Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Perkhidmatan Bas Go KL buka laluan ke-sembilan dikenali sebagai Laluan Coklat, sepanjang 14 km

    Perkhidmatan Bas Go KL buka laluan ke-sembilan dikenali sebagai Laluan Coklat, sepanjang 14 km

    Bagi memberikan kemudahan buat para pengguna, baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Rapid Bus Sdn Bhd memperluaskan lagi perkhidmatan Bas Go KL dengan membuka laluan kesembilan yang dikenali sebagai Laluan Coklat (Chocolate Line). Ia bertujuan menghubungkan kawasan perumahan awam dengan beberapa lokasi strategik.

    Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, perkhidmatan bas percuma itu melibatkan laluan sepanjang 14 kilometer bermula dari Seksyen 10 Wangsa Maju, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Taman Tasik Sri Rampai, menghala stesen transit LRT Sri Rampai dan kawasan-kawasan di sekitarnya.

    Malahan laluan coklat itu turut melibatkan Perumahan Awam Setapak Jaya 1A juga akan menghubungkan pusat tumpuan orang ramai seperti Medan Selera D’Rejang, Masjid Abu Ubaidah dan pusat beli-belah seperti AEON BIG dan Wangsa Walk.

    Perkhidmatan Bas Go KL buka laluan ke-sembilan dikenali sebagai Laluan Coklat, sepanjang 14 km

    “Dengan kekerapan bas setiap 15 minit, perkhidmatan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada warga kota ke stesen LRT dan ke tempat kerja terutamanya kepada golongan B40,” ujar beliau seperti mana yang dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau turut berkata, jumlah penumpang perkhidmatan Bas GO KL pada tahun lepas menurun susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik COVID-19.

    “Pada tahun 2020, jumlah penumpang direkodkan seramai 9.7 juta orang dengan purata 27,000 penumpang sehari berbanding 2019 seramai 19.7 juta orang dengan purata 55,000 penumpang sehari,” jelasnya.

     
     
  • McLaren Artura diperkenalkan — supercar plug-in hybrid, 680 PS dan 720 Nm, 0-100 km/j dalam 3 saat

    McLaren Artura diperkenalkan — supercar plug-in hybrid, 680 PS dan 720 Nm, 0-100 km/j dalam 3 saat

    Perkenalkan, ini McLaren Artura. Model ini mewakili permulaan era baru bagi syarikat pengeluarnya yang menjadi model supercar pertama High-Performance Hybrid (HPH), dan ia bukanlah sebuah model dalam bilangan terhad.

    Seperti model P1, Artura menggunakan sistem plug-in hibrid; gabungan enjin baru 3.0 liter turbocas berkembar V6 petrol dan mempu menghasilkan 585 PS (577 hp) pada 7,500 rpm dan 585 Nm tork dari 2,250 hingga 7,000 rpm. Unit enjin M630 memiliki berat 160 kg saja, 50 kg lebih ringan berbanding enjin McLaren V8.

    Ciri-ciri lain yang menarik padanya termasuk sistem pelincir “dry sump”, liang 84 mm, lejang 90 mm, penyuntik minyak terus yang beroperasi pada tekanan 350 bar, redline pada 8,500 rpm serta sudut-V 120 darjah. Artura juga merupakan model pertama McLaren yang menerima motor elektrik jenis axial flux, dengan berat separuh sahaja daripada berat unit radial flux pada P1 yang mempunyai berat 38 kg.

    Motor elektrik berkenaan dipasang di dalam bahagian transmisi klac berkembar lapan-kelajuannya, menawarkan 95 PS dan 255 Nm, dan dengan sendirinya mampu membolehkan kereta ini memecut sehingga 130 km/j. Bersama dengan enjin pembakaran dalaman, output keseluruhan sistem ini adalah 680 PS (671 hp) dan 720 Nm, membolehkan pecutan 100 km/j dalam masa tiga saat, dan 0-200 km/j dalam masa 8.3 saat untuk kemudian mencecah kelajuan maksimum 330 km/j.

    McLaren Artura diperkenalkan — supercar plug-in hybrid, 680 PS dan 720 Nm, 0-100 km/j dalam 3 saat

    Kuasa untuk motor elektrik berkenaan datang dari pek bateri lithium-ion 7.4 kWh dalam lima modul, yang menyediakan jarak elektrik sepenuhnya 30 km. Ini dipakejkan sekali bersama unit agihan kuasa untuk menjimatkan ruang yang dipasang pada bahagian belakang kerangka monocoque di bawah tangki minyak, dengan bahagian aluminium dan penebat sebagai pelindung.

    Lintasan penyejuk membantu menyalurkan agen penyejukan untuk bateri, sementara pengubah DC/AC akan menukar arus voltan tinggi DC 12-volt untuk menggerakkan sistem yang lain. Sementara itu, pengubah AC/DC pula menguruskan arus pengecasan, dengan 0-80% kuasa bateri boleh dicapai dalam masa 2.5 jam meneruk sambungan Type 2.

    Lagi hal yang pertama kali digunakan ialah transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan, yang 40 mm lebih pendek walaupun mempunyai lebih gear berbanding jentara V8 Mclaren tujuh-kelajuan. Ini dicapai dengan penggunaan rekaan klac bersarang berbanding klac selari, membolehkan penukaran gear yang lebih pantas.

    McLaren Artura diperkenalkan — supercar plug-in hybrid, 680 PS dan 720 Nm, 0-100 km/j dalam 3 saat

    Selain itu, differential juga adalah kawalan elektronik (E-Diff), untuk menguruskan agihan tork ke gandar belakang. Selain saiznya lebih kecil, E-Diff ini juga memberikan respon dan saluran kuasa yang lebih pantas ke motor elektrik. Ciri Variable Drift Control (VDC) McLaren juga ada, membolehkan pemandu melaraskan kadar bantuan cengkaman melalui sistem infotainmen.

    Seluruh sistem pacuan ini digandingkan bersama McLaren Carbon Lightweight Architecture (MCLA), yang mana Artura ini menjadi model pertama menggunakan platform berkenaan. Ia menggunakan struktur karbon monocoque, casis baru dengan sub-kerangka aluminium serta apa yang dikenali sebagai domain-based ethernet electrical architecture.

    Satu lagi hal yang dikurangkan pada kereta ini ialah panjang kabel yang digunakan dengan pengurangan sebanyak 25% dan mengendalian banyak sistem pada kereta ini termasuk McLaren Infotainment System (MIS II), sistem electronic HVAC (eHVAC), sistem hibrid dan buat pertama kali dibawakan, Advanced Driver Assistance Systems (ADAS). Ini serba sedikit tentang supercar terbaru dari McLaren ini. Cukup mengujakan?

     
     
  • BMW 330i Iconic Edition 2021 di Australia – 200 unit

    BMW 330i Iconic Edition 2021 di Australia – 200 unit

    BMW Australia bakal melancarkan model edisi terhad bagi 330i Iconic Edition tidak lama lagi, dengan produksi yang dihadkan sebanyak 200 unit sahaja. Harganya bermula dari AUD$81,900 (RM256k) dan didatangkan dengan pelbagai pilihan bernilai lebih AUD$10,000 (RM31k).

    Ia turut ditawarkan dengan dua warna pilihan (Mineral White dan Black Sapphire), dan setiap satunya terhad kepada 100 unit sahaja. Ciri standard yang diberikan termasuklah pakej M Sport dengan pek M Sport Aerodynamics, BMW Individual high-gloss Shadow Line, brek M Sport, dan roda aloi M 19-inci hitam.

    Selain itu, ia turut diberikan Adaptive M Suspension, spoiler belakang M, projektor pintu BMW dan perumah cermin sisi gentian karbon, serta pakej BMW Visibility yang merangkumi gril Iconic Glow dengan jaluran cahaya, lampu laser BMW, bumbung elektronik dan pencahayaan ambien.

    Untuk kabin, Iconic Edition juga dipadnakan dengan upholstery kulit Vernasca hitam, anthracite headlining, paparan utama dan BMW Live Cockpit Professional dengan paparan digital 12.3-inci untuk pemandu dan paparan infotainmen 10.25-inci di tengah, termasuk Connected Package Professional dengan sambungan telefon pintar tanpa wayar. Selain itu, ia juga diberikan alas pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, tali pinggang keledar M, dan juga tempat duduk hadapan dengan fungsi haba.

    Tiada perubahan yang dibuat pada penjana kuasa, ia masih mengekalkan unit B48 2.0 liter empat-silinder dengan hamburan output hingga 258 hp dan tork 400 Nm yang menyalurkan pacuan ke gandar belakang menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan ZF. Pecutan dari 0-100 km/j boleh dilakukan dalam 5.8 saat, dengan anggaran penggunaan bahan api sekitar 5.8 hingga 6.1 liter bagi setiap 100 km.

