Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Honda Brio baharu tampil buat kali pertama di GIIAS

    Honda Brio baharu tampil buat kali pertama di GIIAS

    Ini adalah gambar yang baru saja kami terima daripada rakan sekerja yang berada di Indonesia untuk acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2018. Ia adalah Honda Brio serba baharu, yang merupakan model generasi kedua untuk mengganti model generasi pertama yang mula dipasarkan pada tahun 2011.

    Brio baru yang anda lihat ini menggunakan asas daripada Honda Small RS Concept yang ditunjukkan semasa Indonesia International Motor Show (IIMS) 2018 April lalu, dan hampir keseluruhan bahagiannya adalah sama untuk model produksi seperti dalam gambar ini. Ia juga adalah versi RS yang lebih sporty.

    Kenderaan ini hanya dapat dilihat sekejap sahaja kerana sekarang ia telah ditutup semula untuk pengenalan rasmi yang akan berlaku petang nanti. Nantikan berita selanjutnya dari kami. Brio yang ada dalam pasaran sekarang di Indonesia diiktiraf sebagai kereta mesra alam dan ia menggunakan enjin empat silinder 1.2 liter SOHC i-VTEC berkuasa 90 PS dan 110 Nm.

     
     
  • Mercedes-AMG S63 Coupe dan S560 Cabriolet kini di M’sia – 4.0L V8 biturbo, 612 hp/900 Nm, dari RM1.3 juta

    Mercedes-AMG S63 Coupe dan S560 Cabriolet kini di M’sia – 4.0L V8 biturbo, 612 hp/900 Nm, dari RM1.3 juta

    Sebagai tambahan kepada sisi pemanduan prestasi model S-Class terbaru (selain S 450 L AMG Line) yang diperkenalkan oleh Mercedes-Benz Malaysia untuk pasaran tempatan, model berkenaan hadir dalam bentuk dua lagi penawaran yang mengujakan – Mercedes-AMG S 63 Coupe dan Mercedes-Benz S560 Cabriolet.

    Model Mercedes-AMG S 63 Coupe mempertemukan kemewahan dengan kemampuan prestasi yang bukan calang-calang. Ia menggunakan enjin 4.0 liter V8 biturbo yang dihasilkan oleh AMG, cabang perlumbaan dan prestasi bagi Mercedes-Benz.

    Enjin ini menjana sebanyak 612 hp kuasa pada 5,500-6,000 rpm, manakala tork pula sebanyak 900 Nm dari 2,750-4,500 rpm. Pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 4.2 saat, manakala had laju maksimum ialah 250 km/j (300 km/j dengan AMG Driver’s Package). Transmisi pula menggunakan kotak gear AMG Speedshift MCT 9-kelajuan.

    Mercedes-AMG S63 Coupe dan S560 Cabriolet kini di M’sia – 4.0L V8 biturbo, 612 hp/900 Nm, dari RM1.3 juta

    Model ini dijual pada harga RM1.46 juta (atas jalan tanpa insurans), turut dilengkapi dengan pelbagai ciri dan aspek prestasi yang meletakkanya pada kedudukan tersendiri. Dari sudut rekaan, banyak sentuhan yang membezakan model ini dari yang lain, misalnya rekaan gril radiator Panamericana yang digunakan – dengan ruang masukan udara bentuk V.

    Dengan sentuhan rekaan yang lebih aerodinamik, terutamanya pada bahagian bampar depan dan belakang, dengan bodykit yang menjadikannya lebih agresif, model ini turut didatangkan dengan sistem ekzos AMG dengan paip berkembar. Satu ciri baru yang diperkenalkan khusus untuk model ini ialah lampu OLED di bahagian belakang. Sebanyak 66 OLED digunakan keseluruhannya pada bahagian berkenaan.

    Ia juga dilengkapi dengan ciri sistem nyah-aktif AMG Cylinder Management. Apa yang dilakukan oleh ciri ini ialah, di dalam mode “Comfort”, sistem ini akan tersedia pada julat kelajuan enjin yang luas, dari 1,000 hingga 3,250 rpm – ia membenarkan enjin berfungsi sama ada di dalam kapasiti lapan silinder penuh ataupun hanya empat silinder sahaja dalam keadaan tertentu, manakala peralihan di antara keduanya akan berlangsung dengan sangat lancar. Fungsi Race Start turut tersedia untuk pemandu.

    Mercedes-AMG S63 Coupe dan S560 Cabriolet kini di M’sia – 4.0L V8 biturbo, 612 hp/900 Nm, dari RM1.3 juta

    Selain itu, sistem suspensi model ini turut dibangunkan khas untuknya. Ia dilengkapi dengan suspensi AMG Ride Control+ dengan larasan serapan hentak adaptif. Tahap penyerap hentak boleh dipilih antara “Comfort”, “Sport” dan “Sport Plus”. Stereng juga sensitif terhadap kelajuan.

    Pemandu boleh memilih mod pemanduan dari ciri Dynamic Select yang disediakan, berasingan dari talaan sistem gantungan yang dinyatakan tadi. Mod yang ada ialah Comfort, Sport, Sport+ dan Individual. Sebagai tambahan, ia turut dilengkapi dengan program pemanduan Race (untuk pemanduan dinamik) serta Curve (yang bertujuan memberikan kualiti pemanduan dan kawalan yang lebih baik di selekoh).

    Sistem breknya juga cekap. Dengan menggunakan cakera brek komposit bersaiz 390 x 36 mm dengan kaliper enam-piston di depan serta cakera 360 x 24 mm dengan kaliper piston tunggal di belakang. Sistem brek seramik AMG ada sebagai pilihan. Ia merangkumi cakera brek bersaiz 420 x 40 mm di depan dan 360 x 32 mm di belakang dengan lencana “AMG Carbon Ceramic” pada kaliper. Bagi ciri ESP, ia terdiri dari tiga mod; ESP ON, ESP Sport dan ESP OFF.

    Mercedes-AMG S63 Coupe dan S560 Cabriolet kini di M’sia – 4.0L V8 biturbo, 612 hp/900 Nm, dari RM1.3 juta

    Bagi model Mercedes-Benz S560 Cabriolet – dengan kelebihan bumbung yang boleh diturunkan – pula menggunakan enjin 4.0 liter V8 biturbo, dengan janaan kuasa sebanyak 469 hp pada 5,250-5,500 rpm dan 700 Nm tork dari 2,000-5,500 rpm. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 4.6 saat.

