Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Naza dilapor mahu lepaskan Kia dan Peugeot – Bermaz Auto antara calon utama untuk ambil alih

    Naza dilapor mahu lepaskan Kia dan Peugeot – Bermaz Auto antara calon utama untuk ambil alih

    Satu laporan yang dikeluarkan oleh New Straits Times (NST) telah memberi petunjuk bahawa Naza Group kini mempunyai perancangan untuk melepaskan hak pengedaran dua jenama di bawah mereka iaitu Kia dan Peugeot. Sebelum ini, perkara tersebut memang sudah menjadi spekulasi sejak beberapa bulan lalu, tetapi masih tiada perkembangan atau masa sebenar ia akan dilakukan.

    Satu sumber dipercayai telah memberitahu NST bahawa Bermaz Auto, yang sekarang ini menguruskan jenama Mazda di Malaysia adalah calon utama yang akan mengambil alih Kia dan Peugeot sekiranya dilepaskan oleh Naza dan masih mendapat saingan daripada syarikat lain seperti Sime Darby Motors dan Berjaya Group.

    Laporan itu juga menambah bahawa Bermaz sedang memerhati keseluruhan francais Kia dengan penuh minat dan mahu mengambil alih semua urusan jenama itu di Malaysia. Meskipun begitu, sebarang kemajuan masih memerlukan kata putus daripada syarikat induk jenama itu sendiri.

    Naza dilapor mahu lepaskan Kia dan Peugeot – Bermaz Auto antara calon utama untuk ambil alih

    Satu lagi sumber pula mendedahkan Naza dilaporkan telah menjual cawangan pusat pameran dan servis mereka kepada pengedar dan seorang eksekutif dana tempatan telah ditugaskan untuk mengendalikan projek menjual francais Kia ini.

    Sumber itu juga menambah bahawa ketua pegawai eksekutif Bermaz Auto, Datuk Francis Lee pernah mendedahkan bahawa syarikat mempunyai perancangan untuk menambah francais jenama kenderaan baru dalam portfolio mereka, tetapi namanya tidak diberitahu.

    Selain Kia dan Peugeot, Naza Group juga mengendalikan beberapa jenama kenderaan lain di Malaysia seperti Citroen, DS, Maserati, Ferrari dan Ducati. Awal tahun lalu, kumpulan syarikat ini dilaporkan berbincang dengan Suzuki untuk membawa kembali jenama itu dalam negara tetapi sehingga sekarang tiada sebarang perkembangan terbaru.

     
     
  • ASEAN NCAP: Toyota Hilux dan Fortuner facelift terima lima-bintang; laporan bersama video ujian

    ASEAN NCAP: Toyota Hilux dan Fortuner facelift terima lima-bintang; laporan bersama video ujian

    Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) telah pun menyiarkan laporan ujian pelanggaran untuk trak pikap Toyota Hilux facelift 2020 dan SUV Toyota Fortuner facelift 2020 yang dibuat pada Ogos lalu. Kedua-dua model ini telahpun lulus dengan menerima penarafan lima-bintang.

    Ini merupakan ujian kedua yang dilakukan oleh ASEAN NCAP terhadap Hilux, di mana kali pertama ia dibuat adalah pada 2015. Dalam penilaian terbaharu ini, Hilux facelift berkenaan diuji dalam varian 2.8D pasaran Thailand, dilengkapi dengan tiga beg udara.

    Dalam konfigurasi ini, Hilux menerima 83.42 markah bagi membolehkan ia diberikan penarafan lima-bintang. Secara spesifiknya, ia menerima 32.93 markah dari 36 markah maksimum untuk Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), 44.09 markah untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) dan 10.95 dari 18 markah penuh untuk kategori Teknologi Bantuan Keselamatan (SAT).

    Toyota Hilux facelift 2020 sudah pun dilancarkan di Malaysia minggu lalu, di mana tiga dari lima varian yang dijual di sini diberikan tiga beg udara (Single Cab 2.4 MT serta double-cab 2.4G dan 2.4E). Manakala dua varian lebih tinggi (2.4V dan 2.8 Rouge) menerima tujuh beg udara, termasuk beg udara sisi dan tirai, bersama tambahan sistem Pemantau Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.

    Manakala varian tertinggi Rouge pula turut menerima tambahan pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense, yang terdiri dari sistem seperti Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Lane Departure Alert (LDA) dengan Yaw Assist.

    Untuk Fortuner pula, ini juga ujian kedua untuknya di mana penilaian pertama dibuat adalah pada 2016, iaitu ujian berasaskan keputusan yang diterima oleh Hilux. Ujian kali ini juga masih sama, seperti yang anda boleh lihat pada video, penilaiannya diambil berdasarkan ujian pada Hilux. Menurut ASEAN NCAP, Fortuner mempunyai kemampuan perlindungan penumpang sama dengan Hilux yang diuji, berdasarkan bukti-bukti teknikal yang dibekalkan oleh Toyota.

    ASEAN NCAP: Toyota Hilux dan Fortuner facelift terima lima-bintang; laporan bersama video ujian

    Jadi dalam ujian ini Fortner diberikan markah keseluruhan akhir 87.46 markah (47.27 untuk AOP, 22.13 untuk COP dan 18.06 untuk SAT). Manakala pelanggaran hadapan (14.53) dan pelanggaran sisi (16.0) adalah sama seperti Hilux, namun ia berikan markah perlindungan kepala lebih tinggi dengan 3.5 markah, berbanding hanya 2.40 pada Hilux.

    Walau bagaimanapun, masih lagi belum jelas bila Fortuner facelift ini akan masuk ke pasaran Malaysia. Model kemaskini sudahpun berada di pasaran Thailand, dilancarkan serentak dengan Hilux. Ia menerima enjin GD Turbodiesel 2.4 dan 2.8 liter sama seperti kembar trak pikapnya, serta diberikan Toyota Safety Sense untuk tiga varian tertinggi.

    GALERI: Toyota Hilux 2.8 Rouge 2020 pasaran Malaysia

     
     
  • Honda Beat serba baru tiba di Malaysia – harga RM5.5k

    Honda Beat serba baru tiba di Malaysia – harga RM5.5k

    Boon Siew Honda telah melancarkan model skuter Beat serba baru untuk pasaran Malaysia, yang dijual pada harga RM5,555 tidak termasuk insurans. Ini adalah model sama seperti yang dilancarkan di Indonesia awal tahun lalu, dengan peningkatan yang banyak.

    Penampilan sudah tentu diubah, dengan semua panel badannya adalah baru termasuklah rim, panel meter serta lampu, di mana untuk bahagian hadapan kini menggunakan unit LED. Pilihan warna pula ada empat iaitu Vivacity Red, Force Silver Metallic, Pearl Nightfall Blue dan Space Magenta Metallic.

    Bagi enjin, unit asasnya masih lagi sama, tetapi telah dipertingkat dengan kini kapasitinya menjadi 109.5 cc, menggunakan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan menghasilkan kuasa 8.7 hp pada 7,500 rpm dan 9.53 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini menepati tahap emisi Euro 4 dan mampu memberikan penggunaan bahan api 59.1 km/l.

    Di sebalik panel badan skuter ini, terdapat kerangka eSAF baru yang membantu menjadikan motosikal lebih lincah dan mudah dikawal. Melalui penggunaan kerangka ini, †angki bahan api dapat dijadikan lebih besar (+200 ml menjadi 4.2 liter), ruang barang bawah tempat duduk menjadi lebih luas (+500 ml menjadi 11.7 liter) dan berat keseluruhan berkurang 4 kg menjadi 90 kg.

