Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • New York International Autoshow 2020 terpaksa ditunda ke Ogos ini dek penularan wabak COVID-19

    New York International Autoshow 2020 terpaksa ditunda ke Ogos ini dek penularan wabak COVID-19

    Lewat malam tadi, penganjur New York International Autoshow (NYIAS) 2020, telah mengumumkan acara permotoran berprestij tersebut terpaksa ditunda, daripada rancangan asal pada awal April ke tarikh baharu pada Ogos hadapan.

    Ini bermakna pengumuman terbaharu ini berlaku kurang 24 jam selepas presiden Greater New York Automobile Dealers Association, Mark Schienberg, yang bertegas mahu meneruskan perancangan asal untuk NYIAS 2020 pada 10-19 April 2020.

    Walau bagaimana pun, pihak penganjur terpaksa akur dengan penundaan acara ini setelah menerima nasihat daripada pelbagai pihak yang prihatin dengan keselamatan dan kesihatan para pengunjung dan semua pihak yang terlibat dengan NYIAS 2020.

    “Kami terpaksa mengambil langkah ini (menundakan acara) untuk melindungi pengunjung, peserta pameran dan semua yang terlibat daripada jangkitan coronovirus ini,” ujar Schienberg.

    Tarikh baharu yang ditetapkan ialah pada 26 dan 27 Ogos untuk pra-tonton bersama pihak media, disusuli dengan pameran dibuka untuk tontonan awam mulai 28 Ogos hingga 6 September 2020, ujar penganjur, seperti mana yang dilaporkan oleh Automotive News Europe.

     
     
  • Ferrari teruskan operasi kilang walau pun ada perintah berkurung disebabkan penularan wabak COVID-19

    Ferrari teruskan operasi kilang walau pun ada perintah berkurung disebabkan penularan wabak COVID-19

    Ferrari telah mengesahkan kilang pengeluarannya di Maranello akan beroperasi seperti biasa biar pun kerajaan Itali telah mengumumkan perintah berkurung dikuatkuasakan disebabkan penularan wabak COVID-19. Walau pun Itali merupakan negara pertama di luar China yang paling teruk terkesan dek wabak ini, namun kerajaan negara berkenaan tidak menghalang rakyatnya untuk terus bekerja.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, pengeluar kereta prestasi tinggi itu mendakwa telah mengaktifkan semua langkah yang perlu untuk membolehkan pekerjanya bekerja dalam “keadaan terbaik,” walaupun ia tertakluk kepada rantaian bekalannya.

    Menurut laporan Autocar, Ketua bahagian komersil Ferrari, Enrico Galliera berkata, beberapa langkah berjaga-jaga termasuk mengehadkan akses ke kilang, dan semua lawatan ke kilang berkenaan telah digantung.

    Ferrari teruskan operasi kilang walau pun ada perintah berkurung disebabkan penularan wabak COVID-19

    “Rantaian bekalan kami masih ada dan kami memantau bekalan dengan teliti. Kami tidak melihat sebarang masalah jangka pendek. Ia membantu kami tidak menjual berdasarkan ketersediaan tetapi mengikut tempahan yang telah kami terima. Ini membantu kami menguruskan pengeluaran masa depan, “katanya.

    Ferrari juga memastikan bahawa pihaknya tetap meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa dan bersedia untuk menyesuaikan langkah-langkah keselamatan apabila keadaan berubah kelak. Menurutnya lagi, kesihatan dan kesejahteraan pekerja tetap menjadi keutamaan.

    Buat setakat ini, terdapat 10,149 kes COVID-19 dilaporkan dikesan di Itali, dengan melibatkan 631 kematian. Kerajaan Itali masih belum menentukan sampai bilakah perintah berkurung tersebut akan dilaksanakan, namun buat masa ini ia kekal hingga 3 April ini.

     
     
  • PLUS buka lorong RFID di kesemua 83 plaza tol sistem tertutup di lebuhrayanya, termasuk LPT2, mulai 1 Apr

    PLUS buka lorong RFID di kesemua 83 plaza tol sistem tertutup di lebuhrayanya, termasuk LPT2, mulai 1 Apr

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan mulai 1 April 2020, kemudahan pembayaran RFID bakal beroperasi di kesemua 83 tol sistem tertutup dari Utara ke Selatan, termasuk Lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT2). Ia melibatkan sebanyak 173 lorong RFID (termasuk 131 Lorong Khas RFID) di lebuhraya kendaliannya.

    Ini selaras dengan visi Kerajaan untuk melaksanakan Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF), di mana pelaksanaan RFID di plaza tol sistem tertutup PLUS menandakan penyempurnaan ekosistem lebuh raya yang menggunakan sistem RFID sepenuhnya. Di samping itu, ia menawarkan pelanggan kemudahan transaksi tol tanpa tunai, tambah nilai melalui perbankan internet dan E-dompet serta bebas dari sebarang kerumitan dalam penggunaan gajet yang mahal dan keperluan penggunaan bateri bagi SmartTAG.

    Semenjak 36 bulan yang lalu, PLUS telah menyelaraskan sistem RFID bersama Touch ‘n Go, di mana ia telah membawa kepada pelaksanaan di 10 plaza tol sistem terbuka pada 1 Januari 2020 dan bermula April 2020 ini, seluruh rangkaian lebuh raya PLUS (semua plaza tol sistem terbuka dan tertutup) akan menerima pembayaran melalui RFID.

    10 buah plaza tol sistem terbuka di lebuhraya kendalian syarikat itu yang telah mula menerima pembayaran tol secara RFID sejak 1 Januari lalu adalah di Jitra (Lebuhraya Utara-Selatan), Lunas (Lebuhraya Butterworth-Kulim), Kubang Semang (Lebuhraya Butterworth-Kulim), Jambatan Pulau Pinang, Mambau (Lebuhraya Seremban-Port Dickson), Lukut (Lebuhraya Seremban-Port Dickson), Kempas (Lebuhraya Utara-Selatan), Perling (Lebuh raya Linkedua), Lima Kedai (Lebuh raya Linkedua) dan Tanjung Kupang (Lebuh raya Linkedua).

    PLUS buka lorong RFID di kesemua 83 plaza tol sistem tertutup di lebuhrayanya, termasuk LPT2, mulai 1 Apr

    “Kami menjangkakan peningkatan dalam permintaan RFID, khususnya di kalangan 1.7juta pelanggan lebuh raya harian kami. Dengan tawaran perkhidmatan RFID di PLUS, laluan perjalanan yang digunakan pelanggan contohnya dari Plaza Tol Juru ke Damansara, kini telah diperluas ke bandar, sebagai contoh KLCC dan juga ke kawasan bandar dan luar bandar seperti Wangsa Maju ataupun Kajang. Perjalanan akan menjadi lebih lancar kerana kini laluan lebuh raya dalam dan luar bandar telah terhubung.

    “Pelaksanaan transaksi tol menggunakan teknologi RFID adalah selaras dengan objektif Kerajaan untuk memodenkan pembayaran tol dan untuk menambah baik pengalaman perjalanan lebuh raya melalui pengurusan kesesakan di plaza-plaza tol serta menggalakkan kelancaran laluan dalam meneraju Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang akan dilaksanakan pada masa akan datang,” jelas Datuk Azman Ismail, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad.

