Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Nissan Thailand hentikan produksi X-Trail, Teana dan Sylphy – tumpu kereta elektrik dan model kompak?

    Nissan Thailand hentikan produksi X-Trail, Teana dan Sylphy – tumpu kereta elektrik dan model kompak?

    Nissan Motor Thailand dilaporkan membuat pengumuman kepada semua jaringan pengedarnya pada 31 Ogos lalu menerusi satu surat bahawa produksi dan pengedaran untuk model Nissan Sylphy, Teana dan X-trail akan dihentikan bermula 1 September 2020.

    Menurut akhbar Bangkok Post, syarikat berkenaan sedang merancang untuk hanya fokus kepada model-model kereta subkompak, MPV kecil, kenderaan perdagangan, dan juga kenderaan dengan teknologi elektrik bagi pasaran negara tersebut.

    Surat yang diedarkan itu turut menyebut bahawa pengedar-pengedar dinasihatkan untuk menghentikan kempen-kempen publisiti, serta “menghapuskan” material-material yang digunakan untuk promosi Nissan Sylphy, Teana dan juga X-Trail apabila stok-stok akhir tiga model berkenaan habis kelak.

    Walau bagaimanapun, untuk pemilik-pemilik sedia ada bagi model-model yang akan dihentikan penjualannya ini tidak perlu risau tentang servis selepas jualan atau bekalan alat ganti kerana perkhidmatan tersebut akan diteruskan.

    Nissan Motor Thailand masih belum membuat pengumuman ini pada khalayak umum. Jurucakap syarikat tersebut berkata “kami tidak mahu komen berkenaan strategi produk kami,” dan menambah bahawa penawaran untuk produk-produk lain yang tidak dinyatakan akan diteruskan bagi memenuhi kehendak konsumer.

    Presiden Institut Automotif Thailand, Pisit Rangsaritwutikul menyatakan bahawa perubahan pada barisan produksi di kalangan pengeluar kenderaan ketika kemelesetan ekonomi – ditambah dengan pandemik – adalah normal. Mereka perlu menyesuaikan diri mereka dalam pasaran dalam setiap negara.

    Nissan Thailand hentikan produksi X-Trail, Teana dan Sylphy – tumpu kereta elektrik dan model kompak?

    “Saya tak terkejut dengan laporan berita itu. Syarikat induk tentu sudah menimbangkan secara cermat model kereta mana yang akan diproduksi bagi memuaskan pengguna dalam negara-negara berbeza,” kata Rangsaritwutikul. Beliau turut berkata bahawa pasaran Thailand mempunyai potensi untuk kereta elektrik, dan ia kemungkinan besar syarikat-syarikat berkenaan nampak peluang untuk halatuju perniagaan baharu ini.

    Dalam kes ini – Nissan Kicks e-Power facelift, SUV segmen-B elektrik dengan sistem range extender, telah membuat pendedahan sulung peringkat globalnya di Thailand Mei lalu, dan negara tersebut menjadi negara kedua dalam dunia untuk memproduksi sistem penjana e-Power Nissan berkenaan.

    Nissan tekad untuk menghasilkan kereta hibrid dan elektrik di Thailand dalam tempoh jangka masa panjang, dan telah mendapat sokongan dari Lembaga Pelaburan negara berkenaan menerusi program insentif, kata menteri industri Thailand, Suriya Jungrungreangkit.

    Semua langkah yang dibuat ini adalah usaha untuk memulihkan kembali syarikat berkenaan, setelah merudum sejak skandal melibatkan bekas pengerusinya, Carlos Ghosn terdedah pada 2018. Mac lalu, Nissan menutup satu daripada dua fasiliti produksinya di Indonesia, dan mengumumkan bahawa mereka akan menyusun semula skala produksi sekurang-kurangnya pada tujuh fasiliti lain di seluruh dunia.

    Buat masa sekarang, satu-satunya pusat produksi Nissan di Asia Tenggara adalah di Thailand. Selain menutup kilang-kilang, Nissan juga bercadang untuk menghentikan 20,000 tenaga kerjanya, atau sekitar 15% dari jumlah keseluruhan staf mereka di seluruh dunia yang berjumlah 139,000 orang.

    Selepas ini, Nissan akan memperkukuhkan model-model utama mereka termasuk merancang untuk melancarkan 12 model baharu dalam tempoh 18-bulan. Model generasi seterusnya kereta sport Nissan Fairlady Z yang dikhabarkan akan digelar sebagai 400Z adalah sebahagian dari perancangan ini di mana versi prototaip yang diberi nama sebagai Nissan Z Proto akan didedahkan pada 15 September ini.

