Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • VW, Renault akan mula pasang kenderaan di Indonesia

    VW, Renault akan mula pasang kenderaan di Indonesia

    Volkswagen dan Renault kini sedang merancang untuk melabur bagi sebuah kilang pemasangan di Indonesia. Perkara ini adalah menurut Kementerian Industri di sana, seperti dilaporkan oleh Kompas. Sebelum ini memang ada kedengaran khabas angin bahawa pengeluar Eropah akan mula beroperasi di sana, tetapi jumlah pelaburannya masih lagi belum diketahui.

    Menurut Pengarah Maritim, Pengangkutan dan Kelengkepan Pertahanan Indonesia, Putu Juli Ardika, kedua-dua pengeluar kenderaan itu akan menggunakan kemudahan sedia ada di negara tersebut, dan bukannya akan membangunkan kilang baru dari awal. Indonesia mempunyai kapasiti pengeluaran kenderaan sebanyak 2.2 juta unit setahun, tetapi ketika ini pengeluaran tahunan di sana hanyalah sekitar 1.2 juta unit.

    Beliau turut memaklumkan, selain VW dan Renault, terdapat juga pengeluar lain yang bersedia untuk melabur di dalam pengeluaran tempatan di sana, seperti Hyundai. Bagaimanapun, mereka masih belum bersedia untuk mengumumkan hasrat itu.

    VW, Renault akan mula pasang kenderaan di Indonesia

    Bulan lalu, Reuters melaporkan Hyundai bersedia untuk melabur sebanyak US$880 juta (RM3.6 bilion) di Indonesia, dan ada perancangan untuk mengeluarkan kenderaan elektrik dari sana, seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Perindustrian Indonesia, Harjanto.

    Beliau juga memaklumkan, kilang pengeluaran yang dirancang itu bakal mempunyai kapasiti 250,000 unit setahun, termasuk untuk EV. Beliau menambah, rancangannya adalah untuk mengeksport 53% daripada output kilang berkenaan, terutama ke pasaran ASEAN dan Australia, sementara 47% lagi untuk pasaran tempatan.

    Hyundai – yang bersama Kia menjadi pengeluar kenderaan kelima terbesar di dunia dari sudut jualan – bagaimanapun masih belum mengumumkan perkembangan itu. Syarikat itu hanya menyatakan mereka “sedang mempertimbangkan beberapa langkah untuk memperluaskan pasaran”, terutama di Asia Tenggara.

     
     
  • Pertemuan dengan PDRM bakal diadakan untuk cari penyelesaian isu diskaun saman trafik – Anthony Loke

    Pertemuan dengan PDRM bakal diadakan untuk cari penyelesaian isu diskaun saman trafik – Anthony Loke

    Baru-baru ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias dilaporkan berkata Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak dapat mengumpul hasil saman sekiranya kerajaan menamatkan diskaun saman berikutan tidak ramai orang yang berminat membayarnya.

    Susulan kenyataan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook akan mengadakan pertemuan bersama PDRM ini bagi mencari titik penyelesaian berhubung isu berkenaan, laporan Bernama.

    “Tak mengapalah. Dia (PDRM) tidak kata tak setuju. Lepas Tahun Baharu Cina ini kita bincang,” katanya semalam. Pada 30 Januari lepas, Loke mencadangkan tiada sebarang tawaran diskaun akan diberikan ke atas mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan JPJ bagi kesalahan lalu lintas.

    Loke juga bercadang untuk berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya saman trafik dan saman dikeluarkan PBT tidak menawarkan sebarang diskaun.

     
     
  • Range Rover batalkan produksi SV Coupe – laporan

    Range Rover batalkan produksi SV Coupe – laporan

    Range Rover SV Coupe yang telah diuar-uarkan bakal diperkenalkan nampak gayanya ‘terhenti sudah lamunannya’. Menurut Autocar, Range Rover telah memutuskan untuk membatalkan produksi bagi SV Coupe ini untuk mengalihkan sumber bagi model produksi biasa termasuk Land Rover Discovery Sport dan Defender yang akan didatang, yang dijangka akan tiba pada tahun ini.

    “Kami telah membuat keputusan yang sukar untuk memaklumkan kepada para pelanggan kami bahawa Range Rover SV Coupe tidak akan diproduksi. Walau bagaimana pun, Land Rover memfokuskan pada pelaburan untuk produk generasi bertaraf dunia akan datang. Dengan perancangan sedia ada untuk elektrifikasi, kami mahu mempertingkatkan hasil kerja, inovasi dan teknologi agar kami dapat terus menawarkan pilihan yang terbaik untuk SUV,” ujar syarikat terbabit.

    SV Coupe yang sepatutnya ditawarkan dari harga £240,000 (RM1.3 juta), yang mampu memberikan saingan sengit terhadap Lamborghini Urus, Bentley Bentayga dan Rolls-Royce Cullinan bagi pasaran SUV mewah. Model ini dikatakan sebagai versi paling berkuasa yang pernah dihasilkan oleh jenama ini dengan padanan enjin petrol supercharged V8 yang mampu menghasilkan 565 PS dan tork 700 Nm, berbanding 565 PS dan 680 Nm pada SVAutobiography Dynamic.

    Syarikat ini juga berminat untuk menekankan segmen pasaran yang lebih tinggi, dengan mengatakan bahawa bahagian Operasi Kenderaan Khas (SVO) akan terus membangunkan model seperti Jaguar F-Pace SVR yang baharu.

    GALERI: Range Rover SV Coupe

     
     
  • PLUS tawar 10% diskaun tol untuk lebuhrayanya termasuk LPT2 pada 5 Feb ini sempena TBC

    PLUS tawar 10% diskaun tol untuk lebuhrayanya termasuk LPT2 pada 5 Feb ini sempena TBC

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 10% untuk kenderaan kelas 1 yang menggunakan rangkaian Lebuh raya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada 5 Februari ini sempena Perayaan Tahun Baru Cina.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, “Pada 5 Februari ini, pelanggan lebuh raya akan diberikan diskaun tol sebanyak 10% ketika membayar tol di antara jam 12 pagi hingga 11.59 malam. Ia diberikan sebagai penghargaan terhadap sokongan pelanggan serta meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.”

    Diskaun tol ini diberikan kepada pelanggan kenderaan Kelas 1 ketika mereka membayar atau membuat transaksi tol di Lebuh raya PLUS iaitu di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Jambatan Pulau Pinang serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

    PLUS tawar 10% diskaun tol untuk lebuhrayanya termasuk LPT2 pada 5 Feb ini sempena TBC

    Sebagai contoh, sekiranya pelanggan mula memasuki lebuh raya pada jam 8 malam pada 4 Februari tetapi keluar dari lebuh raya dan membuat bayaran/transaksi tol pada jam 1 pagi pada 5 Februari, mereka akan tetap layak menikmati diskaun tersebut.

