Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Petronas FP1 dihidupkan kembali di United Kingdom, jadi rebutan pengumpul motosikal di luar negara?

    Petronas FP1 dihidupkan kembali di United Kingdom, jadi rebutan pengumpul motosikal di luar negara?

    Sekitar 15 tahun yang lalu, Petronas mempunyai kerjasama dengan seorang bekas juara dunia lumba motosikal dan telah membangunkan sebuah model untuk perlumbaan WSBK dinamakan sebagai FP1. Namun, banyak kontroversi tentang motosikal ini dan dipendekkan cerita, lebih daripada 150 buah telah dibuat, tetapi tidak boleh berlumba dan tidak boleh dijual kepada umum. Akhirnya ia tersadai sebahagian di Malaysia dan sebahagian lagi di United Kingdom.

    Dalam perkembangan terbaru, sebuah syarikat yang terkenal dengan kerja membaik pulih kenderaan lumba di United Kingdom iaitu Lanzante Limited telah memuat naik video berkenaan FP1 ini, bersama kenyataan bahawa ia sedang dibaik pulih, dan akan dijual kepada umum bersama sokongan alat ganti.

    Spesifikasi penuh, berapa unit yang ada dan berapa harganya masih lagi tidak diberitahu, tetapi melalui video itu kita boleh melihat motosikal tersebut nampak cukup menarik dan mendapat sambutan hangat daripada pengumpul motosikal di seluruh dunia. Jika diikutkan teknologi, pastinya motosikal ini sudah sedikit ketinggalan, tetapi disebabkan sejarah serta jumlahnya yang terhad, ia dianggap sebagai ‘rare‘.

    Di Malaysia, motosikal ini juga mengalami masalah perundangan dan pemilikan. Ia sekarang sudah dijenamakan semula sebagai Momoto MM1, dan menurut laporan rakan sekerja kami yang berpeluang menguji motosikal ini, ia pernah dibuka untuk jualan umum pada harga RM85,000 sebelum ini, tetapi harga sekarang tidak diketahui.

    Dalam keadaan standard, MM1 menggunakan enjin tiga silinder 900 cc yang boleh menghasilkan kuasa sehingga 120 hp. Kelengkapan lain yang digunakan juga adalah antara yang terkenal dalam dunia perlumbaan termasuk suspensi Ohlins, brek Brembo dan meter jenis perlumbaan. Anda boleh membaca laporan tunggang uji MM1 oleh rakan sekeerja kami dalam Bahasa Inggeris di sini.

    GALERI: Momoto MM1

     
     
  • Toyota Gazoo Racing bawa 3 Hilux ke Rali Dakar 2019

    Toyota Gazoo Racing bawa 3 Hilux ke Rali Dakar 2019

    Bagi menyahut cabaran Dakar Rally untuk musim 2019, Toyota Gazoo Racing Afrika Selatan telah mendedahkan tiga jentera yang dibina khas untuk perlumbaan tersebut, diasaskan dari trak pikap Toyota Hilux. Jentera-jentera berkenaan adalah versi tingkat taraf dari musim-musim sebelumnya, yang terbukti boleh bertahan dalam rali jarak jauh berkenaan.

    Berbanding model produksi, Hilux yang digunakan ini telah menerima ubahsuai yang begitu ekstensif. Kedudukan enjin tidak lagi berada di hadapan, sebaliknya dipindahkan ke posisi antara belakang pemandu dan tayar belakang. Enjin asal juga tidak lagi digunakan, sebaliknya digantikan dengan enjin V8 turbodiesel.

    Enjin dan kotak gear ini sebenarnya adalah unit yang sama dengan jentera perlumbaan yang digunakan pada musim lalu, namun diberikan ubahsuai bagi memenuhi undang-undang Rali Dakar yang dikemaskini, terutamanya saiz diameter restrictor pengecas turbo yang perlu dikecilkan dari 38 mm kepada 37 mm tahun ini. Ubahsuai lain yang dilakukan pada jentera baharu ini termasuk sistem suspensi yang lebih diperhalusi.

    Toyota Gazoo Racing bawa 3 Hilux ke Rali Dakar 2019

    “FIA telah berusaha keras untuk cuba menyeimbangkan prestasi antara jentera turbodiesel dan juga jentera V8 NA, seperti jentera kami. Ini merupakan proses yang sedang dijalankan, dan mana-mana kem tentunya akan gembira dengan undang-undang ini, kami tidak mempunyai pilihan tetapi perlu bertahan dengan undang-undang mereka,” kata prinsipal Pasukan Toyota Gazoo Racing Afrika Selatan, Glyn Hall.

    “Restrictor yang lebih kecil semestinya menjadi halangan kepada kami tahun ini, tetapi dengan altitud lebih rendah di Peru, kami mungkin mempunyai kuasa bagi memastikan ia terus bergerak,” tambahnya.

    Untuk Rali Dakar edisi yang ke-41 ini, Toyota Gazoo Racing Afrika Selatan akan diwakili oleh pasangan Giniel de Villiers bersama juruarah Dirk von Zitzewitz, Nasser Al Attiyah bersama juruarah dari Perancis Mathieu Baumel, serta pemandu Belanda Bernhard ten Brinke bersama juruarah Xavier Panseri.

     
     
  • Perodua sumbang 50 buah Myvi kepada Bomba, 25 IPT

    Perodua sumbang 50 buah Myvi kepada Bomba, 25 IPT

    Perodua menyumbang 50 buah Myvi kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak serta 25 institusi pengajian tinggi di seluruh negara untuk kegunaan mereka dalam latihan dan penyelidikan, menjadikan ia antara penyerahan kenderaan terbesar yang pernah dilaksanakan oleh syarikat tersebut.