    Kelengkapan lain padanya adalah termasuk sistem brek CBS, rim 14 inci dengan tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang, brek cakera di hadapan dan dram di belakang, fork teleskopik, satu penyerap hentak di belakang, tinggi tempat duduk 740 mm serta penghidup enjin elektrik dan tendang. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Program Perlindungan Subaru Auto dilancarkan di Malaysia – Pakej Perak dan Emas; dari RM1,300

    Program Perlindungan Subaru Auto dilancarkan di Malaysia – Pakej Perak dan Emas; dari RM1,300

    TC Subaru telah melancarkan Program Perlindungan Subaru Auto (SAPP) baharu, yang direka khas untuk pelanggan yang memiliki kenderaan Subaru yang hampir tamat tempoh waranti. Menurut syarikat ini, program tersebut menawarkan pengurangan kos penyelenggaraan dengan merangkumi komponen sistem kenderaan utama yang terpilih, di samping membantu meningkatkan nilai penjualan semula kenderaan.

    Terdapat dua pakej yang ditawarkan menerusi program ini, iaitu Pakej Perak yang ditawarkan pada harga RM1,300, dan Pakej Emas pula berharga RM1,600. Kedua-dua pakej ini didatangkan dengan liputan waranti untuk satu tahun atau sehingga 20,000 km, yang mana tiba terlebih dahulu. Malah pembelian pakej ini boleh dipindah milik untuk pemilik akan datang jika masih dalam tempoh liputan waranti.

    Dengan pakej Perak, pelanggan boleh membuat tuntutan sehingga RM5,000 bagi setiap transaksi atau maksimum sehingga RM10,000 setahun. Liputan bagi pakej berkenaan merangkumi:

    • Sistem pendingin hawa (termasuk compressor, condenser, evaporator dan blower motor)
    • Sistem brek (termasuk master pump, ABS actuator, module dan booster)
    • Sistem penyejukan (radiator, water pump dan thermostat)
    • Sistem elektrikal (termasuk motor penghidup, alternator, motor bilah pengelap cermin, motor kipas,ignition coil, motor cermin tingkap berkuasa, hon, modul kawalan enjin, modul transmisi automatik dan modul beg udara)
    • Sistem bahan api (termasuk pengepam bahan api dan regulator)

    Program Perlindungan Subaru Auto dilancarkan di Malaysia – Pakej Perak dan Emas; dari RM1,300

    Bagi pakej Emas pula, pelanggan boleh membuat tuntutan sehingga RM10,000 bagi setiap transaksi, dengan tuntutan maksimum adalah sebanyak RM25,000 setahun. Pakej ini sama dengan pakej Perak, tetapi dengan liputan tambahan termasuk:

    • Komponen enjin (termasuk kepala silinder, cam & value mechanism, timing gear & chain, water pump, sistem pelinciran, oil pump, pistons, crankshaft, cylinder bores, intake & exhaust manifold, flywheel, throttle valve, dab airflow meters
    • Komponen transmisi – automatik, CVT atau manual (termasuk torque converter, internal shaft, gear, synchromesh device, shaft, bearing, planetary system, brake bands, oil pump, transfer gear, klac, variable pulley, dan control valve body)
    • Gandar dan komponen lain (termasuk crown gears, pinion & support bearing, planetary gear, dan half shaft)

    Syarikat ini turut menambah bagi melayakkan pelanggan membeli pakej Emas, kenderaan perlulah yang didaftarkan tidak lebih dari enam tahun atau pun perbatuan di bawah 100,000 km. Selain itu, pelanggan yang ingin membeli mana-mana pakej SAPP perlulah menghantar kenderaan mereka untuk diperiksa dan perlu melepasi 140 mata pemeriksaan dan mengekalkan penyelenggaraan lengkap dengan mana-mana pusat servis bertauliah. Sebarang kecacatan yang dikesan sepanjang pemeriksaan perlukan diperbaiki oleh pusat servis bertauliah sebelum diterima untuk menyertai progtam ini.

    Program Perlindungan Subaru Auto dilancarkan di Malaysia – Pakej Perak dan Emas; dari RM1,300

    Selain sebahagian daripada liputan yang disebut di atas, program ini juga memberikan beberapa manfaat tambahan, termasuklah Subaru Breakdown Assist selama satu tahun, serta khidmat nasihat teknikal dan diagnostik secara percuma di pusat servis bertauliah.

    Syarikat ini juga menawarkan diskaun sebanyak 10% bagi membaiki dan mengecat badan kenderaan (termasuk alat ganti dan kos buruh), cenderahati rasmi Subaru, servis ‘in-house grooming’ (di cawangan terpilih) dan alat ganti yang ditidak termasuk dalam jaminan SAPP (contohnya pad brek, tayar dan sebagainya).

    Jika berminat tetapi tidak mahu membayar harga pakej penuh, syarikat ini turut menawarkan pelan pembayaran ansuran sifar-peratus dengan kerjasama beberapa bank utama termasuk Maybank, CIMB, Public Bank, RHB Bank dan AmBank. Untuk mendaftar SAPP, anda bolehlah melayari laman web rasmi Subaru Malaysia.

     
     
  • SYM VF3i 185 Pro V3 2021 — tiga warna baru, RM9,338

    SYM VF3i 185 Pro V3 2021 — tiga warna baru, RM9,338

    Kapcai dengan kapasiti enjin paling besar di Malaysia, SYM VF3i 185 Pro V3 2021 kini diberi tiga pilihan warba baru dan dijual pada harga RM9,338. Warna baru berkenaan terdiri daripada merah, emas dan biru, dan harga tersebut tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran. Jaminan dua-tahun atau 20,000 km disediakan.

    Tiada perubahan mekanikal berbanding VF3i sebelum ini, yang dijual pada harga RM8,338, versi VF3i Pro V3 ini dilengkapi dengan enjin 183 cc DOHC Euro 3, silinder-tunggal dengan sejukan cecair. Unit ini kini menghasilkan output yang lebih tinggi, dengan 19.7 hp pada 9,000 rpm dan 17.4 Nm pada 7,500 rpm (berbanding 17.7 pada 8,500 rpm dan 15.3 Nm tork pada 7,500 rpm sebelum ini).

    Ini dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan klac basah yang masih sama. Suspensi pula menggunakan fork teleskopik di depan manakala di belakang menggunakan jenis monoshock dengan pra-larasan beban.

    SYM VF3i 185 Pro V3 2021 — tiga warna baru, RM9,338

    Unik bagi VF3i Pro V3 ialah ciri ABS saluran tunggal pada roda depan, sementara brek menggunakan jenis cakera hidraulik di depan dan belakang – 250 mm di depan, dan 200 mm di belakang – pada rim 17-inci. Berat motosikal ini didakwa 128 kg, sementara kapasiti tangki minyaknya ialah 7-liter – paling besar dalam kelasnya.

    Pengedar SYM di Malaysia, MForce Holdings turut menyediakan pembelian online bagi alat ganti VF3i Pro V3, serta bagi jenama-jenama lain di bawahnya melalui laman web mereka. Ramai yang pilih motosikal ini berbanding kapcai 150 cc yang lain?

     
     
  • Permintaan terhadap kereta terpakai naik pada Q3 2020 susulan inisiatif kerajaan – Myvi paling digemari

    Permintaan terhadap kereta terpakai naik pada Q3 2020 susulan inisiatif kerajaan – Myvi paling digemari

    Disebabkan penularan pandemik COVID-19, ramai yang memilih untuk merancang kewangan yang lebih teliti memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Ini termasuklah membeli kereta terpakai untuk kegunaan harian.

    Perkara ini sekaligus mendorong perningkatan terhadap penjualan kereta terpakai yang berterusan ke suku ketiga (Q3) tahun ini, selain dipacu oleh insentif moratorium dan cukai kerajaan, laporan Bernama.