     
     
  • Mitsubishi Outlander 2022 didedahkan – enjin baru 2.5 liter, 9-beg udara, sistem Mi-Pilot Assist & pelbagai lagi

    Mitsubishi Outlander 2022 didedahkan – enjin baru 2.5 liter, 9-beg udara, sistem Mi-Pilot Assist & pelbagai lagi

    2022 Mitsubishi Outlander shown.

    Dah lama betul kita tak dengar Mitsubishi melancancarkan model yang benar-benar baharu kan? Nah ini dia, setelah sembilan tahun model generasi sedia ada berada dalam pasaran dengan pelbagai facelift, SUV segmen-C Mitsubishi Outlander kini diperkenalkan dalam versi generasi keempat.

    SUV tujuh-tempat duduk ini dihasilkan serba baharu dengan pelbagai teknologi terkini, dan seperti yang dapat dilihat dalam gambar-gambar intipan sebelum ini, ia merupakan versi produksi untuk model konsep Engelberg Tourer yang muncul pada 2019. Rekaan asas Outlander 2022 ini menampilkan elemen rekaan “Bold Stride” iaitu sebahagian dari konsep produk “I-Fu-Do-Do”, yang bermaksud asli dan agung dalam bahasa Jepun.

    Pada bahagian muka, Outlander diberikan muka dengan rekaan signatur Dynamic Shield terkini Mitsubishi sama seperti yang ditampilkan pada Eclipse Cross facelift terbaharu. Lampu utama diletakkan pada bahagian bampar, manakala lampu nyalaan siang yang lebih tirus diletakkan pada bahagian atas, bersambung dengan gril heksagonal bersama tiga jalur krom utama. Kemasan skid plate juga direka agak besar bagi menyerlahkan imej lasak SUV ini.

    Pada bahagian sisi, kesemua ruang roda Outlander ini diberikan rekaan fender flare yang nampak lebih gagah. Bumbung direka seakan terapung menerusi kemasan hitam yang diberikan pada tiang-D.

    Mitsubishi Outlander 2022 didedahkan – enjin baru 2.5 liter, 9-beg udara, sistem Mi-Pilot Assist & pelbagai lagi

    2022 Mitsubishi Outlander shown.

    Manakala di belakang, ia turut diberikan elemen heksagon pada pintu tailgate, yang menurut Mitsubishi ia diinspirasikan dari tayar gantian klasik yang digantung pada sebelah luar pada SUV ikonik mereka, Pajero. Lampu melintang dengan bentuk-T diberikan di belakang bagi memberikan rupa yang lebih lebar dan stabil pada Outlander berkenaan.

    Secara keseluruhan , sembilan warna badan ditawarkan untuk Outlander 2022 ini termasuk enam warna standard. Tiga warna yang lain adalah warna istimewa siri Diamond dengan kecerahan yang tinggi, terdiri dari White Diamond, Red Diamond dan Black Diamond – warna terakhir ini menampilkan kemasan tiga lapisan bersama lapisan seakan serpihan kaca yang berkepadatan tinggi.

    Badan bahagian kabin, Outlander kini diberikan papan pemuka dengan elemen lebih ringkas dan mendatar yang lebih moden, menampilkan balutan kulit pada tingkat atas, bersama skrin infotainmen yang berdiri sendiri. Konsol tengah yang menempatkan tombol gear dan butang pemilih mod pemanduan pula direka tinggi untuk memudahkan capaian.

    Material-material yang digunakan badan bahagian kabin ini adalah lebih baik dari sebelumnya, termasuk penggunaan upholsteri kulit separa-aniline dan juga kemasan sekeliling tombol gear yang menggunakan aluminium sebenar. Tempat duduk hadapan pula diberikan struktur dua lapisan urethane bagi memberikan keselesaan lebih baik ketika perjalanan jauh.

    Mitsubishi Outlander 2022 didedahkan – enjin baru 2.5 liter, 9-beg udara, sistem Mi-Pilot Assist & pelbagai lagi

    2022 Mitsubishi Outlander interior shown

    Outlander ini masih disasarkan sebagai SUV keluarga, jadi ia menampilkan ruang dalaman yang lebih luas dari sebelum ini. Badannya dihasilkan lebih lebar serta diberikan ruang kaki lebih luas untuk penumpang baris pertama dan kedua. Tempat duduk baris kedua juga direka membolehkan ia digelangsarkan dan dilipat dengan nisbah 40:20:40, memberikan lebih praktikaliti dan lebih fleksibel.

    Menurut Mitsubishi lagi, model generasi baharu ini turut menampilkan lebih banyak tempat simpanan telefon pintar, termasuk pada bahagian tray konsol tengah dan sisi, belakang tempat duduk pemandu dan juga panel sisi tempat duduk baris ketiga.

    Teknologi dalam kabin model generasi baharu ini juga menawarkan sistem yang jauh lebih baik dari sebelumnya. Outlander 2021 diberikan paparan instrumen digital buat pertama kali dengan skrin 12.3-inci untuk pemandu, bersama paparan head-up 10.8-inci.

    Manakala untuk sistem infotainmen, ia dilengkapkan dengan skrin sembilan-inci, yang turut menampilkan sistem navigasi, serta hubungan tanpa wayar kepada telefon pintar untuk operasi Apple CarPlay dan Android Auto. Mitsubishi juga merancang untuk menawarkan sistem informasi trafik masa sebenar serta kemaskini perisian over-the-air pada masa terdekat.

    Buat masa sekarang, Outlander generasi baharu ini menawarkan sistem bunyi Bose dengan 10-pembesar suara, pengecas telefon pintar tanpa wayar 15-watt, port mengecaj USB-A dan USB-C di konsol tengah dan juga sistem pendingin hawa tiga-zon bersama pemanas tempat duduk dan pelindung matahari.

    Bagi sistem keselamatan, model generasi baharu ini tampil dengan Mi-Pilot Assist, yang menggabungkan bantuan pemanduan seperti cruise control adpatif bersama fungsi berhenti dan mula, serta bantuan pengekal tengah lorong. Model yang datang dengan sistem navigasi pula, penetapan kelajuan sistem cruise control tersebut boleh berfungsi secara automatik berdasarkan sistem pengenal tanda trafik, dan ia akan memperlahankan kereta pada selekoh serta susur keluar lebuh raya.

    Kesemua varian Outlander 2022 ini akan datang standard dengan sembilan beg udara, termasuk dua beg udara sisi di belakang dan beg udara tengah hadapan antara pemandu dan penumpang. Ia juga diberikan sistem Mitsubishi Connect yang akan memberikan fungsi panggilan kecemasan serta pelbagai fungsi yang boleh dikawal dalam jarak jauh.

    Outlander diasaskan dari platform serba baharu yang menggunakan logam berkekuatan tegangan ultra tinggi dan juga stamping panas – model pertama dari Mitsubishi yang menggunakan proses berkenaan. Ia juga diberikan struktur sambungan berkitar pada ruang enjin dan kabin, memberikan kekuatan torsi dan lenturan lebih tinggi dari model sebelum ini.

    Pada bahagian belakang, Outlander dilengkapkan dengan suspensi bebas jenis multi-link, bersama sistem stereng dua-pinan berkuasa elektrik yang memberikan keselesaan dan juga pengendalian yang lebih terus serta linear.

    Menerusi Outlander ini juga Mitsubishi memperkenalkan enjin petrol 2.5 liter empat-silnder baharunya. Namun sebarang perincian berkenaan enjin tersebut masih belum didedahkan. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT dengan lapan kelajuan maya yang didakwa mampu memberikan kecekapan bahan api 8.9 peratus lebih baik dalam kitaran WLTP yang lebih ketat.

    SUV tujuh tempat duduk ini masih ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan dan pacuan semua roda. Bagi model AWD, ia menampilkan teknologi Super All Wheel Control (S-AWC) Mitsubishi yang telah ditingkat taraf dengan agihan tork ke setiap roda yang lebih jitu.

    Manakala bagi model pacuan roda hadapan, ia kini turut dilengkapkan dengan sistem Active Yaw Control (AYC) yang beroperasi menerusi sistem brek. Kesemua model menampilkan mod pemanduan dengan tetapan Eco, Normal, Tarmac, Gravel dan Snow. Model AWD turut hadir dengan satu lagi mod istimewa iaitu Mud.

    Outlander generasi baharu ini telah diumumkan akan terus menawarkan versi yang dijana sistem hibrid plug-in (PHEV) sama seperti model generasi sebelumnya. Walau bagaimanapun, sebarang perincian berkenaan unit penjana tersebut juga masih belum diumum.

