Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Harga petrol RON95 berpotensi turun hingga RM1.32/L

    Harga petrol RON95 berpotensi turun hingga RM1.32/L

    Pada Jumaat lalu, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan harga petrol RON95 bagi minggu bertarikh 7 hingga 13 Mac 2020 turun sehingga RM1.89 seliter. Ini mengundang rasa gembira di hati rakyat marhaen, kerana ia dilihat mampu mengurangkan beban kewangan sedia ada.

    Penurunan harga bahan api tersebut adalah disebabkan faktor kejatuhan mendadak harga minyak dunia susulan perang harga di antara pengeluar utama minyak dunia iaitu Arab Saudi dan Russia. Akibat daripada itu, MIDF Research dalam kajiannya menyatakan kejatuhan harga minyak sedunia mampu menyaksikan harga runcit minyak terutama RON95 berpotensi turun sehingga RM1.32 seliter.

    Dalam notanya yang disiarkan oleh Berita Harian hari ini, MIDF Research berkata, kejatuhan harga komoditi itu akan memberi lebih banyak kesan negatif kepada Malaysia berbanding positif memandangkan negara adalah pengeksport minyak.

    Harga petrol RON95 berpotensi turun hingga RM1.32/L

    Bahagian penyelidikan ekuiti itu turut berkata, dari sudut positif harga runcit minyak terutama RON95 mungkin akan menurun sehingga RM1.32 seliter jika purata harga penanda aras minyak mentah Brent berada pada AS$35 setong. Situasi itu akan menyebabkan kadar inflasi kekal rendah dan menyokong penggunaan domestik.

    “Dari sudut negatif pula, penyusutan harga minyak dunia ini akan memberi tekanan kepada kapasiti fiskal Malaysia memandangkan Belanjawan 2020 sebelum ini dirangka berdasarkan andaian harga minyak ialah AS$62 setong.

    “Kerajaan yang baru terbentuk kali ini dilihat berkemungkinan besar akan menyemak semula Belanjawan 2020 dan kita mungkin boleh lihat akan berlaku pengurangan dalam perbelanjaan dan pelaburan kerajaan,” katanya.

     
     
  • Harga Modenas Pulsar RS200 dan Dominar D400 turun

    Harga Modenas Pulsar RS200 dan Dominar D400 turun

    Modenas telah umumkan penurunan harga lebih daripada 10% bagi dua model keluarannya, Modenas Pulsar RS200 dan juga Dominar D400 bermula dari 8 Mac 2020. Ini menjadikan harga baru bagi Pulsar RS200 kini hanya RM9,990, melibatkan pengurangan sebanyak 12% atau RM1,360 berbanding harga sebelum ini RM11,350.

    Sementara itu, Dominar D400 pula kini dijual pada harga RM13,788, turun sebanyak RM1,700 atau 11% berbanding harga sebelum ini RM15,488. Menurut CEO Modenas, Roslan Roskan, ini adalah berikutan daripada pengurangan kos pembuatan bagi kedua-dua model terbabit yang telah membolehkan berlakunya penurunan harga seperti yang dinyatakan.

    “Melalui penambahbaikan dalam proses pengeluaran kami, Modenas telah berjaya
    mengurangkan kos pengeluaran bagi model Modenas Pulsar RS200 dan juga Modenas
    Dominar D400, lantas menjadikan kedua-dua model popular ini lebih mampu milik untuk semua
    peminat jentera dua roda di Malaysia,” kata Roslan.

    Harga Modenas Pulsar RS200 dan Dominar D400 turun

    Kedua-dua model berkenaan dilengkapi dengan silinder tunggal, penyejukan cecair, empat-lejang SOHC serta sistem DTS-i dengan suntikan bahan api. Kedua-duanya juga menggunakan brek cakera tunggal jenama ByBre yang turut dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan.

    Selain daripada pengurangan harga, Modenas merancang untuk meningkatkan prestasi jualan dengan memperluaskan portfolio produk dan capaiannya serta pembukaan pengedar sah baru. Modenas merancang memperkenalkan lima hingga lapan buah model baharu (motosikal dan variasi) untuk pasaran Malaysia dalam tahun ini.

     
     
  • Triumph Tiger 900 masuk pasaran Malaysia – generasi baru, enam varian, harga dari RM63,900 ke RM85,900

    Triumph Tiger 900 masuk pasaran Malaysia – generasi baru, enam varian, harga dari RM63,900 ke RM85,900

    Pada tahun ini, model kembara Tiger keluaran Triumph diperkenalkan melalui generasi baru yang dipanggil sebagai Tiger 900. Semasa ditunjukkan kali pertama hujung tahun lalu, ia hadir dalam lima varian tetapi yang dibawa masuk ke dalam Malaysia ada enam varian iaitu Tiger 900, Tiger 900 GT, Tiger 900 GT LRH (tempat duduk lebih rendah), Tiger 900 GT Pro, Tiger 900 Rally dan Tiger 900 Rally Pro. Harganya masing-masing adalah RM63,900, RM74,900, RM74,900, RM82,900, RM78,900 dan RM85,900.

    Bagi yang belum mengenali model ini, Tiger 900 adalah versi asas, GT adalah lebih kepada penggunaan atas jalan biasa (seperti menggantikan XR sebelum ini), manakala Rally pula mempunyai kelebihan atas jalan offroad dan seperti menggantikan barisan XC sebelum ini.

    Memandangkan ini adalah sebuah model yang dipanggil sebagai generasi baru, hampir keseluruhan bahagiannya adalah baru termasuklah enjin yang sekarang menggunakan unit tiga silinder 888 cc DOHC (sebelum ini 800 cc) yang mampu menghasilkan kuasa 93.9 hp pada 8,750 rpm dan 87 Nm tork pada 7,250 rpm. Kuasa maksimum masih sama seperti sebelum ini, tetapi tork telah meningkat sebanyak 8 Nm. Kotak gear sama enam kelajuan masih digunakan.

    Pembaharuan lain yang dikongsi untuk semua versi adalah kerangka serba ringan, semua lampu jenis LED, bentuk badan asas yang lebih kurus, tangki bahan api 20 liter, brek Brembo Stylema empat piston Monobloc di hadapan dengan cakera 320 mm, serta angkup Brembo satu piston dengan cakera 255 mm di belakang. Kesemua versi juga dilengkapi dengan ABS dan mendapat manfaat daripada ergonomik yang telah diubah (tempat duduk lebih lebar dan pemegang lebih dekat).

    Untuk suspensi, versi asas Tiger 900, GT dan GT Pro menggunakan unit Marzocchi, dengan unit 45 mm USD di hadapan dan monoshock di belakang, tetapi GT dan GT Pro mendapat kelebihan dengan fungsi lantunan dan serapan yang boleh dilaras (suspensi belakang GT Pro boleh dilaras secara elektronik). Jarak geraknya adalah 180 mm di hadapan dan 170 mm di belakang.

    Versi Rally dan Rally Pro yang lebih fokus kepada tunggangan atas jalan kasar pula menggunakan suspensi Showa, dengan di hadapan terdapat unit USD 45 mm yang boleh dilaras untuk pra beban, lantunan serta serapan manakala di belakang terdapat unit yang boleh dilaras untuk pra beban dan lantunan. Larasan untuk suspensi ini perlu dilakukan secara manual dan jarak geraknya masing-masing adalah 240 mm untuk hadapan dan 230 mm untuk belakang.

