Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Polis tolak 114,474 permohonan rentas negeri, keluarkan 4,670 kompaun tak patuh SOP sejak 1 Jun

    Polis tolak 114,474 permohonan rentas negeri, keluarkan 4,670 kompaun tak patuh SOP sejak  1 Jun

    Walaupun ramai daripada kita risau dengan perkembangan penularan virus Covid-19 yang berada pada angka 20,000 sehari, masih ada lagi yang memandang enteng SOP yang telah ditetapkan kerajaan bagi melandaikan graf angka jangkitan tersebut.

    Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laporan Bernama, pihaknya telah menolak sebanyak 114,474 permohonan merentas negeri sejak 1 Jun lalu kerana tidak memenuhi syarat permohonan yang ditetapkan.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, antara sebab permohonan ditolak adalah kerana gagal menunjukkan dokumen perubatan berkaitan dan bukan pasangan jarak jauh. Malah menurutnya lagi ada juga yang dikesan menyalahgunakan kebenaran yang diberikan.

    Polis tolak 114,474 permohonan rentas negeri, keluarkan 4,670 kompaun tak patuh SOP sejak  1 Jun

    “Selain itu, sebanyak 4,670 kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 1 Jun lalu,” katanya.

    Zainal Abidin menegaskan bahawa masyarakat perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi menghindari diri daripada terkena jangkitan wabak Covid-19.

    “(Kawalan) kendiri (itu) penting. Begitu juga (mereka yang terbabit) dengan sektor ekonomi, mesti mematuhi SOP (setelah diberi kebenaran untuk membuka semula operasi). Pasukan pematuhan SOP (Polis Diraja Malaysia) akan melakukan pemantauan,” tambahnya lagi

    Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan kelonggaran bagi penerima vaksinasi lengkap antaranya kebenaran merentas negeri bagi pasangan suami isteri jarak jauh dan ibu bapa untuk berjumpa anak-anak di bawah umur 18 tahun, berkuat kuasa 10 Ogos lalu.

    Kemudian kerajaan turut membenarkan 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa 16 Ogos.

    Kemudahan tambahan turut diberikan kerajaan bagi sektor sosial dan ekonomi di negeri Fasa Satu PPN dan seterusnya, termasuk aktiviti boleh makan di premis atau ‘dine-in’ bagi individu yang sudah mendapat dos lengkap mulai 20 Ogos.

     
     
  • Kilang Proton di Tanjung Malim keluarkan 1,677 unit kereta pada Julai; kilang Perodua, Toyota, Honda tutup

    Kilang Proton di Tanjung Malim keluarkan 1,677 unit kereta pada Julai; kilang Perodua, Toyota, Honda tutup

    Pembukaan semula secara berperingkat sektor pengilangan di negara ini di bawah fasa berbeza Pelan Pemulihan Negara (PPN) turut menyaksikan operasi semula bagi pengeluaran kenderaan di beberapa negeri, walaupun outputnya masih tidak berganjak bagi tempoh bulan lalu.

    Antara yang dibenarkan untuk menyambung operasi adalah kilang Proton di Tanjung Malim, Perak, yang mana negeri itu telahpun berada dalam Fasa 2 PPN sejak awal Julai lalu. Ini telah membolehkan kilang tersebut mengeluarkan sebanyak 1,677 unit sepanjang bulan lalu. Sementara itu, kilang pengeluar lain seperti Perodua (Rawang), Toyota (Shah Alam) dan Honda (Pegoh, Melaka) menyaksikan sifar pengeluaran disebabkan kilang mereka dilarang beroperasi bagi tempoh sama.

    Selain jumlah pengeluaran oleh Proton ini, ada beberapa lagi kilang di Malaysia yang turut mencatatkan pengeluaran kenderaan penumpang sepanjang Julai. Ini termasuk Mitsubishi (138 unit), Volkswagen (176), Mercedes-Benz (258 unit), BMW (48 unit), Hyundai (75 unit) dan Peugeot (24 unit). Bagi trak pikap, Isuzu mengeluarkan sebanyak tiga unit D-Max, selain 229 trak komersial.

    Kilang Proton di Tanjung Malim keluarkan 1,677 unit kereta pada Julai; kilang Perodua, Toyota, Honda tutup

    Semua pengeluar lain mencatatkan sifar pengeluaran akibat kawalan yang dikenakan oleh kerajaan akibat pandemik ketika ini, terutama bagi kilang-kilang yang berada di negeri-negeri Fasa 1. Untuk itu, jumlah keseluruhan pengeluaran kenderaan pada bulan Julai adalah 2,396 unit.

    Keadaan akan kekal seperti ini sehinggalah kerajaan membenarkan operasi dalam saiz kapasiti berbeza bergantung kepada kadar vaksinasi dalam kalangan pekerja kilang terblibat. Ini melibatkan kebenaran untuk 60% kapasiti operasi bagi kadar vaksinasi 40%-50%; 80% kapasiti operasi bagi kadar vaksinasi 60%-70%; dan kapasiti penuh 100% operasi sekiranya kadar vaksinansi pekerja mencapai 80% ke atas.

    Pengeluaran kenderaan bergantung secara langsung dengan jumlah serahan kenderaan, jadi pencapaian pengeluaran Proton ini selari dengan angka jualan kenderaan yang dicatatkan pada Julai dengan 1,904 unit. Keseluruhannya, operasi kilang yang disambung semula ini akan memperbaiki jumlah jualan dan stok bekalan, memandangkan bilik pameran juga kini dibenarkan dibuka kepada pengunjung yang telah divaksin penuh.

     
     
  • Suzuki Malaysia akan ada pengedar khas untuk model bawah 250 cc – tanda ketibaan Belang dan GSX-R150?

    Suzuki Malaysia akan ada pengedar khas untuk model bawah 250 cc – tanda ketibaan Belang dan GSX-R150?

    Suzuki Malaysia baru sahaja mengeluarkan kenyataan rasmi kemunculan semula jenama itu di bawah pengurusan baru, dan enam model kapasiti tinggi serta pertengahan dilancarkan semula dengan harga yang juga dirujuk semula. Ini mungkin mengujakan bagi sesetengah orang, tetapi lebih ramai yang tertanya-tanya bagaimana pula dengan model berkapasiti lebih kecil?

    Suzuki Malaysia masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan perkara itu, tetapi dalam siaran akhbar yang dikeluarkan, petandanya sudah ada. Suzuki Malaysia dikatakan akan membahagikan rangkaian pengedar mereka kepada tiga jenis iaitu Suzuki Big Bike World (untuk semua motosikal Suzuki), Suzuki Station Plus (motosikal sehingga 800 cc sahaja) dan Suzuki Station (untuk motosikal 250 cc).

    Jadi, anda boleh lihat di sini, akan ada kedai yang dipanggil sebagai Suzuki Station khas untuk motosikal Suzuki bawah 250 cc dan ia dikatakan sebagai kategori pengedar yang mempunyai rangkaian lebih luas untuk pasaran yang lebih besar dan mensasarkan pelanggan yang mempunyai bajet lebih rendah dan mencari motosikal lebih jimat untuk perjalanan harian.

    Suzuki Malaysia akan ada pengedar khas untuk model bawah 250 cc – tanda ketibaan Belang dan GSX-R150?

    Ini secara tidak langsung juga memberi kita petanda model-model kapasiti rendah yang ditunggu ramai (contoh seperti Belang/Raider 150, GSX-R150, GSX-S150 atau GSX250R) tidak akan dilupakan oleh Suzuki Malaysia dan mungkin akan dilancarkan tidak lama lagi. Seperti yang anda tahu, pelancaran model kapasiti tinggi itu juga sepatutnya berlaku lebih awal, tetapi disebabkan pandemik Covid-19, ia tertangguh agak lama. Sekarang dengan aktiviti ekonomi yang sudah kembali beroperasi secara beransur, harapnya pelancaran motosikal ini akan berlaku lebih cepat.