    Walau bagaimanapun, diskaun tersebut tidak diberikan untuk transaksi tol di Plaza Tol Tanjung Kupang. Ia juga tidak ditawarkan kepada pelanggan di Jambatan Pulau Pinang yang sedang menikmati diskaun tol 20 peratus yang sedia ada.

    Pemberian diskaun tol ini juga merupakan tambahan kepada Program Kesetiaan PLUSMiles yang diperkenalkan oleh PLUS sebelum ini. Menerusi program kesetiaan ini, pelanggan yang berdaftar akan memperolehi 1 mata ganjaran bagi setiap satu kilometer perjalanan mereka di lebuhraya PLUS. Pada 5 Februari ini, ahli PLUSMiles yang berdaftar yang mendapat diskaun tol 10% akan turut menikmati ganjaran PLUSMiles ini.

    PLUS tawar 10% diskaun tol untuk lebuhrayanya termasuk LPT2 pada 5 Feb ini sempena TBC

    Klik untuk besarkan

    Mata ganjaran tersebut boleh ditebus dalam bentuk tambah nilai tol di pusat khidmat pelanggan PLUS terpilih atau barangan atau baucar yang menarik secara online di laman web PLUSMiles di www.plusmiles.com.my. Selain itu, ahli PLUSMiles yang berdaftar juga berpeluang menikmati pelbagai tawaran serta diskaun menarik daripada rakan-rakan niaga PLUSMiles.

    Dalam masa yang sama, PLUS turut mengeluarkan jadual cadangan perjalanan untuk pengguna Lebuhraya Utara Selatan bagi tempoh 31 Januari dan 10 Februari. Justeru, anda dinasihati agar mengikut jadual cadangan ini bagi mengelakkan anda terperangkap dalam kesesakan di lebuhraya berkenaan.

     
     
  • VW Group tawar kongsi platform MEB dengan pesaing

    VW Group tawar kongsi platform MEB dengan pesaing

    Rolling Chassis with the Modular Electric Drive Kit (MEB) – First pure EV platform for high volume

    Umum mengetahui bahawa setiap platform yang dihasilkan oleh Volkswagen bukan hanya digunakan oleh jenama itu, ia turut dikongsi dengan jenama lain yang berada di bawah payung Volkswagen Group seperti Audi, Skoda dan Seat.

    Namun menurut Volkswagen, platform baharu mereka yang digelar sebagai Modularer Elektrifizierungsbaukasten (MEB) atau platform modular electric drive matrix bukan sahaja untuk mereka, malah ia dibuka untuk digunakan jenama lain termasuk pesaing-pesaingnya, lapor Reuters.

    Ketua strategi VW Micheal Jost mengesahkan bahawa Volkswagen kini sedang berbincang dengan serius bersama pesaing-pesaing mereka tentang perkara ini. Jost bercakap kepada akhbar Jerman Der Tagesspiegel minggu ini, dan menyatakan bahawa MEB dengan “standard bukan sekadar untuk VW Group.”

    MEB dihasilkan khas untuk model-model janaan elektrik, dan ia akan menjadi platform utama dalam tranformasi Volkswagen dan juga jenamanya yang lain sebagai pengeluar kenderaan elektrik.

    Platform direka sangat fleksibel yang bukan sahaja boleh menjadi asas kepada kereta kompak, sedan hingga SUV, malah turut boleh digunakan untuk kenderaan komersial seperti van. Ia sebenarnya mempunyai saiz yang hampir sama dengan platform Modularer Querbaukasten (MQB) yang digunakan oleh model-model semasa kumpulan VW.

    Sebelum ini, VW dilaporkan telah membuat perbincangan konstruktif bagi berkongsi platform MEB mereka dengan Ford. Kedua-dua pengeluar berkenaan telah mengumumkan bahawa kerjasama yang akan dijalinkan agak besar melibatkan pembangunan van komersil dan juga trak pikap bersaiz sederhana untuk pasaran global.

     
     
  • BMW Malaysia mula perkenal Product Genius terlatih

    Introducing BMW Genius

    Introducing BMW Geniuses, your go-to experts for everything BMW.Want to a be a BMW Genius? Visit http://bit.ly/BMWGeniusMY

    Posted by BMW Malaysia on Rabu, 30 Januari 2019

    BMW Malaysia sedang dalam usaha untuk menyediakan pengalaman produk yang lebih tertumpu dan peribadi kepada pelanggan dengan memperkenalkan kumpulan pertama BMW Product Genius di tiga pengedar di Lembah Klang.

    BMW Genius merupakan satu usaha global, dengan setiap satu daripada Product Genius dipilih untuk menjalani latihan untuk menjadi pakar produk dan jenama BMW. Tujuannya adalah bagi menunjukkan serta membantu pelanggan untuk membiasakan diri mereka terhadap segala aspek berkaitan BMW – sebelum, ketika dan juga selepas pelanggan melakukan pembelian.

    “Biasanya, untuk masuk ke pusat pengedar kenderaan akan menjadi satu pengalaman yang tidak terlalu menyenangkan buat pelanggan, kerana mereka kerap berasa ditekan untuk membuat pilihan pembelian sebelum mereka betul-betul faham tentang produk yang ada,” ujar Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl.

    “Untuk mengatasi perkara ini, BMW Product Genius akan berperanan untuk memberikan pengalaman tanpa sebarang tekanan kepada pelanggan. Melalui interaksi peribadi seperti ini, kami ingin pelanggan merasakan motto yang digunakan, “Sheer Driving Pleasure”, sejak dari awal proses pemilikan BMW lagi,” tambah beliau.

    Di dalam program percubaan yang dimulakan tahun lalu, kumpulan pertama BMW Product Genius ini telah berjaya dilatih dan memulakan tugas mereka awal Disember tahun lalu di Auto Bavaria Kuala Lumpur, Auto Bavaria Glenmarie dan Ingress Auto Damansara.

     
     
  • Toyota 86 generasi baharu akan terus dibangunkan, laporan khabar angin ia akan dihentikan tidak benar

    Toyota 86 generasi baharu akan terus dibangunkan, laporan khabar angin ia akan dihentikan tidak benar

    Baru-baru ini ada khabar angin mengatakan bahawa Toyota dan Subaru tidak akan meneruskan projek untuk model 86 dan BRZ generasi seterusnya. Menurut laman Japanese Nostalgic Car, tabloid automotif Jepun Best Car melaporkan bahawa Toyota dan Subaru tidak akan bekerjasama pada masa akan datang, yang mungkin akan menyebabkan kedua-dua kereta tersebut lenyap dari pasaran.

