Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Range Rover Velar 3.0L R-Dynamic di M’sia – RM723k

    Range Rover Velar 3.0L R-Dynamic di M’sia – RM723k

    Jaguar Land Rover Malaysia telah pun memperkenalkan varian terakhir bagi Range Rover Velar dengan kehadiran P380 R-Dynamic, menyertai dua lagi pilihan yang terlebih dahulu dilancarkan pada April lalu. Varian baharu ini ditawarkan pada harga RM722,787, tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans, tapi didatangkan dengan waranti lima-tahun, servis percuma lima-tahun dan juga bantuan tepi jalan tiga-tahun.

    Di bawah bonet untuk varian baharu ini, dilengkapi dengan enjin 3.0 liter supercharged V6 petrol yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 380 PS pada 6,500 rpm dan tork 450 Nm pada 3,500 rpm. Penjana kuasa enam-silinder ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda – dengan sistem Intelligent Driveline Dynamics (IDD) dan Terrain Response.

    P380 R-Dynamic ini mampu memecut dari sifar ke 100 km/j dalam masa 5.7 saat dan kelajuan maksimum sehingga 250 km/j, menjadikannya terpantas berbanding varian yang dilengkapi dengan enjin P250 2.0 liter empat-silinder Ingenium (6.7 saat, kelajuan maksimum 217 km/j).

    Range Rover Velar 3.0L R-Dynamic di M’sia – RM723k

    Selain prestasi yang lebih tinggi, ia juga dipadankan dengan suspensi udara empat-penjuru yang membolehkan ketinggian kenderaan diubah sehingga 50 mm untuk masuk/keluar dan memuatkan kargo dengan mudah. Sistem ini turut merendahkan kenderaan sehingga 10 mm pada kelajuan di bawah 105 km/j bagi membantu mengurangkan seretan aerodinamik.

    Bagi kelengkapan luaran, elemen standard termasuk lampu utama Matrix LED, pemegang pintu retractable, tailgate berkuasa bebas-tangan, roda ‘Style 1033’ 10-jejari 21-inci dan juga kit penggayaan R-Dynamic – bampar hadapan yang lebih menyerlah, kemasan ekzos krom berkembar dan lambang R-Dynamic.

    Di dalamnya, ia didatangkan dengan sistem infotainmen InControl Navigation Pro yang bekerjasama dengan sistem Touch Pro Duo, dengan dua skrin sesentuh 10-inci, selain unit paparan 12.3-inci untuk Paparan Pemandu Interaktif pada kluster instrumen.

    Range Rover Velar 3.0L R-Dynamic di M’sia – RM723k

    Lain-lain elemen termasuk tempat duduk larasan berkuasa 10-hala (dengan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu), pencahayaan ambien, 825-watt, sistem bunyi Meridian 17-pembesar suara, kawalan suhu dwi-zon, Bantuan Lampu Tinggi Pintar, Morzine headliner, paparan unit utama, upholstery kulit Windsor dan bumbung matahari panoramik.

    Bagi keselamatan, ia lebih kurang sama dengan varian janaan P250, dengan enam beg udara, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Kawalan Cengkaman Elektronik (ETC), Kawalan Kestabilan Olengan, Kawalan Brek Selekoh (CBC), ABS dengan EBD dan cagak Isofix.

    Bagi P380 R-Dynamic, ada ciri tambahan ditampilkan termasuklah Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC) dengan Stop & Go dan Sistem Brek Kecemasan yang boleh beroperasi dalam kelajuan antara 10 hingga 160 km/j; jika radar mengesan pelanggaran bakal berlaku dan ia akan membunyikan amaran untuk pemandu, dan sekiranya pemandu tidak mengambil langkah untuk mengelaknya, kenderaan akan brek secara automatik untuk mengelakkan pelanggaran terbabit.

    GALERI: Range Rover Velar P250 R-Dynamic

     
     
  • Yamaha FreeGo dilancar di Indonesia – skuter 125 cc

    Yamaha FreeGo dilancar di Indonesia – skuter 125 cc

    Pengedar motosikal Yamaha di Indonesia telah memperkenalkan sebuah skuter baru untuk pasaran di sana, dikenali sebagai FreeGo. Ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu FreeGo, FreeGo S dan FreeGo S ABS dengan harga masing-masing 18.5 juta Rupiah (RM5,200), 19.7 juta Rupiah (RM5,500) dan 22.5 juta Rupiah (RM6,300).

    FreeGo dikuasakan oleh enjin satu silinder SOHC penyejukan udara 125 cc BlueCore, dan ia mampu menghasilkan kuasa sekitar 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.5 Nm tork pada 5,500 rpm. Ini adalah enjin suntikan bahan api dan ia dipadankan bersama transmisi jenis CVT.

