Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Hyundai Kona facelift muncul – kini dengan varian N Line, tambahan pilihan enjin dan kelengkapan

    Hyundai Kona facelift muncul – kini dengan varian N Line, tambahan pilihan enjin dan kelengkapan

    Hyundai Kona telah diberikan facelift awal yang menurut Hyundai, dilakukan selepas mendapat permintaan daripada pelanggan di Eropah. Melalui penyegaran ini, SUV segmen B tersebut mendapat muka baru, serta pilihan trim N Line baru yang memberikan penampilan berbeza berbanding model facelift biasa.

    Selain penampilan, Kona pasaran Eropah juga diberikan tambahan pilihan enjin (ada yang lebih sporty dan ada yang lebih mesra alam), serta sistem sambungan dan kemudahan yang dipertingkat.

    Kenapa Hyundai mengambil penting pasaran Eropah? Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, “SUV kompak untuk millenial” ini telah mencatat jualan lebih 228,000 unit di benua itu. Ia juga telah menerima pelbagai anugerah rekaan termasuk iF Design Award 2018, Red Dot Award 2018 dan IDEA Design Award 2018.

    Hyundai Kona facelift muncul – kini dengan varian N Line, tambahan pilihan enjin dan kelengkapan

    Perubahan paling besar bagi Kona facelift ini adalah mukanya. Banyak bahagian yang diubah, dengan di bahagian tengah terdapat gril yang lebih nipis tetapi lebar, dan tiada lagi jalur bukaan udara nipis di atasnya dan diletak dengan logo Hyundai.

    Lampu DRL yang kelihatan seperti kening pada Kona masih lagi dikekalkan (dengan bentuk yang sedikit berlainan), tetapi lampu utama di bawahnya adalah lebih kecil dan mempunyai tiga gugusan lampu di dalamnya. Sebelum ini, kemasan plastik hitam di tepi cuma berada pada sekeliling lengkuk roda, tetapi kini ia bersambung di depan dan belakang sehingga ke bampar. Bahagian bawah bampar mempunyai skid plate berwarna kelabu yang berbentuk tajam di hujung.

    Bahagian belakang juga menggunakan rekaan yang sama – bampar hitam dan kemasan kelabu di tengah. Grafik untuk lampu telah ditukar sementara lampu yang berada di bawah juga mempunyai bentuk baru. Akhir sekali, SUV kompak ini dilengkapi dengan rekaan rim 17 dan 18 inci baru (unit 16 inci masih lagi sama), dan panjang keseluruhan kenderaan bertambah 40 mm (disebabkan perubahan bahagian depan).

    Hyundai Kona facelift muncul – kini dengan varian N Line, tambahan pilihan enjin dan kelengkapan

    Pergi pula kepada model N Line, ia lebih menyerupai Kona sebelum facelift kerana menggunakan logo di tengah gril dan masih mempunyai jalur bukaan udara di atasnya (tetapi sekarang dibahagikan kepada tiga). Satu lagi sebab ia nampak seperti Kona sebelum ini adalah ia juga menggunakan kemasan hitam di bahagian bawah bampar. Keliling roda menggunakan kemasan yang sama warna seperti badan.

    Skid plate pada model biasa diganti dengan lip aerodinamik, berserta hujung seperti sirip dan bukaan udara yang lebih besar dan “teknikal”. Rekaan gril serta rim 18 inci padanya juga adalah unik untuk model ini. Pada bahagian belakang anda akan dapat melihat diffuser besar berwarna hitam bersama dua muncung ekzos di bahagian tepi.

    Kona facelift ini datang dengan lima warna baru iaitu Surfy Blue, Dive in Jeju, Ignite Flame, Cyber Gray dan Misty Jungle, sekaligus menjadikan keseluruhannya ada 10 pilihan warna yang disediakan. Kesemuanya boleh digabungkan dengan bumbung berwarna hitam dan pelindung cermin sisi yang sama warnanya.

    Hyundai Kona facelift muncul – kini dengan varian N Line, tambahan pilihan enjin dan kelengkapan

    Hyundai memberitahu sasaran mereka untuk bahagian dalam adalah untuk menunjukkan lebih aspek canggih dan memperbaiki kualiti yang boleh dirasa. Sebab itulah papan pemuka nampak lebih tegap berbanding sebelum ini. Bentuk asasnya adalah sama, tetapi konsol tengah telah dipisahkan antara bahagian atas dan bawah.

    Gegelung pada pembesar suara dan corong pendingin hawa kini mendapat kemasan aluminium, sementara ciri tambahan lain termasuk brek parkir elektrik dan lampu suasana untuk konsol tengah serta bawah kaki. Tempat duduk menggunakan warna serta bahan baru. Selain hitam, pilihan yang diberikan adalah termasuk beige dan kulit berwarna khaki dengan konsol tengah berwarna coklat.

    Model N Line datang dengan kemasan dalam warna hitam, tetapi boleh dipilih dengan kain biasa, kulit atau suede untuk tempat duduk. Menambahkan lagi rasa sporty, bahagian dalam model ini datang dengan jahitan merah, pedal besi, serta lencana N pada roda stereng, tombol gear dan tempat duduk.

    Hyundai Kona facelift muncul – kini dengan varian N Line, tambahan pilihan enjin dan kelengkapan

    Untuk ciri teknologi dan sambungan, Kona facelift ini mendapat panel digital 10.25 inci seperti yang diguna pada i20. Ia boleh dipadankan dengan skrin AVN 10.25 inci dengan fungsi pembahagi dan beberapa sambungan Bluetooth kepada peranti berlainan. Naik taraf Bluelink yang dibuat menjadikan ia kini mempunyai fungsi Last Mile Navigation, Connected Routing, Live Parking Information dan Free Text Search.

    Arahan suara kini boleh digunakan untuk kawalan pendingin hawa, tingkap belakang serta pemanas cermin sisi dan roda stereng. Sistem Display Audi kini dinaik taraf satu inci dan boleh digunakan dengan Android Auto dan Apple CarPlay secara wireless.

    Ciri keselamatan dan sistem bantuan pemandu juga mendapat banyak naik taraf. Smart Cruise Control (SCC) telah dipertingkat dengan fungsi Stop and Go, manakala Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA) kini boleh mengaktifkan brek differential untuk mengelakkan perlanggaran pada titik buta.

    Hyundai Kona facelift muncul – kini dengan varian N Line, tambahan pilihan enjin dan kelengkapan

    Sistem Leading Vehicle Departure Alert (LVDA) baru dapat memberikan amaran kepada pemandu sekiranya mereka tidak memberi reaksi cukup pantas apabila kenderaan di hadapan mula bergerak. Lane Following Assist (LFA) pula mengekalkan kenderaan dalam lorong.

    Sistem Forward Collision-Avoidance Assist (FCA) dengan pengesanan pejalan kaki datang secara standard, tetapi pengesan penunggang basikal yang memerlukan sensor tambahan pada kamera disediakan sebagai pilihan tambahan. Sensor tambahan itu juga dapat meningkatkan jarak pengesanan dan memastikan sistem ini beroperasi baik dalam keadaan cuaca buruk. Sistem Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA) pula ditambah baik dengan fungsi membrek apabila mengundur (sebelum ini amaran sahaja).

