Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Tesla Model Y kini dijual pada harga bermula RM346k

    Tesla Model Y kini dijual pada harga bermula RM346k

    Ini ada perkembangan terbaru berkenaan harga Tesla Model Y di Malaysia. SUV elektrik tersebut, yang merupakan antara model Tesla yang dibawa masuk oleh Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), kini dijual pada harga permulaan lebih murah hasil daripada laluan import dan kiraan yang baru.

    TERKINI: Nampaknya risalah jualan yang dihantar sebelum ini oleh PEKEMA sebenarnya bukanlah yang terbaru, dengan harga yang telah dirujuk semula. Persatuan itu baru sahaja menghantar senarai harga sebenar yang telah dikemas kini, dan ia menyaksikan harga untuk semua Model Y diselaraskan semula. Versi Standard Range AWD yang sebelum ini dilaporkan dijual pada harga RM329,800 sekarang berharga RM345,800. Tengok juga senarai harga yang telah dikemas kini di bawah.

    Dalam risalah jualan yang dikeluarkan untuk tahun ini, Model Y kini dijual pada harga bermula RM345,800 (tidak termasuk SST), dan dibawa masuk daripada Hong Kong. Disember tahun lepas, harga bagi Model Y versi pacuan semua roda diletakkan pada RM417,528, sekaligus menjadikan harga model permulaan baru ini berkurangan sehingga RM73k.

    Sebab utama perbezaan harga ini adalah model yang dibawa dari Hong Kong (seperti dalam gambar) ini adalah versi Standard Range pacuan roda belakang (RWD), di mana ia cuma mampu memberikan jarak gerak 455 km (WLTP) berbanding 542 km yang mampu disediakan oleh versi Long Range AWD. Catatan prestasi bagi versi asas ini adalah 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum 217 km/j.

    Tesla Model Y kini dijual pada harga bermula RM346k

    Spesifikasi sistem infotainmennya juga mempunyai beza, atau lebih spesifik lagi pada bahagian perisiannya – Model Y dari Hong Kong mengikut peraturan lebih ketat yang dikenakan oleh China untuk aplikasi tertentu, yang membawa makna ada antara aplikasi pada skrin tersebut tidak boleh diakses.

    Meskipun Model Y sebenarnya disediakan dalam tetapan tujuh dan lima tempat duduk, unit RWD dari Hong Kong ini cuma adalah versi lima tempat duduk – satu-satunya tetapan tempat duduk yang disediakan di negara itu. Model yang ditunjukkan di dalam gambar ini sekarang sedang dipamerkan di Vision Motorsports yang terletak di Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya.

    Dengan pengenalan versi Standard Range RWD ini, bermakna sekarang PEKEMA menawarkan lima versi Model Y, iaitu:

    Model Y Standard Range RWD (HK) – dari RM345,800
    Model Y Long Range AWD (HK) – dari RM423,800
    Model Y Long Range AWD (UK) – dari RM418,800
    Model Y Performance AWD (HK) – dari RM486,900
    Model Y Performance AWD (UK) – dari RM481,900

    Putih adalah warna standard yang disediakan tanpa sebarang tambahan bayaran, sementara warna hitam, perak dan biru gelap pula dijual dengan tambahan RM6,000 sementara warna merah pula memerlukan tambahan RM12,600. Anda juga disediakan dengan pilihan rim 20 inci pada harga RM12,600.

    Sama seperti model Tesla lain yang dibawa masuk oleh PEKEMA, Model Y ini datang sekali dengan jaminan antarabangsa oleh Tesla, yang termasuk empat tahun untuk kenderaan itu sendiri dan lapan tahun untuk bateri atau motor elektriknya.

     
     
  • Michelin Road 6 dilancar – tayar motosikal sports touring dengan 15% lebih cengkaman atas jalan basah

    Michelin Road 6 dilancar – tayar motosikal sports touring dengan 15% lebih cengkaman atas jalan basah

    Michelin hari ini telah melancarkan tayar motosikal sports touring baru untuk menggantikan Road 5, iaitu Road 6. Sementara Road 5 sebelum ini sudah memang dikenali dengan prestasinya di atas jalan basah, melalui Road 6 pula, Michelin telah meningkatkan lagi ketahanan serta cengkamannya di atas jalan basah melalui corak bunga simetrik.

    Dengan itu, Road 6 kini mampu memberikan 15% lebih cengkaman atas jalan basah berbanding Road 5, dan antara penyebab utamanya adalah penggunaan bahan silika 100% yang dapat panas dengan lebih cepat dalam keadaan cuaca sejuk.

    Menambahkan lagi prestasinya adalah corak bunga tayar Water Evergrip khas rekaan Michelin. Apabila tayar semakin haus, alur pada tayar tersebut akan jadi lebih kembang, sekaligus meningkatkan nisbah alur serta mengeluarkan air dengan lebih mudah.

    Michelin Road 6 dilancar – tayar motosikal sports touring dengan 15% lebih cengkaman atas jalan basah

    Berkenaan tempoh hayat tayar itu sendiri, Michelin menggunakan bahan campuran dengan teknologi 2CT+ pada Road 6, di mana ia dikatakan dapat memberi tempoh hayat 10% lebih lama berbanding Road 5. Lapisan bawah yang lebih keras mengekalkan ketahanan tayar waktu mengambil selekoh sementara lapisan atas lebih lembut yang bersentuhan dengan jalan pula memberikan cengkaman yang baik.

    Struktur dalaman Road 6 menggunakan teknologi Radial X Evo, yang dapat memastikan sentuhan permukaan lebih luas, serta meningkatkan cengkaman, kedua-dua waktu jalan lurus dan juga condong mengambil selekoh. Bahagian tepi tayar pula menggunakan lipatan lapisan khas yang dapat memberikan lebih fleksibiliti dan lebih keselesaan waktu kelajuan tinggi.

     
     
  • PACE 2022: Tinjau Volkswagen Golf Mk8 GTI dari dekat

    PACE 2022: Tinjau Volkswagen Golf Mk8 GTI dari dekat

    Jangan terlepas untuk berkunjung ke pameran Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org yang akan berlangsung di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) pada 19-20 Mac, hujung minggu ini. Banyak model kenderaan terbaru akan dipamerkan di bawah satu bumbung untuk anda dekati.

    Banyak jenama lain ketika pameran ini, seperti Mercedes-Benz (diwakili Hap Seng Star), BMW dan MINI (diwakili Auto Bavaria), Volvo, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai. Motosikal daripada BMW Motorrad dan Harley-Davidson juga akan ikut serta.

    Di acara ini nanti, Volkswagen antara lain akan mempamerkan Golf GTi generasi kelapan; sebuah hatchback pelopor yang kembali sekali lagi mempertemukan kualiti, praktikaliti dan prestasi. Lebih menarik, kini ia hadir dengan kelengkapan teknologi yang banyak.

    Bahagian kokpit model Mk8 ini segar dan baru. Selain panel instrumen digital 10.25-inci turut ada sistem skrin sentuh Discover Media 10-inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Tombol yang kelihatan hanyalah untuk cermin sisi; bahkan tombol gear juga sangat kecil di konsol tengah.

    PACE 2022: Tinjau Volkswagen Golf Mk8 GTI dari dekat

    Kelengkapan khusus untuk GTI adalah kerusi sport kulit (automatik dengan ciri lumbar dan memori untuk pemandu) gauge merah khas GTI, perincian merah dan logo GTI di stereng (dengan paddle shift), jahitan merah pada kerusi gelap dan perincian honeycomb mesh untuk papan pemuka. Di luar, ada jalur merah pada gril dan juga honeycomb mesh bahagian bawah gril, paip ekzos berkembar dan rim Richmond 18-inci.

