Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • JPJ Kedah raih RM2j melalui siri plat pendaftaran KFC

    JPJ Kedah raih RM2j melalui siri plat pendaftaran KFC

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah telah mengumumkan keputusan tender JPJ Ebid bagi nombor pendaftaran siri KFC yang telah tamat pada 17 Februari lalu. Di mana siri KFC yang bidaannya dibuka sejam 13 Februari selama lima hari itu telah mencatatkan kutipan sebanyak RM2,108,364. Ia melibatkan pembida seramai 3188 orang yang mengambil bahagian dalam bidaan tersebut.

    Menurut Pengarah JPJ Negeri Kedah, Abdul Rahman Emang Anyie, kutipan bidaan tertinggi bagi siri ini ialah “KFC 7” dengan jumlah bidaan sebanyak RM52,000 dan “KFC 9” sebanyak RM48,000.

    “JPJebid ini menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat.
    “Pembida boleh mengetahui kedudukan (ranking) secara ‘realtime’ dan tiada unsur-unsur campur tangan manusia,” katanya menerusi petikan laporan Sinar Harian.

    Beliau turut berkata, nombor pendaftaran KFC cukup sinonim dengan jenama popular restoran makanan segera dan pasukan bola sepak Kedah. Sekaligus menjadi antara faktor siri nombor tersebut mendapat permintaan yang tinggi.

    Setakat ini, bidaan tertinggi yang pernah direkodkan oleh JPJ Kedah ialah nombor pendaftaran KEN yang berjaya mencecah kutipan sebanyak RM4.8 juta pada tahun 2016.

     
     
  • Tiada “renew” cukai jalan di Pos M’sia hingga 31 Mac

    Tiada “renew” cukai jalan di Pos M’sia hingga 31 Mac

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan penangguhan sementara perkhidmatan pembaharuan cukai (Lesen Kenderaan Motor, LKM) bagi kenderaan persendirian di semua pejabat pos seluruh negara. Ia akan berlangsung sehingga 31 Mac nanti.

    Menurut Pos Malaysia, semua perkhidmatan lain berkaitan kenderaan seperti pembaharuan lesen memandu serta pembaharuan insurans kenderaan tidak terkesan, dan masih boleh dilakukan sepanjang tempoh itu.

    Hanya pembaharuan cukai jalan yang digantung sementara; ini juga tidak menjadi masalah kerana Kementerian Pengangkutan membenarkan pemandu yang mempunyai lesen untuk membawa kenderaan yang tamat cukai jalan asalkan ia mempunyai insurans yang sah. Pengguna dinasihatkan untuk menyediakan satu salinan pelindungan insurans dalam kenderaan, sekiranya pengesahan perlu dibuat oleh pihak berkuasa.

    Diumumkan akhir bulan lalu, pengecualian pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu adalah dari 1 Februari hingga 31 Mac, selaras dengan pengurangan perkhidmatan kaunter di pejabat JPJ.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia Januari 2021 ikut jenama

    Jualan kenderaan di M’sia Januari 2021 ikut jenama

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebelum ini telah mengeluarkan data jualan bagi kenderaan bagi bulan Januari 2021, dengan jumlah jualan 32,829 unit. Angka itu 52.3% berkurangan daripada 68,836 unit yang dijual pada Disember 2020. Walaupun penurunan ini sudah dijangka, terutama selepas promosi hujung tahun lalu, ia bagaimanapun tetap berkurangan sebanyak 23.5% jika dibandingkan dengan bulan yang sama pada tahun 2020.

    MAA menggariskan beberapa sebab utama yang mendorong kepada situasi itu. Pertama, jumlah kunjungan ke bilik pameran telah terkesan akibat pengenalan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari, walaupun bilik pameran kenderaan dibenarkan untuk beroperasi untuk tempoh itu.

    Kedua, jualan atau pembelian kenderaan dilakukan dalam bulan Disember 2020 dengan jangkaan bahawa tempoh pengecualian cukai SST akan berakhir pada 31 Disember 2020, seperti yang diumumkan sebelumnya, yang kemudian dilanjutkan hingga 30 Jun 2021. Ini mengakibatkan stok berkurangan untuk Januari 2021 bagi sesetengah pengeluar.

    Lebih separuh jualan pada bulan lalu disumbangkan oleh Perodua, yang mencatatkan 16,887 unit atau 51.4% perkongsian pasaran. Peratusan ini sesuatu yang luar biasa bagi syarikat pelopor pasaran tersebut, yang kini sudah melebihi tahap 40% kebiasaannya. Kedudukan kedua ialah Proton, yang menjual kurang daripada separuh apa yang dicapai pada Disember 2020, dan dengan angka di bawah 6k unit itu, ia menguasai pasaran sebanyak 18.2%.

    Jualan kenderaan di M’sia Januari 2021 ikut jenama

    Dengan itu, penguasaan oleh jenama pengeluar tempatan mencecah hampir 70% (69.9%) bagi bulan Januari. Peratusannya sudah lama tidak pernah mencapai tahap ini bagi gandingan Proton/Perodua untuk menguasai pasaran tempatan.

    Perkembangan dalam kalangan pengeluar bukan nasional juga menarik. Honda, yang sejak tahun 2015 berjaya memintas buat pertama kali berada di hadapan Toyota. Dan Toyota juga baru-baru ini telah menyuarakan keinginan jenama itu untuk merebut semula kedudukan pertama bagi jenama luar tersebut — dan itu dimulakan dengan baik.

    Jualan Toyota mengatasi Honda, walaupun tanpa bantuan kenderaan komersial (yang mana Honda juga tidak pernah miliki) — 2,450 berbanding 1,457 unit. Mitsubishi juga menunjukkan perkembangan positif dengan menduduki tangga kelima bulan lalu, disumbangkan oleh penjualan MPV Xpander. Ia telah memintas Nissan dan Mazda (MMM menduduki tangga ketujuh keseluruhan, tahun lalu).

    Sementara itu, BMW Group Malaysia (BMW dan MINI) hanya akan berkongsi laporan jualan suku tahunan mereka, sementara pesaingnya, Mercedes-Benz telah berhenti sama sekali untuk melakukan hal itu. Apa pun, ini bulan pertama dan terlalu awal untuk menjangkakan prestasi seterusnya setiap jenama. Berbaki 11 bulan lagi, dengan jangkaan lebih banyak model baru akan diperkenalkan kelak.

    Jualan kenderaan di M’sia Januari 2021 ikut jenama

     
     
  • Cupra Formentor VZ5 – enjin lima silinder 2.5L 380 hp

    Cupra Formentor VZ5 – enjin lima silinder 2.5L 380 hp

    Selepas diberitahu dalam teaser, kini Cupra Formentor VZ5, iaitu varian paling tinggi bagi SUV tersebut telah diperkenalkan secara rasmi sebagai sebuah model keluaran terhad. Ia dipacu oeh enjin lima silinder petrol turbo 2.5 liter, bersama transmisi DSG tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Drive untuk menghasilkan kuasa 390 PS dan 480 Nm tork.

    Ini adalah enjin yang sama seperti yang digunakan pada Audi RS3 dan TT RS (tetapi dua model ini mempunyai kuasa 400 hp) dan ia dapat membantu VZ5 membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.

    Melihat kepada penampilan, VZ5 mendapat bampar yang direka semula, gril hitam serta bonet yang khas untuknya. Dua lubang berbentuk bulat di bawah lampu itu sebenarnya adalah bukaan untuk menyampaikan udara kepada intercooler sementara lengkuk roda pula dijadikan lebih lebar. Diffuser belakang dibuat daripada gentian karbon manakala muncung ekzos pula mendapat salutan warna tembaga.

