Tiga jenama motosikal yang duduk di bawah syarikat Naza Premira Sdn Bhd turut mengeluarkan harga semua model semasa mereka, yang kini telah ditolak dengan kadar GST 6% dan akan diguna pakai bermula 1 Jun 2018 sehinggalah cukai SST pula dikuatkuasakan nanti.
Bagi model Vespa, model paling murah mereka iaitu S 125 i-GET yang dilancarkan pada bulan Ogos tahun lalu mencatatkan penurunan sebanyak RM713 dan kini dijual pada harga RM12,384. Melihat kepada model Vespa paling mahal, iaitu GTS 300 Super yang dikuasakan oleh enjin 278.3 cc pula, harganya kini menjadi RM26,670 setelah dikurangkan sebanyak RM1,532.
Pergi kepada Aprilia, model popular mereka, Shiver 750 CKD yang sebelum ini dijual pada harga RM40,099 dengan GST kini diturunkan kepada RM37,920 (turun RM2,179). Model RSV4 1000 RF pula kini dijual pada harga RM124,502 (turun RM7,232) manakala Tuono V4 1100 Factory RM101,908 (turun RM5,912).
Satu-satunya model Piaggio yang berada dalam pasaran sekarang iaitu Medley S 150 mencatatkan penurunan harga sebanyak RM1,037, dengan harga pasarannya menjadi RM17,959. Kesemua harga ini adalah harga atas jalan, tetapi tidak termasuk insurans.
Menteri Pengangkutan yang baharu, Anthony Loke, bakal mencadangkan supaya fungsi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang pada masa ini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, perlu diintegrasi semula di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT). Ia adalah bagi mengelakkan pertindihan operasi kerja, laporan Bernama.
Selain itu, beliau juga berazam untuk memulihkan persepsi negatif orang ramai terhadap warga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dikaitkan dengan amalan “lesen kopi”. Usaha itu akan dibuat melalui amalan integriti yang berkesan.
“Bila sebut integriti, saya mahu pastikan kakitangan kementerian semua wajib zahirkan melalui tindakan barulah ianya berkesan. Saya mahu persepsi negatif seumpama itu dibersihkan di dalam agensi kerajaan terutama JPJ,” katanya pada Majlis Amanat Menteri kepada warga kementerian itu.
Loke berkata amalan kerja berintegriti, hormat masa serta melalui proses yang baik, komited terhadap tugas hakiki serta tidak dipengaruhi unsur remeh yang disifatkan tidak perlu, akan menggerakkan agensi ke arah kecemerlangan.
“Sebagai menteri baharu, saya mengamalkan minda terbuka (dan) saya akan belajar, semestinya saya memerlukan sokongan daripada penjawat awam untuk memandu kementerian ini secara terbaik, banyak yang perlu difokuskan dan dilaksanakan. Antaranya MOT mahu memastikan keselamatan jalan raya dipertingkat, memandangkan kini adalah bulan Ramadan dan tidak lama lagi, orang ramai akan berpusu-pusu balik ke kampung. Kita tidak mahu lihat kemalangan terus bertambah setiap tahun,” katanya.
Royal Enfield telah mengeluarkan satu model istimewa iaitu Classic 500 Pegasus Edition, yang hanya akan dipasarkan dalam jumlah terhad 1,000 unit di seluruh dunia. 250 daripadanya akan dikhaskan untuk pasaran India, manakala selebihnya untuk pasaran lain.
Model ini adalah satu model yang memberikan penghormatan kepada motosikal Royal Enfield yang digunakan sewaktu perang dunia kedua dahulu, iaitu Flying Flea. Nama tersebut wujud kerana motosikal tersebut dulunya dihasilkan di kilang tersembunyi di United Kingdom, dan dihantar ke tapak perang menggunakan kapal terbang.
Kemudiannya, motosikal 125 cc tersebut diturunkan menggunakan payung terjun, dan digunakan untuk menyerang musuh daripada belakang. Dengan adanya Flying Flea yang boleh bergerak sehingga 70 km/j ini, askar dapat menjimatkan masa dan tenaga.
