Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • GIIAS 2018: Suzuki Jimny generasi baharu akan di pasang di Indonesia, turut akan dieksport ke Thailand

    GIIAS 2018: Suzuki Jimny generasi baharu akan di pasang di Indonesia, turut akan dieksport ke Thailand

    Kita di Malaysia memang sah lah tidak akan menerima Suzuki Jimny generasi baharu yang telah didedahkan baru-baru ini kerana jenama tersebut tidak lagi bertapak di sini. Namun lain pula ceritanya di Indonesia kerana republik berkenaan bukan sahaja terus akan memasarkan Jimny, malah turut dirancang akan memproduksi SUV kompak ini di salah satu kilang Suzuki dalam negara tersebut.

    Perkara ini telah diumumkan oleh Subrono Laras, Presiden Pesuruhjaya PT Indomobil Sukses International di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2018 ketika mendedahkan SUV kecil tersebut untuk dipamerkan kepada umum. Menurut wakil kami ke GIIAS, Danny Tan dari paultan.org Bahasa Inggeris, Jimny menjadi antara model yang paling mendapat tumpuan pengunjung, termasuk presiden Indonesia, Joko Widodo walaupun dipamerkan tanpa pentas khas.

    Bulan lalu juga ada dilaporkan bahawa Indonesia akan menjadi pembekal Jimny untuk ke pasaran Thailand, selain dari Jepun. Republik berkenaan akan menghasilkan Jimny dalam varian “Sierra”, iaitu model yang diberikan bampar lebih agresif, over-fender pada setiap perumah roda, dijana enjin 1.5 liter digabungkan dengan kotak gear lima kelajuan manual atau empat-kelajuan auto.

    Di Jepun, Jimny masih menggunakan badan standard yang kurang lebar, bersama enjin 660 cc tiga silinder bagi mengekalkannya sebagai sebuah model di bawah undang-undang Kei-Car. SUV ini juga sebenarnya masih kekal dibina menggunakan asas ladder frame; tiga sudut bersama gandar hidup tiga hubungan dan spring gegelung. Digandingkan dengan sistem 4WD separa masa bersama gear peralihan (2H, 4H, 4L), Jimny masih kekal sebagai jentera off-road sebenar, bukan crossover seperti Suzuki Vitara.

    ‘Pajero kecil’ ini juga turut diberikan dua cross member tambahan bagi memperkuatkan lagi casis serta meningkatkan ketegaran torsi. Ia direka bagi mendapatkan sudut approach 37 darjah, sudut ramp breakover 28 darjah, dan sudut berlepas 49 darjah, bagi membolehkannya ‘memanjat’ pelbagai permukaan bumi tanpa merosakkan bahagian bawah badan.

    Walau bagaimanapun, Subroto menyatakan Jimny yang akan diproduksi di Indonesia masih belum ditentukan sama ada hanya diberikan sistem pacuan 4×2 atau 4×4. Syarikat berkenaan masih lagi dalam proses perancangan produk dan menyasarkan harga yang kompetitif dimana sistem 4WD pastinya akan menambah lagi kos.

     
     
  • GALERI: Sorotan kemeriahan acara Art of Speed 2018

    GALERI: Sorotan kemeriahan acara Art of Speed 2018

    Perkarangan MAEPS Serdang hujung minggu lalu menjadi tumpuan peminat-peminat hal-hal automotif, khususnya penggemar dunia binaan khas, kustom dan juga hobi-hobi lain selingkarnya yang berhimpun untuk meraikan berlangsungnya acara tahunan yang memasuki penganjurannya kali ke-7, Art of Speed 2018.

    Terlalu banyak pengisian yang dihidangkan kali ini, dan itu membuatkan ramai peminat dan pemerhati membanjiri lokasi itu, yang turut menghimpunkan penggiat bukan sahaja dari Malaysia sendiri, tetapi juga dari arena antarabangsa.

    Selain itu, seorang pengunjung bertuah, Mohamad Nasruddin Abdullah, berjaya menjadi satu-satunya pemenang dan penerima sebuah motosikal kustom C600R “Papa Jahat” yang dibina khusus untuk dijadikan hadiah cabutan bertuah.

    Bagi pertandingan Motosikal Binaan Khas Jemputan pula, Muhammad Khalid Musa dari Rusty Factory, Ipoh sekali lagi dipilih sebagai pemenang. Jika tahun lalu beliau hadir dengan rekaan radikal sebuah Honda CX500 “Fire Ant”, tahun ini untuk kali kedua berturut-turut kehalusan kerja tangannya sekali lagi menarik perhatian juri dan pengunjung, melalui binaan sebuah motosikal BMW R75/6 “White Angel”.

    Jika anda tak berkesempatan meluangkan masa ke acara berkenaan, jangan risau. Sorotan kemeriahan acara terbabit boleh diikuti melalui galeri gambar yang kami sediakan ini.

     
     
  • Suzuki GSX 150 Bandit dipertonton di GIIAS, Indonesia

    Suzuki GSX 150 Bandit dipertonton di GIIAS, Indonesia

    Satu lagi motosikal baru yang diperkenalkan di acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2018 adalah Suzuki GSX 150 Bandit ini. Ia sebenarnya mempunyai persamaan besar dengan model GSX-S150 yang sudah berada di pasaran di sana, tetapi masih memiliki sedikit perbezaan.