    Daripada maklumat yang kami terima sebelum ini, model kapasiti rendah Suzuki Malaysia akan dipasang di dalam negara (CKD), termasuklah model Belang dan juga GSX-R150. Biasanya melalui cara ini, harga model tersebut juga boleh menjadi lebih rendah. Walau apa pun, kita tunggu sahaja pengumuman rasmi daripada Suzuki Malaysia nanti.

     
     
  • Suzuki Malaysia kembali aktif – lancarkan enam motosikal kapasiti pertengahan dan tinggi, dari RM37k

    Suzuki Malaysia kembali aktif – lancarkan enam motosikal kapasiti pertengahan dan tinggi, dari RM37k

    Kita sudah melihat pelbagai teaser daripada Suzuki Malaysia, tapi kini mereka akhirnya mengumumkan secara rasmi kemunculan semula jenama itu dalam pasaran Malaysia, dengan pelancaran enam model kelas pertengahan dan kapasiti tinggi iaitu GSX-R1000, GSX -R1000R, Katana, GSX-S750, V-Strom 650XT dan SV650.

    Setiap model ini didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, dan harganya bermula daripada RM37,289 untuk SV650, RM37,989 untuk V-Strom 650XT, RM40,989 untuk GSX-S 750, RM77,989 untuk Katana, RM99,289 untuk GSX-R1000 dan RM110,289 untuk GSX -R1000R. Semua model ini boleh dilihat lebih dekat di pusat pameran rasmi yang akan dijenamakan sebagai Suzuki Big Bike World dan Suzuki Station Plus (bawah 800 cc).

    SV650 yang mempunyai bentuk badan naked dan V-Strom 650XT berbadan touring/adventure kedua-duanya menggunakan enjin dua silinder V DOHC berkapasiti 645 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan. SV650 menawarkan tunggangan lebih lincah dengan berat cuma 195 kg sementara V-Strom 650XT pula memberi lebih kemudahan untuk perjalanan jauh dengan tangki lebih besar serta aksesori lain.

    Model GSX yang dibawa masuk oleh Suzuki Malaysia boleh dipilih sama ada dalam bentuk naked, iaitu GSX-S750 atau sport (fairing penuh) iaitu GSX-R1000 dan GSX-R1000R. Model naked tersebut dikuasakan oleh enjin empat silinder DOHC 750 cc sementara model sport itu pula dikuasakan oleh enjin empat silinder 999.8 cc.

    Bagi GSX-R1000R yang menjadi model paling tinggi sekarang, ia datang dengan pelbagai teknologi model serta ada yang dibangunkan dari motosikal lumba seperti suspensi Showa BFF boleh laras sepenuhnya, casis serba ringan, launch control, quickshifter naik dan turun gear, kawalan cengkaman 10 tahap, IMU dan pelbagai lagi. Semua model yang disebutkan di atas diimport terus dari Jepun (CBU).

    GALERI: Suzuki SV650

    GALERI: Suzuki V-Strom 650XT

    GALERI: Suzuki GSX-S750

    GALERI: Suzuki Katana

    GALERI: Suzuki GSX-R1000/GSX-R1000R

     
     
  • Toyota Hilux GR Sport dilancarkan di Thailand – ada versi low-rider, harga bermula RM113k, enjin 2.8L

    Toyota Hilux GR Sport dilancarkan di Thailand – ada versi <em>low-rider</em>, harga bermula RM113k, enjin 2.8L

    Secara beransur-ansur, jenama pretasi Toyota yang sebelum ini diwakili oleh Toyota Racing Development (TRD) ditukar kepada Gazoo Racing (GR) untuk peringkat global dan ia telah mula digunakan secara meluas di Asia Tenggara. Selepas Vios GR Sport diperkenalkan di Malaysia, serta barisan model TRD Sportivo ditukar dengan lencana GR Sport di Indonesia, kini trak pikap Hilux GR Sport membuat kemunculan rasminya di Thailand buat julung kali.

    Toyota Hilux GR Sport ini dibangunkan oleh pasukan jurutera tempatan Toyota di Thailand. Ia bukan sahaja tampil dalam versi biasa high-rider yang tinggi, malah Hilux GR Sport ini juga dilancarkan dalam versi low-rider, iaitu model yang tampil dengan roda lebih kecil dan jarak kelegaan tanah lebih rapat yang sememangnya gaya yang popular di Thailand.

    Bagi model high-rider, Hilux GR Sport berkenaan diasaskan dari model varian tertinggi Rocco (atau dikenali sebagai Rogue di Malaysia), dan diberikan pelbagai tingkat taraf baharu. Kit pengayaan luaran pada Hilux GR Sport ini masih nampak sama seperti Hilux Rocco, namun kemasan pelindung sekeliling badan, bingkai gril dan juga overfender telah diwarnakan dengan warna badan.

    Toyota Hilux GR Sport dilancarkan di Thailand – ada versi <em>low-rider</em>, harga bermula RM113k, enjin 2.8L

    Ini membuatkan ia nampak lebih sporty, dan ia turut menerima pelekat-pelekat grafik badan dengan warna hitam-merah yang diinspirasikan dari livery perlumbaan kereta-kereta rali Toyota Gazoo Racing. Tiada logo Toyota pada gril hadapan Hilux ini tetapi digantikan dengan skrip ‘Toyota’ seperti Land Cruiser GR Sport baharu.

    Skid plate hadapan juga kini menerima kemasan-hitam warna badan, manakala lampu kabus pula menerima perumah lebih besar dalam kemasan hitam berkilat. Ia juga diberikan sports bar belakang berwarna hitam, rim aloi 18-inci dan juga logo-logo GR diletakkan pada bahagian hadapan, sisi, dan belakang.

    Bagi model low-rider pula, Hilux GR Sport ini diasaskan dari model Z Edition. Jika model high-rider tadi menerima ‘semangat’ kereta rali, model low-rider ini pula dikatakan diinspirasikan dari jentera lumba Super GT Gazoo Racing. Jadi ia menerima kit badan lebih sporty menampilkan spoiler dagu lebih besar, skirt sisi, dan juga panel seakan diffuser pada bampar belakang.

    Toyota Hilux GR Sport dilancarkan di Thailand – ada versi <em>low-rider</em>, harga bermula RM113k, enjin 2.8L

    Hilux GR Sport low rider ini juga diberikan rim aloi 17-inci kemasan hitam dan juga pelekat grafik badan berbeza. Namun kedua-dua model Hilux GR Sport ini diberikan angkup brek hadapan berwarna merah dengan logo GR dan juga penutup cermin sisi berwarna hitam.

    Pada bahagian kabin, kedua-dua versi Hilux GR Sport ini diberikan roda stereng balutan kulit dengan penanda pukul 12 berwarna merah, panel-panel kemasan kelabu gelap, pedal aloi, uphosteri kulit-sued hitam dengan sulaman logo GR, serta paparan meter dengan skrin pemula juga berlogo GR. Namun hanya model high-rider menerima butang penghidup enjin dengan logo GR.

    Kedua-dua model ini diberikan enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.8 liter yang menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 2,800 rpm. Bekalan kuasa berkenaan adalah sama bagi model high-rider GR Sport dan Rocco, namun untuk model low-rider ini adalah peningkatan yang signifikant kerana ia hanya ditawarkan dengan enjin 2GD-FTV 2.4 liter 150 PS/400 Nm sebelum ini.

    Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear automatik enam kelajuan secara standard. Model high-rider datang standard dengan sistem pacuan empat roda, manakala Hilux GR Sport low-rider hanya menampilkan sistem pacuan roda belakang.

    Namun khas untuk Hilux GR Sport low-rider, ia turut menerima suspensi yang ditala semula membuatkan ia 23 mm lebih rendah dari model biasa. Menurut Toyota, ini membolehkan model lebih sporty tersebut mendapatkan keberkesanan aerodinamik lebih baik serta olegan badan juga dapat dikurangkan.