    “Kami menyumbang tujuh buah Myvi generasi terbaharu dan 43 buah Myvi generasi sebelumnya kepada organisasi-organisasi ini dengan harapan ia dapat dimanfaatkan di dalam penyelidikan, latihan dan pembelajaran mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    Dalam satu majlis khas yang dianjurkan di ibu pejabat Perodua di Sungai Choh semalam, Aminar menyerahkan kenderaan-kenderaan tersebut secara simbolik kepada wakil-wakil organisasi masing-masing dengan disaksikan oleh Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin.

    25 institusi pendidikan tinggi tersebut merangkumi universiti serta institusi vokasional, teknikal, latihan industri dan kemahiran belia.

    Perodua sumbang 50 buah Myvi kepada Bomba, 25 IPT

    “Sebagai syarikat People First, Perodua gigih memperkasakan golongan belia melalui pendidikan, kerana merekalah bakal pemimpin Malaysia dan peneraju masa hadapan industri automotif tempatan. Inisiatif-inisiatif pendidikan kami termasuk Perodua Eco Challenge dan Perodua Youth Training Programme (PYTP). PYTP merupakan program Tanggungjawab Korporat yang paling lama telah kami laksanakan, menghasilkan lebih 630 graduan sejak 1999,” kata Aminar.

    Awal tahun ini, Perodua telah mengadakan majlis konvokesyen untuk 141 belia yang dilatih dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran, melayakkan mereka untuk menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) berdasarkan kecekapan teknikal and vokasional. Lebih 70% daripada mereka akan berkhidmat di pusat servis dan fasiliti Badan & Cat (Body & Paint) Perodua di seluruh negara.

    “Dengan lebih sejuta unit dijual sejak kelahirannya pada tahun 2005, Myvi merupakan model kenderaan terlaris di Malaysia selama 13 tahun berturut-turut. Justeru, Myvi sangat sesuai untuk tujuan penyelidikan dan latihan tempatan kerana ia adalah model yang paling dekat mewakili kenderaan di Malaysia,” sambungnya lagi.

     
     
  • HLYM panggil semula R25 – ini nombor casis terlibat

    HLYM panggil semula R25 – ini nombor casis terlibat

    Berikutan daripada kenyataan panggilan balik model R25 yang dikeluarkan oleh Yamaha Motor Co. Ltd., Japan, pengendali jenama itu di Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang memberitahu nombor casis model yang terlibat.

    Panggilan balik model R25 ini adalah untuk menukar dua komponen iaitu hos radiator (untuk sistem penyejukan enjin) dan juga torsion spring (tidak dinyatakan secara jelas di manakah kedudukan alat ini tetapi kami menjangkakan ia adalah berkaitan dengan penukaran gear).

    Untuk masalah hos radiator, model yang terlibat adalah semua yang menggunakan nombor casis bermula dengan PMYRG1510E, PMYRG1510F dan PMYRG1510G, serta PMYRG1510H 0000000 hingga 0012240, manakala untuk torsion spring pula adalah semua yang bermula dengan PMYRG1510E, PMYRG1510F dan PMYRG1510G, serta PMYRG1510G 0000000 hingga 0006758.

    HLYM panggil semula R25 – ini nombor casis terlibat

    HLYM akan mengeluarkan notis individu kepada semua pemilik R25 di Malaysia yang terlibat dalam panggilan balik ini bermula pertengahan Januari 2019, dan selepas mendapat surat tersebut, pemilik boleh membuat temu janji dengan pengedar rasmi Yamaha atau cawangan HLYM di seluruh negara untuk melakukan penukaran.

    Ternyata dua alat yang mahu ditukar ini adalah penting, tetapi melihat kepada komen dalam media sosial, pemilik turut merungut berkenaan pelbagai masalah lain yang berlaku pada model R25. Cadangan kami, hantarkan surat dan terus berikan maklum balas kepada mereka, supaya mereka tahu keadaan sebenar.

     
     
  • Renault perkenalkan alat ganti khas R.S. Performance

    Renault perkenalkan alat ganti khas R.S. Performance

    Renault Sport telah mengeluarkan barisan terbaru alat ganti dan akesesori R.S. Performance untuk meningkatkan lagi penampilan serta keupayaan model Clio R.S. Turut ditawarkan bersama alat ganti berkenaan ialah produk-produk eksklusif bengkel dan cenderahati kepada pelanggan.

    Antara peralatan dengan logo individu R.S. Performance yang dimaksudkan termasuk kit badan penuh yang diilhamkan oleh Clio R.S. Concept, yang terhad kepada 250 set sahaja, serta rim Turini dalam warna hitam dan merah.

    Selain daripada peningkatan kosmetik ini, pelanggan juga ada pilihan untuk meningkatkan prestasi kereta mereka untuk kegunaan di litar. Renault turut menyediakan peralatan lain seperti tempat duduk bucket seat hentian karbon, sistem ekzos baru, brek dan suspensi prestasi tinggi, palang anti-strut dan banyak lagi.

    “R.S. Performance merupakan penawaran produk yang merapatkan jurang antara kereta sport dan kereta lumba. Ini cara kami untuk menyediakan keperluan mereka yang gemarkan pemanduan dalam litar dan untuk membolehkan mereka mengubah suai kereta Renault Sport mereka untuk tujuan itu. Sekarang, mereka boleh nikmati ini dengan jaminan kualiti dan perkhidmatan terus daripada Renault sendiri,” jelas Pengurus Projek R.S. Performance, Guillaume Calvar.

    Jika pelanggan ingin memasang semua aksesori sendiri, produk-produk kegunaan bengkel turut ditawarkan, misalnya troli perkakas, set peralatan yang diperlukan, spray gun dan lain-lain. Semua ini boleh didapati dari kedai atas talian Renault Sport dan juga melalui pengedar sah.

     
     
  • Ford Focus ST 2019 – imej tanpa penyamaran terdedah

    Ford Focus ST 2019 – imej tanpa penyamaran terdedah

    April lalu, Ford telah memperkenalkan generasi baharu Focus, namun barisan model berkenaan masih lagi belum lengkap tanpa versi berprestasi tinggi Focus ST. Sebelum sempat Ford mendedahkannya secara rasmi, nampaknya imej penuh model tersebut telahpun bocor di internet.