    Tambahnya lagi, usaha untuk memperluas kegunaan RFID di lebuh raya PLUS selari dengan kehendak dan keperluan pengguna lebuh raya masa kini agar transaksi tol dapat dilaksanakan dengan mudah tanpa sebarang kerumitan serta lebih lancar di plaza-plaza tol.

    “Menerusi RFID, pelanggan lebuh raya tidak perlu lagi berhadapan dengan sebarang kesukaran untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka kerana ia boleh dilakukan dengan mudah secara atas talian menerusi telefon bimbit dan aplikasi Touch ‘n Go eWallet yang dihubungkan terus kepada Tag RFID yang dipasang pada kenderaan,” jelasnya.

    Walaupan transaksi tol menggunakan RFID diperkenalkan, transaksi tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih lagi boleh diterima di plaza-plaza tol bagi memudahkan pelanggan lebuh raya mengambil masa untuk bertukar kepada RFID dalam tempoh jangka masa tahun ini.

    Bagi membolehkan pelanggan menggunakan sistem RFID untuk transaksi tol, PLUS menasihatkan agar mereka segera memasang pelekat Tag RFID di pusat-pusat pemasangan yang disediakan di seluruh negara. Pelanggan lebuh raya PLUS boleh mengunjungi pusat pemasangan pelekat RFID (RFID Fitment Centres) yang disediakan oleh Touch ‘n Go Sdn Bhd bagi mendapatkan pelekat RFID Touch ‘n Go.

    Dalam masa yang sama, PLUS turut mengumumkan sebanyak 17 pusat pemasangan tag RFID akan dibuka di lebuhraya PLUS mulai 13 Mac ini. Pusat pemasangan Tag RFID akan turut dibuka di kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih bagi membolehkan pelanggan lebuh raya PLUS untuk membuat pemasangan pada kenderaan masing-masing. Caj sebanyak RM35 akan dikenakan bagi setiap pemasangan untuk sebuah kereta.

    Lokasi-lokasi berkenaan ialah Restoran Jejantas Sungai Buloh (kedua-dua arah), R&R Seremban (kedua-dua arah), R&R Ulu Bernam (Arah Selatan), R&R Tapah (Kedua-dua Arah), RTC Gopeng RTC di Hentian Sebelah Simpang Pulai, Restoran Jejantas Ayer Keroh (kedua-dua arah), R&R Gunung Semanggol (Arah Utara), R&R Gurun (kedua-dua arah), R&R Temerloh dan R&R Kuantan di LPT1 (kedua-dua arah).

    Maklumat lanjut mengenai semua lokasi pusat pemasangan RFID boleh diperoleh melalui PAUTAN INI.

     
     
  • Hyundai Elantra 2021 ditunjuk sebelum pelancaran

    Hyundai Elantra 2021 ditunjuk sebelum pelancaran

    Hyundai telah umumkan pengenalan bagi model generasi ketujuh Elantra, yang dijadualkan pelancaran globalnya pada 17 Mac nanti bertempat di The Lot Studio di Hollywood Barat, California. Sejak diperkenalkan pada 1990, Elantra sudah terjual sebanyak 13.8 juta unit (sesetengah pasaran ia dikenali dengan nama Avante). Ia menjadi model paling laris bagi Hyundai untuk pasaran global.

    Dengan pengumuman itu, Hyundai turut menunjukkan beberapa gambar teaser bagi model segmen C berkenaan. Daripada apa yang dapat dilihat, Elantra menampilkan rekaan yang sangat berbeza serta menonjol. Dengan tema “Parametric Dynamic”, Elantra serba baru ini lebih cenderung menggunaan rekaan coupe jika dilihat pada garis bumbungnya – pendekatan yang sama pernah kita lihat pada Honda Civic FC ketika ini.

    Profil sisi Elantra ini bagaimanapun jauh lebih menarik, dengan penggunaan garis badan yang lebih agresif. Dari tepi ini juga dapat dilihat bahagian lampunya lebih nipis, dengan garis panjang pada sisi badan yang dilanjutkan sehingga ke lampu belakang.

    Hyundai Elantra 2021 ditunjuk sebelum pelancaran

    Dalam sebuah video, bahagian depan kereta ini turut ditunjukkan secara sepintas lalu. Ia kelihatan mengambil ilham dari Sonata generasi kelapan. Ia juga tampil dengan bahagian gril yang lebih luas, yang tersambung ke dalam rekaan lampu. Di belakang, lampu rekaan bersegi yang digunakan berhubung terus pada bahagian lampu melintang antara lencana Hyundai dan nama model.

    Sama seperti bahagian luar, ruang dalaman juga tampil dengan rekaan dan sentuhan yang agak radikal jika dibandingkan dengan model generasi ketujuh sebelum ini. Hyundai memanggil pendekatan ini sebagai “Immersive Cocoon”, dan fokus utamanya adalah kepada pemandu, dengan penampilan minimalistik.

    Hyundai Elantra 2021 ditunjuk sebelum pelancaran

    Papan pemuka pula menempatkan dua paparan bersepadu. Lain-lain bahagian sentuhan lain juga diberi perincian teliti, seperti pada pemegang pintu, stereng baru dan tombol gear. Terdapat juga satu ruang simpanan kecil di bawah konsol tengah.

    Hyundai menyatakan, Elantra baru ini lebih panjang, rendah dan lebar berbanding sebelumnya, namun angka sahih masih belum didedahkan. Begitu juga dengan sistem janaan, belum ada perincian yang diumumkan. Tetapi, boleh dijangkakan ia bakal menggunakan enjin petrol Smartstream dan berkemungkinan juga pilihan plug-in hybrid.

     
     
  • JPJ gesa orang ramai tidak terperdaya dengan iklan palsu – semua prosedur harus ikut saluran sah

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggesa orang ramai agar tidak terperdaya dengan iklan palsu yang sedang tular di laman media sosial dengan tanda pagar #viraljpj. Iklan berkenaan mendakwa mampu membantu orang ramai yang ingin membuat penukaran nama geran kenderaan tanpa pengetahuan atau kebenaran pemilik asal, mengambil lesen memandu tanpa perlu menjalani ujian memandu dan juga memperbaharui cukai jalan yang sudah lama tamat tempoh tanpa perlu pemeriksaan Puspakom.

    Walau bagaimanapun, semua perkhidmatan yang dinyatakan itu adalah tidak benar sama sekali dan JPJ sangat mengambil berat mengenai isu itu supaya orang ramai tidak mudah tertipu.

    “JPJ ingin menegaskan bahawa sebarang urusan berkaitan lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) dan tukar hak milik kenderaan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan adalah tidak sah.

    “JPJ juga sudah membuat laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membanteras kegiatan tidak bermoral ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh JPJ dan turut disiarkan menerusi laman Facebook rasmi mereka.

    Ini bukanlah kejadian pertama yang berlaku dengan penularan tawaran promosi palsu atau pun takpa mengikut saluran yang betul. Sudah acapkali pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan ‘kerja-kerja haram’ ini. Dan masih ramai rakyat Malaysia yang mempercayainya membabi buta dan sanggup ‘bersekongkol’ dengan pihak tidak bertanggungjawab ini. Asal ‘dapat memudahkan urusan’ tanpa perlu hadir ke cawangan JPJ.

    Namun persoalannya, masih banyak pihak yang berani berbuat demikian. Adakah ini bermakna hukuman yang menanti, hanya dipandang sepi sahaja? Atau pun, tindakan daripada pihak berwajib sukar untuk ‘menggerunkan’ mereka?