    Casis VZ5 ini ditambah baik lagi berbanding VZ biasa, dengan menggunakan kedudukan 10 mm lebih rendah, Adaptive Chassis Control dengan pelarasan serapan 15 tahap yang boleh dikawal menggunakan butang di stereng, rim 20 inci serta brek Akebono 18 inci dengan cakera beralun.

    Pada bahagian dalam, ia diberikan dengan tempat duduk hadapan jenis bucket yang boleh dipilih dengan balutan kulit warna biru, hitam, Dinamica ataupun Nappa. Kemasan plastik lain menggunakan jenis brushed aluminium serta copper.

    Untuk sistem infotainmen, VZ5 menggunakan skrin sesentuh 12 inci dengan sistem Full Link yang boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui Apple CarPlay atau Android Auto. Turut boleh digunakan adalah sistem kawalan suara dan pergerakan tangan.

     
     
  • Honda M’sia bantu komuniti yang terjejas akibat Covid dan banjir, sumbang facemask, laptop untuk sekolah

    Honda M’sia bantu komuniti yang terjejas akibat Covid dan banjir, sumbang facemask, laptop untuk sekolah

    Tetap tidak lupa tanggungjawab terhadap komuniti setempat, Honda Malaysia (HMSB) telah menghulurkan bantuan kepada golongan yang terjejas dengan pandemik Covid-19 dan banjir. Awal bulan ini, syarikat tersebut telah mengedarkan beberapa barangan termasuk “Kit Keselamatan Banjir” kepada mangsa banjir di Pahang dan juga pelitup hidung dan mulut (facemask) ke sekolah-sekolah.

    Bahkan, HMSB turut memberikan sumbangan berupa komputer bimbit (laptop) kepada pelajar yang kurang berkemampuan. Sebanyak empat sekolah di sekitar Melaka terpilih untuk menerima sumbangan tersebut. Ini memberikan peluang kepada pelajar yang berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan untuk meneruskan perbelajaran di rumah.

    “Peranti seperti komputer menjadi keperluan para pelajar masa kini untuk meneruskan pembelajaran dan bagi pelajar yang terjejas, terutamanya yang dari keluarga kurang berkemampuan, dan juga yang berhadapan dengan akses terhad terhadap peranti ini. Kami berharap dengan adanya sumbangan ini dapat membantu para pelajar meneruskan pembelajaran yang lebih baik dan juga secara tidak langsung diharap dapat memberikan motivasi buat mereka bagi meneruskan persekolahan masing-masing dalam norma baharu,” ujar Pengarah Urusan dan CEO HMSB Toishi Ishiyama.

    Tambah beliau, selain dari sumbangan berupa laptop, HMSB turut menyumbang sebanyak 500 kotak facemask ke 10 buah sekolah rendah dan 10 buah sekolah menengah di Melaka. Setiap sekolah diperuntukkan sebanyak 1,000 keping facemask untuk para pelajar kekal melindung diri masing-masing dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

    HMSB turut menyumbangkan keperluan lain termasuk 1,000 keping pelindung muka (face shield) kepada petugas barisan hadapan (frontliner) di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah dan juga “Kit Keselamatan Banjir” kepada 500 keluarga di Pekan, Pahang, yang terjejas dengan bencana banjir baru-baru ini.

     
     
  • BMW Group Malaysia jual 8,903 kenderaan BMW pada 2020, duduki tangga teratas dalam segmen premium

    BMW Group Malaysia jual 8,903 kenderaan BMW pada 2020, duduki tangga teratas dalam segmen premium

    Semua jenama kenderaan pastinya mahu mendominasi atau pun mengungguli segmen masing-masing, namun ia pastinya bergantung pada jualan produk masing-masing. Bagi segmen kenderaan premium, BMW dan Mercedes-Benz memang bersaing rapat. Walau pun persaingan itu tidak lah sepanas bagi jenama kenderaan ‘mainstream’, namun kedua-dua jenama berkenaan memang ada cukup digemari bagi penggemar kenderaan premium di sini.

    Buktinya, dari tahun 2015 hingga 2019, Mercedes-Benz menjadi pilihan teratas bagi segmen premium dengan prestasi jualan tahunan yang begitu menggalakkan. Namun demikian, pada tahun lalu, kedudukan Mercedes-Benz telah dipintas oleh BMW dengan catatan jualan yang lebih tinggi biar pun ketika negara dalam ancaman pandemik COVID-19.

    Baru-baru ini, BMW Group Malaysia telah mengumumkan prestasi jualan bagi tahun 2020 di mana angka yang dicapai itu dikatakan telah “meletakkan jenama ini di tangga pertama dalam segmen premium automotif” bagi tahun lalu.

    BMW Group Malaysia jual 8,903 kenderaan BMW pada 2020, duduki tangga teratas dalam segmen premium

    Syarikat tersebut telah menghantar sebanyak 11,016 kenderaan jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad pada tahun lalu. Ia sedikit menyusut sebanyak 551 unit (atau kurang 4.76%) berbanding tahun 2019 iaitu 11.567 unit, tetapi jumlah yang dicapai pada tahun lalu agak memberangsangkan dalam negara sedang bergelut dnegan ancaman COVID-19.

    Secara spesifiknya, BMW sendiri telah mencatatkan sejumlah 8,903 unit, berbanding 9,300 unit pada 2019. Walau bagaimana pun, angka pretasi pada 2020 dikatakan telah mengatasi jualan Mercedes sendiri dengan jualan sebanyak 10,020 kereta pada 2019 dan juga kurang berbanding yang dicapai oleh BMW pada tahun lalu.

    Sejak tiga tahun lalu, syarikat tersebut juga telah memperkenalkan 25 model baharu daripada ketiga-tiga kenama, empat daripadanya adalah model elektrifikasi. Daripada perspektif jualan, model dari 3 Series G20 mendahului bagi jenama BMW. Terjual melebihi 2,500 unit, 1,400 unit daripadanya adalah dari varian 320i Sport.

    Ini diikuti oleh 5 Series G30 dengan jualan melebihi 1,600 unit, dan lebih 900 unit pula merupakan varian 530e M Sport plug-in hybrid. Selain itu, ia juga menjual lebih 3,200 kenderaan dari barisan X bagi SAV, dengan model X1 LC1 F48 (sDrive 18i dan sDrive20i M Sport) terjual melebihi 1,000 unit secara keseluruhan.

    Bagi MINI pula, ia mencatatkan jualan sebanyak 987 unit – dengan model Countryman mendahului carta, lebih 47% pula disumbang oleh Cooper S Countryman. Sementara itu, BMW Motorrad pula mencatatkan rekod sebanyak 1,126 unit, melebihi jualan pada 2019. Seperti tahun sebelumnya, segmen Adventure mendahului carta dengan jualan lebih 670 unit motosikal.

    Bagi model elektrifikasi, dari tahun ke tahun, jualannya kian memberangsangkan. Walau tidak semeriah jualan pada 2019 yang tercatat sebanyak lebih 3,100 unit kenderaan elektrifikasi bagi BMW dan MINI, pada tahun lalu, ia sedikit menyusut dengan rekod lebih 2,200 unit, namun masih mendahului carta bagi segmennya.

