Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • JPJ bersedia gantikan cukai jalan, lesen memandu dan VOC yang rosak atau hilang akibat kejadian banjir

    JPJ bersedia gantikan cukai jalan, lesen memandu dan VOC  yang rosak atau hilang akibat kejadian banjir

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memaklumkan pihaknya bersedia untuk menggantikan dokumen penting seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM) atau Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) yang rosak atau hilang akibat banjir yang sedang melanda negara ketika ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, mangsa banjir boleh mendapatkan gantian percuma hingga 15 April ini. Di mana inisiatif gantian percuma itu yang berkuat kuasa serta-merta, merupakan antara langkah diambil jabatan tersebut untuk membantu masyarakat yang terkesan oleh banjir.

    JPJ berkata, bagi mendapatkan gantian tersebut, pemilik dokumen perlu hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak untuk mendapatkan salinan gantian. Manakala bagi dokumen yang musnah atau hilang, pemilik perlu membuat laporan polis dan mengemukakan laporan itu sebagai bukti kehilangan untuk mendapatkan gantian dokumen baharu.

    JPJ bersedia gantikan cukai jalan, lesen memandu dan VOC  yang rosak atau hilang akibat kejadian banjir

    Selain itu, JPJ turut memberi kelonggaran dari segi penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan atau individu yang terlibat dalam operasi menyelamat dan membawa bekalan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) atau bilik gerakan banjir sehingga situasi reda dan terkawal.

    Dalam masa yang sama, unit kaunter bergerak JPJ (JPJ Mobile) turut ditempatkan di kawasan terpilih khususnya di PPS bagi memudahkan masyarakat setempat yang mengalami impak banjir mendapatkan perkhidmatan JPJ dengan lebih dekat, mudah dan selamat.

    Malahan pejabat JPJ di seluruh negara juga telah diarahkan bersedia untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk tenaga atau menggerakkan aset-aset kenderaan JPJ sekiranya bersesuaian ketika banjir.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Modenas Elegan 250 ABS 2020 – banyak bahagian boleh dipuji, tapi tidaklah sempurna

    TUNGGANG UJI: Modenas Elegan 250 ABS 2020 – banyak bahagian boleh dipuji, tapi tidaklah sempurna

    Kita sudah tahu, Modenas sememangnya mempunyai kerjasama dengan beberapa pengeluar lain, malah sejak dari awal penubuhannya lagi, tetapi yang masih aktif lagi sehingga sekarang antaranya adalah bersama Kymco.

    Ia sudah terjalin sejak tahun 2016, dan melaluinya, pengguna motosikal di Malaysia diberikan pilihan motosikal Kymco pada harga yang lebih menarik. Ini adalah satu peluang yang sepatutnya diambil oleh pengguna kerana Kymco sudah terkenal sebagai antara pengeluar skuter yang terbaik di dunia.

    Bukan setakat Modenas, pengeluar lain juga ada yang menggunakan model Kymco sebagai asas untuk skuter mereka termasuklah Kawasaki J300 dan juga BMW C650. Untuk Modenas, apa yang dilakukan pada skuter ini cuma dijenamakan semula termasuklah menggunakan nama Karisma dan juga Elegan.

    November tahun lalu, Modenas telah melancarkan versi Elegan 250 terbaru dengan harga jualan RM15,315. Sejujurnya semasa ia dilancarkan, kami tidak rasa begitu teruja kerana ini adalah skuter yang sama secara asasnya dengan model yang dilancarkan empat tahun yang lalu.

    Cumanya, ia telah diberikan peningkatan pada bahagian brek, dengan kini dilengkapi sistem ABS pada brek cakera depan dan belakangnya. Pujian harus diberikan kerana ABS adalah satu sistem keselamatan yang penting pada sesebuah kenderaan dan boleh mengurangkan risiko kemalangan.

    Baca selebihnya di sini

     
     
  • Geely jual 1.32 juta unit kereta sepanjang 2020 – kekal jenama China terlaris, pegangan pasaran membesar

    Geely jual 1.32 juta unit kereta sepanjang 2020 – kekal jenama China terlaris, pegangan pasaran membesar

    Geely telah mengumumkan bahawa mereka telah berjaya menjual sebanyak 1,320,217 unit kereta sepanjang tahun 2020 (termasuk di bawah jenama Lynk & Co), mengatasi sasaran tahunannya yang telah diubah kerana pandemik Covid-19.

    Menurut pengeluar automotif China tersebut, kedua-dua jenama berkenaan telah menyaksikan pertumbuhan dari segi pegangan pasaran, dan Geely masih kekal sebagai jenama tempatan paling laris di negara berkenaan untuk tahun keempat berturut-turut.

    Walau bagaimanapun, rekod jualan yang dicatatkan tahun 2020 berkenaan masih sedikit rendah berbanding rekod 1,361,560 unit yang dicatatkan pada 2019 kerana operasi industri automotif China yang terpaksa ditutup sementara pada separa pertama tahun lalu.

    Buat masa sekarang, industri di China mula bergerak semula seperti sebelum munculnya virus Covid-19, dan Geely sudahpun menetapkan sasaran jualan sebanyak 1.53 juta unit untuk 2021 atau 16% lebih tinggi berbanding 2020. Usaha ini akan dipacu menerusi tumpuan yang akan diberikan pada strategi produk bersama pelbagai model baharu yang akan diperkenalkan.

