Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda Civic Hatchback 2022 dengan kit aksesori Modulo didedahkan di Jepun – rupa lebih garang

    Honda Civic Hatchback 2022 dengan kit aksesori Modulo didedahkan di Jepun – rupa lebih garang

    Honda Civic generasi ke-11 dalam versi Hatchback bukan sahaja didedahkan untuk peringkat global di Amerika Syarikat, ia juga didedahkan serentak untuk pasaran Jepun. Dan seperti biasa, setiap model baharu yang diperkenalkan di Jepun, barisan aksesori asli dari pengeluar juga akan diperkenalkan sekali – dalam kes Civic, ini dia kit Modulo yang dihasilkan oleh Honda Access.

    Kit Modulo ini menampilkan spoiler hadapan yang nampak seiras dengan spoiler hadapan yang dijual oleh Honda Performance Development (HPD) pada pasaran Amerika Syarikat – perbezaan komponen JDM ini adalah ia menerima kemasan warna badan. Ia juga hadir dengan penutup cermin sisi berwarna hitam, serta spoiler pada but belakang yang besar. Untuk melengkapkan gaya luarannya, Modulo turut menawarkan rim aloi MS-038 18-inci.

    Pada bahagian dalam pula, aksesori yang boleh dipilih dari Modulo untuk Civic Hatchback baharu ini termasuk scuff plate bernyala pada bendul pintu serta lampu yang memancarkan logo Civic ketika pintu dibuka. Selain dari foto dan berberapa maklumat kecil ini, tiada perincian lain yang didedahkan. Harga untuk aksesori ini hanya akan diumumkan ketika Civic Hatchback berkenaan mula dijual di Jepun pada Ogos nanti.

    Honda Civic Hatchback 2022 dengan kit aksesori Modulo didedahkan di Jepun – rupa lebih garang

    Pada pasaran Jepun, Honda Civic Hatchback ini dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang menghasilkan 180 hp (182 PS) dan tork maksima 240 Nm – naik 6 hp/20 Nm dari model sebelum ini. Ia ditawarkan sama ada dengan kotak gear CVT automatik dan juga manual enam-kelajuan.

    Ia turut dilengkapi dengan pelbagai perincian seperti skrin infotainmen sembilan-inci, paparan instrumen digital dengan skrin 10.2-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, dan juga sistem bunyi Bose dengan 12 pembesar suara.

    Untuk keselamatan, Civic Hatchback tampil dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang telah ditingkat taraf menampilkan sistem pemanduan autonomi tahap 2 Traffic Jam Assist (TJA) yang memberikan respon lebih lancar serta semula jadi untuk cruise control adaptif serta bantuan pengekal tengah lorong. Model JDM ini juga datang dengan fungsi Adaptive Driving Beam (ADB) yang akan menghalang silau pada mata pemandu lain.

    Honda turut mengesahkan bahawa Civic Hatchback turut akan ditawarkan dalam versi e:HEV Hybrid, serta model prestasi sebenar Civic Type R pada tahun hadapan.

     
     
  • Kalendar MotoGP 2021 diubah – pusingan di Jepun batal, Thailand, Australia, Malaysia masih diteruskan

    Kalendar MotoGP 2021 diubah – pusingan di Jepun batal, Thailand, Australia, Malaysia masih diteruskan

    Penganjur perlumbaan MotoGP nampaknya telah merujuk semula kalendar penganjuran bagi tahun ini. Pusingan di Amerika Syarikat telah ditunda ke 3 Oktober, sementara pusingan di Jepun pula dibatalkan terus. Dengan ini, pusingan di Thailand juga telah ditunda ke 17 Oktober 2021.

    Pusingan di Australia dan Malaysia, iaitu masing-masing pada 24 Oktober dan 31 Oktober masih lagi sama seperti yang telah dirancang dari awal, tetapi kita masih perlu melihat bagaimana keadaan pandemik di kedua-dua negara untuk memastikannya berjalan lancar.

    Bagi tahun ini, masih tinggal 11 pusingan perlumbaan yang akan dijalankan, dengan yang seterusnya adalah di Assen, Netherland pada 27 Jun ini. Pelumba yang mengutip mata paling banyak kini adalah Fabio Quartararo dari pasukan factory Yamaha, diikuti Johann Zarco dari Pramac Ducati dan Jack Miller dari pasukan Ducati Lenovo Team.

     
     
  • Honda Civic e:HEV Hybrid dan Civic Type R hatchback generasi seterusnya sah diperkenalkan pada 2022

    Honda Civic e:HEV Hybrid dan Civic Type R hatchback generasi seterusnya sah diperkenalkan pada 2022

    Honda telahpun mendedahkan model Civic Hatchback 2022. Turut diumumkan ialah perancangan untuk memperkenalkan dan menjual kedua-dua versi hibrid bagi model terkini Civic, termasuk Civic Type R, tahun depan.

    Belum ada perincian lanjut didedahkan, namun ada spekulasi yang bertiup menyatakan Civic Type R generasi seterusnya akan menerima versi plug-in hybrid. Ada juga yang mengatakan model itu nanti bakal dilengkapi dengan tiga motor elektrik sebagai tambahan kepada enjin 2.0 liter turbo empat-silinder untuk 400 PS dan sistem pacuan semua roda.

    Dalam hal lain, wakil Honda USA juga telah mengesahkan Civic Type R akan didatangkan dengan kotak gear manual sebagai standard. Ada versi PHEV manual juga nanti? Tidak musatahil, tetapi itu bukanlah satu kebiasaan setakat ini. Honda memang pernah menggunakan transmisi manual untuk model hibrid sebelum ini pada model CR-Z, tapi ia akan jadi kejutan besar sekiranya pengganti FK8 datang dengan kedua-dua sistem PHEV dan gear manual.

    Honda Civic e:HEV Hybrid dan Civic Type R hatchback generasi seterusnya sah diperkenalkan pada 2022

    Bagi Civic Hybrid, Honda menjelaskan ia akan hadir dengan konfigurasi sistem dua motor e:HEV. Honda Eropah mengesahkan Civic Hatchback akan ditawarkan di rantau itu pada musim luruh tahan depan hanya dalam bentuk hibrid sahaja. Langkah ini selari dengan matlamat Honda untuk menjadikan semua model utama di pasaran Eropah terdiri daripada teknologi elektrikfikasi menjelang tahun depan.

    Dalam HR-V terkini, yang menyaksikan e:HEV menjadi penawaran tunggal di Eropah, sistem berkenaan menggabungkan dua motor elektrik dengan unit enjin 1.5 liter i-VTEC petrol, dengan janaan daripada motor berkenaan ialah 131 PS dan 253 Nm tork pada 4,500 rpm. Dibandingkan dengan City RS e:HEV di sini, motor elektrik di sini menghasilkan lebi 22 PS. Enjin dengan kitaran Atkinson pula menghasilkan 106 PS (lebih 8 PS) dan 127 Nm.

    Enjinnnya bertindak sebagai generator utama dengan bantuan motor elektrik, yang juga berfungsi sebagai penghidup. Ada tiga mode pemanduan boleh dipilih, dan boleh dialih kepada mod hibrid dengan ketika enjin di dalam beban tork yang tinggi, dengan enjin petrol berfungsi bersendirian ketika dalam kelajuan yang lebih tinggi.

    Honda Civic e:HEV Hybrid dan Civic Type R hatchback generasi seterusnya sah diperkenalkan pada 2022

    Ada juga tiga mod prestasi — Sport, Normal dan Econ — dengan mod B boleh dipilih menggunakan tuil gear bagi mendapatkan janaan semula tenaga yang lebih ketika membrek dan pengalaman yang cenderung lebih kepada EV. Tahap janaan semula tenaga dan kekuatan brek enjin boleh dilaraskan melalui Deceleration Selector di belakang stereng.

    Civic Hatchback terbaru pula menerima pilihan enjin 2.0 liter NA i-VTEC dengan 158 hp/187 Nm atau unit 1.5 lite VTEC Turbo. Pilihan kedua ini, di Jepun, telah dinaik taraf untuk menghasilkan 180 hp dan 240 Nm tork dari 1,700 hingga 4,500 rpm — naik enam hp dan 20 Nm.

    Kedua-dua enjin NA dan turbo dipadankan standard dengan CVT automatik, namun pemilik hatchback ada pilihan untuk kotak gear manual enam-kelajuan. Lebih lanjut berkaitan Civic Hatchback boleh rujuk di sini.

     
     
  • Porsche 911 GT2 RS dengan Manthey Performance Kit kini kereta produksi terpantas di Nürburgring – 6:43.3!