     
     
  • Honda Clarity Electric dihentikan pengeluaran di AS

    Honda Clarity Electric dihentikan pengeluaran di AS

    Adakah sambutan terhadap kenderaan elektrik, termasuk diperingkat global, masih lagi kurang memuaskan. Tapi, betul ke macam tu? Sekurang-kurangnya hal ini boleh dilihat dari perkembangan terbaru melibatkan Honda Clarity Electric yang pengeluarannya bakal dihentikan.

    Menurut laporan USA Today, Clarity Electric gagal untuk mendapat sambutan seperti yang diharapkan bagi sebuah model elektrik. Tetapi, itu bukanlah disebabkan semata-mata kerana kereta ia sebuah EV, melainkan kerana saiznya kerana pengguna di Amerika lebih mahukan kenderaan bersaiz besar seperti SUV dan trak pikap.

    Jurucakap Honda di sana, Natalie Kumaratne memaklumkan, Clarity EV telah dihentikan pengeluarannya pada penghujung 2019, dan itu berlaku kerana permintaan terhadap kereta sedan semakin berkurangan di pasaran Amerika Utara. Lain-lain model yang turut menerima nasib sama ialah Chevrolet Cruze, Ford Focus dan Chrysler 200. Hanya Tesla yang masih menerima permintaan bagi segmen kereta sedan elektrik ketika ini.

    Honda Clarity Electric dihentikan pengeluaran di AS

    Dari sudut jualan, sebanyak 11,654 unit Honda Clarity terjual sepanjang 2019 di Amerika Syarikat; 42% menurun berbanding 2018. Ketika pelancarannya pada 2017, Honda mensasarkan 75,000 unit jualan bagi Clarity, yang turut merangkumi bersi PHEV dan FCEV (kedua-dua pilihan ini bagaimanapun masih diteruskan selepas versi elektrik dihentikan pengeluarannya).

    Honda Clarity EV dikuasakan oleh motor elektrik 161 hp/300 Nm dengan bateri 25.5 kWh. Ia menawarkan tiga mod pemanduan – Normal, Econ dan Sport. Ia boleh dicas penuh dalam tempoh tiga jam pada kadar 240 volts ketika menggunakan pengecas pantas DC serta dengan Sistem Pengecas Gabungan SAE pula, ia boleh mencapai kapasiti 80% dalam masa 30 minit.

     
     
  • Mercedes-Benz EQC – pakej penggayaan dari Hofele

    Mercedes-Benz EQC – pakej penggayaan dari Hofele

    Kenderaan elektrik kini semakin diterima ramai (sekurang-kurangnya di negara luar), dan permintaan untuk aksesorinya juga nanti akan bertambah. Oleh itu, syarikat dari Jerman, Hofele telah mengeluarkan kit penggayaan khas untuk SUV elektrik Mercedes-Benz EQC. Ia lebih kepada perubahan gaya, sementara pakej kuasa masih lagi menggunakan dua motor elektrik 402 hp/765 Nm tork yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 80 kWh seperti asal.

    Dalam keadaan standard keluar dari kilang, EQC mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat dan boleh mencecah kelajuan maksimum 180 km/j. Dengan bateri yang mempunyai berat 652 kg, SUV elektrik ini mencatat berat keseluruhan 2,495 kg, sementara jarak gerak melalui ujian WLTP adalah 417 km, dengan penggunaan kuasa 22.3 hingga 25 kWh bagi setiap 100 km.

    Pada bahagian hadapan, perubahan yang diberikan oleh Hofele boleh dilihat bermula daripada gril serta bampar yang menjadikannya kelihatan seperti Mercedes-Maybach S-Class, tetapi menggunakan kemasan hitam pada bampar tersebut, berbanding krom pada limosin panjang itu.

    Kemudiannya, dalam pakej Hofele ini terdapat set rim ‘Turbine’ 22 inci, yang diwarnakan krom gelap dan dibalut tayar 265/35. Sama seperti bampar hadapan, kemasan pada bahagian tepi dan bawah bampar belakang diwarnakan perak (standard menggunakan warna hitam) manakala diffuser belakang masih dibiarkan warna hitam.

    Masuk ke bahagian dalam, Hofele menyediakan tempat duduk serta beberapa bahagian lain yang dibalut dengan kombinasi kulit Armagnac dan Alcantara yang diperincikan dengan jahitan unik. EQC adalah antara lima model Mercedes-Benz terawal yang mendapat pakej penggayaan daripada Hofele tetapi harganya masih belum diumum.

     
     
  • Lexus LM dilancarkan di Thailand – harga bermula RM739k hingga RM873k, pilihan 4- dan 7-tempat duduk

    Lexus LM dilancarkan di Thailand – harga bermula RM739k hingga RM873k, pilihan 4- dan 7-tempat duduk

    Setelah hampir setahun didedahkan di peringkat global, versi lebih mewah dari MPV mewah Toyota Alphard iaitu Lexus LM kini sudahpun begitu hampir dengan kita – ia secara rasmi dilancarkan di Thailand, ditawarkan dalam dua varian; dijual pada harga bermula 5.5 juta baht (RM738,655) untuk versi tujuh-tempat duduk, manakala versi super mewah empat-tempat duduk dijual pada harga 6.5 juta baht (RM873,457).

    Bagi membayangkan kedudukan sebenar harga Lexus LM ini, di Thailand varian tertinggi Toyota Alphard iaitu dari versi 3.5 VIP dengan Executive Lounge dijual pada harga 5.429 million baht (RM730,405), manakala model 2.5 Hybrid pula dijual pada harga 3.939 juta baht (RM529,910). Manakala di Malaysia, Alphard 3.5 (tanpa spesifikasi Executive Lounge) dijual pada harga RM464,000.

    Untuk pasaran Thailand, MPV ini hadir dalam versi LM300h, iaitu versi janaan petrol dan sistem hibrid menampilkan enjin 2AR-FXE 2.5 liter empat silinder tanpa turbo kitaran Atkinson berkuasa 154 PS/206 Nm dan kotak gear E-CVT untuk memacu roda hadapan, motor elektrik berkuasa 143 PS/270 Nm dan juga satu lagi motor elektrik berasingan pada gandar belakang berkuasa 68 PS/139 Nm – menjadikan MPV ini sebagai kenderaan pacuan semua roda.

    Motor-motor elektrik pada MPV berkenaan menerima kuasa dari bateri logam-nikel hidrat 224.8-volt. Secara keseluruhan, unit janakuasa petrol hibrid pada Lexus LM ini menjana 197 PS. Ini membolehkan MPV tersebut memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 10.5 saat dan mencapai kelajuan maksima 180 km/j. Penggunaan bahan apinya pula dicatatkan pada kadar 6.4 l/100 km.

    Berapa mewah Lexus LM ini berbanding Alphard? Untuk versi paling mewah dengan konfigurasi empat-tempat duduk, ia diasaskan dari kabin Alphard dengan spesdifikasi Royal Lounge. Ini bermakna ruang yang besar pada kabin belakang hanya diletakkan dengan dua buah tempat duduk kapten yang turut boleh dibaringkan sepenuhnya. Tempat duduk ini turut menampilkan kemasan kulit semi-aniline dengan span AdaptiPedic di bawahnya, bersama fungsi pengurut berkuasa.

