Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • PANDU UJI: Volvo S60 T8 Twin Engine – lebih nakal?

    PANDU UJI: Volvo S60 T8 Twin Engine – lebih nakal?

    Dalam barisan model Volvo, siri S60 adalah model yang dikaitkan dengan prestasi. Model generasi pertama S60 dalam versi T5 lima-silinder turbo pun sudah sangat mengujakan untuk dipandu, dan Volvo turut menghasilkan model lebih serius pada generasi berkenaan dikenali sebagai S60R, dibekalkan dengan kuasa 296 hp/400 Nm bersama sistem AWD.

    Untuk model generasi kedua, Volvo sendiri menyifatkan ia sebagai sebuah sedan yang nakal. Tiada lagi versi R pada model ini, tetapi model terakhir paling berkuasa iaitu S60 T6 menerima enjin 2.0 liter empat silinder Drive-E bersama pengecas turbo serta supercharger, menghasilkan kuasa 306 hp dan tork maksima 400 Nm.

    Kedua-dua generasi awal Volvo S60 ini telah memberikan pelbagai memori manis buat saya sendiri. Jadi apabila model generasi ketiga S60 hadir ke pasaran Malaysia dengan unit janakuasa T8 Twin Engine yang menjanjikan 407 hp dan tork maksima 640 Nm, sudah tentu saya tidak sabar untuk mengujinya. Dengan kuasa yang jauh lebih besar, adakah S60 generasi baharu ini jauh lebih nakal dari model generasi sebelumnya?

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • GALERI: Jaguar E-Pace P200 2.0L AWD 2020 – RM403k

    GALERI: Jaguar E-Pace P200 2.0L AWD 2020 – RM403k

    Jaguar E-Pace mula dijual di Malaysia awal bulan ini, selepas pertama kali dipertontonkan di sini ketika acara Premium Auto Car Expo (PACE) 2018 dahulu.

    SUV ini dilengkapi enjin Ingenium 2.0 liter turbocas petrol, digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan dengan sistem AWD. Ia mampu menghasilkan sebanyak 200 PS kuasa, berbanding angka 249 PS/365 Nm yang dijangka awalnya. Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.2 saat. Tayar standard E-Pace P200 di Malaysia bersaiz 20-inci 235/50.

    Spesifikasi penuh versi 200 PS ini tidak didedah tetapi kelengkapannya tidak banyak berbeza berbanding model yang dipamerkan sebelum ini. Ia sepatutnya dilengkapi dengan unit infotainmen InControl Touch Pro dengan skrin sesentuh 10 inci, kamera pandangan belakang dan juga panel instrumen digital 12.3 inci seperti Disco Sport.

    Naik taraf terkini pada sistem ini adalah termasuk Smart Settings, iaitu satu sistem yang boleh mengenal pasti serta mempelajari tabiat pemandu, seterusnya melaras secara automatik kedudukan tempat duduk, suhu, tetapan infotainmen dan pelbagai lagi. Sistem ini juga boleh menyimpan lapan tetapan dalam memori untuk individu berlainan.

    Ciri keselamatan pada E-Pace adalah termasuk enam beg udara, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist dan Driver Condition Monitor. Untuk warna pula, pelanggan mempunyai dua pilihan iaitu Yulong White dan Firenze Red – kedua-duanya warna metalik.

    Akhir sekali untuk harga, E-Pace yang diimport sepenuhnya ini dijual pada harga RM403,216 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Harga ini sudah dikira sekali dengan penjimatan cukai 50% yang diberikan oleh kerajaan terhadap kenderaan CBU sehingga hujung tahun ini. Ia juga datang dengan program Jaguar Care, jaminan lima tahun, pakej servis percuma lima tahun dan bantuan tepi jalan tiga tahun.

     
     
  • Merdeka Race 2020 – siaran ulangan di Astro Arena

    Merdeka Race 2020 – siaran ulangan di Astro Arena

    Hujung minggu ini (29 dan 30 Ogos), Malaysia Speed Festival (MSF) dengan kerjasama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menganjurkan perlumbaan MSF Merdeka Enduro, yang melibatkan beberapa kategori seperti Saga Cup, Ultimate, Super Street, MCS, Super Production dan Ultimate.

    Ia boleh dianggap sebagai satu perlumbaan yang mengembalikan semula kegemilangan perlumbaan seperti Merdeka Race, Merdeka Millennium Endurance 12-Jam (MME) serta Sepang 1000 KM (S1K), dan akan dianjurkan sekali bersama MSF SuperTurismo dan juga Malaysia Championship Series.

    Memandangkan kita masih lagi dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), acara ini akan dilangsungkan tanpa penonton di litar namun aksinya masih boleh ditonton secara langsung melalui Facebook MSF, dan Facebook Sepang Circuit.

    Merdeka Race 2020 – siaran ulangan di Astro Arena

    Selain daripada itu, siaran ulangan perlumbaan ini juga akan disiarkan dalam televisyen, saluran Astro Arena 801/802 HD, dan dibahagikan kepada empat slot antara 31 Ogos hingga 3 September 2020. Pada 31 Ogos, jam 11 pagi hingga 1 petang adalah siaran perlumbaan MSF Saga Cup, diikuti keesokannya, waktu yang sama adalah untuk siaran perlumbaan MSF Ultimate.

    Pada Selasa, 1 Ogos, dua lagi siaran ulangan iaitu untuk perlumbaan MSF Super Street dan MCS Race 1 akan ke udara pada jam 10 hingga 11 malam, manakala pada hari Rabu, waktu yang sama adalah untuk perlumbaan MSF Saga Cup serta MCS Race 2. Hari Khamis, 3 September siaran ulangan MSF Super Production dan MSF Ultimate akan dibuat pada jam 10 malam.

    Dianggarkan sekitar 250 buah kereta ubah suai pelbagai jenis akan terlibat dalam MSF Merdeka Enduro, sekaligus menjadikan ia acara perlumbaan empat roda paling besar di Malaysia. Ini tentunya adalah sebuah siri perlumbaan yang tidak patut dilepaskan oleh peminat sukan permotoran tempatan.