    Istimewanya skuter baru ini adalah ia mempunyai ruang simpanan bawah tempat duduk yang lebih besar daripada NMax, iaitu berkapasiti 25 liter, tetapi tangki bahan apinya masih lagi lebih kecil daripada NMax iaitu 4.2 liter (NMax berkapasiti 6.6 liter).

    Muncung tempat mengisi bahan api FreeGo ini terletak di hadapan (bawah bahagian pemegang), dan ia turut dilengkapi dengan barangan lain seperti meter jenis digital, pemula enjin elektrik dan tendang, rim tanpa tiub 12 inci (tayar 100/90 di hadapan dan 110/90 di belakang), soket pengecas 12V, lampu hadapan LED, brek cakera di hadapan dan sistem Start/Stop yang menggunakan Smart Motor Generator.

    Apabila mendapatkan model FreeGo S, pemilik akan diberikan tambahan sistem tanpa kunci berserta ciri panggilan balik yang tiada pada model paling asas FreeGo, dan apabila memilih FreeGo S ABS pula, ia akan ditambah dengan sistem brek ABS one-channel.

     
     
  • Hyundai Palisade – imej bocor sebelum pelancaran

    Hyundai Palisade – imej bocor sebelum pelancaran

    Hyundai Palisade, sebuah SUV besar tiga baris tempat duduk terbaru pengeluar Korea ini sepatutnya akan didedahkan pertama kali ketika Los Angeles Auto Show hujung bulan ini. Tetapi, gambar-gambarnya rasmi terawalnya sudah pun mula bocor diinternet oleh sebuah portal Russia, Auto Review.

    Model ini pernah dizahirkan rekaannya melalui konsep Grandmaster, dan produ akhir yang dapat dilihat banyak persamaan dengan kereta konsep yang dipertonton di Busan Motor Show tahun ini. Memang terdapat sedikit perubahan diberikan – kluster lampu yang terpisah dari Cascading Grille.

    Rekaan lampu utama juga hadir dengan pendekatan dua tahap, sama seperti apa yang pernah dilihat pada Santa Fe terbaru ketika ini. Bagi bahagian intake udara di bawah, rekaan segiempat yang ada berfungsi untuk menyembunyikan sensor keselamatan yang ada – pendekatan sama digunakan pada bahagian gril juga.

    Hyundai Palisade – imej bocor sebelum pelancaran

    Dari sisi, Palisade tampil dengan reka bentuk yang sama seperti Grandmaster. Lengkuk tayar yang besar dan menonjol juga masih kelihatan. Kemasan krom dari A-pillar ke C-pillar juga masih ada, walaupun dalam penampilan yang lebih kurus.

    Jika ada pun perbezaan antara model konsep dengan model akhir ini, ia melibatkan seksyen C-pillar – bahagian berkenaan lebih luas untuk memberikan ruang kepala yang lebih banyak kepada penumpang di baris ketiga. Garis bumbung Grandmaster kelihatan lebih rendah dan agresif. Gambar bahagian belakang bagaimanapun belun terdedah ketika ini.

    Lain-lain maklumat juga sama, belum disahkan. Khabar angin mengatakan model ini nanti akan menggunakan enjin 3.3/3.5 liter V6 dari Sorento. Paling hampir, mungkin boleh merujuk kepada penawaran satu lagi model SUV besar dari kumpulan syarikat sama yang diperkenalkan September lalu, Kia Telluride.

    Hyundai Grandmaster Concept

     
     
  • Perodua capai 500,000 pengeluaran bagi EEV – telah memproduksi 344,000 Axia, 130,800 Bezza, 75,800 Myvi

    Perodua capai 500,000 pengeluaran bagi EEV – telah memproduksi 344,000 Axia, 130,800 Bezza, 75,800 Myvi

    Perodua telah melakar satu lagi kejayaan besar dengan mencapai 500,000 penghasilan kenderaan cekap tenaga (EEV) dan dijual di Malaysia, sekaligus memperkukuhkan lagi statusnya sebagai syarikat EVV terunggul negara.

    “Saya dengan rendah diri ingin mengumumkan bahawa sejak pelancarannya masing-masing, sebanyak 342,600 unit Axia, 130,000 unit Bezza dan lebih 75,000 unit Myvi baharu telah menemui pemiliknya di Malaysia setakat ini,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    Sejak kerajaan memperkenalkan klasifikasi EEV dalam Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP 2014), lebih daripada 344,000 unit Axia, 130,800 unit Bezza dan 75,800 unit Myvi baharu telah dikeluarkan oleh Perodua di Sungai Choh.