    Satu lagi sistem unik adalah Rear Seat Alert (RSA) yang dapat memberikan amaran sekiranya terdapat sesuatu pada tempat duduk belakang (termasuk manusia) apabila mereka keluar daripada kenderaan. Lagi ciri keselamatan untuk kanak-kanak adalah Safe Exit Warning (SEW) yang mengelakkan penumpang turun apabila kereta masih lagi dalam keadaan tidak selamat.

    Hyundai Kona facelift muncul – kini dengan varian N Line, tambahan pilihan enjin dan kelengkapan

    Pilihan enjin untuk Kona kini ditambah dengan unit 1.6L T-GDI Smartstream 198 PS yang dipertingkat, bersama padanan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dan pilihan pacuan 2WD atau 4WD. Sistem hibrid ringkas 48 volt digunakan pada enjin diesel Smartstream yang berkuasa 136 PS dan ia boleh didapati dengan transmisi sama ada DCT tujuh kelajuan atau Intelligent Manual Transmission (iMT) enam kelajuan, dan pilihan pacuan 4WD.

    Model asas yang menggunakan enjin petrol 1.0L T-GDI Smartstream 120 PS juga boleh dipasang dengan sistem hibrid ringkas dan transmisi iMT enam kelajuan. Sekiranya tidak menggunakan sistem hibrid, enjin ini dipadankan bersama transmisi DCT atau manual enam kelajuan.

    Bahagian lain yang dipertingkat untuk Kona facelift ini adalah suspensi yang ditala semula, tayar model terbaru, NVH yang diperbaiki, stereng yang ditala semula, pemanas pada tempat duduk belakang, larasan tinggi untuk tempat duduk penumpang hadapan serta soket USB untuk tempat duduk belakang. Kona akan dilancarkan untuk Malaysia tidak lama lagi pada harga bermula RM115k dan versi yang akan diterima boleh dilihat di sini.

    GALERI: Hyundai Kona facelift 2020

    GALERI: Hyundai Kona facelift N Line 2020

     
     
  • Peugeot 3008 facelift didedah – muka lebih garang

    Peugeot 3008 facelift didedah – muka lebih garang

    Peugeot baru sahaja mendedahkan 3008 facelift yang kini nampak lebih agresif dan lebih menyamai model baru 208, 2008 dan 508. Bahagian paling utama yang menjadi perhatian adalah gril tanpa rangka tepi dan ia mempunyai garis melintang yang seakan memberi kesan tiga dimensi.

    Pada bahagian bucu bampar, bersambung dari lampu utama, terdapat jalur LED yang berfungsi sebagai lampu siang dan juga lampu penunjuk arah. Kemudiannya, buat pertama kali, lencana nombor model diletakkan pada bonet, atas pada gril sementara kemasan plastik lain diwarnakan hitam supaya lebih dramatik.

    Lampu belakang pula kini menggunakan unit LED penuh, yang digelapkan dan lampu penunjuk arah jenis sequential. Pelanggan diberikan tiga pilihan kemasan untuk model ini dan beberapa warna baru termasuk Celebes Blue dan Vertigo Blue. Bahagian luaran juga boleh dinaik taraf dengan pakej pilihan Active Pack, Black Pack atau GT Pack (gril serta rim 19 inci tersendiri).

    Pergi ke bahagian kabin, SUV kompak ini dilengkapi dengan susun atur i-Cockpit terbaru. Panel instrumen digital 12.3 inci padanya dipertingkat dengan grafik baru manakala skrin sesentuh infotainmen di bahagian tengah papan pemuka kini lebih lebar – bersaiz 10 inci.

    Semua model kini mendapat pemilih mod pemanduan secara standard, yang membolehkan pemandu memilih antara mod Normal, Sport atau Eco. Model PHEV mendapat tambahan beberapa lagi mod iaitu Electric, Hybrid dan Sport. Seperti yang boleh dilihat dalam gambar di bawah, kabin model ini boleh didapati dengan balutan kulit Nappa (GT), Alcantara/PET atau Mistral Nappa.

    Kemasan Dark Lime Wood berserta jalur krom, dan cermin pandang belakang tanpa bingkai adalah baru. Pemilik juga boleh memilih sistem bunyi Focal 515 watt. Model ini juga dilengkapi dengan brek parkir elektronik, tempat duduk dengan fungsi mengurut serta bumbung suria.

    Peugeot 3008 facelift didedah – muka lebih garang

    Untuk enjin, pengguna diberikan pilihan dua enjin petrol turbo ataupun satu enjin diesel. Untuk enjin petrol, ia unit paling kecil adalah 1.2 liter tiga silinder PureTech 130 berkuasa 130 hp/230 Nm, dan ia boleh disediakan dengan transmisi sama ada manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan – kuasa dihantar ke dua roda hadapan.

    Satu lagi enjin petrol adalah unit empat silinder 1.6 liter PureTech 180 sama seperti sebelum ini, yang berkemampuan 180 hp dan 250 Nm tork. Enjin ini cuma datang dengan transmisi automatik lapan kelajuan. Bagi yang mahukan enjin diesel, mereka diberikan pilihan unit 1.5 liter BlueHDi yang berkuasa 130 hp dan 300 Nm tork, dan boleh dipadankan dengan sama ada transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan.

    Model 3008 facelift ini juga datang dengan varian baru iaitu Hybrid 225. Ia boleh dianggap sebagai versi Hybrid4 300 yang dikurangkan sedikit kuasanya, dan menggunakan pacuan roda hadapan. Varian ini menggunakan gabungan enjin 1.6 liter PureTech 180 dan motor elektrik 80 kW untuk bersama menghasilkan 225 hp dan 360 Nm tork. Transmisi adalah unit automatik lapan kelajuan.

    Varian Hybrid4 300 juga menggunakan enjin 1.6 liter yang sama, tetapi mendapat dua motor elektrik (satu untuk setiap gandar). Kuasa keseluruhannya adalah 300 hp dan 520 Nm tork. Ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat sementara Hybrid 225 melakukannya dalam masa 8.7 saat.

    Kedua-dua model PHEV ini menggunakan pek bateri 90 kWH yang sama, menawarkan jarak gerak elektrik 56 km untuk Hybrid 225 dan 59 km untuk Hybrid4 300. Apabila menggunakan soket domestik single phase 8A, baterinya boleh dicas dari kosong hingga penuh dalam masa tujuh jam, atau apabila menggunakan soket 14A, ia mengambil masa empat jam. Menurut Peugeot, bateri ini mendapat jaminan lapan tahun atau 160,000 km.

    Pada bahagian keselamatan, SUV ini mendapat Adaptive Cruise Control, sistem kamera 360 darjah Visiopark 2, Park Assist, Lane Keeping Assist, Driver Warning Alert, Auto High Beam Assist, Speed Sign Recognition, Active Blind Spot Monitoring System, dan Advanced Grip Control (Normal, Snow, Mud, Sand). Ia juga datang dengan fungsi night vision dan AEB generasi terbaru.