    Toyota Hilux GR Sport ini dijual pada harga bermula 889,000 baht (RM113,800) untuk versi 4X2 low-rider sehingga 1,299,000 baht (RM166,300) untuk model 4×4 high-rider. Toyota Thailand juga mengumumkan berberapa perubahan kecil bagi Hilux Z Edition, termasuk penambahan lampu hadapan dan belakang LED pada varian paling tinggi yang sama seperti GR Sport low-rider.

    GALERI: Toyota Hilux GR Sport 2021 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Z Edition 2021 pasaran Thailand

     
     
  • AirAsia Ride dilancarkan di Malaysia untuk saingi Grab

    AirAsia Ride dilancarkan di Malaysia untuk saingi Grab

    Akhirnya, AirAsia kini melancarkan perkhidmatan e-hailing sendiri, yang digelar AirAsia Ride di Malaysia. Penawaran terbaru syarikat ini akan bersaing dengan Grab dan servis e-hailing lain di negara ini, dan boleh diakses melalui aplikasi Super App yang turut menyediakan penghantaran makanan, beli-belah serta servis tempahan hotel dan penerbangan.

    Ketika ini, AirAsia Ride hanya terdapat di Kuala Lumpur dan Selangor. Servis ini bagaimanapun akan diperluas ke negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak menjelang hujung tahun ini. Menurut CEO AirAsia Super App, Amanda Woo, ada juga perancangan untuk menawarkan AirAsia Ride di negara ASEAN yang lain seperti Thailand dan Indonesia kelak.

    Walaupun AirAsia Ride beroperasi dalam cara yang sama dengan servis e-hailing lain, syarikat itu memaklumkan ia tetap ada perbezaan ketara untuk lebih memudahkan pengalaman pengguna. Sebagai contoh, pengguna boleh memilih pemandu yang diinginkan daripada senarai yang tersedia berbanding pemandu yang ditugaskan terus — perincian seperti jarak pemandu dan profil peribadinya juga akan turut dipaparkan.

    AirAsia Ride dilancarkan di Malaysia untuk saingi Grab

    Tidak ketinggalan ada juga Allstar Ride, di mana pemandu merupakan juruterbang dan kru kabin AirAsia, bergantung kepada ketersediaan. Kebebasan untuk memilih ini adalah tambahan kepada ciri lain yang pengguna sudah biasakan diri, misalnya pilihan jenis kenderaan, jika mahu.

    Dari segi harga, tambang AirAsia Ride adalah purata RM1 bagi setiap km, tidak termasuk caj tol. Pengguna boleh menempah perjalanan on-demand atau tempahan awal, walaupun yang terakhir itu memerlukan jumlah minimum RM20, seperti dilaporkan Soyacincau.

    Sama seperti Grab, pengguna boleh menambah tip ketika membuat tempahan untuk memberikan insentif tambahan kepada pemandu. Bayaran boleh dibuat melalui tunai atau kad kredit dan kad debit, dan syarikat itu turut merancang untuk membolehkan pengguna membayar melalui mata ganjaran Big juga.

    Walaupun penumpang akan menikmati banyak kelebihan, AirAsia Ride juga memberi perhatian kepada pemandu dengan konsep “driver-forward”. Ini membolehkan rakan pemandu mereka untuk memperbaiki jumlah pendapatan dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik. AirAsia Ride mengenakan yuran 15% kepada pemandu, yang lebih rendah berbanding kadar biasa 20%; ini membolehkan pemandu untuk menerima 85% daripada jumlah tambang penumpang.

    AirAsia Ride juga menggunakan data terkumpul untuk mengoptimumkan masa pemandu dan meningkatkan kecekapan serta pendapatan mereka. Sebagai contoh, pemandu boleh ditugaskan untuk perjalanan pergi-balik ke lapangan terbang dengan masa menunggu yang singkat berdasarkan anggaran masa ketibaan penerbangan penumpang.

    Syarikat itu juga memaklumkan ia tidak akan mendenda pemandu yang menolak perjalanan yang ditugaskan, suatu hal yang berbeza dari kebiasaan platform lain. Sebaliknya, ia menggunakan model galakkan yang memberikan pemandu lebih banyak ganjaran dan manfaat untuk mengambil lebih banyak tugasan.

    AirAsia Ride dilancarkan di Malaysia untuk saingi Grab

    Ketika ini, terdapat sekitar 1,500 rakan pemandu yang berdaftar, dan syarikat menjangkakan 5,000 lagi pemandu akan menyertai mereka dalam tempoh enam bulan, selari dengan perluasan servis ini ke seluruh negara. Semua pemandu telah mendapatkan lesen PSV, divaksin penuh dan diuji dengan kerap.

    “Ada juga kemungkinan untuk AirAsia Ride untuk disepadukan dengan Teleport, cabang logistik kami untuk memanfaatkan servis logistik dan juga penghantaran, dengan calon pemandu yang sama bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos,” ujar Amanda.

    Satu lagi inovasi produk servis yang sedang dalam perancangan adalah untuk bekerjasama bagi menggunakan kenderaan elektrik, untuk merancakkan lagi perkembangan pengangkutan mapan di ASEAN,” tambahnya.

     
     
  • Perodua umum pengoperasian semula semua bilik pameran dan pusat selepas jualan di seluruh negara

    Perodua umum pengoperasian semula semua bilik pameran dan pusat selepas jualan di seluruh negara

    Susulan lebih banyak sektor ekonomi telah pun dibuka sejak 16 Ogos lalu, Perodua turut mengumumkan pengoperasian semula bagi semua bilik pameran dan cawangan selepas jualannya termasuk pusat Badan Kenderaan dan Cat (B&P) seluruh negara. Secara keseluruhan, Perodua mempunyai 191 pusat jualan, 197 pusat servis dan 69 B&P di seluruh negara. Malahan kilang pemasangannya di Sungai Choh, Rawang, juga telah pun kembali beroperasi.

    “Penghantaran kenderaan telah bermula secara berperingkat sejak minggu ini dan kami menjangkakan lebih banyak kereta Perodua dihasilkan dan didaftarkan dalam beberapa minggu akan datang. Kami berterima kasih kepada para pelanggan kami atas kesabaran, kefahaman dan kesetiaan dalam menerima kenderaan Perodua mereka. Kami berharap dapat menghantar sebanyak mungkin pesanan yang ada dalam tahun ini.

    “Kami kini sedang menilai kesan penutupan yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu terhadap operasi kami dan akan mengumumkan sasaran semakan untuk tahun ini tidak lama lagi,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua umum pengoperasian semula semua bilik pameran dan pusat selepas jualan di seluruh negara

    Walaupun Perodua telah memenuhi kriteria yang diperlukan untuk vaksinasi pekerja-pekerjanya, syarikat ini telah menggariskan panduan keselamatan buat para pelanggan ketika mengunjungi pusat jualan dan selepas jualannya.

    Keperluan-keperluan keselamatan ini termasuklah telah mendapat vaksin sepenuhnya, memakai facemask, membuat janji temu sebelum mengunjungi cawangan jualan dan/atau pusat servis dan sentiasa menjaga penjarakan fizikal.

    Secara keseluruhan, Perodua mempunyai kira-kira 11,000 tenaga kerja di bawah syarikat tersebut. Sekiranya digabungkan dengan para pembekal, pengedar dan kontraktornya – ekosistem Perodua mempunyai lebih 70,000 tenaga kerja.

     
     
  • Triumph Tiger Sport 660 sedang diuji – asas sama dengan Trident 660, bakal cabar Yamaha Tracer 7

    Triumph Tiger Sport 660 sedang diuji – asas sama dengan Trident 660, bakal cabar Yamaha Tracer 7

    Sejak Triumph mengeluarkan Trident 660, mungkin ramai yang sudah menjangka asasnya akan dikembangkan lagi untuk menjadi model lain. Nampaknya ia memang benar kerana Triumph mula mengeluarkan teaser model dikenali sebagai Tiger Sport 660, yang sedang melalui ujian akhir.

