Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • VIDEO: Budak lelaki berusia 10 tahun memandu kereta undang padah, ibu bapa serah diri di IPD Pontian

    VIDEO: Budak lelaki  berusia 10 tahun memandu kereta undang padah, ibu bapa serah diri di IPD Pontian

    Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib, mengesahkan Bahagian Siasatan dan Penguasaan Trafik (BSPT) IPD Pontian telah mengesan video tular pada 10 Mei lalu menerusi laman media sosial Facebook yang memaparkan seorang ibu membiarkan anak lelakinya yang berusia 10 tahun memandu kereta.

    Katanya, video itu memaparkan seorang kanak-kanak lelaki sedang memandu Perodua Kancil berwarna merah yang turut terdapat dua kanak-kanak lain duduk di bahagian hadapan.

    “Berikutan kejadian itu, BSPT menjalankan risikan terperinci dan dapati kejadian itu berlaku jam 7 pagi Selasa lalu (10 Mei) di Pekan Nanas. Video berkenaan dipercayai dirakam oleh anak perempuan wanita terbabit yang berusia 11 tahun menggunakan telefon miliknya.

    “Ibu kepada tiga kanak-kanak berkenaan mengakui Tiktok@shimahali1 yang memaparkan video itu adalah menerusi akaun TikTok miliknya, sebelum ia tular di Facebook dan Whatsapp,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

    Berikutan video tular tersebut, wanita terbabit bersama suaminya telah menyerah diri ke IPD Pontian.

    Menurut Mohammad Shofee, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Ibu bapa atau penjaga yang membenarkan kanak-kanak memandu kenderaan di bawah umur boleh didakwa di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak (AKK) 2001. Selain itu, pemilik kenderaan yang juga ibu atau bapa kanak-kanak berkenaan boleh disaman di bawah Seksyen 39 (5) APJ 1987, ” katanya.

     
     
  • Proton Exora 2022 akan dilancarkan tak lama lagi – terima perubahan kecil seperti Saga MC2, OCH baru

    Proton Exora 2022 akan dilancarkan tak lama lagi – terima perubahan kecil seperti Saga MC2, OCH baru

    MPV tujuh-tempat duduk Perodua Alza akhirnya telah ditamatkan produksinya bulan lalu selepas hampir 13-tahun dalam pasaran dan bakal diganti dengan model generasi baharu tidak lama lagi. Selain Alza, Proton juga mempunyai produk yang hampir serupa iaitu Exora – ia juga MPV tujuh-tempat duduk (tetapi dalam kelas yang lebih besar), dan telah berada dalam pasaran sejak April 2009, atau sudah lebih dari 13-tahun dijual di bilik pameran Proton.

    Adakah Proton turut akan menghentikan produksi Exora dalam masa terdekat dan menggantikannya dengan model generasi baharu? Nampaknya tidak. Ketika pelancaran Proton Saga facelift MC2 2022 semalam, naib CEO Proton Roslan Abdullah menyatakan Exora turut akan menerima satu lagi penyegaran kecil seperti Saga tahun ini, menandakan usianya dalam produksi masih lagi panjang.

    Menurutnya, Exora 2022 ini nanti bakal menerima beberapa perincian baharu, tetapi perubahan yang dibuat adalah “kurang daripada Saga” dan jangan berharap perubahan besar untuk model yang berusia dalam pasaran ini.

    Roslan turut menyatakan bahawa Proton mengambil berat berkenaan isu hos penyejuk minyak (OCH) pada enjin 1.6L turbo CFE yang menghantui pemilik Exora sedia ada, dan menjelaskan bahawa jurutera Proton kini sedang menghasilkan komponen baharu yang beliau harapkan lebih tahan lama.Roslan turut menambah bahawa Proton kini masih sedang secara aktif mencari semula pemilik-pemilik Exora sedia ada yang mengalami masalah berkenaan.

    Proton Exora mula menerima enjin turbo berkenaan pada versi facelift yang diperkenalkan pada tahun 2011. Rupa MPV tersebut tidak banyak berubah sehingga model yang dijual buat masa sekarang. Kali terakhir Exora dikemaskini adalah pada 2019 (dikenali sebagai Exora RC), di mana MPV tersebut menerima talaan kotak gear CVT yang lebih responsif, upholsteri dalaman dengan material yang lebih baik, paparan instrumen lebih moden seperti Persona dan Iriz, sistem infotainmen dengan fungsi arahan suara “Hi, Proton”, serta beberapa perubahan kecil lain.

    Menurut Roslan, Exora masih boleh dijual dalam kuantiti yang konsisten (antara 400 hingga 500 unit sebulan) walaupun hanya menerima perubahan-perubahan kecil sejak ia diperkenalkan. Dengan permintaan yang masih ada, Exora masih akan terus dijual dalam pasaran.

     
     
  • VIDEO: Proton Saga MC2 facelift 2022 – dari RM34,400

    Melalui laman kami, anda sudah boleh membaca tentang Proton Saga MC2 facelift 2022, dan membandingkan varian yang ada, sekarang mari kita lihat pula perincian Saga generasi ketiga yang diberikan facelift ini melalui video.

    Peningkatan yang diberikan kepada Saga tahun ini mungkin tidak begitu besar seperti perubahan yang dibuat pada Ogos 2019, tetapi ia masih melibatkan satu varian sporty, papan pemuka yang diperkemas serta senarai kelengkapan yang ditambah baik bagi menjadikan sedan segmen A tersebut lebih kompetitif.

    Secara ringkasnya, Saga MC2 2022 mendapat logo serta gril baru di luar, dan konsol tengah yang disusun semula di bahagian dalam, sementara ciri Electronic Stability Control (ESC) yang dulunya cuma dikhaskan untuk varian Premium pula kini diberi kepada semua varian kecuali Standard MT (satu-satunya model bertransmisi manual yang dijual oleh Proton sekarang).

    Kelengkapan baru pada Saga 2022 ini banyak berada pada varian Premium S yang paling tinggi. Ini termasuk rim rekaan “empat cabang” dua tona 15 inci (Premium menggunakan warna satu tona), skirting tepi dan bampar hadapan, kemasan dalam semua hitam, perincian serta jahitan merah, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, serta OS baru bagi sistem infotainmen. Turut diberi adalah butang membuka but dari luar serta cermin sisi boleh lipat automatik.

    Saga kini dijual dengan harga bermula RM34,400 untuk Standard MT, RM38,300 untuk Standard AT, RM41,300 untuk Premium dan RM44,300 untuk Premium S. Harga ini tidak termasuk insurans dan dikira sekali dengan pengecualian cukai yang akan berakhir 30 Jun ini.

    Dapat dilihat juga, harga ini sebenarnya sedikit tinggi berbanding sebelum ini, dengan peningkatan sebanyak RM2,000 untuk Standard MT, RM3,000 untuk Standard AT serta RM2,000 untuk Premium. Pesaing terdekatnya, iaitu Perodua Bezza pula dijual dengan harga yang bermula sedikit lebih rendah berbanding Saga MT, iaitu RM33,456 (1.0 G MT) sementara varian paling tinggi pula lebih mahal berbanding Saga Premium S, iaitu RM48,356 (1.3 V AT). Namun perlu dinyatakan varian paling rendah itu menggunakan enjin 1.0L sementara varian paling tinggi pula dilengkapi ASA.

    GALERI: Proton Saga 1.3 Premium S AT 2022

    GALERI: Proton Saga 1.3 Premium AT 2022

    GALERI: Proton Saga 1.3 Standard AT 2022

    GALERI: Foto rasmi Proton Saga MC2 2022

     
     
  • CSH Alliance sasar pasang van EV BYD T3 di M’sia – rancang kilang di Tg. Malim di tanah seluas 55.32 ekar

    CSH Alliance sasar pasang van EV BYD T3 di M’sia – rancang kilang di Tg. Malim di tanah seluas 55.32 ekar

    CSH Alliance yang sebelum ini telah pun menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BYD Malaysia bagi mengedar dan memasarkan kenderaan-kenderaan elektrik komersil jenama China, BYD kini mengumumkan pula rancangan mereka untuk memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia, lapor The Star.

    Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, syarikat tersebut menyatakan bahawa mereka telah bercadang untuk mendapatkan tiga bidang tanah yang bersebelahan antara satu sama lain dengan keluasan keseluruhan 55.3186 ekar di Tanjung Malim, Perak dengan tunai sebanyak RM12 juta.

