Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Projek kereta nasional ketiga diyakini mampu memperkukuhkan sektor pembuatan negara – PM

    Projek kereta nasional ketiga diyakini mampu memperkukuhkan sektor pembuatan negara – PM

    Menerusi program ‘Malaysia Baharu Bersama Tun M’ yang disiarkan oleh Astro Awani baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyentuh mengenai projek kereta nasional ketiga.

    Ujar beliau, projek tersebut bukan sekadar untuk mewujudkan kereta tetapi matlamatnya lebih luas daripada itu, termasuk memperkukuhkan lagi sektor pembuatan negara. Di mana untuk mengeluarkan produk yang sama setaraf dengan barangan yang diimport, negara juga perlu melakukan sedikit pengorbanan, laporan Sinar Harian.

    “Saya lihat kereta Jepun ketika saya masih di universiti lagi, kereta itu dianggap sebagai yang kurang baik sekali, tak boleh dibeli kononnya (diperbuat) daripada tin minuman. Tapi sekarang ini, semua menganggap kereta Jepun adalah berkualiti tinggi. Begitu juga dengan Korea, pada mulanya mereka keluar kereta nak eksport tapi tak ada siapa nak beli. Tapi sekarang mereka boleh eksport sampai ke Amerika, bahkan sekarang boleh tubuh kilang di Amerika untuk buat keluarkan jenama mereka,” ujarnya menerusi wawancara tersebut.

    Tambahnya lagi, dengan apa yang kita lalui sekarang ini, ia merupakan proses sementara kita menguasai teknologi yang sering bertukar sepanjang masa. “Kalau kita tak buat apa-apa mustahil kita boleh keluar barangan sendiri. Apa juga yang kita buat, kalau kita buat berkali-kali mungkin mengambil masa yang lama tetap kualiti kita akan menjadi lebih baik,” sambungnya.

     
     
  • Beg Udara Takata – Menteri pengangkutan gesa lebih dari setengah juta pemilik terlibat segera bertindak

    Menurut posting terbaharu menteri pengangkutan Anthony Loke, lebih dari setengah juta kenderaan di Malaysia terlibat dengan panggilan semula inflator beg udara Takata. Isu berkenaan sememangnya membimbangkan kerana kesemua beg udara tersebut bukan sahaja tidak boleh melindungi pemandu dan penumpang sekiranya berlaku kemalangan, malah ia mungkin menjadi penyebab kecederaan atau lebih teruk kematian akibat serpihan logam dari perumah inflator tersebut yang meletup ketika beg udara diaktifkan.

    Oleh itu, beliau telah menyiarkan satu video bagi menggesa kesemua pemilik yang terlibat dengan panggilan semula ini agar segera bertindak untuk berhubung dengan pengeluar masing-masing dan menukar beg udara berkenaan secepat mungkin. Sebelum ini, Loke telah mengumumkan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang berkerjasama rapat dengan pengeluar-pengeluar automotif bagi mengesan pemilik-pemilik terlibat untuk mengingatkan serta menggesa mereka untuk menukar komponen tersebut.

    Antara usaha JPJ bagi ‘memaksa’ kesemua pemilik berkenaan untuk bertindak adalah mengenakan saman RM300 sekiranya dua peringatan yang dihantar tidak dipedulikan, serta cukai jalan mereka juga dihalang untuk diperbaharui. Menurut Loke, ini dilakukan demi keselamatan mereka yang terlibat dan bukan untuk menghukum sesiapa.

    Beg Udara Takata – Menteri pengangkutan gesa lebih dari setengah juta pemilik terlibat segera bertindak

    Panggilan semula beg udara keluaran Takata ini bukan sahaja melibatkan Malaysia dan ia sebenarnya dilakukan diseluruh dunia. Ia adalah disebabkan propelan di dalam inflator berkenaan yang terjejas kerana terdedah kepada kelembapan dan suhu tinggi pada masa yang lama. Inflator tersebut mengandungi propelan ammonium nitrat dalam keadaan stabil yang lembab, dan jika ia merosot dalam tempoh masa lama, berpotensi untuk meletup terlalu pantas ketika beg udara diaktifkan.

    Ini akan menyebabkan perumah inflator itu sendiri yang diperbuat dari logam meletup sebelum mengembangkan beg udara, yang akan menyebabkan serpihan logam berkenaan ‘menembak’ ke setiap arah ke dalam kabin, dan berpotensi mencederakan atau lebih teruk menyebabkan kematian penumpang atau pemandu kenderaan itu sendiri.

    Saman atau tak boleh memperbaharui cukai jalan itu perkara nombor dua, apa yang paling penting sebenarnya adalah keselamatan anda dan keluarga. Jadi usaha untuk mendesak ini sepatutnya bukan dari kerajaan sahaja, jika anda tahu ada dikalangan ahli keluarga anda yang menerima surat peringatan, seharusnya anda juga perlu bertindak untuk mendesak mereka untuk bertindak demi keselamatan orang yang tersayang.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan kedua di MAEPS, Serdang – hari terakhir yang penuh kejutan

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan kedua di MAEPS, Serdang – hari terakhir yang penuh kejutan

    Hari terakhir Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan kedua di MAEPS, Serdang memang mengundang pelbagai kejutan termasuk aksi daripada para pelumba yang saling mencabar antara satu sama lain. Dari awal perlumbaan sehinggalah ke akhir, para pelumba ketiga-tiga kategori cukup tidak memberikan peluang kepada pencabar, masing-masing berebut mahu menduduki podium.

    Litar buatan khas sepanjang 1.99 km cukup memberikan cabaran kepada para pelumba, malahan setiap selekoh dan laluan memberikan pengalaman yang cukup bermakna khususnya buat pelumba yang pertama kali menyertai perlumbaan sebegini. Namun ini ternyata tidak memudarkan semangat untuk ledakan adrenalin pada tahap maksimum, justeru masing-masing saling mencabar.

    Bagi kelas Promotional, jika semalam Nabil Ahmad menguasai litar, namun tuah tidak menyebelahi dirinya apabila takhtanya dirampas oleh penyanyi muda, Aiman Tino, yang mempamerkan aksi mengejutkan. Jentera No.77 yang dipandu Aiman cukup konsisten dari pusingan pertama dan dia hanya mengambil masa selama 25 minit 44 saat untuk ke garisan penamat. Pencabar terdekatnya, Akim Ahmad, memang mengekorinya rapat bampar ke bampar, yang hanya ketinggalan 0.5 saat dan hanya berpuas hati di tempat kedua.

    Manakala Diana Danielle kekal sebagai pelumba wanita yang dibanggakan kerana berjaya menduduki podium di tempat ketiga. Diikuti oleh Janna Nick, Wany Hasrita, Nabil, Nabila Razali dan Khai Bahar, cuma malang bagi timbalan pengerusi UMW Toyoya Motor, Akio Takeyama yang gagal meneruskan perlumbaan dan terkandas di pusingan ke-enam. Malah beliau turut dikenakan penalti 10-saat pada awal perlumbaan dan kemudian berlanggar pula dengan Nabil hingga jentera yang dipandunya terlanggar penghadang konkrit.