    Triumph Tiger 900 masuk pasaran Malaysia – generasi baru, enam varian, harga dari RM63,900 ke RM85,900

    Pergi pula kepada mod tunggangan, model asas Tiger 900 cuma datang dengan dua pilihan iaitu Rain dan Road, Rally dan GT ditambah dengan dua lagi mod iaitu Sport dan Offroad, GT Pro ditambah lagi dengan Rider manakala Rally Pro mempunyai pilihan mod paling banyak iaitu enam dengan kesemua ini, dan ditambah lagi dengan Offroad Pro.

    Pada bahagian kokpit, semua versi kecuali Tiger 900 asas mendapat panel instrumen TFT 7.0 inci baru, tetapi cuma versi GT Pro dan Rally Pro sahaja yang boleh disambung dengan sistem My Triumph dan aplikasi yang membolehkan kawalan panaggilan, mesej, muzik serta navigasi pada telefon pintar.

    Untuk sistem keselamatan dan elektronik, semua model dilengkapi dengan ABS, tetapi GT, GT Pro, Rally dan Rally Pro ditambah lagi dengan Cornering ABS dan Traction Control yang dioptimakan dengan penggunaan Inertial Measurement Unit (IMU), cruise control dan pemanas tangan. Pergi satu tahap lagi, GT Pro dan Rally Pro ditambah lagi dengan quickshifter naik dan turun gear, pemanas tempat duduk dengan kawalan berasingan dan pemerhati tekanan angin tayar.

    Melihat kepada versi Tiger 900 GT LRH, tempat duduknya adalah 50 mm lebih rendah berbanding model GT biasa, dan ini dilakukan hasil pelarasan khas pada bahagian suspensi dan tempat duduk. Tempat duduk itu juga masih lagi boleh dilaras antara 20 mm lagi, menjadikan tingginya antara 760 hingga 780 mm.

    Sudah tentu, sebagai sebuah motosikal adventure, pelbagai lagi barangan dan aksesori akan dimahukan oleh pengguna, dan Triumph ada menawarkan lebih 65 aksesori khas untuk Tiger 900 termasuk untuk keselesaan, perlindungan, kemampuan ataupun penampilan.

    GALERI: Triumph Tiger 900 2020

    GALERI: Triumph Tiger 900 GT 2020

    GALERI: Triumph Tiger 900 GT Pro 2020

    GALERI: Triumph Tiger 900 Rally 2020

    GALERI: Triumph Tiger 900 Rally Pro 2020

     
     
  • Triumph Thruxton RS 2020 dilancar – 97 hp, RM86,900

    Triumph Thruxton RS 2020 dilancar – 97 hp, RM86,900

    Selain daripada Rocket 3, Triumph Malaysia turut melancarkan Thruxton RS 2020 untuk pasaran, dengan harga RM86,900 tidak termasuk insurans. Model ini diperkenalkan kepada dunia buat pertama kali November tahun lalu, dan menerapkan pelbagai peningkatan.

    Model baru ini masih lagi menggunakan enjin yang sama seperti sebelum ini, iaitu unit dua silinder selari 1,200 cc, tetapi kuasanya ditingkatkan dari 97 hp kepada 105 hp. Tork maksimum 112 Nm pula sekarang boleh dinikmati pada 700 rpm lebih rendah iaitu bermula 4,950 rpm. Enjin ini juga boleh dipaksa ke tahap rpm 500 lebih tinggi.

    Bahagian dalam enjin seperti crankshaft, klac dan batang pengimbang telah direka semula, sekaligus menyumbang kepada inertia pusingan dalam enjin yang berkurang sebanyak 20%. Digabungkan dengan berat yang telah berkurang 6 kg (sebelum ini 203 kg), Thruxton RS sekarang menjadi sebuah motosikal yang lebih responsif.

    Transmisi enam kelajuan pada motosikal ini sekarang dipasang dengan klac jenis torque and assist bagi memberikan tarikan yang lebih ringan, sementara mod tunggangan pula disediakan dalam tiga tetapan iaitu Sport, Road dan Rain. Selain maklum balas enjin, setiap mod juga memberikan kesan kepada ABS dan kawalan cengkaman.

    Dikenali sebagai sebuah model klasik moden berprestasi, Thruxton RS kini menggunakan angkup brek Brembo M50 Monobloc (sebelum ini unit Brembo M4.32) dengan cakera berkembar 320 mm di hadapan, sementara tayar pula telah ditukar daripada Pirelli Diablo Rosso Corsa kepada Metzeler Racetec RR. Suspensi adalah unit Showa boleh laras sepenuhnya di hadapan manakala di belakang menggunakan dua penyerap Ohlins yang juga boleh dilaras.

    Perubahan kosmetik yang dibuat untuk model baru ini adalah termasuk rim hitam yang melalui proses sama seperti penutup tepi enjin sementara pilihan warna pula terdiri daripada Jet Black dan Matte Grey/Matte Silver Ice. Fairing cafe racer dijual berasingan sebagai aksesori tambahan bersama pelbagai barangan lain.


     
     
  • Suzuki Ciaz facelift 2020 dilancarkan di Thailand

    Suzuki Ciaz facelift 2020 dilancarkan di Thailand

    Pertama kali muncul di India pada Ogos 2018, Suzuki Ciaz facelift kini membuat penampilan sulungnya di Thailand. Tak banyak perubahan dilakukan sebenarnya. Sebagai sebuah kereta sedan eco dalam segmen B dengan ruang but yang luas (565L), ia dijana enjin 1.25 liter dengan kuasa 91 hp dan 118 Nm, dipadankan dengan kotak gear CVT.

    Yang berubah sedikit ialah penampilannya, kini dengan wajah baru yang lebih segar. Ia kini juga nampak lebih premium dengan lampu projektor LED dengan DRL LED, yang disepadukan dengan rekaan gril lebar. Rekaan bampar juga diberikan elemen baru, bukaan udara serta kemasan di sekitar lampu kabus.

    Di belakang, rekaan lampu a la Honda City masih dikekalkan, tetapi ada tambahan krom pada bampar barunya yang kini turut dipasangkan dengan empat sensor parkir, skirting sisi serta spoiler but dengan brek ketiga. Rim bagaimanapun masih sama, 16-inci dengan tayar 195/55.

    Suzuki Ciaz facelift 2020 dilancarkan di Thailand

    Di dalam, kemasan diberikan dalam warna hitam. Pasaran Thailand menerima kerusi dan stereng balutan kulit, pemegang pintu krom, butang audio pada stereng, sistem tanpa kunci dan butang Start, pendingin hawa automatik, corong pendingin belakang, penapis udara serta head unit dengan skrin sentuh tujuh-inci Suzuki Smart Connect. Ciri berkenaan juga lengkap dengan Bluetooth, Apple CarPlay, Android Auto dan MirrorLink – serta enam pembesar suara.

    Dari sudut keselamatan pula adalah terlalu asas. Ciaz 2020 hanya ada dua beg udara dan ABS/EBD/BA. Ditawarkan dalam enam warna dan harga yang dikekalkan, Ciaz facelift 2020 dijual pada harga bermula 523,000 baht (RM69,933) bagi yang paling asas dengan kotak gear manual lima-kelajuan hingga 675,000 baht (RM90,258) bagi versi RS CVT.

