Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz CLS 260 C257 dilancarkan di China – dijana enjin 1.5 liter turbo, harga bermula RM354k

    Mercedes-Benz CLS 260 C257 dilancarkan di China – dijana enjin 1.5 liter turbo, harga bermula RM354k

    Selain dari model CLS 300 dan CLS 350 4Matic, pasaran China kini menerima satu lagi varian Mercedes-Benz CLS generasi C257 yang lebih ‘mampu milik’ dikenali sebagai CLS 260.

    Model paling asas ini dijual pada harga 576,800 yuan (RM353,670), atau 61,000 yuan (RM37,402) lebih murah dari CLS 300 serta 213,000 yuan (RM130,590) lebih murah dari versi tertinggi CLS 350 4Matic di pasaran republik rakyat tersebut.

    Bagaimana Mercedes-Benz mampu membuatkan ia jauh lebih murah dari varian lain? Paling utama, CLS 260 ini hanya dijana oleh enjin 1.5 liter empat silinder turbo yang membolehkan ia menerima insentif cukai yang jauh lebih rendah. Model CLS 300 dan CLS 350 kedua-duanya dijana oleh enjin 2.0 liter, dan tidak menerima insentif yang dikhaskan untuk kereta-kereta dengan kapasiti 1.5 liter ke bawah berkenaan.

    Mercedes-Benz CLS 260 C257 dilancarkan di China – dijana enjin 1.5 liter turbo, harga bermula RM354k

    Enjin pada CLS 260 tersebut turut disertakan dengan sistem hibrid ringkas yang mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 184 PS (181 hp) dan tork maksima 280 Nm, digabungkan dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan dan kuasa dihantar sepenuhnya ke gandar belakang.

    Ini membolehkan CLS 260 ini memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 8.7 saat, dan mencapai kelajuan maksima yang boleh tahan – 250 km/j. Penggunaan bahan api pula berada pada kadar 7.2 l/100 km diuji berdasarkan standard tempatan.

    Padanan unit janakuasa ini sebenarnya bukan hanya diberikan pada model CLS ini. Mercedes-Benz turut menamwarkannya pada siri E-Class di China iaitu E 260, E 260 L (L bermaksud jarak roda lebih panjang khas untuk China) dan E 260 L 4Matic (dengan sistem pacuan semua roda), dijual pada harga bermula 420,800 yuan (RM257,962).

    Mercedes-Benz CLS 260 C257 dilancarkan di China – dijana enjin 1.5 liter turbo, harga bermula RM354k

    Untuk CLS 260, kelengkapan standard yang dibekalkan termasuk pakej penggayaan AMG Line, rim aloi 19-inci dengan dua pilihan rekaan, lampu hadapan LED High Performance, upholsteri kulit Nappa, paparan instrumen digital dan skrin infotainment 12.3-inci, sistem pendingin hawa Thermatic, Dynamic Select dan Active Brake Assist.

    Pelanggan yang merasakan model asas ini terlalu murah, mereka turut ditawarkan dengan pelbagai ciri-ciri opsyen lain seperti pakej Night, kemasan dalaman premium, Keyless-Go, sistem bunyi Burmester, monitor sekeliling 360-darjah, Parktronic dan juga beg udara tambahan untuk bahagian belakang.

     
     
  • Kawasaki ZX-25R – siri video tunjuk proses ubah suai

    Kawasaki ZX-25R – siri video tunjuk proses ubah suai

    Semakin lama, semakin banyak teaser yang dikeluarkan oleh Kawasaki Indonesia untuk model Ninja ZX-25R, mungkin sementara menunggu waktu yang sesuai untuk pelancarannya. Setakat ini juga, tiada lagi pasaran lain yang sudah menerima ZX-25R dan selain Indonesia, negara lain yang mempunyai kemungkinan untuk jadi pasaran yang pertama adalah Jepun.

    Dalam siri video terbaru yang dikeluarkan oleh Kawasaki Indonesia, mereka menunjukkan proses ubah suai pada motosikal tersebut yang bermula dengan peletak kaki jenis lumba oleh Sniper, ekzos Yoshimura dan yang terbaru, pemasangan kit badan gentian karbon keluaran A-Tech dari Jepun.

    Ubah suai yang ditunjukkan satu persatu ini menjadikan motosikal tersebut semakin hampir seperti unit ubah suai yang ditunjukkan oleh Kawasaki Jepun sebelum ini. Ia bagaimanapun tidak akan dijual dalam pakej ubah suai seperti itu, tetapi aksesori yang dipasang tersebut boleh dibeli secara berasingan.

    ZX-25R didedahkan pertama kali semasa Tokyo Motor Show tahun lalu dan setakat yang diketahui, ia akan menggunakan enjin 250 cc empat silinder yang boleh dikerah sehingga 17,000 rpm pada gear lima dan laju yang boleh pergi lebih 160 km/j (seperti yang ditunjukkan dalam video ujian oleh pelumba profesional).

    Ia juga akan dilengkapi dengan barangan yang boleh dikatakan berspesifikasi tinggi untuk model kelas permulaan sepertinya, termasuk fork SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston) 37 mm di hadapan, monoshock Horizontal Back-Link di belakang, quickshifter, pilihan mod tunggangan dan traction control.

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-25R di Tokyo Motor Show

     
     
  • Puspakom kembali buka semua pusat pemeriksaan

    Puspakom kembali buka semua pusat pemeriksaan

    Setelah ditutup sejak 20 Mac lalu berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP), pusat pemeriksaan Puspakom kini sudah kembali dibuka untuk operasi penuh. Walaubagaimanapun, ia dibuka lima hari sahaja dalam masa satu minggu, dengan operasi dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

    Ini adalah sama untuk semua cawangan, cuma tempoh lima hari itu adalah terdiri daripada Isnin hingga Jumaat untuk cawangan di Lembah Kelang, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Pahang, Sabah dan Sarawak manakala untuk Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dibuka dari hari Ahad hingga Khamis.

    Sebarang perubahan berkenaan waktu operasi ini akan diberitahu pada masa hadapan, sekiranya ada, untuk mengikut peraturan semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Perkara ini boleh diketahui melalui ruangan ‘Pengumuman’ di dalam laman web rasmi serta laman sosial Puspakom.

