Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda Malaysia hadiahkan tujuh model edisi khas bagi Kempen 1 Million Dreams yang berakhir 24 Mac 2021

    Honda Malaysia hadiahkan tujuh model edisi khas bagi Kempen 1 Million Dreams yang berakhir 24 Mac 2021

    Honda Malaysia kini menuju angka jualan yang ke-1 juta unit kenderaannya di sini, dan untuk itu, syarikat berkenaan ingin meraikannya bersama pelanggan setia. Bagi tujuan tersebut, “1 Million Dreams Campaign” dilancarkan, dengan antara lain turut menawarkan tujuh kereta Honda Edisi Khas untuk dimenangi.

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata; “Sejak 20 tahun lalu, Honda Malaysia merangkul slogan Challenging Spirit, dan ini membawa kepada pengenalan banyak model yang memenuhi keperluan berbeza pengguna serta memperkenalkan teknologi canggih untuk pasaran Malaysia.

    “1 Million Dreams Campaign” merupakan ucapan terima kasih kepada semua pelanggan di atas sokongan mereka selama ini, yang meletakkan Honda Malaysia di tahap sekarang. Sebagai tanda penghargaan, kami ingin menghadiahkan tujuh model Edisi Khas terdiri daripada Jazz, City, BR-V, HR-V, Civic, CR-V dan Accord. Kempen ini akan berlangsung dari 25 Februari hingga 24 Mac 2021, dengan pelbagai aktivit menarik menanti.”

    Honda Malaysia hadiahkan tujuh model edisi khas bagi Kempen 1 Million Dreams yang berakhir 24 Mac 2021

    Tujuh model Edisi Khas yang akan ditawarkan secara percuma untuk kempen ini direka dengan ciri dan penampilan menarik yang tersendiri, satu-satunya penampilan bagi setiap model terlibat itu dalam pasaran Malaysia. Antara kelainan yang diberikan ialah warna luaran dua tona, wajah depan dengan perincian merah, cermin sisi dengan garis merah sporty, rim aloi dalam warna hitam dengan perincian merah serta lencana 1 Million Dreams Signature pada bahagian fender kereta.

    Bahagian dalaman unit Edisi Khas ini juga diberikan sentuhan khusus, misalnya perehat kepala dengan balutan kulit serta lencana 1 Million Dreams bagi penumpang depan, serta stereng balutan kulit dengan jahitan merah dan penanda tengah. Setiap kereta ini juga datang dengan bekas kunci kulit Edisi Khas.

    Kempen ini juga dianjurkan bersama rakan jenama lain seperti Cuckoo, Shopee dan Watsons. Sebagai tambahan, Honda Mlaaysia juga ingin meluahkan penghargaan kepada barisan hadapan yang telah bertungkus lumus kebelakangan ini. Untuk itu, satu daripada tujuh model Edisi Khas ini diperuntukkan mereka melalui kempen ini. Selain hadiah kereta, kempen ini turut menawarkan hadiah berupa satu juta syiling Shopee untuk diagihkan kepada 150 pemenang bertuah secara mingguan. Sepanjang kempen, terdapat juga hadiah bernilai 5 juta syiling Shopee untuk dimenangi.

    Honda Malaysia hadiahkan tujuh model edisi khas bagi Kempen 1 Million Dreams yang berakhir 24 Mac 2021

    Bagaimana untuk menang hadiah kereta ini? Pelanggan hanya perlu melengkapkan beberapa langkah mudah untuk melayakkan mereka ikut serta dalam peraduan ini. Pelanggan boleh mengambil bahagian di dalam mana-mana enam aktiviti yang disediakan oleh Honda Malaysia untuk mendapatkan seberapa banyak penyertaan dan menyerahkannya ke pengedar sah Honda atau laman web rasmi Honda Malaysia.

    Perserta boleh mendapatkan penyertaan tersebut dengan memuat turun dan mendaftar melalui aplikasi HondaTouch, bermain 1 Million Dreams Quiz Game1 di laman web rasmi Honda Malaysia, pandu uji sebuah kereta Honda, menempah sebuah kereta baru Honda, servis atau baik pulih kereta Honda atau mendaftarkan sebuah kereta Honda dalam tempoh kempen ini berlangsung. Lebih banyak penyertaan dikumpul, lebih besar peluang anda untuk menang.

     
     
  • Porsche Taycan Cross Turismo semakin bersedia untuk pelancaran – ujian hampir satu juta km selesai

    Porsche Taycan Cross Turismo semakin bersedia untuk pelancaran – ujian hampir satu juta km selesai

    Fasa ujian akhir untuk Porsche Taycan Cross Turismo hampir selesai dan model baru ini dijangka dilancarkan dalam masa beberapa bulan lagi. Menurut Porsche, Cross Turismo telah melalui ujian keseluruhannya 998,361 kilometer, dan ini bersamaan dengan pusingan satu dunia sebanyak 25 kali.

    Model dengan bentuk shooting brake ini telah diuji dalam litar seperti Nürburgring Nordschleife, Hockenheim dan Nardò, serta jalan terbuka lain di sekitar selatan Perancis dan Pyrenees. Porsche juga telah membawa kenderaan ini ke atas jalan offroad di litar “Safari” di Pusat Pembangunan Weissach.

    Timbalan presiden barisan model Porsche, Stefan Weckbach berkata: “Semasa membangunkan Cross Turismo, sudah tentu, kami berjaya menggunakan semula pengalaman kami dengan sedan sports Taycan. Cabaran paling besar adalah untuk menggabungkan keperluan sports dan kemampuan offroad.”

    Porsche Taycan Cross Turismo semakin bersedia untuk pelancaran – ujian hampir satu juta km selesai

    “Cross Turismo perlu mampu menghasilkan prestasi tinggi di litar lumba dan pada masa sama juga boleh berhadapan dengan keadaan jalan mencabar seperti berbatu dan berlumpur. Keadaan seperti ini dibuat semula di pusat ujian Weissach dan hasilnya cukup mengagumkan. Walaubagaimanapun, Cross Turismo bukanlah kenderaan offroad hardcore. Ia seperti sebilah pisau Swiss Army yang dipasang dengan rim 21 inci,” kata beliau.

    Ujian lain yang dijalankan termasuk cuaca ekstrem, dalam makmal serta terowong angin – Porsche mengambil masa 325 jam untuk membangunkan dan mengesahkan rekaan aerodinamik Cross Turismo. Ini adalah tambahan kepada 1,500 jam lagi yang diluangkan untuk mengoptimakan ciri aerodinamik lain pada Taycan biasa.

    Antara tarikan lain Taycan Cross Turismo adalah tambahan ciri praktikaliti. Porsche memberitahu, terdapat peningkatan jelas pada ruang kepada penumpang belakang, dan juga ruang simpanan di but. Malah, Porsche juga telah mereka pengangkut basikal khas untuk Cross Turismo dan ia juga melalui program ujian ketahanan yang cukup sukar.

     
     
  • Perodua Ativa dengan kotak gear D-CVT – sekadar gimik atau memang berbeza dengan CVT biasa?

    Perodua Ativa dengan kotak gear D-CVT – sekadar gimik atau memang berbeza dengan CVT biasa?

    Sebelum ini kami telahpun memperincikan berkenaan platform DNGA yang menjadi asas Perodua Ativa 2021, dan juga enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo 1KR-VET yang dipadankan pada SUV segmen-B berkenaan. Namun produk paling canggih pernah dihasilkan oleh Perodua ini bukan hanya istimewa pada platform dan enjinnya sahaja, malah kotak gear D-CVT yang dibekalkan juga merupakan satu lagi kelebihan yang ada padanya.

    Kotak gear D-CVT ini bukan sekadar gimik pemasaran jenama semata-mata. Ia sememangnya menampilkan teknologi yang berlainan berbanding kotak gear CVT pada model-model jenama lain. Tapi, sebelum anda ketahui apa perbezaan antara transmisi D-CVT pada Ativa ini, saya akan cerita dahulu bagaimana kotak gear CVT biasa bekerja supaya anda boleh faham dengan lebih mudah apa kelebihan kotak gear pada model baharu Perodua tersebut.

    Kotak gear CVT, transmisi ideal untuk kereta kecil

    Transmisi CVT adalah tidak sama langsung dengan kotak gear automatik 4AT yang ada pada model seperti Perodua Myvi atau Perodua Aruz buat masa sekarang. Kotak gear ini tidak memerlukan sebarang gear di dalamnya bagi menghasilkan nisbah gear.

    Tugas untuk memberikan nisbah tersebut diambil alih oleh sepasang pulley (memacu dan dipacu) yang dihubungkan oleh satu tali sawat (belting). Untuk memudahkan anda faham, transmisi CVT ini berfungsi sama seperti gear pada basikal. Untuk memberikan gear rendah sama ada mahu mula bergerak, memecut atau mendaki bukit, tali sawat yang berada pada pulley memacu akan berada pada diameter paling besar, manakala pada pulley dipacu pula menempatkan tali sawat diameter paling kecil.

    Ini akan memberikan pacuan yang ‘ringan’ tapi tidak laju. Manakala ketika kereta memerlukan kelajuan lebih tinggi pula, tali sawat pada pulley memacu akan beransur-ansur beralih ke diameter paling kecil, manakala tali sawat pada pulley dipacu akan beralih ke diameter paling besar, memberikan nisbah overdrive, membolehkan roda berputar lebih laju dari putaran rpm enjin. Untuk lebih senang faham, tonton video di atas.

    Transmisi CVT ini membolehkan rpm enjin anda sentiasa berada pada putaran paling optimum, dan ia tidak jatuh setiap kali tukaran nisbah dilakukan. Malah anda tidak akan terasa langsung bila nisbah gear tersebut berubah kerana sekiranya anda kekalkan putaran rpm enjin, misalnya pada 3,000 rpm, ia akan sentiasa pada tahap berkenaan tetapi anda boleh tengok meter kelajuan kereta naik semakin laju.

    Sebab itulah jika anda tak biasa menggunakan kotak gear CVT ini anda mungkin rasa seperti gear tidak ditukar kerana tukarannya terlalu lancar. Ini akan memberikan pecutan dan juga penggunaan bahan api yang lebih baik kerana rpm enjin sentiasa berada pada keadaan optimal dan ia tidak jatuh setiap kali gear berubah.

    Binaan CVT yang ringkas ini juga membolehkan saiznya dihasilkan dalam pakej yang cukup kompak, sesuai dengan kereta-kereta bersaiz kecil.

    Transmisi CVT tradisional ada berberapa kelemahan

    Walaupun sistem CVT ini nampak sempurna dari segi teori, namun dalam dunia pemanduan sebenar ia mempunyai berberapa kelemahan. Yang pertama, kerana ia digerakkan oleh tali sawat, akan berlaku kehilangan tenaga disebabkan oleh daya geseran. Perkara ini tidak terjadi pada kotak gear AT biasa atau manual kerana ia melibatkan pemindahan putaran menggunakan gigi gear logam sebenar.

    Sistem CVT ini juga akan menghasilkan bunyi berdengung yang kuat kerana geseran yang berlaku antara tali sawat dan juga pulley logam. Bunyi berkenaan akan menjadi semakin kuat dan ketara ketika ia beroperasi pada kelajuan tinggi dan semasa ianya diberikan bebanan.

    D-CVT – transmisi CVT dengan dua mod, pertama di dunia menggunakan sistem split gear

    Perodua Ativa dengan kotak gear D-CVT – sekadar gimik atau memang berbeza dengan CVT biasa?

    Dengan kelemahan yang diambil kira, maka lahirlah kotak gear Dual Mode CVT ini, atau lebih dikenali dengan nama D-CVT. Kotak gear ini masih menggunakan sistem pulley dan tali sawat seperti kotak gear CVT tradisional, tetapi diberikan mekanisma split-gear tambahan.

    Secara asasnya, apabila kereta mula bergerak, transmisi D-CVT ini akan beroperasi sama seperti kotak gear CVT tradisional. Namun selepas fasa memecut sudah habis dan lebih kelajuan perlu diberikan (dengan desakan pemanduan 40-90% menurut Daihatsu), pemindahan kuasa dari enjin ke roda tidak lagi dibuat menerusi set pulley dan tali sawat, sebaliknya dipindahkan menerusi set split gear yang berada di sebelahnya.

    Dengan menggunakan gear, kesemua tenaga dari enjin dapat dipindahkan lebih terus tanpa kehilangan kuasa yang terjadi pada tali sawat dan pulley CVT biasa. Ini secara tidak langsung turut menghilangkan bunyi berdengung ketiak kotak gear ini berfungsi dalam kelajuan tinggi.

