Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Hypercar Mercedes-AMG Project One didedahkan – enjin F1 sebenar, kuasa keseluruhan lebih 1,000 hp

    Hypercar Mercedes-AMG Project One didedahkan – enjin F1 sebenar, kuasa keseluruhan lebih 1,000 hp

    Project One – Hypercar yang paling ditunggu-tunggu tahun ini rekaan Mercedes-AMG kini telah didedahkan secara rasmi di Frankfurt Motor Show. Seperti yang diwar-warkan sebelum ini, kereta berkenaan dijana bukan dengan enjin yang diinspirasikan dari jentera Formula 1, tetapi ia sememangnya dikuasakan dengan enjin Formula 1 sebenar.

    Jadi, ruang enjin dibelakang kokpit utama ini telah disumbatkan enjin F1 1.6 liter V6 turbo suntikan bahan api terus, bersama spring injap pneumatik yang membolehkan enjin ini berputar pada kelajuan 11,000 rpm tanpa masalah. Bagi membolehkan ia digunakan sebagai kereta harian, enjin F1 berkenaan telah ditala bagi membolehkan ia beroperasi menggunakan petrol RON 98 yang boleh diperolehi pada stesen minyak biasa.

    Selain itu, teknologi pengecas turbo F1 turut dibawa terus ke kereta ini, menampilkan sistem pisahan bilah turbin dan bilah pemampat (compressor), yang membolehkan pemampat diletakkan berasingan jauh dari ekzos bagi mendapatkan udara kemasukan ke kebuk pembakaran yang lebih sejuk.

    Ia digabungkan dengan dua motor generator elektrik. Motor pertama digelar MGU-H (H untuk haba/heat) yang menghasilkan sekitar 120 hp tersebut menerima tenaga haba ekzos untuk menggerak pemampat, seterusnya mengurangkan turbo-lag dan Mercedes-AMG mendakwa tindak balas enjin ini adalah lebih baik berbanding enjin V8 tanpa turbo.

    Hypercar Mercedes-AMG Project One didedahkan – enjin F1 sebenar, kuasa keseluruhan lebih 1,000 hp

    Manakala motor kedua pula digelar MGU-K (K untuk Kinetik) dihubungkan kepada aci engkol dan memulihkan lebih 80% tenaga kinetik kereta ini semasa membrek. Motor ini memberikan kuasa tambahan 161 hp, membolehkan kuasa pada roda belakang sahaja berada pada kadar lebih 670 hp yang disampaikan menerusi transmisi manual automated lapan-kelajuan. Kecekapan haba enjin ini pula dicatatkan 40% baik berbanding rekod produksi yang dicatatkan oleh Toyota Prius generasi baharu.

    Jentera ini juga menerima sepasang lagi motor elektrik, kali ini pada gandar hadapan bagi memberikan sistem pacuan semua roda dan juga torque vectoring. Secara keseluruhan, Project One dibekalkan dengan kuasa lebih dari 1,000 hp, membolehkan ia memecut dari pegun hingga 200 km/j (bukan salah tulis, memang 200 km/j!) dalam masa tidak sampai enam saat dan mencatatkan kelajuan maksima lebih dari 350 km/j.

    Selain dari sangat berkuasa, kereta ini juga mampu dipandu dengan mod elektrik sepenuhnya pada jarak 25 km menggunakan motor-motor pada gandar hadapan, motor MGU-K dan juga suapan kuasa dari pek bateri lithium-ion yang terletak dibelakang roda hadapan. Bateri berkenaan menggunakan sel yang sama serta diletakkan pada posisi serupa seperti konfigurasi pada kereta F1 sebenar, tetapi ia dibina lebih besar bagi memberikan kuasa yang lebih untuk digunakan di jalan raya biasa.

    Secara keseluruhan, sistem elektrikal pada Project One masih lagi menggunakan sistem tradisional 12-volt, tetapi unit janakuasa hibridnya beroperasi dengan 800 volt berbanding hanya 400 volt pada kenderaan hibrid biasa.

    Hypercar Mercedes-AMG Project One didedahkan – enjin F1 sebenar, kuasa keseluruhan lebih 1,000 hp

    Bukan sahaja unit janakuasa diambil dari F1, malah kerangka Project One ini turut menerapkan kejuruteraan dari mesin perlumbaan berkenaan. Jentera ini menampilkan kerangka monocoque yang dibina dari gentian karbon yang menampung enjin dan transmisi. Suspensi multilink kereta ini pula menampilkan penyerap hentak yang dipasang secara melintang bagi mengurangkan olengan pada kadar paling sedikit walaupun semasa pertukaran haluan secara drastik, serta mengelakkan ketidakselesaan semasa situasi berkenaan. Brek karbon seramik juga dilengkapkan sebagai ciri standard.

    Dengan teknologi yang dibekalkan menyebabkan rupa bentuk jentera ini juga lebih agresif dari pesaing-pesaingnya yang lain. Ia direka panjang serta rendah, dan menampilkan muka hadapan agresif bersama lampu hadapan LED tirus, bersama apron tipikal AMG yang membolehkan liang kemasukan udara hadapan direka sangat besar.

    Splitter udara hadapan Project One direka membolehkan ia memanjang secara automotik ketika kereta ini dalam kelajuan tinggi, dan ia akan berkerjasama dengan liang udara diatas ruang roda hadapan bagi memberikan downforce yang lebih kuat.

    Liang udara dihadapan cermin utama kereta ini turut mempunyai fungsinya tersendiri, iaitu menghalakan aliran udara panas ke sisi kokpit bagi membolehkan udara lebih segar dihalakan tanpa halangan ke arah skup udara enjin pada bahagian bumbung. Panel sisi bersama kemasan bermotif hijau Petronas pada bahagian sisi (direka oleh orang yang sama membuat rekaan livery perlumbaan kereta F1 Mercedes-AMG Petronas) pula berfungsi mengalirkan udara pada bahagian sisi badan.