    Imej ini telah disiarkan oleh laman Carscoops, yang diambil dari satu forum persendirian. Menerusi gambar tersebut dapat dilihat bahawa Focus ST masih ditawarkan dengan warna kuning-oren Tangerine Scream seperti model generasi sebelumnya.

    Manakala berberapa bahagian direka lebih garang dari versi standard seperti elemen sarang lebah pada gril trapezoid, liang kemasukan udara lebih besar dengan kemasan matte disekeliling, spoiler bumbung lebih besar dengan kemasan hitam berkilat bersama diffuser belakang lebih agresif yang turut menempatkan sepasang tip ekzos pada kedua-dua sisi (hanya satu ditengah untuk model biasa).

    Hot-hatch ini turut menerima skirt sisi lebih labuh, pembuka pintu berwarna hitam dan juga rim aloi lebih garang dengan elemen rekaan jejari-Y. Masuk ke kabin, ST masih dibekalkan dengan tempat duduk Recaro, roda stereng rata di bawah, dan yang paling penting tombol gear manual H-pattern.

    Ford Focus ST generasi baharu ini dijangka akan dijana oleh enjin 2.3 liter empat silinder yang sama seperti pada Mustang EcoBoost, menjana 286 hp dan tork maksima 440 Nm, digandingkan bersama kotak gear manual enam-kelajuan. Angka ini sudah tentu akan memberikan impak kepada lawan sekelasnya seperti Hyundai i30 N, Renault Megane RS dan juga Peugeot 308 GTi.

    Walau bagaimanapun, ada juga khabar angin menyatakan bahawa Focus ST ini akan diberikan enjin 1.5 liter EcoBoost sama seperti Fiesta ST, ditala bagi mendapatkan 280 hp.

     
     
  • Projek kereta nasional ketiga bakal terima geran R&D daripada kerajaan – Menteri Pembangunan Usahawan

    Projek kereta nasional ketiga bakal terima geran R&D daripada kerajaan – Menteri Pembangunan Usahawan

    Sebelum ini, Menteri Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengesahkan kerajaan tidak ada sebarang keputusan untuk membuat pelaburan dalam projek kereta nasional ketiga. Ia disebabkan projek terbabit memerlukan perbelanjaan kewangan yang besar dan disebabkan itu memerlukan penglibatan pelaburan swasta.

    Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menyalurkan peruntukan bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

    Perkara ini disahkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof yang berkata kerajaan akan menyalurkan sejumlah peruntukan untuk R&D bagi membangunkan prototaip projek kereta nasional ketiga.

    Menurut laporan Berita Harian, peruntukan itu akan menggunakan geran R&D kerajaan yang sudah diluluskan dan akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah geran R&D untuk prototaip projek kereta nasional ketiga.

    “Biar Perdana Menteri umumkan mengenai dana geran ini, ia (jumlahnya) agak besar dan cukup untuk menjadi pemangkin bagi menarik penyertaan swasta dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang kami akan tubuhkan bagi meraih modal permulaan untuk merangsang (perkembangan) projek kereta nasional ketiga ini,” katanya.

    Mohd Redzuan turut berkata sektor swasta menunjukkan minat yang memberangsangkan terhadap projek kereta nasional baharu itu dan mahukan industri automotif tempatan untuk berkembang lebih pesat.

    “Anda dapat menilai pembabitan sektor swasta yang mahu turut serta dalam projek kereta nasional ketiga ini,” katanya.

     
     
  • Enam jalan utama di ibu kota bakal ditutup pada 8 Dis ini sempena perhimpunan ICERD – Ketua polis KL

    Enam jalan utama di ibu kota bakal ditutup pada 8 Dis ini sempena perhimpunan ICERD – Ketua polis KL

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, mengumumkan enam jalan utama di sekitar ibu kota akan ditutup sempena perhimpunan kesyukuran terhadap keputusan kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini (8 Dis).

    Enam laluan yang ditutup pada jam 6 pagi Sabtu ini ialah Jalan Hishamuddin, Jalan Leboh Pasar, Jalan Tun Perak, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Bulatan Dato’ Onn, laporan Berita Harian.

    “Peserta dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan di luar kawasan tempat berkumpul bagi mengelakkan kesesakan. Selain kawasan berkenaan, pihaknya turut mengawal laluan dari Masjid Wilayah Persekutuan ke Pintu Tiga Istana Negara bagi penyerahan memorandum,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur semalam.

    Selain itu, mereka juga dinasihatkan untuk tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan. Tindakan tunda dan saman akan dikenakan kepada kenderaan yang melanggar peraturan.

    Polis menjangkakan seramai 300 orang akan berkumpul untuk menyerahkan memorandum berkenaan. Dalam masa yang sama, peserta perhimpunan dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

     
     
  • Volvo Cars umum jualan tahunan 2018 kini cecah 582,096 unit pada Nov, pecah rekod keseluruhan 2017

    Volvo Cars umum jualan tahunan 2018 kini cecah 582,096 unit pada Nov, pecah rekod keseluruhan 2017

    Belum lagi habis tahun 2018, Volvo Cars telah mengumumkan bahawa jualan mereka kini telah pun memecahkan rekod jualan keseluruhan tahun untuk tahun lalu. Sepanjang 2017, jenama berkenaan berjaya menjual sebanyak 571,577 unit kereta, namun untuk tahun ini jumlah jualan dari Januari hingga November sahaja telah mencatatkan sebanyak 582,096 unit.

    Berbanding tempoh yang sama tahun lalu, jualan untuk tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 13.5%. Jika dilihat untuk rekod November 2018 sahaja, Volvo berjaya menjual sebanyak 56,034 unit kereta, atau 8.3% lebih banyak berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

    Jualan yang memberangsangkan yang dilihat di semua rantau ini dipacu oleh barisan model-model SUV jenama Sweden berkenaan, terutamanya model kompak XC60 dan XC40. Sedan S60 juga mula berada di bilik-bilik pameran, bersama wagon V60 dan versi lebih lasak V60 Cross Country yang turut membantu pertumbuhan jualan ini.