    Porsche 911 GT2 RS dengan Manthey Performance Kit kini kereta produksi terpantas di Nürburgring – 6:43.3!

    Tak sampai setahun Mercedes-AMG GT Black Series dinobatkan sebagai kereta produksi terpantas di Litar Nürburgring Nordschleife, nampaknya takhta berkenaan sudah pun perlu diserahkan kepada raja baru di “The Green Hell”.

    Kereta yang memecahkan rekod berkenaan adalah Porsche 911, tetapi bukan dari model generasi terkini 991, sebaliknya adalah model generasi sebelumnya iaitu 991-911! Secara spesifik, ia adalah 911 GT2 RS dengan kit Manthey Performance yang memang ditawarkan secara opsyen oleh Porsche Tequipment kepada pelangganya.

    Masa yang dicatatkan 911 GT2 RS ini adalah 6 minit 43.3 saat, atau 4.747 lebih pantas dari AMG GT Black Series yang mencatatkan masa 6 minit 48.047 saat pada November 2020. Rekod baharu ini dibuat pada 14 Jun lalu, dengan kereta tersebut dipandu oleh pemandu pembangunan Porsche, Lars Kern.

    Porsche 911 GT2 RS dengan Manthey Performance Kit kini kereta produksi terpantas di Nürburgring – 6:43.3!

    Kern berjaya mencatatkan kelajuan purata 185.87 km/j sepanjang percubaan yang dibuat berkenaan. Masa yang dicatatkan kali ini juga merupakan masa untuk lap penuh, iaitu termasuk seksyen lurus pada selekoh ke-13 Nürburgring. Jika seksyen tersebut tidak diambil kira, masa yang dicatatkan adalah 6 minit 38.835 saat, yang masih lebih pantas dari rekod sebelum iaitu 6 minit 43.616 saat.

    Kit Manthey Performance berkenaan dihasilkan oleh Porsche bersama Manthey Racing, iaitu pasukan lumba yang kini telah pun menjadi rakan teknikal serta pemegang saham Porsche bermula Mac lalu. Pakej berkenaan dihasilkan untuk menjadikan 911 GT2 RS tersebut kepada sebuah jentera yang lebih serius untuk litar.

    Salah satu pakej dalam kit berkenaan adalah Weissach Package, yang merangkumi rim aloi magnesium ringan (20-inci di depan, 21-inci di belakang) bersama tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R. Tingkat taraf ini sahaja membolehkan berat sebanyak 11.4 kg disisihkan. Rim ini ditawarkan dalam empat warna iaitu Brilliant Silver, Black, Aurum, White Gold Metallic dan Platinum.

    Porsche 911 GT2 RS dengan Manthey Performance Kit kini kereta produksi terpantas di Nürburgring – 6:43.3!

    Selain itu, kit prestasi ini juga menampilkan suspensi boleh laras, dengan penyerap hentak hadapan boleh dilaras dalam tiga tetapan dan di belakang boleh dilaras dalam empat tetapan. Ia juga hadir dengan pad brek perlumbaan untuk brek seramik PCCB 911 GT2 RS berkenaan, bersama saluran brek lapisan keluli bagi memberikan respon yang lebih terus pada pedal.

    Pada sebelah luar, kit ini datang dengan flap tambahan pada spoiler hadapan, pelindung bawah badan karbon dan juga elemen pengalir udara pada kawasan roda hadapan yang mampu meningkatkan downforce dari 49 kg kepada 70 kg pada kelajuan 200 km/j, serta dari 93 kg kepada 200 kg di belakang.

    Penambahbaikkan aspek aerodinamik yang signifkant pada bahagian belakang ini turut memerlukan ia dilengkapi dengan spoiler belakang baharu, diffuser yang diubahsuai serta tambahan aerodisc pada roda belakang.

    Porsche 911 GT2 RS dengan Manthey Performance Kit kini kereta produksi terpantas di Nürburgring – 6:43.3!

    “911 GT2 RS ini melekat di litar seperti gam dengan Manthey Performance Kit – anda rasa seperti dalam kereta lumba, terutamanya pada selekoh laju. Sangat mengkagumkan bagaimana kereta ini boleh menangani 700 PS, dan bagaimana ia boleh membrek dalam masa yang sama sentiasa mudah di kawal,” kata Kern.

    Porsche 911 GT2 RS dengan kit Manthey Performance ini tidak menampilkan sebarang peningkatan kuasa dari 911 GT2 RS standard. Ia masih menjana 700 PS (690 hp) dan tork maksima 750 Nm dari enjin 3.8 liter flat-six bersama dua pengecas turbo.

    Namun ia dilengkapkan dengan tangki air sembilan liter untuk penyembur penyejukan pada intercooler bagi memastikan suhu sentiasa rendah pada jangka masa yang lama, membolehkan prestasi enjin tersebut sentiasa di tahap tertinggi sepanjang litar. Enjin berkenaan juga digandingkan dengan transmisi PDK tujuh kelajuan standard dan memacu hanya roda belakang.

    “Dengan komponen yang baru dibangunkan ini, kami telah menjadikan sebuah kereta yang sememangnya sangat baik kepada lebih baik. 911 GT2 RS dengan Manthey Performance Kit dihasilkan sempurna untuk pelanggan yang suka membawa kereta mereka ke litar, terutamanya Nürburgring Nordschleife. Masa 6:43.300 untuk keseluruhan lap adalah sama dengan 6:38.835 untuk varian lama lebih pendek, jadi ia adalah kenyataan sebenar,” jelas Andreas Preuninger, naib presiden kereta GT di Porsche.

     
     
  • Ford buat demonstrasi bahaya haba dalam kereta dengan ais berbentuk kanak-kanak dan haiwan

    Ford buat demonstrasi bahaya haba dalam kereta dengan ais berbentuk kanak-kanak dan haiwan

    Ford telah menyiarkan satu video untuk menyedarkan orang ramai tentang bahaya meninggalkan kanak-kanak atau haiwan peliharaan dalam kereta, di bawah cahaya matahari terik. Video ini dibuat untuk memberikan kesedaran waktu musim panas yang sudah tiba di Eropah, tetapi ia juga boleh dijadikan teladan bagi kita yang mengalaminya hampir setiap hari.

    Dalam video ini, Ford membuat simulasi keadaan cuaca panas dalam fasiliti ujian mereka di Cologne, Jerman, dan menggunakan MPV Focus Active. Di dalam, mereka meletakkan ukiran ais berbentuk anjing di hadapan dan bayi pada tempat duduk kanak-kanak.

    Suhu luar ditetapkan pada 35 darjah celsius, dan dalam masa tidak sampai 20 minit, suhu di dalam kenderaan sudah meningkat menjadi 50 darjah celsius. Ini menunjukkan bahaya apabila meninggalkan kanak-kanak atau haiwan peliharaan di dalam kereta.

    Dengan keadaan fizikal yang masih kecil, sudah tentu, haba yang tinggi ini boleh memberi kesan buruk dengan cepat kepada kanak-kanak. Mereka lebih cepat kekurangan air di dalam badan, seterusnya boleh menyebabkan organ gagal berfungsi dan kemudian terus koma.

    Walaupun sekarang sudah ada sistem keselamatan yang memberi peringatan kepada pemandu untuk memeriksa tempat duduk belakang sebelum keluar daripada kenderaan, tanggungjawab sebenar masih ada pada kita untuk sentiasa berikhtiar supaya perkara buruk seperti ini tidak berlaku.

     
     
  • Infiniti QX60 2022 didedah – SUV tiga baris tempat duduk serba mewah dengan enjin V6 3.5L NA 295 hp

    Infiniti QX60 2022 didedah – SUV tiga baris tempat duduk serba mewah dengan enjin V6 3.5L NA 295 hp

    Mula ditunjukkan sebagai sebuah model konsep September tahun lepas, kini Infiniti QX60 didedahkan secara rasmi kepada dunia. Menggantikan model yang sudah berusia hampir 10 tahun, SUV tiga baris tempat duduk ini menampilkan gaya lebih elegan, dalam lebih premium serta pelbagai teknologi tambahan.

    Bentuk luarannya kebanyakan besarnya sama seperti model konsep, berserta gril unik yang dikatakan mendapat inspirasi daripada seni origami. Bahagian lain juga ada yang menggunakan konsep budaya Jepun, seperti lampu LED-nya, yang diberitahu mendapat inspirasi daripada lipatan kimono.

