Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • LVCHI Auto Venere – sedan elektrik mewah dari China, 996 hp dan tork 1,540 Nm, 0-100 km/j hanya 2.5 saat

    LVCHI Auto Venere – sedan elektrik mewah dari China, 996 hp dan tork 1,540 Nm, 0-100 km/j hanya 2.5 saat

    Introducing Venere by LVCHI Auto, the First Full Electric Limousine in the World (PRNewsfoto/LVCHI)

    Setelah menyiarkan imej teaser sebelum ini, sedan mewah berkuasa elektrik sepenuhnya, LVCHI Auto Venere akhirnya didedahkan ketika berlangsungnya Geneva Motor Show 2018. Bukan sekadar konsep, pengeluar dari China berkenaan mengesahkan bahawa model ini bakal diproduksi bermula pada 2019.

    Menurut LVCHI Auto, Venere dibangunkan dengan idea yang akan menyelesaikan masalah-masalah dibelenggu model-model elektrik sepenuhnya dalam pasaran. Sebagai contoh, casis kereta ini dibina menggunakan material komposit yang dilapiskan antara gentian karbon bagi memenuhi spesifikasi torsi dan ketegaran fleksible yang diperlukan untuk aspek prestasi tinggi serta berat keseluruhan.

    Kereta ini dibina dengan dimensi 5,150 mm panjang, 2,120 mm lebar, 1,418 mm tinggi dan jarak roda 3,040 mm. Sebagai perbandingan, ia 174 mm lebih panjang, 156 mm lebih lebar, 17 mm lebih rendah dan jarak rodanya 80 lebih jauh dari Tesla Model S.

    Venere diberikan empat motor elektrik – dua pada bahagian hadapan dan dua lagi di bahagian belakang. Kesemua motor berkenaan mampu berputar sehingga 13,000 rpm dan menghasilkan kuasa 249 hp setiap satu, atau 996 hp keseluruhan dengan tork maksima 1,540 Nm. Motor tersebut pula menerima suapan tenaga dari pek bateri lithium-ion berkuasa 100 kWh yang didakwa memberikan kemampuan yang baik dalam aspek autonomi dan prestasi.

    Kesemua sistem ini membolehkan Venere memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 2.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 286 km/j. Dengan sekali cas penuh, sedan mewah ini pula boleh berjalan sejauh 652 km.

    Projek Venere ini telah bermula pada Julai 2017 dan ia mendapat kerjasama dari I.DE.A Institute iaitu firma rekaan dari Itali yang sudah beroperasi sejak 1978. Walaupun LVCHI Auto merupakan jenama dari China, produksi Venere ini akan dilakukan di Turin, Itali.

    Selepas model mewah ini diproduksi, LVCHI Auto akan membina pula model-model elektrik kegunaan dalam bandar bagi membolehkan jenama ini bersaing dalam pelbagai segmen pasaran. Antara tahun 2020 hingga 2021, syarikat tersebut bakal melancarkan platform SUV serta MPV dan juga Urano, sedan berprestasi tinggi yang sebelum ini telah didedahkan di Shanghai.

     
     
  • Siri plat nombor Q – bidaan dibuka sehingga 21 Mac

    Siri plat nombor Q – bidaan dibuka sehingga 21 Mac

    Satu lagi siri plat nombor khas muncul, dan kali ini mungkin memberikan keterujaan buat pemilik model Audi. Siri Q telah diperkenalkan oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan semua nombor bermula Q 1 hingga Q 9999 sudah boleh dibida mulai semalam sehingga 21 Mac ini.

    Bidaan minimum bermula pada RM2,000 untuk nombor biasa, dan boleh meningkat sehingga RM5,000 untuk nombor empat digit popular seperti Q 1001,RM20,000 untuk nombor digit berkemar dan lain-lain nombor popular seperti Q 100 dan Q 1000 serta RM50,000 bagi nombor ’emas’ seperti Q77. Nombor digit tunggal yang paling mahal (Q 1 hingga Q 9) boleh dibida dari harga RM100,000.

    Keputusan bidaan akan diumumkan pada April ini, di mana nombor-nombor yang tidak dibida boleh dibeli menerusi pembelian langsung. Siri Q menyertai GG, SAM, K1M, T1M, RIMAU, US, NBOS, NAAM, VIP, G, GT, U, Y, PERFECT dan PATRIOT yang telah pun kelihatan pada kenderaan di jalan raya kita.