    Volvo Cars umum jualan tahunan 2018 kini cecah 582,096 unit pada Nov, pecah rekod keseluruhan 2017

    New Volvo S60 R-Design exterior

    Di Amerika Syarikat, jualan meningkat sebanyak 24.5% kepada 89,437 unit untuk tempoh 11 bulan pertama tahun ini, dengan November sahaja menyumbang sebanyak 8,181 unit. Manakala di China, Volvo berjaya menjual 118,725 unit kereta dari Januari hingga November 2018, mengatasi rekod untuk tempoh sama tahun lalu dengan jumlah 104,344 unit atau peningkatan 13.8%. Bulan November sahaja, jenama itu berjaya menjual 11,450 unit kereta di China.

    Untuk jualan di Eropah, Volvo menjual sebanyak 288,369 unit kereta dari Januari hingga November tahun ini atau peningkatan sebanyak 7.3%. Bagi pasaran benua ini, ia dibantu oleh model-model dari siri 90 iaitu XC90, S90, V90 dan V90 Cross Country, serta SUV XC60. Pada bulan November sahaja, pembuat kereta dari Scandinavia ini berjaya menjual sebanyak 27,797 kereta di Eropah.

     
     
  • Nissan Terra terima penarafan 5-bintang ASEAN NCAP

    SUV tujuh-tempat duduk Nissan Terra telah dianugerahkan penarafan lima-bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP). Model berasaskan Navara NP300, dan bersaing dengan Toyota Fortuner, Mitsubishi Pajero Sport, Ford Everest dan Isuzu MU-X di rantau ini.

    Bagi ujian Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Terra memperoleh 32.18 daripada 36 mata, dengan laporan ASEAN NCAP menyatakan terdapat perlindungan yang mencukupi untuk bahagian dada. Sementara SUV ini turut mengumpul 40.74 daripada 49 mata bagi ujian Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP), memperoleh mata penuh untuk ujian hadapan dan sisi.

    Akhir sekali, bagi ujian Teknologi Bantuan keselamatan (SAT), Terra yang boleh didapati dengan pilihan paparan titik buta, memperoleh 12.73 daripada 18 mata. Jumlah keseluruhan untuk markah dengan ujian AOP, COP dan SAT adalah sebanyak 83.17 mata.

    Model yang diuji ialah Terra 2.3V 2WD 7AT dari Thailand, dan markah ini boleh digunakan untuk semua kereta yang dijual di negara ASEAN. Di Thailand, Terra ditampilkan dengan enjin 2.3 liter turbodiesel (190 PS/450 Nm) dan transmisi automatik tujuh-kelajuan. Semua model didatangkan dengan beg udara secara standard di sesetengah pasaran dan hanya ada dua unit untuk yang lain-lain.

     
     
  • Yamaha NVX 2019 hadir dengan warna baru – RM9,988

    Yamaha NVX 2019 hadir dengan warna baru – RM9,988

    Yamaha NVX 155 bagi tahun 2019 nanti akan hadir dengan pilihan warna baru, dan dijual pada harga RM9,988. Warna baru yang dimaksudkan terdiri daripada Race Blu, Fiery Red dan Active Yellow dan boleh didapati daripada pengedar sah Yamaha bermula pertengahan Disember ini.

    Berkongsi asas yang sama dengan sebuah lagi skuter, Yamaha NMax, NVX menggunakan enjin 155 cc, silinder tunggal dengan janaan kuasa sebanyak 14.8 hp pada 8,000 rpm dan 14.4 Nm tork pada 6,000rpm. Enjin sejukan cecair dengan variable valve actuation (VVA) ini menggunakan sistem EFI, dengan kotak gear CVT untuk menyalurkan kuasa.

    Kemaskini lain bagi NVX model tahun 2019 ialah penggunaan penyerap hentak dengan “tabung” simpanan untuk memperbaiki prestasi serapan di belakang. Bahagian depan pula menggunakan fork teleskopik biasa. Ciri ABS adalah standard pada bahagian depan dengan brek cakera, sementara di belakang kekal menggunakan brek dram.

    Ruang simpanan dengan kapasiti 25 liter terletak di bawah tempat duduk, begitu juga dengan slot USB untuk memudahkan pengguna. Paparan instrumen utama menggunakan LCD backlight, serta ciri bukaan tempat duduk dan penutup tangki minyak menggunakan remote serta penghidupkan enjin tanpa kunci menjadi antara kelebihan model ini.

    Harga yang dinyatakan bagi model ini ialah RM9,906, manakala bagi versi MotoGP Edition akan dijual pada harga RM10,606. Sebagai perbandingan harga, Yamaha NMax pula kini dijual pada harga RM8,409.

     
     
  • Toyota Vios 2019 – UMWT mula siar video promosi

    Nampaknya Toyota Vios generasi baharu semakin hampir untuk dilancarkan pada pasaran Malaysia – UMW Toyota telah pun menyiarkan video promo model berkenaan di laman Facebook mereka. Video berkenaan memaparkan elemen-elemen yang ada pada Vios baharu tersebut termasuk pada bahagian luaran dan dalaman.

    Video ini turut menyatakan bahawa Vios baharu berkenaan “tidak sama seperti sebelum ini” dengan “gaya baharu, keselesaan memandu yang tinggi dan kabin yang lebih senyap”.

    Vios varian tertinggi 1.5G diangkat sebagai ‘bintang utama’ dalam video ini, mengenakan warna baharu Dark Blue Metallic, bersama kit badan opsyenal dengan serlahan jalur merah pada bahagian bawah.