    Geely jual 1.32 juta unit kereta sepanjang 2020 – kekal jenama China terlaris, pegangan pasaran membesar

    Walaupun prestasi untuk 2020 tidak begitu baik berbanding tahun sebelumnya, Geely masih mencatatkan berberapa detik penting tahun lalu, antaranya berjaya mencapai jualan ke-10 juta unit yang tidak pernah direkodkan oleh pengeluar automotif China yang lain.

    Geely juga telah mengeksport sejumlah 72,700 unit kenderaan pada 2020, naik 25.3% berbanding tahun sebelumnya. Jenama tersebut turut mengambil kesempatan ketika berlakunya pandemik bagi mempercepatkan transformasi digitalnya, serta menggandakan usaha dalam memacu pembangunan menerusi inovasi.

    Berberapa model baharu telah diperkenalkan oleh Geely tahun lalu, antaranya sedan yang diasaskan dari platform Compact Modular Architecture (CMA) iaitu Preface (dikenali sebagai Xing Rui di China) dan ia menjadi model pertama dibekalkan dengan sistem kemaskini Firmware Over the Air (FOTA), serta menerima anugerah China Car of the Year 2021.

    Satu lagi SUV yang diasaskan dari platform B-segment Modular Architecture (BMA) sama seperti Proton X50 juga telah diperkenalkan tahun lalu, dikenali sebagai Icon. Model tersebut dilancarkan ditengah-tengah situasi pandemik yang sedang berlangsung, menyaksikan pelancarannya dibuat menerusi acara digital, diberikan sistem penyegar udara kabin dengan penuras kelas N95, dan kuncinya diserahkan kepada pemilik hanya menggunakan dron.

    Geely jual 1.32 juta unit kereta sepanjang 2020 – kekal jenama China terlaris, pegangan pasaran membesar

    Geely turut mengembangkan jualan eksportnya pada tahun 2020 dengan pelancaran model-model baharu di Rusia, Filipina, Kuwait, Arab Saudi dan juga Myanmar.

    Manakala untuk divisi mewah Geely iaitu Lynk & Co, jenama dengan pegangan 50:50 antara Geely Auto dan Volvo telah pun masuk ke pasaran Eropah secara rasmi pada 2020. Manakala pada Oktober lalu, Lynk & Co telah pun mendedahkan model konsep elektrik sepenuhnya berasaskan platform baharu Sustainable Experience Architecture (SEA), diberi nama Zero.

    Sejak pengenalan model pertamanya pada hujung 2017, Lynk & Co telah mencatatkan lebih dari 400,000 pengguna pada penghujung 2020. Jenama tersebut juga telah mencatatkan rekod jualan baharu untuk enam bulan terakhir tahun lalu.

    Menurut Geely lagi, mereka bakal membawa “pelbagai model bernilai tinggi” dalam pasaran dan akan memperkenalkan sedan dan SUV berdasarkan platform CMA, serta mengemaskini semula pelbagai model sedia ada. Manakala untuk Lynk & Co, selepas ini mereka akan menghasilkan model produksi berdasarkan model konsep Zero, serta model pertama yang akan dibangunkan menggunakan platform Scalable Product Architecture (SPA) Volvo.

     
     
  • Beberapa stesen MRT tertentu ditutup untuk tiga kali hujung minggu bagi kerja migrasi Laluan Putrajaya

    Beberapa stesen MRT tertentu ditutup untuk tiga kali hujung minggu bagi kerja migrasi Laluan Putrajaya

    Rapid KL, pengendali tren MRT telah mengumumkan penutupan tiga stesen MRT untuk tiga kali hujung minggu pada bulan ini, iaitu pada 9-10 Januari, 23-24 Januari dan 30-31 Januari. Stesen MRT yang terlibat ialah Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sg Buloh, ia adalah bagi kerja-kerja migrasi Sistem Laluan MRT Putraja.

    Untuk stesen Kwasa Damansara, kawasan parkir juga turut ditutup. Tetapi parkir bertingkat di stesen Sg.Buloh dibuka seperti biasa.

    Dengan penutupan sementara ini, perkhidmatan MRT akan berakhir di stesen Kwasa Sentral. Perkhidmatan bas perantara MRT percuma akan disediakan di antara stesen Sg Buloh dan Kwasa Sentral, malah dalam perjalanan akan berhenti di Kampung Selamat. Frekuensi bas perantara berkenaan adalah setiap 15 minit.

    Jajaran MRT Putrajaya, atau sebelum ini dikenali sebagai Jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), sudah 80% siap. Fasa satu jajaran berkenaan dari Kwasa Damansara ke stesen Kampung Batu sepatutnya akan mula beroperasi pada pertengahan 2021, sementara selebihnya akan dibuka kepada umum menjelang 2022.

    Jajaran Putrajaya merupakan jajaran MRT kedua Lembah Klang selepas Jajaran Kajang, yang mula beroperasi pada Julai 2017. Laluan sepanjang 56.2 km akan mempunyai 36 stesen, sembilan daripadanya di aras bawah tanah. Ia akan menghubungkan Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.