    Hypercar Mercedes-AMG Project One didedahkan – enjin F1 sebenar, kuasa keseluruhan lebih 1,000 hp

    Penutup enjin kereta ini dibina dengan bahan telus pandangan, serta diberikan liang pengudaraan dan sepasang liang NACA bagi menyejukkan enjin dan transmisi. Skup udara enjin pula dibina bersama sebuah sirip gergasi yang berfungsi untuk menstabilkan pergerakan sisi, manakala spoiler belakang dengan dua sudut aliran udara (spoiler ini boleh disorokkan ketika tidak berfungsi) akan memberikan keberkesanan aerodinamik yang lebih baik, beroperasi bersama diffuser udara pada bahagian bawah.

    Selain dari diffuser yang sangat agresif, bahagian belakang hypercar ini juga menampilkan tip ekzos besar bersama dua lagi tip berkembar lebih kecil dibawahnya. Ia juga diberikan kemasan apron dengan gril mesh hampir sebahagian besar pada bahagian belakang, yang turut menempatkan sepasang lampu belakang LED tirus.

    Bagi melengkapkan jentera ini, ia diberikan rim aloi forged pelbagai jejari dengan penutup sisi gentian karbon bersaiz 19-inci di hadapan (dengan tayar 285/35) dan 20-inci di belakang (dengan tayar 335/20), di mana kesemuanya dibaluti tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang direka khas hanya untuk Project One ini.

    Walau bagaimanapun, bahagian dalaman hypercar ini direka dengan sangat ringkas. Kabin kereta ini diberikan dua tempat duduk bucket penuh (balutan kulit nappa berwarna kelabu magma dan hitam microfiber) serta roda stereng berbentuk empat segi seperti kereta lumba sebenar bersama lampu penukaran gear pada bahagian tengah dan juga suis-suis kawalan untuk pelbagai talaan.

    Papan pemuka kereta ini juga sangat ringkas menampilkan dua skrin paparan informasi bersaiz 10-inci – sebuah diletakkan dibelakang roda stereng sebagai paparan instrumen, dan sebuah lagi di bahagian tengah sebagi skrin sistem infotaimen COMAND.

    Seperti kereta lumba sebenar, set pedal dan roda stereng jentera ini direka agar boleh dilaras, manakala suis kawalan lain direka sangat ringkas dan diletakkan pada bahagian tengah kabin bersama ruang storan kecil. Kereta ini juga tidak mempunyai cermin padang belakang, sebaliknya digantikan dengan skrin yang menerima imej dari kamera.

    Buat masa sekarang, Project One sebenarnya masih lagi dalam peringkat konsep, tetapi Mercedes-AMG telah menyatakan mereka akan membinanya dalam jumlah 275 unit sahaja. Harga? khabar angin mengatakan ia akan dijual pada harga €2.17 juta (RM10.9 juta) dan kesemua unit yang bakal dibina tersebut dlaporkan telahpun habis dijual.

     
     
  • BMW bakal perkenalkan logo hitam-putih baharu buat model elitnya termasuk 8 Series, i8, 7 Series dan X7

    BMW bakal perkenalkan logo hitam-putih baharu buat model elitnya termasuk 8 Series, i8, 7 Series dan X7

    Seringkali logo biru-putih BMW menjadi kebanggaan para pemilik kenderaannya. Terbaru, BMW dikhabarkan bakal memperkenalkan logo baharu dengan warna hitam-putih untuk barisan model elitnya yang akan didatang, ini termasuklah bagi BMW 8 Series, i8, i8 roadster, 7 Series dan X7.

    Semua model yang disenaraikan itu akan dikategorikan sebagai “model elit” BMW. Malahan ayat “Bayerische Motoren Werke,” juga akan dituliskan bagi mengetengahkan lagi sejarah jenama ini dan “taksiran yang lebih estetik”.

    Mengurut jurucakap jenama ini, “Barisan model perdana bagi BMW adalah melambangkan kemewahan yang jitu, sekaligus membawakan imej yang lebih emosi dengan diinspirasikan oleh nilai estetika serta kepuasan pemanduan.”

    Malahan model elit BMW juga dikatakan bakal disasarkan buat pelanggan spesifik. “Untuk golongan sebegini, pastinya mahu memiliki sesuatu yang terbaik dan berlainan serta nilai yang tersendiri. Dengan motto hidup ‘miliki momen tersendiri” memberikan gambaran yang lebih bermakna dan indah buat mereka,” ujar Timbalan Presiden Kanan BMW, Hildegard Wortmann.

    Logo hitam-putih baharu ini dijangka akan diperkenalkan secara rasminya di Frankfurt Motor Show 2017 pada 14 September ini.

     
     
  • Audi R8 V10 RWS – model edisi khas pacuan roda belakang tanpa sistem Quattro, dibina hanya 999 unit

    Audi R8 V10 RWS – model edisi khas pacuan roda belakang tanpa sistem Quattro, dibina hanya 999 unit

    Dynamic photo
    Colour: Ibis White

    Semalam Audi menyiarkan teaser berkenaan model R8 yang membuat aksi donut, dan hari ini spesifikasi jentera berkenaan didedahkan sempena kemunculan sulungnya pada Frankfurt Motor Show 2017. Model ini digelar Audi R8 V10 RWS, dan seperti yang dijangka sebelum ini, ia adalah model pacuan roda belakang sepenuhnya (model edisi terhad pertama Audi dengan konfigurasi RWD), dijana enjin V10 dari model sedia ada dan hanya dihasilkan sebanyak 999 unit sahaja.

    Oleh itu, enjin NA 5.2 liter FSI V10 yang diletakkan dibahagian tengah kereta tersebut masih menghasilkan 540 hp dan tork maksima 540 Nm pada takat 6,500 rpm – sama seperti model tanpa Plus. Enjin tersebut digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik S-Tronic tujuh-kelajuan.

    Tanpa sistem pacuan semua roda, model ini tidak memerlukan propeller shaft, klac pelbagai lapisan serta differential pada bahagian tengah, membolehkan versi Coupe 50 kg lebih ringan dan versi Spyder 40 kg lebih ringan berbanding R8 V10 Quattro. Tanpa sistem Quattro ini juga menyebabkan pecutan dari 0-100 km/j model edisi terhad sedikit perlahan iaitu 3.7 saat (3.8 saat untuk Spyder), berbanding model pacuan semua roda yang mampu memecut pada jarak sama dalam masa 3.5 saat (3.6 saat untuk Spyder).