    CSH Alliance juga menyatakan bahawa syarikat subsidiari penuhnya iaitu Alliance EV (AEV) kini sudahpun memeterai perjanjian jual beli dengan Medium Visa dan Harapan Iringan bagi cadangan pengambilalihan itu. Tanah-tanah tersebut akan digunakan untuk menyediakan kilang pemasangan bagi persediaan untuk memasang van elektrik penuh komersil BYD T3 secara CKD, dan model berkenaan disasarkan untuk dibekalkan kepada industri logistik dan pengangkutan.

    “Pengambilalihan tanah tersebut adalah sebahagian daripada usaha strategik AEV dalam memenuhi keperluan MITI bagi menawarkan CBU, CKD dan kilang pemasangan tempatan dalam sektor pembuatan kereta. Kami sedang menyediakan keperluan ini lebih awal,” kata pengarah eksekutif Peter Yap dalam satu kenyataan.

    CSH Alliance sasar pasang van EV BYD T3 di M’sia – rancang kilang di Tg. Malim di tanah seluas 55.32 ekar

    Ia turut menambah bahawa pengambilan tanah itu akan membolehkan perniagaan EV syarikat berkenaan untuk bermula dan bertumbuh serta melengkapkan perniagaan perkhidmatan kewangan kumpulan itu. AEV akan ditugaskan untuk mengedar dan membekalkan BYD T3 serta aspek perkhidmatan selepas jualan bersama-sama dengan alat ganti dan pakej waranti.

    AEV menjangkakan salah satu pelanggan untuk T3 adalah Line Clear Express and Logistics, iaitu sebuah syarikat logistik dan kurier di mana CSH Alliance memiliki 15% kepentingan ekuiti.

    BYD T3 merupakan van EV kompak dengan panjang 4,460 mm, lebar 1,720 mm dan tinggi 1,875 mm, serta kapasiti kargo berjumlah 3,800 liter. Ia digerakkan dengan motor elektrik AC magnet kekal segerak menawarkan kuasa 134 hp (100 kW) dan tork maksima 180 Nm, membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 100 km/j.

    Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium-ion NCM BYD berkapasiti 50.3 kWj, memebolehkan van tersebut bergerak sejauh 300 km dengan satu cas penuh. Ia boleh dicas semula menggunakan sistem AC pada kadar 6.6 kW dengan mengambil masa 7.6 jam dari 0-100%. Manakala dengan sistem DC 40kW, cas penuh hanya akan mengambil masa selama 1.3 jam.

     
     
  • Proton X90 tidak akan dilancar tahun ini – tertangguh kerana Covid-19, masalah kekurangan bekalan cip

    Proton X90 tidak akan dilancar tahun ini – tertangguh kerana Covid-19, masalah kekurangan bekalan cip

    Pagi ini, CEO Proton, Li Chunrong membuat kejutan dengan mengumumkan bahawa syarikat akan melancarkan tiga model baru dalam masa dua tahun akan datang. Dengan berita ini, bersama Geely Haoyue/Okavango yang sudah dilihat diuji atas jalan raya Malaysia, ia mungkin menimbulkan jangkaan bahawa versi Proton yang mungkin dipanggil sebagai X90 bakal diperkenalkan tahun ini.

    Nampaknya, tidak. Semasa pelancaran Saga 2022 hari ini, timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah memberitahu bahawa tempoh dua tahun yang dinyatakan itu sebenarnya adalah untuk 2023 dan 2024, membawa makna pengenalan model baru hanya akan berlaku paling cepat tahun hadapan. Jangkaannya, ia akan termasuk SUV tujuh tempat duduk tersebut.

    “Sepatutnya tahun ini, rancangan asal, kalau bukan kerana MCO adalah tahun lepas,” kata Roslan. “Ia sepatutnya dibuat Q3 tahun ini, tetapi ia ditunda lagi dan sekarang kawan kita di China (Geely) juga sedang mengalami lockdown.”

    Proton X90 tidak akan dilancar tahun ini – tertangguh kerana Covid-19, masalah kekurangan bekalan cip

    Seperti juga pengeluar kenderaan lain, Proton turut menerima kesan daripada kekurangan bekalan semikonduktor yang berlaku di seluruh dunia. Permintaan yang tinggi dan bekalan yang rendah menjadikan harga cip melonjak tinggi, sekaligus menyebabkan syarikat itu terpaksa menghentikan sebentar operasi kilang di Tanjung Malim selama dua minggu – dengan jumlah jualan bulan April turut terjejas, kata Roslan. Antara komponen yang menerima kesan, menurut beliau adalah seperti lampu utama LED Iriz dan Persona.

    Maklum balas Roslan ini adalah selari dengan laporan pelabur yang disiarkan pada bulan Mac, yang menyatakan Proton terpaksa menangguhkan pelancaran model baru ke tahun 2023 demi memberikan fokus kepada memenuhkan tempahan yang tertunggak dan menyelesaikan masalah bekalan. Meskipun dengan semua usaha ini, jualan Proton pada bulan April menurun 32.2% menjadi 8,839 unit, termasuk 456 untuk eksport.

     
     
  • Tesla dipelawa untuk melakukan pelaburan dan hasilkan kenderaan elektrik di Malaysia – Ismail Sabri

    Tesla dipelawa untuk melakukan pelaburan dan hasilkan kenderaan elektrik di Malaysia – Ismail Sabri

    Sempena dengan kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Amerika syarikat, beliau turut mempelawa pengeluar kenderaan elektrik (EV) premium, Tesla, untuk melabur dan menghasilkan EV di Malaysia.

    “Saya cadang Tesla membuat pelaburan di Malaysia dalam menghasilkan kereta elektrik,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama,

    Dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke AS termasuk bertemu Presiden Joe Biden dan pemimpin ASEAN, selain Tesla, beliau turut mempelawa pelabur dan ahli perniagaan negara terbabit untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

    Beliau mengalu-alukan mereka, terutamanya syarikat Fortune 500 untuk melabur atau meningkatkan pelaburan mereka, iaitu dalam sektor digital ekonomi, teknologi hijau dan EV. Dalam masa yang sama, beliau telah meminta Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (AS-ABC) untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menarik pelaburan ke ASEAN, terutamanya Malaysia.

    Penubuhan AS-ABC pada 1984 mewakili 170 perniagaan utama Amerika di Asia Tenggara.

    Pada Mac lalu, media antarabangsa melaporkan rancangan Tesla untuk membina kilang membangunkan teknologi bateri lithium-ion di negara jiran, Indonesia, menemui kegagalan. Antara faktor kegagalan terbabit ialah Tesla dan kerajaan Indonesia tidak sepakat dalam soal bekalan bahan mentah. Namun sebulan kemudian, wakil kerajaan Indonesia, sekali lagi mengaturkan pertemuan dengan bos besar Tesla, Elon Musk untuk perbincangan semula mengenai rancangan terbabit termasuk menghasilkan EV di sana.

    Namun sekiranya rancangan terbabit sekali lagi tidak menemui kesepakatan, adakah ini bermakna Malaysia ada harapan untuk menarik perhatian Tesla bagi merealisasikan rancangan tersebut ke Malaysia pula?

     
     
  • Proton Saga MC2 2022 – Spesifikasi bagi setiap varian

    Proton Saga MC2 2022 – Spesifikasi bagi setiap varian

    Pagi tadi, Proton telah pun melancarkan Saga MC2 2022 yang ditawarkan dengan empat varian iaitu 1.3 Standard MT, 1.3 Standard AT, 1.3 Premium AT dan model spesifikasi penuh 1.3 Premium S AT.

    Ditetapkan dengan harga mampu milik, pastinya Saga berkeupayaan untuk kekal sebagai sedan segmen-A yang paling laris dalam pasaran tempatan. Ia ditawarkan pada harga RM34,400 untuk 1.3 Standard MT dan 1.3 Standard AT pula berharga RM38,300. Manakala 1.3 Premium AT berharga RM41,300 dan RM44,300 bagi 1.3 Premium S AT. Kesemuanya adalah harga atas jalan (bagi Semenanjung Malaysia & tanpa insurans) dan masih disertakan dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun 2022.

    Untuk yang masih berhajat menempahnya, sudah boleh melihatnya di hadapan mata dan memandu ujinya di mana-mana bilik pameran Proton berhampiran. Sementara itu, sila baca dan teliti spesifikasi lengkap bagi setiap varian barisan Saga MC 2022 ini.


