Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Perodua Ativa 2021 — risalah, senarai harga SUV D55L bocor; nama, perincian dan gambar rasmi terbaru

    Perodua Ativa 2021 — risalah, senarai harga SUV D55L bocor; nama, perincian dan gambar rasmi terbaru

    Selepas diumumkan dibuka untuk tempahan semalam, maka banyaklah maklumat-maklumat baru yang muncul berkaitan SUV Perodua D55L. Daripada wakil jualan Perodua — yang tentulah ingin mendapatkan seberapa banyak jualan dan bersaing dalam pasaran — maka brosur-brosur rasmi sudah mula tersebar dan bocor kepada umum. Dan, antara yang diketahui kini ialah nama yang akan digunakan untuk SUV berkenaan — ATIVA. Apa pandangan anda tentang nama ini?

    Dalam pengumuman semalam, kita sudah tahu banyak juga perincian tentang SUV kompak segmen B ini. Misalnya, ia akan ditawarkan dalam tiga varian; X, H, AV dengan harga bermula dari RM62,500 dan RM73,400, atas jalan tidak termasuk insurans, dan dengan pengecualian cukai SST hingga 30 Jun 2021 nanti.

    Antara perkara utama yang ditawarkan pada Ativa ini ialah ciri lampu utama LED dengan Adaptive Driving Beam (ADB). Sama seperti Myvi, lampu utama dengan reflektor LED adalah standard untuk semua varian, tetapi ciri ADB baru bagi Perodua dan segmennya.

    Perodua Ativa 2021 — risalah, senarai harga SUV D55L bocor; nama, perincian dan gambar rasmi terbaru

    Ciri berikutnya ialah rim 17-inci yang akan digunakan pada Ativa. Ia unit dua-tona dengan visual rekaannya lima bilah berkembar. Ini digunakan pada varia H ke atas, yang mencadangkan varian X paling asas mungkin menggunakan rim 16-inci. Rekaan lampu belakang kombinasi LED juga nampak menonjol, mirip kepada lampu belakang Myvi, tetapi lebih tirus dan cantik. Ada kemasan yang menghubungkan dua sisi lampu berkenaan, dengan lencana Perodua di tengah.

    Kemudian, paparan multi-info 7.0-inci TFT. Tidak pasti mengapa Perodua tidak menggunakan kata “panel instrumen/meter digital” untuk merujuk ciri berkenaan kerana itulah ia, dan bukan sekadar MID seperti yang ramai kenali. Ini model pertama Perodua yang menggunakan dail bukan-analog, dan hanya untuk varian H dan AV.

    Di kiri pemandu terletak sebuah skrin besar; skrin sentuh sembilan-inci untuk sistem infotainmen. Dan, difahamkan sistem ini turut akan dilengkapi dengan ciri pengesanan suara, dan sekali lagi, ia hanya untuk varian H ke atas. Selebihnya, kita tahu Ativa diasaskan daripada model Daihatsu Rocky, tetapi tentunya kita berminat untuk tahu apa perbezaan penggayaan yang diubah dan diterapkan. Dari apa yang dapat dilihat setakat ini, memang ada sentuhan unik khusus Perodua, yang menandakan Ativa bukanlah 100% Rocky dari sudut penampilannya.

    Perodua Ativa 2021 — risalah, senarai harga SUV D55L bocor; nama, perincian dan gambar rasmi terbaru

    Dari gambar lampu depan yang ditunjukkn dalam risalahnya, ada bahagian lanjutan dari gril yang masuk ke bahagian lampu tersebut; ini juga berbeza berbanding pada Rocky. Kemasan reflektor belakang juga (corong hiasan) berbeza daripada apa yang ada pada model dari Jepun itu — Ativa mempunyai rekaan unik di bahagian bampar depan dan belakang. Bagaimanapun, untuk bahagian dalaman, rekaan kluster instrumen digitalnya sama seperti Rocky, begitu juga dengan rekaan papan pemuka.

    Kelebihan lain ialah kadar penggunaan minyak 18.9 km/j yang didakwa, dan bacaan ini sangat jimat. Ia menggunakan enjin 1.0 liter turbo dan CVT; transmisi jenis ini adalah yang pertama untuk Perodua. Di Jepun, Rocky menggunakan enjin 1KR-VET 996 cc turbocas tiga-silinder dengan janaan 98 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Ativa juga dijangka menggunakan enjin sama, dengan ciri Eco Idle.

    Sistem keselamatan juga dipertingkatkan dengan penawaran “ASA 3.0”. Sistem ini merangkum semua ciri sedia ada akan dikekalkan; Pre-collision Warning (PCW), Pre-collision Braking (PCB atau AEB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) yang memang sudah ada sebelum ini diberikan standard untuk semua varian.

    Perodua Ativa 2021 — risalah, senarai harga SUV D55L bocor; nama, perincian dan gambar rasmi terbaru

    Kali ini, Perodua ada nama baru untuk memayungi sistem keselamatan ini, iaitu Perodua Smart Drive Assist. Terangkum di dalamnya ialah ASA itu sendiri, Driving Assist, Parking Assist dan Headlamp Assist. Dalam kumpulan ciri Driving Assist pula, ia melibatkan Lane Departure Warning dan Prevention (LDW and LDP).

    Untuk menikmati semua ciri Autonomous Tahap 2 yang lengkap, pengguna perlu memilih varian AV yang paling tinggi. Ini akan melibatka pertambahan ciri Lane Keep Control (LKC), Blind Spot Monitor (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Adaptive Cruise Control (ACC). Ini ciri yang amat bermakna; lebih ramai orang boleh memanfaatkan ciri keselamatan termaju ini dan dengan harga Ativa, ia seperti satu bonus.

    Sebagai ringkasan, kita lihat juga perbezaan senarai spesifikasi antara varian Perodua Ativa SUV ini:

      2021 Perodua Ativa D55L X – jangkaan RM62,500

      Kelengkapan standard

    • Advanced Safety Assist (ASA) “3.0”
    • Pre-collision Warning (PCW, kini dengan pengesan kenderaan dua roda)
    • Pre-collision Braking (PCB atau AEB, kini dengan pengesan kenderaan dua roda)
    • Front Departure Alert (FDA)
    • Pedal Misoperation Control (PMC)
    • Lane Departure Warning and Prevention (LDW dan LDP)
    • Lampu utama LED dengan Auto High Beam
    • Lampu belakang kombinasi LED
    • Rim aloi 16-inci
    • Sensor undur
    • Enam beg udara
    • ABS, EBD, BA, VSC
    • Lampu Isyarat Brek Kecemasan
    • Hill Hold Assist
    • Isofix
    • Pilihan warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue
    • 2021 Perodua Ativa D55L H – jangkaan antara RM62,500 dan RM73,400

      Tambahan:

    • Adaptive Driving Beam (lampu tinggu automatik elak silau kenderaan dari depan)
    • Paparan multi-info 7.0-inci (panel meter digital)
    • Sistem infotainmen skrin sentuh terapung 9.0-inci dengan pengesanan suara
    • Rim aloi 17-inci
    • Sensor parkir depan
    • Kamera undur
    • Pilihan warna Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
    • 2021 Perodua Ativa D55L AV – jangkaan RM73,400

      Tambahan:

    • Lane Keep Control (LKC)
    • Blind Spot Monitor (BSM)
    • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
    • Adaptive Cruise Control (ACC)
    • Pilihan Bumbung hitam dua-tona bagi warna Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red
     
     
  • VIDEO: Perodua SUV D55L 2021 — 1.0L Turbo, CVT, ASA 3.0, tiga varian, dari RM62k hingga RM73k

    Jadi, banyak juga maklumat yang mula muncul berkaitan SUV Perodua D55L yang diumumkan dibuka untuk tempahan bermula semalam. Dan, kemudiannya, ada juga brosur yang sudah bocor dan lebih awal sebelum pelancaran. Antara yang terpampang ialah nama model tersebut yang akan dipanggil Perodua Ativa (Perodua dalam pengumuman sebelum itu tidak mendedahkan hal ini). Kita akan lihat hal ini dalam artikel berbeza nanti.

    Untuk video ringkas ini, kita beri dulu perhatian terhadap maklumat-maklumat awal yang telah disahkan sendiri oleh Perodua. Misalnya, penggunaan platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA), enjin turbo 1.0L tiga-silinder dan CVT yang menggantikan 4AT sebelum ini serta penawaran tiga varian dan juga harga jualannya, yang bermula dari RM62,500 hingga RM73,400, atas jalan tidak termasuk insurans, dan dengan pengecualian cukai SST hingga 30 Jun nanti.

    Lebih menarik ialah aspek keselamatannya. SUV Perodua ini dilengkapi ASA 3.0, yang akan ada pada semua varian (sebelum ini hanya ditawarkan pada varian tertinggi), dan beroperasi dalam kelajuan yang lebih tinggi berbanding versi 2.0, serta mampu mengesan kenderaan roda dua (pengesanan pejalan kaki sudah ditambah dalam versi 2.0).

    VIDEO: Perodua SUV D55L 2021 — 1.0L Turbo, CVT, ASA 3.0, tiga varian, dari RM62k hingga RM73k

    Baru bagi versi 3.0 ini ialah Amaran Mengekalkan Lorong (LDW), yang ditawarkan standard bagi semua varian. Bagi varian AV yang paling tinggi, ia menerima tambahan Kawalan Mengekalkan Lorong, Peninjau Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik di Belakang serta Kawalan Melayar Adaptif! Semua kelengkapan pemanduan autonomous Tahap 2 ini adalah bonus bagi tanda harga seperti ini, dan bagi ASEAN NCAP juga dijangka SUV ini akan menerima penarafan lima-bintang.

    Selebinya, tonton video ini untuk tahu lebih lanjut. Adakah spesifikasi dan tanda harganya cukup menarik dan berbaloi untuk menjadikannya pilihan SUV kompak popular di Malaysia selepas ini?

