Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Peugeot 2008 2022 tiba di Thai 1 Dis – CBU dari M’sia, 1.2L 3-silinder 130 PS, amaran pelanggaran, RM149k

    Peugeot 2008 2022 tiba di Thai 1 Dis – CBU dari M’sia, 1.2L 3-silinder 130 PS, amaran pelanggaran, RM149k

    Thailand agak lama menantikan kehadiran Peugeot 2008 baharu sejak ia diperkenalkan dalam acara Bangkok International Motor Shor (BIMS) tahun lalu. Kini, crossover segmen-B ini telah pun tiba di pasaran negara tersebut dan bakal dilancarkan esok dalam acara Thai Motor Expo.

    Menjelang pelancarannya, Headlight Magazine telah mendedahkan spesifikasi dan harganya untuk pasaran Thailand, di mana ia diimport dari kilang Stellantis (sebelum ini dioperasikan oleh Naza) di Gurun, Kedah Malaysia. Menurut penerbitan berkenaan, 2008 baharu ini akan ditawarkan pada harga 1,189,000 baht (RM148,900) untuk varian tunggal 1.2 Turbo.

    Kuasanya dipacukan dari enjin yang sama seperti sebelum ini iaitu 1.2 liter PureTech pengecas turbo tiga-silinder, dengan output tambahan sebanyak 18 PS dan tork 15 Nm, menghasilkan sejumlah 130 PS pada 5,500 rpm dan 230 Nm pada 1,750 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan.

    2008 pasaran Thai lebih kurang mirip dengan spesifikasi prototaip untuk versi Malaysia

    Senarai kit yang ditampilkan lebih kurang sama dengan model yang diuji di Malaysia pada bulan lalu. Ciri standard termasuk lampu utama LED penuh dengan lampu nyalaan siang “triple claw”, roda aloi dwi-tona Salamanca 17-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan kelajuan, paparan instrumen digital 10-inci, skrin sesentuh infotainmen tujuh-inci dan kamera undur.

    2008 juga menjadi penanda kepada pengenalan ciri bantuan pemandu Peugeot di rantau ASEAN termasuk amaran pelanggaran hadapan, tetapi belum dipastikan adakah brek kecemasan sendiri juga akan dberikan. Ciri keselamatan lain termasuklah bantuan kekal lorong, pengesan isyarat trafik, pemantauan titik buta, enam beg udara dan kawalan kestabilan.

    Bila Thailand bakal menerima kehadiran 2008 baharu ini, nampak gayanya kita juga akan menerima model yang sama tidak lama lagi. Adakah ciri kelengkapan termasuk aspek keselamatannya yang ada pada model Thailand juga akan diberikan pada 2008 2022 versi Malaysia? Kena nantikan perkembangannya kelak.

    GALERI: Foto global Peugeot 2008 baharu

     
     
  • KTM 1290 Super Duke GT dipertingkat – dapat skrin TFT baru dengan sistem navigasi TBT+, 175 hp

    KTM 1290 Super Duke GT dipertingkat – dapat skrin TFT baru dengan sistem navigasi TBT+, 175 hp

    Selain pengenalan model 1290 Super Duke EVO 2022, KTM juga telah mempertingkat model touring 1290 Super Duke GT. Peningkatan yang diberi lebih ke arah elektronik sementara kelengkapan utama lain masih lagi sama.

    Enjin masih menggunakan unit v-twin 75 darjah 1,301 cc dengan kuasa 175 hp dan 141 Nm tork sama seperti sebelum ini, tetapi melalui beberapa perubahan, ia sekarang sudah menepati tahap emisi Euro 5. Antara keistimewaan enjin ini adalah injap masuk titanium, piston forged dan dua palam pencucuh bagi setiap silinder.

    Di hadapan penunggang kini terdapat panel instrumen TFT tujuh inci baru, yang diambil daripada 1290 Super Adventure S. Selain memaparkan pelbagai informasi penting, ia juga ditambah dengan sistem navigasi baru yang boleh menunjukkan arah setiap belokan pada skrin, selepas disambung kepada telefon bimbit melalui aplikasi KTM Connect.

    Melengkapi naik taraf panel ini adalah butang kawalan baru pada bahagian pemegang. Untuk roda pula, rim diganti dengan unit sama seperti 1290 Super Duke, di mana ia adalah satu kilogram lebih ringan dan dibalut dengan tayar Continental ContiSportAttack 4.

    Kelengkapan lain pada 1290 Super Duke GT masih sama seperti sebelum ini, termasuk suspensi WP semi aktif dengan tiga pilihan mod, brek Brembo dengan cakera berkembar dan angkup empat piston di hadapan serta cakera 240 mm dengan angkup dua piston di belakang, tangki bahan api 23 liter, pemanas tangan, penghadang angin boleh laras serta lampu membelok LED.

    Pada bahagian elektronik, motosikal ini dilengkapi dengan antaranya Motorcycle Stability Control (MSC), Cornering ABS, Motor Slip Regulation (MSR), Hill Hold Control (HHC), Tyre Pressure Monitoring System (TPMS), Quickshifter+, cruise control dan mod ABS Supermoto.

     
     
  • Kia Carnival 2022 bakal dilancarkan di M’sia – MPV 11-tempat duduk, 2.2L turbodiesel; CBU dulu, diikuti CKD

    Kia Carnival 2022 bakal dilancarkan di M’sia – MPV 11-tempat duduk, 2.2L turbodiesel; CBU dulu, diikuti CKD

    Ini mungkin berita baik buat mereka yang memang menunggu kehadiran Kia Carnival di pasaran Malaysia – MPV tersebut bakal dilancarkan tidak lama lagi, dengan prebiu model tersebut akan dibuat pada minggu ini. Sebelum itu, beberapa perincian berkenaan model pasaran Malaysia telah pun timbul.

    Model generasi ke-empat ini akan tiba ke Malaysia dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu, ditawarkan hanya dengan enjin 2.2 liter turbodiesel. Sebelum ini model tersebut dirancang untuk diperkenalkan terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD), tetapi rancangan tersebut terpaksa dipinda kerana pandemik Covid-19 yang belum berakhir dan produksi tempatan hanya boleh bermula pada bulan Mei tahun hadapan.

    Seperti pasaran Thailand, kita juga akan menerima Carnival dalam konfigurasi 11-tempat duduk, membolehkan ia diklasifikasikan sebagai kenderaan komersil, secara tidak langsung diberikan cukai yang lebih rendah.

    Kia Carnival 2022 bakal dilancarkan di M’sia – MPV 11-tempat duduk, 2.2L turbodiesel; CBU dulu, diikuti CKD

    Ia akan dijana oleh enjin Smarstream R 2.2 VGT turbodiesel, menghasilkan kuasa 199 hp pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 440 Nm bermula 1,750 rpm hingga 2,750 rpm. Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, dan kuasa disampaikan sepenuhnya ke roda hadapan.

    Kia Carnival 2022 ini diberikan kelengkapan standard seperti lampu hadapan dual-LED, lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED, lampu belakang yang masih menggunakan mentol, sistem lampu dan pengelap cermin automatik, serta set rim 18-inci dua tona dengan tayar 235/60R18.

    Pada bahagian kabin, MPV ini diberikan upholsteri leatherette hitam/Saddle Brown, dan perincian standard lain termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, tempat duduk hadapan larasan kuasa elektrik lapan hala, roda stereng balutan kulit, pedal penukar gear, penukar gear dengan suis putar, sistem pendingin hawa dua zon hadapan dan zon tunggal di belakang, pintu gelangsar berkuasa pada kedua-dua sisi serta pintu tailgate belakang berkuasa tanpa sentuhan.

    Kia Carnival 2022 bakal dilancarkan di M’sia – MPV 11-tempat duduk, 2.2L turbodiesel; CBU dulu, diikuti CKD

    Papan pemuka Carnival ini pula dilengkapkan skrin sesentuh capacitiva 12.3-inci untuk sistem infotainmen, bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta dihubungkan kepada enam pembesar suara. Manakala pemandu pula diberikan kluster instrumen digital dengan skrin TFT-LCD 4.2-inci. Perincian lain yang turut diberi termasuk tujuh port USB, dan juga pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi.

    Untuk keselamatan pula, Carnival dibekalkan dengan tujuh-beg udara, sistem brek ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, kawalan traction dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix pada baris kedua. Ia juga diberikan penderia parkir hadapan dan belakang, serta kamera pemantau 360 darjah sekeliling kereta.