    BMW Group Malaysia jual 8,903 kenderaan BMW pada 2020, duduki tangga teratas dalam segmen premium

    BMW Group Malaysia turut mendedahkan, BMW Financial Services Malaysia telah membiayai lebih 42% bagi kenderaan BMW, 45% untuk kenderaan MINI dan 60% untuk motosikal BMW Motorrad yang terjual pada tahun lalu. Ia turut ditambah dengan pendigitalisasi yang lebih memudahkan pelanggan menerusi platform kewangan secara dalam talian BMW Enggage.

    Bukan setakat prestasi jualan, tahun lalu, BMW Group Malaysia turut aktif dengan pelbagai program kemasyarakatan termasuk sokongan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Refuge for the Refugees, Tenaganita, Empire Project dan Malaysia Muda dalam sumbangan bantuan makanan dan keperluan asas untuk lebih 80,000 golongan yang memerlukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Selain itu, syarikat ini juga telah mewujudkan inisiatif #BMWSupportsLocal sebagai sokongan terhadap pelbagai perniagaan kecil bagi meneruskan kelangsungan hidup sehingga hari ini.

     
     
  • Lexus IS 500 F Sport Performance – enjin V8 5.0L 472 hp, pacuan roda belakang, 0-96 km/j dalam 4.5 saat

    Lexus IS 500 F Sport Performance – enjin V8 5.0L 472 hp, pacuan roda belakang, 0-96 km/j dalam 4.5 saat

    Apa yang dijangka sememangnya betul. Inilah dia model Lexus IS F Sport yang menerima bukan sahaja naik taraf penampilan, tetapi juga enjin. Model yang dipanggil sebagai IS 500 F Sport Performance ini mungkin nampak sama seperti IS biasa dengan pakej F Sport, tapi sebenarnya ada sedikit bahagian yang berbeza

    Bonetnya telah dinaikkan dua inci dan lebih berlekuk, sementara bampar serta fender pula dipanjangkan sedikit ke hadapan. Ini adalah bagi memuatkan unit V8 NA 5.0 liter ke dalam ruang enjin tersebut dan ini adalah unit yang sama seperti digunakan pada RC F, GS F dan LC 500.

    Enjin V8 ini boleh menghasilkan 472 hp pada 7,100 rpm dan 535 Nm tork pada 4,800 rpm, mengatasi jumlah 416 hp dan 503 Nm yang boleh dihasilkan IS F sebelum ini, dan sudah tentu, jauh meninggalkan 311 hp dan 380 Nm yang dihasilkan enjin 3.5 liter V6 NA pada model IS 350.

    Lexus IS 500 F Sport Performance – enjin V8 5.0L 472 hp, pacuan roda belakang, 0-96 km/j dalam 4.5 saat

    Kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan, dan apabila dikerah, IS 500 boleh memecut 0-96 km/j dalam masa 4.5 saat sementara laju maksimum pula tidak diberitahu. Menurut Lexus, apabila menggunakan enjin V8 ini, berat keseluruhan IS 500 ini cuma lebih 65 kg berbanding IS 350 F Sport, iaitu pada 1,765 kg.

    Lexus juga telah memberikan sentuhan unik kepada IS 500 ini, termasuk empat muncung ekzos dan bertingkat di tepi (seperti RC F), diffuser belakang lebih rendah, lip spoiler, kemasan krom gelap pada tingkap, lencana hitam serta rim Enkei 19 inci yang 2.7 kg lebih ringan berbanding rim 19 inci F Sport biasa.

    Pada bahagian casis, IS 500 mendapat Adaptive Variable Suspension (AVS), limited-slip differential Torsen serta penyerap prestasi belakang Yamaha. Sistem brek juga dinaik taraf dengan cakera 355 mm yang lebih besar di hadapan dan 322 mm di belakang. Beberapa pilihan mod pemanduan turut disediakan.

    Bahagian dalam IS 500 nampak sama sahaja seperti IS biasa, tetapi ia mempunyai lencana F Sport pada roda stereng, tepi pintu serta pedal manakala panel instrumen pula mempunyai animasi permulaan yang baru.

    Pada bahagian keselamatan, ia dilengkapi pakej Lexus Safety System+ 2.5, Frontal Collision Warning (FCW), Automatic Emergency Braking (AEB) dengan pengesan pejalan kaki dan basikal, Emergency Steering Assist (ESA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert dengan Steering Assist (LDA w/ SA), Lane Tracing Assist (LTA), Intelligent High Beams dan Road Sign Assist (RSA).

     
     
  • Perodua Ativa: Perincian enjin 1KR-VET 1.0L 3-silinder

    Perodua Ativa: Perincian enjin 1KR-VET 1.0L 3-silinder

    Dah tak lama lagi, akhirnya Perodua bakal memperkenalkan SUV terbarunya secara rasmi, dikenali sebagai Ativa. Beberapa maklumat sudah pun disahkan sebelum ini, antaranya platform yang akan digunakan, serta kapasiti enjinnya. Ia dijangka sama tahap penawarannya dengan model Daihatsu Rocky/Toyota Raize di Jepun.

    Kita sudah tahu spesifikasinya, nama dan juga harga. Dan dalam artikel ini, kita akan lihat dengan lebih mendalam unit enjin yang akan digunakan oleh model ini 1KR-VET. Memanfaatkan rekaan tiga-silinder pada unit 1.0L liter, ini menandakan kali pertama Perodua menawarkan enjin dengan pengecas turbo pada modelnya, sekali gus meletakkan jenama ini dalam trend yang sama banyak pengeluar lain yang menghasilkan model dengan pengurangan kapasiti enjin.

    Seperti dicadangkan namanya, 1KR-VET adalah sebahagian daripada keluarga enjin KR oleh Toyota, yang turut merangkumi unit 1KR-VE NA yang digunakan oleh Bezza dan Axia. Barisan ini berkongsi blok enjin aluminium yang sama, jumlah silinder dan 71 mm liang silinder, tetapi unit Ativa ini nanti akan menggunakan piston yang 0.1 mm lebih pendek daripada yang lain dengan 83.9 mm. Ini menyebabkannya berkurangan dua kubik centimeter, menjadikan 996 cc.

    Perodua Ativa: Perincian enjin 1KR-VET 1.0L 3-silinder

    Lejang enjin ini juga kemungkinan akan dipendekkan juga untuk mengurangkan nisbah mampatan, yang telah berkurang menjadi 11.5:1 pada Bezza dan Axia kepada 9.5:1. Ini adalah disebabkan udaranya yang sudah dimampatkan dari turbo, serta mengelakkan masalah knocking.

    Seperti kebiasaannya bagi enjin turbo yang ringkas, Ativa menggunakan pengecas turbo single-scroll dan intercooler depan. Untuk mengurangkan kos, ia akan disertakan dengan penyuntik multi-point biasa berbanding teknologi suntikan terus yang lebih mahal; ia juga akan mengekalkan ciri variable intake valve timing pada Bezza/Axia, double overhead cam, rantai pemasa serta empat-injap setiap silinder (12 semuanya).

    Dengan kehadiran turbo, enjin ini akan jadi lebih berkuasa berbanding yang ada dalam Axia/Bezza. Ia menghasilkan output sebanyak 98 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Berbanding Axia/Bezza, Ativa akan menikmati lebihan 30 PS dan hampir 50 Nm — ini satu angka yang menarik. Ia juga tidaklah lari jauh daripada angka Nissan Almera, yang turut mengggunakan enjin 1.0 liter turbo dengan CVT.

    Perodua Ativa: Perincian enjin 1KR-VET 1.0L 3-silinder

    Untuk memperkayakan lagi sensasi pecutan, Rocky dan Raize diberikan butang Power pada stereng, yang bertindak memetakan semula enjin dan kotak gear bagi respon pendikit yang lebih pantas. Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada versi Perodua ini akan turut menerima ciri sama.