    Proton Saga Standard MT 2022 – RM34,400
    Ciri standard yang diterima:

    Mekanikal

    • Enjin 1.3 liter naturally-aspirated empat-silinder VVT DOHC petrol
    • 95 PS pada 5,750 rpm, 120 Nm pada 4,000 rpm
    • Transmisi manual lima-kelajuan
    • Cakera brek ventilated (hadapan), dram (belakang)

    Luaran

    • Lampu utama reflektor halogen
    • Roda keluli 14-inci dengan tayar Atlas 175/65
    • Lampu isyarat membelok pada cermin sisi
    • Antena ‘sengat lebah’
    • Kawalan jauh untuk buka but belakang

    Dalaman

    • Konsol tengah baharu, panel kawalan pendingin hawa baharu
    • Roda stereng urethane, larasan kecondongan
    • Paparan pelbagai-info LCD
    • Lampu bantuan pemanduan ECO
    • Cermin tingkap kuasa
    • Tempat duduk fabrik hitam dengan larasan manual untuk tempat duduk hadapan
    • Tempat duduk belakang boleh lipat
    • Radio dengan ketersambungan Bluetooth
    • Dua pembesar suara
    • Satu unit USB port di hadapan
    • Satu unit soket kuasa 12V

    Keselamatan

    • Dua beg udara
    • ABS dengan EBD dan bantuan brek (BA)
    • Cagak ISOFIK untuk tempat duduk belakang
    • Penderia parkir belakang

    Proton Saga Standard AT 2022 – RM38,300
    Ditambah:

    Mekanikal

    • Transmisi automatik empat-kelajuan

    Luaran

    • Roda aloi 14-inci dengan tayar Atlas 175/65

    Dalaman

    • Dua USB port di belakang

    Keselamatan

    • Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC)
    • Traction control
    • Hill Hold Assist


    Proton Saga Premium 2022 – RM41,300
    Ditambah:

    Luaran

    • Lampu nyalaan siang LED
    • Roda aloi 15-inci dengan tayar Atlas 185/55
    • Kemasan hitam pada B-pillar
    • Perumah cermin sisi dengan rona hitam
    • Pemegang pintu sama dengan warna badan

    Dalaman

    • Roda stereng urethane pelbagai-fungsi
    • Tempat duduk upholstery balutan fabrik dengan paten quilted
    • Sistem infotaimen dengan skrin sesentuh 7.0-inci dengan ketersambungan telefon pintar Android
    • Empat pembesar suara
    • Lampu but

    Keselamatan

    • Penderia parkir hadapan
    • Kamera undur


    Proton Saga Premium S 2022 – RM44,300
    Ditambah:

    Luaran

    • Roda aloi 15-inci dua-tona dengan tayar Atlas 185/55
    • Skirt bampar hadapan
    • Skirt sisi
    • Jalur merah ‘Ethereal Bow’ pada gril
    • Kemasan hitam untuk plat nombor belakang
    • Cermin sisi auto-lipat
    • Kemasukan tanpa kunci dengan butang membuka but

    Dalaman

    • Roda stereng balutan kulit dengan jahitan merah
    • Tempat duduk balutan kulit
    • Butang penghidup enjin
    • Cermin tingkap kuasa automatik bahagian pemandu
    • Lingkaran merah pada meter, pemisah corong pendingin hawa, kemasan butang stereng/pendingin hawa
    • Headlining hitam
    • Sistem infotainmen skrin sesentuh 7.0-inci dengan ketersambungan telefon pintar Android/iOS

    GALERI: Proton Saga 1.3 Premium S AT 2022

    GALERI: Proton Saga 1.3 Premium AT 2022

    GALERI: Proton Saga 1.3 Standard AT 2022

     
     
  • Proton Saga 2022 turut dapat talaan semula suspensi

    Proton Saga 2022 turut dapat talaan semula suspensi

    Proton Saga 2022, iaitu versi facelift kedua (MC2) bagi model generasi ketiga telah dilancarkan secara rasmi pagi tadi. Seperti yang diketahui, Saga yang dikemaskini berkenaan diberikan penyegaran rupa luaran dan dalaman serta diberikan pelbagai perincian dan teknologi baharu, tetapi masih dibekalkan dengan sistem mekanikal yang sama seperti versi MC1 yang diperkenalkan pada 2019.

    Namun ketika majlis pelancarannya tadi, eksekutif program kenderaan untuk Proton Saga, Desmond John Pinto mendedahkan bahawa Saga versi kemaskini 2022 ini turut diberikan talaan semula terhadap pengendalian dan keselesaan, bagi memberikan prestasi lebih baik untuk aspek berkenaan.

    Tak boleh dinafikan, versi terdahulu sudahpun membolehkan Saga kekal yang terbaik dari segi pengendalian dan keselesaan berbanding pesaingnya dalam kelas sedan segmen-A tempatan. Bagi model 2022 ini, Saga diberikan tayar baharu yang didakwa memberikan lebih daya cengkaman dalam masa yang sama lebih senyap ketika dipandu.

    Proton Saga 2022 turut dapat talaan semula suspensi

    Tayar yang dimaksudkan adalah tayar Atlas AS380 bagi menggantikan Silverstone Kruizer NS800 pada model sebelum ini. Selain itu, penyerap hentak Saga 2022 ini turut ditala semula bagi mendapatkan lebih keselesaan, tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan prestasi pengendaliannya yang baik pada model sebelum ini.

    Proton Saga 2022 ditawarkan dalam empat varian berbeza, berbanding hanya tiga pada model 2019 dengan tambahan varian lebih sporty dikenali sebagai Premium S kali ini. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM34,400 untuk 1.3 Standard MT, 1.3 Standard AT berharga RM38,300, 1.3 Premium AT berharga RM41,300 dan RM44,300 bagi 1.3 Premium S AT.

    Kesemua varian Saga terkini tersebut menerima gril hadapan dengan logo baharu Proton, rim 15-inci rekaan baharu untuk varian Premium dan Premium S, suis-suis baharu dan disusun semula pada papan pemuka dan juga perincian lain. Khas untuk Premium S, ia turut datang dengan kit badan baharu, kemasan rim dua tona, serta serlahan-serlahan merah pada kabin.

    Model paling mahal itu juga diberikan perincian tambahan seperti sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, integrasi telefon pintar pada skrin infotainmen yang menyokong Android dan iOS menerusi screen mirroring, lampu kabin malap sendiri, stereng balutan kulit sintetik, tempat duduk balutan separa kulit sintetik, cermin sisi boleh lipat automatik,pembuka but dari luar dan lain-lain.

    Kesemua varian Saga masih dijana oleh enjin 1.3 liter empat-silinder NA DOHC VVT berkuasa 95 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 120 Nm pada takat 4,000 rpm. Model-model automatik masih menerima kotak gear 4AT yang dibekalkan dari Hyundai seperti versi 2019, manakala satu-satunya varian manual juga masih kekal dengan kotak gear lima-kelajuan yang sama.

    Untuk lebih perincian berkenaan harga, spesifikasi serta perkara lain berkenaan Proton Saga MC2 2022, anda boleh baca laporan pelancarannya pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton Saga 1.3 Premium S AT 2022

    GALERI: Proton Saga 1.3 Premium AT 2022

    GALERI: Proton Saga 1.3 Standard AT 2022

    GALERI: Foto rasmi Proton Saga MC2 2022

     
     
  • Proton akan lancar tiga model baru dalam tahun 2023 dan 2024 – SUV besar X90, EV smart #1 dan MPV?

    Proton akan lancar tiga model baru dalam tahun 2023 dan 2024 – SUV besar X90, EV smart #1 dan MPV?

    Semasa pelancaran Saga MC2 facelift 2022 pagi ini, ketua pegawai eksekutif Proton, Li Chunrong mendedahkan bahawa dalam masa dua tahun akan datang (2023 dan 2024), pengeluar kenderaan tempatan tersebut akan melancarkan tiga model baru untuk pasaran Malaysia.

    Paling dekat kami jangkakan adalah model yang menggunakan asas daripada Geely Haoyue (kerana ia sudah beberapa kali dilihat atas jalan), yang mungkin akan dijadikan sebagai SUV paling besar Proton dan dipanggil sebagai X90. Walaubagaimanapun, kita masih tidak mengetahui model yang bakal tiba ini akan menggunakan tetapan lima atau tujuh tempat duduk.