    Daihatsu menjelaskan bahawa dengan split mode ini kehilangan kuasa yang dikurangkan ini meningkat keberkesanan transmisi sehingga 12% pada kelajuan 60 km/j dan 19% pada 100 km/j.

    Pertukaran dari penggunaan tali sawat kepada split gear berkenaan dibuat menerusi set pek klac yang diletakkan antara kedua-dua mekanisma tersebut. Dalam video yang dirakam oleh portal Web Cartop di bawah, anda boleh lihat tali sawat berfungsi pada kelajuan rendah, namun bila kelajuan tinggi diperlukan, tali sawat dan pulley mula tidak lagi berfungsi di mana kuasa mula dipindahkan menerusi split gear di sebelahnya.

    Memberikan fungsi seakan kotak gear lapan kelajuan

    Itu sahaja kelebihan kotak gear D-CVT ini? Tidak, kerana ada satu lagi trick yang diberikan pada split gear berkenaan. Di dalam split gear tersebut juga sebenarnya terdapat satu lagi mekansima planetary gear yang memberikan dua lagi nisbah gear tambahan iaitu dari 5.3 yang digunakan untuk pecutan dan 7.3 lebih tinggi bagi membolehkan kereta cruising di lebuhraya pada kelajuan tinggi dengan takat rpm lebih rendah.

    Menurut Daihatsu, mekanisma CVT tradisional dalam kotak gear ini sebenarnya sudah memberikan nisbah gear yang sama seperti kotak AT enam-kelajuan. Jadi dengan tambahan overdrive yang diberikan pada mekanisma split gear tersebut, kotak gear D-CVT ini sebenarnya memberikan agihan nisbah gear seakan sama dengan kotak gear AT lapan kelajuan, dakwa Daihatsu lagi.

    Daihatsu menyatakan bahawa menerusi split mode ini putaran enjin dikurangkan pada 200 rpm pada kelajuan 60 km/j dan 550 rpm pada 100 km/j. Jadi bukan sahaja enjin anda lebih tenang dan kurang ‘mengerang’ ketika cruising di lebuhraya, malah penggunaan bahan api juga menjadi lebih baik.

    Menerusi video ujian di bawah, anda boleh lihat di mana kembar Perodua Ativa di Jepun iaitu Toyota Raize boleh mengekalkan kelajuan 120 km/j dengan takat putaran enjin 3,200 rpm. Daihatsu turut mendakwa bahawa pemandu juga dapat merasa pecutan 15% lebih baik, bagi mengurangkan rasa ‘lesu’ yang biasa dirasai pada transmisi CVT tradisional.

    Kotak gear ultra kompak, paling kecil di dunia, tapi mampu tampung sehingga 150 Nm

    Perodua Ativa dengan kotak gear D-CVT – sekadar gimik atau memang berbeza dengan CVT biasa?

    Walaupun menerima tambahan mekanisma split gear, transmisi D-CVT ini masih dapat dihasilkan dalam pakej yang cukup kecil. Jarak antara titik tengah pulley output dan input pada transmisi ini hanyalah 136 mm, manakala jarak antara poin input dan output kotak gear ini hanyalah 168 mm – menurut Daihatsu, kedua-dua angka ini adalah paling kecil di dunia.

    Kotak gear CVT terkenal kerana sifatnya yang tidak mampu untuk menahan tork yang besar, namun walaupun transmisi D-CVT ini menampilkan saiz yang sangat kecil, Daihatsu mendakwa bahawa ia tidak ada masalah untuk didesak oleh tork berjumlah 150 Nm.

    Jenama tersebut turut menyatakan bahawa kotak gear D-CVT ini sebenarnya telah dioptimakan untuk digunakan pada kesemua model K-Car, sehingga kereta kompak dengan enjin berkapasiti 1.5 liter.

    Di Jepun, model yang diklasifikasikan sebagai K-Car hanya dibenarkan menggunakan enjin tidak melebihi 660 cc serta kuasa maksima 64 PS (63 hp). Jadi kotak gear berkenaan langsung tidak mempunyai masalah bagi menampung tork. Manakala bagi enjin 1KR-VET pada Perodua Ativa pula, ia menghasilkan 98 PS (97 hp) dan 140 Nm, jadi ia masih belum melebihi had tork yang boleh diterima kotak gear berkenaan.

    Jadi, apa faedah yang anda dapat menggunakan kotak gear ini?

    Perodua Ativa dengan kotak gear D-CVT – sekadar gimik atau memang berbeza dengan CVT biasa?

    Kesimpulannya, kotak gear D-CVT ini akan memberikan pecutan yang lancar sehingga tahap kelajuan sederhana laju, bersama penggunaan bahan api yang lebih baik dan lebih senyap ketika memandu dalam kelajuan tinggi. Menerusi berberapa perincian yang sudahpun diumumkan tempoh hari, Perodua mendakwa Ativa mampu mencapai pengunaan bahan api serendah 18.9 km setiap liter.

    Walau bagaimanapun, kotak gear D-CVT ini masih memberikan karekter yang masih sama seperti kotak gear CVT tradisional. Jadi jangan jangkakan ia akan memberikan rasa seakan kotak gear CVT D-Step Logic pada Nissan Almera turbo yang memberikan rasa seperti transmisi AT biasa.

    Untuk pemilik-pemilik Perodua sedia ada yang masih menggunakan kotak gear 4AT, jika anda rasa ‘semacam’ ketika memandu Ativa ini nanti, jangan risau dan jangan anggap kotak gear tersebut rosak kerana tak tukar gear, ini kerana karekternya memang sebegitu.

    Menerusi sesi pandu uji ringkas SUV ini yang berlangsung di fasiliti Perodua, disertai oleh wakil kami Danny Tan semalam, Ativa sah diberikan mod ‘Power’ dengan butang yang diletakkan pada roda stereng sama seperti pada Daihatsu Rocky dan Toyota Raize.

    Mod berkenaan memberikan talaan respon yang lebih agresif pada enjin dan kotak gear bagi memberikan pemanduan yang lebih sporty. Malah, pada Ativa kotak gear ini juga diberikan mod manual, yang memberikan tujuh nisbah kelajuan maya (walaupun sebelum ini Daihatsu mendakwa ia sama seperti transmisi 8AT).

    Sama ke kotak gear D-CVT Daihatsu/Perodua ini dengan kotak gear Direct Shift-CVT Toyota?

    Kotak gear D-CVT ini telah diperkenalkan buat pertama kali pada model K-MPV Daihatsu Tanto generasi keempat pada Julai 2019. Menurut Daihatsu, ia adalah kotak gear CVT dengan sistem split gear pertama di dunia dibekalkan pada model produksi. Jadi, tak sama ke sistem D-CVT ini dengan kotak gear Direct Shift-CVT yang diperkenalkan oleh Toyota pada 2018?

    Sekali tengok, kedua-dua sistem dari Daihatsu dan Toyota ni nampak hampir sama kerana menggabungkan penggunaan gear bersama sistem pulley dan tali sawat CVT tradisional. Namun sebenarnya, sistem Direct-Shift CVT Toyota berkenaan adalah terbalik dari sistem D-CVT Daihatsu.

    Ini kerana gear sebenar pada transmisi Direct-Shift CVT Toyota tersebut hanya berfungsi ketika kereta mula bergerak bagi memberikan rasa ‘terus’ ketika berlepas, tanpa rasa ‘malas’ seperti CVT biasa.

    Adakah model lain Perodua akan turut menggunakan kotak gear D-CVT ini?

    Kotak gear D-CVT ini dibangunkan sekali oleh Daihatsu dengan platform DNGA. Jadi, setiap model yang diasaskan dari platform tersebut, untuk varian yang transmisi automatik sudah tentu akan terus dipadankan dengan kotak gear D-CVT ini.

    Buat masa sekarang tiada kemungkinan untuk model-model sedia ada Perodua yang menggunakan transmisi 4AT akan digantikan dengan kotak gear D-CVT ini. Namun dengan pelaburan yang besar dibuat pada kilang Perodua di Rawang bagi memasang Ativa, sudah tentu selepas ini lebih banyak model baharu berasaskan platform DNGA turut akan diperkenalkan.

    Paling hampir, kita mungkin akan melihat Alza generasi baharu turut akan menggunakan kotak gear D-CVT tersebut. Ini kerana MPV tersebut dikhabarkan sedang dibangunkan oleh Perodua, dikenali dengan kod D27A, dan ia turut akan diasaskan dari platform DNGA.

     
     
  • Volvo XC40 Recharge T5 dilancarkan di Malaysia – dari RM242k; 1.5L 3-silinder PHEV; 264 PS, jarak EV 44km

    Volvo XC40 Recharge T5 dilancarkan di Malaysia – dari RM242k; 1.5L 3-silinder PHEV; 264 PS, jarak EV 44km

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah pun melancarkan model XC40 Recharge T5, yang merupakan varian plug-in hybrid bagi barisan SUV jenama berkenaan. Ia menyertai varian sedia ada iaitu XC40 T5 AWD R-Design yang tiba lebih awal seperti barisan PHEV Volvo yang lain (XC60, XC90, S60 dan S90), ini merupakan barisan model tempatan kini sudah ada pilihan elektrifikasi.

    Seperti mana model Volvo lain yang dijual di sini, ahli baharu ini juga merupakan model pemasangan tempatan (CKD), yang dipasang di fasiliti Volvo Car Manufacturing di Shah Alam. Untuk XC40 Recharge T5 ini, ia dijual pada harga atas jalan RM241,997 dengan insurans, dengan pengecualian cukai jualan (100%) sehingga 30 Jun ini.

    Di mana harga yang disebut itu sedikit tinggi berbanding XC40 T5 AWD R-Design (sebanyak RM547) yang terjual pada harga RM241,450. Sebelum ini kami memaklumkan bahawa model bukan-PHEV akan lebih murah, turun hingga RM231,651 berbanding RM241,450 sebelum ini. Dengan struktur harga baharu, jika anda mahukan XC40 PHEV, harganya lebih RM10,346 berbanding varian bukan-PHEV.

    Bagi penjana kuasa Recharge T5, ia digandingkan dengan unit 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol dengan output 180 PS (178 hp) dan tork 265 Nm, bersama transmisi dwi-klac kering tujuh-kelajuan dan motor elektrik.

    Volvo XC40 Recharge T5 dilancarkan di Malaysia – dari RM242k; 1.5L 3-silinder PHEV; 264 PS, jarak EV 44km

    Tidak seperti model yang lebih besar termasuk yang dilengkapi T8 Twin Engine, motor elektrik yang diberikan pada XC40 PHEV ini bukanlah ditempatkan di gandar belakang, tetapi diletakkan di antara enjin dan kotak gear. Selain itu, ia juga tidak diberikan pacuan semua-roda elektrik, dan kuasanya disalurkan ke roda hadapan.

    Motor elektriknya mampu memberikan kuasa pada 82 PS (81 hp) dan 160 Nm, sekaligus menambah kuasa keseluruhan sebanyak 262 PS (258 hp) dan 425 Nm. Selalunya, pada model PHEV lain, bukan mudah untuk menggabungkan output kedua-duanya, jadi bagaimana Volvo melakukannya?

    Jawapan yang kami terima adalah terus dari Håkan Sandquist, pengarah strategi penjana kuasa di China Euro Vehicle Technology (CEVT), yang memaklumkan kepada paultan.org, “kami mempunyai solusi teknikal yang membolehkan kami untuk memiliki kuasa sepenuhnya daripada ICE dan dalam masa yang sama juga untuk motor elektrik.”

    Sambungnya lagi, “Motor elektrik kami disambungkan pada salah satu aci (shaft) dalaman di dalam kotak gear, dan ia boleh beralih secara bebas dari gear yang digunakan oleh enjin pembakaran. Maka, ia membolehkan kami memperoleh kuasa sepenuhnya daripada kedua-dua enjin dan motor elektrik dalam satu masa yang sama. ”

    Volvo XC40 Recharge T5 dilancarkan di Malaysia – dari RM242k; 1.5L 3-silinder PHEV; 264 PS, jarak EV 44km

    Bagi aspek prestasi, bagi kedua-dua versi XC40 (dan juga model Volvo yang lain), ia dihadkan kepada 180 km/j seperti mana pengumuman keselamatan yang dilaksanakan oleh Volvo sebelum ini. Walau bagaimana pun, XC40 PHEV mampu dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam 7.3 saat, lebih perlahan berbanding XC40 T5 AWD dengan 6.4 saat.