    Semua jenis kenderaan, komersial dan persendirian kini boleh kembali menggunakan khidmat Puspakom walaubagaimanapun mereka perlu membuat temu janji terlebih dahulu melalui aplikasi MyPuspakom. Mereka kemudiannya perlu hadir ke pusat pemeriksaan mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan.

    Pelanggan juga diminta untuk mengikuti peraturan yang telah ditetapkan di pusat pemeriksaan yang termasuk pemakaian topeng muka, satu pemandu untuk satu kenderaan, jangan berhimpun dan mengamalkan penjarakan sosial pada sepanjang masa.

     
     
  • Shell jual juadah berbuka hasil PKS – kerjasama dengan foodpanda untuk hantar Kombo Ramadan

    Shell jual juadah berbuka hasil PKS – kerjasama dengan foodpanda untuk hantar Kombo Ramadan

    Sejak 4 Mei lalu, Shell Malaysia telah memulakan inisiatif #RamadanWithShell dengan menjual pelbagai juadah untuk berbuka puasa, hasil perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ia adalah untuk menyokong pembekal kecil makanan tempatan dengan menyediakan saluran pemasaran bagi membantu mereka dalam bulan Ramadan, khususnya semasa tempoh yang sukar ini.

    Dengan inisiatif yang berlangsung sehingga 23 Mei ini, menerusi 950 stesen Shell di seluruh negara, para pelanggan akan dapat membeli pelbagai hidangan tempatan seperti nasi campur, nasi beriani, asam laksa, kuih-muih, murtabak, bubur lambuk, minuman dan banyak lagi hidangan secara bawa pulang.

    Menurut Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain, selain daripada hidangan Ramadan ini, para pelanggan juga boleh membeli secara kombo dengan pilihan Shell SELECT serta snek dan minuman deli2go pada harga promosi bermula serendah RM6.

    “Di Shell, pelanggan sentiasa mendapat tempat di hati kami, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang. Dengan ketidaktentuan yang dibawa oleh COVID-19, kami perlu berpegang teguh kepada nilai yang menentukan kami sebagai sebuah organisasi dan ini membolehkan kami untuk menyumbang kembali kepada rakyat Malaysia. Inisiatif terbaharu kami ini membolehkan syarikat membantu rakyat Malaysia menjalankan perniagaan mereka,” katanya.

    Selain itu, terdapat 100 stesen Shell juga telah bekerjasama dengan foodpanda bagi menghantar kombo Ramadan terpilih ke pintu rumah pelanggan, semasa tempoh promosi ini. Pelanggan Shell SELECT yang menempah melalui foodpanda dengan kod promo ‘SHELLRAMADAN ‘ akan menikmati diskaun 30% untuk semua produk Shell SELECT dalam Pandamart, dengan pembelian minimum sebanyak RM15.

     
     
  • PKP: Sarawak masih larang pergerakan antara daerah

    PKP: Sarawak masih larang pergerakan antara daerah

    Walau pun kerajaan pusat telah memberikan kebenaran untuk orang ramai melakukan pergerakan antara daerah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan sehingga 9 Jun ini, namun harus diingatkan, perkara ini masih menjadi larangan di Sarawak.

    Menurut Timbalan Ketua Menterinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berikutan keputusan itu, orang ramai masih perlu memohon kebenaran polis untuk pergerakan antara daerah. Malahan katanya, pihak polis juga akan terus mengadakan sekatan jalan raya di sempadan daerah.

    “Langkah itu diambil untuk meminimumkan pergerakan orang ramai dari kawasan zon merah dan kuning ke zon hijau. Berhubung isu yang tular di media sosial yang mengatakan bahawa untuk pergerakan rentas sempadan di Sarawak, tidak perlu untuk memohon permit perjalanan daripada polis adalah tidak benar.

    PKP: Sarawak masih larang pergerakan antara daerah

    “Untuk situasi di Sarawak, larangan pergerakan antara daerah adalah masih kekal,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, pula berkata Sarawak diberi pengecualian dalam PKPB apabila pergerakan antara daerah dikawal dan masih memerlukan kebenaran polis.

    “Arahan sudah dikeluarkan kepada semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini untuk menyelaraskan keputusan JPBN yang masih mengekalkan larangan pergerakan antara daerah.

    Ia berikutan kekeliruan orang ramai apabila timbul dakwaan di media sosial baru-baru ini mengenai ada IPD atau balai polis yang menampal notis di pintu memaklumkan semua pergerakan dalam Sarawak tidak memerlukan surat kebenaran daripada polis,” jelasnya.

     
     
  • Modenas Dominar D400 kini diberi rebat tunai RM1,000

    Modenas Dominar D400 kini diberi rebat tunai RM1,000

    Modenas telah melancarkan kempen “Dominasi Impianmu” bertujuan untuk memberikan tawaran yang lebih nilai kepada peminat motosikal untuk memiliki Modenas Dominar D400.

    Kempen yang bermula dari 2 Mei dan akan berlangsung hingga Hari Merdeka pada 31 Ogos 2020 itu menawarkan rebat tunai berjumlah RM1,000 bagi model berkenaan. Dengan tawaran terbaru ini, Dominar D400 menjadi model yang paling mampu milik bagi segmennya yang ada dalam pasaran tempatan ketika ini.

    Ini menjadikan harga jualannya disepanjang kempen ini ialah RM12,788 berbanding RM13,788 sebelum ini. Ia sah bagi semua pilihan warna yang ditawarkan. Modenas Dominar D400 memiliki berat 182kg ini dijana kuasanya oleh unit enjin DTS-i silinder tunggal, penyejukan cecair serta suntikan bahan api yang menghasilkan 35 PS kuasa maksimum pada 8,000rpm dan tork 35Nm pada 6,500rpm.

    Modenas Dominar D400 kini diberi rebat tunai RM1,000

    Dominar D400 menggunakan angkup dwi-omboh 320 mm di bahagian hadapan dan angkup omboh
    tunggal 230 mm di bahagian belakang. Suspensi pula menggunakan jenis teleskopik 43 mm di bahagian hadapan dan mono shock boleh laras pelbagai tahap di bahagian belakang.