    Di Filipina, model yang menggunakan asas sama dikenali sebagai Okavango, dilengkapi enjin petrol tiga silinder 1.5 liter turbo bersama sistem hibrid ringkas dan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan ntuk menghasilkan kuasa 190 PS/300 Nm, sementara di China pula ia dilengkapi enjin petrol empat silinder 1.8 liter yang menjana 181 hp dan 300 Nm dengan gandingan transmisi yang sama.

    Proton akan lancar tiga model baru dalam tahun 2023 dan 2024 – SUV besar X90, EV smart #1 dan MPV?

    Model seterusnya mungkin adalah sebuah MPV, yang juga menggunakan asas daripada model Geely, iaitu Jiaji. Versi facelift bagi model ini sudah mula dilihat di China, dan menariknya, ia ditemui menggunakan gril Infinite Weave Proton, seperti X70, X50, Persona, Iriz dan Saga.

    Model semasa Jiaji di China ditawarkan dengan enjin petrol empat silinder 1.8 liter turbo berkuasa 181 hp dan tork 300 Nm, serta versi plug-in hybrid yang menggunakan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder bersama motor elektrik untuk menghasilkan kuasa 255 hp dan 385 Nm.

    Melalui gambar spyshot juga kita dapat melihat model Jiaji facelift ini menerima beberapa perubahan perincian luar termasuk lampu belakang, pemantul cahaya, lencana serta kemasan krom pada bampar belakang. Bahagian dalam turut menerima beberapa perubahan yang menjadikan keadaannya lebih kemas.

    Satu lagi model yang kami jangka bakal tiba bukanlah sebuah Proton, tetapi akan dijual melalui Proton Edar. Ia adalah smart #1, iaitu crossover elektrik penuh dengan penggayaan Mercedes-Benz dan dibangunkan oleh Geely. Ia baru sahaja diperkenalkan kepada pasaran global bulan lalu.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Proton Edar telah dilantik sebagai pengimport dan pengedar rasmi jenama smart di Malaysia dan Thailand, dan #1 akan menjadi model pertama yang mewakili kemunculan semulanya di pasaran automotif ASEAN.

    Dibina atas platform Sustainable Electric Architecture (SEA) Geely, #1 menggunakan bateri lithium ion 66 kWh yang boleh memberikan jarak gerak 440 km mengikut standard WLTP. Ia memberi kuasa kepada motor elektrik yang menyampaikan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm secara maksimum kepada roda belakang.

    Perlu diketahui juga sekarang ini Proton tidak mempunyai sedan yang lebih besar daripada Persona, dan kita boleh membuat jangkaan pengenalan model penggantinya yang menggunakan asas daripada Preface.

     
     
  • PLUS guna AI Tapway dan GPU Nvidia bagi sistem pengenalan nombor plat untuk pengesanan tol RFID

    PLUS guna AI Tapway dan GPU Nvidia bagi sistem pengenalan nombor plat untuk pengesanan tol RFID

    November lalu, syarikat konsesi lebuhraya PLUS Malaysia telah pun mengumumkan bahawa mereka telah mengaktifkan sistem Pengecaman Automatik Nombor Pendaftaran Kenderaan (ANPR) untuk mengenalpasti setiap kenderaan yang masuk ke Lebuhraya Utara Selatan menerusi plaza tol.

    Sistem berkenaan diaktifkan bagi memastikan setiap pengguna membayar tol bagi menggunakan lebuhraya berkenaan, dan ia juga merupakan langkah pertama sebelum implementasi tol tanpa palang dengan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF).

    Bagaimana sistem pengecaman automatik ini berfungsi? Gergasi teknologi, Nvidia telah pun mendedahkan perincian sistem ANPR PLUS berkenaan yang menggunakan visi komputer serta teknologi kecerdasan buatan (AI), bersepadu dengan unit pemprosesan grafik (GPU) serta perisian-perisian berkaitan.

    Sistem yang dinamakan VehicleTrack tersebut dibangunkan oleh syarikat startup dari Malaysia iaitu Tapway. Ia mampu untuk membaca plat pendaftaran kenderaan serta mengenalpasti kelas kenderaan, jenama dan juga warna dalam masa hanya 50 milisaat, walaupun kenderaan tersebut dipandu sehingga pada kelajuan 40 km/j.

    PLUS guna AI Tapway dan GPU Nvidia bagi sistem pengenalan nombor plat untuk pengesanan tol RFID

    Tapway diasaskan oleh bekas jurutera angkasa Lim Chee How, dan syarikat berkenaan terbabit dalam projek ini selepas ia membantu proses analisa video pada 2019. Klien mereka iaitu PLUS ketika itu sedang mencari cara yang efektif bagi mengesan poin masuk dan keluar sesebuah kenderaan bagi Lebuhraya Utara Selatan yang beroperasi dengan sistem tertutup untuk tol.

    Secara spesifiknya, PLUS mahu mengelakkan pengguna menggunakan cara bayaran berlainan ketika masuk dan keluar dari lebuhraya – contohnya masuk guna Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) tetapi keluar guna Touch ‘n Go – ketika mereka sedang menyediakan sistem bayaran menggunakan teknologi RFID berkenaan.

    Ini bagi mengelakkan pengguna lebuhraya dicaj dua kali, mahupun cuba menipu sistem tersebut. “Kami tunjukkan mereka dengan visi komputer – cuma dengan kamera dan AI – anda boleh selesaikan kesemuanya,” kata Lim.

    Tapway melatih dan mengoperasikan teknologi AI mereka menggunakan GPU Nvidia A100 dan V100 Tensor Core; hasilnya sistem berkenaan mampu untuk berfungsi dalam semua keadaan cahaya dan cuaca bersama ketepatan yang konsisten pada kadar 97%, jelas Nvidia.

    PLUS guna AI Tapway dan GPU Nvidia bagi sistem pengenalan nombor plat untuk pengesanan tol RFID

    Setiap GPU mampu untuk menguruskan sehinga 50 strim video pada satu masa menggunakan Nvidia Triton Interference Server, membolehkan sistem ANPR berkenaan memproses sehinga 28,800 imej seminit pada pelayan menggunakan GPU Nvidia A10, A30 dan T4.

    “Triton merupakan penyelamat nyawa sebenar buat kami,” kata Lim. “Kami berhadapan dengan masalah penskalaan ketika melakukan inferens dan multithreading sendiri dan tidak boleh melangkaui 12 strim video dalam pelayan, tetapi dengan Triton dengan mudahnya kami mampu menangani 20 dan kami telah uji sehingga 50 strim serentak,” katanya lagi.

    Menurut Lim, Tapway menggunakan set data sehingga 100,000 imej bagi menyediakan model AI baharu kepada pelanggan dalam masa hanya beberapa jam, berbanding beberapa hari sekiranya menggunakan sistem berasaskan CPU. Syarikat tersebut membangunkan aplikasi mereka menggunakan kit pembangunan perisian Nvidia DeepStream (SDK) dan mengoptimakan model AI mereka menerusi Tensor RT, iaitu SDK untuk inferens adaptasi dalam prestasi tinggi.

    PLUS guna AI Tapway dan GPU Nvidia bagi sistem pengenalan nombor plat untuk pengesanan tol RFID

    Seperti yang kami laporkan sebelum ini, PLUS menggunakan sistem ANPR bukan sahaja pada lorong RFID, malah turut digunakan pada lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG. Ini membolehkan mereka mengesan kesemua pengguna lebuhraya, walaupun mereka masuk menggunakan lorong kad TnG atau SmartTAG dan keluar melalui lorong RFID, menyebabkan caj dibuat menerusi eWallet (menerusi RFID) dan bukan dari kad TnG. Syarikat tersebut telah memasang sejumlah 577 kamera setakat ini dan bercadang untuk meluaskan lagi penggunaannya ke hampir 900 pada 92 plaza tol, kata Nvidia.

    Namun dengan semua teknologi, sistem ANPR PLUS ini masih lagi belum ‘kalis gagal’. Oleh itu, PLUS tetap menyediakan pusat pengesahan khas yang dioperasikan oleh staf mereka bagi membantu sistem tersebut untuk mengenalpasti kerosakan, kekotoran atau nombor plat tidak standard yang menggunakan abjad, nombor dan susunan fancy.