     
     
  • KTM 450 SMR kembali dalam pasaran – rim Alpina, brek Brembo empat piston dan suspensi WP XACT

    KTM 450 SMR kembali dalam pasaran – rim Alpina, brek Brembo empat piston dan suspensi WP XACT

    Sudah beberapa tahun KTM tidak mengeluarkan supermoto 450 cc dan pilihan yang ada bagi mereka yang mahukan jentera seperti ini adalah mengambil model motocross seterusnya melakukan pengubah suaian sendiri. Perkara itu kini berubah apabila pengeluar dari Austria itu memperkenalkan semula 450 SMR ke dalam pasaran.

    Ia adalah sebuah model yang menggunakan asas daripada motocross 450 SX-F, namun yang paling jelas, rodanya ditukar kepada jenis kegunaan atas jalan bertar, iaitu unit Alpina 16.5 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut dengan tayar Bridgestone masing-masing bersaiz 125/600 dan 165/630.

    Rangka utama motosikal ini menggunakan besi chromium molybdenum manakala subframe pula daripada aluminium. Ia kemudiannya dilengkapkan dengan fork WP XACT USD 48 mm yang ditala khas untuk supermoto serta monoshock WP XACT. Kedua-dua suspensi ini boleh dilaras sepenuhnya (mampatan dan lantunan) dan fork hadapan mempunyai tambahan injap pelepasan tekanan angin.

    Bahagian brek seperti biasa menggunakan unit daripada Brembo, tetapi dengan angkup empat piston serta cakera yang lebih besar di hadapan (310 mm) berbanding model motocross. Tangki bahan api berkapasiti tujuh liter manakala tinggi dari tanah pula adalah 290 mm.

    Enjin yang digunakan pada 450 SMR adalah sama seperti 450 SX-F, iaitu unit satu silinder empat strok SOHC 449.9 cc dengan sistem suntikan bahan api, dan dipadankan bersama transmisi lima kelajuan (nisbah gear khas untuk supermoto) yang dipasang dengan klac Suter dan sistem hidraulik Brembo. Enjin ini boleh dikerah sehingga 11,500 rpm dan mempunyai selang masa servis lebih lama (100 jam) hasil penggunaan bearing dan crankshaft yang dipertingkat.

    Sebagai sebuah supermoto moden, penunggang disediakan dengan dua mod yang boleh dipilih melalui butang pada bahagian pemegang, Traction Control yang boleh ditutup menggunakan suis serta fungsi Launch Control elektronik.

     
     
  • Honda siarkan teaser Forza baru – enjin lebih 350 cc?

    Honda siarkan teaser Forza baru – enjin lebih 350 cc?

    Model skuter Honda Forza ditawarkan dalam pelbagai versi bergantung kepada pasaran dan sebelum ini ia pernah menggunakan enjin 125, 200, 250, 300 dan paling baru adalah 350 cc, diperkenalkan di Thailand Julai lalu.

    Kini nampaknya pengeluar dari Jepun itu bersedia untuk menambah pilihan enjin bagi Forza dan satu video teaser telah disiarkan oleh Honda Eropah dalam laman Youtube. Daripada ayat “The Forza family is getting bigger” dalam video itu, kita boleh menjangkakan penggunaan enjin yang lebih besar.

    Ini mungkin bagi membolehkan Forza bersaing dengan skuter seperti Yamaha T-Max 560 atau menggantikan Integra 700 yang pada masa sekarang masih tidak diperbaharui dengan enjin yang menepati tahap emisi Euro 5. Dalam barisan produknya, Honda juga mempunyai skuter berbentuk adventure iaitu X-ADV 750.

    Honda siarkan teaser Forza baru – enjin lebih 350 cc?

    Sudah tentu, sebagai sebuah video teaser, tiada sebarang perincian teknikal yang diberitahu, tetapi Honda ada menunjukkan beberapa bahagian seperti tepi enjin, kerangka serta fairing hadapannya, dari sisi. Selain daripada itu, terdapat juga satu tarikh yang mungkin menandakan waktu ia akan diperkenalkan secara rasmi, iaitu 14.10.2020.

    Daripada gambar ini kita boleh melihat rekaan yang moden berserta beberapa komponen aluminium yang kemas serta bahagian hadapan besar dan mempunyai banyak lekuk tajam. Walaubagaimanapun kita masih tidak mengetahui sama ada skuter ini akan menggunakan pacuan rantai ataupun tali sawat.

     
     
  • JPJ Selangor catat kutipan saman tertinggi cecah RM1.6 juta sepanjang Julai susulan diskaun 70%

    JPJ Selangor catat kutipan saman tertinggi cecah RM1.6 juta  sepanjang Julai susulan diskaun 70%

    Susulan pengurangan saman 70% oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dilanjutkan sehingga 30 September ini, JPJ Negeri Selangor telah mencatatkan kutipan tertinggi mencecah RM1.6 juta sepanjang bulan lalu.

    Menurut Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Selangor, Muhamad Hafiz Usman, sebaik diskaun 70% ditawarkan bermula 1 Ogos lalu, sambutan yang yang diterima daripada orang ramai amat menggalakkan.

