Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • TAS2019: TOM’S Corolla Sport – tampil lebih agresif

    TAS2019: TOM’S Corolla Sport – tampil lebih agresif

    Seperti yang dijangka, penala lagenda Toyota, TOM’S telah pun secara rasmi melancarkan TOM’S Corolla Sport di Tokyo Auto Salon 2019. Ia merupakan model tingkat taraf Toyota Corolla Hybrid generasi baharu, yang diberikan rupa lebih garang, dan juga sedikit peningkatan pada prestasi.

    TOM’S Corolla Sport ini diberikan splitter udara dari bampar hadapan hingga ke skirt sisi. Manakala pada bampar belakang, ia diberikan diffusser yang lebih radikal dan turut menempatkan empat tip ekzos berbentuk oval dari sistem TOM’S Barrel Titan.

    Badan Corolla ini direndahkan lagi menerusi penggunaan kit sistem suspensi Sport TOM’S, manakala rim asal ditukar kepada rim TOM’S Crosspeed berdiameter 19-inci dengan lebar 8.5j dan offset +45. Kesemua rim berkenaan dibaluti tayar Bridgestone Potenza S007 bersaiz 225/35R19. Sistem brek masih lagi standard, tetapi kesemua pad brek ditukar kepada pad TOM’S Sport.

    TAS2019: TOM’S Corolla Sport – tampil lebih agresif

    Kami tidak dibenarkan untuk masuk ke kereta ini, namun dari luar dapat dilihat TOM’S Corolla berkenaan menerima tempat duduk sport dengan balutan kulit merah gelap, dan ia menerima roda stereng yang diperbuat dari gentian karbon.

    Manakala untuk prestasi, dalam brosur yang disediakan ada menyebut bahawa kereta ini dipadankan dengan sistem pengawal pendikit elektronik L.T.S III yang mampu untuk merubah semula respon dan karekter pedal pendikit dengan dua storan mod Eco dan empat storan mod Sport.

    Dalam keadaan standard, Toyota Corolla Hybrid Hatchback generasi baharu ini dijana enjin 1.8 liter bersama sisitem hibrid THS II dengan kuasa keseluruhan 122 PS. Kuasa hanya disalurkan pada roda hadapan menerusi kotak gear Direct-Shift CVT.

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan di M’sia untuk Disember 2018

    MAA: Jualan kenderaan di M’sia untuk Disember 2018

    Angka jualan dan pengeluaran kenderaan di Malaysia untuk bulan Disember 2018 telah pun dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), dan ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding apa yang telah dicatatkan pada bulan sebelumnya.

    Secara keseluruhannya, 48,188 buah kenderaan telah berjaya diserahkan kepada pemilik pada bulan Disember, dan ini adalah 0.2% kurang (bersamaan 94 unit) berbanding jumlah pada bulan November 2018. Walaupun begitu, jumlah jualan untuk bulan Disember 2018 menurun sebanyak 12% (bersamaan 6,531 unit) apabila dibandingkan dengan bulan sama pada tahun 2017 (54,719 unit).

    Menurut MAA, sebab utama penurunan ini adalah kebanyakan permintaan pelanggan telah disempurnakan sepanjang tempoh tiga bulan cukai GST ditetapkan pada kadar sifar. Selain daripada itu, kelewatan kelulusan harga jualan kenderaan oleh kerajaan juga sedikit mengganggu waktu pelancaran model baru yang memerlukan harga rasmi.

    Untuk jumlah keseluruhan industri (TIV), tahun 2018 mencatat 598,714 buah kenderaan dan ini melebihi catatan tahun lepas sebanyak 576,652 unit (+3.83% atau 22,089 unit). Untuk bulan Januari, MAA menjangkakan gaya penurunan ini akan berterusan kerana sebab yang sama selain pengguna terus berhati-hati sebelum melakukan pembelian.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Perodua Aruz 2019 – RM73k-RM78k

    Perodua Aruz sudah pun dilancarkan semalam. Ada dua varian ditawarkan; Aruz 1.5 X dan Aruz 1.5 AV. Harganya pula bermula dari RM72,900 hingga RM77,900 (atas jalan tidak termasuk insurans). Ia juga datang dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km.

    Dari segi keselamatan, Aruz telah menerima penarafan ASEAN ANCAP lima-bintang. Selain itu, sebagai penawaran standard, ia juga datang dengan enam beg udara, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan (VSC) dan bantuan mula mendaki (HSA).

    Bagi varian AV, ia menerima tambahan ciri keselamatan ASA 2.0, yang kini tampil dengan ciri baru iaitu pengesanan pejalan kaki, serta kelajuan efektif yang bertambah untuk pengaktifannya. Sebagai contoh, brek automatik kini berkesan sehingga kelajuan 80 km/j (dulu hanya 30 km/j), pengesanan pejalan kaki sehingga 50 km/j serta amaran pra-perlanggaran sehingga kelajuan 100 km/j.

    Aruz menggunakan enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder yang menjana kuasa sebanyak 104 PS dan 136 Nm tork. Enjin ini jug ada ciri Dual VVT-i dan Eco Idle, dan penggunaan minyaknya mampu memberikan 15.6 km bagi setiap liter petrol.

    Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Perodua Aruz, tonton video yang kami sediakan ini.

    Bacaan lanjut berkaitan Perodua Aruz:



     
     
  • TAS2019: Barisan jentera lumba lagenda Toyota Supra

    TAS2019: Barisan jentera lumba lagenda Toyota Supra

    Bagi menaikkan lagi semangat yang ada pada Toyota GR Supra Super GT Concept yang membuat penampilan di Tokyo Auto Salon 2019, Toyota turut membawa jentera-jentera perlumbaan Supra dari generasi-generasi sebelum ini yang pernah berlumba di Jepun. Kereta-kereta berkenaan adalah Fujitsu Ten Tom’s Supra 1990, Cerumo Supra 2001, Esso Ultraflo Supra 2002 dan Supra HV-R 2007.

    Kita mulakan dengan Fujitsu Ten Tom’s Supra. Kereta ini dibina berasaskan Supra generasi ketiga MA70 dan berlumba dalam kejohanan Touring Car Jepun 1990. Oleh itu, kereta ini dihasilkan dengan spesifikasi FIA Group A atau production modified, bermaksud ia masih lagi menggunakan enjin asal enam-silinder 3.0 liter turbo 7M-GTE. Untuk tujuan homolagasi Group A juga, Supra Turbo Group A ini juga telah dihasilkan untuk versi jalan raya, hanya terhad kepada 500 unit.

    Di sebelah Supra MA70 tersebut pula adalah jentera JGTC Cerumo Supra GT500 2001 dari generasi A80. Supra ini dipandu oleh pasangan Yuji Tachikawa dan Takeichi Hirokiri, dan kedua-dua mereka berjaya meraih gelaran juara keseluruhan kategori pemandu untuk kelas GT500 musim berkenaan.

    Seterusnya adalah satu lagi jentera ikonik Esso Ultraflo Supra untuk perlumbaan Super GT tahun 2002. Jentera ini dipandu oleh pasangan Akira Iida dan Juichi Wakisaka – mereka turut mencapai keputusan yang sama iaitu juara keseluruhan Super GT 500 untuk musim 2002.

    Akhir sekali adalah Supra HV-R yang dibina oleh pasukan Toyota Team Sard pada tahun 2007. Kereta ini pada asalnya adalah jentera Super GT, dan kemudian diubahsuai dengan menyumbatkan unit janakuasa hibrid petrol-elektrik AWD. Jentera berkenaan digunakan untuk berlumba dalam siri perlumbaan ketahanan Jepun Super Taikyu Endurance.

    Supra HV-R ini berjaya menjuarai pusingan Tokachi 24 Jam pada musim berkenaan, dan ia diiktiraf sebagai kereta hibrid petrol-elektrik pertama di dunia yang memenangi perlumbaan.

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, Toyota Supra generasi baharu A90 bakal kembali semula ke Super GT bermula pada tahun 2020. Namun Toyota masih belum mengumumkan spesifikasi teknikal dan enjin apa yang bakal digunakan untuk kereta lumba tersebut.

    Tetapi tahukah anda untuk generasi A80 sebelum ini Supra tidak pernah menggunakan enjin asalnya iaitu 2JZ-GTE dalam perlumbaan Super GT? Ini kerana dalam perlumbaan ini tidak dinyatakan ia perlu menggunakan enjin asli, sebaliknya hanya dihadkan pada aspek kuasa kuda.

    Untuk jentera JGTC 1995, Supra dijana oleh enjin 2.1 liter empat silinder turbo 4T-GTE, kemudian digantikan dengan enjin empat-silinder 2.0 liter turbo 3S-GTE seperti pada kereta lumba Toyota Celica WRC. Enjin-enjin berkenaan tidak mempunyai masalah untuk ditala bagi menghasilkan kuasa maksima 500 hp, dan berbanding enjin enam-silinder 2JZ, rekaan empat-silinder ini lebih ringan dan kompak dan membolehkan ia diletak lebih rendah dan hampir dengan kokpit, bagi mendapatkan nisbah berat dan titik graviti lebih baik.

    Namun pada era awal Y2k, jentera Supra Super GT mula dijana oleh enjin 4.3 liter V8 3UZ-FE tanpa bantuan turbo. Enjin berkenaan dipilih kerana dapat menghasilkan tork linear yang lebih besar dari enjin-enjin turbo berkapasiti kecil.