    Sejak ditubuhkan pada 2014, Tapwy telah memasang 3,000 penderia di 500 lokasi di Malaysia dan Singapura. Teknologi AI mereka bukan hanya mengecam nombor pendaftaran malah turut membantu membuat penyelidikan terhadap tabiat membeli pengguna di pusat membeli-belah. Menurut Invidia lagi, Tapway turut mahu membantu pengeluar kenderaan dan minyak sawit di Malaysia dalam mempertingkatkan pemeriksaan kawalan kualiti.

     
     
  • Proton Saga MC2 2022 dilancarkan – empat varian, ESC turut diberikan untuk Standard AT; dari RM34k

    Proton Saga MC2 2022 dilancarkan – empat varian, ESC turut diberikan untuk Standard AT; dari RM34k

    Selepas beberapa bulan spyshot dan teaser bagi Proton Saga MC2 facelift 2022 berlegar-legar di Internet, pagi ini, ia telah pun dilancarkan secara rasminya. Kali ini ia didatangkan dengan empat varian iaitu 1.3 Standard MT, 1.3 Standard AT, 1.3 Premium AT dan model spesifikasi penuh 1.3 Premium S AT.

    Ia ditawarkan pada harga RM34,400 untuk 1.3 Standard MT dan 1.3 Standard AT pula berharga RM38,300. Manakala 1.3 Premium AT berharga RM41,300 dan RM44,300 bagi 1.3 Premium S AT. Kesemuanya adalah harga atas jalan (bagi Semenanjung Malaysia & tanpa insurans) dan masih disertakan dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun 2022.

    Untuk pengetahuan anda, MC2 membawa maksud Minor Change 2, jadi perubahan yang dilakukan terhadap Saga 2022 tidaklah begitu ketara, cuma melibatkan beberapa peningkatan ciri dalaman dan luaran.

    Ini bermakna, perubahan yang dilakukan tidak melibatkan bahagian mekanikal. Saga 2022 masih menggunakan enjin yang sama iaitu 1.3 liter empat-silinder NA DOHC VVT dengan kuasa 95 PS pada 5,750 rpm dan tork 120 Nm pada 4,000 rpm.

    Menggunakan pacuan roda-hadapan, ia turut diberikan pilihan transmisi sama ada manual lima-kelajuan (bagi varian 1.3 Standard MT) ataupun automatik empat-kelajuan (sama seperti sebelum ini). Bagi transmisi automatik empat-kelajuan itu, ia sebenarnya adalah satu perubahan yang diperkenalkan pada Saga MC1 tahun 2019 dahulu, bagi menggantikan kotak gear CVT.

    Seperti mana yang disebut di perenggan awal, perubahan yang dilakukan cuma minimal, barisan Saga 2022 terus dipadankan dengan bampar dan pencahayaan yang sama, masih kekal dengan unit halogen dan tidak diberikan peningkatan kepada lampu utama LED.

    Namun ada sedikit pembaharuan yang dilakukan pada wajah Saga 2022 ini, di mana bahagian gril paten ‘Infinite Weave’ telah pun mengenakan lencana bulat Proton yang baharu, yang pertama kali ditampilkan tahun lalu pada Iriz dan Persona facelift.

    Selain itu, bagi varian Premium S, jalur Ethereal Bow pada gril juga diberi kemasan merah berbanding krom, sama seperti pada X50. Manakala varian Standard dan Premium kekal dengan kemasan perak seperti sebelum ini.

    Bukan itu sahaja, Premium S juga menjadi varian tunggal yang menerima skirt sisi yang lebih tebal dan menonjol serta skirt bagi bampar hadapan turut dipadankan bagi memberikan keseimbangan. Model spesifikasi tertinggi ini juga diberikan ruang plat nombor hitam dengan perkataan Proton, manakala varian lain dengan warna yang sama dengan badan. Ciri baharu untuk luaran termasuk perumah cermin sisi dengan warna hitam.

    Bagi rim pula, ia turut diberikan unit baharu untuk varian Premium dan Premium S dengan rim aloi ’empat-cabang’ rona perak (dua-tona untuk Premium S, tona tunggal bagi Premium) bersaiz 15-inci, sementara varian Standard akan terus menggunakan unit keluli 14-inci.

    Kedua-dua saiz rim ini dibaluti tayar Atlas AS380 – 175/65 untuk 14-inci dan 185/55 bagi 15-inci. Kalau nak tahu, Atlas adalah tayar keluaran China dan ia dipilih kerana dikatakan memiliki cengkaman yang dipertingkatkan serta mampu mengurangkan bunyi bising geseran jalan.

    Proton Saga MC2 2022 dilancarkan – empat varian, ESC turut diberikan untuk Standard AT; dari RM34k

    Menjengah bahagian kabinnya, perubahan minimal juga dilakukan. Kali ini Saga menerima konsol tengah yang direka semula, hadir dengan perincian merah termasuk bahagian tengah corong pendingin hawa. Jalur krom kecil yang memisahkan butang stereng juga dalam warna merah.

    Malah ruang yang lebih besar juga diberikan antara USB port dan soket 12V, bolehlah diletakkan telefon bimbit. Selain itu, panel kawalan pendingin hawa juga diberikan sentuhan baharu, dengan dua tombol ala Iriz/Persona dan dua butang di tengahnya. Pendingin hawa juga diberikan penapis kabin N95 seperti model baharu Proton yang lain.

    Stereng tiga-jejari dalam gaya yang sama dengan Exora juga diberi rekaan baharu bagi lencana beg udaranya, sama seperti Iriz dan Persona. Gelung pada kluster instrumen pula kini dalam warna merah berbanding perak sebelum ini.

    Untuk Premium S, ia turut menerima sistem infotainmen baharu. Masih kekal dengan skrin sesentuh 7.0-inci dengan kamera undur, ia diberikan sistem operasi (OS) baharu dengan grafik baharu, termasuk butang ‘home’ dengan logo Proton seperti X50 serta grafik penutup “please check your belongings” seperti yang dapat dilihat pada model Perodua.

    Untuk integrasi telefon pintar, ia menyokong Android dan iOS, kedua-dua menerusi screen mirroring, dan bukannya Android Auto atau Apple CarPlay.

    Sistem skrin sesentuh Premium masih dikekalkan, dengan ketersambungan Android sahaja. Kedua-dua varian tertinggi turut diberikan empat pembesar suara dan hanya dua unit untuk varian Standard.

    Bagi Premium S, ia turut diberikan perincian merah keliling tombol pada panel meter. Pendekatan ini juga pernah digunakan untuk Saga Edisi Ulangtahun pada 2020, yang datang dengan kemasan kuning pada bahagian corong pendingin hawa dan tengahnya.

    Varian tertinggi ini juga menerima stereng balutan kulit sintetik (bukan urethane), tempat duduk balutan separa kulit sintetik (bukan lagi fabrik) dengan jahitan merah. Semua ciri sentuhan merah tersebut ditukar ke warna perak untuk varian Premium dan hitam bagi Standard. Kedua-dua varian tersebut juga menerima tempat duduk balutan fabrik sepenuhnya.

    Ciri baharu lain yang diberikan untuk Premium S adalah termasuk kemasan dalaman dengan warna hitam, lampu dalam malap sendiri, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, cermin sisi boleh lipat automatik dan pembuka but dari luar.

    Bagi aspek keselamatan, semua varian menerima ciri standard merangkumi dua beg udara, ABS dengan EBD, bantuan brek (BA), cagak Isofik untuk tempat duduk belakang dan sistem Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC) juga telah dikembangkan kepada varian Standard AT (Standard MT masih tidak mempunyai ESC), selain Traction Control dan Hill Hold Assist (sebelum ini hanya boleh didapati pada varian 1.3 Premium AT).

    Manakala kamera undur dan penderia parkir hadapan diberikan untuk dua varian tertinggi. Walau bagaimana pun, Autonomous Emergency Braking masih belum diberikan untuk Saga 2022.

    Tiada perubahan pada pilihan warna, ia masih dikekalkan dengan variasi Snow White, Armoured Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon dan Ruby Red. Namun varian Standard boleh dipilih dengan semua warna tersebut kecuali Ruby Red.

    GALERI: Proton Saga 1.3 Premium S AT 2022

    GALERI: Proton Saga 1.3 Premium AT 2022

    GALERI: Proton Saga 1.3 Standard AT 2022

    GALERI: Foto rasmi Proton Saga MC2 2022

     
     
  • Proton akan serap kenaikan harga bahan mentah untuk kekalkan harga jualan kereta-kereta keluarannya

    Proton akan serap kenaikan harga bahan mentah untuk kekalkan harga jualan kereta-kereta keluarannya

    Sebelum ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sudahpun menyatakan bahawa pengeluar-pengeluar automotif mungkin akan menaikkan harga jualan untuk model-model mereka pada pasaran tempatan kerana kos bahan mentah dan juga logistik kini semakin tinggi akibat nilai ringgit yang semakin lemah.