     
     
  • Nissan Altima 2019 – Teana generasi baharu bakal didedahkan di New York Auto Show hujung bulan ini

    Nissan Altima 2019 – Teana generasi baharu bakal didedahkan di New York Auto Show hujung bulan ini

    Official exterior sketch reveals an expressive, sophisticated all-new 2019 Altima and hints at the future of Nissan’s sedan design language.

    Selepas Toyota Camry dan Honda Accord, tidak lama lagi wakil sedan segmen-D dari Nissan – Altima atau dikenali sebagai Teana di Malaysia – bakal membuat kemunculan sulungnya di New York International Auto Show hujung bulan ini. Nissan membuat pengumuman berkenaan dengan menyiarkan teaser, menampilkan model berkenaan dalam bentuk lukisan lakaran.

    Altima generasi baharu ini bakal menerapkan elemen rekaan dari model konsep Vmotion 2.0 yang telah didedahkan sebelum ini, dan ia akan menjadi asas rekaan kepada model-model baharu yang lain kelak. Menerusi lakaran teaser berkenaan, Altima diberikan gril V-motion yang begitu menyerlah, lampu hadapan tirus dan banyak menerima garis-garis tajam.

    Namun tidak dapat dipastikan sama ada sedan besar ini akan menerima konsep rekaan “bumbung terapung” atau tidak kerana bahagian tiang-C tidak berapa jelas kelihatan.

    Nissan Altima 2019 – Teana generasi baharu bakal didedahkan di New York Auto Show hujung bulan ini

    Selain dari lakaran ini, kami sebenarnya turut menerima imej spyshot model tersebut yang diuji dijalan raya. Menerusi imej-imej berkenaan, dapat dilihat bahagian belakang sedan ini turut menerima rekaan seakan bahagian hadapan dengan elemen lebih tirus.

    Set imej tersebut turut mendedahkan bahagian kabin Altima ini, yang jelas berbeza dari model sedia ada. Papan pemuka model generasi baharu berkenaan dilihat diberikan skrin sesentuh utama yang besar pada bahagian tengah, bersama liang penghawa dingin terletak di bawahnya.

    Ruang storan pada model baharu ini juga dilihat lebih banyak, manakala tombol gear pula menampilkan rekaan lebih pendek. Altima generasi keenam ini juga menerima roda stereng baharu dengan rekaan sama seperti Leaf, Qashqai dan X-Trail terkini.

    Nissan belum mengeluarkan sebarang informasi berkenaan unit janakuasa yang akan menggerak Altima berkenaan, namun boleh dijangka ia bakal hadir dengan barisan enjin empat- dan enam-silinder, digandingkan bersama transmisi CVT serta pilihan sistem pacuan semua roda. Lebih perincian bakal didedahkan ketika pengenalan model ini kelak, jadi teruskan bersama kami.

     
     
  • Volkswagen Beetle tidak akan diganti – tiada EV dirancangkan pada masa hadapan untuk Bug ini

    Volkswagen Beetle tidak akan diganti – tiada EV dirancangkan pada masa hadapan untuk Bug ini

    Kebanyakan pengelaur kereta akan ‘mengelektrifikasikan’ model mereka yang sedia ada, atau pun membangunkan kenderaan elektrik baharu, sebagai memenuhi permintaan pasaran global. Namun ini tidak akan dilakukan terhadap Beetle, di mana Volkswagen telah menegaskan model yang dikenali sebagai Bug ini tidak akan diganti, atau di’EV’kan pada masa akan datang, biarpun model semasanya sudah tidak diproduksi lagi. Perkara ini disahkan sendiri oleh bos VW R&D Frank Welsch, kepada Autocar.

    Welsch berkata demikian di Geneva Motor Show yang “dua atau tiga generasi adalah cukup”, merujuk kepada Bug, yang telah dikembalikan pada 1997, dengan diikuti model generasi kini dan kedua pada 2011.

    Orang kuat VW tersebut turut berkata, kereta ini “telah mencipta sejarah namun tiada lagi model yang baharu untuk Beetle.” Beetle yang boleh didapati dalam bentuk convertible, dan Welsch berkata T-Roc yang baharu disahkan akan mengisi peranan Beetle Cabriolet.

