Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Kereta Nasional Ketiga – pelancaran ditangguh sehingga 2022, modal awal perlu RM1 billion

    Kereta Nasional Ketiga – pelancaran ditangguh sehingga 2022, modal awal perlu RM1 billion

    Nampaknya projek kereta nasional baharu tidak berjalan selancar yang dijangkakan – menurut laporan analisa yang disiapkan oleh Affin Hwang Investment Bank, projek tersebut memerlukan lebih dana dari yang dijangka, dan ia bakal siap lebih lambat dari apa yang dirancang sebelum ini.

    Dalam laporan analisa yang disiarkan oleh The Star dan Malaysia Reserve berkenaan, peneraju projek tersebut iaitu DreamEdge sebelum ini telah menetapkan kos permulaan minimum berjumlah RM600 juta, tetapi dengan perlunya jaringan pengedar diwujudkan dan kos-kos persediaan yang bersangkut-paut dengan produksi, kosnya kini melonjak sehinga mencecah RM1 bilion.

    Laporan tersebut turut menyebut bahawa DreamEdge kini sedang berbincang secara aktif dengan berberapa pihak berkaitan pelabur, dan mereka turut mensasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 3,000 unit kereta sebulan untuk tahun jualan pertama, atau 36,000 unit setahun.

    Kereta Nasional Ketiga – pelancaran ditangguh sehingga 2022, modal awal perlu RM1 billion

    Dalam mesyuarat bersama Affin Hwang, DreamEdge turut mendedahkan bahawa garis masa untuk projek ini turut akan dirombak lebih lambat dari rancangan awal. Prototaip penuh kereta ini akan didedahkan pada pertengahan tahun 2020, manakala produksi penuh akan berjalan pada separuh pertama 2022.

    Ini bermakna, garis masa projek berkenaan akan lebih lewat setahun dari yang dijangka. Menurut rancangan awal yang didedahkan pada Ogos lalu, prototaip pertama akan didedahkan pada Mac 2020, manakala produk akhir dijangka akan mula dijual pada Mac 2021.

    Dalam sidang media empat bulan lalu itu juga ada menyebut bahawa model mock-up bagi menunjukkan kemampuan kejuruteraan mereka akan didedahkan pada penghujung Ogos 2019, tetapi sehingga kini ia masih belum ditunjukkan lagi.

    Laporan Affin Hwang yang dibuat oleh penganalisa Brian Yeoh ini turut menyatakan sekali lagi bahawa model pertama projek kereta nasional ketiga ini adalah sebuah sedan dengan saiz sedikit lebih besar dari model segmen-B (diumumkan sebagai segmen-C dalam sesi sidang media yang sama, kemudian dibetulkan semula).

    Ia akan dijana sama ada dengan enjin pembakaran dalaman konvensional atau unit penjana hibrid petrol elektrik, dan dijangka akan diberikan pelbagai teknologi terkini seperti sistem-sistem terhubung serta teknologi bantuan pemanduan. DreamEdge tidak mempunyai kilang sendiri, tetapi ia akan dihasilkan secara kontrak, dengan khabar menyatakan bahawa ia akan dibina oleh subsidiari Daihatsu iaitu Perodua.

    Konsep rekaan dan pembangunan projek ini akan diterajui oleh DreamEdge, bersama rakan teknologinya iaitu Daihatsu – yang telah mengesahkan pembabitannya pada Oktober lalu – yang akan membangunkan unit janakuasa serta membekalkan platform. Walau bagaimanapun, DreamEdge telah menegaskan dalam mesyuarat dengan Affin Hwang berkenaan kereta tersebut bukan satu lagi model rebadge Daihatsu.

     
     
  • Toyota RAV4 ungguli Kereta Tahunan Jepun 2019

    Toyota RAV4 ungguli Kereta Tahunan Jepun 2019

    Jika tahun lalu, Volvo XC40 dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Jepun 2018-2019, untuk 2019-2020, anugerah tersebut dimenangi oleh Toyota RAV4 generasi kelima. RAV4 berjaya mengutip sebanyak 436 mata keseluruhan, menewaskan pencabar terdekatnya, Mazda 3 yang berada di tangga kedua (328 mata) serta BMW 3 Series di tempat ketiga (290 mata).

    Menurut JCOTY, pemilihan RAV4 dilihat bertepatan kerana “ia memenuhi semua keperluan di peringkat tinggi”, dan juga ditawarkan dengan tiga jenis sistem pacuan semua-roda. Lain-lain daya penariknya termasuklah pengendaliannya yang selesa dengan pemilihan platform TNGA, harganya, ruang penyimpanan barang dan modul komunikasi data eksklusif di Jepun.