    Kelas Sporting pula diungguli oleh Patrick Tam dari pasukan Nanoplus, yang dicabar rapat oleh Clement Yeo (Distinctive Model) di tangga kedua dan Eric Yong (ST Wangan Racing Team) pula di tangga ketiga. Malang bagi pelumba berusia 14 tahun, Hayden Haikal, yang semalam beraksi cemerlang, tapi hari ini nasib tidak menyebelahinya kerana terkeluar di pusingan ke-enam selepas jenteranya terlanggar jentera yang dipandu oleh Clement Yeo.

    Malahan pelumba jentera No.2, Adzeem Aqwan Adnan juga terlibat dengan kemalangan di pusingan enam, memberikan peluang kepada pemandu lain termasuk Dannies Ng, Brendon Lim dan Syukri Yahya memintasnya, sekaligus menduduki tangga enam teratas.

    Kategori yang paling profesional pula, Super Sporting, menyaksikan kemaraan Kenny Lee dari pasukan Kegani Racing menjadi juara walau pun dicabar rapat oleh Brendan Paul Anthony (Dream Chaser) di tangga kedua dan Boy Wong di tangga ketiga. Biar pun perlumbaan terhenti seketika selepas dua selekoh pertama kerana jentera yang dipandu oleh William Ho terbalik selepas terlanggar sedikit dengan Freddie Ng. Mujur tiada sebarang kecederaan biar pun ini memaksa William tidak dapat meneruskan perlumbaan.

    Drama makin menjadi-jadi dengan aksi kejar-mengejar antara pelumba dan juga insiden yang melibatkan Ng yang terlanggar penghadang konkrit, sekaligus memberi peluang kepada pelumba di belakangnya untuk memintas sekaligus memburu tempat terbaik.

    Cuaca yang panas hari ini memang tidak menghalang kunjungan orang ramai khususnya peminat sukan permotoran untuk membanjiri perkarangan litar di MAEPS ini. Malah dengan pelbagai aktiviti yang menarik terutamanya model-model baharu Toyota yang dipamerkan di ruang khas, memberikan peluang untuk para pengunjung melihat secara lebih dekat jentera yang dipamerkan. Malah duta Toyota C-HR, Fattah Amin, turut meluangkan masa seketika di ruang pameran Toyota.

    Selepas Kuala Terengganu pada Ogos lalu, dan pusingan kedua di MAEPS juga telah berakhir, nantikan pusingan ketiga yang bakal berlangsung di perkarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada Februari 2019.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan kedua di MAEPS, Serdang – pertarungan sengit kian membara

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan kedua di MAEPS, Serdang – pertarungan sengit kian membara

    Selepas Kuala Terengganu, Toyota Gazoo Racing 2018 diteruskan, kali ini litar buatan khas di MAEPS, Serdang kembali menjadi pilihan. Gegarannya bermula hari ini sehingga kemuncak acara yang bakal berlangsung esok, memberikan peluang kepada para peminat acara perlumbaan untuk menyaksikan secara lebih dekat aksi pelumba pro tempatan dan juga barisan selebriti yang berlumba dalam Toyota Vios Challenge.

    Seperti perlumbaan sebelum ini, Toyota Vios Challenge dibahagikan dengan tiga kelas iaitu Promotional, Sporting dan Super Sporting. Litar buatan khas di MAEPS sepanjang 1.99 km ini mempunyai 17 selekoh yang sangat mencabar termasuk laluan naik dan turun bukit.

    Untuk Race 1 yang berlangsung hari ini, kelas Promotional dimonopoli oleh Nabil Ahmad, yang baru-baru ini juga telah dinobatkan sebagai Pengacara Hiburan Terbaik Asia 2018. Walau pun ini merupakan pembabitan kali pertama buatnya dalam perlumbaan Toyota Vios Challenge, namun ramai pasti mengetahui Nabil memang cukup berminat dalam perlumbaan. Maka, peluang yang ada ini pasti dirembat, biarpun dikejar rapat oleh selebriti yang pernah beraksi dalam TGR musim lalu, Diana Danielle yang berjaya di tempat kedua.

    Nabil berjaya menghabiskan 18 pusingan dengan catatan masa 27 minit 13 saat, manakala Diana pula 27 minit 15 saat. Turut membuat kejutan apabila penyanyi remaja, Aiman Tino, berjaya menduduki tempat ketiga, meninggalkan pencabar terdekatnya, Akim Ahmad dan Akio Takeyama. Manakala Khai Bahar di tempat ke-enam, diikuti dengan Janna Nick dan Nabila Razali. Namun malang bagi Bintang Paling Popular ABPH 31, Wany Hasrita yang tersingkir di pusingan ke-tujuh selepas jentera yang dipandunya melanggar tembok.

    “Dari awal lagi saya mahu memastikan agar Diana tidak memotong saya, dan dia memang memberikan persaingan yang sengit. Sebenarnya, (perlumbaan hari ini) lebih kepada tuah kerana rim jentera saya patah tetapi mujur juga tayar tak pancit, jadi saya berpeluang mencabar diri saya hingga ke garisan penamat,” ujar Nabil.

    Bagi kelas Sporting, dari awal perlumbaan, Kenneth Koh yang memandu jentera No.28 bijak mencari peluang untuk mendapat tempat terbaik. Memulakan perlumbaan di petak kedua, Koh mengambil peluang memintas Brendon Lim yang agak perlahan pada awalnya yang hanya berpuas hati di tempat kedua. Menurut Lim, kesilapannya berpunca kerana terlupa untuk mematikan pendingin hawa hingga membuatkan jenteranya sedikit kehilangan kuasa.

    Manakala Dato’ Ken Foo pula di tempat ketiga dan selebriti yang turut mengambil bahagian ketika musim pertama lalu, Shukri Yahya pula menduduki tangga ke-empat walau pun diberikan persaingan sengit oleh pelumba muda, Hayden Haikal, yang baru berusia 14 tahun. Kedua-dua pelumba berkenaan saling memberikan aksi menarik, hinggakan Shukri berjaya memintas Hayden di pusingan terakhir sebelum perlumbaan tamat.

    Untuk kelas Super Sporting pula, pastinya menambahkan lagi kehangatan perlumbaan kerana melibatkan barisan pelumba profesional tempatan, yang saling memberikan aksi terbaik bagi merebut tempat teratas. Boy Wong yang memulakan perlumbaan secara konsisten hingga ke garisan penamat berjaya merebut tangga pertama. Walau pun begitu diberi persaingan sengit oleh William Ho yang rapat mengejarnya dari belakang dengan. perbezaan catatan masa yang hanya sedikit sahaja iaitu 0.7 saat.

    Manakala Brendon Paul Anthony hanya berpuas hati di tangga ketiga, diikuti dengan Ser Meng Hui dan Freddie Ang untuk mendapat tempat lima terbaik dalam kategori berkenaan.