    Untuk diiktiraf sebagai EEV, sesuatu kenderaan harus mencapai atau menjangkaui kecekapan bahan api (diuji mengikut piawaian UNECE R101) yang tertentu berdasarkan beratnya tanpa muatan. Axia, Bezza dan Myvi baharu kesemuanya mampu mencapai kecekapan bahan api melebihi 20 kilometer seliter.

    Tidak terhad kepada produk, kilang Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, yang mengeluarkan Axia dan Bezza, juga merupakan kilang bertaraf EEV pertama di Malaysia yang menggabungkan teknologi cekap tenaga dalam mengurangkan kadar pelepasan pengeluaran serta menetapkan piawaian baru dari segi kualiti, pengurusan kos dan penghantaran.

    “Kecekapan bahan api kenderaan kami menyumbang kepada kos operasi yang sangat rendah, dan juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia lebih bersih dan hijau serta trend global ke arah kenderaan yang lebih cekap bahan api. Lebih-lebih lagi, kenderaan kami mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia,” sambung Aminar lagi.

    Menurut Aminar, dengan gabungan ciri-ciri Perodua iaitu berkualiti tinggi, kebolehpercayaan, praktikaliti, kemudahan memandu dan rangkaian perkhidmatan terbesar di negara ini, Perodua berusaha untuk menyediakan pakej mobiliti bernilai untuk rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat.

    “Kepada semua rakyat Malaysia, terima kasih kerana menjadikan Perodua jenama pilihan anda. Sokongan padu anda sepanjang 25 tahun ini menggalakkan kami untuk terus berusaha, kerana anda keutamaan kami,” tambahnya.

     
     
  • Program pascasiswazah MAI-Universiti Teknologi Swinburne bentang penyelidikan bersama industri

    Program pascasiswazah MAI-Universiti Teknologi Swinburne bentang penyelidikan bersama industri

    sdr

    Selari dengan Polisi Industri 4.0 Negara, Institut Automotif Malaysia (MAI) hari ini mengumumkan perkembangan terbaharu berkenaan projek penyelidikan mereka bersama Swinburne University of Technology (SUT) Australia, Kampus Sarawak dalam Program Biasiswa Penyelidikan Automotif MAI-SUT hari ini.

    Projek tersebut dijalankan oleh Pusat Inovasi Pengangkutan (TIC) universiti berkenaan dan diterajui oleh MAI sendiri menerusi program pascasiswazah yang telah dilancarkan sebelum ini. Enam projek dibentangkan oleh kumpulan pertama pelajar program tersebut, yang kesemuanya membuat penyelidikan terus terhadap industri sebenar bagi membangunkan penyelesaian dari masalah dan permintaan terkini dalam industri automotif.

    Projek-projek yang dibentangkan berkenaan adalah Sistem Pengurusan Visual Digital (rakan industri – Autokeen), Sistem Pengambilalihan Data Pembuatan Terproses Masa Sebenar (rakan industri – Masasinar), Pengoptima Proses Pembuatan Semula (rakan industri – NEK), Meminimakan Gegaran pada Motosikal (rakan industri – NB Motors), Pembuatan Pantas Lengan Pedal Brek Automotif (Suria Component Manufacturing) dan juga Faktor yang mempengaruhi Tabiat Membeli Pengguna Terhadap Kenderaan Jenama Tempatan (rakan industri – Proton dan Perodua).

    Kerjasama MAI-SUT ini sebenarnya telah bermula pada 2016, dan ia berpusat di TIC-SUT Kuching, Sarawak. Namun platform penyelidikan dan pembangunan berkenaan menjalankan aktiviti mereka berkisar isu kejuruteraan automotif bukan sahaja di Sarawak dan Sabah, malah turut meluas ke Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN (BIMPT-EAGA).

    Program pascasiswazah MAI-Universiti Teknologi Swinburne bentang penyelidikan bersama industri

    Pada permulaan program ini, pelajar dan rakan industri mereka dipadankan bagi membentuk pasukan persendirian, ditugaskan bagi menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi memberikan penyelesaian spesifik yang dihadapi oleh rakan industry mereka.

    “Koloborasi antara pihak awam-swasta telah menunjukkan hasil positif, dan lebih penting, cepat dan dalam situasi masa sebenar terus kepada industri. Pasukan pelbagai-disiplin membawa dimensi baharu terhadap penyelesaian masalah yang dihadapi oleh industri” kata CEO MAI, Dato’ Madani Sahari.

    Beliau turut menjelaskan bahawa pemain industri dan juga pelajar MAI-SUT membawa elemen dengan menggabungkan kaedah penyelidikan akademik bersama pengalaman dan kepakaran tenaga kerja industri yang mengambil bahagian.