    RAV4 merupakan kenderaan ke-40 yang memenangi anugerah utama JCOTY. Selain Volvo XC40 yang menang pada tahun lalu, model lain yang pernah dinobatkan anugerah yang sama termasuklah XC60 (2017-2018), Subaru Impreza (2016-2017), Mazda Roadster/MX-5 (2015-2016), Mazda Demio/2 (2014-2015) dan Volkswagen Golf (2013-2014).

    Turut berada dalam senarai pemilihan untuk tahun 2019-2020 ialah Toyota Corolla yang menduduki tangga ke-empat dengan 118 mata, dan diikuti dengan Jaguar I-Pace (109 mata), Jeep Wrangler (56 mata), Honda N-WGN (54 mata), Mercedes-Benz A-Class (53 mata), Nissan Days/Mitsubishi eK (35 mata) dan akhir sekali Daihatsu Tanto (21 mata).

    Anugerah khas, Emotional Award, turut diberikan kepada Jeep Wrangler, kerana keupayaannya dalam pemanduan on-/off-road. Sementara Nissan Skyline pula diberikan Innovation Award disebabkan sistem pemanduan ProPilot 2.0 “hands-off” semi-autonomous.

    Untuk Small Mobility Award pula dinobatkan kepada Mitsubishi eK dan Nissan Dayz, hasil sistem sokongan pemanduan dan keselamatan kebolehan bergerak yang dtambah baik. Juri juga menilai tahap keselesaan model, penggunaan ruang yang berkesan, dan gaya unik untuk setiap model kenderaan yang dipertandingkan.

     
     
  • Jetta jadi sub-jenama terbaru Volkswagen di China

    Jetta jadi sub-jenama terbaru Volkswagen di China

    Volkswagen telah umumkan pelancaran kemasukan sebuah lagi jenama di bawah syarikat itu, dikenali dengan nama Jetta, untuk pasaran China. Ini susulan daripada penyerahan kira-kira 30,000 unit kenderaan itu ke sana. Ini menjadikan pengenalan jenama Jetta di China sebagai yang paling berjaya setakat ini, jika dinilai dari jualan bagi tempoh tiga bulan pertamanya – SUV VS5 menduduki perkongsian jualan yang besar, iaitu sebanyak 80% daripada serahan terbabit.

    “Segmen peringkat kemasukan berkenaan dikuasai oleh jenama-jenama China. Jenama Jetta bagaimanapun merapatkan jurang antara segmen peringkat kemasukan dan segmen jualan tertinggi, sesuai dengan posisi jenama Volkswagen sendiri. Kami melihat potensi yang sangat besar di situ, dan itu terbukti dengan sambutan jualan bagi jenama Jetta,” jelas ahli lembaga jualan Volkswagen, Jürgen Stackmann.

    Jetta jadi sub-jenama terbaru Volkswagen di China

    Hampir satu per tiga daripada kenderaan penumpang yang dijual di China berada dalam segmen peringkat kemasukan, dan kira-kira 80% daripadanya merupakan pembeli kali pertama. Di China, pembeli kenderaan kali pertama membelanjakan antara 8,000 to 15,000 Euro dan berada dalam lingkungan usia 20 tahun lebih mudah daripada kelompok pembeli sama di Eropah dan Amerika.

    China merupakan pasaran tunggal terbesar bagi Volkswagen, mewakili hampir 50% daripada serahan syarikat itu diperingkat global. Walaupun keadaan pasaran di China dijangka mencabar sehingga hujung tahun ini, jenama Volkswagen berjaya memperoleh pegangan pasaran dengan serahan dalam jumlah yang hampir sama seperti tahun lalu – disifatkan mampu mencapai jumlah serahan lebih daripada 3 juta unit kenderaan untuk 2019.

    Jetta jadi sub-jenama terbaru Volkswagen di China

    Semua model jenama Jetta dikeluarkan oleh usahasama antara FAW-Volkswagen dengan kilang di Chengdu, yang bekerja erat bersama hab pusat FAW-Volkswagen yang terletak di Changchun, jelas Volkswagen. Kereta bajet pertama di bawaha usahasama ini mula dibincangkan pada 2016 lalu, dan mereka dijangka melancarkan model SUV kedua tidak lama lagi.