     
     
  • GALERI: Jaguar XE P300 R-Dynamic facelift, RM396k

    GALERI: Jaguar XE P300 R-Dynamic facelift, RM396k

    Jaguar Land Rover Malaysia telah pun memperkenalkan barisan Jaguar XE 2020 untuk pasaran tempatan. Ia bukan sekadar model tahunan baharu, sedan eksekutif premium kompak ini juga merupakan versi facelift, yang diperkenalkan secara global pada Februari 2019. Ini kami bawakan pula galeri penuh bagi varian P300 R-Dynamic.

    P300 bermaksud penggunaan enjin enjin 2.0 liter Ingenium dalam konfigurasi P300, dengan output yang dihasilkan ialah 300 PS dan 5,500 rpm dan 400 Nm antara 1,500 rpm hingga 4,500 rpm. Digandingkan bersama transmisi automatik ZF 8HP45 lapan-kelajuan, kereta pacuan roda belakang ini memecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam masa 5.9 saat dan kelajuan maksimum cecah 250 km/j.

    Jika dibandingkan dengan pencabarnya, BMW 330i G20 dengan 258 hp dan tork 400 Nm, tapi lebih pantas dari segi pecutan iaitu 5.8 saat bagi 0-100 km/j, manakala satu lagi pesaingnya iaitu Mercedes-Benz C300 pula dengan 258 hp dan 370 Nm dan pecutan 0-100 km/j dalam 5.9 saat.

    GALERI: Jaguar XE P300 R-Dynamic facelift, RM396k

    Perubahan pada bahagian luaran model facelift ini melibatkan lampu utama LED baharu yang lebih kemas, dengan lampu nyalaan siang berbentuk-J. XE turut menerima bampar hadapan baharu dan imej R-Dynamic ditampiljan dengan rekaan yang lebih sporty ketara dengan bahagian inlet yang lebih menonjol berbanding versi lamanya, dengan tambahan “wing” berbentuk-U.

    Di belakang, rekaan bampar dan lampu LED juga baru, dengan dua muncung ekzos bersepadu. Versi R-Dynamic ini juga menerima kemasan gelap pada perinciannya serta dipadankan dengan roda aloi dua-tona lima-jejari berkembar 18-inci yang dibaluti tayar Dunlop Sportmaxx.

    Manakala ruang kabinnya pula dilengkapi tempat duduk sport dengan jahitan warna kontras, pedal gear krom satin dan treadplate R-Dynamic. Selain itu beberapa bahagian diberikan rekaan baru, seperti roda stereng yang diwarisi dari I-Pace serta pemilih gear SportShift baru dan juga suis JaguarDrive Control.

    GALERI: Jaguar XE P300 R-Dynamic facelift, RM396k

    Konsol tengah juga diberikan rombakan rekaan, dan kini menampilkan sistem infotainmen Touch Pro Duo dengan dua skrin beresolusi tinggi. Skrin 10-inci di atas memaparkan akses kepada sistem infotainmen, tunjuk arah dan fungsi media, sementara skrin 5.5-inci di bawahnya memaparkan akses kepada kawalan pendingin hawa, lengkap dengan dail rotari dinamik. Selain turut diberikan pengecas telefon tanpa wayar.

    Kluster instrumen untuk pemandu pula bersaiz 12.3-inci digital. Turut ditampilkan dengan ketersambungan telefon pintar melalui Apple CarPlay dan Android Auto. Ciri lain termasuk juga fungsi Smart Settings, yang menggunakan kepintaran buatan untuk mempelajari kecenderungan pemandu secara individual dan melaraskan kerusi, cermin, audio dan pendingin hawa secara automatik.

    Model import sepenuhnya (CBU) Jaguar XE P300 R-Dynamic 2020 facelift ini ditawarkan pada harga RM395,831 tanpa cukai jalan dan insurans. Harga tersebut juga adalah hasil pengurangan 50% cukai jualan di bawah pelan PENJANA yang diumumkan kerajaan pada Jun lalu dan ia berlangsung sehingga 31 Disember 2020.

     
     
  • Range Rover Evoque 2021 – infotainmen baru, enjin 3-silinder, kemasan Autobiography, Lafayette Edition

    Range Rover Evoque 2021 – infotainmen baru, enjin 3-silinder, kemasan Autobiography, Lafayette Edition

    Range Rover Evoque versi terkini baru saja dilancarkan di peringkat global dalam tempoh setahun, namun Land Rover telah memperkenalkan model 2021 pula. SUV generasi kedua serba bergaya ini telah dipertingkatkan daripada sudut imejnya yang kelihatan lebih segar, malah turut diperkenalkan dengan model edisi istimewa baharu.

    Pembaharuan paling menarik yang diberikan ialah dengan memperkenalkan sistem infotainmen Pivi, yang pertama kali ditampilkan pada Defender, bagi menggantikan unit Touch Pro dan Touch Pro Duo. Dengan perubahan ini, ia boleh disuaipadankan dengan Senibina Kenderaan Elektrik baharu, memperkenalkan unit antara muka yang rata yang membolehkan pengguna mengawal beberapa fungsi daripada skrin perumah, dan mengurangkan penggunaannya sebanyak 50%.

    Pengguna juga boleh menyambungkannya dengan peranti Bluetooth secara serentak, mengemaskini perisian dan menggunakan isyarat telefon pintar apabila menggunakan pengecas tanpa wayar Qi. Sistem Pivi Pro yang dipertingkatkan ini juga didatangkan dengan bateri yang berasingan, di mana ia membolehkan mod sleep berfungsi apabila enjin dimatikan. Ini bermakna operasinya akan bermula apabila kereta dibuka, jadi peranti berkenaan tidak mengambil masa yang lama untuk dihidupkan.

    Range Rover Evoque 2021 – infotainmen baru, enjin 3-silinder, kemasan Autobiography, Lafayette Edition

    Ia juga lebih responsif dan didatangkan dengan ketersambungan Spotify yang merupakan sebahagian daripada Online Pack. Navigasi juga merupakan sebahagian daripada sistem Pivi Pro, menampilkan laluan yang boleh disesuaikan, dan nada suara yang boleh dimatikan sekiranya pemandu mahir dengan selok-belok jalan berkenaan. Seperti sebelum ini, Evoque juga ditawarkan sama ada dengan skrin sesentuh tunggal atau paparan kedua untuk larasan kenderaan dan kawalan suhu.