     
     
  • Lorong kiri, kecemasan antara Putrajaya ke Plaza Tol Putrajaya/ELITE tutup sebulan mulai 21 Feb – PLUS

    Lorong kiri, kecemasan antara Putrajaya ke Plaza Tol Putrajaya/ELITE tutup sebulan mulai 21 Feb – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan lorong kecemasan dan lorong kiri di antara Putrajaya ke Plaza Tol Putrajaya/Lebuh raya ELITE di KMP2.2 hingga KMP2.0 (Arah Utara) di Lingkaran Putrajaya akan ditutup selama sebulan kepada semua kenderaan mulai jam 10 malam, 21 Februari sehingga 5 pagi pada 22 Mac 2021. Ia adalah bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan berkenaan dilaksanakan dengan lancar.

    Menurut PLUS, lorong kanan di laluan terbabit masih boleh dilalui oleh semua kenderaan. Justeru, pengguna lebuhraya yang menghala ke Plaza Tol Putrajaya/Lebuh raya ELITE dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini melalui paparan CCTV yang disediakan.

    Dalam masa yang sama, para pengguna juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh kakitangan PLUS ketika melalui kawasan terbabit.

     
     
  • Harga minyak 20-26 Feb – Petrol naik, diesel kekal

    Harga minyak 20-26 Feb – Petrol naik, diesel kekal

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan harga runcit bagi bahan api petrol untuk minggu bertarikh 20 hingga 26 Februari 2021 dilaporkan mengalami kenaikan sebanyak empat sen seliter.

    Di mana petrol RON 97 bakal berharga RM2.30 seliter berbanding RM2.26 seliter pada minggu sebelum itu. Manakala RON 95 pula, daripada RM1.96 seliter, bakal naik menjadi RM2.00 seliter.

    Namun untuk tempoh minggu yang sama, harga bagi bahan api diesel masih kekal seperti minggu sebelum ini, iaitu RM2.15 seliter bagi gred Euro 2M dan untuk Euro 5 pula berharga RM2.25 seliter.

    Kesemua harga baharu tersebut efektif mulai 12.01 tengahmalam ini sehingga Jumaat hadapan, 26 Februari 2021.

     
     
  • Tentera Darat Malaysia terima 180 Kawasaki KLX 250

    Tentera Darat Malaysia terima 180 Kawasaki KLX 250

    Tentera Darat Malaysia, yang merupakan cabang terbesar di bawah naungan Angkatan Tentera Malaysia telah menerima 180 buah motosikal Kawasaki KLX250 untuk kegunaan operasi atas lapangan. Perolehan aset ini dibuat bawah ‘rolling plan’ keempat Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

    Majlis penyerahan motosikal ini dibuat secara ringkas di Kem Batu Kentonmen, Kuala Lumpur, dengan dihadiri Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain serta Pengarah Kawasaki Motors Sdn Bhd, Datuk Jeffry Lim.

    Selesai penyerahan, anggota yang terlibat diberikan taklimat berkenaan cara operasi motosikal dan dipersembahkan dengan aksi menunggang oleh The Army Red Warrior Motorcycle Team.

    Tentera Darat Malaysia terima 180 Kawasaki KLX 250

    Kawasaki KLX250 adalah sebuah motosikal lasak serba guna yang dikuasakan oleh enjin satu silinder, suntikan bahan api 249 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 22 PS pada 7,500 rpm dan 21 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Model ini dianggap bersesuaian untuk kegunaan tentera kerana boleh berhadapan dengan pelbagai keadaan jalan serta serba ringan, dan antara kelengkapan lainnya adalah seperti rim 21 inci di hadapan, 18 di belakang, berat cuma 138 kg, brek cakera depan dan belakang, fork USD serta tangki bahan api 7.7 liter.

     
     
  • Skoda Kushaq akan didedah 18 Mac – gambar disiar

    Skoda Kushaq akan didedah 18 Mac – gambar disiar

    Skoda akhirnya sudah mempunyai tarikh untuk penampilan pertama model Koshaq. SUV yang dibuat untuk pasaran India ini akan diperkenalkan pada 18 Mac dan demi membangkitkan lagi keghairahannya, beberapa gambar turut disiarkan.

    Seperti yang dijangka, Kushaq akan menggunakan banyak inspirasi daripada model konsep Vision IN dan beberapa tanda rekaan akan dikekalkan termasuklah bentuk gril, lampu jenis terpisah, tiga bukaan udara, skid plate yang tebal serta dua garis badan di tepi.

    Pada bahagian belakang, anda akan dapat melihat lampu berbentuk L terbalik, tulisan Skoda besar di tengah dan juga skid plate berwarna perak. Sebagai sebuah kenderaan mampu milik, sudah tentu tempat membuka pintunya menggunakan jenis biasa dan bukannya yang tersembunyi seperti model konsep.

    Skoda Kushaq akan didedah 18 Mac – gambar disiar

    Beberapa perincian Kushaq telah didedahkan bulan lalu, termasuk tempat duduk serta roda stereng yang boleh dilaras mengikut tinggi (bukan sesuatu yang biasa bagi India), pilihan sistem pendingin hawa automatik, skrin sesentuh untuk infotainmen, cruise control serta pengelap cermin dan lampu automatik.

    Kushaq dibina atas platform MQB AO IN, iaitu satu versi terbaru bagi platform sama yang digunakan oleh model Kamiq dan turut digunakan oleh Volkswagen Taigun. Pilihan enjin yang akan diberi pula terdiri daripada tiga silinder turbo 1.0L dan empat silinder TSI 1.5L. Kuasa akan disampaikan kepada roda hadapan dan pelanggan mempunyai pilihan transmisi DSG tujuh kelajuan, manual enam kelajuan atau automatik biasa.

    Pada bahagian keselamatan, Kushaq akan dipasang dengan dua beg udara secara standard dan ia boleh pergi sehingga enam unit bergantung kepada varian. Turut diberitahu akan hadir pada Kushaq adalah ciri seperti Stability Control, Hill Start Assist serta pemerhati tekanan angin tayar.

     
     
  • Nissan Qashqai 2021 didedahkan – imej lebih bergaya, teknologi dari X-Trail, 1.3L mild hybrid baharu, e-Power

    Nissan Qashqai 2021 didedahkan – imej lebih bergaya, teknologi dari X-Trail, 1.3L mild hybrid baharu, e-Power

    Semakin banyak pengeluar kenderaan memperkenalkan model baharu masing-masing biar pun dunia masih belum pulih dari ancaman pandemik COVID-19. Antara model terkini yang diperkenalkan ialah Nissan Qashqai baharu. SUV segmen-C ini telah pun memasuki generasi ketiga, banyak meminjam elemen rekaan dan teknologi daripada abangnya, X-Trail.

    Untuk pengetahuan anda, Qashqai baharu ini sedikit besar berbanding model terdahulu, iaitu 35 mm lebih panjang, 32 mm lebih lebar dan 25 mm lebih tinggi, serta jarak rodanya juga 20 mm lebih panjang. Nissan berkata peningkatan dimensinya juga sekaligus menyerlahkan lagi gaya baharunya.

    Berbanding dengan imej pada model sebelumnya, Qashqai baharu memiliki sudut dan garisan yang lebih tajam, merujuk kepada kebanyakan model konsep dan produksi terkini bagi barisan SUV Nissan. Pada bahagian hadapannya, kelihatan lampu utama LED berbentuk-C yang agak dramatik dengan gril V-motion – ciri yang bukan sahaja dari X-Trail tetapi juga pada model Patrol/Armada dan Pathfinder baharu. Malahan lampu utama tersebut ibarat sepasang mata yang tajam melunjur ke sudut corong pengambilan udara, sementara lampu kabus berbentuk-U kini diletakkan sedikit bawah di corong tengah.

    Pada bahagian sisinya, kelihatan lipatan yang lebih menonjol disambungkan ke lampu utama dengan lampu belakang berbentuk-anak panah; bersama fender belakang yang menyerlah, memberikan pandangan yang lebih lebar pada badan Qashqai. Tiang-D pula menambahkan imej bagaikan “bumbung terapung” dengan kemasan warna dua tona. Bahagian sisi juga nampak lebar dengan padanan roda aloi bersaiz 20-inci buat pertama kalinya.

    Nissan Qashqai 2021 didedahkan – imej lebih bergaya, teknologi dari X-Trail, 1.3L mild hybrid baharu, e-Power

    Di dalamnya, Qashqai menggunakan papan pemuka melintang yang sama dengan X-Trail, selain didatangkan dengan roda stereng tiga-jejari, skrin infotainmen ‘freestanding’, konsol tengah landai dan tuil gear elektronik. Selain itu, ia turun diberikan pencahayaan ambien putih dan butang serta suis yang lebih ergonomik.

    Pemandu juga bakal menerima pandangan yang lebih baik, hasil bukaan cermin hadapan yang lebih lebar, rekaan tiang-A yang lebih nipis dan cermin sisi dipasang di pintu berbanding di tiang-A. Selain itu, ruang lutut di belakang telah dipertingkatkan sebanyak 28 mm menjadi 608 mm, sementara ruang kepala juga ditambah sebanyak 15 mm. Ruang but kini 50 liter lebih besar (hasil lantai kargo yang rendah dan suspensi yang direka semula), dan disertakan dengan tailgate bebas tangan berkuasa baharu.

    Nissan turut mengekalkan ruang storan sisi dan lantai but boleh lipar yang direka semula. Manakala pintu juga dibentukkan semula untuk memudahkan penumpang masuk dan keluar, serta bukaan pintu sehingga 90-darjah sekaligus memudahkan ibu bapa untuk memasang kerusi keselamatan kanak-kanak dengan lebih mudah.

    Nissan Qashqai 2021 didedahkan – imej lebih bergaya, teknologi dari X-Trail, 1.3L mild hybrid baharu, e-Power

    Teknologi di dalam kenderaan diambil dari X-Trail, ini termasuklah skrin sesentuh infotainmen sembilan-inci yang lebih besar dan memiliki resolusi yang lebih tinggi. Selain itu, ia juga diberikan ketersambungan Apple Carplay tanpa wayar dan Android Auto, WiFi hotspot dan fungsi kawalan kenderaan dari jauh dengan menggunakan aplikasi NissanConnect Services.

    Turut dimasukkan ialah Google Assistant dan Amazon Alexa, navigasi pintu-je-pintu, informasi trafik secara langsung, Google Street View dna informasi harga bahan api. Penumpang belakang dan hadapan juga boleh mengakses port pengecasan USB-A dan USB-C.