    Model ini hadir dengan tiga pilihan warna dan dilengkapi dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, yang mana dahulu. Untuk tahu lebih lanjut tentang model ini, ikuti laporan tunggang uji yang kami lakukan sebelum ini.

     
     
  • UMW Toyota mulakan operasi pemasangan kenderaan

    UMW Toyota mulakan operasi pemasangan kenderaan

    Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) yang merupakan sebuah anak syarikat UMW Toyota Motor Sdn Bhd yang terlibat di dalam pemasangan dan pengeluaran kenderaan Toyota telah menyambung semula operasinya bermula 11 Mei 2020.

    Ini susulan kepada kebenaran yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan pada 4 Mei 2020, setelah syarikat menghentikan operasinya sejak 18 Mac lalu sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

    “Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor di atas keputusan untuk melaksanakan PKPB dengan perincian khusus seperti ini. Dengan penyambungan semula operasi, kami berharap akan dapat membantu merancakkan semula ekonomi serta meningkatkan momentum industri automotif dan perniagaan,” jelas Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

    UMW Toyota mulakan operasi pemasangan kenderaan

    Sama seperti semua syarikat yang dibenarkan menyambung semula operasi dalam kapasiti penuh, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan diamalkan. ASSB akan patuh sepenuhnya kepada semua SOP berkenaan demi menjaga kesihatan dan keselamatan kira-kira 2,000 pekerja yang bertugas di kilang-kilangnya.

    Antara SOP yang dimaksudkan ialah mengekalkan jarak satu meter antara pekerja; pemeriksaan suhu badan dengan kerap; langkah pencegahan menggunakan cecair sanitasi dan topeng muka; serta pembasmian kuman di premis tiga kali sehari. Jika ada keperluan, tempoh bekerja serta aliran tugas juga akan diubah untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.

    “Toyota Motor Corporation (TMC) juga sangat serius dalam menyediakan suasana yang selamat dan sihat bagi semua pekerja. ASSB boleh memanfaatkan nasihat serta amalan kesihatan terbaik daripada TMC berkaitan langkah-langkah tambahan yang boleh diambil untuk situasi operasi di negeri Selangor ini,” ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

     
     
  • Ford hasilkan najis burung buatan manusia untuk kaji kesannya terhadap cat kereta; jadikan cat lebih baik

    Najis burung bukan hanya menyebabkan kereta anda kelihatan kotor. Dengan bahan asid yang terdapat padanya, ia sebenarnya mampu membuatkan cat kereta anda rosak. Jadi untuk menghasilkan cat yang boleh bertahan terhadap najis ini, Ford sentiasa melakukan ujian terhadap faktor berkenaan.

    Namun bagaimana untuk mendapat ‘bekalan’ najis burung yang konsisten bagi melakukan ujian tersebut? Ya, Ford turut menghasilkan najis burung buatan manusia yang mempunyai sifat yang sama seperti najis burung sebenar.

    Menurut Ford, setiap satu ‘jatuhan’ najis burung sintetik tersebut adalah sangat realistik sehingga ia mampu memberikan kandungan yang sama berdasarkan apa yang di makan oleh burung – bagi melihat apa kesannya terhadap kadar keasidan berbeza – yang kebanyakkannya berada di Eropah.

    Najis burung biasanya berwarna putih dan hitam, tetapi bukan semua najis burung begitu. Bahagian berwarna putih adalah asid urik, yang juga sebenarnya adalah urin burung.

    Najis berkenaan akan diuji pada sampel yang telah disembur dengan cat dan dibuat pada suhu 40° C, 50° C dan 60° C di dalam oven bagi menghasilkan kesan sebenar seperti penggunaan dalam dunia nyata ketika cuaca panas melampau, bagi memaksa perlindungan kakisan pada cat berkenaan berfungsi sehingga pada tahap maksima.

    Menurut Ford lagi, cat kereta anda boleh ‘melembut’ ketika terdedah kepada cahaya matahari yang terik. Apabila ia sejuk kembali, segala bahan asing termasuk najis burung akan melekat di atas permukaan tersebut. Jika ia dibiarkan, ia akan meninggalkan kesan kekal dan memerlukan khidmat pakar bagi membuangnya.

    Ford hasilkan najis burung buatan manusia untuk kaji kesannya terhadap cat kereta; jadikan cat lebih baik

    Dengan memperhalusi pigmen cat, resin dan aditif yang memberikan perlindungan kilat pada cat, pakar penjagaan cat boleh memastikan cat yang disembur oleh Ford dapat meminimakan kesan buruk berkenaan walau dalam apa jua cuaca sekalipun.

    Ford juga memberikan nasihat untuk anda agar sentiasa membasuh kereta dengan air suam yang dicampur dengan syampu pH neutral. Dengan memberikan lapisan wax sekali atau dua kali setahun juga mampu membolehkan cat kereta anda bertahan dengan lebih lama.

    Selain dari “ujian najis burung” ini, Ford turut melakukan ujian lain yang relevan terhadap cat mereka. Antaranya ujian yang memberikan simulasi terhadap debungan yang berterbangan serta getah pokok yang melekit. Ujian ini dibuat dengan menyembur asid fosforik yang dicampur dengan sabun detergen dan debunga sintetik, dan kemudian dipanaskan dalam oven dengan suhu 60 C dan 80° C dalam masa 30 minit.

    Ford juga membuat ujian lain untuk menguji ketahanan cat kereta mereka seperti memberikan sinaran ultra ungu sehingga 6,000 jam (250 hari) dalam makmal cahaya bagi memberikan simulasi keadaan tempat paling cerah di dunia dan melihat kesan terhadap cuaca luar; dibekukan dalam suhu di bawah sifar darjah; didedahkan pada cuaca sejuk dalam kebuk garam berkelembapan tinggi dan mengkaji kesan cecair bahan api terhadap permukaan cat bagi membuat simulasi bahan api yang terkena apabila pemilik mengisinya terlalu penuh.