    Land Rover juga mempertingkatkan pilihan Activity Key – kini dibina dalam LCD, jadi tidak perlukan kunci konvensional, membolehkan anda membuka dan menghidupkan kenderaan. Sebagai tambahan, Evoque kini ditawarkan dengan sistem penurasan kabin termaju yang berfungsi dengan sistem ionisasi udara sedia ada – penting untuk situasi global masa kini. Ia menyimpan alergen dan pertikel halus di bawah 2.5 mikro, dan dilengkapi dengan penapis karbon untuk menghilangkan bau dan sebatian organik yang mudah menguap (VOC).

    Lain-lain perubahan termasuk port USB-C untuk pengecasan peranti lebih pantas, brek kecemasan sendiri ketika mengundur dan sistem kamera 360-darjah tiga-dimensi yang membolehkan anda melihat keadaan sekeliling kenderaan. Ciri baharu lain yang turut ditampilkan termasuklah roda stereng yang telah menyingkirkan butang dial berbentuk bulat dan disesuaikan dengan scroll wheel yang lebih konvensional, dan seperti sebelum ini, ia juga disediakan dengan pemanasan dan pelarasan kuasa.

    Range Rover Evoque 2021 – infotainmen baru, enjin 3-silinder, kemasan Autobiography, Lafayette Edition

    Selain sistem infotainmen, lain-lain ciri tambahan yang signifikan diberikan untuk bahagian mekanikal. SUV ini dipadankan dengan enjin baharu 1.5 liter Ingenium pengecas turbo tiga-silinder, sama seperti model P300e plug-in hybrid. Ia mampu menghasilkan sehingga 160 PS dan tork 260 Nm.

    Ia cukup untuk membolehkan Evoque P160 ini dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam hanya 10.3 saat, dan penggunaan bahan apinya dianggarkan sekitar 8.0 liter per 100 km. Enjin ini juga digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Manakala varian yang dilengkapi enjin 2.0 liter empat-silinder turbodiesel pula lebih berkuasa dan menjimatkan. Evoque D165 ini mampu menghasilkan sehingga 163 PS dan tork 380 Nm, sementara model D200 pula lebih hebat dengan hamburan 204 PS dan 430 Nm. Enjin ini masih menggunakan sistem hibrid sederhana 48-voltan untuk menghamburkan pendikitan, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda (model D165 juga ada pilihan manual pacuan-roda-hadapan).

    Range Rover Evoque 2021 – infotainmen baru, enjin 3-silinder, kemasan Autobiography, Lafayette Edition

    Lafayette/Nolita Edition

    Selain itu, Land Rover juga telah menaiktaraf tahap kemasan dengan penambahan bagi model Autobiography. Seperti sedia maklum, varian ini diasaskan dari R-Dynamic HSE dan ada sedikit campuran Black Back (gril, skid plate dan perumah cermin sisi hitam berkilat) dengan sentuhan tembaga secara standard. Serlahan merah jambu-keemasan pada lambang Range Rover juga diberikan untuk buat pertama kalinya.

    Di dalamnya, Autobiography dilengkapi upholstery kulit Windsor dan kemasan kelabu. Ciri standard untuk kemasan ini termasuk pada lampu utama LED matrix, roda aloi split-spoke 21-inci dengan kemasan dua tona, bumbung panoramik berkaca, roda stereng dengan fungsi pemanas dan boleh laras secara kuasa, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa 14-hala dengan fungsi pemanas, pengaliran udara dan memori untuk tempat duduk pemandu dan juga tempat duduk belakang dengan fungsi pemanas.

    Land Rover juga turut memperkenalkan model Lafayette/Nolita Edition baharu (bergantung pada pasaran), nama yang diilhamkan dari jalan dan kejiranan di bandar metropolitan New York. Varian ini menampilkan bumbung Nolita Grey – pertama kali warna ini dilihat pada Evoque First Edition. Berdasarkan tahap kemasan S, ia turut menerima lampu utama LED premium dengan indikator jujukan, aloi dua-tona split-spoke 20-inci, bumbung berkaca, alas lantai premium dan treadplate iluminasi.

     
     
  • BMW Motorrad keluarkan rantai M Endurance dengan salutan karbon, tidak perlu pelincir, tahan lebih lama

    BMW Motorrad keluarkan rantai M Endurance dengan salutan karbon, tidak perlu pelincir, tahan lebih lama

    Bagi seorang pemilik motosikal, penyelenggaraan rantai adalah antara perkara penting yang perlu selalu dilakukan, dan jika tidak diambil perhatian ia akan mudah rosak. BMW Motorrad sedar tentang perkara ini, dan mereka cuba mengatasinya dengan mengeluarkan rantai M Endurance.

    Keistimewaan rantai ini adalah ia mempunyai salutan bahan yang dipanggil sebagai tetrahedrally amorphous carbon (ta-C) pada bahagian bushing pin dan juga roller, sebagai tambahan kepada Diamond Like Carbon (DLC) yang sudah biasa digunakan pada rantai.

    Dengan adanya salutan bahan ta-C ini, rantai tersebut dapat memberikan pelinciran yang kering dan geseran antara roller dan sprocket motosikal dapat dikurangkan. Ini seterusnya dapat menjadikan rantai tahan lebih lama.

    BMW Motorrad keluarkan rantai M Endurance dengan salutan karbon, tidak perlu pelincir, tahan lebih lama

    Selain daripada itu, melalui rantai M Endurance ini juga, pemilik tidak perlu berhadapan dengan minyak yang merecik, seperti yang selalu terjadi pada rantai biasa. Keadaan roda belakang motosikal akan menjadi lebih bersih.

    Menurut BMW Motorrad, apabila menggunakan rantai M Endurance ini, pemilik tidak perlu meletakkan pelincir pada rantai, dan penyelenggaraan bahagian ini dapat dikurangkan untuk menjadi hampir sama seperti motosikal yang menggunakan syaf.

    Rantai M Endurance ditawarkan dalam saiz 525, dan boleh diguna pada model S1000RR dan S1000XR. Ia dijual sebagai aksesori atau juga boleh dipilih terus sebagai aksesori tambahan apabila membeli motosikal baru.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: BMW Malaysia kemaskini senarai harga, model 5 Series turun hingga RM10,331

    Pengecualian SST 2020: BMW Malaysia kemaskini senarai harga, model 5 Series turun hingga RM10,331

    BMW Malaysia telah mengeluarkan senarai harga yang dikemaskini, termasuk model-model yang baru dilancarkan serta model-model sedia ada dalam senarai terdahulu. Jika diperhatikan, terdapat juga perbezaan harga bagi beberapa model. Semua harga terbaru ini sah sehingga 31 Disember 2020, dengan pengecualian cukai SST seperti yang diumumkan kerajaan.