    Dari segi prestasi, ia datang dengan enjin 2.0 TSI dengan janaan 245 PS dan 370 Nm tork dari 1,600 hingga 4,300 rpm. Ini melibatkan tambahan 15 PS/20 Nm berbanding GTI Mk7.5, dan sama dengan versi Performance Pack kereta berkenaan. Digandingkan dengan DSG klac basah berkembar tujuh-kelajuan, 0-100 km/j boleh dicapai dalam 6.4 saat dan laju maksimum 250 km/j. Dan, untuk kali pertama, Golf GTI dipasang di Malaysia, menjadikan harga jualannya sangat menarik, RM212,711.

    Membeli kenderaan di PACE akan memberikan anda bonus dan penjimatan. Semua kenderaan yang ditempah akan menerima baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    PACE 2022: Tinjau Volkswagen Golf Mk8 GTI dari dekat

    Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

    Pengecualian SST, tawaran hebat daripada jenama, baucar percuma daripada PACE, cabutan bertuah — semua ini menjadikan acara berkenaan masa dan tempat terbaik untuk membeli kenderaan. Jumpa di sana nanti!

     
     
  • Proton Saga 1.5 GL ‘Black Knight’ di pamer di Royal Automobile Club Rotunda, London dari 15-27 Mac ini

    Proton Saga 1.5 GL ‘Black Knight’ di pamer di Royal Automobile Club Rotunda, London dari 15-27 Mac ini

    Selepas menang hadiah utama di Concours de l’Ordinare Hagerty Festival of the Unexceptional tahun lalu, Proton Saga 1.5 GL Black Knight 1989 yang dimiliki Jon Coupland, pegawai polis berumur 30-tahun dari Boston, Lincolnshire kini dipamerkan di Club House milik Royal Automobile Club Rotunda di London, England.

    Saga berkenaan di bawa ke ditempat yang agak berprestij tersebut oleh Hagerty Insurance, dan ia dipamerkan bermula 15 Mac lalu sehingga 27 Mac ini.

    Proton Saga 1.5 GL Black Knight Edition merupakan model edisi terhad yang hanya dihasilkan untuk pasaran United Kingdom. Jika Saga Knight di Malaysia hanya hadir dalam versi Aeroback, model Black Knight di UK ini pula turut ditawarkan dalam versi sedan. Proton hanya menghasilkan sebanyak 201 unit Black Knight untuk dijual, dan dipercayai unit milik Coupland ini adalah satu-satunya yang masih lagi wujud.

    Menurut Coupland, pemilik asal kereta ini menyimpannya di dalam garaj sejak tahun 1993 dengan jarak perbatuan hanya sekitar 3,600 batu (5,794 km) kerana jatuh sakit. Ia hanya keluar dari garaj berkenaan pada 2017 selepas dibeli oleh pemilik kedua dan kemudian dipandu sehingga meter perbatuan mencatatkan sekitar 10,000 batu (16,093 km). Jon Coupland merupakan pemilik ketiga Saga GL Black Knight berkenaan, dibeli pada 2019.

    Model Black Knight ini dihasilkan dari model asas Saga 1.5 GL pasaran UK yang dijana oleh enjin 1.5 liter 8 injap karburator. Seperti namanya, ia hadir dengan warna badan hitam, serta diberikan perincian unik seperti jalur pelekat badan dengan tulisan ‘Knight’ serta grafik pahlawan berkuda, penutup rim untuk menutup rim besi 13-inci dengan grafik pahlawan yang sama serta spoiler but belakang yang diperbuat dari getah.

    Namun disebabkan model GL ini adalah model dengan spesifikasi asas, ia tidak dilengkapi dengan stereng berkuasa, tiada bumbung suria, serta hanya diberikan tingkap manual yang memerlukan anda memulas tuil bagi menurunkan atau menaikkan cermin tersebut. Ia juga menerima radio manual Blaupunkt Bristol 27 yang boleh memainkan kaset.

    Kebanyakkan acara-acara perhimpunan permotoran klasik biasanya akan mengangkat model-model eksotik, sport dan rare. Namun berbeza dengan acara Hagerty Festival of the Unexceptional yang diadakan di United Kingdom setiap tahun bermula 2014, ia adalah acara untuk meraikan kereta-kereta keluarga klasik yang masih gagah dipandu di negara berkenaan.

    Lebih 3,000 peserta yang hadir ke Concours de l’Ordinare, dan antara kereta-kereta lain yang ditewaskan oleh Proton 1.5 GL Black Knight Edition dalam Hagerty Festival of the Unexceptional 2021 adalah termasuk Peugeot 106 XN Graduate special edition 1991, Kia Pride 1990, Fiat 128 1977, Triumph Toledo 1971, Volkswagen Polo C Formel E 1986, Nissan Bluebird 1989, Volvo 340 DL 1986, Ford Escort 1978 serta banyak lagi.

    GALERI: Proton 1.5 GL Black Knight Edition di Hagerty Festival of the Unexceptional 2021

     
     
  • DBKL bakal memperkenalkan tempat letak kenderaan terbuka yang bersifat pintar dan lebih sistematik

    DBKL bakal memperkenalkan tempat letak kenderaan terbuka yang bersifat pintar dan lebih sistematik

    Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengesahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengkaji sistem meletak kenderaan lebih sistematik bagi memudahkan pengguna serta meningkatkan kemudahan itu di ibu kota.

    Ia berikutan DBKL yang menyedari tenaga penguat kuasa tidak mencukupi untuk meronda setiap kawasan tempat letak kereta apabila pengguna meletakkan kenderaan lebih masa, laporan Bernama.

    Jalaluddin berkata, terdapat 60,000 petak letak kenderaan di ibu kota dan semua petak itu memerlukan sistem teknologi dipusatkan bagi memastikan tiada ketirisan pada hasil DBKL.

    “Seterusnya, sistem bakal diperkenalkan ini akan mengelakkan masalah kekurangan tempat letak kereta susulan pengguna menyalah guna dengan meletak kenderaan sudah tidak digunapakai. Selain itu, sistem pembayaran bagi tempat letak kereta berpusat perlu digunakan bagi menyelaraskan semua sistem tempat letak kereta di Kuala Lumpur.

    “Sehubungan itu, sistem tempat letak kereta pada masa ini perlu dilihat semula bagi memastikan pengguna lebih berhati-hati dalam meletakkan kenderaan, sekali gus mengatasi masalah kekurangan tempat letak kenderaan,” katanya.

    Tambah beliau lagi, sistem yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi itu akan menyaksikan sistem tempat letak kereta lebih terurus dan mengatasi masalah ketirisan hasil DBKL.

     
     
  • Perodua akan lancar SUV untuk cabar Proton X50 pada 2023? bermula RM73k, 1.5L NA, D-CVT, DNGA-B

    Perodua akan lancar SUV untuk cabar Proton X50 pada 2023? bermula RM73k, 1.5L NA, D-CVT, DNGA-B

    Ya, memang Perodua sudah pun menghasilkan SUV segmen-B iaitu Perodua Ativa buat masa sekarang. Namun Ativa cumalah SUV segmen-B entry level dengan saiz jauh lebih kecil berbanding model-model segmen-B penuh seperti Proton X50 dan juga Honda HR-V.