     
     
  • Proton tawar kad minyak RM500 percuma jika anda beli kereta untuk tujuan e-hailing, sehingga 31 Dis ini

    Proton tawar kad minyak RM500 percuma jika anda beli kereta untuk tujuan e-hailing, sehingga 31 Dis ini

    Sebagai salah satu cara untuk menggalakkan mereka yang berkecimpung dalam industri e-hailing untuk menggunakan kereta dari jenama mereka, Proton kini menawarkan kad minyak Petronas bernilai RM500 untuk pembeli kereta baharu yang mahu menggunakan kereta tersebut bagi tujuan digunakan untuk khidmat e-hailing.

    Manfaat ini diberikan untuk kesemua barisan model Proton termasuk Proton Persona, Iriz, Exora, Saga atau Proton X70. Sekiranya pembeli tidak mahu kad minyak berkenaan, mereka turut boleh menukarnya dengan potongan harga kereta dalam nilai yang sama iaitu RM500.

    Selain daripada kad hadiah ini, potongan harga tambahan turut ditawarkan bagi model terpilih, dari RM300 hingga RM1,500. Promosi ini akan berlangsung hingga 31 Disember 2020 dan turut terbuka untuk individu yang ingin membeli kereta bagi tujuan sama iaitu e-hailing oleh pemandu yang berbeza.

    Bagi mendapatkan manfaat yang ditawarkan berkenaan, anda hanya memerlukan Surat Persetujuan yang menyatakan tujuan pembelian serta nama penuh, nombor kad pengenalan dan salinan lesen e-haling pemandu tersebut.

    “Kami ingin memudahkan mana-mana individu yang ingin membeli kereta Proton bagi tujuan e-hailing. Oleh itu, sekiranya pembeli kereta adalah isteri dan pemandunya adalah suaminya, kami hanya memerlukan dokumen untuk pengesahan bagi meluluskan pembelian,” kata Fazli Hisham Shukor, Ketua Jualan Korporat, Proton Edar.

     
     
  • Ziarah Aidilfitri hanya untuk saudara terdekat – PM

    Ziarah Aidilfitri hanya untuk saudara terdekat – PM

    Dengan pengumuman bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan hingga 9 Jun yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin sebentar tadi, maka sah lah bahawa kita yang berada berlainan negeri dengan keluarga masing-masing tak dapat pulang ke kampung untuk berhari raya.

    Ini kerana SOP PKPB masih lagi tidak berubah – perjalanan rentas negeri masih belum di benarkan. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri memberitahu bahawa kerajaan tidak menghalang rakyat untuk melakukan amalan ziarah-menziarahi ahli keluarga terdekat, dengan syarat ianya dibuat dengan had maksimum 20-orang pada satu-satu masa serta harus mengikut SOP yang ditetapkan termasuk penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta mementingkan kebersihan.

    “Saya hendak mengingatkan kepada semua, larangan pergerakan antara negeri masih berkuatkuasa dalam tempoh ini. Ini bermakna, mintak maaf banyak-banyak, demi menjaga keselamatan kita semua, perjalanan balik kampung tidak dibenarkan. Saya tahu ramai yang agak sedih tak dapat balik berhari raya bersama keluarga, bersabarlah. Bila keadaan dah pulih, saudara sudara boleh balik ke kampung berjumpa keluarga dan sanak saudara.

    “Tetapi ini tidak bermakna kita tak boleh menyambut perayaan Aidilfitri, Pesta Keamatan, atau Hari Gawai. Ziarah-menziarahi dibenarkan dikalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam satu negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa. Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka,” katanya.

     
     
  • PKP Bersyarat (PKPB) dilanjutkan hingga 9 Jun 2020, perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan – PM

    PKP Bersyarat (PKPB) dilanjutkan hingga 9 Jun 2020, perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan  – PM

    Dalam perutusan khas Perdana Menteri hari ini, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan dalam tempoh sebulan lagi iaitu hingga 9 Jun 2020. Menurut beliau, hasil pelaksanaan PKPB ini hanya dapat dilihat dalam tempoh beberapa minggu lagi. Sekiranya terdapat peningkatan kes, kemungkinan besar, PKPB akan diteruskan.

    “Walau pun PKPB yang telah dilaksanakan menampakkan keberkesanan dan berjalan lancar, namun usaha kita masih belum berjaya sepenuhnya. Rata-rata rakyat mahu kerajaan mengambil langkah yang wajar.

    “Justeru, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), saya mengumumkan PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020. Ini bermakna semua peraturan dan SOP yang diumumkan dalam tempoh PKPB masih kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun. Sebarang pembaharuan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

    Walau bagaimana pun, beliau turut menegaskan, larangan pergerakan antara negeri masih berkuatkuasa dalam tempoh tersebut. “Dalam tempoh ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan melibatkan pergerakan orang ramai iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai.

    PKP Bersyarat (PKPB) dilanjutkan hingga 9 Jun 2020, perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan  – PM

    “Saya hendak mengingatkan kepada semua, larangan pergerakan antara negeri masih berkuatkuasa dalam tempoh ini. Ini bermakna…mintak maaf banyak-banyak, demi menjaga keselamatan kita semua, perjalanan balik kampung tidak dibenarkan. Saya tahu ramai yang agak sedih tak dapat balik berhari raya bersama keluarga, bersabarlah. Bila keadaan dah pulih, saudara sudara boleh balik ke kampung berjumpa keluarga dan sanak saudara,”ujarnya lagi.

    Tambahnya lagi, orang ramai masih boleh menyambut Aidilfitri, Pesta Keamatan atau Hari Gawai, ziarah-menziarahi dibenarkan untuk jiran terdekat, dan keluarga yg tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang. Namun harus mengikut SOP yang ditetapkan seperti sebelum ini termasuk penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta mementingkan kebersihan.

    Selain itu, beliau turut mengumumkan pasangan suami isteri yang tinggal di negeri berasingan kerana faktor kerja akan diberi kelonggaran untuk membuat perjalanan rentas negeri. Di mana permohonan boleh dibuat menerusi aplikasi Gerak Malaysia atau datang sendiri ke balai polis terdekat.