    Paling jelas, selain warna dan grafik adalah GSX 150 Bandit menggunakan tempat duduk bersambung untuk penunggang serta penumpang, dan lampu hadapan yang berbentuk semakin mirip kepada pesaingnya, iaitu Yamaha Vixion (dikenali di negara kita sebagai Yamaha FZ150i).

    Perincian penuh tentang motosikal ini, berserta harganya masih belum disiarkan oleh pengedar motosikal Suzuki di sana, tapi berdasarkan gambar yang dimuat naik oleh media, ia mempunyai tangki, meter digital, rim (17 inci) serta brek cakera yang sama dengan GSX-S150, tetapi ekzos serta subframe belakangnya adalah berlainan.

    Kalau melihat kepada GSX-S150, enjin yang digunakan adalah unit satu silinder DOHC penyejukan cecair 147.3 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan, dan boleh menghasilkan kuasa sebanyak 18.9 hp dan 14 Nm tork. Ini adalah enjin dengan sistem suntikan bahan api, dan didatangkan dengan tangki bahan api berkapasiti 11 liter.

    Disebabkan subframe yang berbeza, GSX 150 Bandit menjadi lebih rendah, dan mengikut dimensi yang diberi Honda Indonesia, ia lebih rendah 5 mm dan lebih pendek 20 mm. Pilihan warna yang disediakan untuk GSX 150 Bandit pula terdiri daripada Metallic Matte Titanium Silver, Brilliant White / Aura Yellow, Stronger Red / Titanium Black dan Titanium Black.

    GALERI: Suzuki GSX 150 Bandit


    GALERI: Suzuki GSX-S 150

     
     
  • Lebuhraya Pan Borneo akan dinilai semula

    Lebuhraya Pan Borneo akan dinilai semula

    Mekanisme dan hala tuju projek mega Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak dijangka akan dimuktamad dan diputuskan selewat-lewatnya awal September ini, lapor Bernama.

    Menurut Menteri Kerja Raya Baru Bian, kementeriannya akan melantik jurutera perunding bebas bagi menilai semula pelaksanaan projek melibatkan pakej-pakej kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor projek berkenaan berdasarkan amalan kejuruteraan terbaik.

    “Pada 24 Julai lalu kementerian telah diarahkan Kementerian Kewangan untuk meneliti dan menilai semula kos dan skop projek Pan Borneo Sabah dan Sarawak. Kementerian telah mengemukakan cadangan melantik jurutera perunding bebas untuk melaksanakan penilaian tersebut,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

    Baru turut berkata anggaran kos keseluruhan projek di Sabah ialah RM12.86 bilion yang dibahagikan kepada 35 pakej kerja, manakala kadar yuran yang akan dibayar oleh kerajaan kepada PDP adalah 5.5 peratus daripada kos keseluruhan pembinaan.

    Lebuhraya Pan Borneo akan dinilai semula

    Tambahnya lagi, setakat ini sebanyak 12 daripada 35 pakej kerja projek Pan Borneo Sabah telah dilaksana manakala baki 23 pakej kerja lagi belum dimulakan kerana sama ada masih di peringkat perolehan, makmal pengurusan nilai atau perancangan reka bentuk.

    Secara keseluruhan, Lebuhraya Pan Borneo ini dirancang akan dibina sejauh 2,325 km meliputi Sarawak dan Sabah, di mana fasa pertamanya yang kini sedang dibina dijangka siap pada tahun 2021. Fasa pertama tersebut dibahagikan kepada 11 pakej, kebanyakkan pembinaannya berlangsung di Sarawak.

    Mei lalu, ada laporan menyatakan bahawa projek bahagian Sabah dengan jarak 1,236 km mungkin akan dibatalkan. Buat masa sekarang, dilaporkan juga kebanyakkan kawasan pembinaan Lebuh Raya ini masih belum bermula dan ini akan lebih memudahkan pembatalan tersebut.

    Tujuh pakej telah dirancang untuk kawasan Sabah, keseluruhannya bernilai RM3.2 bilion. Lima pakej daripadanya telah pun dimulakan, ada sumber mendedahkan ia kini menghadapi masalah “kos berlebihan yang besar” dan kerajaan sebelum ini sudahpun menghadapi masalah bagi menetapkan kos.

     
     
  • Honda Cub C125 dan Forza 250 masuk pasaran Indonesia – harga masing-masing RM15.5k, RM19.7k

    Honda Cub C125 dan Forza 250 masuk pasaran Indonesia – harga masing-masing RM15.5k, RM19.7k

    Bersempena dengan acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung sekarang di Jakarta, Indonesia, pengedar motosikal Honda di sana, PT Astra Honda Motor (AHM) telah melancarkan dua model baru iaitu Cub C125 dan Forza 250.

    Bagi model Cub C125, ia diperkenalkan buat pertama kali di Jepun Oktober tahun lalu, dan Boon Siew Honda juga baru mempertontonkannya minggu lepas di acara Art Of Speed. Model yang dilancarkan di Indonesia ini adalah menggunakan enjin satu silinder SOHC penyejukan udara 124.89 cc, dengan sistem suntikan bahan api serta transmisi empat kelajuan, mampu menghasilkan 9 hp dan 9.79 Nm tork.