    Menurut Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) Datuk Tony Khor, penjualan tahun ke tahun untuk bulan Julai melonjak melebihi 25% kepada 37,800 unit, sementara untuk bulan Ogos dan September, masing-masing mencatatkan pertumbuhan melebihi 17% tahun ke tahun.

    “Insentif daripada kerajaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya pengecualian cukai dan moratorium mendorong lebih banyak aktiviti penjualan sejak Jun.

    Permintaan terhadap kereta terpakai naik pada Q3 2020 susulan inisiatif kerajaan – Myvi paling digemari

    “Kami memperoleh jualan sebanyak 112,400 unit sejak tiga bulan lepas. Penjualan suku ketiga telah menyaksikan angka sejak awal tahun sehingga kini (YTD) kepada sekitar 280,000 unit dan kami boleh menandingi jualan purata tahunan industri kerana permintaan terus menggalakkan,” kata beliau.

    Tambah beliau lagi, jumlah dagangan tahunan purata untuk kereta terpakai dalam beberapa tahun lepas berlegar sekitar 400,000 unit bernilai lebih daripada RM15 bilion, berdasarkan kepada nilai purata RM40,000 seunit.

    “Permintaan yang banyak untuk kereta terpakai semasa PKP ialah kereta-kereta yang nilai puratanya antara RM30,000 hingga RM40,000. Kereta terpakai yang paling laris terjual di pasaran ialah Perodua Myvi. Model itulah yang paling dicari. Myvi adalah yang nombor satu,” kata beliau sambil menambah varian popular lain termasuk Toyota Vios, Honda City, Proton Saga dan Proton Persona.

    “Perniagaan sememangnya rancak, terutama kereta terpakai perbatuan rendah yang paling laris. Contohnya Myvi, model ini cuma bertahan beberapa jam sahaja dan tidak berada lama di lot wakil penjual sehingga jarang muncul di iklan.

    Permintaan terhadap kereta terpakai naik pada Q3 2020 susulan inisiatif kerajaan – Myvi paling digemari

    “Biasanya, Myvi (datang) masuk dan (pergi) keluar sangat cepat. Untuk model yang sangat laku, kami tidak perlu berusaha keras untuk mengiklankannya. Permintaan untuk Myvi turut memastikan bahawa nilai penjualan semula model itu masih tinggi,” jelasnya.

    Bagaimanapun, Khor mengingatkan yang trend jualan kereta terpakai yang menggalakkan ini tidak akan kekal lama dan musim sepanduk kemungkinan akan berakhir berikutan tamatnya moratorium pinjaman enam bulan itu.

    “Walaupun pengecualian cukai jualan dijangka dapat mengekalkan permintaan, sentimen pembelian pada suku keempat diunjurkan lebih berhati-hati memandangkan insentif moratorium telah berakhir. Mood membeli telah mula perlahan pada bulan Oktober. Kami berharap kerajaan boleh mengumumkan lanjutan tiga bulan lagi moratorium pembayaran balik pinjaman sehingga 31 Dis untuk terus menyokong industri dalam masa pandemik ini,” tambah Khor.

    Jika ada di antara anda yang berhajat untuk membeli kereta terpakai, kami ada menyediakan PANDUAN KHAS yang boleh anda baca dan teliti sebelum membuat keputusan muktamad. Harap ia dapat membantu membuat keputusan yang lebih relevan.

     
     
  • VIDEO: Laporan ujian ASEAN NCAP bagi Proton X50

    VIDEO: Laporan ujian ASEAN NCAP bagi Proton X50

    Laporan penuh ujian ASEAN NCAP bagi Proton X50 telah diumumkan, dengan video ujiannya sekali. Seperti diumumkan oleh Proton minggu lalu, SUV segmen itu menerima penarafan lima-bintang, dan itu sah untuk kesemua empat variannya – kerana unit yang diuji ialah varian standard – yang ada hanya empat beg udara.

    Video ASEAN NCAP ini juga menunjukkan X50 mampu bertahan dari hentaman depan dan sisi dari beberapa sudut. Perlanggaran depan nampak meyakinkan, kerana bahagian tiang A kelihatan tidak terjejas.

    Proton X50 mendapat skor 13.42 daripada 16 mata bagi impak depan, skor penuh 16 mata bagi impak sisi dan 2 daripada 4 mata bagi teknologi perlindungan kepada (markah kurang kerana varian yang diuji ini tiada beg udara tirai). Markah keseluruhan bagi Adult Occupant Protection (AOP) ialah 31.42 daripada 36 mata maksimum.

    Sekadar perbandingan, angka berkenaan sedikit mengatasi Perodua Aruz bagi ujian yang sama (12.50, 14.64, 4, AOP keseluruhan 31.14), tetapi sedikit berada di belakang Toyota Corolla Cross (13.01, 16, 4, AOP keseluruhan 33.01). Jika X50 versi enam-beg udara yang digunakan untuk ujian ini, mungkin ia akan mengatasi angka ini.

    Bagi Child Occupant Protection (COP) pula, X50 memperoleh keseluruhan 41.50 daripada 49 mata. Aruz dan Corolla Cross pula masing-masing menerima 41.19 dan 44.35 mata. Bagi bantuan keselamatan, X50 mencatat 14 daripada 18 mata; kurang kerana tidak mempunyai ciri pengingat tali keledar penumpang belakang bagi varian standard tersebut. Aruz dan Corolla Cross masing-masing dengan angka 16 dan 14.50.

    Versi terbaru protokol ujian ASEAN NCAP turut melibatkan penilaian berasingan bagi teknologi titik buta. Badan bebas itu mengesahkan peninjau titik buta pada X50 berfungsi sepatutnya mengikut parameter ujian, seperti ditunjukkan dalam video.

    Selain itu, laporan lengkap ini juga menyatakan bahawa penarafan keselamatan bagi Proton X50 ini turut diterima pakai bagi pasaran Thailand juga. Jadi, kita tahu kini bahawa model berkenaan berkemungkinan besar akan dipasarkan di sana juga nanti.

     
     
  • Perodua siar video animasi comel untuk tunjuk fungsi-fungsi keselamatan pada model-model terkini mereka

    Pelbagai cara pengeluar-pengeluar automotif untuk memberitahu bagaimana sistem-sistem keselamatan pada model-model mereka berfungsi. Dan untuk Perodua, mereka baru sahaja menyiarkan satu video animasi untuk tujuan berkenaan.

    Video yang bertajuk “Jom Selamat Sampai” ini menampilkan watak-watak kartun yang agak comel, namun untuk kereta-kereta yang ditampilkan, ia diberikan perincian yang begitu sama dengan model-model sebenar keluaran Perodua yang kini sedang dijual dalam pasaran – malah apa yang kami perasan, nombor plet pada Alza dan juga Axia Style pada animasi ini adalah nombor yang sama dengan unit pandu uji yang kami terima sebelum ini!

    Ia dimulakan dengan MPV tujuh tempat-duduk Perodua Alza dengan menunjukkan ia hadir dengan cagak Isofix bersama penambat sebelah atas pada tempat duduk baris kedua, yang membolehkan kerusi keselamatan kanak-kanak dipasang selamat dan mudah.

    Kemudian, hatchback segmen-A Axia pula keluar dalam varian Axia Style berwarna Sunrise Orange. Sesuai dengan imej Axia Style yang funky, hatchback dengan gaya crossover berkenaan dipandu oleh remaja yang ranggi. Sistem Kestabilan Kenderaan (VSC) pula ditunjukkan pada model ini, dengan menunjukkan ia tidak hilang kawalan di jalan yang berliku.