     
     
  • Isu ambil alih PLUS: Halim Saad ada potensi menang bidaan dengan jumlah tawaran tertinggi setakat ini

    Isu ambil alih PLUS: Halim Saad ada potensi menang bidaan dengan jumlah tawaran tertinggi setakat ini

    Seperti yang sedia maklum, setakat ini ada empat syarikat konglomerat terkenal yang berminat untuk membeli kepentingan terbesar dalam PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang buat masa ini masih dipegang oleh Khazanah Nasional. Dan daripada empat syarikat berkenaan, tawaran yang diberikan oleh Tan Sri Halim Saad dan rakan kongsinya, Datuk Wong Gian Kui, menerusi Karongsa Private Capital Sdn Bhd adalah yang tertinggi iaitu bernilai RM5.2 bilion. Sekaligus membuatkan syarikat tersebut mendahului bidaan yang ada dan juga ada potensi untuk menang, mengikut laporan The Edge.

    Penerbitan berkenaan turut melaporkan, dengan memetik kenyataan daripada sumber, “kerajaan telah bertanya jumlah tawaran dan dia (Halim) telah menaikkan nilainya sebelum ini.”

    Pada awal Oktober lalu, Halim telah pun membuat pemohonan tersebut menerusi surat yang dihantar kepada Menteri Kerja Raya, Baru Bian. Menurut Halim, di samping tawaran bernilai RM5.2 bilion itu, pihaknya juga bercadang menawarkan diskaun bagi kadar tol sebanyak 25% dengan tarikh tamat konsesi seperti sebelum ini, hujung Disember 2038.

    Isu ambil alih PLUS: Halim Saad ada potensi menang bidaan dengan jumlah tawaran tertinggi setakat ini

    Selain Halim, Widad Business Group Sdn Bhd (WBG) juga telah menaikkan tawarannya untuk memperoleh 100% kepentingan ekuiti dalam PLUS dengan jumlah nilai perusahaan sebanyak RM38.34 bilion. Ini termasuk RM5.3 bilion untuk kepentingan ekuiti, pengecualian pampasan sebanyak RM3.04 bilion dan andaian hutang sebanyak RM30 bilion.

    Manakala dua lagi syarikat konglomerat yang berminat dalam mengambil alih PLUS termasuklah Maju Holdings Sdn Bhd, dan RRJ Capital.

    Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan akan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah kewangan yang membelenggu PLUS. Khazanah memiliki 51% kepentingan dalam PLUS manakala 49% lagi dipegang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan pengambilalihan pada 2011 dengan nilai transaksi RM32 bilion.

     
     
  • Proton Iriz R5 rampas semula gelaran juara di Grizedale Rally 2019 walaupun berhadapan masalah

    Proton Iriz R5 rampas semula gelaran juara di Grizedale Rally 2019 walaupun berhadapan masalah

    Walaupun berhadapan dengan masalah tayar yang pecah dan kerosakan sistem brek, pemandu Proton Iriz R5 Mellors Elliot Motorsport (MEM) Oliver Mellors dan juruarah Ian Windress berjaya mengulangi kejayaan pada 2017 dengan menjadi juara Grizedale Rally Stage 2019 pada Sabtu lalu.

    Dalam rali yang dilangsungkan di atas permukaan batu kerikil dan dalam keadaan hujan tersebut, Olie berjaya meraih tempat pertama dengan menghabis kesemua lima SS dengan jarak 66 kilometer berkenaan dalam masa 45 minit 58 saat, meninggalkan Jock Armstrong yang memandu Subaru Impreza di tempat kedua dengan masa 46 minit 43 saat.

    Manakala Stephen Petch yang memandu Ford Fiesta RS WRC hanya berpuas hati di tempat ketiga dengan mencatatkan masa keseluruhan 46 minit 47 saat.

    Menurut Olie, kemenangan di Grizedale kali ini tidak semudah rali-rali sebelumnya. Dia berjaya menamatkan SS pertama dengan kelebihan 22 saat, namun sekitar 7 kilometer dari garis permulaan SS2, tayar kanan Iriz R5 berkenaan pecah tanpa diketahui puncanya.

    Lebih teruk, sekitar 3 km SS kedua tersebut berakhir, tayar yang pecah berkenaan turut mengakibatkan hos brek bahagian tersebut bocor, menyebabkan hanya brek belakang yang berfungsi. Walaupun berjaya menamatkan SS berkenaan, Olie kehilangan 40 saat dan jatuh ke tempat ketiga.

    Proton Iriz R5 rampas semula gelaran juara di Grizedale Rally 2019 walaupun berhadapan masalah

    Pasukan MEM berusaha untuk memperbaiki kerosakan tersebut ketika di tapak servis sebelum bermulanya SS3, namun ia tidak dapat disudahkan kerana kerosakan teruk pada bulkhead saluran brek berkenaan. Olie walau bagaimanapun dapat mengekalkan kedudukan ketiga pada SS3 dan SS4 walaupun hanya berbekalkan brek belakang dan kereta sentiasa tersasar ke kekiri setiap kali pedal brek ditekan.