    Esok akan berlangsung Race 2, dan penentu siapakah pelumba yang berjaya menduduki podium bagi kategori yang dipertandingkan. Jika anda ada kesempatan, jangan lupa untuk berkunjung ke Maeps, Serdang bersama keluarga mahu pun rakan-rakan. Bukan setakat berpeluang menyaksikan perlumbaan hebat ini, bahkan banyak juga aktiviti menarik menanti kunjungan anda.

     
     
  • Kerajaan komited akan siapkan Lebuhraya Pan Borneo

    Kerajaan komited akan siapkan Lebuhraya Pan Borneo

    Mei lalu, ada ura-ura menyatakan bahawa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo pada bahagian Sabah akan dihentikan. Terkini, kerajaan Malaysia mengesahkan bahawa bahagian berkenaan sah akan diteruskan dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah bagi menyelesaikan masalah-masalah pembinaannya, termasuk isu pengambilalihan tanah, menurut laporan The Star.

    Menteri kerjaraya, Baru Bian, memberikan jaminan bahawa projek tersebut akan diteruskan, serta pekerja dan syarikat yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya tidak perlu risau.

    “Saya faham bahawa mereka agak resah terhadap semua perkara, termasuk arah tuju kerajaan berhubung Lebuhraya Pan Borneo di Sabah. Tetapi saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan pusat akan meneruskan projek tersebut. Ini merupakan projek kami dan kami mahu lihat ia disempurnakan agar semua orang gembira,” katanya.

    Masalah pengambilalihan tanah telah menjadi halangan utama untuk projek tersebut di Sabah, dan Ahli Parlimen Selangau berkata bahawa Kementerian Kerja Raya perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tersebut. “Proses pengambilalihan termasuk mengalihkan penduduk-penduduk di atas tanah tersebut, sama ada mereka duduk secara sah atau tidak sah,” katanya dan menambah bahawa proses pengosongan dan penilaian tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

    “Saya tahu bahawa Jabatan Tanah dan Ukur ada pasukan penguatkuasa yang bertanggungjawab dalam proses pengosongan,” kata Baru dalam laporan berkenaan, dan menambah kerajaan akan berbincang dengan kementerian kewangan bagaimana untuk menjalankan pakej-pakej yang tinggal walaupun dalam kekangan kewangan bagi mengelakkan kelewatan pembayaran dan memastikan kesemua pemegang kepentingan gembira.

    Projek Lebuhraya Pan Borneo bahagian Sabah ini dibahagikan kepada 35 pakej kerja yang bernilai RM12.8 bilion, dengan tujuh daripadanya telah diimplementasikan antara April 2016 dan Disember 2017, menurut The Star lagi. Konsultan bebas akan dilantik bagi melihat semula kos projek, dan mencari jalan sama ada boleh atau tidak perbincangan dilakukan dengan rakan projek bagi mengurangkan lagi harga, kata Baru.

     
     
  • Volkswagen tunjukkan sistem lampu interaktif baru

    Dalam satu acara Future Talk anjuran Volkswagen baru-baru ini, syarikat Jerman tersebut telah menunjukkan sedikit sistem lampu termaju mereka, yang mana beberapa daripadanya sudah pun disediakan sebagai pilihan tambahan untuk Touareg terkini. Sistem baru ini bukan sahaja memberikan kecekapan pancaran yang lebih baik, malah juga boleh berkomunikasi dan meningkatkan lagi keselamatan kenderaan.

    Pada bahagian hadapan, syarikat itu telah membangunkan sistem yang dipanggil ‘lampu utama IQ. Light Matrix LED’, yang menampilkan pancaran lampu utama HD micro-pixel dengan lebih 30,000 titik cahaya. Ini membolehkan informasi dipancarkan terus ke atas jalan, hampir seperti apa yang boleh dibuat oleh Mercedes-Benz S-Class.

    Teknologi ini bersambung dengan sistem bantuan baru iaitu Optical Lane Assist, di mana pancaran berbentuk seperti lorong ditembak ke hadapan supaya pemandu mudah mengagak lebar kenderaan serta jarak dengan penanda jalan lain seperti di jalan yang sedang mengalami proses pembaikan.

    Volkswagen juga telah membangunkan susunan lampu belakang matrix yang boleh disepadukan dengan fungsi amaran dan mesej di dalamnya. Dengan lampu belakang yang boleh diubah mengikut kemahuan serta komunikasi dengan kenderaan lain, kereta ini boleh mengurangkan situasi merbahaya dengan memberikan amaran awal kepada kenderaan di belakang.

    Sistem baru Optical Park Assist pula membantu pemandu supaya lebih mudah untuk memasukkan kenderaan dalam petak letak kenderaan dengan mamancarkan garis bantuan ke atas jalan. Selain daripada itu, sistem ini juga boleh memberi amaran kepada pejalan kaki semasa proses meletakkan kenderaan. Kombinasi sistem lampu depan dan belakang baru ini juga didakwa sebagai penting bagi kenderaan autonomous, untuk menunjukkan operasi kenderaan.

     
     
  • Puspakom perjelaskan isu perjanjian konsesi kerajaan

    Puspakom perjelaskan isu perjanjian konsesi kerajaan

    Lanjutan kepada pertanyaan yang diajukan dala Parlimen berkaitan kesediaan kerajaan untuk membuka pertimbangan bagi mana-mana syarikat lain yang mempunyai kepakaran untuk menghantar cadangan dan bidaan mereka berhubung pemeriksaan kenderaan terpakai kerana tempoh konsesi Puspakom yang akan tamat, Puspakom kini tampil mengeluarkan kenyataan.

    Di dalam kenyataan itu, Puspakom memaklumkan aktiviti pemeriksaan yang disebutkan oleh KPDNHEP hanya berkaitan pelantikan syarikat itu sebagai penyedia perkhidmatan kepada kementerian itu. Perjanjian berkenaan, sekiranya dipersetujui, bakal menyaksikan Puspakom terus menjalankan kerja-kerja pemeriksaan kenderaan terpakai yang dijual sebelum memasuki kontrak sewa-beli (HPI).

    Bagaimana pun, Puspakom menegaskan bahawa perjanjian konsesi syarikat itu dengan Kementerian Pengangkutan untuk menjalankan pemeriksaan wajib bagi kenderaan komersial dan persendirian akan kekal berkuatkuasa dan tamat hanya pada 2024.

    Syarikat itu juga akan menghantar cadangan kepada KPDNHEP bagi konsesi HPI bagi penggal baru, dan meyakini bahawa kapasiti dan kemampuan pemeriksaan yang dijalankan ketika ini akan memberikan kelebihan kepada mereka untuk memperoleh tender berkenaan. Puspakom menjelaskan bahawa HPI menyumbang sebanyak 7% daripada pendapatan tahunan syarikat itu, dengan sejumlah 170,000 kenderaan diperiksa setiap tahun di seluruh negara.