    Namun Carnival pasaran Malaysia ini tidak diberikan sistem penuh untuk pakej bantuan pemanduan. Ia hanya hadir dengan sistem pemantau titik buta dan pengelak pelanggaran serta amaran lintasan trafik belakang dengan pengelak pelanggaran. Tiada sistem brek kecemasan automatik dan juga cruise contol adaptif diberikan; mungkin sistem ini akan ditawarkan pada versi CKD nanti.

    Enam warna badan akan ditawarkan untuk Carnival CBU pasaran Malaysia ini iaitu Snow White Pearl, Silky Silver, Aurora Black Pearl, Panthera Metal, Astra Blue dan Flare Red. Tempahan sudah pun dibuka, manakala harga rasmi pula dijangka akan diumumkan oleh Dinamikjaya Motors minggu ini.

    Sekadar sebagai panduan, Kia Carnival generasi keempat ini telah pun dilancarkan di Thailand bulan lalu – ditawarkan dalam tiga varian, dijual pada harga bermula RM233,000 hingga RM308,700.

     
     
  • BMW Concept XM – petunjuk kepada SUV plug-in hybrid yang akan diperkenalkan pada 2022, 750 hp

    BMW Concept XM – petunjuk kepada SUV plug-in hybrid yang akan diperkenalkan pada 2022, 750 hp

    BMW akhirnya mendedahkan secara rasmi Concept XM, iaitu sebuah model plug-in hybrid yang memberi petunjuk awal kepada SUV produksi yang akan memasuki fasa pengeluaran hujung tahun 2022 dan dikeluarkan di kilang Spartanburg, South Carolina.

    Model ini akan menjadi model sendiri pertama daripada BMW M sejak M1 enjin tengah, dan tahun depan, apabila ia diperkenalkan, juga adalah ulang tahun ke-50 jenama itu. Spesifikasi awal yang didedah adalah penggunaan enjin V8 dengan motor elektrik prestasi tinggi M Hybrid, untuk menghasilkan kuasa sehingga 750 hp dan 1,000 Nm tork.

    Meskipun BMW tidak mendedahkan kapasiti enjin V8 tersebut, ia boleh jadi adalah unit 4.4 liter supercharge yang sekarang digunakan pada M5 dan M8, dengan kuasa sehingga 635 hp (pada M5 CS). Menurut BMW M, versi V8 plug-in hybrid ini akan menjadi satu-satunya pilihan enjin yang disediakan untuk XM versi produksi dan ia hanya akan ditawarkan sebagai model M sahaja. Bagi model konsep XM, jarak gerak menggunakan elektrik sahaja adalah 80 km.

    Spesifikasi teknikal XM hanya akan didedahkan apabila pelancarannya semakin hampir, tetapi BMW memberitahu, Concept XM ini menampilkan buat kali pertama rekaan muka hadapan baru untuk model mewah mereka. Lampu utamanya dibahagikan kepada dua modul dan keliling gril juga mempunyai pencahayaan yang bertindak sebagai DRL.

    Bentuk model ini boleh dikatakan mempunyai banyak garis serta lekuk tajam, sementara bumbung pula menjunam ke belakang. Rim bersaiz 23 inci dan di bahagian belakang anda boleh melihat terdapat empat muncung ekzos yang diletakkan bertingkat dua lubang di setiap bahagian.

    Menurut BMW, bahagian dalam Concept XM menggabungkan ciri tradisional dengan moden, dengan contoh seperti balutan kulit coklat serta kemasan papan pemuka gentian karbon. Separuh daripada panjang papan pemuka dipenuhi skrin melengkung dan tempat duduk belakang pula dibalut dengan bahan berwarna turqoise, dengan bentuk yang unik.

     
     
  • Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan operasi hingga 1 pagi pada 1 Dis ini sempena Piala Malaysia 2021

    Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan operasi hingga 1 pagi pada 1 Dis ini sempena Piala Malaysia 2021

    Rapid KL telah mengumumkan operasi Stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi pada 1 Disember ini bersempena dengan perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 yang berlangsung pada malam ini, 30 Nov.

    Pengendali perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) itu berkata, lanjutan waktu operasi berkenaan adalah untuk Stesen LRT Bukit Jalil sahaja, manakala stesen-stesen lain akan menamatkan perkhidmatannya mengikut waktu biasa.

    Bagi pengguna LRT di stesen berkenaan yang menonton perlawanan akhir bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam tersebut, dinasihati agar membeli token perjalanan balik sebelum keluar dari stesen tersebut (sebelum ke stadium), atau pun menggunakan pembayaran tanpa tunai.

    Apa pun, pengguna LRT diminta untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk sentiasa memakai facemask dan menjaga penjarakkan sosial memandangkan negara kita masih diancam virus Covid-19.

    Bagi yang bergejala atau pun kontak rapat pesakit Covid-19, pastikan anda menjalani kuarantin di rumah atau pun segera mendapatkan rawatan di hospital, jangan pula ‘sengaja-cari-pasal’ berasak-asak di stadium semata-mata nak menonton perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 yang melibatkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menentang Kuala Lumpur City (KL City). Tengok kat televisyen pun dah okay.

     
     
  • Honda Civic 2022 tiba di Australia minggu depan – RM143k, 3 kali ganda lebih mahal dari sebelum ini

    Honda Civic 2022 tiba di Australia minggu depan –  RM143k, 3 kali ganda lebih mahal dari sebelum ini

    Australia bakal menerima Honda Civic generasi ke-11 minggu hadapan – ia hanya hadir dalam bentuk badan hatchback, serta ditawarkan dalam satu varian tunggal iaitu VTi LX dan bakal dijual pada harga AUD47,200 atau sekitar RM143k.

    Dengar macam lebih kurang sama sahaja dengan harga Honda Civic di Malaysia bukan? Namun menurut laporan drive.com.au, harga yang ditawarkan tersebut adalah hampir tiga kali ganda lebih mahal dari Honda Civic generasi ke-10 yang dijual pada harga AUD16,200 (RM49k) untuk varian asas VTi-S, serta AUD7,600 lebih mahal dari varian tertinggi RS sebelum itu.

    Ini membuatkan Honda Civic 2022 tersebut kini perlu bersaing dengan model-model kompak mewah dari BMW, Mercedes-Benz dan Audi, dan harganya untuk model biasa berkenaan hampir menyamai Civic Type R FK8 sebelum ini yang dijual pada harga AUD50,990 (RM154k) pada 2018, lapor portal automotif Australia berkenaan.

    “Honda Civic generasi ke-11 mewakili perubahan selangkah untuk Honda dalam segmen kereta kecil, dengan model serba baharu yang mengangkat elemen aspirasi utama jenama Honda seperti mutu ketukangan, kualiti premium dan rekaan intuitif,” kata pengarah Honda Australia, Stephen Collins dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Honda Civic 2022 tiba di Australia minggu depan –  RM143k, 3 kali ganda lebih mahal dari sebelum ini

    “Dalam meraikan ulangtahun ke-50, pereka-pereka dan para jurutera Honda telah membawa Honda Civic kepada satu tahap yang baharu, menghasilkan kereta yang lebih canggih, lebih sofistikated, dan lebih premium dari sebelum ini. Untuk Australia, Civic serba baharu ini telah diperincikan bagi memuaskan hati sasaran pelanggan yang baharu, iaitu sasaran yang selari dengan langkah beralih ke kedudukn lebih premium untuk nama Honda Civic dan jenama Honda secara keseluruhan,” kata Collins lagi, yang mungkin menjelaskan mengapa harga sedan segmen-C berkenaan naik dengan mendadak.

    Seperti model pasaran lain, Civic hatchback Australia ini dijana oleh enjin 1.5 liter empat silinder VTEC Turbo, menghasilkan 182 PS dan tork maksima 240 Nm jika menggunakan petrol premium RON95 (juga boleh menggunakan petrol tanpa plumbum RON91), digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Angka kuasa berkenaan dilihat sama dengan dengan model pasaran Jepun dan Amerika Syarikat, iaitu 5 PS/20 Nm lebih berkuasa dari sebelum ini. Ia sedikit berbeza dengan talaan kuasa bagi model pasaran Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand (Malaysia juga berkemungkinan juga sama) yang hanya menghasilkan 178 PS dengan tork 240 Nm yang sama.

    Harga yang naik mendadak tersebut seiring dengan kelengkapan yang juga lebih baik ditawarkan pada Civic 2022 ini berbanding model sebelumnya, menurut drive.com.au lagi. Secara standard, Civic baharu ini diberikan perincian seperti skrin infotainmen lebih besar bersaiz 9.0-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar (Android Auto masih perlu wayar), sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara, pengecas telefon pintar tanpa wayar, dan pelbagai lagi.