Untuk model penghormatan baru ini, ia menggunakan asas daripada model Classic 500, dengan enjin satu silinder 499 cc, dan ditawarkan dalam dua warna iaitu hijau yang sama seperti motosikal Flying Flea dahulu, dan coklat. Kemudiannya, ia turut dihiasi dengan lambang rejimen payung terjun Pegasus serta nombor siri khas berbeza bagi setiap unit di bahagian tangki.
Kemudiannya, ia dilengkapi dengan barangan seperti beg tepi kanvas, lapik pemegang coklat, pengikat penapis udara kulit serta ekzos, rim, penendang kaki dan bahagian hiasan lain serba hitam. Ia sudah dibuka untuk tempahan di laman web pada harga £4,999 (RM26,653).
Volvo Car Malaysia tidak ketinggalan untuk mengeluarkan senarai harga terkini bagi semua model keluarannya pada kadar GST 0%, yang akan bermula pada 1 Jun nanti. Semua harga yang dinyatakan ini – tidak termasuk insurans – akan kekal sehingga pengumuman lanjut daripada Kementerian Kewangan.
Tanpa GST, penjimatan yang boleh dinikmati bagi kenderaan Volvo bermula serendah RM9,239.07 bagi model V40 T4. Bagi model XC60 T8 Twin Engine Inscription Plus pula, ia kini lebih murah sebanyak RM19,424.17, sementara penjimatan paling banyak pula ialah bagi model XC90 T8 Twin Engine iaitu RM23,386.44.
Bagaimanapun, mungkin terdapat variasi bagu peratusan pengurangan yang terlibat, yang secara umumnya berada di bawah 6% tepat. Ini kerana, GST 6% hanya dikenakan kepada harga jualan kenderaan (dalam kes kenderaan CBU, yuran pemeriksaan Puspakom), hal berkaitan pendaftaran yang tidak dikenakan GST seperti cukai jalan, yuran pendaftaran dan yuran pemilikan turut ditambah.
Volvo juga memaklumkan bahawa GST 0% ini juga sah kepada alat ganti dan kos servis di semua pengedar sahnya. Ini termasuk pembelian pakej Volvo Service Agreement (VSA), yang mana pakej VSA 3+ boleh didapati pada harga RM5,900 (jimat RM354) dan VSA 5+ pada harga RM9,200 (jimat RM552). Pakej berkenaan meliputi kedua-dua servis berjadual serta alat ganti.
Sebelum proses homologasi untuk penyertaannya ke kancah Kejuaraan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2 hujung bulan ini, jentera rali binaan Mellors Elliot Motorsport, Proton Iriz R5 telah pun melakukan ujian terakhir bagi memuktamadkan talaan serta penggunaan komponen.
Ujian berkenaan dilakukan pada sebuah kawasan dengan permukaan jalan batu kerikil yang lasak, berdebu serta panas, namun Iriz R5 telahpun menghabiskan keseluruhan ujian dengan jarak 200 km tersebut.
“Ujian yang hebat dengan Proton Iriz R5 minggu lalu, ia sememangnya panas dan berdebu tetapi dengan masa berkualiti dalam 200 km dan talaan cuaca kering yang sangat baik, adalah selamat untuk mengatakan bahawa tidak terasa kami melakukan perjalanan sejauh itu kerana kereta ini begitu mudah untuk dipandu”, kata Oliver Mellors, pemandu Proton Iriz R5 berkenaan dalam catatan akaun Facebook miliknya.
Dalam video diatas dapat dilihat Iriz R5 berkenaan benar-benar dipandu secara maksima. Ketika ujian ini, Oliver Mellors dibantu juruarah Max Freeman yang menggantikan Ian Windress bermula Cambrian Rally 2018 yang berlangsung Februari lalu.
Proton Iriz R5 dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.
Bulan lalu, Proton telah menayangkan Iriz R5 di Malaysia namun ia hanyalah sebuah replika. Walaupun sekadar replika, kereta berkenaan sebenarnya turut dibina oleh MEM di UK, dan menggunakan kit-kit badan asli sama seperti jentera sebenar.