    “Sepanjang bulan Ogos, JPJ Selangor mengutip RM1.6 juta daripada 21,476 transaksi saman dibayar pesalah-pesalah yang diberi kompaun. Setakat ini, kutipan daripada pembayaran saman JPJ Selangor adalah antara yang tertinggi berbanding kutipan negeri lain,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Dalam masa yang sama, beliau turut meminta orang ramai mengambil peluang untuk menyelesaikan saman masing-masing selepas tempoh pembayaran saman dilanjutkan sehingga akhir September ini.

    “Sambutan baik yang diterima bukan saja daripada orang perseorangan, malah syarikat-syarikat yang pernah dikenakan saman JPJ turut menggunakan peluang itu untuk menyelesaikan saman yang tertunggak.

    “Bagaimanapun, sebaik lanjutan tempoh pembayaran dipanjangkan sehingga 30 September, sambutan agak kurang menggalakkan. Kita tidak mahu pelanggan datang pada saat akhir, gunakanlah peluang yang ada ini untuk segera membuat pembayaran saman tertunggak masing-masing, sekali gus mengelak kesesakan nanti,” katanya.

    Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, mengumumkan tawaran ini diberikan kepada semua saman yang dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah di bawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

    JPJ Selangor catat kutipan saman tertinggi cecah RM1.6 juta  sepanjang Julai susulan diskaun 70%

    Semalam JPJ Selangor turut mengadakan Operasi Fancy di Plaza Tol Batu 9, Cheras. Muhamad Hafiz berkata sebanyak 3,478 kenderaan diperiksa dengan 3,215 daripadanya adalah motosikal dan selebihnya 165 kereta serta 98 lori.

    “Sebanyak 662 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan sebahagian besarnya kesalahan tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh iaitu 263 saman dikeluarkan. Selain itu, 44 saman lagi dikeluarkan atas kesalahan teknikal kenderaan, antaranya motosikal tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, cermin gelap, ekzos bising dan 155 lagi saman atas kesalahan lain.

    “Manakala sebanyak tujuh buah kenderaan disita termasuk dua lori, sebuah kereta dan empat motosikal yang digunakan empat warga asing tanpa lesen memandu sah,” menurutnya.

    Dalam operasi bermula 4 petang semalam, seramai 139 pegawai dan anggota daripada JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pihak Lebuhraya Grand Saga terbabit.

     
     
  • Hyundai Sonata 2020 muncul dalam video Hari M’sia

    Minggu lalu dalam satu gambar crossover segmen-B Kona yang disiarkan oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), mereka sengaja meletakkan Hyundai Sonata 2020 di belakangnya, dan hanya nampak bahagian ekor sedan segmen-D berkenaan. Hari ini menerusi video sempena sambutan Hari Malaysia yang akan disambut minggu hadapan, kelibat model tersebut sekali lagi sengaja ditayangkan, mungkin sebagai isyarat bahawa ia mungkin dilancarkan di sini tidak lama lagi.

    Hari Malaysia merupakan sambutan yang berlangsung pada 16 September setiap tahun bagi meraikan penyatuan Sabah dan Sarawak (serta Singapura ketika itu) dengan Tanah Melayu yang telah Merdeka dari British pada 1957 untuk membentuk negara Malaysia yag wujud sehingga kini.

    Dalam video berkenaan, HSDM berkongsi apa maksud Hari Malaysia ini dari perspektif kakitangan mereka dari pelbagai jabatan syarikat tersebut. Bila tiba giliran dua jejaka yang selalu berurusan dengan kami iaitu Satria dan Alfian, ‘muka’ Sonata 2020 jelas kelihatan di belakang mereka.

    Hyundai Sonata 2020 muncul dalam video Hari M’sia

    Hyundai Sonata generasi kelapan ini didedahkan buat pertama kali pada Mac tahun lalu. Ia menampilkan rupa yang cukup mendebarkan dengan bentuk badan seakan coupe empat pintu dan menerima banyak elemen rekaan dari model konsep Hyundai Le Fil Rouge.

    Ia turut telah diperkenalkan ke pasaran Amerika Syarikat dan ditawarkan dengan enjin 1.6 liter GDI-Turbo CVVD baharu berkuasa 185 hp/241 Nm, versi NA 2.5 liter Smartstream dengan sistem suntikan bahan api terus, menjana 191 hp dan tork maksima 245 Nm.

    Dua enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional lapan-kelajuan, memacu roda hadapan. Sonata turut ditawarkan dalam versi hibrid dengan enjin Smartstream G2.0 GDi HEV dibantu dengan motor elektrik berkuasa 38 kW dan 205 Nm tork, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 195 PS

    Selain dari rupa dan juga padanan enjin yang berkuasa, Sonata 2020 juga menampilkan kelengkapan dan teknologi yang begitu kompetitif, antaranya paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 12.3 inci, sistem bunyi Bose Premium, serta sistem bantuan pemandu SmartSense yang merangkumi sistem seperti Advanced Smart Cruise Control dengan fungsi stop and go, Forward Collision Avoidance Assist (AEB), Blind-Spot Collision Warning dan Lane Keeping Assist.