    Namun kita mungkin boleh menjangkakan ia adalah sistem produksi berdasarkan sistem konsep pada Engelberg Tourer yang menampilkan enjin petrol 2.4 liter, motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang serta pek bateri litium-ion 20 kWj – ia didakwa mampu menawarkan pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 70 km dan jarak gerak keseluruhan lebih 700 km.

    Mitsubishi Outlander akan mendarat pada pasaran Amerika Syarikat terlebih dahulu bermula April ini, dengan harga bermula pada US$25,795 (RM104,000). Selepas itu, ia turut akan dipasarkan ke pasaran lain seluruh dunia.

     
     
  • Rolls-Royce Koa Phantom guna kayu spesies susah ditemui dan terlindung, khas untuk bilionair AS

    Rolls-Royce Koa Phantom guna kayu spesies susah ditemui dan terlindung, khas untuk bilionair AS

    Rolls-Royce memang sudah biasa menghasilkan kemasan unik tersendiri untuk pelanggan mereka, tetapi ini adalah sesuatu yang baru. Model Bespoke Phantom Extended yang dihasilkan untuk bilionair Jack Boyd Smith Jr. ini menggunakan kayu Koa yang susah didapati dan terletak dalam kategori spesies terlindung.

    Kayu ini cuma boleh didapati di Hawaii dan idea untuk menggunakannya pada Phantom ini datang daripada Smith sendiri, yang sangat mengkagumi corak semula jadi pada kayu tersebut. Beliau juga mempunyai kerusi rehat sendiri di rumah yang menggunakan kayu sama.

    Pakar kayu Rolls-Royce telah berjaya mendapatkan kayu ini daripada satu pembekal yang menanamnya secara semula jadi, dan ia kemudiannya digunakan pada banyak kemasan di bahagian dalam termasuklah papan pemuka, konsol tengah, pembuka pintu, meja lipat di belakang, serta kotak kutleri yang mengandungi 12 peralatan stainless steel (kotak ini sahaja mengambil masa 500 jam untuk disiapkan).

    Untuk bahagian lain, model Phantom pertama yang menggunakan kayu Koa ini dicat dengan warna Packard Blue pada bahagian luar, sama seperti kereta Packard Twelve Coupe tahun 1934 milik Smith manakala bahagian kabin pula menampilkan tempat duduk yang dibalut kulit Dove Grey bersama kemasan Navy Blue.

    Kereta ini juga mempunyai lampu gentian optik di bahagian dalam bumbung, monogram Rolls-Royce di bahagian penyandar kepala serta peti penyejuk champagne di belakang bersama dua gelas champagne yang mempunyai tulisan nama Smith. Keseluruhan projek menghasilkan kereta dengan kemasan Koa ini mengambil masa sekitar tiga tahun.

     
     
  • Porsche 911 GT3 992 diperkenalkan – peningkatan utama pada bahagian casis dan aerodinamik, 510 PS

    Porsche 911 GT3 992 diperkenalkan – peningkatan utama pada bahagian casis dan aerodinamik, 510 PS

    Meskipun mempunyai versi RS yang lebih hardcore, Porsche 911 GT3 itu sendiri sudah boleh dianggap sebagai sebuah model yang ganas. Kini, GT3 terbaru generasi 992 telah diperkenalkan dan walaupun nampak hampir sama sahaja seperti sebelum ini, sebenarnya terdapat banyak peningkatan pada aerodinamik serta casis.

    Dibina atas badan 992 yang lebih besar, GT3 baru ini diberi ‘muka’ baru dengan bukaan udara lebih lebar, serta dua lubang udara atas bonet yang dibuat daripada gentian karbon. Bumbung jenis gentian karbon disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Side skirt juga adalah lebih lebar, tetapi yang paling berbeza adalah sayap belakang yang kini terletak pada permukaan atas, dan pergerakan udaranya adalah kurang sensitif. Dengan cara ini, sayap tersebut boleh dilaras pada sudut yang lebih agresif tanpa mengganggu pembahagian angin, serta meningkatkan kecekapan dan daya tolakan ke bawahnya (downforce).

    Porsche 911 GT3 992 diperkenalkan – peningkatan utama pada bahagian casis dan aerodinamik, 510 PS

    Bahagian diffuser juga dijadikan lebih besar dan ke dalam untuk memperbaiki aerodinamiknya. Ketua bahagian GT Porsche, Andreas Preuninger memberitahu, dalam keadaan standard, tetapan di belakang ini dapat memberikan 50% lebih banyak daya tolakan ke bawah tanpa peningkatan sepadan pada seretan (drag), dan dalam kedudukan paling agresif pula, sayap itu boleh membantu menaikkan lagi jumlah tersebut sehingga 150%.

    Pada bahagian casis, gandar belakang jenis five-link dan rear-wheel steering masih dikekalkan tetapi dipasang dengan ball joint serta wishbone bawah yang baru. Bahagian hadapan pula direka semula sepenuhnya, di mana suspensi jenis MacPherson diganti dengan double wishbone inspirasi daripada kereta lumba 911 RSR -digunakan kali pertama bagi kereta jalanan Porsche.

    Cakera besi masih lagi digunakan secara standard untuk bahagian brek, tetapi ia adalah lebih besar dengan ukuran 405 mm di hadapan, dan masih lagi 17% lebih ringan berbanding yang digunakan pada GT3 991. Begitu juga dengan rim 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang (nat di tengah), dibalut tayar prestasi tinggi. Brek jenis karbon seramik disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Porsche 911 GT3 992 diperkenalkan – peningkatan utama pada bahagian casis dan aerodinamik, 510 PS

    Enjin GT3 baru ini masih menggunakan unit enam silinder 4.0 liter NA sama seperti model 991 sebelum ini, dan ia boleh dikerah sehingga 9,000 rpm serta menghasilkan kuasa 510 PS pada 8,400 rpm dan 470 Nm tork pada 6,100 rpm. Beberapa kelengkapan seperti penapis terpaksa ditambah pada enjin ini untuk menjadikan ia patuh kepada tahap emisi, tetapi berat bahagian itu ditimbal balik dengan sistem ekzos stainless steel 10 kg lebih ringan.

    Untuk transmisi, pembeli mempunyai pilihan manual enam kelajuan atau PDK tujuh kelajuan dan kedua-duanya adalah unit yang sama seperti sebelum ini. Bagi transmisi manual, ia masih mempunyai ciri rev-matching dan 17 kg lebih ringan, sementara unit PDK itu pula adalah unik dan tidak sama seperti yang digunakan pada model Carrera dan Turbo kerana ia dikurangkan satu nisbah gear dan menjadikannya lebih ringan.

    Melihat kepada prestasi, jika menggunakan transmisi PDK, GT3 baru ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan mencapai laju 200 km/j dalam masa 10.8 saat. Masa yang dicatat oleh transmisi manual pula sedikit perlahan iaitu 3.9 saat dan 11.9 saat, tetapi ia mempunyai laju maksimum yang lebih tinggi iaitu 320 km/j berbanding 318 km/j.

    Pada bahagian dalam, penampilan yang lebih fokus kepada penggunaan litar dikekalkan, dengan balutan Alcantara manakala fungsi pada skrin boleh dikurangkan untuk mengurangkan gangguan dan menunjukkan perkara penting sahaja seperti tekanan angin, tekanan minyak, suhu air dan lain-lain. Lampu shift gear juga disediakan.

    Selain daripada keadaan asalnya, Porsche juga menyediakan beberapa pilihan tambahan lain kepada pemilik, seperti tempat duduk dengan kerangka karbon serta pakej Clubsport yang termasuk roll cage belakang, tali pinggang lumba six-point, pemadam api dan suis mematikan kuasa bateri.

     
     
  • Projek pembinaan Lebuhraya SUKE catat kemajuan sebanyak 87% pada akhir 2020 seperti yang dijadual

    Projek pembinaan Lebuhraya SUKE catat kemajuan sebanyak 87% pada akhir 2020 seperti yang dijadual

    Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd. anak syarikat penuh Kumpulan Syarikat PROLINTAS yang merupakan merupakan pemegang konsesi bagi projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) memaklukan projem pembinaan lebuhraya terbabit telah mencatatkan kemajuan keseluruhan pembinaan sebanyak 87% pada akhir tahun 2020.

    Ini disokong dengan pakej CB3 yang menghubungkan Jalan Taman Putra dengan Jalan Merbau berhampiran Pekan Ampang siap 100%. Pakej CB3 ini merupakan pakej pertama di dalam lapan pakej pembinaan yang siap sepenuhnya bagi projek Lebuhraya SUKE.

    Menurut Timbalan Pengurus Besar SUKE, Ir. Dr. Zarulazam Eusofe, pakej CB3 sepanjang 2.7km melibatkan laluan kawasan Ampang Waterfront, Bandar Baru Ampang dan berakhir di Jalan Merbau, berhampiran LRT Ampang. Kerja-kerja pembinaan ini telah mengambil masa selama empat tahun dan berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.

    “Apabila Lebuhraya SUKE ini dibuka kepada pengguna kelak, jajaran pakej ini akan membantu melancarkan aliran trafik dari kawasan sekitar Bukit Indah, Kampung Dato’ Mufti, Taman Kosas dan Bandar Baru Ampang. Pengguna yang menghala ke Pusat Bandar Kuala Lumpur cuma perlu menggunakan Persimpangan Kosas atau Persimpangan Ampang seterusnya melalui Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

    Dengan jarak anggaran sekitar 12 kilometer ini dari persimpangan- persimpangan tersebut, pemanduan hanya akan mengambil masa sekitar lapan minit dan tanpa perlu menempuh kesesakan trafik di Jalan Ampang,” ujar Ir. Dr. Zarulazam.

    Projek pembinaan Lebuhraya SUKE catat kemajuan sebanyak 87% pada akhir 2020 seperti yang dijadual

    Tambahnya lagi, dengan pembangunan projek Lebuhraya SUKE ini, ia bakal memberi manfaat besar terutama kepada penduduk sekitar Ampang di mana syarikat ini juga telah menaik taraf Jalan Ampang sedi ada yang terletak di bawah struktur Lebuhraya SUKE.

    Malahan Jalan Ampang yang sebelum ini hanya mempunyai dua lorong kini telah dilebarkan kepada tiga lorong setiap hala. Dengan penambah baikan ini, pengguna di Jalan Ampang akan mendapat jalan yang lebih selesa dan lancar serta percuma.

    Pembinaan Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4km telah bermula pada 29 Ogos 2016. Apabila siap sepenuhnya kelak, ia dijangka akan mengurangkan kesesakan lalu lintas sekurang-kurangnya sebanyak 30% di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan di kawasan berkepadatan tinggi seperti Cheras, Pandan Indah dan Ampang.

    Bermula di Sri Petaling dan berakhir di Ulu Kelang di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuhraya SUKE akan mempunyai sambungan terus highway to highway, dengan menghubungkan secara terus beberapa lebuh raya utama dalam bandar seperti DUKE, AKLEH, Lebuhraya KL-Seremban, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya BESRAYA dan Lebuhraya KESAS.

     
     
  • Honda CB350 RS dilancar di India – bentuk scrambler

    Honda CB350 RS dilancar di India – bentuk scrambler

    CB adalah antara nama model yang mempunyai sejarah panjang bagi Honda. Walaubagaimanapun, kalau anda perhatikan, bentuk klasiknya hanya dikekalkan pada CB1000R, sementara model CB yang lain kebanyakannya sudah dijadikan dengan bentuk naked moden.

    Itu adalah tidak tepat kerana Oktober tahun lalu, Honda memperkenalkan H’Ness 350 untuk pasaran India. Model ini menggunakan bentuk sebuah motosikal klasik tetapi enjinnya adalah unit moden iaitu satu silinder 350 cc dengan suntikan bahan api dan kuasa 20.8 hp/30 Nm tork.

    Daripada model ini, Honda telah memberitahu akan mengeluarkan beberapa lagi variasi dan nampaknya yang pertama sudah pun diperkenalkan di India. Ia menggunakan nama CB350RS dan mempunyai ciri-ciri lebih kepada sebuah scrambler.

    Motosikal ini kelihatan lebih ranggi dengan tiada tempat pemegang di belakang, bunga tayar yang lain, ekzos serba hitam dengan kemasan krom di tengah, pelindung bawah enjin, bentuk tempat duduk bertingkat, getah pelindung fork, warna dua tona serta penghadang lumpur yang lebih moden.

    Bahagian lain masih dikekalkan sama seperti H’Ness 350 termasuk brek cakera depan dan belakang yang dilengkapi sistem ABS two-channel, kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC), rim 19 inci di hadapan, 18 inci di belakang, transmisi lima kelajuan serta sambungan Bluetooth. Harga CB350 RS di India adalah 196,000 rupee (RM10,800).

     
     
  • Peugeot e-Rifter 2021 diperkenalkan – tujuh-tempat duduk elektrik, jarak hingga 275 km; 4,000L ruang but

    Peugeot e-Rifter 2021 diperkenalkan – tujuh-tempat duduk elektrik, jarak hingga 275 km; 4,000L ruang but

    Peugeot telah memperkenalkan e-Rifter baharu, iaitu versi elektrik sepenuhnya bagi kereta keluarga Rifter yang dilancarkan pada 2018. Model e-Rifter ini turut dibangunkan berasaskan platform EMP2 dari PSA Group, dan bentangan yang fleksibel membuatkan ia mampu menawarkan kapasiti ruang but mencecah 4,000 liter.

    Model ini dijanakan oleh motor elektrik tunggal 100 kW (134 PS, 260 Nm) yang membantu ia memecut dari 0-100 km/j dalam 11.2 saat, dengan kelajuan maksimum mampu mencapai 134 km/j. Motor tersebut dijanakan dari bateri 50 kWh yang ditempatkan di lantai but. Dalam pengecasan penuh, bateri ini mampu menyalurkan jarak sehingga 275 km (mengikut kitaran WLTP).

    e-Rifter didatangkan dengan pengecas fasa-tunggal 7.4 kW secara standard, di mana ia boleh dipertingkatkan dengan pengecas wallbox tiga-fasa 11 kW. Pengecasan penuh menerusi outlet berkapasiti 7.4 kW mengambil masa 7.5 jam, sementara versi 11 kW pula hanya sekitar lima jam. Pengecasan DC pula berkapasiti hingga 100 kW, boleh mencapai 0% ke 80% (kadar pengecasan) dalam hanya hanya 30 minit.

    Peugeot e-Rifter 2021 diperkenalkan – tujuh-tempat duduk elektrik, jarak hingga 275 km; 4,000L ruang but

    Selain itu, brek regeneratif juga akan membantu pengecasan bateri, di mana ia didatangkan dengan dua mod – Moderate, atau Increased. Moderate menawarkan tahap bagi deceleration yang mirip dengan pelepasan pada pendikitan bagi kenderaan pembakaran dalaman biasa. Untuk mod Increased pula, decelerative force akan dipertingkatkan, dan ini boleh diaktifkan menerusi butang “B” pada pemilih gear.

    Terdapat tiga mod pemanduan ditawarkan – Eco, Normal dan Power. Dalam mod Eco, output bagi penjana kuasa, ia dihadkan kepada 60 kW untuk julat optimum. Ia ditambah kepada 80 kW dalam mod Normal, atau pun 100 kW dalam mod Power. Brek parkir elektronik standard untuk semua, manakala bunyi generator akan kedengaran apabila pemanduan di bawah kelajuan 29 km/j bagi keselamatan pejalan kaki.

    Pelanggan boleh memilih sama ada model Allure Premium atau GT, dan kedua-duanya didatangkan dengan varian Standard (4.4 meter) dan Long (4.75 meter). Bagi unit Allure Premium, ia menerima rel bumbung, roda aluminium 16-inci, bukaan tingkap belakang dan i-cockpit dengan paparan skrin sesentuh lapan-inci bersama menu “Electric”. Untuk model GT pula, ia dipertingkatkan dengan roda aluminium dua-tona 17-inci dengan elemen penggayaan spesifik-GT, tempat duduk belakang individual, dan sistem kemasukan tanpa kunci.

    Peugeot e-Rifter 2021 diperkenalkan – tujuh-tempat duduk elektrik, jarak hingga 275 km; 4,000L ruang but

    Ia turut menampilkan konfigurasi lima- atau tujuh-tempat duduk. Disebabkan baterinya terletak di bawah lantai, maka ruang penumpang dan ruang but tidak terjejas. Ruang but boleh mencecah 775 liter bagi varian Standard lima-tempat duduk, dan meningkat hingga 4,000 liter dengan semua tempat duduk dibaringkan bagi varian Long.

    Bagi menambahkan lagi praktikalitinya, ciri “Magic Flat” juga ditampilkan, membolehkan setiap tempat duduk untuk digerakkan ke atas atau bawah di dalam kabin, dibaringkan atau dikeluarkan sepenuhnya dari kenderaan. Selain itu, terdapat ruang berkapasiti 186 liter di segenap kabin, iaitu seperti pada konsol tengah, ruang penyimpanan di atas kepala, panel pintu dan di dalam but.

    Untuk aspek keselamatam, ia diberikan sistem amaran ketibaan lorong, brek kecemasan sendiri, kepekaan perhatian pemandu, kepekaan pelanggaran automatik, bantuan lampu tinggi automatik, pengesan isyarat trafik, pemantauan titik buta, sistem kawalan kestabilan treler dan sistem Peugeot Visiopark yang merangkumi penderia belakang dan kamera pandangan belakang dengan kelebaran 180-darjah.

     
     
  • Perodua catat jualan 16,894 unit bagi Januari 2021, 3.36% kurang berbanding tempoh sama tahun lalu

    Perodua catat jualan 16,894 unit bagi Januari 2021, 3.36% kurang berbanding tempoh sama tahun lalu

    Perodua telah mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan Januari 2021, yang mencatatkan sebanyak 16,894 unit. Ini mewakili penurunan 32.88% (atau 8,277 unit) dari 25,171 unit yang dijual pada Disember tahun lalu, yang menjadi angka jualan kedua tertinggi syarikat itu bagi tahun 2020. Angka terbaru ini bagaimanapun tetap meletakkan Perodua sebagai pendahulu carta jualan pasaran tempatan.

    Kebiasaannya, bulan Januari memang memperlihatkan aktiviti jualan yang lebih perlahan berbanding tempoh hujung tahun, ketika jualan biasanya melonjak. Namun, Perintah Kawalan Pegerakan (PKP 2.0) yang dikenakan semula sejak 13 Januari lalu ternyata turut memberi kesan.

    Jualan Perodua bagi bulan Januari 2020 juga tidak terlalu jauh berbeza, mencatatkan 17,481 unit, bersamaan dengan pengurangan hanya 3.36% (atau 587 unit) berbanding apa yang dicatatkan bulan lalu. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Perodua mensasarkan jualan sebanyak 240,000 unit bagi tahun 2021, peningkatan 9% daripada 220,163 unit yang dicatatkan tahun lalu. Syarikat itu juga merancang untuk meningkatkan jumlah stok kenderaan keluarannya dengan mempergiat pengeluaran kepada 272,000 kenderaan tahun ini; jumlah tertinggi dalam sejarah Perodua.

    Syarikat ini, yang menjadi pendahulu pasaran tempatan bagi 15 tahun berturut-turut kini — dan mencatatkan perkongsian pasaran sebanyak 41.6% setakat tahun 2020 — turut mengumumkan bahawa ia akan membeli komponen dari vendor tempatan bernilai RM6.5 bilion tahun ini, yang akan memberi kesan positif kepada industri automotif tempatan. Lihat juga hala tuju Transformasi 3.0 terbaru Perodua yang ingin memberi tumpuan kepada pasaran global, seperti yang diumumkan semalam.

     
     
  • Kilang tayar Silverstone di Taiping akan ditutup Jun ini

    Kilang tayar Silverstone di Taiping akan ditutup Jun ini

    Kilang pembuatan tayar jenama Silverstone yang terletak di Kamunting, Taiping Perak bakal menamatkan operasinya pada bulan Jun ini, menurut laporan Berita Harian. Perkara ini diumumkan oleh syarikat induk jenama berkenaan iaitu Toyo Tire Corporotion.

    Menurut Presiden dan CEO Toyo Tire, Takashi Shimizu, langkah itu diambil selepas mengambil kira persekitaran operasi, kedudukan kilang dalam strategi globalnya serta keupayaan pengeluaran. Selepas penamatan operasi pengeluaran tayar Silverstone di Taiping tersebut, kumpulan seterusnya akan membubarkan Silverstone Malaysia Berhad (SSM).

    “Toyo Tire telah sampai pada kesimpulan bahawa penutupan kilang itu tidak dapat dielakkan. Prosedur pembubaran akan dimulakan pada 31 Disember 2021 (dirancang) dan akan mengikuti prosedur yang diperlukan sesuai dengan peraturan dan undang-undang tempatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Toyo Tire.

    Walau bagaimanapun, pengeluaran dan bekalan produk jenama Silverstone tertentu sebelum ini yang dihasilkan di SSM akan dipindahkan ke Toyo Tire Malaysia Sdn Bhd (TTM) yang menghasilkan tayar jenama Toyo Tire. Menurut Shimizu, buat masa sekarang SSM mengeluarkan tayar untuk kenderaan baru dan tayar jenama Silverstone untuk penggunaan selepas pasaran, terutamanya untuk pengeluar kenderaan di Malaysia, serta tayar jenama tertentu Toyo Tires tertentu.

    Beliau turut menjelaskan bahawa TTM berfungsi sebagai hab global, membekalkan tayar bukan sahaja ke Asia Tenggara, tetapi juga ke pasaran global lain termasuk Amerika Utara, Eropah, dan Jepun.

    Shimizu juga berkata bahawa Toyo Tire mencatatkan kerugian luar biasa berjumlah 6.27 bilion yen, dalam hasil kewangan yang digabungankan bagi tahun fiskal yang berakhir pada 31 Disember 2020.

    “Ia terdiri daripada kerugian penurunan nilai sebanyak 5.11 bilion yen dan kerugian pembubaran anak syarikat dan sekutu sebanyak 1.159 bilion yen,” katanya.

     
     
  • MIROS akan bina litar ujian 1 km baru di Sepang — untuk pembangunan teknologi ADAS, ASEAN NCAP

    MIROS akan bina litar ujian 1 km baru di Sepang — untuk pembangunan teknologi ADAS, ASEAN NCAP

    Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengumumkan pihaknya akan membina sebuah litar ujian baru sepanjang satu kilometer di Sepang. Kemudahan ini akan diguna secara khusus untuk pembangunan teknologi bantu pemanduan maju, serta untuk penilaian ASEAN NCAP.

    Kemudahan baru ini terletak tiga kilometer dari Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan. Binaan dijangka bermula pada 1 Jun 2021, sementara operasi pula dijangka bermula seawal Januari 2022.

    Merujuk paparan taklimat MIROS, pihaknya akan membina litar berkenaan menggunakan dana yang dicari sendiri, dan kemudian akan memindahkan ibupejabatnya yang kini berada di Kajang, ke lokasi baru tersebut melalui dana yang disediakan kerajaan, yang akan terletak bersebelahan litar ujian baru terbabit.

    MIROS akan bina litar ujian 1 km baru di Sepang — untuk pembangunan teknologi ADAS, ASEAN NCAP

    Tahun lalu, MIROS mendedahkan pihaknya telah menjalankan pembangunan ujian bagi sistem brek kecemasan autonomous (AEB) dalam persediaan untuk protokol baru bagi ASEAN NCAP. Bermula Januari 2021, ASEAN NCAP akan menilai sistem AEB bagi dua aspek berikut; AEB City dan AEB Inter-Urban.

    Aspek pertama itu adalah bagi menentukan keberkesanan sistem antara kelajuan 10 km/j hingga 60 km/j (ke arah kenderaan pegun), sementara aspek kedua adalah penilaian ujian keberkensanan sistem dengan memandu kenderaan ke arah depan dalam kelajuan 30 km/j dan 60 km/j, ke arah kenderaan lain yang sedang bergerak dalam kelajuan sekata.

     
     
  • PKP 2.0: Sekatan jalan raya tetap diteruskan – PDRM

    PKP 2.0: Sekatan jalan raya tetap diteruskan – PDRM

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) memutuskan untuk meneruskan kesemua sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara walau pun kerajaan telah mengumumkan larangan pergerakan melebihi radius 10 kilometer ditarik balik mulai semalam.

    Buat setakat ini sebanyak 550 SJR dilaksanakan di seluruh negara, termasuklah 276 sekatan jalan raya di persempadanan daerah di seluruh negara, manakala 274 lagi di persempadanan negeri dan Operasi Benteng (Op Benteng).

    Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, selepas kerajaan mengumumkan perkara tersebut, pihaknya akan memberi tumpuan kepada faktor pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Meskipun bebas bergerak lebih 10km, orang ramai yang tidak mempunyai kebenaran untuk merentas daerah atau negeri, hanya dibenarkan bergerak dalam daerah mereka sahaja.

    PKP 2.0: Sekatan jalan raya tetap diteruskan – PDRM

    “Justeru, polis masih lagi meneruskan pemantauan terhadap pematuhan ini selain pergerakan yang masih menetapkan dua individu sahaja dalam satu kenderaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.

    Jelasnya, penugasan penguatkuasaan bukan untuk bertujuan menyusahkan orang ramai, sebaliknya untuk memastikan penularan COVID-19 dapat diputuskan, sekali gus memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga.

    Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan, PKP 2.0 dilanjutkan di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor, sehingga 4 Mac ini. Manakala lain-lain negeri dilaksanakan PKPB dan Perlis menjadi satu-satunya negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Walau bagaimana pun, larangan merentas daerah dan negeri masih dilaksanakan di seluruh negara.

     
     
  • Toyota sasar atasi jualan Honda di Malaysia tahun ini untuk kembali sebagai jenama bukan nasional no.1

    Toyota sasar atasi jualan Honda di Malaysia tahun ini untuk kembali sebagai jenama bukan nasional no.1

    Toyota mensasarkan untuk mengatasi angka jualan Honda di Malaysia tahun ini untuk kembali sebagai jenama bukan nasional nombor satu. Misi ini tersebut telah dinyatakan dalam satu pembentangan koprat yang dibuat oleh UMW Holdings Berhad bulan ini. Syarikat berkenaan merupakan pemegang saham terbesar dalam UMW Toyota Motor (UMWT), yang menjadi pengimport dan pengedar rasmi Toyota dan Lexus di Malaysia.

    Misi untuk “menjadi peneraju semula dalam segmen bukan nasional” ini akan disokong menerusi pelancaran pelbagai model baharu. Awal bulan ini, UMWT sudahpun melancarkan versi facelift untuk Fortuner dan Innova, dan ia akan diikuti SUV segmen-C Corolla Cross pada suku kedua 2021, dan juga sebuah sedan bersama “Model GR” baharu pada suku keempat tahun ini.

    Dalam slaid pembentangan berkenaan turut mendedahkan rancangan UMWT untuk “mendapatkan model-model CKD segmen-C dan komersial” tahun ini. Model segmen-C yang dirancang untuk dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) boleh jadi adalah Corolla Cross, yang telah pun diperkenalkan di Thailand pada pertengahan tahun lalu.

    Toyota sasar atasi jualan Honda di Malaysia tahun ini untuk kembali sebagai jenama bukan nasional no.1

    Syarikat berkenaan turut merancang untuk “memperkenalkan lebih model hybrid CKD selepas ini”. Buat masa sekarang, Corolla Cross turut mempunyai varian hibrid, jadi berkemungkinan besar kita di Malaysia turut akan ditawarkan dengan SUV segmen-C berkenaan bersama teknologi elektrifikasi (bukan plug-in hybrid) yang dipasang secara tempatan.

    Selain dari model-model baharu, UMWT turut akan menumpukan perkara-perkara lain yang akan membantu untuk memacu jualan mereka. Syarikat berkenaan akan memperkenalkan “pakej pembiayaan inovatif” menerusi rirma pembiayaan dalaman UMWT iaitu Toyota Capital dan juga bank-bank lain.

    Jualan atas talian turut akan diperhebatkan – selain dari kedai maya rasmi yang telahpun berada dalam aplikasi Shopee dan Lazada, Toyota bakal memperkenalkan platform jualan atas talian mereka sendiri. Syarikat tersebut juga mahu meluaskan lagi asas pelanggan mereka, dengan jualan flit kepada kerajaan serta jualan kenderaan pra-milik yang dilihat mempunyai potensi untuk berkembang.

    Honda mula menewaskan Toyota dan menguasai pasaran segmen bukan-nasional di Malaysia bermula pada tahun 2015 sehingga sekarang. Pada 2017, Honda berjaya menjual sebanyak 109,511 unit kenderaan – rekod tahunan tertinggi pernah dicatatkan oleh jenama automotif bukan-nasional di Malaysia. Ini menjadikan pasaran Malaysia agak unik kerana tak banyak pasaran lain dunia yang boleh kita lihat Honda berada di atas Toyota.

    Dalam suasana Pandemik Covid-19 tahun lalu, Honda masih bertahan sebagai jenama bukan nasional terlaris di Malaysia, namun mencatatkan penyusutan dengan hanya menjual 60,468 unit kenderaan – rekod terendah pernah dicatatkan sejak zaman saingan sengitnya bersama Nissan pada tahun 2013.

    Toyota sasar atasi jualan Honda di Malaysia tahun ini untuk kembali sebagai jenama bukan nasional no.1

    Manakala bagi Toyota, jualan mereka hanya menyusut sedikit pada 2020, dengan rekod 58,501 unit kenderaan berjaya dijual. Jadi dengan jurang yang begitu sedikit antara dua jenama Jepun berkenaan di Malaysia tahun lalu, tidak mustahil Toyota boleh merampas kembali takhtanya dari Honda tahun ini.

    Nak tahu lebih berkenaan persaingan antara jenama bukan nasional paling popular di Malaysia (Honda, Toyota, Nissan dan Mazda) dalam 10 tahun kebelakangan ini? Baca analisa yang telah kami buat pada artikel di PAUTAN INI.

     
     
  • Toyota Corolla Cross CKD sah dilancarkan di M’sia suku kedua 2021, diikuti sebuah sedan dan ‘Model GR’

    Toyota Corolla Cross CKD sah dilancarkan di M’sia suku kedua 2021, diikuti sebuah sedan dan ‘Model GR’

    SUV segmen-C Toyota Corolla Cross telah dijadualkan akan dilancarkan dalam pasaran Malaysia pada suku kedua tahun ini, menurut satu pembentangan korporat oleh UMW Holdings Berhad. Satu lagi berita yang menggembirakan, ia akan dihasilkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD), yang mungkin akan menampilkan harga yang cukup kompetitif.

    Toyota Corolla Cross ini dikelaskan sebagai SUV segmen-C, dan dihasilkan dengan platform TNGA-C yang sama dengan sedan segmen-C Toyota Corolla dan juga SUV segmen-B Toyota C-HR. Walau bagaimanapun, dalam hieraki model Toyota, Corolla Cross masih berada di bawah satu anak tangga satu lagi SUV segmen-C Toyota iaitu RAV4 yang lebih premium.

    Jadi ketika dilancarkan di Malaysia nanti, mungkin boleh dijangka Toyota Corolla Cross ini akan berada dalam kelas ditengah-tengah antara Honda HR-V dan juga CR-V. Dan walaupun ia dihasilkan dari platform TNGA-C, Corolla Cross tidak diberikan suspensi double wishbone di belakang, sebaliknya hadir dengan sistem torsion beam seperti Honda HR-V dan Proton X50.

    Toyota Corolla Cross CKD sah dilancarkan di M’sia suku kedua 2021, diikuti sebuah sedan dan ‘Model GR’

    Model ini telah didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global di Thailand pada Julai tahun lalu. Pada pasaran berkenaan, Corolla Cross dijana oleh enjin petrol tanpa turbo empat-silinder 1.8 liter 2ZR-FBE (boleh beroperasi dengan bahan api-flex) berkuasa 140 PS/177 Nm. Tiada sistem pacuan semua roda diberikan, di mana kuasa hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear Super CVT-i.

    Dalam pembentangan koprat ini ini juga menunjukkan bahawa lebih banyak model CKD dengan sistem hibrid elektrik akan diperkenalkan di Malaysia, dan ia turut mungkin akan melibatkan Toyota Corolla Cross ini. Bagi model hibrid, Corolla Cross menampilkan enjin petrol NA 1.8 liter 2ZR-FXE berkuasa 98 PS/142 Nm yang digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 72 PS/163 Nm, memberikan kuasa keseluruhan 122 PS.

    Selepas pelancaran Corolla Cross CKD tersebut di Malaysia, pembentangan ini turut membayangkan dua lagi model sedan akan dilancarkan pada pasaran tempatan pada suku keempat tahun ini, termasuk satu “Model GR” (Gazoo Racing) baru.

    Untuk sedan pertama, ia berkemungkinan adalah Toyota Camry dalam versi facelift. Dan dengan mengambil petunjuk bahawa UMW akan memperkenalkan lebih banyak model hibrid CKD, Camry tersebut berkemungkinan akan ditawarkan dalam unit penjana hibrid dan diproduksi secara tempatan. Juga memandangkan buat masa sekarang Camry hanya ditawarkan dengan enjin 2.5 liter, versi facelift tersebut berkemungkinan akan menawarkan pilihan enjin lebih kecil dengan harga yang lebih rendah.

    Camry facelift untuk versi 2.5 liter juga ada kemungkinan akan disegarkan dengan penggunaan enjin 2.5 liter Dynamic Force terkini yang menghasilkan kuasa 209 PS/250 Nm, bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan. Sebelum ini kami diberitahu Camry sedia ada hanya dijana oleh enjin dan kotak gear yang diambil dari model sebelumnya kerana masalah pembekalan enjin Dynamic Force berkenaan.

    Bagi Model GR baharu yang turut akan dilancarkan, ia masih lagi belum jelas. Setakat ini, dua model GR penuh iaitu GR Supra dan juga GR Yaris telah pun dilancarkan di Malaysia. Manakala untuk model generasi baharu Toyota 86 yang akan digelar sebagai GR86 masih lagi belum dilancarkan di peringkat global.

    Jadi mungkin terlalu awal untuk kita jangkakan bahawa GR86 turut akan dilancarkan di Malaysia tahun ini. Namun mungkin kita boleh agak ia adalah satu lagi model GR-Sport seperti Vios GR-Sport yang dilancarkan di sini pada hujung tahun lalu. Mungkin UMW Toyota akan memperkenalkan sedan Corolla GR-Sport?

     
     
  • Perodua lancar ‘Transformasi 3.0’ – dedahkan rangka tindakan lestari Smart Build dan tumpu globalisasi

    Perodua lancar ‘Transformasi 3.0’ – dedahkan rangka tindakan lestari Smart Build dan tumpu globalisasi

    Perodua hari ini mengumumkan rangka tindakan lestari pertamanya yang digelar Smart Build, yang diperkenalkan untuk membawa syarikat mereka bersama-sama hampir seluruh ekosistem pembekal dan pengedar automotifnya, ke arah globalisasi yang lebih tinggi pada masa hadapan.

    “Perodua Smart Build merupakan evolusi daripada objektif asal penubuhan Perodua dan industri automotif Malaysia, iaitu untuk mewujudkan ekosistem automotif yang mampan dan kukuh,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad. Beliau menyifatkan bahawa Perodua Smart Build ini merupakan ‘Transformasi 3.0’ Perodua yang dibina berdasarkan kejayaan-kejayaan sebelum ini.

    Menurut beliau, Perodua telah memulakan transformasi pertamanya pada 2011 dengan mengumumkan pembinaan ekosistem Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), penghentian aliran kecacatan, penubuhan Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd dan meningkatkan kesedaran kualiti di Perodua.

    “Transformasi 2.0 memberi tumpuan kepada kepuasan pelanggan, pembangunan organisasi dan perpaduan di kalangan seluruh Kumpulan Syarikat Perodua.

    Perodua lancar ‘Transformasi 3.0’ – dedahkan rangka tindakan lestari Smart Build dan tumpu globalisasi

    “Kini, kami berada di fasa ketiga transformasi untuk ‘membina’ Perodua dan rakan-rakan niaganya ke tahap di mana kami dapat menduduki posisi yang unik dalam industri,” ujar bos Perodua berkenaan.

    Beliau berkata di bawah ‘Transformasi 3.0’, Perodua akan bekerjasama dengan rakan-rakan niaganya untuk mengurangkan jurang kualiti, kos dan penghantaran di dalam ekosistem automotif dan memastikan industri berada pada ‘saiz yang betul’.

    Menurutnya lagi, Perodua juga sedang bekerjasama dengan rakan-rakan niaganya untuk mengenalpasti kepakaran sedia ada yang boleh dimanfaatkan di luar Malaysia – sebagai contoh, kakitangan Perodua kini sedang bekerjasama dengan Daihatsu Japan dalam mereka bentuk model Daihatsu, yang merupakan salah satu usaha untuk mengeksport kepakaran ke luar negara.

    Dato’ Zainal berkata Perodua akan terus memanfaatkan hubungan rapat dengan Daihatsu untuk merealisasikan objektif Perodua Smart Build.

    Perodua lancar ‘Transformasi 3.0’ – dedahkan rangka tindakan lestari Smart Build dan tumpu globalisasi

    “Perodua Smart Build akan dicapai dengan bantuan pemegang saham dan rakan teknologi serta teknikal kami, Daihatsu Motor Company of Japan; dan kerajaan Malaysia yang mewujudkan ekosistem ini untuk memberi faedah kepada negara,” tambah beliau.

    Menurut Dato’ Zainal lagi, Perodua Smart Build direka untuk membantu Perodua dan ekosistem automotif negara mengambil manfaat daripada Dasar Automotif Nasional dengan menjadikan industri tersebut lebih berdaya saing dan maju. Antara komponen utama Perodua Smart Build adalah pembangunan produk sepenuhnya oleh Perodua dan para pembekalnya, pembentukan budaya kerja kelas pertama dan pemikiran kelas pertama yang akan menyumbang kepada negara.

    “Pelancaran Perodua Smart Build tidak bermaksud kami telah mencapai potensi penuh komponen-komponen ini; sebaliknya, ia menandakan permulaan perjalanan Perodua dan rakan-rakan niaganya menuju tahap daya saing yang lebih tinggi.

    “Kami berterima kasih kepada Daihatsu kerana diberikan peluang ini dan sokongan berterusan mereka selama ini. Sudah tiba masanya untuk kita berkongsi kerjasama ini sepenuhnya dengan rakan-rakan niaga kami di Malaysia,” ujar Dato’ Zainal.

    Beliau menambah bahawa sebilangan pembekal Malaysia telah pun menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global Daihatsu, dan Perodua sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk membangunkan lebih banyak pembekal tempatan ke arah tuju yang sama.

    “Kami juga memberi tumpuan kepada pembangunan para pengedar kami, termasuk mengukuhkan operasi mereka dan membimbing mereka ke arah amalan terbaik global bagi meningkatkan lagi kepuasan pelanggan,” kata Dato’ Zainal.

    Beliau menjelaskan bahawa Perodua berhasrat untuk memastikan kesinambungan perniagaan para pengedar dengan berkongsi amalan terbaik serta teknologi terkini, sambil menambah: “Para pengedar kami adalah rakan-rakan niaga kami, sama seperti hubungan kami dengan Daihatsu, dan kami komited terhadap kejayaan mereka selagi mereka komited terhadap matlamat-matlamat kami.”

    “Dari segi produk, model-model kami pada masa hadapan akan lebih selari dengan trend semasa dan pada masa yang sama mengekalkan kelebihan kami – ruang, praktikaliti, kualiti, kebolehpercayaan, kecekapan bahan api dan nilai terbaik,” kata Dato’ Zainal.

     
     
  • MIROS laporkan 4,634 kematian akibat kemalangan sepanjang 2020 — turun 24.9% berbanding tahun 2019

    MIROS laporkan 4,634 kematian akibat kemalangan sepanjang 2020 — turun 24.9% berbanding tahun 2019

    Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mendedahkan statistik kemalangan jalan raya bagi tahun 2020, yang memperlihatkan penurunan sebanyak 24.9% berbanding data tahun 2019. Berpandukan data yang diperoleh daripada PDRM, tahun lalu mencatatkan sebanyak 4,634 kematian akibat kemalangan jalan raya, berbanding 6,167 kematian pada tahun sebelumnya.

    Angka terbaru itu mewakili penurunan sebanyak 1,533 kematian, walaupun perlu juga ditekankan bahawa seluruh negara sepanjang tahun lalu dan kekal ketika ini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang telah menghadkan pergerakan orang ramai di atas jalan raya.

    Kematian melibatkan penunggang motosikal masih menjadi majoriti dengan 3,118 kes, dan diikuti dengan penumpang kereta dengan 888 kematian. Pejalan kaki mencatatkan 266 kematian; lori dengan 135 kematian; lain-lain kenderaan dengan 108 kematian dan basikal dengan 107 kematian. Bagi kendereaan 4WD, van dan bas, data menunjukkan masing-masing melibatkan 82, 55 dan 27 kematian.

    Melihat kepada jumlah kes yang melibatkan kecederaan pula, berlaku peningkatan sebanyak 2,192 kes atau 14.6%, dari 15,044 kes pada 2019 kepada 17,236 kes pada 2020. Daripada jumlah keseluruhan itu, 9,762 kes melibatkan kecederaan ringan (naik agak tinggi dari 5,855 kes pada 2019). Bagaimanapun, kes melibatkan kecederaan parah menurun daripada 3,022 kes pada 2019 kepada 2,840 kes tahun lalu.

    Begitu juga dengan jumlah kemalangan maut, yang menurut kepada 4,434 kes berbanding 6,167 kes pada 2019. MIROS menyatakan, daripada jumlah kematian tahun 2020 berada di bawah angka awal yang dijangkakan 5,358 kematian.

     
     
  • PKP 2.0 dilanjutkan di S’gor, KL, Penang dan Johor hingga 4 Mac; pergerakan radius 10km ditarik balik

    PKP 2.0 dilanjutkan di S’gor, KL, Penang dan Johor hingga 4 Mac; pergerakan radius 10km ditarik balik

    Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri baru sahaja mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Kedua (PKP 2.0) dilanjutkan tempohnya bagi negeri Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor sehingga 4 Mac 2021.

    Keputusan ini dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat penilaian risiko bagi kes Covid-10 dan mendapati kes positif masih kekal tinggi di negeri-negeri tersebut. Walau pun dalam beberapa hari ini, kes positif COVID-19 di kebanyakan negeri menunjukkan penurunan.

    “Untuk negeri lain, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, serta Sabah akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 19 Februari sehingga 4 Mac 2021. Sarawak pula masih kekal dalam PKPB sejak 15 Februari lalu hingga 1 Mac ini.

    PKP 2.0 dilanjutkan di S’gor, KL, Penang dan Johor hingga 4 Mac; pergerakan radius 10km ditarik balik

    “Manakala Perlis merupakan satu-satunya negeri yang kesnya sangat berkurangan dan KKM menyarankan agar statusnya ditukarkan ke Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” ujar Ismail Sabri yang turut memaklumkan KKM akan membuat penilaian risiko sekali lagi dan bakal mengumumkan perkembangan selanjut mengenainya.

    Beliau turut memaklumkan semua SOP dan aktiviti yang dibenarkan seperti mana yang diumumkan sebelum ini adalah masih kekal sama. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai SOP dan aktiviti terbabit, anda boleh terus merujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan, mulai hari ini, kerajaan telah bersetuju untuk menarik balik larangan perjalanan dalam radius 10 kilometer untuk semua negeri termasuk negeri yang terbabit dengan PKP 2.0. Ini adalah kerana banyak sektor ekonomi telah dibuka kembali.

    “Walau bagaimana pun, larangan perjalanan rentas negeri masih dilaksana kecuali mendapat permit kebenaran daripada pihak polis. Ini kerana sebelum ini, rentas negeri banyak menyumbang kepada kenaikan kes dan mencetus kluster baharu. Begitu juga dengan rentas daerah, ia masih tidak dibenarkan,” katanya lagi.

     
     
  • Penggunaan getah beku dalam pembinaan jalan raya bakal lonjakkan harga getah dalam negara – Menteri

    Penggunaan getah beku dalam pembinaan jalan raya bakal lonjakkan harga getah dalam negara – Menteri

    Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berusaha memperluaskan penggunaan getah beku dalam pembinaan jalan raya bagi membantu meningkatkan pengeluaran getah negara, sekaligus turut akan melonjakkan harga bahan berkenaan untuk membantu pekebun kecil, lapor laman berita rasmi kerajaan negeri Terengganu, TRDI.my.

    Menurut laporan tersebut, menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menyatakan bahawa pihaknya telah berbincang dengan Iskandar Regional Development Authority (IRDA) untuk memperluaskan penggunaan Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) dan teknologi turapan bitumen sekerap terubahsuai (CMB) bagi laluan baru sepanjang 20 km yang akan dikembangkan IRDA.

    “Kerjasama ini bagi memperluaskan penggunaan getah beku yang merupakan bahan komoditi utama tempatan sekaligus meningkatkan pengeluaran getah serta harganya di pasaran.

    “Walaupun penggunaannya untuk peringkat awal lebih mahal iaitu sekali ganda kos asal, tetapi ia memberi keuntungan jangka masa panjang dari segi penyelenggaraan kerana lebih tahan. Itu hasrat kita,” katanya dalam sidang media ketika menyantuni beberapa keluarga berbangsa Tionghua di Taman Wakaf Tembesu, 13 Februari lalu.

    Penggunaan getah beku dalam pembinaan jalan raya bakal lonjakkan harga getah dalam negara – Menteri

    Menteri berkenaan turut menyatakan bahawa teknologi tersebut sebenarnya telah diperkenalkan sebelum ini, namun perlu diperluaskan lagi.

    “Sebelum ini, teknologi CMA dan CMB sudah berjaya digunakan bagi jalan selenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR) sepanjang 200 km.

    “Kita berhasrat melaksanakannya bersama kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kerajaan negeri bagi pembangunan jalan-jalan kampung,” katanya.

    Khairuddin menyatakan bahawa harga getah tidak boleh dikawal kerana ia bergantung kepada harga dunia. Namun dengan usaha sebegini, ia dapat membantu pekebun kecil kerana syarikat yang terlibat dengan pembinaan jalan raya akan membeli bahan berkenaan dengan harga lebih tinggi.

    “Sekarang kita bergantung kepada harga dunia yang tidak boleh dikawal. Tetapi untuk pembelian dalam negara oleh syarikat yang membekalkan CMA dan CMB, kita mahu mereka membeli dengan harga tinggi daripada pengusaha kecil dan ini akan meningkatkan pengeluaran getah beku kita,” katanya.

     
     
  • BMW 3 Series Gran Sedan G28 dilancarkan di Thailand – varian tunggal 330Li M Sport, harga dari RM392k

    BMW 3 Series Gran Sedan G28 dilancarkan di Thailand – varian tunggal 330Li M Sport, harga dari RM392k

    Selepas India, Thailand juga menjadi satu lagi negara yang menerima versi pemanduan sebelah-kanan untuk BMW 3 Series G20. Dipanggil 3 Series Gran Sedan G28 di negara berkenaan (dikenali sebagai Gran Limousine di India), model dengan jarak roda panjang ini ditawarkan dengan varian tunggal 330Li M Sport, dengan harga 2.899 juta baht (RM391,535).

    Ia turut didatangkan dengan pakej BSI Standard dari BMW Thailand dengan merangkumi waranti tiga-tahun/tanpa had perbatuan dan penyelenggaraan percuma selama tiga-tahun/60,000 km. Ia juga menjadikan 330Li M Sport lebih mahal berbanding versi jarak roda standard untuk 3 Series yang dijual di Thailand.

    Berdasarkan pembandingan, varian paling rendah 320d M Sport dijual pada harga 2.549 juta baht (RM344,264), sementara versi plug-in hybrid 330e M Sport pula berharga 2.799 juta baht (RM378,029).

    Seperti yang kita lihat menerusi Gran Limousine di India dan 3 Series LWB di China, G28 berkongsi kelebaran yang sama iaitu 1,827 mm dan setinggi 1,442 mm seperti G20. Walau bagaimana pun, ia lebih panjang sebanyak 110 mm iaitu mencecah 4,819 mm, dan keseluruhan jarak roda pula 2,961 mm berbanding 2,851 mm pada versi standard 3 series.

    BMW 3 Series Gran Sedan G28 dilancarkan di Thailand – varian tunggal 330Li M Sport, harga dari RM392k

    Bagi spesifikasi 330Li, ia ditampilkan dengan unit enjin petrol 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 258 PS (255 hp) dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic Sport lapan-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda belakang, membolehkannya ia dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam 6.2 saat dan kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.

    Bagi ciri kelengkapannya, ia diberikan pakej M Sport secara standard, dengan penampilan yang lebih bergaya termasuk bampar hadapan dan belakang M Aerodynamic dengan corong ekzos yang lebih bergaya. Ia turut dipadankan dengan roda aloi ringan M 18-inci dengan jejari berkembar, rekaan bicolour yang dibaluti tayar 225/45 di hadapan dan 255/40 di belakang.

    Ciri lain yang tersenarai termasuklah lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi, bumbung kaca panoramik, pakej BMW Individual high-gloss Shadow Line, tailgate bukaan elektronik, Comfort Access, sistem Driving Assistant, paparan utama, Parking Assistant Plus dan kawalan kelajuan dengan fungsi brek.

    Di dalamnya, varian ini menerima kulit upholstery Vernasca hitam, dengan jahitan dekorasi Cognac yang dipadankan untuk kemasan luaran hitam karbon atau jahitan Macha dengan Cashmere Silver atau Mineral White.

    Ia juga diberikan kemasan Aluminium Tetragon, sistem pencahayaan ambien, kawalan suhu tiga-zon, tempat duduk hadapan larasan-elektronik dengan fungsi memori, roda stereng kulit M Sport, BMW Live Cockpit Professional, ConnectedDrive, kawalan pergerakan, pengecas tanpa wayar dan juga sistem bunyi sekeliling Harman Kardon.

    Untuk keselamatan, ia diberikan enam beg udara, sistem pasif (kawalan kestabilan, kawalan cengkaman, kawalan brek, ABS, bantuan brek), Cornering Brake Control, perlindungan impak sisi, Kawalan Jarak Parkir dan kamera pandangan sekeliling. Tiada sistem aktif termasuk brek kecemasan sendiri atau kawalan kelajuan aktif disenaraikan.

    Kini India dan Thailand telah menerima kehadiran G28, dengan versi pemanduan sebelah-kanan, adakah Malaysia juga bakal mendapat model ini? Dengan harga yang diletakkan pada kedua-dua negara, adakah kita di sini sanggup bayar lebih berbanding G20 yang telah ditawarkan di sini? Buat masa ini, kita telah menerima varian standard iaitu 320i Sport, 330i M Sport dan 330e M Sport, dengan harga dari RM226,764 hingga RM271,212.