    Apabila sampai ke kawasan lebih urban, Axia berkenaan terlanggar lopak air yang menyebabkan air terpercik pada cermin sebuah Bezza 1.3 AV facelift berwarna Garnet Red. Dengan sistem brek ABS dan EBD yang dibekalkan, Bezza berkenaan berjaya mengelak halangan di hadapannya yang hanya dilihat oleh pemandu setelah air yang terpercik di cermin hadapan di lap oleh pengelap cermin.

    SUV-MPV Perodua Aruz juga muncul dalam video berkenaan, menunjukkan ia tidak mengundur ke belakang selepas berhenti di bukit dan mahu bergerak semula, kerana model tersebut dilengkapkan dengan sistem Bantuan Mula Mendaki (HSA).

    Akhir sekali, Perodua Myvi 1.5 AV 2020 pula muncul dengan warna baharu Electric Blue, menunjukkan bagaimana sistem brek kecemasan automatik (AEB)/Pre-collision Braking (PCB) berfungsi sebagai salah satu sistem dalam pakej bantuan pemanduan ASA 2.0, yang kini dipadankan secara standard untuk semua varian Myvi 1.5L dan juga opsyen pada Myvi 1.3 X.

    Selain dari AEB/PCB, sistem ASA ini juga turut memberikan fungsi lain seperti Pre-collision Warning (PCW), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC). Buat masa sekarang, semua model Perodua (kecuali Perodua Alza yang hampir 11-tahun dalam pasaran) bukan sahaja menerima sistem ABS, EBD dan VSA, malah model sekecil Axia juga telah hadir dengan ASA 2.0.

    Ini secara tidak langsung membuatkan jenama lain lebih mahal yang tidak membekalkan sistem setaraf kelihatan begitu kedekut, dan secara tidak langsung akan ‘memaksa’ semua pemain industri untuk mengikut langkah yang diambil oleh Perodua dalam mempromosikan pemilihan kenderaan yang lebih selamat ini.

    Walau bagaimanapun, bukan semua varian Perodua menerima sistem-sistem keselamatan yang disebutkan di atas. Jadi varian Perodua yang mana perlu anda pilih? Ketahuinya dengan membaca artikel bertajuk “5 varian Perodua yang tak patut dibeli – ini sebabnya” yang baru sahaja kami siarkan.

     
     
  • Harga minyak 10-16 Okt – semuanya turun!

    Harga minyak 10-16 Okt – semuanya turun!

    Kementerian Kewangan telah memaklumkan bagi minggu bertarikh 10 hingga 16 Oktober 2020, kesemua harga runcit bahan api utama di negara ini dilaporkan turun.

    Di mana petrol RON 97 dan RON 95 melibatkan penurunan harga masing-masing sebanyak 4 sen seliter. Ini bermakna harga RON 97 akan menjadi RM1.97 seliter berbanding RM2.01 seliter pada minggu sebelumnya.

    Manakala harga bagi RON 95 pula, daripada RM1.71 seliter pada minggu sebelumnya, bakal menjadi RM1.67 seliter.

    Untuk diesel pula, harganya turun sebanyak 1 sen seliter iaitu RM1.69 seliter bagi gred Euro 2M dan Euro 5 pula akan mahal 10 sen daripada harga itu, iaitu RM1.79 seliter.

    Semua harga baharu berkenaan efektif mulai 12.01 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 16 Oktober 2020.

     
     
  • Thailand cadang turunkan cukai bagi EV CKD di sana

    Thailand cadang turunkan cukai bagi EV CKD di sana

    Usaha kerajaan Thailand untuk menggalakkan lagi penggunaan kenderaan elektrik diteruskan lagi dengan cadangan untuk mengurangkan harga EV supaya lebih ramai pengguna boleh memanfaatkannya. Ini ingin dilakukan dengan cara menurunkan duti import ke atas komponen automatif yang digunakan untuk memasang EV di Thailand, lapor Bangkok Post.

    Buat masa ini, pegawai yang terlibat di dalam industri berkenaan telah ditugaskan untuk menjalankan kajian awal bagi menilai pilihan pengurangan cukai tersebut. Dapatan daripada kajian itu kemudiannya akan disampaikan kepada National Electric Vehicle Policy Committee untuk pertimbangan selanjutnya dalam bulan ini.

    Dengan pendekatan cukai yang berkesan dilaksanakan, Menteri Industri Suriya Jungrungreangkit menjangkakan permintaan terhadap EV akan meningkat, yang ketika ini kenderaan jenis itu masih dijual dengan harga yang agak tinggi. Peningkatan permintaan terhadap EV yang lebih tinggi ini akan membantu negara itu dalam usaha untuk mengurangkan pencemaran oleh kenderaan biasa, satu masalah yang telah lama mencengkam ibu kota negara itu sejak dulu.

    Ketika ini, kadar cukai ialah 80% bagi harga komponen automotif, dengan Suriya turut memaklumkan faktor lain yang sedang dipertimbangkan termasuklah meningkatkan jumlah model EV di negara itu dan menjadikannya mampu milik – antara 700,000 hingga 800,000 baht (RM93,300 hingga RM106,628).

    Pemasangan tempatan EV juga antara perkara lain yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan Thailand, dengan sasaran 750,000 EV yang meluputi 30% jumlah pengeluaran keseluruhan kenderaan 2.5 juta menjelang 2030. Ini bakal menyaksikan insentif diberikan kepada syarikat yang melabur di dalam pengilangan bateri atau kemudahan EV di negara itu.

     
     
  • MINI Cooper S Countryman All4 dengan khemah bumbung dilancarkan – muat dua orang dewasa

    MINI Cooper S Countryman All4  dengan khemah bumbung dilancarkan – muat dua orang dewasa

    Mesti ada di antara anda yang gemar melakukan road trip, memandu ke merata destinasi tak kira ceruk mana pun, tapi adakalanya sukar untuk mendapatkan bilik penginapan. MINI telah memperkenalkan model MINI Cooper S Countryman All4 yang didatangkan dengan khemah bumbung yang sesuai untuk anda yang gemar melakukan aktiviti sedemikian.

    Khemas bumbung berkenaan direka khas oleh pengeluar Itali Autohome, ditawarkan dengan pilihan warna hitam atau putih (dengan kemasan kontras pada bahagian bumbung dan perumah cermin sisi). Perumah khemah ini diperbuat daripada gentian kaca dan mengoptimakan aerodinamik apabila ia dilipat, mengurangkan bunyi angin dan seretan.

    Membuka khemas ini juga mudah. Cuma lepaskan penyepit keselamatan dan tekanan gegelung akan membuka khemah tersebut. Tangga aluminium yang disertakan juga boleh dilipat dan dibuka dengan mudah.

    Khemas berkenaan mampu memuatkan dua orang dewasa, dan menampilkan tilam berketumpatan tinggi dengan penutup material kapas. Ia menawarkan dimensi sehingga 2.1 meter bagi panjang ruangnya, dan juga selebar 1.3 meter. Ia turut dilengkapi lampu LED di dalamnya, pintu dan tingkap dengan berzip serta jaring penghalang nyamuk, jaring storan dan juga poket khas.

    Bagi aspek mekanikal, tidak perubahan yang dilakukan. Cooper S Countryman ini masih kekal dengan enjin B48 2.0 liter empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 178 hp, dengan pacuan disalurkan ke semua roda menerusi transmisi Steptronic lapan-kelajuan. Suspensi adaptif hadir sebagai ciri pilihan. Walau bagaimana pun, harga bagi khemah ini masih belum didedahkan.

     
     
  • Vespa Primavera Sean Wotherspoon di M’sia – RM25k

    Vespa Primavera Sean Wotherspoon di M’sia – RM25k

    Pengedar rasmi motosikal Vespa di Malaysia baru sahaja melancarkan model istimewa Primavera Sean Wotherspoon, yang dipasarkan di Malaysia pada harga RM24,960. Ini adalah satu hasil kolaborasi antara Vespa dengan seorang pereka dan ikon fesyen yang terkenal dalam dunia street wear, Sean Wotherspoon.