    Walau bagaimanapun, masih belum ada petunjuk jelas bila model ini akan dilancarkan pada pasaran Malaysia, dan apa spesifikasi yang ditawarkan oleh HSDM untuk Sonata 2020 pasaran tempatan. Dari segi rupa, mana yang anda pilih? Honda Accord 1.5L Turbo, Toyota Camry, atau Hyundai Sonata generasi baharu ini?

    GALERI: Hyundai Sonata generasi kelapan pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Volkswagen Golf Estate, Alltrack 2021 diperkenal – jarak roda lebih panjang, ruang dalam dan but besar

    Volkswagen Golf Estate, Alltrack 2021 diperkenal – jarak roda lebih panjang, ruang dalam dan but besar

    Volkswagen telah mendedahkan model Golf Estate dan Alltrack Mk8, yang menawarkan lebih praktikaliti dan ruang berbanding Golf Mk7 wagon sebelum ini. Model baru ini 66 mm lebih panjang, dengan ukuran penuh 4.63 meter, dan kebanyakannya adalah disebabkan oleh jarak roda yang lebih panjang, sekaligus menjadikan ruang kaki bertambah 38 mm.

    Ruang barangan belakang kini berkapasiti 611 liter dengan tempat duduk tegak (bertambah enam liter), dan boleh menjadi sehingga 1,642 liter (+22 liter) apabila tempat duduk dibaringkan rata. Pada bahagian but ini juga terdapat cangkuk untuk beg, soket 12V dan 230 volt, serta cangkuk penunda elektrik yang disediakan sebagai pilihan tambahan. Pembuka pintu ruang barangan tanpa sentuh juga disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Pada aspek rekaan, ia adalah sama sahaja seperti Golf biasa, bermula dari hadapan sehinggalah ke b-pillar. Garis bumbung lebih panjang dan ia menurun ke bawah kepada spoiler bumbung. Pada bahagian belakang, cerminnya adalah condong sementara lampu LED pula adalah unit baru yang dapat membezakan model wagon dengan hatchback.

    Varian Alltrack secara ringkasnya adalah versi Estate yang lebih tinggi, dengan terdapat kemasan plastik di sekeliling roda, skirting serta bawah bampar, dan bampar hadapan seperti model GTI dengan lampu LED lima bintik. Kedua-dua model juga mendapat kemasan ekzos tersendiri.

    Pilihan enjin untuk dua model ini masih belum didedahkan tetapi berkemungkinan ia menggunakan pilihan sama seperti versi hatchback yang termasuk enjin 2.0 liter TDI 200 PS/400 Nm, 2.0 liter TSI 245 PS/ 370 Nm, dan mungkin juga unit PHEV 1.4 liter 245 PS/400 Nm. Varian Alltrack juga mungkin datang standard dengan sistem pacuan semua roda 4Motion.

    Ciri keselamatan yang diberi juga mungkin sama, termasuk Autonomous Emergency Braking, Lane Keep Assist, sistem komunikasi car-to-x dan pelbagai lagi. Pada versi hatchback juga terdapat panel instrumen Digital Cockpit 10.25 inci, skrin sesentuh 10 inci untuk sistem infotainmen dan lampu suasana LED 30 warna.

    GALERI: Volkswagen Golf Estate Mk8


    GALERI: Volkswagen Golf Alltrack Mk8

     
     
  • Nissan March baru bakal direka, dibina oleh Renault

    Nissan March baru bakal direka, dibina oleh Renault

    Dikhabarkan Nissan March (atau dikenali sebagai Micra di sesetengah pasaran) akan datang tidak akan dibangunkan oleh pengeluar kereta Jepun itu. Sebaliknya, generasi keenam March akan direka dan dibina oleh Renault, laporan Reuters.

    COO Nissan Ashwani Gupta mendedahkan perkara ini kepada akbar Perancis Le Monde awal minggu ini dan berkata, “Untuk Micra generasi akan datang, kita hanya akan mengikut Renault, dan kita akan meminta Renault untuk membangunkan dan memasang Micra akan datang untuk kita.”

    Tambah beliau, perancangan pembangunan Micra adalah salah satu contoh strategi “ketua-pengikut” baharu antara Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, dengan satu syarikat menerajui sesetengah jenis kereta.

    Di Eropah, Micra generasi kelima yang dipertontonkan pada hujung 2016 dan dilancarkan di pasaran setahun selepas itu telah dipasang di kilang Flins milik Renault di Perancis, walau pun kemudahan terbabit akan diubah ke aktiviti kitar semula pada tahun 2024 apabila kitaran hayat pengeluaran yang dibuat di sana berakhir.