     
     
  • Penunggang motosikal tidak boleh guna laluan kecemasan, digalakkan guna lorong kiri – MIROS

    Penunggang motosikal tidak boleh guna laluan kecemasan, digalakkan guna lorong kiri – MIROS

    Umum mengetahui, lorong kecemasan adalah dikhaskan untuk kenderaan pihak berkuasa sekiranya ada berlaku hal kecemasan selain ruang untuk pengguna lebuh raya berhenti sekiranya kenderaan mereka rosak. Walau bagaimana pun, penggunaan lorong kecemasan oleh mana-mana kenderaan sebagai laluan terutamanya bagi mengelakkan kesesakan trafik adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

    Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Khairil Anwar Abu Kassim, berkata ini termasuklah penunggang motosikal yang dilarang menggunakan lorong kecemasan. Namun jika isu berkaitan kecemasan, penunggang motosikal wajar diberikan kelonggaran untuk menggunakan lorong kecemasan, ujar beliau.

    “Menurut undang-undang, memang menjadi satu kesalahan sekiranya lorong kecemasan digunakan oleh mana-mana kenderaan termasuklah motosikal dan boleh dikenakan tindakan. Bagaimanapun, dalam konteks keselamatan, adalah lebih baik memisahkan kenderaan lain yang lebih besar seperti kereta atau kenderaan berat yang berada di laluan sama dengan motosikal.

    “Justeru penunggang motosikal digalakkan menunggang di sebelah kiri laluan dan jika ada keperluan, mereka boleh menggunakan lorong kecemasan namun perkara itu masih di peringkat perbincangan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Penunggang motosikal tidak boleh guna laluan kecemasan, digalakkan guna lorong kiri – MIROS

    Tambah beliau,membenarkan motosikal menggunakan lorong kecemasan boleh dianggap sebagai penyelesaian sementara dalam situasi tertentu, contohnya di lebuh raya yang mengalami kesesakan trafik, namun penunggang motosikal tidak sepatutnya menganggap laluan kecemasan itu adalah milik mereka.

    “Kita masih meneliti perkara ini kerana masih wujud risiko lain seperti kemalangan membabitkan penunggang motosikal dengan kenderaan rosak yang berhenti di lorong kecemasan.

    “Penunggang motosikal juga harus mematuhi undang-undang yang sudah dimaktubkan bahawa tiada kenderaan boleh menggunakan lorong kecemasan dan sekiranya ada keperluan untuk menggunakan lorong kecemasan, mereka perlu menggunakannya secara berhemah,” katanya.

    Walau bagaimana pun, menurut Khairil Anwar, penunggang motosikal sewajarnya mematuhi undang-undang asas semasa menunggang motosikal termasuk memakai topi keledar dengan sempurna, memakai pakaian keselamatan yang bersesuaian termasuk kasut. Mereka juga seharusnya memikirkan bahawa sebuah motosikal yang mempunyai fungsi brek yang lebih baik seperti ABS akan dapat membantu mengelak kemalangan.

    Penunggang motosikal tidak boleh guna laluan kecemasan, digalakkan guna lorong kiri – MIROS

    “Ini bagi mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan, dan dalam masa sama mereka perlu mematuhi had laju yang ditetapkan serta peka dengan situasi di laluan itu.

    “Ini kerana kita kerap mendengar berlaku kemalangan membabitkan motosikal dengan kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan kerana rosak atau ada kenderaan lain yang tiba-tiba menukar laluan dan masuk ke lorong kecemasan.

    “Perkara ini boleh dielakkan sekiranya penunggang motosikal menggunakan lorong kecemasan dengan berhati-hati. Lorong kecemasan bukanlah laluan khas motosikal,” katanya.

    Sebelum ini, terdapat beberapa insiden yang berlaku di mana terdapat kereta merempuh penunggang motosikal yang menggunakan laluan kecemasan. Malah hujung minggu lalu, satu video tular yang memaparkan sebuah Toyota Camry melanggar penunggang motosikal yang sedang melalui lorong kecemasan. Walau bagaimana pun pemandu Camry berkenaan telah pun ditahan reman untuk siasatan lanjut.

     
     
  • Nissan Z Proto akan didedahkan 15 Sept ini – prototaip Fairlady 400Z yang mungkin hampiri model produksi

    Nissan mengumumkan bahawa mereka akan mendedahkan model Z Proto, iaitu unit prototaip untuk generasi seterusnya kereta sport Nissan Z pada 15 September ini. Pengumuman tersebut dibuat menerusi satu video teaser yang disiar menerusi laman-laman media sosial rasmi mereka.

    Video tersebut memaparkan model-model Nissan Z dari model generasi pertama ‘Devil-Z’ S30Z Fairlady 240Z sehingga generasi terakhir Z34 Fairlady 370Z. Tiada sebarang perincian untuk model Z Proto berkenaan yang disebut, kecuali rekaan lampu LED hadapan yang sama seperti disiarkan pada teaser sebelum ini.

    Tidak mustahil penampilan model Z Proto ini nanti akan mendedahkan rupa yang hampir kepada versi produksinya kelak. Menurut laporan dari Auto Express sebelum ini, model baharu berkenaan akan digelar sebagai 400Z, dan ia bakal diperkenalkan pada penghujung tahun 2022, sempena genap 15-tahun selepas generasi sedia ada Z34 berada dalam pasaran.

    Menurut laporan tersebut lagi, 400Z berkenaan akan dihasilkan menggunakan platform FM (asas yang sama seperti Infiniti Q60 Coupé) yang diolah semula. Tidak seperti model generasi Z33 dan Z34 yang hadir dengan enjin NA, model generasi baharu ini akan dibekalkan dengan dua pengecas turbo seperti pada model Z32.

    Secara spesifiknya, 400Z akan dijana oleh enjin 3.0 liter V6 turbo berkembar menjana lebih dari 400 hp/500 Nm yang masih diletakkan dalam konfigurasi FR (enjin hadapan pacuan belakang). Kuasa berkenaan dihasilkan sepenuhnya dari kaedah pembakaran dalaman konvensional, tanpa sebarang bantuan sistem hibrid elektrik walaupun Nissan kini sedang beralih ke teknologi elektrifikasi.

    Portal tersebut turut menyatakan bahawa unit janakuasa serta casis untuk model ini sudah pun ada, dan ia berkemungkinan turut akan menerima model talaan Nismo yang memberikan lebih prestasi. Nissan 400Z ini bakal masuk ke pasaran-pasaran utama termasuk Amerika Utara, China dan Eropah.

    Sehingga sekarang, tiada sebarang unit prototaip sebenar muncul di mana Nissan dilihat hanya menguji model tersebut disebalik badan Fairlady 370Z generasi Z34 sedia ada. Tetapi menurut berberapa laporan media sebelum ini, Z generasi baharu berkenaan akan menerima ciri-ciri dari model klasik, di mana mukanya diilhamkan dari model generasi pertama S30Z 240Z, manakala lampu belakangnya pula akan menyerupai model 300ZX.