    Namun nampaknya Perodua mungkin akan menghasilkan satu lagi SUV untuk dilancarkan pada tahun hadapan, dan ia adalah pencabar sebenar dalam pasaran SUV segmen-B. Ada khabar mengatakan bahawa Perodua telah pun menjemput sekumpulan orang awam untuk menjalankan tinjaun pasaran terhadap sebuah model yang belum lagi diberi nama.

    Perincian untuk model berkenaan juga belum jelas, namun khabar mengatakan bahawa ia akan diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), secara spesifiknya adalah platform DNGA-B yang sama seperti Daihatsu Xenia, Toyota Avanza dan model generasi baharu Alza yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

    Platform DNGA-B ini sememangnya lebih besar dari platform DNGA-A yang digunakan oleh Perodua Ativa. Kami turut diberitahu bahawa SUV segmen-B baharu Perodua ini dihasilkan dengan dimensi 4,320 mm panjang, 1,770 mm lebar dan 1,685 tinggi. Tiada angka jarak roda dinyatakan, tetapi model baharu ini dikatakan mempunyai berat 1,283 kg.

    Perodua akan lancar SUV untuk cabar Proton X50 pada 2023? bermula RM73k, 1.5L NA, D-CVT, DNGA-B

    Sebagai perbandingan, Perodua Ativa mempunyai dimensi 4,220 mm panjang, 1,710 mm lebar dan 1,620 mm tinggi. Manakala Proton X50 pula dihasilkan dengan dimensi 4,330 panjang, 1,800 mm lebar, dan tinggi 1,609 mm.

    Namun untuk unit rangkaian kuasa, SUV segmen-B yang lebih besar ini hanya menampilkan konfigurasi yang hampir sama seperti Myvi facelift 2022, iaitu enjin 2NR-VE 1.5 liter Dual VVT-i bersama kotak gear D-CVT bagi memacu roda hadapan. Walau bagaimanapun, enjin berkenaan akan diberikan talaan sedikit lebih berkuasa iaitu 106 PS (102 PS pada Myvi) dan tork maksima 137 Nm, sama seperti talaan yang diberikan pada Avanza generasi baharu yang telah pun dilancarkan di Indonesia.

    Manakala untuk rupa, SUV baharu ini dikatakan akan menampilkan rupa seakan coupe, tetapi diberikan muka yang hampir sama dengan Ativa. Jadi untuk memudahkan anda membayangkan rupanya, pakar manipulasi automotif iaitu Theophilus Chin telah pun menghasilkan lakaran digital untuk SUV berkenaan.

    Theo menggunakan asas Suzuki Vitara bagi menghasilkan lakaran digital yang anda lihat ini dengan memanjangkan sedikit jarak roda, meninggikan tiang-A dan juga memberikan set roda lebih besar untuk bentuk yang lebih baik. Kemudian badan atas untuk SUV yang dilakar tersebut diintegrasikan dengan badan atas Volvo XC60, serta diberikan ruang roda dan bumbung dari Corolla Cross.

    Dan sudah tentu, Theo ‘mengahwinkan’ muka Ativa pada SUV lakarannya ini, manakala lampu belakang pula diambil dari Toyota Seqouia. Akhir sekali, logo-logo Perodua turut diletakkan pada tempat-tempat sepatutnya.

    Model baharu ini dijangka bakal dijual pada harga bermula RM73,000 – lebih murah dari Proton X50 varian asas yang dijual pada harga bermula RM79,200. Dengan harga tersebut, ia dijangka akan diberikan sistem bantuan pemanduan ASA Perodua sama seperti Ativa dan Myvi, serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan inci serta sokongan Apple CarPlay.

    Walau bagaimanapun, maklumat-maklumat yang kami terima ini masih diklasifikasikan sebagai khabar angin, sebelum Perodua mengeluarkan apa-apa makmlumat rasmi. Sebelum ini Perodua ada menyatakan bahawa mereka berupaya untuk melancarkan dua model facelift dan satu model serba baharu setiap tahun.

    Untuk tahun ini Perodua sah bakal melancarkan model generasi baharu Alza, manakala untuk dua model facelift kami jangkakan adalah versi kemaskini untuk Aruz dan Axia. Manakala bagi model SUV segmen-B serba baharu ini mungkin akan dilancarkan pada tahun hadapan.

     
     
  • PACE 2022: Dekati Volvo XC90 B5 Inscription mild-hybrid dan nikmati banyak tawaran menarik!

    PACE 2022: Dekati Volvo XC90 B5 Inscription mild-hybrid dan nikmati banyak tawaran menarik!

    Tinggal beberapa hari saja lagi pameran Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org akan berlangsung di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) pada 19-20 Mac, hujung minggu ini. Banyak model kenderaan terbaru akan dipamerkan di bawah satu bumbung, termasuklah Volvo XC90 B5 Inscription Plus.

    Ini merupakan model mild-hybrid jenama itu yang pertama dijual di Malaysia. Ia dilengkapi enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder, dengan janaan 249 PS dan 350 Nm tork. Menyalurkan kuasa berkenaan adalah kotak gear automatik lapan-kelajuan, dan disertai juga oleh sebuah motor elektrik dengan kuasa 14 PS dan 40 Nm. Ini membolehkan operasi Start/Stop enjin lebih lancar, mengurangkan penggunaan minyak dan memberikan kuasa tambahan.

    SUV besar ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat, dan dalam masa yang sama memberikan bacaan penggunaan minyak pada kadar 8.2 liter per 100 km. Tidak seperti versi petrolnya, versi B5 ini datang dengan kemasan spesifikasi tinggi termasuk roda 20-inci, lampu utama LED adaptif, suspensi udara aktif, sunroof panoramik, tombol gear Orrefors, kawalan pendingin udara empat zon serta sistem bunyi Bowers & Wilkins dengan 19 pembesar suara 1,400 watt.

    Oleh kerana ini model Volvo, ia tentunya datang dengan ciri keselamatan lengkap, termasuk AEB, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta serta sistem Pilot Assist yang mengendalikan pecutan, brek dan stereng — membolehkan pemanduan semi-autonomous Tahap 2.

    PACE 2022: Dekati Volvo XC90 B5 Inscription mild-hybrid dan nikmati banyak tawaran menarik!

    Seperti semua kereta yang ditawarkan di PACE, XC90 juga menikmati pengecualian cukai SST ketika ini. Mungkin kesempatan terakhir pelanggan untuk mendapatkan penjimatan itu, ia bakal berakhir pada 30 Jun nanti. Juga, membeli di acara ini akan membolehkan anda mendapat kenderaan baru tersebut sebelum Hari Raya.

    Volvo bakal disertai oleh banyak lagi jenama lain ketika pameran ini, seperti Mercedes-Benz (diwakili Hap Seng Star), BMW dan MINI (diwakili Auto Bavaria), Volkswagen, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai. Motosikal daripada BMW Motorrad dan Harley-Davidson juga akan ikut serta. Kali ini, kita akan melihat penawaran daripada Ford.

    Perlukan pembiayaan untuk kereta anda? Anda boleh berhubung dengan penaja bersama kami RHB Bank, yang menawarkan kadar 1.99%* setahun (bersamaan kadar tetap) bagi kenderaan hibrid, plug-in hibrid atau EV melalui RHB Green Financing. Bagi kereta biasa, anda boleh memanfaatkan
    RHB Vehicle Financing-i (Kadar Bolehubah) dengan kadar serendah 2.10%* setahun (bersamaan kadar tetap).