    Antara kelengkapan lain yang ada pada model ini adalah semua lampu jenis LED, panel meter gabungan digital, rim aloi tanpa tiub 17 inci, sistem kunci pintar, satu tempat duduk yang boleh dibuka secara elektrik, brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang. Harga untuk Cub C125 ini di Indonesia adalah 55,000,000 rupiah (RM15,488).

    Melihat kepada Forza pula, ia baru sahaja diperkenalkan untuk pasaran Eropah Mac yang lalu, tapi dalam versi 279 cc yang dipanggil sebagai Forza 300. Model yang dilancarkan di Indonesia pula adalah model Forza 250 yang menggunakan enjin satu silinder penyejukan cecair 249.01 cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan kuasa 23.19 hp dan 24 Nm. Ini menjadikan ia 1.61 hp dan 3.2 Nm tork kurang daripada Forza 300.

    Selain kuasa ini, kelengkapan lain untuk Forza 250 masih sama dengan Forza 300, termasuk peningkatan paling penting bagi model baru ini iaitu penampilan serta Honda Selectable Torque Control (HSTC), satu sistem keselamatan seperti kawalan cengkaman yang juga boleh ditutup melalui suis kawalan di bahagian kiri pemegang.

    Kelengkapan lain yang ada pada Forza 250 pasaran Indonesia ini adalah sistem kunci pintar, lampu LED, penghadang angin yang boleh dilaras secara elektrik, rim 15 inci dengan tayar 120/70 di hadapan, 14 inci dengan tayar 140/70 di belakang, brek cakera depan dan belakang, sistem ABS, tangki bahan api 11.5 liter dan berat keseluruhan 182 kg. Ia ditawarkan dalam tiga warna, dengan harga sekitar 70,000,000 rupiah (RM19,712).

    GALERI: Honda Cub C125


    GALERI: Honda Forza 250

     
     
  • Perodua Alza akan dipertingkatkan sebelum digantikan

    Perodua Alza akan dipertingkatkan sebelum digantikan

    Dengan pengenalan Perodua Myvi baharu pada November lalu, Alza kini menjadi model paling seinor dalam barisan kenderaan keluaran Perodua – yang pertama kali diperkenalkan pada hujung 2009. MPV tujuh-tempat duduk ini pernah dipertingkatkan pada tahun 2014, namun sejak itu perkhabaran untuk menggantikannya dengan model baharu atau pun model semasa yang dipertingkatkan masih samar-samar.

    Kini, akhirnya, Perodua telah membuka mulut mengenai model yang dipertingkatkan. Walaun masih berahsia mengenai detik pelancarannya, mahu pun ciri yang dipertingkatkan, pengarah urusan Perodua Sales, Datuk Zaharu Husin, dalam sidang media selepas mengumumkan prestasi jualan separuh pertama 2018 jenama ini semalam, berkata, model semasa Alza akan menerima peningkatan dalam waktu terdekat ini.

    “Kita tahu bahawa Alza merupakan model paling lama (dalam barisan), tetapi permintaannya masih tinggi. Kami akan menggantikannya dengan model baharu, tetapi buat masa ini biarlah ia menjadi rahsia. Tetapi model semasa akan dipertingkatkan dan diperkenalkan nanti,” ujarnya.

    Buat masa ini, tiada perincian didedahkan, namun kami jangka Alza akan menerima enjin baharu 1.5 liter Dual VVT-i yang sama dengan Myvi – dengan kuasa 102 hp dan tork 136 Nm – serta dengan beberapa ciri baharu termasuk kemasukan tanpa kunci dan butang push-start. Peningkatan ini mungkin lebih kurang sama dengan model Axia 2017 yang dilancarkan awal tahun lalu yang turut menerima enjin baharu.

     
     
  • Kerajaan bakal hadapi krisis kewangan jika hapuskan tol serentak, kos keseluruhan RM400b – Baru Bian

    Kerajaan bakal hadapi krisis kewangan jika hapuskan tol serentak, kos keseluruhan RM400b – Baru Bian

    Kerajaan Persekutuan tidak boleh menghapuskan tol secara serentak, jika berbuat demikian, negara kita bakal menghadapi krisis kewangan, ujar Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

    Katanya, kos keseluruhan pengambilalihan lebuh raya bertol dianggar RM400 bilion, laporan Berita Harian.

    “Penghapusan tol secara serentak akan memberi kesan kepada kewangan kerajaan kerana kos keseluruhan pengambilalihan lebuh raya bertol mencecah RM400 bilion,” katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat, semalam.

    Menurut Baru lagi, kerajaan akan membuat kajian dan penelitian sebelum membuat keputusan mengenai penghapusan tol ini.

    Kerajaan bakal hadapi krisis kewangan jika hapuskan tol serentak, kos keseluruhan RM400b – Baru Bian

    “Kerajaan perlu menjaga kepentingan semua pihak termasuk pemegang konsensi, pelabur dan pemberi pinjaman. Justeru, semua isu berkaitan penghapusan tol dan implikasi serta jumlah tol akan dimuktamadkan selepas kita berbincang dan mendapat nasihat daripada agensi kerajaan berkaitan,” katanya.