    Turbo berkenaan pula bukanlah sekadar bagus untuk kuasa dan prestasi. Perodua juga mendakwa ia mampu memberikan kadar penggunaan minyak yang sangat baik, dengan kadar 18.9 km/l untuk Ativa. Ini bahkan lebih baik berbanding pada model Daihatsu/Toyota tersebut, yang memberikan 18.6 km/l dengan pacuan roda depan, walaupun angka berkenaan dicapai dalam kitaran WLTP yang lebih ketat.

    Enjin dengan kapasiti lebih kecil ini serta transmisi CVT yang digunakan menyumbang kepada penambahbaikan kecekapan penggunaan minyaknya. Namun, pada Raize/Rocky, ia juga menerima manfaat sistem Start/Stop. Bezza dan Myvi memang sudah didatangkan dengan fungsi ini, tetapi pada model Daihatsu/Toyota itu telah diperkemas, mampu mematikan enjin ketika perlahankan kenderaan dari 9 km/j (naik berbanding 7 km/j).

    Melihat kepada teknologi yang ada, serta angka penggunaan minyaknya, pasti ramai yang tak sabar menanti kehadiran SUV ini untuk dicuba sendiri. Tapi, sementara itu, apa pandangan anda tentang penawaran terbaru dan perkembangan terkini daripada Perodua? Adakan enjin turbo ini sesuatu yang baik untuk barisan produk Perodua akan datang?

     
     
  • Harley-Davidson Pan America 1250 bakal masuk pasaran bermula Mac 2021 – enjin 1,250 cc, 150 hp

    Harley-Davidson Pan America 1250 bakal masuk pasaran bermula Mac 2021 – enjin 1,250 cc, 150 hp

    Kewujudan model Pan America dalam senarai motosikal yang sedang dibangunkan oleh Harley-Davidson sudah diketahui beberapa tahun yang lalu dan akhirnya kini ia sudah bersedia untuk memasuki pasaran. Mengikut perancangan, ia akan mula berada di pusat pameran pada bulan Mac 2021 (bergantung kepada pasaran) sementara untuk harga pula ia dijangka bermula 14,000 pound sterling (RM79,438) di United Kingdom.

    Model ini akan menjadi model pertama yang membawa Harley-Davidson ke dalam segmen motosikal jelajah/adventure, di mana pesaing yang lebih terkenal dalam segmen ini adalah seperti BMW R 1250 GS, KTM Super Adventure 1290, Triumph Tiger 1200, Honda CRF1000L Africa Twin dan Ducati Multistrada 1260.

    Kuasa penggerak Pan America datang daripada enjin v-twin 1,250 cc yang dipanggil sebagai H-D Revolution Max 1250 dan ia mampu menghasilkan maksimum 150 hp dan 127 Nm tork. Lengkap dengan sistem penyejukan udara, empat injap bagi setiap silinder dan sistem pemasaan injap boleh ubah, enjin ini kemudiannya dipadankan bersama transmisi enam gear untuk menyampaikan kuasa ke roda belakang melalui sistem rantai.

    Harley-Davidson Pan America 1250 bakal masuk pasaran bermula Mac 2021 – enjin 1,250 cc, 150 hp

    Terdapat dua versi Pan America yang akan ditawarkan kepada orang ramai – Pan America 1250 sebagai model asas dan Pan America 1250 Special berada di atasnya dan mempunyai kelebihan suspensi elektronik semi aktif. Berat keseluruhan Pan America 1250 adalah 242 kg (Special 254 kg) dan ia datang dengna tangki bahan api 21.2 liter.

    Sistem brek menggunakan unit daripada Brembo, dengan di hadapan terdapat cakera berkembar serta angkup empat piston sementara belakang menggunakan angkup satu piston. Rim bergantung kepada versi, sama ada menggunakan unit aloi ataupun spoked, tetapi saiznya masih sama iaitu 19 inci di hadapan, 17 inci di belakang dan dibalut tayar Michelin Scorcher Rubber.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk fork USD 47 mm boleh laras sepenuhnya (bagi model asas), monoshock di belakang, skrin TFT-LCD 6.8 inci yang boleh disambung kepada telefon pintar serta semua lampu jenis LED.

     
     
  • Porsche bakal memulakan produksi model CKD bagi SUV Macan dan Cayenne di Malaysia – laporan

    Porsche bakal memulakan produksi model CKD bagi SUV Macan dan Cayenne di Malaysia – laporan

    Minggu lalu, The Edge Weekly telah menyiarkan laporan yang mengejutkan berhubung perancangan Porsche untuk membangunkan kilang pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia. Walau pun ada yang memaklumkan, ia mungkin melibatkan pengeluaran bagi model Boxsters, Caymans dan 911 yang bakal dipasarkan dengan harga yang lebih murah.

    Namun demikian, difahamkan, jenama terbabit mahu mengeluarkan model SUV Macan dan Cayenne di sini. Buat masa ini, tiada perincian lanjut mengenainya. Bahkan hanya model asas yang akan dipasang secara tempatan disebabkan harga pasarannya, bermakna ia tidak melibatkan model GTS mahu pun Turbo. Buat masa ini, kedua-dua model terbabit masing-masing diproduksi di Leipzig, Jerman dan Bratislava, Slovakia, jadi model yang bakal di’CKD’kan ini dijangka bakal diturunkan harganya.

    Buat masa ini, harganya dari RM439,351, model asas Macan yang dijanakan oleh unit EA888 2.0 liter turbo empat-silinder dengan enjinnya dari Volkswagen Golf GTI, mampu menghasilkan kuasa hingga 252 PS dan tork 370 Nm. Bagi Cayenne pula, ia dipadankan dengan enjin 3.0 liter V6 dengan hamburan kuasa sehingga 340 PS dan tork 450 Nm, ditawarkan dengan harga bermula RM665,000. Harga bagi model CKD Macan mungkin boleh diturunkan di bawah RM400,000.

    Porsche bakal memulakan produksi model CKD bagi SUV Macan dan Cayenne di Malaysia – laporan

    Bukan itu sahaja, pemasangan tempatan turut memberikan pengecualian cukai tertentu untuk kenderaan hibrid, ini membuka peluang untuk Porsche memasang model plug-in hybrid di sini. Ini termasuk Cayenne E-Hybrid dengan janaan motor elektrik berkuasa 136 PS yang mampu memberikan output sehingga 462 PS dan tork 700 Nm, sementara bateri lithium-ion 17.9 kWh pula mampu memberikan pacuan semua-elektrik sehingga jarak 48 km. Versi CKD ini juga mampu memberikan harga yang lebih kompetitif menyaingi Volvo XC90 T8 Twin Engine dan BMW X5 xDrive45e.

    Menurut laporan The Edge, Porsche akan menjalinkan kerjasama dengan Inokom untuk membangunkan kilang pemasangan baharu ini yang terletak di Kulim, Kedah. Ia bukanlah suatu perkara yang mustahil memandangkan Inokom merupakan anak syarikat kepada Sime Darby yang juga sekeluarga dengan Sime Darby Auto Performance yang merupakan pengedar rasmi Porsche di negara ini. Laporan tersebut juga menyebut, Malaysia akan dijadikan hab Porsche di ASEAN, termasuk mengeksport ke negara Asia Tenggara yang lain yang turut menjadi sebahagian daripada perancangan jenama ini.

     
     
  • GoCar Sports – tawar langganan kereta sport Subaru BRZ & WRX dengan bayaran bermula RM2.7k sebulan

    GoCar Sports – tawar langganan kereta sport Subaru BRZ & WRX dengan bayaran bermula RM2.7k sebulan

    Penyedia perkhidmatan langganan kereta baharu, GoCar Subscription, kini menawarkan pilihan luar biasa dalam barisan servis mereka – anda bukan sahaja ditawarkan dengan langganan kereta-kereta biasa, menerusi program GoCar Sports yang baru diumumkan hari ini, pelanggan turut ditawarkan dengan pilihan barisan kereta sport!

    Buat permulaan, GoCar Sports akan menawarkan dua buah kereta sport kepada pelanggan iaitu model pacuan roda belakang Subaru BRZ berkuasa 200 hp, atau jentera rali jalan raya Subaru WRX berkuasa 264 hp yang memacu semua roda. Seperti program GoCar Sub biasa, anda hanya perlu membayar yuran langganan bulanan, manakala cukai jalan, insuran, segala servis penyelenggaraan termasuk komponen haus dan lusuh akan diuruskan oleh pihak Gocar.

    Anda boleh memilih tiga pakej program langganan kereta-kereta sport ini iaitu sama ada setahun, dua tahun atau tiga tahun. Untuk langganan setahun, bayaran bulanannya adalah RM3,299 sebulan, langganan dua tahun adalah RM2,999 sebulan manakala pelan tiga tahun pula ditawarkan dengan bayaran RM2,699 sebulan.

    GoCar Sports – tawar langganan kereta sport Subaru BRZ & WRX dengan bayaran bermula RM2.7k sebulan

    Walau bagaimanapun, kesemua pelan langganan ini memerlukan anda membayar deposit sekuriti yang sama nilai dengan dua bulan bayaran pakej yang anda pilih (akan dipulangkan semula setelah tamat langganan), dan kereta berkenaan hanya boleh bergerak sejauh 1,650 km sebulan.

    GoCar turut menawarkan opsyen tambahan perbatuan untuk bergerak lebih jauh dengan bayaran tambahan. Anda boleh menambah jarak perbatuan sejauh 2,500 km dengan bayaran RM300 sebulan, atau tambahan perbatuan tanpa had dengan bayaran tambahan RM800 sebulan.

    Opsyen lain yang turut ditawarkan termasuk filem penapis haba (RM47 sebulan untuk pelan 36 bulan), akses ke Singapura dengan yuran RM8 sebulan serta tambahan perlindungan insuran.

    Dengan tambahan GoCar Sports yang baru ini, garaj GoCar Subs kini telah berkembang menjadi enam kategori untuk memenuhi keperluan pelbagai gaya hidup pelanggan. Setiap kategori menawarkan struktur ‘Satu Harga’ yang bersepadu bermula RM799/sebulan untuk kategori Econ sehingga RM2,299/sebulan bagi kategori Luxe dan RM2,699/sebulan untuk kategori Sports. Kadar yang disenaraikan itu adalah untuk pelan 12 hingga 36 bulan.

    Selain dari membolehkan anda membuat perancangan kewangan lebih baik tanpa perlu risau kos pemilikan seperti servis penyelenggaraan, cukai jalan dan insuran, program langganan seperti GoCar ini juga boleh mengelakkan masalah susut nilai dan juga terikat dengan tempoh pembiayaan yang lama.

     
     
  • Malaysia ketinggalan dari segi insentif EV — laporan

    Malaysia ketinggalan dari segi insentif EV — laporan

    Bukanlah rahsia bahawa Malaysia ketinggalan dari segi merancak serta memperluaskan galakan penggunaan terhadap kenderaan elektrik, dan perkara inilah juga yang ditekankan oleh laporan analisis oleh Maybank Investment Bank Research. Artikel berkenaan menunjukkan betapa jauh kita ketinggalan di belakang negara-negara jiran yang lain, padahal Malaysia antara pelopor yang mengutamakan kenderaan bersih dan teknologi “hijau” sejak 2010.

    Cabang kajiselidik bank berkenaan memaklumkan bahawa strategi Malaysia bagi industri automotif industrinya — Dasar Automotif Kebangsaan 2020 (NAP) — sebagai kekurangan definisi. Tertangguh selama beberapa bulan, pelan berkenaan diketengahkan ketika fasa terakhir pemerintahan Pakatan Harapan; ia tidak menyediakan perincian insentif terhadap pemain industri, ataupun apa-apa perincian jelas berkaitan Projek Kereta Nasional Baru, yang kini sudah senyap terus.

    Yang ada dalam NAP hanyalah pekara-perkara umum dengan matlamat lima tahunnya. Ini termasuklah pembangunan ekosistem teknologi Next Generation Vehicle (NxGV), perluasan sektor Mobility-as-a-Service (MaaS), sokongan terhadap industri automotif tempatan untuk selari dengan Revolusi Industri 4.0 serta untuk mengurangkan pembebasan karbon.

    Pelan 10-tahun itu juga mengandungi tujuh strategi, serta 17 sasaran; Electric Mobility Blueprint yang mensasarkan penyediaan 125,000 stesen pengecas menjelang 2030. Tetapi, Malaysia kekurangan sasaran yang jelas seperti yang digariskan oleh negara ASEAN utama yang lain, misalnya Thailand, Indonesia dan Singapura. Sebagai contoh, Thailand meletakkan sasaran pada 2015 untuk mengeluarkan 1.2 juta kenderaan elektrik menjelang tahun 2026.

    Malaysia ketinggalan dari segi insentif EV — laporan

    Indonesia pula mensasarkan kenderaan EV akan menyumbang sehingga 20% daripada jumlah pengeluaran kenderaan di sana menjelang tahun 2025, termasuk 2,200 EV, 711,000 kenderaan hibrid dan 2.1 juta motosikal elektrik. Bagi Singapura, negara itu dalam Belanjawan 2020-nya mengumumkan hasrat untuk memansuhkan kenderaan dikuasakan petrol dan diesel menjelang tahun 2040, dan telah memperkenalkan beberapa insentif kepada pembeli EV serta komitmen untuk membina lebih banyak stesen pengecas.

    Perbezaan perancangan dan strategi ini telah memberikan hasil yang berbeza buat Malaysia. Pengeluaran kenderaan di negara kita masih lagi tertumpu kepada kenderaan yang dikuasakan oelh enjin pembakaran dalaman, dengan Porsche menjadi pemain terbaru yang anehnya sedang mengintai untuk mengeluarkan kenderaan di sini. Laporan Maybank itu menyebut bahawa model Cayenne dan Macan adalah calon untuk pemasangan CKD di sini.

    Malaysia juga kehilangan pemain global penting, Hyundai, yang akan memindahkan ibu pejabat serantaunya dari Mutiara Damansara ke Indonesia sebagai sebahagian daripada pembukaan kilang di Bekasi dengan pelaburan berjumlah US$1.55 billion (RM6.27 billion). Ini sesuatu yang perlu kita perhalusi dan cari jawapannya dari aspek dasar dan polisi yang diamalkan di sini.

    Malaysia ketinggalan dari segi insentif EV — laporan

    Bukan hanya Hyundai yang memilih untuk melabur di Indonesia. Beberapa syarikat lain turut melakukan hal sama, misalnya Toyota dan pengeluar bateri kenderaan EV CATL — syarikat bateri ini, yang merupakan pembekal kepada Tesla, sedang membina kilang bernilai US$5.1 billion (RM20.6 billion) dengan pengeluaran dijangka bermula pada 2024. Kerajaan di sana juga sedang berbincang tentang cadangan jenama itu untuk melabur, sementara LG Chem juga sedang mengintai untuk membuka kilang bateri di sana.