    Keistimewaan model ini adalah pada penampilannya, yang datang daripada idea Whotherspoon sendiri, melibatkan campuran warna kuning, merah, hijau gelap, putih dan biru muda pada keseluruhan bahagian motosikal ini. Anda juga boleh menyaksikan pada bibir rimnya terdapat tulisan Vespa manakala pada panel tepi diletakkan tulisan Primavera yang bersusun.

    Selain warna pada panel badan, Wotherspoon juga telah memilih warna khas untuk beberapa bahagian lain seperti tempat duduk coklat muda, lapik kaki merah (sama seperti penyerap hentak) serta kemasan getah biru. Melengkapkan penampilan model ini adalah kemasan krom pada perumah lampu, rak barangan hadapan, cermin sisi serta pemegang untuk penumpang belakang.

    Bahagian mekanikal model ini masih sama seperti Primavera 150 biasa di mana ia menggunakan enjin empat strok, satu silinder i-GET 155 cc, suntikan bahan api serta transmisi automatik CVT, sekaligus mampu menghasilkan kuasa 12.9 hp pada 7,750 rpm.

    Rim adalah bersaiz 12 inci dan kelengkapan lainnya termasuk brek cakera 200 mm di hadapan, brek dram di belakang, ABS one-channel, satu penyerap hentak di hadapan dan belakang, tangki bahan api lapan liter, tinggi tempat duduk 790 mm dan tahap emisi Euro 4.

     
     
  • BMW R18 dilancar untuk pasaran Malaysia – versi First Edition, enjin boxer 1,802 cc 91 hp, harga RM149,500

    BMW R18 dilancar untuk pasaran Malaysia – versi First Edition, enjin boxer 1,802 cc 91 hp, harga RM149,500

    Tempahan untuk cruiser terbaru BMW, iaitu R18 sudah dibuka sejak bulan Julai lalu pada harga RM157k tapi kini, setelah ia dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia harga sebenarnya ditetapkan lebih rendah iaitu RM149,500 tidak termasuk insurans. Hanya 18 unit yang dibawa ke negara kita untuk kumpulan pertama dan kesemuanya adalah versi First Edition. Kumpulan seterusnya yang akan dibawa adalah model standard.

    Anda sudah boleh melihat secara dekat motosikal ini di pusat pengedar BMW Motorrad terpilih dan untuk versi First Edition ini keistimewaannya adalah ia datang dengan logo First Edition serta jalur pinstripe atas cat hitam, serta pelbagai bahagian berwarna krom termasuk pemegang, penukar gear, penutup bucu pemegang, serta penutup head dan crank.

    Selain daripada itu, pembeli terawal R18 juga akan menerima satu kotak hadiah khas yang di dalamnya terdapat tiga lencana BMW yang mempunyai kemasan gangsa, topi R18, kepala tali pinggang R18, sarung tangan serta buku istimewa. Meskipun versi First Edition sudah mempunyai kelengkapan khas, pembeli masih diberikan pilihan untuk menambah atau menukar pelbagai lagi aksesori yang ditawarkan oleh BMW untuk R18 ini.

    BMW R18 dilancar untuk pasaran Malaysia – versi First Edition, enjin boxer 1,802 cc 91 hp, harga RM149,500

    Rekaan R18 menggunakan inspirasi daripada model klasik seperti R5, dengan jarak roda yang panjang, garis badan beralun, ekzos seperti sirip, tangki bentuk teardrop serta fork yang mempunyai kelongsong khas. Satu lagi yang menonjol adalah enjin boxer padanya.

    Ini bukan enjin boxer biasa, malah merupakan enjin boxer paling berkuasa pernah dihasilkan oleh pengeluar Jerman ini, di mana ia menggunakan dua silinder, sistem penyejukan udara, suntukan bahan api, berkapasiti 1,802 cc dan mampu menghasilkan kuasa 91 hp pada 4,750 rpm serta tork 150 Nm antara 2,000 hingga 4,000 rpm. Kuasa ini disampaikan ke roda belakang melalui transmisi enam kelajuan klac kering serta sistem syaf.

    Walaupun bentuknya klasik, R18 diterapkan dengan teknologi moden antaranya tiga mod tunggangan iaitu Rain, Rock dan Roll, brek ABS, sistem tanpa kunci, Automatic Stability Control (ASC), Engine Drag Torque Control (MSR), Hill Start Control serta gear undur.

    Pada bahagian brek, model ini dilengkapi dengan unit cakera 300 mm berkembar serta angkup empat piston di hadapan sementara di belakang terdapat cakera tunggal. Suspensi hadapan masih lagi menggunakan fork biasa berdiameter 49 mm manakala di belakang pula lengan ayun dan monoshock tersembunyi di bawah tempat duduk, dan dari tepi ia nampak seperti kerangka rigid.

    Perincian lain R18 adalah berat 345 kg, tangki bahan api 16 liter, tinggi tempat duduk 690 mm, serta rim 19 inci di hadapan dan 16 inci di belakang. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan serta program bantuan tepi jalan selama tiga tahun.

    GALERI: Aksesori BMW R18 2020

     
     
  • General Motors tak kisah Songsan SS Dolphin dari China ciplak rekaan kereta sport Chevrolet Corvette C1

    General Motors tak kisah Songsan SS Dolphin dari China ciplak rekaan kereta sport Chevrolet Corvette C1

    Ciplak rekaan kereta seakan dah biasa di China. Ada jenama yang diciplak memang marah dengan apa yang dibuat oleh pengeluar-pengeluar China ini, misalnya Land Rover yang telahpun mengambil tindakan undang-undang terhadap Land Wind yang meniru rekaan Range Rover Evoque mereka. Namun ada juga jenama yang hanya pasrah apabila rekaan mereka di tiru.

    Ketika acara Beijing Auto Show 2020 berlangsung akhir bulan lalu, salah satu dari beratus-ratus jenama automotif domestik China iaitu Songsan telah mendedahkan kereta sport tanpa bumbung terbaharu mereka yang digelar SS Dolphin. Sekali pandang, tidak sukar untuk kita hadam bahawa rekaannya diciplak dari kereta sport ikonik Amerika, Chevrolet Corvette C1.

    Malah jika anda bertandang ke laman rasmi Songsan, mereka tanpa segan silu mengaku bahawa kereta ini memang direka dengan meniru rekaan dari Chevrolet, sambil menyiarkan gambar-gambar selebriti Amerika seperti Dwanye ‘The Rock’ Johnson, Leonardo DiCaprio, Tom Cruise dan ramai lagi bergambar dengan Corvette C1 sebenar.

    General Motors tak kisah Songsan SS Dolphin dari China ciplak rekaan kereta sport Chevrolet Corvette C1

    “Semua orang ada kereta idaman dalam fikiran mereka, sebahagiannya adalah dari filem-filem Amerika ketika zaman kanak-kanak, dan ada juga model klasik yang dilihat di muzium-muzium luar negara, jadi ia menyemarakkan kemahuan tersebut. Walau bagaimanapun, kereta lama tidak boleh diimport, dan ia tidak boleh digunakan secara sah di atas jalan raya.

    “Siri kereta neo-klasik ini membawa impian dan perasaan retro ke pasaran China. Rupa retro dan kawalan-kawalan moden bukan hanya sebagai permainan mewah dan romantik, ia juga kereta pengangkutan yang menjimatkan tenaga dan mesra alam,” tulis satu kenyataan dalam laman web Songsan tersebut berkenaan SS Dolphin ini.