    Volkswagen Beetle tidak akan diganti – tiada EV dirancangkan pada masa hadapan untuk Bug ini

    Malah tiada juga Beetle EV bagi menyaingi MINI Elektrik yang bakal tiba, namun tidak bermakna VW mahu terus membuat model retro tersebut. Untuk itu, pengeluar kereta terbesar Eropah ini telah mengesahkan akan memperkenalkan model konsep elektrik Volkswagen ID Buzz sebagai realiti.

    Berdasarkan platform baharu VW Group, bateri yang dikuasakan Microbus bakal dikeluarkan dari 2021. “Dengan MEB (Platform EV dari VW), anda boleh membuat bas dan kenderaan tulen dengan bentuk yang asli, dan roda stereng juga kelihatan lebih asli. Tapi anda tidak boleh berbuat demikian dengan enjin di hadapan. Bentuk yang dilihat menerusi konsep ini adalah realistik,” ujar Welsch.

    “Ramai bertanya, bilakah ia akan diproduksikan, jadi kami mengambil keputusan untuk ke arah itu. Lebih baik mempunyai itu berbanding lima generasi bagi Beetle baharu. Kita mempunyai model konsep Microbus pada masa lepas tetapi enjin di hadapan. Secara fizikal, ia menggunakan MQB atau PQ untuk menghasilkannya,” tambahnya lagi.

    GALERI: Volkswagen Beetle 1.2L TSI Sport di Malaysia

     
     
  • Honda Civic Type R TCR dipertontonkan di Geneva

    Honda Civic Type R TCR dipertontonkan di Geneva

    Bersama Honda Jazz X-Road, Honda Civic Type R TCR turut tampil di Geneva Motor Show 2018. Jentera lumba ini juga bakal membuat penampilan di World Touring Car Cup (WTCR) tahun ini, yang mengambil alih World Touring Car Championship (WTCC).

    Menurut peraturan teknikal TCR yang dikemukakan oleh FIA, yang mengambil peraturan TC1 yang digunakan oleh WTCC, jentera yang terlibat mestilah empat- atau lima-pintu sedan atau hatchback. Hanya pacuan roda-hadapan serta penjana kuasa pengecas turbo dibenarkan, dengan kapasiti antara 1,750 ke 2,000 ccm dan tidak lebih dari 355 hp (350 hp).

    Civic Type R TCR yang menepati semua keperluan di atas, dan didatangkan dengan beberapa komponen aerodinamik termasuk kit badan lengkap dan wing belakang yang besar. Roll cage penuh antara modifikasi yang dibuat untuk jentera lumba ini.

    Honda Civic Type R TCR dipertontonkan di Geneva

    Untuk siri WTCR, penyertaan pasukan pengeluar tidak dibenarkan, tetapi pengeluar dibenarkan untuk menawarkan sokongan teknikal kepada pasukan yang mengambil bahagian. Jadi, juara FIA World Cup hanya untuk pemandu dan pasukan, tanpa memberikan sebarang gelaran kepada pengeluar untuk dimenangi.

    Sebanyak 26 penyertaan maksimum bakal diterima dengan keutamaan diberikan kepada pasukan yang pernah menyertai TCR International dan WTCC. Dua lagi penyertaan wildcard akan dibenarkan pada setiap acara mengikut budi bicara WTCR Eurosport Events Limited (EEL) dan FIA.

    GALERI: FK8 Honda Civic Type R di Malaysia

     
     
  • Honda umumkan Urban EV versi produksi boleh mula ditempah di Eropah bermula awal tahun hadapan

    Honda umumkan Urban EV versi produksi boleh mula ditempah di Eropah bermula awal tahun hadapan

    Honda Urban EV Concept unveiled at the Frankfurt Motor Show

    Tahun lalu di Frankfurt Motor Show, Honda telah mendedahkan model konsep hatchback kompak janaan elektrik sepenuhnya yang digelar Urban EV Concept. Pendedahan model yang direka seakan jelmaan semula Honda Civic generasi pertama (SB1) berkenaan nampaknya mengundang minat orang ramai dan Honda sendiri telah berjanji ia akan diproduksi bermula 2019.

    Berita baik, jenama tersebut telah mengumumkan bahawa versi produksi kereta ini akan boleh ditempah bermula awal tahun hadapan. “Versi produksi model konsep yang sangat popular ini akan diperkenalkan di Eropah menjelang lewat tahun 2019 kelak, dan untuk respon kepada maklum balas posistif dari model ini, kami jangka tempahan untuk Urban EV ini akan dibuka pada awal 2019,” kata naib presiden senior, Honda Motor Europe ketika sidang media di Geneva Motor Show 2018.