    Baru masuk senarai ialah model 1 Series, yang ditawarkan dalam satu varian M135i xDrive sahaja, dengan harga RM355,646 selepas pengecualian cukai SST (harga biasa RM368,800). M2 Competition yang diperkenalkan tahun lalu juga memanfaatkan pengecualian SST, dengan harga RM608,867 berbanding RM631,800 – jimat RM22,933 atau 3.63%.

    5 Series biasa juga kini masuk semula dalam senarai ini. Daripada tiga varian yang ditawarkan, 520i Luxury, 530e M Sport dan 530i M Sport, yang pertama itu menyaksikan penjimatan paling banyak, turun RM10,331 atau 3.14% menjadi RM328,800 kepada RM318,469. Ini diikuti 530i M Sport pada harga RM363,756 (turun RM9,044), sementara model plug-in hybrid pula dijual pada harga RM333,693, kurang RM5,107.

    Senarai ini diteruskan dengan model X1 sDrive18i, X3 M, X4 M, M8 Coupe dan M8 Gran Coupe yang semuanya mengikut harga seperti yang diumumkan ketika pelancarannya baru-baru ini. Harganya tiada perubahan, melainkan model-model tersebut kini disertakan sekali dalam satu senarai lengkap.

    Pengecualian SST 2020: BMW Malaysia kemaskini senarai harga, model 5 Series turun hingga RM10,331

    Bagaimanapun, 6 Series GT menerima sedikit perubahan harga, dan kini lebih murah RM418,131 tanpa SST, berbanding RM430,800 sebelum ini. Lain pula ceritanya dengan X1 sDrive20i M Sport yang harganya makin naik; RM230,410 tanpa SST berbanding RM225,410 sebelum ini.

    Begitu juga dengan X3 xDrive30i M Sport yang kini dengan harga RM324,164 tanpa SST, naik daripada RM319,164 seperti yang terdapat dalam senarai terdahulu. Terakhir, Z4 kini menjadi RM469,510 tanpa SST berbanding RM464,510 sebelumnya.

    Turut terdapat ialah beberapa mdoel BMW yang disenaraikan tanpa harga pengecualian SST terkini, dengan sebahagian daripadanya merupakan model yang tidak lagi dikeluarkan seperti F82 M4, M5 F90 sebelum facelift dan kedua-dua versi i8. X2 dalam varian sDrive20i M Sport dan M35i juga sama, dengan harga tanpa pengecualian SST.

     
     
  • Honda S660 facelift dipasang dengan aksesori Mugen

    Honda S660 facelift dipasang dengan aksesori Mugen

    Semasa Tokyo Auto Salon awal tahun ini, Honda telah menunjukkan versi facelift bagi model kompak S660. Bagi model sebelumnya, Mugen telah menunjukkan hasil kerja mereka, dan tentunya, model facelift ini juga tidak terlepas.

    Pelbagai aksesori untuk kereta kei car ini telah pun didedahkan, khas untuk pemilik yang mahukan penampilan lebih sport. Memandangkan model ini termasuk dalam kelas khas di Jepun, enjinnya asalnya iaitu unit tiga silinder turbo DOHC 660 cc berkemampuan 64 PS dan 104 Nm tork masih tidak diusik.

    Untuk bahagian depan, Mugen menawarkan bampar baru yang termasuk sekali dengan splitter bawah, yang boleh ditambah lagi dengan lampu kabus LED dan lampu lain. Di belakang pula terdapat sirip tepi yang melengkapkan skirting tepi dan ia mempunyai bukaan udara untuk hiasan.

    Bampar belakang bukan setakat menggunakan rekaan sporty yang lebih tajam, tetapi juga mempunyai diffuser yang besar di bawah. Bahagian hujungnya diletakkan pemantul cahaya warna merah dan muncung ekzos diletakkan di tengah.

    Barangan lain yang ditawarkan oleh Mugen adalah termasuk rim aluminium lapan cabang dengan saiz 15 di hadapan dan 16 inci di belakang, serta kit penguat casis yang diberitahu boleh “melenyapkan gegaran serta bunyi kecil, dan meningkatkan stabiliti stereng.”

    Melalui gambar yang dikeluarkan, anda juga boleh melihat barang-barang lain seperti bonet dengan lubang udara di tepi, sayap belakang, bumbung jenis keras, gril sport, plat nombor pendaftaran gentian karbon serta lencana Mugen.

     
     
  • Pengecualian SST 2020: MINI Malaysia umum senarai harga terkini – RM13,997 lebih murah hingga 31 Dis

    Pengecualian SST 2020: MINI Malaysia umum senarai harga terkini – RM13,997 lebih murah hingga 31 Dis

    MINI Malaysia telah mengedarkan senarai harga terkini dan baharu, termasuklah dengan beberapa model yang baru dilancarkan; iaitu model 3 Door Cooper SE dan John Cooper Works GP. Begitu juga dengan Cooper S Convertible Sidewalk Edition dan varian Countryman 2019.

    Di mana senarai harga baharu ini digunapakai sehingga 31 Disember 2020 susulan pengecualian/pengurangan cukai jualan (SST) yang diumumkan kerajaan pada Jun lalu. Ia melibatkan pengecualian cukai jualan sebanyak 100% bagi model pemasangan tempatan (CKD) dan pengurangan 50% bagi model import sepenuhnya (CBU).

    Berbanding dengan senarai harga yang pernah diumumkan sebelum ini, tidak banyak angka yang berubah. Bermula dengan model 3 Door Cooper S, dari RM249,888 kini menjadi RM240,777, menyaksikan penurunan harga sebanyak RM9,111 atau 3.65%. Manakala harga John Cooper Works pula dikurangkan dari RM313,888 ke RM302,831, melibatkan pengurangan sebanyak RM11,057 atau 3.52%.