    Khabar angin ini nampaknya agak bertentangan dengan visi boss Toyota, Akio Toyoda yang mahukan kereta sport ‘tiga beradik’ Toyota kembali ke bilik pameran, seperti Supra, Celica dan MR2 pada era 90’an. Buat masa sekarang, Toyota telah mempunyai ‘Abang Ngah’ Toyota 86 dan ‘Abang Long’ Toyota GR Supra A90 yang baharu sahaja didedahkan, sementara ‘adik bongsu’ untuk projek ini masih lagi belum jelas.

    Toyota masih lagi berteka-teki adakah mereka akan menghasilkan Celica atau MR2/MR-S generasi baharu untuk mengisi satu lagi ruang kosong, dan sekiranya 86 tidak diteruskan, sasaran ini akan menjadi semakin sukar. Tambahan pula, Supra A90 juga dipasarkan dengan varian paling asas menerima enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 197 PS/320 Nm yang mungkin akan menyebabkan konflik pasaran dengan Toyota 86 dijana enjin boxer 2.0 liter NA berkuasa 205 hp/211 Nm.

    Toyota 86 generasi baharu akan terus dibangunkan, laporan khabar angin ia akan dihentikan tidak benar

    Untuk mengetahui situasi sebenar, laman Motor1.com terus menghubungi Toyota dan mendapat pengesahan bahawa Toyota 86 akan terus dibangunkan untuk generasi seterusnya.

    “Seperti yang Akio Toyoda katakan ketika pendedahan Supra 2020, Toyota komited untuk menghasilkan kenderaan yang mengujakan, termasuk kereta sport. 86 telah berada dalam keluarga Toyota sejak 2013 dan kami merancang untuk terus menjadikannya sebagai sebahagian dari barisan kereta sport Toyota,” kata jurucakap Toyota kepada laman Motor1.com.

    Jadi jelas Toyota 86 setakat ini masih ‘selamat’ dari ditidurkan, dan saya sendiri sebenarnya lebih teruja yang mana akan menjadi pilihan Toyota selepas ini – Celica GT-4 atau kereta sport enjin tengah Toyota MR2?

     
     
  • ECRL belum muktamad, rundingan masih dijalankan

    ECRL belum muktamad, rundingan masih dijalankan

    Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menyatakan bahawa kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan berhubung East Coast Rail Link (ECRL), dan perbincangan antara Malaysia dan China masih berjalan, memetik satu laporan The Star.

    “Ketika ini, belum ada keputusan muktamad yang diambil. Beberapa perbincangan telah dilakukan, tetapi kita perlu mencari penyelesai terbaik. Kami masih berunding,” jelas Tun M. “Rasanya kita perlu beri masa kepada kedua-dua pihak untuk mencadangkan penyelesaian kepada masalah ini. Mungkin juga ada pilihan lain – kita sentiasa terbuka untuk mempertimbangkannya.

    “Kita masih mengkaji kos yang terlibat. Ada juga tawaran dari pihak lain dengan kos yang lebih rendah. Kerajaan sebelum ini memberi anggaran yang terlalu tinggi untuk ECRL.”

    Kenyataan ini adalah susulan daripada perbezaan pandangan yang berlaku antara Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkaitan projek yang sama – Lim menyatakan nasib projek berkenaan masih belum dipastikan, sementara Azmin menyatakan ia sudah dibatalkan kerana kos yang tinggi.

    ECRL belum muktamad, rundingan masih dijalankan

    Mahathir menjelaskan, ‘pertembungan’ itu berlaku adalah disebabkan oleh tafsiran yang berbeza dilakukan oleh media. “Kedua-dua menteri betul, tetapi masanya tidak tepat. Menteri yang hadir mesyuarat kabinet telah membuat kenyataan yang tidak dilaporkan setepatnya dalam media.

    “Media melaporkan hal lain dan memberi penekanan kepada perkara berbeza. Apa yang dimaksdukan oleh beliau ialah kita perlu mengekalkan hubungan baik dengan China, kerana negara itu rakan niaga yang penting kepada kita, sumber pelaburan luar bagi kita. Maklumat yang bertentangan itu disebabkan oleh laporan media yang menafsirkan kenyataan itu secara berbeza,” jelas Tun M.

    Projek berkenaan, yang dianggarkan menelan kos RM81 bilion, diluluskan oleh pemerintahan terdahulu di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober 2016, dengan pembinaan akan dikendalikan oleh China Communication Constructions Company (CCCC) dan pembiayaan oleh Export-Import Bank of China (Exim Bank of China).

    Malaysia akan mendapat pinjaman daripada bank berkenaan sekiranya CCCC yang akan membina laluan keretapi berkenaan. Ia melibatkan jarak trek sejauh 688 km dari Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor di Kelantan, melibatkan dua fasa pembinaan.

     
     
  • Diskaun tol untuk pengguna Lebuhraya LSA, LDP dan SMART pada 5 Feb ini sempena Tahun Baharu Cina

    Diskaun tol untuk pengguna Lebuhraya LSA, LDP dan SMART pada 5 Feb ini sempena Tahun Baharu Cina

    Amalan setiap kali bakal menyambut perayaan utama di negara ini dengan pemberian diskaun tol tetap diteruskan oleh syarikat konsesi di Kumpulan Gamuda untuk sambutan Tahun Baharu Cina ini. Ia melibatkan kadar tol di Lebuhraya Shah Alam (LSA), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), dan Lebuhraya SMART, bermula jam 12.00 tengah malam sehingga 11.59 malam pada 5 Februari 2019.

    Menurut Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Trans Kota Holdings Berhad (LITRAK) Stephen Low Chee Weng pemberian diskaun antara 10 dan 30% itu adalah sebagai salah satu inisiatif untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya. Pemberian diskaun tol itu akan diberikan kepada pengguna LSA, LDP dan SMART bermula jam 12 tengah malam sehingga 11.59 malam pada 5 Februari 2019. Dianggarkan untuk Tahun Baru Cina 2019 ini, kira-kira sejumlah RM 222,000 bagi tol subsidi akan diberikan kepada pengguna LSA, LDP dan SMART.

    Diskaun tol untuk pengguna Lebuhraya LSA, LDP dan SMART pada 5 Feb ini sempena Tahun Baharu Cina

    LITRAK turut berkata, “Sejak tahun 2010 sehingga 2018, LITRAK, contohnya telah membelanjakan hampir RM 21.2 juta untuk program kebajikan dan hubungan komuniti setempat termasuk pemberian diskaun tol dan penawaran rebat istimewa bagi pengguna kerap LDP. Kami juga berhasrat mempertingkatkan sumbangan CSR kami pada tahun ini, dan pelbagai program kebajikan telah dirangka untuk sepanjang tahun 2019 ini”.