    Setelah masuk kepasaran nanti, Urban EV akan menjadi kenderaan elektrik sepenuhnya dari Honda yang akan diproduksi secara besar-besaran dan dijual di rantau Eropah. Seperti yang anda boleh lihat, kereta ini direka dengan bentuk seakan Civic “telur” yang menampilkan lampu hadapan berbentuk bulat dan bentuk badan keseluruhan yang sangat comel.

    Bahagian dalamnya juga direka bagi membangkitkan nostalgia terhadap Civic SB1 dengan papan pemuka dua tingkat serta diberikan kemasan kayu. Model konsep tersebut boleh dinaiki seramai empat-orang dengan bahagian hadapan diberikan tempat duduk jenis bangku yang bersambung. Paparan pada papan pemuka pula memberikan pelbagai informasi seperti jarak perjalanan, manakala skrin tambahan pada panel pintu memberikan paparan dari kamera sisi yang menggantikan tugas cermin pandang belakang.

     
     
  • Hyundai Le Fil Rouge dedah rekaan masa hadapan

    Hyundai Le Fil Rouge dedah rekaan masa hadapan

    Hyundai telah mempersembahkan bahasa rekaan masa hadapan menerusi model konsep Le Fil, yang diperkenalkan di Geneva Motor Show 2018 yang sedang rancak berlangsung. Dengan tema ‘Sensuous Sportiness’, yang bakal diterjemahkan pada semua kenderaan Hyundai pada masa hadapan, dari sedan hingga ke SUV.

    Menurut pengeluar kereta Korea ini, tema ini merangkumi empat elemen yang berkaitan dengan rekaan kenderaan – pengkadaran, binaan, penggayaan dan teknologi. Yang pertama bergantung pada nisbah matematik yang sama untuk membuat bentuk estetika yang menyenangkan, yang mana yang anda lihat di sini.

    Mendapatkan perkadaran itu melibatkan jarak roda yang panjang, roda besar dan overhang yang pendek. Gegaran yang betul untuk gandar – jarak dari pusat roda depan ke cermin hadapan – menyumbang kepada kedudukan pemanduan yang selesa, manakala garisan bilah teardrop menambahkan keindahan visual.

    Konsep ini juga mengambil kira pencahayaan dan bayang untuk menghasilkan rupa yang dinamik dan efek yang menonjol untuk kenderaan ini, di mana Hyundai menggelarkannya sebagai ‘Light Architecture’. Bagi kabinnya pula, ia mengetengahkan bentangan ‘Tube Architecture’, dengan dikelilingi oleh kayuan dan fabrik berteknologi tinggi.

    Hyundai Le Fil Rouge dedah rekaan masa hadapan

    Bagi terma penggayaannya, konsep ini masih menyekalkan beberapa ciri kebiasaan Hyundai termasuk lebar, lapisan bonet, bersama gril yang kelihatan familiar. pada model konsep ini juga, gril ditampilkan dengan olahan tiga-dimensi, termasuk permata parametrik di dalamnya.

    Akhir sekali, aspek teknologi bagi konsep yang mewakili paparan panoramik termasuk teknologi haptic. Semua kenderaan memiliki fungsi kawalan menerusi paparan, sementara penumpang belakang menerima skrin sendiri.

    “Le Fil Rouge adalah mentafsirkan semula rekabentuk DNA Hyundai yang berasal dari Hyundai Coupe Concept pada tahun 1974. Membangunkan semula sejarah lama kami untuk mewujudkan ciri khas dan sporty dalam kenderaan, kami akan membuka era baharu untuk reka bentuk Hyundai, “kata Luc Donckerwolke, naib presiden eksekutif dan ketua Hyundai Design Centre.

     
     
  • World Car of the Year 2018 – 3 SUV dicalon sebagai finalis; Mazda CX-5, Range Rover Velar, Volvo XC60

    World Car of the Year 2018 – 3 SUV dicalon sebagai finalis; Mazda CX-5, Range Rover Velar, Volvo XC60

    Jika tahun lalu SUV Jaguar F-Pace dinobatkan sebagai ‘World Car of the Year’ menewaskan dua lagi SUV iaitu Audi Q5 dan Volkswagen Tiguan, tahun ini WCOTY sekali lagi didominasi segmen SUV apablia Mazda CX-5, Range Rover Velar dan Volvo XC60 diumumkan sebagai finalis akhir untuk merebut gelaran berkenaan bagi tahun 2018.