    Model semasa March/Micra telah pun digubah secara besar-besaran berbanding model sebelumnya, malah ia juga dibangunkan dengan menggunakan platform Common Modular Family (CMF-B) dari pakatan terbabit. Apa pun, adakah March/Micra generasi baharu ini akan mengekalkan identiti Nissan, atau pun tidak kerana ia akan direka dan dibina oleh Renault? Kena tunggu perkembangan selanjutnya.

    GALERI: Nissan March/Micra generasi kelima

     
     
  • Genesis G70 facelift didedah dengan penampilan baru – saingan Mercedes-Benz C-Class, BMW 3 Series

    Genesis G70 facelift didedah dengan penampilan baru – saingan Mercedes-Benz C-Class, BMW 3 Series

    Selepas memperkenalkan G80 dan G90, Genesis kini mendedahkan pula G70 facelift, yang akan mula dijual di Korea bulan depan. G70 adalah model paling kecil yang ditawarkan oleh jenama mewah di bawah Hyundai ini, dan ia bersaing terus dengan model seperti Mercedes-Benz C-Class, BMW 3 Series, Audi A4, Volvo S60, Lexus IS dan Jaguar XE.

    Penampilan G70 kini berubah sepenuhnya, nampak lebih elegan berbanding sebelum ini dengan di hadapannya terdapat gril seperti logo Superman dan diapit lampu utama dua tingkat. Pada lampu itu terdapat dua jalur yang bertindak sebagai lampu siang dan juga lampu penunjuk arah. Pada bahagian tepi, garis badannya masih dikekalkan sementara lubang udara menegak pada fender telah dibuang dan diganti dengan sirip udara kecil yang terletak lebih rendah.

    Lampu belakang pula mengikut konsep lampu hadapan, dengan juga mempunyai dua jalur manakala pintu butnya mempunyai lengkung ke atas seperti ducktail spoiler. Tempat nombor plet kini berada di bawah, berhampiran diffuser dan dua muncung ekzos di tepi.

    Sementara semua rekaan bahagian luar adalah baru, bahagian dalam pula tidak banyak berbeza berbanding sebelum ini dengan rekaan papan pemuka yang sama. Skrin sesentuh 10.25 inci untuk sistem infotainmen adalah baru dan butang kawalan di bahagian bawah semakin berkurang. Menurut Genesis, sistem infotainmen baru ini mempunyai paparan baru dan boleh dikemas kini dengan mudah, mempunyai mod valet dan boleh menggunakan sistem bayaran CarPay. Panel instrumen juga adalah unit digital.

    Perincian berkenaan enjin masih belum didedahkan, tetapi laporan oleh Car and Driver menyatakan G70 akan mendapat enjin empat silinder 2.5 liter turbo yang berkuasa 304 PS (300 hp)/422 Nm. Ini adalah unit Smartstream sama yang digunakan pada G80 dan GV80, menggantikan unit Theta II 2.0 liter turbo.

    Enjin V6 3.5 liter turbo yang berkuasa 380 PS (375 hp) dan 530 Nm tork juga ada disebut, sebagai pengganti unit V6 3.3 liter turbo Lambda II. Kedua-dua enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dengan pilihan sama ada pacuan RWD atau AWD.

     
     
  • Thailand rancang laksana sistem kupon tukar-beli untuk naikkan jualan kereta baharu – nilai rebat RM13k

    Thailand rancang laksana sistem kupon tukar-beli untuk naikkan jualan kereta baharu – nilai rebat RM13k

    Pada hujung Ogos, Thailand telah mengumumkan perancangan untuk menaikkan jualan kereta baharu di negara tersebut, yang menyusut akibat pandemik Covid-19. Perancangan tersebut bakal menyaksikan pemberian insentif cukai kepada individu dan syarikat yang mahu menukar kereta lama mereka dengan membeli kereta baharu.

    Kementerian Industri negara terbabit bercadang untuk melancarkan kupon tukar-beli bernilai 100,000 baht (RM13,260) untuk setiap pemilik kereta, di mana ia boleh digunakan untuk mengurangkan cukai. Buat setakat ini, perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan dan projek ini dijangka akan diusulkan ke kabinet untuk mencapai kata putus dalam tempoh antara dua atau tiga bulan lagi, laporan Bangkok Post.

    Menteri Industri Suriya Jungrungreangkit berkata projek terbabit membabitkan skim kupon tukar-beli yang akan ditawarkan untuk semua jenis model kereta, termasuk EV, dan akan berlangsung selama lima tahun, dengan jangka masa berkenaan mampu merancakkan kembali industri automotif Thai. “Projek ini dalam kadar segera bagi membantu pengeluar kereta dan juga perniagaan yang berkaitan yang terjejas akibat Covic-19,” ujarnya.