    Dengan ura-ura jenama Suzuki akan kembali ke Malaysia di bawah Naza Group, ada sesiapa yang inginkan model ini ditawarkan sebagai pesaing terbaru bagi Honda City dan Toyota Vios? Tapi, ciri keselamatan kena pertingkatkan lagilah, kan?

     
     
  • Mazda CX-30 2020 dilancarkan di Thai, dari RM131k

    Mazda CX-30 2020 dilancarkan di Thai, dari RM131k

    Mazda telah melancarkan CX-30 di Thailand baru-baru ini. Pasaran negara jiran kita itu menerima satu-satunya pilihan enjin iaitu 2.0 liter SkyActiv-G naturally aspirated dengan 165 PS/213 Nm dan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Tiada pilihan enjin diesel untuk Thailand, tidak seperti kita yang turut menerima penjana kuasa 1.8 liter SkyActiv-D dengan 114 hp/27- Nm, dan Thai sendiri pernah memiliki enjin 1.5 liter turbodiesel.

    Terdapat tiga tahap kemasan untuk Negara Gajah Putih ini – varian C pada harga 989,000 baht (RM131,033), S berharga 1.099 juta baht (RM145,796) dan model spesifikasi tertinggi SP berharga 1.199 juta baht (RM159,062) termasuk dilengkapi sistem bantuan pemanduan Mazda i-Activsense. Harga ini ternyata lebih tinggi berbanding CX-3 (dari 34,000 ke 116,000 baht).

    Mazda CX-30 2020 dilancarkan di Thai, dari RM131k

    CX-30 yang dilancarkan oleh Bermaz untuk pasaran Malaysia pada Januari lalu, didatangkan dengan tiga varian – 2.0G, 2.0G High dab 1.8D High. Kesemuanya dengan pacuan semua-roda bersama G-Vectoring Control Plus.

    Bagi ciri kelengkapannya, varian 2.0G didatangkan dengan aloi 16-inci, lampu utama LED, butang penghidup enjin, paparan utama, pendingin hawa manual, tempat duduk balutan fabrik, kemasan papan pemuka tona perak, tempat duduk hadapan manual, i-Stop auto start-stop dan kamera undur. Sistem infotainmen Mazda Connect disambungkan ke paparan 8.8-inci dan lapan pembesar suara, dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Untuk varian 2.0G High dan 1.8D High ada pertambahan ciri termasuk lampu tinggi automatik dan LED bagi lampu utama, aloi 18-inci, kemasukan tanpa kunci, tailgate kuasa, bumbung matahari berkuasa, dan penderia parkir untuk hadapan dan belakang). Di dalamnya, varian High didatangkan dengan kawalan suhu dwi-zon dengan corong di belakang, upholstery kulit, tempat duduk pemandu berkuasa dengan 10-cara larasan dan tatapan memori, dan pedal penukar gear.

    Mazda CX-30 2020 dilancarkan di Thai, dari RM131k

    Untuk aspek keselamatan pula, semua varian CX-5 didatangkan dengan tujuh beg udara, DSC, Bantuan Mula Mendaki, brek parkir elektronik dengan penahan auto, dan cagak Isofix. Walau bagaimana pun, varian High ditambah lagi dengan i-Activsense, termasuk Sistem Pencahayaan Hadapan Adaptif, Kawalan Lampu Tinggi, Pemantauan Titik Buta, Amaran Ketibaan Lorong, Kepekaan Trafik Lintasan Belakang, Kepekaan Perhatian Pemandu, Sokongan Brek Bandar Pintar (hadapan dan belakang) dan Mazda Radar Cruise Control.

    Harga CX-30 di Malaysia bermula dari RM143,059 untuk 2.0G, atas jalan tanpa insurans. Manakala 2.0G High berharga RM164,059 dan 1.8D High pula RM172,943. Bermaz turut memberikan waranti pengilang lima-tahun/100,000 km dan penyelenggaraan percuma lima-tahun. Perincian penuh ada di CarBase.my.

    GALERI: Mazda CX-30 2.0 G High 2020 spesifikasi Malaysia

     
     
  • Triumph Rocket 3 R dan GT tiba di Malaysia – harga RM131k dan RM137k, guna enjin 2,500 cc 165 hp

    Triumph Rocket 3 R dan GT tiba di Malaysia – harga RM131k dan RM137k, guna enjin 2,500 cc 165 hp

    Diperkenalkan kepada dunia Ogos tahun lalu, kini Triumph Rocket 3 R dan Rocket 3 GT sudah dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga masing-masing RM130,900 dan RM136,900 tidak termasuk insurans. Di dalam pasaran, model power cruiser ini akan bersaing dengan model seperti Ducati Diavel dan X Diavel.

    Model baru ini masih kekal sebagai motosikal produksi dengan enjin berkapasiti paling tinggi di dunia, dengan menggunakan unit tiga silinder 2,500 cc yang mampu menghasilkan kuasa 165 hp pada 6,000 rpm dan 221 Nm tork pada 4,000 rpm. Jika dibandingkan dengan model sebelumnya, kuasa ini adalah 11% lebih tinggi.

    Daripada enjin, kuasa disampaikan melalui transmisi enam kelajuan, seterusnya sistem pacuan shaft kepada roda belakang. Melalui kuasa daripada enjin besar ini, Rocket 3 menyediakan nisbah kuasa kepada berat yang lebih mengujakan kerana beratnya masing-masing cuma 291 kg untuk R dan 294 kg untuk GT.

    Perbezaan utama antara dua versi yang ditawarkan adalah Rocket 3 R disediakan untuk mereka yang mahukan tunggangan sporty manakala Rocket 3 GT pula untuk mereka yang lebih santai dan mahu banyak menggunakannya bagi perjalanan jarak jauh.

    Anda boleh melihat perbezaannya pada bahagian seperti peletak kaki (jenis dan kedudukannya), penghadang angin hadapan, penyandar kecil untuk penumpang belakang, pemegang dan tinggi tempat duduk (773 mm untuk Rocket 3 R dan 750 mm untuk Rocket 3 GT).

    Kebanyakan kelengkapan lain pada motosikal ini adalah sama, termasuk suspensi yang terdiri daripada unit fork Showa 47 mm dengan larasan lantunan dan mampatan di hadapan, serta monoshock Showa boleh laras sepenuhnya di belakang. Kuasa brek pula datang daripada angkup Brembo M4.30 Stylema empat piston dan cakera 320 mm di hadapan, lengkap dengan Cornering ABS.

    Triumph Rocket 3 R dan GT tiba di Malaysia – harga RM131k dan RM137k, guna enjin 2,500 cc 165 hp

    Pada bahagian elektronik, Rocket 3 datang dengan empat pilihan mod tunggangan, Traction Control, panel instrumen TFT-LCD generasi kedua Triumph serta semua lampu jenis LED. Turut diberikan secara standard adalah Hill Hold Control, Cruise Control dan sistem tanpa kunci. Tangki bahan api pula berkapasiti 18 liter.

    Selain daripada dua versi Rocket 3 ini, Triumph Malaysia turut menyerahkan sebuah Rocket 3 istimewa versi TFC kepada pemilik pertamanya di Malaysia. Versi ini mempunyai lebih banyak bahagian yang dibuat daripada gentian karbon, dan lebih ringan berbanding Rocket 3 biasa. Ia dikeluarkan terhad sebanyak 750 unit untuk seluruh dunia dan juga mempunyai kedudukan menunggang yang berbeza.