    Sementara itu, pendapatan paling besar Puspakom adalah melalui perkhidmatan pemeriksaan wajib bagi kenderaan perdagangan serta persendirian, yang menyumbang 84% daripada pendapatan keseluruhan. Lain-lain pemeriksaan dan perkhidmatan menyumbang kepada 9% lagi daripada jumlah itu.

     
     
  • Terrafugia Transition – tempahan kini mula dibuka

    Terrafugia Transition – tempahan kini mula dibuka

    Syarikat yang membina kereta terbang yang dimiliki oleh Zhejiang Geely Holding Group, Terrafugia, kini telah pun mula mengambil tempahan untuk model produksi pertamanya yang digelar Transition. Kereta terbang dengan dua tempat duduk tersebut akan dihantar kepada pelanggan bermula 2019, dan pasaran Amerika merupakan yang pertama menerimanya, menurut laporan Automotive News China.

    Terrafugia Transition digerakkan dengan sistem hibrid yang mengabungkan enjin empat silinder turbo dan juga unit jankuasa elektrik. Ia dilengkapi dengan sayap yang boleh dilipat dan mod pemanduan atas darat boleh ditukar ke mod penerbangan dalam masa tidak sampai satu minit.

    Laporan kali ini tidak mendedahkan harga sebenar kereta terbang ini, namun sebelum ini ia diumumkan akan dijual pada harga asas bermula USD279,000. Menurut Terrafugia, Transition mampu untuk terbang dengan kelajuan cruising sekitar 160 km/j, dengan ketinggian maksima 10,000 kaki, dan jarak maksimum penerbangan 640 km. Tiada perincian berkenaan prestasinya atas darat, namun ia didakwa mampu untuk dipandu pada kelajuan di lebuhraya.

    Terrafugia Transition – tempahan kini mula dibuka

    Terrafugia diasaskan oleh sekumpulan graduan MIT pada tahun 2006, dan difahamkan menjadi entiti peneraju dalam pembinaan kereta terbang. Syarikat yang berpengkalan di Woburn, Massachusetts ini sebenarnya hanya dibeli oleh Geely November tahun lalu.

    Terdapat juga desas-desus menyatakan bahawa Terrafugia akan mendedahkan model konsep baharunya bulan ini, yang mampu mula terbang dan mendarat secara vertikal (VTOL), dijangka bakal dipasarkan pada tahun 2025.

     
     
  • Ford GT dilanjutkan pengeluaran lagi 2 tahun, 350 unit

    Ford GT dilanjutkan pengeluaran lagi 2 tahun, 350 unit

    Perancangan asal adalah untuk mengeluarkan 1,000 unit Ford GT, namun sambutan sangat menggalakkan telah diterima iaitu melebihi 6,500 pemohonan bagi jentera sport yang diperkenalkan semula pada 2016, dan sebelum GT mencatat kejayaan dalam Le Mans.

    Untuk itu, Ford telah mengambil keputusan untuk mempertingkatkan pengeluaran GT kepada 1.350 unit. Ini bermakna, lagi 350 unit berbanding perancangan asal.

    Di samping itu, Ford turut turut mengalu-alukan pelanggan untuk menyertai kumpulan eksklusif bagi pemilik GT bermula 8 November untuk pasaran global terpilih. Peserta hanya perlu menghantar pemohonan dalam tempoh 30 hari menerusi FordGT.com. Pemohon yang berjaya akan bekerjasama dengan Ford GT Concierge Service untuk menetapkan pembelian bagi kereta yang diproduksi dari tahun 2020 hingga 2022.

    Ford GT dilanjutkan pengeluaran lagi 2 tahun, 350 unit

    “Respon yang kami peroleh bagi Ford GT ini adalah di luar dugaan, jadi dengan lanjutan produksi bagi Ford GT untuk tempoh terhad, kami dapat mengekalkan eksklusiviti bagi jentera ini, di samping memberikan pengalaman pemilikan yang terbaik buat para pelanggan,” ujar Hermann Salenbauch, pengarah Ford Performance.

    Produksi bagi Ford GT – dijanakan oleh enjin 3.5 liter turbo-berkembar EcoBoost V6 dengan 647 hp dan tork 746 Nm, menawarkan senibina gentian karbon, aerodinamik aktif dan kelajuan maksimum 348 km/j – bermula pada Disember 2016. Tahun lalu, Heritage Edition dan ’67 Heritage Edition merah juga diperkenalkan.

    GALERI: Ford GT Heritage Edition

    GALERI: Ford GT


     
     
  • Chevrolet Camaro Yenko/SC Stage II – Muscle Car dengan enjin 6.8L V8 Supercharger berkuasa 1,000 hp!

    Chevrolet Camaro Yenko/SC Stage II – <em>Muscle Car</em> dengan enjin 6.8L V8 Supercharger berkuasa 1,000 hp!

    Specialty Vehicle Engineering, Inc. (sebelum ini dikenali sebagai SLP) mengumumkan bahawa mereka telah menghasilkan siri muscle car Yenko/SC baharu iaitu Chevrolet Camaro Yenko/SC Stage II 2019. Jentera berkenaan dilihat dapat bersaing terus dengan Dodge Challenger SRT Demon kerana dapat menghasilkan sejumlah 1,000 hp.

    Walau bagaimanapun, menurut syarikat berkenaan, mereka hanya akan menghasilkan Camaro Yenko/SC Stage II ini sebanyak 25-unit sahaja. Ia dibina bukan berasaskan varian paling berkuasa Camaro ZL1, tetapi menggunakan Camaro versi 1SS atau 2SS yang dilengkapi pakej 1LE.

    Bagi menghasilkan kuasa sebesar 1,000 hp tersebut, enjin asal 455 hp V8 6.2 liter LT-1 pada Camaro 1SS dan 2SS berkenaan ditingkatkan kapasitinya kepada 6.8 liter. Ia tidak dibiarkan menyedut sendiri udara masuk ke kebuk pembakaran, sebaliknya didesak dengan unit Supercharger.

    Chevrolet Camaro Yenko/SC Stage II – <em>Muscle Car</em> dengan enjin 6.8L V8 Supercharger berkuasa 1,000 hp!

    Dengan pakej 1LE yang dipadankan, secara tidak langsung kereta ini turut menerima sistem suspensi Magnetic Ride Control yang ditala kearah prestasi tinggi bersama penggunaan komponen seperti set bushing, spring dan bar penstabil khas. Pakej tersebut turut memberikan ciri-ciri lain seperti LSD elektronik, sistem penyejuk tugas berat untuk minyak pelincir dan gandar belakang serta dua unit radiator untuk enjin.

    Selain itu, pakej 1LE tersebut turut memadankan tempat duduk lebih sporty dari Recaro dan juga spoiler belakang yang menurut Specialty Vehicle Engineering, membolehkan Camaro ini melekat di atas permukaan jalan. Setiap dari 25-unit kereta-kereta yang dihasilkan ini akan diberikan nombor produksi istimewa dan juga sijil pengiktirafan keaslian dari pengeluar.