    Dakwaan tersebut diperkuatkan dengan video teaser yang disiarkan – bayangan badan kereta sport tersebut nampak jelas dengan elemen 240Z, terutamanya pada bayang badan keseluruhan termasuk bentuk bumbung dan cermin-cermin tingkap, serta logo ‘Z’ pada tiang-C.

     
     
  • Kerajaan sedang kaji bina Lebuhraya Seremban-Kemayan sebagai laluan alternatif ke pantai timur

    Kerajaan sedang kaji bina Lebuhraya Seremban-Kemayan sebagai laluan alternatif ke pantai timur

    Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Eddin Syazlee Shith mengesahkan kerajaan sedang mengkaji untuk membina satu laluan alternatif dari Seremban ke Kemayan, Pahang bagi memudahkan pengguna ke pantai timur.

    Menurut beliau, laluan berkenaan yang bertaraf lebuh raya dilihat mampu memendekkan jarak perjalanan selain meredakan aliran trafik yang sesak di laluan utama sedia ada menuju ke pantai timur.

    “Buat masa ini kertas cadangan sudah ada cuma kita tidak mengetahui bila jangkaan untuk projek ini disiapkan. Saya berharap agar projek ini diteruskan kerana ia bukan sahaja mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah dapat mempromosi produk pelancongan dan membangunkan ekonomi penduduk setempat,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

    Jelas beliau, cadangan pembinaan lebuh raya berkenaan juga sebelum ini telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ketika itu baginda merupakan Pemangku Sultan Pahang.

    “Baginda mengalu-alukan projek pembinaan jalan raya tersebut memandangkan laluan Seremban-Pahang berbentuk landai berbanding jalan berbukit di sebelah Bukit Tinggi, Pahang selain menjadi pilihan pengguna,” katanya.

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-AMG GLB 35 X247 di Malaysia

    SPYSHOT: Mercedes-AMG GLB 35 X247 di Malaysia

    Ada satu kiriman terbaru daripada seorang pembaca, Lakhvinder Gill, yang menunjukkan kehadiran Mercedes-Benz GLB di Malaysia. Model berkenaan diangkut di atas sebuah trak, dan sedang melalui Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE). Lebih menarik, ia adalah dari versi Mercedes-AMG GLB 35 4Matic.

    Model crossover berkenaan nampaknya akan ditawarkan di dalam tingkat kemasan prestasi tinggi. Tidak seperti A 35 hatchback, GLB 35 tidak akan ditampilkan dalam varian Edition 1, sebaliknya akan menerima pilihan roda paling besar – 20-inci dalam warna hitam kesat.

    Menjanakan kuasa GLB 35 ini ialah enjin 2.0 liter M260 turbocas empat-silinder petrol, menghasilkan 306 PS dari 5,800 rpm hingga 6,100 rpm dan 400 Nm tork antara 3,000 rpm dan 4,000 rpm. Ia juga menerima transmisi klac-berkembar lapan-kelajuan (sama seperti pada A 45) dengan pacuan semua roda. 0-100 km/j dicapai dalam masa 5.2 saat.

    SPYSHOT: Mercedes-AMG GLB 35 X247 di Malaysia

    Mungkin akan ada juga penawaran varian biasa untuk pasaran tempatan kelak. GLB turut hadir dengan dua pilihan enjin petrol lain – GLB 200 menerima unit 1.3 liter turbocas empat-silinder (163 PS/250 Nm) dari Renault yang digandingkan dengan DCT tujuh-kelajuan Getrag. Sementara itu, GLB 250 4Matic menerima versi enjin M260 2.0 liter (224 PS/350 Nm) yang digandingkan bersama DCT lapan-kelajuan serta pacuan semua roda.

    Diposisikan di atas model GLA, GLB ini sedikit lebih besar dan mempunyai tempat duduk barisan ketiga – menjadi yang pertama dalam barisan SUV kompak Mercedes. Rekaannya juga lebih berkotak dan mempunyai rekaan dalaman yang lebih menarik, serta pakej Offroad Engineering bagi memberikannya kelebihan tambahan.

     
     
  • Nissan akan perkenalkan logo terkini di M’sia ketika Almera baharu dilancarkan dalam masa terdekat

    Nissan akan perkenalkan logo terkini di M’sia ketika Almera baharu dilancarkan dalam masa terdekat

    Nissan telah melancarkan logo baharu mereka untuk peringkat global pada Julai lalu, dan crossover elektrik sepenuhnya iaitu Ariya merupakan model pertama yang menggunakan logo tersebut.

    Selain pada kereta, logo baharu tersebut telah pun digunakan dalam pelbagai medium termasuk digital dan fizikal, seperti pada kepala surat, sehingga ke pemasaran media sosial dan digital. Untuk pasaran Malaysia, Nissan bakal memperkenalkan logo tersebut ketika model generasi kedua Almera dilancarkan tidak lama lagi.

    Namun ini bukan bermaksud ia akan terus dilekatkan pada kereta, tetapi Edaran Tan Chong Motor (ETCM) akan memperkenalkan logo baharu berkenaan kepada pasaran Malaysia secara berperingkat, menerusi pelbagai medium.

    Menurut Nissan, rekaan logo baharu ini melambangkan masa hadapan, dalam masa yang sama masih berbangga dengan warisan sejarah yang kaya serta tradisi innovasi mereka. Ia menampilkan rupa yang lebih ringkas, diberikan tulisan dan juga gegelang yang lebih kurus – sama dengan pendekatan yang diambil oleh Volkswagen.

    Logo ini sebenarnya telah didedahkan pertama kali di Tokyo Motor Show tahun lalu, ditampilkan pada gril hadapan tiga dimensi model konsep Nissan Ariya. Nissan juga telah dilaporkan memfailkan tanda dagangan logo baharu ini di Britain, Peru, Uruguay, Chile dan Argentina pada Mac lalu.

    Secara keseluruhan, logo ini akan tampil dalam empat suai reka berbeza pada produk dan komunikasi jenama Nissan – logo putih 3D dengan bayang, logo 2D putih dengan bayang dan dua logo rata 2D, dalam warna hitam dan warna putih (di atas latar belakang hitam).

    Model-model elektrik Nissan akan menampilkan logo eksklusif yang menyala dengan 20 LED (mewakili tempoh tahun logo berkenaan direka semula) bagi memberikan bayangan bahawa Nissan kini sedang menuju masa hadapan dengan teknologi elektrifikasi.

     
     
  • Toyota Yaris Cross dilancar di Jepun – 1.5L petrol dan hibrid, 2WD/AWD, hingga 30.8 km/l, RM71k-RM110k

    Toyota Yaris Cross dilancar di Jepun – 1.5L petrol dan hibrid, 2WD/AWD, hingga 30.8 km/l, RM71k-RM110k

    Pasaran Jepun telah pun menerima kemasukan Toyota Yaris Cross yang dilancarkan di sana semalam. Menurut Toyota, versi crossover bagi Yaris ini menggabungkan ketangkasan, ciri keselamatan dan penjimatan bahan api bagi supermini dengan gaya ala SUV.