    Namun menurut laman Carscoop, pemilik jenama Chevrolet iaitu General Motors (GM) tidak kisah dengan apa yang dibuat oleh Songsan berkenaan, walaupun secara terang-terangan mereka mengaku bahawa kereta sport ini dihasilkan berdasarkan rekaan Corvette C1.

    General Motors tak kisah Songsan SS Dolphin dari China ciplak rekaan kereta sport Chevrolet Corvette C1

    “Mereka tidak menggunakan sebarang nama dengan tanda dagangan kami atau logo, dan rekaan mereka tidak identikal dengan C1,” kata pengurus senior Chevrolet untuk komunikasi kereta dan crossover Chevrolet, Kevin Kelly kepada portal tersebut.

    Walaupun rupa Songsan SS Dolphin ini nampak retro, ia tidak diberikan enjin V8 atau teknologi-teknologi old-school. Sebaliknya, ia digerakkan oleh unit janakuasa plug-in hybrid gandingan enjin petrol 1.5 liter bersama motor elektrik yang dibekalkan oleh BYD.

    Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat. Dengan pek bateri 16 kWj yang dibekalkan, Songsan SS Dolphin boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya dalam jarak 90km hingga 100 km.

    General Motors tak kisah Songsan SS Dolphin dari China ciplak rekaan kereta sport Chevrolet Corvette C1

    Pada bahagian luaran, SS Dolphin ini diberikan perincian yang ditiru dari Corvette C1 termasuk lampu hadapan bulat berkembar (menggunakan LED), gril hadapan, lekuk pada fender hadapan dan pintu, bampar dan lampu belakang serta kemasan-kemasan krom yang sepatutnya.

    Untuk kabin pula, Corvette palsu ini menerima rekaan gabungan antara retro dan moden menampilkan paparan instrumen digital, skrin infotainmen terapung, roda stereng rata di bawah, serta kemasan-kemasan elemen kayu dan metalik.

    Walaupun ia produk dengan rekaan ciplak, Songsan SS Dolphin ini bukanlah sebuah kereta yang murah di China. Ia dijual pada harga bermula 590,000 yuan (RM364k) atau hampir 50% lebih mahal dari sebuah Chevrolet Camaro di pasaran tersebut.

     
     
  • Subaru catat Guinness World Record baharu dengan perarakan terbesar kereta Subaru di STI Subiefest 2020

    Subaru catat Guinness World Record baharu dengan perarakan terbesar kereta Subaru di STI Subiefest 2020

    Subaru of America (SOA) telah berjaya mencatatkan Guinness World Record baharu dengan perarakan kereta Subaru terbesar dalam acara Subaru Tecnica International Subiefest 2020, sempena penganjuran OC Fair & Expo Center di Costa Mesa, California.

    Untuk mencatatkan rekod baharu ini dan tiada syarikat lain yang mampu melakukannya setakat ini, SOA telah menghimpunkan sejumlah 1,751 kereta Subaru untuk menyertai perarakan kali ini, menewaskan rekod terdahulu yang pernah dilakukan pada 2015 dengan melibatkan 549 kenderaan. Menurut syarikat ini, pihaknya tetap memastikan keselamatan peserta diutamakan memandangkan pandamik Covid-19 masih hangat di sana.

    Selain perarakan sejauh 3.2 km, buat pertama kalinya, peserta juga berpeluang meyaksikan model BRZ generasi akan datang, yang dibaluti lapisan penyamaran dan boleh dilihat menerusi tirai nipis. Berdasarkan imej yang dimuat naik menerusi Instagram, coupe tersebut tidak banyak perubahan signifikan daripada model semasa, cuma terdapat sedikit perubahan rekaan yang dilakukan.

    Ini termasuklah lampu utama bagai bentuk airmata, dengan pertambahan corong pada bahagian belakang roda hadapan, lampu belakang yang lebih tajam dan ducktail untuk lid but belakang. Kereta yang dipamerkan ini juga dipadankan dengan roda aloi 10-jejari bersama kemasan gunmetal, seperti yang pernah dipaparkan menerusi imej rasmi oleh pengeluarnya.

    Buat masa ini tiada perincian mengenai mekanikalnya, tapi ada ura-ura mengatakan ia bakal digandingkan dengan enjin boxer 2.4 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan sistem Toyota D-4S (direct/port fuel injection) yang akan digunakan. Menggunakan kod nama FA24D, penjana kuasa ini dikatakan mampu menghamburkan kuasa hingga 217 hp dan tork 240 Nm, di mana ia telah diberi penambahbaikan berbanding unit FA20D yang digunakan pada masa ini dengan kuasa 205 hp dan 212 Nm (versi automatik dengan 200 hp dan 205 Nm).

    Sebelum ini, dilaporkan BRZ akan datang bakal diganding dengan unit FA24F daripada SUV tiga-barisan tempat duduk Ascent – 2.4 liter turbo – dengan hamburan kuasa 260 hp dan 376 Nm. Transmisi manual dan automatik enam-kelajuan dijangka akan digandingkan dengan penjana kuasa bagi jentera ini. Walau bagaimana pun, kena nantikan perkhabaran selanjutnya dari Subaru sendiri mengenai perincian penuh jentera ini.

     
     
  • Das WeltAuto — laman web baru diperkenalkan; lihat, bandingkan kereta dan tawaran dari VW Malaysia

    Das WeltAuto — laman web baru diperkenalkan; lihat, bandingkan kereta dan tawaran dari VW Malaysia

    Program kereta terpakai global oleh Volkswagen, Das WeltAuto yang sudah berada di Malaysia kini telah melancarkan laman web baru yang diperkemas, membolehkan anda untuk melihat, membandingkan dan bertanya tentang kereta-kereta terpakai Volkswagen.

    Diperkenalkan pada 2019, Das WeltAuto ditawarkan di lapan cawangan pengedar Volkswagen – Volkswagen Puchong, Volkswagen Gombak, Volkswagen Glenmarie, Volkswagen Tebrau, Volkswagen Alor Setar, Volkswagen Juru, Volkswagen Ipoh dan Volkswagen Skudai. Kini dengan laman web baru yang lebih mudah dan mesra pengguna, anda boleh meninjau pilihan penuhnya, dan setiap senarai akan menunjukkan lokasi kereta berkaitan.

    Anda akan mendapati senarai yang disediakan oleh Das WeltAuto mempunyai maklumat dan spesifikasi yang komprehensif yang jarang-jarang diperoleh di Malaysia. Ini kerana ia disepadukan bersama CarBase.my, dan menampilkan semua perincian dan data yang anda jangkakan daripada laman web panduan pembelian kenderaan, dibawakan kepada anda oleh Paultan.org.

    Jika anda pengguna biasa CarBase.my, anda akan biasa dengan fungsi perbandingannya, yang membolehkan anda memilih beberapa model secara bersebelahan untuk dinilai. Perkara sama turut disediakan oleh laman Das AutoWelt, berserta berita dan ulasan oleh Paultan.org bagi perincian lanjut terhadap model-model tersebut. Selepas itu, anda boleh tambahkan kereta berkenaan ke dalam “Favorites” atau bertanya lanjut dengan cara mengisi borang dalam talian.

    Semua kereta di Das WeltAuto melalui pemeriksaan ketat 133-poin yang dilakukan dan disahkan oleh juruteknik Volkswagen. Pelanggan yang membeli kenderaan dari Das WeltAuto akan menikmati lanjutan jaminan setahun dan bantuan tepi jalan selama setahun.

    Janji Das WeltAuto, hanya alat ganti tulen sahaja yang digunakan pada semua kenderaan tersebut, dan semuanya bebas kemalangan dan datang dengan rekod servis lengkap dari pusat servis sah Volkswagen. Pelanggan boleh menjangkakan pengalaman servis yang sama seperti jika mereka membeli kereta baru Volkswagen.