     
     
  • Kia Seltos dilancarkan di Malaysia — varian EX dan GT-Line, 1.6L NA, 123 PS/151 Nm, dari RM116-RM134k

    Kia Seltos dilancarkan di Malaysia — varian EX dan GT-Line, 1.6L NA, 123 PS/151 Nm, dari RM116-RM134k

    Setelah beberapa ketika ditunjuk dan kemudiannya dibuka untuk tempahan pada September 2020, akhirnya model SUV kompak segmen B Kia Seltos dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Seltos adalah pesaing terbaru bagi model-model sedia ada dalam pasaran seperti Honda HR-V, Toyota C-HR dan Mazda CX-3, dan diposisikan di bawah Sportage dalam barisan model Kia sendiri.

    Untuk pasaran Malaysia, Kia Seltos dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) dan hadir dengan dua varian berbeza iaitu model asas Seltos EX dan varian tertinggi Seltos GT-Line. Kedua-dua varian ini masing-masing dijual pada harga RM115,888 (EX) dan RM133,888 (GT-Line).

    Pasaran Malaysia tidak menerima varian yang dijana oleh enjin 2.0 liter NA dan 1.6 liter turbo; yang kita terima adalah versi enjin Gamma 1.6 liter MPI NA, berkuasa 123 PS pada takat 6,300 rpm dan tork maksima 150.7 Nm pada takat 4,850 rpm.

    Kia Seltos dilancarkan di Malaysia — varian EX dan GT-Line, 1.6L NA, 123 PS/151 Nm, dari RM116-RM134k

    Tiada pilihan bagi sistem pacuan semua roda ditawarkan di sini, dan kuasa dari enjin hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan automatik. Kia Seltos mempunyai ukuran dimensi 4,315 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,645 mm tinggi serta jarak roda 2,610 mm. Jadi jika dibandingkan dengan Honda HR-V, ia 19 mm lebih pendek (4,334 mm), 28 mm lebih lebar (1,772 mm) dan 40 mm lebih tinggi (1,605 mm), manakala jarak roda antara kedua-dua model ini pula adalah sama.

    Seltos diberikan muka dengan gril “hidung harimau” bersaiz besar dengan lampu hadapan dua baris yang unik. Model asas EX hadir standard dengan lampu hadapan automatik jenis projektor disertakan lampu nyalaan siang LED binaan dalam, bersama gril dalam kemasan hitam biasa, dan juga skid plate kemasan perak.

    Manakala untuk versi tertinggi GT-Line, ia hadir dengan lampu hadapan LED penuh, jalur lampu LED sambungan pada gril, lampu kabus LED serta gril dalam kemasan hitam berkilat. Model ini juga diberikan skid plate serta trim tambahan pada bampar belakang dalam kemasan krom satin, kemasan sekeliling pintu krom serta serlahan jalur merah pada bahagian bawah pintu, bampar hadapan dan belakang.

    Kia Seltos dilancarkan di Malaysia — varian EX dan GT-Line, 1.6L NA, 123 PS/151 Nm, dari RM116-RM134k

    Untuk warna badan, kedua-dua varian hadir dengan bumbung berwarna hitam dan boleh dipilih dengan padanan warna utama Glacier White Pearl dan Gravity Grey. Bagi warna Intense Red pula, ia hanya ditawarkan untuk model EX manakala warna Intelligency Blue hanya untuk varian GT-Line.

    Kedua-dua varian ini juga hadir standard dengan landasan bumbung yang berfungsi, serta rim aloi 17-inci dengan tayar 215/60R17. Namun, rekaan rim untuk kedua-duanya berbeza — GT-Line diberikan kemasan lebih gelap bersama penutup tengah dengan kemasan merah sekeliling dengan angkup brek yang juga berwarna merah.

    Di bahagian dalaman, semua varian hadir standard dengan tempat duduk balutan kulit, stereng rata di bawah balutan kulit dengan suis pelbagai fungsi, cermin pandang belakang chromic automatik, brek tangan manual, kemasan-kemasan hitam berkilat, liang pendingin hawa kabin belakang, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin dan juga sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Kia Seltos dilancarkan di Malaysia — varian EX dan GT-Line, 1.6L NA, 123 PS/151 Nm, dari RM116-RM134k

    Pada sebelah tuil penukar gear, kedua-dua varian Seltos diberikan suis dail untuk memilih mod pemanduan — Normal, Eco, Sport — dan juga mod untuk Traction Control bagi menyesuaikan karekter kuasa yang dihantar ke roda dengan permukaan jalan dengan pilihan Snow, Mud atau Sand.

    Semua varian Seltos juga hadir standard dengan lampu Sound Mood, iaitu lampu pelbagai warna yang diletakkan pada pembesar suara hadapan yang akan menyala mengikut alunan muzik pada sistem audio dan juga tema yang dipilih sendiri oleh pengguna.

    Bagi membezakan penawaran antara varian, model EX diberikan sistem pendingin hawa manual dan juga paparan pelbagai info dengan skrin TFT LCD supervision bersaiz 3.5 inci yang terletak pada bahagian tengah panel meter analog. Manakala model GT-Line pula, ia hadir dengan tambahan sistem pendingin hawa automatik, panel LFT LCD lebih besar bersaiz tujuh-inci, head-up display, tempat duduk pemandu larasan elektrik lapan-hala, tempat duduk hadapan dengan liang udara pendingin hawa, sistem pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dan juga set pedal aloi.