    Ketiga-tiga calon ini mara ke pusingan terakhir setelah menerima markah yang tinggi dari lebih 80 orang juri, manakala pemenangnya bakal diumumkan ketika New York International Auto Show yang akan berlangsung pada 28 Mac nanti. Selain dari calon untuk pemenang keseluruhan, Volvo XC60 dan Range Rover Velar juga dicalonkan sebagai finalis World Car Design of the Year, bersama satu lagi model iaitu Lexus LC 500.

    Untuk World Performance Car pula, finalis anugerah ini terdiri dari Lexus LC 500, BMW M5 F90, dan Honda Civic Type R FK8. Manakala bagi kategori World Luxury Car, dua model dari Porsche – Cayenne dan Panamera – berjaya dicalonkan sebagai finalis, diikuti oleh Audi A8. Untuk kategori lebih maerhaen World Urban Car, finalisnya terdiri dari Volkswagen Polo Mk6, Suzuki Swift dan juga Ford Fiesta.

    Sementara itu untuk kategori terakhir iaitu World Green Car, tiga model mesra alam akan bertarung diperingkat akhir iaitu Nissan Leaf, Chrysler Pacifica Hybrid dan BMW 530e G30 iPerformance. Finalis untuk kesemua kategori telah diumumkan, jadi anda rasa model mana yang akan memenangi setiap kategori berkenaan?

     
     
  • Kia K900 2018 ditunjuk dalam lakaran sebelum diperkenalkan – bakal ke pasaran global mulai Q2 ini

    Kia K900 2018 ditunjuk dalam lakaran sebelum diperkenalkan – bakal ke pasaran global mulai Q2 ini

    Kia telah menyebarkan lakaran pertama bagi model K900 serba baahru, sedan premium perdana jenama ini yang dijadual bakal menembusi pasaran global (juga dikenali sebagai K9 di Korea dan Quoris di beberapa pasaran terpilih) dari suku kedua (Q2) tahun 2018.

    Model yang dilihat menerusi lakaran ini adalah hasil usaha ibu pejabat rekaan global Kia di Namyang, Korea, dengan input dari studio rekaan di Irvive, Calirfonia. Kia berkata, perekabentuk telah diilhamkan oleh konsep rekaan ‘Gravity of Prestige’ yang memancarkan kemewahan dan ketenangan.

    Berbanding model terdahulu, K900 baharu ini lebih berketerampilan, walau pun lakarannya mungkin bukan gambaran sepenuhnya rekaan akhir. Gril ‘tiger nose’ iaitu trademark bagi Kia, tetap menjadi pilihan bagi model ini, menampilkan paten kuadrat dengan 176 sel dibingkaikan antara gril, yang disusun mengikut “tenaga yang dipercepatkan dari pusatnya.”

    Kia K900 2018 ditunjuk dalam lakaran sebelum diperkenalkan – bakal ke pasaran global mulai Q2 ini

    Lower intake yang lebar yang ada pada model generasi semasa, seperti “power bulge” pada bonet yang lebih ekspresif dalam konteks ini. Satu lagi titik fokus utama bagi hadapan sudah pasti lampu utamanya yang memaparkan pelbagai pencahayaan dual-tier di dalamnya.

    Selain itu, terdapat jaluran krom sepanjang pintu, membaluti seksyen bawah belakang. Bukan itu sahaja, krom juga kelihatan pada garisan tingkap, yang menonjolkan aliran bebas tiang-C. Lampu belakang pula agak mirip dengan unit pencahayaan hadapan, dengan grafik yang lebih kurang sama. ia turut ditampilkan dengan lip spoiler yang kecil dan ekzos bersama perumah krom.

    K900 baharu ini akan dihasilkan di Korea, namun perincian mengenai mekanikalnya belum didedahkan. Di Amerika Syarikat, K900 sedia ada ditawarkan sama ada enjin petrol 3.8 liter V6 atau 5.0 liter V8. Manakala K9 di Korea pula, bukan setakat dua pilihan enjin tersebut, tetapi ditambah satu lagi opsyen iaitu 3.3 liter V6.

     
     
  • Yamaha Ego Solariz dalam warna baru – masih RM5.5k

    Yamaha Ego Solariz dalam warna baru – masih RM5.5k

    Yamaha Ego Solariz sudah berada di pasaran negara kita lebih daripada satu tahun, dan kini, ia disegarkan semula dengan pilihan warna baru yang terdiri daripada merah, biru, ungu dan magenta. Harganya pula masih kekal seperti dilancarkan Januari tahun lalu iaitu RM5,548 (termasuk GST, tanpa insurans).

