Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BMW C400X, C400GT 2021 kini di M’sia – dari RM45k

    BMW C400X, C400GT 2021 kini di M’sia – dari RM45k

    Skuter BMW C400X dan C400GT 2021 yang kini sudah mendapat penarafan emisi Euro 5 sudah tiba di Malaysia, dengan harga tidak termasuk insurans yang ditetapkan pada RM44,500 untuk C400X dan RM48,500 bagi C400GT.

    Peningkatan lain pada model tahun 2021 ini adalah sistem throttle-by-wire, yang dipanggil oleh BMW sebagai “E-Gas” di mana ia memberikan lebih stabiliti waktu melahu bersama penyampaian kuasa lebih lancar. Bagi aspek emisi, antara bahagian yang ditukar adalah catalytic convertor, sensor oksigen, serta sedikit modifikasi pada bahagian head.

    Walaupun skuter ini tidak mempunyai klac tangan, bahagian klacnya dipertingkat untuk memberikan maklum balas lebih baik apabila pendikit dipulas. Kuasa lantunan spring di dalam klac ini ditambah sementara kelajuan enjin ditingkatkan sedikit pada waktu klac kembali melekat.

    Penggerak utama skuter ini masih tidak berubah, di mana ia menggunakan enjin satu silinder penyejukan udara, OHC 350 cc yang mampu menghasilkan kuasa 34 hp pada 7,500 rpm dan 35 Nm tork pada 6,000 rpm. Sistem Stability Control C400 ini juga telah dirujuk semula manakala tuil brek dilaras semula untuk memberikan maklum balas lebih baik pada angkup dua piston di roda hadapan.

    Sekarang, fungsi BMW Connectivity dengan aplikasi BMW Connected diberikan standard pada C400, dan ia membenarkan penunggang menikmati pelbagai fungsi termasuk navigasi, pemain muzik serta membuat dan menjawab panggilan.

    Di bawah tempat duduk skuter ini terdapat ruang simpanan 31 liter, dan ia datang dengan soket USB serta soket kuasa 12V. Pilihan warna yang diberikan untuk pasaran Malaysia adalah Black Storm Style Triple Black, Callisto Grey dan Alpine White untuk C400GT sementara C400X pula ditawarkan hanya dalam warna Black Storm Style Triple Black.

    GALERI: BMW C400X 2021

    GALERI: BMW C400GT 2021

     
     
  • Proton Saga Knight Concept untuk Hari Merdeka 2021!

    Proton Saga Knight Concept untuk Hari Merdeka 2021!

    Sempena sebuah acara webinar anjuran Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (PEREKA) pada Hari Merdeka 31 Ogos nanti, Saharudin Busri dalam hasil rekaan konsep terbarunya memberi tumpuan pula kepada model Proton Saga Knight untuk dibayangkan semula.

    Walaupun rekaan 3D versi akhir untuk ini hanya akan didedahkan pada tarikh tersebut, beliau bagaimanapun telah menunjukkan teaser kepada rekaan tersebut. Projek ini dihasilkan untuk tujuan perkongsian berkaitan rekaan automotif, terutama dari segi teknik dan penggunaan perisian 3D.

    Menurut Saharudin, beliau memilih Proton Saga kerana ia model ikonik yang menjadi kebanggaan negara sejak dari awal lagi. Dan, sempena Hari Merdeka tahun ini, beliau merasakan waktunya sangat sesuai untuk membayangkan semula dan mengemaskini rekaan model lama tersebut untuk diberikan sentuhan kekinian yang lebih segar. Tidak ada versi yang lebih menarik untuk melakukan hal itu melainkan bagi versi Saga Knight aeroback yang paling sporty untuk model tersebut.

    Proton Saga Knight Concept untuk Hari Merdeka 2021!

    Untuk rekaan dalaman pula, Saharudin bekerjasama dengan sebuah syarikat jam tangan tempatan Artwist untuk menterjemahkan perincian daripada jam edisi terhad dengan tema hitam dan merah yang syarikat itu reka untuk kumpulan Wings. Ilham dari situ akan diterapkan untuk rekaan dalaman Proton Saga Knight Concept ini. Mengapa Artwist? Kerana pemilik syarikat berkenaan juga merupakan individu yang rapat dengan Saharudin ketika bertugas di Proton dahulu.

    Dari segi rekaan, banyak ciri-ciri utama Proton Saga yang asal masih dikekalkan. Cuma, hal yang banyak dibayangkan semula adalah untuk mengenakan rekaan tersebut dengan unsur dan teknologi moden untuk menjadikan penampilannya lebih bergaya.

    Antara yang jelas kelihatan dalam rekaan ini tentulah wajah depannya — dengan tumpuan kepada rekaan dan elemen lampu LED — yang memperlihatkan keserasian rekaan tersebut untuk Saga. Bahagian bukaan bawah bampar, walaupun hadir dengan tema hitam keseluruhannya, tetap diberikan perincian warna merah sebagai kontras.

    Proton Saga Knight Concept untuk Hari Merdeka 2021!

    Lampu LED dengan enam kiub setiap sisi, ditambah pula dengan jalur panjang LED yang mungkin boleh dianggap sebagai DRL yang merentang di keseluruhan lebar wajah depannya memberikan penampilan yang berbeza. Namun, jangan lupa, logo lama Proton masih dikekalkan.

    Rekaan belakangnya mungkin paling menarik untuk diperhatikan. Dengan potongan hatchback yang agak tinggi bahagian bumbung belakang, rekaan lampu LED dalam jalur panjang memberi bayangan rekaan itu memang ingin mengambil ilham dari banyak model-model semasa yang ada ketika ini, misalnya pernah kita lihat pada Porsche Macan. Untuk rekaan sepenuhnya, terus perhatikan ruang ini. Kami akan bawakan kepada anda sebaik sahaja ia didedahkan nanti.

     
     
  • Nissan Terra facelift dilancarkan di Thailand – terima lebih banyak ciri keselamatan, harga dari RM152k

    Nissan Terra facelift dilancarkan di Thailand – terima lebih banyak ciri keselamatan, harga dari RM152k

    Selepas tiga tahun Nissan Terra diperkenalkan di Thailand, kini SUV berasaskan pikap Navara itu telah pun dipertingkatkan. Jika di Timur Tengah, ia diperkenalkan pada November lalu dengan nama X-Terra.

    Bahagian hadapannya banyak diinspirasikan berdasarkan model facelift Navara dan Patrol. Beberapa ciri yang dipertingkatkan termasuklah gril V-motion yang lebih besar, lampu utama LED berbentuk-C dengan sepasang projektor berbentuk kuib ais (yang didakwa mampu meningkatkan kecerahan sehingga 34%), corong. udara tengah yang diposisikan sedikit atas dan juga lampu kabus menegak, serta corong fender hadapan tiruan.

    Ciri yang direka semula juga melibatkan bahagian belakang dengan lampu belakang yang dibentuk semula dan jaluran krom berbentuk lengkungan hingga ke lencananya dan juga plat nombor. Bahagian bampar juga diprofil semula, serta diletakkan reflektor yang lebih lebar sedikit ke bawah. Kini ia turut diberikan roda aloi dua-tona gaya-turbin bersaiz 18-inci secara standard.