    Varian bukan-PHEV pula memiliki sekitar 252 PS (249 hp) dan 350 Nm dari hamburan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol, yang dipadankan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

    Antara alasan mengapa ia memilik prestasi yang berbeza ialah XC40 PHEV sedikit berat disebabkan ia turut membawa bateri lithium-ion 10.7-kWh, sekaligus memiliki berat sehingga 1,875 kg berbanding varian bukan-PHEV yang hanya 1,704 kg. Disebabkan baterinya diletakkan di antara enjin dan kotak gear, maka kapasiti tempat penyimpanan barangan tidak terjejas, iaitu 460 liter, walau pun saiz tangki minyaknya diturunkan sebanyak lima liter, kini menjadi 49 liter sahaja.

    Manakala bagi penggunaan bahan apinya adalah serendah 2.2 liter bagi setiap 100 km, iaitu lebih baik berbanding varian bukan-PHEV dengan 7.7 liter per 100 km.

    Volvo XC40 Recharge T5 dilancarkan di Malaysia – dari RM242k; 1.5L 3-silinder PHEV; 264 PS, jarak EV 44km

    Malah jarak bagi kuasa elektrik juga meningkat sehingga 44 km apabila bateri dicas penuh, menggunakan pengecas onboard AC 3.7-kW dan kabel sambungan Type 2. Dengan tiga-pin yang biasa, soket 2.3-kW, ia mengambil masa sekitar lima jam untuk mencapai pengecasan penuh, manakala jika menggunakan stesen pengecas 3.7-kW, tujuh-Kw atau 22-kW yang lebih berkuasa, masa pengecasan dikurangkan ke tiga jam.

    Sebagai sebahagian daripada pelancaran XC40 PHEV, VCM turut memasukkan wallbox dalam setiap pembelian, tetapi anda perlu mendapatkan perkhidmatan juruteknik terlatih untuk memeriksa sistem elektrik di rumah ada bagi menentukan sama ada boleh disesuaikan atau tidak.

    Bagi rekaannya, ia diberikan port pengecasan di bahagian hadapan iaitu di sebelah kiri fender, perkataan Recharge pada C-pillar dan kemasan ekzos di belakang. Untuk pasaran kita, model ini turut didatangkan dengan pakej R-Design, termasuk kemasan hitam berkilat pada gril, bersama kemasan hitam pada tingkap dan bampar.

    Senarai kit standard pula lebih kurang sama dengan XC40 T5 AWD R-Design, termasuklah casis sport, lampu utama LED sepenuhnya dengan Active High Beam dan Active Bending Lights; lampu kabus dan lampu belakang LED; bersama roda aloi potongan berlian hitam pekat lima-jejari-berkembar 19-inci (dengan tayar profil 235/50).

    Volvo XC40 Recharge T5 dilancarkan di Malaysia – dari RM242k; 1.5L 3-silinder PHEV; 264 PS, jarak EV 44km

    Di dalamnya, ia diberikan skrin sesentuh infotainmen Sensus Connect sembilan-inci, lapan-pembesar suara, sistem audio 250-watt, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, pengecas telefon bimbit tanpa wayar, tempat duduk R-Design larasan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu, upholstery tekstil kulit/Nubuck, Cutting Edge décor inlay, kawalan suhu dwi-zon dengan Clean Zone dan corong di belakang, corak plat spesifik-Recharge dan kemasukan tanpa kunci serta butang penghidup enjin.

    Untuk aspek keselamatan, XC40 PHEV didatangkan dengan City Safety (sistem mengelak pelanggaran dengan sokongan di persimpangan; pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwal bersaiz besar), amaran pelanggaran hadapan dan belakang, Kawalan Kepekaan Pemandu, Bantuan Kekal Lorong, Run-Off Road Mitigation dengan Road Edge Detection, Oncoming Lane Mitigation, Sistem Informasi Titik Buta (BLIS) dengan Steer Assist dan Cross Traffic Alert (CTA) bersama Autobrake.

    Ia turut diberikan tujuh beg udara, dengan sistem keselamatan pasif (Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Menurun Bukit, EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik) dan sistem bantuan pemandu termasuk Adaptive Cruise Control, Pilot Assist serta Park Assist Front & Rear.

    Pembeli mempunyai lima pilihan warna iaitu Crystal White Pearl, Bursting Blue Metallic, Black Stone, Coral Red Metallic dan Glacier Silver Metallic – dan kesemuanya dengan bumbung dan perumah cermin sisi hitam, Waranti pengilangan sehingga lima tahun/tanpa had perbatuan, manakala waranti bagi bateri PHEV pula ialah lapan-tahun/160,000 km.

    Untuk mengetahui perincian penuh mengenai spesifikasi XC40 PHEV ini, sila layari Carbase.my.

    GALERI: Volvo XC40 Recharge T5 R-Design

     
     
  • Pembekal brek Toyota dan Nissan, Akebono akui berlaku pemalsuan data melibatkan lebih 100,000 kes

    Pembekal brek Toyota dan Nissan, Akebono akui berlaku pemalsuan data melibatkan lebih 100,000 kes

    Mungkin ramai yang pernah berbohong dalam keadaan tertentu untuk apa juga sebab. Tetapi, sekiranya itu dilakukan lebih dari 100,000 kali, dan melibatkan komponen penting pada kenderaan seperti brek, maka itu bukan lagi jenaka. Tetapi inilah yang dilakukan oleh pembekal komponen automotif Jepun, Akebono Brake Industry. Minggu lalu, syarikat itu mendedahkan telah menemui kira-kira 114,000 salah laku, ada antaranya sejak tahun 2001 lagi.

    Seperti dilaporkan oleh Nikkei, ini termasulkan pemalsuan data pemeriksaan terhadap brek dan komponen lainnya yang terlibat. Yang melibatkan kompnen tersebut, sekitar 5,000 kes gagal lulus standard kualiti yang telah dipersetujui oleh syarikat itu dengan pelanggan OEM-nya, yang turut termasuk Nissan dan Toyota. Komponen sama sebenarnya turut diedarkan kepada sekurang-kurangnya 10 lagi syarikat.

    Syarikat itu memaklumkan telah memeriksa sekitar 190,000 data daripada pemeriksaan biasa yang dijalankan di bawah persetujuan dengan pelanggan, dan telah mendapati kira-kira 60% daripada laporan berkenaan mengandungi pemalsuan. Sebagai tambahan kepada pemalsuan keputusan pemeriksaan tersebut, terdapat juga situasi di mana data palsu digunakan bagi pemeriksaan yang tidak pernah dijalankan. Salah laku ini dikesan di empat kilangnya di Jepun.

    Presiden Akebono, Yasuhiro Miyaji memohon maaf diatas kejadian tersebut, dan meletakkan kesalahan itu sebahagiannya ke atas kurangnya penukaran petugas yang terlibat di dalam melakukan pemeriksaan. Bagaimanapun, Akebono tidak akan melakukan panggilan semula untuk menukar komponen terlibat. “Tidak ada sebarang masalah dengan keselamatan, dan kami telah mendapatkan pengesahan berkaitan ini daripada pengeluar sendiri,” jelas beliau.

    Jurucakap Akebono menjelaskan, syarikat itu telah menjalankan pemeriksaan sekali lagi ke atas komponen berkaitan dan mendapati tiada sebarang masalah dengan prestasinya.

     
     
  • Land Rover Defender V8 diperkenal – kuasa 525 PS

    Land Rover Defender V8 diperkenal – kuasa 525 PS

    Lebih sedikit daripada satu tahun sejak model generasi terkini Defender diperkenalkan kepada pasaran, kini Land Rover melancarkan pula versi paling berprestasi bagi 4×4 tersebut. Ia dipanggil sebagai Defender V8, dan ditawarkan dalam dua versi badan iaitu 90 dan 110.

    Cara mudah untuk mengenali Defender V8 ini (bagi kedua-dua 90 dan 110) adalah dengan melihat terdapat lencana V8, empat muncung ekzos, rim 22 inci yang dicat warna Satin Dark Grey dan angkup brek berwarna Xenon Blue.

    Kuasa yang memacu kenderaan ini datang daripada enjin petrol V8 supercharge 5.0 liter, berjumlah 525 PS dari 6,000 hingga 6,500 rpm, dan 625 Nm tork dari 2,500 hingga 5,500 rpm. Hasilnya, model Defender 90 V8 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat (110 5.4 saat) dan mencecah kelajuan maksimum 240 km/j (bagi kedua-dua 90 dan 110). Ia juga mempunyai kemampuan menarik sehingga 3,500 kg.

    Bahagian transmisi masih lagi menggunakan kotak gear automatik lapan kelajuan dengan sistem AWD sepanjang masa, dan ia dipadankan bersama differential belakang jenis elektronik aktif, dengan Yaw Controller demi menjadikannya lebih lincah. Sistem ini bekerjasama dengan Brake Torque Vectoring serta Traction Control.

    Kesemua roda kenderaan ini dipasang dengan suspensi jenis beg udara boleh laras sendiri, dan ia diberikan talaan khas supaya bersesuaian dengan prestasinya, bersama bushing lebih keras serta anti-roll bar lebih tebal.

    Antara spesifikasi bahagian dalam yang membezakan model V8 ini dengan model biasa adalah termasuk balutan kulit Ebony Windsor dengan kemasan fabrik Dinamica dan Robustec, Cross Car Beam yang dicat hitam berkilat, roda stereng dibalut Alcantara bersama pedal penukar gear krom satin serta tombol gear dibalut kulit. Di tepi pintu terdapat tulisan V8.

    Land Rover Defender V8 diperkenal – kuasa 525 PS

    Istimewa bagi Defender V8 ini, Land Rover turut memperkenalkan satu varian tambahan yang nampak lebih ganas, iaitu Carpathian Edition. Bahagian luarnya dicat warna Carpathian Grey, bersama bumbung, bonet serta pintu but berwarna Narvik Black. Bagi memelihara penampilan serta panel badannya daripada calar, model istimewa ini dipasang dengan filem pelindung berasaskan polyurethane.

    Selain pengenalan model V8 ini, Land Rover turut memberitahu bahawa model tahun 2022 akan dipertingkat terus dengan pengecas tanpa wayar, bersama signal booster untuk sambungan rangkaian serta WiFi yang lebih baik. Sistem infotainmen Pivi Pro terkininya sekarang boleh didapati dengan skrin sesentuh 11.4 inci.

    GALERI: Land Rover Defender 110 V8

    GALERI: Land Rover Defender 90 V8

    GALERI: Bahagian dalam Land Rover Defender V8

    GALERI: Land Rover Defender V8 Carpathian Edition

     
     
  • UniMAP lancar siri pendaftaran kenderaan khas UR -bidaan telah dibuka hingga 4 Mac, sasar kutipan RM10j

    UniMAP lancar siri pendaftaran kenderaan khas UR -bidaan telah dibuka hingga 4 Mac, sasar kutipan RM10j

    Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), menjadi pusat pengajian tinggi awam (IPT) terbaharu telah melancarkan siri pendaftaran kenderaan khas menerusi UR. Siri bidaan tersebut telah pun dibuka mulai hari ini sehingga 4 Mac hadapan.

    Menurut Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad, berkata walaupun UniMAP bukanlah universiti pertama yang melancarkan nombor pendaftaran khas ini, ia tetap mempunyai keistimewaannya tersendiri.

    “Kombinasi kedua huruf UR ini diambil bagi mewakili huruf U yang juga adalah awalan perkataan UniMAP manakala R adalah nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi negeri Perlis yang juga identiti negeri Perlis,” katanya.

    UniMAP lancar siri pendaftaran kenderaan khas UR -bidaan telah dibuka hingga 4 Mac, sasar kutipan RM10j

    Bagi yang berminat untuk mendapatkan siri nombor tersebut, bolehlah membidanya menerusi pautan www.urplat.com. Di mana enam kategori nombor tersenarai dalam bidaan ini. Bagi kategori Diamond untuk pilihan UR1 hingga UR9, harga bidaan dibuka bermula RM200k dan RM300k. Manakala untuk Platinum pula, ia melibatkan UR10-UR99 dengan bidaan bermula RM25K dan RM100k.

    Kategori Gold pula iaitu UR100 hingga UR99, bidaan bermula RM5k, dan Ruby untuk nombor digit terpilih dari RM5k dan RM35k. Untuk empat digit terpilih, ia diletakkan dalam kategori Jade dengan bidaan bermula RM1k dan RM25k. Serta Silver bagi UR1000 hingga RM9999 pula, tiada harga permulaan bidaan yang dinyatakan.