    Hubungan antara ruang ini dengan kokpit hadapan boleh dipisahkan sepenuhnya menerusi pemisah berkuasa elektrik. Manakala untuk sistem infotainmen “ruang tamu bergerak” ini dibarisi oleh skrin bersaiz 26-inci, serta sistem bunyi surround dari Mark Levinson yang dilengkapi 19-pembesar suara, dan boleh dioperasikan dengan kawalan touch pad.

    Lexus LM dilancarkan di Thailand – harga bermula RM739k hingga RM873k, pilihan 4- dan 7-tempat duduk

    Ruang tersebut turut mempunyai peti sejuk bagi memastikan minuman anda sentiasa sejuk dan juga ruang storan khas untuk menempatkan beg bimbit. Kelengkapan mewah lain yang turut melengkapi ruang ini termasuk sistem pendingin hawa kawalan S-Flow, moon roof yang diperbesarkan serta hiasan Gin-Sui-Boku (dakwat perak) yang dinspirasikan dari lukisan ink wash Jepun.

    Manakala untuk versi tujuh-tempat duduk, ciri mewah pada model lebih “mampu-milik” ini sudah tentu dikurangkan. Ia masih diberikan tempat duduk kapten (dengan fungsi Ottoman berkuasa) di baris tengah, dan tempat duduk jenis bench di belakang – lebih mirip kepada spesifikasi Executive Lounge pada Alphard.

    Kelengkapan lain turut yang dibekalkan untuk LM 300h pasaran Thailand ini termasuk rim 17-inci, lampu hadapan LED, paparan instrumen dengan skrin Optitron 4.2-inci, sistem penghawa dingin dua zon untuk kokpit hadapan, pintu gelangsar berkuasa, paparan utama 12.3-inci dan pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Untuk keselamatan pula, MPV Lexus ini dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan yang terdiri dari sistem pra-pelanggaran, cruise control adaptif, bantuan pengesan lorong, bantuan tukar lorong dengan pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, sistem lampu tinggi adaptif, brek sokongan parkir, dan juga cermin pandang belakang digital.

     
     
  • GALERI: Modenas Pulsar NS200 dengan ABS – RM9.7k

    GALERI: Modenas Pulsar NS200 dengan ABS – RM9.7k

    Modenas Pulsar NS200 terbaru yang diperkenalkan hujung tahun 2019 akhirnya diberi peningkatan dengan ciri ABS. Sebelum itu, sejak diperkenalkan di pasaran Malaysia sejak 2017, ciri berkenaan tidak ditawarkan sekali (hanya Pulsar RS200 yang ada ABS ketika itu).

    Kini, dengan pengenalan versi terbarunya, NS200 hadir dengan ABS satu-saluran pada bahagian roda hadapannya sahaja, dan bukannya versi dua-saluran untuk roda belakang sekali. Selebihnya, dari sudut mekanikal tiada semuanya kekal sama. Angkup brek juga masih menggunakan unit Bybre depan dan belakang.

    Bagi enjin, ia masih menggunakan unit satu-silinder 199.5 cc dengan sistem suntikan bahan api yang menghasilkan sebanyak 24 hp dan 18.6 Nm tork. Enjin berkenaan menggunakan teknologi Triple Spark yang menggunakan tiga palam pencucuh.

    Modenas Pulsar NS200 ABS mempunyai berat 155 kg. Selain itu, fork depannya menggunakan jenis teleskopik di depan, sementara di belakang menggunakan jenis monoshock dengan tabung nitrox dengan kecenderungan talaan lebih kepada memberikan keselesaan.

    Kami sudah membuat laporan tunggang uji bagi Modenas Pulsar NS200 ABS sebelum ini. Jika anda ingin tahu lebih lanjut hal-hal berkaitan motosikal ini, boleh rujuk laporan berkenaan.

     
     
  • Lexus hasilkan kembali iklan “menara gelas champagne”, dibintangi bos Akio Toyoda dan LS 500

    Toyota mewujudkan Lexus, iaitu divisi mewah mereka untuk menawan pasaran Amerika Syarikat pada tahun 1989, dengan model pertama, Lexus LS 400 iaitu model mewah dijana enjin V8 1UZ-FE diasaskan dari Toyota Celsior UCF10.

    Dan ketika mereka masuk ke pasaran AS, iklan TV bertajuk Balance disiarkan, menunjukkan sejumlah gelas champagne yang disusun seperti menara di atas bonet enjin dan tidak jatuh mahupun pecah walaupun kereta berkenaan disimulasikan bergerak pada kelajuan 145 bsj (233 km/j) – menunjukkan betapa stabilnya enjin dan juga sistem suspensi yang tidak mewujudkan sebarang getaran dan masih selesa walaupun dalam kelajuan tinggi.

    30 tahun selepas itu, pengedar Lexus di New Jersey iaitu Lexus of Route 10 menghasilkan kembali iklan yang sama, kali ini menggunakan model baharu Lexus LS 500, dan dibintangi Presiden Toyota sendiri, Akio Toyoda.

    Sama seperti iklan pada tahun 1989, tayar belakang Lexus LS 500 berkenaan diletakkan di atas roller, selepas itu Akio Toyoda menyusun menara gelas tersebut di bonet hadapan. Kemudian enjin dihidupkan, dan ia dipandu secara simulasi sehingga mencecah kelajuan 145 bsj.

    Hasilnya tetap sama – menara gelas tersebut tidak bergetar dan jatuh, dan kereta tersebut kekal stabil walaupun dalam kelajuan tinggi.

    Nampak macam tipu kan? Tapi perkara ini sebenarnya pernah dibuat semula tanpa suntingan terhadap Lexus 460L 2011 dan juga Lexus LS 400 oleh Lexus sebelum ini. Walaupun ujian sebenar yang dilakukan tidak meletakkan kedua-dua kereta tersebut di atas roller, dengan putaran enjin lebih dari 5,000 rpm, ia langsung tidak mewujudkan sebarang getaran yang boleh menyebabkan menara gelas berkenaan runtuh.

     
     
  • New York International Autoshow 2020 April ini tidak ditunda atau dibatalkan – BMW, Merc, Audi tarik diri

    New York International Autoshow 2020 April ini tidak ditunda atau dibatalkan – BMW, Merc, Audi tarik diri

    Tidak seperti Geneva Motorshow 2020 yang mengambil keputusan untuk membatalkan penganjurannya pada awal Mac disebabkan penularan wabak COVID:19, New York International Autoshow (NYIAS) 2020 masih nekad untuk meneruskannya.

    Dijadualkan berlangsung mula 10 hingga 19 April, dengan pembukaan untuk golongan wartawan pada 8 dan 9 April, presiden NYIAS, Mark Scheinberg berkata, jualan tiket untuk orang awam telah pun dibuka, malahan pengenalan kenderaan yang bakal dipamerkan juga dikekalkan.

    “Buat setakat ini, kami masih meneruskan rancangan untuk penganjuran acara ini selagi tiada siapa yang berkata kami tidak boleh melakukannya,”ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Automotive News Europe.

    Walau bagaimana pun, beberapa jenama telah menarik diri daripada mempamerkan produk masing-masing iaitu BMW, Mercedes-Benz dan Audi yang mengambil keputusan untuk tidak menyertai acara tahun ini. Scheinberg berkata, terdapat 18 sidang media telah dijadualkan, meningkat sebanyak dua sesi berbanding tahun lalu dan juga sebanyak 50 pengenalan kenderaan Amerika Utara dan global telah direncanakan sepanjang penganjuran NYIAS 2020 ini.