    Tiada sebarang perincian yang didedahkan berkenaan model ini, tetapi seperti yang anda boleh lihat, bentuknya sudah kelihatan seperti motosikal produksi (hanya tinggal pelekat camouflage sahaja), sekaligus memberikan idea pelancaran yang mungkin akan berlaku tidak lama lagi.

    Disebabkan ia menggunakan asas daripada Trident 660, kita boleh mengagak beberapa perincian seperti enjin tiga silinder DOHC 660 cc, kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist dan panel instrumen TFT. Pada Trident, enjin ini mampu menghasilkan kuasa 80 hp dan 64 Nm tork, sementara pada Tiger Sport nanti, kita boleh menjangka akan ada sedikit perubahan pada jumlah kuasa keseluruhan, maklum balas penyampaian kuasa atau juga mod tunggangan.

    Triumph Tiger Sport 660 sedang diuji – asas sama dengan Trident 660, bakal cabar Yamaha Tracer 7

    Memandangkan Tiger Sport 660 ini adalah sebuah model touring, kedudukan menunggangnya dijadikan lebih tegak dan tinggi, namun kita masih tidak mengetahui sama ada cuma bahagian pemegang sahaja yang ditukar atau suspensi juga sama. Fairing yang digunakan mempunyai bentuk tajam seperti pencabar sasarannya, iaitu Tracer 7, manakala penghadang angin juga masih tidak diketahui sama ada boleh dilaras ataupun tidak.

    Satu lagi yang kami perasan, di bawah tempat duduk belakangnya sudah ada tapak untuk menyangkut beg barangan, yang bermakna pemilik tidak perlu membeli rak berasingan untuk memasang beg. Tetapan brek juga kelihatan sama seperti Trident, iaitu unit cakera berkembar di hadapan dan cakera tunggal di belakang, dan kedua-duanya dipadankan bersama angkup Nissin.

     
     
  • Mercedes-Benz EQS bakal dilancar di Thailand tahun ini – pemasangan tempatan CKD, bateri buatan Thai

    Mercedes-Benz EQS bakal dilancar di Thailand tahun ini – pemasangan tempatan CKD, bateri buatan Thai

    Mercedes-Benz Thailand telah mengumumkan akan memperkenalkan sedan semua-elektrik, Mercedes-Benz EQS ke pasaran negara tersebut tahun ini. Apa yang menariknya, ia adalah model pemasangan tempatan CKD, dan akan dipasang di Thonburi Automotive Assembly Plant (TAAP) di Samut Prakan, menjadikannya sebagai model Mercedes-Benz elektrik-penuh yang dipasang di sana.

    Ini turut menjadikan Thailand sebagai pasaran pertama di luar Jerman yang memproduksikan model berkenaan. Walau bagaimana pun, setakat ini, syarikat berkenaan belum meletakkan sebarang harga, atau versi EQS yang bakal diproduksikan di Thailand. namun kemungkinan besar ia adalah EQS 450+, yang menampilkan penjana kuasa elektrik motor di belakang tunggal (eATS) dan mempunyai kuasa 245 kW (333 PS) dan tork 568 Nm. Pengeluar kereta ini juga memiliki EQS 580 4Matic motor berkembar, dengan kuasa 385 kW (523 PS) dan tork 855 Nm.

    Syarikat ini turut berkata telah bersedia untuk memulakan produksi kenderaan elektrik, termasuk melabur dalam kilang bateri untuk memenuhi pengeluaran bateri tempatan. Fasiliti berkenaan, yang dibina bersama TAAP dan Thonburi Energy Storage Systems (TESM), dibangunkan pada tahun 2019, dan merupakan salah satu daripada sembilan kilang bagi rangkaian pengeluaran bateri global.

    Selain EQS, syarikat ini juga merancang untuk melancarkan Mercedes-Maybach GLS dalam bentuk import sepenuhnya pada tahun ini, dan juga dalam persediaan untuk memasang dan menjual versi PHEV bagi S-Class W223, S 580 e. Ia akan disahkan apabila menghampiri tarikh pelancarannya.

    Untuk pasaran Malaysia, ada juga perkhabaran yang didengari untuk memasarkan EQS di sini, walau pun tarikh jangkaannya belum lagi diketahui. Namun Mercedes-Benz Malaysia berkata akan menunggu penjelasan yang lebih terperinci mengenai hala elektrifikasi negara, dan kedengarannya ia mungkin mengambil masa yang agak lama sebelum EQS dibawa masuk ke sini.

    GALERI: Mercedes-Benz EQS

     
     
  • Honda Civic 2022 – gambar rasmi dari Thai disiarkan

    Honda Civic 2022 – gambar rasmi dari Thai disiarkan

    Tak sampai empat bulan selepas pendedahan sulung globalnya yang di buat di Amerika Syarikat, Honda Civic generasi ke-11 sudahpun tiba di Asia Tenggara, dan seperti biasa Thailand menjadi negara terawal yang menerimanya di rantau ini dengan pelancaran yang dibuat empat minggu lalu.

    Dan kini, Honda sudah pun menyiarkan satu set foto rasmi untuk Civic 2022 bagi pasaran negara berkenaan. Biasanya model pasaran Thailand ini akan menjadi kayu ukur dan penampilan serta spesfikasinya tidak akan jauh beza dengan model pasaran Asia Tenggara lain, termasuk Malaysia.

    Di Thailand, Civic generasi baharu ini ditawarkan dalam tiga varian bermula dengan model asas EL yang dijual pada harga 964,900 baht (RM122,100), diikuti dengan varian pertengahan EL+ berharga 1,009,900 baht (RM127,800). Manakala model varian tertinggi adalah Civic RS yang dijual pada harga 1,199,900 baht (RM151,800).

    Namun ketiga-tiga varian ini semuanya dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder, dimana enjin 1.8 liter NA i-VTEC sudah tidak lagi ditawarkan di Thailand. Enjin VTEC Turbo tersebut kini ditala semula bagi menghasilkan 178 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm.

    Honda Civic 2022 – gambar rasmi dari Thai disiarkan

    Talaan kuasa berkenaan adalah 5 PS lebih besar dari enjin 1.5 liter VTEC Turbo pada Civic generasi ke-10, namun jika dibandingkan dengan model pasaran Amerika Syarikat dan juga Jepun, kuasa yang dihasilkan berkenaan adalah 4 PS lebih kecil. Menurut Honda, dengan rangkaian kuasa ini Civic mampu mencatatkan penggunaan bahan api gabungan 17.2 km setiap liter.

    Bagi model tertinggi RS, ia menerima rupa paling garang dengan kemasan-kemasan hitam seperti pada penutup cermin sisi, pembuka pintu, serta diberikan spoiler pada but belakang juga dalam kemasan hitam. Ia juga menerima bampar belakang dengan diffuser hitam berkilat serta menyerlahkan tip ekzos krom di kiri dan kanan.

    Walau bagaimanapun, model RS ini tidak diberikan rmi 18-inci seperti di AS, sebaliknya menerima rim 17-inci kemasan hitam kusam dengan rekaan tersendiri. Dua model lebih rendah tidak menerima spoiler but, diffuser dan juga tip ekzos krom, serta hanya diberikan rim 16-inci.

    Dari segi saiz, Honda Civic 2022 ini adalah lebih besar dari Civic FC. Panjang keseluruhanya adalah 4,678 mm (30 mm lebih panjang), bersama jarak roda 2,733 mm (33 mm lebih jauh). Menurut Honda, ini membolehkan penumpang belakang menerima ruang kaki lebih luas, serta ruang pinggul lebih besar di hadapan dan belakang.