    Honda Civic 2022 tiba di Australia minggu depan –  RM143k, 3 kali ganda lebih mahal dari sebelum ini

    Ia juga menerima kelengkapan lain seperti rim aloi 18-inci, lampu hadapan dan belakang LED, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pemanas, paparan instrumen digital 7.0-inci, sistem penghawa dingin automatik dua-zon, dan lain-lain.

    Untuk keselamatan pula, Honda Civic 2022 pasaran Australia ini diberikan sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik, pemantau titik buta (bagi menggantikan sistem kamera LaneWatch), amaran lintasan trafik belakang, bantuan kesesakan trafik, amaran tumpuan pemandu, dan sebagainya.

    Empat warna ditawarkan iaitu Platinum White, Crystal Black, Premium Crystal Red dan Premium Crystal Blue. Australia menerima stok Civic mereka terus dari Jepun dan bukan lagi Thailand. Honda Australia turut mengesahkan bahawa Civic turut akan ditawarkan dalam versi hibrid e:HEV dan juga versi berprestasi tinggi Type R pada 2023, sama seperti model JDM.

     
     
  • Mazda BT-50 2022 dibuka untuk tempahan di Malaysia — CBU, 5 varian, enjin 1.9L dan 3.0L; dari RM124k

    Mazda BT-50 2022 dibuka untuk tempahan di Malaysia — CBU, 5 varian, enjin 1.9L dan 3.0L; dari RM124k

    Lebih setahun selepas membuat penampilan globalnya yang pertama, tempahan bagi Mazda BT-50 generasi ketiga kini dibuka di Malaysia. Tidak seperti model generasi kedua yang meminjam banyak hal dari Ford Ranger, Mazda BT-50 terbaru ini menggunakan asas Isuzu D-Max, dengan rekaan baru yang menarik. Lima varian akan ditawarkan untuk pelanggan di sini, semuanya diimport CBU dari Thailand.

    Variannya bermula dengan 1.9L Single Cab MT, diikuti dengan double cab 1.9L Mid MT, 1.9L Mid AT, 1.9L High AT dan yang paling lengkap 3.0L High Plus AT. Ketika ini, hanya ada harga untuk dua varian terakhir yang dinyatakan itu sahaja, dengan 1.9L High AT pada harga RM124,179.20, sementara 3.0L High Plus AT pada harga RM143,218.40.

    Semuanya harga atas jalan tidak termasuk insurans dan termasuk jaminan lima-tahun atau 100,000 km jaminan pengeluar. Pengecualian SST ketika ini tidak terpakai untuk model ini, kerana ia trak pikap dan dikategorikan sebagai kenderaan komersial.

    Mazda BT-50 2022 dibuka untuk tempahan di Malaysia — CBU, 5 varian, enjin 1.9L dan 3.0L; dari RM124k

    Untuk enjin, BT-50 menggunakan enjin sama dengan D-Max, dengan varian 1.9L memanfaatkan unit RZ4E-TC 1.9 liter empat-silinder turbodiesel, menghasilkan 148 hp pada 3,600 rpm dan 350 Nm tork dari 1,800 rpm hingga 2,600 rpm.

    Varian paling tinggi pula menggunakan unit 4JJ3-TCX 3.0 liter empat-silinder turbodiesel yang menghasilkan 188 hp pada 3,600 rpm dan 450 Nm dari 1,600 hingga 2,600 rpm. Pacuan empat roda adalah standard untuk semua varian, tetapi ada pilihan penawaran kotak gear manual enam-kelajuan (MT) atau automatik enam-kelajuan (AT).

    Walaupun platform dan enjin dikongsi dari D-Max, BT-50 diberikan rekaan luaran yang jauh lebih menarik dan menawan. Rekaan Kodo menyaksikan wajah depannya membawakan imej yang sama dengan barisan SUV CX Mazda yang lain, dengan lampu tirus serta bukaan gril yang luas. Bahagian belakang BT-50 juga lebih ringkas dengan rekaan lampu yang berbeza daripada D-Max. Rekaan dalaman BT-50 juga berbeza, dengan kecenderungan yang lebih menyerupai ruang kabin kereta.

    Mazda BT-50 2022 dibuka untuk tempahan di Malaysia — CBU, 5 varian, enjin 1.9L dan 3.0L; dari RM124k

    Dari segi kelengkapan, 1.9L Single Cab MT datang dengan rim besi 16-inci, lampu utama LED dan lampu kabus depan, DRL bulp dan lampu kabus belakang, pengilap cermin automatik, kluster instrumen monokrom 3.5-inci, head unit asas dengan dua pembesar suara, larasan pendingin hawa manual, larasan kerusi manual, balutan fabrik, tombol penukaran 4WD, differential lock belakang, dua beg udara, ESC, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, ABS, EBD dan Brake Assist.

    Bermula dengan varian double cab yang pertama, 1.9L Mid MT dan AT datang dengan rim 17-inci aloi, sistem tanpa kunci, cermin sisi berkuasa dengan lampu isyarat, sensor parkir belakang, paparan multi-info TFT-LCD 4.2-inci, skrin sentuh infotainmen tujuh-inci dengan Android Auto, Apple CarPlay dan enam pembesar suara, corong pendingin hawa belakang, kamera undur, cagak Isofix, kawalan melayar pasif serta peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang.

    Mazda BT-50 2022 dibuka untuk tempahan di Malaysia — CBU, 5 varian, enjin 1.9L dan 3.0L; dari RM124k

    1.9L High AT menjadi varian Mid/pertengahan dengan tambahan kelengkapan seperti lampu utama bi-LED larasan auto, DLR LED, sistem tanpa kunci, sensor parkir depan, landasan bumbung (100 kg had), pemijak sisi, cermin pandang belakang anti-silau, skrin sentuh sistem infotainmen sembilan-inci, kawalan pendingin dua-zon, kerusi larasan lapan-arah, tujuh beg udara dan kawalan menuruni curam.

    Varian tertinggi 3.0L High Plus AT pula melibatkan pertambahan rim 18-inci aloi, penghidup enjin jarak jauh, tambahan dua pembesar suara lagi (8 semuanya) dan balutan kulit coklat. Lebih penting, varian ini menerima bantuan keselamatan komprehensif termasuk brek multi-perlanggaran, kawalan melayar adaptif, lampu tinggi automatik, amaran penukaran lorong, amaran perlanggaran depan dan brek kecemasan automatik.

    BT-50 datang dalam lima warna, termasuk Rock Grey Mica, Gunblue Mica, Ice White, Red Volcano Mica dan True Black Mica. BT-50 akan dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi, jadi nantikan perincian penuhnya bersama kami. Adakah BT-50 generasi ketika ini nampak meyakinkan?

     
     
  • Melaka bakal jadi pusat pemasangan EV pertama di M’sia – teliti cadangan syarikat pengeluar kereta China

    Melaka bakal jadi pusat pemasangan EV pertama di M’sia – teliti cadangan syarikat pengeluar kereta China

    Kerajaan Melaka mengesahkan telah menerima cadangan sebuah syarikat automotif dari China yang berminat untuk menjadikan negeri itu sebagai pusat pemasangan kenderaan elektrik (EV) pertama di negara ini. Perkara ini dimaklumkan oleh EXCO Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang berkata cadangan tersebut sedang dibincang dan diteliti sebelum diputuskan tidak lama lagi, laporan Harian Metro.

    “Wakil syarikat berkenaan sudah menghubungi saya baru-baru ini dan menyatakan hasrat berkenaan. Di peringkat kerajaan negeri, saya akan meneliti dahulu cadangan berkenaan bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) termasuk lokasi yang sesuai bagi membangunkan kilang pemasangan EV terbabit.

    “Pada dasarnya kita tiada halangan, namun ia memerlukan perbincangan teliti dengan semua agensi berkaitan termasuk berkaitan lokasi serta impak ekonomi negeri serta rakyat keseluruhannya,” katanya.

    Tambah beliau, mulai tahun depan, kerajaan negeri menerusi PKNM akan memberi keutamaan kepada industri automotif yang disifatkan sebagai satu daripada industri terbesar yang akan dibawa masuk ke negeri ini.

    Katanya, sebelum ini syarikat kenderaan, Honda yang membuka kilang pemasangan di Pegoh, Alor Gajah, berjaya membuktikan keupayaan pengoperasiannya di Melaka, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai sebuah lokasi terbaik dalam sektor pemasangan automotif di negara ini.