    Bahagian lampu belakangnya juga menggunakan teknologi OLED dalam jumlah sama seperti versi coupe. Ia mengguna rim AMG 10-jejari 20-inci. Dari sudut ciri bantuan pemanduan, ia turut didatangkan dengan sistem seperti Active Distance Control Distronic dan Active Steering Assist. Bagi sistem suspensi, jenis Airmatic sepenuhnya, dengan ciri boleh laras. Senarai spesifikasi utama pula hampir sama dengan model coupe.

    Sistem infotainmen COMAND Online yang disertakan adalah dari generasi terbaru, menampilan teknologi perhubungan digital era baru. Capaian bagi Apple CarPlay dan Android Auto juga tersedia, begitu juga dengan pengecas telefon tanpa wayar Qi.

    Model Mercedes-Benz S560 Cabriolet ini dijual pada harga bermula dari RM1.3 juta.

    Mercedes-AMG S63 Coupe

    Mercedes-Benz S560 Cabriolet

     
     
  • Milan Red didedah – hypercar keluaran Austria dengan 1,306 hp dan 1,400 Nm tork, 0-100 km/j dalam 2.47 saat

    Milan Red didedah – hypercar keluaran Austria dengan 1,306 hp dan 1,400 Nm tork, 0-100 km/j  dalam 2.47 saat

    Dari masa ke semasa, akan muncul nama-nama syarikat jarang didengar yang mengeluarkan kereta baru dengan kuasa serta catatan prestasi yang sangat mengganggu fikiran. Ini adalah satu contohnya, iaitu Milan Red, hasil oleh sebuah syarikat dari Austria bernama Milan Automotive.

    Menurut CEO syarikat, Markus Fux, Milan Red dinamakan sempena nama burung pemangsa dan juga direka supaya menyerupai burung tersebut dengan paruh yang ganas di depan. Dari aspek dimensi, Milan Red ini berukuran 4,741 mm panjang, 2,156 mm lebar, 1,197 mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,750 mm. Bentuk unik kenderaan ini dibuat daripada gentian karbon, dan di bawahnya terdapat rangka monocoque gentian karbon serta pelbagai lagi struktur polimer yang diperkuat.

    Selain nama dan penggayaan, perkara lain yang menjadi perhatian pada hypercar ini adalah catatan prestasinya, yang datang hasil daripada penggunaan enjin V8 quad turbo 6.2 liter yang mampu menghasilkan 1,325 PS (1,306 hp) pada 7,000 rpm dan 1,400 Nm tork pada 6,000 rpm. Enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan yang menghantar kuasa ke roda belakang.

    Antara prestasi yang boleh dilakukan oleh kenderaan ini adalah mencecah kelajuan maksimum 400 km/j, 0-100 km/j dalam masa 2.47 saat, 0-200 km/j dalam masa 5.46 saat, dan 0-300 km/j dalam masa 9.98 saat. Semua catatan ini sudah cukup untuk membuatkan Koenigsegg dan Bugatti risau.

    Selari dengan tema burung pemangsa yang diguna, Milan Red menawarkan tiga mod pemanduan yang dinamakan sebagai Glide, Hunt dan Attack. Ini berbeza berbanding nama mod biasa seperti Comfort, Sport, atau Race. Mod ini bukan sekadar menukar tindak balas enjin dan transmisi, tetapi juga suspensi serta kawalan kenderaan.

    Suspensi depan dan belakang Milan Red ini terdiri daripada sistem wishbone berkembar CFRP dengan tiga penyerap spring serta anti-roll bar yang boleh dilaras. Terdapat juga brek karbon seramik Brembo, dengan angkup enam piston di hadapan dan empat piston di belakang, dan ia berada di sebalik rim 20 inci hadapan serta 21 inci di belakang.

    Menurut Fux, kereta ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 99 unit dan harganya adalah hampir kepada dua juta euro (RM9,497,100). Walaupun dengan harga itu, 18 unit sudah dijual.

     
     
  • Mercedes-Benz S-Class W222 dilancarkan di M’sia – S 450 L, 9G-Tronic, CKD dengan harga bermula RM700k

    Mercedes-Benz S-Class W222 dilancarkan di M’sia – S 450 L, 9G-Tronic, CKD dengan harga bermula RM700k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini memperkenalkan barisan model-model kenderaan terbaru dari keluarga S-Class untuk pasaran tempatan di sini. Merupakan limosin mewah dengan kelengkapan teknologi paling tinggi serta flagship model bagi pengeluar Jerman ini, pelbagai pembaharuan diperkenalkan. Untuk pasaran global, Mercedes-Benz S-Class ketika ini ditawarkan dalam enam pilihan varian badan yang berbeza.

    Model pertama yang juga paling utama ialah Mercedes-Benz S 450 L, yang dilancarkan ini ialah dari versi pemasangan tempatan (CKD). Ia menggunakan enjin dengan kapasiti 3.0 liter enam-silinder V6 petrol. Ia dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic, menghasilkan kuasa sebanyak 367 hp pada 5,500-6,000 rpm dan 500 nm tork dari 1,800-4,000 rpm. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 5.4 saat. Pecutan maksimum ialah 250 km/j.

    Dijual pada harga RM699,888, ia ditawarkan dalam varian atau tingkat kemasan S 450 L AMG Line. Dari segi penampilan luaran, model terbaru ini hadir dengan gril radiator rekaan baru, menampilkan kemasan twin louvres dalam warana krom dan disertai juga oleh palang melintang dalam kemasan hitam berkilat yang memberikannya penampilan bergaya mewah.

    Selain itu, rekaan bampar depan dengan ruang aliran udara yang lebih jelas kelihatan serta menyumbang kepada kemaskini penampilannya juga merupakan satu rekaan baru. Di belakang, lampu LED dengan kemasan crystal-look kini lebih menonjol dan unik. Nyalaan lampu ketika mengunci atau membuka kunci kreta ini, serta tiga pasang gentan optik melintang juga ada ciri baru pada model ini.

    Mercedes-Benz S-Class W222 dilancarkan di M’sia – S 450 L, 9G-Tronic, CKD dengan harga bermula RM700k

    S-Clas baru ini juga mengenakan bampar belakang dari rekaan baru, dengan kemasan pada ruang ekzos yang nampak lebih jelas – lingaran kemasan luarannya dari elemen krom, meliputi kelebaran jarak yang lebih ketara.