    “Kami telah menambah jumlah untuk pengenalan kenderaan, semuanya disebabkan pembatalan acara yang sama di Geneva. Malah jualan tiket juga telah meningkat sebanyak 17%. Ini menandakan industri automotif kita masih berjalan ke hadapan, begitu juga dengan kami,” ujar Scheinberg lagi.

    Antara kenderaan yang bakal diperkenalkan di peringkat dunia dalam acara ini termasuklah
    Ford Bronco Sport dan Volkswagen ID4.

    NYIAS 2020 yang bakal berlangsung di Javits Center, yang terletak di tengah-tengah kota metropolitan New York juga bakal mengambil langkah pembersihan dan pembasmi kuman yang sewajarnya. Ini termasuklah untuk bilik rehat, lantai pameran, laluan pejalan kaki, dan apa saja objek yang disentuh oleh pengunjung. Malah terdapat 17 stesen hand-sanitizer tambahan juga akan ditempatkan di sekitar pusat konvensyen ini.

     
     
  • K’jaan dicadang tetapkan pengenalan harga lantai petrol, diesel bagi untungkan semua pihak – PDAM

    K’jaan dicadang tetapkan pengenalan harga lantai petrol, diesel bagi untungkan semua pihak – PDAM

    Kerajaan dicadangkan agar menetapkan pengenalan harga lantai untuk produk runcit petrol dan diesel yang boleh menjadi mekanisme yang menguntungkan pengguna, kerajaan dan pengusaha stesen minyak.

    Menurut Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, menerusi pengenalan harga lantai itu, sebarang hasil kutipan daripada kejatuhan mendadak harga minyak dunia yang mana turut mempengaruhi harga runcit petrol dan diesel dapat disimpan untuk kegunaan masa depan.

    “Sebagai contoh mengambil situasi semasa yang mana harga minyak dunia jatuh ke paras AS$35 setong, harga petrol RON 95 sepatutnya berada pada harga RM1.32 seliter berbanding RM1.89 seliter pada masa ini. Daripada menurunkan harga 57 sen seliter ini, kerajaan boleh menurunkan hanya lima atau 10 sen seliter sahaja, selebihnya disimpan kerajaan dan digunakan sebagai subsidi ketika harga minyak dunia melonjak naik ke paras yang lebih tinggi pada masa hadapan,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    K’jaan dicadang tetapkan pengenalan harga lantai petrol, diesel bagi untungkan semua pihak – PDAM

    Tambahnya lagi, dengan penurunan harga mendadak ini, ia tidak akan membuatkan pengusaha stesen minyak terkejut, dan dalam masa yang sama masih mampu untuk menyerap kerugian daripada penurunan itu kerana tidak membabitkan kos yang besar.

    Dalam masa yang sama, katanya, industri stesen minyak bakal berdepan risiko kerugian sehingga RM150 juta sekiranya kerajaan menurunkan harga runcit komoditi itu sebanyak 57 sen seliter sekali gus dan boleh menyebabkan banyak stesen minyak kecil untuk ditutup.

    “Pendapatan kami dalam sekitar 10 sen hingga 15 sen seliter, jika penurunan atau kenaikannya dalam lima sen sebagai contoh, operasi kami tidak akan berapa terkesan. Ia juga lebih adil kerana naik turun harga adalah stabil dan tidak terlalu besar jurangnya,” katanya.

    Semalam, MIDF Research dalam kajiannya menyatakan kejatuhan harga minyak sedunia mampu menyaksikan harga runcit minyak terutama RON95 berpotensi turun sehingga RM1.32 seliter. Penurunan harga bahan api tersebut adalah disebabkan faktor kejatuhan mendadak harga minyak dunia susulan perang harga di antara pengeluar utama minyak dunia iaitu Arab Saudi dan Russia.

     
     
  • Honda Odyssey 2021 ditunjuk sebelum pengenalan

    Honda Odyssey 2021 ditunjuk sebelum pengenalan

    Honda dikhabarkan bakal memperkenalkan model Odyssey 2021 ketika berlangsungnya New York International Auto Show (NYIAS) 2020. Dalam penampilan terbarunya, model berkenaan menerima beberapa perubahan visual dan kemaskini kelengkapan bagi versi facelift terbaru berkenaan.

    Generasi kelima MPV ini mula memasuki pasaran pada 2018 dan direka khusus bagi pasaran Amerika Utara; ini menjadikannya berbeza dengan model sama yang dijual di pasaran lain seperti Jepun dan Malaysia. Antara kelainan luaran yang ditampilkan kali ini ialah rekaan gril baru dengan perincian hitam menggantikan kemasan krom sebelum ini.

    Melengkapkan lagi pembaharuannya ialah rekaan lampu utama LED baru sebagai ciri standard, dan disifatkan lebih berkuasa serta cekap. Bahagian bawah bampar juga menerima rekaan bukaan udara baru, disertai juga dengan lampu kabus. Di belakang, kemasan hitam berkilat di bawah cermin merupakan tambahan terbaru – imej yang sama dari gril diterjemah juga di belakang. Lain-lain pembaharuan ialah rim 19-inci rekaan baru.

    Honda Odyssey 2021 ditunjuk sebelum pengenalan

    Di dalam pula, MPV berkenaan menerima kawalan pendingin yang dipertingkat. Tempat duduk barisan kedua juga boleh dilipat rata. Semua tingkat kemasan dan versi MPV ini datang lengkap dengan Honda Sensing yang lengkap dengan ciri Adaptive Cruise Control dengan Low-Speed Follow, serta Pedestrian Emergency Braking.

    Honda Odyssey 2021 kekal menggunakan enjin 3.5 liter i-VTEC V6 yang menghasilkan 280 hp, digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan. Enjin ini juga lengkap dengan ciri Variable Cylinder Management (VCM) yang membolehkan peralihan operasi yang lancar antara tiga-silinder dan enam-silinder.

     
     
  • Art of Speed bawa Hot Wheels Legends Tour ke M’sia; tawar peluang kustomizer tempatan ke SEMA USA

    Art of Speed bawa Hot Wheels Legends Tour ke M’sia; tawar peluang kustomizer tempatan ke SEMA USA

    Semalam ketika berlangsungnya pelancaran Super GT Malaysia 2020, pengasas Art of Speed (AOS), Asep Ahmad turut membuat pengumuman bahawa pihaknya akan membawa Hot Wheels Legends Tour ketika berlangsungnya perlumbaan tersebut nanti. Ini bermakna, selain selepas usaha AOS membawa hasil kerja customizer Malaysia ke Mooneyes Yokohama Hot Rod Custom Show, mereka juga membuka peluang untuk anak tempatan menghantar karya mereka ke SEMA Show di Amerika Syarikat.

    Hot Wheels Legends Tour adalah acara yang dianjurkan oleh pemilik jenama kereta mainan die-cast 3-inci, Hot Wheels dari Amerika Syarikat iaitu Mattel. Acara ini mula diadakan bermula pada tahun lalu sempena ulangtahun ke-50 Hot Wheels dan telah menarik penyertaan lebih 5,000 kereta custom dari seluruh Amerika Syarikat.

    Namun hanya 18-buah kereta terpilih untuk ke peringkat akhir yang dilangsungkan serentak dengan acara kenderaan ubahsuai terbesar di Amerika iaitu SEMA Show di Las Vegas. Apa yang lebih menarik, Hot Wheels akan menjelmakan kereta pemenang Legends Tour berkenaan sebagai salah satu kereta mainan dalam skala 1/64 dan dijual ke seluruh dunia bersama model-model mereka yang lain.