    Namun menurut presiden MAA Datuk Aishah Ahmad, syarikat-syarikat automotif masih belum membuat keputusan sama ada untuk menaikkan atau tidak harga kereta-kereta baharu, dan mereka akan terus menyerap kos-kos yang semakin tinggi berkenaan – Proton adalah antara syarikat-syarikat tersebut, menurut laporan Berita Harian.

    Naib CEO Proton Roslan Abdullah berkata, syarikatnya kini akan terus menyerap kenaikan kos bahan mentah bagi membolehkan model-model baharunya di bilik pameran kekal dijual pada harga sedia ada, dan masih belum membuat sebarang keputusan untuk menaikkan harga jualan mereka.

    “Proton belum putuskan apa-apa lagi buat masa sekarang. Jika ada (kenaikan atau sebaliknya), kami akan umumkan dalam masa terdekat. Buat masa ini kita masih lagi cuba menyerap kenaikan kos,” kata Roslan kepada akhbar berkenaan. Walau bagaimanapun, beliau menambah jika keadaan memaksa selain mengambil kira pembabitan vendor, Proton berkemungkinan terpaksa berkongsi kenaikan harga berkenaan dengan pelanggan.

    Proton juga kini bersedia untuk mengumumkan harga baharu model-model mereka yang tidak lagi akan menerima pengecualian cukai jualan dan servis (SST) bermula 1 Julai nanti selepas insentif dari kerajaan berkenaan tamat pada 30 Jun 2022. Namun pada 1 Mei lalu, Proton sudah pun menyatakan bahawa mana-mana model yang ditempah selepas tarikh berkenaan hanya akan diserahkan kepada pembeli selepas 30 Jun dan tidak akan menerima pengecualian cukai berkenaan.

     
     
  • Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

    Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

    Setiap kali ada kami buat hantaran berkenaan Alza, pasti ramai yang menderu masuk untuk membaca berkenaan MPV keluaran Perodua ini.

    Maklumlah, ia adalah MPV tujuh-tempat duduk paling mampu milik yang diperlukan banyak keluarga di Malaysia, membolehkan momentum jualannya kekal stabil sejak ia dilancarkan pada November 2009 dan telah menerima dua fasa facelift iaitu pada Januari 2014 serta September 2018 sehingga produksinya tamat pada bulan lalu – bermaksud ia sudah pun dijual selama 12-tahun dalam pasaran.

    Walaupun boleh dikategorikan sebagai agak ‘kuno’ dari segi teknologi dan perincian berbanding pesaingnya lain dalam pasaran, Alza generasi pertama tersebut berjaya dijual hampir 15,000 unit sepanjang tahun lalu, dan kurang hanya sekitar 500 unit berbanding Perodua Aruz yang lebih moden.

    Menurut CEO dan presiden Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad, Alza telah memberikan keuntungan penuh kepada Perodua – ia dijual dalam pasaran lebih dari satu dekad, bermakna segala pelaburan pembangunan yang dibuat terhadap model tersebut telah lama ‘balik modal’, dan setiap jualannya memberikan keuntungan yang tinggi.

    Sebab paling utama produksi Alza generasi pertama ini terpaksa dihentikan adalah kerana ia tidak lagi menepati undang-undang emisi ekzos setelah kerajaan beralih dari penarafan Euro 2 kepada Euro 4 pada tahun ini (ia pada asalnya dijadualkan akan beralih pada 1 Oktober 2021).

    Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

    Gambar intipan awalan Alza D27A yang dilihat ‘bersembunyi’ dibawah badan Toyota Avanza, diuji bersama Mitsubishi Xpander dan Suzuki Ertiga

    Sebelum ini, Perodua turut mengesahkan bahawa sebaik sahaja produksi Alza generasi pertama ini tamat, mereka akan memulakan operasi pemasangan untuk model generasi keduanya pula, yang sehingga kini dikenali dengan kod projek D27A. Ini bermaksud, model gantian untuk MPV tersebut bakal dilancarkan secara rasmi bila-bila masa dari sekarang. Jadi dalam artikel ini, kami akan membuat kompilasi segala maklumat yang kami tahu setakat ini berkenaan model tersebut, agar mudah anda membuat jangkaan berkenaan spesifikasi, rupa mahupun harganya apabila ia dilancarkan kelak.

    Jika sebelum ini Alza berkongsi asas yang sama dengan model JDM iaitu Toyota Passo Sette dan juga Daihatsu Boon Luminas (kedua-dua model ini hanya bertahan selama empat tahun di Jepun, berbanding Alza yang mampu dijual selama 12-tahun dengan permintaan tinggi di Malaysia!), model generasi baharu ini pula dihasilkan menerusi platform baharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dan ia berkongsi asas yang sama dengan Toyota Avanza/Veloz serta Daihatsu Xenia generasi baharu – kedua-duanya telah pun dilancarkan di Indonesia pada November tahun lalu.

    Ini bermaksud selepas dilancarkan nanti, Alza generasi baharu ini akan berhadapan terus dengan model-model MPV tujuh tempat duduk sedia ada dalam pasaran dan ‘lahir’ di Indonesia seperti Mitsubishi Xpander (MPV bukan nasional paling laris di Malaysia).

    Model kedua Perodua guna platform DNGA

    Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

    Selepas Ativa, Alza D27A ini akan menjadi model kedua Perodua yang menggunakan platform DNGA. Seperti yang ramai sudah tahu, DNGA ini dihasilkan berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang diolah semula bagi menghasilkan model-model kompak Toyota, Daihatsu dan Perodua. Platform DNGA ini juga selepas ini bakal digunakan sebagai asas untuk model generasi baharu Toyota Vios yang kini dikenali dengan kod projek D92A.

    Bagi DNGA untuk Alza D27A ini, ia bakal dihasilkan dengan struktur yang sama seperti Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia sebagai MPV tujuh-tempat duduk, berbeza dengan Perodua Ativa/Toyota Raize/Daihatsu Rocky yang dihasilkan sebagai SUV segmen-B permulaan (hampir kepada saiz segmen-A).

    Adakah Toyota Avanza generasi baharu turut akan dijual di Malaysia?

    Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

    Nama ‘Avanza’ memang sudah kuat dalam Malaysia. Sebelum adanya Alza, Toyota Avanza merupakan perintis kepada MPV tujuh-tempat duduk kompak mampu milik dalam pasaran tempatan. Sebagai kembar kepada Alza generasi kedua, sekiranya Avanza generasi baharu ini turut dijual di sini, sudah tentu ia akan seperti kembar Perodua Aruz/Toyota Rushdihasilkan bersama di kilang Perodua di Rawang, tetapi dijual dengan logo Toyota serta menampilkan harga lebih mahal.

    Sebelum ini juga Perodua sudah mengumumkan bahawa pemasangan kontrak di kilang mereka untuk tahun ini disasarkan hanya berjumlah 2,000 unit – angka yang sepadan dengan pengeluaran Rush kerana model tersebut sememangnya tidak dijual dalam jumlah yang banyak setiap tahun.

    Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

    Buat masa sekarang, UMW Toyota tidak mempunyai fasiliti bagi memasang model-model yang dihasilkan menerusi platform DNGA di kilang mereka, selepas membuat pelaburan besar bagi membuat tingkat taraf di kilang Bukit Raja bagi memasang model-model yang diasaskan dari platform TNGA, bermula dengan Corolla Cross.

    Walau bagaimanapun, UMW Toyota mungkin bakal turut melengkapkan kilang mereka untuk memasang model-model berasaskan platform DNGA ini kelak kerana Vios generasi seterusnya akan dibangunkan dengan platform berkenaan. Jadi ada kemungkinan, Toyota mungkin akan menjual versi lebih premium Avanza iaitu Veloz di pasaran tempatan, memberikan perbezaan yang besar dengan Alza sesuai dengan harga yang lebih tinggi.

    Berapa besar saiz Alza generasi kedua ini berbanding saingan-saingan sekelasnya?

    Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

    Mengambil contoh Ativa dan Daihatsu Rocky/Toyota Raize, Alza D27A ini dijangka akan menampilkan dimensi sama dengan Avanza generasi baharu. MPV tersebut diukur dengan panjang 4,395 mm panjang, lebar 1,750 mm, tinggi 1,700 serta jarak roda sejauh 2,750 mm. Jadi berbanding Alza sebelumnya, Alza 2022 ini sememangnya lebih besar dengan 175 mm lebih tinggi, 55 mm lebih lebar dan 80 mm lebih tinggi, tetapi jarak roda antara kedua-dua model ini kekal sama.

    Manakala berbanding Mitsubishi Xpander, Alza hanya 80 mm lebih pendek, 30 mm lebih rendah serta jarak roda 25 mm lebih dekat, tetapi lebar kedua-dua MPV ini adalah sama. Kesimpulannya, Alza D27A ini akan menampilkan kabin yang lebih kecil berbanding Xpander, terutamanya pada bahagian kelegaan kepala dan bahu.

    Alza 2022 ini juga masih perlu berhadapan dengan Proton Exora – satu lagi MPV nasional yang sudah berada lebih satu dekad dalam pasaran. Dari segi saiz, Exora adalah 215 mm lebih panjang serta 59 mm lebih lebar, tetapi tampil dengan jarak roda lebih pendek.

    Exora sebenarnya mempunyai sifat yang lebih dekat dengan kereta, dan diukur 9 mm lebih rendah berbanding Alza 2022 ini yang sememangnya sebuah MPV sejati. Walaupun Exora boleh dikategorikan sebagai MPV segmen-C, kami menjangkakan Alza 2022 bakal dijual pada harga yang hampir dengan model Proton yang sudah agak berusia dalam pasaran ini.

    Rekaan luaran – banyak beza berbanding Avanza?

    Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

    Untuk rekaan luaran, sekali kita boleh jadikan Ativa/Raize/Rocky sebagai panduan. Untuk kembar SUV tersebut, ketiga-tiganya menampilkan rekaan sisi serta lampu hadapan dan belakang yang sama, dibezakan pada muka dan juga bampar belakang serta rekaan rim.

    Jadi perkara sama boleh kita jangka pada Alza di mana MPV baharu dari Perodua ini akan menampilkan lampu hadapan dan belakang yang nipis dan tirus, garis sisi atas badan yang bersambung dengan lampu hadapan dan belakang, diberikan rekaan seperti fender flare pada kesemua ruang roda serta tiang-D yang memberikan rupa “bumbung terapung”.

    Untuk muka, Perodua berkemungkinan akan menerapkan rekaan signatur terkini mereka iaitu dengan elemen-X seperti Ativa dan juga Myvi facelift 2022. Susah nak bayang? Pakar manipulatif automotif, Theophilus Chin sebelum ini sudahpun menghasilkan dua lakaran bayangan digital Perodua Alza generasi baharu berkenaan.

    Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

    Lakaran pertama yang dibuat oleh Theo adalah dengan menerapkan perincian dari Myvi facelift pada Alza ini termasuk gril, lampu nyalaan siang yang diletakkan menegak dan juga gril bawah pada bampar. Manakala lakaran kedua dibuat berdasarkan maklumat dalaman yang didakwa bocor sebelum ini, yang menyatakan bahawa Alza bakal menerima gril dengan elemen pin krom seakan gril Mercedes-Benz.

    Dalam kabin, Alza 2022 turut dijangka akan berkongsi rekaan yang sama dengan Avanza/Xenia termasuk bahagian papan pemuka, dan akan dibezakan dengan beberapa perincian-perician kecil. MPV ini juga mungkin akan menerima perincian-perincian dari Ativa seperti skrin infotaimen sembilan-inci, paparan instrumen digital dengan skrin tujuh-inci pada varian lebih tinggi, serta kawalan sistem pendingin hawa digital (bersama butang memori berbanding fungsi automatik pada Toyota).

    Dengan platform DNGA pacuan hadapan ini juga akan membolehkan kesemua tempat duduk Alza ini dilipat rata tanpa halangan.

    Adakah Alza bakal dilengkapi fungsi Apple CarPlay atau Android Auto?

    Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

    Papan pemuka Toyota Avanza pasaran Indonesia

    Buat masa sekarang tiada lagi jenama automotif tempatan yang menawarkan kedua-dua fungsi hubungan antara telefon pintar dan sistem infotainmen kenderaan ini. Untuk Proton, mereka sememangnya membangunkan sistem mereka sendiri yang dilihat tidak akan menampilkan fungsi tersebut, manakala Perodua pula lebih terbuka dan mungkin akan menawarkan Apple CarPlay mahupun Android Auto ini pada model-model mereka akan datang.

    “Kami memang dapat banyak permintaan terhadap Apple CarPlay, jadi untuk model-model akan datang kami akan mengambilkira [fungsi ini],” kata Zainal sebelum ini. “Buat masa sekarang, dengan Myvi [facelift yang belum diberikan Apple CarPlay atau Android Auto], kami perlu ambil kira persamaannya dengan Ativa.”

    Dengan faktor bahawa Alza D27A akan berkongsi banyak kelengkapan dengan Ativa, ada kemungkinan ia masih tidak akan hadir dengan dua kedua-dua atau salah satu fungsi hubungan tersebut. Namun dengan lebih masa pembangunan berbanding Myvi, ada kemungkinan juga fungsi tersebut dapat diberikan pada Alza baharu ini – kalau tidak pada pelancarannya nanti, mungkin untuk model-model kemaskini atau facelift kelak?

    Apa kelengkapan keselamatan yang akan diberikan pada Alza?

    Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

    Alza generasi pertama sememangnya sangat ketinggalan dari segi kelengkapan keselamatan memandangkan ia dibangunkan lebih sedekad yang lalu. Model generasi baharu ini bakal menyaksikan ia akan menerima sistem-sistem yang jauh lebih moden memandangkan model ini dibangunkan menerusi platform terbaharu dari Daihatsu/Toyota, serta Perodua juga kini mampu menawarkan fungsi keselamatan yang sangat canggih pada harga mampu milik seperti telah ditunjukkan model-model terkininya buat masa sekarang.

    Paling asas, Alza D27A ini dijangka bakal menerima enam-beg udara (berbanding hanya dua sebelum ini) dan kawalan kestabilan elektronik secara standard untuk semua varian, sama seperti Aruz dan juga Ativa. Bagi varian lebih tinggi, Alza sudah tentu bakal menerima sistem bantuan pemanduan keselamatan Perodua Safety Drive Assist (PSDA).

    Kami jangkakan sistem berkenaan adalah seiras dengan Ativa termasuk fungsi seperti brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan dan pemantau titik buta, manakala pakej PSDA yang dibekalkan turut tampil dengan fungsi pemanduan separa autonomi Tahap 2 dengan teknologi cruise control adaptif serta bantuan kekal tengah lorong.

    Pasti ramai yang beranggapan bahawa Alza D27A ini adalah versi downgrade dari Avanza kerana ia diberikan lencana Perodua bukan? Kalau anda nak tahu, fungsi pemanduan separa autonomi Tahap 2 ini tidak ditawarkan pada mana-mana varian Avanza pasaran Indonesia (tidak termasuk Veloz yang dijual pada harga jauh lebih mahal), dan ia kini sudah pun dibekalkan pada varian tertinggi AV untuk Ativa dan Myvi facelift.

    Enjin dan kotak gear apa yang bakal diterima oleh Alza?

    Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

    Paling jelas, Perodua mungkin akan menggunakan padanan unit rangkaian kuasa yang sama seperti Avanza/Veloz/Xenia untuk Alza 2022 ini iaitu gandingan enjin 2NR-VE 1.5 liter empat-silinder NA Dual VVT-i bersama kotak gear gear D-CVT, yang dilihat sama seperti Perodua Myvi facelift 2022.

    Namun berbeza dengan Myvi yang menghasilkan 102 PS/138 Nm, enjin sama untuk versi MPV ini menerima talaan yang membolehkan ia menjana 106 PS ada takat 6,000 rpm dan tork maksima 138 Nm pada takat 4,200 rpm. Dan tidak mustahil juga Perodua boleh membuat kejutan dengan memberikan enjin 1KR-VET 1.0 liter tiga-silinder turbo sama seperti Ativa, memandangkan platform DNGA memang dibangunkan untuk memuatkan enjin berkenaan.