    Model paling lengkap dari segi teknologi bagi Mercedes-Benz ini kini mengambil langkah penting dari sudut ciri pemanduan autonomous. Ia kini dilengkapi dengan Active Distance Control Distronic dan Active Steering Assist untuk membantu pemandu mengekalkan jarak selamat kenderaan mereka – sebagai contoh, kelajuannya kini dilaras secara automatik sebaik sahaja pemandu akan tiba di selekoh, simpang atau bulatan.

    Ciri baru lampu utama Multibeam LED juga ditawarkan sebagai pilihan, membolehkan larasan pantas tahap pancaran lampu utama dengan lebih cepat dan tepat bergantung kepada keadaan trafik semasa. Larasan lampu utama Ultra Range membolehkan pancaran cahaya maksimum diberikan, seperti yang dibenarkan oleh undang-undang; pancaran utama kekal melebihi tahap 1 lux dan menjangkau jarak lebih daripada 650 meter.

    S-Class baru ini menerima penambah baikan dan perubahan yang agak menyeluruh, kini tampil dengan 6,500 komponen baru digunakan berbanding model sebelumnya.

    Ruang dalaman tidak ketinggalan daripada menerima pembaharuan. Antara yang utama ialah dua paparan resolusi tinggi, setiap satu dengan skrin 12.3-inci. Ini memberikan satu paparan yang sangat luas dan elegan bagi model ini. Ia memaparkan pelbagai maklumat pemanduan dan multimedia untuk kegunaan pemandu. Dengan kokpit digital sepenuhnya ini, pemandu boleh juga memilih gaya paparan (Klasik, Sporty dan Progresif) dan menentukan sendiri paparan maklumat yang diinginkan.

    Mercedes-Benz S-Class W222 dilancarkan di M’sia – S 450 L, 9G-Tronic, CKD dengan harga bermula RM700k

    S-Class baru ini juga hadir dengan butang Touch Control yang sensitif, berfungsi dengan memberi maklumbalas pergerakan leretan tangan, sama seperti telefon pintar. Ia membolehlah pemandu mengendalikan keseluruhan sistem infotainmen tanpa mereka perlu mengalihkan tangan dari stereng. Sistem ini juga boleh dikawal melalui touchpad pada konsol tengah dan juga melalui kawalan suara Linguatronic. Satu lagi ciri baru ialah kendalian operasi ciri Distronic dan cruise control juga boleh dilakukan dari stereng sahaja.

    Suasana kabin juga turut ditawarkan dengan sistem pencahayaan dengan teknologi LED dengan 64 warna sebagai ciri pilihan. Selain itu, sistem audio Burmester 1,520 watt melengkapkan lagi pengalaman pemandu dan penumpang ketika berada di dalam kereta ini.

    Mercedes-Benz S-Class 450 L AMG Line ini juga ditawarkan dengan pakej pembiayaan khusus kepada pengguna. Dengan ansuran RM8,888 sebulan, pengguna boleh memiliki kereta ini melalui tempoh pembiayaan tiga tahun di bawah EaseCare Financing, yang datang dengan kelebihan tambahan seperti pakej servis, insurance komprehensif untuk tahun pertama dan Agility Financing. Sebagai perbandingan, pembiayaan bagi tempoh tiga tahun tanpa pakej tambah nilai yang ditawarkan oleh Mercedes-Benz akan mencecah RM16,198 sebulan.

    Untuk maklumat lanjut dan terperinci bagi model-model Mercedes-Benz terbaru ini, anda boleh juga layari laman CarBase.my.

     
     
  • Proton 1-Tank Adventure pusingan Selatan – adakah realistik lebih 600 km dengan satu tangki petrol?

    Proton 1-Tank Adventure pusingan Selatan – adakah realistik lebih 600 km dengan satu tangki petrol?

    Mungkin anda pernah dengarkan pertandingan Proton 1-Tank Adventure? Iyalah, setiap pusingan pertandingan berkenaan yang bermula pada pertengahan bulan lalu pasti ada kelibat selebriti yang dijemput untuk menyertainya dan pelbagai gambar dimuat-naik oleh mereka di laman media sosial dengan tanda pagar #Proton1TankAdventure.

    Setelah rakan kami dari paultan.org Bahasa Inggeris, Hafriz Shah menyertai kembara ini pada pusingan pertama untuk kawasan Tengah tanah air pada 17 Julai lalu, saya pula diberi peluang untuk turut serta dalam acara ini untuk pusingan keempat, iaitu pusingan yang memberikan peluang kepada pemilik Proton kawasan Selatan untuk ‘bertarung’ dalam cabaran ini (pusingan kedua di Pantai Timur dan ketiga di Sabah).

    Penyertaan yang diterima untuk kawasan Selatan ini juga melebihi jangkaan dan Proton terpaksa menerima 21 pasukan untuk berentap, berbanding hanya 16 pasukan pada pusingan pertama hingga ketiga. Kesemua pasukan berkenaan dipecahkan dalam tiga kategori iaitu Saga 1.3 CVT (produksi September 2016 ke atas), Iriz 1.3 CVT (produksi September 2014 ke atas) dan juga Persona 1.6 CVT (produksi Ogos 2016 ke atas). Manakala untuk saya dan rakan sepasukan, Tan Zhi Jian dari paultan.org Bahasa Cina, kami akan bertanding dalam kategori media untuk Proton Persona 1.6 CVT.

    Proton 1-Tank Adventure pusingan Selatan – adakah realistik lebih 600 km dengan satu tangki petrol?

    Untuk kembara pusingan selatan ini, perjalanan di mulakan dari Pusat 3S Proton, Kulis Auto di Taman Bukit Dahlia Pasir Gudang dan menuju ke Thistle Resort & Spa Port Dickson. Konvoi kemudiannya akan pulang semula ke Johor Bahru keesokan harinya dengan garis penamat ditetapkan di stesen Petronas Taman Bukit Indah, Johor Bahru dengan jumlah keseluruhan perjalanan dianggarkan 640 km.