    Kia Seltos dilancarkan di Malaysia — varian EX dan GT-Line, 1.6L NA, 123 PS/151 Nm, dari RM116-RM134k

    Varian GT-Line juga menerima rekaan kemasan tempat duduk yang berbeza, serta diberikan sulaman ‘GT-Line’ pada perehat badan dan juga serlahan jahitan benang merah yang turut hadir pada bahagian lain seperti kemasan pintu, perehat tangan hadapan dan juga roda stereng.

    Untuk bantuan pemanduan, semua varian Seltos hadir standard dengan sistem Cruise Control konvensional, penderia parkir belakang dan juga kamera undur. Tambahan untuk varian GT-Line, ia diberikan sekali dengan amaran parkir hadapan. Manakala untuk sistem keselamatan pula kedua-dua varian menerima kelengkapan yang sama terdiri dari enam-beg udara, cagak ISOFIX, sistem brek ABS, sistem pengurusan kestabilan kenderaan (VSM), sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem Traction Control (TCS) dan juga bantuan mula mendaki (HAC).

    GALERI: Kia Seltos GT-Line

    GALERI: Kia Seltos EX

     
     
  • SPYSHOT: Peugeot 508 2021 dilihat diuji di Balik Pulau

    SPYSHOT: Peugeot 508 2021 dilihat diuji di Balik Pulau

    Selepas mengambil alih hak terhadap jenama Peugeot dari Nasim, Berjaya Auto Alliance (BAASB) nampaknya tidak berlengah untuk memacu semula jenama automotif Perancis tersebut pada pasaran tempatan. Terbaharu, pembaca paultan.org Edward Chew terserempak dengan sedan Peugeot 508 generasi kedua yang sedang di uji di Balik Pulau, Pulau Pinang.

    Model sedan segmen-D yang kacak ini pada awalnya dirancang untuk dilancarkan di Malaysia oleh Nasim pada suku kedua 2019. Pelan tersebut nampaknya tidak berjaya, dan ia bakal direalisasikan oleh BAASB tidak lama lagi. Selain 508, BAASB turut dilihat akan melancarkan SUV segmen-B Peugeot 2008 yang turut telah ditemui diuji di Glenmerie sebelum ini.

    Untuk model generasi pertama, Nasim membawa 508 ke Malaysia dengan dua versi enjin iaitu petrol dan diesel. Namun untuk model generasi baharu ini, masih belum dapat dipastikan sama ada versi diesel akan turut ditawarkan kerana kali ini 508 dibekalkan dengan enjin BlueHDi terkini dengan pematuhan Euro 6 yang mungkin tidak sesuai dengan diesel yang dijual di Malaysia.

    Manakala untuk versi petrol, kita mungkin akan menerima 508 yang dijana oleh enjin PureTech 1.6 liter turbo. Di Eropah, enjin ini ditawarkan dalam dua talaan kuasa iaitu 180 hp/250 Nm dan 225 hp/300 Nm, kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik.

    SPYSHOT: Peugeot 508 2021 dilihat diuji di Balik Pulau

    Ingat lagi bahawa Nasim turut membawa 508 dalam versi wagon yang cukup kacak sebelum ini? Model berkenaan juga masih belum jelas sama ada akan turut di bawa ke pasaran atau tidak.

    Peugeot 508 generasi baharu ini diasaskan dari platform EMP2 membolehkan ia dihasilkan sekitar 70 kg lebih ringan dan lebih kompak dari sebelumnya.

    Walaupun ia ditakrif sebagai sedan, bahagian belakang model ini dihasilkan sebagai sebuah fastback sebenar yang bukan sahaja menampilkan sudut cermin yang landai, malah ia juga adalah sebahagian dari pintu tailgate apabila penutup but itu dibuka. Malah 508 ini turut menampilkan rekaan pintu tanpa bingkai cermin seperti kereta sport sebenar.

    BAASB sebelum ini turut dilaporkan akan menawarkan perlindungan “waranti 5+5 tahun” untuk semua model baharu di Malaysia. Malah syarikat berkenaan turut bakal memberikan servis yang lebih pantas bagi memulihkan semula perspektif awam terhadap servis selepas jualan jenama tersebut pada pasaran tempatan.

    Harga untuk Peugeot 508 ini di Malaysia juga masih sukar untuk diramal. Untuk model sebelum ini, versi sedan 1.6 liter turbo dijual pada harga bermula RM173,888 pada 2015, manakala model wagon petrol dijual pada harga RM183,888 serta wagon diesel pula berharga RM201,888.

    Kalau ikut trend sekarang, model-model segmen-D dari Jepun seperti Honda Accord dan Toyota Camry juga telah dijual pada harga menghampiri RM200k, agak-agak boleh ke 508 ini mengekalkan julat harga seperti sebelum ini?