    Selain itu, RHB juga menyediakan pengurangan prinsipal dan pengurangan bagi baki harian untuk jimat terhadap caj profit; ia juga tidak akan mengenakan denda yuran keluar sekiranya anda melangsaikan pinjaman lebih awal. Jika nilai pembiayaan minimum RM50,000 pula daripada kos kereta melalui RHB Bank di PACE, anda akan menerima pelindungan kemalangan peribadi percuma bernilai RM100,000 daripada Syarikat Takaful Malaysia Berhad.

    PACE 2022: Dekati Volvo XC90 B5 Inscription mild-hybrid dan nikmati banyak tawaran menarik!

    Seperti biasa, membeli kenderaan di PACE akan memberikan anda bonus dan penjimatan. Semua kenderaan yang ditempah akan menerima baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

    Pengecualian SST, tawaran hebat daripada jenama, baucar percuma daripada PACE, cabutan bertuah — semua ini menjadikan acara berkenaan masa dan tempat terbaik untuk membeli kenderaan. Jumpa di sana nanti!

     
     
  • Kerajaan M’sia sasar sediakan sekurang-kurangnya 10,000 stesen pengecasan EV menjelang tahun 2025

    Kerajaan M’sia sasar sediakan sekurang-kurangnya 10,000 stesen pengecasan EV menjelang tahun 2025

    Kerajaan menyasarkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya 10,000 infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) menjelang 2025. Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong, menerusi sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

    Katanya, sasaran itu digariskan dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030. Di mana bagi mencapai sasaran tersebut, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) memainkan peranan dalam usaha mewujudkan kerjasama awam dan swasta bagi memacu pembangunan infrastruktur stesen pengecasan EV yang sedia ada serta baharu, laporan Bernama.

    “Buat masa ini, wujud kira-kira 300 stesen pengecasan EV hasil kerjasama yang diwujudkan oleh MGTC. Ketika ini, dianggarkan jumlah keseluruhan stesen pengecasan sedia ada untuk pengguna EV di Malaysia adalah sekurang-kurang 600 stesen,” katanya.

    Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai perancangan kerajaan untuk membangunkan industri EV tempatan berikutan industri itu semakin berkembang dalam pasaran dunia.

    Mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut, Ban Hong berkata, kerajaan menyediakan insentif cukai dan bantuan kewangan kepada syarikat yang ingin membina infrastruktur berkenaan. Antaranya, pengecualian cukai pendapatan melalui galakan taraf perintis atau elaun cukai pelaburan bagi aktiviti perkhidmatan teknologi hijau, termasuk stesen pengecasan EV.

    “Selain itu, kerajaan turut menawarkan kemudahan pembiayaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 3.0 bagi menyokong pelaburan lestari dan bertanggungjawab, serta menggalakkan amalan standard lestari di Malaysia.

    “Bawah Belanjawan 2022, insentif pelepasan cukai pendapatan individu hingga RM2,500 juga disediakan bagi kos pemasangan, sewaan dan pembelian, termasuk sewa beli peralatan, serta yuran langganan kemudahan pengecasan EV,” katanya.

    Kerajaan M’sia sasar sediakan sekurang-kurangnya 10,000 stesen pengecasan EV menjelang tahun 2025

    Tambah beliau, kejayaan dasar dan usaha kerajaan dalam membangunkan industri EV diterjemahkan melalui pelaburan yang diluluskan bagi sektor berkenaan.

    “Sebagai contoh dua syarikat besar yang berpangkalan di Korea Selatan, iaitu SK Nexilis dan IMM Technology, telah melabur di Malaysia bagi menghasilkan ‘electro-deposited copper foil’ yang digunakan sebagai komponen bagi bateri EV.

    “Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 dan pakej insentif EV bawah Belanjawan 2022 akan menjadi pemangkin ke arah pembangunan ekosistem industri EV tempatan supaya industri automotif negara terus relevan serta mampu bersaing dan menyokong rantaian bekalan global,” katanya.

     
     
  • Harga minyak 17-23 Mac – RON97 naik 25 sen seliter

    Harga minyak 17-23 Mac – RON97 naik 25 sen seliter

    Seperti biasa, setakat ini, harga kenaikan bahan api hanya melibatkan petrol RON 97. Sekali lagi, untuk tempoh bertarikh 17 hingga 23 Mac 2022, harga runcit bagi petrol RON 97 mengalami kenaikan sebanyak 25 seliter, menjadi RM4.00 seliter berbanding RM3.75 seliter pada minggu sebelumnya.

    Untuk petrol RON 95 pula, harganya masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Ia telah pun mencapai harga siling dan dikekalkan sejak setahun yang lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang masih dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Harga ini berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehingga Rabu hadapan, 23 Mac 2022.

     
     
  • Ruiqi 7 didedah — Nissan Navara untuk pasaran China

    Ruiqi 7 didedah — Nissan Navara untuk pasaran China

    Zhengzhou Nissan, anak syarikat Dongfeng Motor Company (usaha sama antara Dongfeng Motor Group dan Nissan Motors), telah mendedahkan Ruiqi 7, sebuah trak pikap yang menggunakan asas Nissan Navara, sama seperti Renault Alaskan dan juga Mercedes-Benz X-Class.

    Sama seperti model lain dengan asas Navara itu, Ruiqi 7 menerima penggayaan baru yang membezakannya, terutamanya bahagian depan dengan kerangka gril lebih kurus, dan perincian dengan corak unik. Lampu utama juga diberi bentuk baru dengan DLR bersepadu, sementara apron bawah dilengkapi lampu kabus yang bersambung bukaan bawah, serta tidak lupa bahagian untuk skid plate.

    Perubahan ini menjadikan model Dongfeng berkenaan 35 mm lebih panjang berbanding Navara, namun selebihnya kekal sama. Walaupun begitu, ruang dalaman Ruiqi 7 berbeza. Ia lebih moden dan premium dari segi penampilan, dengan banyak bahagian balutan kulit dua-tona.

    Ruiqi 7 didedah — Nissan Navara untuk pasaran China

    Kelengkapan lain termasuk stereng rata di bawah dan sistem infotainmen skrin sentuh apungan di tengah papan pemuka. Konsol tengah juga nampak lebih kemas, disertai tuil gear, kawalan lain kenderaan dan ruang cawan bertutup. Ini bahkan nampak lebih menarik berbanding model Mercedes-Benz X-Class.

    Penampilan umum Ruiqi 7 dijangka berlangsung April ini ketika Beijing Auto Show sebelum mula dijual pada bulan berikutnya. Pelanggan boleh memilih antara versi petrol dan diesel, dengan pilihan pacuan belakang atau semua roda.

     
     
  • Subaru WRX STi tiada untuk generasi kali ini kerana emisi yang semakin ketat, hayat produksi pendek

    Subaru WRX STi tiada untuk generasi kali ini kerana emisi yang semakin ketat, hayat produksi pendek

    Ramai yang menjangkakan bahawa Subaru WRX STI generasi baharu akan didedahkan tahun ini. Bukan sahaja kerana kemunculan model konsep Viziv Performance di Tokyo Auto Salon pada 2018, dan laporan-laporan yang memetik Subaru sendiri menyatakan bahawa STI generasi baharu berkenaan bakal dijana oleh enjin baharu dengan mengambil enjin Mercedes-AMG A45 sebagai kayu ukur, malah model asasnya iaitu Subaru WRX 2022 sudahpun didedahkan tahun lalu.