    Antara tujuan Proton mengadakan pertandingan ini adalah menunjukkan bahawa kereta mereka tidaklah terlalu ‘melahap petrol’ seperti yang didakwa sesetengah pihak tanpa bukti yang konkrit. Namun sejauh mana realistik keputusan yang dicapai dalam pertandingan seperti ini? Teruskan membaca pengalaman saya sepanjang penyertaan saya dalam kembara sejauh lebih dari 600 km ini.

    Selepas dilepaskan dari Kulis Auto, kesemua peserta menuju ke check point pertama iaitu Stesen Petronas yang berada betul-betul di sebelah pengedar Proton berkenaan. Di sini, kesemua tangki petrol peserta akan dipenuhkan dengan kaedah tiga klik (pam berhenti sendiri apabila tangki sudah penuh, diulang sebanyak tiga kali) dan bacaan odometer turut diambil. Untuk mengelakkan sebarang penipuan, penutup pengisi minyak diberikan pelekat yang hanya dimiliki oleh penganjur pertandingan.

    Kesemua peserta kemudiannya menuju ke check point ke dua iaitu Perigi Batu Pahat yang terletak di Pantai Minyak Beku, Batu Pahat Johor. Kami mula berlepas pada sekitar pukul 9.30 pagi dan perlu sampai ke destinasi yang ditetapkan sebelum pukul 2.45 – sekiranya lewat, penalti akan dikenakan ketika jumlah penggunaan petrol dikira ketika di garisan penamat nanti.

    Pihak penganjur juga tidak menetapkan di mana kami boleh berhenti makan tengah hari (digalakkan untuk mencari tempat-tempat makan menarik sepanjang perjalanan) dan ini bermaksud perancangan masa perjalanan adalah penting dalam menentukan strategi ketika bertanding. Jarak antara check point pertama dan kedua adalah sekitar 155 km, dan mengikut kiraan yang saya buat sendiri, kelajuan purata diperlukan untuk sampai ke destinasi tepat pada masa adalah sekitar 70 km/j.

    Untuk sampai ke Pantai Minyak Beku pula, perjalanan perlu melalui Lebuhraya Pasir Gudang, kemudian masuk ke Lebuhraya Utara Selatan sehingga ke Tol Ayer Hitam, selebihnya adalah laluan menerusi jalan negeri dan persekutuan. Kami sempat meredah sedikit kesesakan di Lebuhraya Pasir Gudang, dan terpaksa bersabar dengan pedal pendikit di Lebuhraya PLUS bagi mengekalkan kelajuan pada sekitar 70 km/j seperti dirancang (tapi banyak kali juga tertekan lebih sehingga 90 km/j).

    Proton 1-Tank Adventure pusingan Selatan – adakah realistik lebih 600 km dengan satu tangki petrol?

    Selepas masuk ke ‘jalan lama’, pemanduan menjadi lebih ‘biasa’ pada saya kerana 70 km/j adalah kelajuan normal untuk dipandu pada jalan seperti itu. Malah pada sebahagian jalan di kawasan Parit Botak, Batu Pahat, kelajuan maksima ditetapkan kerajaan hanyalah 50 km/j, sedangkan kami memandu pada kelajuan 60 km/j. Kami tiba di check point pertama sekitar setengah jam lebih awal, dengan meter petrol hanya turun satu bar.

    Perjalanan seterusnya lebih mencabar, kerana kami perlu menuju ke Muzium Kapal Selam di Pantai Klebang, Melaka. Mengapa saya katakan mencabar? Ini kerana kami perlu menempuh Lebuh AMJ dan jalan ini terkenal kerana begitu banyak lampu isyarat – penggunaan petrol tentunya meningkat kerana anda perlu berhenti sepenuhnnya kemudian memecut kembali ke kelajuan purata dengan kadar yang berulang-ulang.

    Lebuh AMJ sebenarnya baru ujian awalan, kerana situasi menjadi lebih teruk apabila mula masuk ke Bandar Melaka. Bukan sahaja trafik dalam bandar bersejarah tersebut lebih sesak, malah jumlah lampu isyarat juga menjai lebih banyak. Walau bagaimanapun, kami turut berjaya tiba di check point kedua dalam masa yang ditetapkan dengan meter perjalanan mencatatkan 274 km, dan penunjuk petrol hanya kurang dua bar.

    Seterusnya, peserta akan mula ke check point terakhir hari pertama iaitu ke Thistle Resort & Spa, Port Dickson. Dari Melaka ke Port Dickson, kami masih lagi menggunakan jalan lama iaitu jalan pesisir pantai dari Klebang ke Pantai Pengkalan Balak, Kuala Sungai Baru dan akhirnya tiba ke Port Dickson. Dengan trafik yang begitu lancar, pemanduan ‘rilek-rilek’ sambil menikmati pemandangan sekeliling pada laluan terakhir ini adalah yang paling menenangkan dalam perjalanan kami.

    Tiba di Thistle PD, meter perjalanan pada Proton Persona kami sudah pun mencatatkan jarak 345 km dengan petrol berbaki sekitar 50-60% lagi, dan ini akan digunakan untuk perjalanan pulang ke JB esok tanpa mengisi semula tangki. Manakala meter penggunaan bahan api pula memberikan bacaan 5.4 liter untuk setiap 100 km/j.

    Untuk hari kedua, perjalanan kami adalah sekitar 90% berada di atas Lebuhraya PLUS dan satu-satunya check point sebelum tiba di garisan penamat adalah di Puteri Harbour Johor Bahru. Dengan kelajuan yang lebih malar dari hari sebelumnya, bacaan meter penggunaan petrol pada Persona kami turun dari 5.4L/100 km kepada 5.3L/100 km. Situasi kami di lebuh raya adalah lebih kurang sama seperti hari pertama.

    Di check point terakhir tersebut, Proton telah menyediakan satu litar kecil untuk aktiviti pengenalan kepada sistem-sistem keselamatan pada kereta keluaran mereka. Di sini, pemilik Proton dapat merasai bagaimana sistem-sistem seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan juga Sistem Brek Anti-Kekunci (ABS) pada kereta mereka berfungsi untuk menyelamatkan keadaan pada situasi cemas.

    Tiba di garis penamat iaitu di stesen Petronas Bukit Indah, Johor Bahru, petrol di dalam tangki masih lagi berbaki satu bar, di mana bar kedua terakhir hanya padam pada 10 km terakhir sebelum kami tiba. Meter perjalanan mencatatkan jarak keseluruhan pengembaraan ini pada 635 km, manakala bacaan penggunaan petrol masih kekal pada 5.3L/100 km.