    Tetapi dalam tapak servis sebelum SS5 yang juga SS terakhir bermula, pasukan MEM berjaya memperbaiki kerosakan brek tersebut dan mengambil keputusan untuk memadankan set tayar yang lebih keras pada Iriz berkenaan. Bermulanya SS5, satu lagi masalah berlaku – getah pengelap cermin bahagian pemandu pula tercabut menyebabkan pandangan dalam cuaca hujan menjadi lebih terhad.

    Walau bagaimanapun, dalam SS terakhir ini, Olie berjaya mencatatkan masa 59 lebih pantas dari pendahulu perlumbaan, sekaligus memenangi rali ini dengan kelebihan 45 saat di hadapan!

    Jika anda tonton video di bawah, pada minit ke 4.18, terdapat sebuah lagi Proton beraksi dalam Grizdale Rally 2019 ini iaitu sebuah Proton Satria 1.3 dengan bampar hadapan dan belakang GTI. Satria berkenaan dipandu oleh pelumba British Matt Cotton bersama juruarah Daniel Nieroda dalam kategori Class 1 iaitu kategori produksi sehingga 1,400 cc. Walau bagaimanapun, Cotton tidak berjaya menamatkan rali ini kerana kerosakan kotak gear pada SS2.

     
     
  • Mercedes-Benz mulakan produksi bateri di Thailand

    Mercedes-Benz mulakan produksi bateri di Thailand

    Mercedes-Benz telah memulakan produksi bagi bateri plug-in hybrid di Thailand dengan membuka kilang bateri baharu, yang juga terletak di kawasan kilang pengeluaran kenderaan jenama itu di Samut Prakan.

    Seperti yang pernah diumumkan tahun lalu, fasiliti baharu ini berkeluasan 50,000 meter persegi dan mempunyai 100 kakitangan, beroperasi dengan rakan kerjasama tempatan Thonburi Automotive Assembly Plant (TAAP) dan Thonburi Energy Storage Systems (TESM) – dengan kos pelaburan sebanyak lebih 100 juta euro (RM483 juta) untuk memperluaskan operasi produksi di negara berkenaan.

    Pengeluaran di kilang berkenaan adalah bagi memenuhi keperluan untuk produksi kenderaan plug-in hybrid Mercedes-Benz, termasuk C-Class dan E-Class. Walau bagaimana pun, Mercedes-Benz pernah berkata, kilang ini juga dijangka mampu mengeluarkan bateri bagi kenderaan elektrik sepenuhnya pada masa hadapan. Walau pun tidak mengumumkan kapasiti produksi, namun jika diikutkan angka yang dijangka sebelum ini iaitu sebanyak 5,000 unit, mungkin juga pengeluarannya boleh mencapai sekali ganda berdasarkan permintaan.

    Fasiliti baharu ini adalah penambahan kepada rangkaian produksi bateri global terkini jenama ini, yang sebelum ini telah pun dibangunkan di Kamenz, Jerman dan Beijing pula bakal menjadi lokasi seterusnya. Jenama ini juga bakal mempunyai kilang baharu di Amerika Syarikat, Poland dan Jerman yang disasarkan memulakan operasinya pada awal dekad hadapan, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak sembilan kilang di tujuh lokasi di tiga benua.

     
     
  • Yamaha Lagenda 115Z GP SRT Limited Edition, RM5.6k

    Yamaha Lagenda 115Z GP SRT Limited Edition, RM5.6k

    Bersempena dengan pusingan terakhir Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Sepang hari ini, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) telah melancarkan sebuah model edisi terhad Lagenda GP SRT Edition.

    Seperti yang boleh dilihat, model ini menggunakan penampilan yang mendapat inspirasi daripada jentera YZR-M1 yang digunakan oleh Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo dalam perlumbaan MotoGP melalui pasukan Petronas Yamaha SRT.

    Selain daripada itu, bahagian mekanikal serta kelengkapannya masih lagi sama seperti Lagenda 115Z yang berada dalam pasaran sebelum ini. Ia dikuasakan oleh enjin satu silinder 113.7 cc empat strok SOHC suntikan bahan api berkuasa 10 hp dan 9.9 Nm tork, bersama padanan kotak gear empat kelajuan.

    Kelengkapan lainnya adalah termasuk fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, brek cakera di depan dan dram di belakang, tangki bahan api 4.1 liter, rim 17 inci, tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang serta pemula enjin tendang dan elektrik.