    Dalam majlis mengumumkan pemberian diskaun tol ini juga, turut dianjurkan ialah Program Amal Tahun Baru Cina 2019 bersama 57 kanak-kanak kurang bernasib baik daripada Rumah Charis dan Rumah Victory, Kuala Lumpur. Mereka dibawa menonton wayang di Golden Screen Cinema (GSC) MyTown, Kuala Lumpur. Setiap kanak-kanak turut menerima beg cenderamata dan sepaket ‘ang pow’ untuk menambah kegembiraan mereka menyambut perayaan Tahun Baharu Cina. Kedua-dua rumah kebajikan tersebut turut menerima sumbangan kewangan sebanyak RM 1,000 untuk meringankan beban kos operasi mereka.

     
     
  • Jualan kenderaan global tahun 2018 – siapa di depan?

    Jualan kenderaan global tahun 2018 – siapa di depan?

    Diperingkat global, bagaimana prestasi jualan kenderaan jenama-jenama utama automotif sepanjang tahun 2018? Jenama mana yang paling banyak menjual kenderaan? Menurut satu laporan Reuters, Volkswagen Group mengekalkan kedudukan pertama sebagai pengeluar yang menjual paling banyak kenderaan bagi lima tahun berturut-turut.

    Sementara itu, pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi pula mengikut rapat dan memberi saingan sengit bagi jualan kenderaan penumpang dan perdagangan (LCV), tidak termasuk trak tugasan berat (jenis kenderaan ini tidak dijual oleh jenama-jenama berkenaan). Pakatan ini keseluruhannya menjual sebanyak 10.76 juta kenderaan penumpang dan LCV tahun lalu, menurut kiraan Reuters.

    Dari jumlah besar ini, Nissan berhasil menjual 5.65 juta kenderaan pada 2018 (menurun 2.8% dari tahun sebelumnya), Mitsubsihi pula menjual 1.22 juta unit (naik 18%) sementara Renault pula menjual 3.88 juta (naik 3.2%).

    Jika hanya berdasarkan jumlah jualan kenderaan penumpang dan LCV sahaja, pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi telah berhasil mengatasi jualan oleh Volkswagen Group, yang hanya mencatatkan 10.6 juta unit. Namun, selepas menambah jualan dari pengeluar trak Jerman yang bernaung di bawah VW Group, MAN dan Scania, jumlah keseluruhan yang dicatatkan ialah 10.83 juta, naik 0.9%.

    Turut mengekalkan kedudukan tiga teratas ialah Toyota dengan jualan 10.59 unit. Bagi jumlah keseluruhan jenama ini termasuk Lexus, ia turut mengambil kira kenderaan kompak oleh Daihatsu, serta trak ringan dan berat keluaran Hino. Tidak termasuk jualan Hino, kumpulan ini berhasil menjual 10.39 juta unit kenderaan dan LCV. Sasaran untuk tahun 2019 pula ialah 10.76 juta kenderaan.

    Menurut Reuters, pengeluar kenderaan berusaha keras untuk meningkatkan jualan bagi mencapai skala ekonomi yang lebih luas dan menurunkan kos, walaupun tetap berdepat dengan keperluan pelaburan baru untuk pembangunan teknologi generasi akan datang.

    Paling ketara adalah seperti yang dapat dilihat pada pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, yang sedang mempertimbangkan untuk berkongsi alatan kenderaan dan menyatukan penggunaa platform bagi mengurangkan kos R&D dan pengilangan, dan dalam masa yang sama meningkatkan keuntungan. Bagaimanapun, usaha sama tiga pihak ini sedang berkocak, dengan bekas pengerusinya, Carlos Ghosn berdepan dengan dakwaan salah laku dan berdepan perbicaraan.

     
     
  • Lexus RC F facelift dan RC F Track Edition didedahkan

    Lexus RC F facelift dan RC F Track Edition didedahkan

    Tahun lalu, Lexus telah memperkenalkan versi facelift untuk model coupe RC dengan rupa yang lebih garang. Seperti sebelum ini, RC 2019 turut disusuli dengan model talaan divisi perlumbaannya – Lexus F – dan kali ini ia turut hadir dengan satu lagi RC F yang lebih fokus kepada pemanduan litar digelar RC F Track Edition.

    Kedua-dua model ini menerima penyegaran rupa luaran rekaan baharu menerusi lampu LED hadapan yang kini dibina bersepadu dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah. Lampu dan bampar belakang juga mendapat sentuhan semula bagi membezakan ia dengan model sebelum ini.

    Kita mulakan dengan versi RC F ‘standard’ dahulu. Model ini masih dijana oleh enjin 2UR-GSE 5.0 liter V8 tanpa pengecas turbo atau supercharger, tetapi ia telah menerima rombakan pada laluan kemasukan udara, serta ditala bagi membolehkan bukaan injap sekunder pada sistem berkenaan dibuka pada tahap RPM lebih rendah.

    Ubahsuai yang dilakukan ini membolehkan enjin tersebut mengekstrak 5 hp dan 8 Nm tork lebih dari jumlah asal, menjadikan kuasa keseluruhan yang dihasilkan ialah 472 hp dan tork maksima 536 Nm. Kuasa juga masih dialirkan pada kotak gear automatik lapan kelajuan, tetapi nisbah gear akhir telah ditukar dengan nisbah yang lebih tinggi bagi memberikan pecutan lebih baik, dan ia turut dibantu dengan pemadanan sistem launch control baharu.

    Lexus juga menghasilkan RC F 2019 dengan pelbagai komponen yang lebih ringan, tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan tahap ketegarannya. Syaf pemacu (drive shaft) pada gandar belakang telah diganti dari unit solid kepada jenis hollow (mempunyai rongga di tengah), manakala di hadapan manifold kemasukan enjin yang lebih ringan dipadankan bersama pemampat (compressor) penghawa dingin direka lebih kecil.

    Pada bahagian suspensi pula, braket lengan kawalan sudut toe dan juga kesemua braket sokongan suspensi bahagian atas diperbuat dari aluminium yang bukan sahaja lebih ringan, malah juga lebih tegar. Walau bagaimanapun, Lexus tidak mendedahkan angka sebenar yang dapat dikurang menerusi pemandanan komponen-kompenen ini.

    Bagi mendapatkan kawalan yang lebih solid, kesemua getah bushing pada lengan suspensi belakang dan juga cagak rak stereng dibuat mengunakan bahan yang lebih keras. Begitu juga dengan cagak enjin, ia dibuat dengan material lebih tegar bagi memastikan kuasa dari enjin dapat dipindahkan ke roda belakang dengan lebih optimum.

    Kesemua perubahan yang dilakukan ini dilengkapkan dengan pemadanan tayar istimewa Michelin Pilot Sport 4S. Menurut Lexus, tayar tersebut direka dengan bentuk profil, paten bunga dan kompaun getah yang unik bagi mengurangkan understeer, serta memperbaiki cengkaman sisi dan meningkatkan ketahanannya pada situasi ekstrem.