    “Projek yang dibentangkan oleh kumpulan pertama pelajar ini membawa nilai tambah yang besar kepada jaringan bakat Industri 4.0 dalam sektor pengangkutan – selari dengan Polisi Nasional untuk Industri 4.0 (Industry4WRD).

    Serentak dengan perkembangan program ini dalam tahun mendatang, Program Biasiswa Penyelidikan Automotif MAI-SUT dijangka akan menghasilkan jumlah pengamal Industri 4.0 yang besar dan akan menambah nilai jaringan teknologi dalam sektor pengangkutan, termasuk negeri Sarawak”, tambah beliau lagi.

     
     
  • Aprilia buka bilik pameran dan pusat 3S baru di PJ

    Aprilia buka bilik pameran dan pusat 3S baru di PJ

    Pengedar rasmi jenama Aprilia di Malaysia ketika ini, Didi Resources melancarkan pembukaan bilik pameran dan pusat 3S Aprilia Malaysia terbaru untuk pelanggan di sini. Premis ini bertempat di The Gasket Alley, Petaling Jaya dengan keluasan 2,104 kaki persegi.

    Turut berlangsung dalam majlis sama ialah tandangan MoU antara Welly World Cycle, Sheng Fatt Superbike dan Soon Hin Co. bersama Didi Resources. Persefahaman ini bakal menyaksikan ketiga-tiga syarikat pengedar itu dilantuk sebagai wakil penjual barisan motosikal Aprilia Malaysia.

    Welly World Cycle yang terletak di Sungai Buloh akan menampung keperluan di kawasan Tengah, Sheng Fatt Superbike, Pulau Pinang untuk pelanggan di Utara dan Soon Hin Co, pula untuk pasaran sekitar Kuantan dan Pantai Timur.

    Turut menghadiri majlis berkenaan ialah juara dunia MotoGP dua kali bagi tahun 2010 dan 2012, Max Biaggi dan disertai oleh penunggang dan pelumba pasukan Aprilia, Aleix Espargaro dan Scott Redding. “Matlamat kami adalah untuk mewujudkan suatu pengalaman pemilikan yang baru bagi semua pemilik motosikal Aprilia.

    “Kami akan terus melabur untuk menambahbaik aspek lepas jualan dan memberikan khidmat dengan nilai tambah kepada pelanggan. Ini termasuk menganjurkan track day, sokongan perlumbaan, perjumpaan pemilik dan sebagainya khusus untuk jenama Aprilia,” jelas Pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo.

     
     
  • VW Polo B&W – habis terjual dalam 1 minit di Lazada!

    VW Polo B&W – habis terjual dalam 1 minit di Lazada!

    Bukan setakat Milo saja terlaris dalam jualan terhebat di Lazada pada 11 November lalu, malah kesemua 11 unit model edisi istimewa Volkswagen Polo Black & White turut habis dijual menerusi gedung membeli-belah maya terbabit, dalam masa seminit sebaik sahaja detik 12 tengah malam berlalu, dan semua transaksi pembelian lengkap sejam kemudian. Wow! Memang hebat!

    Pelanggan hanya perlu membayar yuran tempahan sebanyak RM799 menerusi Lazada untuk mendapatkan harga runcit bernilai RM68,488, dan setiap antara mereka akan menerima aksesori bernilai RM7,500. Model istimewa ini hanya ditawarkan dalam warna Candy White, dan setiap unit dipadankan dengan spoiler belakang hitam, moulding sisi badan hitam, roda aloi hitam 15-inci, cermin sisi hitam dan lapisan cermin Volkswagen yang diiktiraf.

    Selain daripada itu, model ini menggunakan elemen yang sama seperti varian Polo 1.6 Comfortline Vienna, termasuk tempat duduk kulit standard, unit utama R34G dengan sambungan-App, dan enjin petrol 1.6 liter. Penjana kuasa ini mampu memberikan kuasa 105 PS dan tork 153 Nm, dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

    Tahun lalu, Vokswagen membuat jualan yang lebih sama bagi model Beetle dalam Lazada Online Revolution pada 12 Disember, dengan terjual kesemua 12 unit Beetle edisi terhad dalam masa 20 minit.

     
     
  • Harga Jaguar Land Rover di Thailand turun 1 juta baht

    Harga Jaguar Land Rover di Thailand turun 1 juta baht

    Di Thailand ketika ini, sebehagian daripada kenderaan Jaguar Land Rover 1 juta bath (RM126,513) lebih murah. Pengimport sah jenama itu di sana, Inchape Thailand telah menurunkan harga bagi model-model seperti Jaguar F-Type Coupe, Land Rover Discovery, Range Rover Sport dan Range Rover Velar.