     
     
  • Proton Satria Neo-X — jelmaan crossover dua pintu

    Proton Satria Neo-X — jelmaan crossover dua pintu

    Kebelakangan ini, semangat dan roh Proton Satria Neo banyak kali diseru semula. Entahkan jadi kebetulan, macam ada isyarat atau panggilan-panggilan bahawa ramai ketika ini yang rindukan hatchback dua-pintu berkenaan. Anda perasan perkara yang sama atau tidak?

    Spotlight paling besar yang diterima Satria Neo – walaupun hanya sebagai tempelan – ialah dalam sebuah filem Netflix yang mendapat perhatian umum dan banyak dibincangkan seminggu dua ini, apa lagi kalau bukan filem Extraction lakonan Chris Hemsworth.

    Oh, sementara tengah menyentuh tentang filem, kalau anda belum tahu, kami juga ada sediakan senarai filem-filem produksi luar negara yang di dalamnya ada memaparkan penampilan model-model Proton. Ada 10 semuanya, bukan main kerap kereta Proton masuk ke layar tivi.

    Proton Satria Neo-X — jelmaan crossover dua pintu

    Kemudian, ia mendapat sentuhan daripada Theophilus Chin, yang kerja rekaan digitalnya banyak kami paparkan di laman ini. Tetapi, dia tidak membayangkan semula Satria Neo sebagai sebuah model baru seperti yang biasa dilakukan. Sebaliknya ia menghasilkan rekaan kacuk antara model berkenaan tetapi dalam versi Proton Iriz Neo dua-pintu. Anda dah tengok yang ini?

    Kali ini, seorang lagi yang namanya tidak perlukan pengenalan panjang jika anda kerap mengikuti laman ini, Saharudin Busri (@saharudindesign) turut menghalakan perhatiannya kepada Proton Satria Neo. Tetapi, menurut beliau, ini bukanlah rekaan baru sepenuhnya.

    Sebelum ini, beliau pernah mengasilkan satu rekabentuk digital Satria GTi facelift yang pernah dibuat dahulu. Dari asas rekaan tersebut, banyak ubah suai yang dilakukan semula untuk menghasilkan pula rekaan ini,yang dipanggil Satria Neo-X.

    Dan kali ini, Satria Neo dibayangkan pula sebagai sebuah model crossover. Ini adalah lanjutan daripada perkembangan terbaru Proton sendiri yang banyak memberi tumpuan kepada pengeluaran model SUV sejak setahun dua ini — X70 CKD sudah, menyusul selepas ini ialah Proton X50 pula.

    Andaiannya adalah, Satria Neo-X ini adalah idea untuk mengubahsuai platform atau kerangka dari model sedia ada untuk dijadikan sebuah kereta yang lebih besar dan tinggi. Rekabentuk penuh bahagian badan sebenarnya masih sama seperti Satria Neo.

    Cuma untuk menjadikan imejnya lebih padan sebagai sebuah SUV atau crossover, rekaan lampu depan dan bampar diberikan nafas baru – tambahan yang boleh dijangka sudah tentulah rekaan diffuser di bawah sekali. Gril juga lebih ringkas dengan satu jalur krom saja. Selebihnya bukaan “mulut” dan tempat meletak nombor plat dibiarkan besar dalam kemasan hitam.

    Proton Satria Neo-X — jelmaan crossover dua pintu

    Bahagian tepi, elemen body cladding digunakan seperti rekaan lazim model-model crossover yang semakin banyak dalam pasaran tempatan ketika ini. Untuk membuatkannya nampak tinggi, rekaan rim baru dengan saiz yang lebih besar digunakan. Garis bumbung walaupun kekal sama, ia ditambah dengan jalur permukaan serta landasan untuk bawa barang.

    Bahagian belakang kelihatan sangat kemas. Walaupun ringkas, dengan lengkuk hatchback dari Satria Neo yang diberi sentuhan lebih sporty (perhatikan spoiler bersepadu dari bahagian bumbung), pintu ruang belakang ringkas dengan hanya menempatkan lampu belakang dua bahagian serta lencana nama Proton.

    Proton Satria Neo-X — jelmaan crossover dua pintu

    Yang menjadikannya lebih rendah dan lebar ialah rekaan bampar yang ditampilkan. Dengan ketebalan yang ketara, sudut tepi yang menempatkan bukaan udara serta diffuser belakang dengan ekzos berkembar, ia nampak betul-betul menyerap semangat prestasi daripada Satria GTi dahulu.

    Secara keseluruhannya, rekabentuk yang ditampilkan ini nampak cukup menarik dan sporty. Tambahan dengan kesan bumbung terapung hitam yang berbeza dengan warna badan, ia bagaimanapun masih menyimpan rekaan asal Satria Neo seperti yang pernah kita kenal dulu. Jadi, apa pandangan anda tentang rekaan ini? Boleh lawan rekaan Geely?

     
     
  • VIDEO: Thierry Neuville pandu prototaip Hyundai i20N!

    Nampaknya, tarikh pelancaran ahli baharu dalam keluarga model berprestasi tinggi Hyundai N iaitu “adik paling kecil” Hyundai i20 N semakin hampir kerana kali ini bukan lagi imej spyshot, tetapi Hyundai sendiri telah menyiarkan video prototaip model tersebut dipandu oleh pemandu utama mereka dalam kejuaraan rali dunia (WRC), Thierry Neuville.

    Video bertajuk ‘The Evolution of N’ berkenaan memaparkan Neuville memandu tiga buah jentera yang dihasilkan divisi perlumbaan rasmi Hyundai tersebut iaitu jentera perlumbaan sebenar Hyundai i20 N WRC, model prototaip halo dengan enjin tengah Hyundai RM19 serta prototaip model baharu Hyundai i20 N untuk jalan raya yang bakal menerjah pasaran tidak lama lagi.

    Neuville memandu ketiga-tiga kereta tersebut di pusat ujian musim sejuk Hyundai yang terletak di Arjeplog, Sweden. Menurut Hyundai, kesemua jentera produksi jalan raya Hyundai N adalah dihasilkan dengan ujian ekstensif dan mengambil inspirasi dari sukan bermotor bersama elemen yang menjadikan sesebuah jentera ini sebagai kereta rali yang hebat – satu proses yang membolehkan kereta lumba dan jalan raya tersebut berkongsi prestasi tinggi dan mempunyai elemen keseronokan pemanduan yang sama.