    Audi R8 V10 RWS – model edisi khas pacuan roda belakang tanpa sistem Quattro, dibina hanya 999 unit

    Dynamic photo
    Colour: Ibis White

    Namun, Audi R8 V10 RWS ini sebenarnya direka lebih untuk keseronokan memandu. Tanpa sistem Quattro, nisbah agihan beban pada gandar kini berkadar 40.6:59.4 (Coupe) dan 40.4:59.6 (Spyder). Bukan sekadar membuang komponen, casis dan pengendalian RWS ini juga telah ditala semula bagi memberikan keseronokan pemanduan jentera pacuan roda belakang sebenar.

    Talaan casis dan sistem kawalan pada model ini membolehkan pemandu melakukan aksi Drift dalam keadaan terkawal sekiranya mod “dynamic” dipilih pada pilihan mod sistem pengendalian dinamik Audi dan Stabilization Control ESC ditetapkan pada “Sport”. ESC berkenaan akan mengawal kadar gelinciran pada tahap maksima dan menghindarkannya dari terus berpusing.

    Bagi membezakan model ini dengan versi biasa, ia diberikan gril hadapan kerangka tunggal kemasan hitam matte, bilah sisi atas diberikan warna hitam berkilat sementara bilah bawah pula diwarnakan sama dengan warna badan – sama seperti jentera perlumbaan R8 LMS GT 4. Model Coupe turut ditawarkan dengan jalur badan berwarna merah yang bermula pada bahagian hadapan sehingga pada bahagian belakang.

    Audi R8 V10 RWS – model edisi khas pacuan roda belakang tanpa sistem Quattro, dibina hanya 999 unit

    Detail

    Untuk melengkapka penampilan luaran, ia diberikan rim aloi dengan rekaan-V lima jejari kemasan hitam berdiameter 19-inci, dibaluti tayar 245/35R19 di hadapan dan 295/35R19 di belakang.

    Pada bahagian dalam pula, model edisi terhad ini diberikan tempat duduk sport balutan kulit dan Alcantara secara standard, manakala tempat duduk bucket ditawarkan secara opsyen. Setiap unit turut akan diberikan nombor turutan produksi istimewa yang tersendiri, dinyatakan pada emblem yang diletakkan pada papan pemuka.

    “R8 V10 RWD ini direka untuk purist” kata Stephan Winkelmann, CEO Audi Sport GmbH. “Model istimewa edisi terhad untuk pelanggan yang menghargai keseronokan pemanduan sebenar, R8 V10 RWS merupakan penawaran yang sememangnya eksklusif. Dengan enjin V10 diletakkan bahagian tengah serta pacuan roda belakang, ia berjaya untuk membawa konsep pemanduan jentera perlumbaan R8 LMS kami ke jalan raya,” tamba Winkelmann.

    Model khas yang dihasilkan dengan tangan di kilang R8 Böllinger Höfe ini akan dijual pada harga 140,000 euro (RM703,627) untuk model Coupe dan 153,000 euro (RM767,445) untuk versi Spyder. Tempahan untuk pasaran Jerman dan negara Eropah lain akan bermula pada musim luruh tahun ini, manakala penghantaran pertama ke pelanggan akan dibuat pada 2018.

     
     
  • MBPJ siasat ejen jual kupon parkir lebih mahal

    MBPJ siasat ejen jual kupon parkir lebih mahal

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah memulakan siasatan ke atas ejen yang menjual kupon parkir melebihi harga yang ditetapkan iaitu RM6. Tindakan akan diambil sekiranya MBPJ mendapati ada ejen yang menyalahgunakan tanggungjawab ini dengan mengenakan caj lebih terhadap jualan kupon parkir ini.

    Menurut jurucakap Jabatan Kewangan MBPJ, siasatan ini dilakukan apabila pihak majlis menerima aduan daripada orang ramai berhubung ada ejen yang menjual buku kupon parkir yang mengandungi 10 helaian tiket tersebut pada harga RM6.50, laporan The Sun.

    Ahli Majlis Bukit Gasing Rajiv Rishiyakaran pula berkata, setakat ini beliau tidak menerima sebarang aduan mengenai perkara ini. Walau bagaimana pun, katanya, orang ramai yang berhadapan dengan isu ini boleh mengemukakan aduan kepada pihak majlis tempatan.

    Sistem parkir berkupon telah diperkenalkan oleh MPBJ sejak 20 tahun lalu, namun ia pernah ditamatkan pada awal tahun 90an, kemudian dilaksanakan semula. Ia merupakan alternatif pembayaran parkir selain menggunakan meter seperti yang masih digunakan sehingga kini.

     
     
  • Honda reka mesin rumput Civic Type R dan Fireblade sempena ulangtahun ke-25 jentera lagenda tersebut

    Honda reka mesin rumput Civic Type R dan Fireblade sempena ulangtahun ke-25 jentera lagenda tersebut

    Selain dari sektor automotif, Honda sebenarnya turut menghasilkan pelbagai produk lain seperti generator elektrik, bot malah Jet peribadi dan juga robot Asimo. Satu lagi produk Honda yang popular adalah mesin rumput – satu produk yang sering dijadikan jenaka dalam dunia modifikasi kereta-kereta Honda.

    Namun, jenaka berkenaan nampaknya diambil positif oleh pihak Honda dan benar-benar menghasilkan mesin rumput Civic Type R! Bukan sahaja muncul dalam versi CTR, malah Honda turut menghasilkan dalam versi superbike Honda Fireblade, sempena ulang tahun ke-25 legenda Type R dan Fireblade yang diraikan tahun ini.

    Kedua-dua versi mesin rumput ini diasaskan dari model Miimo, iaitu mesin rumput robotik yang mampu beroperasi secara automatik tanpa perlu manusia mengendalikannya. Selain dari tidak perlu menggunakannya secara manual, Miimo turut boleh mengecas bateri lithium-ionnya sendiri.