    Bagi aspek keselamatam, Qashqai baharu diberikan fungsi ProPilot semi-autonomous driving yang dikemaskini dengan sistem Navi-link yang membolehkan kereta ditetapkan had kelajuan, memperlahankan kelajuan di selekoh dan laluan keluar lebuhraya.Ia turut bekerjasama dengan pemantauan titik buta untuk mengelak pertukaran lorong sekiranya ada kenderaan lain dalam titik buta. Turut diberikan amaran “flank protection” yang memberikan kepekaan kepada pemandu jika ia mengesan potensi pelanggaran dengan objek di sisi kenderaan dalam kelajuan rendah, serta fungsi brek sendiri baharu untuk sistem Pengesanan Objek Bergerak.

    Sementara itu, brek kecemasan sendiri kini menggunakan pengesdan radar hadapan untuk bertindak balas dengan kenderaan di hadapan, dan kenderaan akan diperlahankan, Qashqai juga dilengkapi dengan beg udara tengah yang baharu iaitu di antara penumpang hadapan.

    Qashqai merupakan model Nissan di Eropah yang pertama dibangunkan dengan Common Modular Platform (CMF-C), yang turut digunakan untuk X-Trail. Ia menggunakan material yang lebih ringan dan teknik stamping serta kimpalan dalam strukturnya untuk meningkatkan ketegaran dan mengurangkan berat. Untuk bonet, fender hadapan dan pintu, ia diperbuat dari aluminium dan lebih ringan sebanyak 21 kg, manakala tailgate pula diperbuat daripada bahan komposit dan menjimatkan kadar berat sehingga 2.6kg.

    Untuk kesemua itu, badannya kini 41% lebih keras tetapi beratnya berkurangan sebanyak 60kg berbanding sebelum ini. Ia juga ditambah baik aspek keselamatan, perincian, keselesaan pengendalian dan kecekpan. Suspensinya menggunakan topan MacPherson di hadapan dan palang torsi di belakang, dengan larasan multi-link di belajang untuk model pacuan semua-roda dan ia boleh dipadankan dengan roda 20-inci. Stereng berkuasa juga telah dipertingkatkan untuk memberikan respons yang lebih baik dan mengurangkan geseran.

    Di bawah bonetnya, Qashqai masih mengekalkan enjin 1.3 liter pengecas turbo empat-silinder yang sama seperti Mercedes-Benz A 200 terkini, yang digandingkan dengan sistem mild hybrid 12-voltan. Ia memberikan tork tambahan ketika pendikitan dan juga dipadankan dengan Xtronic CVT. Kotak gear manual enam-kelajuan juga diberikan sebagai pilihan.

    Output enjin ini sama ada 138 hp/240 Nm atau 156 hp/260 Nm – dengan kuasa terakhir itu hanya untuk CVT, dengan ledakan tork puncak cecah 270 N. Versi CVT juga merupakan satu-satunya yang ditawarkan dengan pilihan pacuan semua-roda, lebih intuitif, pintar dan didatangkan dengan mod Standard, Eco, Sport, Snow dan Off-Road.

    Malahan ia juga diberikan pilihan penjana kuasa elektrik e-Power, buat pertama kalinya ditawarkan di Eropah. Kuasa dari motor ini telah dipertingkatkan berbanding unit pada Note dan Kicks, menjadikannya kuasanya mencecah 140 kW (187 hp) dan 330 Nm. Penjana kuasa petrol juga lebih besar dengan enjin 1.5 liter variable-compression yang mampu memproduksi sehingga 154 hp.

     
     
  • Proton Preve 1.6 CFE Turbo MANUAL 5-kelajuan – resipi spesifikasi sepatutnya Proton bagi dari kilang!

    Proton Preve 1.6 CFE Turbo MANUAL 5-kelajuan – resipi spesifikasi sepatutnya Proton bagi dari kilang!

    Penulis ingat lagi perasaan bercampur baur antara suka dan tak suka ketika kali pertama berpeluang memandu uji Proton Preve pada tahun 2012 dulu. Enjin 1.6 liter turbo yang digelar sebagai Charge Fuel Efficiency (CFE) pada Preve berkenaan walaupun tidak bertenaga seperti enjin 1.4 TSI Volkswagen, kuasa 138 hp yang dihasilkan adalah hampir sama dengan Honda Civic FD 1.8L, manakala torknya pula adalah lebih tinggi dari Civic FD 2.0L dan memberikan karekter yang agak punchy.

    Point yang paling penulis sukai pada Proton Preve berkenaan sudah tentulah pengendaliannya, ketika itu Proton menggunakan sepenuhnya ilmu ‘Ride & handling’ yang diwarisi dari Lotus. Walaupun Preve diberikan tayar GT Radial Champiro dari kilang yang tidak memberikan cengkaman yang memuaskan, sedan ini memberikan dinamik pemanduan yang sangat baik.

    Stereng Preve ini memberikan respon yang cukup baik, manakala pergerakan bahagian belakangnya sangat mudah untuk diagak, memberikan keyakinan dan keseronokan setiap kali membelasah selekoh.

    Proton Preve 1.6 CFE Turbo MANUAL 5-kelajuan – resipi spesifikasi sepatutnya Proton bagi dari kilang!

    Namun, satu perkara yang membuatkan Preve ini betul-betul ‘potong stim’ adalah kotak gear CVT yang dipadankan. Walaupun pada masa itu Proton menggunakan bekas pemandu F1 Jean Alesi yang ketika itu merupakan duta untuk Lotus bagi menyakinkan pengguna bahawa kotak gear tersebut sangat lancar serta memberikan ‘engine braking’ yang bagus, ia tidak berkesan kepada penulis.

    Talaan yang diberikan pada kotak gear berkenaan seakan serba tidak kena. Ia menyebabkan enjin CFE tersebut meraung tidak tentu pasal ketika dikerah sepenuhnya, serta menghasilkan bunyi berdengung seakan kapal terbang mahu berlepas. Ketika itu penulis ada terfikir, sekiranya Proton ada menghasilkan Preve CFE ini dengan kotak gear manual, sudah tentu wujud perasaan jiwa kacau untuk membeli model berkenaan.

    Nah, sekarang Preve 1.6 CFE berwarna hijau gelap yang anda lihat ini mungkin Preve yang didambakan oleh ramai pemilik atau orang yang pernah memandu sedan segmen-C Proton ini, kerana transmisi CVT asalnya telah ditukar kepada kotak gear manual lima-kelajuan!

    Proton Preve 1.6 CFE Turbo MANUAL 5-kelajuan – resipi spesifikasi sepatutnya Proton bagi dari kilang!

    Proton Preve ini milik Syamil Hisham dari Kuala Lumpur dan ia dibeli baharu sekitar lapan tahun lalu. Syamil yang juga sangat berminat dengan kereta, mengubahsuai Preve dari masa ke masa secara perlahan-lahan. Namun setelah berberapa kali berhadapan dengan masalah transmisi, akhirnya projek ‘mega’ untuk menukar kotak gear CVT kepada manual ini telah bermula sekitar tiga tahun lalu.

    Kenapa tak tukar je terus seketul enjin dan kotak gear dari halfcut Mitsubishi Lancer Evolution seperti kebanyakkan pemilik Preve yang lain? Menurut Syamil, dia bersetuju dengan apa yang penulis katakan bahawa Preve sudah pun diberikan enjin serta dinamik yang cukup baik dari kilang.

    Jadi sekiranya dia terus menyalin enjin dan kotak gear Evo yang sememangnya lebih berat, ia sudah tentu menyebabkan agihan berat sudah lagi tidak betul dan menghilangkan kestabilan, dinamik dan karekter pengendalian asal Preve berkenaan. Jadi jalan terbaik untuk menjadikan Preve ini lebih sedap dipandu dalam masa yang sama lebih mudah untuk dijaga adalah menerusi penukaran kotak gear manual.

    Proton Preve 1.6 CFE Turbo MANUAL 5-kelajuan – resipi spesifikasi sepatutnya Proton bagi dari kilang!

    Namun projek untuk menukar transmisi ini bukan semudah yang penulis dan anda semua jangka. Pertama sekali, untuk mendapatkan kotak gear – Preve bukanlah kereta JDM yang mudah untuk anda jumpa dalam kondisi halfcut. Jadi untuk mendapat kotak gear manual dari Preve 1.6 IAFM (model yang dihasilkan tanpa turbo oleh Proton) juga adalah satu perkara yang sukar.

    Jadi Syamil mengambil keputusan untuk menggunakan kotak gear dari Satria Neo bersama set pedal brek dan klac, manakala kit penukar gear pula diubahsuai dari Mitsubishi Lancer Evo. Tapi, walaupun enjin CFE ini adalah versi turbo untuk enjin Campro berasaskan blok Proton S4PH, kotak gear manual tersebut tidak boleh dipadankan secara plug & play sepenuhnya.

    Menurut Syamil, hanya tiga lubang bolt yang sama antara kotak gear Satria Neo tersebut dengan enjin CFE Preve. Jadi berberapa pengubahsuaian perlu dilakukan bagi memastikan kedua-dua komponen utama berkenaan bersatu. Flywheel asal pada enjin CFE berkenaan masih digunakan, tetapi sedikit pengubahsuaian perlu dilakukan bagi membolehkan ia dikahwinkan dengan set klac dari Satria Neo.

    Selesai hal kotak gear, hal sistem pendawaian dan pengurusan enjin pula perlu diselesaikan. Seperti enjin-enjin moden yang lain, Preve menggunakan sistem pendawaian multiplexing di mana setiap kotak komputer dalam badan kereta berkenaan berkongsi penderia untuk pelbagai sistem. Jadi sekiranya isyarat dari kotak gear CVT tersebut sudah lagi tidak dihantar kepada kotak komputer enjin, ia tidak lagi boleh berfungsi dengan sempurna.

    Proton Preve 1.6 CFE Turbo MANUAL 5-kelajuan – resipi spesifikasi sepatutnya Proton bagi dari kilang!