    Pada 2017, kerajaan Malaysia ketika itu pernah menyatakan matlamat untuk menjadikan negara ini sebagai hab bagi pasaran EV menjelang tahun 2030 dengan menyasarkan sebanyak 100,000 kereta elektrik, 100,000 motosikal elektrik, 125,000 stesen pengecas dan 2,000 bas elektrik di jalan raya. Justeru, jika Melaka berjaya menjadi pusat pemasangan EV pertama di negara ini, kebarangkalian ia boleh membantu untuk merealisasikan matlamat tersebut.

     
     
  • Nissan Chill-Out, Max-Out, Surf-Out dan Hang-Out – model konsep dengan penggerak elektrik masa depan

    Nissan Chill-Out, Max-Out, Surf-Out dan Hang-Out – model konsep dengan penggerak elektrik masa depan

    Sebelum ini anda sudah melihat strategi Ambition 2030, yang menunjukkan Nissan mahu melabur lebih lagi untuk mempercepatkan elektrifikasi barisan kenderaan mereka. Jika hanya ditunjukkan dengan garis masa dan nombor-nombor sahaja sudah tentu pembentangan itu akan jadi bosan, jadi Nissan telah menunjukkan beberapa model konsep kepada awam.

    Model yang paling hampir kepada produksi adalah Chill-Out, yang membawa saiz sebuah SUV segmen B seperti Juke dan diletakkan di bawah Ariya. Model ini akan menggunakan platform Common Modular Family (CMF-EV) versi EV, dan akan ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda e-4ORCE menggunakan dua motor elektrik.

    Tiada perincian teknikal yang didedahkan buat masa ini, tetapi Auto Express ada melaporkan bahawa ia mungkin menggunakan bateri daripada Ariya, tetapi dikecilkan kepada 63 kWh dan boleh memberikan jarak gerak sehingga 450 km. Nissan pula memberitahu kenderaan ini menawarkan teknologi keselamatan maju dan “bahagian dalam yang selesa dan produktif.”

    Nissan Chill-Out, Max-Out, Surf-Out dan Hang-Out – model konsep dengan penggerak elektrik masa depan

    Tiga lagi kereta lain direka dengan konsep Nissan EV Technology Vision, dan kelihatan berbeza berbanding Ariya dan Chill-Out. Ia juga menggunakan All Solid-State Battery (ASSB), yang menurut Nissan, boleh menjadikan kos lebih kompetitif untuk enjin diesel dan petrol bagi jangka masa panjang. Peralihan daripada formula cecair kepada yang padat juga dijangka dapat mengurangkan waktu mengecas kepada satu per tiga, menjadikan EV satu pilihan yang berdaya maju.

    Unit ASSB ini menjadi sebahagian daripada platformnya, menggunakan komponen-komponen kecil untuk memaksimumkan pakejnya. Ia ditunjukkan melalui kenderaan konsep yang dipamer, dan yang paling menarik adalah Max-Out. Ia adalah sebuah model konsep bumbung terbuka, dengan tempat duduk yang boleh berubah untuk menerima lebih penumpang, kedudukan rendah, titik graviti rendah dan sistem pacuan empat roda e-4ORCE.

    Nissan mendakwa, kereta ini memberikan rasa pemanduan baru hasil dariapda “stabiliti dan keselesaan unggul,” dengan kemampuan membelok serta maklum balas stereng dinamik, dan olengan badan minimal, memberikan “rasa kesatuan dengan kenderaan tersebut.”

    Sistem e-4ORCE itu juga boleh ditala untuk menyediakan kemampuan offroad tertentu, seperti yang ditunjukkan oleh pikap Surf-Out. Ia juga mempunyai ruang barangan yang rendah dan rata, sekaligus memberikan pemanduan lebih lancar atas apa jenis jalan sekali pun dan penyampaian kuasa boleh diubah untuk menjadikannya lebih fleksibel.

    Sekiranya mencari ruang yang lebih besar, pilihan yang lebih sesuai adalah Hang-Out. Ia merupakan sebuah SUV konsep dengan lantai yang betul-betul rata dari depan hingga ke belakang, sekaligus memberikan kebebasan untuk rekaan dalam dan tetapan tempat duduk. Menurut Nissan, dengan adanya sistem pemanduan autonomous, pengguna juga boleh menonton wayang sambil bergerak.

    GALERI: Nissan Chill-Out Concept

    GALERI: Nissan Max-Out Concept

    GALERI: Nissan Surf-Out Concept

    GALERI: Nissan Hang-Out Concept

     
     
  • Genesis G90 2022 didedahkan, sasar lawan S-Class

    Genesis G90 2022 didedahkan, sasar lawan S-Class

    Sayap jenama mewah Hyundai, Genesis, yang telah membuktikan kemampuannya untuk bersaing dengan jenama dari Jerman kini memperkenalkan taruhan terbaru melalui G90 terkini. Model ini memasuki generasinya yang kedua dengan reka bentuk dan penampilan yang lebih matang dan menawan, yang didedahkan sebelum perincian lainnya.

    G90 menampilkan takrifan paling elegan bagi bahasa rekaan “Athletic Elegance” yang diterapkan, dengan teknologi baru yang membantunya mencapai imej penampilan yang menakjubkan. Di depan, lampu utamanya tirus, yang dicapai dengan menggabungkan lampu nyalaan siangnya dengan lampu rendah Micro Lens Array (MLA).

    Di antara lampu LED berkenaan terletak pula Crest Grille, yang menampilkan dua corak G-Matrix mesh bertindan untuk memberikan kesan berlapis. Bonet dengan rekaan clampshell, pertama kali dihadirkan untuk model crossover GV60 elektrik mengurangkan lagi garis-garis yang biasanya ada. Lencana yang ada pula kini 80% lebih kurus berbanding yang lama.

    Genesis G90 2022 didedahkan, sasar lawan S-Class

    Bahagian sisi menampilkan garis “parabolic” yang bertemu dengan garis bahu, sementara garis tingkapnya bertemu dengan tiang C. Ini adalah untuk memberikan kesan suasana terbuka dan privasi sekaligus kepada penumpang. Lampu utama khas Two-Line diteruskan di belakang juga, dengan kelebaran penuh untuk memberikan kesan visual tegap.

    Rekaan lain seperti ruang nombor plat, lampu undur dan muncung ekzos telah dialih lebih ke bawah agar tidak mengganggu sentuhan rakaan yang dibawa oleh bahagian atas. Varian dengan jarak antara roda lebih panjang diberikan pintu belakang yang lebih panjang juga, dengan tiang C lebih tebal, tiang B krom dan rim aloi 20-inci unik.

    Genesis G90 2022 didedahkan, sasar lawan S-Class

    Perincian teknikal masih belum diketahui, tetapi G90 ini dilaporkan akan menggunakan enjin 4.4 liter V8 berbanding versi kemaskini bagi unit Smartstream G3.5 turbocas V6 yang digunakan oleh model Genesis yang lebih baru ketika ini. Enjin berkenaan menghasilkan sebanyak 380 PS dan 530 Nm tork, melibatkan pertambahan 10 PS dan 20 Nm berbanding unit 3.3 liter yang paling asas. Kotak gear automatik lapan-kelajuan sedia ada dan sistem pacuan semua roda mungkin akan dikekalkan.

    G90 terbaru ini juga dikhabarkan bakal hadir dalam varian elektrik penuh, sama dengan GV70 yang ditunjuk di Guangzhou awal bulan ini. Kereta tersebut menampilkan motor elektrik di setiap gandarnya untuk memberikan pacuan semua roda dan output keseluruhan 489 PS dan 700 Nm — menggerakkan SUV berkenaan ke kelajuan 100 km/j dalam masa 4.5 saat. Jarak perjalanan ditetapkan sejauh 400 km, dengan kemampuan untuk pengecasan 350 kW melalui pengecas pantas DC.

     
     
  • Porsche 911 GT3 992 dilancarkan di M’sia – bermula RM1.77 juta, pilihan manual dan PDK, 510 PS/470 Nm

    Porsche 911 GT3 992 dilancarkan di M’sia – bermula RM1.77 juta, pilihan manual dan PDK, 510 PS/470 Nm

    Ini dia, versi produksi paling hardcore untuk Porsche 911 generasi 992 buat masa sekarang, iaitu 911 GT3 secara rasmi telah mendarat di pasaran Malaysia! Model ini dijual oleh pengedar rasmi jenama kereta Jerman tersebut, Sime Darby Auto Performance (SDAP) dengan harga bermula RM1,766,244 sebelum ditambah dengan opsyen lain, tetapi sudah termasuk pengecualian cukai SST 50% bagi kereta yang diimport sepenuhnya (CBU).