    UniMAP menyasarkan penjualan siri nombor pendaftaran berkenaan mampu mencecah RM10 juta dan proses bidaan dikendalikan oleh syarikat yang dilantik, Aquatwo Sdn Bhd. Manakala proses pendaftarannya seperti biasa, perlulah melalui urusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

     
     
  • PANDU UJI: Perodua Ativa — sebuah tanggapan awal

    PANDU UJI: Perodua Ativa — sebuah tanggapan awal

    Nota: Hari ini, wakil dari paultan.org, Danny Tan berpeluang mengikuti sesi mendekati SUV Perodua Ativa di Rawang. Ini tanggapan awal beliau setelah memandu uji secara ringkas tentang model terbaru itu yang bakal dilancarkan 3 Mac nanti.

    Perodua bukanlah dikenali kerana refinement pada produknya. Memang telah banyak penambahbaikan bermakna yang telah dilakukan, tetapi refinement atau kehalusan penelitian, itu satu aspek yang masih banyak perlu diberi perhatian. Namun, memandangkan jenama ini menghasilkan kenderaan paling murah dengan nilai terbaik untuk pasaran Malaysia, itu boleh dimaafkan.

    Jika dibandingkan dengan Myvi, yang menjadi model paling maju keluarannya, apa yang dapat diperhatikan daripada sesi singkat pandu uji Perodua D55L hari ini (Perodua masih ingin simpan nama rasminya hingga pelancaran nanti — yang kita sidah tahu, Ativa) adalah peningkatan kehalusan dan ketelitian yang dilakukan terhadap SUV ini.

    PANDU UJI: Perodua Ativa — sebuah tanggapan awal

    Ada dua perkara berkaitan ini yang sempat dikesan adalah tentang kebisingan kabin dan kehalusan lainnya pada Ativa boleh dikatakan baik, jauh lebih bagus berbanding Myvi generasi ketiga sebelum ini, yang sudahpun jauh lebih baik daripada produk Perodua yang lain ketika ia dikeluarkan. Bunyi bising dari tayar Myvi tidak lagi ketara pada Ativa, serta bunyi angin dalam kelajuan lebuhraya (ambil maklum pandu uji ini dilakukan di litar dalaman Perodua) tidak juga terlalu ketara.

    Saya terpaksa memeriksa tayar selepas sesi berakhir, dan yang digunakan ialah Bridgestone Turanza T005A (gambar masih belum boleh didedahkan). Ini tayar touring premium untuk sebuah kereta RM70k. Tayar ini pula memang telah menerima banyak pujian kritikal ketika dilancarkan pada 2018 — baik dari segi kualiti mahupun prestasi. Jadi, untuk melihat tayar yang sama pada Ativa, ini satu kejutan. Rim 16-inci pada varian X paling asas akan menggunakan tayar Goodyear Assurance.

    Tetapi tayar sahaja tidak mungkin menyembunyikan NVH yang teruk, dan Ativa ini memang tidak bising dari dalam kabinnya. Kemudian, refinement yang lebih penting ialah untuk enjinnya. Memandangkan ini kali pertama Perodua menggunakan enjin turbo dan lebih berkuasa dari Axia/Bezza. Jika anda pernah memandu dua model awal sebelum ini, gegaran ketika melahu sangat jelas. Tetapi hal ini sangat berkurangan pada Ativa.

    PANDU UJI: Perodua Ativa — sebuah tanggapan awal

    Bagi sebuah enjin tiga-silinder untuk kegunaan biasa, kita mahukan ia rasa “normal” dan saya rasa mereka yang membeli nanti tidak akan perasan pun yang Ativa ini kekurangan satu silinder. Ia memang rasa macam biasa, tiada gegeran yang ketara.

    Aspek lain yang juga rasa macam biasa ialah kotak gear CVT, yang juga pertama kali digunakan pada model Perodua. Sama seperti CVT moden dari Toyota dan Honda, ia rasa sangat natural ketika dalam pemanduan biasa, dengan kelajuan dan rev secara linear mengikut kelajuan. Untuk sampai kepada kelajuan lebuhraya, tiada banyak masalah. Apa pun, bergantung cara anda mengendalikan pendikit untuk mendapatkan rasa seperti ini.

    Turut ada ialah mod manual tujuh-kelajuan (melalui tuil gear sequential, tekan kanan bagi S/M) sekiranya anda memerlukan lebih kawalan, serta butang “Power” pada stereng. Ini sepatutnya akan memberikan lebih “oomph” dan rev lebih tinggi, tetapi sejujurnya tidaklah jauh berbeza antara keduanya.

    PANDU UJI: Perodua Ativa — sebuah tanggapan awal

    Satu lagi persoalan ialah kuasa. Apa yang boleh saya katakan, ia mencukupi. Litar Perodua ada seksyen mendaki dan Ativa mampu menanggapinya. Mid-range dari enjin turbo ini membuatkan Ativa rasa lebih bersahaja ketika mendaki berbanding Myvi 1.5L. Perodua masih belum mendedahkan perincian dan angka, tetapi Rocky JDM 1.0L 1KR-VET menghasilkan 98 PS dan 140 Nm tork dari 2,400 hingga 4,000 rpm.

    Saya mengakui, dengan hanya pengalaman pemanduan singkat ini, tidak banyak yang dapat dikongsi berkaitan dinamik SUV ini melainkan ia tidak terasa tinggi atau “menggelabah” (200 mm kelegaan tanah) dan memandunya tidak banyak berbeza berbanding memandu Myvi. Apa pun, Ativa terasa lebih stabil dan meyakinkan ketika bergerak, termasuk keselesaan penyerap hentaknya.

    Ada kekurangan? Untuk SUV RM70k, tidak banyak yang nak dirungutkan. Selain daripada pemanduan, rekaan atau perincian bahagian dalaman Ativa bukanlah sesuatu yang luar biasa, tetapi cukup moden dan selesa. Jika anda inginkan rasa yang lebih premium, mungkin Proton X50 lebih menawarkan hal itu. Material pada Ativa menggunakan plastik keras, dengan tekstur permukaan untuk menjadikannya lebih perincian. Tuil gear juga mempunyai corak berlian 3D.

    PANDU UJI: Perodua Ativa — sebuah tanggapan awal

    Saya juga sempat memeriksa spesifikasi varian X yang paling asas. Ativa paling rendah ini kelihatan sungguh asas, termasuklah pada papan pemuka yang ada, berbeza dari yang lain. Ketiadaan sistem skrin sentuh infotainmen antara yang paling jelas. Begitu juga dengan ketiadaan panel instrumen digital sudah boleh dijangka, dan rekaan dail meter analog nampak elok. Stereng pula lebih kosong serta papan pemuka yang kosong.

    Rim 16-inci satu tona juga ok untuk pandangan mata, dengan spesifikasi yang baik. Lain-lain kelengkapan Ativa ini termasuk enam beg udara, ASA 3.0 yang dipertingkat (dengan AEB) serta Amaran Penukaran Lorong dan Penghindaran bagi varian paling asas pada harga RM62,500 (anggaran). Ativa X yang paling asas, yang RM20k lebih murah daripada Proton X50 Standard, mengalahkan penawaran model Proton itu serta aspek keselamatannya.

    Jadi, inilah tanggapan awal tentang pemanduan Perodua Ativa ini. Banyak kelebihan yang ditawarakan oleh model SUV ini, kelengkapan serta prestasi pemanduan. Setakat yang ada ini, apa pula pandangan anda? Banyak lagi maklumat yang akan kami kongsikan, termasuk gambar dalam masa terdekat ini. Teruskan ikuti perkembangan Ativa bersama kami.

     
     
  • Perodua terima kesan daripada kekurangan bekalan cip – pengeluaran Myvi, Aruz dan Alza terganggu

    Perodua terima kesan daripada kekurangan bekalan cip – pengeluaran Myvi, Aruz dan Alza terganggu

    Dalam masa beberapa bulan yang lepas, kekurangan bekalan cip semikonduktor telah memberi kesan yang besar kepada pengeluaran kenderaan global, dengan ada syarikat yang terpaksa menghentikan pengeluaran atau mengurangkan jumlahnya buat sementara. Antara jenama yang terjejas adalah seperti Toyota, Honda, Nissan, Mazda, Ford, FCA, General Motors, Stellantis, Audi dan Volkswagen.

    Memandangkan keadaan ini semakin teruk sejak ia disuarakan buat pertama kali oleh Volkswagen pada bulan Disember lalu, anda pasti boleh menjangka ia juga akan memberi kesan kepada pengeluar tempatan. Ini memang benar kerana Perodua juga telah menerima kesannya. Pusat jualan jenama ini telah diberitahu tentang masalah tersebut oleh Perodua.

    Dalam dokumen yang diberi, dan dilihat sendiri oleh kami, Perodua memberitahu bahawa ia turut menerima kesan daripada isu kekurangan cip ini, dan mengganggu pengeluaran Myvi, Aruz serta Alza. Ia menambah, bagi Myvi, masalah ini mungkin berlanjutan sehingga bulan Mac. Apa yang dilakukan oleh Perodua, sama ada memberhentikan atau mengurangkan pengeluaran sementara tidak diberitahu, tapi sumber kami memberitahu, mungkin ada pengedar yang tidak akan menerima Myvi langsung bulan hadapan.

    Gangguan pengeluaran ini juga membawa makna penghantaran kepada pelanggan untuk semua model ini boleh tertangguh, dan model yang popular seperti Myvi akan menerima kesan yang jelas. Setakat ini, berapa lama masalah tersebut akan berlanjutan dan bagaimana kesannya kepada jumlah jualan kenderaan masih belum diketahui.

    Perodua juga memberitahu bahawa “bahagian pengeluaran telah cuba membuat beberapa pilihan untuk mengatasi masalah tersebut” dan memberitahu pengedar bahawa tiada kesan yang terlalu besar kepada bekalan alat ganti untuk khidmat selepas jualan. Ia juga menambah bahawa komunikasi selanjutnya berkenaan topik ini akan diberikan sekiranya ada.

    Ativa tidak dimaklumkan terlibat dalam masalah ini. Mungkin alat ganti yang digunakan untuk pengeluaran model ini sudah diperolehi lebih awal sebelum isu timbul, atau mungkin juga pengeluaran model lain dihentikan terlebih dahulu bagi memberi laluan kepada Ativa kerana bekalan cip yang terhad. Apa pun, sekiranya anda ada membuat tempahan untuk model Perodua dan diberitahu terdapat sedikit kelambatan, sekarang anda tahu apa penyebabnya. Jadi, bersabarlah ya.

     
     
  • Triumph Bonneville diberi peningkatan enjin serta kelengkapan untuk tahun 2021 – pilihan tujuh model

    Triumph Bonneville diberi peningkatan enjin serta kelengkapan untuk tahun 2021 – pilihan tujuh model

    Triumph Bonneville T100 2021

    Bagi tahun 2021 ini, Triumph telah memberikan peningkatan kepada barisan model Bonneville, yang terdiri daripada T100, T120, T120 Black, Street Twin, Speedmaster dan Bobber, dan ia melibatkan enjin serta juga kelengkapan lain.

    Bagi model permulaan, T100, ia masih lagi menggunakan unit enjin dua silinder selari 900 cc, tetapi dinaik taraf untuk menepati tahap emisi Euro 5 dan kini menghasilkan lebih 10 PS berbanding sebelum ini, iaitu 65 PS pada 7,400 rpm dan 80 Nm tork pada 3,750 rpm. Maklum balas enjin juga ditambah baik dan enjin itu sendiri sekarang boleh dikerah 500 rpm lebih tinggi.

    Untuk suspensi, fork baru dipasang pada model ini, sementara angkup brek hadapan pula dinaik taraf dengan unit daripada Brembo. Secara keseluruhan, T100 2021 adalah 4.0 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya dan bahagian pelindung cam serta enjin disalut dengan cat hitam. Waktu selang servis enjin ini dinaikkan kepada 10,000 km.


    Triumph Street Twin Gold Line 2021

    Model Street Twin juga menggunakan enjin dan angkup brek baru sama seperti T100 (kuasa juga sama), tetapi tempat duduknya adalah lebih rendah iaitu 765 mm berbanding 790 mm pada T100. Peningkatan lain pada Street Twin adalah termasuk rim aloi baru, tempat duduk lebih selesa serta kemasan pada badan yang lebih segar.