    Honda Civic 2022 – gambar rasmi dari Thai disiarkan

    Rupa kabin Civic pasaran Thai ini juga hampir seiras dengan model pasaran AS. Ia diberikan papan pemuka yang direka jauh lebih ringkas dari Civic FC, menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa. Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas.

    Honda menyatakan bahawa kabin Civic generasi baharu ini dihasilkan dari material yang lebih berkualiti tinggi. Tiang-A yang kini 50 mm lebih kebelakang bukan sahaja memberikan garis badan luaran yang lebih cantik, malah ia turut memberikan pandangan pada cermin hadapan yang lebih luas, dakwa Honda lagi.

    Bagi model RS, ia diberikan sistem infotainmen HondaConnect yang sama dengan Accord, serta menampilkan skrin sesentuh bersaiz sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar serta kawalan pelbagai fungsi dari jarak jauh menggunakan aplikasi telefon pintar.

    Manakala untuk varian EL dan EL+, ia diberikan sistem infotainmen biasa dengan skrin tujuh-inci bersama sokongan Apple CarPlay yang masih menggunakan wayar. Model pasaran Thailand ini tidak menerima sistem bunyi Bose seperti Civic generasi baharu di AS dan Jepun, namun kesemua varian diberikan lapan pembesar suara.

    Honda Civic 2022 – gambar rasmi dari Thai disiarkan

    Secara standard, varian asas EL diberikan lampu hadapan automatik halogen projektor, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin bersama fungsi kunci walkaway, tempat duduk fabrik, sistem pendingin hawa zon tunggal, dan juga kamera undur.

    Varian EL+ pula menerima tambahan kelengkapan seperti cermin sisi dengan fungsi lipat automatik, roda stereng balutan kulit, upholsteri kulit serta tempat duduk pemandu dengan larasan berkuasa elektrik lapan-hala.

    Model tertinggi Civic RS pula diberikan perincian seperti lampu hadapan LED penuh, pengelap cermin automatik, upholsteri Ultrasuede hitam, lampu suasana kabin merah, cermin pandang belakang malap automatik, sistem pendingin hawa dua zon, set pedal aloi, pedal penukar gear, dan juga mod pemanduan Sport baharu.

    Varian RS juga menerima tempat duduk penumpang hadapan dengan larasan berkuasa elektrik empat hala, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, dan juga kunci berbentuk kad Honda Smart Key.

    Honda Civic 2022 – gambar rasmi dari Thai disiarkan

    Semua varian Civic generasi ke-11 pasaran Thailand ini diberikan dengan pakej bantuan pemanduan keselamatan Honda Sensing – ya, ia turut dipadankan pada varian asas EL. Pakej tersebut terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan pengekal tengah lorong, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik dan fungsi baharu amaran mula gerak kehadapan.

    Walau bagaimanapun, teknologi Honda Sensing terbaharu seperti yang diterima pada Civic di AS dan Jepun iaitu sistem pemanduan autonomi tahap 2 dengan kelajuan di bawah 65 km/j Traffic Jam Assist (TJA) tidak diberikan untuk Civic pasaran Thai ini. Sistem kamera pemantau titik buta Honda LaneWatch pula hanya diberikan pada model RS.

    Selain itu, kesemua varian Civic Thailand ini juga menerima kelengkapan keselamatan standard seperti enam beg udara (tanpa dua beg udara lutut seperti pasaran lain), kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix di belakang

    Honda Civic 2022 – gambar rasmi dari Thai disiarkan

    Civic ini turut menerima fungsi keselamatan baharu iaitu pengingat tempat duduk belakang bagi mengingatkan pemandu agar memeriksa dahulu tempat duduk belakang mereka sebelum meninggalkan kereta, untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Model RS pula diberikan tambahan fungsi pengingat pemakaian tali pinggang keledar belakang.

    Selain dari Thailand, Singapura juga sudah menerima Civic 2022, dilancarkan pada dua minggu lalu. Namun bagi mendapatkan harga yang lebih kompetitif, model pasaran Singapura berkenaan terpaksa ditala dengan kuasa lebih kecil iaitu hanya 129 PS/180 Nm walaupun dijana enjin 1.5L VTEC Turbo yang sama.

    Bagaimana dengan Malaysia? Menerusi petunjuk yang diberikan oleh presiden dan COO Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum, ia mungkin akan mendarat di sini pada tahun ini juga. Tetapi pada jangkaan kami, ia mungkin hanya akan diprebiu di Malaysia tahun ini, dan hanya akan dilancarkan pada pasaran tempatan tahun hadapan. Namun ini hanya jangkaan awal, dengan pandemik Covid-19 yang tidak menentu buat masa sekarang, tidak mustahil apa yang dirancang oleh Honda Malaysia tersebut terpaksa ditangguh lebih lama.



     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia untuk Julai 2021 ikut jenama – Proton nombor 1, Perodua jatuh nombor 4

    Jualan kenderaan di Malaysia untuk Julai 2021 ikut jenama – Proton nombor 1, Perodua jatuh nombor 4

    Sektor automotif dalam negara hanya berjaya menjual sebanyak 7,086 unit kenderaan baharu untuk bulan lalu. Namun disebabkan pada Jun jualan yang dicatatkan hanya 1,921 unit, angka berkenaan sebenarnya dilihat naik sebanyak 269%.

    Dan situasi pandemik yang masih belum berakhir ini mencatatkan satu lagi keputusan yang jarang untuk kita lihat – Proton dilihat berjaya mendahului carta jualan untuk Julai 2021, Mitsubishi melonjak ke tangga ketiga, manakala Perodua jatuh ke tempat keempat.

    Sepanjang bulan Julai 2021, Proton berjaya menjual sebanyak 1,904 unit kenderaan untuk berada di tempat pertama. Ia diikuti Toyota di tempat kedua dengan jualan sebanyak 1,442 unit, dan Mitsubishi di tempat ketiga dengan jualan 686 unit.

    Jualan kenderaan di Malaysia untuk Julai 2021 ikut jenama – Proton nombor 1, Perodua jatuh nombor 4

    Perodua yang biasanya di tempat pertama jatuh ke tangga keempat dengan hanya berjaya menghantar sejumlah 655 unit kenderaan baharu kepada pelanggan sepanjang Julai 2021. Honda pula berada di tempat kelima dengan jualan hanya 70 unit.

    Jika diperhatikan lagi data jualan yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) ini, Perodua juga adalah satu-satunya jenama yang menunjukkan penurunan jualan berbanding bulan sebelumnya dalam senarai 10 teratas, turun sebanyak 35.1%.

    Manakala pengeluar lain menunjukkan peningkatan yang begitu drastik dengan Proton +290.2%, Toyota +1,616.7%, Mitsubishi +376.4%, Honda +2,559.1%, Isuzu +4,283.3% dan Porsche +3,000%. Prestasi jualan yang ditunjukkan pada Julai ini sebenarnya bergantung kepada stok yang ada dari pengeluar memandangkan kilang dan bilik pameran yang terpaksa ditutup dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Jualan kenderaan di Malaysia untuk Julai 2021 ikut jenama – Proton nombor 1, Perodua jatuh nombor 4

    Bagi Perodua, seperti yang kita ketahui setiap unit yang dibuat di kilang biasanya semuanya sudah ditempah, jadi sudah tentu jarang ada stok lebihan yang disimpan. Namun dengan kelonggaran yang telah diberikan oleh kerajaan kerana semakin ramai rakyat Malaysia menerima suntikan vaksin, kilang Perodua di Sg Choh kini sudah mula beroperasi semula, dan tidak mustahil mereka bakal naik semula ke tangga pertama bulan ini.