    Das WeltAuto — laman web baru diperkenalkan; lihat, bandingkan kereta dan tawaran dari VW Malaysia

    “Apa yang membezakan Das WeltAuto daripada saluran kereta terpakai yang lain ialah anda boleh menjangkakan tahap servis yang tinggi sama seperti jika anda membeli kereta baru daripada pengedar yang anda percayai, dengan petugas yang berpengalaman yang akan memberikan nasihat terbaik dan telus. Semua ini dari jenama yang anda boleh percayai, begitu juga dengan barisan produknya,” jelas Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.

    Kereta-kereta yang anda lihat di laman utama Das WeltAuto datang dengan tawaran istimewa secara bulanan, dengan sebahagian daripadanya sukar diabaikan. Semua model kenderaan dari jenama apa pun diterima untuk “trade-in”, bukan hanya Volkswagen.

    Das WeltAuto — laman web baru diperkenalkan; lihat, bandingkan kereta dan tawaran dari VW Malaysia

    Anda ada kereta Volkswagen lama dan teringin untuk bertukar kepada yang baru? Ketika ini VPCM sedang menjalankan kempen Trade-Up, disasarkan kepada pemilik sedia ada bagi model seperti Touran, Cross Touran, Sharan, Passat CC dan Passat B7. Dengan kempen ini, pemilik sedia ada boleh menikmati tambahan RM3,000 bagi sokongan trade-in bagi semua model, termasuk Arteon R-Line baru, Tiguan Allspace dan Passat Elegance.

    Nikmati tawaran hebat di laman web baru Das WeltAuto.

     
     
  • PKPB: Polis laksana lima sekatan jalan raya dan 10 jalan ditutup di Klang hingga 23 Oktober 2020

    PKPB: Polis laksana lima sekatan jalan raya dan 10 jalan ditutup di Klang hingga 23 Oktober 2020

    Dua hari lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan mengenakan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor, bermula 9 Oktober (hari ini) susulan peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan.

    Susulan pengumumuman tersebut, polis Klang telah mengumumkan beberapa sekatan jalan raya dan juga penutupan jalan di mukim Klang telah dilaksanakan sejak 12 tengahmalam tadi, laporan Berita Harian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, bagi kawasan Klang Selatan, tiga sekatan jalan raya diadakan dan tujuh jalan ditutup membabitkan kawasan Bukit Tinggi dan Taman Sri Andalas.

    “Sekatan jalan raya di kawasan Bukit Tinggi membabitkan Persiaran Pegaga (Berhadapan Restoran Subaidah) dan Jalan Kim Chuan (Berhadapan 99 Speedmart). Jalan yang ditutup membabitkan Jalan Batu Unjur 9, jalan masuk berhadapan kedai elektrik Onking Chain-Store (Malaysia) Sdn Bhd dan lorong masuk berhadapan Kedai Motosikal Wisfatt.

    “Bagi Taman Sri Andalas pula, sekatan jalan raya dilaksanakan di persimpangan masuk dan keluar Jalan Tun Dr Ismail, manakala jalan yang ditutup adalah berhadapan Masjid Ar Rahimiah, Jalan Sri Siantan, Jalan Sri Siantan 41 dan Jalan Sri Damak 53,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan, orang ramai yang ingin keluar dan masuk ke kawasan Bukit Tinggi dan Taman Sri Andalas dinasihatkan mendapatkan surat kebenaran dari polis malah Balai Polis Bergerak disediakan di dua lokasi terbabit.

    “Tiada keperluan surat kebenaran atau permit khas bagi tujuan keluar atau masuk ke lain-lain kawasan di daerah Klang setakat ini (tertakluk kepada perubahan semasa),” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata dua sekatan jalan raya didirikan di kawasan Kampung Kuantan membabitkan Jalan Bukit Kuda (Depan Emy Cookies & Food) dan Jalan Bukit Kuda (Simpang Lorong Lintang Raksa 2).

    “Jalan yang ditutup adalah Lorong Perak, Jalan Raksa 3 – Depan Jihas Bakery dan Jalan Raksa 4,” katanya.

     
     
  • Honda Ridgeline facelift 2021 – rupa lebih lasak

    Honda Ridgeline facelift 2021 – rupa lebih lasak

    Honda Ridgeline generasi kedua kini sudah pun empat tahun diperkenalkan, dan kini ia tampil dalam versi facelift, diberikan pelbagai perubahan pada rupa dan perincian. Model yang segarkan ini diumumkan akan mula dijual bermula awal tahun hadapan.

    Trak pikap keluaran Honda ini agak unik kerana ia tidak menggunakan casis ladder frame, sebaliknya diberikan kerangka unibody, dengan enjin diletakkan melintang seperti kereta-kereta Honda pacuan roda hadapan yang lain. Dan sebelum ini juga rupa Rigdeline dikatakan kurang lasak dengan muka seperti SUV Honda Pilot, dan tidak seperti sebuah trak.

    Jadi untuk model facelift 2021 ini, Ridgeline dihasilkan dengan rupa yang lebih rugged, dengan gril dan hidung yang lebih menonjol dan bersegi, bersama lampu hadapan LED yang direka semula. Namun rekaan jalur dari gril dalam kemasan krom atau hitam (bergantung varian, terdiri dari Sport, RTL, RTL-E dan Black Edition) masih dikekalkan.

    Honda Ridgeline facelift 2021 – rupa lebih lasak

    Imej lebih lasak ini turut disertai dengan bampar hadapan baharu yang diberikan skid plate, serta liang udara sisi yang direka untuk mengalirkan udara dari bampar ke roda hadapan bagi menghasilkan tirai udara yang memberi prestasi aerodinamik lebih baik.

    Perubahan lain termasuk bonet hadapan dengan bonjol yang lebih menyerlah, fender hadapan baharu untuk disesuaikan dengan muka baharu serta bampar belakang dengan profil baharu yang menyerlahkan dua tip ekzos berkembar. Kesemua varian kini menerima rim 18-inci, serta trek roda kini 20 mm lebih lebar.

    Selain itu, untuk perincian lain termasuk profil sisi dan juga bed belakang yang sangat praktikal masih lagi kekal sama seperti sebelum ini.

    Honda Ridgeline facelift 2021 – rupa lebih lasak

    Pembeli juga ditawarkan dengan pakej pengayaan rekaan Honda Performance Development (HPD), yang terdiri dari gril hadapan unik, fender flare berwarna hitam, rim dalam kemasan bronze serta grafik HPD pada dinding bed. Pakej ini boleh dipilih untuk kesemua varian kemasan, dan salah satu dari empat opsyen termasuk pakej Utility, Function dan Function+.

    Walaupn banyak tingkat taraf dibuat disebelah luar, kabin Ridgeline ini nampaknya tidak diberikan sebarang perubahan besar, kecuali sistem Display Audio yang dikemaskini. Bergantung pada kemasan yang dipilih, kabin trak pikap ini juga kini diberikan serlahan-serlahan baharu pada panel-panel dan jahitan.

    Aspek mekanikal juga masih tidak berubah di mana Ridgeline dijana oleh enjin petrol suntikan terus 3.5 liter V6 berkuasa 280 hp dan tork maksima 355 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan. Model RTL-E dan Black Edition diberikan sistem pacuan semua roda i-VTM4 AWD dengan Torque Vectoring, manakala versi lain hanya memacu roda hadapan, tetapi masih ditawarkan dengan sistem AWD yang sama secara opsyen.

    Kesemua varian Ridgeline diberikan pakej bantuan pemanduan Honda Sensing secara standard, terdiri dari sistem seperti Sistem Brek Pengelak Kemalangan dengan Amaran Pelanggaran Hadapan, Bantuan Kekal Lorong, Pengelak Keluar Jalan dengan Amaran Keluar Laluan, dan juga cruise control Adaptif.