    VIDEO: Thierry Neuville pandu prototaip Hyundai i20N!

    “Saya ialah budak lelaki yang bertuah hari ini kerana diberikan peluang untuk memandu prototaip i20 N. Ia kereta yang sangat menarik. Sangat jitu. Sangat mudah untuk dikendali. Sistem elektronik sentiasa membantu pemandu mengawal kereta ini. Pecutan enjin sangat baik. Bunyinya juga sangat mengujakan. Saya tersenyum besar hari ini kerana saya dapat memandu. Ia sangat hebat,” kata Neuville.

    Thierry Neuville adalah pemandu WRC yang setia bersama pasukannya, Hyundai Motorsport sejak ditubuhkan 7-tahun lalu sehingga mereka berjaya bergelar juara WRC dalam kategori pengeluar pada 2019.

    Tahun lalu, Hyundai dilihat menguji i20 N tersebut dengan menyembunyikannya di sebalik badan i20 generasi kedua. Dan selepas model standard generasi ketiga didedahkan pada Februari tahun ini, protaip sebenarnya kemudian dilihat muncul diuji di Nürburgring dua bulan lalu.

    VIDEO: Thierry Neuville pandu prototaip Hyundai i20N!

    Apa yang boleh dilihat pada model prototaip tersebut, i20 N tampil dengan karekter hampir sama seperti i30 Nspoiler belakang lebih besar, kedudukan badan yang lebih rendah, bampar belakang dengan diffuser yang menempatkan tip ekzos berkembar (model standard tip ekzos disembunyikan) rim lebih besar dengan tayar berprofil rendah, serta angkup brek yang juga bersaiz lebih besar berwarna merah di sebalik set roda berkenaan.

    Khabar yang bertiup sebelum ini, i20 N dijangka akan dihasilkan dengan resipi hampir sama dengan i30 N, dibekalkan dengan casis dan suspensi lebih keras, brek lebih besar dan nisbah stereng lebih pantas.

    Ia mungkin akan dijana oleh enjin 1.6 liter Turbo-GDI dengan kuasa sekitar 200 PS dengan kotak gear manual enam-kelajuan – video ini turut mendedahkan bunyi yang dengar seakan sama dengan abang longnya itu. Namun, tidak seperti seterunya dalam WRC untuk musim hadapan iaitu Toyota GR Yaris yang menggunakan sistem AWD untuk versi produksi jalan raya, i20 N dikhabarkan hanya akan memacu roda hadapan.

    GALERI:Spyshot Hyundai i20 N diuji di Nürburgring

    GALERI:Hyundai i20 2021 versi standard

    GALERI:Spyshot prototaip awalan Hyundai i20 N

     
     
  • Harga minyak 9-15 Mei – Semuanya masih kekal

    Harga minyak 9-15 Mei – Semuanya masih kekal

    Buat dua minggu berturut-turut, harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di negara kekal seperti minggu sebelum ini. Bagi minggu bertarikh 9 hingga 15 Mei 2020, harga runcit bagi petrol RON 97 masih tiada perubahan iaitu RM1.55 seliter. Begitu juga dengan RON 95 yang kekal pada harga RM1.25 seliter.

    Manakala untuk harga runcit bagi diesel pula pada paras RM1.40 seliter. Ini bermakna diesel Euro 5, lebih mahal 10 sen daripada diesel Euro 2M, iaitu RM1.50 seliter. Semua harga tersebut efektif sehingga Jumaat hadapan, 15 Mei 2020.

    Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyakmentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara..

     
     
  • Hyundai Grand Starex 2020 kini di M’sia – 2 varian bermula RM164k, kit badan & upholsteri kulit standard

    Hyundai Grand Starex 2020 kini di M’sia – 2 varian bermula RM164k, kit badan & upholsteri kulit standard

    Hyundai Sime Darby Malaysia telah memperkenalkan dua varian baharu dalam barisan model facelift MPV 11-tempat duduk Hyundai Grand Starex iaitu Executive Plus dijual pada harga RM163,888 dan Executive Prime berharga RM173,888. Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, bersama waranti lima-tahun atau 300,000 km.

    Dengan pengenalan dua model ini, versi asas Executive berharga RM148,888 yang telah diperkenalkan pada Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 kini tidak lagi dijual.

    Kedua-dua model ini masih kekal dengan enjin yang sama iaitu unit turbodiesel 2.5 liter empat-silinder VGT yang berkuasa 170 PS pada takat 3,600 rpm dan tork maksima 441 Nm bermula 2,000 hingga 2,250 rpm. Kesemua kuasa dihantar ke roda belakang menerusi kotak gear lima-kelajuan dengan sistem shiftronic.

    Hyundai Grand Starex 2020 kini di M’sia – 2 varian bermula RM164k, kit badan & upholsteri kulit standard

    Kesemua model didatangkan standard dengan rim rekaan baharu 16-inci bersama tayar 215/70R16, lampu hadapan halogen projektor bersama lampu kabus, lampu nyalaan siang LED baharu dengan empat-poin dan kemasan sekeliling hitam, dan juga kit badan lebih labuh lengkap pada bampar hadapan dan belakang serta skrit sisi yang diberikan kemasan kontras berwarna kelabu.

    Pada bahagian dalaman pula, kedua-dua model Grand Starex ini datang standard dengan tempat duduk balutan kulit penuh (berbanding hanya opsyen sebelum ini), dan juga fungsi boleh putar kebelakang untuk tempat duduk baris kedua.

    Selain itu ciri standard lain yang turut dibekalkan termasuk monitor bumbung dan penghembus udara sistem pendingin hawa untuk kabin belakang, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh dan boleh memainkan DVD, empat pembesar suara serta tiga port USB (satu khas untuk mengecaj).

    Untuk membezakan dua varian tersebut, versi tertinggi Executive Prime ditambah dengan pintu tailgate belakang berkuasa, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin dan pintu gelangsar bantuan kuasa (hanya sebelah, dua-belah ditawar sebagai opsyen).