    GALERI: Triumph Rocket 3 R 2020

    GALERI: Triumph Rocket 3 GT 2020

    GALERI: Triumph Rocket 3 TFC 2020

     
     
  • Volvo susun 4 trak secara bertingkat dalam iklan baharu; presiden Roger Alm berlakon sebagai bomoh

    Kalau pasal iklan, Volvo sentiasa hadir dengan idea tersendiri yang membuka mata. Jika pada era 80’an dahulu mereka pernah menghasilkan iklan dengan menyusun tujuh-buah Volvo 700-series secara bertingkat bagi menunjukkan ketahanan dan kestabilan kereta tersebut, kini mereka sekali lagi melakukan perkara yang sama tetapi menggunakan empat-buah trak baharu yang bakal dilancarkan serentak.

    Trak-trak tersebut adalah dari siri FH, FH16, FM, dan FMX yang telah menerima kemaskini, disusun secara bertingkat antara satu sama lain dengan ketinggian keseluruhan 15 meter dan berat keseluruhan 58 tan. Pada tingkat paling bawah adalah trak Volvo FMX bagi mendemonstrasikan kestabilan sistem dua gandar di hadapan dan sistem stereng dinamik.

    Trak Volvo FMX berkenaan dipandu oleh pemandu wanita, Bodil Alexandersson manakala pada trak Volvo FM di tingkat paling atas, presiden Volvo Truck sendiri iaitu Roger Alm kelihatan berdiri dan seolah-olah adalah seorang ‘bomoh Sweden’ yang mengemudi menara trak berkenaan dalam cuaca hujan lebat dan kilat sabung-menyabung.

    “Kami buat ini dengan keghairahan dan minat mendalam untuk membawa barisan produk terbaharu ke pasaran,” kata Alm.

    “Saya biasanya berada dipuncak dalam pelbagai perkara, tetapi untuk penggambaran di puncak menara trak adalah satu hari yang luar biasa buat saya. Dan katakan saja saya mempunyai rasa hormat pada ketinggian. Saya sebenarnya orang yang sangat merendah diri,” kata bos Volvo Truck itu lagi.

    Penggambaran iklan ini dibuat pada akhir tahun lalu di pusat ujian Volvo di Gothenburg, Sweden. Menurut Volvo, menara trak dan kebanyakkan kesan visual pada iklan ini adalah benar, termasuk asap dan lampu seperti yang ditunjukkan dalam video disebalik tabir.

     
     
  • Toyota Raize lebih laris dari Corolla di Jepun; 2,000 unit lebih banyak, senarai menunggu sekitar 4 bulan

    Toyota Raize lebih laris dari Corolla di Jepun; 2,000 unit lebih banyak, senarai menunggu sekitar 4 bulan

    SUV segmen-B Toyota Raize – model rebadge dari Daihatsu Rocky, juga dikhabarkan akan dijelmakan sebagai Perodua – mencatatkan jualan yang sangat baik di pasaran Jepun, dan menurut laporan dari Best Car Web yang dipetik oleh Autonetmagz, ia kini dilihat lebih laris dari Toyota Corolla.

    Raize telah mencatatkan jualan sebanyak 10,220 unit di Jepun pada bulan Januari 2020, selepas berjaya dijual sebanyak 9,117 pada Disember 2019 dan 7,484 unit pada November tahun yang sama. Ini membolehkan sasaran jualan enam bulan pertama selepas dilancarkan November lalu dicapai jauh lebih cepat kerana Toyota hanya menyasarkan untuk menjual 4,000 Raize sebulan.

    Jumlah jualan tersebut juga meletakkan SUV kompak ini lebih popular dari Corolla di mana model kereta segmen-C berkenaan hanya mencatatkan jualan 8,480 unit pada bulan Januari, atau sekitar 2,000 unit kurang dari Raize untuk bulan berkenaan.

    Toyota Raize lebih laris dari Corolla di Jepun; 2,000 unit lebih banyak, senarai menunggu sekitar 4 bulan

    Permintaan luar jangkaan ini menyebabkan kilang Daihatsu di Ikeda yang memproduksi Raize dan Rocky beroperasi dengan kapasiti penuh. Pelanggan yang telah menempah model berkenaan pada hari ini dan telah termasuk dalam senarai menunggu perlu bersabar sekitar empat bulan untuk menerima kereta baharu mereka, yang dijangka akan dihantar pada pertengahan Julai nanti.

    Toyota Raize dan Daihatsu Rocky dihasilkan dari platform baharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA), yang menampilkan suspensi topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Ia dijana oleh enjin tiga-silinder 1.0 liter turbo berkuasa 98 PS dan tork maksima 140 Nm, digandingkan dengan kotak gear D-CVT automatik.

    Untuk pasaran Jepun, Raize dijual pada harga bermula 1,679,000 yen (RM64,000), hingga 2,282,200 yen (RM87,000), dan ditawarkan dengan pelbagai aksesori asli dari TRD dan Modellista yang diperkenalkan serentak dengan pelancarannya.

    GALERI: Toyota Raize pasaran Jepun

    GALERI: Toyota Raize dengan aksesori TRD

    GALERI: Toyota Raize dengan aksesori Modellista

     
     
  • Hyundai i20 N – imej bayangan terbocor secara tidak sengaja dalam video pengenalan model standard

    Hyundai i20 N – imej bayangan terbocor secara tidak sengaja dalam video pengenalan model standard

    Generated by pixel @ 2020-03-04T21:56:01.711233

    Hyundai Austria secara tidak sengaja mendedahkan bayangan badan Hyundai i20 N dalam video pengenalan model generasi baharu hatchback berkenaan yang telah disiarkan dalam akaun Youtube mereka (tetapi video tersebut kini telah dipadamkan).

    Imej berkenaan menunjukkan bahawa berbanding model standard yang telah didedahkan baru-baru ini, ia hadir dengan fender hadapan dan belakang yang lebih lebar, bonet hadapan yang lebih kembung, spoiler belakang yang lebih besar dan juga rim yang diinspirasikan dari jentera rali i20 N WRC mereka, namun masih mengekalkan bentuk badan lima-pintu.

    Sebelum ini, prototaip hatchback segmen-B berprestasi tinggi itu pernah dilihat diuji, tetapi ia berselindung dalam badan model generasi sedia ada. Tiada sebarang perincian rasmi diumumkan oleh Hyundai untuk model ini, tetapi ia dijangka tidak akan berkongsi enjin 2.0 liter Turbo-GDI dengan abangnya iaitu i30 N, sebaliknya akan dibekalkan dengan enjin 1.6 liter Turbo-GDI.

    Ia juga mungkin tidak akan mengikut jejak seterunya dalam kejohanan rali dunia (WRC) iaitu Toyota GR Yaris yang membekalkan kuasa yang sangat buas bersama sistem pacuan semua roda, sebaliknya akan menjana sekitar 200 PS dan hanya memacu roda hadapan, bagi berhadapan terus dengan Ford Fiesta ST.

    Hyundai i20 N – imej bayangan terbocor secara tidak sengaja dalam video pengenalan model standard

    Kelengkapan lain, hot-hatch saiz poket dari Hyundai ini dijangka akan dihasilkan dengan resipi hampir sama dengan i30 N, dibekalkan dengan casis dan suspensi lebih keras, brek lebih besar dan nisbah stereng lebih pantas.