    John Cooper Works GP baharu, masih kekal sebagai MINI yang paling mahal setakat ini. Dengan SST, hot hatch itu ditawarkan pada harga RM388,888, tetapi telah dikurangkan ke RM377,471 dengan rebat. Lebih kurang sama dengan Cooper SE pacuan elektrik yang kini berharga RM218,381, berbanding RM225,888 jika tiada pengecualian SST.

    Pengecualian SST 2020: MINI Malaysia umum senarai harga terkini – RM13,997 lebih murah hingga 31 Dis

    Klik untuk besarkan

    Selain itu, tiada perubahan untuk Convertible, model 5 Door dan Clubman, ini termasuklah Sidewalk Edition yang dilancarkan pada Julai lalu dengan harga RM285,899 tanpa SST, berbanding RM295,888.

    Bagi barisan Countryman, model buatan 2019 varian Pure dan Sport serta model tahun 2020, harganya masih sama dengan SST. Walau bagaimana pun, selepas diskaun dengan rebat SST, kos varian 2019 didapati lebih mahal berbanding varian 2020, apa yang kami dimaklumkan, ini disebabkan penukaran pada transmisi – automatik lapan-kelajuan ke DCT tujuh-kelajuan – jadi pengiraan pengecualian cukai jualannya adalah berbeza untuk kedua-dua model tahun berkenaan.

    Sebelum ini, model Pure dan Sport 2019 tidak disenaraikan, dan kini Cooper S E All4 plug-in hybrid dengan pakej Wired, ditawarkan pada harga RM258,870, kurang sebanyak RM10,018 atau 3.73% daripada harga termasuk SST iaitu RM268,888.

     
     
  • Hyundai Kona – tiga varian untuk Malaysia; ada ciri keselamatan aktif Smart Sense bagi model 1.6 T-GDI

    Hyundai Kona – tiga varian untuk Malaysia; ada ciri keselamatan aktif Smart Sense bagi model 1.6 T-GDI

    Susulan pengumuman Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) mengenai Hyundai Kona yang akan dilancarkan pada suku ke-empat tahun ini, tempahannya juga telah dibuka dan dimaklumkan juga SUV segmen-B ini akan memasuki pasaran negara kita dengan dua pilihan penjana kuasa bagi tiga varian yang ditawarkan – 2.0 Standard, 2.0 Mid dan 1.6 T-GDI High.

    Bagi model asas Standard, ia akan dijanakan oleh enjin 2.0 liter Nu MPI Atkinson naturally aspirated, dan dipadankan bersama kotak gear torque converter automatik enam-kelajuan. Ketika memperkenalkan Kona di peringkat global, Hyundai berkata, enjin ini mampu memberikan sejumlah 149 PS dan tork 179 Nm dan pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam 10 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 194 km/j.

    Untuk varian tertinggi High pula menampilkan enjin 1.6 liter T-GDI turbo petrol empat-silinder, di mana untuk pasaran global, ia mampu memberikan 177 PS dan tork 265 Nm, dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan. Pecutan dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 7.7 saat dan kelajuan maksimum mencapai 210 km/j.

    Hyundai Kona – tiga varian untuk Malaysia; ada ciri keselamatan aktif Smart Sense bagi model 1.6 T-GDI

    Ciri untuk model asas Standard termasuklah roda 17-inci dengan tayar 215/55, sementara varian Mid dan High pula menerima 235/35R18. Bagi keselamatan pasif pula termasuk enam beg udara untuk semua varian, dengan model 1.6 T-GDI menerima ciri tambahan keselamatan aktif Hyundai Smart Sense yang merangkumi bantuan mengelak pelanggaran hadapan (AEB), bantuan kekal lorong, amaran pelanggaran titik buta dan kawalan brek menurun bukit.

    Kelengkapan pencahayaan untuk varian 2.0 Standard bermula dengan lampu utama halogen dan lampu belakang gabungan mentol biasa, sementara varian 2.0 Mid menerima lampu utama LED bi-function projection-beam dengan lampu selekoh statik bersama lampu belakang kombinasi LED. Manakala varian 1.6 T-GDI High pula sama dengan larasan pencahayaan seperti varian Mid, tetapi dengan penambahan lampu tinggi pintar.

    Di dalamnya, tempat duduk hadapan dengan larasan manual serta kawalan pendingin hawa manual diberikan untuk varian asas. Manakala varian 2.0 Mid dan 1.6 T-GDI High ditambah dengan lapan-larasan kuasa bersama sokongan belakang untuk tempat duduk pemandu, sementara tempat duduk penumpang hadapan kekal dengan larasan manual. Manakala pendingin hawa pula dipertingkatkan ke kawalan suhu automatik zon-tunggal.

    Hyundai Kona – tiga varian untuk Malaysia; ada ciri keselamatan aktif Smart Sense bagi model 1.6 T-GDI

    Dua varian tertinggi ini juga menerima paparan utama, sementara varian Standard tidak ditampilkan dengan ciri tersebut. Ruang dalaman Kona juga dijangka menampilkan elemen yang menonjol termasuk kepingan kemasan kontras, jahitan pada tempat duduk dan roda stereng, serta tali pinggang keledar berwarna.

    Kelengkapan infotainmen pula adalah sama untuk semua varian Kona – termasuklah sistem enam-pembesar suara dengan skrin sesentuh tujuh-inci, auxiliary audio input, USB, Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto.

    Pembeli yang berminat untuk memiliki Kona, bolehlah mendaftar di laman web rasmi HSDM, dan membayar RM288 untuk pra-tempahan. Harga rasmi bagi SUV ini masih belum diumumkan, tetapi menurut laman web terbabit, harganya bermula dari RM115,000. Jika dibandingkan dengan model pesaingnya, varian tertinggi Honda HR-V iaitu dari versi RS dijual pada harga RM118,582, Toyota C-HR berharga RM144,336, dan Mazda CX-3 pula berharga RM126,829 (semua harga yang disebut ini adalah selepas pengecualian cukai jualan yang sedang berlangsung hingga 31 Dis ini), adakah Kona mampu menambat hati penggemar SUV crossover di Malaysia?