    Istimewanya bagi tahun ini, Triumph turut memperkenalkan satu versi keluaran terhad Street Twin Gold Line (hanya 1,000 unit), di mana ia menggunakan warna Sapphire Black dengan garis cat emas buatan tangan, panel tepi dengan logo Street Twin buatan khas serta sijil keluaran.

    Model Bonneville yang selebihnya menggunakan enjin dua silinder selari 1,200 cc High Torque, tetapi dengan kuasa yang berbeza iaitu 80 PS dan 105 Nm tork untuk T120 dan T120 Black, serta 78 PS dan 106 Nm tork untuk Speedmaster dan juga Bobber.

    Triumph Bonneville diberi peningkatan enjin serta kelengkapan untuk tahun 2021 – pilihan tujuh model

    Triumph Bonneville Speedmaster 2021

    Bagi T120 dan T120 Black, breknya dipertingkat lagi dengan angkup Brembo serta tetapan cakera berkembar sementara cruise control kini diberikan secara standard. Perisian bagi mod tunggangan telah dirujuk semula dan panel instrumen kini menggunakan paparan baru.

    Rim aluminium serba ringan pada model T120 membantu menjadikan berat keseluruhannya berkurang 7.0 kg berbanding sebelum ini, sementara pilihan warna pula ada tiga. Bagi T120 Black, selain tangki dan panel tepi yang berwarna hitam, bahagian lain seperti pelindung enjin, tepi rim, pemegang belakang, keliling lampu serta ekzos juga dicat hitam (powdercoat) manakala tempat duduk pula menggunakan warna coklat.

    Pergi kepada model Speedmaster, kedudukan menunggang di atasnya telah diperbaiki, dengan tempat duduk serendah 705 mm dengan penyokong belakang untuk penunggang sementara tempat duduk belakang pula dijadikan 11 mm lebih tebal untuk keselesaan. Ia juga boleh ditanggalkan dan diganti dengan rak meletak barangan. Pada bahagian kawalan, Speedmaster kini datang dengan fork Showa di hadapan manakala monoshock belakang dengan pelarasan pra beban masih lagi sama.


    Triumph Bonneville Bobber 2021

    Model terakhir dalam siri Bonneville 2021 ini adalah Bobber, di mana sekarang ia menggunakan rim 16 inci di hadapan, bersama fork 47 mm. Pelindung enjin, cam serta sprocket dicat warna hitam manakala semua lampunya pula kini menggunakan unit LED.

    Bertindak atas maklum balas pengguna sebelum ini, Triumph telah meletakkan pelarasan pada tempat duduk Bobber, supaya ia boleh disesuaikan dengan tinggi penunggang yang berbeza. Panel paparan instrumen juga boleh dilaras supaya dapat dilihat dengan mudah dan terang.

    GALERI: Triumph Bonneville T120 2021

    GALERI: Triumph Bonneville T120 Black 2021

    GALERI: Triumph Bonneville T100 2021

    GALERI: Triumph Street Twin 2021

    GALERI: Triumph Street Twin Gold Line 2021

    GALERI: Triumph Bonneville Speedmaster 2021

    GALERI: Triumph Bonneville Bobber 2021

     
     
  • Nissan, Toyota henti seketika produksi di Jepun kerana bekalan komponen terjejas akibat gempa bumi

    Nissan, Toyota henti seketika produksi di Jepun kerana bekalan komponen terjejas akibat gempa bumi

    Nissan telah menggantung seketika produksinya di kilang Oppama dan Shonan di Jepun selama dua hari pada minggu ini disebabkan gempa bumi yang menjejaskan salah satu pembekalnya pada 13 Februari lalu, laporan Nikkei Asia.

    Produksi dihentikan pada Isnin dan Selasa bagi kilang Oppama, yang mengeluarkan Note, dan kilang Shanon yang merupakan subsidiari Nissan yang mengeluarkan varian NV200 dan juga trak pikap Patrol.

    Pembekal yang terjejas ialah subsidiari Hitachi, Hitachi Astemo, yang membekalkan komponen suspensi untuk kilang Nissan. Bekalan komponen tersebut terjejas disebabkan gempa bumi, yang mengakibatkan bekalan kuasa ke kilang Hitachi Astemo terjejas; sekaligus membuatkan ia turut menjejaskan Toyota, memaksa pengeluar untuk menggantung produksi mereka di negara terbabit sehingga empat hari mulai 17 Februari.

    Menurut Automotive News, gangguan bekalan komponen terbabit telah menjejaskan produksi bagi model termasuk Toyota RAV4, C-HR dan Harrier, sementara model Lexus yang terbabit pula ialah LS dan IS sedan, model dua-pintu RC dan LC, serta LX, NX, UX dan RX. Walau bagaimana pun, isu rantaian bekalan tersebut tidak menjejaskan produksi Toyota di luar negara.

    Malahan, Toyota juga tidak mendedahkan bekalan komponen mana atau pun pembekal yang terjejas akibat gempa bumi itu, ujar Automotive Nes lagi. Walau bagaimana pun, komponen yang terbabit tidak melibatkan semi-konduktor, menurut jurucakap Toyota Shiori Hashimoto. Walau bagaimana pun, menurut laporan, ada kekurangan bekalan cip mikro bagi kegunaan industri automotif di peringkat global, dan difahamkan pengeluaran bagi komponen tersebut dikurangkan disebabkan gempa bumi tersebut.

     
     
  • Perodua Ativa 2021 sah akan dilancarkan 3 Mac ini!

    Perodua Ativa 2021 sah akan dilancarkan 3 Mac ini!

    Tiada sebarang drama diberikan oleh Perodua berkenaan SUV segmen-B baharunya – selepas ia diumumkan sudah boleh ditempah minggu lalu bersama perincian varian dan juga harga, kini Perodua mengumumkan ia akan dilancarkan pada 3 Mac ini, iaitu seminggu lagi!

    Walaupun hampir semua perincian berkenaan SUV ini sudah diumumkan, Perodua masih belum mendedahkan rupa sebenar model tersebut, dan ini yang perlu anda tunggu sehingga pelancarannya nanti. Namun apa yang boleh dibayangkan, ia akan menampilkan rupa yang tidak lari jauh dari dua kembarnya untuk pasaran Jepun iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize.

    Ativa dihasilkan menerusi platform paling terkini dari Daihatsu iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Platform berkenaan adalah diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) iaitu asas kepada model-model terkini global Toyota.

    Selain dari platform yang begitu moden, Ativa juga menerima penjana terkini yang tidak pernah ditawarkan pada mana-mana modelnya sebelum ini iaitu enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo 1KR-VET berkuasa 98 PS dan tork maksima 140 Nm, bersama kotak gear D-CVT automatik.

    SUV kompak terkini Perodua ini juga dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) standard untuk setiap varian, merangkumi sistem seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, amaran kekal lorong dan juga lampu tinggi automatik.

    Bagi model tertinggi Ativa AV, kelengkapan yang dibekalkan jauh lebih maju menampilkan sistem Driving Assist, dengan sistem seperti Adaptive Cruise Control, bantuan tengah lorong, pemantau titik buta dan juga amaran lintasan trafik belakang.

    Perncian lain yang turut diberikan pada Ativa termasuk lampu hadapan LED matrix, paparan instrumen digital tujuh-inci dan juga skrin sesentuh sistem infotaimen yang berdiri sendiri bersaiz sembilan inci untuk model H dan AV.

    Perodua mengumumkan bahawa Ativa akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM62,500 hingga RM73,400. Lain-lain perincian akan kami bawakan ketika pelancaran rasmi model ini yang akan dibuat secara digital pada minggu hadapan. Jadi jangan lupa untuk terus tunggu kemaskini terbaharu dari kami!

    GALERI: Daihatsu Rocky 2019

    GALERI: Toyota Raize 2019

     
     
  • Daihatsu Rocky hibrid dirancang, diperkenal tahun ini

    Daihatsu Rocky hibrid dirancang, diperkenal tahun ini

    Nampaknya Daihatsu sedang merancang untuk memperkenalkan versi hibrid bagi SUV Rocky dalam tahun ini. Berdasarkan laporan Nikkei, langkah ini akan menandakan percubaan kedua pengeluar berkenaan terhadap teknologi hibrid, dan sistem janaan elektrifikasi itu akan dibangunkan bersama syarikat induknya, Toyota.

    Model hibrid keluaran Daihatsu ialah sebuah kenderaan komersial, Hijet Mini yang jualannya berakhir pada tahun 2010. Jenama ini terdahulunya juga lebih cenderung untuk menawarkan model hibrid dengan tanda harga yang lebih tinggi kepada kelompok pelanggan utamanya, memilih untuk fokus terhadap pengurangan berat dan memperbaiki teknologi enjin pembakaran dalamannya untuk mencapai kadar penggunaan minyak yang terbaik.

    Tetapi tahun lalu, kerajaan Jepun menggariskan rancangan untuk mencapai sifar karbon menjelang 2050, dan sebahagian daripada rancangan itu adalah untuk mengakhiri sama sekali penjualan kenderaan petrol menjelang tahun 2035. Dengan itu, pengeluar di Jepun dijangka akan merancakkan usaha elektrifikasi, dan Rocky hibrid sendiri akan menawarkan antara 20% hingga 30% penggunaan minyak yang lebih baik.

    Daihatsu Rocky hibrid dirancang, diperkenal tahun ini

    Tetapi ini juga ada harganya. Rocky hibrid mungkin akan dijual bebrapa ribu USD lebih mahal berbanding varian 1.0 turbo biasa. Cuma yang lebih menarik, ia sistem hibrid yang sebetulnya, dan bukan lagi sekadar sistem Start/Stop dengan bateri kecil.

    Laporan berkenaan menyatakan Daihatsu dan Toyota telah membangunkan sebuah sistem hibrid penuh dengan motor elektriknya sahaja mampu menyediakan pacuan tanpa kehadiran enjin. Belum ada perincian teknikal yang didedahkan, tetpi enjin, bateri lithium-ion, motor elektrik dan komponen lainnya sudah dioptimumkan untuk platform DNGA.

    Setakat ini, masih belum jelas adakah Rocky hibrid akan dijual di pasaran lain. Di Jepun, kenderaan kecil menyumbang kira-kira 30% bagi jualan kenderaan baru. Dengan memperkenalkan teknologi elektrikfikasi kepada segmen berkenaan akan menyebabkan pembebasan gas kenderaan turun dengan ketara, menyumbang kepada matlamat sifar karbon Jepun tersebut. Pesaing Daihatsu, Suzuki turut menawarkan kenderaan hibrid, tetapi sebahagian besar daripadanya adalah sistem ringkas yang memberi kesan kecil sahaja terhadap kecekapan minyak.

     
     
  • Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

    Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

    Jika tahun lalu rakyat Malaysia ternanti-nantikan pelancaran SUV segmen-B Proton X50, tahun ini merupakan tahun untuk Perodua pula – tempahannya sudahpun mula dibuka, dan pelancaran untuk SUV segmen-B Perodua Ativa nampaknya sudah tidak lama lagi dari sekarang.

    Walaupun kedua-dua SUV ini berada dalam kelas segmen-B, namun X50 dan Ativa bukanlah lawan terus kerana SUV kompak dari Perodua ini menampilkan saiz badan dan juga enjin yang lebih kecil. Ini mungkin membolehkan Perodua mendapatkan pasaran lebih luas kerana ia akan dijual pada harga lebih mampu milik iaitu bermula RM62,500 hingga RM73,400.

    Namun, ini bukan bermakna Perodua akan menghasilkan model yang ‘asal ada’ bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin berminat terhadap SUV. Sebaliknya Ativa ini diasaskan dari platform produksi termaju Daihatsu buat masa sekarang, dikenali sebagai Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

    Beza antara platform baharu ini dengan platform-platform Perodua sedia ada amatlah jauh. Contohnya untuk Myvi generasi ketiga, ia adalah platform yang diubahsuai dari model generasi sebelumnya, pada asalnya adalah Daihatsu Boon/Toyota Passo yang muncul pada tahun 2010.

    Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

    Satu lagi contoh adalah Perodua Aruz yang diasaskan dari Daihatsu Terios/Toyota Rush yang pada asalnya dihasilkan untuk pasaran Indonesia serta pasaran lain yang hampir serupa dan bukan model pasaran global. MPV dengan bentuk SUV tersebut menerima platform ladder frame seakan trak pikap, dan sudah tentu tidak akan dijual pada pasaran seperti Jepun.