    Untuk model standard versi generasi baharu ini, ia hadir dengan pelbagai enjin. Model paling rendah akan dijana oleh enjin 1.2 liter empat silinder NA berkuasa 84 PS, digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

    Bagi model lebih tinggi, i20 kini ditawarkan dengan enjin 1.0 liter turbo yang didatangkan dengan dua jenis talaan iaitu 100 PS dan 120 PS. Enjin dalam kedua-dua talaan ini juga boleh dipadankan sistem hibrid ringkas 48-volt yang mampu mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi CO2 sekitar 3-4%.

    Untuk enjin turbo tanpa sistem hibrid, enjin ini digandingkan sama ada dengan kotak gear DCT automatik tujuh-kelajuan atau manual enam-kelajuan. Manakala versi dengan sistem hibrid pula turut akan dipadankan dengan kotak gear 7DCT yang sama, tetapi untuk manual ia akan menerima transmisi Intelligent Manual Transmission (iMT) baharu bersama mod coasting bagi menjimatkan lagi bahan api.

    GALERI:Hyundai i20 2021 versi standard

    GALERI:Spyshot prototaip awalan Hyundai i20 N

     
     
  • Harga bahan api 7-13 Mac 2020: RON95 RM1.89 seliter!

    Harga bahan api 7-13 Mac 2020: RON95 RM1.89 seliter!

    Berita baik rakyat Malaysia minggu ini, harga bahan api untuk minggu bertarikh 7 hingga 13 Mac 2020 nampaknya turun agak drastik – RON 95 dijual dengan harga tak sampai RM2 seliter!

    Harga runcit bagi petrol RON 95 diumumkan turun 19 sen, menjadi 1.89 seliter berbanding RM2.08 pada minggu sebelumnya. Manakala untuk petrol RON 97 pula, ia akan dijual 2.19 seliter atau turun 21 sen berbanding minggu sebelum ini yang dijual pada harga 2.40 seliter.

    Manakala harga diesel pula turun sebanyak 17 sen, menjadi RM1.96 seliter untuk Euro 2 dan RM2.06 bagi Euro 5. Minggu lalu, diesel dijual pada harga RM2.13 seliter untuk Euro 2 dan RM2.23 bagi Euro 5. Seperti biasa, harga baharu untuk minggu baharu ini dibuat berdasarkan format mekanisma harga automatik (APM) dan kesemua harga baharu yang diumumkan ini adalah efektif bermula 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan.

     
     
  • Toyota GR Yaris – RM163k di UK, kini boleh di tempah

    Toyota GR Yaris – RM163k di UK, kini boleh di tempah

    Toyota GR Yaris telah membuat kemunculannya di Jepun awal tahun ini ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2020, dijual pada harga 4.56 juta yen (RM180k), atau lebih mahal dari Honda Civic Type R FK8 (lebih berkuasa dan lebih besar) pada pasaran sama iaitu 4.5 juta yen (RM177k). Walau bagaimanapun, model homologasi untuk Kejuaraan Rali Dunia ini dijual pada harga yang agak mengejutkan di Eropah.

    Di UK, hot-hatch dengan saiz segmen-B berkenaan dijual pada harga £29,995 (RM163K) untuk varian asas dan £33,495 (RM182k) untuk versi tertinggi Circuit Pack. Pada pasaran ini, VW Golf GTI Mk7.5 dijual pada harga sekitar £33k manakala Honda Civic Type R pula dijual pada harga bermula £32k.

    Hot-hatch segmen-C dari Korea, Hyundai i30N boleh di beli di UK pada harga £29k, manakala pencabar dengan saiz yang sama (tetapi masih pacuan roda hadapan dan kurang berkuasa) Ford Fiesta ST dijual pada harga £10,000 lebih murah. Di Jerman pula, GR Yaris akan dijual pada harga 33,200 euro (RM156k) atau 2,000 euro (RM9,399) lebih murah dari seteru utama Type R iaitu Renault Megane RS.

    Dari segi logik, GR Yaris sememangnya tidak boleh dijual pada harga yang murah. Walaupun diasaskan dari asas sama dengan Yaris biasa, transformasi yang dilakukan untuk model berprestasi tinggi ini tidak semudah seperti Honda mengubah Civic Hatchback biasa kepada Civic Type-R.

    Toyota GR Yaris – RM163k di UK, kini boleh di tempah

    Yaris standard hanya dihasilkan dalam bentuk lima-pintu, manakala untuk GR Yaris ini Toyota perlu menghasilkan kerangka badan baharu khas hanya untuknya yang bukan sahaja kurang dua-pintu, malah bumbung belakang kereta ini adalah 21 mm lebih rendah dari versi biasa.

    Ini adalah kerana permintaan dari pinsipal pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing, Tommi Makinen yang mahukan asas kereta produksi dengan kerangka yang lebih aerodinamik, bagi memastikan kereta lumba WRC sebenar yang akan dihasilkan untuk musim hadapan adalah lebih berpotensi dari jentera lawan yang hanya diasaskan dari hatchback segmen-B biasa. Ini menjadikan asas kewujudan GR Yaris seolah-olah Toyota Celica GT-Four, yang dihasilkan Toyota pada era 80’an dan 90’an dahulu semata-mata mahu menghasilkan jentera untuk mendominasi kancah WRC.

    Selain itu, kerangka GR Yaris turut dihasilkan lebih tegar dan lebih ringan dari Yaris standard dengan pelbagai ubahsuai dilakukan seperti penggunaan bumbung dari material plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP) dan juga penutup bonet hadapan dan belakang aluminium. Ini membolehkan kereta ini mencapai berat hanya 1,280 kg walaupun dengan sistem 4WD.

    GR Yaris pasaran Eropah dibekalkan dengan enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo, menghasilkan kuasa yang hampir masuk ke liga hot-hatch segmen-C seperti Renault Megane RS dan Hyundai i30N, iaitu dengan jumlah 261 PS dan tork maksima 360 Nm – kurang berkuasa dari model JDM yang mampu menghasilkan 272 PS/370 Nm. Ini mungkin dilakukan bagi memastikan kereta ini lulus ujian emisi untuk benua Eropah.

    Toyota GR Yaris – RM163k di UK, kini boleh di tempah

    Enjin tersebut digandingkan dengan hanya pilihan kotak gear enam-kelajuan manual dan sistem pacuan semua roda yang digelar sebagai GR-Four (dinamakan sempena sistem 4WD GT-Four terdahulu), membolehkan model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j yang dihadkan secara elektronik.

    Tidak seperti model-model rali jalan raya sebelum ini seperti Mitsubishi Lancer Evo dan Subaru Impreza WRX STi yang diberikan tiga LSD termasuk pada bahagian tengah, GR Yaris hanya dibekalkan dengan dua LSD; pada gandar hadapan dan belakang bagi mengagihkan tork pada roda kanan dan kiri. Untuk versi tertinggi, LSD biasa berkenaan digantikan dengan unit LSD jenis Torsen.

    Walaupun tidak mempunyai LSD tengah, GR Yaris dibekalkan dengan sistem Torque Vectoring, membolehkan agihan tork antara tayar hadapan dan belakang dapat diberikan menerusi tiga mod pemanduan berbeza; Normal dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; Sport 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; Track 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

    Toyota GR Yaris – RM163k di UK, kini boleh di tempah

    Untuk suspensi pula, bahagian hadapan masih lagi menggunakan konfigurasi sistem topang McPherson. Namun di belakang, sistem torsion beam pada Yaris standard telah dibuang, bagi digantikan dengan sistem double wishbone yang bukan sahaja lebih jitu, malah untuk menempatkan gandar bagi sistem pacuan semua roda.