    Oleh itu, Syamil telah merojakkan sistem pengurusan enjin berkenaan. Sistem drive-by-wire IAFM asal dari Proton sudah tidak digunakan. Enjin tersebut sekarang berfungsi dengan throttle body menggunakan kabel bersama pedal pendikit yang diambil dari enjin Nissan SR16. Kotak komputer asal masih lagi ada bagi memastikan sistem elektrikal badan yang lain masih lagi berfungsi, tetapi sistem pengurusan enjin telah diambil alih oleh kotak komputer jenis stand alone, MaxxEcu Mini dari Sweden.

    Segala isi perut enjin ini masih lagi tidak diusik, di mana hanya proses top overhaul dibuat ketika pembedahan ini dijalankan, begitu juga dengan pengecas turbo yang masih dikekalkan dengan komponen dari kilang dengan tekanan boost standard. Kemudian sistem induksi juga dikemaskini menggunakan kit dari Works Engineering terdiri dari ‘pengaut’ dan juga kotak udara gentian karbon bersama penuras udara Simota di bawahnya, serta paip aliran udara aluminium dengan laluan lebih pendek ke pemampat turbo. Sistem penyalaan turut dipertingkat dengan penggunaan coil yang diambil dari enjin K20 Honda.

    Sistem ekzos pula diubahsuai ringkas menampilkan paip terus 2.7-inci tanpa muffler, diakhiri dengan paip custom yang berpisah di belakang yang dilengkapkan bersama tip ekzos gentian karbon Akrapovic 4-inci. Oh ya, talaan yang dibuat pada kotak komputer turut menghasilkan bunyi pop & bang serta mengeluarkan api pada muncung ekzos berkenaan ketika pedal pendikit diangkat.

    Proton Preve 1.6 CFE Turbo MANUAL 5-kelajuan – resipi spesifikasi sepatutnya Proton bagi dari kilang!

    Dengan kemaskini yang dibuat pada enjin berkenaan, ia telah menghasilkan kuasa tambahan yang selamat digunakan sehingga 160 hp di atas mesin dyno, atau sekitar 16% lebih berkuasa dari sebelum ini.

    Dah selesai masalah? Belum lagi tuan-tuan. Disebabkan kotak gear manual dari Satria Neo telah digunakan, driveshaft yang memacu roda hadapan asal Preve sudah lagi tidak boleh digunakan kerana ‘gigi’ pada slot unit differential dalam kotak gear tersebut sudah tidak sama.

    Jadi Syamil perlu menghasilkan sepasang driveshaft custom dan perlu melakukan proses Research & Destroy untuk mencari material yang paling sesuai. Ya betul, bukan development tapi destroy kerana berberapa pasang driveshaft telah pun putus dalam proses ini kerana tidak tahan dengan tork yang dihasilkan enjin CFE berkenaan.

    Buat masa sekarang, Syamil menggunakan driveshaft yang diperbuat dari besi karbon dan masih okey. Kalau putus lagi, dia bercadang untuk menghasilkan driveshaft dari material chromoly pula.

    Dengan kuasa yang meningkat, ‘kuda-kuda’ Preve ini turut diperkuatkan oleh Syamil agar ia kekal seimbang dan boleh menerima desakan tambahan ketika meredah selekoh. Untuk itu kesemua set suspensi asal telah ditukar menggunakan suspensi jenama tempatan yang benar-benar faham akan keadaan jalan raya di negara kita, FTuned Suspension.

    Syamil tidak memilih set dari siri tertinggi FTuned GT Series, sebaliknya hanya memadankan set FTuned S Series kerana dua faktor; pertama S Series sebenarnya sudah cukup untuk memberikan pengendalian yang sporty seimbang dengan keselesaan bagi kegunaan harian. Dan yang kedua kerana S Series ini dijual pada harga yang cukup mampu milik.

    Kombo set pengendalian berkenaan dilengkapkan dengan set rim Fifteen52 Tarmac (juga popular digelar Fifteen52 Ken Block) berdiameter 17-inci, bersama balutan tayar prestasi tinggi Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 215/40ZR17. Manakala untuk brek, sistem asal Preve masih diberi kepercayaan di mana Syamil hanya menukar cakera hadapan TRW yang sudahpun sedia ditebuk dan dilarik.

    Untuk rupa luaran, Syamil menggabungkan pelbagai idea bagi memberikan rupa yang unik pada keretanya dan tak sama dengan Preve lain di atas jalan raya. Bampar hadapan masih lagi kekal namun ia diberikan tambahan spiltter udara pada setiap sisi, dan juga spoiler bawah bampar dengan rekaan sama seperti Proton Preve paling laju di litar Sepang iaitu Preve pasukan Proton R3, juara perlumbaan Sepang 1000KM 2014.

    Proton Preve 1.6 CFE Turbo MANUAL 5-kelajuan – resipi spesifikasi sepatutnya Proton bagi dari kilang!

    Corong aluminium yang disumbat pada perumah lampu kabus sebelah kiri bampar Preve ini pula sebenarnya mengalirkan udara yang lebih banyak kepada unit intercooler standard yang terletak di belakangnya. Manakala diffuser yang cukup agresif pada bampar belakang pula adalah produk keluaran Varis yang sebenarnya direka untuk Subaru Impreza WRX STI GDB.

    Bahagian belakang kereta ini turut dilengkapkan dengan spoiler ekor itik custom yang sememangnya dihasilkan untuk Preve. Bagi menyempurnakan kemasan akhir rupa luarannya, Preve milik Syamil ini diberikan warna perlumbaan rasmi Britain iaitu British Racing Green. Tak berdosa rasanya warna tersebut diberikan kerana DNA Lotus yang begitu pekat ada pada Proton Preve.

    Pada bahagian dalaman pula, tempat penumpang hadapan diganti dengan kerusi Bride Cuga, manakala pemandu duduk di dalam tempat duduk bucket penuh Bride Low Max. Untuk sensasi pemanduan yang lebih omphh, roda setereng asal telah diganti dengan roda stereng rata di bawah dan dibalut alcantara OMP Superquadro 13-inci.

    Syamil turut memadankan panel meter digital OBD2 Magician yang memberikan bacaan seperti rpm enjin, kelajuan kereta, voltan bateri, suhu enjin dan juga boost turbo. Selain memaparkan maklumat dengan cara yang lebih cantik, meter digital ini juga berfungsi untuk menyorokkan meter rpm asal di belakangnya yang kini penuh dengan lampu-lampu amaran yang menyakitkan mata dan hati kerana kotak komputer enjin serta transmisi asal kini sudah tidak lagi berfungsi.

    Perincian lain yang dikemaskini pada bahagian dalaman Preve ini termasuk panel kemasan plastik pada papan pemuka yang telah balut dengan elemen gentian karbon serta penggunaan tombol gear Ralliart.

    Jadi untuk pemilik-pemilik Preve di luar sana atau yang merancang nak beli Preve CFE memandangkan harganya agak menarik dalam pasaran kereta terpakai sekarang, dah dapat pedoman bagaimana nak convert kotak gear CVT kepada manual dari Preve Syamil ini sekarang?

     
     
  • Perodua D55L SUV kini dibuka untuk tempahan — 1.0 Turbo CVT, BSM, LKA, ACC, 3 varian, dari RM62.5k

    Perodua D55L SUV kini dibuka untuk tempahan — 1.0 Turbo CVT, BSM, LKA, ACC, 3 varian, dari RM62.5k

    Setelah sekian lama kita berteka-teki, kini ada berita rasmi dari Perodua. Model SUV D55L kini mula dibuka untuk tempahan, dan dalam masa sama turut mendedahkan perincian awal bagi model yang menggunakan asas daripada Daihatsu Rocky itu. Nama yang akan digunakan masih belum diketahui, tetapi kita kini tahu bahawa SUV berkenaan akan ditawarkan dalam tiga varian — X, H, AV — dengan harga dijangka antara RM62,500 dan RM73,400, atas jalan tidak termasuk insurans, dan dengan pengecualian cukai SST.

    Seperti dijangka, harga SUV D55L Perodua ini lebih mahal berbanding Myvi, dengan harga tertingginya RM52,697. Harga berkenaan bagaimanapun bertindih dengan Aruz (RM68,526 hingga RM73,226), yang hadir dengan saiz lebih besar, tetapi juga lebih ringkas berbanding SUV terbaru ini nanti.

    Aruz merupakan MPV tujuh-tempat duduk dengan gaya SUV dan menggunakan ladder frame, sementara D55L pula sebuah SUV kompak segmen B yang menggunakan platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA). D55L dengan jelas akan menjadi model flagship terbaru Perodua, walaupun syarikat itu tidak menggunakan istilah ini untuk mewakilkan SUV berkenaan.

    Perodua D55L SUV kini dibuka untuk tempahan — 1.0 Turbo CVT, BSM, LKA, ACC, 3 varian, dari RM62.5k

    Kalau terkejut dengan tanda harga yang diumumkan itu, lihat pula senarai kelengkapan yang ada pada SUV berkenaan, terutama dari aspek keselamatan. Sejak beberapa tahun lalu, Perodua memberi perhatian terhadap penawaran ciri keselamatan pada kenderaannya, bermula dengan Advanced Safety Assist (ASA) pada 2017 untuk Myvi. Aruz kemudiannya menerima pula ASA 2.0, yang diperkemas operasi ciri amaran pra-perlanggarannya, yang kemudian diperturunkan pula kepada Axia dan Bezza.

    Dengan SUV D55L, perkenalkan pula ASA 3.0, yang termasuk di dalamnya ciri yang mungkin tak ramai jangkakan pada sebuah kereta Perodua. Sistem ASA terkini bagi D55L ini akan ada pada semua varian (sebelum ini hanya ditawarkan pada varian tertinggi), dan beroperasi dalam kelajuan yang lebih tinggi berbanding versi 2.0, serta mampu mengesan kenderaan roda dua (pengesanan pejalan kaki sudah ditambah dalam versi 2.0).

    Baru bagi versi 3.0 ini ialah Amaran Mengekalkan Lorong (LDW), yang ditawarkan standard bagi semua varian. Bagi varian AV yang paling tinggi, ia menerima tambahan Kawalan Mengekalkan Lorong, Peninjau Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik di Belakang serta Kawalan Melayar Adaptif! Semua kelengkapan pemanduan autonomous Tahap 2 ini adalah bonus bagi tanda harga seperti ini, dan bagi ASEAN NCAP juga dijangka SUV ini akan menerima penarafan lima-bintang.