    Yaris Cross ditawarkan dengan dua pilihan penjana kuasa. Versi petrol dengan unit 1.5 liter Dynamic Force naturally-aspirated tiga-silinder yang mampu menghamburkan kuasa hingga 120 PS pada 6,600 rpm dan tork dari 4,800 hingga 5,200 rpm. Dipadankan bersama Direct Shift CVT dan ada pilihan sama ada pacuan dua- atau pun semua-roda. Penggunaan bahan api kombinasinya pula sehingga 20.2 km per liter (18.5 km per liter dengan AWD).

    Manakala bagi model hibrid pula, ia menerima enjin versi kitaran Atkinson, mampu menghamburkan sehingga 91 PS pada 5,500 rpm dan tork 120 Nm dari 3,800 hingga 4,800 rpm. Penjana kuasa ini juga digabungkan dengan motor elektrik 80 PS/141 Nm yang mampu memberikan keseluruhan output sebanyak 116 PS; versi E-Four pula ditambah motor belakang 5.3 PS/52 Nm untuk menyalurkan AWD. Penjimatan bahan apinya pula sehingga 30.8 km per liter dengan 2WD dan 28.7 km per liter untuk E-Four, kedua-duanya dengan kitaran WLTP.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, berkongsi banyak komponen dengan Yaris hatchback termasuk platform TNGA-B sebagai asas. Oleh itu, ia dihasilkan dengan jarak roda yang sama iaitu 2,560 mm. Namun dengan penggayaan SUV yang diberikan, dimensi lain telah berubah sedikit – ia 240 mm lebih panjang dengan 4,180 mm untuk memberikan ruang dalaman lebih besar, 20 mm lebih lebar dengan 1,765 mm dan 90 mm lebih tinggi dengan 1,560 mm.

    Toyota Yaris Cross dilancar di Jepun – 1.5L petrol dan hibrid, 2WD/AWD, hingga 30.8 km/l, RM71k-RM110k

    Dengan saiz ini juga, Yaris Cross diletakkan di bawah satu lagi SUV segmen-B Toyota iaitu C-HR. Ini kerana berbanding C-HR, Yaris Cross adalah 180 mm lebih pendek, 30 mm kurang lebar, 5 mm lebih rendah dan jarak roda 80 mm lebih dekat.

    Ia juga masih diberikan lampu belakang belakang dengan kluster dan grafik jalur merah yang merentangi pintu tailgate, tetapi ia direka nampak lebih ‘tebal’.

    Pembeli boleh memilih antara lapan pilihan warna termasuklah warna baharu Brass Gold Metallic dan Silver Metallic. Tujuh pilihan warna juga terdapat dengan kemasan dua-tona bersama bumbung dan perumah cermin sisi berwarna hitam; juga kombinasi Black Mica dengan bumbung dan perumah cermin sisi Gold Metallic. Pilihan dimensi roda pula dari 16 hingga 18 inci.

    Persamaannya dengan Yaris banyak kelihatan di bahagian kabin, termasuk penggunaan rekaan papan pemuka dan pemuka pintu yang sama. Rekaan kabin balutan sepenuhnya, unit utama skrin sesentuh ‘freestanding’ dan pemegang pintu melengkung. Kualitinya juga dipertingkatkan dengan penggunaan material sentuhan lembut pada pemuka, bersama felt lining pada pintu. Tempat duduk pemandu boleh laras secara berkuasa enam-hala juga diberikan untuk memudahkan akses masuk dan keluar.

    Toyota Yaris Cross dilancar di Jepun – 1.5L petrol dan hibrid, 2WD/AWD, hingga 30.8 km/l, RM71k-RM110k

    Toyota berkata Yaris Cross menggunakan konsep “Eyes-on-the-Road” dengan mengadaptasikan skrin sesentuh yang dipasang tinggi dan pilihan paparan skrin utama dan kluster instrumen digital tujuh-inci, membolehkan pemandu menumpukan sepenuh perhatian pada pemanduan. Di belakangnya, ditampilkan 390 liter bagi ruang but dengan dua-dek, lantai yang boleh dipisahkan 60:40 bagi posisi paling rendah bersama tempat duduk belakang yang dipisahkan secara kedudukan 40:20:40 dan juga pintu tailgate berkuasa bebas-tangan.

    Yaris juga didatangkan dengan Toyota Safety Sense bagi sistem bantuan pemandu, termasuk brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki pada waktu malam dan pengesan penunggang basikal pada waktu siang. Lain-lain ciri termasuk kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, lampu tinggi adaptif, pengesan isyarat trafik, kawalan pendikitan kelajuan rendah dan bantuan stereng kecemasan. Turut diberikan termasuklah bantuan parkir.

    Yaris Cross juga dibangunkan dengan versi GA-B bagi Toyota New Global Architecture (TNGA), sama seperti Yaris standard – ini bermakna sistem suspensinya menggunakan topang MacPherson di hadapan dan palang torsion di belakang. Menurut Toyota, platform ini juga memberikan ketegaran yang tinggi bagi Cross dan pusat graviti yang rendah dengan pengurangan berat, menambahkan ketangkasan dan mempertingkatkan pengendaliannya.

    Yaris Cross dijual di Jepun dengan empat varian petrol dan tiga model hibrid. Harganya dari
    1,798,000 yen (RM70,600) bagi varian asas X “B Package” petrol pacuan roda-hadapan hingga 2,815,000 yen (RM110,500) untuk Hybrid Z dengan pacuan semua-roda E-Four.

     
     
  • Nissan Fairlady 400Z bakal dijana enjin 3.0L V6 Twin Turbo, 400 ps/500 Nm, akan dilancarkan pada 2022?

    Nissan Fairlady 400Z bakal dijana enjin 3.0L V6 Twin Turbo, 400 ps/500 Nm, akan dilancarkan pada 2022?

    Nissan telah pun menyiarkan teaser generasi baharu kereta sport Fairlady Z ikonik mereka menerusi satu video ditayangkan buat pertama kali pada Mac lalu. Menurut laporan dari Auto Express, model baharu berkenaan akan digelar sebagai 400Z, dan ia bakal diperkenalkan pada penghujung tahun 2022, sempena genap 15-tahun selepas generasi sedia ada Fairlady 370Z Z34 berada dalam pasaran.

    Menurut laporan tersebut lagi, 400Z berkenaan akan dihasilkan menggunakan platform FM (asas yang sama seperti Infiniti Q60 Coupé) yang diolah semula. Tidak seperti model generasi Z33 dan Z34 yang hadir dengan enjin NA, model generasi baharu ini akan dibekalkan dengan dua pengecas turbo seperti pada model Z32.

    Secara spesifiknya, 400Z akan dijana oleh enjin 3.0 liter V6 turbo berkembar menjana lebih dari 400 hp/500 Nm yang masih diletakkan dalam konfigurasi FR (enjin hadapan pacuan belakang). Kuasa berkenaan dihasilkan sepenuhnya dari kaedah pembakaran dalaman konvensional, tanpa sebarang bantuan sistem hibrid elektrik walaupun Nissan kini sedang beralih ke teknologi elektrifikasi.

    Jika apa yang disebutkan ini benar, dengan harga yang betul, sudah pasti 400Z akan memberikan saingan yang cukup sengit dari ‘rakan senegara’ nya iaitu Toyota GR Supra A90.