    Beralih kepada model lebih hardcore Lexus RC F Track Edition, kereta ini diberikan pelbagai lagi komponen yang lebih ringan dan talaan hasil dari input yang diperolehi hasil penyertaan Lexus dalam perlumbaan seperti Super GT serta IMSA, dan jenama mewah Toyota tersebut menyatakan bahawa versi ini masih mengekalkan tahap keselesaannya.

    RC F Track Edition bukan sahaja lebih ringan, malah nampak lebih agresif dengan pemadanan splitter udara hadapan, bonet hadapan, bunmbung dan juga sayap GT di belakang – kesemuanya diperbuat dari bahan gentian karbon. Sayap berkenaan adalah jenis tetap dan tidak boleh dilaras, namun ia direka dengan sudut attack bagi memberikan aliran udara yang lebih lancar, serta 26 kg downforce tambahan berbanding spoiler aktif standard.

    Model ini juga dipadankan dengan rim aloi forged BBS 19-inci dengan rekaan diambil dari kereta lumba sebenar RC F GT3, bersama brek karbon seramik dari Brembo – perubahan bahagian ini menurut Lexus telah mengurangkan berat sebanyak 25 kg. Akhir sekali, sistem ekzos RC F Track Edition ini menerima unit muffler yang diperbuat dari Titanium.

    Secara keseluruhan, RC F Track Edition dihasilkan lebih ringan antara 70 kg hingga 80 kg berbanding RC F biasa. Ini membolehkan ia memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 4 saat, atau setengah saat lebih pantas dari versi standard.

     
     
  • Volkswagen hidupkan semula ‘dune buggy’ sebagai EV

    Volkswagen hidupkan semula ‘dune buggy’ sebagai EV

    Nampaknya akan ada banyak berita menarik yang muncul sempena Geneva Motor Show yang bakal berlangsung nanti. Dari kem Volkswagen misalnya, nostalgia terhadap model dune buggy ikonik disekitar 1960an dan 1970an dahulu akan dihidupkan semula. Khabar angin mengatakan ia bakal menggunakan asas modular electric drive matrix (MEB), dan akan menjadi kenderaan elektrik sepenuhnya.

    “Sebuah buggy adalah lebih daripada sekadar sebuah kereta. Ia lebih bertenaga dan meriah. Semua ciri klasiknya akan diterjemahkan pada e-buggy pula, yang akan menampilkan interpretasi moden kepada rekaan klasik dan retro model lamanya dahulu. Sangat menarik untuk melihat keterkaitan berkenaan terhadap sebuah kenderaan elektrik moden,” jelas ketua pereka Volkswagen, Klaus Bischoff

    Walaupun nadi yang menggerakkannya menggunakan teknologi maju kenderaan elektrik, rekaan luarannya pula bagaimanapun kekal klasik dune buggy seperti dulu – dengan lengkung tayar yang menonjol, dipadankan dengan tayar besar. Lampu utama bulat pula menyuntik karekter tersendiri bagi model ini – dari jauh “wajah”nya akan kelihat jelas.

    Volkswagen hidupkan semula ‘dune buggy’ sebagai EV

    Sama seperti pendekatan rekaan pada dune buggy terdahulu yang mengambil asasnya daripada model Beetle yang diringkaskan, model konsep terbaru ini pula hadir tanpa bumbung tetap serta rekaan pintu yang di luar kebiasaan.

    Volkswagen memaklumkan, rekaan konsep ini bertujuan untuk mempamerkan kepelbagaian platform MEB yang digunakan – ia tidak hanya digunapakai untuk menghasilkan model-model produksi dalam jumlah yang besar, tetapi juga boleh menampung keperluan model-model unik yang jumlah pengeluarannya terhad.

     
     
  • Aprilia Shiver 900 2019 kini di Malaysia – RM72,000

    Aprilia Shiver 900 2019 kini di Malaysia – RM72,000

    Sejak hak pengedaran motosikal Aprilia untuk pasaran Malaysia bertukar tangan dari Naza Premira kepada Didi Resources pada Julai 2018, Apilia Shiver 900 2019 menjadi model pertama jenama Itali itu yang diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran tempatan.

    Menggunakan enjin V-Twin 900, motosikal naked ini menjana sebanyak 95.2 hp pada 8,750 rpm dan 90 Nm pada 6,500 rpm. Ia merupakan enjin sejukan cecair, DOHC dengan lapan injap dan suapan minyak melalui sistem EFI serta ciri ride-by-wire, Shiver dilengkapi kotak gear enam-kelajuan, dengan klac hidraulik yang kini 15% lebih ringan dikenalikan.

    Fork depan menggunakan unit dari Kayaba dengan diameter 41 mm, boleh dilaraskan tetapan tahap bebanan serta mempunyai 130 mm jarak pergerakan. Bahagian belakang pula menggunakan suspensi monoshock boleh laras, juga dengan 130 mm jarak pergerakannnya.

    Aprilia Shiver 900 2019 kini di Malaysia – RM72,000

    Sistem brek pula terdiri daripada penggunaan cakera 320 mm, dengan kaliper radial-mount empat-piston. Di belakang, cakera tunggal 240 mmm dengan kaliper piston-tunggal menggalas tanggungjawab sama – motosikal ini juga datang dengan ciri ABS dua saluran.

    Aprilia Shiver 900 ini mempunyai kapasiti minyak 15 liter, dan berat basahnya ialah 218 kg. Ketinggian tempat duduk ialah 810 mm. Roda pula menggunakan rim 17-inci – tayar depan bersaiz 120/70 manakala belakang dengan 180/55.

    Kelengkapan lain yang datang sebagai ciri standard pada Shiver 900 ini adalah seperti kawalan cengkaman yang dibangunkan oleh Aprilia sendiri bagi jentera RSV4 dalam World Superbike Championship – mempunyai tiga tahap dan boleh dinyah-aktif. Ada juga tiga mod tunggangan yang boleh dipilih – Sport, Touring dan Rain. Sport paling agresif manakala Rain pula akan melibatkan mengurangan kuasa kepada 70 hp.

    Mod tunggangan ini boleh diubah ketika bergerak. Semua paparan yang diperlukan akan dipapar pada skrin TFT-LCD 4.3-inci dengan pancaran cahaya adaptif mengikut kecerahan persekitaran. Motosikal ini juga datang dengan Aprilia MIA System, yang membolehkan sambungan telefon pintar penunggang ke skrin yang ada untuk data tunjuk arah dan kawalan muzik.

    Hanya dua warna ditawarkan pada Aprilia Shiver 900 2019 ini; Challenging Red dan Innovation Dark. Banyak pilihan aksesori lain turut ditawarkan, seperti pelana yang lebih selesa serta beg atau ruang simpanan untuk kegunaan touring. Jentera ini kini boleh didekati di bilik pameran Aprilia bertempat di The Gasket Alley.