    Perodua D55L SUV kini dibuka untuk tempahan — 1.0 Turbo CVT, BSM, LKA, ACC, 3 varian, dari RM62.5k

    ASA 3.0 ini bukanlah satu-satunya yang terbaru daripada Perodua. SUV D55L juga merupakan kenderaan pertama Perodua yang dilengkapi enjin turbocas, serta model pertama jenama ini yang menggunakan CVT bagi menggantikan kotak gear automatik empat-kelajuan sebelum ini. Menurut Perodua, gandingan turbo-CVT ini berhasil memberikan kecekapan minyak pada kadar 18.9 km/l.

    Bagaimanapun, tiada pendedahan lanjut tentang sistem janaan kuasa SUV ini. Namun, jika dilihat penawaran di Jepun, Daihatsu Rocky dan Toyota Raize dikuasakan oleh enjin 1KR-VET 1.0 liter (996 cc) turbocas tiga-silinder yang menghasilkan 98 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Ia unit enjin sama yang digunakan pada Axia dan Bezza, tetapi dengan turbo. Unit DOHC VVT juga ada fungsi Start/Stop Eco Idle.

    Myvi generasi ketiga meletakkan penanda aras baru bagi Perodua sebagai kereta mampu milik di Malaysia, dari banyak sudut pada tahun 2017 dulu (dan masih belum terjangkau oleh Proton), dan kini D55L akan melakukan perkara sama bagi tahun 2021. Banyak ciri yang pertama kali diperkenalkan untuk kenderaan keluaran Perodua akan ada pada SUV ini.

    Perodua D55L SUV kini dibuka untuk tempahan — 1.0 Turbo CVT, BSM, LKA, ACC, 3 varian, dari RM62.5k

    Sebagai contoh, D55L akan hadir dengan lampu utama LED sebagai ciri standard untuk semua varian, sementara varian H dan AV akan menerima tambahan Adaptive Driving Beam (lampu belokan aktif), paparan digital multi-info tujuh-inci (panel instrumen digital) dan skrin sentuh sistem infotainmen sembilan-inci dengan pengecaman suara.

    Ini saja perincian yang dikongsikan oleh Perodua setakat ini. Selebihnya adalah sama seperti apa yang sudah kita ketahui sebelum ini. Ia juga merupakan model pertama di bawah strategi Perodua Smart Build dan merupakan model penanda aras terbaru Perodua bagi aspek penggayaan, keselamatan, teknologi, kelengkapan dan nilai.

    Pilihan warna yang ada terdiri daripada Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue bagi varian X dan H, dengan varian H turut didatangkan dalam warna lain seperti Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red. Bagi AV, pilihan yang ada ialah Glittering Silver, Granite Grey, Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red, termasuk pilihan dua-tona (bumbung hitam) bagi dua warga terakhir itu. Jaminan lima-tahun/150,000 km datang sekali dengan pembelian.

    Adakah D55L ini lawan yang setara kepada Proton X50? Jawapannya tidak, kerana D55L merupakan SUV yang lebih kecil (335 mm lebih pendek, 105 mm kurang lebar, 75 mm lebih pendek bagi jarak antara roda). Enjinnya juga lebih kecil (1.0L vs 1.5L, kedua-duanya ada desakan turbo) dan harganya lebih rendah berbanding X50, yang dijual antara RM79,200 hingga RM103,300.

    Dengan sekitar RM6k lebih mahal, model paling asas X50 Standard mempunyai kelebihan dari sudut kapasiti enjin dan saiz badan lebih besar, sementara D55L AV lebih dari sudut keselamatan dan kelengkapan. Perodua dijangka akan melancarkan SUV ini bulan depan sekali dengan pengumuman namanya. Apa macam pakej penawaran keseluruhan D55L ini, boleh lawan Proton X50?

     
     
  • Jumlah penumpang ikut kapasiti kenderaan dibenarkan di semua negeri termasuk di bawah PKP

    Jumlah penumpang ikut kapasiti kenderaan dibenarkan di semua negeri termasuk di bawah PKP

    Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri telah mengumumkan jumlah penumpang ikut kapasiti kenderaan kini dibenarkan walau pun bagi negeri-negeri yang sedang dilaksana Perintah Kawalan Pergerakan Kedua (PKP 2.0). Sebelum ini, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya membenarkan dua penumpang dalam satu kenderaan dari satu rumah yang sama sejak PKP dilaksanakan semula Januari lalu.

    “Atas perbincangan dengan MKN, kami membenarkan larangan ini ditarik balik mulai 19 Februari 2021, selepas mendengar rayuan orang ramai,” ujar Ismail Sabri dalam sidang media harian petang tadi.

    Mulai esok, hanya Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor dilanjutkan tempoh PKP 2.0 sehingga 4 Mac ini memandangkan kes positif COVID-19 yang masih tinggi dan membimbangkan. Manakala Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, serta Sabah akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh yang sama. Sarawak pula masih kekal dalam PKPB sejak 15 Februari lalu hingga 1 Mac ini.

    Manakala Perlis merupakan satu-satunya negeri yang kesnya sangat berkurangan dan KKM menyarankan agar statusnya ditukarkan ke Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

    Malahan mulai 16 Februari lalu, kerajaan juga telah bersetuju untuk menarik balik larangan perjalanan dalam radius 10 kilometer untuk semua negeri termasuk negeri yang terbabit dengan PKP 2.0. Ini adalah kerana banyak sektor ekonomi telah dibuka kembali.

     
     
  • Aveta VS110 masuk pasaran Malaysia – harga RM3.6k

    Aveta VS110 masuk pasaran Malaysia – harga RM3.6k

    Satu lagi motosikal bajet diperkenalkan oleh Aveta Malaysia untuk pasaran, iaitu VS110. Ia dijual pada harga RM3,588 tidak termasuk insurans dan diberikan jaminan selama dua tahun. Ini adalah model keempat yang dilancarkan oleh Aveta, selepas DY90, RX110 dan Ranger 110.

    Kapcai ini dikuasakan oleh enjin satu silinder 113 cc dengan sistem bahan api karburetor, mampu menghasilkan kuasa 6.5 hp pada 8,000 rpm dan 6.5 Nm tork pada 6,000 rpm. Kuasa disampaikan kepada roda melalui kotak gear empat kelajuan, dan sistem rantai.

    Berat keseluruhan VS110 adalah 83 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api 4.0 liter. Empat pilihan warna disediakan untuk pelanggan iaitu cyan, biru, merah dan hitam. Brek menggunakan sistem dram di depan dan belakang, sementara rim pula adalah unit aloi 17 inci.

    Suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik manakala di belakang pula menggunakan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban. Dalam pasaran, pesaing daripada jenama Jepun untuk VS110 adalah Honda Wave Alpha, yang dijual pada harga RM4,339. Walaupun menggunakan brek jenis dram di hadapan, model ini masih lagi dilengkapi dengan rim spoked.

     
     
  • Imej rekaan EV-SUV pertama M’sia — cukup bergaya?

    Imej rekaan EV-SUV pertama M’sia — cukup bergaya?

    Jika Malaysia berhasil menghadirkan sebuah rekaan untuk SUV elektrik pertama, bagaimana rekaan yang dirasakan wajar diberi perhatian? Walaupun ini bukan merujuk kepada mana-mana pengeluar tempatan, paling tidak kita ada bayangan awal rekaan berkenaan, yang dihasilkan oleh pereka individu kita sendiri, Saharudin Busri.

    Orang yang kerja-kerja rendering bagi rekaan automotifnya ini bukanlah nama asing bagi kami di paultan.org. Beberapa hasil rekaannya pernah kami paparkan di laman ini, misalnya Proton Suprima X dan juga Savvy 18. Kali ini beliau kembali lagi untuk membayangkan sebuah SUV elektrik sepenuhnya yang pertama Malaysia pula.

    Secara ringkas, latar ideanya datang daripada rasa hairan dan bosan berkaitan projek kereta nasional ketiga (ini kecoh dibahaskan dalam dua tahun kebelakangan ini) yang ketika itu meletakkan sasaran untuk memperkenalkan kenderaan EV binaan Malaysia yang pertama tahun ini. Tapi, nampaknya itu mungkin suatu hal semakin jauh untuk digapai dalam keadaan politik dan sosial di Malaysia ketika ini.

    Imej rekaan EV-SUV pertama M’sia — cukup bergaya?

    Maka lahirlah rekaan ini, yang belum diberikan nama khusus melainkan EV-SUV sebagai pengubat keresahan beliau. Menurut Saharudin, sebagai seorang pereka automotif tempatan, beliau berasa terpanggil untuk menghasilkan sebuah rekaan dan visinya terhadap sebuah kenderaan EV yang bagaimana sepatutnya Malaysia lahirkan.

    Dengan bahasa rekaan bercirikan elemen moden serta penggayaan badan kenderaan maskulin, beliau berasakan pendekatan itu selari dengan corak atau trend automotif dan kenderaan EV yang diproduksi di dunia, ketika ini. Mengapa SUV? Rasanya kita boleh menerka jawapannya; kerana inilah jenis rekaan badan kenderaan yang mendominasi pasaran dunia sekarang. Dan ditangan beliau,

    Daripada apa yang dapat dilihat, sentuhan rekaan pada SUV ini menampilkan banyak elemen yang “tajam” dan “leper”, dimuatkan ke dalam satu bentuk asas yang besar. Mungkin, tak berlebihan jika membayangkan Lamborghini Urus sebagai jelmaan sebenar terdekat dengan rekaan ini. SUV ini turut diberikan rekaan bukaan udara yang ketara, misalnya seperti yang dapat dilihat pada bahagian fender depan dan belakangnya.

    Imej rekaan EV-SUV pertama M’sia — cukup bergaya?