    Selain jaminan selama dua tahun atau 20,000 km, Lagenda 115Z GP SRT Limited Edition ini juga didatangkan dengan sijil pemilikan khas yang disahkan sendiri oleh HLYM. Ia akan bermula berada di pasaran pertengahan bulan Disember ini pada harga RM5,580.

     
     
  • Harga bahan api 7-13 Dis 2019 – RON 97 turun 2 sen

    Harga bahan api 7-13 Dis 2019 – RON 97 turun 2 sen

    Minggu lalu tiada sebarang perubahan berlaku untuk harga bahan api dalam negara, namun berita baik untuk penggunan RON 97 minggu ini, harga bahan api tersebut akan turun 2 sen kepada RM2.64 seliter berkuatkuasa bermula tengah malam ini, 7 Disember sehingga 13 Disember 2019 nanti.

    Petrol RON 95 seperti biasa masih lagi ditambat pada harga siling 2.08 sen seliter. Untuk bahan api diesel juga kekal dijual dengan harga sebelum ini iaitu RM2.18 seliter untuk Euro 2M dan RM2.28 seliter untuk Euro 5.

    Harga bahan api 7-13 Dis 2019 – RON 97 turun 2 sen

    Menurut kementerian kewangan, dengan kaedah Mekanisma Harga Automotik (APM), RON 95 dan diesel Euro 2 sepatutnya dijual pada harga masing-masing RM2.34 dan RM2.30 seliter sekiranya tidak diberikan subsidi dan juga ditambat pada harga siling yang telah ditetapkan.

    Oleh itu, kerajaan akan menyerap kos sebanyak RM107.40 sebagai subsidi untuk tempoh 7 hingga 13 Disember ini. Ini adalah minggu ke-48 kaedah harga bahan api ditentukan setiap minggu bermula hari Sabtu. Skim ini akan tamat setelah kerajaan menjalankan program subsidi bersasar (PSP) untuk RON 95 bermula tahun hadapan.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Sistem hibrid Honda i-MMD baru

    Honda sekarang mempunyai sistem hibrid baru yang dinamakan sebagai i-MMD yang bermaksud Intelligent Multi-Mode Drive, untuk menggantikan sistem i-DCD sebelum ini. Ia telah pun digunakan pada CR-V, Accord dan Insight (pasaran luar), dengan padanan enjin 2.0L dan 1.5L.

    Semasa berada di Jepun untuk membuat liputan Tokyo Motor Show, kami juga dibawa ke salah satu bahagian lapang di Litar Motegi untuk mencuba kenderaan yang dilengkapi dengan sistem i-MMD ini dalam satu sesi ringkas yang diadakan.

    CR-V dan Insight hibrid yang menggunakan sistem ini mungkin tidak akan tiba di Malaysia, tetapi kita mungkin akan menerima sistem i-MMD ini melalui Honda Jazz 2020 yang baru didedahkan waktu Tokyo Motor Show bulan lalu.

    Apa sebenarnya keistimewaan sistem i-MMD ini dan apakah yang dapat ditawarkan kepada pengguna? Anda boleh tonton video di atas di mana kami ada menerangkan serba sedikit berkenaannya.

     
     
  • GALERI: Toyota Supra A90 2019 untuk pasaran M’sia

    GALERI: Toyota Supra A90 2019 untuk pasaran M’sia

    Terlalu banyak perkara yang boleh diperkatakan tentang Toyota Supra A90 2019 ini, yang dilancarkan untuk pasaran tempatan pada September lalu. Sejarahnya pun panjang. Kalau diringkaskan mungkin lebih mudah begini; 17 tahun lalu Supra diberhentikan pengeluarannya atas sebab kos operasi/pengeluaran syarikat.

    Dan di dalam penampilan terbaru ini, Toyota bekerjasama dengan BMW untuk menghasilkannya. Ia diasaskan menggunakan model raodster BMW Z4 generasi terkini, dan dikeluarkan oleh kilang yang sama di Austria. Jadi, adakah antara kedua-dua model berkenaan sangat mirip dengan prestasi yang identikal atau sebaliknya?

    GALERI: Toyota Supra A90 2019 untuk pasaran M’sia

    Tentulah soalan ini tidak akan dijawab panjang lebar di sini. Mengapa? Jika anda ingin tahun lebih lanjut tentang Toyota Supra A90 2019 ini, serta pengalaman kami memandu uji kereta sport terbaru jenama Jepun berkenaan, luangkan masa untuk membaca laporan pandu uji yang pernah kami sediakan sebaik saja pelancarannya dahulu.