    Walaupun FIA tidak mensyaratkan enjin produksi dan sistem pacuan yang sama perlu digunakan pada jentera WRC sebenar, pakej yang diberikan pada GR Yaris ini membolehkan pasukan-pasukan rali persendirian melakukan transformasi jentera rali produksi dengan kos rendah seperti di era rali Group N sebelum ini, untuk digunakan dalam perlumbaan-perlumbaan rali peringkat nasional.

    GR Yaris dipasarkan dalam dua varian pada pasaran Eropah iaitu Circuit Pack yang dihasilkan untuk pemanduan lebih “fokus, kelajuan tinggi”, dan juga Convenience yang ditala untuk “prestasi di atas jalan raya lebih berorientasikan keselesaan”.

    GALERI: Toyota GR Yaris di Tokyo Auto Salon 2020

     
     
  • Brabus 800 Adventure XLP diperkenal – Mercedes-AMG G63 dalam bentuk pikap, kuasa 800 PS, 1,000 Nm

    Brabus 800 Adventure XLP diperkenal – Mercedes-AMG G63 dalam bentuk pikap, kuasa 800 PS, 1,000 Nm

    Mercedes-AMG G 63 dalam keadaan asalnya memang sudah cukup mengagumkan. Namun, jika ada yang berharap ia datang dengan ruang belakang terbuka seperti trak pikap, jawapannya disediakan oleh Brabus melalui model terbaru 800 Adventure XLP. Tapi, harganya tidak murah, iaitu 666,386 euro (RM3,135,968), termasuk aksesori dan dron Wingcopter.

    Apa yang dilakukan oleh Brabus adalah mereka mengambil G 63 biasa, memotong bumbung bahagian belakang sekali dan memanjangkan jarak rodanya untuk menghasilkan ruang barang yang terbuka. Bahagian belakang itu dibuat daripada besi, bersama bahagian tepi gentian karbon dan lantai flexi-teak. Pintu yang memberikan akses kepada bahagian ini dibuka ke arah tepi.

    Dalam keadaan yang sudah lengkap, 800 Adventure XLP mempunyai ukuran 5.31 meter, sekaligus menjadikannya 68.9 sm lebih panjang berbanding G 63 biasa (tanpa roda kecemasan di belakang). Bukan setakat itu, Brabus juga mengubah suai suspensi kenderaan ini dengan menggunakan gandar portal dan keseluruhan subframe di hadapan juga adalah baru supaya dapat dipasang dengan unit independent.

    Gandar tetap di belakang masih lagi sama, tetapi ia dilengkapkan dengan beberapa barang baru termasuk yang dibuat daripada aluminium supaya bersesuaian dengan tetapan portal tadi. Brabus juga telah mereka suspensi coilover Ride Control khas untuk kenderaan ini, di mana tingginya boleh dilaras dan disambungkan kepada sistem mod pemanduan Dynamic Select yang sedia ada.

    Trak ini kemudiannya dipasang dengan rim Brabus Monoblock HD 22 inci yang dibalut dengan tayar Pirelli Scorpion ATR. Ubah suai lain adalah termasuk kit badan Widestar dan beberapa komponen gentian karbon seperti pada atas bonet dan juga lengkung tayar (menjadikannya 11.6 sm lebih lebar berbanding model biasa).

    Pada model yang ditunjukkan dalam gambar ini, ia dipasang sekali dengan barangan pilihan tambahan yang termasuk rak bumbung, penolak angin gentian karbon dengan lampu LED, pelindung bampar hadapan siap dengan winch 4,500 kg serta pemijak kaki tepi yang boleh dibuka dan ditutup secara elektrik.

    Satu lagi aksesori canggih yang diberi adalah dron Wingcopter, yang boleh dimuatkan ke dalam ruang barangan belakang, dan mampu mencapai kelajuan 240 km/j. Dron ini sebenarnya direka untuk menghantar barang ke tempat yang tidak boleh dilalui oleh kereta, dan boleh digunakan sehingga jarak 120 km sebelum baterinya habis.

    Rekaan bahagian dalam bergantung kepada kegemaran pelanggan, dengan pilihan pelbagai kemasan kulit dan warna. Model “First Edition” seperti dalam gambar menggunakan balutan kulit warna kayu oak gelap dan warna luar Rocket Silver Matte.

    Brabus 800 Adventure XLP diperkenal – Mercedes-AMG G63 dalam bentuk pikap, kuasa 800 PS, 1,000 Nm

    Sebagai sebuah model Brabus, sudah tentu kuasa juga ditambah. Mereka telah memasang pakej prestasi 800 PowerXtra+ yang memberikan dua unit turbo prestasi tinggi, compressor yang lebih besar untuk tekanan boost sehingga 1.6 bar, serta pemetaan sistem suntikan, pengawal boost serta ignition baru.

    Dengan barang-barang ini, enjin V8 4.0 liter twin turbo padanya kini mampu menghasilkan 800 PS (789 hp) pada 6,600 rpm dan 1,000 Nm dari rpm serendah 3,600. Ini bersamaan dengan 215 PS (212 hp) dan 150 Nm lebih tinggi berbanding enjin asal G 63.

    Bagi memberikan lebih kepuasan, kit bunyi Brabus Boost Xtra dipasang, jadi pemandu boleh mendengar bunyi injap blow-off dengan jelas apabila pedal minyak dilepaskan. Sistem ekzos adalah buatan Brabus sendiri dan mempunyai injap yang boleh mengawal tahap kekuatan bunyinya.

     
     
  • Microlino 2.0 – kereta elektrik kecil, boleh capai 90 km/j

    Microlino 2.0 – kereta elektrik kecil, boleh capai 90 km/j

    Pada tahun 2018, kereta kecil keluaran Micro Mobility Systems yang dipanggil sebagai Microlino telah melepasi ujian akhir homologasi untuk memasuki pasaran. Kini, model itu diperbaharui dengan pengeluaran Microlino 2.0, yang mempunyai pelbagai peningkatan luar dan dalam.

    Paling utama adalah bahagian bumbung yang kini lebih tinggi, bagi memberikan lebih ruang kepada kepada pengguna. Tingkap juga lebih tinggi sementara A-pillar lebih nipis supaya penglihatan lebih jelas. Peningkatan kosmetik lain yang dibuat adalah seperti jalur LED di depan dan belakang, pemegang pintu tersembunyi dan cermin sisi lebih kecil.

    Bukan sekadar rupa diubah, jarak roda belakang juga dijadikan lebih lebar untuk meningkatkan keselesaan serta keselamatan. Masuk ke dalam pula, anda boleh melihat panel instrumen digital baru, lampu suasana LED serta tapak stereng yang boleh dilipat supaya dapat memudahkan pengguna keluar dan masuk kenderaan.

    Tempat duduk yang bersambung pada kereta kecil ini turut diubah supaya menjadi lebih selesa serta ergonomik, manakala jalur aluminium pada papan pemuka boleh digunakan untuk meletakkan telefon pintar ataupun pembesar suara boleh alih kerana kereta ini tidak mempunyai sistem hiburan.

    Untuk penggerak, Microlino 2.0 menggunakan motor elektrik synchronous, permanent-magnet yang 15% lebih cekap dan mempunyai lebih kuasa berbanding motor pada Microlino sebelum ini. Perincian tidak didedahkan tetapi ia dikatakan dapat mencapai laju maksimum 90 km/j.