    Menjawab celahan Datuk Ahmad Maslan (BN-UMNO Pontian) supaya kerajaan menyenaraikan tol yang akan dihapuskan, Baru berkata, ia perlu dikaji.

    “Itu (bilangan tol dimansuhkan) akan dikaji dan keputusannya akan dibuat kelak,” katanya.

    Mengenai pertanyaan Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau) yang inginkan jaminan bahawa kerajaan tidak akan memperkenalkan tol baharu, Baru menjawab, “Kalau itu (tol) adalah yang baharu atau yang belum bina, saya beri jaminan kita tidak akan teruskan (buka tol di lebuhraya baharu),” katanya.

     
     
  • PANDU UJI: Mercedes-Benz C300 Cabriolet AMG Line bukan sportcar, tapi masih terserlah prestasi menguja

    PANDU UJI: Mercedes-Benz C300 Cabriolet AMG Line bukan sportcar, tapi masih terserlah prestasi menguja

    Kelibatnya meraih perhatian ramai. Bukan setakat deruman enjinnya, bahkan penampilan luarannya membuatkan orang di sekeliling lekas-lekas memerhatikannya. Itulah keistimewaan paling nyata bagi Mercedes-Benz C 300 Cabriolet yang cukup bergaya dan serba sporty penampilannya. Ibarat jejaka maskulin, macho, dan hensem; mungkin boleh kalah ‘abah’ YB Khairy Jamaluddin, si ‘tall, dark and handsome’ mahu pun YB Syed Saddiq yang cute itu.

    Tetapi adakah gaya yang diserlahkan seiring sejalan dengan prestasinya? Mari kita bongkarkan selanjutnya mengenai C 300 Cabriolet ini.

    Redakan dulu keterujaan sebelum kita bercerita bab prestasi. Mari jamu mata melihat penampilan serba bergaya, mewah, elegan, sofistikated dan sporty yang diserlahkan menerusi bahagian luaran dan dalamannya.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • SUV Proton – Imej bocor lebih jelas disiarkan di China

    SUV Proton – Imej bocor lebih jelas disiarkan di China

    Semalam akaun Facebook Proton Boyue X7 Community (Malaysia) telah menyiarkan imej bocor di mana Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir bersama Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton bergambar di hadapan SUV pertama Proton yang diasaskan dari Geely Boyue dan menampakkan ‘muka sebenar’ model tersebut. Hari ini kami mendapat gambaran yang lebih jelas apabila portal permotoran China, autohome.com.cn menyiarkan satu set foto SUV berkenaan yang telah bocor.

    Tidak hairan mengapa mereka menerima imej ini kerana kumpulan pertama SUV Proton berkenaan sememangnya akan dihasilkan secara CBU di China, manakala model pemasangan tempatan akan mula masuk ke pasaran tahun hadapan.

    Menerusi foto ini kita dapat melihat dengan jelas bagaimana rupa sebenar gril hadapan SUV berkenaan – bukan sahaja menampilkan elemen tiga jalur melintang, malah turut diberikan perincian berbentuk trapezoid. Jika anda lihat lagi dengan teliti, sebuah penderia turut ditempatkan dibawah logo 3D Proton.

    SUV Proton – Imej bocor lebih jelas disiarkan di China

    Beralih ke bahagian belakang, SUV ini diberikan kemasan nombor pendaftaran baharu pada pintu tailgate yang diberikan abjad ‘PROTON’ mengingatkan kita kepada model hatchback segmen-C sedia ada, Proton Suprima S.

    Ciri lain, SUV ini masih lagi sama dengan unit yang bocor sebelum ini, menampilkan rekaan bampar dengan apron yang lebih agresif sama seperti pada Boyue facelift dan dipadankan dengan rim 18-inci lima jejari berkembar dari model Boyue terdahulu.

    April lalu, Proton telah mendedahkan ciri-ciri yang bakal dilengkapi pada Boyue versi mereka yang nampaknya diambil terus dari versi facelift terbaharu. Antara ciri-ciri berkenaan termasuk enjin 1.8 liter turbo dengan suntikan bahan api terus, sistem pemantau titik buta, brek kecemasan automatik (AEB), cruise control adaptif, amaran keluar laluan dan juga lampu tinggi automatik.

    SUV Proton – Imej bocor lebih jelas disiarkan di China

    SUV ini turut akan didatangkan dengan pembersih udara pintar, sistem pemantau angin tayar, kamera 360-darjah dan juga sistem infotaimen bersama skrin sesentuh lapan-inci lengkap dengan hubungan internet 4G dan juga aplikasi mudah alih serta fungsi kawalan jauh menerusi telefon pintar. Sebelum ini juga telah tersiar video bagaimana Tun M menguji sistem kawalan menggunakan suara bagi mengaktifkan pelbagai fungsi pada SUV ini.

    Proton sudah pun membuka peluang orang ramai untuk menamakan SUV ini menerusi pertandingan yang telah diumumkan lebih tiga bulan lalu, dan model ini dijangka akan membuat pra-penampilannya bulan ini.

