Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • 4PAM gariskan cadangan bagi penambah baikan perkhidmatan bas ekspres; termasuk hukuman penjara

    4PAM gariskan cadangan bagi penambah baikan perkhidmatan bas ekspres; termasuk hukuman penjara

    Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam (4PAM) mencadangkan agar pengarah dan syarikat pengusaha pengangkutan awam didakwa dan diambil tindakan yang keras, termasuk hukuman penjara jika gagal patuhi peraturan dan undang-undang berkaitan pengangkutan awam.

    Menurut laporan Bernama, Presidennya, Ajit Johl berkata langkah itu adalah penting untuk melaksanakan rasa tanggungjawab di dalam industri pengangkutan awam dan menambahbaik industri perkhidmatan bas ekspress di negara ini.

    “Kami mahu pengarah-pengarah dalam syarikat pengangkutan awam dipertanggungjawabkan bagi mana-mana isu berkaitan kegagalan mematuhi peraturan sedia ada. Mereka patut mengambil tanggungjawab itu memandangkan mereka berurusan dengan industri yang melibatkan keselamatan nyawa orang-ramai,” jelasnya di dalam satu kenyataan semalam.

    Dengan pertambahan jumlah penumpang, Ajit berkata ada keperluan mendesak untuk memastikan ketelusan di dalam pelaksanaan peraturan industri berkenaan, terutama dengan tragedi terbaharu yang berlaku sebelum ini yang sepatutnya mendorong kepada perubahan segera peraturan dan pengurusan pengangkutan awam.

    Beliau juga menegaskan, sepatutnya semua pemandu bas wajib mempunyai lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV), tiada saman trafik dan rekod polis, disamping perlu menjalani ujian kesihatan sebagai keperluan asas, memandangkan pekerjaan mereka melibatkan nyawa manusia.

    Ajit juga mencadangkan semua bas ekspres yang berada di atas jalan dipasangkan dengan alat had kelajuan dan pengesan GPS yang disambung terus kepada sistem pusat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang dengan automatik akan mengenakan saman kepada mana-mana bas yang melebihi had laju.

    “Sebagai tambahan, kami juga mencadangkan semua bas ekspres dipasangkan dengan CCTV, disamping memperbaiki aspek perlindungan insurans terhadap semua penumpang,” tambah beliau.

     
     
  • VIDEO: Porsche 911 1971 ‘277’ Magnus Walker bertemu Datsun Fairlady 240Z ‘Fugu Z’ Sung Kang

    Magnus Walker dari Urban Outlaw mungkin tidak hype seperti pemilik Rauh-Welt Begriff (RWB) iaitu Nakai-San. Namun dalam dunia pengubahsuaian dan pengumpul Porsche klasik, Walker sebenarnya merupakan lagenda hidup yang terkenal dengan sentuhannya yang begitu unik, diberikan pada koleksi jentera-jenteranya.

    Dalam video terbaharu di saluran YouTube beliau, Walker berpeluang memandu dan menukar keretanya dengan kereta milik bintang Fast and Furious – Sung Kang, pada pertemuan di jalan bukit kegemarannya – Angeles Crest di Los Angeles, California.

    Walker membawa salah sebuah Porsche 911 miliknya yang paling terkenal – 277 – iaitu model tahun 1971, dijana enjin perlumbaan bentangan boxer enam-silinder, 2.6 liter NA, dengan dua buah karburator perlumbaan tiga tekak diletakkan pada kedua-dua buah kepala enjin.

    Manakala Sung Kang pula membawa Datsun Fairlady 240Z miliknya, dikenali sebagai Fugu Z. Ia dijana enjin RB26 dari Nissan Skyline R32 GT-R tetapi tanpa bantuan pengecas turbo bagi mengekalkan karekter asal kereta sport klasik tersebut, digadingkan dengan kotak gear lima-kelajuan dari enjin RB25 serta turut dilengkapi dengan pelbagai perlalatan transmisi berprestasi tinggi dari OS Giken seperti sistem klac dan juga unit gandar LSD.

    VIDEO: Porsche 911 1971 ‘277’ Magnus Walker bertemu Datsun Fairlady 240Z ‘Fugu Z’ Sung Kang

    Satu perkara lagi yang menarik berkenaan Fugu Z ini ialah pada bahagian luarannya, di mana ia menerima kit badan Rocket Bunny, roda aloi Rays Engineering TE37V serta perincian JDM lain seperti cermin sisi fender berbentuk bulat.

    Menurut Walker ketika memandu Fugu Z, kereta Jepun dengan enjin hadapan pacuan roda belakang tersebut agak sama seperti Jaguar E-Type dan Ford Capri Zakspeed, memberikan karekter yang unik kepada sebuah kereta litar yang boleh dipandu di atas jalan raya.

    Sung Kang pula berkata, beliau merupakan peminat Walker dan merupakan sumber inspirasinya untuk mula membina Fugu Z. Pertemuan kali ini yang melibatkan pertukaran kereta antara mereka membolehkan beliau mendapatkan pendapat Walker berkenaan talaan pada Fugu Z, dan mungkin akan diaplikasikan pada masa hadapan.

    Atas reputasi dan mengambil inspirasi bagaimana angan-angannya untuk memiliki Porsche sejak dari kanak-kanak, pengeluar kereta replika berskala 1/64 Hot Wheels, Mattel, memberi penghormatan kepada Magnus Walker untuk mereka bentuk barisan model Hot Wheels Porsche Urban Outlaw pada April tahun lalu. Begitu juga dengan Sung Kang, Fugu Z versi kecil dengan skala 1/64 juga telah diumumkan oleh Hot Wheels dan kini telah pun berada dalam pasaran.

     
     
  • Nissan dan Infiniti kini menawarkan waranti tujuh-tahun dengan perbatuan tanpa had di Malaysia

    Nissan dan Infiniti kini menawarkan waranti tujuh-tahun dengan perbatuan tanpa had di Malaysia

    Hari pertama bagi 2017 telah pun bermula, diharap dapat merancakkan lagi industri automotif di Malaysia. Sempena menyambut ulang tahun yang ke-60 bagi Tan Chong Group, Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) dan Inspired Motor Sdn. Bhd. telah mengumumkan waranti baharu selama tujuh-tahun dengan perbatuan tanpa had untuk model-model Nissan dan Infiniti. Ia adalah menggantikan waranti terdahulu iaitu tiga-tahun dan perbatuan sehingga 100,000 km.

    Tawaran ini menjadikan ia sebagai dua jenama kenderaan yang menawarkan waranti terpanjang di negara ini. Di mana Nissan telah mengatasi Toyota dan Honda yang kedua-duanya menawarkan waranti selama lima-tahun dan perbatuan tanpa had. Manakala Infiniti pula mendahului jenama premium yang menawarkan waranti terpanjang, sekaligus mengatasi Lexus dan BMW (waranti lima-tahun, perbatuan tanpa had).

    Pengarah Pemasaran dan Jualan ETCM, Christopher Tan berkata, “Tahun ini, kami meraikan ulang tahun Tan Chong Group yang ke-60. Dengan rasa gembira dan bersyukur, kami berbangga untuk mengumumkan tempoh waranti kenderaan yang terbaik di Malaysia. Kualiti Global Nissan memberi keyakinan kepada Tan Chong Group untuk menawarkan kepada pelanggan kami ketenangan minda, kos penyelenggaran yang rendah dan nilai jualan semula yang lebih baik.”

    Nissan dan Infiniti kini menawarkan waranti tujuh-tahun dengan perbatuan tanpa had di Malaysia

    Waranti ini adalah berbeza jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan oleh Hyundai iaitu waranti lapan-tahun bagi penjana kuasa (enjin dan kotak gear) bagi Sonata, kerana ia hanya dibuka untuk pemilik pertama kenderaan terbabit sahaja.

    Bagi waranti yang ditawarkan oleh Nissan dan Infiniti ini, lima tahun pertama adalah waranti standard daripada pengeluar, manakala untuk waranti bagi tahun ke-enam dan ke-tujuh adalah untuk enjin, transmisi dan bahagian alat ganti terpilih sahaja. Secara asasnya, ia lebih kepada pakej 5+2, dengan perlindungan bahagian mekanikal utama melebihi dua tahun.

    Tawaran ini melibatkan semua model Nissan kecuali pikap Navara yang dihadkan kepada lima-tahun atau perbatuan sejauh 150,000km, manakala bagi kenderaan kegunaan komersial, waranti adalah sama seperti sebelumnya iaitu selama tiga-tahun atau perbatuan sejauh 100,000km. Waranti tujuh-tahun dikendalikan sepenuhnya oleh Tan Chong Group. Ia boleh dipindahkan kepada pemilik seterusnya dalam tempoh jaminan itu.

     
     
  • Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    2016 akan melabuhkan tirainya dalam sedikit waktu saja lagi. Seperti yang anda sedia maklum, 2016 merupakan tahun yang tidak kalah menarik dan mencabar, baik bagi industri automotif tempatan mahupun bagi kami di paultan.org/bm sendiri.

    Sebagai penutup, selain daripada artikel khas berkaitan kenderaan harian yang dipandu oleh individu di dalam editorial BM, kami sajikan pula senarai lima model teratas yang menjadi pilihan setiap seorang daripada kami.

    Namun, perlu dinyatakan, ini bukanlah sebuah senarai ‘Kenderaan Terbaik’ yang dilancarkan tahun ini. Ia merupakan senarai pilihan yang peribadi, terhadap model atau kenderaan yang sempat dipandu oleh kami sepanjang tahun ini. Dan, tidak pula semestinya model kenderaan terkini.

    Senarai ini terdiri daripada model-model yang difikirkan memberi kesan yang mendalam atau tersendiri; setiap daripada pilihan tersebut kami sertakan pula dengan pandangan mengapa model-model berkenaan ikut tersenarai di dalamnya.

    Mengapa hanya lima? Alasannya mudah saja; kami perlu memikirkan dengan cermat mengapa sesebuah kenderaan itu perlu disertakan. Senarai berkenaan kemudiannya mampu menjadi cerminan kepada pandangan setiap seorang dalam kalangan kami. Terima kasih di atas sokongan sepanjang 2016 dan Selamat Tahun Baru 2017.

    HAZRIL HAFIZ

    Bagi saya, sesebuah kenderaan mampu mencapai keseimbangan – baik dari segi reka bentuk mahupun kejuruteraan – tetapi sangat sukar untuknya menghampiri kesempurnaan. Semuanya dibangunkan untuk memenuhi keperluan-keperluan tertentu yang berbeza-beza.

    Untuk itu, setiap daripadanya mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri pula. Apa pun, sepanjang tahun ini, dengan kesempatan untuk mencuba model-model kenderaan yang pelbagai, saya cuba perjelaskan sebaik mungkin, secara ringkas dan padat, mengapa dan bagaimana saya tiba kepada senarai peribadi ini.

    5. Hyundai Ioniq Hybrid

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Ini kereta yang sempat saya pandu minggu lalu. Dan, Hyundai Ioniq berjaya melangkaui jangkaan awal saya terhadap sebuah kereta hibrid. Hanya kerana ia sebuah kereta hibrid, tidak semestinya ia membosankan. Ini tangapan saya selepas memandu uji penawaran model hibrid terbaharu dalam pasaran Malaysia ini.

    Mengapa saya kata begitu? Pertama, aspek pemanduan yang diberikan oleh kereta ini tidak mengecewakan. Walaupun pada permukaan ia kelihatan seperti sebuah kereta yang ‘jinak’, namun dalam waktu-waktu diperlukan, karektor pemanduannya boleh berubah. Mod Sport yang ada juga bukan sekadar hiasan semata-mata; prestasi turut dipertingkat dalam keadaan itu.