    Namun untuk keselamatan kedua-dua varian ini masih berkongsi spesifikasi dengan dibekalkan empat beg-udara, sistem brek ABS dan BA, sistem kestabilan elektronik dan juga sistem traction control. Kedua-dua model ini juga disertakan dengan sistem cruise control, kawalan lampu automatik, kamera undur serta amaran jarak ketika parkir.

    Empat warna badan ditawarkan untuk Grand Starex ini iaitu Creamy White, Moonlight Cloud, Timeless Black, dan Taiga Brown. Untuk lebih perincian berkenaan spesifikasi Grand Starex ini, anda boleh layari laman CarBase.my.

     
     
  • PKPB: Perjalanan rentas negeri selepas 10 Mei perlu dapatkan kebenaran daripada polis – Ismail Sabri

    PKPB: Perjalanan rentas negeri selepas 10 Mei perlu dapatkan kebenaran daripada polis – Ismail Sabri

    Bagi orang ramai yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri selepas 10 Mei ini, perlulah mendapatkan kebenaran daripada polis terlebih dahulu.

    Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan masih menetapkan empat hari (7-10 Mei) saja pengecualian pergerakan rentas negeri yang dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), iaitu bertujuan untuk memberi kelonggaran bagi membolehkan mereka yang terperangkap di kampung balik ke kediaman masing-masing.

    Tambahnya lagi, kerajaan juga memberi kelonggaran untuk mereka yang menaiki kenderaan enam tempat duduk untuk membawa enam penumpang, berbanding empat yang dibenarkan sebelum ini.

    “Kita benarkan mereka yang naik motosikal untuk balik juga. Semalam, ada rayuan balik kampung dengan kenderaan enam penumpang, mereka kata kalau hanya dibenarkan empat saja, mereka ada enam orang, dua lagi kena tinggal. Pihak polis juga mempunyai budi bicara, di mana kenderaan yang mempunyai enam tempat duduk dibenarkan balik. Namun, semua pergerakan hanya boleh berlaku dalam empat hari saja.

    PKPB: Perjalanan rentas negeri selepas 10 Mei perlu dapatkan kebenaran daripada polis – Ismail Sabri

    “Kebenaran ini akan tamat 10 Mei (Ahad ini) saja. Ia hanya boleh berlaku di dalam tempoh pengecualian empat hari ini, sementara saja,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Bagi yang ingin merentas negeri selepas 10 Mei ini, Ismail berkata, “Selepas 10 Mei, jika ada yang ingin merentas negeri, berbalik kepada SOP (prosedur operasi standard) asal iaitu perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak polis. Dan kebenaran adalah untuk perkara-perkara yang melibatkan kecemasan semata-mata seperti ada kematian keluarga dan sebagainya. Itu saja. Yang lain masih tidak dibenarkan.

    “Dan suka saya maklumkan bahawa sekatan jalan raya untuk rentas negeri kekal seperti PKP 1, PKP 2 dan PKP 3. Ada pemeriksaan terhadap kenderaan. Dan rentas negeri ini hanyalah untuk sehala sahaja.”

     
     
  • Hap Seng sediakan Young Star Agility bagi kenderaan terpakai Mercedes-Benz – insurans percuma setahun

    Hap Seng sediakan Young Star Agility bagi kenderaan terpakai Mercedes-Benz – insurans percuma setahun

    Hap Seng Star kini menawarkan pembiayaan Young Star Agility untuk membolehkan pelanggan memiliki kenderaan terpakai melalui Mercedes-Benz Certified. Sama seperti Agility Financing bagi kenderaan baru, ia membolehkan pemilik untuk memajak kenderaan mereka untuk satu tempoh yang ditetapkan, dengan beberapa pilihan ditawarkan di hujung tempoh pembiayaan itu.

    Antara kelebihan melalui skim ini ialah bayaran ansuran yang rendah serta nilai terpakai bagi kenderaan dijamin, serta pelanggan boleh memilih kenderaan, jumlah bayaran pendahuluan, terma perjanjian serta jarak perbatuan tahunan mereka sendiri.

    Sebaik tempoh pembiayaan tamat, pengguna akan mempunyai tiga pilihan; membayar baki nilai kenderaan untuk mendapatkan pemilikan penuh, lanjutkan perjanjian dan membuat pembiayaan semula bagi jumlah baki nilai ataupun pulangkan kenderaan. Mereka juga boleh menaik taraf kepada kenderaan Mercedes-Benz yang lebih baru dengan perjanjian yang baru.

    Hap Seng sediakan Young Star Agility bagi kenderaan terpakai Mercedes-Benz – insurans percuma setahun

    Setiap kenderaan terpakai Mercedes-Benz Certified akan menerima pemeriksaan 215-perkara termasuk bahagian enjin, casis, struktur badan dan sistem elektrikal; ia juga hadir dengan jarak perbatuan yang disahkan serta sejarah penuh servis dari pusat servis rasmi, dengan penggunaan alat ganti asli. Tayar serta lain-lain bahagian yang boleh haus juga akan diganti jika perlu.

    Sebagai tambahan, semua kereta akan menerima lanjutan satu tahun bagi tempoh asal empat tahun jaminan tanpa had perbatuan yang disediakan, dengan akses kepada bantuan tepi jalan 24-jam. Untuk kelebih keselesaan, syarikat juga menambahkan MobilityPlus*, menawarkan penggantian kereta sekiranya kereta anda memerlukan servis (termasuk tuntutan jaminan) melebihi 48 jam.

    Hap Seng sediakan Young Star Agility bagi kenderaan terpakai Mercedes-Benz – insurans percuma setahun

    Pelanggan juga boleh mendapatkan pakej servis dan penyelenggaraan yang lebih murah dan menambah baucar servis dan penyelenggaraan Mercedes-Benz Malaysia ke dalam perjanjian pembiayaan mereka untuk meringankan lagi tanggungan.

    Bermula sekarang hingga 31 Mei, syarikat turut memberikan pelindungan insurans kenderaan percuma bagi tahun pertama, sempena sambutan Hari Raya. Layari laman web Mercedes-Benz Certified bagi senarai lengkap kenderaan yang ditawarkan, atau periksa sendiri di pusat Mercedes-Benz Certified di Bandar Kinrara dan Balakong.