    Pada Ativa, enjin tersebut menghasilkan kuasa 98 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm bermula 2,400 hingga 4,000 rpm – tujahan tork lebih besar bermula dari putaran enjin lebih rendah ini tentu sahaja lebih padan untuk membawa tujuh orang dewasa dalam MPV dengan lebih mudah bukan?

    Sama seperti Ativa, kami turut jangkakan Alza 2022 ini hanya akan ditawarkan dalam hanya satu pilihan enjin, berbanding Avanza pasaran Indonesia yang turut ditawarkan dengan varian enjin lebih kecil iaitu 1.3 liter NA bersama pilihan kotak gear manual lima-kelajuan.

    Bila Alza 2022 akan dilancarkan?

    Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

    Seperti yang kami sebutkan tadi, produksi untuk Alza D27A ini mungkin sudah bermula sebaik sahaja produksi model generasi sebelumnya ditamatkan. Namun tarikh pelancaran model ini tidak boleh dibuat sesuka hati atau secepat mungkin berdasarkan pelbagai faktor.

    Anda tentu perasan selalunya sebaik sahaja model-model baharu Perodua dilancarkan, ia terus boleh dilihat berkeliaran di atas jalan raya seawal minggu pertama ia mula dijual secara rasmi bukan? Ini kerana Perodua sentiasa memastikan mereka sudah cukup stok yang banyak ketika satu-satu model itu dilancarkan bagi mengurangkan tempoh menunggu pelanggan.

    Ditambah pula dengan masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor global yang menjejaskan produksi hampir kesemua jenama automotif, ini mungkin melambatkan lagi tarikh pelancaran MPV berkenaan. Jadi untuk jangkaan selamat, Alza 2022 mungkin hanya akan dilancarkan selepas Jun, sebaik sahaja pengecualian cukai jualan (SST) tamat pada 30 Jun bagi mengelakkan ‘huru-hara’ pelanggan yang mahukan stok kereta mereka sebelum tarikh tersebut dan juga kekeliruan terhadap harga jualannya.

    Berapa harga jualan Perodua Alza 2022 ini?

    Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

    Dengan teknologi terkini sama seperti yang diterima oleh Toyota dan Daihatsu, kami jangkakan harga Alza 2022 akan lebih tinggi dari model sedia ada. Ia sudah dibuktikan di Indonesia dengan kenaikan harga dilihat pada Avanza generasi baharu yang lebih moden, berbanding model generasi sebelumnya yang menggunakan casis semi-monocoque pacuan belakang dengan gandar hidup diperkenalkan sejak 2003.

    Bagi model Alza generasi sebelumnya, ia dijual pada harga bermula RM49,944 bagi model 1.5 S manual, diikuti varian asas automatik berharga RM52,661 serta varian paling tinggi 1.5 AV berharga RM60,525. Dengan kelengkapan tinggi dibekalkan walaupun untuk model asas, Alza generasi kedua ini kami jangkakan akan dijual pada harga permulaan lebih tinggi berbanding model 1.5 AV generasi pertama.

    Harga tersebut hampir dengan satu lagi model dengan platform DNGA iaitu Ativa, manakala varian tertinggi untuk Alza 2022 ini tidak mustahil akan melepasi RM70k. Angka tersebut masih lagi dalam lingkungan psikologi yang patut untuk sebuah Perodua, dibuktikan dengan harga jualan varian tertinggi Perodua Aruz.

    Perodua Alza D27A 2022 – apa yang kami tahu setakat ini; termasuk harga, spesifikasi, saiz dan lain-lain

    Sebagai perbandingan, Toyota Avanza dijual pada pasaran Indonesia bermula 233.1 juta rupiah (RM70,200) bagi model asas dengan enjin 1.3L, kotak gear manual dan hanya menerima dua beg udara. Model 1.5 G CVT pula dijual pada harga 269.8 juta rupiah (RM81,300), manakala varian paling tinggi dilengkapi enam-beg udara dan Toyota Safety Sense mencecah 295.8 juta rupiah (RM89,100).

    Harga-harga tersebut adalah termasuk cukai barangan mewah yang diperkenalkan semula di republik berkenaan. Sebelum itu Avanza dijual di Indonesia dengan harga bermula 206.2 juta rupiah (RM62,100) sehingga 264.4 juta rupiah (RM79,600) yang kami rasa tak jauh beza dengan harga jualan Perodua Alza 2022 di Malaysia kelak.

    Kami telah pun menulis pelbagai artikel berkenaan Perodua Alza D27A sebelum ini, yang boleh anda baca menerusi pautan-pautan berikut:

    Kami akan sentiasa mengemaskini artikel ini setiap kali menerima maklumat terbaharu berkenaan Perodua Alza 2022 sebelum ia dilancarkan. Jadi jika anda benar-benar berminat untuk mengetahui perkembangannya, pastikan anda sentiasa kembali ke artikel ini.

     
     
  • Harley-Davidson LiveWire S2 Del Mar LE diperkenal – motosikal elektrik terhad 100 unit, RM66k di AS

    Harley-Davidson LiveWire S2 Del Mar LE diperkenal – motosikal elektrik terhad 100 unit, RM66k di AS

    Harley-Davidson memperkenalkan motosikal elektrik kedua mereka, yang dinamakan sebagai LiveWire S2 Del Mar kepada pasaran. Sebagai permulaan, ia ditawarkan dalam versi Launch Edition (LE), pada harga USD 15,000 (RM65,761) dan terhad 100 unit, namun semuanya sudah habis terjual.

    Walaubagaimanapun, bagi yang masih berminat dengan Livewire S2 Del Mar (versi biasa) ini, mereka masih boleh mendapatkannya dengan mendaftar di laman web terlebih dahulu tetapi tarikh penghantaran kepada pelanggan masih belum diberitahu. Perincian kuasa motor dan bateri juga masih belum didedah.

    Apa yang didedahkan cuma S2 Del Mar ini mampu menawarkan harga 80 hp atau lebih, dengan jarak gerak mencecah 160 km dan bateri yang boleh menerima pengecasan Level 1 dan 2. Berat motosikal disasarkan berada pada 197 kg, manakala pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa antara 3.5 saat atau lebih pantas lagi.

    Harley-Davidson LiveWire S2 Del Mar LE diperkenal – motosikal elektrik terhad 100 unit, RM66k di AS

    Daripada gambar yang didedah, kita boleh melihat S2 Del Mar ini mempunyai rekaan seperti flat tracker dan scrambler, dengan lampu hadapan pula berbentuk lonjong seperti Sportster. Motor elektrik diletakkan di bahagian tengah, dengan kuasa disampaikan kepada roda belakang menggunakan tali sawat, sementara bateri pula berada di tempat yang biasanya menempatkan enjin dan mempunyai sirip penyejuk.

    Kelengkapan lain pada motosikal elektrik ini adalah angkup brek Brembo, rim yang dibalut tayar gemuk di hadapan, fork USD, monoshock di belakang, dua tempat duduk, cermin sisi di hujung pemegang, meter ringkas berbentuk bulat serta penghadang lumpur hadapan pendek.

     
     
  • Touch ‘n Go eWallet ada semula di Apple App Store

    Touch ‘n Go eWallet ada semula di Apple App Store

    Setelah “hilang” sementara dari Apple App Store selama beberapa hari sebelum ini, aplikasi Touch ‘n Go eWallet kembali tersenarai untuk dimuat turun oleh pengguna iPhone.

    Ketika artikel ini ditulis, versi 1.7.73 untuk aplikasi eWallet itu merupakan yang terkini (dimuatkan hari ini) dan tersenarai dalam App Store dan nampaknya masih mengekalkan ciri yang sama seperti sebelum ini. Ini termasuklah ciri untuk menambah nilai kad Enhanced Touch ‘n Go menggunakan teknologi NFC serta servis pinjaman peribadi digital GOpinjam.

    Ciri yang dinyatakan itu sebelum ini dikhabarkan melanggar tatacara dan terma App Store, menyebabkan ia tidak disenaraikan. Bagaimanapun, masalah yang timbul antara Touch ‘n Go dan Apple berkaitan aplikasi itu telah diselesaikan dan pengguna iPhone kini boleh mendapatkan ciri berkenaan semula. Untuk Android, semuanya seperti biasa sahaja.

    Kita masih belum tahu apa alasan sebenar yang menyebabkan aplikasi berkenaan dihilangkan dari App Store dan Touch ‘n Go juga belum memberikan sebarang penjelasan. Apa pun, semuanya boleh diakses seperti biasa ketika ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024