     
     
  • 172 jalan persekutuan dan 97 jalan negeri di seluruh negara terjejas akibat banjir ketika ini – Fadillah

    172 jalan persekutuan dan 97 jalan negeri di seluruh negara terjejas akibat banjir ketika ini – Fadillah

    Susulan kejadian banjir yang sedang melanda beberapa negeri di seluruh negara, sebanyak 172 jalan persekutuan dan 97 jalan negeri dilaporkan terjejas. Menurut Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, jumlah itu merangkumi jalan di enam negeri iaitu Pahang, Perak, Terengganu, Johor Bharu, Kelantan dan Selangor, laporan Bernama.

    “Jumlah itu termasuk empat jalan runtuh, tiga dilaporkan mendap dan dua jambatan runtuh. Bagi lokasi bencana, terdapat 174 kawasan membabitkan dua kawasan banjir kilat, 153 dilanda banjir dan 10 cerun runtuh dan lain-lain,” katanya.

    Beliau turut menambah, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan meneliti perancangan dan perlaksanaan pembangunan secara mampan, dengan mengambil kira impak perubahan cuaca ekstrem.

    Katanya, penelitian itu merangkumi pelaksanaan projek pembangunan akan datang, dan penyelenggaran struktur yang sedia ada. Ketika ini, KKR menerusi agensinya sentiasa memantau kerja-kerja penyelenggaran dan baik pulih infrastruktur sedia ada, khususnya melibatkan struktur jambatan.

    Bagi yang terkandas di jalan-jalan yang terlibat, diharap tingkatkan kesabaran dan jangan sesekali mengabaikan keselamatan. Elakkan melalui laluan yang ditenggelami banjir kerana kita tidak akan tahu apa risiko yang bakal menanti.

     
     
  • SPYSHOT: Honda Civic Hatchback 2022 sedang diuji

    SPYSHOT: Honda Civic Hatchback 2022 sedang diuji

    Honda Civic generasi ke-11 yang terbaru kini semakin hampir untuk produksi. Honda sudah mendedahkan prototaipnya sebelum ini, dalam bentuk sedan bagi model berkenaan. Sekarang, muncul pula spyshot yang telah merakamkan Civic terbaru itu dalam bentuk hatchback yang sedang diuji di Jerman.

    Seperti yang boleh dijangkakan, model lima-pintu ini tampil sama dengan versi prototaip, dengan bahagian depan yang rendah dan lebar tanpa palang krom “Solid Wing Face” yang ada pada model sebelum ini. Garis hujung bonetnya kini berasingan daripada wajah depan, dengan tiang A dialihkan lebih ke belakang untuk memperbaiki penglihatan, dan cermin sisi kini diletakkan di bahagian pintu.

    Di belakang paling banyak perbezaan yang ditampilkan antara model sedan dan hatchback. Garis bumbung yang sama masih dikekalkan, tetapi bahagian ruang barangan dijadikan lebih pendek serta lampu belakang ditinggikan sedikit agar selari dengan cermin utama di belakang. Tailgate nampak besar, hadir sekali dengan pengilap.

    SPYSHOT: Honda Civic Hatchback 2022 sedang diuji

    Jika ada yang terlepas, reka bentuk Civic hatchback ini sudah pernah dilihat pada imej paten yang muncul September tahun lalu. Ia akan mirip kepada versi sedan kali ini, dengan rekaan pintu belakang yang sama walaupun bentuk belakang berbeza antara keduanya. Kereta ini juga menerima rekaan lampu belakang dengan kelebaran penuh.

    Dengan Civic bari ini, Honda mendakwa ia akan lebih selamat, pembuatan lebih halus, begitu juga dengan pengendalian dan keselesaan yang lebih baik. Tiada perincian tentang sistem janaan yang didedahkan setakat ini, namun Honda menjanjikan unit yang lebih berkuasa dan jimat minyak, mungkin juga melibatkan varian hibrid yang tidak ditawarkan dalam generasi sebelum ini. Unit 1.5 liter VTEC Turbo juga mungkin akan dikekalkan.

     
     
  • KTMB batalkan perkhidmatan tren Intercity laluan JB Sentral-Tumpat akibat landasan ditenggelami banjir

    KTMB batalkan perkhidmatan tren Intercity laluan JB Sentral-Tumpat akibat landasan ditenggelami banjir

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan pembatalan perkhidmatan KTM Intercity untuk perjalanan ke Pantai Timur membabitkan tren Ekspres Timuran No. 26 dan No. 27 bagi laluan Johor Bahru Sentral-Tumpat dan sebaliknya, serta tren Shuttle Timuran mulai malam tadi.

    Tindakan ini diambil adalah susulan landasan antara Kuala Krai dan Bukit Abu, Kelantan ditenggelami banjir, ujar kenyataan yang dikeluarkan KTMB menerusi Facebook.

    Walau bagaimana pun, menurut KTMB, penumpang yang terjejas dengan perkhidmatan itu boleh menukar tarikh perjalanan atau mendapatkan pemulangan tambang penuh, mengikut terma dan syarat.

    Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, bolehlah menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-22671200 atau pun menerusi laman media sosial rasmi syarikat tersebut.