    Toyota Vios 2019 – UMWT mula siar video promosi

    Model yang sama telah dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 baru-baru ini. Selain dari model G, ia turut menampilkan dua lagi varian lebih rendah sama seperti model generasi sebelum ini iaitu, 1.5E (AT) dan 1.5J. Kesemua varian ini dilengkapi dengan enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i yang menghasilkan kuasa 107 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT bersama mod Sport Sequential Shiftmatic, menampilkan tujuh-kelajuan maya.

    Untuk model asas J, Vios akan diberikan kelengkapan seperti unit lampu utama reflektor halogen biasa, rim 15-inci, sistem tanpa kunci, butang penghidup enjin, tempat duduk fabrik, mod pemanduan dengan pilihan Eco dan Sport, pendingin hawa automatik, penderia parkir belakang, unit audio CD/radio dengan sokongan Bluetooth bersama empat pembesar suara.

    Bagi varian E pula, ia menerima ciri tambahan lain seperti lampu belakang LED, lampu kabus, cermin sisi boleh lipat automatik dengan lampu isyarat, cemrin depan akustik lebih baik, lipatan kerusi belakang 40:60 dengan perehat lengan, stereng multi-fungsi serta sistem infotianmen DVD-AVX dengan kamera 360-darjah.

    Toyota Vios 2019 – UMWT mula siar video promosi

    Manakala varian tertinggi G, ia hadir dengan lampu utama projektor, rim 16-inci, filem penapis filem premium, kerusi, stereng dan tombol balutan kulit, padel penukar gear, kluster instrumen Optitron dengan paparan pelbagai info 4.2-inci, enam pembesar suara dan penderia parkir depan.

    Bagi sistem keselamatan, model spesifikasi penuh akan dilengkapi dengan tujuh beg udara, sistem pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang, sistem peninjau pandangan panoramik, kawalan bantuan mula mendaki (HAC) serta ciri perakam video digital hadapan (DVR) dengan ciri amaran perlanggaran depan (FCW) dan amaran pertukaran lorong (LDW).

    Selain dari warna biru utama yang dipaparkan ini, Toyota Vios 2019 turut didatangkan dalam pilihan warna Red Metallic, Attitude Black, Silver Metallic dan Super White II. Harga bagi ketiga-tiga varian ini masih belum disahkan, tetapi anggarannya adalah sekitar RM77,200 bagi Vios 1.5J; RM81,200 bagi Vios 1.5E (AT) dan RM87,300 bagi Vios 1.5G (AT). Semua harga ini tidak termasuk insurans dan ia kini dibuka untuk tempahan.

    Turut ditawarkan ialah kelengkapan pilihan termasuk sistem DVD-AVX bernilai RM2,160 bagi varian J, perakam video digital bernilai RM350, filem penapis haba premium berharga RM2,120 bagi varian E dan J serta RM2,800 bagi kit badan sporty.

    GALERI: Toyota Vios 2019 di KLIMS 2018

     
     
  • Nissan Serena C27 J Impul kini di M’sia – dari RM148k

    Nissan Serena C27 J Impul kini di M’sia – dari RM148k

    Edaran Tan Chong Malaysia (ETCM) telah memperkenalkan Nissan Serena J Impul sebagai penawaran paling tinggi model berkenaan selepas ini. Ia dijual pada harga bermula RM 147,800 bagi versi warna luaran warna tunggal (pertama kali ditawarkan bagi Premium Highway Star), manakala versi warna luaran dua-tona dijual lebih RM2,000, menjadi RM149,800.

    Jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan masih kekal, sementara aksesori tambahan Impul yang diperkenalkan ini datang dengan jaminan berasingan bagi tempoh tiga-tahun atau 100,000 km, yang mana dahulu.

    Model Serena J Impul ini merupakan diberikan peningkatan estetik berbanding versi sebelumnya, dengan kos kemasan yang terlibat sekitar RM6,000 keseluruhannya. Ia merangkumi apron bawah saduran krom yang menghiasi bahagian lampu kabus dan lip bawah, lip belakang juga dengan saduran krom, rim Impul Millemium 18-inci hitam berkilat (tayar saiz 225/40) serta kerusi balutan kulit warna coklat.

    Nissan Serena C27 J Impul kini di M’sia – dari RM148k

    Nissan menjelaskan, semua aksesori yang dibawa masuk dari Jepun ini akan memberikan tambahan 10% downforce untuk lebih kestabilan. Dari sudut prestasi, tiada apa yang berubah. Ia masih menggunakan enjin MR20DD 2.0 liter suntikan terus, empat-silinder yang sama, dengan janaan 150 PS pada 6,000rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm.

    Ini digandingkan pula dengan transmisi Xtronic CVT, saluran kuasa ke roda depan. Enjin ini turut dibantu oleh motor elektrik ECO 2.6 PS/48 Nm yang menggantikan motor penghidup, berfungsi untuk mengawal sistem Idling Stop dan janaan semula tenaga.

     
     
  • Malaysia anjur pusingan terakhir WTCR 2019 – satu dari tiga perlumbaan diadakan pada sebelah malam

    Malaysia anjur pusingan terakhir WTCR 2019 – satu dari tiga perlumbaan diadakan pada sebelah malam

    Kalendar kejohanan FIA World Touring Car Cup (WTCR) untuk musim 2019 secara rasmi telah diumumkan, dan apa yang mengejutkan adalah Malaysia telah sah menjadi hos untuk perlumbaan pusingan terakhir bagi kejuaraan tersebut.

    Kalendar musim baharu ini telah diluluskan oleh Suruhanjaya Touring Car FIA pada mesyuarat yang diadakan di Paris 6 November lalu, dan kemudian diratifikasi oleh Majlis Sukan Permotoran Dunia FIA di St Petersburg, semalam (5 Disember).

    Seperti pusingan-pusingan WTCR lain, pusingan di Malaysia berkenaan akan dijalankan dalam tiga perlumbaan, menjadikan 30 perlumbaan secara keseluruhan dalam 10 pusingan yang dijalankan. Tetapi apa yang menarik, salah satu perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang tersebut akan dilakukan pada waktu malam dan ini hanya unik untuk pusingan di Malaysia.