Edaran Tan Chong Motor (ETCM), yang telah mendedahkan senarai harga terkini kenderaan keluarannya dengan kadar GST 0% yang akan bermula 1 Jun nanti, kini telah mengumumkan bahawa pelaksanaan rebat GST bagi semua modelnya bagi tempoh 16-31 Mei ini.
Melalui promosi ini, ETCM menyatakan syarikat itu akan menyediakan rebat tunai sepenuhnya bagi GST bagi semua kenderaan penumpang yang didaftarkan dalam tempoh berkenaan. Mereka juga menambah, dengan tawaran rebat GST ini, program pelindungan harga yang dinyatakan sebelum ini juga tidak lagi sah.
Selain rebat GST, pelanggan juga boleh menikmati lebih penjimatan dengan pemberian Duit Raya melalui promosi “Blissful Journey with Nissan” yang sedang berlangsung sepanjang bulan Mei. Promosi ini memberikan penjimatan tambahan sebanyak RM13,000 lagi, selepas penyelarasan kadar GST 0%. Sebagai contoh, bagi Nissan X-Trail dan Navara 2017, jumlah penjimatan keseluruhan ialah lebih daripada RM19,000.
Harga baru dengan 0% GST, tanpa insurans akan kekal berkuatkuasa sehingga GST digantikan semula oleh SST. Bila ia akan berlangsung masih lagi belum diketahui, tetapi menurut Tun Daim Zainuddin, kemungkinan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.
Mercedes-Benz nampaknya sedang memberi tumpuan kepada barisan kenderaan EQ keluarannya. Terbaru, syarikat itu mengumumkan untuk melabur sekitar 500 juta Euro (RM2.34 bilion) di kemudahan pengilangan Hambach, Perancis.
Kilang berkenaan, yang ketika ini mengeluarkan kenderaan elektrik Smart, akan memulakan pemasangan model kompak EQ sebaik sahaja persiapannya selesai. Model yang dinyatakan itu dijangka merupakan versi dari model konsep EQ A yang dipertonton di Frankfurt tahun lalu.
“Dua puluh tahun lalu, kami memulakan kerjasama projek Jerman-Perancis dengan pengeluaran kenderaan Smart di Hambach. Kini kami melangkah lebih jauh. Pertama kali dalam sejarah 100 tahun jenama ini, kami membuat pemasangan kenderaan Mercedes-Benz di Perancis. Melalui model kompak EQ dari Hambach, kami memperluas inisiatif untuk kenderaan elektrik,” ujar pengerusi lembaga pengurusan Daimler AG dan ketua Mercedes-Benz Cars, Dieter Zetsche.
“Kilang di Perancis ini memiliki pengalaman puluhan tahun membina kenderaan elektrik sepenuhnya. Kami mahu menggunakan kelebihan dan kepakaran yang ada dan mempersiap sebuah kilang untuk pengeluaran kenderaan elektrik Mercedes-Benz pula,” jelas ketua Smart, Annette Winkler.
Menjelang 2022, Mercedes-Benz merancang untuk mempunyai model elektrik bagi semua barisan produknya, termasuk kenderaan elektrik sepenuhnya dalam semua segmen – bermula dari Smart hinggalah ke SUV besar. Pembangunan bagi plug-in hybrid dan pengenalan sistem 48-volt juga akan turut diteruskan.
Menerusi harga baharu tersebut, pelanggan bakal menerima penjimatan serendah RM7,084 jika membeli Citroen C4 Picasso sehingga RM10,940 jika membeli DS5 facelift. Potongan harga ini adalah sebelum promosi “Raya Drive Offer” yang ditawarkan Naza Euro Motors, yang pastinya akan memberikan penjimatan yang lebih besar, namun ia hanya sah sehingga 30 Jun 2018.
Walau bagaimanapun, pengurangan harga ini tidaklah tepat 6%. Ini kerana GST 6% berkenaan hanya dikira berdasarkan harga jualan sesebuah kereta itu, tidak termasuk kos-kos lain seperti pemeriksaan Puspakom untuk model CBU, bayaran pemprosesan, yuran pendaftaran dan lain-lain lagi.