    Rekaan lampu belakangnya juga futuristik, terbentang dalam kelebaran penuh SUV ini dari kiri ke kanan, memuatkan semua lampu yang ada seolah-olah berada dalam satu unit tunggal yang bergaya. Selebihnya, “rupa” bahagian belakang ini dijelaskan dengan rekaan cermin yang agak kecil dan sempit, lekuk minimal antara garis lampu dan bahagian bampar hitam dan seterusnya rekaan diffuser yang ada untuk menampakknya sisi sporty.

    Elemen body cladding yang tidak terlalu tebal juga diberikan kepada SUV ini, satu ciri khas yang kerap digunakan pada rekaan-rekaan model crossover — mungkin untuk mencadangkan sisi lasak. Lekuk bahagian sisi badan juga membuatkan rekaannya nampak elegan, sebelum disudahi dengan jalur krom atau skirting sisi serta penggunaan rim dengan rekaan “tajam” yang sepadan dengan unsur keseluruhan rekaan yang ditampilkan.

    Ketika ini, hanya rekaan bahagian sisi dan belakang yang ada. Rekaan depan akan menyusul nanti. Saharudin menghasilkan rekaan ini asalnya sebagai latihan kepada pelajar-pelajar rekaan industri secara dalam talian. Beliau kini dalam proses membangunkan 3D modeling untuk EV-SUV ini, dan merancang untuk mengadakan sebuah pameran maya (virtual reality) dalam tempoh sebulan dari sekarang. Apa pandangan anda tentang rekaan ini? Ada merit untuk dijadikan rekaan sebenar?

     
     
  • Penguatkuasa Bermotosikal JPJ: Anda mungkin akan disaman hanya dengan visual rakaman kamera

    Untuk mereka yang sentiasa mengambil ringan tentang keselamatan jalan raya, selepas ini anda perlu lebih berhati-hati; skuad Penguatkuasa Bermotosikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini telahpun dilengkapi dengan kamera perakam mudah alih berdefinasi tinggi dalam kerja mereka.

    Ini bermakna kerja-kerja penguatkuasaan akan menjadi mudah – segala kesalahan anda akan dirakam menerusi kamera berkenaan ketika rondaan yang dijalankan oleh penguatkuasa, dan anda tidak lagi boleh berdalih dengan kesalahan yang dibuat, manakala saman atau kompaun pula akan terus dihantar menerusi pos.

    Senang sangat perlaksanaan cara baharu ini? Menerusi satu video berdurasi 1 minit 41 saat yang tular sejak semalam memaparkan bagaimana penguatkuasa menjalankan kerja mereka, ia sememangnya sangat mudah.

    Video tersebut menunjukkan seorang anggota dilihat menghampiri seorang penunggang motosikal tidak bertopi keledar dan menegur lelaki pertengahan umur itu dengan berhemah. Selepas menegur kesalahan yang dibuat, tidak ada ‘surat saman’ yang perlu ditandatangan dan diserahkan, di mana pesalah hanya diberitahu bahawa saman berkenaan terus akan dihantar ke rumah.

    Apa yang berlaku selepas itu sebenarnya visual rakaman yang direkod dalam kamera tersebut akan dihantar ke pejabat JPJ bagi mengesan nombor plat pendaftaran untuk dimasukkan sebagai bukti dalam sistem saman. Selepas itu barulah saman tersebut diproses dan dihantar kepada pesalah.

    Video berkenaan turut memaparkan penguatkuasa JPJ ini turut dapat mengesan kesalahan lain yang dilakukan oleh penunggang motosikal seperti melakukan pusingan-U di tempat tidak sepatutnya, tiada nombor plat pendaftaran yang mengikut spesifikasi serta penghantar makanan yang menggunakan telefon bimbit ketika sedang menunggang

    Unit Penguatkuasa Bermotosikal JPJ ini akan membuat rondaan mereka menggunakan motosikal Kawasaki Versys 650. Selain dari kamera, mereka juga akan dilengkapi dengan topi keledar berkualiti khas bersama penghadang silau, jaket keselamatan pantul cahaya, dan juga lampu strob bersama siren bagi memberikan amaran kehadiran mereka kepada pengguna jalan raya lain.

     
     
  • Honda HR-V 2021 didedahkan di Jepun – rupa lebih bersegi dan matang, ditawar dalam versi hibrid e:HEV

    Honda HR-V 2021 didedahkan di Jepun – rupa lebih bersegi dan matang, ditawar dalam versi hibrid e:HEV

    Sebelum kedatangan Proton X50 tahun lalu, Honda HR-V generasi kedua pernah menjadi satu fenomena dalam pasaran automotif tempatan. Setelah lebih kurang lapan tahun berada dalam pasaran global, perincian yang ada pada HR-V mula ketinggalan berbanding pesaingnya yang lain. Dan ini dia tuan-tuan dan puan-puan, Honda HR-V generasi ketiga sudahpun didedahkan sepenuhnya di Jepun!

    Seperti yang anda boleh lihat, model generasi baharu ini menampilkan rupa yang nampak lebih besar, bersegi dan lebih matang dari model generasi sedia ada. Ia direka dengan muncung yang kelihatan tinggi dan panjang, garis bahu yang lebih tegap serta garis bumbung dan pintu belakang yang lebih bersegi. Namun pembuka pintu belakang yang ‘disorokkan’ pada sebelah atas memberikan bayangan seolah-olah ia model tiga pintu masih dikekalkan sebagai identiti HR-V.

    Honda HR-V 2021 ini juga sudah mula menggunakan rekaan muka signatur baharu Solid Wing Honda dengan lampu lebih bersegi seperti Honda Civic Generasi ke-11. Rekaan lampu belakang juga kini lebih nipis, dan bersambung antara kiri dan kanan menerusi satu bar merentangi pintu tailgate yang juga menempatkan logo ‘H’ ditengahnya.

    Honda HR-V 2021 didedahkan di Jepun – rupa lebih bersegi dan matang, ditawar dalam versi hibrid e:HEV

    Pada bahagian kabin, HR-V generasi baharu ini menampilkan papan pemuka minimalis yang nampak lebih elemen mendatar dari sebelum ini. Corong pendingin hawa nampak seperti merentangi sepenuhnya papan pemuka berkenaan, manakala skrin infotainmen pula tidak lagi ‘tertanam’ sebaliknya dihasilkan dengan rekaan berdiri sendiri.

    Skrin berkenaan ditawarkan dalam dua saiz, sama ada lapan- atau sembilan-inci. Ia beroperasi dengan sistem infotainmen terkini Honda sama seperti Jazz dan City generasi baharu, bersama butang-butang dan suis putar fungsi-fungsi utama analog yang lebih mudah untuk digunakan.

    Tiada lagi konsol tengah yang tinggi seperti model sebelumnya, di mana model generasi baharu ini menerima konsol yang menempatkan tombol gear yang nampak lebih konvensional.

    Honda HR-V 2021 didedahkan di Jepun – rupa lebih bersegi dan matang, ditawar dalam versi hibrid e:HEV

    Perincian-perincian baharu lain yang diberikan termasuk bumbung panaromik dengan bukaan lebih besar bersama penggunaan kaca yang dapat mengurangkan kemasukan cahaya matahari, sistem bunyi dengan sembilan pembesar suara dan juga corong pendingin hawa di belakang.

    Menurut Honda, saiz HR-V ini sebenarnya masih sama seperti model generasi sedia ada. Jadi walaupun garis bumbungnya kelihatan berbeza, saiz ruang kabinnya dijanjikan masih tidak berubah.

    Di Jepun (di mana HR-V dikenali sebagai Vezel), SUV segmen-B ini terus dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing. Ia terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong dan juga pengenal tanda trafik; kesemuanya telah ditingkat taraf dari segi prestasi operasi.

    Sistem cruise control adaptif pada HR-V ini juga telah dikemaskini dengan pemadanan fungsi berhenti dan mula. Sistem kamera pelbagai sudut dan juga sistem pemantau titik buta telah dipadankan buat pertama kali pada HR-V.

    Model pasaran Jepun ini juga akan terus dijana oleh enjin petrol 1.5 liter DOHC i-VTEC bersama kotak gear CVT, namun angka kuasanya masih belum diumum. Seperti yang telah dilaporkan sebelumnya, Honda HR-V ini turut bakal menerima varian hibrid e:HEV yang menggunakan sistem dua motor elektrik Intelligent Multimode Drive (i-MMD) yang sama seperti Jazz dan City.

    Honda HR-V JDM ini masih menampilkan pacuan hadapan sebagai ciri standard, dan pembeli boleh memilih opsyen sistem pacuan semua roda.

     
     
  • Volvo XC40 Recharge T5 dilancar di M’sia pada 25 Feb – SUV PHEV dengan 1.5L turbo tiga-silinder, DCT

    Selepas menyiarkan teaser Volvo XC40 Recharge T5 minggu lalu, Volvo Car Malaysia (VCM) telah mengesahkan SUV plug-in hybrid ini bakal memasuki pasaran tempatan. Malah difahamkan, acara pelancaran secara maya akan dilangsungkan pada jam 11 pagi, 25 Februari 2021 ini.

    XC40 PHEV pertama kali diperkenalkan pada April 2018 di Beijing Motor Show dan telah dibawa masuk ke pasaran beberapa buah negara. Ini termasuklah Thailand, di mana ia adalah unit yang dibawa masuk dari Malaysia, jadi kemungkinan besar kita juga akan menerima model yang sama.

    Nama Recharge digunakan pertama kali pada XC40 versi elektrik dengan penggerak P8, dan ia membuat penampilan global pertama pada bulan Oktober 2019. Pada masa itu, Volvo juga memberitahu bahawa nama Recharge itu akan digunakan pada semua model Volvo yang mempunyai kuasa elektrik, termasuklah elektrik penuh dan plug-in hybrid.

    Bagi model spesifikasi pasaran Thailand, unit T5 Twin Engine pada XC40 Recharge ini terdiri enjin petrol 1.5 liter tiga-silinder turbo yang turut boleh beroperasi dengan bahan api gasohol E10 yang dijual pada negara berkenaan. Ia menjana 180 PS (178 hp) pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 1,500 hingga 3,000 rpm. Kuasa dari enjin ini dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik jenis basah tujuh-kelajuan dengan sistem Geartronic.