     
     
  • Mercedes-Maybach S560, S650 tiba di Malaysia – 4.0 liter V8, 469 hp/700 Nm, harga bermula RM1.4 juta

    Mercedes-Maybach S560, S650 tiba di Malaysia – 4.0 liter V8, 469 hp/700 Nm, harga bermula RM1.4 juta

    Ada satu lagi ahli dalam barisan keluarga model Mercedes-Benz S-Class yang diperkenalkan di Malaysia hari ini selain daripada S 450 L dan S 63 AMG Coupe/S560 Cabriolet. Dan, ini versi yang berada dalam hirarki paling atas, kemuncak segala S-Class dengan setiap kemewahannya – Mercedes Maybach S560.

    Model ini dilengkapi dengan enjin 4.0 liter V8 biturbo, dengan janaan kuasa sebanyak 469 hp pada 5,250-5,500 rpm dan 700 Nm tork dari 2,000-4,200 rpm. Pecutan dari 0-100 km/j pula dalam masa 4.9 saat. Model ini dijual pada harga bermula RM1.4 juta, dan turut ditawarkan dalam versi S650 dengan padanan enjin V12 yang lebih berkuasa.

    S 650 menggunakan enjin 6.0 liter V12 petrol yang menjana 630 hp dan 1,000 Nm tork. Ia 0.2 saat lebih pantas bagi pecutan 0-100 km/j, dengan laju maksimum kekal pada 250 km/j. Ia dipadankan dengan transmisi automatik 7G-Tronic, dan kedua-duanya menggunakan pacuan roda belakang.

    Mercedes-Maybach S560, S650 tiba di Malaysia – 4.0 liter V8, 469 hp/700 Nm, harga bermula RM1.4 juta

    Model ini merupakan versi dengan penawaran yang lebih tinggi dan lengkap, begitu juga menjadi versi S-Class yang lebih besar dan panjang. Ia mempunyai panjang 5,462 mm dan jarak antara roda 3,365 mm. Model flagship ini malah lebih panjang berbanding S-Class Saloon versi long-wheel base sebelum ini, mengatasinya sebanyak 20 cm.

    Versi Maybach ini mengenakan rekaan gril baru, begitu juga dengan rekaan bampar yang berbeza dari varian yang lain. Lampu depan dan belakang bagaimanapun menggunakan unit yang sama dari S-Class biasa. Penampilannya juga dihiasi dengan penggunaan rim besar 20-inci. Lencana ikonik Maybach diletak pada bahagian C-pillar.

    Bahagian dalamannya, terutama pada papan pemuka, berkongsi elemen yang sama dengan model S-Class biasa. Stereng balutan kulit, panel paparan 12.3-inci, corong pendingan hawa di tengah serta kawalan sistam COMAND semuanya ada. Bahagian perehat lengan bagaimanapun turut menempatkan logo Maybach. Khas dan eksklusif untuk model ini ialah sebuah jam IWC analog.

    Untuk lebih keselesaan, fungsi Magic Body Control yang digandingkan dengan suspensi aktif dan penyerap hentak larasan berterusan akan memainkan peranannya. Ia berfungsi sekali bersama teknologi Road Surface Scan – yang menggunakan kamera stereo untuk mengimbas permukaan jalan – untuk menyediakan kadar serapan hentakan yang tepat.

    Ciri lain yang melengkapi model ini seperti Night View Assist Plus (mengesan pejalan kaki dan haiwan besar dalam suasana gelap menggunakan lampu infrared), sunroof dwi-panel dengan Magic Sky Control, Energising comfort control (fungsi urutan badan) serta Thermotronic.

    Sistem bunyi pula disediakan oleh unit Burmester definisi tinggi 3D dengan 27 pembesar suara (1,590 watt), yang menurut Mercedes dapat memberikan pengelaman audio mirip persembahan langsung. Bagi ciri keselamatan pula, model ini dilengkapi dengan senarai yang sama seperti S-Class biasa – 10 beg udara, bantuan kecemasan autonomous, kemampuan pemanduan semi-autonomous, tali keledar aktif untuk penumpang belakang serta sistem anti-kecurian. Selebihnya, Mercedes-Maybach ini boleh dikustom mengikut kehendak individu pemiliknya sendiri.

     
     
  • GIIAS 2018: Nissan Terra mendarat di pasaran Indonesia – ‘Navara’ dengan tujuh-tempat duduk

    GIIAS 2018: Nissan Terra mendarat di pasaran Indonesia – ‘Navara’ dengan tujuh-tempat duduk

    SUV yang diasaskan dari trak pikap Nissan Navara NP300 iaitu Nissan Terra kini sudah pun hadir di pasaran Indonesia dan negara tersebut menjadi pasaran ASEAN kedua yang menerimanya selepas Filipina. SUV terbaharu berkenaan muncul ketika hari pertama Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2018 berlangsung.

    Terra yang muncul buat kali pertama di China sebelum ini tampil dengan bentangan lima-tempat duduk, namun untuk pasaran Indonesia, kabinnya direka dengan tiga barisan bagi memuatkan tujuh-tempat duduk. Terra juga bakal berhadapan dengan SUV ladder-frame lain di Indonesia seperti Toyota Fortuner, Mitsubishi Pajero Sport, Ford Everest dan Isuzu MU-X.

    Versi Indonesia ini juga menyaksikan Terra diberikan enjin diesel, berbanding pasaran China yang dijana enjin petrol empat-silinder QR25 2.5 liter berkuasa 181 hp dan tork maksima 251 Nm. Oleh itu, Terra pada pasaran Indonesia dikuasakan oleh enjin turbodiesel YD25DDTi 2.5 liter empat silinder berkuasa 190 hp dan tork maksima 450 Nm.

    Enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear automatik konvensional tujuh-kelajuan dengan mod manual. Untuk penghantaran kuasa pula, pelanggan boleh memilih sama ada pacuan roda belakang (4×2) atau pacuan empat roda (4×4), manakala sistem differential lock hanya akan diberikan kepada model 4WD.

    Nissan Terra mempunyai kelegaan tanah terbaik dalam kelasnya iaitu 225 mm. Jenama berkenaan turut mendakwa bahawa SUV terbaharu mereka ini mempunyai ruang kabin dan kargo terbaik berbanding saingan sekelasnya yang lain. Ketika dipamerkan di GIIAS, Terra turut didampingi oleh Nissan Terrano dan Patrol, bagi menunjukkan susur galur generasi SUV lasak berkenaan.

    GIIAS 2018: Nissan Terra mendarat di pasaran Indonesia – ‘Navara’ dengan tujuh-tempat duduk

    Untuk kelengkapan lain, Nissan Terra turut diberikan sistem bantuan mula mendaki, amaran titik buta, amaran keluar laluan, cermin pandang belakang pintar, monitor paparan sekeliling pintar dengan pengesan objek bergerak serta sistem pemantau tekanan angin tayar. Tempat duduk baris kedua pula boleh dilipat dengan menekan satu butang pada tempat duduk pemandu bagi memudahkan penumpang masuk ke baris terakhir – fungsi unik dalam kelasnya.

    Nissan Terra akan dijual pada pasaran Indonesia pada harga bermula Rp 460 juta (RM129,477). SUV ini turut akan dilancarkan di Thailand tahun ini, manakala pasaran ASEAN lain seperti Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam turut telah diumumkan akan menerima Terra. Kita di Malaysia walau bagaimanapun hanya boleh menelan air liur kerana tidak termasuk dalam perancangan untuk memsasarkan SUV ladder frame berkenaan.

     
     
  • Perodua belum buat keputusan serap SST, mekanisme cukai tersebut masih belum jelas – CEO Datuk Aminar

    Perodua belum buat keputusan serap SST, mekanisme cukai tersebut masih belum jelas – CEO Datuk Aminar

    Tinggal lagi sebulan saja cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bakal diperkenalkan semula iaitu mulai 1 September ini. Dalam majlis mengumumkan prestasi jualan bagi separuh pertama (1H) 2018, Presiden dan CEO Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, pihaknya belum memutuskan untuk menyerap SST bagi pelanggan yang menempah mana-mana model Perodua sebelum cukai ini dilaksanakan semula tetapi menerima kenderaan masing-masing selepas tarikh berkenaan. Tidak seperti Hyundai-Sime Darby Motors dan Bermaz Auto selaku pengedar rasmi Mazda yang membuat keputusan untuk menyerap SST untuk tempahan sebelum 31 Ogos tetapi kenderaan tersebut diserahkan selepas 1 September.

    Katanya dalam sidang media selepas majlis berkenaan turut berkata, keputusan tersebut tidak boleh dilakukan kerana pihak kerajaan masih belum memuktamadkan bagaimana SST akan dilaksanakan. “Ya, kerajaan mengumumkan SST akan ditetapkan pada kadar 10% untuk barangan, tetapi dalam perbincangan kami dengan pihak kerajaan, akan ada mekanisme tertentu.

    “Jadi disebabkan itu, kami tidak tahu sama ia akan menjadi penetapan 10% (meningkat) atau pun tidak. Dan disebabkan proses ini sedang berjalan, dan perbincangan juga masih berterusan, kami tidak boleh membuat keputusan sama ada untuk menyerapkannya atau pun tidak. Pengumuman mengenainya akan dibuat apabila mekanisme SST ini telah dimuktamadkan,” ujar Aminar.

    Perodua belum buat keputusan serap SST, mekanisme cukai tersebut masih belum jelas – CEO Datuk Aminar

    Tambahnya lagi, pelanggan yang menempah pada bulan ini (kecuali MPV Alza) hanya akan menerima kenderaan tersebut selepas 1 September. “Saya harus akui tempahan yang kami terima sangatlah menggalakkan (walau pun) sebelum pengumuman mengenai sifar GST dilakukan. Pastinya kita tidak akan dapat memenuhi semua permintaan. Jadi, saya ingin memaklumkan kepada pelanggan kami, kami memohon maaf kerana kami tidak akan dapat menghantar kenderaan anda dalam tempoh ini, “katanya.

    Pengarah Urusan Jualan Perodua, Datuk Zahari Husin berkata, fasiliti pengeluaran juga telah dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan. “Apa yang lebih penting sekarang ialah kami mahu pelanggan kami tahu, jika anda menempah hari ini, (penasihat jualan kami) akan memberitahu kenderaan anda mungkin akan diterima pada September atau Oktober dan mungkin akan melibatkan kenaikan harga. Ini kerana kami tidak dapat memberi jaminan mengenainya.