    Sebabnya? Pengedar menyatakan langkah berkenaan adalah untuk menjadikan penawaran dari jenama itu menjadi lebih mampu milik. Tetapi, menurut Bangkok Post, ia adalah sebagai maklum balas terhadap senarai harga SUV Porsche yang baru-baru ini diturunkan di Thailand.

    Selepas semakan semula ini, harga Range Rover Sport plug-in hybrid menjadi 6.3 juta baht (RM796,877) – ini harga yang lebih hampir yang perlu dibayar oleh pelanggan mewah di sana untuk mendapatkan Porsche Cayenne E-Hybrid, yang dijual pada harga 7.5 juta baht (RM948,664) bulan lalu.

    Harga Jaguar Land Rover di Thailand turun 1 juta baht

    Harga baru Range Rover Velar pula ialah 4.9 juta baht (RM619,765) – enjin 2.0 liter Ingenium (180 PS/430 Nm). Harga ini hanya 100,000 baht lebih bahal berbanding SUV kecil Porsche Macan dengan kapasiti enjin yang sama. Land Rover Discovery 3.0L V6 pula kini dijual dengan harga 5.5 juta baht (RM695,589). Selain itu, hanya satu kereta Jaguar menyaksikan penurunan harga, iaitu F-Type Coupe 2.0L yang kini dijual dengan harga 6 juta baht (RM758,802).

    Nampaknya, nasib penggemar jenama ini di Malaysia sedikit lebih baik. Jaguar F-Type 2.0L di sini dijual pada harga RM575,800. Velar juga lebih mudah di sini, dengan penawaran enjin petrol yang lebih menarik. Bagi segmen kereta mewah, harga di Malaysia memang banyak yang lebih murah berbanding negara jiran. Segmen kenderaan massa pula bila nak jadi lagi murah?

     
     
  • Jualan kereta di China turun pertama kali sejak 1990

    Jualan kereta di China turun pertama kali sejak 1990

    Walaupun Alibaba mengaut untung banyak sempena jualan 11.11 semalam (kira-kira $30.8 bilion jualan dalam masa 24 jam), lain ceritanya dengan jualan automotif di China. Buat pertama kali sejak 1990, jualan tahunan indsutri berkenaan merekodkan penurunan, lapor Reuters.

    Banyak perkara yang merisaukan dan menyumbang kepada perkara ini, terutama sekali perang perdagangan China-Amerika Syarikat yang masih berterusan serta pertumbuhan ekonomi perlahan. Semua ini dapat dicerminkan daripada industri automotifnya – industri ini menurun 11.7% pada Oktober, menjadikan jualan bagi tempoh Januari hingga Oktober jatuh 0.1% (22.87 juta) bagi tempoh sama tahun lalu.

    Menurut data daripada Persatuan Pengeluar Automotif China (CAAM), jualan 2.38 juta pada Oktober merupakan penurunan bulan keempat berturut-turut dan merupakan yang paling ketara sejak awal 2012. “Untuk mengekalkan pertumbuhan positif sehingga hujung tahun ini bukan satu hal yang mudah. Mungkin juga tiada pertumbuhan yang akan dicatatkan,” jelas naib setiausaha umum CAAM, Yao Jie.

    Jualan kereta di China turun pertama kali sejak 1990

    Penurunan itu disebabkan permintaan pengguna yang menurun serta kesan ekonomi yang sedang perlahan ketika ini. Bulan sebelumnya, CAAM menyatakan perang perdagangan dengan AS memberi kesan terhadap jualan. CAAM asalnya meramal peningkatan 3% bagi 2018, selari dengan pertumbuhan tahun sebelumnya. Pada 2016, ia meningkat sehingga 13.7%.

    “Keadaan tidak berterusan baik sehingga akhir tahun, kerana keadaan pasaran yang lemah dan perbezaan besar sebagai perbandingan dengan tahun lalu,” jelas ketua perunsing Automotive Foresight di Shanghai, Yale Zhang.

    Bagaimanapun, satu sisi positif bagi pasaran automotif ialah bagi kenderaan cekap tenaga, termasuk kenderaan plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya. Kelompok kenderaan ini mencatatkan peningkatan 51% bagi Oktober, dengan jualan semasa tahunan sebanyak 860,000 unit – melibatkan peningkatan 75.6% lebih tinggi bagi tempoh sama tahun lalu. Bagaimana agaknya perkembangan pasaran automotif terbesar dunia itu selepas ini?

     
     
  • Lexus RC F 2019 dapat aksesori TRD di Jepun

    Lexus RC F 2019 dapat aksesori TRD di Jepun

    Lexus telah memperkenalkan aksesori TRD (dilabelkan sebagai ‘F Sport Parts’) untuk model RC F yang dipertingkatkan baru-baru ini, yang pastinya menambahkan lagi gaya sporty buat coupe ini untuk pelanggan di Jepun.