    Art of Speed bawa Hot Wheels Legends Tour ke M’sia; tawar peluang kustomizer tempatan ke SEMA USA

    Bagi Hot Wheels Legends Tour di Malaysia ini, 60-kereta akan dijemput untuk menyertai pusingan pertama yang diadakan ketika berlangsungnya Super GT Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 16 hingga 19 Julai nanti. Kemudian 10 kereta terbaik akan sekali lagi bersaing untuk peringkat akhir Malaysia yang akan diadakan ketika acara Art of Speed 2020 di MAEPS Serdang pada 25 dan 26 Julai 2020.

    Pusingan akhir Hot Wheels Legends Tour untuk peringkat rantau Asia pula akan berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam pada 26 dan 27 September 2020, di mana peserta akhir Malaysia akan bersaing dengan kereta-kereta pemenang dari Indonesia, Thailand, Filipina dan India yang akan diterbangkan ke sini.

    Akhir sekali, pemenang untuk peringkat tersebut akan di bawa untuk bertanding ke peringkat akhir global juga di SEMA Amerika Syarikat bagi bersaing dengan peserta lain dari seluruh dunia. Seperti juga tahun lalu, kereta pemenang tahun ini turut akan dijelmakan sebagai kereta die-cast 3-inci Hot Wheels.

     
     
  • Pusat pemasangan Touch ‘n Go RFID di Penang, Johor

    Pusat pemasangan Touch ‘n Go RFID di Penang, Johor

    Touch ‘n Go telah memperluaskan lagi rangkaian pemasangan RFID di bahagian utara dan selatan, dengan lima pusat pemasangan baharu di Pulau Pinang, tiga di Perak dan 10 lokasi baharu di Johor.

    Untuk Pulau Pinang, pusat pemasangan RFID baharu ini terletak di Best Tune Auto Workshop Taman Jawi Jaya, Bok Tyre and Battery Bayan Lepas, Shell Jelutong Expressway (hingga 31 Mac), SS Tyre and Motorcraft Enterprise Jelutong, dan Shell Lebuhraya PLUS Juru Arah Utara (hingga 31 Mac). Bagi Perak pula, pusat pemasangan RFID berada di AEON Big Ipoh Falim, Shell Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh (hingga 31 Mac) dan Shell NTI Jalan Tasik (hingga 31 Mac).

    Manakala untuk bahagian selatan pula, 10 pusat pemasangan RFID berada di AEON Big Kluang (hingga 31 Mac), Hawk Tyre Service (TyrePlus Desa Tebrau), Hawk Tyre Service (TyrePlus Setia Tropika), JJB Auto Service Centre Taman Sri Setia, Pit Stop Auto Care Bukit Indah 1, Shell Permas Jaya 2 (hingga 31 Mac), Success Service and Maintenance Gelang Patah, Sutera Mall (hingga 31 Mac), Tesco Bukit Indah (hingga 31 Mac) dan Tesco Kulai (hingga 31 Mac).

    Pusat pemasangan Touch ‘n Go RFID di Penang, Johor

    Untuk mengetahui senarai penuh pusah pemasangan tag Touch ‘n Go RFID, bolehlah klik di sini. Pemasangan untuk tag RFID telah dilakukan secara percuma untuk orang awam menerusi program perintis yang bermula sejak September 2018, dan telah mencapai satu juta pemasangan RFID. Namun sejak 15 Februari 2020, pemasangan tag RFID ini dikenakan bayaran sebanyak RM35 untuk setiap kereta, sama ada dipasang pada cermin hadapan atau pun lampu utama, dan termasuk sekali penukaran secara percuma jika tag terbabit rosak disebabkan apa jua faktor.

    Transaksi tol menggunakan RFID telah diimplementasikan di kebanyakan lebuhraya di bandar, ini termasuklah AKLEH, Besraya, BKE, BORR, DUKE, Koridor Guthrie, Grand Saga, Grand Sepadu, Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Kedua Pulau Pinang, KESAS, KL-Karak, LATAR, LDP, LEKAS (plaza Ampangan sahaja), Linkedua, LKSA, MEX, NPE, SILK, Terowong Smart dan Sprint.

    Kutipan tol menerusi RFID juga telah dimulakan di 10 plaza tol terbuka di Lebuhraya PLUS mulai 1 Januari 2020 lalu dan kesemua 83 plaza tol sistem tertutup oleh PLUS pula akan bermula pada 1 April ini.

     
     
  • Super GT kembali ke Malaysia – pusingan kelima untuk musim 2020 pada 16 hingga 19 Julai nanti

    Super GT kembali ke Malaysia – pusingan kelima untuk musim 2020 pada 16 hingga 19 Julai nanti

    Selepas enam-tahun menghilang, kini siri perlumbaan terulung di Jepun, kejohanan Super GT kembali beraksi di Litar Antarabangsan Sepang. Tahun ini, Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk pusingan kelima kejohanan untuk musim 2020, dan buat pertama kalinya pelumba dan pasukan yang bertanding akan berlumba pada waktu malam!

    Pusingan di Malaysia tahun ini akan diadakan pada 16 hingga 19 Julai nanti, dan Sepang akan menjadi litar kedua di luar Jepun untuk kejohanan Super GT musim ini, selain dari Burirram, Thailand yang menganjurkan pusingan keempat dua minggu lebih awal.

    Perlumbaan tahun ini akan dipromosikan oleh Haro Sports & Entertainmen, dan mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia dan pihak swasta lain seperti Malaysia Airlines, UMW Toyota (penganjur Toyota Gazoo Racing Festival Malaysia) dan juga Art of Speed.

    Tiket akan dijual pada harga bermula RM80 untuk Grandstand K1 sehingga RM200 untuk Grandstand utama – kedua-duanya untuk pembelian terawal. Selepas itu, harga tiket akan naik bermula RM100 hingga RM250. Pihak penganjur juga menawarkan tiga pakej eksklusif untuk tiket-tiket ini iaitu pakej Dream, Ultimate dan Experience.

    Untuk pembeli pakej Dream dan Ultimate akan membolehkan anda mendapat pengalaman seperti hospitaliti GT Club Paddock, pit walk, taxi ride dan juga safari litar-iaitu pengalaman menaiki bas mengelilingi litar untuk menyaksikan sendiri kereta-kereta lumba berkenaan beraksi dengan lebih dekat.

    Istimewa untuk semua pemegang tiket, UMW Toyota akan menyediakan sebuah Toyota GR Supra sebagai hadiah untuk pertandingan “Predict and Win”, manakala Art of Speed bakal mempersembahkan Auto Expo di kawasan Open Mall hingga ke Grandstand utama.

    Untuk perlumbaan tahun ini, ia masih lagi mengekalkan format dua kelas iaitu GT500 dan GT300 yang dilepaskan sekali. Bagi kategori tertinggi GT500, tiga pengeluar utama Jepun – Honda, Toyota dan Nissan – akan berentap sesama sendiri menerusi 15 pasukan yang bertanding.