    Perkara lain pada Ego Solariz ini juga tidak berubah, di mana ia dikuasakan oleh enjin satu silinder SOHC 125 cc suntikan bahan api dengan teknologi Blue Core dan sistem penyejukan udara, mampu menghasilkan 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm tork pada 5,500 rpm. Transmisi yang digunakan pula adalah jenis automatik tali sawat V.

    Pada bahagian hadapan, Ego Solariz dilengkapi dengan suspensi jenis teleskopik, rim 14 inci, tayar saiz 70/90 dan brek cakera manakala di belakang pula menggunakan lengan ayun dengan monoshock, rim 14 inci, tayar saiz 80/90 dan brek jenis dram. Tiada sistem brek ABS untuk motosikal ini.

    Di bawah tempat duduk Ego Solariz, terdapat ruang simpanan 10 liter, manakala berhampiran pemegangnya juga terdapat ruang simpanan kecil yang boleh memuatkan barangan seperti botol air atau lain-lain. Lampu hadapan dan belakang motosikal ini masih menggunakan mentol halogen biasa, tidak seperti Avantiz yang menggunakan LED.

     
     
  • Honda Jazz X-Road – pakej penggayaan crossover

    Honda Jazz X-Road – pakej penggayaan <em>crossover</em>

    Katakanlah anda mahukan sebuah crossover, tapi tidak mahu pergi kepada model yang besar seperti HR-V, dan lebih gemarkan saiz dan bentuk Jazz. Di Eropah, pilihan khas sebegitu ada disediakan, iaitu melalui pakej Jazz X-Road. Walaubagaimanapun, ia cumalah pakej penggayaan, dan kemampuan kenderaan tidak diubah langsung.

    Penambahan yang diberi melalui pakej ini adalah skid plate berwarna perak di depan dan belakang, side skirt, tambahan panel tepi lengkuk roda yang lebih tebal dan jalur pelindung tepi pintu – kesemuanya menggunakan plastik warna hitam untuk menghasilkan penampilan seperti sebuah kereta yang boleh dibawa offroad. Di dalam juga terdapat alas kaki yang tertulis X-Road.

    Untuk asasnya, ia masih adalah Jazz yang sama, iaitu di Eropah, ia dijual dengan enjin petrol empat silinder 1.3 liter i-VTEC berkuasa 102 PS dan 123 Nm, bersama pilihan transmisi manual enam kelajuan ataupun CVT. Fungsi City-Brake Active System (CTBA) juga diberikan secara standard.

    GALERI: Honda Jazz pasaran Eropah

     
     
  • Toyota Supra generasi baharu kekal dengan enjin enam-silinder sebaris, fokus kepada pengendalian

    Toyota Supra generasi baharu kekal dengan enjin enam-silinder sebaris, fokus kepada pengendalian

    Setelah lebih kurang dua tahun selepas imej intipan pertamanya muncul, Toyota Supra generasi kelima akhirnya didedahkan pada Geneva Motor Show 2018. Namun penampilannya kali ini adalah sebagai sebuah model konsep perlumbaan dan bukan versi produksi sebenar, manakala maklumat yang paling ditunggu-tunggu iaitu sistem mekanikal dan angka kuasanya juga masih belum diumumkan oleh Toyota.

    Namun, menerusi laporan Autoblog, sedikit perincian telah keluar sendiri dari mulut ketua jurutera Toyota, Tetsuya Tada – individu yang bukan sahaja mengetuai projek Supra baharu ini, malah bertanggungjawab menerajui pembangunan Toyota 86 – ketika sesi temu ramah selepas pendedahan jentera berkenaan.

    Tada mengesahkan bahawa Supra generasi kelima bakal dijana enjin enam-silinder sebaris, sama seperti generasi-genarasi terdahulu – A40, A60, A70 dan A80. “Konfigurasi enjin hadapan/pacuan belakang serta enjin turbo enam-silinder sebaris adalah wajib untuk semua Supra,” katanya dan menegaskan Supra tanpa enjin enam-silinder sebaris bukanlah sebuah Supra.