    Untuk Miimo Civic Type R, ia diberikan warna badan keseluruhan ikonik Championship White, logo ‘H’ dengan latar belakang merah pada hadapan dan belakang, dan logo Type R pada kedua-dua sisi. Ia turut diberikan lampu hadapan dan belakang yang realistik menggunakan 40 LED yang berfungsi, pelekat berbentuk lampu hadapan dan belakang, gril serta bampar depan dan belakang.

    Selain itu, Miimo Civic Type R turut diberikan spoiler belakang yang diperbuat dari bahan kalis air dan turut diberi kemasan pelekat gentian karbon, serta corong logam tahan karat berdiameter 32mm dan 25mm yang dijadikan tip ekzos kembar tiga yang seiras dengan Civic-R FK8 sebenar.

    Bagi Miimo Fireblade pula, ia diberikan skim tiga warna merah-putih-biru pada badan, serta ‘muka’ Fireblade pada bahagian hadapan, bersama logo Honda Racing Corporation (HRC). Ia turut diberikan lampu hadapan dan belakang dengan 45 LED yang berfungsi.

     
     
  • Peugeot 3008 2017 dilancarkan di M’sia – dari RM143k

    Peugeot 3008 2017 dilancarkan di M’sia – dari RM143k

    Seperti yang pernah diuar-uarkan sebelum ini, tempahan bagi Peugeot 3008 telah pun dibuka sejak bulan lalu. Namun ia baru sahaja dilancarkan pagi ini dengan menawarkan dua varian iaitu Active THP dan Allure THP.

    Kedua-dua varian ini dijanakan oleh enjin petrol 1.6L THP 165 S&S dan transmisi automatik enam-kelajuan bersama Tiptronic dan mod Sport, dengan hamburan kuasa 165 hp dan tork 240 Nm. Kuasa pacuan disalurkan ke roda hadapan dan SUV ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 211 km/j yang dikatakan terbaik dalam kelasnya.

    Enjin ini juga dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien dengan catatan 7.0 liter bagi setiap 100 km. SUV ini dibina dengan menggunakan platform Efficient Modular Platform (EMP2) yang sama dengan model 308 terkini.

    Peugeot 3008 2017 dilancarkan di M’sia – dari RM143k

    Bagi ketegaran sistem suspensinya, 3008 2017 ini digandingkan dengan topang Independent MacPherson dan palang anti-olengan ‘drop link‘ untuk bahagian hadapan serta gandar Deformable U-shaped cross member untuk bahagian belakang. Tetapan ini mampu memberikan kemantapan pengendalian yang lebih optimum.

    Pembaharuannya banyak dilakukan pada bahagian luaran dan dalamannya, nampak lebih elegan, kontemporari dan bergaya berbanding model sebelumnya. Bagi varian Active THP, ia menampilkan lampu utama halogen dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus halogen dan lampu belakang LED halogen dengan ‘efek kuku singa’ dan roda aloi ‘Los Angeles’ 18-inci yang dibaluti tayar Continental ContiCrossContact LX2 tyres (225/55).

    Bagi Allure THP iaitu varian dengan spesifikasi tertinggi, pastinya menerima lebih banyak elemen menarik termasuk lampu utama LED penuh dengan lampu nyalaan siang LED, dan lampu membelok jujukan serta pakej luaran GT Line. Selain itu, ia turut menampilkan gril yang berlainan bersama pelindung bampar hadapan dicat dengan warna perak dan kemasan krom pula menghiasi seksyen bawah pada bahagian sisi varian ini.

    Menjengah bahagian kabinnya, kedua-dua varian dilengkapi dengan Peugeot i-Cockpit berserta rekaan yang lebih bergaya terutamanya jelas kelihatan pada suis ala piano, roda stereng berbentuk segi empat tepat dan tuil gear yang direka menarik. Malah ia juga menampilkan butang dial rotary Advanced Grip Control (terletak di sebelah butang kawalan menurun bukit) yang membenarkan pemandu memilih lima mod pemanduan.

    Selain itu, ia juga menampilkan banyak elemen teknologi termasuk kluster instrumen digital 12.3-inci, dengan paparan definisi tinggi yang memaparkan informasi pemanduan. Malahan turut mengetengahkan skrin sesentuh lapan-inci pada papan pemuka yang menyalurkan infotaimen serta kawalan suhu dwi-zon (dengan corong belakang).

    Ia juga menawarkan elemen termasuk sambungan Android Auto, Apple CarPlay dan MirrorLink. Lain-lain elemen yang ditampilkan termasuklah sambungan Bluetooth dan USB, brek parkir elektronik serta sistem bunyi 3D Arkamys bersama enam pembesar suara.

    Memiliki kekemasan yang sedikit berbeza pada Allure dengan menampilkan tempat duduk balutan kulit dengan larasan berkuasa lapan-hala untuk tempat duduk pemandu. Manakala varian Active THP dilengkapi dengan tempat duduk fabrik Mistral Meco dengan operasi manual untuk tempat duduk hadapan. Bagi ruang butnya pula, ia berkapasiti 520 liter, namun dapat dipertingkatkan sehingga 1,670 liter sekiranya tempat duduk belakang yang memiliki fungsi ‘Magic Flat’ dibaringkan secara rata.

    Untuk aspek keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek Kecemasan, kawalan Cengkaman, Kawalan Kestabilan Dinamik, Program Kestabilan Elektronik, Bantuan Mendaki Bukit, Bantuan Kekal Lorong, pengesan parkir hadapan dan belakang serta kamera undur. Dengan elemen keselamatan yang dianggap lengkap ini turut membolehkan 3008 2017 menerima penarafan lima-bintang dari Program Penilaian Kenderaan Baharu Australia (ANCAP).

    Bagi Active THP, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM142,888 tanpa insurans, manakala RM155,888 bagi Allure THP. Harga ini adalah termasuk waranti lima-tahun/120,000 km serta servis 24 jam Peugeot Assistance. Ia turut menawarkan lima pilihan warna menarik iaitu Metallic Copper, Magnetic Blue, Amazonite Grey, Ultimate Red dan Pearl White. Walau bagaimana pun, dua warna pilihan terakhir itu dikenakan kos tambahan sebanyak RM1,590 bagi SUV yang diimport sepenuhnya ini.