    Bukan setakat bahagian depan, bahagian belakang juga keseluruhannya sama seperti model konsep QX60 Monograph, termasuklah bentuk dan nyalaan lampu, serta kemasan krom di bahagian bawah bampar dengan bentuk seperti muncung ekzos di bucunya. Warna unit di dalam gambar ini dipanggil sebagai Moonbow Blue dan rim 20 inci disediakan untuk kebanyakan varian SUV ini.

    Semasa model konsep muncul, bahagian dalamnya langsung tidak didedah, dan kini hasilnya seperti yang boleh dilihat, adalah jauh berbeza berbanding model sebelumnya. Aspek NVH juga diperelok dengan tambahan bahan penebat bunyi di merata bahagian.

    Sekali imbas, anda boleh melihat banyak bahagian menggunakan bahan yang lembut disentuh, termasuklah kulit semi-aniline Saddle Brown pada pintu, papan pemuka serta konsol tengah. Bagi varian Autograph, balutan kulitnya menggunakan jahitan bersilang dan dipadankan bersama kemasan kayu untuk memberikan suasana lebih mewah.

    Tempat duduk “Zero Gravity” dengan larasan kuasa serta fungsi pemanas diberikan terus untuk yang duduk di hadapan, dan ia kemudiannya boleh dinaik taraf kepada fungsi mengurut dan berliang udara. Penumpang baris kedua dan ketiga mendapat tempat duduk ergonomik yang dikatakan lebih selesa dan menawarkan lebih ruang berbanding model sebelumnya.

    Infiniti QX60 2022 didedah – SUV tiga baris tempat duduk serba mewah dengan enjin V6 3.5L NA 295 hp

    SUV ini boleh dinaiki sehingga tujuh orang dengan tetapan tempat duduk 2-2-3, dan varian Autograph datang standard dengan tempat duduk kapten serta konsol tengah bagi baris kedua. Setiap baris tempat duduk juga mempunyai pengecas USB, dengan keseluruhannya ada tujuh.

    Memandangkan sasaran utama SUV ini adalah keluarga, bahagian kargo juga dipertingkat. Apabila tempat duduk baris ketiga dilipat rata, ia menyediakan 1,178 liter kapasiti ruang, yang mana adalah lebih besar berbanding 1,417 liter pada model sebelumnya. Ruang simpanan bawah lantai juga bertambah besar 21 liter, menjadi 54.1 liter.

    Infiniti turut memberitahu, penumpang boleh masuk ke tempat duduk baris ketiga dengan lebih mudah kerana baris kedua boleh dilipat dan digerakkan ke hadapan dengan menekan satu butang sahaja. Kawalan pendingin hawa tiga zon dengan corong di setiap baris adalah standard, dan ia boleh dinaik taraf dengan ioniser Plasmacluster berserta penapis polyphenol charcoal.

    Di hadapan pemandu terdapat panel digital 12.3 inci dan ia kemudiannya boleh ditambah dengan head-up display 10.8 inci. Di tengah pula terdapat sistem infotainmen InTouch dengan skrin sesentuh 12.3 inci yang boleh disambung dengan Android Auto serta Apple CarPlay. Pada varian yang lebih tinggi, pembeli akan mendapat pad mengecas tanpa wayar yang cukup besar untuk menempatkan iPhone 12 Pro Max, serta sistem bunyi 17 pembesar suara Bose.

    Ciri keselamatan aktif seperti Rear Automatic Braking, Predictive Forward Collision Warning, dan Forward Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki diberikan standard pada semua varian QX60 sementara Adaptive Front Lighting dan Auto-Leveling Headlights disediakan untuk varian yang lebih tinggi.

    Walaupun banyak bahagian yang baru pada QX60 ini, enjinnya masih lagi sama, iaitu unit petrol V6 3.5 liter NA yang mampu menghasilkan kuasa 295 hp dan 366 Nm tork. Transmisi CVT sebelum ini bagaimanapun telah diganti dengan unit automatik sembilan kelajuan.

    Infiniti QX60 2022 didedah – SUV tiga baris tempat duduk serba mewah dengan enjin V6 3.5L NA 295 hp

    Kuasa pacuan disampaikan kepada roda hadapan dalam keadaan standard, tetapi semua varian diberikan pilihan pacuan semua roda Intelligent All-Wheel Drive. Sistem AWD ini menggunakan mekanisme penyambung terus yang lebih pantas menghantarkan kuasa kepada roda belakang.

    Melalui tetapan ini, QX60 boleh menarik sehingga 2,721 kg beban, dan ini merupakan peningkatan sebanyak 20% berbanding model sebelumnya. Ia juga datang dengan Active Brake Limited Slip yang boleh membrek setiap roda secara berasingan demi memberikan lebih tork kepada roda yang memerlukan cengkaman.

     
     
  • Data jualan kenderaan di M’sia Mei 2021 ikut jenama – Perodua turun 11.9%, Proton 40.2%; Honda naik 0.5%

    Data jualan kenderaan di M’sia Mei 2021 ikut jenama – Perodua turun 11.9%, Proton 40.2%; Honda naik 0.5%

    Jualan kereta baharu di negara ini terus bergerak perlahan, dengan jualan yang menyusut sejak April lalu. Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan sebanyak 46,663 kenderaan dihantar pada bulan lalu, di mana ia menurun sebanyak 11,249 unit (atau 19.4%) berbanding 57,912 unit pada April 2021.

    MAA berkata penyusutan angka berkenaan disebabkan beberapa faktor, paling ketara sudah pasti disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 lockdown penuh bermula minggu kedua Mei. Selain itu, ia juga dipengaruhi dengan waktu bekerja yang singkat disebabkan sambutan Hari Raya Aidilfitri, serta kekurangan bekalan cip di peringkat global yang terus menjejaskan produksi bagi sesetengah pengeluar kenderaan.

    Malahan penyusutan bagi angka berkenaan turut melibatkan hampir kesemua jenama pada bulan lalu dengan menunjukkan anak panah merah. Perodua hanya menjual sebanyak 17,973 unit pada Mai, turun 11.9% (atau 2,426 unit) berbanding 20,399 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. Bukan itu sahaja, Proton yang berada di tangga kedua juga menunjukkan penurunan angka jualan sebanyak 40.2% ke 8,771 unit pada bulan lalu.

    Begitu juga dengan Toyota yang turutn sebanyak 18% dengan jualan sebanyak 7,495 unit iaitu 1,641 unit kurang berbanding yang dicatatkan pada April dengan 9,136 unit. Walau bagaimana pun, Honda lebih bernasib baik, biar pun terpaksa akur di tangga ke empat di belakang Toyota, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 0.5%, dengan 5,113 unit, berbanding 5,090 unit pada April.

    Jualan bagi Isuzu juga naik sebanyak 40.9% selepas kelembapan angka pada April. Lain-lain jenama yang menunjukkan angka yang menurun termasuklah Mitsubishi (-16.1%), Ford (-24.7%), Volkswagen (-36.0%), Subaru (-30.6%), Hyundai (-52.7%) dan Renault (-58.7%).

    Bagi segmen premium pula, Volvo turut menunjukkan penyusutan sebanyak 29.8%, manakala Lexus pula -30.6% untuk bulan lalu. Manakala kita hanya boleh melihat angka jualan April-Jun bagi BMW Group Malaysia pada Julai. Dan, sekali lagi tiada sebarang angka jualan yang dikongsikan oleh Mercedes-Benz.

    Dengan negara yang masih di bawah lockdown penuh, maka semua bilik pameran masih ditutup – begitu juga dengan kilang produksi yang ditutup sepanjang tempoh berkenaan. Bukan itu sahaja, angka jualan bagi bulan hadapan juga mungkin ‘tidak wujud langsung’, disebabkan faktor ini.

    Data jualan kenderaan di M’sia Mei 2021 ikut jenama – Perodua turun 11.9%, Proton 40.2%; Honda naik 0.5%

     
     
  • Honda Civic Hatchback 2022 didedahkan – pilihan kotak gear manual 6-kelajuan, suspensi lebih sporty

    Honda Civic Hatchback 2022 didedahkan – pilihan kotak gear manual 6-kelajuan, suspensi lebih sporty

    Selepas versi sedan didedahkan dua bulan lalu, kini Honda Civic generasi ke-11 secara rasmi diperkenalkan pula dalam bentuk badan hatchback. Ia kini sudah tidak lagi diproduksi di UK kerana kerana penutupan kilang Honda di Swindon, sebaliknya dihasilkan di Amerika Syarikat menerusi kilang Honda Greensburg, Indiana.

    Amerika Syarikat dan Eropah adalah dua pasaran yang telah disahkan akan menerima Civic Hatchback ini. Jepun yang sebelum ini telahpun menghentikan jualan model sedan Civic, nampaknya terus akan menerima model Hatchback generasi baharu ini.