    Setelah jentera Supra generasi baharu ini berlumba dalam siri Super GT nanti, ia bukan sahaja akan membawa kembali nama Supra dalam Super GT, malah nama Toyota itu sendiri. Ini kerana apabila Supra direhatkan pada akhir musim 2006, ia kemudian diambil alih oleh divisi mewahnya iaitu Lexus bermula pada 2007.

     
     
  • Honda HR-V facelift dilancarkan di Malaysia – empat varian, termasuk Hybrid, dari RM109k hingga RM125k

    Honda HR-V facelift dilancarkan di Malaysia – empat varian, termasuk Hybrid, dari RM109k hingga RM125k

    Honda Malaysia telah pun melancarkan Honda HR-V facelift secara rasminya, dan ia ditawarkan dengan empat varian. Pertama kali dipertontonkan di sini pada Julai lalu, varian yang ditawarkan ialah tiga unit petrol dengan model asas Grade E, diikuti dengan Grade V dan paling tinggi, RS. Manakala varian keempat pula ialah HR-V Hybrid, dan Malaysia merupakan satu-satunya negara selain Jepun yang menerima kemasukan varian ini.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, perubahan rekaan luaran bagi kitaran pertengahan ini dilihat lebih segar termasuk gril yang disemak semula, menampilkan palang yang lebih besar dengan logo Honda, bersama lampu utama LED sepenuhnya jenis reflektor baharu, bampar yang diprofil semula dan lampu kabus LED. Bahagian belakang pula menerima jaluran krom melintang baharu pada tailgate disambung pada lampu belakang, yang kini ditampilkan dengan unit LED jenis tiub.

    Bagi rodanya pula, E, V dan Hybrid dipadankan dengan aloi 17-inci, dibaluti tayar profil 215/55, sementara RS pula dilengkapi roda lima-jejari dua-tona 18-inci dan tayar 225/50. Bagi berat badannnya pula, E seberat 1,275 kg, sementara V pula 1,271 kg. Manakala RS dan Hybrid, masing-masing seberat 1,290 kg dan 1,300 kg.

    Honda HR-V facelift dilancarkan di Malaysia – empat varian, termasuk Hybrid, dari RM109k hingga RM125k

    Manakala untuk ruang but pula, bagi semua varian petrol, ia berkapasiti 437 liter dengan tempat duduk belakang normal, ditambah sehingga 1,032 liter jika ia dibaringkan.Untuk varian hybrid pula memiliki ruang but yang sedikit kecil, dengan 404 liter jika tempat duduk belakang dalam keadaan normal, dan 991 liter pula jika ia dibaringkan. Tidak seperti versi petrol, hibrid tidak didatangkan dengan tayar simpanan sebaliknya dibekalkan dengan kit membaiki tayar sementara.

    Walau bagaimana pun, tiada perubahan untuk penjana kuasa bagi versi petrol, ia masih mengekalkan enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC dengan kuasa 142 PS pada 6,500 rpm dan tork 172 Nm pada 4,300 rpm, serta dipadankan dengan transmisi CVT bersama pedal penukar gear. Spesifik untuk model RS ia kini hadir dengan sistem stereng Variable Gear Ratio (VGR) baharu.

    HR-V Hybrid menampilkan penjana kuasa Sport Hybrid i-DCD (intelligent dual-clutch drive) seperti Jazz Hybrid. Ia menggabungkan enjin 1.5 liter twin-cam i-VTEC Atkinson-cycle dan motor elektrik 22 kW (30 PS)/160 Nm, yang dikuasakan oleh bateri lithium-ion Blue Energy, dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan.

    Kuasa dari penjana kuasa itu meningkat berbanding Jazz, dengan 132 PS pada 6,600 rpm dan tork 156 Nm pada 4,600 rpm. Hasil kombinasi dari motor elektrik, sistem tersebut dapat menghasilkan 152 PS dan tork 190 Nm, sedikit tinggi berbanding model janaan petrol.

    Honda HR-V facelift dilancarkan di Malaysia – empat varian, termasuk Hybrid, dari RM109k hingga RM125k

    Secara standard, semua varian dilengkapi dengan butang penghidup enjin/kemasukan pintar, pendingin hawa automatik, lampu utama auto, lampu nyalaan siang, kawalan kelajuan, pedal penukar gear, kawalan audio pada roda stereng dan empat pembesar suara untuk sistem audio.

    Semua versi didatangkan dengan roda stereng tiga-jejari, tetapi E dan Hybrid dengan kemasan kulit, dengan upholstery separa kulit hitam untuk dua model itu. Ia turut menampilkan lampu utama halogen (dengan larasan manual) dan lampu kabus hadapan jenis mentol dan skrin paparan sistem audio pula dengan unit 6.8-inci.

    Manakala varian V dan RS ditambah dengan roda stereng kulit sepenuhnya dan upholstery kulit penuh, dengan kemasan hitam pada V. Kedua-dua varian juga menerima lampu utama LED (dengan larasan auto), lampu kabus hadapan LED dan konfigurasi LED ke lampu belakang. Malah V dan RS juga didatangkan dengan skrin paparan audio 7.0-inci, dan menerima tempat duduk larasan berkuasa lapan-hala.

    Bagi keselamatan pula, HR-V didatangkan dengan ciri standard termasuk enam beg udara (dua di hadapan, sisi dan tirai sisi), yang sebelum ini hanya pada varian V. Selain itu, ia ditampilkan bersama isyarat berhenti kecemasan (ESS), bantuan kestabilan kenderaan (VSA) dan bantuan mula mendaki (HSA) serta kamera pandang belakang pelbagai-sudut sebagai standard untuk semua model.

    Untuk warna pula, lima pilihan ditawarkan bagi HR-V 1.8L E dan V – ini termasuk warna baharu Passion Red Pearl, di samping White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic dan Ruse Black Metallic. RS pula menerima tiga pilihan warna – Passion Red Pearl, White Orchid Pearl dan Modern Steel Metallic.

    Manakala HR-V Hybrid pula ditawrkan dengan tiga warna, tetapi tiada pilihan merah, hanya Lunar Silver Metallic, White Orchid Pearl dan Modern Steel Metallic.

    Honda HR-V facelift dilancarkan di Malaysia – empat varian, termasuk Hybrid, dari RM109k hingga RM125k

    HR-V facelift ditawarkan dengan harga seperti berikut:

    • HR-V 1.8L E – RM108,800
    • HR-V 1.8L V – RM118,800
    • HR-V 1.8L RS – RM124,800
    • HR-V Sport Hybrid i-DCD – RM120,800

    Semuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans, dan ada tambahan kos sebanyak RM300 bagi pemilihan warna White Orchid Pearl. Honda Malaysia juga terus menawarkan waranti lapan-tahun – dengan perbatuan tanpa gad – untuk bateri hibrid.

    Pakej aksesori turut ditawarkan untuk HR-V facelift, dan ia terdiri daripada Modulo Package (RM5,737), Urban Package (RM1,716) dan Utility Package (RM902).

    Berikit merupakan spesifikasi penuh dan elemen yang ditawarkan untuk setiap varian HR-V facelift:

    Honda HR-V 1.8L Grade E

    Ciri standars:

    • Enjin 1.8 liter dengan 142 PS pada 6,500 rpm dan 172 Nm pada 4,300 rpm
    • Transmisi CVT
    • Roda aloi 17-inci dengan tayar profil 215/55
    • Ruang kargo dengan 437 liter, dan 1,032 liter dengan tempat duduk belakang dibaringkan
    • Tidak dicat hitam untuk bampar bawah hadapan/belakang dan ambang sisi
    • Perumah cermin sisi dan pemegang pintu luar sama warna dengan badan
    • Lampu utama halogen, auto, larasan manual
    • Lampu belakang LED
    • Lampu nyalaan siang
    • Lampu kabus hadapan jenis mentol
    • Antena sirip jerung
    • Kemasan plat lesen krom gelap
    • Butang penghidup enjin/kemasukan pintar
    • Kawalan audio pada roda stereng
    • Pedal penukar gear
    • Meter kombinasi pelbagai-informasi termaju
    • Pendingin hawa auto
    • Kawalan kelajuan
    • Roda stereng tiga-jejari, kulit
    • Upholstery hitam separa kulit
    • Sistem audio dengan paparan 6.8-inci, empat pembesar suara
    • HDMI/USB dan sambungan telefon bebas tangan
    • Enam beg udara (dua di hadapan, sisi, tirai sisi)
    • Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA)
    • ABS, EBD, penahan brek automatik dan bantuan mula mendaki
    • Cagak Isofix
    • Kamera pandang belakang pelbagai-sudut

    Warna: Passion Red Pearl, White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Ruse Black Metallic.

    Honda HR-V 1.5L Hybrid

    Ciri standard:

    • Enjin 1.5 liter twin-cam i-VTEC Atkinson-cycle dengan 132 PS pada 6,600 rpm dan 156 Nm pada 4,600 rpm
    • Motor elektrik 22 kW (30 PS)/160 Nm, dengan bateri lithium-ion Blue Energy
    • Sistem Sport Hybrid i-DCD dengan gabungan kuasa 152 PS dan 190 Nm
    • Transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan
    • Ruang kargo hingga 404 liter, 991 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan
    • Tambahan:

    • Suis kawalan stereng Intelligent Multi-Information Display (i-MID)
    • Kit baiki tayar sementara, bagi menggantikan tayar simpanan

    Warna: White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic

    Honda HR-V 1.8L Grade V

      Tambahan:

    • Lampu utama LED, larasan auto
    • Lampu kabus hadapan LED
    • Lampu belakang LED (jenis dwi-tiub)
    • Pemegang pintu luaran krom
    • Upholstery hitam kulit penuh
    • Roda stereng tiga-jejari, kulit penuh
    • Tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-arah
    • Sistem audio paparan 7.0-inci
    • Kamera LaneWatch

    Warna: Passion Red Pearl, White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Ruse Black Metallic.