    Anda juga boleh melihat spesifikasi lanjut berkenaan Peugeot 3008 baru ini di CarBase.my dan membandingkannya dengan kenderaan lain untuk membuat pilihan. Lihat juga video pandangan awal 3008 yang dilakukan oleh Hazril Hafiz semasa mendekati model ini di pusat pameran.

    GALERI: Peugeot 3008 Allure THP

    GALERI: Peugeot 3008 Active THP

     
     
  • Suzuki Ertiga baharu sedang dibangunkan dan sedia untuk pelancaran pada 1H tahun 2018 di Indonesia

    Suzuki Ertiga baharu sedang dibangunkan dan sedia untuk pelancaran pada 1H tahun 2018 di Indonesia

    Perkhabaran yang kami terima dari Indonesia – model baru Suzuki Ertiga sedang disiapkan dan direncanakan untuk pengenalan di pasaran sana pada separuh tahun pertama 2018. Berita ini didapati daripada sebuah laman automotif Indonesia iaitu Otomania, yang memetik ayat daripada temu ramah dengan pengarah pemasaran PT Suzuki Indomobil, Donny Saputra.

    Berita ini juga muncul kerana segmen MPV permulaan di Indonesia adalah begitu penting dan keadaan bertambah meriah dengan ketibaan Mitsubishi Expander yang membuat penampilan bulan lalu, dan juga Wuling Confero, yang lebih murah. Kedua-dua model ini adalah peserta baru dalam segmen di mana pesaing lainnya adalah termasuk Honda Mobilio, Toyota Avanza, Daihatsu Xenia dan Ertiga sendiri.

    Suzuki Ertiga baharu sedang dibangunkan dan sedia untuk pelancaran pada 1H tahun 2018 di Indonesia

    Suzuki Ertiga pernah diberikan facelift pada tahun 2015, tetapi sejak itu, ia tidak banyak berubah berbanding model yang pernah muncul buat pertama kali di India pada tahun 2012. MPV bajet tujuh tempat duduk ini menggunakan platform Swift, manakala model generasi baru Swift dilancarkan pada Disember 2016. Lukisan render di atas adalah sebuah Ertiga yang dimasukkan dengan ciri Swift baru.

    Ertiga semasa ini juga digunakan untuk model Proton yang dijenamakan semula, tetapi masih menggunakan nama sama. Disebabkan kini Proton sudah mempunyai rakan kongsi strategik dari China, iaitu Geely, berkemungkinan ia tidak lagi akan menggunakan platform Suzuki selepas ini.

     
     
  • Perodua telah jual lebih 137k unit kereta bagi tempoh Jan-Ogos tahun ini – naik 2.6% berbanding 2016

    Perodua telah jual lebih 137k unit kereta bagi tempoh Jan-Ogos tahun ini – naik 2.6% berbanding 2016

    Perodua telah mengumumkan rekod terkini bagi jualan kenderaannya, iaitu bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini dengan mencatatkan sejumlah lebih 137,200 unit telah dihantar kepada para pelanggannya. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 2.6% berbanding 133,700 unit pada tempoh yang sama tahun lalu.

    “Pencapaian ini berjaya dilakukan biarpun dalam keadaan pasaran yang amat mencabar dan justeru, kami amat berterima kasih kepada rakan kongsi perniagaan kami, pihak media dan terutamanya pelanggan-pelanggan kami di atas sokongan padu ini, “ujar Pengarah urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr. Zahari Husin.

    Perkara ini diucapkan dalam majlis penyerahan hadiah kepada para pemenang ‘Peraduan Perodua Servis dan Menang’ yang berlangsung pagi tadi.

    Di mana peraduan ini dianjurkan dengan kerjasama Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, selaku pembekal minyak enjin rasmi Perodua, yang berlangsung sepanjang April hingga Jun 2017.

    Perodua telah jual lebih 137k unit kereta bagi tempoh Jan-Ogos tahun ini – naik 2.6% berbanding 2016

    Rutin menyelenggara Perodua Alza miliknya telah memberikan hadiah bermakna buat Mohd Saipol Kamal Nor Izam Mohd Saad, 33 tahun, dari Ipoh, yang berjaya membawa pulang seunit Axia setelah dia dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama menerusi peraduan tersebut.

    “Peraduan ini menyaksikan 37,600 penyertaan dengan jumlah keseluruhan 1.26 juta liter minyak enjin yang telah dijual dalam tempoh tiga bulan peraduan ini berlangsung,” ujar Zahari lagi.

    Daripada jumlah penyertaan tersebut, seramai 90 serta telah dipilih untuk memenangi hadiah yang ditawarkan, di mana pemenang dipilih secara rawak menerusi program perisian untuk memastikan tiada isu ‘berat sebelah’.

    “Kami berterima kasih kepada semua pelanggan kami kerana telah memilih Perodua untuk keperluan penyelenggaran. Di antara Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 1.39 juta pengambilan telah didaftarkan di pusat servis kami di seluruh negara,” ujar Zahari lagi.

    Malahan menjelang hujung tahun ini, Perodua menjangka ia akan meningkat sebanyak 2.05 juta pengambilan berbanding 2.03 juta yang direkodkan pada keseluruhan tahun 2016.

     
     
  • Chery Tiggo Coupe Concept sedia untuk Frankfurt

    Chery Tiggo Coupe Concept sedia untuk Frankfurt

    Kita sudah mengetahui bahawa Chery akan menunjukkan buat pertama kali sebuah SUV kompak serta jenama global baru semasa Frankfurt Motor Show nanti, tetapi ia tidak akan terbatas setakat di situ.

    Pertama sekali, kita imbas kembali kepada SUV tersebut, yang akan membuat penampilan global pertamanya di Jerman dalam bentuk pra produksi. “SUV kompak berkualiti tinggi” ini adalah yang pertama dalam barisan modelnya yang akan dijual di Eropah dalam masa beberapa tahun lagi, dan ia menggunakan “platform serba baru, berkualiti tinggi” serta teknologi yang dibangunkan bersama pembekal terkemuka antarabangsa.

    Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Chery, ia tidak menyatakan perkara selanjutnya, tetapi Autocar ada menyebut Bosch terlibat dalam bahagian sistem informasi dan hiburan (termasuk skrin sesentuh 10 inci dan panel meter digital 7.0 inci), Continental untuk sistem elektronik dan Benteler dari Jerman untuk strukturnya. Pada aspek rekaan, SUV ini akan menampilkan falsafah rekaan “Life In Motion.”

    Chery Tiggo Coupe Concept sedia untuk Frankfurt

    Barisan kenderaan baru Chery untuk Eropah akan dikuasakan oleh beberapa enjin yang mendapat bantuan tenaga elektrik termasuk hibrid, plug-in hybrid dan elektrik penuh (EV). Selain itu menurut Chery untuk kelengkapan, ia akan disertai dengan ciri sambungan canggih, sistem keselamatan maju dan kemampuan autonomous.

    Selain SUV (di dalam gambar) yang masih belum diberi nama ini, akan terdapat juga beberapa kereta pameran lain di Frankfurt termasuk Cherry Tiggo Coupe Concept. Seperti juga SUV itu, model ini turut menjadi gambaran kepada arah rekaan kenderaan Chery pada masa hadapan. Walaupun mahu membina jenama baru, nama model sama masih dikekalkan.

    Turut dinyatakan adalah Tiggo Coupe bakal menggunakan teknologi maju termasuk “roda stereng interaktif” pelbagai fungsi yang boleh dilipat masuk dan digunakan sebagai alat kawalan untuk bermain permainan video apabila berada dalam mod autonomous.

    Tiggo Coupe Concept digerakkan oleh motor elektrik 120 kW yang mendapat kuasa daripada pek bateri lithium-ion. Ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa tujuh saat, laju maksimum lebih 200 km/j dan memberi jarak perjalanan sehingga 500 km.

     
     
  • China kaji pengharaman penggunaan kenderaan petrol dan diesel bagi mengatasi masalah pencemaran udara

    China kaji pengharaman penggunaan kenderaan petrol dan diesel bagi mengatasi masalah pencemaran udara

    Selain dari Britain dan Perancis, serta bandar-bandar seperti Paris, Madrid dan Mexico City, China nampaknya kini turut sedang mengkaji untuk mengharamkan penggunaan kenderaan yang dijana oleh enjin pembakaran dalam dengan bahan api petrol dan diesel pada masa hadapan bagi mengurangkan pencemaran alam, lapor Reuters.

    Menurut laporan berdasarkan agensi berita rasmi China Xinhua yang memetik komen dari timbalan menteri industri dan IT republik berkenaan, China merupakan pasaran automotif terbesar dunia dan merupakan negara kedua paling banyak menggunakan hasil minyak di dunia, dan mereka kini sudah mula mengkaji bila penjualan kenderaan yang menggunakan petrol dan diesel akan mula diharamkan.

    “Berberapa negara telah membuat garis masa mereka sendiri untuk menghentikan produksi dan jualan kereta dengan enjin bahan api tradisional. Kementerian juga telah mula menjalankan penyelidikan yang relevan dan akan membuat garis masa sedemikian bersama jabatan yang berkaitan. Kesemua langkah tersebut akan membawa perubahan mendalam terhadap perkembangan industri kenderaan kita,” kata Xin pada acara industri auto di Tianjin, tetapi belum mendedahkan sebarang tarikh terhadap langkah tersebut.

    Bagi menangani masalah pencemaram alam ini dan mendekatkan jurang antara pembuat domestik China yang masih baharu dengan gergasi-gergasi automotif global, China telah mensasarkan agar jualan kereta elektrik sepenuhnya (EV) dan plug-in hybrid (PHEV) mencapai sekurang-kurangnya 20% dalam pasaran pada tahun 2025. Jadi, peralihan sepenuhnya untuk mengharamkan terus penggunaan enjin pembakaran dalaman akan mengambil masa yang lebih lama, sekiranya ia benar-benar berlaku.

    Xin berkata pemain industri automotif tempatan kini berhadapan dengan “tempoh pergolakan” bermula sekarang hingga 2025 bagi beralih kepada kenderaan dengan punca kuasa baharu, memaksa pembuat automotif domestik mengadaptasi cabaran tersebut dan melaraskan semula strategi mereka.

    China kaji pengharaman penggunaan kenderaan petrol dan diesel bagi mengatasi masalah pencemaran udara

    Bulan lalu, laporan Reuters menyatakan China mungkin akan menunda implementasi kuota jualan yang sukar untuk kenderaan plug-in elektrik, membolehkan pembuat-pembuat automotif mengambil masa lebih panjang untuk bersedia. Di bawah cadangan baharu ini, 8% dari jualan perlulah terdiri dari kenderaan EV dan PHEV tahun hadapan, seterusnya meningkat kepada 10% pada 2019 dan 12% pada 2020, tetapi undang-undang tersebut tidak akan berkuatkuasa sehingga 2019, setahun lebih lambat dari perancangan sebenar.

    Sama ada ditangguhkan ataupun tidak, China kini sedang serius dalam peralihan kepada kuasa elektrik ini, dan ia didokong oleh infrastruktur pengecas yang kini sedang berkembang. Menurut laporan China’s People Daily, sejumlah 167,000 unit pengecas kini telah dihubungkan ke platform telematik pada State Grid Corporation of China (SGCC), menjadikan ia jaringan pengecas kenderaan EV terbesar di dunia.

    Dengan menghubungkan 17 pengendali stesen pengecas, SGCC kini menawarkan lebih dari satu juta kWh kuasa setiap hari. Laporan tersebut turut menambah bahawa SGCC kini sedang membina 5,526 stesen pengecas dan penukaran bateri dan lebih dari 40,000 unit pengecas sejak 2006, dengan jaringan lebuhraya cas-cepat yang meliputi 121 bandar dan 16 wilayah. Jarak purata antara setiap dua stesen pula kurang dari 50 km. Syarikat berkenaan bercadang untuk mengembangkan lagi stesen pengecas berkenaan sehingga 120,000 menjelang 2020 nanti.