    Manakala bagi platform DNGA ini, ia sebenarnya versi untuk Daihatsu dihasilkan berasaskan dari platform Toyota Global Architecture, asas kepada model-model terkini Toyota menampilkan pelbagai rekaan terkini termasuk titik graviti yang rendah. Dan seperti yang diketahui sebelum ini, Ativa merupakan versi untuk Perodua berasaskan Daihatsu Rocky dan Toyota Raize yang telah pun dilancarkan dalam pasaran Jepun pada penghujung 2019.

    Sebelum ini, kami telah pun mengupas berkenaan enjin termaju pernah Perodua guna untuk versi produksi iaitu enjin 1.0 liter turbo 1KR-VET yang anda akan jumpa dalam perut Ativa kelak. Manakala dalam artikel ini, kami akan mengupas lebih mendalam berkenaan platform DNGA yang menjadi asas kepada model paling canggih yang akan anda lihat dalam bilik pameran Perodua tidak lama lagi.

    Platform modular dan bersedia untuk CASE (connected/terhubung, autonomous/berautonomi, shared/berkongsi dan electric/elektrik)

    Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

    Seperti platform moden untuk model-model global buat masa sekarang, DNGA dihasilkan dengan memenuhi pelbagai kriteria, termasuk ia sudah bersedia untuk dipadankan dengan teknologi autonomi (pemanduan sendiri) dan sistem terhubung serta teknologi pacuan elektrifikasi.

    Untuk mengubahsuai platform tradisional Daihatsu bagi membolehkan ia menerima pemadanan untuk CASE akan menyebabkan peningkatan kos dan juga memakan masa yang lama. Jadi langkah Daihatsu bagi menggunakan platform DNGA ini adalah solusi baharu yang amat diperlukan “bagi melancarkan produk dengan pantas dalam pasaran penting baru muncul, di mana pesaingan dijangka akan menjadi sangat sukar,” menurut jenama Jepun tersebut.

    Selepas ini, platform DNGA ini akan digunakan untuk kesemua barisan model Daihatsu. Dengan binaan modular (dimensi seperti jarak roda, panjang dan lebar boleh diubah dengan mudah), platform ini bukan sahaja akan digunakan pada model-model segmen-A (DNGA-A) dan segmen-B (DNGA-B) Daihatsu pada pasaran antarabangsa, malah ia turut akan dijadikan asas kepada model-model Kei-Car Daihatsu di Jepun.

    Pembangunan model baharu yang lebih cepat dan murah

    Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

    Daihatsu sememangnya terkenal sebagai pengeluar kereta kompak yang dihasilkan dengan “perincian yang paling teliti”. Dengan penggunaan platform modular baharu ini membolehkan kebanyakkan model mereka tak kira dari kelas mana berkongsi komponen sebanyak yang boleh, bagi membolehkan mereka menghasilkan komponen berkualiti tinggi tetapi dengan harga lebih rendah, serta memberikan keberkesanan pembangunan lebih baik.

    Komponen utama seperti suspensi, badan bawah, enjin, transmisi dan tempat duduk semuanya akan dihasilkan dari awal serta dikemaskini bersama. Menurut Daihatsu, tahap modular platform DNGA ini membolehkan perkongsian komponen antara model mencapai 75% manakala tempoh pembangunan sesebuah model pula boleh dipendekkan sehingga 50%. Pelaburan modal untuk pembangunan dan pelancaran produk baharu juga dapat dikurangkan sebanyak 30%.

    Perkara ini dapat mengurangkan kos operasi secara signifikant dalam jangka masa panjang, dan segala penjimatan yang dibuat boleh digunakan bagi menambah lebih kelengkapan pada kereta berkenaan, memberikan lebih manfaat kepada pelanggan.

    Tempoh pembangunan yang lebih pendek juga membolehkan mereka menawarkan model yang sentiasa segar, lebih terkini walaupun trend pasaran sentiasa berubah. Dengan platform baharu ini, Daihatsu telah merancang untuk menghasilkan model dalam 15 bentuk badan berbeza, 21 model baharu sehingga penghujung 2025, dengan sasaran jumlah produksi tahunan 2.5 juta kenderaan.

    Sasaran: menghasilkan kestabilan dan keselesaan terbaik dalam kelasnya

    Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

    Pembangunan platform baharu Daihatsu ini dimulakan dari suspensi, menampikan geometri yang mengutamakan kestabilan dan keselesaan, mengoptimakan kelakuan kenderaan dan respon pada pelbagai bentuk permukaan jalan. Jumlah keseluruhan komponen yang bergerak juga dikurangkan bagi menghasilkan casis yang lebih ringan.

    Untuk Rocky dan Raize, ia dipadankan dengan suspensi topang McPherson pada bahagian depan dan torsion beam pada baahgian belakang – kedua-duanya baru dibangunkan sepenuhnya. Pembangunan suspensi tersebut dimulakan dari awal dengan mengoptimakan poin-poin cagak, mengurangkan berat, tetapi dalam masa yang sama menawarkan kestabilan pemanduan bersama olengan badan yang minima, dakwa Daihatsu.

    Getaran yang dirasai pada permukaan beralun juga dapat dineutralkan lebih cepat dalam talaan ini. Daihatsu turut menyatakan bahawa tahap bunyi, getaran dan gangguan (NVH) pada platform ini akan sentiasa berada dalam standard kelasnya bagi tempoh 10-tahun akan datang.

    Lebih ringan tetapi lebih selamat – ketegaran casis dipertingkat, guna gandingan pelbagai logam ultra tegangan tinggi

    Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikanPerodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

    Perubahan terbesar yang dibuat oleh Daihatsu dalam penghasilan rekaan casis baharu ini adalah menghubungkan titik aplikasi kekuatan hadapan dan belakang kenderaan bagi memberikan agihan kekuatan yang lebih lancar pada kerangka. Ini membolehkan keselamatan ketika berlanggar, prestasi dan kekuatan badan bawah kenderaan menjadi lebih baik, sekaligus menjadikan casis berkenaan lebih tegar dan ringan dari sebelum ini.

    Ambil contoh Daihatsu Tanto generasi baharu. Dengan menggunakan platform DNGA sebagai asas, ia kini 30% lebih tegar dan 80 kg lebih ringan dari model generasi sebelumnya.

    Badan bahagian atas DNGA ini juga kini menggunakan plat logam beketegangan tinggi yang lebih tebal (10% lebih dari sebelumnya), memberikan ketagaran dan keselamatan lebih baik. Dalam masa yang sama zon remuk turut telah direka semula bagi meningkatkan keberkesanan ketika menyerap dan pengagihan tenaga kinetik ketika berlanggar.

    Daihatsu Rocky telahpun menerima penarafan lima bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Program Penilaian Kereta Baharu Jepun (JNCAP) pada 2019, iaitu model kedua Daihatsu yang berjaya mencapai keputusan sedemikian. Anda boleh lihat video ujian JNCAP tersebut di bawah. Kami jangka Perodua Ativa dengan kelengkapan keselamatan pasif dan aktif yang sama turut bakal menerima markah lima bintang dalam ujian pelanggatan ASEAN NCAP bagi rantau ini.

    Seperti yang diumumkan tempoh hari, Ativa bakal dilengkapkan dengan tujuh-beg udara, sistem kestabilan elektronik, sistem brek kecemasan automatik (AEB) dan juga Amaran dan Pengelak Keluar Laluan sebagai ciri standard. Model tertinggi Ativa AV pula menerima fungsi tambahan Kawalan Kekal Laluan, Pemantau Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, dan juga Cruise Control Adaptif.

    Direka bersama dengan enjin dan transmisi yang baharu dibangunkan.

    Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

    Ketika menghasilkan platform DNGA ini, Daihatsu turut membangunkan enjin serta transmisi baharu bagi mencapai peningkatan yang signifikant dalam semua aspek. Rocky dijana oleh enjin tiga-silinder 1.0 liter turbo yang perinciannya boleh anda baca pada PAUTAN INI, dan ia digandingkan dengan kotak gear automatik D-CVT.

    Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa platform DNGA dan juga keseluruhan pakej yang akan tampil pada Ativa nanti merupakan satu lonjakan generasi yang cukup besar berbanding model-model sedia ada Perodua, dan mereka kini berada pada landasan yang betul.

    Akan ada model lain Perodua yang akan diasaskan dari platform DNGA?

    Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

    Secara teorinya, kesemua model yang diasaskan dari DNGA tidak kira jenis bentuk badan atau saiz, ia boleh dipasang dalam satu barisan produksi yang sama – ini satu lagi kelebihan sebuah platform yang dihasilkan secara modular. Jadi mengikut fakta ini, Ativa ini hanyalah model permulaan dari Perodua dalam menggunakan platform DNGA, dan akan diikuti dengan model-model lain menggunakan platform sama selepas ini.

    Pada 2020, Perodua telah mengeluarkan belanja sebanyak RM500 juta bagi tujuan modenisasi dan juga membesarkan lagi kilang mereka bagi memproduksi Ativa. Jadi dengan pelaburan yang besar berkenaan mustahil Perodua hanya hasilkan Ativa. Ia pastinya akan ‘dikerah’ bagi menghasilkan pulangan semula yang lebih besar.

    Selepas ini, berkemungkinan besar Perodua akan memperkenalkan model gantian atau generasi seterusnya untuk MPV Alza. Projek berkenaan sebenarnya sudah pun dimulakan, diberikan kod model D27A serta unit ujian prototaipnya juga sudah kelihatan diuji sebelum ini.

    Sebahagian teknologi masa hadapan yang ditunjukkan oleh Perodua pada Kuala Lumpur International Motorshow 2018 seperti sistem bantuan pemanduan keselamatan sudah pun dipadankan pada Ativa. Jadi ada kemungkinan teknologi hibrid yang turut ditunjukkan pada masa berkenaan akan mula muncul pada model baharu Alza berkenaan pula. Malah sekiranya respon baik diterima pada enjin turbo Ativa ini, ia tidak mustahil turut akan digunakan pada MPV berkenaan.

    Jadi anda dah nampak bayangan hala tuju Perodua selepas ini dengan platform DNGA berkenaan? Seperti yang kami katakan tadi, Ativa ini hanyalah permulaan dan kita akan terus menerima pelbagai kejutan lagi dari Perodua selepas ini!




    GALERI: Daihatsu Rocky 2019

    GALERI: Toyota Raize 2019

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 didedah – crossover elektrik dengan rekaan tajam, tork hingga 605 Nm, jarak gerak 480 km

    Hyundai Ioniq 5 didedah – crossover elektrik dengan rekaan tajam, tork hingga 605 Nm, jarak gerak 480 km

    Apa yang anda lihat ini bukanlah kereta konsep, tapi sebaliknya sebuah kereta yang boleh mula dibeli (bergantung kepada pasaran) dalam masa beberapa bulan lagi. Ini adalah Hyundai Ioniq 5, sebuah crossover elektrik pertama yang dibina atas platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP).

    Rekaan Ioniq 5 ini sebenarnya sudah boleh dilihat awal melalui model konsep 45 yang didedahkan pada tahun 2019, dan bagi model produksi ini, kebanyakan rekaannya masih dikekalkan. Ini termasuklah profail tepi inspirasi daripada kereta pertama Hyundai, iaitu Pony, cermin belakang ala fastback serta c-pillar yang lebar.

    Bahagian hadapan kenderaan ini ternyata unik dengan bampar yang menggabungkan garisan berbentuk V serta lampu utama petak dan DRL dengan pencahayaan berbintik. Ia juga menggunakan bonet jenis clamshell yang bersambung sekali dengan fender – pertama bagi Hyundai – dan dikatakan dapat membantu mengurangkan ruang antara panel dan mempertingkatkan aerodinamik. Sebab sama juga membawa kepada penggunaan pembuka pintu jenis rata.

    Hyundai Ioniq 5 didedah – crossover elektrik dengan rekaan tajam, tork hingga 605 Nm, jarak gerak 480 km

    Walaupun bonet dan bumbung masih nampak melengkung, pada bahagian lain kereta ini menggunakan banyak garis serta lekuk tajam, yang diberitahu merupakan sebahagian daripada konsep rekaan baru Parametric Dynamic Hyundai. Lampu belakang juga menggunakan pencahayaan berpetak sama seperti di hadapan, sementara rim pula melibatkan rekaan yang kompleks sekiranya diperhatikan lebih dekat.

    Walaupun nampak kompak, Ioniq 5 sebenarnya agak besar dengan ukuran 4,635 mm panjang (hampir seperti Tucson dengan jarak roda panjang) dan 25 mm lebar (1,890 mm) serta 50 mm lebih rendah (1,605 mm). Untuk jarak roda pula, pada 3,000 mm, ia sebenarnya adalah lebih panjang daripada SUV tujuh tempat duduk Palisade. Sebab itulah anda boleh melihat rim 20 inci yang digunakan pada Ioniq 5 ini nampak tidak terlalu besar.