    Honda HR-V 1.8L RS

    Tambahan:

    • Gril hadapan jenis-sport
    • Kemasan lampu kabus hadapan gaya-mesh
    • Warna hitam untuk bampar bawah hadapan/belakang dan ambang sisi dan perumah cermin sisi
    • Pemegang pintu luaran krom gelap
    • Roda aloi dua-tona 18-inci, tayar 225/50
    • Upholstery ivory kulit penuh, kemasan kontras kelabu gelap
    • Pedal sport

    Warna: Passion Red Pearl, White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Ruse Black Metallic

    GALERY: Honda HR-V facelift, varian RS

    GALERI: Honda HR-V 1.5L Hybrid

    GALERI: Honda HR-V 1.8L E

     
     
  • Tabiat pemanduan bukan pengukur kecekapan; sikap individu pendorong kemalangan jalan raya – MIROS

    Tabiat pemanduan bukan pengukur kecekapan; sikap individu pendorong kemalangan jalan raya – MIROS

    Sering kali terdengar, pemandu lelaki lebih cekap berbanding wanita. Tetapi pemandu lelaki mudah bersikap agresif dan baran di jalan raya, sering nak tunjuk hero. Manakala pemandu wanita ini pula sering buat pertimbangan yang kurang tepat sewaktu memandu. Alahai…macam-macam anggapan dan persepsi, membandingkan antara pemandu lelaki dan wanita.

    Walau bagaimana pun, persepsi wanita kurang cekap memandu berbanding lelaki kurang tepat, sebaliknya golongan itu lebih mematuhi undang-undang jalan raya, peka dan bersistematik dalam merancang perjalanan.

    Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak, berkata tabiat pemanduan bukan pengukur bagi menentukan kecekapan antara lelaki dan wanita yang mempunyai kelebihan serta kelemahan tertentu berkaitannya, laporan Berita Harian.

    Katanya, selain jantina, sikap individu juga menjadi pendorong kepada masalah kemalangan dan kematian pengguna jalan raya.

    Tabiat pemanduan bukan pengukur kecekapan; sikap individu pendorong kemalangan jalan raya – MIROS

    Siti Zaharah turut berkata, berdasarkan kajian MIROS mendapati bilangan pemandu lelaki yang terbabit dalam nahas jalan raya tujuh kali lebih tinggi berbanding wanita. Statistik pada 2017, umpamanya menunjukkan jumlah kematian pemandu lelaki adalah seramai 5,885 orang berbanding pemandu wanita hanya 854 orang.

    “Angka berkenaan jelas mempamerkan corak pemandu lelaki terbukti lebih berbahaya dan kurang berhemah jika dibandingkan dengan wanita. Oleh itu, stigma mengenai kegagalan wanita untuk menguasai kecekapan pemanduan dan tidak berhati-hati di jalan raya sebenarnya adalah tidak benar,” katanya.

    Walau bagaimana pun, jelasnya, wanita mempunyai kekurangan dalam keupayaan spatial (ruang dan jarak) berbanding lelaki terutama ketika memandu di jalan raya. Di mana masalah anggaran jarak mengakibatkan pemandu wanita akan bertindak terlalu berhati-hati dan menyukarkan kenderaan lain dan dianggap mengundang risiko kemalangan.

    “Ia termasuk sewaktu mereka memandu untuk melintas persimpangan yang tidak mempunyai lampu isyarat, memotong dan ketika meletakkan kenderaan. Tindakan wanita yang banyak berfikir menghilangkan fokus pemanduan membuatkan mereka tidak konsisten dan ada kala lambat membuat keputusan untuk mengubah arah,” katanya.

    Tabiat pemanduan bukan pengukur kecekapan; sikap individu pendorong kemalangan jalan raya – MIROS

    Bukan itu sahaja, wanita juga dikatakan suka melakukan pelbagai tugas sepanjang pemanduan juga menjadi faktor hilang daya tumpuan.

    “Dalam satu masa, wanita boleh memandu sambil lakukan aktiviti lain termasuk bersembang, menggunakan telefon dan berswafoto dalam kenderaan boleh mengundang kepada kecuaian pemanduan. Sungguhpun nisbah kes kemalangan antara pemandu lelaki dan wanita ada besar namun angka kemalangan membabitkan pengguna jalan raya wanita meningkat,” katanya.

    Siti Zaharah berkata, ciri pemanduan lelaki dan wanita berbeza lantas mempengaruhi pemanduan mereka seperti persepsi keselamatan dan keselesaan dalam kereta sendiri. Selain itu, pemandu lelaki pula mempunyai kemahiran dalam pergerakan tubuh badan (psikomotor) yang lebih tinggi berbanding wanita.

    “Dari aspek kecekapan pemanduan, pemandu lelaki pula dikenal pasti memiliki kemahiran lebih tinggi berbanding wanita. Kelebihan dimiliki ini menjadikan lelaki berkeyakinan dan mengambil sikap tidak endah sehinggakan kebanyakannya mengambil risiko dengan memandu laju serta dengan secara berbahaya,” katanya.

     
     
  • Toyota Avanza dan Veloz facelift dilancar di Indonesia

    Toyota Avanza dan Veloz facelift dilancar di Indonesia

    Setelah gambarnya bocor beberapa minggu yang lepas, kini Toyota Avanza facelift 2019 sudah pun dilancarkan secara rasmi di Indonesia. Menariknya, Toyota Astra Indonesia turut memperkenalkan satu lagi model baru yang sebenarnya adalah sama sahaja dengan Avanza tetapi dijadikan lebih mewah iaitu Veloz.

    Perubahan paling utama bagi model facelift ini sudah tentu adalah penampilannya, di mana pada bahagian depan, anda akan dapat melihat lampu jenis bertingkat, yang seperti mendapat inspirasi daripada MPV lebih besar Vellfire, sementara bampar pula dijadikan lebih agresif dengan bukaan tengah yang lebih besar dan garis menegak di penjurunya. Ada yang mengatakan, rekaan ini nampak seperti rekaan bampar Mitsubishi Xpander.

    Pergi ke bahagian belakang, lampu jenis menegak masih lagi digunakan, tetapi pemantul cahaya pada pintu but dijadikan terpisah dua dan lebih nipis, dan terdapat jalur krom melintang yang bersambung sepanjang bahagian belakang kenderaan. Rim pula bersaiz 14 dan 15 inci (bergantung kepada varian).

    Anda juga boleh melihat terdapat beberapa perincian kecil yang berbeza di antara Avanza dan Veloz, sebagai contoh untuk bahagian luarnya, kemasan krom pada gril dan pintu but belakang (kemasan pada Veloz berwarna seakan keemasan), bentuk lampu kabus belakang serta bentuk bahagian bukaan udara bawah bampar.

    Rekaan asas bentuk papan pemuka Avanza facelift ini masih lagi sama, tetapi penggunaan skrin infotainmen baru serta butang kawalan pendingin hawa digital menjadikan penampilannya berbeza. Kemudiannya, unit pada Avanza pula menggunakan warna dua tona (atas hitam dan bawah putih kekuningan) manakala Veloz semuanya berwarna hitam.

    Ada dua enjin yang ditawarkan untuk Avanza dan Veloz facelift ini iaitu unit empat silinder 16V DOHC Dual VVT-i 1,329 cc dengan kuasa 96.5 hp/120.6 Nm dan juga unit empat silinder 16V DOHC Dual VVT-i 1,496 cc (sama seperti Perodua Aruz, Myvi dan Rush)dengan kuasa 104 hp dan 136 Nm tork. Ia boleh didapati dengan transmisi automatik empat kelajuan ataupun manual lima kelajuan.

    Toyota Avanza dan Veloz facelift dilancar di Indonesia

    Bagi Avanza, terdapat lima varian ditawarkan di sana iaitu 1.3E A/T, 1.3E M/T, 1.3G A/T, 1.3G M/T dan 1.5G M/T dengan harga antara 191.1 juta Rupiah (RM55,646) hingga 221.25 juta Rupiah (RM64,425). Veloz pula ditawarkan dalam empat varian iaitu 1.3 A/T, 1.3 M/T, 1.5 A/T dan 1.5 M/T dengan harga antara 215.65 juta Rupiah (RM62,795) hingga 239.45 juta Rupiah (RM69,725).

    Antara kelengkapan lain yang ada pada Avanza dan Veloz facelift 2019 (bergantung pada varian) adalah beg udara hadapan, butang pemula enjin, sistem masuk tanpa kunci, suspensi MacPherson dan brek cakera di hadapan, suspensi 4-Link Lateral Rod dan brek dram di belakang, cermin sisi boleh lipat secara elektronik, pengesan undur dan tempat duduk balutan fabrik.

    GALERI: Toyota Avanza facelift 2019 pasaran Indonesia

    GALERI: Toyota Veloz facelift 2019 pasaran Indonesia

     
     
  • PANDU UJI: Perodua Aruz SUV untuk rakyat Malaysia?

    PANDU UJI: Perodua Aruz SUV untuk rakyat Malaysia?