    Tiba-tiba, muncul satu surat rasmi dari Subaru America lewat minggu lalu menyatakan bahawa Subaru WRX STI dengan platform baharu tersebut tidak dihasilkan dalam bentuk produksi. Ini bukan menandakan bahawa WRX STI akan ‘dibunuh’ terus seperti apa yang terjadi kepada Mitsubishi Lancer Evolution, tetapi ia akan ‘direhatkan’ untuk generasi kali ini, dan bakal muncul semula untuk model generasi seterusnya, bersama teknologi elektrifikasi.

    Kenapa Subaru mengambil langkah yang dilihat begitu drastik begini? Perkara ini diterangkan oleh pengarah komunikasi korporat Subaru America Dominick Infante kepada portal Raod & Track. “Jika kami reka (STI baru) sekarang, ia hanya akan mempunyai jangka hayat produksi yang pendek. Undang-undang sekarang sedang berubah dengan cepat dan ini yang membuatkan ia tidak masuk akal,” katanya. Undang-undang tersebut tentu sekali adalah yang berkaitan dengan emisi.

    Subaru WRX STi tiada untuk generasi kali ini kerana emisi yang semakin ketat, hayat produksi pendek

    Menerusi surat yang tular minggu lalu, Subaru menyatakan bahawa mereka kini sedang “meneroka peluang untuk Subaru WRX STI generasi seterusnya, termasuk elektrifikasi” dan menegaskan “WRX STI generasi seterusnya dengan enjin pembakaran dalaman tidak akan di hasilkan berasaskan platform WRX generasi baharu”.

    “Subaru kini sedang fokus terhadap bagaimana kereta-kereta sports dan prestasi kami boleh berevolusi bagi membolehkan ia memenuhi keperluan pasaran yang berubah serta undang-undang dan keperluan untuk gas-gas rumah hijau (GHG), kenderaan emisi sifar (ZEV) dan Ekonomi Bahan Api Purata Korporat (CAFE),” kata Subaru.

    Jenama tersebut turut menjelaskan bahawa mereka tidak akan berhenti untuk menghasilkan kereta-kereta prestasi mahupun menutup jenama STI. “Kami masih mempunyai penampilan yang kuat dengan WRX serba baharu dan juga BRZ yang baru sahaja dilancarkan. Jenama STI mewakili zenit kepada kenderaan prestasi Subaru memberikan contoh DNA unik dan warisan sejarah rali Subaru. Sambil kami melihat masa depan, kami juga berharap untuk menerapkan intipati STI ke dalam kenderaan kami untuk generasi akan datang,” kata Subaru lagi.

    Subaru WRX STi tiada untuk generasi kali ini kerana emisi yang semakin ketat, hayat produksi pendek

    Kesimpulan yang boleh dibuat disini, Subaru bimbang sekiranya banyak pelaburan dibuat untuk WRX STI, model berkenaan mungkin tidak boleh dijual dalam tempoh yang lama kerana undang-undang emisi buat masa sekarang semakin hari semakin ketat. Jadi mereka hanya akan menghasilkan WRX STI untuk model generasi selepas ini, dan ia terus akan menerima sistem elektrifikasi – mungkin hibrid, mungkin plug-in hybrid dan mungkin ia adalah kereta sport elektrik sepenuhnya (EV).

    Jadi buat masa sekarang, sekiranya anda mahukan sedan sport dengan enjin petrol tanpa ‘gangguan’ dari sistem elektrifikasi, WRX ‘biasa’ adalah pilihannya. Model berkenaan kini menggunakan enjin FA24F 2.4 liter empat silinder menghasilkan 271 hp/350 Nm, berbanding hanya 2.0 liter pada model generasi sebelumnya. Sudah tentu ia lebih berpotensi untuk diubah suai bukan?

    Hujung tahun lalu, pengedar Subaru di Malaysia iaitu TC Subaru sudah pun mengesahkan bahawa WRX 2022 ini bakal tiba di pasaran tempatan tahun ini.

     
     
  • Toyota C-HR Hybrid GR Sport di Thailand – RM149,255

    Toyota C-HR Hybrid GR Sport di Thailand – RM149,255

    Toyota telah mengeluarkan perincian mengenai C-HR Hybrid GR Sport untuk pasaran Thailand, di mana ia ditetapkan pada harga 1,189,000 baht (RM149,255). Hanya varian tunggal sahaja yang ditawarkan di negara berkenaan dengan penjana kuasa 1.8 liter hibrid, dan ia adalah model pra-peningkatan iaitu kemaskini kitaran hayat pertengahan untuk C-HR yang diperkenalkan pada tahun 2019, untuk pasaran termasuk Jepun dan Eropah.

    Untuk pasaran negara lain, ia juga ada menawarkan penjana kuasa elektrifikasi 1.8 liter dengan unit ZZR-FXE Atkinson-cycle yang dipadankan dengan motor elektrik 72 hp/163 Nm, dengan jumlah keseluruhan kuasa mencecah 122 hp. Toyota mendakwa angka penggunaan bahan apinya adalah sekitar 24.4 km bagi setiap liter atau 4.09 l/100 km.

    Di Eropah, selain varian 1.8 liter dengan 122 hp, C-HR Hybrid GR Sport turut ditawarkan dengan enjin 2.0 liter Hybrid Dynamic Force, dengan angka prestasi 184 hp. Manakala untuk pasaran Jepun pula, ia menerima unit 8AR-FTS 1.2 liter pengecas turbo empat-silinder petrol. Ciri baharu yang diberikan untuk varian GR Sport ini ialah suspensi sport, hasil gegelung dan peredam (damper) yang disemak semula.

    Varian GR Sport bagi C-HR ini sudah pasti diserlahkan dengan kit badan GR Sport termasuk bampar hadapan, lampu kabus LED, skirt sisi, kemasan bampar belakang serta lencana GR di hadapan dan lambang GR Sport di belakang. Ia juga diberikan roda aloi 18-inci dengan rekaan baharu GR Sport.

    Di dalamnya, C-HR Hybrid GR Sport turut menerima penjenamaan GR termasuk tempat duduk rekaan khas dengan jahitan kelabu, dan roda stereng balutan kulit juga diberikan lencana GR. Bukan itu sahaja, butang penghidup enjin juga diberikan penjenamaan GR.

    Aspek keselamatan bagi C-HR Hybrid GR Sport untuk Thailand ini termasuklah Toyota Safety Sense, yang merangkumi kawalan kelajuan radar dinamik dengan bantuan mengesan lorong, kepekaan ketibaan lorong dengan bantuan stereng, brek kecemasan sendiri dan lampu tinggi automatik.

    Di Thailand, Toyota C-HR Hybrid GR Sport boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Attitude Black Mica dengan bumbung roda perak, Premium Red dengan bumbung hitam dan dengan kos tambahan sebanyak 7,000 baht (RM878), pembeli boleh mendapatkan warna Platinum White Pearl dengan bumbung hitam.

     
     
  • Polis nafi saman penumpang belakang yang tidak memakai tali pinggang keledar di Lebuhraya PLUS

    Polis nafi saman penumpang belakang yang tidak memakai tali pinggang keledar di Lebuhraya PLUS

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menafikan telah mengeluarkan saman ke atas penumpang kenderaan yang duduk di bahagian belakang yang tidak memakai tali pinggang keledar, di Lebuhraya Utara-Selatan baru-baru ini.

    “JSPT tidak pernah mengeluarkan kenyataan dan menafikan kesahihan mesej bahawa pegawai kami akan melakukan pemeriksaan pada setiap petang di Lebuhraya Utara-Selatan bagi mengesan ketidakpatuhan pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk belakang kenderaan dan pesalah akan didenda sebanyak RM300, dan RM600 jika melibatkan dua orang penumpang,” ujar Dato’ Mohd Nadzri Hussin, Timbalan Pengarah (1) JSPT susulan terdapat mesej yang tular di laman media sosial berhubung dengan penguatkuasa berkenaan.