    Portal tersebut turut menyatakan bahawa unit janakuasa serta casis untuk model ini sudah pun ada, dan ia berkemungkinan turut akan menerima model talaan Nismo yang memberikan lebih prestasi. Nissan 400Z ini bakal masuk ke pasaran-pasaran utama termasuk Amerika Utara, China dan Eropah.

    Sehingga sekarang, tiada sebarang unit prototaip sebenar muncul di mana Nissan dilihat hanya menguji model tersebut disebalik badan Fairlady 370Z generasi Z34 sedia ada. Tetapi menurut berberapa laporan media sebelum ini, Z generasi baharu berkenaan akan menerima ciri-ciri dari model klasik, di mana mukanya diilhamkan dari model generasi pertama ‘Devil-Z’ Datsun Fairlady S30Z 240Z, manakala lampu belakangnya pula akan menyerupai model 300ZX.

    Dakwaan tersebut diperkuatkan dengan video teaser yang disiarkan – bayangan badan kereta sport tersebut nampak jelas dengan elemen 240Z, terutamanya pada bayang badan keseluruhan termasuk bentuk bumbung dan cermin-cermin tingkap, serta logo ‘Z’ pada tiang-C.

    Naib presiden Nissan untuk rekaan, Alfonso Albaisa berkata: “Z merupakan kereta yang mendemokratikkan kereta sport pada era 60’an. Kereta sedia ada telah lama berada di rangkaian pengedar, jadi anda boleh bayangkan pereka kini sedang mengusahakannya.”

    “Kami tak boleh tinggalkan ini, ia berada dalam jiwa kami. Anda boleh rasanya dalam rekaan-rekaan Nissan yang lain, seperti Ariya baharu; ia bukan sekadar ekonomi bahan api, ia mahu dipandu, untuk yang cintakan pemanduan,” jelasnya.

     
     
  • Aprilia Tuono V4 X 2021 – hanya 10 unit, harga RM173k

    Aprilia Tuono V4 X 2021 – hanya 10 unit, harga RM173k

    Kebiasaannya, apa sahaja yang dibuat pada model sports RSV4 oleh Aprilia, ia kemudiannya akan diikuti pada model naked Tuono. Begitu juga pada model yang terhad yang menggunakan huruf X ini. Pada tahun lepas mereka memperkenalkan RSV4 X, dan kini Tuono X pula didedah.

    Jumlah yang akan dikeluarkan juga adalah sama, iaitu 10 unit dan ia dijual pada harga 34,900 euro, bersamaan sekitar RM173,000. Model yang cuma boleh digunakan atas litar ini menggunakan banyak kelengkapan yang sama seperti RSV4 1100 Factory, tetapi ia tidak mempunyai fairing penuh, dipasang pemegang lebih tinggi dan dijadikan lebih ringan.

    Enjin yang digunakan adalah unit V4 1,100 cc, ditala khas seperti enjin perlumbaan dan dipasang dengan intake camshaft, valve return spring, caps, bucket tappet serta profail cam baru. Sistem kemasukan udara dijadikan lebih lancar dengan penapis Sprint Filter manakala ekzos pula adalah unit gentian karbon berserta paip titanium oleh Akrapovic.

    Pada RSV4 X, enjin sama mampu menghasilkan 225 hp tetapi pada Tuono V4 X ini, ia dikatakan mampu mengeluarkan 221 hp, pada crank. Bagi menjadikannya lebih ringan, banyak bahagian motosikal ini diganti dengan aluminium billet serta gentian karbon, termasuklah pemijak kaki, tuil brek dan klac, serta winglet. Rim adalah unit magnesium forged daripada Marchesini.

    Kelengkapan prestasi lain yang terdapat pada Tuono V4 X adalah seperti brek Brembo GP4-MS berkembar di hadapan (sama seperti jentera lumba MotoGP dan WSBK), bentuk tangki masih lagi seperti Tuono biasa tetapi lebih ringan, suspensi semi aktif Ohlins Smart EC 2.0, quickshifter naik dan turun gear, serta panel paparan TFT.

     
     
  • Vespa Sei Giorni II tiba di Malaysia – 278 cc, RM34.5k

    Vespa Sei Giorni II tiba di Malaysia – 278 cc, RM34.5k

    Pengedar rasmi motosikal Piaggio di Malaysia, Didi Resources Sdn Bhd telah melancarkan model Vespa Sei Giorni II untuk pasaran, pada harga RM34,500 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Ini adalah harga istimewa untuk waktu yang terhad, dan pemilik akan diberi sekali dengan kotak barangan belakang 36 liter dan penghadang angin GTS.

    Model Sei Giorni II ini berbeza berbanding Sei Giorni yang pernah dilancarkan di Malaysia pada tahun 2018 (harga jualan RM38,000) kerana ia sekarang menggunakan enjin satu silinder 278 cc HPE, yang menghasilkan 12% lebih kuasa dan 18% lebih tork – menjadi 23.8 hp pada 8,250 rpm dan 26 Nm pada 5,250 rpm.

    Nama Sei Giorni itu bermaksud “Six Days” dan ia digunakan bagi mengingati penglibatan Vespa dalam perlumbaan Sei Giorni Internazionale tahun 1951 di Varese, Itali. Perlumbaan ini diadakan selama enam hari, dan melibatkan jalan yang tidak berturap. Pada waktu itu, Vespa berjaya mengumpul enam piala dan mengalahkan pelbagai jenis motosikal lain yang dibina khas untuk perlumbaan offroad.

    Seperti yang boleh dilihat, model Sei Giorni ini mempunyai penampilkan yang unik, dengan lampu bulat yang terletak di atas penghadang lumpur serta besi pemegang yang terbuka. Tempat duduknya pula mempunyai bentuk yang lebih sporty dan dipasang dengan pelekat bernombor 6 di hadapan dan tepi.

    Kelengkapan lain pada model ini adalah termasuk rim 12 inci dengan tayar 120/70 di hadpaan, 130/70 di belakang, brek cakera depan dan belakang, brek ABS two-channel, tangki bahan api 8.5 liter, tinggi tempat duduk 790 mm dan ruang meletak barangan di bawah tempat duduk.

     
     
  • Mitsubishi Xpander – dari XM Concept ke produksi

    Mitsubishi Xpander – dari XM Concept ke produksi

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bakal melancarkan SUV MPV segmen-B, Mitsubishi Xpander ke pasaran tempatan tahun ini. Sama ada anda ingat atau tidak, Xpander menampilkan rupa yang begitu futuristik dan agak berbeza dengan saingannya yang lain adalah kerana ia sebenarnya versi produksi model konsep yang digelar XM Concept, muncul di Indonesia pada tahun 2016.

    XM Concept membuat kemunculan sulungnya pada acara Gaikindo Indonesian International Auto Show (GIIAS) tahun tersebut. Nama XM tersebut juga sebenarnya adalah akronim daripada crossover (X) dan juga MPV (M). Ketika itu hanya Honda BR-V ditawarkan dalam pasaran sebagai MPV tujuh-tempat duduk yang kelihatan seperti SUV, dan model tiga baris tempat duduk dengan rupa rugged seakan crossover tersebut dilihat semakin mendapat tempat pada pasaran ASEAN.