    Sementara bahagian luar nampak unik, bahagian dalam pula direka untuk memberi standard baru dalam ruang kabin serta fleksibiliti. Platform baru ini membenarkan penggunaan lantai yang rata sepenuhnya, dan apabila digabungkan bersama jarak roda yang panjang, dapat memberi suasana seperti ruang santai. Di atas terdapat bumbung panoramik yang luas.

    Hyundai Ioniq 5 didedah – crossover elektrik dengan rekaan tajam, tork hingga 605 Nm, jarak gerak 480 km

    Tempat duduk larasan kuasa yang terdapat di depan mempunyai sokongan di bahagian kaki apabila ia disandarkan, sementara konsol tengah yang dipanggil sebagai Universal Island juga boleh digunakan oleh penumpang belakang untuk meletakkan cawan. Bahagian belakang tempat duduk hadapan ini 30% lebih nipis bagi memberikan lebih ruang kepada penumpang.

    Menurut Hyundai, Ioniq 5 menyediakan ruang simpanan 531 liter, dan ia boleh dibesarkan menjadi 1,600 liter apabila tempat duduk belakang dilipat rata. Di hadapan juga terdapat lagi ruang simpanan tambahan sebesar 57 liter. Satu ciri menarik adalah terdapat soket V2L di bawah tempat duduk belakang dan berhampiran tempat mengecas, yang boleh menyediakan kuasa 3.6 kW untuk mengecas barang seperti komputer riba, basikal elektrik, skuter ataupun barangan lain.

    Bahagian lain nampak ringkas dengan rekaan papan pemuka yang lurus dan rata, penukar gear berhampiran stereng serta dua skrin yang bersambung. Melalui skrin ini juga pengguna boleh melaras suasana di dalam kabin kenderaan.

    Hyundai Ioniq 5 didedah – crossover elektrik dengan rekaan tajam, tork hingga 605 Nm, jarak gerak 480 km

    Ioniq 5 ditawarkan dengan sistem sambungan BlueLink terbaru yang dapat menyediakan ciri baru seperti petunjuk navigasi berasaskan cloud, simpanan beberapa profail pengguna serta kawalan pengecas dan suhu jarak jauh. Turut disediakan adalah head-up display AR (seperti Mercedes-Benz S-Class), pengenalan suara dan sistem bunyi lapan pembesar suara Bose.

    Memandangkan ini adalah kereta elektrik yang mesra alam, bahan lain yang digunakan di dalam juga mengikut konsep sama. Ini termasuklah polyethylene (PET) kitar semula daripada botol plastik, benang berasaskan tumbuhan (bio-PET) serta cat dan kulit yang juga berasaskan tumbuhan. Pemilik turut boleh menambah panel solar di atas kereta ini dan ia dapat membantu kuasa bateri dan memberikan jarak gerak lebih jauh.

    Pada bahagian sistem bantuan pemandu, Ioniq 5 adalah model Hyundai pertama yang mendapat Highway Driving Assist 2 di mana ia dapat mengekalkan jarak dengan kenderaan di hadapan mengikut jarak yang telah ditetapkan, dan kekal di dalam lorong. Selain daripada itu, kenderaan ini turut dilengkapi Autonomous Emergency Braking yang mempunyai pengesan basikal, pejalan kaki dan trafik dari hadapan, pengenalan tanda jalan, pembantu lampu tinggi serta amaran untuk menarik perhatian pemandu.

    Hyundai Ioniq 5 didedah – crossover elektrik dengan rekaan tajam, tork hingga 605 Nm, jarak gerak 480 km

    Sistem lain yang diberi adalah seperti dua kamera titik buta di tepi, sistem penghindar perlanggaran titik buta, amaran buka pintu, letak kereta melalui arahan kawalan jauh, kamera 360 darjah, AEB waktu meletakkan kenderaan serta penghindar perlanggaran trafik dari belakang.

    Spesifikasi kenderaan ini masih belum didedahkan oleh Hyundai tetapi beberapa ciri pentingnya telah diberitahu. Ioniq 5 akan ditawarkan dalam sama ada pacuan roda belakang atau semua roda (dua motor), serta pilihan kapasiti bateri 58 atau 72.6 kWh. Model yang dilengkapi dengan AWD dan bateri paling besar akan mempunyai kuasa paling tinggi, iaitu 225 kW (302 hp) dan 605 Nm tork.

    Untuk mendapatkan jarak gerak paling jauh, sekitar 470 hingga 480 km, anda perlu mendapatkan model pacuan roda belakang dan bateri 72.6 kWh. Tidak kiralah versi mana pun yang dipilih, anda masih akan dapat laju maksimum yang sama, iaitu 185 km/j.

    Hyundai Ioniq 5 didedah – crossover elektrik dengan rekaan tajam, tork hingga 605 Nm, jarak gerak 480 km

    Satu ciri pertama di dunia yang ada pada Ioniq 5 ini adalah ia dapat digunakan bersama kedua-dua sistem 400 V dan 800 V dengan memberikan boost kepada motor elektrik serta inverter, dan tidak menggunakan pengecas berasingan. Melalui pengecas pantas DC 350 kW, pengguna boleh mengecas bateri dari tahap 10% ke 80% dalam masa cuma 18 minit. Jika mengecas selama lima minit sahaja, anda sudah boleh pergi sehingga 100 km.

    Pengecas 350 kW ini akan disediakan di rangkaian pengecas IONITY (Hyundai adalah pemegang saham utamanya) dan pemilik di beberapa negara terpilih akan menerima langganan percuma selama satu tahun untuk rangkaian ini. Tempat mengecas boleh dicari menggunakan sistem infotainmen dan membayar menggunakan kad kredit atau aplikasi.

     
     
  • Audi A6, A7, Q5 TFSI e 2021 – model PHEV kini dengan bateri besar 17.9 kWh, A6 Avant 50 TFSI diperkenalkan

    Audi A6, A7, Q5 TFSI e 2021 – model PHEV kini dengan bateri besar 17.9 kWh, A6 Avant 50 TFSI diperkenalkan

    Audi telah mengumumkan model A6, A7 dan Q5 TFSI e 2021 bakal menerima bateri lithium-ion yang lebih besar iaitu dengan kapasiti 17.9 kWh, menawarkan jarak pemanduan sehingga 91 km dalam pengecasan penuh, atau 73 km berdasarkan kitaran WLTP. Ia telah dipertingkatkan berbanding pek bateri 14.1 kWh terdahulu, yang hanya memberikan jarak hingga 53 km.

    Peningkatan ini dibuat khas untuk model A6 Sedan, A6 Avant, A7 Sportback, Q5 TFSI e dan Q5 Sportback TFSI e. Audi berkata pek bateri baharu ini masih mengekalkan dimensi yang sama dan tidak menjejaskan kapasiti tempat penyimpanan barangan (tahap lantai but masih kekal), jadi model PHEV ini masih menerima jumlah kapasiti but yang sama seperti sebelum ini.

    Tiada perubahan dibuat untuk bahagian pengecasan. Pengecas onboard maksimum masih kekal pada 7.4 kWh, membenarkan model PHEV ini dicas penuh dalam 2.5 jam. Terdapat mod pemanduan hibrid keempat yang ditambah, dipanggil mod “Charge”. Ia turut didatangkan dengan mode EV, Auto dan Hold, membenarkan bateri dicas oleh enjin pembakaran dalaman sewaktu dalam pemanduan.

    Turut diumumkan ialah peningkatan minima bagi model asas A6 Avant 50 TFSI e quattro. Dengan enjin 2.0 liter TFSI yang dipadankan bersama motor elektrik 105 kW, unit penjana kuasa ini mampu memberikan output hingga 299 PS dan tork 450 Nm. Sebagai perbandingan, versi 55 TFSI e yang lebuh berkuasa memiliki output hingga 367 PS dan tork 500 Nm. Transmisi dwi-klas S tronic tujuh-kelajuan didatangkan secara standard.

    Harga bagi A6 Avant 50 TFSI e quattro baharu bermula dari 61,790 euro (RM304k). Manakala harga bagi lain-lain model PHEV Audi seperti A3, Q3, Q7, Q8 dan A8 akan dikemaskini kelak.

     
     
  • Plat KFC 11 dibuka bidaan – 25 Feb, 11 pagi-11 malam

    Plat KFC 11 dibuka bidaan – 25 Feb, 11 pagi-11 malam

    Kalau teringat ayam goreng, mesti terbayang KFC kan. Semalam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah mengumumkan pihaknya berjaya meraih kutipan sebanyak RM2 juta menerusi bidaan siri plat nombor pendaftaran kenderaan KFC yang dibuka pada 13-17 Februari lalu. Menurut Pengarah JPJ Negeri Kedah, Abdul Rahman Emang Anyie, kutipan bidaan tertinggi bagi siri ini ialah “KFC 7” dengan jumlah bidaan sebanyak RM52,000 dan “KFC 9” sebanyak RM48,000.

    Berita ini turut menarik perhatian pihak KFC Malaysia yang ingin berkongsi kegembiraan dengan kejayaan bidaan siri berkenaan, lantas membuat keputusan untuk mengadakan bidaan umum buat julung kalinya untuk KFC Original Plate (pinggan sebenar) edisi terhad pada 25 Februari 2021, 11pagi hingga 11 malam di laman Facebook KFC.

    Bidaan dibuka bermula RM11 di mana rakyat Malaysia boleh menyertai dengan kenaikan bidaan minimum RM1. Pembida tertinggi akan disahkan sebagai pemenang di mana 100% keuntungan akan disalurkan kepada KFC Add Hope Malaysia – unit tempatan initiatif global KFC dalam usahanya untuk mengakhiri kebuluran.

    “Kami di KFC Malaysia mahu anda tahu bahawa kami turut berkongsi rasa kasih anda terhadap KFC dan dengan sukacitanya kami mahu menambahkan lagi keseronokan dengan pembukaan bidaan KFC Original Plate. Rekaan pinggan ini mengetengahkan “KFC 11” yang mimik nombor pendaftaran kereta dan pada masa yang sama melambangkan 11 herba dan rempah rahsia ikonik jenama ini.

    “Pembida tertinggi akan menjadi satu-satunya pemenang pinggan ini yang ada satu unit sahaja di dunia, dengan setiap keuntungan disalurkan untuk tujuan amal,” kata Evelyn Ng, Timbalan Pengarah Besar Pemasaran KFC Malaysia.

     
     
  • Mercedes-Benz C-Class W206 2022 dilancar, teknologi S-Class, MBUX, 4-silinder, PHEV dengan jarak 100 km

    Mercedes-Benz C-Class W206 2022 dilancar, teknologi S-Class, MBUX, 4-silinder, PHEV dengan jarak 100 km

    Selepas menjadi buah mulut ramai pemerhati automotif global, Mercedes-Benz kini dengan rasminya memperkenalkan buat julung kali model C-Class W206 terbaru secara siaran langsung secara maya. Bagi model generasi semasa yang diperkenalkan pada tahun 2014, sebanyak 2.5 juta unit versi Saloon dan Estate-nya telah dijual. Ia merupakan model dan segmen paling laris jenama Jerman ini — 10.5 juta unit sejak model pertamanya diperkenalkan pada 1982.

    Apa yang lebih menarik ialah C-Class terbaru ini menampilkan teknologi elektrifikasi melalui sistem plug-in hybrid dan mild-hybrid 48-volt EQ Boost serta penghidup-generator bersepadu. Dengan bateri berkecekapan tinggi, model ini mampu memberikan jarak elektrik sepenuhnya sehingga 100 km (kitaran WLTP) bagi sistem plug-in hybrid. Model salon dan estate diperkenalkan serentak.

    Berbanding model generasi W205 semasa, versi generasi terbaru ini lebih besar; dengan panjang 4,751 mm dan lebar 1,820 mm, jarak antara rodanya ditambah sebanyak 25 mm menjadi 2,865 mm. Ini juga secara langsung menjadikan ruang kabin bagi penumpang depan dan belakang lebih luas. Ini menjadikan C-Class W206 tampil dengan proposi lebih menarik — overhang depan pendek, jarak antara roda serta overhang belakang lebih panjang.