     
     
  • Honda CBR150R dipertingkat untuk pasaran Indonesia

    Honda CBR150R dipertingkat untuk pasaran Indonesia

    Di negara jiran, Indonesia, pasaran motosikalnya adalah lebih meriah termasuklah untuk model yang berkapasiti rendah. Bagi penggemar model berbentuk sports, antara model yang popular adalah CBR150R. Untuk tahun ini, pengedar Honda di sana telah memperbaharui motosikal tersebut, dengan melibatkan beberapa perubahan.

    Paling jelas dilihat sudah tentu adalah grafik serta pilihan warnanya (yang kini ditawarkan dalam empat pilihan termasuk versi Repsol), namun ada juga perubahan lain seperti penghadang angin yang lebih tinggi di hadapan dan lampu yang lebih tajam.

    Membantu pula aspek prestasi, motosikal ini sekarang didatangkan dengan cakera brek hadapan berombak manakala suspensi hadapan dan belakang pula boleh dilaras. Untuk bahagian panel instrumen digital, sekarang ia menggunakan warna baru.

    Ciri keselamatan motosikal ini turut dipertingkat, dengan bahagian breknya kini boleh didapati dengan sistem brek ABS dan dilengkapi dengan Emergency Stop Signal (ESS) yang boleh menyalakan lampu kecemasan apabila membrek secara kuat.

    Bahagian lain motosikal ini masih lagi sama termasuk enjin dan transmisi yang menggunakan unit satu silinder DOHC 149.16 cc suntikan bahan api dengan padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan 17.1 PS pada 9,000 rpm dan 14.4 Nm tork pada 7,000 rpm. Bergantung kepada warna dan sama ada ia dilengkapi ABS atau tidak, model ini dijual pada harga antara 33.8 juta Rupiah hingga 38.7 juta Rupiah.

     
     
  • Proton Iriz R5 bakal beraksi di pusingan pertama Kejuaraan Rali Dunia, Monte Carlo Rally Januari 2019

    Proton Iriz R5 bakal beraksi di pusingan pertama Kejuaraan Rali Dunia, Monte Carlo Rally Januari 2019

    Mei lalu, jentera rali Proton Iriz R5 dilaporkan akan melengkapkan proses homologasi untuk penyertaannya ke kancah Kejuaraan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2. Namun selepas itu, tiada lagi perkembangan berkenaan bila jentera binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) tersebut akan benar-benar bertanding dalam kejohanan dunia itu.

    Kini barulah berita baik tentang perkara ini muncul semula – menurut laporan Motorsport News UK, proses homologasi tersebut kini dalam peringkat akhir dan Iriz R5 bakal menerima kelulusan dari FIA bulan Disember ini. Apa yang lebih menggembirakan, laporan tersebut turut menyatakan bahawa Proton Iriz R5 bakal bertarung pada pusingan pertama WRC 2019 iaitu di Monte Carlo Rally Januari hadapan.

    “1 Disember adalah tarikh homologasi. Sekarang kertas kerja sudah pun siap dan mereka [FIA] hanya akan kembali untuk memeriksa saiz dan berat yang kami buat adalah mengikut spesifikasi,” kata prinsipal pasukan MEM, Chris Mellors.

    Proton Iriz R5 bakal beraksi di pusingan pertama Kejuaraan Rali Dunia, Monte Carlo Rally Januari 2019

    “Kami adalah pasukan kecil dan homologasi telah mengambil masa yang lebih lama dari apa yang kami harapkan, tetapi kami telah membuat pelbagai perubahan dan peningkatan seiring dengan tempoh tersebut dan ia dalam keadaan agak baik sekarang, ia adalah kereta yang sangat hebat,” tambah Mellors lagi.

    MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

    Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth.

    Ia telah membuat kemunculan sulung di Good Festival of Speed tahun lalu. Selepas itu, Iriz R5 telah pun berlumba dalam empat perlumbaan – menjadi juara di Rally Stage Goodwood Festival of Speed 2017, mencapai kedududukan podium di Malton Forest Rally 2017, juara di Grizedale Stages Rally 2017 dan mempertahankan takhtanya sebagai juara Rally Stage Goodwood FOS 2018.

    Kesemua ujian dan perlumbaan yang disertai oleh Iriz R5 dipandu sendiri oleh anak Chris Mellors iaitu Oliver Mellors. MEM turut mengesahkan bahawa Oliver dan Iriz R5 akan bertanding lagi dalam Malton Rally tahun ini yang akan berlangsung bulan hadapan. Selain Ollie, Iriz R5 juga pernah diuji oleh lagenda serta juara dua kali WRC, Marcus Gronholm dan diberikan maklum balas yang sangat positif.

    Februari lalu, Proton telah menayangkan Iriz R5 di Malaysia namun ia hanyalah sebuah replika. Walaupun sekadar replika, kereta berkenaan sebenarnya turut dibina oleh MEM di UK, dan menggunakan kit-kit badan asli sama seperti jentera sebenar.

     
     
  • DBKL mungkin akan ambil alih perkhidmatan bas percuma GO KL daripada SPAD – Anthony Loke

    DBKL mungkin akan ambil alih perkhidmatan bas percuma GO KL daripada SPAD – Anthony Loke

    Kementerian Pengangkutan sedang berbincang dengan kementerian Wilayah Persekutuan bagi membolehkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil alih perkhidmatan bas percuma Go KL.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, buat masa ini GO KL dioperasikan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), dengan kos lebih kurang RM12 juta setahun.

    “Sebagai sebahagian daripada usaha rasionalisasi kerajaan, kami berharap dapat menyalurkan dana tersebut untuk mensubsidi perkhidmatan bas di negeri lain. DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan yang memiliki sumber kewangan, diharap dapat mengambilalih perkhidmatan GO KL, di mana kontrak dengan pengendalinya tamat pada 31 Disember ini,” ujarnya seperti mana yang dilaporkan oleh The Star.

    GO KL yang mula diperkenalkan pada September 2012 merupakan perkhidmatan bas percuma yang boleh digunakan oleh orang awam dan pelancong asing untuk ke tempat-tempat sekitar bandaraya Kuala Lumpur termasuk pusat membeli-belah dan tempat tumpuan pelancong. Ia mempunyai empat jajaran iaitu Jajaran Hijau, Ungu, Merah dan Biru. Objektif pengenalan perkhidmatan ini adalah untuk mengurangkan jumlah kemasukan kenderaan di kawasan berkenaan.

