Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda CB650R, CBR650R 2021 tiba di Malaysia – harga RM43.5k dan RM45.5k, suspensi dinaik taraf

    Honda CB650R, CBR650R 2021 tiba di Malaysia – harga RM43.5k dan RM45.5k, suspensi dinaik taraf

    Model Honda CB650R dan CBR650R yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada tahun 2019 kini telah diberikan peningkatan oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd. Dua model ini sekarang dijual pada harga masing-masing RM43,499 dan RM45,499 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Peningkatan utama yang diberikan pada model yang dipanggil sebagai keluaran tahun 2021 ini adalah pada bahagian suspensi, di mana kedua-duanya menggunakan fork USD Showa Separate Function Big Piston (SFF- BP) 41 mm yang mempunyai diameter lebih besar serta prestasi lebih baik berbanding fork sebelum ini.

    Selain daripada itu, terdapat juga pengecas USB yang diletakkan di bawah tempat duduk manakala panel instrumen LCD pula diperbaiki untuk memberikan paparan yang lebih jelas dan mudah dilihat bagi penunggang. Pilihan warna yang disediakan untuk model tahun 2021 ini ada dua, iaitu merah dan hitam matte, bagi kedua-dua model.

    Kelengkapan lain pada model naked dan sports ini masih lagi sama seperti sebelumnya, termasuklah enjin, yang terdiri daripada unit empat silinder DOHC 649 cc bersama gabungan transmisi enam kelajuan (dengan klac jenis slip and assist), untuk menghasilkan kuasa maksimum 94 hp pada 12,000 rpm dan 64 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Barangan lain yang terdapat pada dua model ini adalah termasuk monoshock belakang, brek cakera berkembar 310 mm serta angkup empat piston di hadapan, cakera brek 240 mm di belakang, ABS, HSTC, lampu LED serta tangki bahan api 15.4 liter.

    GALERI: Honda CB650R 2021

    GALERI: Honda CBR650R 2021

     
     
  • Indonesia akan mansuhkan sementara “cukai mewah” bagi kenderaan, usaha rancakkan industri automotif

    Indonesia akan mansuhkan sementara “cukai mewah” bagi kenderaan, usaha rancakkan industri automotif

    Penularan pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan dari satu sisi telah mengurangkan keperluan atau keinginan orang terhadap kenderaan baru. Tetapi, seperti yang dapat dilihat sepanjang tempoh pengecualian cukai SST kenderaan di Malaysia sejak Jun tahun lalu, pelanggan tetap membeli dan memanfaatkan pengecualian berkenaan.

    Kini, Indonesia juga telah umumkan pemansuhan sementara bagi “cukai mewah” yang dikenakan terhadap sebahagian kereta yang dijual di sana, bertujuan untuk membantu melonjakkan serta merancakkan jualan dalam usaha memulihkan keadaan industri automotif di sana.

    Kementerian Ekonomi republik itu memaklumkan, bermula Mac hingga Mei nanti, kerajaan akan memansuhkan cukai mewah bagi jualan sedan dan kereta pacuan dua roda dengan kapasiti enjin di bawah 1,500 cc. Ketika ini, kadar cukai mewah yang dimaksudkan ialada antara 10% hingga 30%, lapor Reuters.

    Indonesia akan mansuhkan sementara “cukai mewah” bagi kenderaan, usaha rancakkan industri automotif

    Bagi tempoh tiga bulan berikutnya sehingga Ogos, pihak berkuasa di sana akan memberi diskaun 50% bagi bayaran cukai mewah, dan tiga bulan berikutnya bakal menyaksikan diskaun berkenaan menjadi separuh lagi daripada kadar tersebut. Semua ini bertujuan sebagai pemangkin aktiviti jualan kenderaan. Kementeriannya juga memaklumkan skim sementara ini akan dinilai setiap tiga bulan.

    Kementerian itu juga menyatakan bahawa industri automotif adalah sebuah komponen penting dalam ekonomi Indonesia, kerana pengeluar, pengedar dan bengkel jika digabungkan telah menyediakan pekerjaan kepada 1.5 juta orang. Insentif cukai ini boleh merancakkan pengeluaran sebanyak 81,752 unit lagi, ujarnya.

    Jualan kenderaan di negara terbesar dan paling ramai warga di ASEAN itu telah pulih selepas kejatuhan menjunam ketika diawal waktu pandemik, tetapi masih belum sampai ke tahap sebelum Covid. Jualan kenderaan di Indonesia pada tahun 2020 adalah sekitar 532,000 unit, hampir separuh jika dibandingkan dengan angka tahun 2019. Persatuan pengeluar kenderaan Gaikindo telah mendesak kerajaan selama berbulan-bulan untuk memberikan pengecualian cukai ini, untuk menarik lebih banyak perhatian daripada pembeli.

     
     
  • GALERI: Monster Energy Yamaha MotoGP 2021

    GALERI: Monster Energy Yamaha MotoGP 2021

    Sekali lagi bagi musim 2021, jentera YZR-M1 pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP masih lagi akan menggunakan grafik yang sama seperti beberapa tahun sebelumnya. Namun apa yang boleh jelas dilihat berubah pada salah satu jentera itu adalah tiada lagi nombor 46 dan sudah diganti dengan nombor 20.

    Ini adalah nombor perlumbaan Fabio Quartararo yang diserap masuk ke pasukan factory tahun ini dan akan meneruskan saingan bersama rakan sepasukan, Maverick Vinales. Quartararo mula berlumba dalam kategori MotoGP pada tahun 2019 dan pada tahun 2020, beliau mendapat kedudukan di tempat kelapan secara keseluruhan.

    Vinales pula sudah berada dalam pasukan factory sejak tahun 2017, dan sepanjang masa itu, beliau telah beberapa kali mendapat podium dan tempat pertama. Pada tahun lepas, beliau berjaya menamatkan musim di tempat keenam.

    Semasa majlis pengenalan pasukan 2021 ini, Yamaha turut mengumumkan bahawa tugas test rider akan digalas oleh Cal Crutchlow, dan beliau akan menyertai Quartararo serta Vinales di Qatar untuk sesi ujian 5 Mac ini.

    Selain daripada itu, Yamaha juga telah menyambung lagi kontrak mereka dengan Dorna Motorsports untuk menyertai MotoGP World Championship selama lima tahun lagi, iaitu sehingga tahun 2026. Tahun 2021 ini juga menandakan tahun yang ke-60 Yamaha terlibat dalam World Grand Prix, di mana kali pertama mereka menyertainya adalah pada tahun 1961.

     
     
  • Rapid KL uji perkhidmatan bas percubaan laluan Wangsa Maju, Ampang, Puchong ke KL hingga 1 April

    Klik untuk besarkan

    Rapid KL telah mengumumkan tiga ujian perkhidmatan bas percubaan telah pun bermula sejak semalam sehingga 1 April ini. Ia melibatkan laluan E250, E300 dan E600 yang membawa penumpang ke ibu kota Kuala Lumpur pada waktu pagi dan petang pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.

    Menurut Rapid KL, perkhidmatan itu tidak melibatkan hari Sabtu, Ahad dan cuti umum. Dan laluan yang terbabit akan melibatkan perhentian yang terhad untuk mengurangkan masa perjalanan.

    Laluan E250 adalah dari LRT Wangsa Maju ke BSN Lebuh Ampang di KL. Dalam perjalanan, ia akan berhenti di pintu masuk utama UTAR, CIMB Genting Klang, BSN Genting Klang, HKL (barat), HKL (selatan), pasar Chow Kit dan Kompleks Pertama. Ia melibatkan dua perjalanan bermula jam 7 pagi dan 7.30 pagi, sementara bas petang yang bertolak dari Lebuh Ampang bermula jam 5.45 petang dan 6.15 petang. Setiap perjalanan akan mengambil masa lebih kurang 35 minit, apa pun bergantung pada keadaan trafik.

    Klik untuk besarkan

    Manakala laluan E300 pula adalah dari Hab Rapid KL di Sri Nilam ke BSN Lebuh Ampang. Dalam perjalanan ke KL, ia akan berhenti di LRT Ampang, Ampang Point, Citibank (Hotel Intercontinental), KLCC (utara) dan Hotel Renaissance. Dalam perjalanan balik dari KL, ia akan singgah di Munshi Abdullah, Hotel Renaissance, KLCC (pintu masuk utama), Ampang Park, Ampang Point dan LRT Ampang.