    Malaysia anjur pusingan terakhir WTCR 2019 – satu dari tiga perlumbaan diadakan pada sebelah malam

    “Kami gembira untuk memasukkan Sepang pada kalendar WTCR OSCARO bagi musim 2019. Menjadi pusingan yang telah diputuskan untuk musim kedua, perlumbaan WTCR julung kali di Malaysia menjanjikan penambahan yang menarik dalam jadual tersebut dengan prospek terhadap perlumbaan yang hebat, termasuk pada sebelah malam, pada litar yang tidak pernah dipandu oleh kebanyakkan pelumba WTCR,” kata ketua acara Eurosport, François Ribeiro.

    Musim kedua WTCR (yang menggantikan siri WTCC, serta menggunakan undang-undang TCR) akan bemula di Maghribi April 2019, kemudian bergerak ke Hungary, Slovakia, Belanda, Jerman, Portugal, China, Jepun, dan Macau pada bulan November. Perlumbaan di Malaysia walau bagaimanapun belum ditetapkan tarikhnya.

    Untuk musim baharu ini juga menyaksikan pasukan Cyan Racing yang menjadi juara terakhir WTCC akan kembali ke WTCR, tetapi bukan dengan Volvo, sebaliknya satu lagi jenama di bawah payung Geely iaitu divisi mewah mereka, Lynk & Co dengan jentera sedan 03 TCR.

     
     
  • Triumph Speed Twin diperkenal – kuasa 97 PS, 112 Nm

    Triumph Speed Twin diperkenal – kuasa 97 PS, 112 Nm

    Barisan model moden klasik Triumph kini menerima satu lagi tambahan baru apabila Speed Twin 2019 diperkenalkan kepada umum. Daripada nama ini anda sudah tahu ia lebih mengutamakan prestasi, dan ia datang paling utama daripada enjin 1,200 cc ‘HP’ dengan lapan injap dan pemetaan yang diambil daripada satu lagi model moden klasik prestasi iaitu Thruxton.

    Enjin dua silinder selari dengan sistem penyejukan cecair ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 95 hp pada 6,750 rpm manakala tork pula berada pada tahap 112 Nm pada 4,950 rpm. Selain daripada itu, ia juga dijadikan lebih ringan, dengan catatan kurang 10 kg berbanding Thruxton, menjadi 196 kg dan apabila dibandingkan pula dengan Bonneville T120, ia lebih ringan 28 kg (T120 mempunyai berat 224 kg dan kuasa 80 hp).

    Speed Twin ini tidak boleh sekadar dikatakan sebagai Thruxton yang mempunyai gaya berlainan. Bahagian enjinnya juga telah diusik, dengan kini pergerakan inertia crank lebih rendah hasil penggunaan head silinder mampatan tinggi dengan nisbah 11.0:1. Penyampaian bahan api dilakukan oleh penyuntik multipoint sequential, dan kuasa disampaikan ke atas jalan melalui kotak gear enam kelajuan serta klac yang telah diperbaiki untuk memberi tarikan lebih ringan.

    Menggunakan konsep yang lebih sporty, Speed Twin ini diperlengkap dengan pelbagai barangan prestasi termasuk cakera berkembar dan angkup brek empat piston Brembo di hadapan, fork teleskopik 41 mm dan rim aluminium tujuh cabang yang dibalut dengan tayar Pirelli Rosso Corsa 3. Sistem brek ABS dan kawalan cengkaman didatangkan secara standard manakala tinggi tempat duduk pula adalah 807 mm.

    Tangki yang berbentuk klasik pada motosikal ini menyediakan ruang 14 liter untuk bahan api, dan bahan aluminium turut digunakan secara meluas pada bahagian lain termasuk lengan ayun. Speed Twin 2019 didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu Silver Ice/Storm Grey dan Korosi Red/Storm yang diberikan sekali dengan jalur khas di tangki, dan juga Jet Black biasa.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Honda Vario 150 – mampukah ia jadi lawan kepada Yamaha NVX atau ada di kelas sendiri?

    TUNGGANG UJI: Honda Vario 150 – mampukah ia jadi lawan kepada Yamaha NVX atau ada di kelas sendiri?

    Akhirnya dapat juga kami mencuba Honda Vario 150 ini. Bukannya apa, ia sudah dilancarkan sejak bulan Ogos lagi tapi cuma kini, barulah Boon Siew Honda dapat menyediakan unit tunggang uji untuk kami pinjam. Kami pasti, orang ramai juga ingin tahu maklum balas berkenaan skuter yang dikatakan boleh menjadi pencabar kepada Yamaha NVX ini.

    Biar kami katakan terus di awal artikel ini. Pada pendapat kami, Vario ini bukanlah pesaing terus bagi NVX mahupun NMax. Tetapi, ia mempunyai karekter yang tersendiri, dan jika anda tertarik dengan ciri-ciri itu, barulah boleh membuat keputusan membelinya.

    Pertama sekali, mari kita tengok kepada dimensi terlebih dahulu. Sekali pandang pun sebenarnya anda boleh nampak bahawa Vario ini lebih kecil daripada NVX ataupun NMax. Ini bukan sekadar mainan ilusi tapi memang terbukti pada catatan dimensi sebenarnya.

    Untuk panjang keseluruhan motosikal, Vario kurang 71 mm, lebar kurang 21 mm, tinggi kurang 63 mm dan jarak roda kurang 70 mm berbanding NVX. Jika mencari perbandingan bentuk yang lebih bersesuaian daripada barisan model yang ditawarkan oleh Yamaha, Vario ini lebih hampir kepada Avantiz kerana bezanya cuma 20 mm (Avantiz 1260 mm).