    “Secara puratanya seramai 65,000 penumpang menggunakan GO KL setiap hari, dengan 60% daripada jumlah itu adalah rakyat tempatan, selebihnya pekerja asing dan pelancong luar. Kami berharap perkhidmatan ini dapat diteruskan tanpa mengenakan kadar tambang,” ujarnya lagi.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class W177 dilancar di Malaysia – A200 Progressive Line, A250 AMG Line, dari RM228k

    Mercedes-Benz A-Class W177 dilancar di Malaysia – A200 Progressive Line, A250 AMG Line, dari RM228k

    Selepas lapan bulan Mercedes-Benz A-Class W177 muncul buat pertama kali di persada dunia, kini ia dilancarkan pula untuk pasaran Malaysia. Hatchback premium ini ditawarkan dalam dua varian iaitu A 200 Progressive Line dan A 250 AMG Line, dengan harga masing-masing RM227,888 dan RM263,888 (atas jalan termasuk SST, tanpa insurans).

    Melalui harga ini, ia menunjukkan peningkatan berbanding model sama taraf untuk generasi W176 sebelum ini yang dijual pada harga RM208,888 dan RM248,888 semasa cukai GST masih dilaksana. Walaupun begitu, model baru ini mempunyai lebih banyak kelengkapan dan diberi dengan jaminan empat tahun tanpa had batuan.

    Dibina atas platform Modular Front Architecture 2 (MFA2), A-Class W177 ini mempunyai ukuran 4,419 panjang, 1,796 mm lebar dan 1,440 mm tinggi, menjadikannya 127 mm lebih panjang, 16 mm lebih lebar dan 7 mm lebih tinggi berbanding model sebelum ini. Jarak rodanya juga 30 mm lebih panjang dan Mercedes mendakwa kereta ini menawarkan ruang kepala, bahu dan siku lebih luas, serta akses lebih mudah ke tempat duduk belakang serta ruang simpanan 29 liter lebih besar (370 liter).

    Mercedes-Benz A-Class W177 dilancar di Malaysia – A200 Progressive Line, A250 AMG Line, dari RM228k

    Pada bahagian penampilan, A-Class W177 ini melihatkan banyak perubahan, bermula dengan bahagian hadapan yang semakin agresif, lampu lebih runcing dan gril bentuk trapezoid. Pergi ke belakang, lampunya kini terbahagi dua dan mepunyai jarak lebih luas antara pemantul cahaya. Dari tepi, jarak roda yang lebih panjang, serta garis bahu yang lebih jelas menjadikannya nampak lebih panjang.

    Kedua-dua varian didatangkan dengan lampu utama LED High Performance (bukan unit Multibeam yang paling canggih) dengan lampu tinggi automatik, dua muncung ekzos di belakang dan rim 18 inci lima cabang. Varian A 250 mendapat pakej luar AMG Line dengan bampar dan side skirt yang lebih agresif, serta rim AMG. Selain itu, A 200 diberi dengan tayar run-flat manakala A 250 datang dengan tayar biasa serta kit pembaikan tayar.

    Masuk ke dalam, anda boleh melihat ia mempunyai pengaruh daripada S-Class W222 dan E-Class W213, dengan papan pemukanya didominasi panel paparan besar berukuran 10.25 inci yang seperti terapung dan corong pendingin hawa berbentuk turbin. Sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) diberikan secara standard, dengan skrin sesentuh di tengah dan sistem kawalan suara Linguatronic.

    Mercedes-Benz A-Class W177 dilancar di Malaysia – A200 Progressive Line, A250 AMG Line, dari RM228k

    Dengan menggunakan kata kunci “Hey Mercedes,”, pengguna kini boleh mengawal pelbagai fungsi kenderaan seperti pendingin hawa, radio dan navigasi. Sistem ini boleh mengenal bahasa percakapan biasa (contohnya, jika anda berkata “I am cold“, ia akan menurunkan suhu pendingin hawa) dan boleh mempelajari loghat seseorang.

    Untuk bahagian dalaman ini juga, A 200 menggunakan kemasan kayu hitam dan balutan kulit Artico, manakala A 250 mendapat tempat duduk sport dengan penyandar kepala bersepadu, roda stereng yang dibalut kulit Nappa, hiasan aluminium serta balutan kulit Artico dan gentian mikro Dinamica.

    Kelengkapan yang sudah ditunggu lama untuk A-Class iaitu sistem masuk tanpa kunci serta pengawal pendingin hawa automatik satu zon kini sudah diberi, bersama barangan lain seperti tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori dan larasan lumbar, cermin sisi boleh malap dan terlipat sendiri, cruise control, lampu suasana 64 warna, plet tepi pintu berlampu, navigasi berasaskan hard-disk serta fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Mercedes-Benz A-Class W177 dilancar di Malaysia – A200 Progressive Line, A250 AMG Line, dari RM228k

    Di bawah bonet, A 200 kini menggunakan enjin empat silinder turbo M282 1.33 liter yang lebih kecil dan dibangunkan bersama dengan Renault. Ia mampu menghasilkan 163 hp pada 5,500 rpm dan 250 Nm antara 1,620 hingga 4,000 rpm. Digabungkan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan Getrag baru, varian ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 8.0 saat, mencapai kelajuan maksimum 225 km/j dan mencatat penggunaan bahan api 5.2 l/100 km.

    Varian A 250 pula menggunakan enjin 2.0 liter M260 yang sama seperti sebelum ini (sekarang dipanggil M270), tetapi diperelok untuk menghasilkan kuasa 224 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm tork antara 1,800 hingga 4,000 rpm. Ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat mencatat penggunaan bahan api 6.2 l/100 km. Transmisi model ini juga telah dipertingkat, menggunakan unit DCT Mercedes sendiri.

    Kedua-dua varian A-Class ini didatangkan dengan suspensi untuk keselesaan, dengan penyerap pasif dan kedudukan 15 mm lebih rendah daripada biasa. Walaubagaimanapun, A 250 adalah satu-satunya varian yang datang dengan suspensi belakang multilink, sementara A 200 menggunakan tetapan torsion beam. Pada aspek keselamatan, kedua-dua varian datang dengan tujuh beg udara, Active Brake Assist (brek kecemasan autonomous), sistem pemerhati tekanan angin tayar dan Active Parking Assist dengan kamera undur.

    Anda boleh melihat spesifikasi dan kelengkapan penuh dua varian A-Class ini CarBase.my dan juga membandingkannya dengan model jenama lain yang berada dalam pasaran Malaysia.

    GALERI: Mercedes-Benz A 200 Progressive Line


    GALERI: Mercedes-Benz A 250 AMG Line

    GALERI: Mercedes-Benz A 250 dengan Aero Package

     
     
  • Benelli RFS150iLE 2018 – terhad 5,000 unit, RM7,488

    Benelli RFS150iLE 2018 – terhad 5,000 unit, RM7,488

    Pernah dipertontonkan sebelum ini waktu pelancaran skuter VZ125i, kini model istimewa Benelli RFS150iLE dilancarkan di Malaysia dengan harga RM7,488. Model ini hanya dikeluarkan terhad 5,000 unit dan menggunakan grafik khas Tri-colore berwarna seperti bendera Itali.