     
     
  • VIDEO: Toyota Hilux 2.8L Rogue 2021 di Malaysia

    Toyota sudahpun memperkenalkan model Hilux terbaru untuk pasaran tempatan secara rasminya semalam. Hilux dengan wajah baru ini ditawarkan dalam lima varian; 2.8L Rogue AT 4×4 pada harga RM146,880; 2.4V AT 4×4 pada harga RM133,880; 2.4G MT 4×4 pada harga RM111,880; 2.4E AT 4×4 pada harga RM108,880; dan Single Cab 2.4 MT 4×4 pada harga RM92,880. Semuanya harga atas jalan tidak termasuk insurans.

    Untuk pembeli terawal, UMWT menawarkan varian Rogue pada harga RM144,880 – kurang RM2k – bagi pelanggan yang membelinya sepanjang tahun ini. Ambil maklum juga bahawa harga ini termasuk SST, memandangkan trak pikap tidak termasuk di dalam pengecualian cukai kenderaan yang diumumkan kerajaan untuk tahun 2020.

    Sama seperti sebelum ini, dua pilihan enjin ditawarkan, iaitu 2.4L dan 2.8L GD turbodiesel. Bagaimanapun, hanya Rogue yang akan menggunakan unit yang paling besar tersebut. Enjin 1G-FTV itu kini menghasilkan sebanyak 204 PS pada 3,400 rpm dan 500 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,800 rpm – peningkatan sebanyak 27 PS dan 50 Nm berbanding sebelum ini.

    VIDEO: Toyota Hilux 2.8L Rogue 2021 di Malaysia

    Walaupun dengan angka janaan kuasa yang lebih, Toyota mendakwa enjin ini 4% lebih jimat bahan api dengan purata penggunaannya pada kadar 10.9 km/l. Enjin ini turut diberikan unit turbo diperbaharui agak lebih tahan yang kini menggunakan sejukan cecair (dulu sejukan udara).

    Varian selebihnya pula menggunakan enjin 2GD-FTV 2.4L yang menjana 150 PS pada 3,400 rpm dan 400 Nm dari 1,600 hingga 2,000 rpm. Unit dengan variable nozzle turbocharger (VNT) menerima penambahbaikan dari aspek penyejukan dan penjimatan bahan api. Dengan peningkatan tekanan pada sistem commonrail, penjimatan diesel ditingkatkan sebanyak 5%.

    Apa yang lebih menarik ialah tempoh servisnya – Hilux kini hanya perlu diservis setiap 10,000 km/6 bulan (berbanding setiap 5,000 km/3 bulan sebelum ini), yang akan memberi kesan kepada pengurangan kos servis pemilik. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang model ini, tonton video tinjauan ringkas yang kami sediakan ini.

     
     
  • BMW 2 Series Gran Coupé F44 diperkenalkan di M’sia — 218i M Sport CKD, 140 PS/220 Nm, RM211,367

    BMW 2 Series Gran Coupé F44 diperkenalkan di M’sia — 218i M Sport CKD, 140 PS/220 Nm, RM211,367

    BMW Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model 2 Series Gran Coupé F44 untuk pasaran tempatan. Teaser model ini mula ditunjukkan dua minggu lalu, dan ia akan menjadi pesaing terbaru bagi barisan Mercedes-Benz A-Class, terutama CLA.

    Buat masa ini, hanya satu varian akan ditawarkan, iaitu 218i M Sport, dijual pada harga RM211,367 atas jalan tidak termasuk insurans. Dipasang di Kulim, Kedah, kereta ini turut menikmati pengecualian cukai SST sehingga 31 Disember 2020. Harga dengan SST-nya ialah RM218,800. Termasuk sekali ialah jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan dan pakej servis percuma lima-tahun.

    Kereta ini dijana oleh enjin 1.5 liter turbocas tiga-silinder, menghasilkan sebanyak 140 PS dari 4,600 rpm hingga 6,500 rpm dan 220 Nm tork antara 1,480 rpm hingga 4,200 rpm. Ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda depan. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.7 saat, dengan laju maksimum 213 km/j. Penggunaan minyak ialah pada kadar 5.9 liter bagi setiap 100 km.

    BMW 2 Series Gran Coupé F44 diperkenalkan di M’sia — 218i M Sport CKD, 140 PS/220 Nm, RM211,367

    BMW 2 Series Gran Coupé ini adalah berbeza daripada versi Coupé dua-pintu pacuan roda belakang – ia adalah versi dengan but belakang bagi 1 Series pacuan roda depan. Antara ciri rekaannya ialah gril “double kidney” trapezoid, tingkap kaca tanpa bingkai, dengan bahagian belakang yang pendek dengan lampu belakang bentuk L, jalur hitam berkilan dan corong udara hiasan.

    Pakej M Sport padanya pula hadir dengan tambahan bampar depan yang lebih agresif dengan bukaan udara lebih besar, skirting sisi yang lebih dalam, bampar belakang lebih sporty dengan kemasan ala diffuser. Paip ekzos tunggal di kiri menandakan yang 218i ini merupakan model tiga-silinder – varian empat-silinder menerima ekzos berkembar. Lampu depan dan lampu kabus LED serta rim 18-inci 819 M aloi datang sebagai standard.

    Di dalam, 218i berkongsi papan pemuka asas yang sama dengan model 1 Series, dengan rekaan bersegi, tombol dan tuil kawalan dalam warna perak yang dikelompokkan mengikut fungsi serta lampu suasana dalam kemasan perak antara yang menghiasi kabinnya. Kit M Sport pula membawa tambahan balutan kulit pada stereng, scuff plate dengan lencana M dan pedal logam M.

    BMW 2 Series Gran Coupé F44 diperkenalkan di M’sia — 218i M Sport CKD, 140 PS/220 Nm, RM211,367

    Bagi ciri infotainmen, 218i menerima sistem BMW Live Cockpit Plus dengan skrin sentuh 8.8-inci, kluster instrumen analog dengan paparan multi-inco 5.1-inci serta sistem operasi iDrive 6.0 generasi sebelumnya. Malangnya, fungsi Apple CarPlay tidak disertakan sekali dari kilang, tetapi ciri seperti sistem navigasi, pengecas tanpa wayar Qi, enam pembesar suara dan kamera undur datang standard.

    Kelengkapan standard lain termasuk sistem tanpa kunci, butang Start, kawalan pendingin hawa dua-zon dengan corong belakang, kerusi sport dengan larasan kuasa serta fungsi memori untuk pemandu, dan kemasan balutan kulit Dakota.

    Aspek keselamatan, 218i dilengkapi dengan pakej Driving Assistant, termasuk brek kecemasan autonomous, amaran penukaran lorong, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Fungsi Parking Assistant juga ada, lengkap dengan Reversing Assistant.

    Bagi teknologi casis, 2 Series Gran Coupé menerima sistem near-actuator wheel slip limitation yang sama seperti 1 Series, yang merupakan kawalan cengkaman maju yang bersepadu dalam ECU untuk bertindak balas dengan pantas dan tepat.

    Turut tersedia ialah BMW Performance Control dan Electronic Differential Lock Control (EDLC) yang menggunakan brek untuk menetapkan tork vector dan LSD. Suspensi pasif M Sport dan brek M Sport dipasang sebagai standard.

    Pilihan warna terdiri daripada Alpine White, Black Sapphire, Melbourne Red, Snapper Rocks Blue dan Storm Bay, dengan ruang dalaman berwarna hitam/benang biru dan jalur M. Apa pandangan anda tentang model ini, boleh lawan A 200 sedan?

    Pilihan warna: