Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • PLUS akan sediakan RFID di semua plaza tol awal 2022

    PLUS akan sediakan RFID di semua plaza tol awal 2022

    PLUS Malaysia memaklumkan syarikat itu akan melaksanakan sistem kutipan tol radio frequency identification (RFID) di semua lebuhraya seliaannya, dengan sekurang-kurangnya satu lorong RFID di setiap plaza tol, menjelang awal 2022, lapor The Star.

    Menurut CEO Teras Teknologi, Anwar Ishak, sistem RFID ini, yang berfungsi sekali dengan Touch ‘n Go e-Wallet, akan dilaksanakan bersama sistem pengesanan nombor plat automatik (ANPR). Teras Teknologi merupakan anak syarikat PLUS yang membangunkan penyelesaian teknologi kutipan tol bagi konsesi lebuhraya, termasuk sistem Touch ‘n Go dan SmartTag.

    Di lebuhraya PLUS yang mempunyai sistem tol tertutup, pengguna dicaj berdasarkan jarak yang dilalui antara plaza tol yang digunakan. Untuk itu, sistem RFID juga diperlukan di semua tol untuk tujuan pengesanan ini. Ini berbeza dengan sistem tol terbuka yang kadar tolnya ditentukan berdasarkan kelas kenderaan.

    PLUS akan sediakan RFID di semua plaza tol awal 2022

    Sementara itu, sistem ANPR pula bertujuan untuk menyediakan satu lapisan lagi pengesanan, seperti dijelaskan oleh Ketua Pegawai Teknologi PLUS, Kang Yew Jin. Sekiranya berlaku sebarang kekeliruan dari mana sebenarnya pengguna memasuki lebuhraya, ini boleh digunakan untuk menentukan caj mereka. Ini bertujuan untuk mengelak denda terhadap pengguna yang mungkin secara tidak sengaja menggunakan kaedah bayaran berbeza ketika memasuki lebuhraya, serta membantu sekiranya berlaku pertikaian akibat salah bayar.

    Dengan menggunakan kamera beresolusi tinggi, sistem ANPR di plaza tol mampu mengenalpasti nombor plat kenderaan dan dihubungkan dengan pusat pengesahan tol PLUS untuk memproses bayaran. Beliau memaklumkan AI bagi sistem pengesahan itu masih sedang diperkemas, dan akan dibantu oleh petugas dalam kes di mana nombor plat tidak jelas, mungkin akibat kerosakan, kotor atau penggunaan huruf tidak standard.

    Kedua-dua sistem RFID dan ANPR, sekiranya berfungsi seperti yang dibangunan, akan membolehkan pengguna melalu plaza tol dengan kelajuan hingga 30 km/j, lebih laju daripada kelajuan di lorong SmartTAG ketika ini yang hanya membenarkan 20 km/j. Gabungan ini telah pun dilaksanakan di laluan Hutan Kampung-Sungai Dua, yang telah diuji sejak Julai 2020.

    Anwar menjelaskan, pemerhatian daripada program ujian itu mendedahkan bukan hanya kelajuan yang lebih tinggi, ia juga mengurangkan kesesakan dan kurang angka pengguna yang mempunyai baki kurang untuk bayaran tol. Memandangkan sistem RFID disambungkan dengan TnG eWallet, pengguna boleh menambah nilai eWallet mereka sendiri berbanding perlu ke kiosk tambah nilai fizikal.

    Beliau juga mendedahkan kos untuk melaksanakan teknologi baru ini adalah lebih rendah berbanding sistem SmartTAG bila siap sepenuhnya nanti, memandangkan ia menggunakan yang disepadukan. Turut disentuh ialah tempoh untuk sistem baru ini menggantikan SmartTAG, yang bergantung kepada kadar penerimaan RFID oleh pengguna, walaupun kerajaan telah meletakkan sasaran untuk memperkenalkan sistem multi-lane free flow (MLFF) pada 2026.

     
     
  • Polestar 2 – pemilik sedia ada boleh download perisian baru untuk tambah kuasa kuda, naik 61 hp dan 20 Nm!

    Polestar 2 – pemilik sedia ada boleh download perisian baru untuk tambah kuasa kuda, naik 61 hp dan 20 Nm!

    Ketika berlangsungnya Goodwood Festival of Speed Julai lalu, jenama kereta sport elektrik dari Sweden (sebelum ini jenama prestasi untuk Volvo), Polestar telah mendedahkan versi lebih berkuasa untuk model sedan sport Polestar 2. Sekarang, pemilik Polestar 2 sedia ada boleh mendapatkan kuasa tambahan berkenaan, dan apa yang menarik, tiada sebarang hardware yang perlu ditukar, dan mereka hanya perlu memuat turun perisian baharu secara over-the-air!

    Ini juga bermakna, pemilik boleh memuat turun perisian baharu berkenaan tanpa perlu ke mana-mana fasiliti Polestar, dan hanya perlu membeli perisian tersebut di kedai maya Polestar di laman sesawang mereka. Perisian tersebut mampu meningkatkan kuasa asal 408 hp dan tork maksima 660 Nm berkenaan kepada 469 hp dan tork maksima 680 Nm.

    Menurut Polestar, perisian baharu ini membolehkan bateri pada kereta elektrik tersebut mengeluarkan output yang lebih besar bagi meningkatkan kuasa pada motor. Ia juga meningkatkan kadar pemetaan tork pada pedal pendikit ketika pemandu memecut antara 71 km/j dan 129 km/j, membolehkan pecutan dari 0-96 km/j dicatatkan dalam masa hanya 4.2 saat berbanding 4.7 saat sebelum ini.

    Polestar 2 – pemilik sedia ada boleh download perisian baru untuk tambah kuasa kuda, naik 61 hp dan 20 Nm!

    Polestar 2 telah membuat kemunculan sulungnya pada Februari 2019 dan ia merupakan versi produksi bagi kereta konsep Volvo 40.2 yang didedahkan pada 2016. Ia dibangunkan atas platform Compact Modular Architecture (CMA) sama seperti Volvo XC40 dan Lynk & Co 01, 02 dan 03. Kereta ini dibekalkan dengan dua motor elektrik – satu pada setiap gandar menjadikan ia sebuah jentera pacuan semua roda.

    Motor-motor berkenaan menerima kuasa dari pek bateri 78 kWj bagi membolehkan ia bergerak sejauh 500 km menerusi kitaran WLTP untuk satu cas penuh. Polestar menyatakan bahawa jarak gerak berkenaan masih lagi kekal walaupun bateri tersebut mampu untuk mengeluarkan lebih kuasa dengan perisian baharu ini.

    Buat masa sekarang, Volvo Cars Malaysia (VCM) masih belum membawa mana-mana model Polestar ke pasaran tempatan. Namun pada Februari tahun lalu, En. Nalin Jain yang ketika itu masih memegang jawatan pengarah urusan VCM ada menyatakan bahawa syarikatnya ada perancangan untuk membawa Polestar 2 ke Malaysia. Namun pada November 2020, pengimport kenderaan persendirian, Vision Motorsport ada membawa satu unit Polestar 2 ke sini untuk dijual.

    GALERI: Polestar 2 di Malaysia yang dibawa oleh Vision Motorsport

     
     
  • Diskaun 80% bayar saman dilanjut hingga 31 Disember

    Diskaun 80% bayar saman dilanjut hingga 31 Disember

    Bagi yang tak sempat melunaskan bayaran saman dengan potongan 80% seperti yang diumumkan baru-baru ini tidak perlu risau. Ini kerana tawaran berkenaan akan dilanjutkan tempohnya sehingga 31 Disember nanti, lapor The Star.

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, orang ramai masih boleh membuat pembayaran saman tertunggak mereka dengan kadar potongan seperti yang diumumkan itu hingga hujung bulan ini. “Ini dilakukan untuk mengelakkan orang ramai berpusu-pusu di saat akhir di kaunter bayaran,” ujarnya.

    Keputusan untuk membenarkan orang ramai membayar saman mereka di semua ibupejabat polis daerah dan kontijen serta dalam talian melalui portal MyBayar Saman juga diambil disebakan alasan yang sama.