    Dalam perkembangan sama, Toyota kini telah mendahului Honda dengan kelebihan sebanyak 10k unit untuk jualan kumulatif dari Januari hingga Julai 2021. Ini bermaksud misi Toyota untuk berada semula di tempat pertama bagi pengeluar bukan nasional nombor 1 di Malaysia berada dalam landasan betul. Manakala Mitsubishi pula telah mencatatkan jualan terbaik mereka untuk berada di tempat kelima keseluruhan, serta menjarakkan kedudukan lebih jauh berbanding Nissan dan Mazda.

     
     
  • Honda CR-V Black Edition 2021 di Thailand – RM188k

    Honda CR-V Black Edition 2021 di Thailand – RM188k

    Honda telah melancarkan CR-V Black Edition di Thailand, dan berharga 1,467,000 baht (RM188k). Ia ditawarkan dengan enjin tunggal 2.4 liter naturally-aspirated empat-silinder DOHC i-VTEC, dengan hamburan kuasa 173 PS pada 6,200 rpm dan tork 224 Nm pada 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi CVT, yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Mengenai aspek rekaannya, Black Edition ditawarkan secara eksklusif dalam warna Crystal Black Pearl, sementara rel bumbung, gril radiator, kemasan bampar bawah, dan roda 17-inci dengan rona hitam pekat. Honda berkata, ini merupakan pertama kali CR-V dipadankan dengan rel bumbung hitam. Malah terdapat juga lencana Black Edition pada tailgate.

    Bahagian kabinnya juga diberikan rona hitam. Konsol tengah menerima kombinasi kemasan kayuan hitam dan piano black, sementara tempat duduk kulit dengan perkataan Black Edition untuk tempat duduk hadapan, selain turut menampilkan bumbung kaca panoramik larasan elektrik bersaiz-penuh, alas pengecasan telefon pintar tanpa wayar. Selain itu, ia turut diberikan sistem infotainmen skrin sesentuh tujuh-inci dengan sokongan Apple CarPlay.

    Honda CR-V Black Edition 2021 di Thailand – RM188k

    Namun sayangnya, CR-V Black Edition tidak diberikan Honda Sensing. Ia hanya diberikan pada varian turbodiesel, yang ditawarkan dengan harga 1,759,000 baht (RM225k). Sebagai ganti, ia menerima Honda LaneWatch, bantuan menahan brek auto, pemantauan perhatian pemandu, kunci automatik walk away dan brek parkir elektrik.

    Menurut Honda Thailand, CR-V menguasai segmen L-SUV, dengan perkongsian pasaran melebihi 60% (bagi separuh pertama 2021). Dengan pengenalan model Black Edition, ditambah pula dengan promosi yang berterusan mampu membantu mengekalkannya di kedudukan tertinggi bagi tempoh yang berbaki tahun ini.

     
     
  • Honda Integra 2023 akan dibangunkan di Jepun guna asas Civic, sebagai model mampu milik Acura di AS

    Honda Integra 2023 akan dibangunkan di Jepun guna asas Civic, sebagai model mampu milik Acura di AS

    Hampir dua minggu lalu, Acura telah mengumumkan bahawa mereka akan menghasilkan semula model Integra generasi baharu, yang bakal muncul pada tahun hadapan. Namun tiada sebarang perincian lanjut didedahkan oleh divisi mewah Honda berkenaan melainkan satu teaser yang menayangkan lampu hadapan model baharu berkenaan, bersama perkataan ‘Integra’ terukir pada bampar seakan model-model generasi sebelumnya.

    Jadi ramai yang berpendapat bahawa Integra mungkin akan dibangunkan di Amerika Syarikat sebagai model istimewa yang eksklusif dengan logo Acura, dan mungkin juga akan dibangunkan dengan asas sedan Acura TLX dijelmakan sebagai sebuah coupe. Tak mustahil juga ia akan menjadi seperti model-model Acura yang lain iaitu model premium yang tidak dikongsi dengan barisan model-model Honda.

    Namun menerusi satu temuramah oleh Motor Trend dengan naib presiden dan pegawai jenama Acura, Jon Ikeda, bayangan Integra generasi baharu berkenaan serba sedikit telah didedahkan. Dan ia nampaknya masih mengekalkan banyak DNA tradisi Integra, serta seakan sudah pasti turut akan hadir dengan logo Honda!

    Honda Integra 2023 akan dibangunkan di Jepun guna asas Civic, sebagai model mampu milik Acura di AS

    Acura Integra Teaser Sketch

    Imej lakaran untuk Teaser Acura Integra 2023

    Menurut Ikeda, Integra bakal menjadi model Acura untuk menggantikan NSX yang bakal dihentikan pengeluarannya di Performance Manufacturing Centre (PMC) di Marysville, Ohio, Amerika Syarikat tidak lama lagi. Namun Integra akan melakukan tugas yang ‘terbalik’ berbanding NSX di mana ia bukan kereta halo yang bersifat berada di kedudukan tertinggi dalam hieraki model Acura dengan harga yang sangat mahal, tetapi akan diletakkan pada kedudukan paling bawah (entry level) supaya ia mampu dimiliki oleh ramai orang dalam masa yang sama membawa imej prestasi Acura.

    NSX generasi kedua telah diperkenalkan pada 2016 dan bakal diakhiri dengan model ‘selamat tinggal’ Type S yang diperkenalkan bulan ini. Selama enam tahun dalam pasaran, NSX telah melakukan tugasnya untuk menaikkan semula imej Acura, dan misi ini akan disambung oleh Integra. “Sekarang masa yang sesuai untuk kereta halo bersara dan kereta volume entry perlu dikeluarkan semula. Ini masanya untuk Integra kembali,” kata Ikeda.

    Jadi, Ikeda mengatakan bahawa Integra tidak akan diasaskan dari Acura TLX bagi memastikan ia boleh dijual pada harga lebih mampu milik, tetapi Integra bakal diasaskan dari Honda Civic generasi ke-11. Ini sememangnya DNA sebenar Integra kerana sejak dari model Honda Quint (sebelum lahirnya Quint Integra) sehingga model ke generasi-generasi seterusnya, ia sememangnya dihasilkan dari Civic tetapi diberikan dengan imej yang lebih sporty.

    Ini juga bermaksud Integra bakal menggantikan tugas Acura ILX sebagai model paling mampu milik mereka, namun ia bukan model kesinambungan dari ILX yang juga sebenarnya diasaskan dari Honda Civic generasi kesembilan. “Integra bukan pengganti untuk ILX tetapi Integra merupakan model yang berada pada peringkat paling asas kami. Kami tidak ada rancangan untuk menghasilkan model yang lebih rendah dari itu,” kata Ikeda lagi.

    Walaupun projek ini akan diketuai oleh Acura di Amerika Syarikat, Ikeda menjelaskan bahawa Integra akan dibangunkan di Jepun. Proses ini juga dilihat berlainan dengan NSX kerana model berkenaan sememangnya direka, dibangunkan dan dikilangkan di Amerika Syarikat. Faktor ini membayangkan bahawa Integra turut akan dijual di pasaran lain dan ada kemungkinan ia akan dijual dengan logo Honda di Jepun.

    Ikeda sebelum ini pernah memiliki dua buah Integra, yang dibeli sebagai Honda pertamanya selepas bekerja dengan jenama berkenaan. Jadi Ikeda menyatakan bahawa beliau sendiri akan memastikan Integra generasi baharu ini mempunyai “segala elemen yang menyebabkan dia sendiri mahu membeli Integra,” seperti faktor harga – kerana ia diasaskan dari Civic.

    Honda Integra 2023 akan dibangunkan di Jepun guna asas Civic, sebagai model mampu milik Acura di AS

    Honda Civic generasi ke-11 masih akan diperkenalkan dalam dua versi prestasi iaitu Civic Si dan juga Civic Type R. Jadi tidak mustahil Integra bakal dijana oleh rangkaian kuasa dari mana-mana dua model prestasi berkenaan. Malah Ikeda turut menyatakan bahawa Integra tidak akan akan ditawarkan dalam versi hibrid.