    GALERI: Hyundai Kona 1.6 T-GDI di KLIMS 2018

    GALERI: Hyundai Kona Electric di KLIMS 2018

     
     
  • Ducati Panigale V2, V4 dan V4 S 2020 dilancar untuk pasaran Malaysia – harga RM110k, RM133k, RM172k

    Ducati Panigale V2, V4 dan V4 S 2020 dilancar untuk pasaran Malaysia – harga RM110k, RM133k, RM172k

    Selain Scrambler Icon Dark, Ducati Malaysia juga hari ini telah melancarkan Panigale V2, Panigale V4 dan Panigale V4S 2020. Harganya masing-masing adalah RM109,900, RM132,900 dan RM172,000 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Panigale V2 diperkenalkan buat pertama kali hujung tahun lalu sebagai pengganti kepada model Panigale 959, dan ia dikuasakan oleh enjin Superquadro 955 cc yang mampu menghasilkan 155 hp pada 10,750 rpm dan 104 Nm tork pada 9,000 rpm. Penunggang boleh mengawal penyampaian kuasa ini melalui tiga mod yang disediakan iaitu Race, Sport dan Street.

    Dibina atas kerangka monocoque, model ini nampak lebih kompak dan kembali menggunakan lengan ayun tunggal. Pakej elektronik baru yang diberikan pada V2 terdiri daripada Bosch Cornering ABS EVO, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Ducati Quick Shift Up/down (DQS) EVO dan Engine Brake Control (EBC) EVO.

    Pemilik V2 yang membawa motosikal ini ke dalam litar boleh menggunakan fungsi pencatat masa dan ia akan terpapar di panel instrumen digital TFT 4.3 inci. Melalui sistem Ducati Data Analyser dan GPS pula pemilik diberikan akses informasi tambahan seperti laju, bukaan pendikit, tahap rpm, gear dan pelbagai lagi apabila berada dalam litar.

    Dalam keadaan standard suspensi V2 ditala lebih kepada penggunaan atas jalan biasa, namun fork Showa BPF dan monoshock Sachs padanya boleh dilaras mengikut keperluan penunggang. Brek hadapan menggunakan cakera 320 mm berkembar serta angkup Brembo monobloc M4.32 manakala di belakang pula menggunakan cakera 240 mm dan angkup tunggal Brembo.

    Bagi V4, model yang baru dilancarkan ini adalah model 2020 dengan peningkatan yang menjadikannya lebih mesra pengguna namun dalam masa sama menjadikannya lebih pantas. Antara bahagian utama yang diubah adalah kerangka, pakej aerodinamik, Traction Control dan quickshifter.

    Pakej aerodinamik bagi V4 2020 kini lebih menyamai V4R (aerofoil, pelindung angin hadapan, fairing hadapan serta fairing tepi lebih besar yang turut mempunyai bukaan udara untuk radiator), manakala kerangkanya pula dijadikan lebih tegar mengikut spesifikasi Ducati Corse.

    Pada bahagian elektronik, sistem Ducati Traction Control (DTC) EVO 2 dipertingkat dengan strategi kawalan ramalan yang memperbaiki kawalan kuasa waktu keluar selekoh sementara Ducati Quick Shift (DQS) EVO 2 pula dipertingkat untuk memberikan penukaran gear yang lebih pantas.

    Panigale V4 dipacu oleh enjin V4 Desmosedici Stradale 1,103 cc yang mampu menghasilkan kuasa 214 hp pada 13,000 rpm dan 126 Nm tork pada 10,000 rpm. Bagi V4 S, ia dinaik taraf dengan kelengkapan seperti fork Ohlins NIX-30, monoshock Ohlins TTX36, damper Ohlins, sistem Ohlins Smart EC 2.0, bateri lithium ion serta rim forged Marchesini.

    GALERI: Ducati Panigale V2 2020

    GALERI: Ducati Panigale V4 S 2020

     
     
  • Honda Accord 1.5 Turbo kini sedan segmen-D paling laris di M’sia – 920 tempahan, 40% bahagian pasaran

    Honda Accord 1.5 Turbo kini sedan segmen-D paling laris di M’sia – 920 tempahan, 40% bahagian pasaran

    Selepas enam bulan masuk ke pasaran tempatan, dilancarkan pada Februari lalu, Honda Accord generasi kesepuluh kini merupakan sedan segmen-D paling laris di Malaysia, dengan menguasai 40% bahagian pasaran (sehingga Jun 2020) kelas berkenaan.

    Sehingga kini, Honda Malaysia menyatakan bahawa mereka telah menerima lebih dari 920 tempahan untuk model tersebut, dan hampir 500 unit daripadanya telah pun diserahkan pada pelanggan.

    Dari keseluruhan jumlah tempahan itu, 42% daripadanya adalah dari pelanggan yang berada di kawasan tengah semenanjung Malaysia, diikuti selatan dengan 23% dan utara sebanyak 19%. Honda Malaysia turut memberitahu, Accord dengan warna badan Platinum White Pearl menjadi pilihan paling popular, dengan 33% daripada jumlah tempahan adalah dalam warna tersebut.

    “Accord diperkenalkan bagi memeriahkan pasaran dan mentakrifkan semula segmennya dengan kombinasi reka bentuk elegan, enjin 1.5L VTEC Turbo yang dipertingkat dan rangkaian lengkap sistem Honda Sensing,” kata pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

    Honda Accord 1.5 Turbo kini sedan segmen-D paling laris di M’sia – 920 tempahan, 40% bahagian pasaran

    “Sejak dilancarkan tempahan dan prestasi jualan model flagship ini telah meningkat secara beransur-ansur, di mana sumbangan terbesar adalah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPD) dan terus membantu momentum,” tambahnya lagi.

    Seperti model generasi sebelumnya, Accord dihasilkan secara pemasangan tempatan menerusi fasiliti Honda yang terletak di Melaka. Namun model ini hanya ditawarkan dalam satu pilihan enjin, iaitu unit 1.5 liter VTEC Turbo, menghasilkan 201 PS dan tork maksima 260 Nm. Kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik Earth Dreams, memboleh ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.1 saat (9.0 saat untuk model lebih rendah 1.5 TC) sebelum mencapai kelajuan maksima 190 km/j.

    Bagi sistem keselamatan pula, semua varian Accord dilengkapi enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS, EBD dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan penderia parkir hadapan/belakang bersama kamera parkir pelbagai sudut, brek parkir elektrik dengan fungsi Brake Hold serta Pemantau Tumpuan Pemandu.