    Tada juga menjelaskan bahawa enjin tersebut juga seharusnya mudah untuk ditala. Sejak generasi pertama Supra (bermula dengan Celica Supra), ia sentiasa dijana oleh enjin-enjin enam-silinder sebaris dari siri M dan JZ. Enjin-enjin tersebut turut dikenali sebagai unit-unit yang mudah untuk ditala bagi mendapat lebih kuasa.

    Toyota Supra generasi baharu kekal dengan enjin enam-silinder sebaris, fokus kepada pengendalian

    Tetapi apa yang mungkin mengecewakan peminat Supra adalah model generasi baharu ini tidak akan diberikan kotak gear manual. Ramai yang telah mengetahui bahawa projek Supra ini adalah usahasama antara Toyota dan BMW, dimana pembuat dari Jerman tersebut membangunkan roadster Z4 generasi baharu menggunakan platform dan unit janakuasa yang sama. Jadi berkemungkinan besar Supra bakal dilengkapi dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF dan mungkin juga menerima transmisi jenis klac-berkembar.

    Perincian lain yang turut dijelaskan Tada terhadap Supra ini adalah ia akan menampilkan agihan berat hadapan dan belakang dengan nisbah sempurna 50:50, dan ia juga turut mempunyai titik graviti lebih rendah dari 86. Sekiranya apa yang dikatakan oleh jurutera ini benar, ini merupakan sesuatu yang menakjubkan kerana 86 dijana enjin boxer yang sememangnya mempunyai titik graviti yang jauh lebih rendah dari enjin silinder sebaris konvensional.

    Ketua jurutera tersebut juga menegaskan peminat Supra jangan mengharapkan kuasa gila dihasilkan dari enjin, kerana model generasi baharu ini akan dibina sebagai sebuah jentera yang mengutamakan pengendalian, bukan seperti JZA80 yang dikenali sebagai ‘pemusnah supercar dilaluan lurus’.

     
     
  • Langgar peraturan jalan raya punca kadar kemalangan di kalangan penunggang motosikal meningkat – Miros

    Langgar peraturan jalan raya punca kadar kemalangan di kalangan penunggang motosikal meningkat – Miros

    Institusi Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) berpendapat tingkah laku manusia dan pelanggaran peraturan jalan raya merupakan antara sebab berlakunya peningkatan kadar kemalangan melibatkan penunggang motosikal.

    Menurut Pemangku Ketua Pengarah Miros Dr Siti Zaharah Ishak, antara kesalahan yang sering dilakukan penunggang adalah membawa motosikal melebihi had laju, menunggang di antara kenderaan lain dan melanggar lampu merah, laporan Bernama.

    Katanya lagi, sikap itu menyumbang kepada statistik kematian dalam kalangan penunggang motosikal mencecah 64.5%, iaitu lebih tinggi berbanding kenderaan lain dalam jumlah keseluruhan kematian di jalan raya pada tahun lepas.

    “Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun lalu juga menunjukkan kadar kematian disebabkan kemalangan jalan raya masih tinggi seperti tahun-tahun sebelumnya dengan 6,740 kematian. Walaupun terdapat penurunan indeks sebanyak 9.65% berbanding 2016, pelbagai usaha pencegahan masih perlu ditingkatkan supaya kadar kemalangan jalan raya termasuk motosikal dapat dikurangkan,” katanya ketika berucap pada program Ujian Pembangunan Teknologi Titik Buta (BST) oleh Program Penilaian Kereta Baharu Untuk Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) semalam.

     
     
  • Bugatti Chiron Sport – pengendalian dipertingkat lagi

    Bugatti Chiron Sport – pengendalian dipertingkat lagi

    Bugatti telah menunjukkan sebuah versi baru untuk Chiron di Geneva Motor Show 2018. Model ini dinamakan sebagai Chiron Sport, dan mempunyai prestasi yang dipertingkat berbanding Chiron sebelum ini, dan dijual pada harga asas bermula 2.65 juta euro (RM12,851,970).

    Harga ini memang agak tinggi, tapi Chiron Sport dikatakan dapat memberi lebih lagi prestasi berbanding Chiron biasa. Walaupun begitu, ia bukan datang daripada enjin, kerana unit W16 8.0 liter quad turbo padanya masih lagi mempunyai kuasa 1,479 hp (1,500 PS) dan tork 1,600 Nm.

    Melalui Chiron Sport ini, Bugatii telah memberikan fokus kepada aspek pengendalian, di mana ia dilengkapi dengan suspensi yang 10% lebih keras, differential gandar belakang yang dioptimakan dan fungsi Dynamic Torque Vectoring baru yang dapat mengagihkan tork kepada setiap roda secara berasingan apabila perlu.