    SGCC mensasarkan untuk mengurangkan jarak maksima antara stesen pengecas kepada kurang dari lima km di kawasan pinggir bandar, kurang dari tiga km pada kawasan pinggir bandar lebih dalam dan kurang dari satu km pada kawasan bandar.

     
     
  • BMW mahu wujudkan tahap mewah yang tersendiri

    BMW sedang bersedia untuk memperkenalkan barisan kenderaan mewah baru termasuk BMW 8 Series, X7 dan i8 Roadster. Bermula dengan kenderaan ini, mereka mahu meletakkannya di dalam satu tahap mewah yang tersendiri iaitu dipanggil model elit. Kenderaan ini akan mempunyai logo rekaan baru, yang menggabungkan versi logo asal BMW hitam putih, bersama tulisan “Bayerische Motoren Werke.”

    Menurut BMW, logo hitam putih ini digunakan buat pertama kali lebih 100 tahun lalu dan memberi gambaran betapa kenderaan BMW berpegang kepada tunjang warisannya – “keberanian meneroka penyelesaian serta konsep sendiri, dan kemampuan untuk berhadapan cabaran dan bangkit lebih kuat.”

    Seperti yang dinyatakan oleh BMW, pembangunan kenderaan elit ini berkait rapat dengan model Series 7 dan 8, oleh itu, model 7 Series juga akan menggunakan logo serta identiti tersebut. Ia kemudiannya akan disertai oleh 8 Series, X7, i8 dan i8 Roadster. Bagi dua model i8 tersebut, ia juga melambangkan kereta sports masa hadapan BMW.

    Kenderaan yang ditunjukkan dalam gambar dan video di atas masih belum menggunakan logo baru itu, tetapi BMW memberitahu bahawa model pertama dengan identiti elit tersebut akan ditunjukkan di Frankfurt Motor Show tidak lama lagi.

    GALERI: BMW Concept X7 iPerformance


    GALERI: BMW 8 Series Concept

     
     
  • Audi umum tanggungjawab penuh jika teknologi pemanduan sendiri rekaannya terlibat kemalangan

    Audi umum tanggungjawab penuh jika teknologi pemanduan sendiri rekaannya terlibat kemalangan

    Perlumbaan dalam menghasilkan kenderaan dengan teknologi pemanduan sendiri kini didahului oleh Audi dimana sedan flagship jenama berkenaan, A8 dilengkapi dengan teknologi pemanduan sendiri tahap 3, dan merupakan pengeluar pertama yang berjaya mencapai tahap tersebut untuk produksi.

    Seperti biasa, kegusaran orang ramai terhadap sistem ini tentulah berkenaan keyakinan adakah teknologi ini benar-benar selamat? Oleh itu, Audi mengumumkan bahawa mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya kenderaan dengan teknologi pemanduan sendiri mereka terlibat dalam kemalangan sedemikian, lapor Car Advice.

    “Apabila semua fungsi beroperasi seperti yang direka, jika pelanggan mengaktifkan sistem traffic jam pilot dan menggunakannya dengan betul, dan kenderaan dalam keadaan terkawal semasa kemalangan, pemandu pergi ke syarikat insurannya dan syarikat insuran akan memberikan pampasan kepada mangsa kemalangan dan selepas itu mereka datang kepada kami kemudian kami akan membayar kepada mereka,” kata Thorsten Leonhardt, ketua pra-pembangunan pemanduan automatik Audi.

    Audi umum tanggungjawab penuh jika teknologi pemanduan sendiri rekaannya terlibat kemalangan

    Langkah mengambil tanggungjawab terhadap kemalangan ini bukan hanya diambil oleh Audi, malah Volvo sebenarnya telah terlebih dahulu mengumumkan perkara tersebut. Menurut Volvo merujuk kepada undang-undang di Amerika Syarikat, mereka akan “mengambil tanggunjawab sepenuhnya apabila kereta tersebut dalam mod pemanduan sendiri.”

    Pada teknologi pemanduan sendiri tahap 3 ini, sistem tersebut membenarkan kawalan diserahkan sepenuhnya pada kenderaan, membolehkan pemandu melakukan perkara lain selain dari menumpukan perhatian terhadap pemanduan. Pada tahap ini, kenderaan tersebut mampu mengawal sendiri dalam pelbagai situasi, dan pemandu hanya bertanggungjawab untuk mengawal kenderaan setelah diberi amaran untuk mengambil semula kawalan. Sistem traffic jam pilot dari Audi ini mampu beroperasi sehingga kelajuan 60 km/j.

    GALERI: Audi A8 2018


    GALERI: Audi A8 L 2018

     
     
  • MBPJ ambil tindakan terhadap perkhidmatan perkongsian basikal di sekitar Petaling Jaya

    MBPJ ambil tindakan terhadap perkhidmatan perkongsian basikal di sekitar Petaling Jaya

    Lebih 250 unit basikal yang ditemui di bahu jalan di sekitar Petaling Jaya telah disita oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Basikal-basikal yang disita kerana didapati menghalang laluan ini adalah milik syarikat yang menawarkan perkhidmatan perkongsian basikal, oBike (M) Sdn Bhd, yang menyediakan pengangkutan untuk jarak terdekat, yang turut menggunakan aplikasi dalam talian.

    Platform ini boleh diakses dengan memuat turun aplikasi dalam talian oBike, di mana pengguna hanya perlu membayar, membuka kunci basikal dengan kod QR yang spesifik yang diberikan menerusi aplikasi tersebut dan mula menunggangnya.

    Sehingga kini, terdapat lebih 20,000 pengguna yang telah menggunakan aplikasi ini, di mana setiap penggunaan dikenakan bayaran sebanyak RM1 bagi setiap 15 minit pengkongsian basikal, laporan The Star.

    Walau bagaimana pun, menurut Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, basikal-basikal tersebut terpaksa disita memandangkan pihaknya tidak menerima sebarang permojonan daripada oBike. Malahan basikal-basikal tersebut didapati menghalang laluan pejalan kaki di sekitar Petaling Jaya.