    Honda Accord 1.5 Turbo kini sedan segmen-D paling laris di M’sia – 920 tempahan, 40% bahagian pasaran

    Bagi model 1.5 TC-P, Accord diberikan pakej lengkap sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang terdiri dari sistem seperti cruise control adaptif, Low Speed Follow (LSF), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Model tertinggi ini juga diberikan tambahan sistem parkir separa-automatik Smart Parking Assist dengan Brake Assist di belakang, pemantau lintasan trafik belakang, kamera pemantau 360-darjah dan juga kamera Honda LaneWatch.

    Model asas Honda Accord 1.5 TC dijual pada harga RM178,203, manakala varian tertinggi 1.5 TC-P pula berharga RM187,390. Harga yang dinyatakan ini sudahpun dikecualikan dari cukai jualan yang diumumkan kerajaan, dan akan kekal sehingga 31 Disember 2020. Tanpa insentif berkenaan, Accord akan dijual pada harga masing-masing RM185,900 dan RM195,900.

    Untuk lebih perincian dan perbezaan spesifikasi serta lain-lain berkenaan Honda Accord generasi ke-10 ini, anda boleh lawati laman CarBase.my.

    GALERI: Honda Accord 1.5 TC-P 2020

     
     
  • Bermaz Auto rancang Mazda CX-30 CKD — MX-30 mild-hybrid, BT-50 serba baru dalam tahun 2021

    Bermaz Auto rancang Mazda CX-30 CKD — MX-30 <em>mild-hybrid</em>, BT-50 serba baru dalam tahun 2021

    Awal tahun ini, dilaporkan Bermaz Auto merancang untuk memperkenalkan SUV Mazda terbaru versi pemasangan tempatan (CKD) bagi tahun kewangan 2021, yang bermula dari 1 Mei 2020 hingga 30 April 2021.

    Walaupun tidak menyebut mana-mana model secara spesifik, ada dua kemungkinan sahaja, iaitu MX-30 dan CX-30 – model kedua ini sudahpun berada dalam pasaran dalam versi CBU lengkap. Bagaimanapun, itu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada 18 Mac lalu. Adakah rancangan itu masih akan diteruskan?

    Dalam satu episod The Breakfast Grille oleh BFM, yang disiarkan pada 13 Ogos, CEO Bermaz, Datuk Francis Lee membincangkan status terkini syarikat serta rancangan masa depannya, termasuk topik yang dinyatakan ini dan lain-lain perkara.

    Berkenaan SUV Mazda terbaru versi CKD, beliau mengesahkan bahawa suntikan tunai bernilai RM200 juta terhadap kilang Inokom di Kulim, Kedah di mana semua kereta CKD Mazda dipasang, telah diperuntukkan. Bermaz Auto memiliki 29% kilang Inokom tersebut dan telah mengeluarkan sekitar RM20 juta daripada RM200 juta itu untuk dilaburkan bagi kerja-kerja memperluas fasiliti berkenaan.

    Bermaz Auto rancang Mazda CX-30 CKD — MX-30 <em>mild-hybrid</em>, BT-50 serba baru dalam tahun 2021

    “Kami sentiasa melihat kepada lebih banyak model CKD. Tetapi, ketika tempoh pandemik ini, tentunya ia sedikit sebanyak terkesan. Tetapi kami belum berputus asa dan berharap Mazda akan cuba memenuhi permintaan kami. Kami masih lagi mengusahakannya dengan bersungguh,” jelas beliau.

    “Bagi perluasan kilang, ia akan diteruskan seperti dirancang, tetapi akan tertangguh untuk beberapa bulan akibat pandemik dan PKP. Peruntukkan kapital perbelanjaan RM200 juta ini akan berlangsung pada tahap Inokom dan bukannya Bermaz. Tentang aliran tunai, ini tidak akan menyusutkan nilai tunai kami,” tambah beliau.

    Tambah beliau; “kami juga masih berharap akan ada model CKD ketiga (selepas CX-5 dan CX-8) daripada Mazda Jepun, yang ketika ini masih diusahakan. Komunikasi dengan Hiroshima ketika ini agak terbatas. Kami tidak boleh terbang ke sana sesuka hati untuk mengadakan perbincangan. Tetapi harapnya dalam sebulan dua ini kami dapat duduk dalam satu panggilan persidangan maya untuk menyambung perbincangan.”

    Sekali lagi, model yang spesifik tidak dinyatakan, tetapi merasakan yang CX-30 merupakan model yang akan dipasang CKD, memandangkan MX-30 agak baru dan belum memasuki pasaran utama dunia secara menyeluruh lagi. Apapun, semua ini hanya akan dapat dipastikan dengan pengumuman rasmi oleh Bermaz nanti.

    Bermaz Auto rancang Mazda CX-30 CKD — MX-30 <em>mild-hybrid</em>, BT-50 serba baru dalam tahun 2021

    Ketika ditanya berkaitan Next Generation Vehicles (NxGVs) – seperti yang dinyatakan dalam NAP 2020 – beliau menyebut tentang MX-30; “kami ada perancangan untuk membawa masuk model-model generasi akan datang ini. MX-30 yang diperkenalkan ketika Tokyo Motor Show tahun lalu juga ada versi elektrik sepenuhnya. Rancangan awal kami adalah untuk membawanya masuk menjelang hujung tahun ini, tetapi bukan dalam versi elektrik sepenuhnya, kerana infrastruktur di Malaysia belum cukup tersedia.”

    “Apa yang ingin kami lakukan ialah membawa masuk versi mild-hybrid. Asalnya sebelum hujung tahun ini, tetapi disebabkan pandemik, ia akan tertangguh selama sebulan atau dua. Selebihnya, bila prasarana yang kita ada lebih meyakinkan, begitu juga dengan insentif yang baik oleh kerajaan, maka kami akan mempertimbangkan untuk membawa masuk MX-30 versi elektrik sepenuhnya,” jelasnya.

    “Model-model lain yang kami pertimbangkan untuk dibawa masuk ialah BT-50 serba baru. Model baru itu merupakan kerjasama dengan Isuzu, tetapi dengan rekaan Mazda yang tersendiri. Harapnya kami akan dapat memperkenalkannya dalam suku pertama tahun depan,” jelas beliau.

    Inilah serba sedikit kemaskini dan perkembangan Bermaz Auto ketika ini. Sama-sama kita nantikan pengenalan model-model yang disebutkan ini nanti.