    Porsche 911 yang difokuskan untuk pemanduan litar ini telah dibuktikan mampu untuk menghabiskan satu pusingan lap di Litar Nürburgring Nordschleife dalam masa tak sampai tujuh minit. Ia dijana oleh enjin boxer enam-silinder 4.0 liter NA yang diambil dari 911 Speedster, menghasilkan kuasa 510 PS pada takat 8,400 rpm dan tork maksima 470 Nm pada takat 6,100 rpm.

    Enjin tersebut mampu untuk menjerit sehingga ke redline yang ditetapkan pada 9,000 rpm, dengan udara disedut masuk ke dalam kebuk pembakaran menerusi sistem individual throttle body (ITB) yang diberikan pada setiap silinder, serta diberikan lifter injap solid bebas penyelenggaraan.

    Porsche 911 GT3 992 dilancarkan di M’sia – bermula RM1.77 juta, pilihan manual dan PDK, 510 PS/470 Nm

    Bagi pasaran Malaysia, pelanggan ditawarkan dengan kedua-dua jenis kotak gear – manual enan-kelajuan atau klac berkembar automatik PDK tujuh-kelajuan – dengan harga yang sama. Ia juga datang dengan pakej GT3 Touring dengan rupa lebih garang, manakala model yang menggunakan kotak gear PDK turut boleh menerima pilihan pakej Touring.

    Bagi model manual, 911 GT3 ini mampu untuk memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat, dan mencapai 200 km/j dalam masa 11.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 320 km/j. Bagi kereta yang dibekalkan dengan kotak gear PDK, ia ternyata lebih pantas dengan pecutan 0-100 km/j hanya 3.4 saat dan mencapai 200 km/j dalam masa hanya 10.8 saat, namun kelajuan maksimanya sedikit rendah iaitu 318 km/j.

    Kedua-dua kotak gear tersebut masih sama dengan 911 GT3 sebelum ini, di mana versi manual masih memberikan fungsi rev-match serta 17 kg lebih ringan dari PDK. Manakala kotak gear PDK pada 992 GT3 ini pula kurang satu nisbah berbanding versi Carrera dan Turbo bagi mengurangkan beratnya serta membolehkan penukar gear mekanikal konvensional dipasang. Pedal penukar gear juga masih diberikan secara standard.

    Porsche 911 GT3 992 dilancarkan di M’sia – bermula RM1.77 juta, pilihan manual dan PDK, 510 PS/470 Nm

    Walaupun badan 992 GT3 ini lebih besar dari 991.2 sebelum ini, ia ditimbang hanya sedikit lebih berat dari model sebelumnya. Model yang diberikan kotak gear manual hanya seberat 1,418 kg, manakala versi dengan kotak gear PDK pula adalah 1,432 kg, atau sekitar 5 kg lebih berat dari 991.2.

    Ini kerana model generasi baharu ini menerima cermin yang lebih ringan, tempat duduk belakang dibuka serta material-material penebat bunyi pada badan telah dibuang. Ia juga diberikan bateri lithium logam fosfat yang lebih ringan secara standard, yang ditimbang 10% lebih ringan dari unit pada model lama.

    Kelengkapan-kelengkapan aerodinamik yang begitu agresif pada GT3 ini juga merupakan perincian standard, dia mana ia mampu untuk meningkatkan downforce sehingga 150%. Bagi mereka yang memilih opsyen GT3 Touring Package, spoiler GT ‘leher angsa’ di belakang akan digantikan dengan spoiler adaptif, manakala keseluruhan bampar hadapan menerima kemasan warna badan, serta jalur kemasan di bawah tingkat sisi menggunakan material aluminium tersadur berkilat.

    Porsche 911 GT3 992 dilancarkan di M’sia – bermula RM1.77 juta, pilihan manual dan PDK, 510 PS/470 Nm

    Manakala untuk casis pula, GT3 diberikan sistem double wishbone pada bahagian hadapan bagi menggantikan topang McPherson, menjadikan ia model produksi jalan raya pertama Porsche menggunakan sistem sedemikian. Menurut Porsche, sistem gantungan bebas hadapan berkenaan membolehkan kejituan pemanduan ditingkatkan, serta memberikan permukaan tayar yang bersentuhan dengan jalan lebih konsisten dalam situasi terbeban.

    Seperti model-model GT3 sebelum ini, ia kekal menampilkan kabin seakan kereta lumba sebenar. Pemandu menerima paparan instrumen yang menampilkan takometer pada bahagian tengah (kini dengan bantuan tukaran gear bersama bar berwarna) yang memberikan bacaan sehingga 10,000 rpm, diapit dengan paparan tujuh-inci pada setiap sisi yang menampilkan skrin litar baharu yang memberikan data-data penting ketika memandu.

    Untuk Infotainmen pula, model ini diberikan skrin sesentuh 10.9-inci yang dilengkapi sistem Porsche Communication Management (PCM) terkini bersama navigasi atas talian dan Porsche Connect Plus. Ia juga diberikan aplikasi Porsche Track Precision membolehkan anda membuat analisa terhadap gaya pemanduan yang telah dibuat di litar.

    Pembeli juga boleh membuat penampilan unik pada kereta masing-masing, dengan penawaran 105 warna klasik yang boleh dipilih. Porsche turut menawarkan program “Paint to Sample” bagi membolehkan anda memiliki 911 GT3 yang lebih istimewa berbanding pemilik lain, serta pelbagai aksesori Porsche Exclusive Manufaktur termasuk bumbung gentian-karbon tanpa kemasan warna, penutup cermin sisi karbon, lampu hadapan LED matrix yang digelapkan dengan lensa lampu belakang jernih, cat istimewa pada rim dan pelbagai lagi.

    GALERI: Porsche 911 GT3 992

     
     
  • HSR: Singapura terbuka terima cadangan Malaysia

    HSR: Singapura terbuka terima cadangan Malaysia

    Pada Januari lalu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong telah mengumumkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dibatalkan. Keputusan ini terpaksa diambil apabila kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu berakhir pada 31 Disember 2020.

    Walau bagaimana pun, semalam Lee mengesahkan, pihaknya terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan dengan projek HSR dan kedua-dua negara bakal membincangkan lebih terperinci, laporan Bernama.

    “Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mencadangkan perbincangan mengenai HSL dihidupkan semula dan saya menjawab bahawa Singapura dan Malaysia telah mencapai persetujuan sebelum ini untuk menamatkan projek HSR, dan ini telah diselesaikan secara baik.

    “Bagaimanapun, Singapura terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia mengenai projek HSR dan kementerian pengangkutan kedua-dua negara akan membincangkan perkara itu. Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia agar kami boleh mengkajinya dan menimbangkan sekali lagi perkara itu,” kata Lee.

    Pada Mac tahun ini, Malaysia mengumumkan membayar SG$102.8 juta (SG$1=RM3.09) kepada Singapura bagi kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penangguhannya. Bayaran S$102,815,576.00 (RM320,270,519.24) sudah dibuat Kerajaan Malaysia sebagai pampasan terhadap kos ditanggung Kerajaan Singapura dalam pembangunan projek HSR dan berkaitan penangguhan projek berkenaan.

    Sebelum ini, Singapura berkata, jumlah pampasan pembatalan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura akan merangkumi pelbagai kos, tetapi tidak membabitkan kos pembelian tanah. Di mana Singapura sudah membelanjakan S$270 juta setakat ini membabitkan projek berkenaan iaitu merangkumi perkhidmatan konsultan, reka bentuk infrastruktur dan tenaga buruh.

    Mengikut perancangan awal, HSR dijangka beroperasi pada tahun 2026, dicadangkan empat perjalanan bagi setiap jam untuk untuk tempoh kekerapan jadual trennya. Di mana dua perjalanan adalah bagi laluan antarabangsa Kuala Lumpur-Singapura dan Singapura-Kuala Lumpur tanpa henti. Manakala dua lagi membabitkan perjalanan domestik Kuala Lumpur-Iskandar Puteri, Johor serta sebaliknya

     
     
  • Nissan akan labur RM75 bilion dalam elektrifikasi – 23 model elektrik, termasuk 15 EV menjelang tahun 2030

    Nissan akan labur RM75 bilion dalam elektrifikasi – 23 model elektrik, termasuk 15 EV menjelang tahun 2030

    Nissan telah membuat pengumuman akan meningkatkan lagi rancangan elektrifikasi mereka dengan melabur dua trilion yen (RM74.8 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mempercepatkan lagi elektrifikasi pada barisan model mereka. Di bawah strategi Ambition 2030 yang dibuat, Nissan meletakkan sasaran memperkenalkan 23 model elektrifikasi, termasuk 15 daripadanya adalah kenderaan elektrik bateri (BEV), menjelang tahun 2030.