Berdasarkan jadual ini juga dapat dilihat bahawa penawaran Citroen di Malaysia telah sedikit berubah. Model Grand C4 Picasso kini tidak lagi dijual, dan hanya C4 Picasso lima-tempat duduk ditawarkan dalam kemasan L2 Seduction.
Satu lagi jenama di bawah Kumpulan Naza, Peugeot turut mengumumkan harga terkini bagi model-model keluarannya pada kadar GST 0%, yang akan bermula pada 1 Jun ini, seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini. Ia akan berlangsung sehingga pengenalan semula SST secara rasmi kelak.
Tanpa GST, semua model-model Peugeot menjadi lebih murah antara RM4,915.48 bagi model 208 PureTech hinggalah sebanyak RM10,419.10 bagi model 508 SW THP wagon. Model SUV tujuh-tempat duduk 5008 yang baru saja dilancarkan bulan lalu juga kini kurang RM9,816.11, dan dijual pada harga RM164,071.89.
Selain daripada perubahan harga ini, Naza turut menawarkan promosi rebat Raya bagi semua modelnya (kecuali 5008), bernilai antara RM1,000 bagi 3008 hinggalah sebanyak RM45,000 bagi 508 SW – menjadikan harga wagon berkenaan kini RM129,091.59. Bagi model paling kecil, 208 PureTech pula menerima potongan harga RM12,000, menjadikan harga jualannya RM70,179.69.
Turut terlibat dengan promosi ini ialah 508 THP, 508 GT dan MPV Traveller yang digunakan ketika Sukan SEA tahun lalu. Masing-masing dijual pada harga RM117,294.72, RM141,472.21 dan RM149,333.33.
Menerusi harga baharu tersebut, pelanggan bakal menerima penjimatan serendah RM4,314 jika membeli trak pikap Triton Quest (dari RM77,390, menjadi RM73,076) sehingga RM8,712 jika membeli SUV Outlander 2.4L (dari RM154,988 menjadi RM146,276).
Selain dari pengurangan harga disebabkan GST yang berkadar sifar peratus, MMM juga akan menjalankan promosi sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 1 Jun ini. Jenama berkenaan menawarkan bonus Raya untuk kesemua barisan modelnya, dengan diskaun bermula RM4,000 untuk Outlander 2.4L dan 2.0L, serta empat model-model Triton (Athelete, VGT Adventure X, VGT AT GL dan VGT MT).
Manakala model Triton MT dan Quest serta ASX 2WD dan 4WD akan menerima diskaun sebanyak RM8,000 sepanjang promosi ini. Triton VGT AT Premium pula diberikan potongan harga tambahan RM12,000, menjadikan harga atas jalannya hanya RM97,782, atau RM18,518 lebih murah berbanding harga semasa.
Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) telah mengumumkan harga baharu bagi barisan modelnya di negara ini iaitu tanpa cukai barang dan perkhidmatan (GST), seperti mana langkah yang diambil oleh kebanyakan syarikat lain selepas kerajaan memansuhkan kadar GST mula 1 Jun ini. Walau bagaimana pun, ini adalah harga yang tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans.
Bagi barisan Jaguar, perbezaan harga diturunkan sehingga RM39,509.43 bagi XJ L 2.0 Ti, sementara sedan seperti XE dan XF juga mengalami penurunan harga. Bagi SUV F-Pace, varian spesifikasi tertinggi mengalami pengurangan harga sebanyak RM28,233.96 berbanding sebelum ini. Walau bagaimana pun, Jaguar janaan V6 dan V8 tidak termasuk dalam senarai ini, dan kemungkinan besar sudah terkeluar dari barisan jualannya di Malaysia.
Jaguar (kiri), Land Rover (kanan); klik untuk besarkan
Manakala bagi Land Rover pula, ia melibatkan pengurangan harga yang paling tinggi, iaitu untuk Range Rover Sport yang mencecah kurang RM49,528.30 berbanding sebelum ini. Manakala jualan bagi Discovery Sport pula adalah RM396,226.42 mulai 1 Jun ini, iaitu melibatkan pengurangan sebanyak RM23,773.58. Bagi model Velar yang baru dilancarkan pula, melibatkan pengurangan sebanyak RM33, 238.30 bagi kedua-dua varian janaan P250 yang ditawarkan – Velar dan Velar R-Dynamic.