     
     
  • Honda e hanya akan dijual di Eropah dan Jepun

    Honda e hanya akan dijual di Eropah dan Jepun

    Ada yang geram tengok kereta elektrik comel Honda e yang kelihatan seperti Honda Civic ‘telur’ generasi pertama ini? Geram macam mana sekalipun, telah sahajalah air liur – ini kerana Honda menyatakan bahawa mereka tidak merancang untuk menjual hatchback EV ini di pasaran selain Eropah dan Jepun.

    Ini bermaksud, pasaran besar seperti Amerika Utara dan juga China tidak akan menerima model ini, apatah lagi kita yang berada di ASEAN. Honda juga tidak mensasarkan jualan yang tinggi untuk kereta elektrik ini di mana mereka hanya menjangkakan jualan sebanyak 10,000 unit di seluruh Eropah dan 1,000 unit di Jepun setahun.

    Honda e telah mula dijual di pasaran Eropah awal bulan ini, manakala untuk Jepun, jualannya akan bermula pada hujung Oktober nanti. Honda turut menyatakan bahawa Honda e juga akan diperkenalkan dalam program perkongsian kenderaan di Jepun, menurut laporan Reuters.

    Honda e hanya akan dijual di Eropah dan Jepun

    MASS PRODUCTION HONDA E REVEALED AND SET TO DEBUT AT FRANKFURT

    Jenama Jepun itu juga memberitahu bahawa mereka tidak akan bersaing dengan Tesla atau pembuat lain, yang fokus kepada pemanduan jarak jauh serta saiz yang lebih besar seperti SUV. Honda e ini dihasilkan dengan ditumpukan lebih untuk pemanduan dalam bandar, walaupun untuk model yang lebih tinggi Honda e mampu bergerak sejauh 220 km dengan satu caj penuh, menurut Honda.

    Dengan kos penghasilan bateri yang tinggi, kebanyakkan kereta elektrik sepenuhnya perlu bersaing dalam pasaran premium, dan Honda perlu memastikan kos ini rendah untuk model elektriknya tersebut terus kekal kuat dan difokuskan pada kegunaan bandar moden.

    “Kebanyakkan EV menggunakan bateri berkapasiti tinggi, tetapi selalunya, kebanyakkan kapasiti tersebut tidak digunakan ketika dipandu di dalam bandar. Kami mempersoalkan adakah kereta yang lebih besar sesuai untuk kawasan urban, dan percaya bahawa lebih kecil adalah opsyen yang lebih baik untuk kegunaan bandar,” kata ketua jurutera Honda e Tomofumi Ichinose kepada wartawan awal minggu ini.

    Respon dinamik Honda e ini juga dibuat bersesuaian untuk kegunaan dalam bandar. Ichinose berkata bahawa jurutera Honda mengutamakan ketepatan dan juga pengendalian yang tajam bagi memastikan pusingan-U mudah dibuat pada jalan yang sempit, manakala cermin sisi telah digantikan dengan kamera yang memberikan visual pada dua paparan digital 12.3-inci bagi mengelakkan cermin bersaiz besar diletakkan pada bahagian sisi yang menyukarkan kereta ini bergerak pada laluan sempit.

    Honda e dihasilkan dalam dua varian kuasa – model dengan janaan 100 kW (136 PS) dan 113 kW (154 PS) – namun kedua-duanya menghasilkan tork 315 Nm. Di Jerman, Honda e dijual pada harga bermula 29,470 euro (RM145,460) untuk model 100 kW, dan 32,470 euro (RM160,268) untuk versi 113 kW.

     
     
  • PKPD di Aman Jaya, Sg Petani mulai tengah malam ini susulan Kluster Tawar, membabitkan 22,360 penduduk

    PKPD di Aman Jaya, Sg Petani mulai tengah malam ini susulan Kluster Tawar,  membabitkan 22,360 penduduk

    Kerajaan pusat telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Aman Jaya, Kedah bermula tengah malam ini sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Ia adalah susulan kewujudan Kluster Tawar yang membuatkan kes penularan wabak COVID-19 menjadi lebih serius di negeri berkenaan.

    Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia membabitkan 22,360 isi rumah (265 rumah) di tiga zon iaitu Kenanga, Mawar dan Melur dan mereka akan disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM), laporan Bernama.

    Beliau menjelaskan penduduk di zon itu tidak dibenarkan keluar dari zon tersebut manakala orang luar juga tidak dibenarkan memasuki zon berkenaan dan sekatan jalan raya akan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengawal jalan keluar masuk kawasan itu.

    PKPD di Aman Jaya, Sg Petani mulai tengah malam ini susulan Kluster Tawar,  membabitkan 22,360 penduduk

    “Individu yang perlu bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan sepanjang tempoh PKPD secara pentadbiran, dan mereka yang dari luar juga tidak dibenarkan datang bekerja di kawasan PKPD,” katanya.

    Beliau turut memberi peringatan kepada para majikan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan kepada pekerja terlibat yang tidak hadir bekerja memandangkan ia adalah perintah oleh kerajaan, dan menyarankan majikan membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah.

    Tambah beliau, tempat awam seperti masjid dan rumah ibadat serta institusi pendidikan termasuk sekolah, taska dan pusat tuisyen turut diarah tutup sepanjang tempoh PKPD pentadbiran. Hanya premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi seperti kedai makan, kedai runcit, stesen minyak, farmasi, klinik dan hospital.

    “Restoran dan kedai makan hanya boleh menggunakan kaedah bungkus dan bawa pulang dan dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam, serta kedai menjual ubat-ubatan juga boleh beroperasi sehingga 8 malam sahaja,” katanya sambil menambah klinik dan hospital pula dibenar beroperasi 24 jam.

    Operasi pasar malam dan pasar tani tidak dibenarkan dan hanya pasar harian boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 2 petang, manakala bagi stesen minyak dan kedai runcit pula, waktu operasi ditetapkan 8 pagi hingga 8 malam.

    Menurut Ismail Sabri, hanya ketua keluarga atau seorang dari sebuah rumah dibenarkan keluar bagi tujuan pembelian barang makan atau keperluan keluarga. Bagaimanapun, bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka yang terlibat dibenarkan keluar tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024