    Menurut jabatan pengangkutan darat Thailand, negara terbabit telah memiliki lebih kurang tiga juta kenderaan berdaftar sejak lebih 15 tahun, dan mensasar untuk mengurangkan pencemaran dengan bertukar ke kenderaan baharu, terutamanya kenderaan jimat tenaga.

    Langkah Thailand dalam menawarkan insentif cukai kepada para pembeli sebenarnya lebih kurang dengan pengecualian/pengurangan cukai jualan bagi kenderaan yang diumumkan menerusi pelan Penjana yang diumumkan Jun lalu. Insentif yang kita terima ialah pengecualian cukai jualan sebanyak 100% bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan pengurangan 50% bagi model import sepenuhnya (CBU) yang ditawarkan sehingga 31 Disember 2020.

     
     
  • Toyota GR Yaris – barisan aksesori asli diperkenal

    Toyota GR Yaris – barisan aksesori asli diperkenal

    Walaupun Toyota GR Yaris merupakan model prestasi penuh dari Gazoo Racing, ini bukan bermakna ia telah menerima semua kelengkapan dari sayap perlumbaan rasmi Toyota tersebut. Untuk pembeli di Jepun, mereka turut boleh memilih barisan aksesori asli GR bagi GR Yaris mereka untuk imej yang lebih tersendiri.

    Pakej utama untuk aksesori GR Yaris berkenaan adalah kit aero yang terdiri dari spoiler hadapan yang lebih menonjol, dipadankan dengan kemasan tambahan pada skirt sisi. Pakej ini juga hadir dengan kemasan tambahan pada spoiler belakang, spoiler bampar belakang dan juga tambahan dua lagi tip ekzos, menjadikan keseluruhan empat tip pada bahagian diffuser.

    Menurut Gazoo Racing, pakej aero tambahan tersebut bukan sahaja memberikan rupa lebih garang pada GR Yaris ini, malah turut meningkatkan daya downforce ketika dipandu laju. Untuk aksesori lain, ia lebih kepada aspek kosmetik antaranya pelekat GR pada kedua-dua sisi bampar hadapan dan belakang dan juga jalur badan di bawah cermin tingkap sisi.

    Toyota GR Yaris – barisan aksesori asli diperkenal

    Barisan aksesori ini juga tampil dengan pelindung pembuka pintu dan pemegang nombor plat dengan elemen gentian karbon. Manakala dalam kabin, kemasan pada papan pemuka yang menghadap penumpang juga boleh diganti dengan kemasan seperti gentian karbon. Karpet kaki dan nat roda GR juga ditawarkan.

    Toyota GR Yaris ini merupakan model yang dihasilkan oleh Toyota dengan badan khas tiga-pintu berlainan dari model biasa Yaris hatchback lima pintu. Ia dibangunkan semata-mata untuk mendapatkan kerangka asas yang benar-benar berpotensi sebagai jentara rali WRC yang akan digunakan pada musim akan datang.

    Dalam keadaan standard, model ini hadir dengan bumbung gentian karbon yang direka lebih landai untuk kesan aerodinamik lebih baik, serta panel-panel aluminium pada bonet hadapan dan but belakang. Di Jepun, GR Yaris ditawarkan dengan dua jenis enjin iaitu 1.5 liter Dynamic Force NA berkuasa 120 PS/145 Nm, dan juga dua model lebih berkuasa menerima enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo berkuasa 272 PS/370 Nm.

    Model asas hanya menerima kotak gear CVT automatik pacuan hadapan, manakala model turbo pula dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual serta sistem pacuan semua roda GR Four. Sistem berkenaan hadir dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang serta tiga mod yang memberikan agihan tork depan dan belakang berbeza iaitu Normal (60:40), Sport (30:70) dan Track (50:50).

    Bercakap berkenaan model RS yang diberikan enjin yang cukup ‘lemah’, model tersebut sebenarnya dijual lebih kepada sebagai ‘kerangka’ bagi mereka yang bercadang untuk menghasilkan projek-projek gila, contohnya GR Yaris Daigo Saito yang disumbatkan dengan enjin 2JZ-GTE sebagai jentera drift yang menerima bekalan kuasa 1,000 hp.

    Kita di Malaysia sudah pun mempunyai pengedar-pengedar GR Garage yang mula menjual GR Supra bermula hujung tahun lalu, dan tidak mustahil GR Yaris ini turut akan di bawa ke pasaran tempatan. Malah Julai lalu, laman sosial UMW Toyota ada menaikkan hantaran berkenaan model ini, dan ia mungkin teaser sebelum GR Yaris benar-benar hadir ke Malaysia.