    Volvo XC40 Recharge T5 dilancar di M’sia pada 25 Feb – SUV PHEV dengan 1.5L turbo tiga-silinder, DCT

    Tidak seperti sistem hibrid T8 Twin Engine yang diberikan motor elektrik untuk memacu roda belakang dan memberikan sistem AWD, motor elektrik pada sistem T5 Twin Engine ini diletakkan di dalam kotak gear dan kuasa tambahan hanya disampaikan pada roda hadapan. e-Motor ini memiliki kuasa sebanyak 82 PS (81 hp) dan 160 Nm, sekaligus menyumbang kuasa keseluruhan sebanyak 262 PS (258 hp) dan 425 Nm.

    Sebagai perbandingan, model semasa, varian T5 AWD R-Design tanpa plug-in hybrid yang dijual di sini diberikan unit 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 252 PS dan 350 Nm. Ia digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan konvensional dan pacuan semua-roda secara standard.

    Mengenai kelebihan kuasanya, sebenarnya XC40 PHEV sedikit perlahan untuk pecutan dari sifar ke 100 km/j, mengambil masa 7.3 saat berbanding 6.4 saat oleh T5 AWD, disebabkan bebanan bateri lithium-ion 10.7 kWh. Manakala kelajuan maksimum bagi kedua-dua varian lebih kurang sama iaitu sekitar 180 km/j.

    Volvo XC40 Recharge T5 dilancar di M’sia pada 25 Feb – SUV PHEV dengan 1.5L turbo tiga-silinder, DCT

    Penggunaan bahan api bagi XC40 PHEV didakwa serendah dua liter per 100 km, di mana ia lebih bagus berbanding T5 AWD dengan 7.7 l/100 km. Jika anda memandu sekitar 42-45 km, anda boleh menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

    Model ini turut didatangkan dengan pengecas AC onboard 3.7 kW secara standard, dengan sambungan Type 2 dan tiga-pin biasa, soket 2.3 kW, yang mengambil masa selama lima jam untuk pengecasan penuh. Manakala dengan stesen pengecasan 3.7 kW, 7 kW atau 22 kW, masanya dikurangkan ke tiga jam.

    Untuk harganya, ia akan didedahkan pada acara pelancarannya. Sebagai rujukan, XC40 T5 R-Design ditawarkan dengan harga atas jalan RM241,450 tanpa insurans, dengan pengurangan cukai jualan sehingga 30 Jun ini.

    Volvo XC40 Recharge T5 dilancar di M’sia pada 25 Feb – SUV PHEV dengan 1.5L turbo tiga-silinder, DCT

    Ada kemungkinan VCM boleh mengikut jejak langkah Volvo Car Thailand dengan menggantikan T5 AWD dengan Recharge T5. Apabila XC40 PHEV dilancarkan di Thailand, ia telah menggantikan T4 Momentum tanpa hibrid dan juga T5 AWD R-Design yang pernah ditawarkan di negara itu.

    Barisan model tersebut di sana buat masa ini termasuklah varian asas Recharge T5 R-Design yang berharga 2.09 juta baht (RM281,325), iaitu sama dengan T4 Momentum. Sementara spesifikasi tertinggi R-Design dengan Inscription juga ditawarkan dengan harga yang sama iaitu 2.39 juta baht (RM321,587) – tidak berubah dari T5 AWD R-Design.

    Adakah harga untuk pasaran Malaysia adalah lebih kurang dengan yang ditawarkan di negara jiran kita itu? Nantikan perkembangan selanjutnya apabila ia dilancarkan tidak lama lagi.

    GALERI: Volvo XC40 Recharge T5 R-Design

     
     
  • Triumph Trident dijual di Malaysia bermula RM43,900

    Triumph Trident dijual di Malaysia bermula RM43,900

    Hanya beberapa bulan selepas ia diperkenalkan buat pertama kali kepada dunia, kini Triumph Trident sudah dibuka untuk tempahan secara rasmi di Malaysia, pada harga bermula RM43,900 tidak termasuk insurans. Model naked terbaru daripada pengeluar United Kingdom ini akan berada di pusat pameran Triumph Malaysia bermula 20 Februari 2020.

    Trident menggunakan enjin tiga silinder DOHC, dengan kapasiti 660 cc, mampu menghasilkan kuasa 80 hp pada 10,250 rpm dan 64 Nm tork pada 6,250 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac slip & assist, dan turut mendapat penarafan Euro 5.

    Penampilan Trident lebih kepada klasik dengan lampu jenis bulat serta tangki yang selari dengan tempat duduk, tetapi ia masih lagi diberikan kelengkapan moden seperti lampu jenis LED serta meter digital TFT yang boleh disambung dengan My Triumph Connectivity untuk kawalan termasuk telefon, navigasi dan GoPro (pilihan tambahan).

    Kawalan pendikit model ini menggunakan sistem ride by wire, dan penunggang disediakan dengan dua mod tunggangan iaitu Road dan Rain. Brek ABS diberikan standard manakala sistem kawalan cengkaman pula boleh ditutup melalui pilihan dalam menu instrumen.

    Untuk suspensi, Triumph menggunakan unit daripada Showa dengan fork hadapan USD separate function forks (SFF) 41 mm yang tidak boleh dilaras manakala di belakang pula terdapat monoshock dengan pelarasan pra beban. Tetapan cakera berkembar 310 mm bersama angkup Nissin dua piston digunakan di hadapan manakala untuk brek belakang ia menggunakan cakera 255 mm serta angkup satu piston – juga dari Nissin.

    Triumph Trident dijual di Malaysia bermula RM43,900

    Trident menawarkan tunggangan yang lincah dan mesra pengguna, dengan ketinggian tempat duduk 805 mm dan berat cuma 189 kg. Bentuk tempat duduk juga dijadikan lebih kurus supaya kaki penunggang lebih mudah mencecah lantai dan tidak terlalu terkangkang. Tangki bahan api berkapasiti 14 liter.

    Triumph Malaysia membawa semua empat pilihan warna bagi Trident ke Malaysia dengan warna Crystal White dan Sapphire Black dijual pada harga RM43,900 manakala warna Silver Ice/Diablo Red dan Matte Jet Black/Matte Silver Ice dijual pada harga RM44,900. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun tanpa had batuan.

    GALERI: Triumph Trident

     
     
  • Proton Persona Black Edition dilancarkan – RM54,700

    Proton Persona Black Edition dilancarkan – RM54,700

    Selain versi R3 Limited Edition bagi model Iriz dan Saga, Proton turut melancarkan model Persona Black Edition dengan penampilan yang lebih bergaya. Nama pun model edisi terhad, maka untuk Persona Black Edition yang berasaskan varian 1.6 Premium CVT, hanya 500 unit sahaja yang bakal dikeluarkan.

    Harga atas jalan, tanpa insurans, yang ditawarkan ialah RM54,700 iaitu harga tanpa cukai jualan sehingga 30 Jun ini. Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun/150,000 km.

    Seperti nama yang diberikan, sentuhan mewah dan ranggi diberikan untuk Persona Black Edition ini, tanpa mengetepikan soal praktikaliti dan keselesaan. Untuk imej luaran, serlahan rona Quartz Black metalik dengan keemasan menjadi hiasan pada bahagian bampar, jaluran skirt sisi, dan roda aloi pelbagai-jejari 15-inci, kemasan bampar belakang dan juga lencana pada bahagian but.

    Proton Persona Black Edition dilancarkan – RM54,700

    Untuk menampakkan imej yang lebih agresif dan maskulin pada Persona Black Edition ini, gril hadapan hadir dengan kemasan hitam berkilat berbanding krom, sementara B-pillar dibaluti dengan serlahan berkilat.

    Menjengah bahagian kabin, rona hitam tetap menjadi pilihan utama, ini termasuklah pada tempat duduk balutan kulit, kemasan pintu dan konsol lantai. Malah rona yang sama juga diberikan pada headlining. Manakala sentuhan keemasan gelap pula diberikan pada corong udaram konsol tengah, sekeliling tuil gear, tombol pendingin udara dan jahitan pada upholstery kulit tiruan.

    Proton Persona Black Edition dilancarkan – RM54,700

    Selain daripada itu, ciri lain masih sama dengan model Premium yang biasa, ini termasuklah lampu utama halogen, lampu nyalaan siang LED, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, paparan pelbagai-info berwarna, sistem infotainmen Geely Key User Interface (GKUI) dengan skrin sesentuh tujuh-inci dan kawalan suara “Hi Proton”, empat pembesar suara dan kamera undur.

    Malahan kit keselamatan juga masih dikekalkan, iaitu enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak.

    Untuk bahagian mekanikalnya, Persona Black Edition ini tetap dijanakan oleh enjin 1.6 liter VVT empat-silinder, dengan hamburan kuasa 107 hp pada 5,750 rpm dan tork 150 Nm pada 4,000 rpm. Begitu juga dengan Punch CVT yang masih dikekalkan.

    Gambar rasmi

     
     
  • Proton Iriz R3 Limited Edition 2021 dilancar — terhad 500 unit, rim 16-inci, RM52,900 hingga 30 Jun 2021

    Proton Iriz R3 Limited Edition 2021 dilancar — terhad 500 unit, rim 16-inci, RM52,900 hingga 30 Jun 2021

    Selain Saga R3 Limited Edition, satu lagi model yang membawakan ilham dan semangat perlumbaan yang sama diperkenalkan oleh Proton ialah Iriz R3 Limited Edition. Model ini dijual pada harga RM52,900. Ini harga atas jalan dengan pengecualian SST dan sah sehingga 30 Jun 2021 nanti. Dua lagi model yang turut diperkenalkan hari ini ialah Persona Black Edition serta Exora Black Edition.

    Berkongsi pendekatan penampilan yang sama dengan Saga R3, Iriz R3 ini juga diberikan warna badan hitam dengan kemasan perincian kuning di luar dan dalam. Bagi Iriz, jalur kuning berdekat grilnya kelihatan lebih ketara dan panjang, dilanjutkan sehingga ke bahagian lampu utama. Jalur sama bahagian bawah bampar kekal seperti yang turut ada pada Saga R3.