    Di stesen ini, tangki petrol kami akan dipenuhkan semula dengan kaedah tiga klik yang sama, dan kemudian jumlah berkenaan akan diambil sebagai bacaan berapa banyak petrol yang kami telah guna – kami mencatatkan penggunaan petrol berjumlah 32.65 liter.

    Proton 1-Tank Adventure pusingan Selatan – adakah realistik lebih 600 km dengan satu tangki petrol?

    Jadi setelah dikira secara manual, penggunaan bahan api sebenar kami adalah 5.15 liter untuk 100 km perjalanan, manakala petrol yang berbaki dalam tangki adalah 7.35 liter (tangki Persona berkapasiti 40 liter) setelah perjalanan hampir 640 km. Mengikut kiraan juga, sekiranya kami teruskan berjalan sehingga tangki minyak kering sepenuhnya, Persona berkenaan mampu untuk mencatatkan perjalanan sejauh 776.7 km menggunakan satu tangki minyak.

    Berbalik pada persoalan asal, adakah realistik bacaan yang kami dapat dalam pertandingan ini? Untuk pengetahuan anda, bacaan yang dicatatkan oleh peserta-peserta awam adalah lebih mengejutkan di mana bacaan terbaik untuk Persona adalah 4.72 liter/100 km, Iriz 5.00 liter/100 km manakala Saga pula adalah 4.05 liter/100 km!

    Ini adalah kerana mereka yang menyertai pengembaraan ini adalah untuk bertanding bagi mendapatkan tempat pertama di mana hadiahnya berupa wang tunai sehingga RM2,000 serta peluang untuk mara ke pusingan akhir pada pertengahan bulan ini. Jadi mereka telah melakukan pelbagai perkara yang ekstrem seperti langsung tidak menggunakan penghawa dingin dan memandu pada kelajuan sekitar 40-50 km/j.

    Proton 1-Tank Adventure pusingan Selatan – adakah realistik lebih 600 km dengan satu tangki petrol?

    Bagi kami dalam kategori media pula, menguji sama ada benar atau tidak kereta-kereta Proton ini boleh berjalan lebih dari 600 km menggunakan satu tangki minyak adalah lebih utama dan kesemua pasukan masih menggunakan penghawa dingin sepanjang perjalanan seperti biasa.

    Untuk keputusan yang saya capai sendiri, anda boleh lihat bagaimana masih ada lagi berbaki petrol yang boleh mencapai perjalanan sehingga lebih 750 km. Kesimpulan yang boleh saya buat, tiada masalah sekiranya saya memandu sekitar 100-110 km/j di lebuhraya tempoh hari, asalkan sentiasa mengekalkan lampu penunjuk Eco di paparan instrumen menyala, saya akan sampai ke garis penamat dengan menggunakan petrol yang ada.

    Dalam bahasa mudah, ya, kereta Proton memang boleh berjalan sejauh 600 km dengan hanya satu tangki petrol jika anda menggunakan teknik pemanduan yang betul, tidak terburu-buru, melakukan perancangan perjalanan yang baik dan menggunakan lampu penunjuk Eco sebagai panduan.

     
     
  • Tun Mahathir cuba lampu malam di SIC menaiki Ferrari

    Tun Mahathir cuba lampu malam di SIC menaiki Ferrari

    Perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam melancarkan sistem lampu baru di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan memandu sebuah Ferrari 458 Spider sebanyak satu pusingan.

    “Saya tidak selalu memandu Ferrari. Bila tekan saja pedal, kereta akan meluru ke depan dan menghasilkan bunyi yang menarik. Lampu baru ini juga sangat bagus dan terang, tetapi lampu siren kereta di depan saya sangat mengganggu,” kata beliau dalam satu laporan oleh The Star.

    Apapun, ramai yang kagum dengan lampu malam baru pada litar ini, dan ia mungkin nanti dapat membawa lebih keuntungan kepada SIC dan menggalakkan pembangunan sukan permotoran dalam negara. Tun Mahathir sebelum ini pernah berfikir idea menambah lampu kepada litar ini terlalu sukar dan mahal untuk dilaksana.

    “Litar ini masih berkembang maju dan orang yang mengendalikannya mempunyai banyak idea. Saya rasa perkara yang mengujakan sedang menunggu warga Malaysia. Saya bangga untuk melihat orang yang mengendalikannya mempunyai idea untuk memperbesarkannya, menambah fasiliti dan lebih banyak acara supaya ia dapat menjadi satu bandar motor dan semua orang yang berminat dengan permotoran serta kejuruteraan boleh datang ke sini,” kata beliau.

    Tun Mahathir cuba lampu malam di SIC menaiki Ferrari

    Pada tahun 1999, Tun Mahathir telah merasmikan kedua-dua MotoGP Malaysian Grand Prix dan Formula One Malaysian Grand Prix yang pertama di Litar Sepang. Apabila ditanya adakah F1 akan kembali pada masa hadapan setelah penganjurannya dihentikan oleh perdana menteri sebelum ini, Tun Mahathir cuma memberi ‘mungkin’ sebagai jawapan.

    Beliau juga ada menyatakan sistem lampu baru ini tidak akan menepati keperluan F1, tetapi cukup untuk perlumbaan biasa. “Kalau untuk F1, lampu ini mestilah lebih terang kerana kecerahan sekarang tidak cukup. Ia akan membuatkan kerja penyiaran susah,” kata Tun Mahathir.

    Walaubagaimanapun, menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan kerajaan akan terus memberi fokus kepada sukan permotoran dua roda, dan sumber kewangan yang diperlukan untuk acara F1 boleh dibelanjakan lebih baik dengan melakukan pembangunan kepada litar Sepang.

     
     
  • Harga petrol RON 97 minggu ini naik 10 sen – RM2.64

    Harga petrol RON 97 minggu ini naik 10 sen – RM2.64

    Selepas turun sebanyak 2 sen minggu lalu, harga petrol RON 97 bagi minggu 2 hingga 8 Ogos akan naik pula sebanyak 10 sen, menjadikan harga runcit terbarunya ialah RM2.64 seliter.

    Harga bahan api lain pula masih kekal sama disebabkan diberikan subsidi sehingga hujung tahun ini. Untuk itu, harga petrol RON 95 dijual pada RM2.20 seliter, manakala diesel Euro 2M RM2.18 seliter dan diesel Euro 5 pula RM2.28 seliter.