    Menurut syarikat itu lagi, dengan pengenalan 20 model e-Power dan EV ke dalam pasaran menjelang lima tahun akan datang, mereka meletakkan sasaran untuk meningkatkan skop produk elektrifikasi mereka dalam pelbagai pasaran utama menjelang 2026.

    Dalam langkah ini, Nissan berhasrat menjadikan 75% jualan kenderaan di Eropah terdiri daripada model yang mendapat kuasa elektrik, sementara untuk pasaran domestik (Jepun) pula sehingga 55%. Untuk China pula, mereka meletakkan sasaran lebih 40% manakala untuk Amerika Syarikat juga dalam peratusan yang sama, menjelang tahun 2030.

    Nissan akan labur RM75 bilion dalam elektrifikasi – 23 model elektrik, termasuk 15 EV menjelang tahun 2030

    Selain daripada platform dan model baru, pengeluar dari Yokohama ini juga mempunyai perancangan untuk melabur besar-besaran dalam pembangunan bateri serta teknologi yang berkaitan. Mereka memberitahu akan terus mengembangkan lagi teknologi bateri lithium ion sedia ada dan memperkenalkan teknologi bebas kobalt untuk mengurangkan kos bateri sehingga 65% menjelang 2028.

    Dalam usaha untuk memenuhi permintaan unit pembekal kuasa, Nissan memberitahu akan menyediakan sistem bekalan bateri global, dan berhasrat meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran bateri global secara keseluruhannya kepada 52 GWh menjelang 2026 dan sehingga 130 GWh menjelang 2030.

    Syarikat ini juga meletakkan sasaran untuk mengembangkan lagi penggunaan bateri all-solid-state (ASSB) yang dibangunkan oleh mereka menjelang tahun 2028. ASSB ini dikatakan dapat mengurangkan waktu mengecas sehingga satu per tiga, menjadikan EV lebih cekap, mudah diguna dan dapat mengurangkan kos pek bateri sehingga US$75 (RM317) bagi setiap kWh menjelang tahun 2028.

    Nissan akan labur RM75 bilion dalam elektrifikasi – 23 model elektrik, termasuk 15 EV menjelang tahun 2030

    Sebagai tambahan kepada teknologi baru, Nissan juga akan mengeluarkan dan menggunakan bahan dalam negara untuk EV, bagi menjadikannya lebih kompetitif dan bersedia melabur sehingga 20 bilion yen (RM748 juta) menjelang tahun 2026 untuk menbangunkan struktur pengecas kenderaan. Lebih 30,000 pekerjaan dalam penyelidikan dan pembangunan juga akan terbuka secara global.

    Dalam perkembangan lain, Nissan juga mengumumkan akan meluaskan lagi teknologi autonomous ProPilot kepada lebih 2.5 juta kenderaan Nissan dan Infiniti menjelang 2026, dan mensasarkan untuk menggunakan sistem LIDAR generasi baru pada semua model menjelang 2030.

     
     
  • PEV Open Track Day berlangsung di Sepang pada 3 Dis ini – untuk e-scooter, e-bike, Segway, hoverboard

    PEV Open Track Day berlangsung di Sepang pada 3 Dis ini – untuk e-scooter, e-bike, Segway, hoverboard

    Khas untuk peminat dan pemilik kenderaan elektrik mudah alih (PEV), kini anda boleh melenjan litar F1 sepanjang 5.543 km dengan e-scooter, e-bike, hoverboard, electric unicycle atau e-skateboard!

    Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah mengumumkan penganjuran PEV Open Track Day buat julung kalinya, pada Jumaat ini, 3 Disember 2021, dari jam 8 malam hingga ke tengah malam, bertempat di SIC North Paddock. Pendaftaran akan diadakan di Pit 5 dan 6, dan anda boleh parkir kereta di P1, P2 dan P3. Yuran penyertaan adalah sebanyak RM62.50 untuk setiap individu – boleh menempah slot anda menerusi dalam talian, dan imbas kod QR di atas.

    Walau bagaimana pun, bagi langkah keselamatan, anda perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan. Setiap peserta wajib untuk memakai pelindungan keselamatan seperti helmet dan kasut sukan. SIC juga menggalakkan peserta memakai pad lutut dan pelindung siku.

    Paling wajib ialah semua peserta mestilah lengkap divaksinasi, dan telah lebih 14 hari selepas dos kedua bagi vaksin Pfizer, AstraZeneca atau Sinovac (atau 28 hari bagi suntikan tunggal vaksin J&J dan CanSino). Malah anda juga perlu menandatangani borang pampasan dan penyertaan adalah atas risiko sendiri. Sepanjang acara, Pitstop Cafe juga akan dibuka dan tiada makanan dan minuman dari luar dibenarkan dibawa masuk.

    SIC berkata penganjuran acara ini adalah pengiktirafan kepada peningkatan populariti PEV di Malaysia dan untuk menggalakkan mobiliti mesra alam dan bersih, sejajar dengan inisiatif SIC untuk menggalakkan kehidupan mampan dalam sukan dan mengurangkan pelepasan karbon.

    Sebelum ini, SIC turut membuka litarnya untuk penunggang basikal dan telah menganjurkan acara untuk mereka pada bulan lalu serta mendapat sambutan yang menggalakkan.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz Vito Tourer facelift di M’sia – bermula RM342k, ditawar sehingga 10-tempat duduk

    GALERI: Mercedes-Benz Vito Tourer facelift di M’sia – bermula RM342k, ditawar sehingga 10-tempat duduk

    Sedang ramai yang lihat persaingan antara Hyundai Staria Premium dengan Toyota Alphard, pasti ramai yang terlupa dengan satu lagi pesaing dari Jerman, Mercedes-Benz Vito Tourer kan? Model tersebut kini sudah pun berada di Malaysia dalam versi facelift, dilancarkan oleh Hap Seng Star (HSS) pada awal bulan ini.

    Vito Tuorer ini merupakan versi ‘people mover’ berbanding versi komersil Mercedes-Benz V-Class yang menggunakan asas sama. Ia dijual di Malaysia pada harga atas jalan tanpa insuran RM342,036.40, dan menawarkan konfigurasi sehingga 10-tempat duduk.

    Kabin belakang Vito Tourer ini dilengkapi rel kerusi dengan sistem buka-cepat. Ini bermakna pemilik boleh memilih konfigurasi tempat duduk belakang MPV ini mengikut kesesuaian penggunaan, dengan bantuan dari HSS sendiri. Unit yang kami paparkan ini menampilkan tujuh-tempat duduk secara keseluruhan, dengan konfigurasi 2-2-3.

    GALERI: Mercedes-Benz Vito Tourer facelift di M’sia – bermula RM342k, ditawar sehingga 10-tempat duduk

    Penumpang belakang boleh mengakses bahagian kabin belakang MPV ini menerusi dua pintu gelangsar berkuasa yang disediakan pada setiap sisi. Ia juga menerima sistem infotainmen Audio 30 yang menampilkan skrin sesentuh tujuh-inci serta menyokong Android Auto dan Apple Carplay.

    Perincian lain yang turut disertakan termasuk upholsteri kulit sintetik leatherette hitam, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori, roda stereng balutan kulit dengan butang pelbagai fungsi, penel kawalan atas kepala serta sistem pendingin hawa dua-zon Thermotronic bersama kawalan iklim separa automatik Tempmatic untuk kabin belakang (dengan liang hembusan udara pada sisi bumbung).

    Model facelift ini menampilkan liang pendingin hawa berbentuk turbin pada papan pemuka yang direka khas untuk Vito Tourer. Manakala pada bahagian luaran, versi kemaskini ini diberikan gril baharu yang mempunyai slot pada setiap para.

    GALERI: Mercedes-Benz Vito Tourer facelift di M’sia – bermula RM342k, ditawar sehingga 10-tempat duduk

    Selain dari itu, rupa model facelift ini masih nampak sama seperti model sebelum ini. Ia menampilkan dimensi 5,370 mm panjang (lebih panjang dari V-Class yang hanya berukuran 5,140 mm), 2,244 mm lebar, 1,958 mm tinggi dan juga jarak roda sejauh 3,430 mm.

    Selain itu, Vito Tourer ini didatangkan standard dengan rim aloi 17-inci lima jejari berkembar, lampu hadapan LED Intelligent Light System dengan High Beam Assist Plus, pengelap cermin automatik, kamera undur dan sistem pemantau angin tayar.