    Kereta ini juga 18 kg lebih ringan berbanding Chiron biasa, hasil penggunaan lebih banyak komponen gentian karbon. Ini termasuk stabiliser, penghadang intercooler dan juga batang pengelap cermin. Chiron Sport juga menggunakan cermin yang lebih ringan pada bahagian belakang, deflector ekzos baru serta rekaan rim serba ringan yang baru.

    Menurut Bugatti, Chiron Sport ini mampu mencatat masa lima saat lebih pantas berbanding Chiron biasa di litar ujian Nardo, dan ia “dapat mencapai potensi pengendalian penuh meskipun waktu mengambil selekoh pada kelajuan melebihi 200 km/j.”

     
     
  • ASEAN NCAP umum pembangunan bagi ujian sistem informasi titik buta untuk protokol baharu 2017-2020

    ASEAN NCAP umum pembangunan bagi ujian sistem informasi titik buta untuk protokol baharu 2017-2020

    Dalam protokol ujian penilaian kereta baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP) baharu 2017-2020 yang diumumkan pada Ogos tahun lalu, badan berkenaan ada menyatakan bahawa NCAP di rantau ini merupakan yang pertama mementingkan sistem informasi titik buta sebagai kriteria penting bagi mendapatkan markah tinggi dalam ujian, memandangkan jalan raya di ASEAN mempunyai jumlah motosikal (terutamanya kapcai dan skuter yang bersaiz kecil) yang seringkali terlibat dalam kemalangan kerana kehadiran mereka tidak disedari pemandu kenderaan yang lebih besar.

    Hari ini di pusat rekreasi penerbangan Putrajaya, ASEAN NCAP mengumumkan mereka kini dalam pembangunan untuk menyediakan fasiliti khas bagi menguji sistem keselamatan aktif berkenaan. Menurut badan tersebut, buat masa ini mereka sedang menguji 10 model kereta yang dijual di pasaran ASEAN dan dilengkapi pelbagai sistem informasi titik buta untuk ujian pembangunan tersebut.

    Setiap 10 model berkenaan termasuk Toyota (C-HR, Camry), Honda (Accord, CR-V, Odyssey), Mazda (Mazda 3, CX-5), Volvo (V40), Mercedes-Benz (S 400 h) dan Hyundai (Ioniq) akan diuji dalam dua ujian iaitu ujian siang dan ujian pada malam hari. Kesemua model kereta berkenaan akan diuji untuk ujian siang, tetapi hanya lima model akan menjalani ujian malam. Sistem informasi titik buta pada kesemua model tersebut juga akan diuji terhadap 10 motosikal berlainan yang popular pada pasaran ASEAN, bermula dari model 100 cc hingga 760 cc.

    ASEAN NCAP menjangkakan ujian pembangunan ini akan mampu untuk membuat penilaian terhadap pelbagai sistem informasi titik buta yang dipadankan pada pelbagai model khususnya semasa pergerakan menukar lorong. Sebagai tambahan,ujian yang dilakukan pada siang dan malam akan menguji keberkesanan sistem-sistem ini dalam mengesan kehadiran motosikal bagi memastikan keselamatan walaupun dalam keadaan gelap.

    Dalam protokol ujian ASEAN NCAP 2017-2020, sistem informasi titik buta ini mewakili 2 markah dari 18 markah keseluruhan dalam kriteria Teknologi Bantuan Keselamatan (SAT), manakala SAT itu sendiri mewakili 25% markah bagi dijumlahkan sebagai markah akhir keseluruhan dan menentukan jumlah bintang yang akan diperolehi.

    Menurut Polis DiRaja Malaysia (PDRM), penunggang motosikal mencatatkan kadar kematian paling tinggi untuk jumlah keseluruhan kehilangan jiwa dalam kemalangan tahun lalu iaitu seramai 4,348 orang atau 64% dari jumlah 6,740 orang keseluruhan.

    Dengan adanya sistem informasi titik buta yang dilengkapi pada kereta, ia mampu untuk memberikan amaran kepada pemandu sekiranya ada motosikal yang menghampiri dan tidak dapat dilihat menerusi mana-mana cermin pandang belakang. Oleh itu, sistem ini dilihat dapat mengurangkan kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal, terutamanya ketika kereta sedang menukar lorong atau membelok.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025