     
     
  • Geely SX-11 – teaser untuk SUV segmen B dikeluarkan

    Geely SX-11 – teaser untuk SUV segmen B dikeluarkan

    Selain gambar awal Bin Rui, Geely juga telah mengeluarkan “spyshot” rasmi untuk model SUV segmen B yang akan dilancarkan di pasaran China suku keempat tahun ini. Setakat ini, SUV tersebut dipanggil menggunakan nama kod SX11, dan merupakan model kedua yang akan dibina atas platform B-segment Modular Architecture (BMA) syarikat itu.

    Walaupun masih dipenuhi dengan pelekat camouflage, kita boleh melihat dengan jelas ia adalah kenderaan sama seperti yang bocor awal tahun ini, dengan penampilan lebih sporty berbanding model Geely yang lain. Pada bahagian depan, gril “kosmos berkembang” yang sudah menjadi tanda unik jenama itu masih digunakan, bersama lampu belakang yang dijadikan lebih tajam dan bukaan udara lebih agresif.

    Turut boleh dilihat adalah fender hadapan kembung, bersama bahagian tepi yang berlekuk, c-pillar unik serta d-pillar yang digelapkan supaya bahagian bumbung nampak terapung – elemen rekaan yang diambil daripada Boyue. Tidak banyak yang boleh dilihat pada bahagian belakang, tetapi melalui lukisannya, ia mempunyai lampu trapezoid, kemasan krom yang lebar, pintu but besar, spoiler serta dua muncung ekzos.

    Geely SX-11 – teaser untuk SUV segmen B dikeluarkan

    Laman web dari China, autohome.com.cn sebelum ini pernah melaporkan bahawa SX11 mempunyai ukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, dengan jarak roda 2,600 mm. Ini meletakkan SX11 di tengah antara model SUV Vision X3 dan Vision, dan menjadikan ia lebih kecil daripada Boyue yang terletak dalam segmen C.

    Geely telah mengesahkan SX11 bakal dikuasakan oleh enjin petrol tiga silinder direct injection turbo 1.5 liter, yang dibangunkan bersama Volvo dan mampu menghasilkan kuasa 161 hp dan 255 Nm tork. Ia dijangka dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang juga dibangunkan bersama Volvo, dan dikata mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

    Adakah SX11 ini akan tiba di Malaysia sebagai sebuah Proton? Sebelum ini Geely sudah memberi isyarat pengeluar kenderaan tempatan itu juga akan menggunakan platform BMA ini, dengan berkata ia turut akan diguna oleh jenama luar dan dibina di Asia Tenggara. Platform ini nanti boleh menggunakan teknologi keselamatan aktif terkini, ciri pemanduan autonomous Level 2 dan Level 3, serta enjin petrol terbaru Geely.

     
     
  • Proton SUV – gambar penuh untuk bahagian hadapan, dengan logo Proton kini muncul buat pertama kali

    Proton SUV – gambar penuh untuk bahagian hadapan, dengan logo Proton kini muncul buat pertama kali

    Jika sebelum ini kita pernah tengok gambar SUV pertama Proton yang ketika itu diuji sendiri oleh Tun Mahathir, kini ada satu lagi gambar muncul – mungkin dari sesi yang sama – yang memaparkan bahagian depan SUV berkenaan dengan agak jelas.

    Apa yang menarik, buat pertama kali juga logo Proton dilihat secara terbuka, digunakan pada bahagian depan SUV terbabit. Begitu juga dengan rekaan gril yang kini dapat dilihat dengan lebih terperinci – ia dikongsi dalam akaun Facebook Proton Boyue X7 Community (Malaysia).

    Rekaan bahagian grilnya terdiri daripada lingkaran luar krom, dengan bahagian dalamnya terletak tiga jalur warna hitam sebagai elemen utama – berbeza dari model Geely Boyue yang ada ketika ini. Dalam gambar terdahulu, antara yang jelas kelihatan juga ialah rekaan bampar depan yang agresif, bahagian ini diwarisi dari model pengeluar China terbabit, dari versi facelift terkini.

    Proton SUV – gambar penuh untuk bahagian hadapan, dengan logo Proton kini muncul buat pertama kali

    Dengan ini, maka sah bahawa rekaan gril dan wajah hadapan yang pernah muncul sebelum ini memang merupakan unit yang akan dikeluarkan oleh Proton nanti, walaupun ketika itu logonya ditutup.

    April lalu, Proton telah mendedahkan ciri-ciri yang bakal dilengkapi pada Boyue versi mereka yang nampaknya diambil terus dari versi facelift terbaharu. Antara ciri-ciri berkenaan termasuk sistem pemantau titik buta, brek kecemasan automatik (AEB), cruise control adaptif, amaran keluar laluan dan juga lampu tinggi automatik.

    Kita juga sudah tidak jauh daripada tarikh pengenalan model ini, yang dijangka akan diperkenalkan secara rasmi Oktober nanti. Lepas tengok wajah depan dengan lebih jelas, anda rasa penampilan SUV Geely versi Proton ini akan berjaya menarik minat orang ramai?

     
     
  • Pendaftaran pemandu Grab di Malaysia menurun selepas pengumuman peraturan baru oleh menteri

    Pendaftaran pemandu Grab di Malaysia menurun selepas pengumuman peraturan baru oleh menteri

    Berikutan langkah kerajaan untuk memperkenalkan beberapa peraturan baru untuk memberikan kesamarataan di antara pemandu e-hailing dan teksi biasa, Grab Malaysia telah menyaksikan pengurangan dalam jumlah pendaftaran pemandu baru bagi syarikat itu.

    Dalam satu laporan oleh Bernama, ketua cawangan Grab Malaysia, Sean Goh mendedahkan penurunan ini adalah normal semasa tempoh penukaran. “Kami sedang mencari penyelesaian yang terbaik untuk semua orang memandangkan kami faham kebanyakan pemandu ini adalah pemandu separuh masa, dan pendapatan mereka daripada Grab menyumbang 30% kepada pendapatan isi rumah,” tambah beliau.

    Goh turut memberitahu bahawa Grab telah mendekati Kementerian Pengangkutan dan perbincangan akan diteruskan untuk memastikan saingan yang sama untuk semua pihak. Beliau juga menyatakan bahawa syarikat sedang berbincang dengan beberapa syarikat insurans berkenaan keperluan insurans, yang mana juga adalah salah satu perubahan yang mahu dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan.