    Menjadikannya lebih eksklusif berbanding model biasa, RFS150iLE datang sekali dengan sijil pemilikan yang ditandatangani pengarah teknikal Benelli, Marco Belucci. Kelebihan lain model ini adalah tuil brek dan klac sports aluminium, serta suspensi monoshock belakang Kayaba dengan spring berwarna kuning.

    Bahagian lain motosikal ini masih lagi sama seperti model biasa, termasuk enjinnya, yang menggunakan unit 149 cc silinder tunggal sejukan cecair yang menghasilkan 15.5 hp kuasa pada 8,500 rpm dan 13 Nm tork pada 7,000 rpm. Keistimewaan enjin ini, ia mempunyai teknologi tiga palam pencucuh – dikenali sebagai B3SP dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

    Untuk penyerap hentak, bahagian hadapan motosikal ini dilengkapi dengan fork terbalik (USD), manakala bahagian belakang menggunakan jenis monoshock. Brek pula terdiri daripada jenis hidraulik bagi kedua-duanya, dengan cakera 240 mm di depan serta 220 mm di belakang.

    Kelengkapan lain yang ada padanya termasuk tangki minyak berkapasiti 4.8 liter yang terletak di bawah tempat duduknya, berat kering 115 kg tinggi tempat duduk 787 mm, dan kelajuan maksimum yang mampu dicapai didakwa pada 100 km/j.


     
     
  • Malaysia miliki lebih 80% vendor tempatan yang mahir menghasilkan komponen kenderaan berkualiti – MITI

    Malaysia miliki lebih 80% vendor tempatan yang mahir menghasilkan komponen kenderaan berkualiti – MITI

    Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming mengesahkan Malaysia memiliki lebih 80% vendor tempatan yang berkemahiran menghasilkan komponen kenderaan sekali gus berupaya membantu melaksanakan projek kereta nasional ketiga.

    Katanya, komponen yang dihasilkan juga berkualiti dan tidak menjadi masalah untuk negara memajukan projek berkenaan, laporan Berita Harian.

    “Mengenai isu tenaga kerja berkemahiran tinggi, saya ingin memaklumkan dari segi pembangunan vendor, lebih 80% komponen kereta yang dihasilkan di Malaysia, dihasilkan oleh vendor tempatan. Peratusan itu amat tinggi berbanding Vietnam yang hanya memiliki 20% vendor tempatan yang menghasilkan komponen kenderaan di negara mereka,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang membangkitkan isu mengenai kemampuan tenaga kerja mahir tempatan yang membangunkan projek kereta nasional ketiga di Parlimen semalam.

    Semalam, beliau turut mengesahkan MITI telah menerima 14 cadangan daripada pihak swasta dan individu berkenaan kereta nasional baharu. Tambahnya, Dasar Automotif Nasional (NAP) dan hala tuju berkenaan industri automotif negara secara menyeluruh perlu dikenal pasti sebelum melaksanakan kajian impak ekonomi kereta nasional ketiga tersebut.

     
     
  • Skoda Kodiaq GT – SUV Coupe hanya untuk China

    Skoda Kodiaq GT – SUV Coupe hanya untuk China

    Awal bulan ini, jenama automotif dari Republik Czech -Skoda- memperkenalkan SUV tujuh tempat-duduk yang diiktiraf terpantas di litar Nürburgring dalam kelasnya digelar Kodiaq RS. Kini, satu lagi varian Kodiaq diperkenalkan dengan nama Kodiaq GT, menampilkan bentuk badan “SUV coupe” yang lebih sporty. Walau bagaimanapun, model ini adalah khas hanya untuk pasaran China.

    Skoda Kodiaq GT ini diperkenalkan buat pertama kali ketika berlangsungnya Guangzhou Motor Show 2018, dan ia akan dijual bersama satu lagi model khas Skoda hanya untuk China iaitu Kamiq, serta dua lagi SUV – Karoq dan Kodiaq versi standard. Berbeza dengan model asal, Kodiaq GT diberikan garis bumbung belakang yang lebih menjunam, dengan cermin belakang yang lebih rendah.

    Versi lebih sporty ini juga menampilkan liang udara hadapan, lampu belakang serta diffuser yang direka semula, bersama jalur reflektor baharu yang merentanginya bersama tip ekzos berkembar berbentuk bulat. Manakala kemasan bahagian bawah sisi pula diwarnakan sama dengan warna badan. Model GT ini juga merupakan yang pertama diberikan perkataan ‘SKODA’ yang diletakkan merentangi pintu tailgate belakang, berbanding hanya logo pada model lain.

    Tiada foto bahagian dalaman Kodiaq GT ini disiarkan, namun boleh dijangka bahawa ia diberikan elemen yang sama seperti model Skoda lain dalam pasaran buat masa sekarang seperti paparan instrumen digital Virtual Cockpit, dan juga fungsi hubungan seperti akses WiFi, MirrorLink, Apple CarPlay dan Baidu CarLife.

    Skoda Kodiaq GT ini tidak berkongsi enjin turbodiesel seperti model RS, sebaliknya dijana oleh enjin petrol turbo 2.0 liter empat silinder dari Volkswagen dengan dua pilihan talaan iaitu 186 hp dan 220 hp. Kedua-dua versi dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan DSG dan juga sistem AWD secara standard. Untuk keselamatan, SUV ini dibekalkan dengan Pengesan Titik Buta, Front Assist serta fungsi Adaptive Cruise Control (ACC) bersama stop-and-go.

    GALERI: Skoda Kodiaq RS

     
     
  • Data jualan kenderaan di M’sia Sept 2018 ikut jenama

    Data jualan kenderaan di M’sia Sept 2018 ikut jenama

    Tidak mengejutkan apabila jualan kereta menjunam pada bulan September, selepas berakhirnya ‘cuti cukai’. Walau bagaimanapun, ia tidak begitu banyak kerana peningkatan harga (vs 0% GST), tetapi banyak stok kenderaan yang habis kerana memang tidak pernah berlaku ‘cuti cukai’ sebegini, membuatkan keghairahan pembeli memuncak.

    Data daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan sebanyak 31,241 kenderaan telah dihantar pada September, di mana ia 52% lebih rendah berbanding 65,551 unit yang direkodkan pada Ogos. Jumlah mengikut tarikh berkenaan, jualan September juga 23% atay 9,715 unit lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

    Sementara itu, jumlah keseluruhan industri bagi September 2018 ialah 454,971 unit, lebih 7% berbanding 425,678 unit bagi sembilan bulan pertama 2017.

    Seperti mana pecahan mengikut jenama bagi carta di bawah, setiap jenama mencatatkan penurunan pada September. Walau pun tidak melibatkan angka yang begitu besar, hanya jualan penghabisan dan disebabkan kekurangan stok. Malah sesetengah jenama juga masih mengekalkan tanda harga yang sama ketika era cukai jualan untuk menghabiskan stok sedia ada.

    Adakah rekod ini boleh dipulihkan pada hujung tahun ini atau jualan yang lebih baik menjelang 2019? Apatah lagi melibatkan beberapa pelancaran model baharu termasuk Toyota Rush, Mercedes-Benz A-Class dan Proton X70.