    Sambutan luar biasa yang disaksikan di kaunter bayaran polis Jumaat lalu ketika pameran Aspirasi 100-Hari Keluarga Malaysia di Pusat Persidangan Kuala Lumpur menyebabkan kesukaran untuk mengawal dan mengamalkan SOP yang kerajaan tetapkan, menyebabkan polis terpaksa menutup kaunter lebih awal.

    Sejak 9 Disember lalu, keseluruhan ada 2.3 juta saman bernilai RM109 juta telah diselesaikan. Ambil maklum bahawa potongan harga untuk saman ini tidak termasuk bagi kesalahan melibatkan kemalangan, memotong di garisan berkembar, menggunakan laluan kecemasan, melanggar lampu merah dan memotong secara merbahaya. Dengan adanya lanjutan tempoh ini, janglah tunggu hingga saat akhir pula.

     
     
  • Kia Carnival 2022 – harga diumumkan, RM196,340!

    Kia Carnival 2022 – harga diumumkan, RM196,340!

    Kia Carnival 2022 telah pun diprebiu untuk pasaran Malaysia minggu lalu. Ia belum lagi dilancarkan secara rasmi, tetapi bagi mereka yang berminat, ini berita baik untuk anda – ia diumumkan akan dijual pada harga RM196,340! Angka berkenaan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan ia termasuk 50% pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022.

    Ya, ia akan terlebih dahulu ditawarkan sebagai model CBU yang diimport dari Korea Selatan, sebelum ditawarkan sebagai model CKD apabila produksi model pemasangan tempatan berkenaan bermula bulan Mei nanti (sebelum ini dirancang untuk terus CKD, tetapi terpaksa ditangguh kerana pandemik) Pasaran Malaysia juga hanya ditawarkan dengan satu varian tunggal iaitu 2.2D dengan 11-tempat duduk.

    Dengan konfigurasi 11-kerusi tersebut, Kia Carnival 2022 ini dapat diklasifikasikan sebagai kenderaan komersial dan secara tidak langsung dapat dijual dengan harga lebih rendah. Manakala untuk rangkaian kuasa pula, varian ini dijana oleh enjin 2.2 liter turbodiesel Smartstream yang menampilkan blok enjin besi tuang berbanding aluminium.

    Ia menghasilkan kuasa 199 hp (202 PS) pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 441 Nm bermula 1,750 hingga 2,750 rpm. Kuasa dihantar kepada kotak gear automatik lapan-kelajuan bagi memacu roda hadapan.

    Kia Carnival 2022 – harga diumumkan, RM196,340!

    Antara kelengkapan standard yang diberikan pada Kia Carnival pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan projektor LED berkembar bersama lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, bersama lampu kombinasi belakang dan lampu kabus belakang yng masih mneggunakan mentol biasa.

    Ia juga diberikan perincian lain seperti lampu dan pengelap cermin automatik dan rim 18-inci jejari-Y bersama tayar 235/60R18. Carnival generasi baharu untuk pasaran Malaysia ini juga sudahpun menerima logo baharu Kia yang diletakkan pada bonet, pintu tailgate, penutup tengah rim dan juga pada beg udara roda stereng.

    Dalam kabin, ia menerima papan pemuka yang direka bersama konsol tengah tinggi, pemilih gear jenis tombol putar serta skrin sesentuh 12.3 inci untuk sistem infotainmen, dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Untuk panel instrumen, ia menggandingkan meter analog bersama paparan pelbagai info dengan skrin TFT-LCD 4.2 inci.

    Kelengkapan standard lain yang turut diberikan termasuk sistem kemasukan tanpa kunci bersama butang penghidup enjin, kawalan pendingin hawa tiga zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa, balutan kulit tiruan Saddle Brown, pengecas telefon pintar Qi tanpa wayar, enam pembesar suara, sistem kamera 360 darjah serta pintu gelangsar dan pintu but bukaan kuasa tanpa sentuhan.

    Untuk konfigurasi tempat duduk, 11-kerusi berkenaan disusun dalam empat barisan iaitu 2-3-3-3. Baris kedua dan baris ketiga boleh dilipat dengan nisbah 40:20:20, dengan tempat duduk tengah untuk kedua-dua baris tersebut direka sebagai tempat duduk sementara yang boleh disimpan bagi memberikan ruang laluan untuk berjalan merentasi baris. Manakala kerusi baris akhir adalah kerusi jenis bench yang boleh dilipat bagi memberikan lebih ruang kargo.

    Bagi aspek keselamatan, Kia Carnival 2022 pasaran Malaysia ini dilengkapkan dengan enam beg udara, kawalan stabiliti, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix pada baris kedua, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera pemantau 360-darjah, pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Walaubagaimanapun, model ini tidak diberikan sebarang sistem bantuan pemandu seperti brek kecemasan automatik (AEB) atau Adaptive Cruise Control.

    Enam warna badan ditawarkan untuk Kia Carnival ini termasuk Snow White Pearl, Silky Silver, Aurora Black Pearl, Panthera Metal, Astra Blue dan Flare Red. Setiap pembelian turut disertakan dengan waranti selama lima-tahun/100,000 km bersama servis penyelenggaraan percuma juga selama lima-tahun/100,000 km.

     
     
  • Kia M’sia sasar Niro, Sportage, Sorento, Carnival CKD bagi domestik, eksport; 100,000 unit menjelang 2026

    Kia M’sia sasar Niro, Sportage, Sorento, Carnival CKD bagi domestik, eksport; 100,000 unit menjelang 2026

    Pemasangan tempatan bakal menjadi aspek penting buat operasi Kia Malaysia, dengan syarikat ini mensasarkan untuk memproduksi 100,000 unit bagi empat model dalam tempoh lima tahun akan datang, kedua-duanya untuk pasaran domestik dan eksport.

    Dalam taklimat media hari ini, Kia Malaysia memaklumkan pelaburan dalam operasi CKD adalah faktor kejayaan utama dalam pasaran ASEAN. Tambahan pula Malaysia adalah negara terbaik untuk Kia melancarkan program CKD hasil dasar galakan untuk CKD serta dengan adanya program logistik dan vendor yang mantap.

    Kia M’sia sasar Niro, Sportage, Sorento, Carnival CKD bagi domestik, eksport; 100,000 unit menjelang 2026

    Model Kia pemasangan tempatan yang diproduksi di kilang Inokom, di Kulim, Kedah adalah untuk pasaran domestik dan eksport (melibatkan negara jiran dalam ASEAN). Untuk itu, syarikat ini mensasarkan untuk mengeksport 6,000 unit model CKD pada tahun 2022, dan jumlah tersebut akan dilonjakkan dengan 3,000 unit lagi setahun.

    Menjelang 2026, Kia Malaysia mensasarkan untuk memproduksi 30,000 unit setahun, dengan 19,000 unit daripadanya adalah untuk pasaran eksport. Empat model yang akan dipasang di sini termasuklah Carnival dan Sorento (dirancang untuk diperkenalkan model facelift pada tahun 2024), begitu juga dengan Sportage dan Niro.

     
     
  • Kia Sorento, Carnival CKD dilancar di M’sia pada 2022, Sportage, Niro CKD pada 2023; juga hibrid, PHEV, EV

    Kia Sorento, Carnival CKD dilancar di M’sia pada 2022, Sportage, Niro CKD pada 2023; juga hibrid, PHEV, EV

    Dalam taklimat media yang berlangsung lewat petang tadi, Kia Malaysia telah mengumumkan akan memperkenalkan empat model pemasangan tempatan (CKD) untuk pasaran tempatan dalam tempoh dua tahun akan datang. Ia dimulakan dengan Carnival dan Sorento pada tahun 2022, diikuti dengan Niro dan Sportage pada tahun 2023.

    Walau bagaimana pun, harga, spesifikasi dan varian yang bakal ditawarkan tidak dimaklumkan menerusi taklimat berkenaan. Tetapi berdasarkan slide pembentangan, penjana kuasa elektrifikasi juga akan ditawarkan untuk kesemua empat model yang akan datang.

    Bagi Carnival dan Sportage, MPV bersaiz besar dan SUV segmen-C tersebut akan ditawarkan dengan enjin pembakaran dalaman biasa (ICEs) serta sistem elektrik hibrid (HEV), yang dijangka mulai tahun 2024.

    Manakala bagi SUV Sorento segmen-D, ia juga akan ditawarkan dengan pilihan penjana kuasa plug-in hybrid (PHEV). Bagi Niro yang diperkenalkan pada November lalu, ia hanya ditawarkan dengan penjana kuasa elektrifikasi, termasuk pilihan bateri elektrik.

    Pada 3 Disember lalu, Kia Malaysia telah mengumumkan model Carnival 2022 telah pun dibuka tempahan, namun ia adalah unit import sepenuhnya (CBU) sebelum produksi CKD bermula pada tahun hadapan.

     
     
  • Proton Arena dari Origin Automotive, England – muka Evo III, guna enjin dan kemasan kabin dari Satria GTi

    Proton Arena dari Origin Automotive, England – muka Evo III, guna enjin dan kemasan kabin dari Satria GTi

    Seperti yang semua tahu, model-model Proton pada era 90’an kebanyakkannya berasaskan dari platform Mitsubishi Colt Lancer generasi keempat. Model Lancer sedan dijelmakan sebagai Proton Wira, model hatchback tiga pintu Colt/Mirage dijelmakan sebagai Proton Satria, manakala model coupe dua pintu Mirage Asti dijelmakan sebagai Proton Putra.

    Namun apa yang istimewa, bukan semua model yang Proton tawarkan ada kembarnya pada Mitsubishi. Lancer tidak dihasilkan dengan bentuk badan liftback seperti yang ditampilkan pada Proton Wira Aeroback, dan Proton mempunyai satu lagi model trak pikap kecil yang dihasilkan dari Wira iaitu Proton Arena, atau dikenali sebagai Proton Jumbuck di Australia dan United Kingdom (UK).

    Kalau anda nak tahu juga Arena dihasilkan tanpa kerjasama Mitsubishi, dan projek tersebut dibuat oleh sekumpulan anak tempatan di unit Prototype Shop Proton (asas kepada unit R&D Proton yang ada sekarang) dengan kerjasama pembuat koc yang berpusat di California, Amerika Syarikat iaitu Metal Crafters Inc. Malah, antara sentuhan akhir untuk Proton Arena ini turut dibuat oleh Lotus (ketika itu Lotus dimiliki oleh Proton) di Norwich, UK.

    Jadi Proton Arena ini memang benar-benar unik dan ia hanya dihasilkan oleh Proton. Malah banyak juga Arena di Malaysia telah diubahsuai dengan muka Mitsubishi Lancer Evolution (malah ada yang siap enjin Evo dan berlumba drag), seolah-olah ia Evo dalam bentuk pikap – sesuatu yang anda tidak akan jumpa hatta di Jepun sekali pun.

    Proton Arena dari Origin Automotive, England – muka Evo III, guna enjin dan kemasan kabin dari Satria GTi

    Dan faktor ini juga telah menarik satu bengkel di Durham, England iaitu Origin Automotive sebagai asas projek mereka. Origin Automotive merupakan bengkel yang melakukan penyelenggaraan kenderaan dan mereka pakar dalam kerja-kerja penyelenggaraan bagi memastikan sesebuah kenderaan itu lulus ujian MOT (ujian tahunan bagi memastikan sesebuah kenderaan itu selamat digunakan di jalan raya) di UK. Dan Arena atau lebih dikenali sebagai Jumbuck di UK ini akan digunakan untuk tugas-tugas pengangkutan di bengkel.

    Seperti yang anda lihat, muka trak pikap tersebut telah disalin sepenuhnya menggunakan muka Mitsubishi Lancer Evolution III, dan kit yang digunakan juga sebenarnya lebih lebar dari Evo asli. Namun ia tidak disumbatkan dengan enjin 4G63T dari Evo, sebaliknya menerima enjin 4G93P 1.8 liter DOHC dari Proton Satria GTi. Walaupun nampak ada satu unit intercooler yang agak besar disebalik bampar hadapan, Arena ini sebenarnya masih lagi dalam keadaan NA, dan ia mungkin akan di’turbo’kan pada masa hadapan.

    Enjin tersebut diambil dari sebuah Proton Satria GTi yang telah tersadai. Bukan hanya enjin, malah Origin Automotive turut menyalin komponen-komponen kabin dari Satria GTi tersebut kepada Arena ini termasuk papan pemuka, tempat duduk Recaro Njoy, panel dalaman pintu dan lain-lain yang boleh disesuaikan.

    Suspensi asal hadapan telah digantikan dengan set suspensi boleh laras yang asalnya berada pada sebuah Lancer Evo. Manakala untuk merendahkan bahagian belakang yang masih menggunakan spring dedaun, gandar asal Proton Arena tersebut telah diterbalikkan, dan ditambah dengan unit lowering block yang diubahsuai sendiri oleh Origin Automotive. Ia kemudiannya diberikan set rim XXR 527s 17-inci dengan tayar bersaiz 205/50ZR17.

    Bukan sahaja karat-karat pada badan Arena ini telah dibuang, malah ruang roda belakang juga telah dilebarkan menerusi kerja-kerja fabrikasi logam bagi membolehkan set roda berkenaan muat di dalamnya dan sepadan dengan muka Evo yang lebih lebar. Akhir sekali, trak pikap ini turut diberikan skirt sisi Evo III dan disembur semula dengan warna pastel dalam rona biru cair.

    Ini bukan kali pertama kita lihat Mat Saleh di UK ‘layan’ model-model dari Proton. Ogos lalu, Jon Coupland dari Boston, Lincolnshire telah dipilih sebagai pemenang utama untuk acara Hagerty Festival of the Unexceptional untuk edisi 2021 dengan Proton Saga 1.5 GL Black Knight miliknya. Kemudian Stephanie Holloway dari saluran YouTube Idriveaclassic membuat kejutan dengan memuat naik video memaparkan bahawa dia baru sahaja membeli sebuah Proton Saga (Iswara) 1994 yang dijumpai terbiar dalam bangsal dalam tempoh lama, tetapi dengan kondisi seperti baharu.

    GALERI: Proton Jumbuck ‘EVO3 NOT’ Origin Automotive (gambar dari Facebook Origin Automotive)

     
     
  • VIDEO: Honda City Hatchback 2022 — dari RM75k

    Honda City Hatchback telah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan minggu ini. Ia ditawarkan dalam empat varian, bermula dengan model asas 1.5 S yang dijual dengan harga RM75,670, diikuti varian pertengahan 1.5 E berharga RM83,060, serta varian tertinggi 1.5 V pula berharga RM87,860.

    Manakala satu lagi varian versi hibrid, City Hatchback hadir dalam tahap kemasan paling sporty iaitu e:HEV RS — sama seperti RS sedan sebelum ini, ia akan mula dijual sedikit lambat iaitu bermula pada awal 2022, dan harganya juga akan diumumkan hampir kepada tarikh ia sampai ke bilik pameran.

    Semua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan oleh kerajaan sehingga 30 Jun 2022. Kesemua model menerima perlindungan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan bersama lima servis dengan kos buruh percuma. Model e:HEV RS pula menerima waranti selama lapan-tahun untuk bateri lithium-ion sistem hibrid juga tanpa had perbatuan.

    VIDEO: Honda City Hatchback 2022 — dari RM75k

    City Hatchback ini dihasilkan dari kembar sedannya dengan hanya membuang but belakang, menjadikan ia 208 mm lebih pendek dengan ukuran panjang 4,345 mm (4,349 dengan bampar RS), dan 21 mm lebih tinggi (1,488 mm). Manakala untuk dimensi lain ia kekal sama dengan sedan iaitu 1,748 mm lebar dan jarak roda 2,589 mm.

    Berbanding model yang digantikannya iaitu Honda Jazz generasi GK sebelum ini, City Hatchback lebih panjang dan lebar, tetapi lebih rendah. Ia juga menampilkan jarak roda 59 mm lebih panjang berbanding Jazz.

    Ia juga berkongsi rekaan dalaman yang sama dengan model sedan termasuk papan pemuka, roda stereng dan juga tempat duduk hadapan. Namun City Hatchback ini turut menampilkan konfigurasi Ultra Seat yang sama seperti Jazz, menawarkan empat larasan tempat duduk fleksibel iaitu mod Refresh, Long, Tall dan Utility.

    VIDEO: Honda City Hatchback 2022 — dari RM75k

    Untuk kesemua varian dengan enjin petrol penuh, ia dijana dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm, bagi menggantikan enjin SOHC i-VTEC pada Jazz GK sebelum ini. Namun ia masih dibekalkan dengan kotak gear CVT automatik bagi memacu roda hadapan.

    Manakala untuk City RS e:HEV, ia menerima unit rangkaian kuasa hibird i-MMD (intelligent-Multi Mode Drive) yang terdiri dari enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran-Atkinson berkuasa 98 PS dan tork maksima 127Nm. Ia digandingkan dengan dua motor elektrik iaitu unit motor generator (MGU) yang bertindak sebagai motor penghidup dan pengecas semula bateri hibrid, bersama satu lagi motor utama yang digelar sebagai Traction Motor.

    Ini dan banyak lagi hal-hal berkaitan Honda City Hatchback yang perlu anda tahu. Kami rangkumkannya dalam video di atas. Selamat menonton.

    GALERI: Honda City Hatchback RS e:HEV

    GALERI: Honda City Hatchback 1.5 V

     
     
  • AD: Miliki Mercedes-Benz A-Class Sedan, GLA dari RM1,488 sebulan dengan Step Up Agility Financing

    AD: Miliki Mercedes-Benz A-Class Sedan, GLA dari RM1,488 sebulan dengan Step Up Agility Financing

    Dengan rekaan elegan dan teknologi moden, kereta kompak Mercedes-Benz memberikan pengalaman memandu yang berbeza daripada pesaingnya. Jika memang sudah lama mengintai A Class Sedan atau GLA, tiada pelan pembiayaan yang lebih baik untuk anda manfaatkan dalam pemilikan kenderaan Mercedes-Benz melainkan Step Up Agility Financing.

    Masa depan tidak boleh diramal, tetapi bayaran semua anda tidak begitu. Melalui program Step Up Agility Financing, pelanggan diberikan pilihan untuk membayar dalam jumlah yang kurang pada awal tempoh pemilikan, membolehkan mereka menguruskan kewangan dengan lebih baik berbanding kaedah pinjaman tradisional. Dalam waktu tak menentu ini, mempunyai duit lebihan sangat berguna.

    Pelan bayaran inovtif ini membolehkan pelanggan menentukan sendiri bayaran ansuran mereka ke dalam beberapa peringkat, meningkatkan jumlahnya selepas tahun pertama atau kedua pemilikan. Melalui program Step Up Agility Financing, anda boleh memandu pulang A-Class baru dari serendah RM1,488 sebulan, atau jika lebih menggemari SUV, GLA boleh menjadi milik anda dari hanya RM1,688 sebulan.

    Sebagai contoh, bagi pinjaman lima-tahun A 200 Progressive Line, anda boleh memilih untuk membayar RM1,488* sebulan bagi dua tahun pertama, dengan bayaran semula akan meningkat kepada RM3,909* bagi baki tempoh tiga tahun terakhir. Atau, anda boleh memilih untuk membayar RM1,488* bagi tahun pertama dan menaikkannya kepada RM1,888 bagi tahun kedua, yang akan mengurangkan bayaran balik bagi baki tiga tahun selepas itu kepada RM3,754*.

    Bagi kes GLA 200 Progressive Line, bagi pinjaman lima-tahun, ansuran bulanannya adalah serendah RM1,688* bagi dua tahun pertama, dengan ansuran untuk baki tiga tahun lagi sebanyak RM3,864* sebulan. Jika ingin menaikkan ansuran bagi tahun kedua kepada RM2,088*, ansuran bagi tiga tahun terakhir akan menjadi RM3,709* sebulan.

    Pelan yang disesuaikan untuk pelanggan ini boleh dinikmati bagi model A 250 AMG Line dan GLA 250 AMG Line, tetapi kelebihan utamanya adalah keanjalan atau fleksibelnya Step Up Agility Financing yang ditawarkan. Mudahnya, anda tentukan apa yang terbaik untuk kewangan anda, dan ada juga pilihan untuk menambah perlindungan atau servis selenggara kepada kenderaan anda, dan bayaran muka juga berbeza mengikut jumlah yang anda inginkan.

    Sebagai tambahan kepada ansuran bulanan yang lebih rendah berbanding pembiayaan pinjaman konvensional serta pilihan dipenghujung perjanjian, Step Up Agility Financing juga datang dengan Guaranteed Future Value untuk kereta anda, di mana nilai kenderaan akan kekal sama seperti yang telah dipersetujui pada awalnya.

    Turut disertakan ialah MobilityPlus, yang menjamin akan ada sebuah kereta ganti sekiranya Mercedes-Benz anda perlu masuk bengkel sah bagi tempoh lebih daripada 48 jam untuk keperluan servis dan penyelenggaraan, tuntutan waranti atau baik pulih kemalangan — kenderaan terbabit perlulah diinsurankan dengan Mercedes-Benz Protection. Direka untuk mudah alih, MobilityPlus menawarkan liputan seluruh negara dan membenarkan hingga 20 hari setahun bagi penggunaan kereta ganti tersebut.

    Dengan manfaat yang pelbagai, Step Up Agility Financing merupakan pelan pembiayaan paling menarik untuk pemilikan Mercedes-Benz anda. Bijak, fleksibel dan dengan memikirkan kepentingan anda, ia sebuah penyelesaian pembiayaan moden untuk membolehkan anda memandu pulang sebuah Mercedes-Benz.

    Pembayaran semula yang fleksibel bukanlah satu-satunya kelebihan yang boleh dinikmati. Anda juga boleh menikmati ganjaran masa terhad dengan nilai tambah bernilai RM888 untuk kad Touch ‘n Go edisi khas Mercedes-Benz. Perlu cepat jika anda mahukannya, kerana tawaran ini hanya sah sehingga 31 Januari 2022. Ketahui lebih lanjut berkaitan Step Up Agility Financing di sini

    AD: Miliki Mercedes-Benz A-Class Sedan, GLA dari RM1,488 sebulan dengan Step Up Agility Financing.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat. Kiraan di atas berdasarkan bayaran muka 10%. Jumlah mungkin berbeza. Step Up Financing sah untuk semua model.

     
     
  • BMW R18 Bagger dan R18 Transcontinental First Edition kini di Malaysia – harga RM187k dan RM199k

    BMW R18 Bagger dan R18 Transcontinental First Edition kini di Malaysia – harga RM187k dan RM199k

    BMW R18 Bagger dan R18 Transcontinental yang didedahkan kepada dunia Julai lalu kini sudah berada di Malaysia dengan harga masing-masing RM186,500 dan RM198,500 tidak termasuk insurans. Model yang tiba di negara kita ini adalah versi “First Edition”, yang datang dalam warna hitam serta jalur pinstripe putih.

    Anda juga boleh melihat terdapat tanda First Edition pada tempat duduk serta kotak barangan tepi model ini. Kemudiannya, ia mendapat kemasan krom pada beberapa bahagian termasuk pelindung fork, keliling meter, angkup brek, penutup head, intake, cermin sisi serta hujung pemegang.

    Perbezaan antara R18 Bagger dan Transcontinental adalah pada bahagian rim, di mana Bagger mendapat unit yang berwarna hitam manakala Transcontinental menggunakan warna dua tona. Bagi R18 Bagger, ia datang dengan beg barangan tepi sementara Transcontinental ditambah dengan satu lagi beg belakang yang diwarnakan sama seperti panel badan.

    Menaikkan lagi ciri mewah pada dua cruiser ini adalah sistem bunyi Marshall Gold Series, dengan yang diberi pada R18 Bagger terdiri daripada empat pembesar suara dan booster manakala pada Transcontinental ia terdiri daripada enam pembesar suara dan satu booster.

    Kelengkapan lain yang diberikan adalah penghadang angin jenis tinggi (tidak boleh dilaras) dan lampu tambahan pada Transcontinental, sementara R18 Bagger mendapat penghadang angin lebih rendah. Pada bahagian kokpit terdapat gabungan empat tolok analog serta skrin TFT 10.25 inci dengan sistem sambungan kepada telefon pintar.

    Kuasa penggerak datang daripada enjin dua silinder boxer berkapasiti 1,802 cc yang mampu menghasilkan 91 hp pada 4,750 rpm dan 158 Nm tork pada 3,000 rpm. Antara sistem elektronik yang disediakan adalah termasuk Active Cruise Control dengan pengawal jarak, Cornering ABS, Traction Control, Hill Hold Control serta tiga mod tunggangan.

    GALERI: BMW R18 Bagger First Edition 2021

    GALERI: BMW R18 Transcontinental First Edition 2021

     
     
  • Chery eQ1 akan ke Malaysia – kereta elektrik mikro bajet jarak gerak 400 km, akan dijual bawah RM100k?

    Chery eQ1 akan ke Malaysia – kereta elektrik mikro bajet jarak gerak 400 km, akan dijual bawah RM100k?

    Chery sudah pun mengumumkan bahawa mereka sah kembali ke pasaran Malaysia bermula tahun hadapan. Selain dari menyebut berberapa model SUV yang dalam perancangan untuk dilancarkan di sini serta kemungkinan besar akan ada operasi pemasangan tempatan (CKD), jenama dari China tersebut turut ada menyatakan mereka bakal membawa model elektrik sepenuhnya (EV) yang mungkin akan dijual pada harga lebih rendah dari model-model EV lain.

    Ini adalah berikutan pengumuman polisi pengecualian cukai untuk EV yang telah diumumkan oleh kerajaan pada Bajet 2022 dan Chery tidak mahu ketinggalan untuk memanfaatkan insentif berkenaan. Dan calon model untuk di bawa ke Malaysia kelak adalah kereta elektrik mikro, Chery eQ1.

    Menurut Chery, mereka berharap dapat memperkenalkan eQ1 ke pasaran Malaysia “secepat yang mungkin”, jadi ia mungkin akan tiba di sini pada awal tahun hadapan. Dalam satu panggilan video bersama paultan.org baru-baru ini, jurucakap jenama berkenaan ada menyebut bahawa Chery memang merancang untuk memperkenalkan kenderaan-kenderaan tenaga baharu apabila kembali semula ke Malaysia.

    Chery eQ1 akan ke Malaysia – kereta elektrik mikro bajet jarak gerak 400 km, akan dijual bawah RM100k?

    Malah dalam email yang dihantar awal minggu ini, Chery turut menyatakan mereka akan memperkenalkan eQ1 di Malaysia bagi memanfaatkan polisi pengecualian cukai berkenaan.

    Sejak ia diperkenalkan, eQ1 telah dikemaskini sebanyak empat kali. Menerusi versi terbaharu, Chery mengatakan bahawa kereta mikro elektrik dua pintu, empat tempat duduk berkenaan telah diberikan 168 peningkatan, dan menampilkan badan alumimium secara keseluruhan.

    Versi terkini itu juga dibekalkan dengan motor elektrik 55 kW (74 hp), membolehkan ia memecut dari 0-50 km/j dalam masa bawah lima saat dan mencatatkan kelajuan maksima 120 km/j – 20 km/j lebih laju berbanding model terdahulu yang diberikan motor elektrik 30 kW (40 hp) dan tork maksima 120 Nm.

    Chery eQ1 ini juga ditawarkan dengan dua jarak gerak untuk satu cas penuh, iaitu sama ada 301 km dengan bateri lithium-ion 30.6 kWj atau dengan bateri 38 kWj untuk jarak gerak 408 km berdasarkan kitaran NEDC – jarak berkenaan mungkin lebih rendah dalam penggunaan dunia sebenar.

    Menurut Chery, sel bateri yang digunakan dibangunkan oleh mereka sendiri menerusi CATL, manakala motor elektrik yang dipadankan pula adalah hasil kerjasama mereka bersama syarikat Jepun, Yaskawa Electric.

    Untuk pasaran China, eQ1 menampilkan perincian-perincian seperti fungsi parkir automatik dengan satu butang, kawalan jauh dengan satu butang, operasi pendingin hawa kawalan jauh, skrin LCD definisi tinggi, interaksi suara AI dan juga Baidu Car-Life dengan hubungan Wifi 4G.

    Kereta ini dijual pada harga bermula 66,800 yuan (RM44,300) sehingga sekitar 80,000 yuan (RM53,000) dengan subsidi kerajaan di China. Sekiranya ia benar-benar di bawa ke Malaysia, eQ1 ini akan ditawarkan sebagai model yang diimport sepenuhnya (CBU), dan Chery memberitahu bahawa operasi CKD hanya akan melibatkan model-model dengan enjin konvensional.

     
     
  • Eclimo ES-11 dijual di Malaysia dengan harga bermula RM10.5k – skuter elektrik dengan jarak gerak 100 km

    Eclimo ES-11 dijual di Malaysia dengan harga bermula RM10.5k – skuter elektrik dengan jarak gerak 100 km

    Skuter elektrik Eclimo ES-11 kini sudah mula berada di pasaran Malaysia. Anda boleh membelinya terus pada harga bermula RM10,501 untuk model asas, ataupun menggunanya secara langganan pada harga RM600 sebulan.

    Untuk pembelian terus, ES-11 disediakan dalam pilihan empat model iaitu ES-11 Basic pada harga RM10,501 dan ES-11 Pro RM14,500, sementara dua model kegunaan komersial iaitu ES-11 Delivery dan ES-11 Utility dijual pada harga masing-masing RM14,500 dan RM14,700.

    Sekiranya mahu mendapatkan barangan tambahan seperti kotak barangan, warna khas serta perincian yang padan dengan jenama komersial, harga ES-11 Pro dan Utility akan menjadi masing-masing Rm15,900 dan RM24,500.

    Bagi yang mahu mendapatkan ES-11 secara langganan, ia disediakan bagi semua model kecuali ES-11 Basic. Bagi ES-11 Pro dan ES-11 Delivery, anda perlu membuat bayaran awal RM1,800 manakala bagi ES-11 Utility, ia memerlukan bayaran RM11,730 serta deposit RM1,200.

    Selepas itu, anda perlu membayar RM600 setiap bulan, dengan bayaran bulan pertama diselesaikan lebih awal. Bagi ES-11 Pro, sekiranya catatan perjalanan tidak sampai 1,000 km, bayaran bulanan akan menjadi hanya RM450.

    Rekaan ES-11 mengikuti bentuk skuter biasa, dengan bateri lithium ion 3.08 kWh berada di bahagian lantai. Ia menyampaikan tenaga kepada motor elektrik berkuasa 6 kW, yang boleh membawa skuter ini sehingga kelajuan maksimum 100 km/j dan jarak gerak maksimum 100 km. Pengecasan boleh dilakukan menggunakan soket domestik 240 volt, dan ia juga dilengkapi dengan brek cakera hadapan dan belakang, serta rim 13 inci.

     
     
  • MSF Supermoto Pusingan Kedua tunjuk aksi heroik

    MSF Supermoto Pusingan Kedua tunjuk aksi heroik

    Pusingan kedua MSF SuperMoto Series yang berlangsung di Litar Tangkak, Johor Darul Takzim hujung minggu lalu menampilkan aksi dramatik dan menerima sambutan lebih menggalakkan. Peningkatan dari angka penyertaan serta kehadiran penonton di lokasi benar-benar menghangatkan lagi suasana.

    Pusingan kedua siri perlumbaan ini turut mendapat tajaan daripada pihak EXN Lube, Metzeler, dan Beringer Brakes. Selain itu, penyertaan nama-nama besar dalam sukan dua roda juga sangat diraikan, antara daripada Azlan Shah, juara bertahan superbike Asia Road Racing Championship. Kali ini juga menyaksikan ada penyertaan daripada seorang pelakon terkenal, Farid Kamil.?

    Aksi hujung minggu lalu juga antara yang paling dramatik dan penuh debaran. Bagi kategori All Stars Pro, tumpuan segera diberikan kepada Daniel Haiqal dan seteru ketatnya, Gabit Salleh dan Azlan Shah. Perlumbaan pertama bermula dengan aksi yang sangat-sangat dramatik — Gabit Salleh yang mendapat posisi pertama memecut pantas menuju selekoh pertama, diikuti rapat Daniel Haiqal dan juga Azlan Shah.

    MSF Supermoto Pusingan Kedua tunjuk aksi heroik

    Namun, Gabit Salleh terjatuh di selekoh yang ketujuh. Peluang ini digunakan sebaik mungkin oleh Daniel Haiqal untuk mendahului dengan jarak yang sangat selesa. Azlan Shah yang pada mulanya melakukan sedikit kesilapan pada pusingan ke-enam, sebelum bingkas bangkit menduduki tempat kedua. Selepas terjatuh, Gabit Salleh berhasil memperbaiki kedudukan dari tempat terakhir untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima.

    Perlumbaan kedua pula menjadi penentu kedudukan podium. Daniel Haiqal bermula di petak pertama sementara Azlan Shah bermula di tempat kedua diikuti Zhafir di tempat ketiga bagi kategori All-Stars Pro. Ketika isyarat permulaan dilepaskan, Daniel meluru pantas dan menerima saingan dari Azlan Shah. Gabit Salleh dari kedudukan kelima mendapat perlepasan yang sempurna dan meyerang dari bahagian luar selekoh pertama.

    Menuju ke selekoh kedua, Gabit sekali lagi melakukan kesilapan dengan membrek terlampau lewat, dan melanggar Daniel serta hampir terjatuh. Ini menghukum beliau jatuh ke tempat keempat. Azlan Shah bagaimanapun berjaya mengelakkan diri daripada keributan yang terjadi dan muncul pendahulu. Akan tetapi kebahagian Azlan tidak lama, apabila kedudukan beliau memimpin perlumbaan dirampas kembali oleh Daniel Haiqal pada selekoh kedua pusingan ketiga.

    MSF Supermoto Pusingan Kedua tunjuk aksi heroik

    Tapi sayang sekali buat Daniel Haiqal. Ketika dalam mood untuk memenangi tempat pertama, beliau telah terjatuh di selekoh keempat di pusingan keempat, dan peluang ini digunakan sebaik mungkin oleh Azlan Shah untuk merampas kembali tempat pertama. Gabit Salleh terpaksa bertarung dengan Kenny Lee, pelumba dari kategori “All Stars Legends” sebanyak dua pusingan, dan akhirnya berjaya melepaskan diri, untuk menduduki tempat kedua.

    Daniel Haiqal kemudiannya bingkas bangkit, sasarannya tidak lain tidak bukan adalah seteru terhebat beliau – Gabit Salleh. Mereka mula bersaing, antara menyerang dan mempertahankan kedudukan. Persaingan sangat-sangat sengit; Daniel melakukan serangan terakhir di selekoh terakhir, sementara Gabit bertahan. Kedudukan mereka sebelah-menyebelah, namun Gabit yang ada sedikit kelajuan menduduki tempat kedua dan diikuti tempat oleh Daniel Haiqal. Azlan Shah, pemenang tempat pertama bagi kategori All-Stars Pro, kekal tenang dan tahu sesuatu akan terjadi dan bijak menggunakan peluang ini.?

    Kategori SuperMoto Rookie pula merupakan kategori yang mempunyai paling banyak penyertaannya yang turut menyaksikan pelakon Farid Kamil, dan satu-satunya pelumba wanita, Ahirine Ahiruddin. Ng Hoi Yew, penyandang kejuaraan bagaimanapun tidak memperoleh keputusan yang begitu memberangsangkan kerana terpaksa berpuas hati di tempat keenam.

    MSF Supermoto Pusingan Kedua tunjuk aksi heroik

    Awalnya ramai menjangkakan pertempuran sengit antara Ng Hoi Yew dengan Chong Chee Chin, tetapi nasib tidak menyebelahi kedua-duanya mereka. Philip Tang berjaya memenangi tempat pertama dengan sangat bergaya dengan jarak yang sangat selesa, sejauh 4 saat.

    Tempat kedua pula dimenangi oleh pelumba Korea, Tommy Koo. James Ki, wira tempatan yang terpaksa bermula di petak terakhir akibat terlibat dengan kemalangan telah menunjukkan satu aksi yang sangat heroik. Ketika perlumbaan dimulakan, beliau memecut pantas dan menghuni kelompok Top-10. Satu demi satu pelumba lain dipintas.

    Beliau berjaya meletakkan dirinya dalam kedudukan podium. Mula menetapkan sasaran memintas Tommy Koo, namun tidak berjaya dan ini memaksa James Ki menerima kedudukan ditempat ketiga sahaja. Pusingan seterusnya pada 9 Januari 2022 akan kembali semula di Litar Tangkak. ?

     
     
  • BMW iX 2021 dapat 5-bintang dalam Euro NCAP

    BMW iX 2021 dapat 5-bintang dalam Euro NCAP

    BMW iX 2021 baru saja dilancarkan di pasaran Malaysia pada Ogos lalu dan baru-baru ini kami telah berkongsikan galeri foto penuh kenderaan elektrik ini. Ada yang tertarik dengan EV ini? Kalau berkemampuan untuk memilikinya memang berbaloilah sebab ia baru sahaja menerima markah penuh dalam ujian keselamatan pelanggaran kenderaan yang dikendalikan oleh Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP).

    Model ini telah diberikan penarafan lima-bintang dalam kesemua kategori ujian yang dikendalikan. Termasuklah ujian perlindungan penumpang dewasa yang telah menguji keberkesanan beg udara interaktif baharu antara tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, yang memberikan perlindungan tambahan terhadap kecederaan sekiranya berlaku perlanggaran sisi.

    Untuk keselamatan kanak-kanak di tempat duduk belakang, BMW iX turut menerima markah tertinggi bagi ujian pelanggaran hadapan dan sisi, walaupun beberapa mata telah ditolak kerana kekurangan sistem sekatan kanak-kanak bersepadu. Tetapi dari segi struktur, bingkai aluminium dengan kerangka karbon memberikan perlindungan yang sangat baik untuk penumpang dewasa dan kanak-kanak.


    Klik untuk besarkan

    Untuk ujian Vulnerable Road Users, ia menerima markah yang sederhana. Walau pun menampilkan bonet aktif yang melindungi impak terhadap pejalan kaki sekiranya perlanggaran berlaku, sekaligus mengurangkan risiko kecederaan yang parah. Namun demikian, ia tidak begitu berkesan untuk bahagian pelvis disebabkan oleh garis bonet tinggi iX. Walau bagaimanapun, ia mendapat markah yang sangat baik untuk impak bahagian kepala dan kaki.

    Untuk bantuan pemanduan, iX dilengkapi dengan bantuan kepekaan, amaran ketibaan lorong dan pengesan pengehad kelajuan secara standard. Untuk pakej pilihan bagi Driving Assistant Professional, ia diberikan bantuan panduan lorong dan stereng, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pengehad kelajuan automatik dan bantuan mengelak.

    GALERI: BMW iX xDrive40 2021 di Malaysia

     
     
  • Ducati Desert X didedah – jentera dual purpose 937 cc

    Ducati Desert X didedah – jentera dual purpose 937 cc

    Ducati Desert X 2022 akhirnya didedahkan secara rasmi dan ia menyaksikan rekaan yang tidak lari jauh daripada model konsep yang ditunjukkan pada tahun 2019. Motosikal ini mahu diketengahkan sebagai jentera dual purpose sebenar, dan membawa rekaan seperti jentera lumba rali tahun 80-an.

    Selain tangki bahan api di bahagian hadapan yang berkapasiti 21 liter, motosikal ini juga boleh ditambah dengan tangki lapan liter di bahagian belakang. Apabila bahan api dalam tangki hadapan mencecah paras rendah tertentu, pengguna boleh memindahkan bahan api dari tangki belakang dengan butang kawalan yang disediakan.

    Kuasa penggerak datang daripada enjin v-twin Testastretta 937 cc yang mampu menghasilkan 110 hp pada 9,250 rpm dan 92 Nm tork pada 6,500 rpm. Meskipun mempunyai persamaan dengan Multistrada V2, transmisi enam kelajuan pada Desert X ini telah diubah dengan nisbah gear satu dan dua yang lebih pendek.

    Kelebihan utama Desert X adalah prestasi tunggangan kedua-dua, atas jalan biasa dan offroad. Untuk itu, ia disediakan dengan enam mod tunggangan termasuk Sport, Touring, Urban, Wet, Enduro dan Rally. Untuk mod Enduro, kuasa dikurangkan supaya mudah dikawal atas jalan offroad sementara dalam mod Rally pula, kuasa penuh diberi, tetapi dengan campur tangan elektronik yang kurang, sekaligus memberikan kawalan penuh kepada penunggang.

    Turut disediakan adalah Engine Brake Control (EBC), Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Ducati Quick Shift (DQS) Up & Down dan Cornering ABS (ada tiga tahap dan boleh ditutup terus apabila dalam mod Enduro dan Rally).

    Informasi penting motosikal dipaparkan pada skrin TFT-LCD lima inci dan fungsi sambungan bluetooth kepada telefon pintar disediakan sebagai pilihan tambahan. Pengguna juga boleh memilih dua mod paparan pada unit instrumen ini.

    Ducati Desert X didedah – jentera dual purpose 937 cc

    Saiz rim Desert X mengikut seperti jentera offroad dengan saiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dengan merupakan unit spoked dan dibalut tayar Pirelli Scorpion Rally STR. Brek adalah daripada Brembo, dengan tetapan cakera berkembar 320 mm serta angkup M50 di hadapan dan cakera 265 mm dan angkup dua piston di belakang.

    Suspensi pula menggunakan unit daripada Kayaba dan boleh dilaras sepenuhnya untuk pra beban, mampatan dan lantunan. Bahagian hadapan menggunakan fork USD dengan jarak gerak 230 mm manakala bahagian belakang menggunakan monoshock dengan jarak gerak 220 mm. Tinggi Desert X dari tanah adalah 250 mm manakala tinggi tempat duduknya adalah 875 mm dalam keadaan standard. Berat keseluruhan adalah 202 kg.

     
     
  • Kerajaan belum putuskan status projek HSR – menteri

    Kerajaan belum putuskan status projek HSR – menteri

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad mengesahkan kerajaan belum memutuskan status projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan disambung semula atau sebaliknya, memandangkan ia masih di peringkat perbincangan awal.

    Menurut beliau, walau pun projek itu terbatal apabila perjanjian dua hala mengenai projek HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura luput, pada 31 Disember 2020, namun cadangan rundingan semula projek tersebut dibangkitkan dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong, pada 29 November lalu, laporan Bernama.

    “Dalam maklum balasnya, Perdana Menteri Singapura terbuka untuk menerima cadangan baharu dari Malaysia untuk projek HSR ini. Saya ingin menekankan, kemungkinan menghidupkan semula projek HSR Kuala Lumpur-Singapura ini masih dalam perbincangan peringkat awal,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

    Beliau menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (Bagan-DAP) sama ada projek HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru akan dibatal dan digantikan dengan cadangan pemulihan HSR Kuala Lumpur-Singapura.

    Kerajaan belum putuskan status projek HSR – menteri

    Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan kerajaan memutuskan supaya kajian daya maju projek HSR Kuala Lumpur-Iskandar Puteri dilaksanakan, apabila HSR Kuala Lumpur-Singapura terbatal.

    Katanya, kajian dilaksanakan pada Februari lalu itu sudah selesai dan akan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat bagi menentukan hala tuju cadangan projek berkenaan. Di mana semua rundingan mengenai projek HSR diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, sejak 2013.

    “Bagaimanapun, Jemaah Menteri pada pertengahan 2020, memutuskan supaya saya mengetuai rundingan untuk memuktamadkan projek berkenaan dengan Singapura. Ketika ini, kerajaan dalam proses memindahkan syarikat MyHSR Corp Sdn Bhd, syarikat tujuan khas yang bertanggungjawab merundingkan hal teknikal mengenai projek HSR daripada pengawasan Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Pengangkutan.

    “Justeru, semua perbincangan dan rundingan seterusnya mengenai hala tuju projek ini akan dikendalikan Kementerian Pengangkutan,” katanya.

     
     
  • Polis cari individu persenda, salah guna parkir OKU di Mid Valley Megamall dan tandas OKU di stesen minyak

    Polis cari individu persenda, salah guna parkir OKU di Mid Valley Megamall dan tandas OKU di stesen minyak

    Susulan dari video tular di media sosial sebelum ini memaparkan dua individu persenda golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mendapatkan petak parkir khas di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan bahawa pihaknya kini sedang mengesan mereka yang terlibat dalam video berkenaan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita semasa berada di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

    Katanya, pengadu menonton klip video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok membabitkan dua lelaki yang bukan sahaja berlagak sebagai OKU malah mempersendakan OKU dan menyalahgunakan tempat letak kereta OKU di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.

    “Suspek didapati mengajuk perbuatan OKU selepas berjaya memarkir kenderaan mereka di tempat letak kereta OKU dan menggunakan bahasa kasar serta tidak sopan.

    Pengadu bukan hanya melaporkan satu insiden, malah turut menyertakan satu lagi video dari individu berlainan yang turut mempersendakan golongan OKU dan menyalahgunakan tanda yang dibina khas untuk golongan tersebut di sebuah stesen minyak.

    “Video kedua pula mengenai dua wanita yang menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak. Mereka mengajuk perbuatan seolah-olah mereka adalah OKU fizikal yang tempang dan bergelak ketawa,” katanya.

    Beh menyatakan bahawa pengadu membuat laporan polis untuk siasatan lanjut kerana beranggapan semua individu itu menghina komuniti OKU di Malaysia secara terang-terangan dan menggunakan warga OKU sebagai bahan menarik perhatian pengguna di media sosial, dan pihaknya kini sedang mengesan semua suspek berdasarkan maklumat yang disalurkan.

    “Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia kerana kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dengan penggunaan media sosial secara tidak wajar.

    “Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian.

    “Tindakan tegas berlandaskan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206,” katanya.

     
     
  • Setel Share dilancarkan – kongsi e-wallet dengan orang tersayang, nikmati mata ganjaran bersama

    Setel Share dilancarkan – kongsi e-wallet dengan orang tersayang, nikmati mata ganjaran bersama

    Petronas telah mengumumkan ciri baharu untuk solusi e-dompet Setel yang dipanggil Setel Share, yang membolehkan pengguna membuat bayaran petrol dengan selamat dengan ahli keluarga atau rakan-rakan menerusi aplikasi Setel di stesen-stesen Petronas seluruh negara. Untuk menggunakannya, anda perlu menaiktaraf ke versi 1.84 bagi aplikasi Setel menerusi peranti iOS (menerusi Apple Store) atau Android (menerusi Google Play Store atau Huawei AppGallery).

    Pengguna Setel boleh membentuk kumpulan Setel Share dan menjemput seramai dua anggota lain untuk membuat bayaran petrol menggunakan e-dompet yang sama. Pemilik kumpulan Setel Share juga mempunyai kuasa sepenuhnya untuk menjejak dan memantau sebarang transaksi pengisian petrol yang dibuat oleh ahli kumpulan Setel Share mereka menerusi e-dompet yang sama.

    Tidak perlu lagi berkongsi satu kad fizikal kad Mesra dengan ahli keluarga kerana mata ganjaran Mesra boleh dikumpulkan dalam satu akaun untuk semua transaksi melalui Setel Share dan digunakan untuk menebus lebih banyak ganjaran.