     
     
  • Mitsubishi Mirage dan Mirage G4 facelift 2021 kini di Amerika bersama Carbonite Edition, bermula RM58k

    Mitsubishi Mirage dan Mirage G4 <em>facelift</em> 2021 kini di Amerika bersama Carbonite Edition, bermula RM58k

    2021 Mitsubishi Mirage

    Selepas membuat kemunculan sulung di Thailand pada 2019, kemudian tiba di Australia tahun lalu, hatchback kompak Mitsubishi Mirage bersama kembar sedannya iaitu Mirage G4 (dikenali sebagai Attrage di ASEAN) dalam versi facelift 2021 kini diperkenalkan secara rasmi di Amerika Syarikat.

    Kedua-dua versi ini diperkenalkan dalam lima varian berbeza, termasuk versi istimewa Carbonite Edition yang diberikan penampilan lebih garang. Untuk Mirage, ia dijual pada harga bermula US$14,295 (RM57,559) untuk model asas ES dengan kotak gear manual hingga US$17,445 (RM70,242) untuk model tertinggi Mirage SE dengan kotak gear CVT automatik.

    Manakala untuk Mirage G4, versi asas ES dengan transmisi manual dijual pada harga bermula US$15,295 (RM61,585) hingga US$18,195 (RM73,262) untuk varian tertinggi Mirage G4 SE CVT automatik.

    Mitsubishi Mirage dan Mirage G4 <em>facelift</em> 2021 kini di Amerika bersama Carbonite Edition, bermula RM58k

    2021 Mitsubishi Mirage

    Model pasaran Amerika Syarikat ini masih lagi tampil dengan rupa yang sama seperti model di Thailand dan Australia. menampilkan muka yang menerima elemen rekaan signatur Dynamic Shield terbaharu Mitsubishi yang lebih agresif. Namun tidak seperti muka Dynamic Shield yang tajam dan nipis seperti MPV/SUV Mitsubishi Xpander atau SUV segmen-B Eclipse Cross, Mirage tampil dengan lampu hadapan lebih tebal seperti sedan Grand Lancer pasaran China dan Taiwan.

    Seperti juga satu lagi model lama yang diberikan facelift iaitu SUV segmen-B ASX, kluster lampu belakang Mirage dan Atrrage masih lagi sama tetapi menampilkan rekaan grafik LED yang berbeza.

    Mirage juga hadir dengan spoiler bumbung yang lebih besar serta bampar belakang lebih agresif bersama reflektor menegak dan juga sirip seakan diffuser di bahagian bawah. Attrage pula tidak diberikan spoiler tetapi bahagian bampar turut menerima rekaan reflektor dengan konsep sama, bersama diffuser lebih lebar.

    Mitsubishi Mirage dan Mirage G4 <em>facelift</em> 2021 kini di Amerika bersama Carbonite Edition, bermula RM58k

    2021 Mitsubishi Mirage

    Untuk model Carbonite Edition, Mirage dan Mirage G4 tersebut didatangkan dengan kit badan lebih agresif menampilkan gril hadapan istimewa, spoiler bawah bampar, skirt sisi, dan lips tambahan pada bampar belakang – kesemuanya menerima pelekat serlahan jalur merah dan pelekat dengan grafik gentian karbon termasuk pada bingkai tingkap pada tiang-B. Model istimewa ini juga diberikan set rim asli dari Sparco dalam saiz 15-inci.

    Pada bahagian kabin, Mirage dan Mirage G4 facelift 2021 ini masih tampil dengan rekaan papan pemuka dan ciri lain yang sama dengan versi sebelum ini, dengan berberapa peningkatan diberikan pada kelengkapan. Semua varian Mirage dan Mirage G4 juga dikemaskini dengan sistem Smartphone Display Audio (SDA), terdiri dari skrin sesentuh tujuh-inci yang menyokong fungsi Apple Carplay dan Android Auto.

    Model ES kini turut diberikan kemasan lebih elegen dengan perehat tangan hadapan yang direka semula, penggunaan fabrik sentuhan lembut pada bahagian-bahagian yang selalu disentuh, dan juga kemasan gentian karbon palsu pada perumah suis tingkap kuasa.

    Untuk keselamatan, kesemua varian bagi kedua-dua model ini dilengkapkan standard dengan sistem brek kecemasan automatik (AEB) bersama pengesan pejalan kaki. Manakala untuk model tertinggi SE, ia turut hadir dengan sistem tambahan seperti Amaran Keluar Lorong dan juga Lampu Tinggi Automatik.

    Juga tiada perubahan ditampilkan pada sistem mekanikal. Mirage dan Mirage G4 2021 terus dijana oleh 1.2 liter tiga silinder NA berkuasa 78 hp/100 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik atau lima-kelajuan manual.

    Walau bagaimanapun, Mitsubishi mendakwa penjana berkenaan dalam versi transmisi CVT masih lagi merupakan enjin petrol tanpa sistem hibrid yang paling efisien di Amerika Syarikat.

     
     
  • Volkswagen tawar rebat ang pao bernilai sehingga RM10k sempena promosi Tahun Baharu Cina

    Volkswagen tawar rebat ang pao bernilai sehingga RM10k sempena promosi Tahun Baharu Cina

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mula menganjurkan promosi istimewa sempena Tahun Baharu Cina (CNY) yang bakal berlangsung sehingga 28 Februari ini. Promosi ini melibatkan tawaran rebat “ang pao” bernilai RM1,000 bagi model Tiguan Allspace, Arteon dan Passat.