    “Jadi sekurang-kurangnya para pelanggan telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan lebih bersedia. Adalah penting untuk membuatkan mereka faham bahawa mereka mungkin tidak dapat kenderaan yang ditempah pada waktu sifar GST ini, dan juga ada kebarangkalian harga meningkat. Walau bagaimana pun, dalam masa yang sama, kami tetap cuba untuk menghantar sebanyak mungkin tempahan sebelum sifar GST ini berakhir,” ujarnya.

     
     
  • Perodua catat jualan 117,100 unit bagi 1H 2018, naik 7.5% berbanding tempoh yang sama tahun lalu

    Perodua catat jualan 117,100 unit bagi 1H 2018, naik 7.5% berbanding tempoh yang sama tahun lalu

    Perodua masih mempertahankan takhta nombor satu dalam barisan jenama kenderaan terlaris di pasaran tempatan buat setakat ini. Dalam majlis pembentangan rekod prestasi separuh pertama (1H) 2018, Perodua mengumumkan ia telah berjaya mencatatkan jualan sebanyak 117,100 unit kenderaan. Sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 7.5% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu (99,700 unit).

    Berbanding jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 289,700 unit untuk separuh pertama ini, Perodua memegang 40.4% perkongsian pasaran, satu lagi rekod untuk setengah tahun ini. Pada Januari, Perodua mencatatkan 39.7% dan kemudian meningkat kepada 42.2% pada Februari. Manakala bagi Mac pula, dengan catatan 41.5%, 42.3% (April), 51% (Mei) dan 31% bagi Jun. Penurunan pada bulan lepas bagi separuh pertama ini disebabkan oleh peningkatan jualan pasaran keseluruhan sejak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang berkadar sifar.

    “Disebabkan peningkatan jualan, Perodua turut mempertingkatkan lagi produksi kenderaan ke 109,000 unita antara Januari dan Jun 2018, di mana ia meningkat sebanyak 10% berbanding 99,000 unit pada tempoh yang sama tahun lalu,” ujar presiden dan CEO Datuk Aminar Rashid Salleh.

    Perodua catat jualan 117,100 unit bagi 1H 2018, naik 7.5% berbanding tempoh yang sama tahun lalu

    Daripada sejumlah 117,100 kenderaan yang terjual, 46,860 daripadanya adalah Myvi baharu – sehingga kini telah mencatatkan tempahan sebanyak 115,000 unit sejak ia dilancarkan November lalu, dengan lebih 65,000 unit telah dihantar. Lain-lain barisan model Perodua pula ialah Axia dengan 33,870 unit, Bezza (23,555 unit) dan ALza (12,815 unit). Kesemua empat model ini masih menduduki tempat teratas dalam segmen masing-masing, menurut Perodua.

    “Kami menyifatkan rekod jualan ini bakal meneruskan permintaan yang tinggi terhadap Myvi baharu serta model kami yang lain pada suku pertama, sementara menjelang akhir suku kedua tahun ini pula, peningkatan jualan didorong oleh GST yang berkadar sifar,” sambung Aminar lagi.

    Walaupun dengan prestasi yang memberangsangkan ini, Perodua masih mengekalkan sasaran jualan penuh bagi tahun ini iaitu sebanyak 209,000 unit, peningkatan dua peratus berbanding 204,900 unit yang dijual tahun lepas. Ia juga mengekalkan sasaran pengeluarannya sebanyak 215,300, meningkat 7.5% berbanding pada tahun lepas.

    Perodua catat jualan 117,100 unit bagi 1H 2018, naik 7.5% berbanding tempoh yang sama tahun lalu

    Aminar berkata inilah sebabnya Perodua menjangkakan separuh kedua tahun ini akan menjadi lebih mencabar disebabkan faktor pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST), yang akan dilaksanakan mulai 1 September ini, sambil menambah impak terhadap harga kereta masih belum dapat dipastikan.

    “Jualan kami memuncak pada Mei dengan hampir mencecah 22,000 unit. Walau bagaimanapun, kami tidak meramalkan momentum ini berterusan pada suku berikutnya pada tahun ini. Malah diskusi bersama pihak kerajaan masih berjalan, dan kami belum jelas mengenai mekanisme penuh SST yang akan dilaksanakan.

    “Berdasarkan anggapan bahawa akan ada kenaikan harga kenderaan dari September dan seterusnya, kami menjangkakan bahawa orang ramai akan melalui tempoh penyesuaian sehingga mengakibatkan permintaan yang kurang untuk jangka waktu tertentu. Mungkin impak itu akan berlaku sehingga Disember 2018 di mana, biasanya, kebanyakan pemain industri akan memberikan tawaran yang baik untuk mengurangkan pengambilalihan saham mereka pada tahun berikutnya, “kata Aminar.

    Perodua catat jualan 117,100 unit bagi 1H 2018, naik 7.5% berbanding tempoh yang sama tahun lalu

    Perodua turut menerima 185,000 tempahan bagi bagi separuh pertama 2018, dengan peningkatan sebanyak 24% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Malahan untuk bulan Jun ini sahaja, sebanyak 40,000 unit tempahan telah diterima. Aminar turut berkata, disebabkan itu, kakitangan bahagian pengeluaran terpaksa bekerja lebih masa untuk memenuhi permintaan ini. Tambahnya, walau bagaimana pun, bagi pelanggan yang menempah pada bulan ini dijangka akan menerima kereta masing-masing selepas pengenalan semula SST.