    “Saya sedar ramai yang mahukan Integra Type S,” kata Ikeda yang membayangkan model prestasi berkenaan bakal diperkenalkan pada Integra dalam barisan model Type S Acura.

    Sebagai model paling bawah dalam hieraki, adakah Integra akan muncul dalam bentuk badan coupe dua pintu atau model empat pintu yang sporty, atau kedua-duanya sekali? Apabila ditanya soalan ini, Ikeda hanya menjawab “mungkin”. Integra mungkin popular dalam versi coupe, namun dari model generasi pertama sehingga ketiga, ia turut muncul dalam bentuk empat pintu. Malah, untuk model pertama Integra Type R, ia juga dihasilkan dalam versi empat pintu yang dikenali dengan kod casis DB8, berbanding DC2 untuk ITR coupe.

    Menurut Ikeda lagi, Integra akan dibuat di Amerika Syarikat, iaitu pasaran terbesar Acura buat masa sekarang, dan ia akan menjadi model yang paling banyak dijual setelah dilancarkan nanti. Ini akan membantu Acura mencapai sasaran jualan tahunan 200,000 unit di Amerika. Beliau menambah, Acura mensasarkan untuk menjual sebanyak 180,000 unit kenderaan tahun ini, dengan model utamanya adalah SUV Acura MDX.

     
     
  • Patutkah anda bandingkan kenderaan dari segmen berbeza di Malaysia? Ativa vs X50, Camry vs 3 Series

    Patutkah anda bandingkan kenderaan dari segmen berbeza di Malaysia? Ativa vs X50, Camry vs 3 Series

    Antara persoalan yang paling kerap diutarakan tentang kenderaan, terutama oleh mereka yang berminat atau sedang dalam proses untuk membeli, adalah “antara A dan B, mana satu yang lebih baik?” Dan, kebiasannya juga, kenderaan A dan B yang disebutkan itu adalah sangat berbeza dari segi jenisnya, atau pun segmen.

    Bagi mereka yang fasih tentang hal-hal penawaran kenderaan dalam pasaran, mungkin tidak sukar untuk membandingkan kereta mana yang berada dalam segmen A, B, C atau D. Namun, ramai juga pengguna biasa dan pembeli kereta di luar sana yang tidak melihat perbezaan-perbezaan itu.

    Ada dua cara untuk melihatnya — satu dengan membuat perbandingan kenderaan dalam kelas yang sama, dan kedua ini lebih penting; apa yang boleh saya dapat jika membelanjakan sekian-sekian jumlah wang untuk membeli kereta? Kedua-dua cara pandang ini akan memberikan senarai panjang yang berbeza, dengan pilihan pertama lebih mudah kerana skopnya sudah dikecilkan. Dan ini juga satu masalah lain, garis yang membezakan segmen kenderaan kini juga sudah jadi terlalu halus, disebabkan pilihan penawaran oleh pengeluar.

    SUV segmen B yang tipikal, paling tidak untuk pasaran Malaysia, ialah Honda HR-V. Tetapi jenama lain yang turut menawarkan model dalam B-SUV yang sama antaranya ialah Perodua Ativa, hinggalah kepada Renault Captur dan Hyundai Kona. Semua pilihan ini pula secara umum sebetulnya lebih kecil saiznya berbanding HR-V. Kemudian kita ada Subaru XV, yang mempunyai saiz dan harga hampir sama dengan HR-V tetapi menggunakan rangka segmen C (Impreza).

    Ini akan jadi lebih memeningkan jika kita tengok kepada model Toyota. Kita fikir bahawa Corolla Cross adalah jawapan jenama itu kepada HR-V. Nampak memang logik. Tetapi ia membawa nama Corolla (yang merupakan model segmen C), dan dipasarkan sebagai SUV segmen C juga. Garis lebih kabur dengan Mazda. CX-3 yang kecil menggunakan asas Mazda 2, dan jelasnya dari segmen B. Kalau begitu, CX-30 yang lebih besar sepatutnya dalam segmen C, tetapi, mana pula nak letak CX-5 yang secara tradisinya dalam segmen C?

    Jadi, adalah wajar kita masih perlu memandingkan kenderaan mengikut segmen tradisionalnya? Rasanya mungkin tidak, memandangkan penawaran ketika ini sudah semakin rencam dan pelbagai. Tambahan pula kes di Malaysia agak unik, dengan harga bagi kenderaan CKD/CBU menjadi faktor, dan tambah merumitkan lagi pertalian antara harga-segmen. Macam lagi mudah untuk kita tentukan apa yang boleh diperoleh dengan bajet yang ada, tak begitu? Pertimbangkan beberapa senario ini.

    Perodua Ativa vs Proton X50

    Patutkah anda bandingkan kenderaan dari segmen berbeza di Malaysia? Ativa vs X50, Camry vs 3 Series

    Proton X50 dilancarkan hujung tahun lalu, dan Perodua Ativa pula masuk pasaran pada bulan Mac tahun ini. Kedua-duanya SUV, dan dari pengeluar tempatan. Ini automatik menjadikannya perbandingan yang masuk akal bagi ramai orang. Mana satu lagi ok?

    Kalau nak jawapan ringkas, tentulah X50. Memang sepatutnyalah begitu, sebab harganya saja sudah RM30k lebih mahal berbanding Ativa AV. Beza harga tersebut boleh buat beli Axia! Bahkan varian paling rendah X50 Standard pun lebih mahal RM7k daripada Ativa; maka kedua-dua model ini tidak saling bertindih harganya.

    Tidak juga dari sudut saiz dan kelengkapan. Ativa adalah dalam saiz “segmen A ke B”, sementara X50 memang sepadan dengan penawaran segmen B seadanya. Dengan 4,330 mm panjang dan 1,800 mm lebar, X50 265 mm lebih panjang dan 90 mm lebih lebar berbanding Ativa. Jarak antara roda 2,600 mm pula 75 mm lebih panjang.

    Ativa yang lebih kecil juga datang dengan enjin berkapasiti lebih rendah. Ia menggunakan enjin turbo 1.0L tiga-silinder pertama Perodua, kurang setengah liter kapasiti berbanding X50 yang juga dengan turbo dan enjin tiga-silinder. Dari segi kelengkapan, Perodua ada kelebihan dari aspek teknologi keselamatan bantuan pemandu dan pencahayaan — X50 paling asas yang lebih mahal RM7k jauh sekali daripada kelengkapan ini, yang datang dengan hanya empat beg udara.

    Jika dilihat pada pecahan jualan mengikut varian, Ativa sangat popular dalam versi paling tingginya, AV. Ini bermaksud, pembeli memang mahukan kelengkapan yang lebih maju. Kita boleh mengandaikan mereka ini tidak akan tertarik kepada X50 Standard. Sama juga dari sudut penggayaan; mereka yang sukakan penampilan X50 serta tahap premium yang diwakilinya mungkin tidak akan memandang langsung Ativa.

    Apa yang disasarkan oleh Perodua adalah untuk bersaing dengan sedan segmen B oleh pengeluar bukan nasional. Ativa paling mahal dijual pada harga RM72k, hanya sedikit di bawah harga permulaan RM74k untuk Honda Citu dan Toyota Vios (Nissan Almera, dengan enjin 1.0L turbo, bermula RM80k). Dengan gaya trendy sebuah SUV serta kelengkapan keselamatan yang membanggakan untuk harganya, Ativa adalah jawapan terbaik kepada pertanyaan “apa yang boleh saya dapat dalam julat harga RM70k hingga RM80k”. Semuanya tertakluk kepada kelebihan dan kekurangan antara SUV dan sedan.