    Namun katanya, pihaknya berharap agar oBike dapat tampil dan memohon kebenaran untuk terus beroperasi bagi perkhidmatan perkongsian basikal tersebut di bandar ini.

    MBPJ ambil tindakan terhadap perkhidmatan perkongsian basikal di sekitar Petaling Jaya

    “Kami menyokong idea ini, malah ia antara salah satu kaedah pengangkutan awam dan boleh memberikan manfaat kepada penduduk di sekitarnya, namun ia perlu beroperasi mengikut undang-undang yang ditetapkan,” ujarnya.

    Tambahnya lagi, walau pun tiada peraturan sah yang termaktub mengenai operasi perkongsian basikal ini di sekitar Petaling Jaya, namun pihaknya sedang merangkanya.

    “Apa yang menjadi kebimbangan pihak kami ialah basikal tersebut tidak mempunyai stesen meletak basikal yang sesuai dan dikhuatiri akan menghalang laluan pejalan kaki di sekitar Petaling Jaya.

    Akhbar terbabit turut menghubungi wakil syarikat oBike dan pengurus pemasarannya Elaine Chan berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama dengan MBPJ untuk menyelesaikan isu ini.

    “Kami telah pun berbicara dengan MBPJ dan ini semua salah faham sahaja,” ujarnya sambil menambah setakat ini tiada lesen yang diperlukan untuk perkhidmatan seumpamanya.

    Malahan kebanyakan perbandaran tempatan lain, tiada undang-undang atau lesen yang telah ditetapkan. Bahkan, oBike juga dibenarkan beroperasi di sekitar Subang Jaya setelah menerima kebenaran akan permohonannya terhadap Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

     
     
  • Toyota bangunkan fungsi navigasi dan pengenalan suara hibrid baharu – diguna pada model JDM dahulu

    Toyota bangunkan fungsi navigasi dan pengenalan suara hibrid baharu – diguna pada model JDM dahulu

    Toyota kan fungsi navigasi dan pengenalan suara hibrid baru untuk sistem hiburan dan informasi mereka sebagai salah satu langkah ke arah “strategi serangkai” berasaskan Modul Data Komunikasi (DCM).

    Fungsi ini menggunakan kedua-dua sistem komputer semasa dalam kereta dan data atas talian (cloud), dan akan bertukar di antara keduanya bergantung kepada sambungan data yang ada dan pemprosesan yang pantas.

    Dengan menggunakan kira-kira laluan berasaskan data atas talian (cloud), pangkalan data masa pemanduan yang menggabungkan masa pemanduan dan data penyebaran dapat menyiarkan laluan yang mengambil masa paling pendek kepada pemandu. Selain itu, jangkaan masa tiba juga dapat diperbaiki.

    Toyota bangunkan fungsi navigasi dan pengenalan suara hibrid baharu – diguna pada model JDM dahulu

    Satu lagi kelebihan fungsi navigasi bersepadu berasaskan data atas talian ini adalah lebih banyak pilihan laluan dapat dipilih oleh pemandu. Perkara ini adalah sama seperti apabila anda menggunakan aplikasi telefon pintar seperti Waze atau Google Maps yang dapat mengambil kira keadaan trafik semasa.

    Sementara itu, fungsi pengenalan suara hibrid baru yang dibangunkan oleh Toyota pula mampu memahami pertuturan biasa dan boleh mencari lebih banyak perkara. Jika sebelum ini, fungsi pengenalan suara biasa (bukan atas talian) hanya dapat mencari perkara yang tertentu sahaja, menggunakan kata kunci tertentu yang disediakan.

    Melalui fungsi baru ini, pengguna boleh menggunakan pertuturan biasa, seperti “cari kedai mee yang senang letak kereta” atau “pasang pendingin hawa paling kuat”, dan ia masih boleh memahaminya. Malah jika tersalah taip sesuatu juga, fungsi baru ini dapat mencari perkara yang berkenaan kerana disambungkan dengan data atas talian.

     
     
  • Audi siar teaser R8 versi pacuan roda belakang

    #breakout @ #AudiIAA Stay tuned!

    A post shared by Audi Sport (@audisport) on

    Sejak diperkenalkan dalam versi generasi pertama pada 2007, Audi R8 merupakan sebuah supercar yang telah diberikan sistem pacuan semua roda Quattro secara standard. Namun, pada teaser baharu yang disiarkan pada laman Instagram mereka, R8 melakukan aksi yang tidak boleh dilakukan oleh model-model sedia ada iaitu ‘donut’ dengan bahagian belakang meliar, serta kedudukan tayar hadapan dalam keadaan counter steer.

    Aksi berkenaan jelas bahawa model baharu ini merupakan sebuah R8 yang diberikan pacuan kuasa hanya pada roda belakang dan menurut Audi ia akan diperkenalkan pada Frankfurt Motor Show tahun ini.

    Audi R8 berwarna putih dengan jalur merah ditengah tersebut bakal mengikuti jejak kembarnya yang dibina berdasarkan platform serta enjin dan transmisi yang sama iaitu Lamborghini Huracan yang juga telah hadir dengan versi pacuan roda belakang sepenuhnya (sebelum ini dikenali sebagai LP 580-2).

    Video tersebut tidak mendedahkan bunyi enjin varian baharu R8 berkenaan, tetapi ia dijangka bakal menggunakan enjin 5.2 liter V10 yang sama pada model R8 sedia ada. Enjin tersebut hadir dengan dua talaan kuasa iaitu 540 hp/540 Nm untuk varian tanpa plus, dan 610 hp/560 Nm pada varian plus. Versi mana yang akan diberikan pada model RWD nanti masih lagi belum dapat dipastikan.

    Terdapat juga kemungkinan model pacuan belakang ini dijana enjin TFSI 2.9 liter turbo berkembar V6 yang kini menggerakkan Porsche Panamera dan Audi RS5, sebagai model gantian model asas 4.2 liter V8 pada R8 generasi pertama. Jika varian V6 ini diperkenalkan, ia turut diletakkan sebagai R8 versi asas di bawah model tertinggi V10.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024