    Aksesori tersebut termasuklah kit badan yang merangkumi spoiler hadapan, kemasan pada “salur masuk” sudut, selain perumah cermin sisi aerodinamik dengan kemasan hitam berkilat, skirt sisi dan roda aluminium 19-inci.

    Lexus RC F 2019 dapat aksesori TRD di Jepun

    Jika mahukah kemasan gentian karbon untuk RC F, Lexus turut menawarkannya pada diffuser belakang dan lip spoiler. Manakala untuk meningkatkan prestasi, boleh juga memilih steel underbody bracing dan performance damper brace untuk dipasang di bahagian belakang.

    Tiada peningkatan pada bahagian enjin, ia masih mengekalkan 5.0 liter naturally-aspirated V8 dengan hamburan kuasa 473 PS dan tork 527 Nm. Dengan aksesori TRD ini, adakah anda akan memilih RC F berbanding BMW M4 dan Mercedes-AMG C 63 Coupe?

     
     
  • GALERI: Nissan Skyline 2000GT-R 1972 pula dipamer di Nissan Crossing – versi lumba yang tak kesampaian

    GALERI: Nissan Skyline 2000GT-R 1972 pula dipamer di Nissan Crossing – versi lumba yang tak kesampaian

    Ingat lagi model olskool Nissan Skyline GT-R KPGC110 1973 ‘Kenmeri’ yang dipamer di Nissan Crossing, Tokyo sebelum ini? Di sudut sama Ginza, bulan Oktober lepas dipamerkan pula sebuah model klasik lain; Nissan Skyline 2000GT-R tahun 1972 – ia merupakan sebuah jelmaan jentera lumba bagi model sama sebelum ini.

    Direka khusus untuk tujuan itu – dan pertama kali ditampilkan kepada umum ketika acara Tokyo Motor Show 1972 – ia merupakan antara model terawal KPGC110 GT-R tetapi tidak pernah digunakan untuk perlumbaan. Rekaan luarannya menampilkan beberapa perbezaan daripada unit biasa GT-R, termasuk wajah depan yang diubah suai, penggunaan fender flare yang besar dan dipasang dengan rim ‘pisang’ RS Watanabe yang lebar bersama tayar untuk tujuan perlumbaan.

    GALERI: Nissan Skyline 2000GT-R 1972 pula dipamer di Nissan Crossing – versi lumba yang tak kesampaian

    Tiada lagi kemasan krom yang digunakan pada model variasi ini, walaupun kluster baru lampu utamanya masih dikekalkan. Penggunaan gabungan warna emas di atas hijau juga memberikan daya tarik dan imej perlumbaan yang ada kelas tersendiri. Ruang enjinnya pula dilengkapi dengan unit S20 2.0 liter enam-silinder DOHC yang sama digunakan pada GT-R biasa era itu, yang menjana sebanyak 160 PS pada 7,000 rpm dan 177 Nm tork pada 5,600 rpm.

    Nissan Skyline C110 mula dijual pada September 1972, dan versi KPGC110 GT-R pula masuk pasaran antara Januari dan Mac 1973, dengan hanya 197 unit yang sempat dikeluarkan untuk pasaran di Jepun. Tempoh pengeluarannya dipendekkan akibat peralihan sentimen pengguna berkaitan krisis tenaga yang dihadapi ketika itu – membuatkan ia sebuah generasi Skyline GT-R dengan jumlah pengeluaran paling sedikit paling sukar untuk ditemui.

    Turut dipamerkan pada ruang sama di sebelah 2000GT-R di Nissan Crossing ialah GT-R50 oleh Italdesign. Menggunakan asas GT-R Nismo dan dibangun sempena ulangtahun ke-50 jenama prestasi berkenaan, ia adalah sebuah pertembungan antara sentuhan klasik dan moden yang dibayangkan semula untuk khalayak hari ini. Apa pandangan, geram tengok?

    Nissan Skyline 2000GT-R 1972

    Nissan GT-R50 Italdesign

     
     
  • Lebih dari RM3 juta bayaran saman dikutip sempena penawaran diskaun 50% pada 7-9 Nov lalu – JSPT

    Lebih dari RM3 juta bayaran saman dikutip sempena penawaran diskaun 50% pada 7-9 Nov lalu – JSPT

    Sempena dengan penawaran diskaun sehingga 50% bagi saman trafik pada 7 hingga 9 November lalu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT) berjaya mengutip lebih RM3 juta bayaran. Menurut Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya, sejumlah 32,462 saman diselesaikan oleh pesalah trafik dalam tiga hari tersebut.