    Kenderaan jenis SUV bukanlah sesuatu yang baru di dalam barisan kenderaan yang pernah diperkenalkan oleh Perodua. Sekurang-kurangnya ada dua model yang pernah kita saksikan berada di atas jalan Malaysia hasil keluaran syarikat itu untuk model SUV – lama dahulu ada Kembara, dan kemudian pada tahun 2008, ia disusuli pula oleh pengenalan model Nautica.

    Kini, selepas sedekad sepi daripada model SUV, Perodua kembali dengan Aruz – buat pertama kali juga ia merupakan sebuah model SUV tujuh-tempat duduk, berbanding dengan model-model terdahulu yang hanya menyediakan lima kapasiti penumpang.

    Di dalam pelan transformasi Perodua yang pernah diumumkan dahulu, lima model digariskan menjadi pemangkin kepada usaha berkenaan, dan langkah itu dimulakan oleh model Axia terlebih dahulu pada tahun 2014. Ini diikuti dengan model sedan pertama yang dikeluarkan, Perodua Bezza yang mula menemui pelanggan pada tahun 2016. Kemudian, lahir Myvi generasi ketiga yang dilancarkan pada 2017. Aruz menjadi model keempat yang lahir dari plan transformasi yang sama.

    Perodua Aruz bukanlah sebuah model unik hanya untuk Perodua. Ia juga bukan seperti Myvi yang menyaksikan hampir keseluruhan rekaan luarannya yang dapat kita lihat itu dihasilkan oleh pereka tempatan – dari kosong, sehinggalah terhasil reka bentuk hatch berkenaan. Serba-serbi tentang rekaannya baru, dan meninggalkan terus imej dan reka bentuk hatchback ala Daihatsu Boon/Toyota Passo yang menjadi asasnya sejak mula.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • TAS2019: Jun Super Lemon Honda Fit/Jazz RS GK5

    TAS2019: Jun Super Lemon Honda Fit/Jazz RS GK5

    Jun Auto Mechanic antara penala old timer Jepun yang masih setia mempamerkan hasil karya mereka ke Tokyo Auto Salon 2019. Tiga demo car di bawa acara berkenaan iaitu Jun 420GTR (Nissan GT-R R35), Jun Super Lemon Toyota 86, dan yang paling menarik perhatian dan relevan dengan kita adalah Jun Super Lemon Fit RS diasaskan dari Honda Jazz/Fit GK5 varian RS.

    Jun melakukan ubahsuai lengkap terhadap Super Lemon Fit RS ini bukan sahaja dari segi rupa, malah lengkap dengan kuasa dan pengendalian yang lebih baik. Tak lengkap la kalau sebuah kereta demo Jun jika enjin tidak diusik bukan? Fit RS ini masih dijana enjin L15B, tetapi aci sesondol (camshaft) asal telah ditukar kepada unit berdurasi lebih tinggi bagi membolehkan lebih banyak campuran udara bahan api ke kebuk pembakaran.

    TAS2019: Jun Super Lemon Honda Fit/Jazz RS GK5

    Dapat dilihat juga, kotak angin untuk sistem pengambilan udara asal telah dibuang, diganti dengan penapis udara berprestasi tinggi bersama paip ram aloi. Untuk ekzos, manifold masih lagi standard, tetapi paip utama hingga muffler, ia menerima set sistem Blitz Nur-Spec VSR. Walau bagaimanapun, perincian berkenaan unit pengurusan enjin dan jumlah kuasa yang dihasilkan tidak didedahkan oleh Jun. Menurut mereka lagi, sistem transmisi juga masih lagi dalam keadaan standard iaitu kotak gear enam-kelajuan manual, ya, manual!

    Untuk pengendalian, Fit ini menerima set suspensi lengkap D2 Japan Street, dan ia juga menerima roll cage lengkap yang pastinya memberikan respon pemanduan lebih tegap dan jitu. Kuasa enjin disampaikan ke permukaan jalan dengan tayar Yokohama Advan Neova AD80 bersaiz 245/45R17 yang membaluti set rim Yokohama Advan RZ3 bersaiz 17×7.5 j. Manakala untuk memberhentikan hatchback segmen-B in dengan lebih cepat, Jun memadankan sistem brek lengkap D2 Japan dengan angkup jenis monoblok.

    Untuk bahagian luaran, Jun Super Lemon Fit RS ini diberikan kelopak mata, lip spoiler dan juga skirt sisi dengan sayap ‘Twin Cam’ dari Jun, bersama spoiler gt SARD R-Wing, serta cermin sisi gentian karbon lebih kecil – ringkas, tetapi dengan set rim, tayar dan juga brek yang kelihatan, kereta ini nampak begitu agresif. Seperti jentera-jentara Jun lain yang menerima nama ‘Super Lemon’, Fit RS ini diberikan warna badan Vivid Yellow.

    Anda akan lebih teruja melihat bahagian dalam Fit RS talaan Jun ini. Selain dari roll cage yang dinyatakan tadi, ia turut dipadankan dengan tempat duduk perlumbaan dari Bride, lengkap dengan tali pinggang empat-poin, sementara tempat duduk belakang dan juga karpet telah dikeluarkan. Roda stereng asal pula digantikan dengan stereng Works Bell tiga-jejari balutan kulit dengan jahitan benang kuning, sementara pemain infotaimen juga dibuka, digantikan dengan komputer paparan informasi dan sistem data logging Blitz TOUCH.

     
     
  • Proton X70 – 15k tempahan, 2k unit telah dihantar

    Proton X70 – 15k tempahan, 2k unit telah dihantar

    Nampak gayanya Proton X70 yang dilancarkan pada 12 Disember lalu menerima sambutan yang begitu menggalakkan. Sehingga kini, Proton telah menerima sejumlah 15,000 unit tempahan untuk SUV pertama mereka itu, dan telah menghantar kira-kira 2,000 unit kepada pelanggan yang menempahnya. Malah syarikat itu berkata mereka akan bekerja keras untuk mempercepatkan lagi kadar penghantaran pada bulan-bulan yang akan datang.

    “Proton sangat berterima kasih atas sokongan rakyat Malaysia terhadap X70 dan kami akan cuba menghantar unit yang ditempat secepat yang mungkin. Ini adalah permulaan yang dicari oleh syarikat kami dan berharap untuk meneruskan momentum untuk aktiviti kami sepanjang tahun,” ujar timbalan CEO Proton Datuk Radzaif Mohamed.

    Buat masa ini, X70 adalah model import sepenuhnya (CBU) dari China, dan ia ditawarkan dengan empat varian bersama harga bermula RM99,800. Unit pemasangan tempatan (CKD) SUV ini dijangka bakal bermula pada Oktober 2019 setelah inisiatif pengembangan kilang Proton di Tanjung Malim selesai.

    Pada tahun lalu, pengeluar kereta nasional pertama ini telah mengumumkan akan membuat pelaburan sebanyak RM1.2 bilion untuk mempertingkatkan lagi fasiliti di kilang Tanjung Malim yang bakal memproduksikan X70 dan juga model Proton yang akan datang.

    GALERI: Proton X70 Premium 2WD

     
     
  • Perodua Aruz – perincian aksesori katalog GearUp

    Perodua Aruz – perincian aksesori katalog GearUp

    Pelbagai perincian telah didedahkan waktu pelancaran Perodua Aruz, dan ini termasuklah barisan aksesori yang ditawarkan dalam katalog GearUp. Senarainya mungkin lebih pendek daripada aksesori bagi model Perodua lain, tetapi ia masih banyak, termasuk untuk gaya, kemudahan ataupun barangan-barangan lain.

    Sebagai permulaan, terdapat pakej Utility yang berharga RM450 untuk Semenanjung Malaysia, dan ini termasuk visor pada pintu, lapik kaki serta alas untuk bahagian barangan. Jika anda tidak mahu memiliki semua barangan ini, ia masih boleh dibeli secara berasingan.

    Bagi yang mementingkan keselesaan pemanduan, anda boleh mendapatkan pelapik kedap bunyi bagi bahagian bawah hud dan dalam pintu dengan masing-masing berharga RM80 dan RM455. Perodua juga ada menawarkan tempat duduk kanak-kanak siap dengan cangkuk Isofix dalam dua jenis iaitu untuk yang mempunyai berat bawah 13 kg pada harga RM785 dan RM975 untuk kanak-kanak berat sehingga 36 kg (umur sehingga 12 tahun).

    Selain daripada barangan tadi, masih banyak lagi aksesori yang ditawarkan oleh Perodua seperti sistem pemerhati tekanan angin tayar yang boleh disambung kepada aplikasi dalam telefon pintar (RM430), beg barangan kecil (RM37), kit bantuan kecemasan (RM33.50) dan magnet pemegang telefon (RM30).

    Perodua Aruz dilancarkan untuk pasaran Malaysia dalam dua varian iaitu 1.5X pada harga RM72,900 dan 1.5AV pada harga RM77,900 (tidak termasuk insurans). Anda boleh melihat spesifikasi penuh Aruz di CarBase.my dan membandingkannya dengan pesaing lain dalam segmennya.

    Bacaan lanjut berkaitan Perodua Aruz:

    GALERI: Perodua Aruz 1.5X dengan aksesori GearUp

    GALERI: Perodua Aruz 1.5AV dengan aksesori GearUp

     
     
  • Perodua Aruz – bagaimana ciri pada ASA 2.0 berfungsi

    Perodua Aruz yang baru dilancarkan datang dengan pelbagai ciri keselamatan, dengan yang diberi standard untuk kedua-dua varian termasuk enam beg udara, ABS, EBD, BA, VSC, Hill Start Assist, Hill Descent Control dan cagak Isofix pada tempat duduk baris kedua.