    Seperti generasi sebelum ini, Civic sedan dan Hatchback berkongsi banyak persamaan seperti lampu hadapan, jarak roda dan juga sebahagian besar bahagian kabin. Pada bahagian muka, hatchback masih berkongsi bampar dengan rupa sama dengan versi sedan, tetapi diberikan gril berbeza di mana ia hadir dengan elemen sarang lebah, berbanding rekaan garis melintang pada sedan.

    Kerana ketiadaan bahagian ‘punggung’, model Hatchback ini adalah 125 mm lebih pendek dari sedan, serta bahagian tailgate 50 mm lebih rendah yang kelihatan bersambung terus dengan garis bumbung yang lebih anggun. Lampu belakang model ini menampilkan kluster utama dengan rekaan berbeza terus dari sedan, serta merentangi keseluruhan pintu tailgate belakang.

    Honda Civic Hatchback 2022 didedahkan – pilihan kotak gear manual 6-kelajuan, suspensi lebih sporty

    Bampar model Hatchback ini juga nampak lebih sporty dari Civic sedan dengan menampilkan bahagian kemasan seakan diffuser yang lebih besar. Ia tidak lagi menampilkan tip di tengah seperti Civic Hatchback facelift generasi ke-10, sebaliknya diberikan corong trapezoid di kiri dan kanan bampar dengan kemasan krom sekeliling yang nampak lebih normal.

    Dalam kabin, model Hatchback ini turut berkongsi papan pemuka lebih ringkas, serta kemasan dalaman lain yang menggunakan material sentuhan lembut yang lebih premium. Skrin infotainmen utama ditawarkan dalam saiz tujuh- dan sembilan inci, manakala paparan meter untuk pemandu juga ditawarkan dengan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 10.2-inci.

    Berbanding model generasi ke-10, Civic Hatchback baharu ini menawarkan ruang kaki belakang 35 mm lebih besar. Bersama cermin belakang yang lebih besar serta cermin suku belakang baharu, ia memberikan suasana lebih luas untuk penumpang belakang.

    Angka kapasiti ruang but belakang masih belum diumumkan, namun Honda menyatakan bahawa bukaan pintu tailgate tersebut kini 40 mm lebih lebar bagi memudahkan barang besar dimasukkan pada ruang tersebut. Tempat duduk belakang juga masih boleh dilipat dengan nisbah 60:40, manakala rekaan penutup kargo tarik-tepi masih di bawa pada model generasi baharu ini.

    Honda Civic Hatchback 2022 didedahkan – pilihan kotak gear manual 6-kelajuan, suspensi lebih sporty

    Pilihan unit rangkaian kuasa mungkin berbeza bergantung pada pasaran. Model pasaran Amerika Syarikat ini menawarkan pilihan rangkaian kuasa yang sama seperti model sedan. Oleh itu, Civic Hatchback LX dan Sport dijana oleh enjin NA 2.0 liter empat silinder DOHC i-VTEC berkuasa 158 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 187 Nm pada takat 4,200 rpm.

    Manakala model EX-L dan Sport Touring pula menerima enjin lebih berkuasa 1.5 liter VTEC Turbo 180 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hinga 4,500 rpm – 6 hp/20 Nm lebih berkuasa dari model generasi ke-10. Berbeza dengan sedan yang hanya menerima kotak gear CVT, kedua-dua versi enjin pada Hatchback ini turut hadir dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan untuk pemanduan yang lebih sporty.

    Pasaran Eropah pula telah disahkan tidak akan menerima mana-mana unit rangkaian kuasa yang dijana oleh petrol sepenuhnya ini. Selari dengan rancangan Honda pada benua berkenaan yang hanya akan menawarkan penjana dengan sistem elektrifikasi, Civic Hatchback Eropah hanya akan menerima model yang digerakkan oleh rangkaian kuasa e-HEV Hybrid.

    Honda Civic Hatchback 2022 didedahkan – pilihan kotak gear manual 6-kelajuan, suspensi lebih sporty

    Tiada perubahan dibuat pada asas mekanikal sistem suspensi Civic Hatchback ini di mana ia masih menampilkan Topang McPherson di hadapan serta multilink di belakang. Namun Honda menyatakan bahawa suspensi dan stereng untuk Civic Hatchback ini telah “dibangunkan di Eropah, ditala untuk Amerika Utara”. Ia bukan sahaja menampilkan karekter lebih sporty, malah Honda mendakwa bahawa Civic Hatchback 2022 ini merupakan “Civic Hatchback dengan pengendalian paling seronok pernah dihasilkan”.

    Untuk keselamatan, Civic Hatchback masih menerima kelengkapan yang sama seperti model sedan. Ia tampil dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang telah ditingkat taraf menampilkan sistem pemanduan autonomi tahap 2 Traffic Jam Assist (TJA) yang memberikan respon lebih lancar serta semula jadi untuk cruise control adaptif serta bantuan pengekal tengah lorong. Manakala di Jepun, hatchback ini juga datang dengan fungsi Adaptive Driving Beam (ADB) yang akan menghalang silau pada mata pemandu lain.

    Honda turut mengesahkan bahawa model paling berkuasa, Honda Civic Type R generasi baharu yang diasaskan dari Civic Hatchback ini akan didedahkan pada tahun hadapan. Jadi macam mana Type R baharu nanti? Agaknya lebih menarik rupanya berbanding model FK8R sedia ada, atau akan jadi kurang garang kerana asas Civic baharu ini yang nampak lebih matang?

     
     
  • VW Polo Mk6 facelift 2021 – perincian kokpit digital

    VW Polo Mk6 facelift 2021 – perincian kokpit digital

    Volkswagen Polo Mk6 facelift yang didedahkan sebelum ini telah menerima beberapa peningkatan yang lebih segar, dan kesemua varian kini menerima panel meter digital Active Info Display secara standard, ciri yang ditawarkan secara pilihan sebelum ini. Malahan sistem infotainmen Discover Media 8-inci turut diberikan secara standard, tetapi ia juga boleh dipertingkatkan dengan unit Discover Pro 9.2-inci.

    Foto di atas merupakan spesifikasi bagi paparan infotainmen skrin sesentuh Digital Cockpit Pro dan Discover Pro, kombonasi dari varian Style dan ke atas. Untuk instrumen, pemandu boleh memilih antara tiga pilihan grafik dan konfigurasi secara bebas untuk memaparkan apa yang mereka mahu. Ini termasuklah dengan paparan penuh bagi navigasi GPS.

    Bagi sistem infotainmen, ia didatangkan dengan sistem Ready 2 Discover secara standard dengan We Connect Plus. Ia adalah bagi fungsi internet dan stream, radio internet, dan turut diberikan fungsi WiFi hotspot binaan dalam. App Connect juga diberikan secara standard, membolehkan ketersambungan bagi Apple CarPlay dan Android Auto menerusi USB-C atau sambungan tanpa wayar. Pemandu juga boleh menerima akses info trafik dalam talian, pengiraan laluan dalam talian dan destinasi dalam talian yang diimport dari telefon pintar mereka.

    Sistem navigasi GPS yang lebih maju juga ditawarkan secara pilihan, di mana ia menggunakan kamera menghadap ke gadapan untuk mengesan tanda jalan. Kemudian, ia akan disampaikan ke instrumen digital dalam real-time. Discover Pro spesifikasi tertinggi merupakan satu-satunya ciri yang dilengkapi dengan kawalan suara intuitif yang boleh digunakan untuk mengoperasikan radio, telefon dan navigasi.

    Jika Polo baharu ini diberikan sistem Climatronic dwi-zone secara pilihan, ia akan didatangkan dengan kawalan digital buat pertama kalinya. Ini bermakna semua kawalan HVAC, termasuk suhu, kelajuan blower dan tempat duduk dengan haba panas dioperasikan menerusi kawalan atau touch slider.

    Selain itu, model ini juga menerima peningkatan penggayaan termasuk lampu utama LED yang lebih nipis dengan lampu nyalaan siang LED penuh, lampu belakang kombinasi LED yang direka semula dan rekaan bampar yang diprofil semula. Polo ini juga menerima lampu utama IQ.Light matrix LED sebagai penawaran pilihan buat pertama kalinya.

    Volkswagen Polo R-Line

    Polo Mk6 facelift diberikan beberapa pilihan enjin, tetapi kesemuanya dengan kapasiti 1.0 liter. Model paling rendah adalah 1.0L NA berkuasa 80 hp dan tork maksima 93 Nm, digandingkan dengan kotak gear lima-kelajuan manual.

    Pilihan lebih berkuasa pula adalah versi turbo 1.0 liter TSI dalam dua pilihan talaan kuasa; 95 hp dan 110 hp. Model dengan 110 hp dipadankan standard dengan kotak gear automatik klac berkembar DSG tujuh-kelajuan, manakala pada model 95 hp pula kotak gear tersebut ditawarkan secara opsyen.

    Enjin 1.0 liter TGI berkuasa 90 hp dan tork maksima 160 Nm yang dijana oleh gas asli termampat (CNG) pula adalah pilihan dengan tahap penggunaan bahan api paling efisien antara semua. Tiada enjin diesel TDI ditawarkan untuk Polo Mk6 facelift ini, dan seperti biasa model prestasi tinggi Polo GTi akan menyusul selepas ini menampilkan enjin TSI dalam kapasiti lebih besar.

     
     
  • Audi hanya lancarkan kenderaan elektrik tulen mulai 2026, hentikan enjin petrol, diesel menjelang 2033

    Audi hanya lancarkan kenderaan elektrik tulen mulai 2026, hentikan enjin petrol, diesel menjelang 2033

    Telah pun melancarkan kenderaan elektrik (EV) dengan barisan e-tron, baru-baru ini Audi menyatakan mereka hanya akan melancarkan model EV tulen mulai tahun 2026. Berita ini disahkan hasil kenyataan yang diambil dari CEOI Audi, Markus Duesmann.

    Baru-baru ini Duesmann berkata dalam Festival Greentech 2021 di Berlin, “Melalui kekuatan inovatif kami, kami menawarkan kepada para pelanggan pilihan mobiliti yang berkekalan dan tiada-karbon. Saya percaya dengan kejayaan teknologi dan inovasi.”

    Untuk menyokong langkah ini, jenama Jerman ini akan mula menghentikan pengeluaran enjin pembakaran dalaman secara berperingkat. Ia dijangka berlangsung sehingga 2033, walau pun ia hanya akan ditentukan oleh perundangan dan permintaan pelanggan. Namun syarikat ini menjangkakan China akan terus membeli kenderaan petrol dan diesel menjelang tahun 2033, jadi ia mungkin akan terus membekalkan kenderaan dengan enjin berkenaan tetapi dipasang secara tempatan (CKD).

    Audi hanya lancarkan kenderaan elektrik tulen mulai 2026, hentikan enjin petrol, diesel menjelang 2033

    Audi menambah ia sudah pun melancarkan lebih banyak kenderaan elektrik berbanding enjin konvensional pada tahun ini, termasuk model e-tron GT danQ4 serta Q4 Sportback e-tron; dan merancang untuk melancarkan lebih daripada 20 EV menjelang tahun 2025. “Dengan perancangan ini, kami telah membuat keputusan yang jelas untuk melakukan peralihan untuk ke era elektrifikasi. Kami telah memberi isyarat bahawa Audi sudah bersedia untuk ke arah itu,” ujar Duesmann.

    Tetapi strategi untuk elektrifikasi hanya boleh berjalan lancar dengan adanya sokongan infrastruktur, jadi Audi sedang memperluaskan rangkaian pengecasan, melancarkan projek hab pengesaran dengan sistem tempahan sendiri pada beberapa minggu lalu. Syarikat ini juga bekerjasama dengan pembekal tenaga untuk mempromosikan sumber tenaga yang diperluaskan serta boleh diperbaharui.

    Walau bagaimana pun, Audi masih meneruskan usaha untuk meningkatkan kecekapan enjin pembakaran dalaman sehinggalah masanya telah tiba untuk menghentikannya. Duesmann turut berkata, “Enjin pembakaran dalaman terakhir Audi akan menjadi yang terbaik yang pernah kami buat.”

     
     
  • Harga minyak 24-30 Jun – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 24-30 Jun – Semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan untuk minggu bertarikh 24 hingga 30 Jun 2021, kesemua harga bahan api utama di negara ini masih sama seperti mana minggu sebelumnya.

    Di mana bahan api petrol RON 97 kekal pada paras RM2.67 seliter, manakala RON 95 pula tetap RM2.05 seliter sejak Februari lalu.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 yang masih kekal pada RM2.15 seliter, manakala gred Euro 5 B7 juga dikekalkan pada paras RM2.25 seliter.

    Harga ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan, 30 Jun 2021.

     
     
  • Audi Q5 facelift di laman web M’sia, tiba tak lama lagi?

    Audi Q5 facelift di laman web M’sia, tiba tak lama lagi?

    Ada beberapa penawaran terbaru dari Audi untuk pasaran Malaysia dalam masa terdekat ini. Antaranya ialah model Audi Q5 facelift yang kini muncul dalam laman web rasmi di Malaysia. Ia lengkap dengan senarai spesifikasi, tetapi belum ada tanda harga yang diumumkan. Sama seperti model Q2, Q5 generasi kedua ini membuat penampilan pertamanya di Malaysia ketika acara PACE anjuran paultan.org pada penghujung 2018, dan dilancarkan secara rasmi pada Mac 2019.

    Versi facelift ini dicirikan dengan gril Singleframe oktagonal yang lebih tirus, diikuti dengan penggayaan Q8, disertakan juga dengan rekaan lampu utama yang direka semula dengan LED DRL khas. Di bawahnya, bukaan udara yang ada kini lebih besar, dengan kemasan tambahan. Bampar baru yang dikenakan melibatkan pertambahan 19 mm untuk kepanjangan Q5, yang ini menjadi 4,682 mm. Lampu belakang pula dari jenis OLED dan disambung dengan satu jalur menghubungkan kedua-dua sisi.

    Rekaan papan pemuka ringkas model ini masih dikekalkan, tetapi sistem Modular Infotainment Platform (MIB 3) generasi ketiga menjadi pertambahan baru. Paparan MMI touch 10.1-inci disertai juga oleh kokpit maya Audi 12.3-inci dan ciri head-up display.

    Setakat ini, kita akan menerima Q5 dalam penawaran enjin 2.0 TFSI quattro S Line, sama seperti sebelum ini. Unit yang digunakan ialah 2.0 liter turbo empat-silinder dengan janaan 249 hp pada 5,000 hingga 6,000 rpm, dan 370 Nm tork dari 1,600 hingga 4,500 rpm. Ini digandingkan dengan transmisi S-tronic tujuh-kelajuan dan quattro 4WD, dan Q5 memecut 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dengan laju maksimum 240 km/j.

    Unit TFSI yang ada juga telah diberikan bantuan janaan mild hybrid. Jangan keliru dengan sistem 48-volt yang digunakan oleh model Q7, MHEV pada Q5 ini terdiri daripada generator-penghidup pacuan tali sawat yang disambungkan kepada bateri lithium ion pada sistem 12-volt. Ini membantu untuk memulihkan semula tenaga ketika melayar dan membrek, serta membolehkan ciri Start/Stop berfungsi di bawah kelajuan 22 km/j. Kadar penggunaan minyak gabungan ialah 8 liter per 100 km (12.5 km/l).

    Audi Q5 facelift di laman web M’sia, tiba tak lama lagi?

    Kelengkapan standard untuk pasaran Malaysia pula terdiri daripada ciri Audi Drive Select, kawalan melayar, Parking Aid Plus, kamera undur, kawalan pendingin tiga-zon, kerusi depan larasan elektrik empat-hala (fungsi Memory untuk pemandu), kerusi sport di depan, pintu belakang elektrik, cermin pandang belakang tanpa bingkai dan anti silau, kerusi balutan kulit gabungan serta pelindung matahari untuk tingkap belakang.

    Turut ada ialah Audi Virtual Cockpit Plus, MMI Navigation dengan MMI touch, antaramuka telefon Audi dan sistem audio 180W dengan 10-pembesar suara. S Line juga dilengkapi dengan landasan bumbung aluminium, pakej High-Gloss Styling, lampu utama LED dengan pencuci, lampu belakang kombinasi LED dan rim 19-inci aloi dengan tayar 235/55.

    Tidak ketinggalan ialah pilihan untuk unit CBU Audi ini. Antaranya termasuk suspensi udara adaptif, HUD, Park Assist, pakej Black Apperance, bumbung panoramik kaca, sistem bunyi Bang & Olufsen dan sistem pencahayaan — lampu LED Matrix dengan lampu belakang LED biasa, atau lampu OLED yang lebih canggih. Kedua-duanya datang dengan bantuan mengekalkan lorong aktif Audi. Rim 20-inci Audi juga ada untuk dipilih. Semua pilihan ini bagaimanapun akan melibatkan kos yang tidak sedikit, tentunya.

    Sebagai model import sepenuhnya dari Mexico, Q5 dijangka akan jadi agak mahal harganya; belum ada harga rasmi untuk pasaran tempatan bagi model facelift ini, tetapi berdasarkan harga pelancaran model tahun 2019 sebelum ini, ia mungkin akan lebih mahal daripada RM340k.

     
     
  • Honda Super Cub 125 diberi peningkatan, enjin Euro 5

    Honda Super Cub 125 diberi peningkatan, enjin Euro 5

    Selepas Monkey 125, Honda kini mendedahkan pula Super Cub 125 yang dipertingkat bagi model tahun 2022. Bahagian mekanikal model yang membawa nama berusia 64 tahun ini tidak diusik, tetapi hanya beberapa bahagian kecil saja diubah.

    Enjin juga masih sama, iaitu unit satu silinder 124 cc penyejukan cecair dengan sistem suntikan bahan api, mampu menghasilkan 9.65 hp pada 7,500 rpm dan 10.4 Nm tork pada 6,250 rpm. Enjin yang menepati tahap emisi Euro 5 ini terus menggunakan transmisi empat kelajuan.

    Untuk suspensi, ia masih lagi menggunakan fork teleskopik 26 mm di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, tetapi bahagian dalamnya (spring) telah diubah untuk memperbaiki kualiti tunggangan.

    Pergi kepada brek, Super Cub 125 datang secara standard dengan sistem ABS, dan ia dilaksanakan tetapan cakera tunggal 220 mm berserta angkup satu piston di hadapan. Brek belakang pula menggunakan tetapan dram. Ekzos yang menggunakan dua catalytic converter sebelum ini telah diganti dengan satu unit.

    Kelengkapan lain Super Cub 125 2022 adalah rim 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, semua lampu jenis LED, sistem tanpa kunci, berat 110 kg, tangki bahan api 3.7 liter dan tinggi tempat duduk 780 mm.

     
     
  • DHL, TNB tandatangan MoU – DHL akan guna van elektrik bermula 2022, TNB akan pasang pengecaj

    DHL, TNB tandatangan MoU – DHL akan guna van elektrik bermula 2022, TNB akan pasang pengecaj

    Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan DHL Express Malaysia (DHL) telah mendatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan menyaksikan kerjasama antara kedua-dua syarikat berkenaan menerokai pembangunan rantaian pembekalan yang lebih mesra alam.

    Perjanjian tersebut termasuk untuk fokus terhadap menjadikan kerja-kerja penghantaran yang dilakukan oleh DHL menjadi lebih mesra alam, dengan penggunaan kenderaan elektrik yang meluas. Menurut kenyataan media yang disiarkan, kumpulan pertama van elektrik berkuasa elektrik dijangka akan mula digunakan oleh syarikat penghantaran tersebut pada separa pertama 2022. DHL mensasarkan untuk menjadi syarikat logistik pencemaran sifar menjelang 2025.

    Manakala TNB pula akan memasang stesen pengecaj kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) di pusat servis DHL Kuala Lumpur, dan juga berberapa lagi pengecaj di sepanjang laluan penghantaran yang terpilih. MoU ini turut menyaksikan kedua-dua syarikat melabur dalam kelengkapan cekap tenaga, membina sistem pengurusan tenaga, dan juga panel solar atas bumbung. Buat masa ini DHL menggunakan rantaian pembekalan elektrik sedia ada dari TNB, dan melihat peluang-peluang untuk penambahbaikkan.

    Presiden dan CEO TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata: “Kerjasama ini menggunakan kepakaran yang ada pada TNB dalam pengurusan tenaga, audit tenaga, dan solusi tenaga mampan ke arah masa hadapan lebih lestari untuk negara. Dengan DHL memperbanyakkan penggunaan kenderaan elektrik mereka untuk berberapa tahun akan datang, TNB mensasarkan untuk membina lebih banyak stesen pengecaj EV di fasiliti DHL dan juga laluan penghantaran mereka.”

    MoU ini merupakan sebahagian usaha skala besar Deutsche Post DHL Group untuk menyisihkan karbon dalam operasi syarikat mereka – langkah yang akan menggunakan dana sebesar 7 bilion euro (RM35 bilion) dalam masa 10 tahun akan datang.

    Sementara itu, TNB turut menyatakan bahawa mereka bercadang untuk meningkatkan generasi kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 8,300 megawatt menjelang 2025, dari kadar 3,402 megawatt buat masa sekarang. Syarikat itu turut bercadang untuk meluaskan penggunaan teknologi tenaga boleh diperbaharui seperti solar, angin, biomass dan biogas. Setakat 31 Mac 2021, TNB telah membekalkan elektrik ke sekitar 10.1 juta pelanggan.

     
     
  • Hyundai dan Grab umum lanjutan kerjasama – program percubaan baru untuk tingkatkan penggunaan EV

    Hyundai dan Grab umum lanjutan kerjasama – program percubaan baru untuk tingkatkan penggunaan EV

    Hyundai dan Grab telah melanjutkan lagi kerjasama antara mereka untuk mempercepatkan lagi penggunaan kenderaan elektrik di dalam armada kenderaan perkhidmatan Grab di Asia Tenggara. Kedua-dua pihak memaklumkan mereka akan memperkenalkan program dan usaha yang menjurus kepada memperbanyakkan lagi penggunaan kenderaan dengan elektrifikasi bagi pemandu dan rakan-penghantar Grab. Ini akan dimulakan di Singapura tahun ini, sebelum dilanjutkan ke Indonesia dan Vietnam.

    Terdahulu, data dari program percubaan EV di Singapura menunjukkan kos yang tinggi, kekurangan lokasi pengecasan dan tempoh menunggu yang lama untuk mengecas sebagai penghalang utama yang menyebabkan pemandu-rakan penghantar Grab daripada menggunakan EV.

    Kedua-dua syarikat itu juga sedang melihat kaedah penyelesaian kepada halangan tersebut melalui model perniagaan EV baru seperti pajakan EV dengan model bateri-sebagai-servis atau kereta-sebagai-servis serta pembiayaan EV. Ini disasarkan untuk mengurangkan kos keseluruhan pemilikan dan mengurangkan keresahan ramai terhadap jarak perjalanan yang boleh dicapai.

    Usahasama ini juga mengumumkan yang mereka akan menjalankan kajian keboleh-laksanaan EV untuk mendapatkan kefahaman yang lebih mendalam bagi membolehkan pemilikan dan penggunaan EV yang lebih meluas. Dapatan daripada kajian itu akan diterjemahkan kepada cara praktikal untuk terus membangunkan ekosistem EV. Mereka juga memaklumkan akan meneroka kerjasama di dalam peluang perniagaan dan teknologi baru seperti penyelesaian bandar pintar.

    Hyundai dan Grab umum lanjutan kerjasama – program percubaan baru untuk tingkatkan penggunaan EV

    Kerjasama antara Hyundai dan Grab bermula sejak awal 2018, ketika mereka mengumumkan kerjasama strategik untuk meneroka peluang mobiliti masa depan baru di Asia Tenggara. Dalam tahun yang sama, pengeluar kenderaan Korea itu memaklumkan mereka melaburkan tambahan US$250 juta (RM1.04 bilion) ke dalam usahasama berkenaan untuk mewujudkan beberpa program percubaan EV di rantau ini.

    Projek percubaan EV pertama yang dilancarkan adalah di Singapura pada tahun 2019 dengan melancarkan penggunaan 200 Hyudai Kona EV untuk armada GrabRentals. Pakej penyelenggaraan boleh ubah serta insentif juga diperkenalkan untuk menyokong petugas Grab yang menyewa EV Hyundai tersebut.

    Ini diikuti pula oleh Indonesia pada tahun 2020, ketika Grab memperkenalkan perkhidmatan GrabCar Elektrik di lapangan terbang Soekarno-Hatta, melibatkan 50 buah Hyundai Ioniq Electric.

    Di Singapura, Grab juga menjalin kerjasama dengan SP Group, pengedar elektrik dan gas terbesar milik kerajaan, dan telah memanfaatkan data yang diperoleh daripada kerjasama itu untuk memberi cadangan terhadap lokasi mana yang ideal untuk dijadikan stesen pengecasan, berdasarkan lokasi pemandu dan permintaan yang ada.

     
     
  • Porsche 911 992 GTS diperkenal – kuasa 480 PS dan 570 Nm, pakej Lightweight Design kurangkan 25 kg

    Porsche 911 992 GTS diperkenal – kuasa 480 PS dan 570 Nm, pakej Lightweight Design kurangkan 25 kg

    Barisan model 911 kini berkembang lagi apabila Porsche memperkenalkan varian GTS bagi model generasi 992. Ia akan duduk atas sekali dalam barisan model Carrera biasa, sebelum pergi kepada model GT yang terletak lebih tinggi.

    Seperti sebelum ini, ada tiga bentuk badan yang ditawarkan, iaitu Coupe, Cabriolet dan Targa. Bagi versi Targa, ia dipanggil sebagai 911 Targa 4 GT (pacuan semua roda), sementara Carrera GTS (pacuan roda belakang) dan Carrera 4 GTS (pacuan semua roda) ditawarkan dalam bentuk Coupe dan Cabriolet.

    Enjin boxer enam silinder 3.0 liter turbo terus digunakan pada GTS generasi 992 ini, dengan menghasilkan kuasa 480 PS dan 570 Nm tork. Sama seperti model Carrera dan Carrera S 992 yang didedahkan sebelum ini, transmisi PDK lapan kelajuan terus diberikan secara standard dan terdapat pilihan untuk menukar kepada unit manual tujuh kelajuan.

    Porsche 911 992 GTS diperkenal – kuasa 480 PS dan 570 Nm, pakej Lightweight Design kurangkan 25 kg

    Menurut Porsche, bagi varian Carrera 4 GTS Coupe yang datang dengan transmisi automatik klac berkembar PDK, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat (sedikit laju berbanding sebelum ini). Suspensi bagi 911 GTS Coupe dan GTS Cabriolet menggunakan unit PASM aktif secara standard, dan ia adalah 10 mm lebih rendah berbanding Carrera biasa.

    Suspensi belakang pula menampilkan spring daripada varian 911 Turbo, yang mana ia mempunyai penahan untuk memastikan spring tersebut sentiasa dalam tekanan dalam semua keadaan pemanduan. Bagi Targa 4 GTS pula, ia masih menggunakan casis sama seperti Targa 4 S. Brek serta kombinasi rim 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang masih sama seperti 911 Turbo.

    Model 911 GTS juga tidak menggunakan casis yang banyak penebat bunyi, dan ia diberikan terus dengan sistem ekzos sport. Untuk penampilan pula, Carrera GTS 992 terus mendapat kemasan hitam seperti sebelum ini, termasuk pada kemasan keliling lampu dan DRL. Lampu belakang adalah unik untuk model GTS, dan datang dengan jalur LED panjang yang bersambung dari kiri ke kanan.

    Porsche 911 992 GTS diperkenal – kuasa 480 PS dan 570 Nm, pakej Lightweight Design kurangkan 25 kg

    Bahagian dalam standard 911 GTS 992 menggunakan balutan Race-Tex warna hitam, bersama Sports Seats Plus yang mempunyai pelarasan elektronik. Roda stereng sport GT dengan suis mod pemanduan juga diberikan terus pada GTS, bersama aplikasi Porsche Track Precision dan paparan suhu tayar.

    Balutan Race-Tex digunakan pada bahagian tengah tempat duduk, roda stereng, pemegang pintu, perehat tangan, penutup konsol tengah serta tombol gear, dan ia dihias dengan jahitan sama ada berwarna Carmine Red atau Crayon. Warna kontras ini juga digunakan pada jam Sport Chrono serta meter rpm, sementara kemasan gentian karbon digunakan pada papan pemuka dan panel pintu.

    Jika mahukan sesuatu yang lebih sporty, pemilik boleh mendapatkan pakej Lightweight Design, di mana kereta diringankan lagi dan ciri aerodinamik dipertingkat. Dalam pakej ini, tempat duduk menggunakan unit bucket penuh gentian karbon seperti GT3, serta cermin dan bateri yang lebih ringan.

    Bagi sistem infotainmen, 911 GTS menggunakan Porsche Communication Management dengan fungsi tambahan dan operasi yang lebih mudah. Menurut Porsche, tempat sentuhan bahagian Media kini telah dibesarkan dan susunannya juga adalah baru.

    Sistem arahan suara turut dipertingkat, dengan kini ia boleh diaktifkan dengan panggilan “Hey Porsche”. Sambungan Apple CarPlay dan Android Auto diberikan standard. Porsche 911 GTS akan mula ditawarkan di Jerman hujung tahun dengan harga bermula 140,981 euro (RM700,061).

     
     
  • Toyota Tundra 2022 – bahagian dalam pula ditunjuk

    Toyota Tundra 2022 – bahagian dalam pula ditunjuk

    Hanya beberapa hari selepas Toyota menyiarkan gambar pertama Toyota Tundra generasi ketiga (itupun kerana terpaksa, sebab ada orang telah membocorkannya di internet), kini mereka menunjukkan pula sedikit bahagian dalam trak pikap tersebut.

    Kita hanya boleh melihat separuh bahagian atas papan pemuka sahaja kerana gambar tersebut telah dipotong, dan ia menampakkan sedikit skrin infotainmen yang jauh lebih lebar berbanding pada model sekarang.

    Ini mungkin adalah sistem yang standard untuk model varian tinggi, seperti TRD Pro yang telah didedahkan dalam gambar sebelum ini, dan gambar bahagian dalam ini juga mungkin adalah gambar varian itu kerana sterengnya mempunyai jalur merah di atas.

    Toyota Tundra 2022 – bahagian dalam pula ditunjuk

    Skrin itu jelas menunjukkan ia mempunyai sokongan Apple CarPlay sementara perincian lain termasuk pemegang tangan yang tegap, pembesar suara JBL pada A-pillar, penghadang cahaya matahari serta cermin pandang belakang. Selain daripada itu, Toyota tidak mahu mendedahkan apa-apa.

    Bahagian luar bukan lagi misteri, di mana ia sudah diketahui mempunyai rekaan serba baru dengan gril berbentuk heksagon yang besar, lampu dengan nyalaan DRL berbentuk seperti T, serta kemasan tambahan untuk varian TRD Pro seperti pada atas bonet, lengkung roda dan bawah gril hadapan.

    Ada laporan yang mengatakan, Tundra akan mendapat enjin yang sama seperti Land Cruiser baru, termasuk V6 3.5 liter twin turbo 415 PS dan 650 Nm, serta 3.3 liter diesel turbo 309 PS dan 700 Nm tork. Transmisi automatik 10 kelajuan dan sistem pacuan empat roda datang secara standard.

     
     
  • Kesemua stok Zeekr 001, kereta elektrik premium Geely habis dijual di China untuk tahun ini – laporan

    Kesemua stok Zeekr 001, kereta elektrik premium Geely habis dijual di China untuk tahun ini – laporan

    Nampaknya sambutan untuk model pertama jenama premium kereta elektrik sepenuhnya (EV) dari Geely, Zeekr iaitu Zeekr 001 mendapat sambutan yang sangan menggalakkan di China – model tersebut didedahkan pada April lalu dan penghantarannya hanya akan dibuat pada Oktober nanti, namun kesemua unit yang telah ditetapkan untuk diproduksi pada tahun ini sudahpun habis dijual, lapor Reuters.

    Zeekr 001 merupakan model produksi sebenar dari model konsep Lynk & Co Zero yang didedahkan tahun lalu. Jenama baharu ini diwujudkan oleh Geely bagi membolehkan mereka berhadapan terus dengan jenama EV sepenuhnya yang lain seperti Tesla.

    Model ini didakwa sebagai shooting brake elektrik sepenuhnya pertama di dunia (walaupun ia pada asalnya diperkenalkan sebagai SUV dengan gaya coupe), serta menampilkan saiz yang agak besar dengan dimensi 4,970 mm panjang, 1,999 mm lebar, 1,560 mm tinggi dan jarak roda sejauh 3,005 mm.

    Dari segi rekaan, hampir keseluruhan rupa Zeekr 001 menampilkan rupa yang sama dengan Lynk & Co Zero Concept. Ia termasuk muka signatur Lynk & Co dengan rekaan lampu utama pada bampar dan lampu nyalaan siang LED yang disusun menegak berada di atas, serta lampu belakang yang merentangi sepenuhnya bahagian belakang.

    Kesemua stok Zeekr 001, kereta elektrik premium Geely habis dijual di China untuk tahun ini – laporan

    Apa yang berbeza antara model Zeekr ini dengan model konsep Lynk & Co, versi produksi sebenar berkenaan diberikan kamera tambahan pada fender hadapan pada varian terpilih, yang berfungsi untuk sistem bantuan pemanduan kereta ini.

    Kereta elektrik ini juga dilengkapi dengan pintu automatik di mana ia akan terbuka sendiri apabila mengesan pemandu menghampirinya, dan boleh juga boleh tertutup secara automatik selepas itu. Kabin 001 ini menerima papan pemuka yang direka low profile, roda stereng rata di bawah, skrin sesentuh bersaiz gergasi dengan ukuran 15.4-inci di tengah, paparan instrumen digital dengan skrin 8.8 -inci, dan juga tuil gear berbentuk seperti batu kerikil.

    OS pada Zeekr 001 ini menampilka kawalan arahan suara AI Mate dan juga sistem pengenalan muka yang boleh mengenal muka pemandu seterusnya akan merubah pelbagai tetapan yang disukai oleh pemandu berkenaan. Zeekr juga turut berjanji untuk membekalkan kemaskini over-the-air paling kurang sekali untuk setiap suku tahun bagi memastikan sistem berkenaan sentiasa memberikan fungsi terkini kepada pengguna.

    Untuk hiburan, sistem infotainmen Zeekr 001 ini dihubungkan kepada sistem bunyi surround dengan 11 pembesar suara dari Yamaha. Ia juga ditawarkan dengan paparan head-up bersaiz 14.7-inci. Tempat duduk hadapan dan belakang model ini datang standard dengan kawalan berkuasa, serta ciri opsyen seperti fungsi urutan serta upholsteri kulit Nappa dan Alcantara.

    Kesemua stok Zeekr 001, kereta elektrik premium Geely habis dijual di China untuk tahun ini – laporan

    Ruang but shooting brake elektrik ini belum lagi diperincikan, tetapi Zeekr ada menyebut bahawa ia menawarkan ruang dengan kapasiti maksimum 2,144 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat.

    Manakala bagi keselamatan, 001 dilengkapi paling kurang tujuh kamera luar serta penderia radar gelombang-milimeter yang fungsi untuk sistem-sistem bantuan pemanduan. Ia termasuk sistem brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal tengah lorong, pemantau titik buta, dan juga amaran buka pintu.

    Menurut Zeekr, mereka turut akan menawarkan kebolehan pemanduan separa autonomi, malah autonomi penuh pada masa hadapan termasuk sistem parkir autonomi sepenuhnya.

    Seperti yang telah didedahkan sebelum ini, Zeekr 001 dihasilkan menerusi platform Sustainable Experience Architecture (SEA) Geely yang baharu, khas untuk kenderaan-kenderaan berkuasa elektrik sepenuhnya. Secara spesifiknya, Zeekr 001 menggunakan platform SEA1 untuk model premium dari segmen-D hingga segmen-F.

    Kesemua stok Zeekr 001, kereta elektrik premium Geely habis dijual di China untuk tahun ini – laporan

    Ia ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa, dengan kedua-dua pilihan berkenaan menampilkan motor elektrik berkuasa 200 kW (272 PS) dan tork maksima 384 Nm. Model pacuan belakang diberikan hanya sebuah motor elektrik tersebut, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

    Manakala untuk model pacuan semua roda, ia diberikan dua unit motor yang sama, bermaksud ia dibekalkan dengan kuasa 400 kW (544 PS) dan tork maksima 768 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat, serta mencapai kelajuan maksima melebihi 200 km/j.

    Ia juga ditawarkan dengan dua jenis bateri – 86 kWj dan 100 kWj. Namun apa yang agak pelik, bateri kecil 86 kWj tersebut hanya ditawarkan untuk model AWD, yang membolehkan ia bergerak sejauh 526 km dalam kitaran NEDC. Manakala pek bateri 100 kWj lebih besar boleh dipadankan pada kedua-dua model, membolehkan model AWD bergerak sejauh 606 km dan model pacuan belakang bergerak sejauh 712 km.

    Manakala untuk mengecaj semula, 001 boleh menerima suapan sehingga 7 kW pada pengecaj AC di rumah, serta menyokong sistem pengecaj laju DC sehingga 360 kW dengan sistem asas 400-volt. Menurut Zeekr, dengan pengecaj laju berkenaan, jarak gerak 120 km dapat ditambah dengan caj hanya selama lima minit.

    Kesemua stok Zeekr 001, kereta elektrik premium Geely habis dijual di China untuk tahun ini – laporan

    Untuk suspensi pula, Zeekr 001 menerima sistem double wishbone di hadapan dan multilink di belakang. Sistem suspensi udara ditawarkan secara opsyen (atau standard untuk model AWD 100 kWj) dan ia mampu untuk melaras ketinggian kereta ini antara 117 mm hingga 205 mm.

    Menurut Zeekr, sistem suspensi ini membolehkan 001 ‘dibelasah’ dalam litar lumba, serta diberikan pilihan mod pemanduan off-road, snow dan sand.

    Zeekr 001 dijual menerusi saluran atas talian dan luar talian, termasuk dua pusat flagship Zeekr Experience dan 60 “Zeekr Space” yang terletak dalam pusat membeli belah serta lokasi lain di seluruh China. Syarikat tersebut turut disokong oleh jaringan 36 pusat penghantaran dan 60 pusat servis. Aplikasi untuk pelanggan menempah kenderaan turut disediakan, manakala langganan dan juga pajakan bateri turut akan ditawarkan selepas ini.

     
     
  • PKP 3.0: Sabah benarkan rentas 3 daerah untuk e-hailing, teksi, penghantaran barang mulai 23 Jun

    PKP 3.0: Sabah benarkan rentas 3 daerah untuk e-hailing, teksi, penghantaran barang mulai 23 Jun

    Bermula hari ini (23 Jun 2021) Sabah memberikan kebenaran untuk merentas tiga daerah bagi perkhidmatan e-hailing, teksi yang berdaftar dan perkhidmatan penghantaran barangan. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata kelonggaran itu hanya membabitkan rentas daerah di antara Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang.

    Katanya, kebenaran itu diberikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi memenuhi keperluan masyarakat, laporan Bernama.

    “Masa operasi dibenarkan bermula jam 6 pagi hingga jam 8 malam setiap hari dengan had kapasiti seorang penumpang saja kecuali untuk tujuan perubatan atau kecemasan dengan had maksimum dua penumpang,” katanya.

    Sebelum ini, pengendali perkhidmatan terbabit tertakluk kepada SOP ketat PKP yang tidak membenarkan rentas daerah, termasuk di antara Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu yang sebelum ini dikategorikan sebagai satu daerah bagi memudahkan pergerakan.

     
     
  • Suzuki Jimny Lite 2021 tiba di Australia tidak lama lagi

    Suzuki Jimny Lite 2021 tiba di Australia tidak lama lagi

    Suzuki Australia bakalmemperkenalkan Jimny Lite pada 1 Ogos ini, susulan “permintaan yang menggalakkan” untuk model popular ini. Ia akan menjadi varian Jimny yang kedua ditawarkan di negara berkenaan – Jimny dilancarkan di sana pada 2019 dengan menawarkan satu varian, namun pelanggan boleh memilih sama ada transmisi automatik atau manual.

    Jimny Lite berkongsi unit enjin yang sama iaitu K15B 1.5L naturally-aspirated empat-silinder dengan 105 PS dan tork 130 Nm pada 4,000 rpm. Walau bagaimana pun, ia hanya akan ditawarkan eksklusif dengan transmisi manual. Sistem pacuan empat-roda AllGrip Pro separuh-masa juga akan ditawarkan, menampilkan julat tinggi dan rendah (2H, 4H, dan 4L).

    Untuk kelengkapannya, ia diberikan ciri standard termasuk roda keluli gelap 15-inci, dan penutup cermin sisi tekstur plastik dan lampu utama projektor halogen. Lampu kabus hadapannya telah disingkirkan. Di dalamnya, Jimny Lite menerima pemain CD/radio in-dash yang lebih asas dengan ketersambungan Bluetooth, dan sistem kawalan suhu manual.

    Pengarah Urusan Suzuki Australia , Michael Pachota berkata: “Kami memberikan apa yang pelanggan mahu – lebih banyak Jimny! Dengan peningkatan permintaan yang berterusan untuk model ini, kami berbesar hati untuk menambah satu lagi varian untuk barisan Jimny di sini dan akan terus mengembangkan lagi komuniti Jimny dengan peluang pebawaran tambahan.”

    Tambahnya, “Kami juga akan mengekalkan proses peruntukan yang adil berdasarkan tempahan para pelanggan dengan sistem giliran seperti mana yang dilakukan untuk model semasa Jimny pada 2021, bagi memastikan tempahan seterusnya dalam giliran untuk mendapatkan kereta ini.” Harga dan perincian penuh mengenai varian ini akan diumumkan tidak lama lagi.