    Tetapi banyak juga pemain industri yang memilih Thailand. Antar 2018 dan 2019, Lembaga Pelaburan Negara Thailand meluluskan 26 permohonan bernilai US$2.6 billion (RM10.5 billion), termasuk daripada BMW, Mercedes-Benz dan tiga jenama besar Jepun (Toyota, Honda dan Nissan). Ini diiukti perkembangan tahun lalu, yang melibatkan beberapa pertambahan antaranya daripada Mitsubishi dan SAIC.

    Sementara itu di Malaysia, keadaannya tepu sahaja, dengan beberapa pengeluar yang melabur di sini sebelum itu mengeluh kerana ketiadaan progres atau perkembangan menarik untuk mereka. Jadi, boleh kita akui kekurangan kita ini, yang menyebabkan kita tertinggal jauh, dan seger memperbaiki keadaan?

     
     
  • Honda pilih ketua R&D, Toshihiro Mibe sebagai presiden dan CEO baru mengganti Takahiro Hachigo

    Honda pilih ketua R&D, Toshihiro Mibe sebagai presiden dan CEO baru mengganti Takahiro Hachigo

    Honda telah mengumumkan bahawa bermula 1 April ini, presiden dan CEO mereka, Takahiro Hachigo akan meletakkan jawatan dan diganti oleh ketua bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D), Toshihiro Mibe. Pengumuman ini dibuat Jumaat lalu.

    Mibe yang merupakan presiden bahagian R&D sejak tahun 2019 telah menyertai Honda pada tahun 1987 dan sebelum ini mempunyai tugas membangunkan segala yang berkaitan dengan enjin serta bahagian penggerak kenderaan. Menurut laporan Reuters, beliau yang berusia 59 tahun telah bekerjasama dengan Hachigo untuk membentuk semula struktur dalam Honda, mengejar pembangunan kenderaan elektrik serta berhadapan dengan pesaing lain.

    Hachigo masih akan kekal dalam lembaga syarikat, dan menurut beliau, kepakaran Mibe dalam teknologi berkaitan alam sekitar, tenaga serta penuh perhatian kepada perubahan adalah sebab beliau dipilih untuk menggalas tugas ini. “Beliau telah melihat kepada masa hadapan, dan ini adalah satu hala tuju yang patut diambil oleh Honda,” kata Hachigo semasa majlis sidang media.

    Honda pilih ketua R&D, Toshihiro Mibe sebagai presiden dan CEO baru mengganti Takahiro Hachigo

    Dalam acara itu, Mibe mengetengahkan “transformasi besar dalam waktu yang pantas,” oleh Honda, dan ini selari dengan hala tuju syarikat untuk menjadikan kenderaan elektrik, hibrid serta fuel cell sebagai penyumbang utama (2/3) dalam jualan menjelang tahun 2030.

    Sepanjang enam tahun sebagai CEO, Hachigo berjaya meringkaskan proses pembangunan kenderaan dengan menggabungkan beberapa operasi untuk kereta dan motosikal, serta mengurangkan kos dengan memperkemas barisan model yang ditawarkan dan menyatukan kilang yang ada di Jepun dan luar negara. Beliau juga telah menyambung kerjasama dengan General Motors dengan termasuk perkara berkenaan pembangunan kenderaan elektrik dan autonomous.

     
     
  • Polis ingatkan hukuman penjara menanti pemilik kenderaan ekzos bising, ganggu ketenteraman awam

    Polis ingatkan hukuman penjara menanti pemilik kenderaan ekzos bising, ganggu ketenteraman awam

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan kepada orang ramai bahawa mana-mana pemilik yang didapati bersalah mengubahsuai ekzos kenderaan mereka sehingga mengganggu ketenteraman awam boleh dipenjara sehingga enam bulan.

    Dalam laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, mereka juga boleh dikenakan denda sehingga RM2,000, jika disabitkan.

    “Mengikut Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan Dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959) setiap ekzos (dengan penyenyap) yang dipasang pada kenderaan bermotor hendaklah pada setiap masa diselenggarakan supaya berada dalam keadaan yang baik.

    “Ia juga perlu dipastikan tidak diubah suai sehingga menyebabkan bunyi bising. Mana-mana individu yang membuat pengubahsuaian sedemikian adalah melakukan satu kesalahan mengikut kaedah berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini dan dilaporkan oleh portal berita berkenaan.

    Polis ingatkan hukuman penjara menanti pemilik kenderaan ekzos bising, ganggu ketenteraman awam

    Azisman turut menjelaskan bahawa mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa untuk menyita motosikal tersebut dengan tujuan untuk mengelakkan daripada kesalahan berulang. Beliau turut menyebut polis boleh menahan motosikal tersebut sehingga pemiliknya mengambil langkah-langkah bagi menjamin kesalahan berkenaan tidak berlaku lagi.

    “Penggunaan ekzos bising ini menjadi trend semasa golongan muda kerana dikatakan dapat meningkatkan kelajuan motosikal dan juga mencantikkan fizikal motosikal tersebut.

    “Pihak JSPT sentiasa mengadakan Operasi Bersepadu dengan jabatan dan agensi yang lain termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

    Justeru, beliau mengingatkan semua pemilik kenderaan bukan sahaja pemilik motosikal tetapi juga pemilik kenderaan bermotor yang lain agar mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang membabitkan pengubahsuaian.

    “Sebarang pengubahsuaian yang ingin dilakukan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

     
     
  • GALERI: Subaru Forester 2.0i-L GT Lite Edition – penampilan lebih ranggi dan bergaya, harga RM164k

    GALERI: Subaru Forester 2.0i-L GT Lite Edition – penampilan lebih ranggi dan bergaya, harga RM164k

    Awal bulan lalu, TC Subaru telah melancarkan satu versi baru bagi Forester yang dipanggil sebagai Forester 2.0i-L GT Lite Edition. Ia dijual pada harga RM163,788 tidak termasuk insurans dan ini adalah harga yang sudah dikira bersama pengecualian cukai yang diberikan sekarang (50% kerana ia diimport sepenuhnya dari Thailand) dan kenderaan didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 100,000 km.

    Kini, kami sudah mempunyai galeri penuh model ini dan anda boleh saksikannya di bawah. Model ini sebenarnya menggunakan asas daripada Forester 2.0i-L, tetapi dipasang dengan kit badan yang lebih sporty dan ranggi. Antara bahagian yang ditambah adalah lip bampar di hadapan dan belakang, side skirt, spoiler bumbung dan muncung ekzos yang lebih besar.

    Selain daripada itu, ia sama sahaja seperti varian 2.0i-L, termasuklah kelengkapan seperti rim 17 inci, lampu kabus halogen, lampu utama dan belakang LED, tempat duduk balutan kulit dan boleh dilaras secara elektrik di hadapan, pendingin hawa automatik dua zon, head unit lapan inci dengan enam pembesar suara, kamera 360 darjah dan cruise control.

    Ciri keselamatan juga tidak berubah, di mana varian baru ini dilengkapi tujuh beg udara (depan, tepi, bidai dan kaki pemandu), Vehicle Dynamics Contro, ABS, EBD, BA, cagak Isofix dan brek parkir dengan ciri Auto Vehicle Hold.

    Di bawah hud terdapat enjin boxer empat silinder NA 2.0 liter yang dipadankan bersama transmisi Lineartronic CVT dan sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm tork pada 4,000 rpm.