    SUV ini juga menampilkan pakej keselamatan Advanced Safety Assist (ASA), yang datang dalam versi 2.0 dengan beberapa naik taraf, khas untuk varian paling tinggi 1.5 Advance (AV).

    Walaupun mempunyai nama versi 2.0, sistem ini masih mempunyai komponen yang sama seperti pada Myvi baru, iaitu termasuk Pre-collision Warning (PCW), Pre-collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC), tetapi prestasi ada di antaranya telah diberikan peningkatan.

    Perodua Aruz – bagaimana ciri pada ASA 2.0 berfungsi

    Untuk Pre-collision Warning (PCW), ia berfungsi dengan memberi amaran apabila kemalangan hampir berlaku dan menyedarkan pemandu melalui bunyi buzzer sebelum kemalangan betul-betul berlaku. Pada Myvi, sistem ini berfungsi pada kelajuan antara 4 km/j hingga 30 km/j tetapi pada Aruz, ia boleh beroperasi pada kelajuan lebih tinggi iaitu 4 km/j hingga 100 km/j.

    Itu adalah untuk pengesanan kenderaan, tetapi PCW Aruz juga boleh mengesan pejalan kaki. Jadi, apabila ada kemungkinan berlaku perlanggaran dengan pejalan kaki, amaran akan dikeluarkan, dan ia boleh berfungsi pada kelajuan antara 4 km/j hingga 50 km/j.

    Sekiranya pemandu tidak memberi tindak balas kepada amaran audio dan visual yang dikeluarkan, sistem Pre-collision Braking (PCB) pula akan masuk campur untuk membrek kenderaan. Sistem yang juga dikenali dengan nama Autonomous Emergency Braking (AEB) ini bertindak dengan memberi dua tahap kuasa brek iaitu pertama secara sedikit dan kemudiannya barulah lebih kuat, apabila objek semakin dekat.

    Apabila mengesan kenderaan, PCB boleh beroperasi pada kelajuan antara 4 km/j hingga 80 km/j, manakala apabila mengesan pejalan kaki, ia boleh beroperasi pada kelajuan dari 4 km/j hingga 50 km/j. Menurut Perodua, pada kelajuan 30 km/j (lebih 10 km/j berbanding sistem pada Myvi), sistem ini boleh membantu Aruz mengelakkan kemalangan sepenuhnya. Pada kelajuan sederhana (30 hingga 80 km/j untuk kereta dan 30 hingga 50 km/j untuk pejalan kaki), sistem ini tidak boleh mengelakkan kemalangan tetapi boleh mengurangkan kesan perlanggaran.

    Untuk FDA dan PMC pula, operasinya masih lagi sama. FDA memberi amaran apabila kereta di hadapan sudah mula bergerak daripada keadaan berhenti (seperti di lampu isyarat atau kesesakan trafik) dan ia diaktifkan apabila anda berada dalam jarak 10 meter daripada kereta hadapan.

    Sistem PMC mampu memutuskan penyampaian kuasa dari enjin sekiranya ia mengesan terdapat halangan di hadapan kenderaan, dalam jarak empat meter. Ia tidak akan membenarkan kereta bergerak ke hadapan dan kuasa enjin akan dikawal sehingga selama lapan saat. Sistem ini dapat mengelakkan kemalangan yang berlaku apabila pemandu tersalah pijak pedal secara tidak sengaja.

    Bacaan lanjut berkaitan Perodua Aruz:

     
     
  • Perodua Aruz – 2,200 unit tempahan telah diterima

    Perodua Aruz – 2,200 unit tempahan telah diterima

    Perodua Aruz yang telah dilancarkan, setakat ini menerima 2,200 unit tempahan sejak ia dibuka pada 3 Januari lalu. Pencapaian yang agak membanggakan kerana dalam masa dua minggu tempahannya dibuka, ternyata ramai yang teruja dan tidak sabar untuk menantikannya biarpun kehadirannya di bilik pameran Perodua di seluruh negara belum kelihatan. Aruz bakal dipamerkan di semua bilik pameran Perodua di seluruh negara mulai esok.

    Ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5 X dan spesifikasi tertinggi 1.5 Advance, yang masing-masing berharga RM72,900 dan RM77,900 (atas jalan sebelum insurans di Semenanjung Malaysia), Aruz dijangka akan meledak di pasaran. Mungkin juga mampu mengulangi kejayaan Myvi yang cemerlang daripada segi jualan.

    “Sebagai syarikat yang mengutamakan insan, Perodua sentiasa berusaha untuk menjadikan teknologi dan trend automotif terkini mampu milik. Dengan Perodua Aruz, rakyat Malaysia kini boleh menikmati kelebihan sebuah SUV, termasuk ciri-ciri canggih yang ditampilkan. Ini menjadikan Aruz antara SUV dengan nilai terbaik pada masa kini yang memenuhi anjakan ruang, keselamatan dan kecekapan,” ujar Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Malah Perodua turut mensasarkan jualan Aruz sebanyak 2,500 unit sebulan dan dijangka ia mampu mencecah 31,200 unit menjelang akhir 2019.

    Aruz yang menggunakan 95% komponen tempatan, merupakan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) keempat buatan Perodua, dan SUV tujuh-tempat duduk ini dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api terbaik dalam segmennya iaitu mencecah 15.6 km per liter.

    Ia dikuasakan oleh enjin empat silinder petrol NA 1.5 liter yang mampu menghasilkan kuasa 104 hp dan 136 Nm tork. Enjin 2NR-VE Dual VVT-i ini turut digunakan pada Myvi, dan dipadankan dengan transmisi automatik empat-kelajuan, yang menyalurkan kuasa ke roda belakang.

    Bacaan lanjut berkaitan Perodua Aruz:

     
     
  • Perodua Aruz harus bersaing dengan Toyota Rush dan Honda BR-V – pemilikan mana yang lebih berbaloi?

    Perodua Aruz harus bersaing dengan Toyota Rush dan Honda BR-V – pemilikan mana yang lebih berbaloi?

    Perodua Aruz membuka tirai 2019 sebagai kenderaan pertama yang dilancarkan secara rasmi pada tahun ini, dan diraikan dalam majlis penuh gilang-gemilang. Selepas mula ‘membocorkan’ rahsianya sedikit demi sedikit akhir tahun lalu, ternyata Perodua telah benar-benar bersedia untuk membolosi pasaran SUV yang kian mendapat tempat di negara ini. Apatah lagi bagi SUV tujuh-tempat duduk dengan tawaran harga yang menguja, Aruz dilihat mampu mengembalikan rekod ‘goreng pisang panas’ seperti mana yang pernah dicapai oleh Myvi.

    Walau pun mungkin ada yang beranggapan, Aruz tidak akan sukar untuk membolosi pasaran biarpun terpaksa bersaing rapat dengan dua model SUV pencabarnya iaitu Honda BR-V yang telah berada di pasaran sejak Januari 2017 dan juga model asas bagi Aruz sendiri, Toyota Rush, yang diperkenalkan pada Oktober lalu.

    Perbandingan pertama, kita hurai soal harganya. Seperti yang semua sedia maklum, Aruz ditawarkan dengan dua varian dan berharga RM72,900 untuk X dan spesifikasi tertinggi pula, Advanced RM77,900. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans dan untuk Semenanjung Malaysia. Manakala BR-V pula diletakkan harga sedikit tinggi dengan antara RM81,000 hingga RM88,000. Dan Rush pula lebih mahal berbanding kedua-dua model pesaingnya itu, dengan harga jangkaan RM93,000 ke RM98,000. Jadi, di antara ketiga-tiga model itu, soal penawaran harga pastinya menjadi faktor utama dalam pemilihan, sebelum perbandingan ciri lain pula diambil kira.

    Perodua Aruz harus bersaing dengan Toyota Rush dan Honda BR-V – pemilikan mana yang lebih berbaloi?

    Bagaimana pula dengan bahagian mekanikalnya? Memandangkan Aruz dibangunkan berdasarkan model Rush, ini bermakna kedua-dua saudara kembar berlainan ‘ibu bapa’ ini memiliki genetik yang sama. Kedua-duanya dikuasakan oleh enjin 1.5 liter NA empat-silinder petrol dengan output 104 hp dan tork 136 Nm. Enjin 2NR-VE Dual VVT-i ini turut digunakan pada Myvi, dan dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan, yang menyampaikan kuasa ke roda belakang. Malah kedua-duanya juga didatangkan dengan fungsi start/stop enjin automatik (Perodua menamakannya sebagai ‘Eco Idle’).

    Manakala bagi BR-V pula, ia dipadankan dengan enjin 1.5 liter NA, dengan teknologi SOHC i-VTEC, dan boleh menghasilkan lebih kuasa berbanding Aruz dan Rush, iaitu 119 hp dan tork 145 Nm. Selain itu, transmisi BR-V juga berbeza, di mana ia menggunakan CVT, dan kuasa dihantar ke roda hadapan. Walau bagaimana pun, ketiga-tiga model ini mempunyai catatan penggunaan bahan api antara 15.5 hingga 15.6 kilometer bagi setiap liter

    Kita beralih pula pada dimensi bagi ketiga-tiga model ini. Aruz mempunyai ukuran 4,435 mm panjang, 1,695 mm lebar, 1,705 mm tinggi dan jarak roda pula adalah 2,685 mm. Sudah pasti ia adalah sama dengan Rush, tetapi apabila dibandingkan dengan BR-V, Aruz lebih pendek 18 mm dan kurang lebar 40 mm, tetapi lebih tinggi 39 mm dan jarak roda lebih panjang 23 mm. Walaupun jarak roda Aruz lebih panjang, ruang bahagian barangan belakangnya cuma ada 213 liter disebabkan terdapat tiga baris tempat duduk, dan ini adalah 10 liter kurang berbanding BR-V.