     
     
  • Petronas Yamaha Sepang Racing Team 2019 dilancar

    Petronas Yamaha Sepang Racing Team 2019 dilancar

    Tahun ini, dalam kancah perlumbaan MotoGP, Malaysia ada sesuatu yang istimewa untuk ditawarkan kepada peminat-peminat tegar sukan permotoran berkenaan. Sepang Racing Team (SRT) akan membawa nama negara untuk bersaing dalam ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan dalam MotoGP.

    Memperkenalkan jentera dan pasukan yang akan menggalas cabaran dalam musim terbaru nanti, jentera Petronas Yamaha SRT YZR-M1 bakal menyaksikan dua pelumba, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo berentap dalam kategori utama MotoGP.

    Sementara itu, dalam kelas Moto2, pelumba negara, Khairul Idham Pawi – atau lebih mesra dengan nama Super KIP – akan menunggang jentera Petronas Sprinta Racing yang dikuasakan oleh enjin 765 Triumph. Bagi kelas Moto3 pula, Ayumu Sasaki dan John McPhee akan mewakili Petronas Sprinta Racing.

    “Petronas Sepang Racing Team yang terlibat di dalam semua tiga kategori perlumbaan MotoGP ini merupakan pasukan satelit atau bukan pengeluar terbesar yang ikut serta. Kami telah berkembang kepada pasukan dengan kapasiti 50 individu dari pelbagai negara dengan penunggang yang mewakili lima negara – Malaysia, Itali/Brazil, Perancis, Jepun dan Scotland,” jelas CEO SIC, Datuk Razlan Ahmad Razali.

    Petronas Yamaha Sepang Racing Team 2019 dilancar

    “Penglibatan Petronas dalam sukan perlumbaan bukanlah sesuatu yang baru, terutamanya di dalam Formula 1 dan MotoGP. Usahasama ini menandakan kehadiran penuh Petronas di dalam acara sukan lumba motosikal, dari peringkat akar umbi melalui Cub Prix sehinggalah kepada perlumbaan antarabangsa seperti MotoGP, Moto2 dan Moto3.

    “Ini antara lain memperkayakan lagi penjenamaan global Petronas serta kerjasama teknologi yang terlibat, terutama dalam lapangan pembangunan bahan api dan pelincir,” jelas Presiden dan CEO Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

    MotoGP tahun ini akan bertandang ke litar SIC dari 6-8 Februari bagi sesi ujian musim sejuk, sebelum ke Losail, Qatar bagi ujian musim sejuk terakhir dan kemudian memulakan kempen perlumbaan bagi musim 2019.

     
     
  • Bas perantara MRT guna sistem pembayaran tambang tanpa tunai sepenuhnya mulai 1 Feb ini – Prasarana

    Bas perantara MRT guna sistem pembayaran tambang tanpa tunai sepenuhnya mulai 1 Feb ini – Prasarana

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengumumkan RAPID Bus Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan bas Rapid KL, akan melaksanakan sistem pembayaran tambang tanpa tunai sepenuhnya bagi semua bas perantara Mass Rapid Transit (MRT) bermula 1 Februari 2019.

    Ia bertujuan untuk meningkatkan kemudahan penumpang dan menikmati perjalanan yang lebih lancar ketika menaiki bas. Ia meliputi semua 57 laluan bas perantara dari Sungai Buloh ke depot MRT Kajang, laporan Bernama.

    Menurut Prasarana lagi, tempoh tangguh satu bulan lagi diberi kepada pemegang kad konsesi semasa iaitu pelanggan terdiri daripada pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang masih dibenarkan untuk membayar dengan tunai sehingga 28 Februari.

    Tempoh tangguh ini bertujuan bagi membolehkan mereka untuk memohon kad konsesi mereka melalui www.myrapid.com.my atau di kaunter konsesi Pasar Seni dan hab bas Pasar Seni.

    Bas perantara MRT guna sistem pembayaran tambang tanpa tunai sepenuhnya mulai 1 Feb ini – Prasarana

    Dalam masa yang sama, pihak pengendali bas ini turut menjangkakan 51% daripada 60,000 penumpangnya dalam sehari akan menukar kepada sistem tanpa tunai dengan lancar.

    Prasarana berkata langkah itu juga dapat menyokong usaha negara untuk mempercepat agenda nasional ke arah merealisasikan masyarakat tanpa tunai, yang menjadi sebahagian aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sistem pembayaran negara.

    Justeru, pelanggan dinasihatkan untuk membeli kad Touch ‘n Go sebelum menaiki bas bagi memastikan kelancaran perjalanan bersama kami. MyRapid Touch ‘n Go boleh dibeli dari mana-mana pejabat perkhidmatan pelanggan MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Monorail atau Bas Rapid Transit (BRT). Mereka yang telah membeli produk My100 dan My50 boleh menggunakannya bagi sistem pembayaran tanpa tunai di dalam bas.

     
     
  • 30% diskaun tol di Lebuhraya DUKE sempena TBC ini

    30% diskaun tol di Lebuhraya DUKE sempena TBC ini

    Sempena Tahun Baharu Cina (TBC) yang bakal disambut minggu hadapan, Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI) telah mengumumkan pemberian diskaun tol pada kadar 30% di Lebuhraya Duta – Ulu Kelang yang dikendalikannya. Diskaun tol tersebut dibuka kepada semua kenderaan kelas 1 selama 24 jam pada 5 Februari 2019 ini, bermula jam 12 pagi hingga 11.59 malam.

    Menurut kenyataan yang dihantar, diskaun tersebut adalah sebagai salah satu inisiatif Khidmat Sosial Korporat (CSR) syarikat kepada pengguna lebuhraya terbabit.

    Pengarah Eksekutif KESTURI, Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng berkata, jumlah tersebut menyaksikan peningkatan daripada kadar diskaun tol pada TBC berbanding tahun-tahun sebelumnya.

    “Jumlah diskaun tersebut jelas dapat mengurangkan perbelanjaan pengguna dan dalam masa yang sama memberikan nilai pulangan bayaran yang lebih rendah,” ujarnya.

     
     
  • Diskaun tol sempena musim perayaan bukan punca kesesakan, kemalangan di lebuh raya – Baru Bian

    Diskaun tol sempena musim perayaan bukan punca kesesakan, kemalangan di lebuh raya – Baru Bian

    Dakwaan segelintir pihak yang menyatakan pemberian diskaun tol sempena musim perayaan utama adalah penyebab kesesakan dan kemalangan di lebuh raya telah disangkal oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

    Menurutnya, sikap pemandu yang cuai dan tidak berhemah terus menjadi penyumbang statistik saban tahun, laporan Bernama.