Senarai harga dalam jadual di atas adalah tidak termasuk dengan promosi yang sedang dijalankan oleh JLRM iaitu dari 11 April hingga 30 Jun 2018. Bergantung pada model terpilih, pelanggan berpeluang menerima rebat tunai sehingga RM100,000 dan/atau baucer aksesori bernilai sehingga RM6,000.
Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah menyiarkan senarai harga kenderaan Ford yang akan digunakan bermula 1 Jun ini, iaitu waktu yang ditetapkan untuk cukai GST dimansuhkan. Harga ini adalah tidak termasuk insurans, dan akan digunakan sehingga cukai SST pula diumumkan pada masa hadapan.
Tanpa kadar GST 6%, jumlah penjimatan yang dapat dinikmati adalah antara RM4,677 iaitu untuk model Ranger 2.2 XL Standard, hinggalah RM33,261 iaitu untuk kereta sport Mustang GT 5.0L. Model kompak Fiesta pula dijual pada harga bermula RM83,401, dengan penjimatan antara sekitar RM5k hingga RM8k.
Bagi yang rajin mengira, anda pasti akan mengesan bahawa pengurangan ini ada yang tidak mencapai 6%. Ini kerana kadar tersebut hanya dikenakan pada harga jualan kenderaan sebelum dimasukkan dengan kos lain yang tidak mempunyai GST seperti cukai jalan, pendaftaran dan penamaan pemilik.
Selain pemansuhan GST, SDAC juga kini sedang mempunyai promosi sempena ulang tahun ke-10. Antara yang menarik adalah percuma Fiesta 1.5L Sport apabila membeli Mustang, MPV S-Max pada harga bermula RM147,000 dan servis serta penyelenggaraan percuma selama dua tahun atau 40,000 km untuk pembeli Ranger Wildtrak.
Bose sebelum ini pernah menggemparkan dunia automotif dengan mendedahkan sistem suspensi aktif yang berfungsi seakan magik digelar ‘Project Sound’. Namun sehingga kini, tiada tanda-tanda bahawa sistem tersebut akan diproduksi sebagai produk sebenar pada mana-mana model.
Walau bagaimanapun, pada tahun 2017, ClearMotion iaitu sebuah syarikat yang berpangkalan di Boston berminat untuk mengambilalih projek tersebut dari Bose dan turut akan memadankan perisian yang boleh mengesan dan meramal permukaan jalan, serta merancang untuk memproduksi sistem suspensi berkenaan.
Syarikat tersebut ditubuhkan oleh Institut Teknologi Massachusetts (MIT) pada tahun 2009, dan sehingga kini mempunyai modal sebesar US$130 juta. Ia mensasarkan untuk menghasilkan sistem suspensi aktif dengan pakej saiz yang sama dengan penyerap hentak standard.
Bagi sistem asal yang dibangunkan oleh Bose dahulu, ia menggunakan topang elektromagnetik yang akan memanjang atau memendek pada setiap roda, bagi memastikan badan kereta kekal stabil walaupun melalui permukaan jalan beralun atau tidak rata. Ia juga dapat mengurangkan dengan drastik daya olengan badan ketika membelok serta boleh melompat untuk mengelak halangan.
Manakala untuk sistem yang akan dibangunkan oleh ClearMotion ini, ia akan menggunakan Activalve iaitu komponen elektro-hidraulik yang terdiri dari magnet, motor dan pengawal digital yang dikawal oleh perisian. Ia akan memantau keadaan permukaan jalan dihadapan secara berterusan dan ia akan bertindak balas terhadap apa jua gangguan dengan menetapkan tekanan pada penyerap hentak dalam masa hanya lima milisaat.
Menurut ClearMotion, komponen tersebut direka bagi membolehkan ia diletakkan pada kedudukan penyerap hentak standard, dan boleh dijajarkan untuk penggunaan sistem dua- atau tiga-tiub, serta hanya memerlukan modifikasi minimal pada badan dan casis. Sistem dengan empat Activalve berkenaan akan dikenali sebagai ‘Casis Digital’, di mana sistem tersebut akan sentiasa memantau dan memperbaiki pengendalian dan keselesaan kenderaan setiap masa.