    Segala cerita tentang latar belakang projek ini, pengalaman pemanduannya, aspek prestasi dan sebagainya telah disentuh dengan agak menyeluruh. Cuma kali ini, apa yang ingin bawakan kepada anda ialah galeri penuh yang lebih terperinci tentang Supra A90 ini. Mungkin ramai yang belum pernah mendekati model ini untuk membelek dari dekat. Maka, galeri ini akan memberi gambaran sehampir mungkin terhadap penawaran yang ada pada model terbabit. Silakan.

     
     
  • Hyundai buka sebuah lagi pusat 3S di Butterworth

    Hyundai buka sebuah lagi pusat 3S di Butterworth

    Hyundai kini meluaskan rangkaian jualan dan servisnya ke Pulau Pinang melalui pembukaan pusat 3S dengan Global Dealership Space Identity (GDSI) terbaru oleh CS Euro. Dengan keluasan 14,480 kaki persegi, pusat 3S terbaru ini terletak di Butterworth ini.

    Pusat 3S CS Euro ini akan menempatkan bilik pameran, hingga enam ruang servis serta pusat alat ganti sebaik sahaja kerja-kerja naik taraf selesai dijalankan. Antara yang disediakan ialah servis pantas serta ruang menunggu dengan wifi percuma, serta perkhidmatan penghantaran pelanggan.

    Hyundai buka sebuah lagi pusat 3S di Butterworth

    Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors, Low Yuan Lung menjelaskan jenama itu sentiasa ingin memperbaiki kualiti servis di semua cawangan Hyundai dengan cara mengadakan kerjasama dengan pengedar yang sudah berpengalaman. “Menyediakan kualiti perkhidmatan premium menjadi keutamaan kami. Saya yakin CS Euro sangat berupaya untuk menjalankannya dengan baik berdasarkan pengalaman yang mereka miliki sebelum ini,” ujarnya.

    Hyundai mempunyai tiga pusat 3S di Pulau Pinang, termasuk satu di Jalan Sungai Pinang, di dalam pulau. Bilik pameran terbaru ini dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang, Isnin ke Ahad, sementara pusat servisnya beroperasi dari 9 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Sabtu.

     
     
  • Volkswagen Nivus – teaser disiar, akan tiba di Brazil

    Volkswagen Nivus – teaser disiar, akan tiba di Brazil

    Volkswagen telah mengeluarkan satu video teaser menunjukkan model baru Nivus, yang akan diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2020. Model yang dipanggil sebagai sebuah “Urban Coupe” ini menggunakan platform MQB, dan mula-mula sekali akan dikeluarkan dan dilancar di Brazil sebelum ia tiba pula di Eropah pada tahun 2021.

    Cuma bayangnya saja yang dapat dilihat daripada video tersebut, dan ia kelihatan menggunakan garis bumbung seperti sebuah coupe, dengan lengkung sekata yang bermula dari hadapan hinggalah ke spoiler belakang. Di penjuru bampar hadapan terdapat lampu kabus berbentuk segi tiga sementara lampu DRL pula disepadukan sekali dengan lampu utama.

    Volkswagen sebelum ini pernah memberitahu bahawa pembangunan model ini dibuat sepenuhnya di Brazil, dan bakal menggabungkan “ciri sporty dengan posisi pemanduan yang tinggi.” Selain daripada itu, Nivus juga dicipta untuk memberikan penawaran yang lebih mampu milik bagi pelanggan yang mencari sebuah crossover coupe.

    Walaupun tiada perincian rasmi yang dikeluarkan, Nivus pasaran Brazil dijangka menggunakan enjin 1.0 liter TSI dan pacuan roda hadapan. Enjin ini dikatakan mampu menghasilkan 128 PS (126 hp) apabila digabungkan dengan transmisi automatik enam kelajuan sementara dengan transmisi manual enam kelajuan pula, ia menghasilkan 116 PS (114 hp).

     
     
  • Petronas lantik Azrul Osman Rani sebagai CEO baru

    Petronas lantik Azrul Osman Rani sebagai CEO baru

    Petronas Dagangan Berhad (PDB) telah mengumumkan perlantikan Azrul Osman Rani sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif baru berkuatkuasa 1 Januari 2020. Beliau ketika ini merupakan Ketua Pembangunan Komersial & Pembentukan Usahasama di PETRONAS Refinery & Petrochemical Corporation (PRPC) dengan peranan kedua sebagai CEO PRPC Utilities & Facilities.

    Azrul akan menggantikan Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed M Tahir, yang pertama kali dilantik sebagai Naib Presiden Pemasaran, Perniagaan Hiliran Petronas pada Julai 2017, dan kemudiannya sebagai Pengarah Urusan dan CEO pada Jun 2018.