    Melalui sistem SI-Drive (Subaru Intelligent Drive), pemandu boleh memilih dua mod iaitu Intelligent atau Sport, dan kenderaan ini juga datang dengan ciri Hill Descent Control, Active Torque Vectoring dan X-Mode yang memberikan pilihan mod Snow atau Dirt. Warna yang ditawarkan untuk varian ini semuanya ada tujuh.

     
     
  • Jualan kenderaan Januari 2021 di M’sia turun 52.3%

    Jualan kenderaan Januari 2021 di M’sia turun 52.3%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan di Malaysia bagi bulan Januari 2021. Keseluruhannya 32,829 unit telah diserahkan bulan lalu, yang merupakan pengurangan sebanyak 36,007 unit atau 52.3% berbanding 68,836 unit yang dijual pada Disember 2020. Angka tersebut juga 10,113 unit atau 23.5% berkurang berbanding tempoh sama tahun lalu, yang mencatatkan angka 42,942 unit jualan.

    MAA menggariskan beberapa sebab utama yang mendorong kepada situasi itu. Pertama, jumlah kunjungan ke bilik pameran telah terkesan akibat pengenalan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari, walaupun bilik pameran kenderaan dibenarkan untuk beroperasi untuk tempoh itu.

    Kedua, jualan atau pembelian kenderaan dilakukan dalam bulan Disember 2020 dengan jangkaan bahawa tempoh pengecualian cukai SST akan berakhir pada 31 Disember 2020, seperti yang diumumkan sebelumnya, yang kemudian dilanjutkan hingga 30 Jun 2021. Ini mengakibatkan stok berkurangan untuk Januari 2021 bagi sesetengah pengeluar.

    Persatuan itu turut menambah, penutupan operasi sebahagian pembekal automotif akibat Covid-19 juga telah memberi kesan kepada sesetengah pengeluar yang terganggu aliran bekalan komponen, dan kemudian memberi kesan kepada jualan. MAA juga menjangkakan angka jualan bulan Februari ini akan lebih rendah berbanding bulan lalu, disebabkan oleh tempoh bekerja yang lebih pendek untuk bulan ini.

     
     
  • Lexus IS F-Sport ditunjuk dalam teaser – enjin NA V8?

    Lexus IS F-Sport ditunjuk dalam teaser – enjin NA V8?

    Lexus sedang membangunkan satu model yang menarik dan selama ini mereka cukup pandai merahsiakannya. Sekarang, mereka sudah bersedia untuk memperkenalkan model tersebut, yang merupakan sebuah model F Sport, dan ia akan dilakukan tengah malam ini.

    Bagi menaikkan minat orang ramai terhadap kereta ini, Lexus telah menyiarkan dua gambar teaser dengan satu daripadanya menunjukkan lencana F Sport pada bahagian yang kelihatan seperti pelindung atas enjin, sementara satu lagi bahagian adalah cermin di pintu belakang yang memberi gambaran model ini menggunakan asas daripada IS baru.

    Ya, memang IS baru sudah ada varian F-Sport, tapi Lexus berjanji akan memperkenalkan “satu era baru untuk kenderaan prestasi F Sport”. Ini juga seakan memberi bayangan bahawa peningkatan yang akan diberi adalah melebihi daripada setakat penampilan sahaja dan turut akan melibatkan enjin.

    Khabar angin tentang IS 500 atau IS F yang dinaik taraf habis-habisan sudah tersebar agak lama. Tahun lepas, kami pernah melaporkan bahawa Lexus sudah mendaftarkan tanda niaga untuk salah satu model tersebut dan ia dijangka menggunakan sama ada enjin V8 NA 5.0 liter daripada LC 500 atau V6 twin turbo 3.5 liter daripada LS 500.

    Khabar angin ini menjadi lebih kukuh apabila satu artikel daripada Best Car Web Jepun menyatakan akan ada ada sebuah IS F yang menggunakan enjin V8 tersebut sebelum ia dihentikan untuk produksi. Jika anda lihat penutup atas enjin dalam gambar teaser itu, ia adalah sama seperti RC F dan GS F.

    Jika laporan ini betul, IS 500 (nama jangkaan) yang menggunakan enjin V8 ini mungkin mampu menghasilkan kuasa sehingga 481 PS seperti RC F spesifikasi Jepun. Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding BMW M3 dan jumlah tork pula mungkin hampir sama.

     
     
  • Pasukan F1 Ferrari dan Shell panjangkan kerjasama yang terjalin selama 92-tahun sebagai rakan inovasi

    Pasukan F1 Ferrari dan Shell panjangkan kerjasama yang terjalin selama 92-tahun sebagai rakan inovasi

    Jenama petroleum Shell dan juga pasukan Formula 1 dari Itali, Ferrari sememangnya satu gandingan yang cukup ikonik – tahukah anda kerjasama kedua-dua pihak ini sebenarnya sudah bermula sejak 92-tahun yang lalu? Dan kerjasama ini akan dipanjangkan lagi setelah Ferrari dan Shell menyambung perjanjian kerjasama mereka, yang menyaksikan Shell akan terus berfungsi sebagai “rakan inovasi” kepada Ferrari.

    Sepanjang kerjasama yang telah berjalan sejak tahun 1929 berkenaan, Shell dan Scuderia Ferrari telah berjaya merangkul 22 gelaran Juara Dunia F1 iaitu 10 gelaran pengeluar dan 12 gelaran pemandu.

    “Hubungan antara Scederia Ferrari dan Shell bermula sejak 1929, iaitu tahun pasukan kami ditubuhkan. Pada masa itu, kami telah menghasilkan banyak kejayaan bersama. Kami gembira bahawa kerjasama kami kini telah ditetapkan untuk diteruskan lebih lama,” kata pengarah urusan dan prinsipal pasukan Scuderia Ferrari Mission Winnow, Mattia Binotto.

    Pasukan F1 Ferrari dan Shell panjangkan kerjasama yang terjalin selama 92-tahun sebagai rakan inovasi

    TEST T5 ABU DHABI 2019 – MARTEDÌ 03/12/2019
    credit: @Scuderia Ferrari Press Office

    “Kami berkongsi banyak perkara yang sama, tak kurang juga kecemerlangan, keghairah untuk berlumba dan kerja berpasukan, yang telah membuatkan kerjasama ini unik dalam sejarah sukan permotoran. Sebagai rakan inovasi, kami akan terus bekerja dengan Shell untuk memindahkan teknologi perlumbaan kepada mobiliti serta cabaran cita-cita tinggi di hadapan khususnya sasaran untuk menjadikan Formula 1 mencapai tahap emisi sifar pada 2030,” tambahnya lagi.

    Dengan perjanjian kerjasama yang diperbaharui, kedua-dua pihak bukan sahaja mensasarkan kejayaan di litar, malah turut mencari jalan menghasilkan unit penjana dengan undang-undang baharu yang akan berubah dalam F1 pada 2025, selepas pembekuan pembangunan yang berlangsung sekarang tamat.

    “Kerjasama kami dengan Ferrari telah menghasilkan inovasi yang benar-benar luar biasa – innovasi yang sentiasa Shell guna untuk membangunkan bahan api dan pelincir baharu untuk pelanggan kami. Kami kini memasuki fasa yang mengujakan dalam sejarah kerjasama bersama kerana kami manfaatkan kerjasama ini bukan hanya untuk berjaya dalam litar, malah turut membangunkan bahan api dan pelincir lebih bersih untuk pelanggan kami,” kata naib presiden eksekutif global Shell untuk mobiliti, István Kapitány.