    Dengan saiz seperti ini, Vario menjadikan pengendalian di dalam trafik yang sesak lebih mudah. Anda tidak akan terbeban untuk menggunakan ruang di antara kereta ataupun membuat pusingan yang tajam. Tapi bagi penulis kami ini, ada beberapa perkara yang sedikit mengganggu.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Brabus Mercedes-Benz A 250 PowerXtra B25 S – 270 hp/430, lengkap dengan kit badan lebih aerodinamik

    Brabus Mercedes-Benz A 250 PowerXtra B25 S – 270 hp/430, lengkap dengan kit badan lebih aerodinamik

    Baru sahaja kami melaporkan berkenaan kit prestasi untuk Mercedes-Benz A 250 W177 dari Lorinser, kini satu lagi penala dari Jerman iaitu Brabus turut memperkenalkan kit ubahsuai untuk model yang sama.

    Kit dari Brabus ini dikenali sebagai PowerXtra B25 S – seperti namanya, ia lebih tertumpu dari segi penghasilan kuasa berbanding kit yang ditawarkan oleh Lorinser. Dalam kit berkenaan, ia disertakan dengan kotak angin dengan salur kemasukan udara yang lebih besar, bersama sistem ekzos stainless steel menampilkan injap kawalan aktif yang memberikan pelbagai bunyi tahap bunyi berdasarkan kelajuan enjin.

    Bukan itu sahaja, kotak komputer enjin untuk enjin 2.0 liter turbo tersebut diberikan mapping baharu bersama kawalan boost turbo yang ditala semula. Kesemua ubahsuai ini membolehkan kuasa asal 224 hp/350 Nm ditingkatkan kepada 270 hp/430 Nm, manakala rekod pecutan dari 0-100 kini mampu dicapai hanya 5.9 saat, berbanding 6.2 saat pada model standard.

    Brabus Mercedes-Benz A 250 PowerXtra B25 S – 270 hp/430, lengkap dengan kit badan lebih aerodinamik

    Menurut Brabus, mereka bukan hanya akan memasarkan kit untuk A 250 2.0 liter turbo ini sahaja, malah kini sedang membangunkan kit serupa untuk versi turbodiesel dan juga untuk enjin turbo petrol 1.33 liter pada model A 200.

    Untuk pennampilan, kit badan yang dihasilkan Brabus ini hanya sesuai untuk dipadankan pada model-model yang menerima pakej AMG-Line dari Mercedes-Benz. Kit ini menampilkan logo Brabus menggantikan logo asal pada gril, spoiler hadapan ‘two-piece’ untuk bampar, kemasan pada liang udara sisi, diffuser pada bampar belakang, dan juga spoiler bumbung lebih besar.

    Menurut Brabus, kesemua komponen ini dibina dari material PUR berkualiti dengan tahap sama seperti komponen OEM, dan rekaannya bukan hanya untuk sedap mata memandang, bahkan turut berfungsi untuk memberikan aerodinamik lebih baik. Spoiler hadapan berkenaan akan mengurangkan gandar hadapan dari terangkat keatas pada kelajuan tinggi, sayap pada bahagian sisi membantu aliran udara yang optimal ke liang udara sisi, begitu juga rekabentuk yang diberikan pada sayap belakang, dakwa Brabus.

    Manakala pada bahagian belakang, Brabus menyatakan bahawa tip ekzos boleh dipilih sama ada untuk menyorok di belakang perumah pada bampar, atau diserlahkan keluar bagi menampakkan empat corong yang menyerlahkan kemasan logam tahan karat dan gentian karbon.

    Perubahan luaran dilengkapkan dengan pemadanan rim aloi Brabus Monoblock dengan pilihan saiz 17-, 18-, 19- dan 20-inci. Manakala untuk saiz paling besar, ia ditawarkan dengan lebar 8.5J dan tiga pilihan rekaan iaitu Monoblock F, R atau T,bersama pilihan tayar 235/30R20 dari Continental, Pirelli atau Yokohama.

    Untuk kabin pula, Brabus menyediakan tingkat taraf upholsteri dengan pilihan material dari kulit dan Alcantara serta kemasan lain seperti scuff plate logam tahan karat bersama logo Brbaus, pedal alumimiun dan juga karpet kaki velour dengan logo Brabus. Menurut syarikat berkenaan lagi, kulit Mastik yang digunakan adalah “sangat lembut dan sangat tahan lasak”.

     
     
  • Tiada lagi MAI, akan jadi MARii dengan skop lebih luas

    Tiada lagi MAI, akan jadi MARii dengan skop lebih luas

    Selepas ini, Institut Automotif Malaysia (MAI) akan dijenamakan semula dan dikenali sebagai Institut Automoitf, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). Diumumkan ketika majlis anugerah MAI Car of the Year 2018 pada Isnin lalu, agensi berkenaan juga akan memperluas skop tugasan dan akan bertindak selaku pusat koordinasi dan pemikir, bertujuan untuk mempertingkat daya saing di dalam industri automotif tempatan.

    Perluasan skop itu akan meliputi aspek seperti pengangkutan keseluruhan, termasuk ssitem pintar pengangkutan dan perkhidmatan lain yang berkaitan melalui penggunaan robotik dan internet of things (IoT) ke dalam protfolio institut berkenaan.

    “Kemajuan teknologi automotif akan mewujudkan pertembungan dengan keseluruhan mobiliti ke arah automasi perhubungan ditahap yang lebih tinggi. Ini dijangka akan menggalakkan aplikasi silang-fungsi di dalam bidang pengilangan dan IT yang lebih maju, dengan penggunaan robotik dan IoT akan menjadi keperluan yang penting untuk mencapai taraf Industri 4.0. Di atas sebab-sebab inilah MARii akan ditugaskan untuk menggalas tanggungjawab untuk memperkukuh pembangunan industri automotif negara,” ujar CEO MAI, Datuk Madani Sahari.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Indsutri, Datuk Darell Leiking pula berkata perluasan skop itu selari dengan corak pembangunan ketika ini, dan juga keperluan untuk mencari sumber baru bagi nilai dan pembangunan melalui pertembungan antara teknologi-teknologi baru yang ada.