    Tempat lain yang ditandai dengan kemasan R3 ini ialah pada bahagian pelekat pelindung matahari cermin depan, dengan lencana R3 yang besar. Tidak lupa, perumah cermin sisinya juga berwarna kuning bahagian atasnya, yang turut menempatkan lampu isyarat. Jalur kuning di skirting sisi juga nampak sangat kemas pada Iriz.

    Proton Iriz R3 Limited Edition 2021 dilancar — terhad 500 unit, rim 16-inci, RM52,900 hingga 30 Jun 2021

    Di bahagian badan, pelekat hiasan R3 yang sama tertera, tetapi berbeza dengan Saga R3, ia menggunakan nombor 83. Ini merupakan nombor perlumbaan sebenar jentera Iriz yang dipandu oleh Farique Hairuman dan Mitchell Cheah di ketika menang dalam S1K dua tahun lalu.

    Ukuran rim juga lebih besar berbanding saiz pada Saga R3. Iriz R3 ini juga menggunakan rim 16-inci, mungkin saja sebagai tanda hormat kepada Satria Neo CPS sebelum ini yang menggunakan penyudah kelabu kesat yang sama, serta dibaluti tayar bersaiz 185/55 Goodyear Excellence.

    Di belakang, kemasan R3 dan rona kuning yang didatangkan sama posisi dengan apa yang ada pada Saga R3; lencana R3 dan Limited Edition, jalur kuning bawah bampar serta pelekat pelindung matahari dengan logo R3 besar. Cuma tambahan pada Iriz, ia melibatkan satu bahagian lagi dengan warna kuning dan logo R3, iaitu di sisi spoiler belakang.

    Di bahagian dalam, kemasan kuningnya ada yang sedikit berbeza lokasi. Antaraya di bingkai serta tombol kawalan sistem pendingin hawa. Gelung meter serta kemasan pada pelapik kaki kekal menggunakan jahitan keliling warna kuning dan lencana R3. Lencana yang sama juga ditempatkan pada papan pemuka.

    Kerusi balutan kulit serta bahagian stereng Iriz R3 ini juga tidak ketinggalan menerima kemasan sama. Bentuk kerusi yang digunakan bagaimanapun berbeza dengan apa yang ada pada Saga R3. Ia lebih banyak sokongan — walaupun dengan kemasan lencana R3 yang dijahit — sesuai dengan aspirasi jentera lumba yang ingin dibawa.

    Dari segi mekanikal, Iriz R3 ini tidak melibatkan sebarang perubahan. Ia masih kekal menggunakan enjin 1.6 liter VVT DOHC yang menghasilkan 109 PS pada 5,750 rpm dan 150 Nm pada 4,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear CVT. Hanya ada 500 unit Proton Iriz R3 Limited Edition ini dikeluarkan. Jadi, rasanya ini pilihan berbaloi?

    Gambar rasmi

     
     
  • Proton Exora Black Edition tiba di pasaran – RM67,800

    Proton Exora Black Edition tiba di pasaran – RM67,800

    Dalam empat model keluaran terhad yang dilancarkan oleh Proton hari ini, salah satunya adalah Exora yang dipanggil sebagai Black Edition, sama seperti Persona. Model-model ini dilancar selepas melihat kejayaan Saga Anniversary Edition sebelum ini.

    Mengikuti namanya yang diletakkan sebagai Exora Black Edition, MPV ini dicat keseluruhannya dengan warna hitam metalik. Kemudiannya, demi mendapatkan penampilan yang lebih bergaya dan ala mewah, Proton menambahkan jalur emas di sekeliling kenderaan, bermula dari bukaan udara bampar hadapan, perumah lampu kabus, skirting tepi dan bampar belakang.

    Melengkapkan penampilan di bahagian luar adalah rim 16 inci yang juga ditambah dengan kemasan emas, serta lencana tulisan Exora di bahagian belakang dengan berwarna sama. Walaupun begitu, satu lagi lencana yang terletak di bahagian kiri pintu but (tulisan Turbo) masih lagi berwarna krom seperti biasa.

    Proton Exora Black Edition tiba di pasaran – RM67,800

    Konsep kemasan emas ini diteruskan lagi di bahagian dalam, dengan dua bahagian iaitu keliling skrin dan perumah tombol gear menggunakan warna tersebut. Kemudiannya bagi tempat duduk serta kulit pintu yang dibalut kulit itu, jahitannya diubah menggunakan benang warna emas manakala skrin infotainmen di bumbung diberikan terus.

    Selain daripada bahagian yang dinyatakan di atas, semua kelengkapan Exora yang dikeluarkan hanya untuk 500 unit ini masih adalah sama seperti model yang dilancarkan pada tahun 2019, bermula dengan enjin 1.6 liter turbo berkuasa 138 hp dan 205 Nm tork, digabungkan bersama transmisi automatik CVT.

    Model ini mempunyai sistem infotainmen yang boleh dikawal menggunakan arahan suara “Hi Proton”, dan dilengkapi dengan skrin tujuh inci di tengah. Selain daripada itu, ia juga dilengkapi dengan panel instrumen berserta skrin TFT di tengah, cermin pandang belakang tanpa bingkai, dua soket USB, soket 12V dan sambungan 4G.

    Bagi aspek keselamatan, ia masih dilengkapi dengan dua beg udara hadapan, kawalan kestabilan elektronik (ESC), brek cakera di sekeliling, brek anti-kunci (ABS), agihan brek elektronik (EBD), tali pinggang hadapan dengan fungsi pengetat, pengesan jarak di belakang serta kamera undur.

    Proton Exora Black Edition dijual pada harga RM67,800 dan didatangkan seperti biasa dengan jaminan selama lima tahun atau 150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Ini adalah harga mengikut pengecualian cukai yang diberi sehingga bulan Jun ini dan selepas itu, ia akan dijual pada harga RM69,800.

    Gambar rasmi

     
     
  • Proton Saga R3 Limited Edition 2021 dilancarkan — edisi terhad 2,000 unit, RM42,300 hingga 30 Jun 2021

    Proton Saga R3 Limited Edition 2021 dilancarkan — edisi terhad 2,000 unit, RM42,300 hingga 30 Jun 2021

    Proton hari ini memperkenalkan empat model edisi istimewa sekali gus untuk pasaran tempatan. Satu daripadanya ialah Proton Saga R3 Limited Edition 2021 yang dijual pada harga RM42,300, atas jalan tidak termasuk insurans. Ini ialah harga dengan pengecualian SST dan sah sehingga 30 Jun 2021. Tiga lagi model termasuk Proton Iriz R3 Limited Edition, Persona Black Edition dan Exora Black Edition.

    Bertolak daripada kejayaan Saga Anniversary Edition sebelum ini yang mana semua 1,100 unitnya habis dijual dalam masa lima hari, Saga R3 Limited Edition ini hadir untuk memberikan penawaran unik yang sama.

    Kali ini, Saga R3 Limited Edition hanya akan ditawarkan dalam jumlah 2,000 unit sahaja.
    Semua model yang diperkenalkan hari berkongsi penampilan warna hitam yang sama, dan seperti yang dapat dilihat pada Saga R3 ini, ia menggunakan pelekat badan hiasan dengan tema R3 bagi menyuntik kelainan. Selebihnya, Saga R3 menggunakan rim 15-inci aloi dengan penyudah kelabu kesat.

    Membangkitkan lagi imej sporty kereta ini ialah bodykit R3 yang digunakannya, semua dalam tona warna hitam-kuning. Ini termasuklah jalur kemasan berwarna kuning yang dapat dilihat pada bahagian bawah gril serta bawah bampar, sisi badan kereta serta di belakang. Sama seperti edisi istimewa sebelum ini, gril Infinite Weave dengan logo baru Proton digunakan.

    Proton Saga R3 Limited Edition 2021 dilancarkan — edisi terhad 2,000 unit, RM42,300 hingga 30 Jun 2021

    Pada cermin utama, pelekat penghadang matahari juga hadir dalam warna sama, dengan lencana R3 yang agak besar. Selain itu, perumah cermin sisi juga sama, bahagian atasnya dalam warna kuning, yang turut menempatkan lampu isyarat. Lihat bahagian tepi badan kereta ini, pelekat hiasannya turut memaparkan nombor 82; nombor sebenar kereta lumba Saga yang digunakan sebelum ini.

    Di belakang, tema kuning ini diteruskan lagi, sama seperti elemen yang ada di depan; jalur bawah bampar serta pelekat penghadang matahari pada cermin. Satu sentuhan menarik tentunya pada lencana R3 yang digunakan di sebalah kadan nombor plat, sementara di sebelah kirinya pula ditampal pelekat Limited Edition.

    Di dalam, gandingan tema dengan warna yang sama ini diteruskan. Rona warna hitam dengan kemasan jahitan kuning menjadi unsur utama, misalnya pada balutan tempat duduk dan sterengnya. Dan, lencana R3 seperti tidak ingin “direhatkan” pada kereta; bahagian penyandar kerusinya juga menerima lencana sama dalam bentuk jahitan kuning.

    Proton Saga R3 Limited Edition 2021 dilancarkan — edisi terhad 2,000 unit, RM42,300 hingga 30 Jun 2021

    Kemasan kuning yang sama dipadankan di beberapa lagi tempat dalam kabin, misalnya pada gelung paparan meter, pangkal konsol tengah papan pemuka, penutup/pembuka corong pendingin hawa serta jahitan keliling pelapik kaki yang diberikan. Dan, sekali lagi, lencana R3 Limited Edition ditampal juga pada papan pemuka serta di pelapik kaki berkenaan.

    Untuk ciri lain, kelengkapan Saga R3 Limited Edition 2021 ini masih sama seperti model Anniversary Edition/Premium AT. Ia termasuk lampu nyalaan siang LED, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh “terapung” bersaiz tujuh-inci berasaskan android, paparan pelbagai info dengan skrin tanpa warna, kamera undur dan pelbagai lagi.

    Sistem mekanikal juga tidak menampilkan sebarang perubahan, dijana oleh enjin VVT 1.3L empat-silinder menghasilkan 95 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 120 Nm pada 4,000 rpm. Ia juga hanya hadir dengan kotak gear automatik empat kelajuan konvensional, tanpa pilihan transmisi manual.

    Gambar rasmi