    Super GT kembali ke Malaysia – pusingan kelima untuk musim 2020 pada 16 hingga 19 Julai nanti

    Musim ini, Toyota akan turun semula ke gelanggang Super GT dengan kembalinya semula nama Supra, dan menggantikan jenama mewah mereka, Lexus yang bertanding pada perlumbaan musim lalu. Kategori GT 500 akan menggunakan regulasi FIA Class 1 iaitu sama seperti spesfikasi kereta lumba dalam Kejohanan Touring Car Jerman (DTM), dan ini memaksa Honda untuk mengubah kedudukan enjin pada jentera NSX mereka dari bahagian tengah ke bahagian hadapan.

    Manakala Nissan walaupun akan dibarisi jentera baharu, mereka masih lagi menggunakan asas Nissan GT-R R35 sebagai asas kereta lumba GT 500.

    Bagi kategori GT300 pula, dengan regulasi kereta lumba FIA GT3 yang lebih ‘mampu milik’ digunakan, ia meriah dengan penyertaan sehingga 30 pasukan dengan pelbagai jentera seperti Mercedes-AMG, Toyota, BMW, Audi Porsche, Lamborghini, Nissan, Bentley, Honda, Lotus dan Subaru.

    Malah pusingan di Sepang ini turut menampilkan pasukan sepenuhnya dari Malaysia iaitu Porsche GT3 R yang dipandu oleh pasangan Jazeman Jaafar dan Dato’ Adrian da Silva.

     
     
  • Honda mahu lancar EV kedua di Eropah pada 2022

    Honda mahu lancar EV kedua di Eropah pada 2022

    Honda e

    Honda sedang merancang untuk melancarkan kereta elektrik (EV) sepenuhnya yang kedua di pasaran Eropah menjelang tahun 2022 susulan dengan pengenalan Honda e yang muncul dengan gaya retro. Pengeluar kereta terkemuka Jepun ini bakal memulakan penghantaran bagi Honda e pada musim panas ini. Ia dijangka mampu dijual sebanyak 10,000 unit setahun di benua berkenaan.

    Memetik laporan yang disiarkan oleh Automotive News Europe, bos besar Honda Eropah, Tom Gardener berkata, EV kedua terbabit merupakan salah satu daripada empat model elektrifikasi Honda yang akan dilancarkan di antara tahun 2021 dan 2022. Walau bagaimana pun, beliau tidak mendedahkan perincian lanjut mengenai model tersebut.

    Honda juga merancang untuk memperkenalkan versi hibrid penuh untuk model Civic generasi akan datang, dijadualkan pada tahun 2021. Bukan itu sahaja, pengeluar ini juga kemungkinan mahu mengeluarkan versi plug-in hybrid untuk Civic.

    Honda mahu lancar EV kedua di Eropah pada 2022

    Honda Crossstar

    Selain itu, Honda juga merancang untuk mengimport beberapa model hibrid dari Jepun ke pasaran Eropah, ini temasuklah Accord dan juga Clarity PHEV. Seperti pengeluar kenderaan lain, Honda juga menambah barisan model janaan bateri dan juga hibrid elektrik bagi menepati piawaian peraturan emisi CO2 yang ditetapkan oleh Eropah.

    “Antara agenda di Eropah ialah mempercepatkan langkah ke teknologi rendah dan sifar-emisi yang lebih cepat berbanding tempat lain di seluruh dunia,” ujar Gardner. Beliau turut berkata, SUV CR-V versi hibrid yang dilancarkan pada tahun 2018, kini menguasai 60% dalam keseluruhan jualan jenama tersebut di rantau itu. Untuk rekod, Honda tidak lagi menjual versi diesel bagi CR-V.

    Honda juga dijangka akan memulakan jualan bagi Jazz yang hanya didatangkan dengan versi hibrid pada musim panas ini. Jazz juga akan mempunyai versi lain yang diberi nama Crosstar dengan penggayaan SUV crossover bersama rel bumbung, dan juga gril yang berbeza daripada Jazz. Selain itu, Honda juga akan meletakkan barisan model elektrifikasinya di bawah nama Honda e:TECHNOLOGY, contohnya Jazz hybrid yang akan dipadankan dengan lencana e:HEV.

     
     
  • Bayangan kereta nasional ketiga keluaran DreamEdge

    Bayangan kereta nasional ketiga keluaran DreamEdge

    Pada minggu lepas, CEO Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Madani Sahari telah mengesahkan projek kereta nasional baharu (NNCP) tetap akan diteruskan, tetapi hanya akan mengambil masa empat bulan lagi sebelum ia dapat didedahkan sepenuhnya.

    Ia sepatutnya membuat penampilan semasa Malaysia Autoshow 2020 bulan hadapan, tetapi acara itu telah ditunda kepada bulan Julai disebabkan penyebaran wabak COVID-19. Setakat ini, kereta projek yang diterajui oleh syarikat kejuruteraan digital, DreamEdge itu hanya ditunjukkan sedikit sahaja, iaitu waktu pembentangan Polisi Automotif Negara (NAP) bulan lepas.

    Daripada apa yang dapat dilihat itu, pakar ilustrasi digital automotif, Theophilus Chin cuba memberi gambaran bagaimana rupa kereta itu secara keseluruhan, dan hasilnya adalah seperti yang anda boleh lihat dalam gambar. Bahagian lampu depan dan belakang adalah mengikut apa yang sudah didedah, sementara bahagian lain adalah imaginasi Chin sendiri.

    Bayangan kereta nasional ketiga keluaran DreamEdge

    Lukisan digital Chin menunjukkan rekaan yang kemas, dengan garis badan gaya kenderaan Eropah. Bahagian belakang mempunyai kemasan seakan diffuser manakala di atas bonet hadapan pula terdapat dua bonjolan seakan model prestasi. Setakat yang diketahui, model pertama kereta nasional ketiga ini akan mendapat sokongan teknikal daripada Daihatsu sementara rekaan luar dan dalam pula dibangunkan sendiri oleh DreamEdge.

    Berkemungkinan besar, kereta ini nanti hanya akan menggunakan enjin petrol biasa atau hibrid, dan dijanjikan oleh pengeluarnya sebagai kereta yang seronok untuk dipandu, mesra keluarga, lebih nilai untuk wang dan jimat bahan api. Ia juga diberitahu akan mendapat rekaan “moden dan futuristik”, lengkap dengan fungsi sambungan canggih serta sistem bantuan pemandu terkini.

     
     
  • Balik kampung dan bergaya dengan unit pra-milik sah dari Mercedes-Benz – kadar faedah serendah 1.98%

    Balik kampung dan bergaya dengan unit pra-milik sah dari Mercedes-Benz – kadar faedah serendah 1.98%

    Ingin balik kampung untuk Hari Raya sambil bergaya dengan Mercedes-Benz? Jika itu yang anda idamkan, Hap Seng Star (HSS) ada berita baik. Kempen Raya bagi kenderaan terpakai atau pra-milik Mercedes-Benz kini menawarkan pilihan dan harga menarik.

    Kempen yang berlangsung selama dua bulan dan bermula hari ini menawarkan dua pilihan pembiayaan untuk kereta Mercedes-Benz idaman anda. Yang pertama ialah melalui FinanceCare, yang membolehkan anda menikmati kadar faedah serendah 1.98% bagi tempoh tiga atau lima tahun serta 2.18% bagi tempoh tujuh tahun. Satu lagi ialah melalui Young Star Agility Financing yang turut menyediakan insurans konprehensif untuk kenderaan*.