    Motor elektrik ini mendapat kuasa daripada bateri sama ada 8 kWh atau 14.4 kWh, yang masing-masing mampu memberi jarak gerak 125 km dan 200 km. Apabila sudah habis, bateri 8 kWh boleh dicas semula dalam masa empat jam menggunakan soket kuasa biasa di rumah. Microlino 2.0 dijual pada harga 12,000 euros (RM56,415) dan katanya sudah menerima 17,000 tempahan sebelum pengeluaran dibuat pada tahun 2021.

     
     
  • AD: Triumph Motorcycles WOW! 1.0 – 1.0% untuk model 18-19, servis percuma dua tahun untuk MY20

    AD: Triumph Motorcycles WOW! 1.0 – 1.0% untuk model 18-19, servis percuma dua tahun untuk MY20

    Ada rasa nak beli motosikal baru? Pengedar dan pengimport motosikal Triumph di Malaysia, Fast Bikes Sdn Bhd kini sedang membuat promosi Triumph WOW! 1.0, di mana anda boleh menikmati kadar pembiayaan menarik, aksesori percuma dan rebat apabila membeli motosikal Triumph baru.

    Pelanggan yang membeli model tahun 2018 dan 2019 akan diberi dengan kadar pembiayaan bermula 1.0%, dari sekarang hingga 31 Mac, dan semua model turut ditawarkan dengan rebat tunai. Pelanggan yang membeli salah satu model adventure Triumph Tiger 800 pula akan diberi dengan aksesori asli Triumph yang terpilih.

    Sementara itu, bagi yang membeli model Scrambler 1200 XC pula, mereka bukan sahaja akan menerima rebat tunai, tetapi juga sistem ekzos Zard yang kurang panas, boleh menjadikan enjin lebih berkuasa dan menghasilkan bunyi lebih sporty.

    AD: Triumph Motorcycles WOW! 1.0 – 1.0% untuk model 18-19, servis percuma dua tahun untuk MY20

    Ada lagi berita baik. Anda yang mahukan model paling baru dan paling hebat juga boleh menikmati promosi Early Bird 2020, di mana 20 pelanggan pertama yang menempah Street Triple 765 RS tahun 2020 dari sekarang hingga 15 Mac, atau barisan model Tiger 900 dari sekarang hingga 31 Mac bakal menerima pakej servis dan penyelenggaraan percuma* untuk dua tahun atau 20,000 km (yang mana tiba dahulu).

    Mahukan motosikal yang berkapasiti tinggi? Apa kata 2,458 cc? Ya, Rocket III terbaru juga bakal tiba di Malaysia dan terlibat dalam promosi ini – 10 pelanggan pertama yang menempah Rocket III 2020 dari sekarang hingga 31 Mac akan menerima pakej servis serta penyelenggaraan percuma selama satu tahun atau 10,000 km, yang mana tiba dahulu, dan kredit kedai RM1,000.

    Untuk mengetahui lebih lanjut tentang promosi Triumph Motorcycles WOW! 1.0 ini, anda boleh melawat wakil pengedar Triumph Motorcycle di seluruh negara atau layari laman web ini. Macam mana? ON?

    *Tertakluk pada terma dan syarat.

     
     
  • Singapura akan beralih kepada bas hibrid, elektrik

    Singapura akan beralih kepada bas hibrid, elektrik

    Sejajar dengan usaha global ke arah mobiliti yang lebih bersih, Singapura telah mengumumkan negara itu akan membeli hanya bas hibrid dan elektrik selepas ini, seperti dilaporkan oleh Straits Times.

    Menteri kanan bagi pengangkutannya, Janil Puthucheary memaklumkan parlimen di sana bahawa langkah berkenaan adalah sebahagian daripada matlamat kerajaan untuk menjadikan armada bas awamnya – yang kini dalam jumlah 5,400 unit – untuk menggunakan tenaga bersih menjelang 2040. Bas hibrid ini (mungkin dengan diesel-elektrik) dan elektrik sepenuhnya akan memerlukan kos yang lebih berbanding bas diesel sedia ada.

    Janil juga berkata, Singapura telah menggunakan 50 bas diesel-elektrik sejak Mac lalu. “Kami juga telah membeli 60 buah bas elektrik sepenuhnya yang akan digunakan secara progresif tahun ini,” tambah baliau, menjelaskan yang depot bas akan direka untuk menampung operasi bas elektrik.

    Singapura akan beralih kepada bas hibrid, elektrik

    Pemandu teksi juga digalakkan untuk beralih kepada teksi elektrik, yang akan dikenakan caj secara minimum di bawah Additional Registration Fee (ARF) pada kadar $5,000 (RM15,000). Sehingga hujung Januari, 133 daripada 18,526 teksi di Singapura adalah elektrik.

    Singapura juga merancang untuk melupuskan penggunaan kenderaan yang menggunakan enjin pembakaran dalaman semata-mata menjelang 2040. “Maksudnya, selepas 2030, kami tidak lagi akan menawarkan pembelian baru terhadap kenderaan yang hanya menggunakan enjin pembakaran dalaman,” tambah beliau. “Ini memerlukan peralihan menyeluruh terhadap armada kenderaan, perubahan ketara terhadap cara orang bergerak dan tingkahlaku konsumer serta pembagunan prasarana yang penting,” tambahnya.

     
     
  • Honda WR-V facelift untuk pasaran India didedahkan

    Honda WR-V facelift untuk pasaran India didedahkan

    Honda WR-V, sebuah SUV yang diasaskan daripada model Jazz generasi sebelumnya pernah dilancarkan untuk pasaran India pada 2017. Kini, model berkenaan ditampilkan dalam versi facelift terbaru. Model segmen B hatchback dengan ilham crossover itu muncul dalam laman web dan media sosial Honda India sebelum pelancarannya April depan.

    Sama seperti sebelum ini, WR-V berbeza daripada Jazz kerana bahagian depannya menggunakan gaya sama seperti BR-V. Kini rekaan gear baru dengan elemen visual melintang diberikan (sebelum ini honeycomb) serta lampu utama yang juga dengan rekaan baru. Ia kini menggunakan lampu projektor LED dengan DRL bersekali di dalamnya. Bahagian lampu kabus juga diberikan kemasan hitam di sekitarnya.

    Di belakang, lampunya diberi susunan baru walaupun bentuknya masih sama dan turut hadir bahagian LED tersendiri. Lain-lain tambahan utama ialah ciri kawalan melayar dan juga sunroof kawalan elektrik yang diberikan untuk versi terbaru ini.

    Honda WR-V facelift untuk pasaran India didedahkan

    Menurut laporan media di sana, WR-V facelift akan didatangkan dengan enjin petrol dan diesel yang mematuhi standard pencemaran B26 di India. Unit yang ditawarkan ialah 1.2 liter SOHC i-VTEC petrol dengan 90 hp kuasa dan juga 1.5 liter i-DTEC turbodiesel dengan 110 hp. Kedua-duanya bakal digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

    Dengan 3,999 mm panjang dan 1,734 mm lebar, WR-V ini 44 mm lebih panjang dan 40 mm lebih lebar berbanding Jazz GK generasi ketiga. Jarak kelegaan tanah pula ialah 188 mm, 53 mm lebih tinggi daripada Jazz. Ada yang berminat dengan model ini untuk masuk pasaran Malaysia?