    Model konsep muncul di GIIAS berkenaan diberikan warna badan kuning yang begitu menyerlah. XM Concept tersebut hadir dengan muka garang signatur Dynamic Shield Mitsubishi – menampilkan lampu nyalaan siang LED yang nipis sebaris dengan gril bahagian atas, manakala lampu utama ditempatkan pada bampar, bersama elemen ‘X’ dengan kemasan-kemasan krom dan perak.

    Mitsubishi XM Concept (kiri) dan Mitsubishi Xpander (kanan)

    Pada profil sisi, XM masih nampak seperti MPV tetapi diberikan penggayaan yang tidak tipikal sebuah kenderaan dengan tujuh-tempat duduk. Ia diberikan ‘otot-otot’ pada setiap ruang roda seperti trak pikap Triton, bersama rel bumbung bagi memberikan rupa seakan SUV sebenar. Ia juga tampil dengan tiang-D yang dihitamkan bagi memberi ilusi seakan bumbungnya terapung.

    Elemen ‘X’ juga diberikan pada bahagian belakang model konsep tersebut, disepadukan dengan lampu belakang berbentuk-L. Pada bahagian dalaman XM Concept ini pula, ia menerima rekaan moden yang minimalis bersama rekaan papan pemuka dengan elemen melintang dan diberikan skrin infotainmen diletakkan pada posisi yang tinggi.

    Ketika model ini didedahkan, kami diberitahu oleh Mitsubishi bahawa rekaan XM Concept ini akan mewakili 80% rekaan pada model produksinya nanti (ketika itu nama Xpander masih belum diumumkan). Namun disebabkan rupanya yang begitu agresif, agak sukar untuk mempercayai kenyataan tersebut pada ketika itu.

    Papan pemuka Mitsubishi XM Concept (kiri) dan Mitsubishi Xpander (kanan)

    Namun, Mitsubishi membuat kejutan dengan menepati janji mereka setahun selepas itu – Mitsubishi Xpander membuat kemunculan sulungnya di GIIAS 2017 dengan elemen rekaan utamanya sama seperti XM Concept. Setiap perincian asas dari muka hadapan, profil sisi dan juga bahagian belakang Xpander adalah diinspirasikan terus dari XM.

    Walau bagaimanapun, perincian-perincian tidak logik untuk produksi seperti kamera pandangan sisi, warna badan kuning dan juga bahagian dalaman yang berwarna putih tidak ditampilkan pada Xpander. Kali terakhir Mitsubishi menghasilkan model produksi yang hampir seiras dengan versi konsep adalah pada model Concept-X pada 2005, dijelmakan sebagai Lancer Evolution X dua tahun kemudian.

    Rekaan pada Xpander ini juga dilihat agak bijak kerana walaupun dengan nilai estetik yang tidak konvensional, ia tidak mengorbankan sebarang praktikaliti pada SUV-MPV ini dengan menyediakan ruang yang begitu besar pada bahagian dalaman.

    Walaupun kita agak lambat untuk menerima Xpander ini dalam pasaran tempatan, sehingga kini masih lagi tiada model dari pengeluar lain yang berani untuk hadir dengan rekaan seperti model dari Mitsubishi ini di mana Honda BR-V dan juga Perodua Aruz/Toyota Rush masih nampak seperti SUV tradisional.

    Kita juga bakal menerima Xpander terus dalam versi facelift dengan rekaan gril dan juga lampu LED yang telah disegarkan. Xpander untuk pasaran Malaysia ini juga hadir dalam versi yang lebih ‘matang’ di mana isu-isu reliabiti yang timbul pada versi awal telah pun diselesaikan, serta ia tampil dengan lebih banyak aksesori yang telah dibangunkan.

    Kita juga dijangka akan menerima Xpander yang dijana oleh enjin petrol 4A91 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm. Di Indonesia, Xpander hadir dengan pilihan transmisi lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik dan memacu roda hadapan. Di Malaysia, kita mungkin hanya menerima kotak gear automatik, dan ia dijangka akan dijual pada harga sekitar RM80,000 hingga RM90,000.

    Jadi siapa kata kita tak boleh beli kereta yang kelihatan seperti model konsep? Mitsubishi telah berberapa kali membuktikan ia boleh dibuat.

    GALERI: Mitsubishi Xpander facelift 2020 pasaran Indonesia

    GALERI: Mitsubishi XM Concept

     
     
  • Maserati MC20 – bentuk ditunjuk, enjin V6 3.0L 630 PS

    Maserati MC20 – bentuk ditunjuk, enjin V6 3.0L 630 PS

    Maserati jarang mengeluarkan model serba baru, tapi 9 September nanti satu akan muncul dan dipanggil sebagai MC20. Dua video teaser bagi kereta super sports baru ini telah disiarkan dan ia antaranya menunjukkan bentuk elegan serta ayat yang membawa maksud “seni bertemu kejuruteraan”.

    Selain bentuk yang nampak beralun dan organik, tidak banyak perincian lain yang didedahkan dalam video ini. Melalui rekaan seperti ini, ia lebih berbeza berbanding Ferrari dan Lamborghini yang lebih banyak menggunakan bentuk tajam dan agresif.

    Melihat kepada namanya, MC itu adalah singkatan kepada Maserati Corse manakala 20 pula merujuk kepada tahun 2020, yang dianggap sebagai satu fasa baru bagi syarikat ini. Selain video teaser, anda juga boleh melihat bentuk kereta ini melalui gambar yang telah kami kumpulkan di bawah – dipasang pelekat camouflage.

    Maserati juga ada memberitahu bahawa MC20 akan dikuasakan oleh enjin baru V6 3.0 liter twin turbo yang dibangunkan sendiri dan dibuat di Modena. Enjin ini menggunakan bentuk V 90 darjah, sistem takung minyak dry sump dan nisbah mampatan 11:1 – gerek 88 mm dan lejang 82 mm.

    Enjin yang dipanggil sebagai Nettuno ini juga mempunyai sistem kebuk pembakaran awal yang menampilkan palam pencucuh dua percikan seperti kereta Formula 1. Kebuk ini dibut antara kebuk utama dan palam pencucuh, untuk meningkatkan lagi pembakaran. Satu lagi cirinya adalah dilengkapi dengan satu lagi palam pencucuh di tepi untuk memastikan pengapian yang berterusan di sepanjang tahap rpm dan sistem bahan api twin-injection.

    Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 630 PS pada 7,500 rpm dan 730 Nm tork pada 3,000 rpm. Menariknya, jumlah kuasa ini adalah sama seperti enjin V12 6.0 liter yang digunakan pada supercar Maserati MC12 sebelum ini. Tork pula adalah lebih tinggi, meskipun cuma mempunyai separuh kapasiti dan jumlah silinder – lebih kompak dan ringan.