    Bagi sistem keselamatan dan bantuan pemanduan pula, MPV ini diberikan enam-beg udara, brek kecemasan automatik (AEB), cruise control aktif, Bantuan Tumpuan, Bantuan Titik Buta, Bantuan Angin Lintang, Bantuan Mula Mendaki, Bantuan Kekal Lorong, pakej Lane Tracking dan juga sistem Parktronic, semua ini juga merupakan perincian standard.

    Vito Tourer ini dijana oleh enjin M274 2.0 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 211 PS (208 hp) pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 1,300 hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic untuk memacu roda belakang.

    MPV Mercedes-Benz Vito Tourer ini hanya dijual secara eksklusif oleh HSS, dan servis selepas jualannya juga hanya dibuat oleh rangkaian pusat servis syarikat itu sahaja. Sebelum ini, model pre-facelift Vito Tourer hanya dijual oleh Nusa Otomobil dalam versi enjin turbodiesel.

    Empat warna ditawarkan termasuk Obsidian Black Metallic, Rock Crystal White Metallic, Graphite Grey Metallic dan Cavansite Blue Metallic. Setiap pembelian akan disertakan dengan waranti kenderaan 2+2, iaitu dua tahun waranti pengeluar antarabangsa dan dua tahun lagi adalah waranti sambungan yang disediakan oleh insuran Allianz.

    MPV ini perlu diservis setiap 10,000 km atau setahun, berbanding 12,000 km atau setahun untuk model-model penumpang biasa Mercedes-Benz yang lain.

     
     
  • Volvo S90 2022 di M’sia bakal dapat Android Auto OS?

    Volvo S90 2022 di M’sia bakal dapat Android Auto OS?

    Volvo XC60 facelift yang dilancarkan di Malaysia minggu lalu, telah memperkenalkan sistem infotainmen terkini Volvo – berasaskan sistem operasi Android Automotive. Nampaknya mungkin teknologi ini akan ditawarkan untuk model lain Volvo, bermula dengan S90.

    Laman web rasmi Volvo Car Malaysia telah mengiklankan yang S90 dengan “Google built in”, memberikan petunjuk perkhidmatan binaan-dalam Google dan Android Automotive OS baharu akan ditawarkan. Ini merangkumi navigasi Google Maps, Play Store untuk aplikasi dan juga pengaktifan suara Google Assistant. S90 facelift dilancarkan di negara ini pada April lalu tanpa sistem berasaskan Android.

    Sama seperti XC60, setiap pembelian termasuk sekali dengan langganan empat-tahun untuk perkhidmatan yang disebut di atas, bersama dengan data yang diperlukan dan akses untuk perkhidmatan kawalan jauh pada aplikasi Volvo Cars. Satu kelemahan berbanding sistem Sensus Connect sedia ada ialah ia belum lagi menyokong fungsi Apple CarPlay mahupun Android Auto.

    Ciri tambahan bagi Android Automotive OS ini bertepatan dengan pengenalan model 2022 dan model asas T5 Momentum, yang masih belum menerima harga dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Varian tersebut, yang dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo petrol 254 PS/350 Nm, ditawarkan dengan harga atas jalan RM328,888 tanpa insurans termasuk SST.

    GALERI: Volvo S90 Recharge T8 Inscription Plus 2021 di Malaysia

     
     
  • Hyundai Palisade 2022 di Malaysia – kelihatan di Sime Darby Motors City, bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Hyundai Palisade 2022 di Malaysia – kelihatan di Sime Darby Motors City, bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Bulan lalu, Hyundai Palisade dikesan sedang dinaikkan atas sebuah treler. Baru-baru ini juga, SUV tersebut kelihatan sekali lagi, di Sime Darby Motors City, Ara Damansara dan fotonya dirakamkan oleh pembaca Edward Koh.

    Seperti yang pernah kami khabarkan sebelum ini, Palisade bakal memasuki pasaran Malaysia, selepas perkara ini diumumkan sendiri oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) pada Mac lalu. Malah kemungkinan ia bakal dilancarkan sebelum 2021 melabuhkan tirainya. Jika benar, nampak gayanya tiga bulan berturut-turut HSDM memperkenalkan model baharu iaitu MPV mewah Staria yang dilancarkan pada Oktober lalu, diikuti dengan Kona Electric yang secara rasmi berada di pasaran bulan ini.

    Palisade merupakan model SUV tiga baris tempat duduk mewah yang pertama kali didedahkan pada tahun 2018, dan bergantung kepada spesifikasi, ia boleh menempatkan sehingga tujuh atau lapan orang. Ia lebih besar berbanding Santa Fe, dengan ukuran panjang 4,981 mm, 1,976 mm lebar dan jarak roda 2,900 mm.

    Hyundai Palisade 2022 di Malaysia – kelihatan di Sime Darby Motors City, bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Menurut HSDM, SUV yang bakal dibawa masuk dari Korea Selatan ini akan ditawarkan dengan enjin 3.8 liter naturally aspirated V6, dengan hamburan kuasa mencecah 291 hp dan tork 355 Nm, dan unit suntikan-terus Atkinson-cycle ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan HTRAC AWD.

    Antara ciri yang dijangka akan ditampilkan untuk pasaran kita termasuklah roda 20-inci, kluster instrumen TFT digital 12.3-inci, sistem infotainmen Display Audio 10.25-inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu, unit CBU ini juga mungkin akan dilengkapi dengan tempat duduk dengan ventilasi, dua bumbung suria, pengecas tanpa wayar, kawalan suhu tiga-zon dengan ioniser serta ciri keselamatan SmartSense ADAS.

    Palisade juga telah menembusi pasaran Indonesia, dengan penawaran enjin 2.2 liter CRDi diesel berkuasa 200 PS dan 441 Nm. Pembeli di republik berkenaan boleh memilih tiga versi kemasan, dengan harga antara RM223k hingga RM309k.

     
     
  • EICMA 2021: Moto Guzzi V100 Mandello diperkenalkan

    EICMA 2021: Moto Guzzi V100 Mandello diperkenalkan

    Moto Guzzi kini kembali dengan model sports apabila memperkenalkan V100 Mandelli di pameran EICMA. Model ini juga membawa lebih banyak kelengkapan canggih kepada motosikal retro jenama itu, termasuk suspensi semi aktif, quickshifter, Cornering ABS serta sistem penyejukan cecair.

    Moto Guzzi memanggil V100 Mandello ini sebagai “asas untuk membina masa hadapan”, dan dikatakan sebagai motosikal pertama yang mempunyai ciri aerodinamik adaptif. Penghadang angin di bahagian hadapan tangki V100 ini boleh naik dan turun mengikut kelajuan serta mod tunggangan, sekaligus memberikan lebih perlindungan udara kepada penunggang.

    Kuasa penggerak pula datang daripada enjin v-twin melintang 1,042 cc DOHC, yang mampu menghasilkan 115 hp dan 105 Nm tork. Ia kemudiannya dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan, yang menyampaikan kuasa ke roda belakang menggunakan sistem syaf.

    Penggunaan pendikit ride-by-wire, ECU Marelli 11MP dan IMU six axis menghasilkan tiga pemetaan enjin, empat tahap Traction Control serta empat mod tunggangan yang boleh dipilih untuk penunggang. Suspensi semi aktif Ohlins Smart EC 2.0 dipasang pada motosikal ini, dan ia boleh melaras sendiri mengikut keadaan jalan serta cara tunggangan.

    V100 Mandello direkan lebih ke arah touring, dan disebabkan itu, ia menyediakan posisi tunggangan lebih santai dengan tempat duduk gebu, serta penghadang angin hadapan yang boleh dikawal secara elektrik.

    Ada dua versi V100 Mandello yang ditawarkan untuk pasaran, dengan yang lebih tinggi mendapat suspensi Ohlins, quickshifter, pemanas tangan dan perisian Moto Guzzi MIA yang membenarkan sambungan kepada telefon bimbit untuk operasi pelbagai fungsi dan dipaparkan pada skrin TFT-LCD lima inci di bahagian kokpit. Turut disediakan adalah beg barangan.

     
     
  • Mitsubishi Pajero Sport, Triton Ralliart tiba di Thailand

    Mitsubishi Pajero Sport, Triton Ralliart tiba di Thailand

    Selepas mengumumkan pengenalan semula divisi perlumbaan Ralliart Mei lalu, Mitsubishi kini melancarkan dua model khas Ralliart di pasaran Thailand, iaitu Pajero Sport Ralliart dan Triton Ralliart. Kali terakhir model Ralliart dikeluarkan adalah pada tahun 2010.