    Pendaftaran pemandu Grab di Malaysia menurun selepas pengumuman peraturan baru oleh menteri

    Perubahan peraturan lain adalah termasuk pemandu kenderaan e-hailing perlu mendapatkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dengan kos RM115 setahun, pemeriksaan kenderaan tahunan oleh PUSPAKOM dan kenderaan yang digunakan sekurang-kurangnya perlu menepati tahap keselamatan ASEAN NCAP tiga bintang.

    Selain daripada itu, syarikat e-hailing juga perlu menyediakan garis panduan pemandu dan mendaftarkannya kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Dalam aplikasi juga perlu ada fungsi panggilan kecemasan.

    Peraturan baru ini telah diumumkan Julai lalu, tapi syarikat yang terlibat masih mempunyai masa selama satu tahun untuk melakukan pelarasan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya tahun hadapan.

     
     
  • Nissan Navara VL Plus kini diperkenalkan – tujuh beg udara, speedometer digital dengan harga dari RM120k

    Nissan Navara VL Plus kini diperkenalkan – tujuh beg udara, speedometer digital dengan harga dari RM120k

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) memperkenalkan tambahan terbaru bagi trak pikap, Nissan Navara VL Plus yang kini menjadi varian palin tinggi model itu untuk pasaran Malaysia.

    Versi VL Plus ini datang dengan ciri tambahan seperti Intelligent Around View Monitor (I-AVM), yang turut ditawarkan pada X-Trail dan Serena S-Hybrid. Sistem Nissan Intelligent Mobility (NIM) pula menggunakan empat kamera untuk memberikan pandangan 360-darjah bagi memudahkan pemandu meletak kenderaan.

    Paparan speedometer digital juga diperkenalkan, sebagai sebahagian daripada ciri Advanced Driver-Assist Display yang melengkapi model ini. Lain-lain, ciri keselamatan juga menerima peningkatan dengan tambahan beg udara – ini Navara ada tujuh beg udara semuanya, kepada yang inginkan lebih perlindungan.

    Selebihnya, tiada perubahan mekanikal lain yang diberikan. Navara masih menggunakan enjin 2.5 liter turbodiesel dengan kuasa sebanyak 190 PS dan 450 Nm tork. Enjin ini digandingkan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan dengan sistem pacuan semua roda.

    Nissan Navara 2.5L VL Plus dijual pada harga RM119,869 atas jalan ketika ini, tidak termasuk insurans dan tanpa GST. Jika inginkan versi Black Series, ia dijual pada harga RM123,643. Pakej berkenaan menampilkan kemasan hitam pada beberapa bahagian seperti gril depan, pelindung cermin sisi, keliling lampu kabus dan lengkung fender. Model ini turut hadir dengan jaminan lima-tahun atau 150,000 km (yang mana dahulu).

     
     
  • Pusat 3S Honda dibuka di Cheras, oleh MJN Motors

    Pusat 3S Honda dibuka di Cheras, oleh MJN Motors

    Sebuah pusat pameran 3S Honda baru telah dibuka di Taman Rasa Sayang, Cheras, dan ia diuruskan oleh MJN Motors. Pembukannya diharap dapat memberikan khidmat lebih baik bagi orang ramai yang berada di sekitar Cheras, Kajang dan Seri Kembangan.

    Ia terletak di atas tanah berkeluasan 11,000 kaki persegi dan melibatkan kos RM6 juta, dengan menempatkan 12 ruang servis, iaitu tujuh untuk servis, tiga untuk baik pulih biasa dan dua lagi untuk servis tayar. Secara keseluruhannya pusat ini dapat menampung 30 kenderaan setiap hari.

    Selain daripada ruang servis ini, pelanggan juga boleh menikmati pelbagai khidmat lain seperti ruang rehat, bahagian kanak-kanak, kafe dan surau. Turut disediakan adalah khidmat pembaharuan cukai jalan, insurans dan kereta ganti.

    Pusat 3S Honda dibuka di Cheras, oleh MJN Motors

    Pembukaan pusat 3S di Cheras oleh MJN Motors ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan pengedar Honda yang ada di Malaysia sekarang kepada 96, dan pusat baik pulih badan 20. Daripada jumlah ini, 37 pengedar adalah terletak di kawasan tengah Semenanjung.

    Dalam perkembangan lain, Honda Malaysia setakat enam bulan pertama 2018 telah berjaya menjual 51,354 buah kenderaan, sekaligus meletakkan syarikat dalam laluan yang betul untuk mencapai sasaran tahunan 109,000 unit. Hasil daripada ‘cuti cukai’ juga, Honda Malaysia telah berjaya mencatat tempahan paling banyak dalam tempoh sebulan, iaitu 20,000 nama pada bulan Jun.

    Untuk jualan pula, Honda masih mengekalkan kedudukan sebagai jenama kenderaan bukan nasional yang berada di tempat paling tinggi dan terletak di tempat kedua secara keseluruhan di bawah Perodua. Menurut Honda Malaysia, model pemasangan tempatan mereka seperti City, Jazz, HR-V, BR-V, CR-V, Accord dan Civic semuanya berada di tempat teratas dalam segmen mereka.

     
     
  • Lynk & Co 03 – gambar awal sedan baharu disiarkan

    Lynk & Co 03 – gambar awal sedan baharu disiarkan

    Sedan Lynk & Co 03 sebelum ini pernah ditunjukkan sebagai sebuah kenderaan konsep tahun lepas, semasa Shanghai Motor Show, dan beberapa minggu lalu “spyshot” rasminya dikeluarkan. Kini akhirnya kereta tersebut ditunjukkan sepenuhnya, melalui beberapa siri gambar.

    Lynk & Co 03 tidak mengikut kebiasaan sekarang dengan bentuk badan “coupe” empat pintu, tetapi ia menggunakan bentuk berpetak yang lebih tradisional. Pada bahagian depan anda akan dapat melihat rekaan unik lampu bertingkat bersama lampu siang LED berbentuk cakar.