    GALERI: Toyota GR Yaris dengan aksesori GR

    GALERI: Toyota GR Yaris di Tokyo Auto Salon 2020

     
     
  • SPYSHOT: BMW 330e M Sport G20 ditemui di Putrajaya

    SPYSHOT: BMW 330e M Sport G20 ditemui di Putrajaya

    Model BMW 3 Series G20 di Malaysia nampaknya akan menerima varian baru apabila versi plug-in hybrid 330e sudah ditemui di Putrajaya. Unit yang masih menggunakan nombor pendaftaran perdagangan ini kelihatan seperti versi M Sport, melihatkan kepada rekaan bampar belakangnya.

    Hanya ini sahaja gambar yang kami perolehi, dan jika melihat kepada spesifikasi negara lain, 330e dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo berkuasa 184 hp, dan digabungkan bersama motor elektrik 80 kW (109 hp) untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 252 hp dan 420 Nm tork.

    Jumlah ini adalah sama dengan model 330e F30, tetapi 330e G20 mendapat ciri XtraBoost yang boleh memberikan tambahan 30 kW (41 hp, hanya dalam mod Sport) waktu memecut, seterusnya meningkatkan kuasa keseluruhannya kepada 292 hp. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.0 saat (0.1 saat lebih pantas berbanding 330e F30), dan mencecah kelajuan maksimum 230 km/j. Kadar penggunaan bahan api purata berada pada tahap 1.7 liter bagi setiap 100 km.

    SPYSHOT: BMW 330e M Sport G20 ditemui di Putrajaya

    Di bawah tempat duduk belakang 330e G20 terdapat bateri 12 kWh yang dapat memberikan jarak pemanduan kuasa elektrik penuh 60 km apabila berada dalam cas penuh. Kedudukan bateri itu menjadikan ruang simpanan barang di belakang sedikit berkurang, menjadi 375 liter, berbanding 480 liter pada G20 biasa.

    Dalam pasaran negara lain, 330e boleh dipasang dengan semua kelengkapan pilihan yang diberikan pada G20 biasa dan ini termasuk kit penuh M Sport, suspensi adaptif M, Variable Sports Steering, sistem brek sports M, Driving Assistant Professional dengan panduan stereng dan lorong, serta Parking Assistant dengan ciri Reversing Assistant baru.

    Buat masa sekarang masih belum jelas bagaimana BMW Group Malaysia mahu meletakkan 330e M Sport ini dalam barisan produk mereka. Adakah ia akan menggantikan varian 330i M Sport, ataupun ditawarkan sekali bersama 320i Sport dan 330i M Sport? Bersama kita nantikan pelancarannya.

    GALERI: BMW 330e G20

     
     
  • Volkswagen Tiguan X diperkenalkan di China

    Volkswagen Tiguan X diperkenalkan di China

    Volkswagen telah memperkenalkan model coupe Tiguan X yang dibangunkan berdasarkan Tiguan facelift 2020, dengan garisan bumbung landai ke belakang menampakkan bentuk umpama SUV coupe. Penggayaan yang diadaptasi seperti pengeluar kenderaan Jerman yang lain termasuk Audi Q3 Sportback,BMW X4 dan Mercedes-Benz GLC Coupe, walau pun ada perbezaannya.

    Walaupun garisan bumbungnya dipendekkan, Tiguan X yang sebenarnya dibangunkan berdasarkan Tiguan Allspace yang lebih panjang dan bukannya versi jarak roda yang biasa, kerana SUV coupe baharu ini berukuran 4,770 mm panjang, laporan Car Sales. Di mana ruang kepala untuk tempat duduk belakang juga dikurangkan.

    Separuh hadapan Tiguan X juga ternyata banyak berdasarkan bentuk badan Tiguan biasa, walau pun terdapat perubahan dari tiang-B ke belakang di mana garisan bumbung landai, pintu belakang dan bahagian belakang bagi Tiguan X ini berbeza daripada model standard. Cermin belakang landai yang disambung ke tailgate dengan spoiler, dan lampu belakangnya juga direka semula daripada Tiguan biasa.

    Tiguan X akan dibangunkan dengan kerjasama FAW-Volkswagen, dan walau pun ia merupakan model eksklusif untuk China, namun kemungkinan besar akan dipasarkan ke pasaran global lain, laporan Autocar.

    Tiguan X dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol, dengan menawarkan dua talaan, masing-masing 188 hp dan 223 hp. Ia akan dipadankan dengan pacuan semua-roda 4Motion dan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan.

    SUV coupe Tiguan X ini diperkenalkan selepas Tayron X – juga merupakan versi coupe bagi SUV. Tayron dilancarkan di pasaran China pada April tahun lalu. Selain enjin 2.0 liter, Tayron X turut menampilkan penjana kuasa EA211 1.4 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol dalam barisannya.