     
     
  • GALERI: Mitsubishi Triton VGT AT dengan aksesori

    GALERI: Mitsubishi Triton VGT AT dengan aksesori

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) yang menganjurkan siri jelajah di Central i-City baru-baru telah pun mempamerkan model pikap Triton VGT AT yang dilengkapi dengan beberapa aksesori menarik.

    Menambahkan imej yang lebih rugged dan garang, aksesori ini termasuklah overfender balutan plastik hitam yang besar bersama palang sport menyerlah dengan cetakan perkataan “Triton” padanya. Sentuhan lebih maskulin turut diserlahkan dengan spoiler hadapan berwarna hitam dengan lip dari rona perak, disambungkan ke lampu nyalaan siang LED, cangkuk tunda merah menyala dan perkataan “Xtreamer” pada bahagian tengah (tanpa diketahui apakah maksudnya).

    Selain itu, kelihatan pelindung bonet, hiasan lampu utama dan lampu belakang, juga pemegang pintu dan penutup tangki minyak yang mempunyai sentuhan ranggi. Keseluruhan imej pikap ini turut dilengkapi dengan roda aloi dua-tona XD Series 16-inci yang dibaluti tayar Dunlop Grandtrek AT20.

    GALERI: Mitsubishi Triton VGT AT dengan aksesori

    Aspek mekanikalnya pula, ia adalah varian VGT AT, dikuasakan oleh enjin 2.4 liter MIVEC VGT turbodiesel dengan output 181 PS dan tork 430 Nm. Dipadankan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda Easy Select. Ciri lain termasuklah lampu utama halogen projektor, pemijak sisi, unit utama 2-DIN dengan USB dan auxiliary input, dua beg udara dan kawalan kestabilan.

    Varian ini ditawarkan dengan harga atas jalan RM105,990 tanpa insurans, tidak termasuk kelengkapan aksesori yang dipamerkan ini. Adakah aksesori yang ditampilkan ini berupaya menambat hati anda, khususnya yang gemarkan gaya yang lasak dan ranggi?

     
     
  • UMW Toyota panggil balik beberapa model Toyota, Lexus disebabkan masalah pengepam bahan api

    Sebagai satu langkah pencegahan proaktif, UMW Toyota Sdn Bhd (UMWT) mengumumkan kempen ‘Servis Khas’ atau panggilan semula beberapa model Toyota dan Lexus bagi menggantikan komponen pengepam bahan api sedia ada.

    Berdasarkan informasi yang diterima dari Toyota Motor Corporation (TMC), terdapat sekitar 12,000 unit model Toyota (Alphard, Camry, Corolla, Innova dan Fortuner) dan 1,500 unit model Lexus (GS300, GS350, IS300, LC500/500H, LS460, LS500/500H, LS600H, NX200T/300H, RC350/300H, RX350/450H dan RX350/450) yang dikeluarkan dari tahun 2013 hingga 2019 yang diedarkan oleh UMWT terlibat dengan kempen ini. Walau bagaimana pun, model yang tidak disenaraikan adalah tidak terlibat dengan kempen ini.

    Menurut UMWT, kenderaan yang dilengkapi dengan pengepam bahan api yang bermasalah ini mempunyai risiko untuk menghentikan operasi. Jika ia berlaku, lampu amaran dan informasi akan terpapar pada panel instrumen, dan ini boleh menjejaskan kuasa enjin. Malah hasilnya kenderaan akan terhenti dan enjin tidak dapat dihidupkan. Situasi ini juga boleh menyebabkan risiko kemalangan sekiranya ia berlaku ketika kenderaan sedang dipandu dalam kelajuan yang tinggi.

    Sehubungan itu, UMWT memaklumkan secara rasmi kepada semua pemilik kenderaan yang terjejas untuk menggantikan unit pengepam bahan api ini tanpa dikenakan sebarang kos penukaran. Walau bagaimana pun, kerja-kerja penggantian tersebut akan bergantung pada model kenderaan. Untuk maklumat lanjut, pemilik yang mempunyai kenderaan berkenaan diminta untuk menghubungi mana-mana Pusat Servis Toyota berhampiran atau pun hubungi talian bebas tol Toyota di 1800-8-TOYOTA (869682).

     
     
  • Polisi Jangka Hayat Kenderaan bakal dicadangkan

    Polisi Jangka Hayat Kenderaan bakal dicadangkan

    Cadangan untuk mewujudkan satu mekanisme bagi Polisi Jangka Hayat Kenderaan (ELV) kini sedang dipertimbangkan, tetapi ia akan menetapkan pendekatan secara sukarela berbanding arahan secara mandatori, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari.

    Bercakap kepada wartawan dalam taklimat prestasi automotif 2019 dan prospek 2020 kelmarin, beliau berkata, perkara ini akan dibincang dengan Menteri Pengangkutan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang dilantik.

    “Polisi ELV belum pernah diimplementasi di Malaysia. Saya percaya, jika kita menetapkan sistem berkenaan secara sukarela dan bukan mewajibnyanya, ia akan memberi manfaat kepada rakyat. Mereka boleh menyerahkan kereta lama mereka dan mungkin kerajaan boleh memberi subsidi, serta OEM juga boleh menyumbang kepada kos yang lebih rendah. Dengan menjual lebih banyak kereta, kerajaan juga boleh mengutip lebih banyak cukai. Ini merupakan situasi ‘menang-menang’ kepada semua orang,” ujarnya.

    Polisi Jangka Hayat Kenderaan bakal dicadangkan

    Tambah beliau lagi, tahun akan datang, kita bakal melihat perkembangan yang standard dalam pelbagai bidang, termasuk pemeriksaan kenderaan, penilaian jalan raya dan juga kenderaan terpakai.

    Pada tahun 2009, polisi yang dicadangkan ini memerlukan pemilik yang mempunyai kenderaan yang berusia 15 tahun atau lebih untuk dibawa ke pemeriksaan mandatori bagi membolehkan cukai jalan dihidupkan semula. Sekiranya kenderaan tersebut gagal ujian, ia perlu diperbaiki sehingga mematuhi kesemua kriteria, atau dilupuskan terus seperti yang dibuat di Singapura.

    Pada mulanya, polisi ini tersebut dijadual dilaksanakan pada tahun 2014, namun kerajaan ketika itu terpaksa menangguhkannya atas alasan “rakyat tidak bersedia” untuk polisi berkenaan.

    Polisi Jangka Hayat Kenderaan bakal dicadangkan

    Pada tahun 2015, Institut Automotif Malaysia (MAI) mencadangkan agar polisi tersebut ditukar kepada skim yang menawarkan wang tunai untuk kenderaan lama. Skim yang dicadangkan ini membolehkan pemilik mendapat rebat tunai RM5,000 apabila mereka mahu menukar kereta lama ke kereta baharu (tidak kira apa-apa jenama) dari mana-mana pengilang OEM.

    Namun sekali lagi, kerajaan menerusi MITI memberikan alasan yang sama, “rakyat masih belum bersedia”, selain berkata, tempat pemeriksaan untuk kenderaan lama ini terhad dan tidak mencukupi.

    Jadi persoalannya, adakah skim ELV secara sukarela ini relevan untuk dilaksanakan? Memandangkan banyak negara di luar sana memang sudah lama melaksanakannya. Kongsikan pendapat anda bersama kami.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026