    Dua perjalanan akan bergerak dari Hab Sri Nilam iaitu pada 6.30 pagi hingga 7 pagi, sementara bas petang pula akan bertolak dari BSN Lebuh Ampang pada 5 petang hingga 5,30 petang. Setiap perjalanan adalah sekitar 40 minit, juga bergantung pada keadaan trafik.

    Klik untuk besarkan

    Akhir sekali, laluan E600 pula adalah dari terminal Rapid KL di Puchong Utama ke Pasar Seni. Sepanjang perjalanan ke KL, ia akan berhenti di Tesco Extra Puchong, IOI Mall, Taman Bukit Kuchai, OUG Parklane, Pearl Point, Mid Valley dan KL Sentral. Manakala perjalanan pulang pula akan berhenti di Brickfields (Petron), Komersial Taman Seputeh (Mid Valley), Pearl Point, OUG Parklane, Jejantas Taman Kinrara, Skypod Residence dan Setia Walk.

    Ia akan melibatkan dua perjalanan dari terminal Puchong Utama iaitu pada jam 6.20 pagi dan 6.45 pagi, sementara bas petang yang bertolak dari Pasar Seni pula pada 6.15 petang dan 6.45 petang. Setiap perjalanan dijangka mengambil masa sekitar 45 minit ke satu jam, bergantung pada keadaan trafik. Klik imej di atas dan muat turun untuk rujukan anda sekiranya anda ingin mencuba bas perjalanan pantas ini.

     
     
  • Porsche tak berhasrat pasang kereta di China, percaya pelanggan masih inginkan status “Made in Germany”

    Porsche tak berhasrat pasang kereta di China, percaya pelanggan masih inginkan status “Made in Germany”

    Bagi pembeli, adakah penting di mana sesebuah kereta itu dipasang? Nampaknya, untuk Porsche jawapannya ya, terutama bagi pelanggan di China. Sehinggakan jenama itu terpaksa melupakan idea untuk memasang kereta di sana — sebuah pasaran yang paling besar dan menguntungkan bagi Porsche — walaupun ada potensi luas untuk meningkatkan jualan melalui langkah sedemikian.

    Seperti dilaporkan oleh Financial Times, pengeluar yang berpusat di Stuttgart, Jerman itu memaklumkan tidak akan membina kilangnya di China walaupun menghadapi kesukaran untuk mengeksport kereta sport buatan Jerman ini bagi memenuhi permintaan yang melonjak dari Asia, seperti yang disaksikan penghujung lalu.

    China ialah pasaran besar bagi syarikat itu, yang menyumbang sebanyak 40% keuntungan Volkswagen Group. 10 tahun lalu, jenama itu menjual kurang daripada 100,000 unit untuk pasaran global. Namun, tahun lalu sahaja Porsche menjual 272,162 unit kereta, dengan 90,000 daripadanya untuk pasaran China — satu-satunya pasaran besar yang mencatatkan pertumbuhan sepanjang pandemik 2020.

    Bagaimanapun, CEO Porsche, Oliver Blume, yang juga merupakan ahli lembaga pengarah syarikat induknya Volkswagen, berkata Porsche tidak memiliki alasan kukuh untuk mengeluarkan kenderaan di China. “Ia tidak masuk akan untuk memindahkan pengeluaran ke sana kerana ia masih lagi dirasakan perlu untuk memberikan kualiti dan tahap premium pengeluaran Eropah untuk pasaran China,” ujarnya.

    Porsche tak berhasrat pasang kereta di China, percaya pelanggan masih inginkan status “Made in Germany”

    Tambah beliau, berbaloi untuk menanggung kos yang lebih tinggi untuk mengekalkan status “Made in Germany” bagi jenama itu dalam kalangan pembelinya. “Ini juga maklum balas yang kami terima daripada pengedar dan pelanggan,” jelasnya.

    Memberi contoh model elektrik sepenuhnya Porsche Taycan, yang dipasang di kilang yang sama dengan model 911 di Zuffenhausen, Blume berkata ini menghantar isyarat jelas kepada pelangggan. Model berkenaan terjual sebanyak 20,000 unit tahun lalu, dengan status “kejuruteraan dan buatan Jerman”.

    Bagaimanapun, Blume masih yakin ketika ini oeprasi di Eropah merupakan “situasi menang-menang” bagi Porsche dan “menghantar isyarat kuat untuk pelaburan” di rantau berkenaan, beliau memaklumkan daya pasaran tetap boleh mengubah jejak global kumpulan syarikat itu di masa hadapan. “Dalam tempoh 10 tahun, saya tak tahu. Ia banyak bergantung kepada jumlah yang dibangunkan serta peraturan di setiap negara,” tambahnya.

    Semua ini susulan kepada laporan sebelum ini yang menyatakan Porsche bakal membina kilang pemasangan dan operasi di Malaysia. Bukanlah kali pertama Porsche memasang kenderaannya di tempat lain, misalnya Cayenne yang dipasang di kilang Volkswagen di Slovakia, tetapi ini akan menjadi kilang pertama Porsche di luar Jerman. Bagaimanapun, kilang di Malaysia kelak mungkin sekadar melibatkan operasi pemasangan ringkas.

     
     
  • Mercedes-AMG C63 – tiada lagi enjin V8 untuk model selepas ini, diganti dengan 4-silinder sebaris hibrid

    Mercedes-AMG C63 – tiada lagi enjin V8 untuk model selepas ini, diganti dengan 4-silinder sebaris hibrid

    Ini mungkin berita yang tidak berapa menggembirakan untuk peminat Mercedes-AMG, dan peminat automotif secara amnya – menerusi temu ramah dengan laman Car and Driver, ketua jurutera untuk projek Mercedes-Benz C-Class generasi selepas ini, Christian Früh telah mengesahkan bahawa kesemua varian model dengan kod W206 tersebut hanya akan menerima enjin empat-silinder sebaris.

    Ini bermakna varian-varian prestasi Mercedes-AMG seperti C43 dan juga C63 juga tidak lagi akan diberikan enjin 3.0L V6 biturbo dan juga V8 4.0L biturbo seperti model sedia ada, dan akan turut digantikan dengan enjin empat-silinder sebaris.

    Namun untuk Mercedes-AMG C63, Früh menyatakan bahawa ia masih akan menjana lebih dari 500 hp dengan bantuan kuasa elektrik menerusi sistem hibrid. Angka yang dinyatakan ini sememangnya tidak mustahil untuk dicapai kerana enjin 2.0 liter turbo M139 pada Mercedes-AMG A45 S W177 sedia ada sudahpun boleh mencapai 421 PS/500 Nm, dan tambahan 100 PS menerusi motor elektrik adalah angka yang agak biasa buat masa sekarang.

    Mercedes-AMG C63 – tiada lagi enjin V8 untuk model selepas ini, diganti dengan 4-silinder sebaris hibrid

    Jadi tidak mustahil untuk Mercedes-AMG C63 generasi baharu nanti akan menghasilkan kuasa yang lebih besar dari model generasi sedia ada yang menjana 510 PS dan tork maksima 700 Nm. Walau bagaimanapun, masih belum diketahui apa yang Mercedes-AMG akan buat bagi menggantikan sensasi pemanduan terhasil dari bunyi V8 yang akan hilang pada model baharu itu nanti.

    Mercedes-Benz telah pun mendedahkan rupa model standard C-Class W206 generasi baharu ini dengan berberapa bahagian yang masih diselindungkan pelekat penyamaran. Berberapa perincian juga telah ditunjukkan antaranya berberapa teknologi dari S-Class generasi baharu termasuk skrin sistem MBUX lebih besar diletakkan condong pada konsol tengah. Model standard ini bakal didedahkan sepenuhnya pada 23 Februari nanti.

    GALERI: Mercedes-Benz C-Class W206 2021

     
     
  • Wanita lebih mudah cedera teruk dalam kemalangan — hal ini disebabkan oleh pemilihan jenis kenderaan

    Wanita lebih mudah cedera teruk dalam kemalangan — hal ini disebabkan oleh pemilihan jenis kenderaan

    Jika terlibat di dalam kemalangan kenderaan, wanita lebih cenderung untuk cedera teruk. Bagaimanapun, itu bukanlah disebabkan oleh perbezaan fizikal antara lelaki dan perempuan, sebaliknya oleh kenderaan yang dipilih serta keadaan ketika kemalangan. Ini hasil pemerhatian yang didedahkan oleh Insurance Institute for Highway Safety (IIHS).

    Institut berkenaan mendapati, walaupun lelaki lebih ramai terlibat di dalam kemalangan teruk,kebarangkalian wanita terbunuh adalah 20-28% dan 37-73% lebih cenderung untuk cederah teruk bagi satu perlanggaran, selepas pelarasan bagi kelajuan dan faktor-faktor lain diambil kira.