    GALERI: Volkswagen Tayron X

    GALERI: Volkswagen Tiguan R-Line 2020

     
     
  • Toyota serah operasi tiga cawangan kepada pengedar

    Toyota serah operasi tiga cawangan kepada pengedar

    UMW Toyota Motor (UMWT) baru-baru ini mengumumkan telah memindahkan tiga lagi operasi cawangannya kepada pengedar melibatkan lokasi di Subang Jaya, Sabah dan Sarawak bermula 1 September lalu.

    Perkembangan ini melibatkan pengedar Borneo Mobility (Sabah) yang mengambil alih cawangan di Kota Kinabalu, Borneo Mobility (Sarawak) bagi kemudahan di Kuching dan PCM Subang bagi cawangan Subang Jaya. Langkah ini adalah susulan daripada pengumuman yang dibuat pada Oktober 2017 bahawa UMWT akan memindahkan semua operasi perniagaan cawangannya kepada pengedar dan juga pihak berkaitan lainnya.

    “Adalah penting bagi kami untuk terus mencapai tahap kepuasan pelanggan yang tertinggi. Langkah ini akan membolehkan kami untuk memberi tumpuan terhadap aktiviti-aktiviti yang lebih penting seperti pembangunan produk, pemasaran dan sokongan rangkaian pengedar, sementara pihak pengedar pula boleh menumpukan usaha mereka untuk memenuhi kepuasan pelanggan dengan lebih baik,” ujar Presiden UMWT, Ravindran K.

    “Kami berkerja dengan lebih dekat dengan pengedar-pengedar ketika ini untuk menzahirkan visi bersama untuk UMWT, iaitu untuk membawakan konsep “Best In Town”, bermaksud untuk memberi lebih tumpuan terhadap layanan individu terhadap pelanggan,” tambah beliau.

     
     
  • HLYM keluarkan teaser model baru – MT-15 atau MT-25

    HLYM keluarkan teaser model baru – MT-15 atau MT-25

    Sekitar dua minggu lepas, kami telah mengeluarkan satu artikel yang menjangkakan ketibaan model baru daripada Yamaha, sama ada NMax 2020, MT-15 ataupun MT-25. Nampaknya tekaan itu mengena dan hampir terjawab apabila Hong Leong Yamaha Motor menyiarkan teaser di media sosial mereka.

    Apa yang boleh dilihat cuma bahagian hadapan, tetapi ia sudah cukup jelas untuk menampakkan bentuk lampu hadapan MT-15 yang unik. Walaupun ini adalah gambar bahagian hadapan MT-15, kami tidak menolak kemungkinan MT-25 juga akan tiba kerana risalah jualannya juga sudah tersebar atas talian.

    Menguatkan lagi dakwaan ini, undangan yang kami terima untuk acara ini juga diletakkan dengan tema “Rush of Darkness” yang mana kalau kita perhatikan, perkataan Darkness itu sudah sering digunakan dan menjadi sinonim dengan barisan model MT.

    Anda juga boleh menyaksikan sendiri pengenalan model baru ini melalui Facebook Yamaha Motor Malaysia pada 12 September 2020 jam 7.30 malam, namun kami masih tidak pasti sama ada ini adalah acara pelancaran ataupun sekadar pra tonton. Berkemungkinan, ia dipertontonkan sahaja terlebih dahulu, bersama harga anggaran dan akan memasuki pasaran dalam masa beberapa minggu lagi.

    Yamaha MT-15 menggunakan enjin satu silinder 155 cc VVA bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm. MT-25 pula menggunakan enjin dua silinder selari DOHC dan transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm

    GALERI: Yamaha MT-15 pasaran Indonesia

    GALERI: Yamaha MT-25 pasaran Indonesia

     
     
  • Yamaha Lagenda 115Z kini dengan pilihan grafik baru

    Yamaha Lagenda 115Z kini dengan pilihan grafik baru

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memperkenalkan pilihan grafik baru bagi model Lagenda 115Z, yang terdiri daripada tiga warna iaitu kelabu matte dengan jalur kuning, hitam dengan jalur biru dan merah dengan jalur hitam. Harganya pula masih tidak berubah.

    Kali terakhir Lagenda 115Z diberikan grafik baru adalah pada tahun 2017 dan hujung tahun lepas, HLYM juga telah mengeluarkan satu versi istimewa yang dipasang dengan grafik yang mendapat inspirasi daripada motosikal lumba pasukan Petronas Yamaha SRT. Harganya adalah RM5,580.

    Selain penampilan, bahagian-bahagian lain Lagenda ini masih lagi sama iaitu dikuasakan oleh enjin satu silinder 113.7 cc SOHC suntikan bahan api, dan dipadankan bersama kotak gear empat kelajuan untuk menghasilkan kuasa 10 hp dan 9.9 Nm tork.

    Kelengkapan lainnya adalah termasuk fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, brek cakera di depan dan dram di belakang, tangki bahan api 4.1 liter, rim 17 inci, tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang serta pemula enjin tendang dan elektrik.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025