    Mercedes-Benz C-Class W206 2022 dilancar, teknologi S-Class, MBUX, 4-silinder, PHEV dengan jarak 100 km

    Dari sisi, lekuk permukaan yang ada memberikan kesan cahaya unik bagi kereta ini. Garis badan dikurangkan, dan bagi model estate pula garis bumbung yang progresif yang digabungkan dengan garis tingkap belakang yang berlengkung memberikan imej lebih sporty. Ini ditambah pula dengan lebar ketegapan serta penggunaan rim 17-inci hingga 19-inci dalam rekaan moden.

    Gril radiator yang sinonim dengan jenama ini juga memberikan perwatakan tersendiri kepada wajah depan. Semua model datang dengan rekaan bintang di tengahnya, dengan perincian rekaan gril itu sendiri yang membezakan antara kesemuanya. Bagi Avantgarde Line, terdapat unsur hiasan tambahan diberikan. Imej khusus bagi AMG Line ialah diamond grille yang ada padanya, dengan bintang krom.

    Rekaan belakang adalah sentuhan sinonim bagi saloon Mercedes-Benz. Rekaan lampu belakang memukau dengan penampilan siang dan malam yang tersendiri. Bagi model saloon, lampunya pertama kali menggunakan rekaan dua-bahagian bagi C-Class, dengan fungsi lampu dibahagikan andara sisi badan kereta dan juga di but. Tiga warna baru turut diperkenalkan — Spectral Blue, High-Tech Silver dan Opalite White.

    Mercedes-Benz C-Class W206 2022 dilancar, teknologi S-Class, MBUX, 4-silinder, PHEV dengan jarak 100 km

    Bagi ruang dalaman, papan pemukanya dibahagi kepada seksyen atas dan bawah. Ruangan ini mewarisi banyak imej, rekaan dan teknologi daripada model flagship, Mercedes-Benz S-Class dan menampilkan suasana canggih secara keselruhannya. Rekaan keseluruhan papan pemuka ini juga memberi keutamaan kepada pemandu, dengan kecondongan enam-darjah ke arah mereka.

    Skrin LCD beresolusi tinggi tersedia untuk pemandu. Ia terapung, sekali gus menjadikan paparan maklumat untuk pemandu jauh berbeza daripada kokpit tradisional dengan paparan meter bulat biasa. Pelanggan boleh memimilih antara saiz 10.25-inci atau 12.3-inci.

    Peralihan ke arah pendigitalan juga ketara pada paparan tengah; segala fungsi kenderaan boleh dikawal menerusi skrin sentuh berkualiti tinggi. Kedudukan menegaknya memberi kelebihan kepada sistem tunjuk arah. Skrin dengan saiz 9.5-inci adalah standard. Pilihan untuk versi lebih besar juga disediakan, iaitu 11.9-inci.

    Mercedes-Benz C-Class W206 2022 dilancar, teknologi S-Class, MBUX, 4-silinder, PHEV dengan jarak 100 km

    Selain itu, model ini juga datang dengan ciri Mercedes-Benz User Experience (MBUX) generasi terkini yang menawarkan operasi lebih mudah dan ringkas. Ini menjadikan ruang dalaman kereta ini lebih pintar; paparan imej pada skrin lebih jelas, menjadikannya lebih mudah untuk diselia. Paparan pemandu dan paparn media pula memberikan kawalan lebih holistik.

    Maklumat dipersembahkan dalam cara lebih berstruktur. Gaya paparan juga ada tiga (Discreet, Sporty, Classic) dan tiga mod (Navigation, Assistance, Service). Tidak ketinggalan ialah servis muzik dalam talian, yang operasinya bersepadu dengan sistem infotainment MBUX serta menampilkan ciri kemaskini over-the-air (OTA).

    Bagi sistem janaan kuasa, ia hanya hadir dengan unit empat-silinder daripada keluarga enjin modular Mercedes-Benz FAME (Family of Modular Engines). Sebagai tambahan kepada pengecas turbo, kedua-dua enjin petrol dan diesel yang ditawarkan lengkapi dengan penghidup-generator bersepadu (ISG), bertindak memberikan bantuan pintar dalam kelajuan enjin rendah sebagai mild hybrid generasi kedua.

    ISG ini menggunakan sistem elektrikal dalaman 48 volt yang memastikan fungsi seperti meluncur, meningkatkan janaan serta pemulihan tenaga dan memberikan penjimatan minyak terbaik. Enjin juga dapat dihidupkan dengan segera dan senyap, dengan fungsi Start/Stop hampir tidak dirasai dengan ketara oleh pemandu. Dalam keadaan melahu pula, interaksi pintar antara ISG dan enjin pembakaran dalaman memastikan suasana kekal selesa.

    Varian petrol terdiri daripada C 180, C 200, C 200 4Matic, C 300 dan C 300 4Matic, sementara bagi varian diesel adalah C 220 d dan C 300 d. Model C 180, C 200 dan C 200 4Matic menggunakan enjin 1.5 liter turbo dengan janaan dari 168 hp hingga 201 hp. Bagi dua varian C 300 pula, ia menggunakan enjin M254 2.0 liter turbo, dengan janaan 255 hp dan 400 Nm. Semua varian C-Class digandingkan dengan transmisi 9G-Tronic automatik.

    Seperti dinyatakan di awal tadi, penampilan sulung bagi C-Class dan berita penting di sini ialah varian plug-in hybrid. Walaupun belum diperincikan secara rasmi, spesifikasi awal C 300 e PHEV telah didedahkan — menggunakan enjin M254 2.0 liter, varian ini mempunyai output elektrik 127 hp (95 kW) dan 440 Nm. Dilengkapi dengan bateri 24.4 kWh 96 cell dengan konfigurasi penyejukan dalaman, PHEV ini menawarkan jarak elektrik sepenuhnya 100 km (kitaran WLTP); dua kali ganda angka generasi sebelum ini. Dengan kuasa elektrik penuh, kelajuan boleh mencecah 140 km/j.

    Pengecas 11 kW standard (bergantung kepada pasaran) ditawarkan bagi pengecasan tiga-fasa menggunakan Wallbox yang disambung pada AC domestik, sementara pengecas DC 55 kW pilihan pula boleh mengecas dari kosong ke penuh dalam masa 30 minit. Bateri baru yang dibangunkan sendiri oleh Mercedes itu juga lebih kompak, memberi kelebihan kepada ruang but.

    Sedikit lagi tambahan tentang ruang; di dalam, ruang lutut bertambah 35 mm dengan 13 mm lebihan bagi ruang kepala di belakang; ruang siku juga naik 22 mm di depan dan 15 mm di belakang berbanding model W205. Kapasiti ruang kargo pula kekal sama dengan model lamanya, dengan 455 liter.

    Lain-lain pembaharuan termasuk sistem pacuan semua roda yang dijadikan lebih ringan, termasuk menggunakan pacuan gandar depan baru. Fungsi stereng gandar belakang juga datang dengan nisbah stereng terus di gandar depan. Sistem ini menambah 2.5-darjah sudut stereng pada gandar belakang untuk mengurangkan sudut pusingan kereta ini sehingga 43 cm, kepada 10.64 meter.

    Dengan kelajuan di bawah 60 km/j, roda belakang akan diarah bertentangan berbanding roda depan, dan sehingga 2.5-darjah bertentangan terhadap gandar depan ketika parkir. Ini memudahkan lagi kereta untuk dikilaskan arah sterengnya. Sementara dalam kelajuan melebihi 60 km/j pula, roda belakang diarah sehingga 2.5-darjah arah yang sama dengan roda depan. Ini akan memanjangkan lagi jarak antara roda dan menjadikannya lebih stabil dalam kelajuan tinggi.

    Mercedes-Benz C-Class W206 2022 dilancar, teknologi S-Class, MBUX, 4-silinder, PHEV dengan jarak 100 km

    Sistem suspensi dinamiknya pula menampilkan jenis four-link axle bari depan dan multi-link axle di belakang yang disambung pada subframe, membolehkannya memberi serapan tahap tinggi, begitu juga dengan keselesaan dan bunyi bising berkurangan dan dalam masa menjamin pengendalian dinamik. Penyerap hentaknya juga boleh laras serta dengan suspensi sport. Suspensi udara telah digugurkan seluruhnya, dan cuma akan ditawarkan pada bahagian belakang versi saloon atau estate model plug-in hybrid sahaja.

    Aspek keselamatan juga lengkap pada C-Class terbaru ini, termasuk Active Distance Assist Distronic, yang kini telah ditingkatkan kelajuan operasinya atas jalan kepada sehingga 100 km/j berbanding 60 km/j sebelum ini. Active Steering Assist yang membantu pemandu kekal dalam lorong pada kelajuan sehingga 210 km/j kini datang dengan tambahan pengesanan lorong melalui kamera 360-darjah. Sistem Traffic Sign Assist pula ditambah fungsi tanda berhenti dan fungsi lampu amaran merah, sebahagian darpada Driving Assistance Package.

    Ini dia sedikit sebanyak tentang Mercedes-Benz C-Class W206 yang baru sahaja diperkenalkan di peringkat global. Apa pandangan anda, adakan ini jauh lebih menarik berbanding model W205 sebelum ini?

    Mercedes-Benz C-Class W206 Sedan AMG Line

    Mercedes-Benz C-Class W206 Estate AMG Line

     
     
  • PKP 2.0/PKPB: Guna sempadan daerah pentadbiran, bukan sempadan polis bagi larangan rentas daerah

    PKP 2.0/PKPB: Guna sempadan daerah pentadbiran, bukan sempadan polis bagi larangan rentas daerah

    Berhubung isu rentas daerah, memang ramai yang terkeliru, sama ada perlu mengikut daerah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau sempadan mengikut pejabat daerah. Malahan kerajaan juga menerima banyak aduan daripada orang ramai yang ditahan dan dikompaun oleh polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) dalam daerah, sedangkan pergerakan dalam daerah sama adalah dibenarkan.

    Sehubungan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sempadan daerah diguna pakai ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) adalah membabitkan daerah pentadbiran diketuai pegawai daerah bukan sempadan polis, laporan Harian Metro.

    “Sebenarnya sejak dari dulu kita tidak pernah guna sempadan daerah polis tetapi menggunakan daerah pentadbiran diketuai pegawai daerah. Sebagai contoh di Selangor Daerah Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat manakala di Pahang seperti Daerah Jerantut, Bera dan Kuala Lipis,” katanya.

    PKP 2.0/PKPB: Guna sempadan daerah pentadbiran, bukan sempadan polis bagi larangan rentas daerah

    Tambah beliau, daerah ini sudah biasa digunakan orang ramai dan itu yang digunakan kerajaan dalam penentuan larangan rentas daerah ketika PKP dan PKPB.

    “Sebagai contoh daerah Temerloh ingin ke Jerantut kita tidak menggunakan daerah polis tetapi daerah pentadbiran. Hal ini berlaku apabila ada yang mengadu mengenai perkara itu dan ia sudah diperbetulkan apabila saya sendiri maklumkan kepada polis mengenai perkara itu,” katanya.

    Jelasnya, bagi mereka yang sudah dikompaun dalam kes seumpama itu boleh mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah mengikut daerah kompaun yang dikeluarkan.

     
     
  • PLUS jamin Jambatan P.Pinang selamat digunakan

    PLUS jamin Jambatan P.Pinang selamat digunakan

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) selaku pengendali Jambatan Pulau Pinang memberi jaminan bahawa keseluruhan struktur jambatan tersebut masih kukuh dan selamat digunakan oleh orang ramai susulan insiden kebakaran kabel TNB di KM3.2 di jambatan itu semalam.

    Dalam kejadian semalam, api berjaya dipadamkan kira-kira jam 7:30 malam dan tiada kecederaan melibatkan pengguna jambatan dilaporkan.

    Menurut PLUS, buat masa ini, lorong kanan di kedua-dua arah di lokasi kebakaran tersebut ditutup selama beberapa hari untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak TNB, Jabatan Bomba & Penyelamat dan juga pihak polis.

    “Sepanjang tempoh ini, orang ramai digalakkan supaya menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah untuk mengelakkan kesesakan disebabkan oleh penutupan lorong tersebut.

    “PLUS juga akan terus menyalurkan maklumat trafik terkini menerusi paparan papan tanda elektronik di lokasi strategik di lebuhraya termasuklah menerusi Twitter PLUSTrafik dan saluran media sosial dari masa ke masa,” ujar kenyataan PLUS.

    Selain itu, orang ramai turut digalakkan untuk memuat turun Aplikasi PLUS secara percuma dan berinteraksi dengan Chatbot pertama lebuhraya iaitu PUTRI untuk mendapatkan maklumat trafik di Jambatan Pulau Pinang.