    Bagaimanapuan, ketika perbandingan itu dihadkan kepada kemalangan yang sama, percanggahan atau perbezaan peratusan itu tidak berlaku, dan peningkatan dalam ketahanan kenderaan ketika kemalangan memberikan manfaat secara setara kepada lelaki mahupun wanita. Hal ini menjurus kepada pemilihan kenderaan sebagai faktor, menurut laporan berkenaan.

    Wanita lebih mudah cedera teruk dalam kemalangan — hal ini disebabkan oleh pemilihan jenis kenderaan

    “Angka yang ada menunjukkan wanita lebih kerap memanda kereta yang lebih kecil dan ringan, dan wanita lebih kerap memandu kenderaan yang terlibat dengan hentaman sisi dan hentaman perlanggaran depan-ke-belakang kenderaan lain. Dengan mengambil kira perkara itu, perbezaan kebarangkalian kecederaan itu berkurang dengan ketara,” ujar Naib Presiden Kajian Kenderaan IIHS, Jessica Jermakian.

    Percanggahan terhadap risiko kecederaan antara lelaki dan wanita ini telah menimbulkan gesaan baru untuk menggunakan patung kemalangan yang baru di dalam ujian yang dilakukan, yang menterjemah atau mencerminkan bagaimana tubuh wanita bertindak terhadap daya hentaman yang terhasil ketika kenderaan terlibat dalam kemalangan. Begitu juga dengan perubahan lain terhadap set ujian yang dijalankan, dengan mengenal pasti apa yang perlu dilakukan terhadap hal tersebut.

    Data bagi laporan ini diperoleh daripada kejadian yang dilaporkan kepada polis antara tahun 1998 hingga 2015, yang mana kecederaan terhadap lelaku dan wanita yang terlibat di dalam kemalangan dianalisa.

    Wanita lebih mudah cedera teruk dalam kemalangan — hal ini disebabkan oleh pemilihan jenis kenderaan

    Bagi perlanggaran depan, berbanding dengan lelaki, wanita didapati tiga kali lebih cenderung untuk mengalami kecederaan sederhana seperti patah tulang atau gegaran, dan dua kali lebih mudah untuk mengalami kecederaan serius seperti kegagalan paru-paru atau kecederaan trauma otak, jelas laporan itu.

    Dalam kemalangan sisi pula, kedua-dua lelaki dan wanita merekodkan data yang hampir sama bagi kecederaan sederhana, sementara wanita pula 50% lebih mudah untuk secedera serius dalam keadaan hentaman seperti itu. Analisisi ini diulang dengan jumlah set terhad kemalangan hentaman depan yang “serasi” bertujuan untuk menentukan berapa banyak perbezaan atau percanggahan yang berlaku itu disebabkan oleh perbezaan fizikal antara lelaki dan wanita.

    Subset berkenaan hanya untuk kemalangan kenderaan tunggal, serta kemalangan melibatkan dua kenderaan di mana saiz dan berat kenderaan adalah sama, atau konfigurasi kemalangan di mana perbezaan saiz dan berat kenderaan tidak memainkan peranan penting dalam kejadian tersebut. Untuk mengurangkan lagi perbezaan antara kemalangan, hanya data bagi kenderaan dengan beg udara depan diaktifkan sahaja digunakan.

    Wanita lebih mudah cedera teruk dalam kemalangan — hal ini disebabkan oleh pemilihan jenis kenderaan

    Penghadan contoh ini kepada kemalangan berdepan yang serasi mengurangkan perbezaan hasil dapatan antara lelaki dan wanita. Bagaimanapun, wanita masih didapati dua kali lebih mudah mengalami cedera sederhana, dan agak terdedah untuk mengalami kecederaan serius.

    Analisi yang lebih mendalam pula mendapati kenderaan yang menerima penarafan yang bagus daripada ujian IIHS ujian hentaman depan dan hentaman sisi yang sederhada juga memberikan keputusan perbezaan yang lebih rendah bagi kemalangan antara lelaki dan wanita. Bagi permerhatian daripada ujian hentaman sisi, kenderaan yang mendapat penarafan yang bagus didapati memberi manfaat yang sama kepada lelaki dan wanita dari aspek kecederaan sederhana.

    Dapatan ini adalah selari dengan kajian terdahulu yang mendapati bahawa risiko kencederaan parah yang serius telah berkurang lebih lagi terhadap wanita berbanding lelaki, dengan keadaan kenderaan yang bertambah selamat kini. Untuk itu, satu penjelasan berkaitan kadar kecederaan yang lebih tinggi dicatatkan oleh wanita itu menjurus kepada pemilihan kenderaan yang dibuat, jelas IIHS.

    Wanita lebih mudah cedera teruk dalam kemalangan — hal ini disebabkan oleh pemilihan jenis kenderaan

    Lelaki dan wanita didapati terlibat kemalangan dan cedera ketika berada di dalam minivan dan SUV dalam kadar yang sama, tetapi angka berkenaan menjadi 70% wanita yang kemalangan dalam kereta, berbanding lelaki yang mencatatkan 60% dalam jenis kereta yang sama. Lebih daripada 20% lelaki terlibat dalam kemalangan melibatkan trak pikap berbanding kurang daripada 5% bagi wanita.

    Kesimpulannya, penambahbaikan keseluruhan aspek keselamatan dalam kenderaan memberi manfaat kepada lelali dan juga wanita. “Peraturan yang lebih ketat misalnya untuk memperkukuhkan kerangka utama kenderaan serta memperbaiki tahai tali keledar kenderaan serta beg udara membantu melindungi lelaku dan juga wanita,” ujar Jessica.

     
     
  • Honda mula jual enjin K20C1 VTEC Turbo dari Civic Type R kepada orang awam, untuk apa sahaja projek

    Honda mula jual enjin K20C1 VTEC Turbo dari Civic Type R kepada orang awam, untuk apa sahaja projek

    Honda Performance Development Announces Limited Edition Crate Engine Controls Package

    Pada tahun 2017, Honda Amerika Syarikat menerusi Honda Performance Development (HPD) telah mengumumkan bahawa mereka menawarkan penjualan enjin crate K20C1 VTEC Turbo sama seperti dalam perut Honda Civic Type R, namun program tersebut hanya terhad kepada pasukan-pasukan lumba. Tetapi baru-baru ini, HPD menyatakan bahawa enjin tersebut kini turut dibuka jualan untuk sesiapa sahaja yang berminat untuk membelinya.

    Setiap enjin berkenaan akan datang sekali dengan unit alternator, pengecas turbo dan motor penghidup. Malah dengan pakej baharu ini, HPD menawarkan Control Package untuk pembelian enjin tersebut yang terdiri dari kotak komputer yang dibangunkan HPD, set pendawaian dan juga pedal pendikit.

    Pakej ini memudahkan anda untuk menyumbat enjin K20C1 berkenaan ke atas apa jua platform, manakala kotak komputer istimewa yang dibekalkan berkenaan turut telah diberikan pra-talaan bagi membolehkan ia digunakan pada apa jua jenis kereta lumba. Walau bagaimanapun, HPD menegaskan ia adalah untuk kegunaan luar-lebuhraya/jalan raya awam.

    “Kami di HPD berbangga untuk menawarkan kuasa Honda dalam pakej yang mampu milik dan versatil. Enjin K20C1 kami ini telah memenangi banyak perlumbaan dalam siri kelab dan profesional serta kini ditawarkan untuk kegunaan lebih meluas. Pakej enjin yang datang dalam peti edisi terhad baharu ini merupakan sebahagian dari strategi HPD untuk manfaatkan kepakaran kami bagi faedah peminat Honda dari semua peringkat umur dan kategori sukan permotoran,” kata pengurus HPD Commercial Motorsport, John Whiteman.

    Pakej lengkap enjin ini akan mula dijual pada 1 Mei 2021, dan anda perlu membelinya menerusi pengedar-pengedar rasmi HPD yang baharu sahaja dilantik di Amerika Syarikat. Dengan pembelian unit-unit enjin ini, pelanggan turut boleh menerima sokongan teknikal pakar HPD untuk memasang enjin tersebut pada kenderaan mereka.

    Namun, HPD belum mendedahkan harga jualan untuk pakej baharu ini. Bagi program yang telah berjalan sejak 2017, enjin 2.0 liter DOHC VTEC Turbo berkenaan dijual kepada pasukan-pasukan lumba dengan harga US$6,519.87 (RM26k). Walaupun Honda Civic Type R FK8 diproduksi oleh Honda UK, enjin K20C1 ini sememangnya dihasilkan oleh Honda di Amerika Syarikat, menerusi kilang enjin Honda Anna di Ohio.

     
     
  • Royal Enfield Himalayan dipertingkat untuk tahun 2021

    Royal Enfield Himalayan dipertingkat untuk tahun 2021

    Model jenis kembara keluaran Royal Enfield, iaitu Himalayan telah diberikan peningkatan untuk keluaran tahun 2021. Untuk bahagian badannya, selain daripada tambahan pilihan warna, model ini turut menggunakan tempat duduk, tapak mengangkut barang belakang serta penghadang angin hadapan yang baru.

    Kemudiannya, model keluaran tahun 2021 ini turut dinaik taraf dengan sistem penunjuk arah navigasi selepas ia disambungkan kepada telefon pintar melalui bluetooth. Paparan sistem ini akan muncul pada satu skrin LCD bulat di bahagian instrumen.

    Selain daripada itu, ciri teknikal motosikal ini masih lagi sama, termasuklah enjin iaitu menggunakan unit satu silinder SOHC suntikan bahan api 411 cc bersama padanan kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan 24.5 hp pada 6,500 rpm dan 32 Nm tork pada 4,250 hingga 4,500 rpm.

    Royal Enfield Himalayan dipertingkat untuk tahun 2021

    Suspensi Himalayan menggunakan fork teleskopik 41 mm di hadapan sementara di belakang terdapat monoshock yang mempunyai jarak gerak 180 mm. Brek di kedua-dua bahagian menggunakan jenis cakera bersama sistem ABS dual channel manakala rim pula adalah bersaiz 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

    Secara keseluruhannya Himalayan mencatat berat 194 kg dengan bendalir di dalamnya dan tangki bahan api yang disediakan mempunyai kapasiti 15 liter. Di Malaysia, Himalayan yang dilancar pada tahun 2018 dijual pada harga RM36,880 tidak termasuk insurans.

     
     
  • GALERI: KTM RC16 MotoGP 2021 – sedia ke hadapan

    GALERI: KTM RC16 MotoGP 2021 – sedia ke hadapan

    Satu lagi pasukan MotoGP mendedahkan penampilan jentera mereka yang akan digunakan dalam perlumbaan, iaitu KTM. Sama seperti sebelum ini, empat RC16 akan bersaing dalam perlumbaan berprestij tersebut, dengan dua adalah daripada pasukan Red Bull KTM Factory Racing dan dua lagi daripada pasukan Tech3 KTM.

    Sudah tentu, kedua-dua pasukan ini menggunakan jentera yang berwarna oren, tetapi bagi pasukan utama yang mempunyai kerjasama dengan Red Bull sebagai penaja, logo jenama minuman tenaga itu yang mempunyai warna biru serta kuning diletakkan lebih besar dan jelas. Jentera pasukan Tech3 pula hampir keseluruhannya berwarna oren dan digabungkan dengan warna hitam.

    Bagi pilihan pelumba, khidmat Brad Binder, 25 tahun dan Miguel Oliveira, 26 tahun masih digunakan untuk pasukan utama sementara pasukan Tech3 pula kini menggunakan khidmat daripada Danillo Petrucci, 30 tahun dan Iker Lecuona, 21 tahun.

    “Saya sangat nak tahu bagaimana rasa menunggang jentera RC16 dan mengenali pasukan Tech3. Saya mahu memberikan kembali pengalaman yang saya ada kepada pasukan ini. Saya tahu pelbagai situasi perlumbaan yang boleh terjadi sepanjang tahun dan tiga pelumba yang lain juga sangat laju dan sangat kompetitif,” kata Petrucci.

    “Kami sudah mendapat kemenangan GP pertama musim lalu, tetapi musim baru ini bermula dengan segalanya dari kosong semula. Saya akan rasa gembira sekiranya pada tahun 2021 ini semua pelumba dapat menamatkannya dalam tanpa sebarang kecederaan dan kami boleh mengimbas kembali perlumbaan yang sangat berjaya. Itulah apa yang saya cari,” kata pengarah KTM Motosport, Pit Beirer.

    GALERI: KTM Factory Racing MotoGP 2021

    GALERI: KTM Tech3 MotoGP 2021

     
     
  • Nissan Qashqai 2021 muncul lagi dalam teaser terbaru

    Dalam minggu ini, Nissan bakal memperkenalkan Qashqai generasi ketiga, atau dikenali di US dengan nama Rogue Sport. Dengan tarikh pengenalan 18 Februari yang masih berbaki beberapa hari, pengeluar Jepun ini kini mengeluarkan lagi iklan teaser terbaru.

    Iklan ringkas 15 saat tersebut menunjukkan rekaan baru lampu utama Qashqai, yang hadir dengan perincian bentuk C, bahagian bawah lampu utama serta DRL, semuanya dari jenis LED. Di tengahnya terletak gril V-Motion yang sinonim dengan Nissan, serta bentuk bonet juga lebih bersegi.

    Model ini juga menampilkan skim warna dua-tona, sementara rekaan lampu belakang kini lebih tirus dan tiada lagi bentuk boomerang. Reka bentuk umum Qashqai kelihatan masih dikekalkan, dengan versi generasi terbaru ini tampil lebih berotot dan tegap.

    Selain bahagian luar yang dirombak, kabin dalamannya juga menerima kemaskini. Antaranya penggunaan teknologi yang turut ada pada Pathfinder, termasuklah paparan instrumen digital 12.3-inci, head-up display 10.8-inci dan skrin sentuh sistem infotainmen NissanConnect sembilan-inci.

    Model ini dikhabarkan kekal menggunakan platform Common Modular Family (CMF-C). Walaupun dengan platform yang diulang-guna ini, Nissan memaklumkan Qashqai tetap menawarkan ruang lebih luas untuk penumpang dan barangan mereka.

    Unit enjin pula ialah 1.33 liter turbocas empat-silinder petrol dengan sistem mild hybrid 12-volt, didatangkan sama ada dalam konfigurasi 140 PS/240 Nm dan 160 PS/260 Nm (270 Nm dengan CVT dan AWD).

    Barisan penawaran lain turut termasuk sistem janaan e-Power Range Extender, yang menampilkan motor elektrik 190 PS/330 Nm. Ini dikuasakan dengan pek bateri yan dicas oleh enjin 1.5 liter mampatan boleh ubah 157 PS yang bertindak sebagai generator.

     
     
  • Honda City Hatchback RS Turbo dari Kaeza Shop Thailand – dah boleh ke kita lupakan Honda Jazz?

    Honda City Hatchback RS Turbo dari Kaeza Shop Thailand – dah boleh ke kita lupakan Honda Jazz?

    Seperti yang diketahui, selepas dari model GK5 sedia ada, pasaran ASEAN (kecuali Singapura) kini tidak lagi menerima hatchback Honda Jazz generasi terkini yang sama seperti di Jepun (dikenali sebagai Fit). Sebab itulah model JDM berkenaan kini diberikan imej yang jauh lebih comel tanpa sebarang unsur garang, dan ia turut di bawa ke Eropah, sesuai dengan selera terkini kedua-dua pasaran berkenaan.

    Jadi untuk ASEAN, kita diberikan model yang lebih panjang dan rendah, iaitu Honda City generasi terkini yang di hatchbackkan. Seperti model sedannya, ia terlebih dahulu diperkenalkan di negara yang membangunkan model ini iaitu Thailand, dilancarkan pada November tahun lalu.

    Dalam keadaan standard, mungkin ramai yang kurang berkenaan dengan rupa City Hatchback tersebut. Tapi Honda City Hatchback yang anda lihat dalam gambar yang diambil oleh laman Facebook Racing King ini telahpun diberikan sedikit sentuhan Kaeza Shop Thailand – sekarang macam mana? Sudah jatuh hati dengan model ini?

    Honda City Hatchback RS Turbo dari Kaeza Shop Thailand – dah boleh ke kita lupakan Honda Jazz?

    City Hatchback Kaeza Shop ini diasaskan dari varian tertinggi RS Turbo pasaran Thailand. Dalam keadaan standard ia telah pun dibekalkan dengan kemasan hitam pada gril, antena sirip jerung, spoiler belakang, penutup cermin sisi, elemen diffuser pada bampar belakang dan perumah lampu kabus.

    Kaeze Shop cuma memberikan perincian tambahan yang cukup minima pada bahagian luaran City Hatchback ini termasuk spoiler bawah bampar hadapan kemasan hitam berkilat, serta penutup cermin sisi dan antena sirip yu di atas bumbung yang diperbuat dari gentian karbon.

    Apa yang benar-benar membuatkan imej hatchback ini berubah kerana badannya kini lebih rapat ke permukaan jalan raya menerusi pemadanan set suspensi boleh laras sepenuhnya H-Drive Racing S Spec buatan Thailand, bersama set rim Rays Engineering TE37 berdiameter 15-inci, disalut tayar Toyo Proxes R888R bersaiz 205/50R15. Roda hadapan turut menyerlahkan sistem brek lebih besar terdiri dari angkup D2 dan cakera jenis terapung yang ditebuk.

    Kesemua varian City Hatchback di Thailand menerima enjin 1.0 liter (998 cc) tiga-silinder VTEC Turbo menghasilkan 122 PS dan tork maksima, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik Earth Dreams. Unit demo RS Turbo dari Kaeza Shop ini pula menampilkan berberapa ubahsuai ringan seperti talaan semula dengan komputer piggy back popular di Thailand iaitu ECU Shop Power Box, penstabil voltan KT-56, dan juga satu lagi produk tempatan Siam iaitu muffler sport AZC Titanium.

    Pada bahagian dalaman, tempat duduk hadapan asal telah digantikan dengan sepasang tempat duduk bucket Recaro CS Sportster. Kaeza Shop juga turut memadankan paparan pelbagai info tambahan Defi ZD bersama meter boost turbo juga dari Defi.

    Ramai dah jiwa kacau tengok City Hatchback dari negara jiran ni? Boleh dah kot mula menyimpan sikit-sikit untuk duit pendahuluan dan aksesori bila model ini dilancarkan di Malaysia kelak. Tapi sama seperti versi sedan, City Hatchback pasaran Malaysia mungkin turut hanya dijana oleh enjin 1.5 NA DOHC i-VTEC, menghasilkan 121 PS dan tork maksima 145 Nm.

     
     
  • Geely susun 2,089 unit Emgrand untuk rekod CNY

    Geely susun 2,089 unit Emgrand untuk rekod CNY

    Selamat Tahun Baru Cina kepada yang merayakan! Dan, ucapan yang sama dibuat oleh Geely Emgrand Official Clubs (China); cumanya mereka menggunakan susun atur kereta sebenar dan percubaan untuk mencatatkan Guinness World Records sekali gus.

    Lebih daripada 1,000 unit kereta Geely Dihao (Emgrand) dikumpulkan di kilang pemasangan kedua Geely di Cixi, Zhejiang. Kelab peminat itu kemudiannya menggunakan sebanyak 750 kereta untuk membentuk kepala banteng/kerbau, dan memecahkan Guinness World Records bagi mosaik kereta terbesar. Simbol berkenaan tentunya bagi menyambut CNY tahun ini.

    Selain lambang kepala kerbau berkenaan, perkataan “2021 Chinese Ox” juga disusun untuk menyambut tahun baru berkenaan, dengan total 1,339 kereta digunakan. Menurut Guinness World Records, kereta Emgrands berkenaan diletakkan untuk tempoh lebih 30 jam, dengan kereta berwarna gelap digunakan untuk bahagian kepala kerbau dan tulisan, sementara kereta putih sebagai latar.

    Menurut garis panduan rekod berkenaan, mosaik tersebut mestilah menampakkan corak yang jelas. Jarak antara kereta pula tidak boleh melebihi 20 cm, dan mosaik perlu meliputi minimum kawasan 3,000 meter persegi. Selepas pemeriksaan, mosaik Geely ini menggunakan seluas 7,070.26 meter persegi.

     
     
  • Proton akan lancar 4 model edisi terhad 18 Feb ini; Saga & Iriz R3, Persona & Exora Black Edition

    Proton akan lancar 4 model edisi terhad 18 Feb ini; Saga & Iriz R3, Persona & Exora Black Edition

    Selepas berberapa gambar spyshot tersebar minggu lalu, akhirnya Proton mengumumkan bahawa mereka bakal melancarkan empat model edisi terhad pada 18 Februari ini iaitu Saga, Iriz, Persona dan MPV Exora. Mereka yang berminat untuk memiliki model-model istimewa berkenaan turut sudah boleh mendaftarkan minat atas talian menerusi PAUTAN INI.

    Menerusi laman pendaftaran minat berkenaan, boleh dilihat bahawa Saga dan Iriz akan dihasilkan sebagai edisi istimewa sayap perlumbaan Proton iaitu Saga R3 dan Iriz R3. Manakala Persona dan Exora pula akan dihasilkan dalam versi Black Edition.

    Merujuk kepada gambar-gambar spyshot yang tular sebelum ini, Saga dan Iriz berkenaan akan dihasilkan sebagai tribute kepada dua jentera lumba touring M Production Proton R3 yang berlumba dalam kejohanan Malaysian Championship Series (MCS) dan juga Sepang S1000KM (S1K).

    Untuk Saga R3, ia menerapkan elemen yang sama dengan model edisi terhad Saga Anniversary Edition yang dilancarkan pada tahun lalu – menampilkan warna badan hitam bersama pelbagai serlahan warna rasmi pasukan Proton R3 iaitu kuning.

    Proton Iriz R3 turut menampilkan skema warna yang sama. Menerusi gambar spyshot juga dapat dilihat Iriz dan Saga R3 berkenaan turut mengenakan pelekat jalur sisi badan pada pintu. Dan pada Iriz, kita boleh lihat jalur tersebut turut memaparkan nombor 83, iaitu nombor perlumbaan sebenar Iriz yang dipandu oleh Farique Hairuman dan Mitchell Cheah di ketika menang dalam S1K dua tahun lalu.

    Ingat lagi logo ‘laurel wreath’ yang menyatakan kemenangan Proton R3 dalam perlumbaan seperti pada model istimewa Proton Waja dan Gen2 Merdeka Millennium Endurance (MME) satu ketika dahulu? Ia turut dipadankan pada Iriz dan Saga R3 ini, dilekatkan cermin suku belakang.

    Apa yang menarik lagi, Iriz R3 ini tidak dipadankan dengan rim bersaiz 15-inci seperti model 1.6 Exec dan Premium. Ia nampaknya diberikan rim 16-inci yang mungkin diambil dari Proton Satria Neo CPS sebelum ini. Namun untuk Saga, ia masih tampil dengan rim 15-inci seperti Anniversary Edition terdahulu.

    Di belakang, imej yang paling jelas kelihatan adalah pada Saga. Tiada perubahan ketara, perbezaan yang boleh dilihat adalah pada emblem di mana logo ‘Saga’ pada sebelah kanan penutup but digantikan dengan logo R3 berwarna kuning. Dengan mengambil kira faktor kos R&D dan juga homologasi kepada pihak berkuasa, berkemungkinan besar tiada sebarang tambahan kuasa akan diberikan pada Saga dan Iriz R3 ini seperti model-model prestasi R3 sebenar seperti Satria R3 atau Satria Neo Lotus Racing, dan ia lebih bersifat hanya kosmetik seperti Satria Neo R3 2013-2015.

    Untuk Persona dan Exora Black Edition pula, masih belum ada sebarang perincian mahupun gambar spyshot yang tersebar. Namun boleh dijangka ia juga akan menerima warna badan hitam, dan berdasarkan gambar teaser yang disiarkan serlahan-serlahan kuning mungkin akan digantikan dengan warna oren.

     
     
  • Kematian akibat kemalangan jalan raya berkurangan menerusi PKJRM 2014-2020 – turun 4.8% setahun

    Kematian akibat kemalangan jalan raya berkurangan menerusi PKJRM 2014-2020 – turun 4.8% setahun

    Menerusi Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia Tahun 2014-2020 (PKJRM 2014-2020), Kementerian Pengangkutan berjaya mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya pada setiap tahun. Di mana ia menyaksikan penurunan kadar kematian mencecah 4.8% setahun bagi tempoh 2016 hingga 2019, laporan Bernama.

    Menurut kementerian terbabit, pada 2016 sebanyak 7,152 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan dan menurun kepada 6,167 pada 2019.

    “Sasaran penurunan indeks kematian juga dicapai iaitu daripada 3.4 pada 2010 kepada 1.97 pada 2019 (sasaran pelan ialah 2.0). Pencapaian dan kejayaan PKJRM 2014-2020 merupakan hasil kerjasama dan sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan semua lapisan masyarakat,” ujar kenyataan kementerian itu tempoh hari.

    Tambahnya lagi, kesemua program, inisiatif dan langkah intervensi di bawah PKJRM 2014-2020 akan diteruskan dan ditambah baik dalam PKJRM 2021-2030 yang sedang digubal dan dijangka dilancarkan pada suku ketiga 2021.

    Berdasarkan statistik 2010 hingga 2019 yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), secara purata, lebih 500,000 kes kemalangan jalan raya dilaporkan melibatkan hampir 7,000 kematian pada setiap tahun.

    Kematian akibat kemalangan jalan raya berkurangan menerusi PKJRM 2014-2020 – turun 4.8% setahun

    “Setiap kemalangan jalan raya akan melibatkan kos yang besar kepada negara termasuk kos perubatan, kos pembaikan infrastruktur, peningkatan kos menjalankan perniagaan dan kos akibat kehilangan produktiviti.

    “Kos paling besar ialah kehilangan nyawa yang akan memberi kesan sosial yang negatif kepada waris atau keluarga mangsa, justeru itu kementerian memperkenalkan PKJRM 2014-2020,” demikian menurut kenyataan tersebut.

    Selain itu, PKRJM diwujudkan selari dengan usaha di peringkat global bagi menangani isu keselamatan jalan raya di bawah Tindakan Sedekad bagi Keselamatan Jalan Raya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2011-2020.

    Di mana objektif utama PKJRM 2014-2020 ialah mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya hingga 50% menjelang 2020, serta pengurangan indeks kematian bagi setiap 10,000 kenderaan kepada 2.0 pada 2020 berbanding 3.4 pada 2010.

    Berdasarkan analisis data kemalangan dalam situasi tiada sebarang langkah intervensi dilaksanakan, kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini dijangka meningkat sebanyak 56% iaitu daripada 6,872 kematian pada 2010 kepada 10,716 kematian pada 2020.

     
     
  • Harga minyak 13-19 Februari- Semuanya naik lagi

    Harga minyak 13-19 Februari- Semuanya naik lagi

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan kenaikan harga minyak petrol dan diesel bagi minggu bertarikh 13 hingga 19 Februari 2021. Di mana petrol mengalami kenaikan harga sebanyak tiga sen seliter, manakala peningkatan empat sen seliter bagi diesel.

    Petrol RON 97 kini berharga RM2.26 seliter berbanding RM2.23 seliter pada minggu sebelum ini. Manakala RON 95 pula menjadi RM1.96 seliter berbanding RM1.93 seliter sebelum ini.

    Untuk diesel pula, menjadi RM2.15 seliter bagi gred Euro 2M dan untuk Euro 5 pula berharga RM2.25 seliter.

    Kesemua harga ini efektif mulai 12.01 tengahmalam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 19 Februari 2021.

     
     
  • Jenama luar rebut 38% perkongsian pasaran M’sia — prestasi sedekad Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Jenama luar rebut 38% perkongsian pasaran M’sia — prestasi sedekad Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Jenama pengeluar kenderaan nasional, Proton dan Perodua untuk tahun lalu kembali menunjukkan gabungan penguasaan yang semakin meningkat dengan mencatatkan 62.1% daripada keseluruhan TIV. Ini angka tertinggi yang pernah dicapai sejak tahun 2003.

    Kiranya, enam daripada setiap 10 kereta yang dibeli di Malaysia tahun lalu ialah kereta Proton atau Perodua. Ini juga bermakna, bahagian dalam pasaran untuk kenderaan pengeluar bukan nasional semakin mengecil. Dengan rekod tertinggi penguasaan pasaran sebanyak 53% pada tahun 2014, yang ketika itu menyaksikan jenama luar memintas angka Proton dan Perodua buat kali pertama, corak berkenaan bertahan sehingga 2018 (51%).

    Bagaimanapun, kebangkitan semula Proton pada tahun 2019-2020 telah menyebabkan penguasaan jenama kenderaan bukan nasional semakin mengecil; peratusan itu telah menyusut kepada 38% tahun lalu, dan tahap paling rendah yang pernah direkodkan ialah pada 2003 dengan 34% sahaja. Untuk membaca lebih lanjut latar belakang ini, boleh rujuk laporan sebelum ini.

    The Power of Dreams

    Dalam kisah turun-naik jenama luar ini, watak utamanya ialah Honda. Sejak Honda Malaysia mula beroperasi pada 2003, mungkin tak pernah terlintas dalam fikiran mereka untuk satu hari nanti memintas kedudukan Toyota di Malaysia. Apalagi untuk mengatasi Proton dan berada di kedudukan kedua keseluruhan dalam carta jualan.

    Jenama luar rebut 38% perkongsian pasaran M’sia — prestasi sedekad Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Sesuai dengan tagline “The Power of Dreams” yang digunakan, Honda akhirnya berhasil melakukan hal itu, mengatasi Toyota untuk menjadi jenama luar nombor satu di sini pada 2105 dan berjaya dipertahankan sejak itu. Kemudian, pada 2016, Honda mengasak lagi dan melakukan apa yang sebelum itu tidak terduga oleh ramai orang; jenama itu memintas pula Proton untuk berada di kedudukan kedua keseluruhan, dan itu berjaya dipertahankan hingga 2018.

    Lengkuk peningkatannya agak tinggi, seperti dalam graf. Tahun 2012, Honda menjual kurang kenderaan berbanding Nissan, dan walaupun kedua-duanya menunjukkan peningkatan pada tahun 2013, Honda tetap mengakhiri tahun berkenaan di belakang Nissan (51,544 vs 53,156). Toyota pula ketika itu sebaliknya sedang menikmati masa terbaik, dengan melepasi angka jualan 100k (105,151 pada 2012 dan 102,035 pada 2014). Namun, dua tahun selepas itu, Honda mula merampas kedudukan Toyota untuk berada di tempat pertama jenama luar untuk pasaran Malaysia.

    Bagaimana itu berlaku? Jawapannya ialah Honda City generasi keempat, yang diperkenalkan pada Mac 2014, yang memberi lonjakan semula yang diperlukan untuk itu. Sedan berkenaan benar-benar merubah landskap segmen B waktu itu, dan kemudiannya diikuti pula oleh model Jazz. Kedua-dua pengenalan terbaru itu melonjakkan jualan Honda sehingga 50% dalam 2014. Tahun berikutnya menjadi tahun penuh yang pertama untuk jualan kedua-dua model tersebut, dan jumlahnya meningkat lagi sebanyak 22%. Model berkenaan seterusnya menjadi generasinya yang paling laris sepanjang jangka hayatnya dalam pasaran.

    Agak bertenang beberapa tahun selepas itu, 2017 kembali menjadi tahun Honda. Jenama ini mencatatakan jualan 109,511 unit (naik 19%), bukan hanya catatan terbaiknya tetapi juga merupakan angka tahunan tertinggi yang pernah dicapai bagi jenama bukan nasional di Malaysia. Tanpa kehadiran model pikap dalam barisan jualannya seperti pesaing lain yang ada menjadikan semua ini lebih mengkagumkan lagi.

    Jenama luar rebut 38% perkongsian pasaran M’sia — prestasi sedekad Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Pada 2017, Honda bermula awal dengan melancarkan BR-V, sebelum City dan Jazz datang dengan versi facelift (varian Hybrid ditambah). Generasi semasa CR-V pula ikut serta pertengah tahun itu, sementara 2017 juga merupakan tahun penuh pertama jualan Civic FC yang diperkenalkan pertengahan 2016. Namun, kembalinya momentum jualan jenama nasional ketika ini akan menyukarkan Honda mencapai angka seperti itu selepas ini.

    Apa yang naik, pasti akan turun. Maka pada tahun 2018, jumlah jualannya menurun sebanyak 6.6% walaupun masik kekal di atas angka 100k unit. 2019 merupakan tahun yang bermasalah untuk Honda, yang terkesan teruk akibat penangguhan pengeluaran. HR-V facelift tergendala, begitu juga dengan Civic facelift yang terpaksa dianjak pelancarannya; patut keluar pada 2019, namun hanya dapat diperkenalkan pada Februari 2020, dan kemudian berdepan pula dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jualan Honda jatuh ke tahap terendah dalam tempoh lima tahun dengan hanya 85,418 unit.

    Dahulu, jenama Jepun akan cuba bersaing dengan segmen Proton dan Perodua, dengan menawarkan model peringkat kemasukan yang tidak jauh beza harga, tetapi kini sudah terbalik. Proton melalui model Geely saja sudah terarah kepada produk yang lebih premium — X50 dan X70 kini merupakan pesaing langsung bagi HR-V dan CR-V, dengan kelebihan tanda harga bagi model jenama nasional itu. Tanpa penawaran Proton ini, tentunya pelanggan yang mahukan SUV akan mencarinya dari Honda.

    Bagi Jazz pula, kita boleh saja gandingan saingannya kepada Myvi juga. Perodua merapatkan lagi jurang penguasaan Honda dalam segmen berkenaan melalui pengenalan Myvi generasi ketiga pada hujung 2017. Apa saja kekurangan Myvi berbanding Jazz dari segi kehadiran jenama serta kualiti buatan lainnya ditimbal balik dengan senarai kelengkapan yang mengkagumkan. Dijual pada harga RM20k lebih murah berbanding Jazz S yang paling asas, Myvi AV yang paling lengkap mendahului model Honda itu dari beberapa aspek (misalnya lampu LED, skrin sentuh dan AC digital) serta ciri keselamatan (enam beg udara berbanding empat, VSA, AEB).

    Jenama luar rebut 38% perkongsian pasaran M’sia — prestasi sedekad Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Tidak selamanya pengeluar mampu memerkenalkan model laris yang mendapat sambutan sepanjang masa. Kadang kala kitaran hayat pelbagai model tepat pada masanya, ataupun pesaing tidak berada dalam keadaan terbaik mereka; dengan gandingan itu, Honda Malaysia berhasil meraih pencapaian yang sukar, yang mungkin tidak dapat lagi dicapai selepas ini.

    Walaupun kekal sebagai jenama luar nombor satu di Malaysia tahun lalu, jumlah 60,468 unit dari Honda yang terjual pada 2020 adalah yang paling rendah sepanjang sejarah syarikat itu bersaing dengan Nissan. Mungkinkah ada jalan untuk kembali tumbuh? Itu perlu dilihat tahun ini, memandangkan ia merupakan tahun penuh yang pertama bagi jualan City terbaru, dan juga model gantian Jazz, City Hatchback mungkin akan menjadi senjata terbaru jenama itu di sini.

    Bagaimana dengan Toyota?

    Adakah jika jualan bagi jenama luar yang menduduki tempat pertama seperti Honda menurun, jualan jenama luar lain juga akan menurun? Tidak begitu. Tahun suram buat Toyota berlangsung dari 2014-2016, dan beberapa tahun terakhir ini keadaannya bertambah baik seperti sedia kala. Dan jualan mereka agak memberangsangkan sehinggalah muncul Nissan Almera N17 yang telah menyumbang kepada penurunan semula jualan.

    Seperti yang dapat dilihat dalam graf, Toyota berada pada kedudukan yang baik pada separuh pertama dekad lalu, bahkan telah melepasi angka jualan 100k sebanyak dua kali. Namun, sejak mula tewas pada Honda pada 2015, jualannya terus menguncup — 2016 menyaksikan jualan jatuh sebanyak 32% kepada 63,757 unit, dan angka jualannya kekal sekitar 60k-70k unit sejak itu. Pada 2020, ia jatuh sedikit lagi kepada 58,501 unit.

    Jenama luar rebut 38% perkongsian pasaran M’sia — prestasi sedekad Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Faktor yang memainkan peranan utama bagi pengeluar kenderaan di sini ialah sedan segmen B. Perkenalkan sebuah model yang mendapaat perhatian dan permintaan dalam segmen ini, maka jualan juga akan ikut memberangsangkan. Jika tersilap, jenama pesaing yang mempunyai kelebihan akan memanfaatkan keadaan itu.

    Toyota tidaklah tersilap sepenuhnya dengan pengenalan Vios generasi ketika; model berkenaan bahkan mendahului pengenalan City ketika itu, pada tahun 2013. Rekaan badannya baru, tetapi Toyota menggunakan sistem janaan lama yang dikekalkan, enjin 1NZ-FE dan transmisi 4AT serta jarak antara roda 2,550 mm.

    Model ayam tambatan Toyota itu kemudiannya diberikan enjin baru pada 2016, memandangkan unit 1NZ-FE (yang telah digunakan oleh Vios sejak mula diperkenalkan pada 2003!) sudah wajar direhatkan. Menggantikannya iala enjin NR baru yang dikongsi bersama Perodua. Pada 2019, Vios menerima pembaharuan major, yang memberikannya rupa model generasi terbarunya. Namun tiada pembaharuan pada sistem janaan kuasa ketika itu. Satu lagi facelift diperkenalkan pada Disember 2020.

    Mungkin sedikit mengelirukan, tetapi itulah hakikatnya. Hanya penampilan Vios terbaru yang membawakan imej model generasi terkini model itu, dan bukannya versi peralihan generasi yang sebenar ditawarkan di sini. Vios yang sama juga diberikan penampilan baru untuk tahun 2021, sedangkan Honda City sudah beralih kepada generasinya yang terbaru dan terkini. Mungkin saja pelanggan di Malaysia mahukan sesuatu yang lebih bermakna daripada penawaran Toyota selain daripada kemaskini yang sudah dibuat?

    Selain City vs Vios, Honda ada daya jualan yang tinggi sejak beberapa tahun ini dalam bentuk HR-V. Ketika SUV kompak itu tiba pada 2015, ia menjadi model pertama yang membuka segmen baru untuknya sendiri di Malaysia. Jawapan Toyota kepada model ini ialah C-HR; sebuah kereta yang mantap dan menarik, tetapi oleh kerana ia CBU dan kurang senarai kelengkapan, ia ada masalah posisi harga dalam pasaran. Ini juga memberi kesan besar kepada pengaruh pasaran Toyota.

    Dua lagi segmen di mana Honda menikmati kelebihan ialah bagi SUV segmen C (dengan CR-V menjadi model popular) serta hatchback segmen B dengan Jazz sebagai taruhannya. Toyota ada penawaran balas, misalnya model RAV4 yang tiba pada 2020, tetapi tidak memberikan impak yang berkesan dalam pasaran. Untuk mengimbangi Jazz pula, Toyota Yaris ada, tetapi ia tiba terlewat kerana sebelum itu Yaris hanya datang dalam bentuk CBU yang mahal, sehinggalah pada 2019 ketika versi CKD diperkenalkan.

    Dua perlawanan

    Jika diperhatikan dalam graf, ada jurang besar antara Honda dan Toyota. Dan lebih ke bawah, penurunan Nissan dari kedudukan terbaiknya pada 2013 (disebabkan oleh Almera N17) telah menyaksikan penurunan jualan berbanding tahap kedudukan Mazda pada tahun 2020 (14,160 vs 12,141). Ia kelihatan seperti ada dua persaingan antara pengeluar bukan nasional — Honda vs Toyota bagi tangga ke-tiga/empat dan Nissan vs Mazda bagi kedudukan kelima/keenam.

    Jumlah begitu tentunya meresahkan Nissan, memandangkan jejak perniagaan Tan Chong di Malaysia adalah lebih besar berbanding apa yang dicadangkan oleh angka jualan 2020. Rakan niaga bagi pengeluar kenderaan berasal dari Yokohama itu mempunyai beberapa model pemasangan tempatan, dan beroperasi di dua kilang di sini. Jika inilah angka kelaziman baru bagi Nissan, tidak diketahui sejauh mana syarikat itu mampu bertahan.

    Jenama luar rebut 38% perkongsian pasaran M’sia — prestasi sedekad Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Gerak kerja Tan Chong juga bergantung kepada strategi produk untuk rantau ini yang ditetapkan oleh Nissan. Ini menyukarkan lagi keadaan jenama ini di sini. Nissan kerap dikritik dari aspek penawaran model yang dilakukan di Malaysia, berbanding model-model yang jenama ini ada diperingkat global, atau bahkan serantau. Tetapi, Tan Chong bukan Nissan, dan sebarang keputusan yang ingin diambil memerlukan banyak masa dan mungkin ini akan membuatkan mereka ketinggalan.

    Bagaimana dengan Almera? Dari segi penampilan, ia nampak sebagai antara yang terbaik ketika ini bagi sedan segmen B. Tambahan pula ada sisi teknologi baru yang ditawarkan (kapasiti kecil enjin turbo, kelengkapan keselamatan aktif) — ia telah lari jauh daripada model sebelumnya. Malangnya, harga yang dikenakan juga lebih tinggi (RM80k ke atas), jadi ia mungkin berada di luar pilihan bajet ramai orang. Harapnya model N18 ketika ini akan beri prestasi jualan yang lebih baik buat Tan Chong.

    Keadaan mungkin berbeza untuk Mazda dan Bermaz. Satu daripada sedikit jenama yang mencatatkan pertumbuhan sepanjang 2020. Angka tahun lalunya sekali ganda berbanding sedekad sebelum itu. Tidak seperti Nissan, sebahagian besar modelnya adalah CBU — kecuali model SUV CX-5 dan CX-8 dipasang di sini untuk pasaran domestik dan ASEAN. Mazda Motor Corp juga memiliki kepentingan majoriti di dalam perniagaan pengilangannya di Malaysia.

    Jenama luar rebut 38% perkongsian pasaran M’sia — prestasi sedekad Honda, Toyota, Nissan dan Mazda

    Tanpa keperluan untuk memasang semuanya di sini, Mazda menawarkan rekaan serta penawaran premium. Dengan perkembangan semasa penguncupan peratusan perkongsian pasaran bagi jenama-jenama luar di sini, langkah ini mungkin akan menjadi kelebihan kepada Mazda. Dengan kejayaan membina keyakinan pasaran tempatan terhadap jenama Mazda, Bermaz juga bakal melakukan hal yang sama dengan Peugeot kelak.

    Dengan persaingan antara Toyota-Honda dan Nissan-Mazda dalam aspek jualan, jenama mana agaknya akan berjaya meraih perhatian dan angka yang tinggi tahun ini? Dengan Perodua sedang bersiap untuk memperkenalkan SUV D55L, serta Proton X50 yang akan menyaksikan tahun penuh pertama untuk jualanya, sejauh mana peratusan perkongsian pasaran jenama luar — yang ketika ini pada kadar 38% — akan menguncup? 2021 akan jadi tahun yang menarik untuk diperhatikan dalam aspek ini.

     
     
  • PKP 2.0: Sukan bermotor dua dan empat roda, sekolah memandu boleh bermula semula, perlu ikut SOP ketat

    PKP 2.0: Sukan bermotor dua dan empat roda, sekolah memandu boleh bermula semula, perlu ikut SOP ketat

    Ketika sesi sidang media hariannya sebentar tadi, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pelbagai industri kini sudah boleh dibuka semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), antaranya sukan permotoran dua dan empat roda, dan juga operasi sekolah memandu.

    Walau bagaimanapun, kesemua aktiviti yang diumumkan boleh beroperasi semula ini perlu mematuhi SOP ketat yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan penularan jangkitan wabak Covid-19.

    PKP 2.0 yang bermula pada 13 Januari lalu ini dilaksanakan kerana peningkatan mendadak kes harian Covid-19 dalam negara. Ia sepatutnya berakhir pada 4 Februari lalu dilanjutkan sehingga 18 Februari nanti kerana jumlah kes yang belum lagi menurun. Setakat ini seluruh negara diletakkan dalam situasi PKP, kecuali Sarawak.

     
     
  • PLUS buka semula ruang makan di medan selera R&R

    PLUS buka semula ruang makan di medan selera R&R

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan semua ruang makan di medan selera di kawasan rehat dan rawat (R&R) termasuk dua restoran jejantas dan hentian sebelah di lebuh raya kendaliannya termasuk di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) telah dibuka semula mulai semalam (10 Februari 2021). Ini adalah selari dengan pengumuman oleh Kerajaan yang memberikan kebenaran untuk orang ramai makan di kedai makan atau restoran.

    Justeru, PLUS turut menasihatkan pelanggan lebuh raya yang berhenti untuk menikmati makanan dan minuman di kawasan-kawasan tersebut agar terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu hanya dua orang dibenarkan berada pada satu meja makan dengan memastikan penjarakan fizikal satu meter.

    Selain itu, pemakaian pelitup muka, mendaftar melalui Aplikasi MySejahtera, menjalani pemeriksaan suhu badan dan mengamalkan penjarakan fizikal satu-meter apabila beratur untuk pembelian makanan atau ketika menggunakan kemudahan di R&R dalam tempoh ini adalah diwajibkan.

    PLUS turut memaklumkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0), semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti tandas awam dan surau dibuka 24 jam. Manakala, restoran, gerai serta trak bergerak makanan dan minuman termasuk kedai serbaneka beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 10 malam.

    “Selain itu, kami menggunakan teknologi untuk membantu rakan niaga kami menerima tempahan melalui fungsi Pra-Pesanan menerusi Aplikasi PLUS. Kami berharap pelanggan dapat menikmati pelbagai juadah makanan yang lazat daripada gerai-gerai di 21 R&R terpilih, sama ada untuk menikmati makanan di R&R atau membawa pulang makanan dengan lebih mudah dan senang,” ujar PLUS.

     
     
  • Kia kemas kini Plan S – 11 EV baru menjelang 2026

    Kia kemas kini Plan S – 11 EV baru menjelang 2026

    Kia telah mendedahkan kemas kini kepada strategi perniagaan Plan S mereka, semasa acara CEO Investor Day 9 Februari lalu, yang dibentangkan oleh presiden dan CEO syarikat, Ho Sung Song. “Kia dilahirkan semula pada tahun 2021 dengan logo baru, rekaan baru serta nama korporat baru. Kia juga akan berubah menjadi satu jenama yang mengujakan dan memberi inspirasi kepada pelanggan dengan pengalaman mobiliti yang inovatif,” kata Song.

    Perhatian utama adalah kepada tenaga elektrik, dengan syarikat itu mempunyai perancangan pengenalan 11 EV baru menjelang tahun 2026 (setahun lebih awal berbanding rancangan awal). Daripada jumlah itu, tujuh akan dibina atas platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP) Hyundai Motor Group sementara empat lagi menggunakan asas sama daripada model yang menggunakan enjin pembakaran dalaman sekarang.

    Semua model ini akan memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran Kia untuk meningkatkan jualan EV kepada 880,000 menjelang 2030 dan menjadi “penjual global nombor satu.” Dalam hal yang sama, Kia turut meletakkan sasaran jualan tahunan pada 1.6 juta unit menjelang 2030, dengan kenderaan mesra alam (EV, hibrid elektrik dan plug-in hybrid) menyumbang sebanyak 40% daripada keseluruhan jumlah tersebut.

    Kia kemas kini Plan S – 11 EV baru menjelang 2026

    Untuk memulakan inisiatif ini, pengeluar dari Korea itu akan melancarkan EV khas pertama mereka, yang sekarang ini diberi nama kod CV pada bulan Julai. Model ini menggunakan platform E-GMP dan dikatakan dapat memberi jarak gerak sehingga 500 km, pengecasan ultra pantas serta pecutan 0-100 km/j dalam masa sekitar tiga saat. Semuanya dipakejkan dalam satu badan berbentuk SUV yang rendah.

    Kia menambah, CV akan dilengkapi dengan ciri pemanduan semi autonomous Level 2, dan memasuki tahun 2023, semua EV mereka akan dilengkapi dengan sistem Level 3 Highway Driving Pilot (HDP). Perincian lanjut berkenaan spesifikasi dan prestasi CV akan didedahkan pada bulan Mac ini.

    Satu lagi bahagian yang akan disertai oleh Kia adalah kenderaan kegunaan khas (PBV), dengan yang pertama akan didedahkan pada thaun 2022. Lebih banyak lagi kenderaan PBV ini akan diperkenalkan pada masa hadapan, bergantung kepada pasaran dan kesemuanya akan menggunakan platform khas PBV. Kia memberitahu, mahu mencapai jualan PBV sebanyak satu juta unit setahun menjelang 2030 dan akan bekerjasama dengan pelbagai syarikat untuk membangunkan platform bagi penghantaran tanpa manusia dan e-kewangan.

    Servis mobiliti juga termasuk dalam strategi Plan S yang baru ini, dengan servis KiaMobility akan mula ditawarkan di lebih lagi pasaran Eropah. Servis perkongsian kenderaan berpusat di Sepanyol, iaitu Wible juga akan menerima lebih banyak lagi pilihan sementara program langganan Kia Flex akan diperkenalkan kepada negara selain Korea atas nama Kia Subscription.

    Pada bahagian kewangan, Kia menjangkakan jualan global pada tahap 2.922 juta unit tahun ini, yang bersamaan dengan peningkatan sebanyak 12.1% berbanding tahun lepas. Jumlah ini akan memberikan pendapatan sebanyak 65.6 trilion won Korea (sekitar RM240 bilion) dan keuntungan 3.5 trilion won Korea (sekitar RM12.8 bilion), yang bersamaan dengan peningkatan masing-masing 10.8% dan 70.1%.

    GALERI: Spyshot Kia CV