelum ini.

     
     
  • Toyota Yaris Ativ/Vios 2018 terima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang dengan protokol 2017-2020 baharu

    Toyota Yaris Ativ/Vios 2018 terima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang dengan protokol 2017-2020 baharu

    Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) hari ini telah mengumumkan keputusan untuk ujian untuk suku keempat tahun ini yang telah dijalankan, merangkumi ujian yang dilakukan terhadap Perodua Myvi dan Toyota Vios generasi baharu (baharu sahaja dilancarkan di Singapura) atau kembarnya dalam versi kereta eco di Thailand dengan enjin 1.2 liter iaitu Yaris Ativ.

    Untuk Perodua Myvi seperti yang telah diumumkan ketika pelancarannya bulan lalu, ia menerima penarafan lima bintang. Begitu juga Vios/Yaris Ativ, model ini turut menerima markah lima bintang dari ASEAN NCAP.

    Toyota Yaris Ativ/Vios 2018 terima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang dengan protokol 2017-2020 baharu

    Seperti juga Honda CR-V 2017 yang diuji pada Julai lalu, kesemua ujian terkini ini telah menggunakan protokol baharu 2017-2020 dengan hanya satu penarafan menggabungkan hasil ujian perlindungan penumpang dewasa (AOP), perlindungan kanak-kanak (COP) dan Teknologi Bantuan Keselamatan (SAT) yang ternyata lebih ketat.

    Bagi Vios/Yaris Ativ, kereta berkenaan memperolehi 81.63 mata hasil dari gabungan markah dari AOP dengan 44.7 mata, COP dengan 21.66 mata dan SAT dengan 15.28 mata. Markah ini jelas lebih tinggi dari model Vios generasi sebelum ini (masih dijual pada pasaran Malaysia) yang menerima hanya empat-bintang.

    Antara ciri keselamatan yang diberikan pada Vios dan Yariz Ativ termasuk tujuh-beg udara untuk kesemua varian, ESC, ABS dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix bersama cangkuk untuk bahagian atas.

    Selain dari Vios dan Myvi, ASEAN NCAP turut mengumumkan dua lagi kenderaan yang diuji mereka pada kali ini iaitu Chery Transcab dan Suzuki Carry – kedua-duanya merupakan trak komersil ringan yang pertama diuji oleh ASEAN NCAP, tidak dijual di Malaysia dan kedua-duanya menerima penarafan 0-bintang.

    Dalam ujian ini, Chery Transcab menerima markah penuh hanya 17.04 mata, manakala Suzuki Carry pula menerima hanya 17.14 mata. Hanya ujian AOP dilakukan terhadap kedua-dua trak ini kerana tiada ruang penumpang belakang pada kedua-duanya (single cab) dan Suzuki Carry pula hanya menerima markah untuk ujian pelanggaran offside hadapan. Trak-trak ini juga tidak menerima sebarang markah untuk SAT kerana tidak diberikan sebarang sistem keselamatan elektronik.

     
     
  • SPYSHOT: Hyundai Veloster Turbo 2019 dilihat penuh

    SPYSHOT: Hyundai Veloster Turbo 2019 dilihat penuh

    Setakat ini kita sudah tahu bahawa Hyundai Veloster generasi seterusnya akan membuat penampilan rasmi semasa acara North American International Auto Show (NAIAS) 2018 bulan hadapan di Detroit. Ini adalah tujuh tahun selepas Veloster pertama dipertontonkan. Hyundai juga sudah menyiarkan gambar model ini yang dibalut dengan pelekat camo, tapi ini pula adalah gambar yang lebih jelas.

    Walaupun dalam keadaan malam dan waktu yang sibuk pada hujung minggu, jurugambar intipan kami berjaya menangkap gambar model coupe kompak yang sporty ini, tanpa sebarang pelekat sewaktu ia sedang menjalani penggambaran untuk tujuan promosi.

    Memandangkan kini kita sudah melihat kedua-dua belah bahagian Veloster ini, boleh disahkan bahawa konfigurasi unik pintu belakang di satu belah sahaja diteruskan lagi pada model baru ini. Terdapat juga gril heksagonal besar di bahagian depan dan lampunya nampak lebih kecil dan tajam berbanding sebelum ini. Di bahagian hujung bampar pula terdapat penghadang angin.

    SPYSHOT: Hyundai Veloster Turbo 2019 dilihat penuh

    Kereta yang ditemui ini mempunyai skema warna dua tona, dengan bumbung serta bahagian A-pillar berwarna hitam. Warna gelap ini juga digunakan pada kemasan yang lebih rendah pada badan seperti lip hadapan, side skirt dan bampar belakang. Veloster baru ini juga nampak seperti lebih sporty dan mempunyai rekaan lebih tajam.

    Perubahan yang lebih besar boleh dilihat pada bahagian belakang, dengan lampu yang lebih panjang. Cermin belakang juga kelihatan lebih panjang, yang menjelaskan lagi kelebaran kereta ini. Sama seperti Elantra AD, terdapat tiga elemen di dalam lampu belakang tersebut tapi kami tidak dapat melihat bentuknya dengan jelas. Ini juga mungkin adalah model Turbo, dengan dua muncung ekzos di tengah.

    Veloster baru ini boleh dijangka akan menggunakan enjin Gamma T-GDi turbo dengan padanan kotak gear automatik klac berkembar dan manual enam kelajuan. Hyundai nampaknya masih percaya dengan kotak gear manual, dan akan melancarkan hot hatch pertama mereka dan model N (i30 N) dengan pilihan kotak gear tersebut.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026