    Kedua-dua pembiayaan itu datang lengkap dengan MobilityPlus* yang membolehkan anda menikmati kereta gantian ketika kenderaan Mercedes-Benz anda dihantar untuk servis rutin (termasuk tuntutan jaminan) yang memerlukan masa 48 jam atau lebih. Pilihan pembiayaan ini sah untuk model-model terpilih, yang berusia 18 bulan atau kurang.

    Selain itu, HSS juga menawarkan tawaran hebat “Star-of-the Day”, terhad kepada satu unit sehari. Barisan kenderaan yang komprehensif ini boleh didekati bertempat di pusat kenderaan terpakai HSS di Kinrara dan Balakong, yang turut merupakan kemudahan pameran kenderaan terpakai terbesar Mercedes-Benz di Malaysia. Waktu operasi ialah dari jam 9 pagi hingga 7 malam bagi Isnin-Jumaat, manakala dari 9 pagi hingga 6 petang pada Sabtu dan juga 10 pagi hingga 6 petang pada Ahad.

    Balik kampung dan bergaya dengan unit pra-milik sah dari Mercedes-Benz – kadar faedah serendah 1.98%

    Pembeli tidak perlu risau tentang kualiti dan keadaan kenderaan terpakai yang ada. Semua kenderaan tersenarai di dalam program Mercedes-Benz Certified dan diperoleh daripada pengedar MBM sah, dengan syarat kenderaan terbabit tidak lebih daripada usia enam tahun atau melebihi 125,000 km jarak perjalanan. Tambahan pula, semua kenderaan terbabit tidak pernah mengalami masalah kerosakan struktur dan diservis serta diselenggara oleh pusat servis sah menggunakan alat ganti tulen.

    Kereta yang memenuhi semua kriteria berkenaan kemudiannya perlu menjalani pemeriksaan 215-titik oleh juruteknik bertauliah, yang meliputi semua aspek termasuk komponen enjin, badan dan casis, sistem elektrik serta ujian penggunaan sebenar.

    Hanya selepas kenderaan terbabit lulus pemeriksaan ini, serta rekod servis dan penyelenggaraan rasminya diperiksan dan disahkan, barulah ia diberikan kelulusan di bawah Mercedes-Benz Certified. Jadi, pembeli tidak perlu risau. Ketahui model-model yang tersedia di kempen Raya Hap Seng Star di sini.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Isuzu D-Max 1.9L berjaya harungi cabaran lasak merentasi laluan Banjaran Titiwangsa sejauh 1,000 km

    Isuzu D-Max 1.9L berjaya harungi cabaran lasak merentasi laluan Banjaran Titiwangsa sejauh 1,000 km

    Sebelum ini, Isuzu D-Max pernah mencipta kejayaan dengan menggunakan hanya satu tangki bahan api sepanjang perjalanan dari Bangkok ke Singapura. Baru-baru ini, ia telah mencipta satu lagi kejayaan yang sama apabila Isuzu Malaysia telah menganjurkan cabaran D-Max 1.9 Blue Power Dura Challenge.

    Di mana pemanduan ekstrem ini melibatkan varian D-Max 1.9 liter Single Cab yang telah dimuatkan beban maksimum sehingga satu tan yang boleh ditampungnya untuk dipandu melalui kawasan tanah tinggi Banjaran Titiwangsa dengan catatan jumlah jarak perjalanan melebihi 1,000 km.

    Sebelum memulakan perjalanannya dari kilang Isuzu-Hicom Malaysia di Pekan, Pahang, pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap Isuzu D-Max 1.9 liter Single Cab oleh PUSPAKOM bagi mengesahkan bahawa ia unit standard yang sama di bilik pameran serta bagi mendapatkan pengesahan terhadap jumlah beban yang dibawa melebihi 1,000 kg.

    Dengan bahagian muatan, bonet serta tangki minyak ditutup dan disah dilekapkan, Isuzu D-Max 1.9 liter single cab menuju ke utara untuk cabarannya yang pertama — Lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan Jeli di Kelantan dengan Grik di Perak dengan laluan mendaki dengan ketinggian 1,052 m sebelum ke Ipoh untuk menamatkan cabaran hari pertamanya.

    Kemudian cabaran disambung lagi dengan merentasi laluan yang lebih sukar apabila unit kabin tunggal berkenaan harus mendaki ketinggian 1,112 m ke Tanah Rata di Cameron Highlands sebelum meneruskan perjalanan ke Fraser’s Hill (1,222 m) melalui Raub.

    Seterusnya, cabaran perjalanannya lebih getir dengan merentasi laluan mendaki berketinggian 1,604 m menuju Genting Highlands sebelum menamatkan perjalanan di Pusat Servis Isuzu di Shah Alam dan merekodkan jarak perjalanan 1,145 km keseluruhannya.

    Dengan purata penggunaan bahan api 7.2l/100 km (13.7 km/l) berdasarkan bacaan pada meter dalamannya, D-Max 1.9 liter Single Cab tiba di lokasi akhirnya dengan bahan api yang masih berbaki dua takuk di dalam tangki berkapasiti 76 liter.

    “Melalui teknologi maju, unit enjin 1.9 liter RZ4E-TC yang digunakan ialah yang paling cekap pernah dihasilkan oleh Isuzu Motors. Ini telah dibuktikan dengan jelas di dalam percubaan yang dilakukan ini. Memang ada kenderaan lain boleh menjelajah jarak yang jauh dengan hanya satu tangki bahan api, sesetengah yang lain pula boleh membawa beban 1 tan serta melalui jalan mendaki dipergunungan.

    “Tetapi, untuk sebuah kenderaan mampu melakukan ketiga-tiganya sekali dengan cemerlang, ia sesuatu yang menakjubkan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura.

    Isuzu D-Max 1.9L berjaya harungi cabaran lasak merentasi laluan Banjaran Titiwangsa sejauh 1,000 km

    Dikuasakan oleh enjin 1.9 liter Blue Power diesel terkini yang menghasilkan lebih kuasa dan tork berbanding model dengan enjin 2.5 liter yang digantikannya, Isuzu D-Max Single Cab memaksimumkan prestasinya melalui inovasi teknologi termasuk pada rekaan kebuk pembakaran dan intake manifold, sistem suntikan minyak baru yang menjadikan bahan api disemburkan dengan lebih tepat dan optimum serta pengecas turbo Variable Geometry (VGS) yang menjadikan enjin lebih responsif dalam julat yang lebih luas.

    Dengan gabungan komponen enjin yang kurang geseran serta disaluti Molybdenum dan Graphite, enjin 1.9 liter Blue Power dapat memberikan lebih daya tahan dan pada masa yang sama dapat mengurangkan tekanan pada komponen. Ini menyumbang kepada pengurangan berat enjin sehingga 56 kg, menjadikan D-Max 1.9 liter Blue Power antara trak pikap yang boleh diharap dan paling mampu milik di dalam pasaran tempatan ketika ini kerana kos selenggara dan cukai jalannya yang rendah.

    Semua model Isuzu D-Max termasuk 1.9 liter Single Cab didatangkan dengan tempoh jaminan lima-tahun atau 150,000 km, memberikan ketenangan dan kepastian kepada pemiliknya bahawa enjin 1.9 liter berprestasi tinggi ini dapat mengharungi apa jua halangan dan cabaran harian. Perincian penuh mengenai barisan Isuzu D-Max 2019 boleh diketahui menerusi CarBase.my.

    GALERI: Isuzu D-Max 1.9L Ddi BluePower 2019

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026