    Pergi ke bahagian tepi pula, jalur krom yang berada atas tingkap tidak terhenti sekadar di pintu belakang, tapi berterusan sehingga cermin belakang. Lampu belakang sports berbentuk L juga hampir sama seperti model 01 dan 02. Turut boleh dilihat jelas adalah bampar yang lebih sporty, dengan bukaan udara hadapan serta diffuser belakang yang lebih berpetak.

    Lynk & Co 03 – gambar awal sedan baharu disiarkan

    Seperti juga 01 dan 02, model 03 ini akan dibina atas platform Compact Modular Architecture (CMA) yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo 9 turut digunakan oleh Volvo XC40. Menurut Autocar, ia akan ditawarkan dengan pilihan enjin sama seperti model Sweden tersebut, termasuk unit tiga silinder 1.5 liter dan empat silinder turbo 2.0 liter petrol, serta plug-in hybrid 1.5 liter yang boleh bergerak menggunakan elektrik sahaja sejauh 60 km.

    Lynk & Co mahu menjadi satu jenama untuk generasi digital, dan disebabkan itu, mereka mensasarkan untuk memberi pilihan cara pemilikan kenderaan selain pembelian, sewa beli serta pajakan yang sudah menjadi kebiasaan. Mereka sedang mengusahakan servis langganan seperti Volvo’s Care oleh Volvo, serta kemampuan berkongsi kenderaan dengan orang lain melalui kunci digital.

    Pengeluaran model Lynk & Co telah bermula di Zhangjiakou, China, dengan kilang Volvo di Ghent, Belgium juga akan memulakan pengeluaran pada tahun 2019. Sementara itu bagi versi pemanduan sebelah kanan, ia berkemungkinan dibina di kilang Proton di Tanjung Malim.

     
     
  • Projek MRT3 ditangguh, bukan batal – Anthony Loke

    Projek MRT3 ditangguh, bukan batal – Anthony Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika menjawab soalan di Parlimen semalam menyatakan bahawa projek MRT 3 di Lembah Klang hanya ditunda buat sementara waktu, lapor Bernama. Sebelum ini, projek berkenaan dinyatakan akan dibatalkan atas faktor keadaan hutang negara ketika ini.

    Beliau menambah, projek besar seperti itu akan diberi keutamaan semula sekiranya kedudukan kewangan negara semakin baik kelak, dan berkata kabinet akan menentukan sambungan kerja-kerja pembinaan itu bila tiba masa yang dirasakan sesuai.

    “Semua keputusan besar seperti ini perlu mendapat kelulusan kabinet. Ketika ini, yang menjadi keutamaan kerajaan adalah untuk mengurangkan hutang. Namun, bagi projek penting seperti MRT3, ia akan diberi keutamaan untuk dinilai semula selepas keadaan kewangan negara semakin kukuh,” jelas Anthony.

    “Memandangkan jajaran MRT3 adalah melalui kawasan tengah bandar yang padat penduduk, dan hampir 80% daripadanya merupakan laluan bawah tanah, ia menyumbang kepada kos pembinaan yang tinggi dijangka mencecah RM50 bilion,” kata beliau.

    Juga dikenali sebagai MRT Circle Line, sistem keretapi berkenaan beroperasi secara automatik tanpa pengendali berperanan sebagai laluan penghubung kepada laluan MRT lain yang ada di Lembah Klang. Awalnya dijangka siap pada tahun 2025, laluan sepanjang 40 km itu akan meliputi kawasan Bandar Malaysia, Ampang, KL Eco City, Bukit Kiara dan Sentul.

    Anthony berkata, ketika ini kerajaan sedang giat memberi keutamaan untuk mempertingkat rangkaian perkhidmatan bas serta sistem komuter KTM di Lembang Klang.

     
     
  • TuneD Proton Saga FLX – harga kit bermula RM1,980

    TuneD Proton Saga FLX – harga kit bermula RM1,980

    Selepas Persona generasi pertama, jenama peralatan aftermarket tempatan – TuneD – kini tampil dengan satu lagi kit baharu untuk model Proton yang tidak lagi berada di bilik pameran iaitu Saga FLX.

    Kit badan untuk Saga FLX ini masih lagi tidak lari dari rekaan-rekaan terkini TuneD. Ia menampilkan bahagian apron hadapan lebih agresif dengan rekaan dua liang udara sisi, lengkap dengan lampu nyalaan siang jalur LED, gril utama berwarna hitam bersama jalur serlahan berwarna merah.

    Selain itu, Saga FLX TuneD ini turut menerima skirt sisi lebih labuh manakala pada bahagian belakang, ia dilengkapkan dengan bampar belakang yang turut direka lebih garang dengan kemasan yang menyerupai diffuser berwarna hitam. Serlahan jalur merah juga diberikan mengelilingi keseluruhan kit berkenaan pada bahagian bawah.

    TuneD turut menawarkan pakej untuk menyegarkan semula kabin Saga FLX anda. Untuk bahagian dalaman ini, jenama berkenaan akan membalut semula kesemua tempat duduk dengan kulit bersama rekaan lebih sporty, termasuk kemasan pada panel dalaman setiap pintu – kesemuanya dengan elemen warna hitam-merah dan serlahan jahitan berwarna merah.

    Anda boleh mendapatkan kit ini secara kesemuanya atau berasingan antara luaran dan dalaman. Untuk kit asas bahagian luar, Saga FLX anda akan kelihatan lebih sporty bermula pada harga RM1,980. Untuk dalaman pula, pakej upholsteri yang dinyatakan di atas disediakan dengan harga RM1,550. Menurut TuneD, diskaun istimewa akan diberikan sekiranya pelanggan memilih kedua-dua pakej tersebut serentak.

    Selain dari hanya memasang kit badan, TuneD turut menawarkan servis untuk mengecat semula keseluruhan badan kereta yang telah dilengkapi kit badan mereka dengan dua warna signatur jenama berkenaan – Fierce Red dan Pearl White.

    Untuk pengetahuan anda, TuneD ini bukanlah pembina kit badan ‘copy ori’ tipikal yang anda boleh jumpa diluar dengan mudah. Syarikat ini dianggotai oleh sekitar 150 jurutera untuk menghasilkan produk mereka, serta mempunyai penasihat teknikal yang benar-benar pakar seperti bekas Presiden Nissan Motorsport International (NISMO), Yuichi Sanada dan bekas staf Nissan Koichi Osumi. Jadi anda rasa berbaloi tak kit badan asli dengan harga asas sekitar RM2k ini?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024