    “Pemberian diskaun adalah cara syarikat konsesi menghargai pelanggan lebuh raya mereka dan bukan penyebab kesesakan di musim perayaan. Paling utama, setiap syarikat konsesi mengeluarkan jadual cadangan perjalanan sebagai rujukan pengguna untuk mereka merancang perjalanan pada musim perayaan,” katanya kepada media selepas melancarkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya sempena Tahun Baharu Cina 2019 semalam.

    Diskaun tol sempena musim perayaan bukan punca kesesakan, kemalangan di lebuh raya – Baru Bian

    Selain itu, Baru berharap statistik kemalangan dan kematian pada musim perayaan akan terus menurun pada tahun ini.

    “Penurunan jumlah kematian yang dicatat melalui Op Selamat ke-12 pada tahun lalu diharap menjadi titik tolak yang positif atas usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak dan berharap trend penurunan ini akan terus dikekalkan,” katanya.

    Dalam hal lain, Baru berkata, sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 5 Februari ini sebanyak 25 lebuh raya akan menawarkan insentif berbentuk diskaun kadar tol sebanyak 10 hingga 30% kepada pengguna. Di mana diskaun khusus untuk pengguna tol bagi kenderaan Kelas 1 itu akan berkuat kuasa selama 24 jam bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam Selasa, 5 Februari ini.

     
     
  • VIDEO: Mainkan peranan anda, untuk jalan raya yang lebih selamat – Anthony Loke turut berlakon

    Selain kerajaan dan agensi yang berkaitan, sebenarnya banyak pihak termasuk wakil NGO turut memainkan peranan yang penting dalam memupuk kesedaran untuk pemanduan yang berhemah. Memang sudah banyak kempen yang dijalankan, termasuklah menerusi iklan mahu pun video yang disiarkan menerusi Internet.

    Antara yang terkini adalah video terbitan Persatuan Insurans Malaysia (PIAM) dan Malaysian Takaful Association (MTA) yang turut mendapat kerjasama Kementerian Pengangkutan Awam.

    Diterajui oleh watak utamanya, penyanyi dan pelakon berkaliber, Adibah Noor, video berdurasi lima minit ini, mempunyai beberapa adegan yang berkaitan dengan ragam popular yang sering dilakukan oleh kebanyakan pengguna jalan raya. Antaranya motosikal yang dibonceng lebih dari dua pembonceng, menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu atau menunggang motosikal, memarkir kenderaan di tepi jalan hingga mengundang kesesakan trafik dan sebagainya. Malah lirik lagu yang ditulis oleh Mo Nazmi juga agak catchy dengan mesej yang jelas disampaikan.

    Secara kesimpulannya, mesej yang disampaikan menerusi video ini sebenarnya ringkas dan mudah difahami. Antaranya jangan menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu, pakailah topi keledar untuk penunggang dan pembonceng motosikal, pastikan anak kecil diletakkan di tempat duduk khas kanak-kanak, pemakaian tali pinggang keledar adalah wajib termasuk penumpang di belakang, jangan menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya, jangan meletakkan kenderaan merata tempat termasuk menghalang laluan kecemasan.

    Menariknya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, turut melakukan penampilan khas di dalam video ini dengan membawakan peranan sebagai tuan director. Malah timbalannya, Dato’ Kamarudin Jaafar, juga muncul sebagai penolong pengarah. Selain itu, beberapa watak undangan turut dilakonkan oleh beberapa individu penting dalam penerbitan video ini termasuklah Anthony Lee yang merupakan pengerusi PIAM, Muhammad Fikri Mohamad Rawi (pengerusi MTA), Mark Lim (CEO PIAM) dan juga Azli Munani (CEO MTA).

     
     
  • Malaysia tangguh guna RON95-Euro 4M – KPDNHEP

    Malaysia tangguh guna RON95-Euro 4M – KPDNHEP

    Kerajaan telah mengambil keputusan untuk menangguhkan penggunaan petrol berkualiti tinggi yang mengikut standard bahan bakar Eropah atau RON95-Euro 4M sehingga 1 Januari 2020.

    Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sepatutnya Malaysia mengguna pakai petrol RON95-Euro 4M pada Disember tahun lepas. Walau bagaimana pun, selepas perkara tersebut telah dibawa kepada pengetahuan Kabinet dan mendapat persetujuan untuk ditunda penggunaannya, laporan Bernama.

    “Kita telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat minyak untuk kita melanjutkan tempoh penggunaannya di Malaysia sehingga 2020,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan masih belum bersedia untuk melaksanakan penggunaan bahan bakar RON95-Euro 4M kerana kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan perlu menumpukan kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

    “Namun begitu, penangguhan (penggunaan RON95-Euro 4M) tidak akan berlarutan dengan terlalu lama kerana negara terikat dengan komitmen perjanjian antarabangsa yang memerlukan kita menyumbang kepada persekitaran yang lebih sihat,” tambahnya.

     
     
  • Mitsubishi Triton 2019 dilancarkan di M’sia secara rasmi – 6-kelajuan auto, 5 varian, dari RM100k-RM135k

    Mitsubishi Triton 2019 dilancarkan di M’sia secara rasmi – 6-kelajuan auto, 5 varian, dari RM100k-RM135k

    Hanya dua bulan selepas muncul pada peringkat global, didedahkan di Thailand, Mitsubishi Triton 2019 telahpun selamat dilancarkan untuk pasaran Malaysia hari ini. Triton dengan muka lebih kacak ini hadir dengan lima varian berbeza pada pasaran tempatan bermula model asas Triton MT (RM100,200), Triton AT (RM105,990), Triton MT Premium (RM112,500), Triton AT Premium (RM118,600) dan Triton Adventure X (RM135,200). Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan lengkap dengan waranti pengeluar lima-tahun/200,000 km.

    Yang paling ditunggu-tunggu pastinya muka baharu pada Triton ini, iaitu direka dengan prinsip rekaan Dynamic Shield terbaharu Mitsubishi. Ia bukan sahaja mengenakan lampu utama tirus sepertimana yang dibuat oleh pemilik-pemilik Triton sebelum ini yang mengambil terus muka dari Pajero Sport, malah tampil lebih segar dengan rekaan hampir sama seperti pada model-model terkini Mitsubishi seperti Eclipse Cross dan SUV MPV Xpander.

    Garis pada bonet depan kini 100 mm lebih tinggi dari model terdahulu, manakala lampu hadapan bi-LED dengan lampu nyalaan siang LED bina (untuk Adventure X, varian lain diberikan lampu halogen projektor dan LDR halogen) dalam pada trak pikap ini direka nipis. Lampu-lampu berkenaan dihubungkan antara kedua-duanya dengan gril dua bar baharu. Bagi menyerlahkan rupa Dynamic Shield berkenaan, perumah lampu kabus direka lebih menyerlah bersama kemasan krom yang tebal.