    Berkenaan perkhidmatan selepas jualan pula, Perodua mencatatkan peningkatan sebanyak 6% dari sejumlah 179 pusat servis seluruh negara, iaitu meningkat dari 1.026 juta kenderaan pada separuh pertama 2017 ke 1.083 juta pada tempoh yang sama tahun ini.

    Akhir sekali, Perodua turut mengumumkan bahawa ia menyaksikan penurunan perbelanjaan modal sebanyak 53% daripada RM257 juta kepada RM123 juta pada separuh pertama tahun ini, disebabkan oleh “kelewatan dalam projek-projek tertentu,” yang mana kita mengandaikannya sebagai model baharu yang khabarnya merupakan SUV.

     
     
  • Proton catat jualan 8,102 unit kereta untuk bulan Julai 2018 – pegangan pasaran kini melonjak kepada 11.7%

    Proton catat jualan 8,102 unit kereta untuk bulan Julai 2018 – pegangan pasaran kini melonjak kepada 11.7%

    Jenama automotif dari Malaysia, Proton berjaya mencatatkan jumlah jualan sebanyak 8,102 unit kenderaan untuk bulan Julai 2018, meningkat sebanyak 31% lebih tinggi dari bulan sebelumnya (Jun) serta rekod tertinggi setakat ini sepanjang 30 bulan yang lalu. Kejayaan ini disumbangkan oleh faktor “cuti cukai” yang diumumkan kerajaan bermula 1 Jun lalu (GST dikadarkan 0%) sehingga 1 September (SST dilaksanakan) dan juga aktiviti eksport Proton yang kini disambung semula.

    Pegangan pasaran Proton juga meningkat sebanyak tiga bulan berturut-turut dengan anggaran 11.7% bagi Jualan Keseluruhan Industri (TIV) untuk bulan Julai. Jumlah tersebut meningkat berbanding jumlah pegangan pasaran sebanyak 9.6% yang diperoleh pada bulan Jun mengikut angka yang dikongsi oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

    Saga dan Persona kekal sebagai model pilihan apabila mencapai jualan 3,000 unit buat kali pertama pada 2018. Persona turut mencapai sasaran baharu untuk tahun ini apabila merekodkan jualan lebih daripada 2,221 unit, memecahkan rekod pertama kali iaitu sebanyak 2,000 unit sejak Mei 2017.

    “Julai adalah bulan yang sangat baik untuk PROTON kerana kami telah mencapai jumlah yang paling tinggi bukan hanya untuk 2018 tetapi juga untuk 30 bulan yang lalu. Kami tahu bahawa faktor utama yang meningkatkan jualan adalah disebabkan pengecualian cukai melalui GST berkadar sifar sebelum pelaksanaan SST pada bulan September tetapi jumlah jualan tersebut juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia telah membuka mata mereka dengan tawaran menarik yang terdapat pada barisan kereta-kereta kami.” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

    “Justeru, kami berharap dapat mengekalkan momentum ini walaupun selepas SST diperkenalkan kerana kami bersedia untuk melancarkan SUV pertama pada tahun ini,” tambah En. Rashid lagi.

    Seperti bulan-bulan sebelum ini, Proton terus menyokong Tabung Harapan Malaysia dengan menyumbang sebanyak RM10 untuk setiap kereta yang dijual sehingga 31 Disember 2018. Oleh itu, dengan penjualan sebanyak 8,102 unit kereta pada Julai, sejumlah RM81,020 akan diperuntukkan tambahan dari sumbangan sebanyak RM61,730 pada bulan Jun.

     
     
  • Honda RS150R diperkenalkan dengan grafik baharu

    Honda RS150R diperkenalkan dengan grafik baharu

    Setelah lebih dua tahun berada dalam pasaran, kini Boon Siew Honda (BSH) memperkenalkan grafik baru bagi model kapcai RS150R. Keseluruhannya ada empat pilihan warna yang disediakan untuk RS150R ini iaitu Pearl Magellanic Black (tambahan baru), Pearl Nightfall Blue, Candy Scintillate Red dan paling popular, Repsol Edition.

    Harga yang dikeluarkan oleh BSH adalah RM7,999 untuk tiga warna biasa yang disebutkan tadi, manakala untuk Repsol Edition, harganya adalah RM8,299. Semua harga ini tidak termasuk insurans.

    Selain grafik, tiada perubahan yang diberi pada motosikal ini, dan ia masih lagi menggunakan kelengkapan sama termasuk enjin satu silinder empat lejang DOHC berpenyejukan cecair 149.16 cc, kotak gear enam kelajuan, serta kuasa 15.6 PS pada 9,000 rpm dan 13.5 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api PGM-FI, dan pengguna disediakan dengan tangki bahan api sebesar 4.5 liter. Pada bahagian depan, RS150R ini menggunakan padanan fork teleskopik, tayar 90/80R17 dan brek cakera manakala di belakang mempunyai monoshock, tayar 120/70R17 dan juga brek cakera.

    Antara keistimewaan lain yang ada pada RS150R ini adalah pemula enjin jenis tendang dan elektrik, berat 123 kg dan jarak dari tanah 150 mm. Anda juga boleh membaca laporan perbandingan kami antara RS150R ini, dengan pesaing terdekatnya iaitu Yamaha Y15ZR di sini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024