    Walau bagaimana pun, dalam masa yang sama, JSPT menasihati agar semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas demi menjamin keselamatan semua pihak.

    “JSPT menggesa orang ramai untuk menghentikan sebarang penyebaran mesej tidak benar dan sentiasa memastikan kesahihan sesuatu mesej tersebut sebelum memuatnaik atau dikongsi di laman sosial dan sebagainya,”sambungnya lagi.

     
     
  • Starrtrek Carriers perkenal servis trailer kenderaan bertutup di Malaysia, dengan Rolfo Auriga Deluxe

    Starrtrek Carriers perkenal servis trailer kenderaan bertutup di Malaysia, dengan Rolfo Auriga Deluxe

    Trailer pengangkut kenderaan biasanya terbuka dan terdedah. Namun kini Starrtrek Carriers memperkenalkan pula trailer pengangkut yang tertutup sepenuhnya, lebih premium dan selamat untuk urusan logistik automotif.

    Syarikat yang telah lama terlibat dalam indsutri logistik ini menggunakan pengangkut Rolfo buatan Itali dan yakin penawaran terbaru ini akan mengubah landskap servis dalam industri terbabit. Trailer berkenaan, dinamakan Blizzard dan Auriga Deluxe 122 merupakan contoh pertama seumpamanya untuk pasaran Malaysia.

    Auriga Deluxe 122 merupakan pengangkut tertutup yang dimaksudkan untuk menghantar kenderaan bernilai tinggi, berprestij atau klasik dan vintaj dengan selamat. Tertutup sepenuhnya, pengangkut ini disifatkan akan memberi jaminan perlindungan kepada kenderaan di dalamnya daripada ketidaktentuan cuaca serta kerosakan akibat lantunan batu di jalanraya.

    Starrtrek Carriers perkenal servis trailer kenderaan bertutup di Malaysia, dengan Rolfo Auriga Deluxe

    Ia mampu memuatkan maksimum enam kenderaan penumpang atau lima SUV bagi satu perjalanan, bergantung kepada ukuran dimensi setiap satunya. Ciri yang ada seperti pintu sisi bukaan penuh untuk memudahkan pemuatan kenderaan, serta pintu diangkat dengan sensor dan juga pelantar khusus dengan pengangkat dihujungnya.

    Bagi Blizzard pula adalah sebuah semi-trailer tidak tertutup dengan muatan maksimum 10 kereta, juga bergantung kepada ukuran dimensi dan beratnya. Kedua-dua model dilengkapi dengan sistem hidraulik untuk membantu pemuatan naik dan turun dengan mudah. Sementara itu, takal (winch) pula membolehkan kenderaan yang ingin diangkut itu tidak perlu dihidupkan, misalnya prototaip. Semua pengangkut juga dipasangkan GPS dan kamera (titik buta, kamera depan dan menghadap pemandu) untuk keselamatan dan pematuhan peraturan.

    Menurut Pengarah Urusan Starrtrek Carriers, Datuk Kumar Prabakaran, pengangkut Rolfo ini akan menyediakan penyelesaian pengangkutan berkapasiti tinggi kepada pelbagai perniagaan automotif, sama ada pengilangan dan pengedaran hinggalah kepada syarikat pajakan dan sewa.

    Starrtrek Carriers perkenal servis trailer kenderaan bertutup di Malaysia, dengan Rolfo Auriga Deluxe

    Bagi Auriga Deluxe, ia akan disasarkan untuk penyediakan pengangkutan kenderaan premium seperti untuk supercar dari dan ke Langkawi secara tertutup dan selamat. Harga bagi perkhidmatan ini pula — yang akan dijadualkan dan dengan slot tempahan awal — adalah sangat kompetitif.

    Ketika ini Starrtrek mempunyai sebuah Auriga Deluxe 122 dan enam semi-trailer Blizzard, dengan rancangan unutk menambah sebuah lagi Auriga di masa hadapan, dan barisan trailer yang ada akan ditambah juga bergantung kepada permintaan.

    Rolfo Auriga Deluxe 122

    Rolfo Blizzard

     
     
  • McDonald’s Malaysia tampilkan Lintasan Pejalan Kaki ‘Fries’ di persimpangan utama Jalan Bukit Bintang, KL

    McDonald’s Malaysia tampilkan Lintasan Pejalan Kaki ‘Fries’ di persimpangan utama Jalan Bukit Bintang, KL

    Bagi menyokong inisiatif ke arah menjadikan Kuala Lumpur bandar raya sejahtera menjelang 2030, McDonald’s Malaysia telah menampilkan Lintasan Pejalan Kaki ‘Fries’ McDonald’s di persimpangan utama lintasan pejalan kaki Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

    Diilhamkan daripada ‘fries’ atau kentang goreng yang menjadi menu utama pelanggan, lintasan pejalan kaki tersebut ditampilkan di hadapan restoran McDonald’s Bukit Bintang iaitu restorannya yang pertama dibuka di Malaysia sejak 40 tahun lalu iaitu pada 1982.

    Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, inisiatif itu adalah tanda sokongan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam meningkatkan pelan pembangunan fizikal, perkhidmatan dan sosioekonomi di ibu kota, laporan Harian Metro.

    “Dengan pengumuman pembukaan sempadan negara kepada pengunjung dari luar negara tidak lama lagi, kami yakin ‘McDonald’s Fries Crossing’ ini akan menjadi nilai tambah kepada keindahan Kuala Lumpur dan lokasi wajib bagi golongan muda terutama untuk menambah koleksi ‘posting’ di media sosial mereka.

    “Diharap insiatif ini dapat melonjakkan lagi nama Kuala Lumpur khasnya dan Malaysia amnya sebagai sebuah destinasi wajib bagi pengunjung ke Kuala Lumpur,” katanya ketika majlis perasmian Lintasan Pejalan Kaki ‘Fries’ McDonald’s semalam.

    Tambah beliau, McDonald’s Malaysia bersetuju untuk menaja kos penyelenggaraan lintasan itu selama setahun. Lintasan Pejalan Kaki ‘Fries’ McDonald’s itu telah dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

     
     
  • BMW 218i Gran Coupé M Sport 2022 di Malaysia; skrin lebih besar, BMW Operating System 7, kini RM206,707

    BMW 218i Gran Coupé M Sport 2022 di Malaysia; skrin lebih besar, BMW Operating System 7, kini RM206,707

    BMW 218i Gran Coupé M Sport 2022 telah pun tiba di Malaysia, dengan naik taraf infotainmen terkini yang diperkenalkan pada November lalu. Untuk itu, kami tampilkan galeri penuh model kompak empat-pintu coupé ini untuk tatapan anda.

    Model ini dilancarkan pada tahun 2020 dengan BMW Live Cockpit Plus, diberikan skrin sesentuh tengah 8.8-inci dan kluster instrumen analog dengan paparan pelbagai-info 5.1-inci. Jelas, ia tidak mencukupi untuk jentera dalam sektor premium – terutamanya apabila sedan Mercedes-Benz A-Class telah pun diberikan paparan berkembar 10.25-inci secara standard.

    Jadi BMW Malaysia membuat keputusan untuk memberikan sistem Live Cockpit Professional, termasuk diberikan skrin berkembar instrumen dan infotainmen. BMW Operating System 7 yang ditampilkan adalah menggantikan sistem Plus, tetapi dengan adanya paparan yang lebih besar dengan widget yang boleh disesuaikan dengan interface.