    Syed Zainal mengulas tentang lantikan terbaru itu; “Azrul memiliki perjalanan kerjaya yang menarik di dalam Petronas, di dalam segmem pemasaran dan komersial. Ia melibatkan aktiviti perdagangan, penggabungan dan pemilikan, serta rundingan yang akan melengkapkan lagi dinamik perniagaan. Dengan pengalaman 23 tahun dalam perniagaan gas dan minyak, saya yakin Azrul akan membawa PDB ke satu tahap yang lebih tinggi.”

    Sepanjang di bawah teraju Syed Zainal, beliau memberi penekanan terhadap “keutamaan pelanggan”. Di bawah pimpinannya, PDB mencatatkan peningkatan jualan sehingga 6% setakat 30 September 2019, antaranya disumbangkan oleh produktiviti stesen yang lebih tinggi, pertambahan operasi stesen serta peningkatan tahap penggunaan Petronas Primax 95 dengan Pro-Drive.

    Bagi Azrul pula, beliau memulakan kerjaya di bahagian Perniagaan Runcit PDB sebelum beralih ke Malaysian International Trading Corporation Sdn Bhd (MITCO), memasarkan pelbagai produk petro-kimia ke Indonesia. Dari 2014-2018 pula, beliau mengetuai rundingan strategik yang membawa kepada pembentukan usaha sama antara Petronas dan Saudi Aramco di Pengerang Integrated Complex, dan menjadi pelaburan hiliran paling besar Petronas bernilai USD27 bilion.

     
     
  • Nissan GT-R50 – produksi sah tahun depan, 720 PS!

    Nissan GT-R50 – produksi sah tahun depan, 720 PS!

    Nissan sudahpun mengumumkan bahawa Nissan GT-R50 – GT-R R35 istimewa yang mendapat sentuhan semula dari firma rekaan Itali, Italdesign – sah akan diproduksi dalam jumlah yang sangat terhad iaitu 50-unit, dan versi produksi sebenarnya akan didedahkan di Geneva Motor Show 2020 Mac depan.

    Menurut Nissan, pelanggan pertama yang menempah kereta ini akan menerimanya pada lewat 2020, manakala versi prototaip yang muncul di Goodwood Festival of Speed tahun lalu akan sekali lagi membuat penampilannya di Nismo Festival 2019 yang akan berlangsung di Fuji Speedway hujung minggu ini serta turut akan diletakkan di Nissan Crossing di Ginza dan Tokyo Auto Salon 2020 Januari nanti.

    Menurut Nissan, selepas ia membuat kemunculan sulungnya, permintaan untuk versi produksi GT-R istimewa sempena ulangtahun ke-50 Nissan serta ulangtahun ke-50 Italdesign berkenaan agak kuat di mana sebahagian pelanggan telah pun membayar deposit.

    Nissan GT-R50 – produksi sah tahun depan, 720 PS!

    Buat masa sekarang, pelanggan yang telahpun menempah kereta ini dalam proses memilih spesifikasi peribadi untuk GT-R50 masing-masing. Untuk pasaran Jepun, kereta ini boleh dibeli dari SCI Co. Ltd iaitu subsidiari VT Holdings. Nissan menyatakan tempahannya masih dibuka tetapi tidak mendedahkan berapa slot lagi yang tinggal.

    Nissan GT-R50 masih menggunakan casis serta enjin VR38DETT 3.8 liter V6 turbo berkembar sama seperti R35 Nismo 2018 sedia ada. Namun dengan tingkat taraf seperti pemadanan pengecas turbo spesifikasi GT3 bersama intercooler yang lebih besar, crankshaft, piston, connecting rod dan bearing yang lebih tahan lasak, profil camshaft yang lebih agresif, serta sistem kemasukan udara dan ekzos yang dirombak, ia kini mampu menghasilkan kuasa 720 PS dengan tork maksima 780 Nm.

    Kuasa yang lebih besar ini akan dibantu oleh sistem suspensi dengan penyerap boleh laras Bilstein DampTronic I, bersama sistem brek enam piston di depan dan empat piston di belakang berwarna merah dari Brembo. Bagi memastikan kereta ini sentiasa melekat pada permukaan aspal, rim-rim rekaan istimewa 21-inci pada kereta ini dibalut dengan tayar Michelin Pilot Super Sport bersaiz 255/35R21 di hadapan dan 285/30R21 di belakang.