    Data jualan kenderaan di M’sia Sept 2018 ikut jenama

     
     
  • Tol akan dihapuskan bila ekonomi negara kian pulih, kaji alternatif kurangkan beban rakyat – Baru Bian

    Tol akan dihapuskan bila ekonomi negara kian pulih, kaji alternatif kurangkan beban rakyat – Baru Bian

    Disebabkan kekangan ekonomi negara kerajaan memutuskan untuk menangguhkan penghapusan tol dalam masa terdekat ini. Walau bagaimana pun, bagi mengurangkan beban rakyat berhubung isu tol, kerajaan sedang mengkaji alternatif yang terbaik bagi tujuan tersebut.

    Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata ini termasuk cadangan merendahkan kadar bayaran tol, mewujudkan kadar sama rata dan memberi diskaun tertentu pada waktu bukan puncak, laporan Bernama.

    “Mungkin juga kita tidak akan naikkan harga tol untuk tempoh tertentu, ini dalam perbincangan buat masa sekarang,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Muslimin Yahaya (PH-Sungai Besar) yang ingin tahu langkah kerajaan untuk pastikan tol dihapuskan sebagaimana janji Pakatan Harapan di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

    Tol akan dihapuskan bila ekonomi negara kian pulih, kaji alternatif kurangkan beban rakyat – Baru Bian

    Baru juga sekali lagi menegaskan bahawa secara dasarnya kerajaan telah memutuskan bahawa tol tidak akan dihapuskan sehingga keadaan kewangan negara distabilkan ke peringkat ‘sihat’.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menjawab soalan asal Muslimin mengenai jumlah tol yang dicadang di lebuh raya West Coast Expressway (WCE) yang menghubungkan Banting dan Taiping sepanjang 233 kilometer yang sedang dibina, Baru berkata ia melibatkan jumlah keseluruhan 20 plaza tol.

    “Kaedah kutipan tol yang akan digunakan ialah sistem kutipan tol tertutup di mana enam plaza tol terletak di laluan utama dan 14 lagi di persimpangan bertingkat,” katanya.

    Beliau berkata ia juga melibatkan tempoh konsesi selama 50 tahun bermula tarikh perjanjian konsesi dengan syarikat WCE Sdn Bhd yang ditandatangani pada 2 Jan 2013, berkuat kuasa.

    Katanya kemajuan pembinaan lebuh raya terbabit ialah 60 peratus dan dijangka dibuka berperingkat mulai tahun hadapan dan sepenuhnya pada 2022.

     
     
  • Indeks Kepuasan Jualan Malaysia J.D. Power 2018 – Nissan berjaya mendahului Isuzu, Honda, Toyota

    Indeks Kepuasan Jualan Malaysia J.D. Power 2018 – Nissan berjaya mendahului Isuzu, Honda, Toyota

    J.D.Power telah mengumumkan Kajian Indeks Kepuasan Jualan (SSI) Malaysia 2018, yang merupakan analisis komprehensif mengenai pembelian kenderaan dan pengalaman penghantaran baharu berdasarkan respons daripada 2,477 pembeli kereta yang membeli kereta mereka antara September 2017 dan Mei 2018.

    Selama 16 tahun dalam kajian, J.D. Power telah menggariskan enam faktor yang memberikan kesan terhadap kepuasan pelanggan secara keseluruhan dengan pengalaman pembelian kenderaan baharu. Ini termasuk perunding jualan (26%), fasiliti pengedar (25%), proses penghantaran (19%), urusan jual beli (14%), kertas kerja (14%) dan laman web pengedar (2%).

    Berdasarkan keputusan ini, Nissan berjaya mendahului Isuzu dan Toyota, dengan menduduki tangga ke atas bersama 812 mata (dengan skala markah penuh 1,000). Diikuti Isuzu di tangga kedua dengan 797 mata, sementara Honda di tangga ketiga (795 mata) meningkat kedudukannya berbanding tahun lalu dengan memintas Toyota yang menduduki tangga ke-empat dengan 791 mata.

    Indeks Kepuasan Jualan Malaysia J.D. Power 2018 – Nissan berjaya mendahului Isuzu, Honda, Toyota

    Satu lagi jenama yang meningkat ialah Mitsubishi dengan pungutan mata sebanyak 787, yang meletakkan jenama tersebut di atas pasaran massa sekitar 784 mata. Selain itu, Proton juga kelihatan lebih meningkat berbanding tahun lalu dengan kedudukan yang lebih tinggi dan memperoleh 782 mata, sementara Volkswagen pula 779 mata. Mazda kelihatan sedikit menurun dengan 781 mata, sementara Perodua pula dengan 774 mata.

    Menurut J.D. Power, pembeli kereta akan menjadi lebih puas sekiranya dapat berurusan dengan perunding jualan yang pengalaman yang menggunakan peranti digital. Tidak mengejutkan, ramai juga menjangka penjelasan menyeluruh tentang ciri-ciri yang ada apabila kenderaan itu dihantar, dan menyambut usaha penjelasan susulan. Para pelanggan juga lebih suka apabila perunding jualan mempunyai autonomi untuk cepat mengikat kesepakatan daripada harus menunggu kelulusan dari penyelia mereka.

    Di samping faktor ini, kajian tersebut turut mendedahkan peningkatan (59%) angka penyelidikan menerusi dalam talian untuk mencari informasi mengenai harga, ciri dan spesifikasi kenderaan. Mereka yang melakukan pencarian maklumat dalam talian selalunya lebih cenderung untuk menghubungi pengedar sebelum berkunjung ke bilik pameran untuk menyemak perincian dan membandingkan harga antara pengedar-pengedar yang ada.

    Indeks Kepuasan Jualan Malaysia J.D. Power 2018 – Nissan berjaya mendahului Isuzu, Honda, Toyota

    Malah pertimbangan kewangan juga menjadi sebab paling berpengaruh dalam membeli kenderaan (46% responden), terutamanya yang berusia 29 tahun dan lebih muda. Yang mengejutkan, pembeli muda juga didapati kurang memilih gaya berbanding pembeli yang lebih berusia apabila membeli kenderaan.

    “Pembeli kereta di Malaysia, terutamanya pembeli muda, lebih mengutamakan kos pemilikan kenderaan dan memilih saluran dalam talian untuk membantu mereka melakukan kajian dalam membuat pilihan terbaik,” ujar Muhammad Asyraf Bin Mustafar, ketua J.D.Power Malaysia.

    Sambungnya lagi, “Jenama yang boleh menawarkan harga yang kompetitif menerusi pilihan kewangan fleksibel, penjimatan bahan api yang lebih baik, pakej penyelenggaraan yang bagus dan nilai jual balik yang lebih tinggi lebih mudah menarik perhatian pelanggan. Agak penting juga apabila jenama dapat menyesuaikan produk yang ditawarkan dengan alasan pembelian pelanggan.”

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026