    Dengan pengenalan model pada tahun lalu, harganya juga telah meningkat sekitar RM5,000, kini mencecah RM204,177, harga atas jalan dengan insurans. Namun untuk model tahun 2022, harga bagi 218i telah naik lagi sebanyak RM2,530, kini RM206,707, termasuk rebat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun ini. Ia turut diberikan waranti asas selama dua-tahun dengan perbatuan tanpa had.

    Ini bermakna, untuk mendapatkan pakej servis dan waranti lima-tahun, 218i dijual pada harga RM221,817, RM1,300 lebih mahal berbanding A 200 Sedan. Tahun ini, A 200 Sedan telah diberikan peningkatan dengan tempat duduk penumpang hadapan menerima larasan berkuasa.

    Dan ciri tersebut turut diberikan untuk 218i, bersama dengan tempat duduk pemandu yang juga menerima fungsi memori. Selain itu, ia turut diberikan kawalan suhu automatik dwi-zon dengan corong di belakang.

    Namun ada beberapa ciri yang digugurkan dari senarai kelengkapan 218i, mungkin disebabkan kekurangan cip semikonduktor di peringkat global. Ini termasuklah ciri BMW Digital Key untuk kegunaan iPhone, dan juga pengecas tanpa wayar Qi. Selain itu, ciri larasan berkuasa bagi bolster untuk tempat duduk penumpang (kini hanya ada untuk bahagian pemandu sahaja), turut digugurkan. Malahan ciri tersebut tiada untuk hampir kesemua model BMW di Malaysia.

    Selain itu, ciri kelengkapan lain masih dikekalkan. Ia masih diberikan kit badan M Sport yang lebih agresif, lampu utama, lampu kabus dan lampu belakang LED, roda aloi dwi-tona Style 819 M 18-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, upholstery kulit tulen Dakota, kemasan dalaman “Boston” iluminasi, tempat duduk yang boleh dilipatkan dengan nisbah 40:20:40, cermin anti silau, kamera undur, bantuan parkir, enam pembesar suara dan boatlid bukaan bebas-tangan.

    Untuk aspek keselamatan, pakej Bantuan Pemandu masih dikekalkan, yang didatangkan dengan brek kecemasan sendiri, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek auto dan pengesan isyarat trafik. Namun ia masih belum diberikan ciri pemanduan Level 2 semi-autonomous seperti kawalan kelajuan adaptif atau bantuan pemusatan stereng. Walau bagaimana pun, enam beg udara dan kawalan kestabilan masih diberikan secara standard. Cagak ISOFIX kini turut diberikan untuk tempat duduk penumpang hadapan – bukan hanya pada tempat duduk belakang.

    218i ini masih dikekalkan dengan penjana kuasa yang sama, iaitu unit B38 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder yang mampu memberikan kuasa hingga 140 PS dari 4,600 hingga 6,500 rpm dan tork 220 Nm antara 1,480 hingga 4,200 rpm. Ia juga diberikan transmisi dwi-klac kering Getrag dan pacuan roda-hadapan, membolehkan 218i ini dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam 8.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum pada 213 km/j. Penggunaan bahan api kombinasi pula pada kadar 5.9 liter untuk setiap 100 km.

     
     
  • Volvo Car Malaysia sasar 75% jualan kereta elektrik pada 2025; model EV baru akan dilancar setiap tahun

    Volvo Car Malaysia sasar 75% jualan kereta elektrik pada 2025; model EV baru akan dilancar setiap tahun

    Untuk peringkat global, Volvo telah pun menetapkan bahawa menjelang 2030, kesemua model baharu yang mereka jual adalah kenderaan elektrik penuh (EV). Ini sasaran untuk seluruh dunia, tapi bagaimana dengan pasaran Malaysia? Boleh ke jenama Sweden berkenaan ‘hidup’ dengan hanya menjual kereta elektrik di sini?

    Semalam secara rasminya model EV produksi pertama Volvo iaitu XC40 Recharge Pure Electric dilancarkan di Malaysia. Model berkenaan bukan diimport dari luar, sebaliknya dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) menerusi fasiliti Volvo yang terletak di Shah Alam dan ia bakal dieksport ke pasaran ASEAN yang lain.

    Ini antara bukti bahawa Volvo Car Malaysia (VCM) adalah komited dengan sasaran global Volvo itu sendiri, walaupun fasiliti mengecas kereta elektrik dalam negara dilihat agak tertinggal berbanding negara lain. Dan ketika majlis pelancaran XC40 EV semalam, VCM turut mengumumkan bahawa mereka mensasarkan untuk menjual sebanyak 75% EV dari keseluruhan barisan modelnya menjelang tahun 2025.

    Menurut VCM, mereka menetapkan sasaran untuk menjadi jenama kereta “eMewah” nombor satu di Malaysia dengan cara menjual kereta elektrik paling banyak berbanding jenama-jenema premium yang lain di sini. Malah sasaran ini juga sebenarnya lebih tinggi dari sasaran global Volvo di mana pada 2025 jenama berkenaan mensasarkan jualan EV mereka adalah sebanyak 50% dari jumlah keselurahan.

    VCM yakin sasaran yang mereka tetapkan tersebut tidak mustahil untuk dicapai kerana pelanggan-pelanggan mereka dianggap lebih “beraspirasi” dan lebih bersedia untuk bertukar kepada kereta elektrik. Faktor “pengalaman pemanduan kereta elektrik Volvo yang menakjubkan” juga dikatakan akan memacu model-model lebih mesra alam ini.

    Selari dengan sasaran ini, VCM turut mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan model-model baharu EV di Malaysia setiap tahun, dalam tempoh lima tahun akan datang. Untuk tahun ini sahaja, VCM bukan hanya akan menjual XC40 Recharge EV, mereka juga telah mengesahkan versi Coupe untuk SUV elektrik tersebut iaitu C40 Recharge turut akan dilancarkan di Malaysia tahun ini, dan ia juga akan dihasilkan secara CKD di Shah Alam.

    Jadi tidak mustahil model EV generasi baharu iaitu versi produksi bagi model Concept Recharge (dilaporkan akan diberi nama Volvo Embla) turut akan tiba di Malaysia secepat mungkin setelah ia didedahkan pada peringkat global tidak lama lagi.

    “Volvo Car Malaysia kini bersedia untuk mengimplementasikan rancangan global Volvo untuk menampilkan barisan model elektrik sepenuhnya menjelang 2030, bermula dengan pelancaran XC40 Recharge Pure Elctric hari ini,” kata pengarah urusan VCM, Charles Frump.

    “XC40 Recharge Pure Electric hanyalah salah satu daripada langkah-langkah lain untuk menggalakkan konsumer untuk menggunakan kenderaan elektrik untuk masa hadapan yang lebih mampan. Menjelang pertengahan dekad, kami mensasarkan untuk mengurangkan emisi kitaran hidup CO2 keseluruhan untuk setiap kereta sebanyak 40%. Ini bermaksud ia lebih dari sekadar mengurangkan emisi dari paip ekzos – elektrifikasi semata-mata tidak cukup. Kami mesti mengurangkan emisi CO2 untuk keseluruhan operasi dan rantaian pembekalan,” katanya lagi.