     
     
  • Vespa Sprint S 150, Primavera S 150 2020 sudah tiba di Malaysia – tempahan awal boleh dibuat melalui Lazada

    Vespa Sprint S 150, Primavera S 150 2020 sudah tiba di Malaysia – tempahan awal boleh dibuat melalui Lazada

    Melalui gambar yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Vespa Malaysia, model Sprint S 150 dan Primavera S 150 2020 nampaknya sudah tiba di Malaysia dan tempahan awal sudah dibuka melalui laman jualan atas talian Lazada.

    Model tahun 2020 ini masih lagi mempunyai perincian teknikal sama seperti model yang dilancarkan tahun lepas tetapi kemasan serta penampilannya sedikit berbeza. Bagi Sprint S 150 2020, ia datang dalam pilihan warna kuning, putih dan hitam, berserta jalur merah di beberapa bahagian.

    Primavera S 150 2020 pula ditawarkan dalam warna merah dan kelabu, dan beberapa bahagian yang menggunakan kemasan krom sebelum ini diganti dengan warna kelabu gelap. Enjin kedua-dua model ini adalah sama, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api empat lejang 150 cc i-Get yang berkuasa 12.9 hp pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm. Beza antara keduanya cuma pada bentuk dan kemasan badan.

    Harga jualan sebenar Sprint S 150 dan Primavera S 150 2020 masih lagi belum disiarkan kerana ia belum dilancarkan secara rasmi, tetapi pelanggan yang berminat sudah boleh membuat tempahan awal melalui laman Lazada dengan bayaran RM60 sahaja (ditukar sebagai baucar).

    Jika melihat kepada model yang dilancarkan tahun lepas, harga Sprint S 150 adalah RM17,400 manakala Primavera S 150 pula adalah RM16,400. Itu adalah harga waktu Vespa masih lagi diuruskan oleh Naza Premira Sdn Bhd, sementara sekarang ia telah diambil alih oleh Didi Resources Sdn Bhd sejak 1 Januari 2020.

    Promosi ini ditawarkan sehingga 31 Mei sahaja, sementara baucar itu pula perlu ditebus kembali sebelum 30 Jun 2020 (bermakna anda perlu mengesahkan pembelian sebelum waktu itu). Setiap pembelian yang lengkap melalui Lazada ini juga akan memberikan pemilik baru baju rasmi Vespa serta aksesori yang bernilai RM700 secara percuma.

     
     
  • Pusat servis Modenas dibuka empat hari seminggu

    Pusat servis Modenas dibuka empat hari seminggu

    Berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang oleh kerajaan bermula 4 Mei, Modenas telah menambah hari operasi untuk pusat servis sah terpilih daripada dua hari sebelum ini kepada empat hari seminggu.

    Sudah tentu, prosedur operasi standard (SOP) seperti yang dicadangkan oleh kerajaan akan diikut, termasuk waktu operasi yang lebih singkat, kakitangan yang terhad serta mematuhi langkah-langkah pencegahan seperti penjarakan sosial dan pemantauan amalan kebersihan setiap masa.

    Semuanya ada lima pusat servis Modenas yang termasuk dalam senarai ini iaitu di Subang, Selangor, Ipoh, perak, Gurun, Kedah, Kuantan, Pahang dan Johor Bahru, Johor. Waktu operasi adalah dari jam 10 pagi hingga 3 petang, hari Isnin hingga Khamis.

    Pusat servis Modenas dibuka empat hari seminggu

    Pelanggan walaubagaimanapun perlu membuat temu janji terlebih dahulu sebelum datang ke pusat servis, melalui http://bit.ly/mcobookaservice, http://bit.ly/jomservis atau menghantar mesej WhatsApp ke talian Modenas Careline di 019-5708135. Wakil yang bertugas kemudiannya akan mengesahkan slot waktu serta tarikh untuk pelanggan hadir.

    Dalam masa sama, Modenas mengumumkan bahagian alat ganti mereka juga telah memulakan operasi untuk menyokong rangkaian stokis, dan pelanggan boleh mendapatkan alat ganti tulen melalui pusat servis serta wakil pengedar berdaftar Modenas di seluruh negara.

     
     
  • Toyota Prius Albermo SP42 – Ferrari palsu dari Jepun

    Toyota Prius Albermo SP42 – Ferrari palsu dari Jepun

    Tempoh hari, kami ada menaikkan satu artikel Albermo XR51 iaitu kit badan dari Jepun yang akan menukar Toyota RAV4 anda kepada SUV yang mirip kepada Lamborghini Urus. Namun sebenarnya, kit Albermo dari Ceaser Inc. ini dihasilkan dalam dua versi, satu lagi adalah Albermo SP42 yang akan merubah Toyota Prius ZVW51 menjadi seakan Ferrari Portofino.

    Seperti Albermo XR51, SP42 ini turut mengekalkan penggunaan lampu hadapan model asalnya, bersama cagak-cagak bagi membolehkan anda memindahkan penderia parkir dan penderia sistem Toyota Safety Sense dengan mudah. Hidung bampar ‘Ferrari palsu’ ini turut diberikan logo Albermo yang kelihatan sekali imbas macam logo kuda Ferrari, namun ia sebenarnya logo seekor burung jenjang.

    Toyota Prius Albermo SP42 – Ferrari palsu dari Jepun

    Pada bahagian belakang, kit ini turut dibekalkan dengan “half spoiler” dan juga diffuser pada bampar yang lebih agresif. Keseluruhan kit ini dijual pada harga 178,000 yen (RM7.2k) tanpa cat dan juga kos pemasangan.

    Selain dari menjual kit, anda juga boleh membeli sebuah model lengkap Albermo SP42 ini yang dihasilkan dari sebuah Toyota Prius facelift dari varian S, kemudian diberikan kit badan lengkap Albermo SP42, sistem audio dengan skrin Alpine 9-inci yang turut mempunyai fungsi navigasi dan paparan kamera undur, karpet kaki Pentagon dengan logo Prius yang disulam, pembaca tol elektronik bina dalam ETC 1.0, spring dari RS*R untuk merendahkan badan kereta ini, serta rim Rays Volk Racing G025 19-inci yang dibalut tayar Nitto NT555 bersaiz 225/35R19.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026