    Klik untuk besarkan

    “Kami telah meninjau ribuan pengguna Setel dan 71% daripada mereka telah pun membuat bayaran petrol bagi pihak keluarga dan rakan-rakan mereka. Dengan Setel Share, ahli keluarga tidak perlu lagi menambah nilai ke e-dompet sendiri dan kami juga ingin membantu mereka untuk dapatkan pengalaman pengisian petrol yang lebih selamat dengan mengurangkan sentuhan demi keselamatan insan yang tersayang. Bersama, kita dapat mendukung usaha pemulihan negara untuk beralih ke fasa endemik,” kata Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel.

    Setel Share menjamin keselamatan bagi setiap transaksi menerusi ciri keselamatannya yang telah diselaraskan dan mematuhi garis panduan e-duit oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Pemilik kumpulan Setel Share boleh menetapkan atau mengeluarkan ahli kumpulan Setel Share pada bila-bila masa dan mendapat notifikasi dalam masa nyata bagi transaksi yang dibuat melalui dompet Setel Share tersebut.

    Pengguna kini boleh menjemput ahli keluarga dan rakan-rakan yang belum mempunyai akaun Setel untuk menikmati kemudahan Setel Share dan meraih ganjaran tambahan menerusi cabaran ‘Refer-a-Friend Challenge’ yang terbaharu. Mulai hari ini sehingga 31 Disember 2021, Setel mengajak para pengguna untuk mendapatkan lencana istimewa untuk meraih lebih banyak ganjaran serta kredit bonus sehingga RM50,000 bagi rujukan yang berjaya dibuat.

     
     
  • Triumph Tiger 1200 2022 didedah – pilihan lima versi, pembaharuan menyeluruh, enjin tiga silinder 1,160 cc

    Triumph Tiger 1200 2022 didedah – pilihan lima versi, pembaharuan menyeluruh, enjin tiga silinder 1,160 cc

    Triumph baru sahaja memperkenalkan model Tiger 1200 2022 kepada dunia. Ia melibatkan pembaharuan yang menyeluruh termasuk casis dan enjin, dan kini disediakan dalam lima varian iaitu 1200 GT, 1200 GT Pro, 1200 GT Explorer, 1200 Rally Pro dan 1200 Rally Explorer.

    Bagi memudahkan anda mengenalinya, varian GT datang dengan rim aluminium 19 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dengan tayar yang lebih kepada penggunaan atas jalan biasa sementara varian Rally pula datang dengan rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang (tanpa tiub), dengan tayar dual purpose.

    Kemudiannya, nama Explorer itu pula menandakan ia datang dengan tangki bahan api lebih besar, iaitu 30 liter, sementara varian Pro dan GT biasa pula cuma datang dengan tangki 20 liter.

    Enjin tiga silinder T-Plane baru yang digunakan pada Tiger 1200 ini mempunyai kapasiti 1,160 cc dan mampu menghasilkan kuasa 148 hp pada 9,000 rpm dan 130 Nm tork pada 7,000 rpm. Dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, sistem pacuan kini ditukar kepada syaf dan bukan lagi rantai. Quickshifter diberikan terus kepada semua varian kecuali 1200 GT asas.

    Suspensi elektronik semi aktif Showa diberikan kepada semua varian, tetapi terdapat perbezaan pada jarak geraknya, iaitu GT 200 mm dan Rally 220 mm. Bahagian hadapan menggunakan fork USD 49 mm manakala di belakang menggunakan monoshock dengan penyerapan semi aktif dan larasan pra beban automatik.

    Brek spesifikasi tinggi turut diberi pada semua Tiger 1200 baru ini, terdiri daripada cakera berkembar 320 mm dengan angkup Brembo M430 Stylema di hadapan dan pam atas Magura HC1 manakala di belakang menggunakan cakera 282 mm dengan angkup Brembo satu piston. ABS two-channel adalah standard.

    Pakej elektronik pada Tiger 1200 baru ini juga agak lengkap, dengan termasuk sistem Triumph Blind Spot Radar yang dibangunkan bersama Continental. Selain Cornering ABS dan Traction Control, ia juga mempunyai mod tunggangan yang terdiri daripada Road, Rain, Sport, Rider (boleh diubah oleh penunggang), Off-Road dan Off-Road Pro bagi varian Rally, sementara varian GT mempunyai mod Road, Rain, Sport, Rider dan Off-Road. Varian asas 1200 GT pula cuma mempunyai mod Road, Rain dan Sport.

    Turut diberikan pada semua varian, kecuali 1200 GT adalah Cruise Control, Hill Hold Control dan tongkat tengah. Semua informasi penting dipaparkan pada skrin TFT-LCD tujuh inci bersama sistem My Triumph Connectivity yang membenarkan sambungan kepada telefon pintar, navigasi serta GoPro (untuk semua varian).

    Menurut Triumph, melalui kerangka serta enjin baru pada Tiger 1200 ini, beratnya sekarang 25 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya dengan 1200 GT mencatat berat 240 kg, GT Pro 245 kg dan GT Explorer 255 kg. Tiger 1200 Rally Pro pula mencatat 249 kg manakala 1200 Rally Explorer 261 kg.

    GALERI: Triumph Tiger 1200 GT 2022

    GALERI: Triumph Tiger 1200 GT Pro 2022

    GALERI: Triumph Tiger 1200 GT Explorer 2022

    GALERI: Triumph Tiger 1200 Rally Pro 2022

    GALERI: Triumph Tiger 1200 Rally Explorer 2022

     
     
  • Ford labur RM3.8 bilion naik taraf kilang di Thailand

    Ford labur RM3.8 bilion naik taraf kilang di Thailand

    Selepas memperkenalkan pikap Ranger serba baharu, Ford turut mengumumkan rancangan untuk menaiktaraf fasiliti pembuatannya yang memasang trak berkenaan di Thailand. Ford berkata, syarikatnya telah melabur sebanyak US$900 juta (RM3.79 bilion) untuk menaiktaraf kilang terbabit, sekaligus merupakan pelaburan terbesar yang pernah dilakukan di negara berkenaan.

    Lebih daripada separuh jumlah itu akan digunakan untuk menambah jumlah robot di kilang Ford Thailand Manfacturing yang terletak di Rayong dan di AutoAlliance Thailand, hasil kerjasama dengan Mazda yang juga berada di lokasi berhampiran. Baki selebihnya berjumlah US$400 juta (RM1.68 bilion) pula akan digunakan dalam pelaburan untuk menaiktaraf rangkaian rantaian bekalan, laporan Reuters.

    Pengeluar kereta ini juga akan menambah shif kedua bagi fasiliti FTM, yang turut memasang SUV Everest. Dianggarkan sebanyak 1,250 peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan, sekaligus menambah jumlah tenaga kerja di Thailand yang kini mencecah lebih 9,000 orang.

    Ford labur RM3.8 bilion naik taraf kilang di Thailand

    Mampu mengeluarkan sekitar 270,000 kenderaan setahun di Thailand, Ford berkata 60% daripada produksinya adalah untuk pasaran eksport di seluruh Asia Pasifik termasuk Australia, New Zealand dan Filipina. Produksi bagi Ranger baharu juga akan bermula di Thailand dan Afrika Selatan pada awal tahun hadapan.

    Dengan naiktaraf kilang tersebut ia dapat menyesuaikan pengeluaran yang lebih baik untuk kenderaan termasuk open cab dan pikap empat-pintu bagi memenuhi permintaan. “Jika permintaan bertambah pada masa akan datang, bahagian itu akan diselaraskan pada setiap bulan,” ujar Kamolchanok Prasertsom, pengarah komunikasi Ford untuk pasaran Thailand dan ASEAN.

    Pelaburan besar yang dibuat oleh pengeluar kereta itu di Thailand adalah berbeza dengan langkah penutupan yang dilakukan terhadap tiga kilangnya di Brazil pada tahun ini,sebahagian daripada rancangan penstrukturan global bernilai AS$11 bilion (RM46.1 bilion) dan strategi untuknya mencapai 8% margin bagi operasi global. Ford juga menamatkan pengeluaran di India, di mana ia telah lama berhempas pulas untuk mengaut keuntungan.