    Jadi operasi pemasangan tempatan sememangnya adalah penting untuk VCM. Syarikat itu mendakwa bahawa XC40 Recharge EV merupakan model pertama seumpanya dipasang di Malaysia – ia penting bukan sahaja kerana VCM boleh berbangga dengan status berkenaan, malah ia turut dapat menggunakan sepenuhnya manfaat insentif kerajaan yang diberikan untuk EV.

    Dalam pembentangan Bajet 2022 oleh kementerian kewangan, komponen-komponen CKD untuk EV adalah dikecualikan sepenuhnya dari duti imoprt, manakala EV CKD pula adalah dikecualikan sepenuhnya dari duti eksais dan juga cukai jualan – insentif ini berkuatkuasa bermula 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2025.

    Sebagai perbandingan, EV yang diimport sepenuhnya (CBU) hanya akan menerima pengecualian sepenuhnya duti import dan eksais bermula 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2023. Jadi, dengan menghasilkan model EV CKD di Malaysia, VCM bukan sahaja dapat menikmati insentif pengecualian duti import dan eksais dalam tempoh lebih lama, malah mereka juga mendapat pengecualian sepenuhnya terhadap cukai jualan, membolehkan model-model berkenaan dijual pada harga lebih kompetitif.

    Sebelum ini, fasiliti Volvo Car Manufacturing di Shah Alam berkenaan turut menjadi kilang Volvo pertama di luar Sweden yang mampu menghasilkan model-model yang dijana unit rangkaian kuasa plug in hybrid (PHEV) Twin Engine. Sehingga kini, kesemua model Recharge PHEV Volvo yang dijual di Malaysia, dari XC40 sehingga ke S90 adalah dihasilkan di Shah Alam, dan ia turut dieksport ke pasaran Asia Tenggara yang lain.

     
     
  • MRT3 dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2030-Wee

    MRT3 dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2030-Wee

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah memaklumkan Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dijangka bakal beroperasi sepenuhnya mulai tahun 2030. Ia melibatkan keseluruhan jajaran laluan sepanjang 51 km meliputi 39 km di Kuala Lumpur dan 12 km lagi di Selangor, laporan Bernama.

    “Laluan ini dirancang untuk beroperasi secara berfasa. Fasa pertama akan dibuka seawal Disember 2028, tertakluk kepada proses pengambilan tanah. Keseluruhan jajaran dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2030,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau memaklumkan, laluan lingkaran projek itu akan merentasi rangkaian rel sedia ada, termasuk laluan MRT1, MRT2, Transit Aliran Ringan (LRT) , Monorel dan KTM Komuter untuk membentuk 10 stesen pertukaran baharu.

    Malahan laluan lingkaran itu adalah bagi memastikan sistem rangkaian pengangkutan awam di Lembah Klang lebih menyeluruh, berkesinambungan dan efisien. Katanya, sebanyak 80% daripada keseluruhan jajaran itu merupakan laluan bertingkat, manakala 20% lagi laluan bawah tanah.

    MRT3 dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2030-Wee

    Tambah beliau lagi, proses tender bagi MRT3 dirancang bermula tahun ini melalui lima pakej utama untuk tempoh enam hingga lapan tahun.

    Beliau menjawab soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut) mengenai status terkini pembangunan projek MRT3, cadangan jajaran dan anggaran jangka masa diperlukan.

    “Projek MRT di Lembah Klang adalah antara projek infra rakyat berskala besar yang dilaksanakan kerajaan bagi mempertingkatkan kemudahan perkhidmatan pengangkutan awam rel yang cekap, berkesan dan selamat, di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Lembah Klang,” katanya.

    Pada awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan kerajaan telah pun bersetuju untuk melaksanakan projek MRT3 selepas keputusan ini tertangguh sejak tahun 2018.

    “Kerajaan telah mengambil keputusan untuk meluluskan pelaksanaan projek MRT 3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia,” katanya

     
     
  • Oxygen EV sulung KSJ Motors dari Iran, jarak 220 km

    Oxygen EV sulung KSJ Motors dari Iran, jarak 220 km

    Ini Oxygen, sebuah kereta kecil dikuasakan oleh bateri keluaran KSJ Motors (Khodro Sazan Jonoob) dari Iran. EV pertama negara itu pertama kali dipertontonkan minggu lalu di Shiraz, dalam sebuah majlis yang dihadiri pegawai kanan kerajaan dan pegawai industri.

    Tidak banyak yang diketahui berkenaan kereta yang meminjam gaya daripada model Smart fortwo ini. Ia EV dengan dua tempat duduk, tetapi apa yang pasti, Oxygen akan dilancarkan bulan Mei nanti. Penggunaan tenaganya adalah kurang daripada 15 kWh bagi setiap 100 km dan jaraknya 220 km bagi setiap cas penuh, jelas CEO KSJ Motors, Siamak Hojjat.

    Dia juga berkata, Oxygen akan menjadi EV dua-tempat duduk termurah di dunia dengan harga 2.7 bilion rial Iran. Jumlah berkenaan jika ditukar adalah bersamaan dengan US$10,500 (RM44,195) dengan kadar ketika ini. Jika ini benar, maka dakwaan Siamak tidak tepat.

    In kerana beberapa model EV di China dijual pada harga lebih murah. Misalnya Wuling Hongguang Mini EV bermula dari 28,800 yuan (RM19,014), dan dengan dua-tempat duduk juga. Mini EV, dengan jarak 120-170 km, kurang daripada 3 meter panjang, adalah lebih murah di China.

    Apa pun, KSJ Motors berkata syarikat itu akan menghasilkan 1,000 unit Oxygen dalam tempoh sembilan bulan bermula Mei 2022. Sasaran pengeluarannya adalah 10,000 unit setahun bermula Mac 2024. Siamak juga berkata KSJ Motors akan mendapatkan hanya 20% daripada bahagian yang diperlukan untuk pembinaan kereta ini daripada negara lain, sementara 80% lagi dari dalam negara sendiri.

    Menurut agensi berita IRNA, Iranian Telecommunication Manufacturing Co (ITMC) menyumbang untuk membangunkan Oxygen dan syarikat itu akan akan mempunyai kepentingan dalam fasa komersialisasi EV berkenaan.

     
     
  • Aliran trafik di Jalan Dang Wangi-Jalan Ampang dinaiktaraf jadi dua hala mulai 17 Mac 2022 – DBKL

    Aliran trafik di Jalan Dang Wangi-Jalan Ampang dinaiktaraf jadi dua hala mulai 17 Mac 2022 – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memaklumkan bahawa aliran trafik di sebahagian Jalan Dang Wangi dan sebahagian Jalan Ampang (persimpangan AIA-Persimpangan Air Terjun Bukit Nanas) akan dinaiktaraf iaitu dari laluan sehala menjadi dua hala, berkuatkuasa mulai 17 Mac 2022.

    “Bermula dari tarikh tersebut, pengguna yang datang dari arah Jalan Ampang dibenarkan menuju ke Jalan Sultan Ismail dan Balai Polis Dang Wangi

    “Perubahan ini bertujuan bagi kelancaran aliran trafik dan bagi memastikan keselamatan para pengguna di kawasan pusat bandar lebih terjamin,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh DBKL.

    Tambah DBKL lagi, perubahan ini dilaksana berdasarkan hasil kajian terperinci yang telah dijalankan oleh pihaknya. Pelaksanaan ini akan meningkatkan lagi keselesaan pengguna jalan raya di samping mengurangkan kadar risiko kemalangan.

    “Walau bagaimana pun, para pengguna jalan raya diingatkan supaya terus mematuhi papan tanda arah dan mengutamakan keselamatan bagi memastikan tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini,” sambung DBKL lagi.