    Mitsubishi Triton 2019 dilancarkan di M’sia secara rasmi – 6-kelajuan auto, 5 varian, dari RM100k-RM135k

    Untuk membezakan varian, versi Adventure X dan Premium menerima bampar hadapan krom bersama lampu kabus, pembuka pintu krom, dan juga cermin sisi kemasan krom bersama sistem kawalan elektrik dan dilengkapi lampu isyarat membelok. Tiada perubahan pada bahagian pintu, dan ia masih mengekalkan “garisan-J” asli Triton. Namun pada bahagian sisi, trak ini disegarkan dengan pemadanan set rim 18-inci baharu untuk varian tertinggi Adventure-X dan 17-inci bagi varian lain.

    Beralih ke belakang, model varian tertinggi diberikan lampu belakang LED yang direka dengan grafik seperti air meleleh – memberikan rupa luaran yang kini hampir menyerupai versi konsepnya – GR-HEV – muncul pada Bangkok Motorshow 2013. Varian lain yang lebih rendah pula hanya menerima lampu petak biasa. Manakala pembuka pintu tailgate belakang dan juga kemera undur diletakkan dalam perumah kemasan krom.

    Empat warna badan ditawarkan iaitu White Diamond, Jet Black Mica (hanya untuk Adventure-X), Sterling Silver (hanya untuk versi asas AT dan MT) dan Graphite Grey Metallic (hanya untuk varian Premium AT dan MT).

    Penyegaran turut dibuat untuk bahagian kabin. Suis-suis kawalan dan liang penghawa dingin kini direka semula dengan lebih kemas, serta menerapkan rekaan yang lebih bersegi, sesuai dengan rupa luarannya.

    Untuk varian Adventure X dan Premium, ia menerima suis penghidup enjin, panel meter berkontras tinggi bersama paparan pelbagai info berwarna,roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit dan kunci automatik menggunakan penderia kelajuan. Penumpang belakang menerima slot penyimpan telefon pintar dan port usb, serta liang penghawa dingin yang mengitar semula udara dari kabin hadapan menggunakan kipas blower sendiri, dan boleh dikawal dengan empat-kelajuan berbeza.

    Hanya model tertinggi Adventure X menerima temapt duduk balutan kulit, amaran pemakaian tali pinggang keledar hadapan, penderia parkir hadapan dan belakang dan juga tempat duduk pemandu larasan berkuasa.

    Mitsubishi Triton 2019 dilancarkan di M’sia secara rasmi – 6-kelajuan auto, 5 varian, dari RM100k-RM135k

    Bagi sistem infotaimen pula, Adventure X dan Premium menerima skrin sesentuh yang boleh dikawal dengan suara tetapi hanya Adventure X menerima sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Versi asas AT dan MT pula diberikan pemain utama 2-Din yang mampu memainkan muzik dari CD dan fail MP3 dari USB.

    Triton baharu ini masih ditawarkan dengan enjin 4N15 MIVEC turbodiesel 2.4 liter yang mampu menjana 179 hp pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm bermula 2,500 rpm. Enjin turbodiesel 2.5 liter empat-silinder berkuasa 107 hp dan tork maksima 200 Nm hanya ditawarkan pada model Triton Quest, dan ia tidak menerima muka baharu ini.

    Untuk kotak gear pula ada berita baik untuk mereka yang gemar memilih transmisi automatik – Triton kini diberikan kotak gear enam-kelajuan auto bagi menggantikan kotak gear lima-kelajuan INVECS II sebelum ini. Versi manual masih menerima enam-kelajuan, namun menurut Mitsubishi, kotak gear pada trak pikap baharu ini memberikan penukaran yang lebih lancar dan halus serta memberikan pecutan yang lebih berkuasa.

    Mitsubishi Triton 2019 dilancarkan di M’sia secara rasmi – 6-kelajuan auto, 5 varian, dari RM100k-RM135k

    Model 4WD disertakan dengan sistem Super-Select 4WD dan Easy-Select 4WD. Mitsubishi menyatakan bahawa kedua-dua sistem tersebut menawarkan cengkaman dan karekteristik optimum pada semua permukaan dan prestasi pada laluan off-road juga telah dipertingkat. Model pacuan empat roda juga menerima sistem Kawalan Menurun Bukit secara ekslusif buat pertama kali pada Triton (hanya pada Adventure X).

    Bukan itu sahaja, kini sistem 4WD untuk model Adventure X dan Premium AT turut menawarkan mod pemanduan Gravel, Mud/Snow, Sand dan Rock pada gear 4L. Menerusi sistem ini, kuasa enjin, transmisi dan cengkaman tayar (dikawal menerusi brek oleh komputer) akan ditala semula mengikut mod yang dipilih pemandu bagi mendapatkan prestasi off-road yang optima.

    Trak pikap ini juga sebenarnya 100 mm lebih tinggi dari sebelum ini. Walaupun bersaiz besar, Triton 2019 mempunyai radius pusingan 5.9 meter yang bukan sahaja memudahkan pengadalian dalam off-road, malah untuk pemanduan dalam bandar pada kawasan yang sempit.

    Pelbagai ciri keselamatan telah ditingkat taraf menerusi model 2019 dan antaranya yang pertama dalam kelasnya pada pasaran Malaysia bergantung pada varian. Ciri berkenaan adalah adalah Pengelak Pelanggaran Hadapan, Amaran Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang, Lampu Tinggi Automatik (AHB) dan juga tujuh beg udara SRS – kesemua ini hanya untuk Adventure X dan model lain hanya diberikan dua beg udara di hadapan.

    Triton Adventure X juga menerima Sistem Pengelak Salah Pecut Ultrasonic (UMS) yang berfungsi untuk mengelakkan kemalangan yang berlaku kerana pemandu yang menekan pedal secara tidak betul semasa mula bergerak atau mengundur pada ruang sempit – lebih kurang dengan sistem Pedal Misoperation Control (PMC) pada Perodua Myvi generasi baharu.

    Menurut Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), selepas tempahannya dibuka ketika diprebiu pada KLIMS 2018 November lalu, 800 unit Triton 2019 telah ditempah, dan pelanggan-pelanggan awal akan menerima trak pikap mereka sebelum perayaan Tahun Baharu Cina. MMM mensasarkan jualan sebanyak 600 unit sebulan dan pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia telah pun menempah 50-unit model baharu ini.

    Perincian lengkap berkenaan Mitsubishi Triton 2019 ini boleh anda lihat di laman Carbase.my.

    GALERI: Mitsubishi Triton Adventure X 2019

    GALERI: Mitsubishi Triton Premium MT 2019

    GALERI: Mitsubishi Triton Premium AT 2019

    GALERI: Mitsubishi Triton AT 2019