    Toyota Camry vs BMW 3 Series

    Patutkah anda bandingkan kenderaan dari segmen berbeza di Malaysia? Ativa vs X50, Camry vs 3 Series

    Ingat lagi ketika kereta segmen D untuk pasaran massa boleh dibeli pada harga bawah RM150k? Camry XV50 paling asas yang dilancarkan pada tahun 2012 dijual sedikit di bawah harga tersebut, sementara XV40 pula bermula dari RM140k pada 2006.

    Pesaing rapatnya, Honda Accord, serta model dari pembuat kenderaan Korea, Hyundai Sonata dan Kia Optima selalu hadir dengan harga yang lebih murah berbanding pesaing Jepunnya. Hari ini, sedan segmen D sudah jadi penawaran premium untuk pasaran tempatan, dan beralih kepada kenderaan “RM200k”.

    Tanpa pengecualian SST yang akan berakhir pada Disember 2021, Camry 2.5V ketika ini dijual pada harga RM196,888, sementara Accord 1.5 TC-P dalam warna Pearl White pula RM196,300. Dengan cukai jualan penuh, Sonata baru — CBU dari Korea — dijual pada harga RM206,888.

    Ada beberapa sebab yang mendorong corak harga seperti ini. Cukai di Malaysia sudah tentu satu daripadanya, tetapi lebih penting ialah penawaran sedan segmen D kini tidak lagi sama seperti dulu. Harga RM150k yang disebut di atas misalnya adalah untuk varian paling rendah dengan enjin 2.0L. Manakala Camry yang ada hari ini menggunakan enjin 2.5 liter dan datang dengan kelengkapan lebih banyak. Accord juga sama, dengan enjin 1.5L turbo dengan kuasa lebih 200 hp, harganya memeng lebih mahal sebaik keluar kilang.

    Patutkah anda bandingkan kenderaan dari segmen berbeza di Malaysia? Ativa vs X50, Camry vs 3 Series

    Sementara kompak sedang premium oleh BMW dan Mercedes-Benz juga telah bermain di daerah RM200k juga. Ambil 3 Series sebagai contoh. Generasi G20 ketika ini telah menjadikan harga asasnya naik semula — 320i yang dikemaskini degan pakej Live Cockpit Pro dijual pada harga RM230,764, atau RM243,889 dengan pakej servis PLUS dan jaminan lima-tahun.

    Dalam tempoh pengecualian SST ketika ini, ia melibatkan perbezaan sebanyak RM42k antara 3 Series paling asas dengan Camry. Jika ingin anda memang sedang mengintai segmen kenderaan RM200k, perbezaan RM40k itu walaupun agak besar, tidaklah terlalu terasa bagi kelompok pembelinya.

    Jurang tersebut sebelum ini lebih kecil. Generasi F30 sebelum ini ada varian asas 318i dengan harga jualan hanya sedikit melebihi RM200k. Unit pra-pendaftaran dengan jumlah perbatuan rendah pula ditawarkan pada harga sekitar RM170k pada hujung kitaran hayat F30. Tiada lagi 318i kini, tetapi BMW ada menawarkan 218i Gran Coupe dengan harga RM211,367 dan diterima dengan agak baik di sini.

    Camry atau BMW? Itu semua terserah kepada keutamaan anda; kedua-duanya ada kelebihan tersendiri. Bagaimanapun, Camry datang dengan saiz lebih besar dan lebih selesa; jika ruang menjadi faktor utama pertimbangan anda, maka hanya ada satu pilihan. Aspek pemanduan pada Camry XV70 yang ada kini pula bukan lagi seperti Camry yang dulu, jika itu menjadi persoalan dalam fikiran anda.

    Pertimbangkan semua pilihan

    Patutkah anda bandingkan kenderaan dari segmen berbeza di Malaysia? Ativa vs X50, Camry vs 3 Series

    Membandingkan kenderaan dengan saiz dalam segmennya agak berguna, dan itu boleh digunapakai ketika pasaran kereta lebih ringkas seperti dahulu. Tetapi dengan kerencaman dalam pasaran ketika ini, ia bukan lagi satu pertimbangan yang mudah.

    Juga, di Malaysia, ada juga sentimen kereta buatan tempatan, CKD vs CBU, insentif hibrid dan insentif boleh ubah menjadi antara perkara yang menjadikan tawaran harga kenderaan tidak saksama walaupun terhadap kenderaan dalam segmen sama. Ada juga trak pikap, yang mempunyai kadar cukai berbeza walaupun kini sangat popular sebagai kenderaan urban.

    Maka, pertimbangan tentang “apa yang boleh saya dapat dengan RMXXX” tidak lagi terhad kepada segmen khusus kenderaan; senarainya boleh jadi lebih panjang berbanding andaian asal pembeli. Mereka yang mengintai Honda City misalnya, secara automatik akan membandingkan dengan Vios dan Almera. Tetapi, dengan duit yang sama itu mereka juga boleh mendapatkan Ativa, X50 atau Toyota Yaris. Kuncinya adalah untuk mencari sebuah kereta yang sesuai dengan penggunaan yang anda bayangkan serta kena dengan bajet, bukan lagi model terbaik dari segmen B atau C yang ada ditawarkan. Tepuk dada tanya selera, ok? Atau seluk poket, ukur kemampuan.

     
     
  • JPJ Melaka bakal lelong 46 buah kereta yang dilucut hak pada 6-20 Sept 2021 – sasar kutipan RM1.5 juta

    JPJ Melaka bakal lelong 46 buah kereta yang dilucut hak pada 6-20 Sept 2021 – sasar kutipan RM1.5 juta

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Melaka telah mengumumkan bakal menganjurkan lelongan kenderaan yang dilucut hak dengan sebut harga akan dibuka selama dua minggu bermula pada 6 hingga 20 September ini.

    Menurut pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff, lelongan itu membabitkan 46 kenderaan termasuk MINI Cooper dan Subaru Impreza. Bagi orang ramai yang berminat untuk mencuba nasib dalam lelongan ini, bolehlah memuat naik borang menerusi Facebook dan juga laman web JPJ, laporan Berita Harian.

    “Lelongan kali ini dibuat menerusi sebut harga dan kita menjangkakan orang awam akan mula membida untuk kenderaan terbabit dengan nilai antara RM2,500 hingga RM10,000. Sasaran kita ialah memperoleh kira- kira RM1.5 juta selain untuk kali ini hanya membabitkan kereta sahaja dan semua kenderaan ini boleh didaftarkan,” katanya.

    JPJ Melaka bakal lelong 46 buah kereta yang dilucut hak pada 6-20 Sept 2021 – sasar kutipan RM1.5 juta

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengumumkan satu kaunter pandu lalu telah dibuka di perkarangan Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ Melaka sejak semalam dan ia beroperasi tujuh hari seminggu. Tujuan pembukaan kaunter pandu lalu ini adalah bagi mengelak kesesakan ketika orang awam berurusan dengan pihak JPJ. Selain inisiatif ini dilakukan sejajar dengan norma baharu selain dapat menjaga keselamatan orang ramai.

    “Kaunter pandu lalu ini tidak memerlukan sebarang temu janji dan orang awam boleh hadir untuk pelbagai urusan seperti pembaharuan lesen kenderaan, lesen memandu dan cukai jalan termasuk bayaran saman. Kaunter ini juga memudahkan pelanggan kita yang menggunakan sistem atas talian yang hanya perlu hadir dan mengambil cetakan seperti lesen,” katanya.

    Sempena dengan sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang ke-64, JPJ memberikan tawaran pengurangan pembayaran saman sehingga 70% bermula 18 Ogos lalu sehingga 16 September 2021. Di mana tawaran pengurangan tersebut adalah untuk semua saman JPJ yang boleh dikompaun, kecuali kes yang masih dalam sebutan pihak Mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan.

    Menurut JPJ, pengurangan kompaun ini diberikan kepada semua notis saman yang telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), serta Kaedah-Kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya, termasuklah kes yang masih dalam tindakan Senarai Hitam (blacklist).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025