    Untuk bahagian luaran pula, boleh dikatakan keseluruhan komponen badan telah menerima rekaan semula oleh Italdesign. Ia menerima elemen berwarna emas pada bahagian ‘mulut’ hadapan bersama lampu hadapan LED nipis dipanjangkan. Dari sisi, anda boleh lihat bayangan badan yang lebih agresif dari GT-R standard kerana ia telah direndahkan sebanyak 54 mm.

    Nissan GT-R50 – produksi sah tahun depan, 720 PS!

    Perubahan lebih ekstrem dapat dilihat pada bahagian belakang. Bahagian cermin belakang diberikan tingkap berbentuk-V yang lebih kecil, manakala panel sekelilingnya pula direka seakan untuk mengalirkan udara terus kebahagian but serta turut direka lebih rendah.

    Lampu belakang dengan rekaan dua-bulat signatur GT-R bersama emblem masih lagi kekal, tetapi ia kelihatan seperti terapung kerana bahagian lain yang telah direndahkan. Versi istimewa ini juga dibekalkan dengan spoiler belakang boleh laras di mana sayap belakang tersebut boleh dinaikkan atau disorokkan, dikawal secara elektrohidraulik.

    Kabin Nissan GT-R50 ini turut berbeza dari R35 biasa, menampilkan papan pemuka yang direka semula serta menampilkan banyak komponen dibuat daripada gentian karbon, serta balutan Alcantara dan kulit untuk tempat duduk. Secara keseluruhan, kabin jentera ini menerapkan rekaan seperti kereta lumba sebenar.

    Berapa harganya? Menerusi laporan sebelum ini, Nissan GT-R50 boleh dibeli pada harga bermula 990,000 euro atau sekitar RM4.7 juta!

     
     
  • WRC sah guna sistem hybrid, pilihan guna struktur tubular untuk kerangka asas bermula musim 2022

    WRC sah guna sistem hybrid, pilihan guna struktur tubular untuk kerangka asas bermula musim 2022

    FIA WORLD RALLY CHAMPIONSHIP 2017 -WRC Sweden (SWE) – WRC 09/02/2017 to 12/02/2017 – PHOTO : @World

    Akhirnya, setelah sekian lama bertahan menggunakan hanya enjin pembakaran dalaman, badan penyelia sukan permotoran dunia, FIA hari ini mengesahkan bahawa Kejohanan Rali Dunia (WRC) bakal menggunakan teknologi hibrid seperti jentera-jentera Formula 1 dan WEC bermula musim 2022.

    Bermula musim berkenaan, regulasi WRCar (yang menggantikan regulasi Group A sejak 1998) sebagai kelas paling tinggi dalam WRC buat masa ini akan bertukar kepada kelas Rally1, dan segala perincian undang-undang teknikal akan diumumkan pada suku pertama tahun hadapan.

    Secara ringkasnya, jentera-jentera Rally1 untuk musim 2022 nanti diberikan pilihan sama ada pengeluar mahu menggunakan kerangka model-model produksi atau pun struktur tubular (space frame) seakan kereta DTM atau Australia Supercar, tetapi masih lagi mengekalkan saiz seperti sedia ada, dengan sistem berskala bagi membolehkan pengeluar mengadaptasikan kereta rali mereka dari pelbagai model berbeza.

    WRC sah guna sistem hybrid, pilihan guna struktur tubular untuk kerangka asas bermula musim 2022

    Kereta-kereta kelas Rally1 ini juga perlu dijana enjin petrol berdasarkan spesifikasi sedia ada (1.6 liter Turbo), tetapi kos untuk membinanya akan dikawal oleh FIA. Enjin tersebut juga wajib dipadankan dengan motor elektrik hibrid 100 kw.

    Setiap pasukan perlu untuk menggunakan motor elektrik hibrid, hardware dan software yang sama – tiap-tiap komponen dikeluarkan hanya oleh satu pembekal. Sistem tersebut akan membolehkan kereta-kereta rali ini menggunakan hanya kuasa elektrik ketika berjalan di dalam kawasan bandar, dan juga fungsi power boost untuk digunakan dalam laluan SS.

    FIA turut mengumumankan selepas ini pengeluar juga boleh menyertai WRC dengan satu pasukan tambahan, menggunakan hanya satu kereta, bersama identiti yang berbeza. Walau bagaimanapun, mata yang dikutip oleh ‘Pasukan B’ ini tidak akan dicampur dengan pasukan utama.

    Kesemua keputusan ini diumumkan ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung Tahunan FIA 2019 kali keempat merangkap mesyuarat terakhir tahun ini, diadakan di Paris dan di pengerusikan oleh Presiden FIA Jean Todt bersama timbalannya Graham Stoker.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024