     
     
  • Gambar Mercedes-Benz C-Class W206 2022 terdedah

    Gambar Mercedes-Benz C-Class W206 2022 terdedah

    Inilah dia model Mercedes-Benz C-Class W206 2022 yang mula bocor awal sebelum pengenalannya. Semua imej ini, yang muncul di laman FB The Automobilist, menunjukkan penampulan jelas model C-Class serba baru itu, baik bahagian luaran dan dalaman lebih awal berbanding tarikh pengenalannya yang akan berlangsung esok, 23 Februari 2021.

    Selepas beberapa spyshot yang pernah dilihat sebelum ini, rekaan model berkenaan tidaklah mengejutkan. Unit ini kelihatan seperti menggunakan kemasan Avantgarde, berbeza daripada AMG Line yang ditunjukkan dalam imej teaser rasmi sebelum ini, dan turut disertakan juga imej awalnya yang sudah mula beredar kini

    Sama seperti tradisi dan arah tuju rekaan C-Class yang pernah kita lihat, model W206 ini juga tetap memanfaatkan penampilan dan penggayaan S-Class dan menjadikannya serasi dengan saiz yang lebih kompak dan sporty. Sejak beberapa generasi kereta ini, itulah pendekatan yang digunakan dan nampaknya memang menjadi.

    Sama juga untuk bahagian dalaman, W206 ini seolah-olah memanfaatkan rekaan dalaman limo besarnya dan disesuaikan dalam pakej yang lebih kecil. Corong pendingin hawa kini lebih bulat berbanding bersegi — lanjutan daripada rekaan sama pada model W205. Tidak ketinggalan, skrin sentuh besar yang terletak di tengahnya.

    Apa pandangan anda tentang model baru ini berbanding versi sedia adanya? Penampilan lebih menarik atau sebaliknya, dirasakan kurang impak? Apa pun, kita akan tahu lebih lanjut dalam beberapa lagi untuk perincian lengkapnya, sebaik sahaja model ini dilancarkan nanti.

    Mercedes-Benz C-Class W206 AMG Line & Avantgarde 2022

     
     
  • Perodua Ativa D55L – lebih murah di Malaysia berbanding Daihatsu Rocky & Toyota Raize di Jepun!

    Perodua Ativa D55L – lebih murah di Malaysia berbanding Daihatsu Rocky & Toyota Raize di Jepun!

    Selalunya kita dengar harga sesebuah model kenderaan itu akan lebih mahal di Malaysia berbanding di Jepun, kerana struktur cukai yang kita gunakan di sini. Namun tahukah anda untuk Perodua Ativa yang bakal dilancarkan tidak lama lagi (dan sudah pun boleh ditempah) sebenarnya jauh lebih murah berbanding kembarnya di Jepun iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize?

    Dalam pengumuman yang dibuat Perodua semalam, SUV segmen-B berkenaan akan dijual pada harga jangkaan bermula RM62,500 hingga RM73,400. Manakala di Jepun, buat masa sekarang Daihatsu Rocky dijual pada harga bermula RM65k hingga RM82k, manakala Toyota Raize pula dijual pada harga bermula RM64k hingga RM80k.

    Dengan segala spesifikasi yang diumumkan bersama harga yang dinyatakan Perodua itu, ia nyata mengejutkan ramai pihak dalam industri, termasuk kami sendiri. Namun mesti ada yang sinis mengatakan “Alah, kan dah rebadge Perodua, mesti la cukai lagi murah” bukan? Mari sini kita kupas lebih dalam.

    Perodua Ativa D55L – lebih murah di Malaysia berbanding Daihatsu Rocky & Toyota Raize di Jepun!Perodua Ativa D55L – lebih murah di Malaysia berbanding Daihatsu Rocky & Toyota Raize di Jepun!

    Jika kita lihat dengan lebih teliti, Daihatsu Rocky varian L iaitu varian yang paling kosong dan hanya diberikan rim besi bersama penutup roda plastik serta tiada radio (ya, di Jepun masih ada model yang tiada radio!), ia dijual pada harga 1,705,000 yen (RM65,300), hampir sama dengan Perodua Ativa X, varian paling murah ditawarkan di sini dengan harga RM62,500.

    Manakala untuk varian tertinggi Rocky Premium, ia dijual pada harga 2,145,000 yen (RM82,200), didatangkan dengan spesifikasi sama dengan varian tertinggi Perodua Ativa AV yang dijual pada harga RM73,400 di sini – lengkap dengan fungsi seperti Kawalan Kekal Lorong, Pemantau Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan juga Cruise Control Adaptif.

    Yang lagi menarik, dengan harga yang anda bayar untuk Ativa AV dan juga varian pertengahan Ativa H, ia datang standard bersama skrin infotainmen bersaiz 9.0-inci, manakala untuk Rocky Premium pembeli harus menambah bayaran sebanyak 99,000 yen (RM3,800) bagi mendapatkan ciri yang sama kerana ia ditawarkan sebagai opsyen.

    Perodua Ativa D55L – lebih murah di Malaysia berbanding Daihatsu Rocky & Toyota Raize di Jepun!

    Warna juga satu lagi perincian yang membuatkan pembeli di Malaysia beruntung – anda hanya perlu menambah bayaran sebanyak RM800 sekiranya mahu Ativa AV anda hadir dengan warna badan dua tona (bumbung hitam), manakala untuk pembeli Rocky di Jepun opsyen yang sama ditawarkan dengan harga 77,000 yen (RM2,950)!

    Begitu juga dengan Toyota Raize pada pasaran Jepun. Model paling asas Raize X dijual pada harga lebih murah dari Rocky L adalah kerana ia tidak dibekalkan dengan pakej Smart Assist, terdiri dari sistem seperti Amaran Pra-pelanggaran, Brek Pra-pelanggaran (brek kecemasan automatik/AEB), Amaran Pergerakan Hadapan dan juga Kawalan Salah Operasi Pedal. Sistem ini hanya ditawarkan bermula varian Raize X “S”, dijual pada harga 1,745,000 yen (RM66,800).

    Sekali lagi Ativa menang di sini kerana setiap fungsi Smart Assist berkenaan adalah ciri standard untuk semua varian Ativa di Malaysia termasuk varian paling asas Ativa X, dijenamakan semula sebagai sistem Advance Safety Assist (ASA) 3.0.

    Perodua Ativa D55L – lebih murah di Malaysia berbanding Daihatsu Rocky & Toyota Raize di Jepun!

    Setiap harga model-model pasaran domestik Jepun yang kami sebutkan di atas adalah model dengan pilihan pacuan dua roda, setara dengan Ativa yang hanya ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan. Di Jepun kebiasaannya ia turut hadir dengan penawaran model pacuan semua roda kerana mereka perlu menempuh musim salji.

    Jadi untuk model pacuan semua roda tersebut akan dijual pada harga lebih tinggi; Daihatsu Rocky Premium 4WD dijual pada harga 2,367,200 yen (RM90,700), manakala Raize Z 4WD pula dijual pada harga 2,282,200 yen (RM87,400).

    Perlu diingatkan, harga untuk Ativa ini adalah termasuk pengecualian SST, serta jangan lupa perbandingan harga di Jepun juga bergantung pada kadar tukaran wang asing yang sentiasa berubah. Jadi, anda masih rasa harga yang ditawarkan untuk Perodua Ativa D55L ini masih mahal?

    Untuk mengetahui perincian paling terkini termasuk harga dan spesifikasi berkenaan Perodua Ativa, anda boleh baca artikel pada PAUTAN INI.