    Bagi Pajero Sport Ralliart, ia menggunakan asas daripada model 2.4 GT Plus (berharga 1,299,000 baht atau RM163k), dan dipasang dengan gril Dynamic Shield hitam berkilat, lampu utama projector bi-LED digelapkan, spoiler belakang hitam, bumbung hitam (untuk warna badan White Diamond) dan antena sirip hitam.

    Padanya juga terdapat penghadang lumpur Ralliart, karpet Ralliart, kemasan lengkuk roda hitam berkilat, grafik pelekat khas, serta rim 18 inci warna gelap. Model Ralliart Edition ini ditawarkan dalam dua warna luar, iaitu White Diamond dan Jet Black Mica.

    Pergi kepada Triton pula, model Ralliart ini disediakan untuk kedua-dua badan jenis single cab dan double cab. Kedua-duanya juga menggunakan asas daripada model yang menggunakan enjin diesel turbo 2.5 liter dengan padanan transmisi manual lima kelajuan.

    Untuk aksesori yang dipasang, ia juga mendapat senarai yang sama seperti Pajero Sport, tetapi ditambah dengan pelindung cermin sisi dan pemegang pintu hitam serta lapik tempat barangan belakang khas Ralliart. Model single cab kini mendapat skrin tujuh inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, tetapi model double cab masih menggunakan unit Double-DIN.

    Harga mode Ralliart ini hanya akan didedahkan apabila model ini membuat penampilan rasmi di Thailand Motor Expo nanti. Walaupun ia kelihatan cuma diberi aksesori hiasan dan luaran sahaja, Mitsubishi sebelum ini pernah memberitahu bahawa mereka juga akan menghidupkan kembali “Mitsubishi-ness driving”, dan kita boleh menjangka lebih banyak lagi aksesori Ralliart serta model khas pada masa hadapan.

     
     
  • WTCR 2021 – Lynk & Co Cyan Racing sekali lagi sapu bersih juara dunia untuk pemandu dan pengeluar!

    WTCR 2021 – Lynk & Co Cyan Racing sekali lagi sapu bersih juara dunia untuk pemandu dan pengeluar!

    Nampaknya masih tiada lagi pasukan yang boleh menewaskan penguasaan Lynk & Co Cyan Racing dalam siri FIA World Touring Car Cup (WTCR) – pasukan yang mewakili divisi mewah Geely iaitu Lynk & Co dalam perlumbaan tersebut sekali lagi menyapu bersih gelaran juara dunia untuk kategori pemandu dan pengeluar untuk tahun kedua berturut-turut!

    Kedua-dua gelaran tersebut ditentukan pada pusingan terakhir yang berlangsung di Sochi Autodrom, Rusia hujung minggu lalu. Pemandu Lynk & Co Cyan Racing yang juga juara WTCR tahun sebelum ini, Yann Ehrlancher tiba di Rusia dengan hanya memerlukan 36 mata sahaja lagi bagi sah dinobatkan sebagai juara dunia WTCR buat kali kedua.

    Ehrlacher yang baru sahaja berumur 25 tahun (menjadi juara WTCR paling muda dalam sejarah tahun lalu) disahkan sebagai juara hanya pada Race 1 selepas Lynk & Co 03 TCR yang dipandunya melepasi garisan penamat di kedudukan ke-lima. Tambahan mata dikutip lagi pada Race 2 dengan menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-enam, membolehkan ia berada di hadapan Frédéric Vervisch dari pasukan Comtoyou Team Audi Sport dengan kelebihan 21 mata.

    WTCR 2021 – Lynk & Co Cyan Racing sekali lagi sapu bersih juara dunia untuk pemandu dan pengeluar!

    Rakan sepasukan Ehrlacher yang juga pakciknya, Yvan Muller turut menyumbang tambahan mata dengan menghabiskan Race 1 di tempat ke-lapan, tetapi tidak bernasib baik kerana terlibat dalam kemalangan pada Race 2 menyebabkan beliau tidak dapat menamatkan perlumbaan. Namun 319 mata yang telah dikutip sudah cukup membolehkan pasukan Cyan Racing Lynk & Co berada 54 mata di hadapan pasukan Comtoyou Audi untuk sekali lagi bergelar juara dunia untuk kategori pasukan.

    Untuk rekod, Lynk & Co Cyan Racing turut telah dinobatkan sebagai juara kategori pasukan pada tahun pertama penampilannya dalam WTCR iaitu 2019, menyaksikan ini tahun ketiga berturut-turut pasukan lumba dengan jenama dari China tersebut mempertahankan kejuaraan berkenaan.

    Malah, Cyan Racing yang sebelum ini berlumba dengan jenama Volvo telahpun memenangi gelaran juara dunia untuk pemandu (menerusi pemandu Sweden, Thed Bjork) dan pasukan pada 2017, iaitu tahun terakhir kejuaraan Touring Car dunia dilangsungkan dalam format WTCC. Gelaran kategori pasukan untuk WTCR masih dipegang mereka pada 2018 tetapi ketika itu dijenamakan sebagai Yyan Muller Racing (berlumba dengan Hyundai i30 N TCR) sebelum pembangunan jentera lumba Lynk & Co 03 dilengkapkan.

    WTCR 2021 – Lynk & Co Cyan Racing sekali lagi sapu bersih juara dunia untuk pemandu dan pengeluar!

    “Ia satu perasaan yang menggembirakan apabila menyedari bahawa kami telah merangkul lapan daripada sepuluh gelaran dunia dalam tempoh lima tahun yang lalu. Ini melangkawi jangkaan paling gila yang kami rasa apabila kami mulakan program kejohanan dunia penuh pada 2016. Saya mahu sampaikan ucapan berbanyak terima kasi kepada semua yang terlibat untuk prestasi luar biasa tahun ini,” kata pemilik dan pengasas Cyan Racing, Christian Dahl.

    “Sekali lagi juara dunia, rasanya sangat menakjubkan! Berbanyak terima kasih kepada semua orang di Cyan Racing dan Lynk & Co, saya tak mampu lakukan ini tanpa mereka. Terlalu banyak tekanan hujung minggu ini dan untuk menobatkan musim ini dengan gelaran dunia kedua berturut-turut tidak dapat saya digambarkan. Saya akan simpan perasaan ini untuk masa yang lama,” kata Yann Ehrlacher.

    Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski Schedvin pula berkata: “Kami sangat gembira dengan keputusan hebat Cyan Racing yang telah dicapai dengan kereta lumba Lynk & Co 03 TCR. Dalam satu lagi musim WTCR yang ultra-kompetitif, Cyan Racing dengan kru dan pemandu mereka telah tampil di atas dan memanjangkan lagi ucapan tahniah kami kepada semua yang terlibat.”

    “Tahniah kepada Cyan Racing dan Yann Ehrlancher untuk gelaran dunia 2021. Ini merupakan tahun yang sungguh sukar kerana pandemik dan untuk pasukan bagi mencapai keputusan ini merupakan bukti yang luar biasa atas usaha mereka. Ia sekali lagi membuktikan kekuatan kereta-kereta Lynk & Co. Saya mahu memanjangkan ucapan terima kasih kepada jurutera, mekanik dan pemandu untuk usaha mereka yang telah merealisasikan keputusan ini,” kata Naib Presiden Geely Auto Group, Victor Yang.

    Dalam perlumbaan di Rusia semalam, pelumba pasukan Zengo Motorsport, Mikel Azcona dengan memandu jentera Cupra Leon Competición menamatkan Race 1 di tempat pertama, diikuti oleh pemandu pasukan Engstler Hyundai N Liqui Moly, Jean-Karl Vernay yang memandu Hyundai Elantra N TCR. Manakala Gilles Magnus yang memandu Audi RS3 LMS pasukan Comtoyou Team Audi Sport menamakan perlumbaan tersebut di tempat ketiga.

    Cupra Leon Competición pasukan Zengo Motorsport sekali lagi memenangi perlumbaan di Rusia berkenaan pada Race 2, kali ini menerusi jentera yang dipandu oleh Robert Huff. Insiden pelanggaran yang berlaku antara Azcona dan Yvan Muller sejurus sahaja Safety Car masuk semula ke pit ketika perlumbaan tersebut berlangusng membolehkan Huff meluru ke depan untuk memimpin perlumbaan berkenaan.

    Dua lagi podium untuk Race 2 di Rusia tersebut diisi oleh dua buah Audi RS3 LMS iaitu Frédéric Vervisch dari pasukan Comtoyou Team Audi Sport, diikuti oleh Nathanaël Berthon dari pasukan Comtoyou DHL Team Audi Sport.