    “Kami berpuas hati apabila pesalah trafik mengambil peluang ini untuk menyelesaikan bayaran saman dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Kaunter kami agak terhad hingga menyebabkan pesalah trafik terpaksa mengambil masa yang lama, perkara itu akan kami perbaiki pada masa depan.

    “Saya ingin menasihati pesalah trafik supaya segera membayar saman kerana polis mempunyai dasar ‘semakin lama saman, semakin banyak yang perlu dibayar’,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Walau bagaimana pun, diskaun berkenaan tidak dikira untuk jenis Saman Kemalangan Tahun Semasa, Saman Berstatus NC, Saman Berstatus Waran Tahun Semasa, Saman Dalam Perbicaraan dan Saman Berkaitan Lori.

     
     
  • AES catat 63,750 saman dari 1 Sept hingga 7 Nov lalu – 59,340 pandu lebih had laju, kurang 1% bayar saman

    AES catat 63,750 saman dari 1 Sept hingga 7 Nov lalu – 59,340 pandu lebih had laju, kurang 1%  bayar saman

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 63,750 saman menerusi 45 kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) dalam tempoh 1 September hingga 7 November lalu.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar, daripada jumlah itu sebanyak 59,340 saman melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju dan 4,410 saman kerana tidak mematuhi lampu isyarat merah, laporan Bernama.

    Katanya, kenderaan jenis motokar merekodkan jumlah saman tertinggi atas kedua-dua kesalahan berkenaan iaitu sebanyak 56,532 saman diikuti motosikal (5,263 notis) dan lain-lain (1,955 notis).

    “Setakat ini kita mempunyai sebanyak 45 kamera AES di seluruh negara iaitu 29 kamera untuk mengesan kesalahan memandu melebihi had laju manakala 16 kamera mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat merah. Secara purata kira-kira 1,000 kesalahan melanggar lampu isyarat dan memandu melebihi had laju dirakam kamera Awas setiap hari dan jumlah berkenaan agak tinggi dan serius kerana dua kesalahan ini antara penyumbang utama kemalangan termasuk kemalangan maut di negara ini,” ujarnya kepada pemberita kelmarin.

    AES catat 63,750 saman dari 1 Sept hingga 7 Nov lalu – 59,340 pandu lebih had laju, kurang 1%  bayar saman

    Kamaruddin menjelaskan lokasi saman tertinggi yang dikeluarkan dalam tempoh berkenaan ialah di Kilometer 375.9 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara iaitu sebanyak 9,609 notis bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan di Jalan Pasir Putih di Perak iaitu sebanyak 367 notis kerana melanggar lampu isyarat.

    “Daripada jumlah saman yang dikeluarkan dalam tempoh tersebut, hanya 1,675 notis atas kedua-dua kesalahan terlibat telah dijelaskan membabitkan kutipan sebanyak RM498,000. Jumlah saman yang dijelaskan agak rendah berbanding jumlah notis yang dikeluarkan. Ia melibatkan 1,525 saman atas kesalahan memandu melebihi had laju dan 150 saman kerana tidak mematuhi lampu merah,” katanya.

    Beliau berkata JPJ memberi tempoh dua bulan kepada pesalah trafik atas kedua-dua kesalahan berkenaan untuk menjelaskan bayaran saman tersebut sebelum tindakan mahkamah diambil terhadap mereka selain disenarai hitam dan tidak boleh berurusan dengan JPJ untuk pembaharuan lesen atau cukai jalan.

    Tambahnya lagi, langkah tersebut selaras dengan keseriusan kerajaan untuk mengurangkan jumlah kemalangan terutama kemalangan maut di negeri itu selain memastikan pengguna jalan raya mengamalkan pemanduan berdisiplin dan berhemah. Malah kementeriannya bercadang untuk menambah bilangan kamera Awas di seluruh negara secara berperingkat bergantung pada peruntukan sedia ada.

     
     
  • Kerajaan sedang perhalusi cara agihan subsidi RON95

    Kerajaan sedang perhalusi cara agihan subsidi RON95

    Kerajaan akan akan memulakan langkah untuk memperhalusi sistem agihan subsidi petrol RON95 yang diumum akan dilaksanakan pada suku kedua tahun hadapan. Ini selaras dengan pembentangan berkaitan hal sama di dalam Belanjawan 2019 minggu lalu.

    Dalam satu laporan The Star, menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bahawa Kementerian Kewangan akan bertanggungjawab melaksanakan proses itu dalam tempoh seminggu dua akan datang.