    Untuk ciri yang ditampilkan, dengan harga yang lebih rendah berbanding BR-V dan Rush, Aruz boleh dikatakan lebih lengkap dan lebih keterampilan. Ia menampilkan lampu utama LED, rim aloi 17-inci, pendingin hawa zon-tunggal manual dengan corong di belakang, unit audio tujuh-inci, pembaca Touch n Go binaan dalam, soket pengecas kuasa pada semua barisan tempat duduk serta sistem masuk dan mula kenderaan tanpa kunci. Varian tertinggi, AV tentunya lebih lengkap, ditambah dengan fungsi hidup dan tutup automatik untuk lampu utama, sambungan HDMI pada head unit, tempat duduk kulit dan perakam video (DVR).

    Dibandingkan dengan BR-V pula, ciri standard yang disediakan oleh Honda pada varian E dan V adalah termasuk lampu utama projektor halogen, lampu siang LED, rim aloi 16-inci, unit utama biasa, pendingin hawa zon-tunggal dengan corong di belakang serta soket pengecas di hadapan. Hanya BR-V varian paling tinggi (V) yang mendapat lampu kabus, tempat duduk kulit, pendingin hawa automatik dan skrin sesentuh 6.1-inci dengan sambungan HDMI.

    Memandangkan harganya yang paling ketiga berbanding dua model pesaingnya, Rush pula ditampilkan dengan lampu hadapan LED, lampu belakang LED, rim dua tona 17-inci dibaluti tayar 215/60R17 adalah ciri standard untuk kedua-dua varian. Kabinnya dilengkapi tempat duduk balutan fabrik untuk varian asas, manakala varian tertinggi S diberikan balutan kulit pada tempat duduk, roda stereng dan juga tombol penukar gear.

    Selain ditampilkan sistem audio DVD-AVX dengan skrin sesentuh kapasitif 6.8-inci, sistem Panaromic View Monitor (PVM) 360-darjah, pembaca Smart Tag dan Dash Cam bina dalam, dua soket 12V konvensional (hadapan dan tempat duduk baris ketiga), 13-pemegang cawan, sistem penghawa dingin automatik dan juga penghawa dingin untuk kabin belakang.

    Mengenai ciri keselamatannya pula, Aruz didatangkan dengan enam beg udara, Vehicle Stability Assist, ABS, EBD, Brake Assist, Hill Start Assist, Hill Descent Control dan cagak Isofix secara standard – sama seperti yang ditawarkan pada Rush. BR-V pula cuma dilengkapi dua beg udara tetapi masih mempunyai Vehicle Stability Assist (VSA), ABS, EBD, Hill Start Assist (HSA) dan cagak Isofix di tempat duduk baris kedua.

    Namun varian tertinggi Aruz diberikan kelebihan utama dengan kehadiran pakej Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 yang termasuk Pre-Collision Warning, Pre-Collision Braking, Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control yang dipertingkatkan.

    Dengan ASA 2.0, pengesanan pejalan kaki telah ditambah dan ia boleh berfungsi sehingga kelajuan 50 km/j. Peningkatan lain termasuk laju operasi Pre-Collision Warning sehingga 100 km/j dan sehingga 80 km/j untuk Pre-Collision Braking (dari 30 km/j). Walaupun ASA 2.0 ini mempunyai spesifikasi yang sama seperti Pre-Collision System yang ada pada Rush, Aruz tidak mempunyai pengesan titik buta dengan amaran trafik dari belakang. SUV Perodua ini juga tidak dilengkapi dengan Panoramic View Monitor dengan empat kamera seperti Rush.

    BR-V tidak mempunyai sistem yang sama seperti ASA 2.0, tetapi masih membolehkan ia mendapat lima bintang dalam ujian keselamatan ASEAN NCAP bersama Aruz dan Rush. Ia hadir dengan dua beg udara, Kawalan Kestabilan, ABS dan EBD.

    Bacaan lanjut berkaitan Perodua Aruz:

    GALERI: Perodua Aruz 1.5X

    GALERI: Perodua Aruz 1.5AV



     
     
  • Perodua Aruz 2019 – spesifikasi penuh varian X, AV

    Perodua Aruz 2019 – spesifikasi penuh varian X, AV

    Akhirnya, tiada lagi teka-teki. Yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Perodua hari ini telah memperkenalkan secara rasmi model SUV terbaru keluarannya, Aruz. Kita juga sudah mengetahui bahawa hanya ada dua varian yang akan ditawarkan, Aruz 1.5 X dan varian paling tinggi, Aruz 1.5 AV.

    Harga jualannya juga sudah disahkan. Bermula dari RM72,900 bagi Aruz 1.5 X hinggalah kepada yang paling tinggi, RM77,900 untuk varian Aruz 1.5 AV (atas jalan tanpa insurans). Aruz juga menerima penarafan ASEAN NCAP lima-bintang, dan datang dengan jaminan yang meliputi 150,000 km perbatuan.

    Perkara yang lebih menarik untuk dilihat ialah, apa sebenarnya perbezaan spesifikasi antara kedua-dua varian berkenaan? Apa yang lebih dan apa yang kurang di antara kedua-duanya? Jadi, untuk menjawab pertanyaan tersebut, berikut kami sertakan senarai kelengkapan penuh bagi kedua-dua varian Aruz X dan AV untuk memudahkan anda. Mana satu yang lebih sesuai untuk anda?

    Perodua Aruz 1.5 X – RM72,900

      Mekanikal:

    • Enjin 1.5 liter 2NR-VE Dual VVT-i
    • 1,496 cc, empat silinder, petrol
    • 105 PS pada 6,000 rpm, 136 Nm tork pada 4,200 rpm
    • Transmisi automatik empat-kelajuan torque converter
    • Eco Idle, ciri start/stop automatik bagi enjin
    • Kadar penggunaan minyak 15.6 km per liter
      Luaran:

    • Lampu utama LED dengan fungsi “Follow Me Home”, tanpa On/Off automatik
    • Tanpa lampu kabus halogen hadapan
    • Rim aloi 17-inci dwi tona
    • Tanpa landasan pada bumbung
    • Tanpa diffuser krom pada bampar depan
      Dalaman:

    • Tempat duduk fabrik
    • Stereng material Urethane dengan butang kawalan audio, tiada balutan kulit
    • Tanpa butang Bluetooth untuk jawab panggilan
    • Unit utama multimedia tujuh-inci, tanpa Smartlink dan tiada HDMI
    • Tayar ganti saiz penuh, dengan rim 17-inci sama
    • Pengimbas TnG binaan dalam
    • Port pengecas bagi ketiga-tiga barisan (USB di barisan satu dan dua, soket 12V di barisan ketiga)
    • Pendingin hawa zon tunggal manual, dengan paparan digital dan memori
    • Stereng larasan tinggi-rendah, bukan teleskopik
    • Corong pendingin hawa belakang (blower sahaja)
    • Sistem tanpa kunci dengan butang Push Start
      Keselamatan:

    • Enam beg udara
    • VSA
    • ABS + EBD + BA
    • Bantuan Mula Mendaki dan Kawalan Menuruni Bukit
    • Isyarat Berhenti Kecemasan
    • Tujuh amaran tali keledar berasingan
    • Dua ISOFIX (hanya pada barisan kedua)

    Perodua Aruz 1.5 Advance – RM77,900

    (Tambahan)

      Luaran:

    • Lampu utama LED dengan fungsi “Follow Me Home” dan On/Off automatik
    • Landasan pada bumbung
    • Diffuser krom dan lampu kabus pada bampar hadapan
      Dalam:

    • Kemasan krom dan hitam berkilat pada bahagian papan pemuka dan panel pintu
    • Unit utama multimedia tujuh-inci dengan Smartlink dan HDMI
    • Stereng balutan kulit, dengan butang kawalan audio dan Bluetooth untuk telefon
    • Tempat duduk balutan kulit
    • Tombol gear balutan kulit
    • Perakam video digital (DVR)
      Keselamatan:

    • Advanced Safety Assist 2.0 (Front Collision Warning, AEB dengan Pedestrian Detection, Front Departure Warning, Pedal Misoperation Control).

    Bacaan lanjut berkaitan Perodua Aruz:



    GALERI: Perodua Aruz 1.5X

    GALERI: Perodua Aruz 1.5X dengan aksesori GearUp

    GALERI: Perodua Aruz 1.5AV



    GALERI: Perodua Aruz 1.5AV dengan aksesori GearUp

     
     
  • Perodua Aruz dilancar – dua varian, tujuh tempat duduk, 1.5L, ASA 2.0, harga RM72,900 dan RM77,900

    Perodua Aruz dilancar – dua varian, tujuh tempat duduk, 1.5L, ASA 2.0, harga RM72,900 dan RM77,900

    Perodua Aruz telah pun dilancarkan hari ini, sekaligus menunjukkan kemasukan semula Perodua dalam segmen SUV selepas Nautica dan Kembara sebelum ini. SUV tujuh tempat duduk ini ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5X yang berharga RM72,900 dan 1.5 Advance (AV) yang berharga RM77,900 (harga tidak termasuk insurans).

    Kedua-dua varian ini masih menggunakan enjin sama iaitu unit empat silinder NA 1.5 liter 2NR-VE dengan kuasa sebanyak 105 PS pada 6,000 rpm dan 136 Nm tork pada 4,200 rpm. Transmisi pula adalah unit automatik empat kelajuan yang menghantar kuasa ke roda belakang.

    Enjin ini sebenarnya adalah unit sama yang digunakan pada Myvi baru dan Toyota Rush, di mana ia dilengkapi dengan teknologi VVT-i dan Eco Idle (start/stop). Perodua mendakwa, enjin Energy Efficient Vehicle (EEV) ini mampu menghasilkan penggunaan bahan api 15.6 km/l dan 95% bahan pada Aruz ini adalah keluaran tempatan.

    Perodua Aruz dilancar – dua varian, tujuh tempat duduk, 1.5L, ASA 2.0, harga RM72,900 dan RM77,900

    Walaupun berkongsi asas yang sama dengan Rush (Daihatsu Terios di Indonesia juga adalah kembarnya), Aruz masih mempunyai kemasan tersendiri termasuk gril dengan lima jalur dan jalur ketiga direka sebagai ‘sayap’ untuk logo Perodua yang terletak di tengah. Sayap krom penuh berkenaan juga direka lebih tebal dari jalur lain dan dihubungkan kepada jalur LED lampu nyalaan siang dengan tebal yang sama, terletak dalam kluster lampu LED hadapan yang diberikan secara standard.

    Rekaan kemasan bampar hadapan Aruz juga lebih unik, manakala di bahagian belakang, ia adalah sama seperti Rush, melibatkan penggunaan lampu kombinasi LED serta kemasan hitam besar dan krom yang lebih nipis menyambungkan keduanya di bahagian tengah.

    Masuk ke dalam, Aruz jelas berbeza berbanding Rush kerana ia menggunakan rekaan papan pemuka yang tersendiri. Bahagian atas papan pemuka tersebut telah dirombak semula dengan memberikan rupa “bentuk-V” atau air terjun yang menyerlah, dan anda boleh melihat penggunaan head unit tujuh inci serta butang kawalan pendingin hawa (dengan blower belakang) tersendiri Aruz – datang secara standard untuk kedua-dua varian.

    Perodua Aruz dilancar – dua varian, tujuh tempat duduk, 1.5L, ASA 2.0, harga RM72,900 dan RM77,900

    Untuk kelengkapan lain, kedua-dua varian Aruz datang terus dengan rim aloi 17 inci dua tona, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula, peranti SmartTAG bersepadu, enam beg udara, ABS, EBD, BA, VSC, Hill Start Assist, Hill Descent Control dan cagak Isofix pada tempat duduk baris kedua.

    Varian 1.5 AV tentunya diberikan lebih banyak barang, seperti fungsi automatik untuk lampu utama, lampu kabus hadapan, rel bumbung, skid plate, balutan kulit (1.5X menggunakan fabrik), roda stereng dan tombol gear dibalut kulit, kemasan papan pemuka serta pintu hitam berkilat dan krom, fungsi SmartLink pada head unit dan perakam video bersepadu (DVR).

    Pakej keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 juga adalah khusus untuk varian 1.5 AV sahaja, dan ia termasuk Pre-collision Warning, Pre-collision Braking, Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control. Aruz juga mendapat penarafan lima bintang dalam ujian ASEAN NCAP.

    Walaupun sistem ini sama seperti apa yang ada pada Myvi, pakej keselamatan aktif Aruz telah ditambah dengan pengesan pejalan kaki (sehingga kelajuan 50 km/j) dan laju operasi Pre-Collision Warning ditingkatkan kepada 100 km/j dan Pre-Collision Braking ditingkat kepada 80 km/j (daripada 30 km/j).

    Aruz boleh didapati dalam pilihan lima warna iaitu Granite Grey, Electric Blue, Glittering Silver, Ivory White (solid) dan Amazon Green (warna baru untuk Perodua). Jaminan yang diberi pula adalah selama lima tahun atau 150,000 km.

    Pembeli Aruz juga boleh menjadikan kereta mereka lebih lengkap dengan tambahan pelbagai aksesori yang terdapat dalam katalog Gear Up seperti door visor, scuff plate, pelindung bampar belakang, lapik kaki, penebat bunyi di pintu dan bawah hud dan pelbagai lagi. Anda boleh melihat senarai aksesori Gear Up ini di sini.

    Untuk melihat spesifikasi penuh Perodua Aruz, anda boleh pergi ke CarBase.my, atau untuk perbezaan terperinci antara dua varian yang ditawarkan pula berada di sini.

    Bacaan lanjut berkaitan Perodua Aruz:



    GALERI: Perodua Aruz 1.5X

    GALERI: Perodua Aruz 1.5X dengan aksesori GearUp

    GALERI: Perodua Aruz 1.5AV



    GALERI: Perodua Aruz 1.5AV dengan aksesori GearUp

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Aruz 1.5AV

    GALERI: Risalah jualan Perodua Aruz

     
     
  • Kawasaki W175 Cafe diperkenal di Indonesia – RM9.5k

    Kawasaki W175 Cafe diperkenal di Indonesia – RM9.5k

    Di Indonesia, Kawasaki ada memasarkan motosikal berbentuk klasik dari siri W yang menggunakan enjin kapasiti lebih kecil iaitu W175. Kini, model tersebut menerima varian baru yang mempunyai gaya sedikit berlainan iaitu W175 Cafe dan ia dijual pada harga 1.5 juta Rupiah lebih mahal berbanding W175 biasa iaitu 32.6 juta Rupiah (RM9,492).

    Asasnya masih sama seperti W175 standard, tetapi beberapa bahagian diubah supaya serasi dengan konsep cafe racer yang mahu dibawa. Antaranya adalah penambahan penghadang di belakang meter (atas lampu hadapan) serta bentuk tempat duduk yang lebih kembung di belakang, menjadikannya kelihatan seperti hanya untuk satu orang.

    Selain daripada itu, penghadang lumpur belakang juga dijadikan lebih pendek manakala ekzos diberikan pelindung warna krom, dan spring penyerap hentak pula diwarnakan emas. Secara keseluruhannya ada tiga warna untuk W175 Cafe ini iaitu merah, kuning dan kelabu.

    Kawasaki W175 dikuasakan oleh enjin satu silinder 177 cc SOHC empat strok, dengan sistem penyejukan udara dan sistem bahan api karburetor. Transmisi yang digunakan pula adalah unit lima kelajuan dan ia mampu menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 13 PS dan 13.2 Nm tork.

    Kelengkapan lain yang ada padanya termasuk termasuk fork 30 mm dan brek cakera 220 mm di hadapan, dua penyerap hentak dan brek dram di belakang, rim 17 inci yang dibalut tayar saiz 80/100 di hadapan dan 100/90 di belakang dan tangki minyak 13.5 liter.

     
     
  • Projek kereta nasional ketiga – bakal dijana oleh LPG?

    Projek kereta nasional ketiga – bakal dijana oleh LPG?

    Projek kereta nasional ketiga berpotensi dikuasakan sepenuhnya oleh gas petroleum cecair (LPG), sekiranya ada syarikat tempatan yang merintis jalannya. New Straits Times melaporkan Astana City Group sedang mencari jalan ke arah itu, untuk membawakan teknologi penggunaan LPG bagi projek berkenaan.

    Menurut Pengarah Urusan Astana City Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman, syarikatnya telah mengemukakan kertas cadangan untuk projek berkenaan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi rakan kongsi dari Thailand, Pap Econ. Di antara manfaat LPG adalah keupayaannya untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 20% berbanding petrol, katanya. “Sebagai contoh, kita lihat Jepun. Kerajaan mereka telah mewajibkan teksi untuk menggunakan LPG. Ini kerana kosnya lebih efektif dan mengurangkan pencemaran alam sekitar,”katanya.

    Prototaip bagi kereta nasional ketiga dijangka akan didedahkan pada suku pertama tahun ini, dan pelan jangka masa panjang Astana City Group adalah termasuk membina stesen pengisian LPG di seluruh negara, selain dapat membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk tempatan, ujarnya.

    Syarikat terbabit juga telah memohon kepada kerajaan untuk membangunkan stesen LPG yang dimaksudkan itu dan kini sedang menantikan maklumbalas. Nik Mohd Fareez turut berkata, “Jika kerajaan bersetuju dengan permohonan kami, kami merancang untuk bekerjasama dengan MARA dan Petronas dari segi perolehan tenaga kerja dan pelancaran stesen berkenaan.”

    Minggu lalu, Kementerian Pembangunan Usahawan berkata, kerajaan telah meluluskan sejumlah RM20 juta sebagai dana R&D, ini termasuklah bagi membangunkan prototaip kereta nasional ketiga ini.

     
     
  • Nissan IMs Concept – sedan/crossover elektrik 483 hp

    Nissan IMs Concept – sedan/crossover elektrik 483 hp

    Walaupun sekarang model kenderaan sedan dilihat semakin tenggelam dengan jumlah SUV yang lebih meningkat, Nissan mendakwa mereka masih boleh menghidupkan gaya badan kenderaan seperti itu, dan berkemungkinan dengan menjadikannya lebih kepada crossover.

    Contohnya ditunjukkan dengan kereta IMs Concept yang dibawa ke Detroit, di mana ia masih lagi adalah sebuah sedan, tetapi dijadikan lebih tinggi daripada biasa dan menggunakan rim 22 inci. Antara sebab ia ditinggikan adalah di bawah bahagian kabin terdapat pek bateri yang digunakan sebagai sumber kuasa (ini adalah kereta elektrik).

    Menurut Nissan, gaya pada IMs ini melibatkan garisan mendatar dan menegak yang ringkas, namun masih terdapat lekuk pada pintu serta bonjolan pada bonet. Bahagian atas model konsep ini hampir keseluruhannya diperbuat daripada kaca termasuk bumbungnya, dan ia dipegang dengan tiang yang nipis.

    Nissan IMs Concept – sedan/crossover elektrik 483 hp

    Grafik “V-Motion” yang sebelum ini dapat dilihat menjadi identiti kenderaan Nissan pada bahagian gril kini digunakan pada bahagian lampu utama, dan ia turut dikata dapat membantu pengaliran udara. Sama di antara depan dan belakang, lampu kiri dan kanan kenderaan ini disambung dengan jalur lampu nipis, yang boleh berkelip dan bertukar warna kepada biru apabila berada dalam mod autonomous.

    Seperti yang anda boleh lihat, IMs Concept mempunyai kemasan warna emas, seperti GT-R50 Italdesign. Ia digunakan pada pelbagai bahagian termasuk garis bumbung, dan dikata mendapat inspirasi daripada gelung gerhana. Corak yang digunakan pada atas bumbung, rim serta beberapa bahagian lain pula sebenarnya adalah corak tradisional Jepun yang dipanggil sebagai Asanoha.

    Untuk membenarkan penumpang masuk ke dalam, pintu kenderaan ini boleh dibuka secara suicide menggunakan pemegang pintu “eClinch” yang tidak kelihatan, dan tiada tiang tengah yang akan mengganggu. Bagi bahagian tempat duduk, Nissan memanggilnya sebagai “2+1+2” yang sebenarnya bermaksud terdapat lima tempat duduk secara keseluruhan, dan untuk di belakang, dua tempat duduk di tepi boleh dilipat untuk dijadikan sebagai perehat tangan bagi tempat duduk tengah yang lebih besar, siap dengan perehat kaki.

    Di atas papan pemuka, terdapat cetakan 3D struktur kumiko yang dikatakan oleh Nissan sebagai ringan dan menjimatkan ruang manakala terus di depan pemandu terdapat roda stereng dan skrin terapung yang cuma memberikan informasi penting. Apabila menggunakan mod pemanduan autonomous, roda stereng itu boleh masuk ke dalam dan tempat duduk zero-gravity padanya boleh dipusingkan untuk menghadap penumpang belakang.

    Teknologi Augmented Reality (AR) Invisible-to-Visible Nissan turut digunakan pada kenderaan konsep ini dan ia membenarkan penumpang melihat apa yang mungkin tersembunyi dalam pandangan. Sistem ini menggunakan teknologi Omni-Sensing, dan antaranya membenarkan pemandu melihat di sebalik selekoh, memberi gambaran informasi jalan dan juga pembantu tiga dimensi yang terpancar di dalam kenderaan.

    Kuasa penggerak kereta konsep ini datang daripada bateri 113 kWh, yang menyampaikannya kepada dua motor elektrik, dan semua empat tayarnya, dengan jumlah kuasa keseluruhan sebanyak 483 hp dan 800 Nm tork manakala jarak gerak dengan sekali cas pula adalah 610 km. Suspensi udara pada kenderaan ini dikatakan dapat berubah mengikut keadaan jalan, demi memastikan cengkaman yang baik dan selesa.

     
     
  • Toyota GR Supra akhirnya didedah – model enjin enam silinder sebaris 3.0L 340 PS dijual bermula RM205k

    Toyota GR Supra akhirnya didedah – model enjin enam silinder sebaris 3.0L 340 PS dijual bermula RM205k

    Ini lah dia. Bukan lagi spyshot, bukan lagi teaser, dan bukan lagi gambar yang bocor, tetapi Toyota GR Supra akhirnya rasmi ditunjuk waktu acara NAIAS 2019 di Amerika Syarikat. Benar seperti yang diketahui sebelum ini, Supra baru akan menggunakan nama GR dan menjadi model global pertama oleh sayap sukan permotoran Toyota Gazoo Racing itu.

    Supra A90 generasi kelima ini menggunakan asas sama dengan BMW Z4 G29, tetapi bahagian luarnya berbeza. Rekaan Supra A90 banyak mendapat inspirasi daripada model FT-1 Concept tahun 2014, dan beberapa lagi tanda rekaan daripada kereta sports Toyota sebelum ini termasuk lampu belakang nipis seperti Supra generasi keempat dan dua gelembung atas bumbung seperti 2000GT.

    Muncung hadapan kereta sports pacuan roda belakang ini kelihatan seperti mendapat inspirasi daripada kereta F1 namun Toyota tidak menyatakannya secara terus. Di belakang pula, bahagian but dibentuk terus supaya mempunyai spoiler dan dikata mendapat inspirasi daripada spoiler besar Supra A80 sebelum ini. Lampu di bahagian tengah, bawah bampar belakang seperti kereta F1 itu pula bukan lampu brek, tetapi adalah lampu undur.

    Toyota GR Supra akhirnya didedah – model enjin enam silinder sebaris 3.0L 340 PS dijual bermula RM205k

    Di dalam, Supra menggunakan banyak suis kawalan yang diambil daripada BMW, terutamanya daripada model 3 Series F30, termasuklah tombol gear elektroniknya. Sistem iDrive pada kereta ini juga diambil terus daripada BMW, tetapi panel instrumen digital 8.8 inci yang digunakan adalah rekaan khas untuk Toyota.

    Begitu juga dengan rekaan lain di dalam kabin – papan pemuka rata mendatar dengan corong pendingin hawa yang bersambung dari hujung ke tengah, serta tambahan penghadang kaki untuk pemandu bagi memberikan rasa seperti dalam kokpit. Anda juga akan menjumpai roda stereng tiga cabang yang kecil pada kereta ini, bersama tempat duduk sports, pilihan warna untuk head-up display dan pilihan skrin tengah 6..5 inci atau 8.8 inci.

    Untuk dimensi, Supra mempunyai ukuran jarak roda yang sama seperti Z4, iaitu 2,470 mm (sekitar 100 mm lebih pendek berbanding 86), tetapi mencatat panjang 4,380 mm, lebar 1,865 mm dan tinggi 1,295 mm, yang menjadikannya 56 mm lebih panjang, satu mm lebih lebar dan sembilan mm lebih rendah. Catatan ini dikatakan menyumbang kepada kelincahan yang lebih baik.

    Selain daripada itu, Toyota juga mendakwa Supra mempunyai titik graviti yang lebih rendah berbanding 86 (meskipun menggunakan enjin empat silinder sebaris dan bukannya boxer seperti 86), pembahagian berat depan dan belakang 50:50 serta struktur aluminium dan besi yang 2.5 kali lebih tegar berbanding gentian karbon yang digunakan pada Lexus LFA.

    Di bawah bonetnya, pelanggan boleh memilih dua enjin dengan tiga jumlah kuasa berbeza, dan semuanya datang daripada BMW. Enjin asas empat silinder 2.0 liter turbo pada model SZ mampu menghasilkan 197 PS pada 4,500 hingga 6,500 rpm dan 320 Nm tork antara 1,450 hingga 4,200 rpm. Pecutan 0-100 km/j yang dapat dihasilkan oleh model ini adalah 6.5 saat.

    Pergi kepada model SZ-R pula, enjin sama ditingkatkan kuasanya menjadi 258 PS antara 5,000 hingga 6,500 rpm dan 400 Nm antara 1,550 hingga 4,400 rpm, manakala pecutan 0-100 km/j pula menjadi 5.2 saat. Paling berkuasa adalah model RZ yang menggunakan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter, menghasilkan 340 PS antara 5,000 hingga 6,500 rpm dan 500 Nm antara 1,600 hingga 4,500 rpm. Catatan masa pecutan 0-100 km/j model ini adalah cuma 4.3 saat.

    Toyota GR Supra akhirnya didedah – model enjin enam silinder sebaris 3.0L 340 PS dijual bermula RM205k

    Buat masa ini, semua enjin dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF, tetapi pembantu ketua jurutera Toyota, Masayuki Kai sebelum ini ada memberitahu terdapat juga kemungkinan Supra A90 ini nanti akan ditawarkan dengan kotak gear manual bergantung kepada maklum balas pelanggan (Z4 hanya akan dijual dengan transmisi automatik).

    Untuk bahagian casis, Supra menggunakan tetapan MacPherson dua penyambung di hadapan manakala di belakang pula menggunakan suspensi multi-link dengan pilihan tambahan penyerap Adaptive Variable Suspension dan differential belakang yang boleh dikunci secara elektronik dan ditala untuk bekerjasama dengan sistem Vehicle Stability Control (VSC).

    Toyota masih belum menetapkan harga untuk Supra di Jepun, tetapi di Amerika Syarikat, ia akan dijual bermula pada harga US$49,990 (RM204,900) untuk model RZ enjin 3.0 liter (satu-satunya enjin yang disahkan untuk pasaran Amerika Utara sekarang). Varian 3.0 Premium yang mempunyai lebih kelengkapan dijual pada harga US$53,990 (RM221,200) manakala edisi Launch Edition (ditambah dengan rim 19 inci dan cermin sisi merah) dijual pada harga US$55,250 (RM226,400).




     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026