    Bagi pelanggan yang membeli model buatan 2020 pula bakal menerima diskaun tambahan, termasuklah rebat bernilai RM3,500 bagi Tiguan Allspace dan RM2,500 untuk Arteon. Untuk pelanggan yang membeli Passat pula, diberikan pilihan sama ada menerima insurans percuma selama satu tahun atau pun rebat bernilai RM5,500.

    Selain itu, pelanggan juga akan menerima penjimatan eksklusif sekiranya membuat pembelian kereta menerusi atas talian eShowroom. Tawaran ini termasuklah rebat bernilai RM3,500 untuk Tiguan Allspace, RM4,500 bagi Arteon dan Passat pula menerima RM3,500. Ditambah dengan semua angka itu, pelanggan bakal menikmati penjimatan sehingga RM8,000 untuk Tiguan Allspace dan Arteon dan juga RM10,000 bagi Passat.

    Pelanggan Volkswagen sedia ada juga tidak dilupakan untuk menerima promosi ini menerusi kempen penyelenggaraaan selepas jualan CNY. Bagi yang membeli pad dan cakera brek bakal menerima rebat RM30 untuk setiap barangan dan baucer GrabCar bernilai RM20. Sementara yang membeli penapis pendingin hawa dan juga aditif bahan api pula bakal menerima rebat RM20 dan baucer GrabCar RM10. Malah VPCM turut memberikan diskaun sebanyak 20% untuk satu liter minyak enjin tulen.

    Akhir sekali, pelanggan juga bakal menikmati pemeriksaan penyelenggaraan percuma, iaitu sehingga 20% bagi bateri dan tayar, serta paket ang pao percuma. Untuk maklumat lanjut sila layari laman web rasmi VPCM.

     
     
  • Kia lancarkan logo dan slogan baru secara rasmi menerusi persembahan bunga api dan dron di Incheon

    Kia sudah pun melancarkan logo serta slogan baharunya secara rasmi, dan apa yang menarik pendedahan tersebut dilakukan menerusi persembahan gergasi bunga api dan juga dron yang di buat di bandar Incheon, Korea Selatan.

    Menurut Kia, jenama korporat termasuk slogan “Movement that Inspires” yang baharu ini melambangkan kemahuan mereka untuk menerajui industri mobiliti akan datang dengan menyusun semula semua aspek perniagaannya.

    Logo baharu Kia berkenaan kini tidak lagi mempunyai latar belakang berbentuk oval seperti logo sebelum ini yang telah digunakan sejak 1994. Tulisan ‘KIA’ pada logo berkenaan juga diubah dan dibina hanya dengan garisan menegak dan pepenjuru.

    Kia menjelaskan bahawa logo tersebut adalah menyerupai tandatangan, manakala garisan yang tidak terputus melambangkan komitmen mereka untuk memberikan “detik-detik inspirasi”. Rekaan simetri berkenaan turut dikatakan melambangkan keyakinan, manakala garisan yang menaik melambangkan cita-cita Kia terhadap jenamanya serta apa yang akan ditawarkan kepada pelanggan.

    Kia lancarkan logo dan slogan baru secara rasmi menerusi persembahan bunga api dan dron di Incheon

    “Logo baharu Kia ini melambangkan komitmen syarikat untuk menjadi ikon untuk perubahan dan juga innovasi,” kata CEO dan presidennya, Ho Sung Song. “Industri automotif kini sedang melalui fasa transformasi yang pantas, dan Kia sentiasa membentuk dan mengadaptasinya secara proaktif perubahan-perubahan tersebut. Logo baru kami ini melambangkan keiinginan kami untuk menginspirasikan pelanggan kerana mobiliti mereka perlu berevolusi, dan untuk pekerja kami bagi meningkatkan cabaran yang kami hadapi dalam industri yang cepat berubah ini.”

    Persembahan pyrotechnic pendedahan logo baharu Kia yang boleh anda tonton menerusi video di atas menggunakan 303 unit dron serta menamplikan ratusan bunga api. Ia turut mencatatkan rekod dunia Guiness baharu sebagai kenderaan tanpa kawalan manusia (UAV) paling banyak yang melancarkan bunga api secara bersama.

    Pengenalan logo baharu Kia ini adalah langkah permulaan sebelum strategi jenama baharu syarikat tersebut diumumkan pada 15 Januari nanti. Dalam pendedahan tersebut Kia akan mengumumkan perkara lain termasuk halatuju dan falsafah baharu dan juga aplikasinya terhadap barisan produk masa hadapan.

    Identiti korporat baharu Kia ini merupakan sebahagian strategi perniagaan jangka masa panjang Plan S yang akan menyaksikan syarikat tersebut mensasarkan untuk menjadi peneraju dalam pasaran global, dengan fokus terhadap kenderaan elektrik dan servis mobiliti.

     
     
  • Yamaha 135 LC diperkenalkan dalam warna baru – RM6,868 untuk warna biasa dan RM7,118 warna emas

    Yamaha 135 LC diperkenalkan dalam warna baru – RM6,868 untuk warna biasa dan RM7,118 warna emas

    Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd telah memperkenalkan warna baru untuk model terkenal 135 LC, yang kini ditawarkan kepada pasaran dalam pilihan warna biru, merah dan cyan. Untuk tiga pilihan warna ini, harga jualannya adalah RM6,868 sementara satu lagi warna baru iaitu Stealth Gold dijual pada harga RM7,118 (tidak termasuk insurans).