     
     
  • GALERI: Jaguar F-Pace 30t R-Sport — 300 PS, RM485k

    GALERI: Jaguar F-Pace 30t R-Sport — 300 PS, RM485k

    Julai lalu, Jaguar Land Rover Malaysia telah melancarkan F-Pace 30t terbaru, yang menampilkan enjin yang lebih prestasi 2.0 liter Ingenium turbo empat-silinder. Awalnya, hanya 20 unit sahaja yang ditawarkan, tetapi ini mungkin bukan lagi situasinya memandangkan model terdahulu dengan janaan 250 PS yang diperkenalkan pada tahun 2018 sudah tiada stok.

    Pada penawaran terbaru ini, enjin Ingenium 2.0 liternya mampu menghasilkan kuasa sebanyak 300 PS pada 5,500 rpm dan tork 400 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Angka tersebut mewakili 50 PS dan 35 Nm peningkatan berbanding F-Pace sebelum ini, yang menghasillkan sebanyak 250 PS dan 365 Nm. F-Pace ini dilengkapi dengan sistem transmisi 8HP45 ZF dan pacuan semua-roda AWD.

    Bagi aspek prestasi, F-Pace 300 PS ini boleh mencapai pecutan dari sifar ke 100 km/j dalam masa 6.1 saat dengan kelajuan maksimum 233 km/j – versi 250 PS mengambil masa 6.8 saat untuk mencapai pecutan tersebut.

    GALERI: Jaguar F-Pace 30t R-Sport — 300 PS, RM485k

    Jaguar F-Pace 30t ini ditawarkan dalam tiga tingkas spesikasi; bermula dengan yang paling asas Prestige, disusuli dengan R-Sport Mid-Spec dan R-Sport Hi-Spec. Kit standard yang disenaraikan bagi ketiga-tiga varian termasuklah pintu belakang berkuasa dengan operasi automatik, sistem infotainmen Touch Pro 10-inci, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, bantuan mengekalkan lorong dan pemantauan keadaan pemandu.

    Bagi tingkat paling asas Prestige, ia didatangkan dengan roda aloi “Style 5031” lima-jejari 20-inci dengan kemasan Grey Diamond Turned, lampu utama LED, kawalan suhu dwi-zon, kerusi balutan kulit, sistem pemantauan tekanan tayar, tuil untuk tempat duduk belakang dan tempat duduk belakang yang boleh dibaringkan dengan larasan kuasa.

    Spesifikasi R-Sport Mid pula ditambah dengan lampu utama LED adaptif dengan bantuan lampu tinggi automatik, lampu nyalaan siang LED, sistem pencahayaan suasana untuk kabin dan rel bumbung hitam berkilat. Sementara bagi R-Sport Hi pula ia menerima tambahan Adaptive Surface Response (AdsR), yang mampu mengesan perbezaan antara permukaan untuk cengkaman yang lebih maksimum dengan mengubah larasan enjin dan brek, bersama roda 22-inci.

    GALERI: Jaguar F-Pace 30t R-Sport — 300 PS, RM485k

    Pilihan warna terdiri daripada enam warna untuk luaran, termasuklah Fuji White, Santorini Black, Eiger Grey, Portofino Blue, Firenze Red dan Indus Silver. Harga atas jalan bermula pada RM436,420.82 tanpa insurans untuk Prestige, yang telah pun dimasukkan dengan 50% potongan bagi cukai jualan model CBU seperti yang diumumkan oleh kerajaan hingga akhir tahun 2020.

    Bagi R-Sport Mid pula ia ditawarkan pada harga RM470,212.97, sementara R-Sport Hi berharga RM485,433.81. Semua varian yang dijual turut didatangkan dengan program Jaguar Care termasuk jaminan lima-tahun, servis percuma lima-tahun dan tiga-tahun bantuan tepi jalan.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Saga kini sedang diuji di Pakistan

    SPYSHOT: Proton Saga kini  sedang diuji di Pakistan

    Proton nampaknya kini sedang menguji sedan paling mampu milik mereka di Pakistan, sebelum ianya dijangka akan dilancarkan pada akhir tahun ini atau awal tahun hadapan. Gambar dua buah Saga ini disiarkan oleh laman CarSpiritPK.com, dan ianya ditemui di bandar kedua terbesar di negara berkenaan iaitu Lahore.

    Walaupun keseluruhan kedua-dua badan Saga berkenaan menerima pelekat penyamaran, boleh dijangka model ini kemungkinan akan ditawarkan paling kurang dalam dua varian iaitu Premium dan lebih rendah, berdasarkan set rim berlainan dipadankan pada kedua-dua unit ujian tersebut.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Pakistan akan menerima Saga dengan enjin yang lebih kecil dari pasaran Malaysia iaitu 1,299 cc. Ini kerana jika menggunakan enjin S4PE 1.3L VVT dengan kapasiti 1,332 cc seperti pasaran Malaysia, Saga akan dikenakan cukai yang lebih tinggi kerana ia sebenarnya sudah melebihi sesaran 1.3 liter.

    Walau bagaimanapun, enjin yang bakal menjana Saga Pakistan berkenaan masih belum jelas. Ada kemungkinan Proton mungkin akan menurun kapasiti enjin sedia ada menggunakan sleeve silinder, omboh serta konfigurasi aci engkol dan rod penghubung yang berlainan sebagai pilihan untuk mendapatkan sesaran enjin yang diperlukan.

    Namun menerusi carian kami, Geely sendiri sebenarnya memang mempunyai enjin dengan kapasiti 1,299 cc, dikenali dengan kod 4G13. Jangan keliru dengan enjin 4G13 yang pernah digunakan oleh Proton sebelum ini, kerana Geely memang menggunakan kaedah kod enjin yang hampir sama dengan Mitsubishi untuk menamakan enjin mereka.

    Enjin pada Proton X70/Geely Boyue misalnya, ia diberikan kod 4G18 yang bermaksud 4-silinder, petrol (G untuk gasolin) dan 1.8 liter (kod nombor hujung pada enjin Mitsubishi lebih sinonim dengan varian berbanding sesaran). Bagi enjin 4G13 Geely berkenaan, ia telah dihasilkan dalam dua versi iaitu versi NA menjana 87 hp dan tork maksima 120 Nm (enjin 1.3 S4PE VVT menjana 95 PS/120 Nm), dan juga versi turbo 4G13T berkuasa 127 hp/185 Nm.

    SPYSHOT: Proton Saga kini  sedang diuji di Pakistan

    Laman automotif Pakistan berkenaan turut menyarbut bahawa penghasilan enjin 1,299 cc itu akan lengkap dan bersedia untuk diproduksi secara besar-besaran pada bulan Mei lalu. Saga terlebih dahulu akan dihantar ke Pakistan sebagai model CBU dari Malaysia, dan akan dilancarkan pada lewat tahun ini bersama X70.

    Manakala model CKD yang dibuat di kilang Al-Haj di Karachi akan masuk ke pasaran Pakistan pada tahun 2021. Proton dilihat sangat serius dengan pasaran Pakistan kerana mereka tidak menghantar model yang sudah siap ke sana, sebaliknya model-model berkenaan diolah semula bagi bersesuaian dengan dinamik pasaran serta kehendak pelanggan di negara tersebut.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024