Sistem ini akan diaplikasikan pada kenderaan penumpang biasa dan juga kenderaan-kenderaan pemanduan sendiri, dan buat masa sekarang ClearMotion sedang bekerjasama dengan Bridgestone dan juga Qualcomm bagi merealisasikan produksi berkenaan.
Naza Kia Malaysia telah mengumumkan senarai harga baharunya tanpa 6% cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang telah dimansuhkan mulai 1 Jun ini. Maka, dengan ini, pihak syarikat membuat keputusan untuk menyerap kos GST tersebut, malah akan segera memberikan rebat kepada pelanggan yang membeli kenderaan dari 18 Mei.
Walau pun harga di bawah ini hanya digunapakai sehingga 30 Mei ini, namun Naza berkata pembeli akan terus menerima rebat sehingga cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kembali diperkenalkan. Pada Jumaat lalu, Ketua Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin berkata cukai tersebut hanya bakal kembali diimplementasikan dalam tempoh dua hingga tiga akan datang, jadi sementara ini pastinya kita akan menerima lebih banyak manfaat dari penjimatan ini.
Klik untuk besarkan
Penjimatan tersebut bermula sebanyak RM2,000 bagi Picanto sehingga RM10,000 dari Sorento 2.2 CRDi HS dan Grand Carnival 2.2 CRDi EX dan SX. Tetapi harus diingat rebat bukanlah sehingga enam peratus penuh, kerana GST hanya digunakan untuk harga runcit yang disyorkan (RRP), di mana cukai jalan, pendaftaran dan lain-lain pembiayaan atas jalan digunakan.
Naza turut mengambil peluang ini untuk menyingkirkan beberapa model daripada senarainya. Salah satunya ialah Cerato, yang hanya kini tinggal satu varian iaitu 1.6 SX – di mana varian asas 1.6 KX dan 2.0 SX tidak diteruskan, mungkin juga ia akan hadir dengan model serba baharu. Rio sedan dan Sorento 2.2 CRDi LS juga ditamatkan jualannya, manakala pakej Novus S bernilai RM3,498 untuk Picanto tidak diteruskan (hanya pakej penuh Novus X sahaja kekal, kini pada harga RM5,000).
Pemansuhan GST yang akan bermula 1 Jun ini juga menyaksikan Ducati Malaysia mengeluarkan senarai harga terbaru semua model yang ditawarkan. Walaubagaimanapun, harga untuk model eksklusif 1299 Superleggera dan V4 yang masih belum dilancarkan secara rasmi masih belum berada dalam senarai ini.
Apabila mengikut peratusan sama, sudah tentu penjimatan paling banyak didapati daripada model yang paling mahal, dan dalam senarai ini ia adalah 1199 Superleggera, yang kini harganya diturunkan sebanyak RM27,672 menjadi RM461,215.
Model paling mampu milik pula, iaitu Monster 797 dijual dengan harga bermula RM52,735 (penurunan sekitar RM3k) manakala Monster 821 pula harganya kini bermula RM66,886 (turun RM4k). Penurunan paling sikit adalah untuk model Scrambler Sixty2, iaitu yang dikuasakan enjin 399 cc, dengan harganya menjadi RM48,017, iaitu penurunan sebanyak RM2,881.
Model Scrambler lain yang menggunakan enjin 803 cc disenaraikan dengan penurunan antara RM3.6k hingga RM3.8k, menjadikan harganya bermula RM60,282 hinggalah RM64,999. Bagi model cruiser XDiavel pula, anda sudah boleh memilikinya dengan harga bermula RM129,150 (penurunan RM7.7k selepas kadar GST dibuang).
Model sports Ducati yang popular dengan enjin V-twin, iaitu Panigale boleh dimiliki bermula dari harga RM95,187, iaitu untuk Panigale 959 (dengan penurunan RM5.7k) manakala model jelajah sports Multistrada dijual bermula harga RM81,037, iaitu untuk Multistrada 950 SR (penurunan RM4.9k).