    Selain daripada warna baru ini, tiada yang berubah pada motosikal ini, di mana ia keseluruhan panel badannya masih lagi sama dan dikuasakan enjin satu silinder 134 cc bersama transmisi empat kelajuan untuk menghasilkan kuasa 12 hp dan 11.79 Nm tork.

    Enjin dengan sistem penyejukan cecair dan penyampaian bahan api menggunakan karburator ini sebenarnya sudah digunakan sejak model 135 LC generasi pertama lagi dan didatangkan dengan pemula jenis tendang dan juga elektrik.

    Kelengkapan lain pada 135 LC adalah termasuk rim 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, brek cakera di hadapan, brek dram di belakang, lampu jenis halogen, tangki bahan api 4.0 liter dan gear yang boleh dimasukkan tanpa klac tangan.

    Untuk model baru ini juga, HLYM akan memberikan kunci cakera yang bernilai RM100 secara percuma untuk setiap pembelian dan jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Berjaya Auto Alliance saran pemilik kereta Peugeot sedia ada untuk kemaskini maklumat pelanggan

    Berjaya Auto Alliance saran pemilik kereta Peugeot sedia ada untuk kemaskini maklumat pelanggan

    Berjaya Auto Alliance (BAASB) kini sedang menjalankan aktiviti kemaskini maklumat pelanggan dalam usaha untuk melancarkan lagi sistem. Untuk itu, syarikat berkenaan meminta kerjasama daripada semua pemilik kenderaan Peugeot untuk mengemaskini maklumat peribadi mereka secara online menerusi laman web rasmi Peugeot Malaysia.

    Melalui satu laman khas, pemilik perlu mengirimkan bukti pendaftaran kenderaan mereka, begitu juga dengan buku servis dan jaminan, maklumat insurans, serta nombor pendaftaran dan casis kenderaan. Semua maklumat yang dikumpul ini akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) di Malaysia.

    Menurut syarikat itu, aktiviti berkenaan bertujuan untuk memastikan maklumat penting akan menjadi lebih mudah dicapai oleh pelanggan sedia ada. Ini termasuk peringatan servis, tempoh jaminan, kempen servis, berita dan sokongan lainnya.

    Untuk makluman, BAASB merupakan syarikat usaha sama antara Berjaya Corporation dan Bermaz Auto, dengan masing-masing memegang 51% dan 20% kepentingan. Selain pengedaran model-model Peugeot, syarikat ini juga memperoleh hak untuk menyediakan khidmat lepas jualan dan alat ganti bagi kenderaan jenama Citroen dan DS.

     
     
  • Husqvarna Svartpilen 250, Svartpilen 401 dan Vitpilen 401 dilancar di M’sia – harga RM24,800 dan RM29,800

    Husqvarna Svartpilen 250, Svartpilen 401 dan Vitpilen 401 dilancar di M’sia – harga RM24,800 dan RM29,800

    Husqvarna kembali membuat kemunculan dalam pasaran Malaysia melalui Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd sebagai pengedar rasmi dan pelancaran 10 model termasuk tiga daripadanya adalah untuk kegunaan jalanan iaitu Svartpilen 250, Svartpilen 401 dan Vitpilen 401.

    Bagi memberi gambaran awal identiti model ini, Svartpilen adalah model yang menggunakan pemegang jenis lebih tinggi untuk kedudukan menunggang tegak manakala Vitpilen pula menggunakan pemegang jenis clip on seperti cafe racer yang lebih rendah. Nombor 250 dan 401 itu pula menunjukkan kapasiti enjinnya.

    Harga yang ditetapkan untuk model 2020 yang baru dilancarkan ini adalah RM24,800 untuk Svartpilen 250, dan RM29,800 untuk Svartpilen 401 serta Vitpilen 401 (tidak termasuk insurans).

    Melihat pertamanya kepada Svartpilen 250, ia dikuasakan oleh enjin yang sama seperti KTM Duke 250, iaitu unit satu silinder empat strok 248.8 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan serta klac antihopping PASC, untuk menghasilkan kuasa 30.8 hp.

    Berat motosikal ini cuma 153 kg, dan ia dilengkapi dengan barangan lain seperti tangki bahan api 9.5 liter, angkup brek Bybre empat piston serta cakera 320 mm di hadapan, angkup dua piston serta cakera 230 mm di belakang, ABS, fork WP Apex 43 mm tanpa pelarasan di hadapan, monoshock WP Apex dengan pelarasan pra beban di belakang, lampu LED dan rim 17 inci.

    Kelengkapan Svartpilen 401 dan Vitpilen 401 juga kebanyakannya adalah sama seperti Svartpilen 250, termasuk suspensi dan brek, tetapi ia dipacu oleh enjin yang lebih berkuasa iaitu unit satu silinder empat strok 373 cc yang mampu menghasilkan 44 hp pada 9,000 rpm dan 37 Nm tork pada 7,000 rpm.

    GALERI: Husqvarna Svartpilen 250 2020

    GALERI: Husqvarna Svartpilen 401 2020

    GALERI: Husqvarna Vitpilen 401 2020

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024