    Mengagihkan wang tunai bagi mereka yang layak untuk subsidi berkenaan bukanlah satu pilihan. Kaedah lain seperti penggunaan kad juga sedang dipertimbangkan. “Sama ada ia dalam bentuk kad atau cip atau jalur magenetik, sistem berkenaan perlu murah dan selamat. Ini antara pilihan yang sedang diperhalusi. Kami kini dalam peringkat menentukan keperluannya. Sedikit masa sahaja lagi,” ujar beliau.

    Kerajaan sedang perhalusi cara agihan subsidi RON95

    “Ada cadangan daripada beberapa syarikat yang bersedia untuk berkongsi kepakaran mereka. Kami tidak ada masalah untuk mengenal pasti mana-mana syarikat yang berpotensi dan bersedia untuk menjalankan tender terbuka,” tambahnya lagi. Warga Malaysia dilapor menggunakan kira-kira 1.2 bilion liter petrol sebulan, dengan RON95 menjadi pilihan utama (90%) berbanding RON97 (10%).

    “Bayangkan berapa perbelanjaan yang perlu ditanggung kerajaan untuk memberi subsidi RON 95?” tanya Saifuddin, dan menjelaskan sekiranya sistem yang akan diguna pakai nanti berkesan dan cekap, ia akan dipertimbangkan untuk agihan subsidi barangan lain juga.

    Dalam pembentangan Belanjawan 2019 minggu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan subsidi minyak selepas ini akan disasarkan kepada kelompok B40 (gaji kurang RM3,000 sebulan) dan mekanisma agihan skim berkenaan akan ditentukan bagi mengelak salah guna. Turut diumumkan ialah pemilik yang mempunyai beberapa kenderaan serta pemilik kereta mewah tidak layak untuk menerima subsidi.

    Skim ini akan menawarkan subsidi sebanyak 30 sen seliter bagi 100 liter sebulan, bagi kereta dengan kapasiti 1,500 cc ke bawah. Bagi motosikal di bawah 125 cc pula, kadar subsidi juga sama, tetapi hanya bagi 40 liter sebulan.

     
     
  • Honda CB650R dan CBR650R diperkenalkan, CB500F, CBR500R dan CB500X diperbaharui untuk tahun 2019

    Honda CB650R dan CBR650R diperkenalkan, CB500F, CBR500R dan CB500X diperbaharui untuk tahun 2019

    Pendekatan konsep rekaan Neo Sports Cafe oleh Honda pada motosikal mereka sudah digunakan untuk beberapa model termasuk CB1000R, CB250R (CB300R pada sesetengah pasaran) dan CB150R (CB125R pasaran tertentu). Kini, ia ditambah dengan satu lagi model pelengkap iaitu CB650R, yang diperkenalkan sewaktu pameran EICMA 2018.

    Seperti yang sudah boleh dijangka, model baru ini cuma menggunakan asas yang sama dengan CB650F, termasuk enjin empat silinder 650 cc, tetapi rekaannya lebih moden dan ringkas, serta dipertingkat dengan fork Showa USD 41 mm SPF, angkup brek empat piston, klac assist/slipper, Honda Selectable Torque Control dan panel instrumen digital.

    Satu lagi model baru yang diperkenalkan adalah CBR650R, dan ia akan menggantikan model CBR650F yang dipasarkan sebelum ini. Rekaan model baru ini diterapkan dengan lebih banyak inspirasi daripada CBR1000R bersama lampu depan jenis LED dan ia adalah lebih ringan 6 kg. Kedudukannya pula lebih sporty dengan pemegang 30 mm lebih ke hadapan manakala pemijak kaki ditinggikan dan diletakkan sedikit ke belakang.

    Honda juga masih tidak melupakan barisan model 500 mereka, di mana sekarang enjin dua silinder selari 471 cc CB500F, CBR500R dan CB500X mempunyai kuasa serta tork yang lebih kuat antara 3,000 hingga 7,000 rpm dan dilengkapi dengan peralatan baru seperti suspensi belakang, ekzos, klac assist/slipper, semua lampu LED, panel instrumen LCD dengan penunjuk kedudukan gear dan shift light.

    Penampilan juga semestinya diubah, dengan CB500F sekarang lebih tajam dengan panel tepi yang bersambung rapi dengan tangki, CB5R500R diterap dengan lebih gaya daripada CBR1000R, manakala CB500X pula dipertingkat dengan rim 19 inci di depan, jarak gerak suspensi lebih panjang, tempat duduk lebih kurus serta fairing yang lebih tegap dan dapat melindungi pengguna daripada angin dengan lebih baik.

    GALERI: Honda CB650R 2019

    GALERI: Honda CBR650R 2019

    GALERI: Honda CBR500R

    GALERI: Honda CB500X 2019

    GALERI: Honda CB500F 2019

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.40
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 16, 2024