    Nissan Terra facelift dilancarkan di Thailand – terima lebih banyak ciri keselamatan, harga dari RM152k

    Untuk bahagian dalamnya pula, kabinnya telah dipertingkatkan dengan elemen komprehensif termasuk papan pemuka yang diinspirasikan dari model Almera, berbeza dengan Navara, termasuk menampilkan lebih banyak switchgear. Tempat duduk juga telah dibentuk semula untuk lebih keselesaan, sementara brek parkir elektronik telah menggantikan brek tangan konvensional. Cermin hadapan dan juga cermin sisi hadapan pula telah diperbiat daripada kaca akustik untuk mengurangkan bunyi bising kabin – yang pertama dalam segmennya.

    Terra juga kini dilengkapi dengan skrin sesentuh sembilan-inci yang lebih besar untuk sistem infotainmen NissanConnect – dilengkaoi dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar – berbanding paparan lapan-inci, dengan paparan pelbagai-info tujuh-inci pada kluster instrumen untuk trak pikap.

    Lain-lain peningkatan termasuklah sistem bunyi Bose lapan-pembesar suara, monitor belakang yang boleh diterbalikkan ke bawah bersaiz 11-inci dengan HDMI, cermin pandang belakang digital, pengecas tanpa wayar Qi 15-watt dan lima port USB termasuk USB-C. Pintu belakang bebas-tangan pemasangan oleh wakil pengedar juga ditawarkan.

    Nissan Terra facelift dilancarkan di Thailand – terima lebih banyak ciri keselamatan, harga dari RM152k\

    Peningkatan yang paling impresif ialah jumlah kit keselamatan yang diberikan. Kesemua model dilengkapi dengan Nissan 360-Degree Safety Shield yang merangkumi brek kecemasan sendiri dan amaran ketibaan lorong. Untuk model spesifikasi penuh VL pula ditambah dengan pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang. dan sistem kemera 360 darjah dengan Pengesan Objek Bergerak (MOD). Enam beg udara dan kawalan kestabilan diberikan secara standard.

    Hanya ada satu saja pilihan enjin yang ditawarkan iaitu unit YS23DDTT 2.3 liter pengecas turbo-berkembar diesel, yang mampu memberikan kuasa hingga 190 PS pada 3,750 rpm dan tork 450 Nm antara 1,500 dan 2,500 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik tujuh-kelajuan, dengan VL turut ditawarkan dengan pacuan semua-roda dan
    locking rear differential.

    Harga untuk barisan Nissan Terra facelift ini adalah dari 1,199,000 baht (RM152,300) untuk model asas E 2WD hingga 1,499,000 baht (RM190,400) untuk varian tertinggi VL 4WD. Empat pilihan warna diberikan – White Pearl, Brilliant Silver, Black Star dan Twilight Gray – dengan varian VL turut menerima dua lagi warna tambahan iaitu Forged Copper dan Coulis Red. Varian ini juga menerima sama ada skim warna dalaman beige atau burgundy.

     
     
  • Proton Persona dibayangkan dengan rupa lebih sporty

    Proton Persona dibayangkan dengan rupa lebih sporty

    Bulan lalu kita telah menyaksikan kemunculan Proton Persona facelift, yang diberikan pelbagai perubahan rupa, kelengkapan serta barisan varian yang dirujuk semula. Walaubagaimanapun, tidak seperti Iriz, sedan segmen B ini tidak mendapat varian yang betul-betul menyerlah seperti Iriz Active. Tapi kalau ada, bagaimana rupanya agaknya?

    Bagi mereka yang tertanya-tanya, ini dia jawapan yang diberikan oleh pakar ubah suai digital, Theophilus Chin. Beliau telah menghasilkan sebuah Persona facelift, dengan rupa yang lebih sporty dan menggunakan bampar daripada Toyota GR Yaris.

    Menambahkan lagi tarikannya, bahagian bonet diletakkan dengan skup udara, memberi idea seakan bahagian enjin juga diubah suai dengan terdapat intercooler di atas. Bahagian fender pula ditambah dengan kemasan seperti Iriz Active, dan menggunakan warna sama dengan badan. Kemudiannya kedudukan kereta ini direndahkan dan dipasang dengan rim serta brek yang diambil juga daripada GR Yaris.

    Untuk bahagian belakang pula, Theo telah meletakkan sayap besar, yang nampaknya seperti diambil daripada Subaru WRX STI manakala muncung ekzos berkembar bersama kemasan diffuser di bawah diambil daripada GR Yaris. Melengkapkan rupanya, kemasan pada beberapa bahagian seperti gril, cermin sisi, lampu depan, lampu belakang, bawah skirting dan panel but dicat warna hitam, termasuk juga bumbung.

    Jadi, apa pendapat anda dengan rekaan daripada Theo ini? Apa lagi yang mahu diubah? Adakah siapa-siapa yang suka dengan rekaan ini dan akan cuba menghasilkan kit yang sebenar? Cuba anda beritahu di ruangan komen.

     
     
  • Pengecas kereta elektrik mudah alih buatan anak Malaysia – mampu tambah jarak gerak sekitar 15 km

    Pengecas kereta elektrik mudah alih buatan anak Malaysia – mampu tambah jarak gerak sekitar 15 km

    Range anxiety atau perasaan sentiasa bimbang akan bekalan kuasa sama ada boleh bertahan atau tidak sampai ke destinasi masih menjadi antara faktor mengapa orang masih tidak mahu memiliki kereta elektrik sepenuhnya (EV). Maklumlah, akses untuk mengecaj kereta berkenaan masih lagi belum semudah akses kepada stesen minyak, dan mengecaj kereta elektrik juga masih akan mengambil masa yang lama.

    Jika kereta elektrik ini ‘tersadai’ di tepi jalan kerana kehabisan kuasa, satu-satunya opsyen yang boleh dibuat sekarang adalah dengan menghubungi trak tunda. Tidak seperti kereta petrol atau diesel yang berhadapan masalah sama, kita boleh menghubungi rakan atau ‘menapak’ sendiri ke stesen minyak berhampiran bagi membeli bahan api dan mengisinya ke dalam tong, atau paling bagus menggunakan jerry can yang sememangnya dibuat untuk tujuan itu.

    Jadi, masalah ini telah memberi idea kepada peminat kereta elektrik tempatan, Datuk Abdul Ghaffar Ramli bagi menghasilkan satu inovasi yang digelar EV Jerry Can, iaitu satu alat yang memudahkan kereta elektrik yang kehabisan kuasa ketika dalam perjalanan ‘diselamatkan’ tanpa perlu memanggil trak tunda.

    Datuk Abdul Ghaffar pernah bertugas sebagai pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (PUSPATI) dengan memulakan perkhidmatannya pada tahun 1979. Beliau kemudiannya dilantik sebagai ketua program teknologi nuklear pada tahun 1984.

    Pengecas kereta elektrik mudah alih buatan anak Malaysia – mampu tambah jarak gerak sekitar 15 km

    Beliau juga pernah memegang jawatan pengarah pusat sains dan teknologi pertahanan, dan kemudian dilantik sebagai ketua pengarah di Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE) pada 2002, sehingga bersara pada tahun 2013.

    Projek EV Jerry Can ini dimulakan oleh Datuk Abdul Ghaffar bermula pada Jun lalu, ketika dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh dan ia dibangunkan sepenuhnya dengan dananya sendiri. Secara asasnya, alat berkenaan adalah “power bank yang sangat besar” untuk kereta elektrik, dan prototaip berkenaan didedahkan kepada komuniti peminat kereta elektrik secara dalam talian.

    EV Jerry Can tersebut dihasilkan dengan saiz lebih kurang bagasi troli pesawat. Di dalamnya terdapat sel-sel bateri 32650 LFP (lithium besi fosfat), dan ia boleh dicaj dengan pengecaj 500 W bagi memenuhkan kapasiti maksima 2.4 kWj dalam masa lima jam.

    Hubungan kepada kereta elektrik pula menggunakan protokol CEE 16, yang kemudiannya dihubungkan kepada EVSE mudah alih dan sama ada penghubung Type 1 atau Type 2, bergantung kepada sistem yang digunakan pada kereta berkenaan. Datuk Abdul Ghaffar sendiri memiliki Renault Zoe EV yang menggunakan penghubung jenis Type 2.

    Pengecas kereta elektrik mudah alih buatan anak Malaysia – mampu tambah jarak gerak sekitar 15 km

    Walaupun pek bateri berkenaan mempunyai kadar 2.4 kWj, menurut Datuk Abdul Ghaffar beliau tidak dapat mengecas secara maksimum kerana terdapat sel yang bermasalah. Namun penilaian awal menunjukkan penukaran dari AC ke DC berkesan sebanyak 82%, atau sekitar 2 kWj. Dengan kadar penggunaan tenaga Zoe adalah 140 Wj setiap km, jumlah 2 kWj dalam Jerry Can tersebut sepatutnya membolehkan kereta tersebut bergerak sekitar 14 hingga 15 km.

    Jarak 14 hingga 15 km berkenaan sudah tentu memang tidak banyak, tetapi ia mungkin cukup untuk bergerak ke punca kuasa yang lebih besar di lokasi berdekatan. Selepas ini, Datuk Abdul Ghaffar bakal menghasilkan satu pek bateri baharu yang akan menggunakan 16 sel bateri prismatik (berbanding 128 sel bateri silinder 32650 pada unit sedia ada) dengan berat 35.4 kg.

    Pek bateri kedua tersebut tidak mempunyai inverternya sendiri, tetapi akan digandingkan pek bateri sedia ada. Beliau mensasarkan pek bateri kedua berkenaan untuk mencapai kapasiti 2.5 kWj serta memberikan penjimatan berat sebanyak 28 kg, berbanding sasaran kapasiti 2 atau 5 kWj sebelum ini yang mungkin memberikan berat keseluruhan 37 kg.

    Secara teorinya, ia bakal memberikan kapasiti bateri keseluruhan 4.9 kWj dan secara tidak langsung akan menggandakan jarak 14 hingga 15 km sedia ada kepada sekitar 30 km dengan pek bateri kedua ini. Walau bagaimanapun, keseluruhan kuasa tersebut tidak boleh digunakan sekaligus, tetapi perlu secara berturutan.

    Pengecas kereta elektrik mudah alih buatan anak Malaysia – mampu tambah jarak gerak sekitar 15 km

    Menurut Datuk Abdul Ghaffar, ini adalah untuk tujuan keselamatan kerana jumlah voltan dalam kedua-dua pek bateri berkenaan mungkin berbeza.

    Setakat ini pembangunan pek bateri EV Jerry Can ini telah pun menelan belanja sebanyak RM3,500. Namun adakah Datuk Abdul Ghaffar bercadang untuk menjualnya dalam pasaran? “Saya tak berniat untuk mengkomersilkannya, namun saya ada berbincang dengan beberapa syarikat untuk melihat adakah mereka berminat,” katanya

    Beliau turut mempertimbangkan untuk menyewakan EV Jerry Can ini kepada syarikat-syarikat yang menjalankan perkhidmatan pembaikan tepi jalan. “Ia mungkin lebih murah dari menunda,” katanya.

     
     
  • Rapid KL umum penutupan sementara 15 stesen LRT, 8 MRT dan kesemua Monorel esok, 9 pagi-3 petang

    Rapid KL umum penutupan sementara 15 stesen LRT, 8 MRT dan kesemua Monorel esok, 9 pagi-3 petang

    Rapid KL telah mengumumkan pentupan sementara sejumlah besar stesen tren esok, 21 Ogos 2021, iaitu dari jam 9 pagi hingga 3 petang, dan difahamkan ia adalah untuk “memelihara keselamatan awam”.

    Sejumlah 15 buat stesen LRT, lapan stesen MRT, dan kesemua stesen Monorel akan ditutup sepanjang tempoh itu. Ia melibatkan laluan masuk/keluar dan ke/dari pusat bandar Kuala Lumpur.

    Bagi stesen LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling, stesen yang terlibat ialah Chan Sow Lin, Hang Tuah, Masjid Jamek, Sultan Ismail, Pudu, Plaza Rakyat, Bandaraya dan Cheras. Manakala stesen LRT Laluan Kelana Jaya pula termasuklah Kampung Baru, Masjid Jamek, KL Sentral, Abdullah Hukum, Dang Wangi, Pasar Seni dan Bangsar. Rapid KL juga memaklumkan Kaunter Kad Konsesi MyRapidKL di LRT Pasar Seni juga ditutup.

    Manakala stesen MRT yang terlibat pula ialah Taman Pertama, Cochrane, Bukit Bintang, Pasar Seni, Maluri, Tun Razak Exchange (TRX), Merdeka dan Muzium Negara. Malah kesemua stesen KL Monorel juga ditutup sepanjang tempoh itu. Walau bagaimana pun, menurut Rapid KL, untuk stesen yang tidak disebutkan, akan kekal beroperasi seperti biasa.

     
     
  • Kilang cip di M’sia tidak boleh beroperasi paksa Ford hentikan produksi kilang di Jerman selama lima hari

    Kilang cip di M’sia tidak boleh beroperasi paksa Ford hentikan produksi kilang di Jerman selama lima hari

    Ford sekali lagi mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan sementara operasi kilang mereka di Cologne, Jerman. Menurut laporan Automobilwoche, ia berikutan komponen dari pembekal modul pintu tidak dapat dihantar ke kilang berkenaan kerana vendor tersebut mengalami masalah bekalan cip semikonduktor dari syarikat pengeluar dari Malaysia.

    “Kerana penghentian operasi produksi oleh pengeluar semikonduktor, produksi Ford Fiesta di kilang Cologne kami akan ditutup dari 23 hingga 28 Ogos,” kata jurucakap Ford kepada Automotive News Europe. “Kami berusaha untuk memulakan semula operasi secepat yang mungkin.”

    Produksi Fiesta di kilang berkenaan sebelum ini pernah dihentikan berberapa kali sejak Mei lalu kerana bekalan cip yang terjejas. Oleh kerana bekalan modul pintu berkenaan yang terganggu, pekerja-pekerja yang baru sahaja kembali ke kilang selepas “bercuti” diminta untuk berkerja dalam masa yang lebih pendek untuk tempoh dua minggu bermula 17 Ogos. “Mungkin akan lebih lama,” tulis notis yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan kilang berkenaan kerana bekalan masih dalam keadaan tidak menentu.

    Ford mempunyai kira-kira 15,000 orang pekerja di kilang Cologne berkenaan (yang juga merupakan ibu pejabatnya untuk Eropah), di mana 5,000 daripadanya adalah staf yang bekerja di barisan produksi Fiesta. Tenaga kerja lain pula bertugas di pelbagai jabatan lain termasuk pembangunan, pentadbiran dan lain-lain. Satu lagi fasiliti Ford yang berada di Jerman adalah di Saarlouis, Saarland.

    Kilang cip di M’sia tidak boleh beroperasi paksa Ford hentikan produksi kilang di Jerman selama lima hari

    Masih tidak dapat dipastikan sama ada masalah ini berpunca dari pembekal semikonduktor yang beroperasi di Muar, Johor, yang kini terpaksa ditutup selama berberapa minggu. Kilang berkenaan masih tidak boleh beroperasi kerana tertakluk di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang tidak membenarkan kilang bukan di bawah kategori perkhidmatan perlu (termasuk produksi kenderaan) untuk dibuka.

    Naib presiden Bosch China, Xu Daquan (juga dikenali sebagai David Xu) berkata bahawa kebolehan Bosch untuk menghasilkan modul ESP/IPB, VCU, TCU dan juga pelbagai cip lain akan terjejas, kerana bekalan dijangka akan menurun sepanjang bulan Ogos ini. Beliau turut menyatakan bahawa lebih dari 3,000 pekerja kilang di Muar turut terjejas kerana gangguan kerja berkenaan.

    Terdapat lebih dari 50 pengeluar semikonduktor dengan kilang yang terletak di Malaysia, dan Bosch adalah salah satu daripadanya selain Intel, Infineon, NXP dan Texas Instruments. Kapasiti pembungkusan dan ujian yang berada di Malaysia adalah mewakili 13% dari kapasiti keseluruhan global.

     
     
  • BMW G310GS, G310R 2021 kini di M’sia – dari RM28k

    BMW G310GS, G310R 2021 kini di M’sia – dari RM28k

    Model motosikal kelas permulaan BMW iaitu G310R, G310GS dan G310GS ’40 Years Edition’ versi tahun 2021 kini sudah tiba di Malaysia dengan harga masing-masing RM27,500, RM29,500 dan RM31,500. Harga ini tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Bagi model G310GS yang mempunyai bentuk adventure, tiga warna ditawarkan iaitu Kyanite Blue Metallic (Style Rally), Polar White dan Cosmic Black (khas untuk versi ’40 Years Edition’). G310R yang membawa gaya naked pula ditawarkan hanya dalam satu warna sahaja iaitu Limestone Metallic (Style Sport), dengan rangka serta rim berwarna merah.

    Bahagian mekanikal model G310 ini masih tidak berubah, di mana ia menggunakan enjin satu silinder DOHC penyejukan cecair 313 cc yang mampu menghasilkan 34 hp pada 9,500 rpm dan 28 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Sistem ride-by-wire pada motosikal ini walaubagaimanapun telah ditala semula untuk memberikan maklum balas pendikit yang lebih baik manakala kelajuan melahu enjin telah dinaikkan supaya ia tidak mudah mati apabila mahu memulakan pergerakan.

    Kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis assist and slipper, yang dapat mengurangkan daya tarikan tuil serta mengelakkan lantunan tayar belakang apabila menurunkan gear secara agresif.

    Perubahan lain yang diberikan adalah warna kelabu titanium pada penutup alternator, klac serta pam air. Bagi G310GS ’40 Years Edition’, hanya 40 unit ditawarkan untuk pasaran Malaysia dan ia menggunakan padanan warna hitam dan kuning yang khas untuknya.

    GALERI: BMW G310R 2021

    GALERI: BMW G310GS 2021

     
     
  • Puspakom Langkawi bakal dibuka semula 22 Ogos ini

    Puspakom Langkawi bakal dibuka semula 22 Ogos ini

    Puspakom telah mengumumkan cawangan pusat pemeriksaannya di Langkawi, Kedah, bakal dibuka semula pada 22 Ogos 2021 setelah ia ditutup mulai 16 Ogos lalu. Penutupan tersebut bagi melaksanakan kerja-kerja disinfeksi dan sanitasi berikutan ada kes positif Covid-19 dikesan di premis berkenaan baru-baru ini.

    Jika pelanggan ada membuat temujanji dalam tempoh penutupan cawangan terbabit, bayaran akan dipulangkan secara automatik. Malah pelanggan perlu membuat temujanji baharu selepas cawangan tersebut dibuka semula.

    Tempahan bagi slot temujanji itu boleh dilakukan secara dalam talian dan pilih cawangan mana yang dipilih. Malahan baru-baru ini juga Puspakom tidak lagi membenarkan daftar masuk (check-in) secara manual (tulis dalam buku log), dan hanya pelanggan yang menunjukkan status rendah risiko (low risk) menerusi aplikasi MySejahtera sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam premis.

    Selain itu, para pelanggan perlulah mematuhi SOP lain yang masih berkuatkuasa termasuklah menjaga penjarakkan sosial, sentiasa memakai pelitup muka, dan memeriksa suhu badan sebelum memasuki premis. Walau bagaimana pun, Puspakom tidak memaklumkan, adakah individu yang masih belum mendapatkan vaksin lengkap atau pun tidak divaksin langsung dibenarkan dari memasuki premis.

     
     
  • Toyota Hiace H200 Cast Racing – van rali sebenar bertanding dalam Kejuaraan Rali Seluruh Jepun!

    Toyota Hiace H200 Cast Racing – van rali sebenar bertanding dalam Kejuaraan Rali Seluruh Jepun!

    Apa pun yang mempunyai roda dan juga enjin, pasti ada saja yang ‘gatal tangan’ untuk dijadikan objek untuk diubahsuai. Van, yang biasanya digunakan sebagai kenderaan komersil bagi mengangkut barang-barang turut tidak terlepas dari perkara ini.

    Dengan ruang yang luas, van biasanya diubah sebagai kenderaan ‘camper’ untuk mengembara. Malah ada juga yang cenderung untuk memberikan imej lebih sporty kepada kenderaan ini. Namun disebabkan van mempunyai titik graviti yang tinggi secara semula jadi, jarang ada pihak yang berminat untuk mengubahsuai van untuk dijadikan jentera lumba.

    Antara van yang pernah berlumba seingat penulis adalah Toyota Liteace yang dijana enjin 4G63T 2.0 liter turbo hasil ubahsuai tuner dari selatan tanah air, yang sentiasa merisaukan jentera-jentera drag lain di litar Pasir Gudang pada era 90’an dan awal Y2K.

    Toyota Hiace H200 Cast Racing – van rali sebenar bertanding dalam Kejuaraan Rali Seluruh Jepun!

    Van Toyota Hiace H200 yang anda lihat ini mungkin sesuatu yang baharu – ia adalah jentera milik pasukan Cast Racing dari Jepun, yang didakwa sebagai van rali pertama di dunia oleh pasukan tersebut. Pasukan rali Cast Racing ini membuat kemunculan rasmi mereka di Jepun pada bulan Mac lalu, dan van rali ini dibangunkan untuk menyertai Kejuaraan Rali Seluruh Jepun dalam kategori JN3, serta pelbagai rali-rali domestik lain sekitar Jepun.

    Cast merupakan pengedar peralatan-peralatan prestasi untuk Toyota Hiace H200, yang dibangunkan oleh Sanko Works Co., Ltd. dan juga Marutoku Shokai Co., Ltd. Oleh itu, pasukan Cast Racing ini ditubuhkan untuk menguji dan terus membangunkan produk-produk berkenaan melalui input yang akan mereka terima menerusi rali yang sememangnya diadakan di jalan raya awam dengan permukaan yang lasak.

    Pasukan berkenaan telah membina dua buah Hiace yang diasaskan dari model yang dijana oleh enjin petrol 2.0 liter bersama kotak gear manual, yang masing-masing diberi nama Cast Racing Sanko (serlahan atas cermin dan kemasan bampar berwarna kuning) dan juga Cast Racing Marutoku (serlahan merah jambu).

    Oleh kerana ia adalah jentera yang bertanding dalam kategori produksi JN3, sepatutnya Hiace ini masih dijana enjin asal yang menjana 136 hp dan tork maksima 182 Nm. Ia kemudiannya diberikan pelbagai peralatan prestasi seperti set suspensi boleh laras sepenuhnya Neo Tune keluaran Sanko Works, kit lowering block dan juga bush untuk spring jenis dedaun belakang bagi memberikan lebih kestabilan pada van berkenaan ketika dipandu laju dalam SS rali.

    Ia turut menerima tingkat taraf sama seperti jentera rali lain termasuk pemadanan rollcage, tempat duduk perlumbaan Bride Low Max, tali pinggang dan roda stereng perlumbaan dari Sparco, set tuil brek tangan khas untuk hand brake turn, pemadam api dan pelbagai lagi.

    Untuk musim penuh Kejohanan Rali Seluruh Jepun (JRC) 2021, Cast Racing Sanko dipandu oleh Takahiro Kitami iaitu salah seorang pengarah di Sanko Works sendiri, dan dibantu oleh juruarah Masahiko Kihara yang juga bertugas di ibu pejabat Nissan Motor Global Design.

    Toyota Hiace H200 Cast Racing – van rali sebenar bertanding dalam Kejuaraan Rali Seluruh Jepun!

    Cast Racing Marutoku pula dipandu oleh jurnalis automotif Jepun, Mitsuhiro Kunisawa dan dibantu juruarah wanita, Eri Ohnishi. Selain dari JRC, Hiace Cast Racing Marutoku ini juga akan bertanding dalam siri kejuaraan GR Rally di Jepun, menampilkan pasangan wanita, Asami Itakura (pemandu) yang juga staf di Marutoku Shokai dan juga Momo Tsukishima (juruarah).

    Walaupun Toyota Hiace kini sudah diperkenalkan dengan model generasi terbaharu H300, model generasi H200 ini masih dijual secara serentak di bilik-bilik pameran Toyota di Jepun kerana permintaan terhadapnya masih lagi tinggi.

     
     
  • HSDM lancar program Smart Lease untuk Grand Starex, dari RM2,800 bagi pelan lima-tahun

    HSDM lancar program Smart Lease untuk Grand Starex, dari RM2,800 bagi pelan lima-tahun

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah melancarkan program Smart Lease untuk Hyundai Grand Starex. Program ini, dengan kerjasama Sime Darby Rent A Car (SDRAC), menawarkan kepada syarikat korporat, perniagaan mahu pun individu untuk memiliki MPV ini menerusi pelan pajakan tiga- atau lima-tahun.

    Menerusi program pajakan ini, para pelanggan ditawarkan dengan pengalaman pemilikan untuk kenderaan baharu tanpa perlu membuat permohonan pinjaman atau pun melalui penyelenggaraan dalam jangka masa yang panjang dan memperbaharui cukai jalan/insurans tahunan. Ini kerana sewaan pajakan tersebut telah merangkumi semua kos tersebut. Malah pelanggan juga tidak perlu risau dengan nilai jualan semula atau pun pening kepala untuk melupuskan kenderaan.

    Pelanggan hanya perlu membayar bayaran bulanan tetap yang dipersetujui, dua bulan deposit dan juga yuran tempahan sebanyak RM500 sebaik sahaja menandatangai perjanjian pajakan. Untuk pilihan varian, program tersebut menawarkan empat varian bagi MPV 11-tempat-duduk ini iaitu Standard Corporate, Executive Plus, Executive Plus SE (dilengkapi dengan kit badan) dan Executive Prime.

    Bayaran bulanan untuk varian Standard Corporate adalah serendah RM2,800 untuk program pajakan lima-tahun dengan perbatuan terhad 15,000 km setahun, dan pelan ini juga termasuk dengan faedah penggantian kenderaan untuk tiga hari. Pelanggan boleh memilih sama ada untuk melanjutkan had perbatuan sehingga 30,000 km setahun atau 40,000 km setahun dengan bayaran bulanan masing-masing sebanyak RM3,250 dan RM3,550.

    Apabila perjanjian pajakan tamat, pelanggan mempunyai pilihan untuk memperbaharui program pajakan dengan unit yang baharu. Syarikat ini turut berkata Program Hyundai Smart Lease ini menawarkan kos penjimatan yang signifikan mencecah RM17,000 untuk pemilikan selama lima-tahun.

    “Kami mewujudkan program untuk keperluan kenderaan perniagaan bagi syarikat. Program Smart Lease ini menawarkan fleksibiliti yang terhebat tanpa perlu dibebani bayaran pendahuluan yang banyak dan juga lain-lain kos,” ujar Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Long. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program ini atau pun sekiranya anda ingin mendaftar minat, bolehlah melayari laman web rasmi HSDM.

     
     
  • Harga barisan model BMW R1250 GS 2021 di Malaysia didedah – semuanya ada tujuh versi, dari RM120k

    Harga barisan model BMW R1250 GS 2021 di Malaysia didedah – semuanya ada tujuh versi, dari RM120k

    BMW Motorrad Malaysia telah mendedahkan senarai harga terbaru untuk barisan model R1250GS, yang kini semuanya ada tujuh versi yang menggunakan enjin boxer 1,254 cc. Paling murah adalah R1250GS Style Rally, yang dipasarkan pada harga RM119,500.

    Ia kemudiannya diikuti oleh R1250GS Style Triple Black dengan harga RM120,500 dan R1250GS ’40 Years GS’ Edition dengan grafik khas yang dijual pada harga RM122,500. Pergi pula kepada model yang menggunakan tangki bahan api lebih besar, iaitu R1250GS Adventure (GSA), ia bermula dengan R1250GS Adventure (Lowering) pada harga RM130,500.

    Kemudiannya, ia diikuti R1250GSA Style Rally pada harga RM132,500, R1250GSA Style Triple Black pada RM133,500 dan R1250GSA ’40 Years GS’ Edition RM135,500. Semua harga ini tidak termasuk insurans dan motosikal datang dengan jaminan serta bantuan tepi jalan selama tiga tahun.

    Barisan model R1250GS ini dikuasakan oleh enjin boxer 1,254 cc yang mampu menghasilkan kuasa 136 hp pada 7,750 rpm dan 143 Nm tork pada 6,250 rpm. Enjin dua silinder ini turut dilengkapi dengan pemasaan cam injap intake boleh ubah.

    Teknologi yang ada pada motosikal ini juga agak canggih, termasuk Dynamic Traction Control dengan enam mod tunggangan, suspensi elektronik, cruiser control, sambungan kepada telefon pintar melalui aplikasi BMW Motorrad Connected, sistem Keyless Ride serta panel instrumen TFT-LCD berwarna penuh.

    GALERI: BMW Motorrad R1250GS 2021

    GALERI: BMW Motorrad R1250GSA 2021

     
     
  • Subaru siar video teaser Forester Wilderness baharu

    Subaru siar video teaser Forester Wilderness baharu

    Subaru sebenarnya sudah bersedia untuk melancarkan WRX 2022 dan Forester Wilderness sewaktu New York International Auto Show (NYIAS) yang sepatutnya sudah bermula hari ini. Walaubagaimanapun, disebabkan jumlah jangkitan Covid-19 semakin meningkat, pameran itu telah dibatalkan pada saat-saat akhir.

    Jadi, apa yang kita dapat setakat ini adalah satu lagi teaser untuk Forester Wilderness, dan kali ini dalam bentuk video. Ia menunjukkan pelbagai suasana jalan di dalam hutan, dengan ayat “The wild is calling. Answer it.”

    Apabila Forester Wilderness ini keluar, ia akan menjadi model kedua yang mendapat varian Wilderness di Amerika Syarikat (AS), selepas Outback Wilderness yang diperkenalkan Mac lalu. Secara asasnya, varian Wilderness diberikan ciri lebih ranggi dan menjadikan ia lebih berkemampuan untuk meredah jalan offroad.

    Gambar teaser Forester Wilderness yang didedahkan sebelum ini menampakkan lencana khas Wilderness, kemasan keliling lengkuk roda yang lebih tebal dan tayar lebih gemuk. SUV ini juga kelihatan lebih tinggi daripada biasa.

    Jika ia mengikuti cara Outback Wilderness, kita boleh menjangkakan antaranya suspensi yang dinaikkan (+20 mm pada Outback), bampar baru dengan bentuk yang lebih sesuai untuk mendaki dan menuruni bukit, rim hitam matte khas, pelekat anti silau pada bonet dan skid plate.

    GALERI: Subaru Outback Wilderness 2022

     
     
  • Petron Diesel Max Euro 5 formulasi baru diperkenalkan

    Petron Diesel Max Euro 5 formulasi baru diperkenalkan

    Petron secara rasminya kini memperkenalkan bahan api dengan formulasi baru Diesel Max Euro 5 dengan TriAction Advantage di Malaysia. Bahan api Euro 5 ini lebih mesra alam, membebaskan kurang emisi disebabkan kandungan sulfur 10 ppm berbanding 500 ppm bagi diesel Euro 2M diesel, namun bahan aditif terbaru yang disertakan memperbaiki lagi prestasi bahan api berkenaan.

    Diesel gred B10 jenama itu kini menampilkan aditif yang dikenali sebagai TriAction Advantage yang menjanjikan tindakan pembersihan enjin yang lebih baik serta menjadikan pembakaran lebih sempurna, membantu memaksimumkan kecekapan enjin.

    Syarikat itu menyatakan yang aditif TriAction Advantage juga menambahbaik situasi menghidupkan enjin dalam keadaan sejuk, menghidup enjin dengan lebih cepat, memperbaiki kestabilan pengoksidaan serta melindungi daripada karat dan buih diesel. Ini akan menjadikan hayat enjin yang lebih panjang dan janaan kuasa lebih baik serta pemanduan lancar.

    “Kami berbangga untuk memperkenalkan formulasi baru Petron Diesel Max Euro 5 yang membuktikan komitmen kami untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi dan mesra alam. Dengan Petron Diesel Max Euro 5, pelanggan boleh menikmati pengalaman pemanduan lebih menyenangkan dan dalam masa sama memberi perlindungan kepada enjin mereka,” ujar Ketua Runcit dan Perniagaan Komersil Petron Malaysia, Choong Kum Choy.

    Petron Diesel Max Euro 5 kini boleh didapati di semua stesen Petron seluruh negara. Diesel gred B10 berkenaan kini dijual pada harga RM2.15 seliter bagi minggu 19-25 Ogos. Ia dijual bersekali dengan Petron Turbo Diesel Euro 5 dengan gred B7, yang dijual pada harga RM2.25 seliter.

     
     
  • Lebih banyak kelonggaran aktiviti di negeri Fasa 1 PPN

    Lebih banyak kelonggaran aktiviti di negeri Fasa 1 PPN

    Bermula hari ini, lebih banyak aktiviti dan sektor ekonomi telah diberi kebenaran untuk beroperasi dan dilakukan, terutama bagi negeri-negeri yang masih berada di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti yang diumumkan oleh perdana menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

    Antara yang paling utama ialah berkaitan kedai makan; bermula hari ini, individu yang telah menerima vaksin lengkap dua dos di negari Fasa 1 PPN akan dibenarkan untuk makan di premis kedai makan awam dan restoran/kafe. Semua pelanggan yang ingin makan dikedai perlu menunjukkan bukti mereka telah divaksin sepenuhnya melalui sijil dalam MySejahtera.

    Yang dimaksudkan dengan telah menerima vaksinasi penuh ini adalah mereka yang bukan sahaja telah menerima dua dos suntikan, tetapi turut juga selesai tempoh 14 hari tempoh senggang selepas menerima dos kedua berkenaan (bagi Pfizer, AstraZeneca atau Sinovac) atau 28 hari bagi vaksin yang hanya memerlukan satu dos seperti Johnson & Johnson dan CanSino.

    Lebih banyak kelonggaran aktiviti di negeri Fasa 1 PPN

    Beliau menambah, jika boleh, premis makanan sepatutnya menyediakan ruang makan yang lebih banyak kepada pelanggan di kawasan luar, kerana pengudaraan lebih baik. Bagi pasangan yang ingin membawa anak mereka yang berusia di bawah 17 tahun untuk makan sekali, mereka boleh berbuat demikian dengan syarat mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

    Lain-lain kelonggaran yang turut diumumkan ialah pembukaan semula aktiviti sukan dan rekreasi di tempat terbuka di negeri Fasa 1 PPN. Dibenarkan bagi tempoh 6 pagi hingga 10 malam, aktiviti berkenaan bukanlah sukan yang bersentuhan dan tidak dilakukan dalam kumpulan, serta jarak fizikal perlu dipatuhi sepanjang masa.

    Lebih banyak kelonggaran aktiviti di negeri Fasa 1 PPN

    Antara aktiviti yang dibenarkan termasuklah larian, senaman, taichi, kayuhan, berkelah, perkhemahan, skateboard, mengail, sukan berkuda, memanjat, memanah dan golf. Badminton dan tenis juga dibenarkan, tetapi hanya untuk permainan perseorangan. Selain itu, sukan permotoran juga dibenarkan untuk disambung semula.

    Akhir sekali adalah pasar malam dan pasar minggu yang turut dibenarkan beroperasi semula. Pihak berkuasa berkaitan dan pemilik premis perlu memastikan semua pelanggan yang memasuki kedai mereka menunjukkan bukti sijil digital vaksinasi. Bagaimanapun, perlu difahami bahawa langkah ini dilakukan adalah atas faktor ekonomi, dan tidak bermaksud bahawa kita sudah mengatasi pandemik ini. Perjalanan masih jauh, dan keadaan masih belum selamat. Jaga diri.

     
     
  • Bilik pameran Nissan dibuka semula di kebanyakkan negeri hari ini – Kedah, Melaka & Johor masih tutup

    Bilik pameran Nissan dibuka semula di kebanyakkan negeri hari ini – Kedah, Melaka & Johor masih tutup

    Selari dengan pengumuman terbaharu kerajaan berkenaan kelonggaran yang diberikan dalam Pelan Pemulihan Negara (NRP), pengedar Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) akan mula membuka semula bilik-bilik pameran mereka di kebanyakkan negeri dan wilayah persekutuan hari ini, 20 Ogos 2021.

    Ia termasuk pengedar-pengedar di dalam kawasan dengan kadar vaksinasi melebihi 50% termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Labuan. Walau bagaimanapun ada berberapa pengedar ETCM iaitu di Taman Melati Utama, Nilai dan Seremban Victory Credit, Seremban dan Edaran Nuri di Kota Bharu dan Kemaman hanya akan dibuka 23 Ogos nanti.

    Manakala bilik-bilik pameran di Kedah, Melaka, dan Johor masih lagi ditutup kerana kadar vaksinasi di negeri-negeri berkenaan masih lagi belum mencapai 50%. Menurut ETCM lagi, walaupun sudah dibenarkan beroperasi, bilik-bilik pameran berkenaan tetap akan menerapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan keselamatan para pekerja dan pelanggan.

    Bilik pameran Nissan dibuka semula di kebanyakkan negeri hari ini – Kedah, Melaka & Johor masih tutup

    Hanya pekerja yang telah lengkap di vaksin (iaitu mereka yang telah menerima dua dos suntikan dan melepasi tempoh 14-hari) dibenarkan kembali bekerja di bilik pameran Nissan. Mereka perlu memakai pelitup separa muka dan diperiksa suhu badan, manakala biik pameran tersebut termasuk unit-unit kenderaan yang dipamerkan serta unit-unit pandu uji akan sentiasa disanitasi.

    ETCM juga menasihatkan pelanggan agar turut mematuhi SOP untuk masuk ke premis-premis tersebut – mereka juga perlu lengkap divaksinasi, tunjuk sijil digital vaksinasi pada aplikasi MySejahtera, suhu badan perlu di bawah 37.5 darjah selsius dan memakai pelitup separa muka. SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan masih kekal aktif, kata ETCM lagi.

     
     
  • UMW Toyota umum bilik pameran, kilang pemasangan kembali beroperasi ikut SOP yang ditetapkan

    UMW Toyota umum bilik pameran, kilang pemasangan kembali beroperasi ikut SOP yang ditetapkan

    Selepas kerajaan membenarkan aktiviti ekonomi termasuk bagi industri automotif dibuka mulai 16 Ogos lalu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) telah mengumumkan pengoperasian semula bagi bahagian jualan dan perkhidmatannya. Ini bermakna bilik pameran Toyota dan Lexus telah kembali beroperasi, begitu juga dengan kilang pemasangannya.

    Ravindran K., Presiden UMWT berkata, pembukaan semula bilik pameran dan kilang pemasangan tersebut adalah mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Di mana semua SOP tersebut akan dilaksanakan demi keselamatan semua pihak termasuk para pelanggan dan juga kakitangan UMWT sendiri.

    “Kami menyambut baik kelonggaran sekatan ekonomi ini yang memberikan peluang untuk kami menyambung semula aktiviti perniagaan yang terhenti selama dua bulan sebelum ini. Dengan pembukaan semula bilik pameran Toyota dan Lexus, ia memungkinkan kita untuk kembali ke kehidupan normal dan dalam masa yang sama kami dapat bergerak maju serta meneruskan peranan kami bagi membantu pemulihan ekonomi negara,” ujarny lagi.

    Sambungnya lagi, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, pihaknya telah pun mengimplemtasi banyak SOP di bilik pameran dan pusat servis, malah ia masih dikekalkan sehingga kini. Ini termasuklah memeriksa suhu badan, daftar masuk menerusi aplikasi MySejahtera, sentiasa memakai pelitup muka dan melakukan proses sanitasi yang kerap di premis.

    Beliau turut berkata, biar pun angka jualan bagi bulan Jun dan Julai tidak begitu memberangsangkan, namun pihaknya masih menerima tempahan berdasarkan permohonan pinjaman bank bagi beberapa model dan sekaligus meminimakan kesan akibat terjejas dalam situasi yang mencabar selepas penutupan bilik pameran dan pusat jualan sebelum ini.

    Selain bilik pameran, pusat servis juga telah pun kembali beroperasi. Bagi pelanggan yang mahu menghantar kenderaan ke pusat servis, perlulah membuat temujanji terlebih dahulu. Malah pembayaran tanpa sentuhan juga sangat digalakkan dan penjarakkan sosial akan dipantau setiap masa. “Kami akan memastikan para pelanggan berada dalam persekitaran yang selamat,” tambah Ravindran K. lagi.

    Bagi aktiviti pembuatan pula, beliau berkata, dua buah kilang pemasangan dan juga kilang yang berkaitan dalam kumpulan UMW akan beroperasi mengikut kapasiti yang spesifik iaitu bergantung pada peratusan pekerja yang telah pun menerima vaksin, dengan kapasiti penuh sekiranya lebih daripada 80% daripada mereka telah divaksinasi.

    Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama pula berkata, “Selepas sekatan ekonomi ditarik balik, kami memiliki lebih banyak keyakinan untuk menjalankan kembali perancangan. Antaranya, kami telah membuat persiapan untuk pemasangan tempatan bagi Kenderaan Eletrik Hibrid Toyota, dan kini kami akan meneruskannya secepat mungkin.”

     
     
  • Honda U-Be masuk pasaran China – ciri lebih ringkas

    Honda U-Be masuk pasaran China – ciri lebih ringkas

    Selepas U-Go, Honda melalui rakan kongsinya, Wuyang-Honda telah memperkenalkan satu lagi skuter elektrik untuk pasaran China, iaitu U-Be. Walaupun nampak seperti skuter kecil biasa, U-Be bagaimanapun dinamakan sebagai “basikal elektrik” dalam laman web Wuyang-Honda, mungkin kerana ia mempunyai pedal pengayuh dan motor elektrik itu digunakan sebagai kuasa bantuan.

    Ada tiga versi U-Be dengan jarak gerak serta kapasiti bateri lithium ion berbeza ditawarkan. Ia bermula dengan versi 48 V/15 Ah yang dijual pada harga 3,099 yuan (RM2,024), diikuti versi 20 Ah pada harga 3,450 yuan (RM2,253) dan versi 24 Ah berharga 3,750 yuan (RM2,449).

    Seperti yang anda boleh lihat, U-Be mempunyai bentuk asas sama seperti U-Go, tetapi ia hanya mempunyai satu tempat duduk sahaja. Pek bateri diletakkan di bawah tempat duduk sementara motor penggerak pula berada di roda belakang. Memandangkan U-Be ini dikategorikan sebagai basikal elektrik, laju maksimumnya mungkin dihadkan pada sekitar 25 km/j.

    Melihat kepada kelengkapan, U-Be ini sama sahaja seperti skuter biasa dengan mempunyai lampu LED lengkap di depan dan belakang, bersama lampu penunjuk arah bersepadu, brek cakera, tempat duduk gebu serta panel instrumen LCD.

    U-Be menyediakan kedudukan menunggang selesa dengan pemegang yang tinggi serta tempat duduk tebal manakala pada bahagian kaki terdapat ruang luas untuk meletakkan barang. Tinggi tempat duduk U-Be cuma 740 mm, menjadikan ia sesuai untuk pelbagai golongan.

     
     
  • Honda Indonesia hadiahkan City Hatcback RS kepada pemenang pingat emas Olimpik, Apriyani and Greysia

    Honda Indonesia hadiahkan City Hatcback RS kepada pemenang pingat emas Olimpik, Apriyani and Greysia

    Pasangan beregu badminton Indonesia, Greysia Polii dan Apriyani Rahayu yang menang pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru in telah menerima pelbagai hadiah penghargaan selepas mereka pulang tempoh hari. Namun antara hadiah yang paling lumayan diterima oleh kedua-dua atlit berkenaan adalah Honda City Hatchback RS yang disumbangkan oleh Honda Prospect Motor (HPM).

    Greysia Polii menerima City Hatchback RS berwarna putih, manakala Apriyani Rahayu pula menerima unit yang berwarna merah. Warna-warna yang dipilih untuk diberikan kepada pasangan beregu berkenaan sebenarnya mewakili warna bendera ‘Sang Saka Merah-Putih’ Indonesia.

    “Honda percaya bahawa ‘the power of dreams‘ boleh memaksa kita bagi mencapai prestasi terbaik. Ketika Indonesia sedang meraikan hari kemerdekaan, ini adalah tanda penghargaan dan terima kasih kami dari Honda kepada wira negara,” kata Honda dan menambah bahawa mereka berharap penghargaan ini akan meningkatkan semangat dan prestasi atlit-atlit Indonesia berkenaan selepas membanggakan negara.

    Menurut HPM lagi, mereka memilih City Hatchback RS sebagai model untuk diberikan kerana karekternya yang sporty padan dengan semangat atlit-atlit berkenaan. Model ini telah dilancarkan di Indonesia Mac lalu, dan ia kini menggantikan tempat Honda Jazz yang tidak lagi dijual.

    City Hatchback hanya ditawarkan dalam varian tunggal RS, dijana oleh enjin yang sama seperti model sedan iaitu unit 1.5 liter DOHC i-VTEC NA berkuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm. Apa yang menarik, model pasaran Indonesia ini ditawarkan dalam versi kotak gear manual enam-kelajuan, selain pilihan transmisi CVT automatik.

    Selain hadiah dari HPM ini, Greysia Polii dan Apriyani Rahayu juga bakal menerima bonus tunai dari kerajaan Indonesia dan beberapa syarikat swasta berjumlah lima bilion rupiah (RM294,121).

     
     
  • Bosch China hadkan penghantaran produk berikutan kekurangan bekalan cip semikonduktor dari Malaysia

    Bosch China hadkan penghantaran produk berikutan kekurangan bekalan cip semikonduktor dari Malaysia

    Dalam satu hantaran di WeChat pada 17 Ogos, David Xu, Naib Presiden Bosch China mendedahkan bahawa pembekal semikonduktor yang beroperasi di Malaysia — spesifiknya di Muar, Johor — telah menutup beberapa jalur pengeluarannya sehingga 21 Ogos.

    Menurut Xu, kilang pembekal berkenaan telah ditutup selama beberapa minggu sebelum ini, kemungkinan besar akibat kekangan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mengarahkan kilang yang bukan perkhidmatan perlu (termasuk kilang kenderaan dan semikonduktor) terkesan teruk.

    Dengan peraturan yang dilonggarkan sedikit ketika ini seperti yang telah diumumkan, kilang-kilang dalam kategori perkhidmatan tidak perlu juga telah dibenarkan untuk beroperasi semula, walaupun dengan kapasiti staf terhad, bergantung kepada jumlah yang telah divaksin.

    Bosch China hadkan penghantaran produk berikutan kekurangan bekalan cip semikonduktor dari Malaysia

    Xu menambah, dengan hanya beberapa sahaja jalur pengeluaran yang beroperasi di kilang itu, kemampuan Bosch untuk mengeluarkan ESP/IPB, VCU, TCU dan beberapa lagi cip lain akan menerima kesan langsung, dengan bekalan dijangka akan mengalami pengurangan ketara sepanjang Ogos. Dalam hantarannya, beliau juga memaklumkan lebih daripada 3,000 pekerja di Muar turut terkesan daripada penutupan operasi tersebut.

    Bosch China merupakan pembekal penting kepada pengeluar kenderaan di Chian seperti Nio dan Tesla, memandangkan cip adalah sangat penting untuk pengeluaran kenderaan elektrik mereka. Autotech News melaporkan Pengasas dan CEO Xpeng, Xiaopeng, baru-baru ini meluahkan di media sosial kerisauannya berkaitan kekurangan bekalan cip akibat kesan pandemik ketika ini.

    Laporan berkenaan itu juga menyatakan ada lebih daripada 50 pengeluar semikonduktor berpangkalan di Malaysia, dengan Bosch menjadi antara nama besar selain Intel, Infineon, NXP dan Texas Instrument. Kapasiti ujian dan pempake tempatan yang ada di sini merangkumi kira-kira 13% daripada kapasiti keseluruhan global.