    Tiada lagi MAI, akan jadi MARii dengan skop lebih luas

    “Dunia pengilangan sedang mengalami perubahan besar, dipacu oleh Industri 4.0 yang termasuk di dalamnya seperti cetakan 3D, IoT, perkomputeran cloud, augmented reality dan persepaduan sistem,” ujar beliau.

    “Diperingkat global, sektor automotif menjadi penggerak utama pelaksanaan pendekatan robotik dan IoT. Aplikasi seperti sistem bantuan pemandu termaju, sistem pengurusan pemanduan, teknologi kamera dan lain-lain kini melengkapi kenderaan moden akan menyumbang kepada perluasan terhadap perniagaan serta peluang baru melalui mobiliti terhubung,” tambah beliau.

    Leiking turut menjelaskan, perkara ini juga akan turut terkandung di dalam penilaian semula Dasar Automotif Nasional, yang akan diumumkan tahun depan. “Dasar yang akan disemak semula ini akan meliputi keseluruhan ekosistem automotif dan akan berteraskan teknologi masa depan, seperi kenderaan generasi akan datang (NXGV), mobiliti sebagai perkhidmatan (MaaS) dan revolusi industri 4.0 termasuk kepintaran buatan (AI),” jelas beliau.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class W177 Lorinser Green Series – 258 hp/420 Nm, lebih garang, hanya 25-unit dihasilkan

    Mercedes-Benz A-Class W177 Lorinser Green Series – 258 hp/420 Nm, lebih garang, hanya 25-unit dihasilkan

    Pepatah melayu ada mengatakan “tiada rotan, akar pun berguna”. Sudah menjadi trend sejak A-Class generasi W176, hatchback ini menerima reaksi positif untuk pelanggan yang lebih muda yang bukan sahaja gemarkan bentuk sporty, malah sukakan prestasinya. Namun tak ramai yang mampu untuk membeli model Mercedes-AMG A45, dan alternatifnya adalah mengubahsuai model A 250 bagi mendapatkan lebih kuasa dan keseronokan memandu.

    Untuk generasi baharu W177 ini, model Mercedes-AMG A45 hanya akan muncul pada tahun hadapan tetapi jenama tersebut telah melancarkan versi AMG sebenar yang lebih mampu milik iaitu A35. Tapi jika model tersebut juga tidak kena dengan bajet anda, jangan risau kerana masih lagi ada penala yang menghasilkan peralatan prestasi untuk A 250 W177.

    Mercedes-Benz A 250 generasi baharu yang anda lihat ini adalah versi talaan oleh penala dari Jerman iaitu Lorinser. Ia digelar sebagai A 250 Green Series dan hanya dihasilkan sebanyak 25 unit. Pada bahagian luaran, model ini diberikan logo Lorinser menggantikan logo bintang Mercedes pada gril, lips spoiler hadapan dan juga kemasan seakan diffuser di belakang, yang turut menempatkan empat tip ekzos dari sistem ekzos sport Lorinser.

    Mercedes-Benz A-Class W177 Lorinser Green Series – 258 hp/420 Nm, lebih garang, hanya 25-unit dihasilkan

    Walaupun ia digelar Green Series, A 250 Lorinser ini diberikan warna badan putih dengan pelekat badan sisi serta serlahan kemasan-kemasan berwarna hitam. Penampilan luaran kereta ini dilengkapkan dengan rim 19-inci RS8 dengan elemen rekaan seperti turbin, dibaluti tayar dari Continental.

    Selain dari ekzos, enjin M260 empat silinder 2.0 liter turbo berkenaan masih dibiar standard. Namun Lorinser telah menala semula kotak komputer enjin tersebut membolehkan kuasa 258 hp dan tork maksima 420 Nm diekstrak, berbanding hanya 224 hp/350 Nm pada keadaan asal. Lorinser tidak menyatakan angka prestasi kereta ini, tetapi ia pasti lebih pantas dari A 250 standard yang mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat.

    Syarikat penala itu juga tidak menyatakan harga sebuah A 250 Green Series ini, namun telah mengumumkan harga komponen-komponen ubahsuai berkenaan. Spoiler bampar hadapan dijual pada harga €690 (RM3,250), kemasan liang udara €540 (RM2,540), diffuser belakang €680 (RM3,200) manakala sistem ekzos pula adalah €1,090 (RM5,140).

     
     
  • Ford Fiesta R2 2019 untuk Junior WRC didedahkan

    Ford Fiesta R2 2019 untuk Junior WRC didedahkan

    Ini sebuah Ford Fiesta R2, sebuah jentera rali yang direka oleh M-Sport Poland dan memenuhi peraturan FIA R2. Menggunakan asas Fiesta ST-Line yang sah untuk kegunaan jalan raya, pasukan itu berkerjasama dengan Ford Motor Company yang mendanai dan menyokong program jentera rali berkenaan.

    Bakal bersaing di dalam kejuaraan Junior WRC Championship 2019, Fiesta R2 ini menampilkan penggunaan suspensi dinaik taraf dengan penyerap hentak Reiger larasan tiga hala untuk bahagian depan, manakala larasan dua hala di belakang. Ini disertai juga dengan spring Eibach (talaan lembut dan keras) serta palang anti-olengan sebagai pilihan.

    Ford Fiesta R2 2019 untuk Junior WRC didedahkan

    Jentera rali ini menggunakan enjin 1.0 liter Ecoboost yang telah ditala untuk menjana sebanyak 200 hp pada 6,500 rpm, dan digandingkan dengan kotak gear sequential lima-kelajuan Sadev. Kotak gear ini mempunyai tiga tetap yang boleh dipilih, dengan limited-slip differential turut tersedia.

    Sistem brek pula dikendalikan oleh kaliper perlumbaan Alcon dengan gandingan cakera berliang AP Racing dan cakera belakang penuh Alcon. Walaupun rekaannya tidak terlalu ekstrim seperti jentera Ford Fiesta WRC, ia tetap mewarisi beberapa penampilan yang diilhamkan dari jentera rali kelas lebih tinggi itu.