    Kedua, pakej teknologi pintar yang melengkapinya. Anda tidak akan dapat penawaran yang sama, pada tanda harga seperti ini dari model-model hibrid yang lain. Jimat dan pada ketika diperlukan – misalnya di jalan yang berliku dan berbukit – ia mampu menggalas keperluan pemanduan sebegitu dengan agak baik. Apa lagi yang kita perlukan dari sebuah kereta hibrid?

    4. Proton Saga

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Suka atau tidak, 2016 merupakan “Tahun Proton”. Sekurang-kurangnya jika dilihat dari sudut liputan media yang diberikan; empat model baharu dalam setahun, itu saya fikir memerlukan tenaga dan fokus yang bukan kepalang. Namun, di antara Perdana, Persona dan Ertiga, Saga merupakan model yang sangat menarik untuk diberi perhatian.

    Sangat ketara perbezaannya – termasuk dari aspek pembuatan dan pemanduan – jika dibandingkan dengan versi terdahulu. Dan, ia merupakan model entry level; bermakna, lebih ramai pemilik mempunyai akses kepadanya. Dengan tanda harga yang rendah, ia memberikan lebih daripada sekadar penampilan luarannya.

    Selepas memandu ulang-alik dari Kuala Lumpur ke Ipoh, kereta ini mampu yakinkan saya bahawa ia benar-benar ingin memberikan kualiti yang jarang ada pada kenderaan dalam kelasnya. Saya rasakan ia lebih tegap ketika dipandu, dengan maklum balas prestasi yang tidak mengecewakan. Harapnya pengalaman pemilikannya juga kini bertambah baik.

    3. Yamaha NMax 150

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Tidak terlalu berlebihan jika saya katakan, ini skuter yang membuatkan saya berasa teruja, baik sebelum mencuba hinggalah selepas mengembalikan unit tunggang ujinya. Bahkan, hingga ke waktu ini, selepas mencuba beberapa lagi motosikal lain, Yamaha NMax kekal ditangga teratas sebagai sebuah jentera yang menyeronokkan dan bersahaja tunggangannya.

    Enjin SOHC 155 cc dengan teknologi Blue Core yang melengkapinya memberikan tunggangan yang responsif dan sangat meyakinkan. Tambahan pula, bagi kelas motosikal 150 cc, skuter ini punyai banyak kelebihan. Dari segi prestasi, janaan 14.8 hp pada 8,000 rpm dan 14.4 Nm pada 6,000 tork sudah memadai; ini satu-satunya skuter yang sangat ideal saya rasakan untuk ramai orang.

    2. Kia Sorento 2.2L CRDi Turbodiesel

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Saya sangat menggemari kenderaan diesel di atas satu faktor yang paling utama; ia mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api yang akan membuatkan anda tersenyum lebar dan pada masa yang sama, membekalkan daya tork yang besar (saya lebih menghargai daya tujah ini berbanding kelajuan maksimum).

    Kebiasaannya, jika membincangkan tentang enjin diesel, saya agak cenderung kepada trak pikap yang lebih lasak. Namun, melalui SUV tujuh tempat duduk Kia Sorento 2.2L CRDi Turbodiesel ini, ia hadir dengan satu lagi kelebihan – keselesaan dalam ruang kabin.

    Dengan kuasa 200 PS pada 3,000 rpm dan 441 Nm tork di antara 1,750 hingga 2,750 rpm dengan sistem pacuan AWD, tak ada apa lagi yang saya inginkan daripadanya. Sepanjang mencubanya untuk perjalanan jauh sebelum ini, bacaan penggunaan diesel yang sempat dicatatkan ialah 10.6 km/l.

    1. Honda Civic 1.5L Turbo

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Saya tak dapat menafikan kegirangan untuk sekadar berada di dalam kereta ini, apa lagi untuk memandunya. Walaupun dengan kelemahan-kelemahan tertentu (misalnya penyandar tempat duduk belakang yang tak boleh diturunkan), Honda Civic 1.5L Turbo ini saya kira mampu memuaskan sedikit sebanyak gian memandu yang pada kebiasaannya mungkin hanya terkurung elok.

    Memanglah ia bukan sebuah kereta sport, tetapi Civic ini boleh diharap dalam kebanyakan keadaan. Untuk beberapa ketika, ia akan kekal sebagai sebuah kereta dalam segmen C yang tampil dengan keseimbangan yang sangat ideal di antara kejuruteraan dan reka bentuk fizikal yang dipersembahkan pada sebuah produk akhir.

    Dengan enjin petrol 1.5 liter VTEC Turbo L15B7 suntikan terus, dengan janaan kuasa 173 PS pada 5,500 rpm dan tork maksimum 220 Nm di antara 1,700 hingga 5,500 rpm, ini sahaja sudah mencukupi untuk meletakkannya sebagai sebuah kereta yang bukan hanya agresif dari sudut penampilan, malah turut menawarkan prestasi pemanduan yang sepadan.

    FARID AWALUDIN

    2016 merupakan tahun yang agak sibuk untuk industri automotif Malaysia. Pengeluar-pengeluar automotif dalam pasaran tempatan berlumba-lumba melancarkan model baharu.

    Perkembangan ini turut membuat kami juga amat sibuk sepanjang 2016. Bayangkan, Proton sahaja melancarkan empat model baharu, menyebabkan saya perlu pergi ke litar ujian Proton sebanyak empat kali, dan majlis pelancaran juga empat kali. Itu baru Proton, belum masuk pengeluar-pengeluar lain lagi.

    Jadi, antara lambakan model yang diuji tahun ini, senarai di bawah merupakan yang paling memberikan impak kepada saya.

    5. Proton Persona 1.6L Premium

    proton-persona-1-6-premium-bm-03

    Semasa pertama kali memandu Iriz dahulu, saya sangat sukakan pengendalian, stereng serta breknya. Namun, dengan transmisi CVT yang membuatkan enjinnya mengaum tidak tentu hala, serta bunyi CVT itu sendiri yang berdesing seperti kapal terbang mahu berlepas, agak merencatkan keseronokan memandunya.

    Sebelum memandu uji Persona, saya beranggapan Proton akan membuat perkara yang sama seperti pengeluar lain yang mengubah sebuah hatchback kepada versi sedan iaitu memindahkan sahaja segala sistem mekanikal kepada kereta baharu tersebut.

    Tapi sangkaan saya meleset; Proton mengambil serius segala aduan yang diterima dan hasilnya, transmisi CVT telah ditala semula dan memberikan respon yang jauh lebih baik. Bunyi berdesing juga lenyap, malah aspek NVH lain juga jauh lebih bagus berbanding Iriz.

    Dengan dilengkapi enam beg udara dan ESC, hampir tiada yang mahu saya persoalkan pada sedan segmen-B yang berharga RM60k ini, selain dari rupa bentuk luarannya yang err… ehem. Jujur saya katakan, dengan kelengkapan pengendalian yang bagus, Persona lebih baik dari sedan segmen-B berjenama Jepun tertentu.

    4. Mitsubishi Triton 2.4L MIVEC Diesel Turbo Borneo Safari

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Dengan bar-bar perlindungan disekeliling, lampu-lampu tambahan, suspensi yang dipertingkat, roda aloi aftermarket dibaluti tayar off-road ekstrem, badan yang diangkat dari casis, unit snorkel dan winch serta balutan pelekat seluruh badan dengan elemen celoreng bersama grafik Ralli Art di sana sini, sudah cukup untuk membuatkan jiwa kanak-kanak saya melonjak-lonjak.

    Dapat memandunya dalam ekspedisi antara yang paling mencabar dalam dunia iaitu Borneo Safari, itu merupakan pengalaman yang sangat menyeronokkan. Sistem MIVEC pada enjin turbodiesel baharu ini juga telah membuka mata saya. Talaan yang diberikan benar-benar membantu dalam situasi sukar pada laluan off-road.

    Bukan semua pengeluar berani untuk menyertai Borneo Safari ini kerana ia benar-benar tough. Bayangkan jika gandar hadapan trak pikap rosak ini ketika merentasi halangan dalam ekspedisi ini (majoriti peserta persendirian mengubahsuai gandar hadapan dengan menggantikan drive shaft standard kepada live axle kerana dikhuatiri kelengkapan standard berkemungkinan boleh patah), tentunya reputasi mereka akan rosak.

    Namun, Mitsubishi Motors Malaysia yakin dengan kebolehan produk mereka, dan semua Triton selamat keluar dari hutan setelah lapan hari berekspedisi.

    3. Honda Civic 1.5 VTEC Turbo

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Sebagai seorang peminat generasi Civic, kedatangan model ini ke Malaysia sememangnya ditunggu. Setelah kecewa dengan Civic generasi kesembilan (FB) yang sudah hilang imej sporty, harapan besar saya letakkan pada model generasi kesepuluh ini.

    Nyata prestasinya tidak mengecewakan. Suspensi ditala dengan adunan sporty dan turut mengambil kira keselesaan penumpang. Posisi pemanduan juga sangat rendah memberikan sensasi pemanduan yang lebih seronok.

    Enjin 1.5 liter VTEC Turbo juga memberikan kuasa yang lebih baik berbanding enjin 2.0 liter R20 pada Civic FB dan enjin K20 dari Civic FD. Namun, saya tidak berapa gemar dengan transmisi CVT yang terlalu ‘lembut’, menghilangkan sedikit sebanyak karekter sporty dari enjin.

    2. Volvo S60 T6 Drive-E

    volvos60_ext-4

    Model yang anda lihat ini diberikan rim, spoiler belakang dan diffuser bampar belakang opsyen. Jika anda ke bilik pameran Volvo, S60 T6 Drive-E ini kelihatan ‘kosong’ dan diberikan roda aloi Sadia 17-inci. Bahagian dalaman juga kelihatan agak ‘pejabat’ dengan upholstery kulit biasa dan kemasan aluminium serta elemen corak kayu oak palsu. Tiada langsung bayangan ia sebuah model berprestasi tinggi.

    Namun, perkara sebaliknya pada ruang enjin. S60 T6 Drive-E ini dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder dengan suapan supercharger dan juga pengecas turbo. Kuasa keseluruhan dihasilkan – 306 hp pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,100 hingga 4,800 rpm.

    Kuasa liar ini dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan baharu dari Aisin. Bukan sahaja sangat berkuasa, malah T6 Drive-E yang diiktiraf sebagai EEV ini juga jimat petrol!

    Satu lagi kejutan yang diberikan S60 T6 Drive-E ialah ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM238,888, berbanding Mercedes-Benz C 250 AMG Line (2.0 liter turbo berkuasa 211 hp/350 Nm) dijual pada harga RM287,888 manakala BMW 330i M Sport (2.0 liter turbo berkuasa 252 hp/350 Nm) pula dijual pada harga RM297,800.

    1. Volkswagen Vento 1.2 TSI Highline

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Secara jujur, saya kurang gemar dengan sedan-sedan segmen-B. Sedan segmen ini direka untuk memberikan ruang yang besar pada kerangka badan yang kecil, enjin yang jimat bahan api, serta perlu dibina dengan kos yang murah agar ia kompetitif dalam pasaran.

    Oleh itu, ia mempunyai had-had tertentu, misalnya penggunaan transmisi CVT atau torque converter, serta kerangka badan yang agak ringan bagi mengurangkan kos produksi bagi membolehkan kecekapan bahan api meningkat. Sistem suspensi juga perlu direka ringkas bagi mengurangkan kos, menyaksikan kebanyakkan sedan segmen-B menggunakan suspensi jenis torsion beam pada bahagian belakang.

    Sudahnya, sedan segmen-B menjadi sedan yang bosan untuk dipandu dan kebanyakkan daripadanya akan melambung-lambung bila dipandu dijalan beralun, serta terhuyung-hayang ketika dipotong oleh bas ekspres.

    Untuk memberikan sedikit keseronokkan dalam sedan segmen-B ini, pengeluar biasanya akan memberikan ciri-ciri ‘ala-mewah’ seperti lampu nyalaan siang LED serta paparan papan pemuka yang futuristik, berbanding mengambil kira ciri keseronokan pemanduan sebenar seperti unit janakuasa dan juga talaan suspensi.

    Volkswagen Vento 1.2 TSI Highline menongkah arus trend penghasilan sedan segmen-B ini. Ia diberikan enjin 1.2 liter TSI dengan bekalan tork 175 Nm, digandingkan dengan transmisi tujuh-kelajuan klac berkembar DSG benar-benar mengujakan saya.

    Masih menggunakan suspensi torsion beam pada bahagian belakang, tetapi ditala dengan begitu teliti, memberikan karekter pengendalian yang sangat baik diselekoh, serta sangat stabil pada kelajuan tinggi.

    Ia juga diberikan rim 16×7 jj dan tayar berprestasi tinggi saiz penuh. Tidaklah ia kelihatan kelakar dengan rupa seperti roda sport yang besar dari sisi, tapi kelihatan kurus jika dilihat dari hadapan dan belakang, selain benar-benar membantu pengendalian. Boleh dikatakan karekter suspensi Vento ini adalah setara dengan sedan segmen-C yang lebih besar dan mahal.

    Walau bagaimanapun, untuk memastikan harganya kekal kompetitif, Vento tidak dilengkapi dengan gimik-gimik seperti lampu utama LED, lampu nyalaan siang, skrin infotainmen dan sebagainya, yang pada saya ciri-ciri sebegini sebenarnya lebih kepada kepuasan show-off berbanding kepuasan pemanduan sebenar

    IZWAASHURA SADALI

    Tahun 2016 menyaksikan banyak model baharu dan facelift yang dilancarkan di Malaysia. Ia memberikan senarai yang lebih bervariasi kepada rakyat negara ini untuk mendapatkan kenderaan baharu.

    Tahun sebelum ini, ada perkhabaran yang menyatakan harga kenderaan akan diturunkan kerana perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), tetapi disebabkan nilai Ringgit Malaysia yang kian menyusut dalam pertukaran asing, beberapa syarikat pengeluar kenderaan terpaksa menaikkan harga jualan modelnya. Ini termasuklah Nissan, Mitsubishi, Proton dan Mazda.

    Namun kenaikan harga ini seakan tidak menjadi penghalang untuk orang ramai meneruskan hasrat untuk membeli kenderaan baharu. Malah, kami kerap diajukan pelbagai pertanyaan mengenai kelebihan (dan kekurangan) sesuatu model kenderaan, adakah ia berbaloi dengan harga, bagaimana prestasi dan sebagainya. Dan jika ditanya, apakah model kenderaan yang menjadi pilihan saya bagi tahun ini; ini jawapannya.

    5. Mitsubishi Outlander

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Jika anda mencari SUV tujuh-tempat duduk yang selesa dan mempunyai ruang yang agak besar, model yang saya sarankan ialah Mitsubishi Outlander. Walau pun karakternya bersifat sederhana dengan tujahan kuasa dari enjin 2.4 liter empat-silinder MIVEC, ia sudah memadai bagi sebuah SUV seperti Outlander ini.

    Dengan hamburan kuasa 167 PS pada 6,000 rpm dan tork 222 Nm pada 4,100 rpm, dipadankan pula dengan kotak gear automatic INVECS-III CVT dengan pedal penukar gear di belakang stereng, ia masih mampu memberikan pacuan yang mantap.

    Karakter luaran Outlander ini turut diberikan suntikan secara besar-besaran, malah ia menggunakan imej terkini yang ditonjolkan oleh Mitsubishi iaitu “Dynamic Shield”, seperti mana yang ditampilkan pada model konsep XR-PHEV dan eX, juga Pajero Sport terbaharu. Sekaligus memberikan imej yang lebih segar, ranggi, elegan dan bergaya. Sesuai dengan karakternya sebagai sebuah SUV bersifat moden, walau pun tidak dibaluti elemen mewah.

    Harganya pula RM 166,720.00, terletak di pertengahan di antara model pesaingnnya iaitu Nissan X-Trail 2.5L (RM159,164) dan Honda CR-V 2.4L (RM167,620), memberikan salah satu tiket untuk Outlander dijadikan pilihan, selain memiliki ruang yang lebih luas dan selesa. Secara konklusi, berbanding X-Trail, Outlander lebih selesa dikendalikan, walau pun CR-V mungkin lebih sedap dipandu.

    4. Proton Saga 2016

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Suatu kejutan yang tidak terfikir akan dilakukan oleh Proton apabila berjaya menambah baik model Saga 2016 ini. Prestasinya begitu berbeza dengan model terdahulu walau pun masih ditawarkan dengan enjin berkapasiti 1.3 liter.

    Namun kelahiran semula Saga ini, boleh dianggap sebagai pencetus semula kebangkitan Proton yang dilihat menurun kresibilitinya sejak kebelakangan ini. Dan adakah Saga bersama tiga lagi model yang diperkenalkan pada 2016 termasuk Perdana, Persona dan model kerjasama dengan Suzuki iaitu Ertiga, mampu melonjakkan semula jenama Proton dalam industri ini?

    Walau sekadar enjin 1.3L, Saga tidak mengecewakan. Bukanlah sesuai untuk dipandu secara agresif, namun Saga baharu ini memiliki prestasi yang mengejutkan. Ia lebih ‘akrab’ dengan pemanduan dan pacuan yang diingini, malah gabungan transmisi CVT bersamanya juga tidak menghampakan. Ia mampu menghadiahkan pengendalian yang menyeronokkan.

    Pendapat saya, memang cukup berbaloi jika anda memilih Saga baharu ini. Selain prestasi yang dipertingkatkan, harganya yang sekitar RM36k hingga RM45k, boleh dianggap sangat berpatutan. Imejnya juga sedap mata memandang dan walau pun tidak disaratkan dengan pelbagai elemen berteknologi tinggi, apa yang ada pada Saga ini memang berpadanan dengan harga yang ditawarkan. Apa yang anda hendak lagi?

    3. Subaru Levorg 1.6 GT-S

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Mungkin sukar untuk menjadi model yang popular di Malaysia, namun sebenarnya ada karakter tersembunyi pada jentera wagon yang baru memasuki pasaran tahun ini.

    Dengan platform berasaskan jentera WRX, Levorg 1.6 GT-S ini dikuasakan oleh enjin boxer 1.6 liter turbo empat-silinder dengan sistem suntikan bahan api terus (170 PS/250 Nm) dan dipadankan dengan kotak gear Lineartronic CVT dengan enam-kelajuan. Kuasanya disalurkan ke semua roda menerusi sistem Symmetrical All-Wheel Drive Subaru.

    Itu soal mekanikal, adakah ia seiring sejalan dengan prestasi yang dihamburkan dengan kuasa tersebut? Dengan tujahan enjin 1.6L dan gabungan turbo serta padanan transmisi tersebut, ia mampu mengekstrakkan kuasa yang berpadanan. Malahan antara karakteristiknya yang menambat hati ialah kestabilannya ketika dipacu secara agresif. Apatah lagi dengan adanya sistem 4WD, yang peka untuk mengambil tindakan setiap kali diperlukan.

    Imej yang dipertaruhkan juga cukup menarik kerana terserlah sifatnya yang sporty dan dinamik. Cuma soal harganya yang agak tinggi iaitu hampir mencecah RM200k, mungkin membuatkan ia kurang popular di negara kita.

    2. Honda Civic 2016

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Honda seakan membuat percaturan baharu bagi model Civic 2016. Walau pun untuk enjin 1.8L tiada perubahan seperti mana model terdahulu, namun pengenalan enjin 1.5L Turbo yang digunakan pertama kali pada Civic, itu satu perkara yang dianggap cukup menarik.

    Namun ketika memandu ujinya dahulu, sama ada varian 1.5 turbo atau pun 1.8L, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Jika ditanya, varian mana yang lebih menambat hati saya?

    Jawapannya, Civic 1.8 sudah mencukupi. Honda turut mengolah semula talaan transmisi CVT padanya, membuatkan ia lebih cekap. Ia tetap mampu membawa pengalaman pemanduan yang menyeronokkan. Namun demikian, Civic 1.5 Turbo juga tidak kurang hebatnya, tetapi tanpa rasa ‘turbo kick’, prestasinya seakan sama sahaja dengan enjin 1.8.

    Bukan setakat prestasi, saya cukup menggemari imej luaran yang dibawa oleh Civic 2016 ini. Gabungan sporty, garang dan elegan bersatu dengan olahan yang lebih meyakinkan. Sekaligus menyingkirkan kelemahan imej Civic generasi ke-sembilan yang dilihat kurang ummphh.

    1. Mercedes-Benz A 200 AMG Line

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Ia bukanlah model Mercedes-Benz yang paling berkuasa, paling sporty atau yang terbaik. Tetapi untuk yang baru berjinak-jinak hendak memiliki jentera Mercedes-Benz, model ini mungkin boleh dipertimbangkan. Harganya yang ‘lebih mampu milik’ iaitu sekitar RM205,888, dan sesuai untuk penggemar jentera hatchback.

    Lengkap dengan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo VVT, ledakan kuasanya mampu mencecah 156 hp pada 5,300 rpm dan tork puncak pula 250 Nm pada 1,250 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan; walau pun ada sedikit kelemahan pada kotak gear ini, iaitu ia agak sedikit perlahan untuk memberikan respons, namun ini dapat di atasi dengan ledakan enjin yang agak padu.

    Imej luaran dan dalaman yang dibawa? Cukup menambat pandangan dari mata hingga ke hati. Serba-serbi dilihat sporty, malah masih mengekalkan sifat mewah dan elegan tetapi dengan sentuhan yang lebih moden dan berjiwa muda.

    DURRANI SHAROM

    Di antara semua di sini, saya mungkin yang paling kurang memandu uji kereta, dengan hanya beberapa model sahaja yang sempat dicuba tahun ini. Disebabkan itu, senarai kenderaan pilihan saya dicampurkan bersama motosikal, yang tidak kurang juga meriahnya dengan pelancaran pelbagai model.

    Ingin juga dinyatakan di sini bahawa ia adalah sekadar pilihan peribadi, yang mana jika saya berkemampuan, setiap satunya boleh ‘memperdaya’ saya untuk membelanjakan wang simpanan di dalam bank. Pada pendapat saya, memang tiada satu kenderaan yang boleh melakukan semua benda, tetapi pilihan saya ini adalah yang paling bersesuaian jika dilihat pada keperluan tertentu.

    5. Proton Saga

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Daripada empat model baru Proton yang dilancarkan tahun ini, Saga menerima perhatian utama saya kerana pertamanya, ia memberikan akses kepada lebih ramai orang dengan kenderaan yang mampu milik, bermula pada harga RM36,800 dan mempunyai spesifikasi serta kualiti pemanduan yang cukup baik untuk tahapnya. Selain itu, jika dibandingkan pula bentuknya dengan Persona ataupun Perodua Bezza, ia dilihat paling padan.

    Melalui penawaran sebuah kereta sedan yang lengkap pada harga ini juga, Proton secara tidak langsung telah membantu memberi peluang kepada orang yang bukan sekadar mahu membeli kereta untuk kegunaan sendiri, malah juga boleh digunakan untuk menambah pendapatan melalui servis penyelesaian pengangkutan seperti Uber dan Grab.

    4. Yamaha Ego Avantiz 125

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Jika mahukan kenderaan yang paling mudah di dalam kawasan urban, jawapannya adalah skuter kapasiti kecil, dan saya memilih Ego Avantiz 125 yang dilancarkan Julai lalu. Kuasa enjin 125 cc SOHC dengan teknologi Blue Core pada motosikal ini mampu menghasilkan pecutan yang memuaskan meskipun menggunakan transmisi automatik. Anda tidak perlu risau untuk bergerak seiring dengan trafik di dalam bandar dan ia cukup lincah.

    Rekaannya juga nampak moden, dengan lampu utama jenis LED yang dapat memastikan penglihatan anda kepada jalan raya sentiasa jelas termasuk pada waktu malam. Di bawah tempat duduknya, ruang simpanan yang disediakan tidak boleh menyimpan helmet, tetapi masih berguna untuk meletakkan barangan lain seperti baju hujan atau kelengkapan peribadi untuk mengelakkannya daripada hujan. Helmet masih boleh dilekatkan pada cangkuk di bawah tempat duduk tersebut dan dikunci.

    Selain itu, saya juga tertarik dengan betapa mudahnya operasi skuter ini. Sebagai contoh, hanya sebelah tangan sahaja yang boleh digunakan, dengan tenaga yang minimum untuk meletakkannya pada kedudukan rata menggunakan tongkat tengah.

    Selain itu, di bahagian bawah pemegangnnya pula terdapat ruang kecil untuk meletakkan barang seperti botol air. Memandangkan ini adalah sebuah motosikal berteknologi suntikan bahan api, penggunaan bahan api juga memuaskan.

    3. Toyota Sienta

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Walaupun dijual pada harga yang sedikit tinggi, Toyota Sienta dilihat sebagai mempunyai pelbagai kegunaan. Itulah yang menjadikan pengalaman saya memandu kenderaan tujuh tempat duduk ini agak menyenangkan. Ia dikuasakan oleh enjin empat-silinder 1.5 liter Dual VVT-i berserta transmisi CVT, dan menghasilkan tujahan kuasa mencukupi bagi pemanduan seharian.

    Selain dapat menarik pemandu dengan pengendalian yang serba mudah dan lincah, Sienta juga menyediakan keselesaan bagi penumpang dengan bahagian belakangnya mempunyai corong pendingin hawa di bahagian panel bumbung, NVH yang baik dan hentakan suspensi yang bagus.

    Saya menggambarkan, Sienta ini sebagai kenderaan pelbagai guna kerana selain mempunyai ciri yang memudahkan penumpang seperti pintu gelungsur, ia juga dapat memenuhi keperluan pemilik sekiranya ingin membawa barang yang besar kerana tempat duduk belakangnya boleh dilihat rata.

    Jika anda seorang yang aktif contohnya dan perlu membawa kelengkapan sukan seperti basikal saiz penuh tanpa menanggalkan tayarnya, saya tidak dapat melihat sebarang masalah untuk Sienta melaksanakannnya.

    2. Honda RS150R

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    Ramai yang melihat motosikal berkapasiti tinggi sebagai satu penyelesaian pengangkutan yang mudah dan menjimatkan. Walau bagaimanapun, pengguna di negara kita tidak terkecuali dengan mereka yang mahukan prestasi pada motosikal jenis ini. Disebabkan itu jugalah pengeluar berani untuk membawa ke dalam pasaran model seperti Honda RS150R, Yamaha Y15ZR dan Belang 150 Fi.

    Namun, di antara semua itu, bagi keperluan jenis ini, saya memilih Honda RS150R kerana enjinnya mempunyai kelebihan DOHC dan transmisi enam gear yang dipadankan bersama sistem suntikan bahan api. Ini bukan setakat diperhati melalui spesifikasi sahaja, malah apabila menunggangnya juga didapati RS150R mempunyai tujahan kuasa yang lebih mengujakan dan pantas dalam keadaan asal.

    Berkenaan harga, RS150R dijual pada harga RM8,213.94 dan ini sebenarnya tidak banyak perbezaan dengan Y15ZR tetapi kelihatan seperti banyak peniaga yang mengambil kesempatan terhadap ‘motosikal panas’ ini. Bagi mengelakkan terpedaya, pembeli seharusnya lebih rajin untuk pergi kepada lebih banyak kedai untuk membezakan harganya.

    1. KTM SuperDuke GT 1290

    Lima model pilihan individu editorial paultan.org BM – kenderaan yang meninggalkan kesan sepanjang 2016

    KTM Super Duke GT 1290 saya uji semasa pelancaran globalnya di Sepanyol awal tahun ini dan sehingga sekarang, pengalamannya masih bermain segar di ingatan. Motosikal ini diasaskan daripada model Super Duke R, iaitu sebuah model naked yang menggunakan enjin dua silinder V 1,301 cc dan transmisi enam kelajuan. Bagi Super Duke GT, ia dikemas kini supaya bersesuaian dengan konsep jelajah.

    Menariknya motosikal ini, ia sebuah jentera yang cukup ganas namun dalam pakej sama, boleh dilaras untuk menjadikannya lebih selesa untuk tunggangan jauh. Bermakna, jika anda seorang yang gemar ‘menyerang’ selekoh dan pada masa sama, mahukan motosikal yang boleh dibawa untuk perjalanan jauh, ini adalah jawapannya.

    Selain itu, teknologi yang dilengkapi pada motosikal ini juga cukup canggih dengan antaranya sistem Motorcycle Stability Control yang termasuk Kawalan Cengkaman (TC), Cornering ABS, tiga pilihan mod tunggangan dan suspensi WP aktif. Di Malaysia, KTM Super Duke GT dilancarkan pada bulan Julai lalu pada harga RM125,000.

     
     
  • Harga bahan api bagi Januari 2017 – RON95, RON97, diesel dan diesel Euro 5 M semua naik 20 sen

    Harga bahan api bagi Januari 2017 – RON95, RON97, diesel dan diesel Euro 5 M semua naik 20 sen

    Seperti yang dijangkakan, harga semua bahan api di stesen-stesen minyak seluruh negara sah naik mulai tengah malam ini – 20 sen untuk semua jenis berbanding harga Disember 2016

    Bermula 1 Januari 2017, RON 95 akan dijual kepada pengguna pada harga RM2.10 bagi setiap liter, RON 97 pada RM2.40 seliter (tidak termasuk GST), diesel pada RM2.05 dan Diesel Euro 5 RM2.15 seliter.

    Setelah harga RON95 turun pada paras RM1.70 seliter dan RON97 turun RM2.05 seliter pada September lalu, harga kesemua bahan api terus meningkat selepas Oktober dan hanya turun 5 sen untuk semua jenis bahan api pada bulan lalu.

    Suka atau tidak, tahun baru 2017 rakyat Malaysia akan dimulakan dengan peningkatan mendadak kos keperluan asas ini.

     
     
  • Harga petrol RON95, diesel dijangka meningkat Jan ini

    Harga petrol RON95, diesel dijangka meningkat Jan ini

    Mungkin ini bukan satu perkhabaran yang dinantikan oleh rakyat Malaysia, namun hakikatnya, semua orang perlu bersedia bagi menghadapi cabaran tahun 2017, terutamanya peningkatan harga barangan keperluan. Ini termasuklah harga runcit petrol RON95 dan diesel yang dijangka meningkat pada Januari ini.

    Menurut Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan Datuk Lokman Noor Adam, ia adalah berikutan harga pasaran minyak mentah dunia mencatat peningkatan bulan ini. Di mana harga runcit RON95 dan diesel ditetapkan mengikut purata harga bahan api itu di pasaran dunia selama sebulan selain dipengaruhi oleh pergerakan nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika, laporan Bernama.

    “Purata maksudnya harga dari tarikh 1 hingga 31 dibahagi dengan 31 hari. Bukan mengikut harga di hujung bulan seperti pemahaman sesetengah pihak. Dengan pengukuhan dolar Amerika berbanding Ringgit Malaysia kini, ia mengakibatkan kos pembelian minyak juga meningkat. Ia memberi kesan kepada penetapan harga bahan api di Malaysia,” katanya.

    Beliau turut berkata,harga runcit petrol dan diesel ditetapkan berdasarkan apungan terurus dengan harga bulanan ditentukan kuasa pasaran bermula 1 Dis 2014 berikutan kejatuhan harga minyak dunia ketika itu.

    Walau pun masih ramai tidak dapat menerima bahawa kerajaan perlu menghentikan pemberian subsidi secara pukal dan membantu mereka melalui pengagihan subsidi kepada kumpulan sasar yang betul.

    Katanya sambil memberikan contoh, “Subsidi pukal yang diberi sebelum ini bererti golongan kaya dan miskin menerima nilai subsidi yang sama. Contohnya pada Julai 2014, bagi setiap liter RON95, kerajaan memberikan subsidi RM0.6843 seliter.”

    Harga petrol RON95, diesel dijangka meningkat Jan ini

    Sambungnya lagi, “Mereka yang miskin menggunakan kereta Kancil, setelah mengisi tangki mereka penuh dengan RON95, jumlah subsidi yang diterima hanyalah sekitar RM16.29. Manakala mereka yang datang dari kelas menengah pula menggunakan Toyota Camry dan membelanjakan RM150 untuk mengisi penuh tangki mereka. Jumlah subsidi yang terpaksa kerajaan bayar kepada mereka adalah RM48.87, yang mana tiga kali ganda lebih besar daripada yang miskin tadi.”

    Lokman Noor berkata berdasarkan kajian Kementerian Kewangan, kerajaan membelanjakan 70% daripada nilai subsidi untuk membantu golongan kaya dan hanya 30% subsidi yang diberikan dalam bentuk RON95 dan diesel yang dinikmati golongan sasaran.

    Pada masa sama, di bawah sistem subsidi pukal warga asing yang tinggal di Malaysia juga akan menikmati subsidi hasil daripada cukai yang dibayar oleh rakyat Malaysia.

    Setiap hari terutamanya di hujung minggu, katanya, subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat Malaysia turut bocor kepada kenderaan Singapura, selain ia diseludup ke Thailand dan Filipina serta dijual di perairan antarabangsa.

    “Subsidi bererti bantuan, pertolongan dan pemberian daripada kerajaan kepada rakyatnya. Jika ditanya siapakah yang patut mendapat pertolongan, sudah pastilah pertolongan itu perlu kita utamakan yang susah dahulu sebelum yang senang. Mestilah diberikan kepada rakyat kita, bukan warga asing,” katanya.

     
     
  • Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Tahun 2016 merupakan sebuah penanda aras baharu bagi pasukan editorial paultan.org Bahasa Malaysia. Sejak beralih ke laman web utama ini bermula Januari 2016 – sebelum ini ia berdiri sendiri dan dikenali dengan nama InfoKereta.com – kapasitinya juga kian berkembang.

    Awalnya, ia diusahakan oleh Izwaashura Sadali seorang sejak dua tahun lalu. Ia kemudian menerima pertambahan tiga orang lagi ke dalam pasukan ini. Farid Awaludin, yang mula menyertai sekitar Februari lalu, hadir dengan minat dan pengalaman yang tersendiri dalam hal-hal teknikal dan mekanikal.

    Dia menjadi individu rujukan kami semua berkaitan perkara seperti itu. Sebelum ini, dia terlibat sekali bersama Izwa dengan majalah Auto Maskulin terbitan Karangkraf, sebelum bertugas di pusat servis bagi beberapa jenama kenderaan sebelum kembali ke pangkuan industri media.

    Pada Julai, Hazril Hafiz pula ikut serta. Sejak 2007, dia mula terlibat di dalam penerbitan sebuah sisipan automotif medium cetak di BH Auto (terbit di dalam akhbar Berita Harian). Dengan kecenderungan terhadap bahasa dan hal-hal lain selingkar dunia automotif (terutama dari aspek perkembangan teknologi), medium digital tidaklah dirasakan begitu janggal untuk dia lekas menyesuaikan diri.

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Durrani Sharom merupakan tambahan terakhir bagi editorial Bahasa Malaysia ini. Juga dengan latar media automotif yang sama di BH Auto, ini orangnya yang sangat dekat dengan dunia jentera dua roda, selain turut merupakan seorang pemandu yang gemar menguji sempadan kemampuan sesebuah kenderaan, kadang-kadang dengan cara yang agresif.

    Selain itu, turut ditampilkan di sini ialah Sherman Sim, Pengarah Fotografi bagi kumpulan besar Driven Communication, termasuk Paultan.org (bagi editorial Inggeris, BM dan Mandarin) yang berkhidmat sejak Mac 2012. Hasil kreativitinya diserlahkan menerusi foto-foto yang dirakamkan, ditambah dengan minat terhadap dunia automotif membuatkan beliau mampu ‘menghidupkan’ hasil bidikan lensanya.

    Jadi, kepada semua pembaca, anggaplah artikel ini sebagai salam perkenalan rasmi daripada kami. Mungkin, sebelum ini anda hanya pernah terlihat nama-nama kami, kini, sedikit sebanyak latar belakang dan wajah individu-individu yang menggerakkan seksyen Bahasa Malaysia untuk laman web ini kami persembahkan kepada umum.

    Semacam tanda menghulurkan tangan untuk dijabat dengan lebih erat selepas ini, kami sediakan bingkisan khas ini, yang memaparkan kenderaan-kenderaan persendirian yang kami gunakan sehari-hari, di dalam penampilan yang jujur dan bersahaja.

    Dengan semua pengalaman yang kami ada, tentulah tujuannya hanya satu; untuk menyediakan kandungan perihal automotif tempatan dan antarabangsa, di dalam Bahasa Malaysia yang kemas dan padat, untuk dinikmati oleh semua pembaca. Semoga tahun 2017 nanti akan lebih meriah dan bermanfaat untuk kita semua. Sementara itu, salam kenal daripada kami.

    Izwaashura Sadali – Subaru XV 2.0 STI Performance Edition 2015

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Mula mengidamnya sejak pertama kali melihatnya pada penghujung tahun 2012. Namun ketika itu, hati belum terbuka untuk membeli jentera baharu, apatah lagi saya lebih menggemari transmisi manual. Namun empat tahun kemudian, saya membuat keputusan untuk ‘memadukan’ Proton Wira Aeroback SE 2006 M/T yang telah dilenjan hampir sedekad (dan mungkin sampai dekad akan datang.. selagi ia masih mampu berkhidmat dengan cemerlang!)

    Cinta pandang pertama yang tercetus bila mana melihat Subaru XV ini disebabkan imej luarannya yang nampak ranggi dan sporty. Rekaan dalamannya hanya sekadar biasa-biasa saja, sedikit konvensional dan tidak sarat dengan elemen berteknologi tinggi. Tapi bila saya berpeluang memandu ujinya, ternyata ia SUV Crossover yang menepati citarasa saya. Enjin boxer 2.0 liter bersama transmisi Lineartronic CVT enam-kelajuan dirasakan cukup ‘adunan’.

    Bukan itu saja, team Paultan.org terutamanya Jonathan Lee, banyak ‘meracuni’ saya dalam membuat pilihan ini. Maka, akhirnya XV model 2015 versi STI Performance ini menjadi ‘boyfriend’ kedua saya (selain Wira Aeroback). Ya, bukan versi 2016 (sila jangan tanya kenapa). Kerana asalnya dari Jepun (walau pun model pemasangan tempatan (CKD)), ia diberi nama ‘Ninja-san’. Buat setakat ini, prestasinya memang menguja, terutama pengendaliannya yang cukup serasi, tak kira untuk pemanduan secara santai mahu pun sedikit agresif.

    Sebenarnya sedari dulu, saya memang penggemar SUV. Walau pun saya cuma bertubuh genit dengan ketinggian 150cm, tapi saya sukakan kenderaan yang besar. Sebabnya bila memandu kereta yang lebih kecil, saya sering kali ‘dibuli’ di jalan raya! Termasuklah ketika memandu uji mana-mana model hatchback atau kompak.

    Jadi SUV memang pilihan saya, selain bersaiz besar, selalunya ia juga kelihatan lebih macho. Dan SUV idaman saya ialah Range Rover Evoque. Ia bukan sahaja kelihatan berketerampilan di bahagian luar dan dalam, malah prestasinya cukup mengujakan. Entah bilalah dapat memilikinya kerana harganya…memang krikk krikkk krikkk. Gua belum mampu lagi, beb!

    Farid Awaludin – Volvo 240GL 2.3L Injection 1992

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Semasa berstatus bujang dahulu, saya mempunyai sebuah Honda Civic hatchback generasi kedua yang digunakan sebagai kereta harian, dan juga sebuah Datsun 120Y B310 yang diubahsuai sebagai kereta hujung minggu. Beberapa bulan sebelum berkahwin, saya mula merancang untuk mengubah mod pengangkutan ini supaya lebih mesra keluarga.

    Setelah menyenarai pendek sedan-sedan segmen-B baharu yang berada dalam lingkungan bajet dan merancang untuk menjual Datsun 120Y, saya sedar yang sebenarnya saya belum bersedia untuk ‘move on’ dengan menjadikan sebuah kereta yang saya tidak minat untuk memandunya setiap hari, serta menanggung bayaran bulanan yang agak tinggi.

    Volvo 240GL Injection dengan transmisi manual lima-kelajuan tahun 1992 merupakan pilihan terbaik untuk tujuan ini dan kena dengan jiwa saya. Ia sebuah sedan pacuan roda belakang, dengan bentangan sistem mekanikal yang ringkas – seperti sebuah Toyota Corolla KE70 tetapi dengan saiz yang lebih besar serta besi yang lebih padu.

    Tambahan pula, dengan pengalaman bekerja bersama jenama ini di bahagian servis selepas jualan, saya dikelilingi kawan-kawan yang boleh dirujuk untuk mencari alat ganti dan sebagainya.

    Sedikit sentuhan diberikan bagi membolehkan batu-bata ini dikenali sebagai ‘kereta Farid’. Gantikan rim asal kepada rim 17-inci dengan bukaan yang lebar, dan rendahkan. Kemudian, semua rakan dan kenalan tahu di mana saya berada.

    “Bro, enjin 2JZ ke RB ni?” Ini merupakan soalan yang sudah tahap penat untuk saya jawab setiap kali ada individu yang pertama kali melihat kereta ini. Saya masih lagi mengekalkan enjin asal B230E 2.3 liter empat-silinder dengan suntikan bahan api mekanikal K-Jetronic. Walaupun agak selekeh dengan kesan minyak di sana-sini, enjin ini masih cemerlang berkhidmat. Tukar enjin? Mungkin satu hari nanti, tapi mestilah enjin dari Volvo juga!

    Sebagai peminat lagenda rali dunia mendiang Colin McRae sejak dari bangku sekolah, sudah tentu saya mengimpikan untuk memiliki sebuah Subaru Impreza WRX STi GC8. Namun sejak menjadi ayah kepada dua orang anak, terdetik pula untuk membeli wagon Volvo 855 T5 dengan transmisi manual.

    Tapi, ini semua angan-angan yang tak payah pakai duit. Untuk tempoh terdekat, saya lebih menumpukan untuk mencari ruang dan peluang bagi merestorasi Volvo 240 ini ke tahap yang lebih baik.

    Hazril Hafiz – Toyota Corolla SEG 1.3 Manual 1992

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Bagaimana ya hendak dimulakan? Toyota SEG ini adalah kereta pertama yang saya miliki, sejak tahun 2007 kalau tak silap, dan kekal sehingga hari ini. Asalnya, ia datang dengan angan-angan yang tersendiri; saya hanya perlukan sebuah kereta “lama” waktu itu, yang perlahan-lahan akan dibikin semula, bergantung kepada keadaan.

    Malangnya, selepas sembilan tahun bersama kereta ini, tak banyak yang berubah. Selain menggantikan alat-alat ganti yang perlu, hanya cat badannya sahaja disembur semula pada Disember 2014. Itupun kerana cat asal sudah teruk mengelupas dibahagian bumbung – khuatir keadaannya akan melarat dan membawa masalah lain; karat.

    Banyak pengalaman yang saya tempuhi bersama kereta ini. Kita tumpukan kepada yang tak berapa menyenangkan. Sepanjang tempoh memilikinya, cuma dua atau tiga kali ia menghadapi masalah teruk, yang memerlukannya ditunda. Janganlah buat-buat hairan, kereta baharu sekarang pun, yang usianya pucuk muda, selalu kita nampak di atas trak tunda kerana kerosakan yang entah apa. Inikan pula kereta “lama”.

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Tetapi, itupun disebabkan kerana saya sendiri yang tidak terlalu prihatin terhadapnya. Hanya selepas kejadian-kejadian seperti itu, barulah bahagian-bahagian atau alat gantinya ditukarkan kepada yang baharu. Bahagian yang belum memberi masalah, ia masih kekal pada kereta ini, sama sejak pertama kali saya memandunya pulang dari kedai kenderaan terpakai dulu.

    Walaupun dalam keadaan seperti seadanya, ia masih setia – kereta ini bukan sahaja menjadi satu-satunya kereta yang saya miliki, tetapi turut menjadi peneman di dalam perjalanan ke luar kawasan, misalnya pulang ke Sitiawan, Perak tanpa sebarang masalah.

    Mengapa saya masih menggunakan kereta ini, sedangkan banyak peluang yang terhampar untuk saya bertukar kepada model-model kenderaan lain yang lebih baharu, maju dan selesa? Untuk saya, mungkin kerana kereta ini sangat “straight-forward”. Dengan enjin karburetor berkapasiti kecil yang jimat, ia sebenarnya jauh lebih seronok dipandu berbanding kebanyakan model kereta baharu dalam lingkungan kategori yang sama sekarang.

    Kedua, saya tidak pula mempunyai jangkaan yang terlalu tinggi untuk kereta milik sendiri; cukup jika ia boleh digunakan secara harian untuk hal-hal rutin dengan tidak memberikan banyak masalah, itu sudah memadai. Tambahan pula, tidak terikat dengan hutang bank untuk kereta kini saya rasakan seperti satu nikmat yang sukar diungkapkan.

    Jika tidak memandu kereta ini, kaedah pengangkutan lain yang kadang-kadang saya gunakan ialah sebuah Ford Fiesta milik isteri (ini lebih selesa, dan pendingin hawanya lebih sejuk), atau kereta untuk tujuan laporan pandu uji, atau yang agak kerap juga, pengangkutan awam termasuk GrabCar. Jadi untuk kereta sendiri, saya tidak terlalu cerewet.

    Cuma, kebelakangan ini, idea-idea lama untuk membikin semula kereta ini datang balik, entah dari mana. Saya mula berangan-angan lagi untuk menjadikannya kenyataan. Beberapa teman juga galak “menghasut”, jadi mungkin sudah sampai waktunya saya mempertimbangkannya dengan lebih serius.

    Tetapi, buat masa ini, saya menerima seadanya, tanpa banyak rungutan. Oh ya, tempat duduk belakang agak kotor kerana sekarang saya kerap angkut basikal saiz penuh di dalamnya – terkena minyak rantai. Radio pun dah rosak.

    Durrani Sharom – Yamaha LC135 V1 2009

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Dalam bidang penulisan automotif, ramai yang beranggapan saya ‘mat motor’ kerana pada kebanyakan masa dilihat menunggang motosikal dan jarang sekali memandu kereta kecuali unit pandu uji. Apa yang tidak ramai tahu, saya asalnya memang ‘kaki kereta’.

    Sejak mendapat lesen pada umur 17 tahun, pengangkutan utama saya adalah kereta bermula dengan Kancil 850 milik keluarga, diikuti Datsun 120Y B210 ‘tonggek’ – kereta pertama yang dibeli sendiri dan berakhir dengan Nissan Bluebird U11 (masih dimiliki hingga kini).

    Jika ingin bercerita berkenaan U11 yang saya miliki sudah hampir 10 tahun jika tidak silap, memang boleh dibuat buku dengan pelbagai perkara yang dipelajari. Apatah lagi, kereta itu sudah jauh keadaannya berbanding asal dengan kini dipacu enjin SR20DET dari model Nissan Primera dan hampir keseluruhan bahagian sudah ‘disentuh’ oleh saya sendiri.

    Dipendekkan cerita, ia memberikan saya pelbagai pengetahuan dan pengalaman berkenaan jentera empat roda dan pemanduan. Dan saya juga bersyukur tidak berhadapan sebarang insiden serius meskipun pada masa itu masih ‘berdarah muda’ dan memandu kereta lama, tanpa ABS atau sistem keselamatan canggih, tetapi mempunyai lebih 240 hp.

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Sebelum memasuki bidang penulisan automotif ini, saya banyak bekerja di luar Kuala Lumpur dan bergerak dengan menggunakan van atau lori syarikat. Jadi pada masa itu, motosikal tidak diperhatikan. Bila memasuki kerjaya baru ini, dengan banyak pergerakan di dalam Kuala Lumpur dan Lembah Kelang, saya fikir, ia adalah masa sesuai.

    Bukan setakat kerana kereta saya tidak ekonomikal, menggunakan transmisi manual dan mempunyai klac keras, malah saya tidak boleh menerima hakikat terperangkap dalam kesesakan. Demi ketenangan otak dan pengurusan masa yang lebih baik, saya berakhir dengan Yamaha LC135 ini.

    Pada masa sama, saya dapati tidak ramai yang membuat laporan tunggang uji, jadi, saya juga menaik taraf terus kepada lesen B penuh supaya boleh menulis berkenaan motosikal berkapasiti tinggi.

    Tujuh tahun berlalu, inilah pengangkutan utama saya pada kebanyakan masa. Keadaannya standard sahaja, cuma baru-baru ini saya menukar blok enjinnya kepada unit dari FZ150 memandangkan enjin itu memang perlu dibuka kerana sudah berbunyi teruk akibat minyak hitam kering dan tetap dibelasah (terlupa diperiksa kerana sering ditinggalkan apabila mendapat unit pandu/tunggang uji).

    Bagi saya, tiada masalah untuk bergerak ke mana sahaja dengan motosikal ini. Saya dapat menjimatkan banyak masa, dan bila hujan, sarung sahaja baju hujan. Tapi malangnya, kotak belakang saya yang menyimpan baju hujan dan helmet juga baru-baru ini telah dicuri. Ini sajalah yang sedikit merisaukan apabila memiliki motosikal – penyangak.

    Walaupun saya kini lebih banyak membuat laporan tunggang uji, saya masih lagi gemar memandu, terutama sekali apabila terdapat sesi di dalam litar. Di atas jalan biasa, jika pada waktu yang diketahui sesak (kalau di KL boleh dikatakan sepanjang masa kecuali tengah malam), memang saya akan bergerak dengan kapcai sahaja. Sekarang, saya mempunyai perspektif yang berbeza berkenaan pengangkutan dan kenderaan berbanding dulu.

    Walau bagaimanapun, dalam fikiran saya masih bermain-main gambar Nissan Skyline R32 GTR dan Porsche 911 964/930 sebagai kereta idaman. Kedua-dua dianggap dapat memuaskan saya yang gemarkan ‘rasa terus’ pemanduan sebenar.

    Bagi motosikal, walaupun sudah pernah membawa pelbagai model, saya masih belum dapat membuat keputusan satu yang betul-betul sesuai. Saya cuma sukakan semua keadaan tunggangan dan sudah tentu, tiada satu motosikal yang dapat melakukan semuanya. Jika mahu membeli sebuah, berkemungkinan saya akan pergi kepada motosikal jenis jelajah.

    Sherman Sim – Alfa Romeo 155 2.0 Twin Spark 1996

    Mendekati individu di dalam pasukan paultan.org BM – kenderaan apa yang kami miliki dan pandu setiap hari?

    Bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap jenaka apabila memiliki Alfa Romeo, walau hakikatnya pasti ada yang ketawakan anda kerana memilihnya. Masalah kerosakan, kos membaikpulih yang tinggi dan kesukaran mendapatkan alat ganti, memanglah menjadi satu masalah untuk buat pemilik Alfa ini. Namun, atas alasan minat terhadapnya, ia mampu menukarkan rasa yang ‘sukar’ itu kepada kepuasan dan keterujaan.

    Enam tahun dahulu, pertama kali saya terlihat kereta ini di sebuah stesen minyak, yang pada hemahnya begitu menarik perhatian saya. Ia cukup cantik dan sempurna di mata saya – Alfa Romeo 155 2.0 “Widebody” Twin Spark dengan kekemasan warna Blu Nord Metallic. Kenapa memilih Alfa 155? Atas pengaruh seorang teman rapat yang merupakan pemilik Alfa Romeo 155 2.5L V6, saya ‘diracuni’ secukupnya untuk mendapatkan kereta tersebut. Dan hingga ke saat ini, walau pun telah menguji pelbagai model kereta, ia masih menjadi kebanggaan saya, malah memberikan kepuasan yang cukup optimum ketika memacunya.

    Tahun demi tahun, saya telah melakukan sedikit penambahbaikan untuk bahagian prestasinya – roda, suspensi, chip, intake, dan ekzos. Walau pun masih terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan jentera lumba BTCC dan DTM, namun ia bukanlah suatu perkara yang membosankan. Bagi Alfa 155 saya ini, buatan tahun 1996, ya sudah menjejaki tahun ke-20 dan bagi saya, mengendalikannya adalah pengalaman yang terbaik berbanding kereta moden lain yang sama dengan kelasnya. Dengan rekaan badan “wedge” yang dipadankan bersama enjin empat-silinder, keupayaannya tidak perlu disangkal. Saya amat menyukai kereta ini.

    Ketika zaman di kolej dahulu, saya memasang impian untuk memiliki kereta sport buatan Jepun, seperti mana kebanyakan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar lelaki lain. Mitsubishi Lancer Evolution VI menjadi idaman saya. Dengan bodywork yang agresif, enjin pengecas turbo penuh berkuasa dan sistem pacuan semua-roda, ia cukup sempurna bagi lelaki muda. Tetapi, hingga kini ia masih kekal sebagai impian kerana terlalu jauh untuk saya gapai dan mungkin juga tidak dapat dimiliki dalam masa terdekat.

     
     
  • LED H4 Philips X-treme Ultinon kini di Malaysia – boleh ganti terus mentol lampu hadapan jenis halogen H4

    Berita baik untuk pengguna lampu hadapan jenis mentol halogen H4, Philips kini telah memperkenalkan mentol LED H4 X-treme Ultinon di Malaysia, yang direka agar boleh menggantikan terus mentol jenis halogen H4 biasa secara plug-and-play pada soket asal lampu hadapan konvensional anda tanpa apa-apa pengubahsuaian.

    Mentol LED H4 ini bukan sahaja boleh mentransformasi rupa lampu hadapan biasa anda kepada lampu LED, malah ia juga menghasilkan cahaya 150% lebih terang dari mentol halogen H4 standard, tetapi dengan bentuk pancaran cahaya biasa.

    Ia mampu direka sedemikian kerana teknologi Safebeam yang digunakan – membolehkan mentol LED tersebut memberikan cahaya lebih luas pada jalan, dalam masa yang sama mengurangkan silau pada pengguna jalan raya yang lain. Teknologi tersebut juga menghasilkan cahaya lampu yang lebih tajam dan kelihatan berkilat.

    LED H4 Philips X-treme Ultinon kini di Malaysia – boleh ganti terus mentol lampu hadapan jenis halogen H4

    Philips X-treme Ultinon ini juga dibina dengan rekaan terma AirFlux, yang memastikan diod di dalam kekal sejuk dan sentiasa memberikan prestasi cahaya tertinggi serta tahan lebih lama. Menurut Philips, mentol ini mampu bertahan selama 12 tahun, dan diberikan perlindungan waranti selama tiga-tahun.

    Produk baharu ini melengkapkan barisan mentol gantian LED Philips untuk semua aplikasi automotif yang terdiri dari mentol lampu kabus, lampu brek, lampu kabin dan juga lampu but.

     
     
  • Toyota Innova Venturer untuk Indonesia dibongkar

    Imej brosur yang didedahkan dari Autonetmagz telah membongkarkan varian baharu yang bakal menyertai barisan Toyota Innova di Indonesia tidak lama lagi. Bakal digelar Venturer, model Innova baharu ini ditawarkan dengan pilihan petrol dan diesel.

    Ini termasuklah enjin 2.0 liter Dual VVT-i 1TR empat-silinder yang memberikan kuasa sehingga 139 PS pada 5,600 rpm dan tork 183 Nm pada 4,000 rpm, juga enjin 2GD-FTV 2.4 liter empat-silinder turbodiesel dengan kuasa 149 PS pada 3,400 rpm dan tork 359 Nm dari 1,200 hingga 2,600 rpm. Pilihan transmisi termasuk manual lima-kelajuan atau automatik torque converter enam-kelajuan.

    Bagi elemen yang ditampilkan, Venturer akan lebih kurang sama dengan varian spesifikasi tertinggi 2.0G yang kita terima di Malaysia, termasuklah paparan pelbagai-info TFT berwarna 4.2-inci, penghawa dingin automatik, cermin tingkap automatik, operasi tanpa kunci, pencahayaan ambien di dalam kabin serta lampu utama reflektor halogen.

    Walau bagaimana pun, Venturer akan tampil lebih bergaya pada bahagian luarannya termasuk ditampilkan dengan kit badan berwarna hitam dengan lip hadapan, skirt sisi, spoiler sisi dan gerbang roda. MPV ini juga menerima jaluran krom tambahan berhampiran cermin belakang, paip ekzos krom, rim aloi 17-inci dan warna luaran eksklusif Wide Red.

    Buat setakat ini, tiada perincian mengenai perubahan pada bahagian dalamannya, namun mungkin ia akan menerima tempat duduk balutan kulit dengan karpet lantai. Selanjutnya, hanya akan diketahui apabila ia dilancarkan kelak.

    GALERI: Toyota Innova 2.0G AT (spesifikasi Malaysia)

     
     
  • SPYSHOT: Honda BR-V kelihatan lagi – bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia minggu depan

    SPYSHOT: Honda BR-V kelihatan lagi – bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia minggu depan

    Bukan lagi rahsia; SUV tujuh tempat duduk Honda BR-V akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada 5 Januari 2017. Dan, ehsan daripada seorang pembaca paultan.org yang hanya dikenali sebagai Dave, model berkenaan dikesan lagi, kali ini sedang diangkut di atas trak.

    Pernah dipertontonkan di MIECC tidak lama dahulu, dan selepas itu ruang dalamannya pula yang bocor, ini mungkin versi paling hampir bagi unit sebenar yang akan ditawarkan kepada pengguna di Malaysia. Antaranya, rim yang dipertontonkan sebelumnya juga hampir pasti akan ditawarkan sebagai produk akhir model ini nanti – mungkin juga ini versi spesifikasi paling tingginya.

    Bahagian enjin, BR-V akan menggunakan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC yang sama digunakan pada Jazz dan City, dengan janaan 120 PS dan 145 Nm. Bagi transmisi, ia menggunakan CVT Earth Dreams. Di dalam, BR-V menawarkan tiga barisan tempat duduk, yang boleh dilipat untuk mendapatkan ruang barangan sehingga 539 liter.

    Dari aspek keselamatan, semua tempat duduk mempunyai tali pinggang keselamatan, sementara varian yang dilengkapi dengan ESC menerima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang. Sementara kita menanti tarikh pelancarannya untuk mengetahui lebih banyak perincian bagi unit yang akan dijual di Malaysia, ikuti dulu laporan pandu uji unit dengan spesifikasi Thailand yang sempat kami sediakan sebelum ini.

     
     
  • Hab bergerak dan servis dari pintu-ke-pintu penukaran beg udara Takata Honda M’sia dilanjutkan ke Mac 2017

    honda-malaysia-tech-with-airbag-inflator

    Dalam usaha untuk mempercepatkan penukaran semua kenderaannya yang terjejas kerana inflator beg udara keluaran Takata, Honda Malaysia mengumumkan operasi hab bergerak yang telah diwujudkan sebelum ini akan dilanjutkan ke tiga pusat membeli belah setiap hujung minggu di bahagian tengah negara, Johor Bahru, Kedah dan juga Pulau Pinang sehingga Mac 2017.

    Menyokong lagi proses ini, khidmat dari pintu-ke-pintu untuk menukar inflator beg udara berkenaan bagi kenderaan terlibat yang disediakan oleh semua 84 pengedar seluruh negara turut akan dilanjutkan hingga Mac 2017 (dari 31 Disember 2016).

    Selain itu, Honda Malaysia juga memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu iaitu Servis Karavan Bergerak, yang akan beroperasi tujuh-hari seminggu untuk menukar segera inflator beg udara di mana-mana sahaja bagi kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam panggilan semula ini. Servis Karavan Bergerak ini turut akan mengunjungi pengedar-pengedar kenderaan terpakai serta syarikat-syarikat korporat dalam bahagian tengah Malaysia untuk penukaran segera dilokasi berkenaan.

    01_honda_malaysia_mobile_hub_bm

    Servis penukaran inflator beg udara Takata ini juga masih dijalankan di setiap pertunjukkan Honda Family Road Trip dan juga Honda Mobile Roadshow. Walau bagaimanapun, Honda Malaysia mengumumkan, Hab Servis Sementara Bahagian Tengah (SCH) untuk aktiviti panggilan semula ini akan ditutup menjelang 31 Disember 2016 setelah dilanjutkan operasinya sejak Oktober lalu.

    Honda Malaysia telah mengumumkan sebelum ini bahawa stok alat ganti inflator beg udara bahagian penumpang hadapan disasarkan mencapai 70% pada Disember, manakala stok untuk inflator beg udara bahagian pemandu telah pun mencapai 100% buat masa sekarang.

    Jika anda ragu-ragu sama ada kenderaan Honda anda terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini, anda boleh lawati laman web khas yang disediakan DI SINI, dan masukkkan nombor pengenalan kenderaan (VIN) atau dikenali juga sebagai nombor casis kereta anda DI LAMAN TERSEBUT. Anda juga boleh memeriksa status kereta anda atau untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan apa-apa juga tentang isu ini dengan menghubungi talian 1800-88-2020 atau kunjungi mana-mana pengedar sah Honda.

     
     
  • MINI John Cooper Works Rally akan bersaing dalam Rali Dakar 2017 – guna enjin 3.0L enam silinder BMW

    MINI John Cooper Works Rally akan bersaing dalam Rali Dakar 2017 – guna enjin 3.0L enam silinder BMW

    MINI sekali lagi akan bersaing dalam perlumbaan lasak jarak jauh Rali Dakar pada tahun 2017 dan jentera yang akan digunakan kali ini adalah MINI John Cooper Works Rally. Ia ditunjuk kepada orang ramai, sebelum perlumbaan sebenar bermula 2 Januari nanti.

    Kenderaan rali ini diasaskan daripada model Countryman 2017, dan dijadikan sesuai untuk perlumbaan oleh sekutu sukan permotoran MINI iaitu X-Raid, dari Jerman. Tujuan pembangunannya sudah tentu adalah supaya dapat menunjukkan prestasi cemerlang seperti MINI ALL4 Racing yang digunakan dalam perlumbaan musim 2016.

    Setelah mengambil kira aspek respon, kuasa, penyampaian tork dan ketahanan, enjin BMW TwinPower Turbo 2,993 cc enam silinder telah dipilih untuk memacu MINI John Cooper Works Rally dan ia mampu menghasilkan sehingga 340 hp pada 3,250 rpm dan 800 Nm tork pada 1,850 rpm. Padanan transmisi yang digunakan adalah kotak gear enam kelajuan sequential.

    Bagi menjadikan kuasa ini dapat digunakan sepenuhnya sepanjang perlumbaan mencabar ini, bahagian casis dan kerangka turut diubah suai, dengan kerangka pemegang enjin dibina kembali supaya boleh dicabut dengan senang apabila perlu, dan bahagian sokongan lain dibina daripada besi aeroangkasa.

    MINI John Cooper Works Rally akan bersaing dalam Rali Dakar 2017 – guna enjin 3.0L enam silinder BMW

    Bahagian suspensi pula menggunakan khidmat daripada Reiger Racing Suspension, di mana mereka telah memasang dua penyerap hentak bagi setiap roda dan secara keseluruhannya, kenderaan ini mempunyai jarak pergerakan roda sebanyak 250 mm. Brek pula adalah unit cakera 320 mm dan angkup enam piston pada semua bahagian, lengkap dengan sistem penyejukan, manakala tayar bersaiz 245/80 R16.

    Untuk panel badan luarnya pula, kebanyakan bahagian menggunakan bahan komposit gentian karbon dan Kevlar, dengan tujuan selain tahan lasak, juga lebih ringan dan mudah ditanggalkan apabila mahu melakukan servis atau rosak. Bahagian bawah kenderaan juga mempunyai lapisan pelindung dengan bahan yang sama.

    Walaupun mempunyai kedudukan yang lebih tinggi, Raid Racing telah mengambil kira aspek titik graviti yang lebih rendah untuk menjadikan kereta ini lebih stabil dengan meletakkan tiga tayar simpanan di bahagian bawahnya. Secara keseluruhannya, MINI JCW Rally mempunyai berat 1,952.5 kg.

    Dua unit MINI JCW Rally ini akan digunakan dalam Rail Dakar 2017, dipandu oleh Mikko Hirvonen dan Yazeed Al-Rajhi manakala lima lagi pasukan akan menggunakan MINI ALL4 Racing. Rali Dakar 2017 akan bermula pada 2 Januari dan ia akan melibatkan perlumbaan sekitar 9,000 km melalui pelbagai kawasan dalam tiga negara, Paraguay, Bolivia dan Argentina.

     
     
  • FCA akan jual Maserati, Alfa Romeo dan Magnetti Marelli sebagai langkah mengawal hutang?

    FCA akan jual Maserati, Alfa Romeo dan Magnetti Marelli sebagai langkah mengawal hutang?

    Fiat Chrysler Automobiles (FCA) mungkin akan melepaskan Maserati dan Alfa Romeo dari naungannya bagi memudahkan mereka mengawal hutang-piutang yang kini mencecah US$7 bilion (RM31.4 bilion) pada penghujung suku ketiga 2016. Menurut penganalisis industri, langkah bijak yang diambil oleh FCA yang kini menumpukan kepada penghasilan SUV dan crossover tidak cukup untuk mengeluarkannya dari situasi getir berkenaan.

    Pada suku ketiga 2016, FCA mencatatkan pendapatan bersih US$634 juta (RM2.84 bilion), berbanding kerugian bersih yang bernilai US$352 juta (RM1.58 bilion) pada tempoh yang sama tahun lalu. Manakala untuk subsidiarinya, Maserati, memperolehi pendapatan US$108 juta (RM484 juta) berbanding US$12 juta (RM53.82 juta) pada tahun lalu, setelah pelancaran SUV Levante.

    Penyelidik pelaburan Evercore ISI berkata, CEO FCA Sergio Marchionne merupakan salah seorang yang mengambil berat terhadap nilai pemegang saham dalam industri automotif. “Walaupun Marchionne tidak memberikan prestasi yang baik, kami percaya beliau lebih menjaga soal pemegang ekuiti berbanding CEO lain dalam industri ini,” kata salah seorang penganalisis Evercore ISI, George Galliers dalam laporan Forbes.

    FCA akan jual Maserati, Alfa Romeo dan Magnetti Marelli sebagai langkah mengawal hutang?

    Dari April hingga September, harga saham FCA dilihat sedikit jatuh dan kemudian meningkat semula pada kadar yang lebih tinggi dan stabil sekitar 9 euro (RM42.51), kerana panggilan semula berkenaan transmisi ZF yang dipasangkan pada kenderaan-kenderaan keluaran FCA tersebut berpontensi mengalami masalah kekeliruan pada penukar gear – menyebabkan pemandu keluar dari kereta dalam keadaan gear kereta masih lagi pada kedudukan ‘D’.

    FCA juga mengharapkan lonjakan jualan dari pentadbiran Trump yang menyokong stoknya, kerana keuntungan kumpulan berkenaan kini diperolehi kebanyakkannya dari SUV dan trak pikap di Amerika Utara. Sementara itu, Morgan Stanley menunjukkan nilai Jeep iaitu salah satu subsidiari FCA, manakala Berenberg Bank menambah Magneti Marelli juga tersenarai bersama Maserati dan Alfa Romeo sebagai calon untuk dijual.

     
     
  • Volvo akan masukkan aplikasi Skype for Business pada kenderaan 90 Series untuk bantu pemandu

    Volvo akan masukkan aplikasi Skype for Business pada kenderaan 90 Series untuk bantu pemandu

    Volvo adalah antara pengeluar yang sering mengambil penting keselamatan di atas jalan raya. Terkini, syarikat itu ingin memasukkan terus aplikasi Skype for Business oleh Microsoft ke dalam kenderaan 90 Series mereka supaya pemandu dapat melakukan panggilan video penting semasa di dalam kenderaan.

    Perkara ini dilakukan selepas memikirkan ramai orang yang ingin melakukan persidangan video menghadapi masalah apabila memegang telefon dan pandangan sepatutnya tidak teralih daripada pemanduan. Dengan adanya Skype for Business pada kenderaan, ia tidak akan lagi berlaku.

    Skype for Business menunjukkan satu lagi langkah penting untuk penawaran komunikasi dan hubungan dalam kenderaan. Dengan wujudnya kereta autonomous, kita melihat masa depan dengan kenderaan yang dilengkapi dengan pelbagai alat produktiviti, yang dapat membantu mengurangkan masa di dalam pejabat. Ini cuma satu permulaan kepada cara baru untuk melihat bagaimana kita menghabiskan masa dalam kenderaan,” kata timbalan presiden servis sambungan pelanggan Volvo Car Group, Tylman-Mikiewicz.

    Selain Skype, Volvo juga bekerjasama dengan Microsoft untuk pembangunan Cortana, iaitu satu sistem pembantu peribadi pintar, yang dapat berkomunikasi melalui suara dengan pemandu dan mampu memberikan pandangan awal serta menjangka keperluan pengguna.

     
     
  • Harga bateri dan tayar import bakal naik pada 2017?

    Harga bateri dan tayar import bakal naik pada 2017?

    Menurut laporan yang disiarkan oleh Nanyang, harga tayar dan bateri di Malaysia dijangka mengalami peningkatan pada 2017. Ia melibatkan tayar baharu yang diimport dan dibaikpulih (kecuali dari China), dianggarkan meningkat antara lebih 5-10% berbanding sebelum ini. Sementara itu, harga tayar dari China pula dijangka naik lebih daripada 10%.

    Menurut Wu Suxing, presiden Persatuan pengedar Tayar Johor, peningkatan harga tayar ini didorang oleh kenaikan harga bahan mentah, terutamanya getah SMR20 (Standard Getah Malaysia).

    Pada Januari, purata harga bagi SMR20 (data dari Lembaga Getah Malaysia) adalah 466.89 sen/KG, tetapi ia telah naik secara progresif sekitar RM837.89 sen/KG pada Disember. Faktor kenaikan harga tayar ini didorong oleh penyusutan ringgit Malaysia.

    Harga bateri dan tayar import bakal naik pada 2017?

    Di antara tayar import yang dijual di Malaysia termasuk Bridgestone, Michelin, Falken dan Yokohama, manakala beberapa syarikat seperti Goodyear, Toyo, Silverstone dan Continental mempunyai kilang pembuatan tempatan, yang turut disebut dalam laporan terbabit.

    Selain tayar, harga bateri juga dijangka naik tahun hadapan iaitu sehingga 10%, selain didorong oleh nilai ringgit Malaysia yang susut, peningkatan harga plumbum iaitu dari US$1,800 (RM8,072) per tan metrik hingga lebih kurang US$2,500 (RM11,211) per tan metrik turut menjadi penyebabnya.

    Wu Suxing turut menyebut, pengedar tayar/bateri kebiasaannya akan melakukan inventori sekurang-kurangnya dua bulan sebelum, justeru pelanggan masih boleh membeli tayar/bateri pada harga semasa. Beliau turut menambah, walau bagaiamana pun terdapat pengedar yang mungkin memilih untuk menyerap kenaikan harga berkenaan dalam kos operasi mereka.

     
     
  • Bas ekspres lama perlu sukarela pasang SLD – MKJR

    Bas ekspres lama perlu sukarela pasang SLD – MKJR

    Ekoran kemalangan jalan raya yang membabitkan bas ekspres dilihat makin membimbangkan, semua kenderaan terbabit yang dipasang dan didaftarkan sebelum tahun 2015 digalakkan memasang alat pengehad kelajuan (SLD). Ia perlu dilakukan secara sukarela demi keselamatan para penumpang.

    Buat masa ini hanya bas baharu yang dipasang mulai Januari 2015 sahaja yang diwajibkan memasang SLD selaras Peraturan 89 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), manakala bas yang dikilangkan sebelum itu tidak tertakluk dengan peraturan terbabit.

    Menurut Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye, pengusaha bas diminta supaya dapat mengambil inisiatif untuk memasang SLD secara sukarela.

    “Ini adalah demi keselamatan penumpang bagi mengelakkan pemandu bas daripada membawa laju selain mahu mengelakkan tragedi yang berlaku di Muar, Sabtu lalu berulang,” katanya kepada Berita Harian.

    Dalam pada itu, Lam Thye turut memuji tindakan Kementerian Pengangkutan, yang sudah melaksanakan 22 daripada 51 syor disenaraikan dalam laporan penilaian bebas pelan tindakan menangani nahas jalan raya. Syor itu dirumuskan susulan kemalangan bas di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada tahun 2013. Beliau berharap semua syor lain akan dapat dilaksanakan oleh agensi berkaitan.

     
     
  • RM5 juta dibelanjakan oleh PLUS untuk memperbaiki pagar-pagar di LPT2 yang dipotong penduduk sekitar

    RM5 juta dibelanjakan oleh PLUS untuk memperbaiki pagar-pagar di LPT2 yang dipotong penduduk sekitar

    Untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya di di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dari terlanggar haiwan-haiwan ternakan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) terpaksa membelanjakan kira-kira RM5 juta sepanjang tahun ini bagi membaiki pagar di lebuhraya tersebut yang diroboh atau dipotong oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, menurut laporan Bernama.

    Ketua Pegawai Operasi PLUS Mohammad Fuad Khusairi menjelaskan, pagar-pagar berkenaan telah dipotong dan dirobohkan oleh penduduk di kawasan sekitar untuk membolehkan mereka melalui kawasan itu dan membawa serta melepaskan binatang ternakan memakan rumput di sekitar dan di tengah-tengah lebuh raya, berikutan rumput di LPT2 itu didakwa sangat subur.

    Justeru, Mohammad Fuad menyeru dan memohon supaya penduduk sekitar LPT2 agar tidak memotong pagar tersebut kerana tindakan tersebut akan membahayakan pengguna lebuhraya berkenaan. Beliau juga menyatakan berikutan kesukaran untuk menahan mereka yang melakukan pencerobohan itu, PLUS akan mengadakan rondaan yang lebih kerap bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang.

     
     
  • Big Blue Taxi laksana sistem tiket elektronik untuk semua teksinya bagi elak penumpang ditipu

    Big Blue Taxi laksana sistem tiket elektronik untuk semua teksinya bagi elak penumpang ditipu

    Syarikat pengendali teksi Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd telah melancarkan sistem tiket elektronik ‘Big Blue e-Ticketing’ yang bakal dilaksanakan untuk semua teksi di bawah seliaannya.

    Sistem ini bakal dilaksana mulai 1 Januari 2017 bertujuan untuk melindungi penumpang daripada ditipu pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab dengan melalui jalan jauh dengan niat mahu mengenakan caj meter yang tinggi.

    Menurut penasihatnya, Datuk Shamsubahrin Ismail, menerusi sistem ini, semua teksi di bawah syarikatnya tidak akan lagi menggunakan caj bermeter tetapi penumpang akan dicaj mengikut kadar harga tetap tanpa caj tersembunyi, laporan Bernama.

    “Penumpang tidak lagi perlu risau akan ditipu pemandu teksi memandangkan mereka (penumpang) akan diberikan resit pembayaran terlebih dahulu sebelum menaiki teksi tersebut, malah data pemandu dan kenderaannya turut direkodkan dalam sistem ini,” katanya dalam sidang media semalam.

    Tambahnya lagi, pengguna juga boleh memilih sama ada mahu menggunakan teksi bajet, teksi eksekutif dan sebagainya serta dapat membuat pilihan kaedah bayaran secara tunai, kad debit atau kad kredit di kaunter-kaunter ini.

    Bagi jumlah caj yang dikenakan kepada penumpang turut merangkumi perlindungan insurans bagi menjamin keselamatan penumpang. Walau bagaimana pun, caj tambahan 50% akan dikenakan ketika waktu puncak iaitu mulai 5 petang hingga 8 malam.

    Shamsubahrin berkata setakat ini, perkhidmatan Big Blue e-Ticketing hanya boleh didapati di kaunter tiket syarikat tersebut di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Publika sahaja.

    Syarikatnya juga merancang untuk memperluaskan perkhidmatan tersebut di kawasan-kawasan lain antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Berjaya Times Square.

    Tambahnya, pelaksanaan sistem ini juga bertujuan menyahut gesaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang menggalakkan syarikat pengendali teksi menggunakan sistem ‘e-hailing’, agar dapat bersaing dengan perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grabcar.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI Clubsport Edition 40 – 265 PS

    Volkswagen Golf GTI Clubsport Edition 40 – 265 PS

    Sempena ulang tahun ke-40 Volkswagen Golf GTI, cawangan pengeluar itu di UK telah mengeluarkan gambar-gambar Golf GTI Clubsport Edition 40, model khusus yang direka untuk sambutan berkenaan. Ini bukanlah versi GTI seperti sedia ada; Volkswagen turut membuat talaan baharu pada enjinnya.

    Dalam versi ini, enjin 2.0 liter TFSI yang digunakan menjana 265 PS dan 350 Nm tork; ia 45 PS lebih berkuasa berbanding enjin GTI biasa. Dengan fungsi overboost jika digunakan ketika full throttle, ia akan menghasilkan tambahan 25 PS dalam tempoh sehingga 10 saat.

    Kesannya, bacaan 0-100 km/j kini mencapai 6.3 saat, 20 peratus lebih pantas dari enjin biasa, dengan kelajuan maksimumnya kini ialah pada 249 km/j berbanding 246 km/j. Peningkatan prestasi ini adalah bagi kedua-dua kotak gear manual enam-kelajuan serta DSG.

    Walaupun tidak sepantas Golf GTI Clubsport S, versi Edition 40 ini turut didatangkan dengan penggayaan Clubsport sepenuhnya. Antaranya termasuk bampar depan baharu, pelapik sisi, diffuser belakang dan spoiler pada bumbung untuk kesan aero yang lebih baik. Juga, 1,000 unit Edition 40 ini akan ditawarkan kepada pelanggan di UK; tidak seperti edisi Clubsport S yang hanya dijual 150 unit (daripada 400 unit) sahaja untuk pasaran UK.

    Di dalam, tempat duduk dengan material Alcantara/ Recaro fabrik adalah standard, dengan tempat duduk sport balutan kulit sebagai pilihan. Perincian lain seperti pada papan pemuka dan tapat kerangka pintu disertakan dengan trim Honeycomb 40, serta stereng dengan material Alcantara.

     
     
  • GALERI: Haval H2 – enjin 1.5L turbo, bermula RM87k

    GALERI: Haval H2 – enjin 1.5L turbo, bermula RM87k

    Haval H2 merupakan sebuah SUV yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia oleh pengedarnya, GO Auto Sales Sdn Bhd. Sebuah produk buatan China, ia ditawarkan di dalam tiga varian; RM87,246.01 bagi model Standard, RM95,997.97 bagi varian Comfort AT dan RM98,915.29 bagi varian paling tinggi, Premium AT.

    Harga yang dipaparkan adalah termasuk GST, tanpa insurans. Semua varian Haval H2 didatangkan dengan jaminan lima tahun, atau 150,000 km. Versi yang dipaparkan di sini ialah dari varian Comfort AT, yang dibezakan daripada varian Premium AT dengan penggunaan warna tunggal bagi ruang kabinnya.

    Ia menggunakan enjin 1.5 liter VVT petrol dengan turbocaj, dengan janaan kuasa 147 hp pada 5,000 rpm dan 210 Nm tork di antara 2,200 rpm hingga 4,500 rpm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear sama ada enam-kelajuan manual (hanya bagi varian Standard) atau transmisi automatik enam-kelajuan (bagi varian Comfort dan Premium).

    Bagi aspek luaran, varian Standard dipasangkan antena “sirip jerung” dan rak bumbung aluminium, sementara pada varian Comfort dan Premium pula ia memlibatkan penambahan ciri seperti lampu utama dan pengelap cermin automatik serta sunroof. Semua varian disertakan dengan lampu utama halogen penyelarasan secara manual, dengan lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus bahagian hadapan.

    Bagi ruang dalaman, versi Standard antaranya dilengkapi dengan paparan TFT 3.5 inci untuk maklumat pemanduan, instrumen panel kedua, penunjuk kedudukan gear, sistem masukan tanpa kunci, sistem Push Start, perehat lengan boleh laras di bahagian tengah. Ini termasuk sistem Bluetooth dengan empat pembesar suara. Bagi dua varian yang lebih tinggi, ia dilengkapi dengan lapan pembesar suara.

    Tambahan bagi versi Comfort dan Premium pula adalah butang kawalan sistem audio pada stereng, cruise control, pendingin hawa dwi-zon, cermin sisi elektrik dengan lampu isyarat boleh lipat, kemasan kulit, tempat duduk pemandu diselaras secara elekrik (enam kedudukan), perehat lengan di bahagian tengah dan kamera undur.

    Ciri-ciri keselamatan yang melengkapinya pula terdiri daripada dua beg udara di hadapan (versi Standard), sementara versi Comfort dan Premium disertakan dengan enam beg udara serta blind spot monitoring system. Semua varian dilengkapi dengan ciri ESP, penunjuk tekanan tayar, collision-detecting fuel cutoff system, sensor undur, immobilise dan sistem penggera anti-kecurian sebagai ciri standard.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026