Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Usah salah guna permit rentas negeri, daerah; bukan alasan boleh balik kampung atau bercuti – PDRM

    Usah salah guna permit rentas negeri, daerah; bukan alasan boleh balik kampung atau bercuti – PDRM

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberi amaran supaya orang ramai jangan sesekali menyalahgunakan permit kebenaran merentas daerah dan negeri untuk balik ke kampung atau pergi bercuti ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina ini. Bahkan permohonan untuk mendapatkan permit kebenaran itu juga akan diperketatkan.

    Menurut Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali, pihaknya akan memastikan tapisan dan pemeriksaan terhadap surat kebenaran dibuat secara lebih teliti di peringkat balai sebelum permohonan diluluskan, laporan Berita Harian.

    “Kita mengingatkan kepada semua terutama sekali kaum Tionghua yang akan merayakan Tahun Baharu Cina yang berkemungkinan mengambil kesempatan ini (menyalahgunakan surat) untuk menikmati cuti panjang dan sebagainya.

    Usah salah guna permit rentas negeri, daerah; bukan alasan boleh balik kampung atau bercuti – PDRM

    “Kita akan menentukan rentas sempadan itu sama ada dari segi negeri ataupun 10 kilometer itu dibuat pemeriksaan teliti di peringkat balai lagi, jadi mereka tidak akan terlepas di sekatan jalan raya (SJR),” katanya.

    Tambahnya, selain SJR, pihaknya turut mengadakan Op Limau dan juga menggerakkan pasukan tambahan khas untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

    “Kita memahami untuk program makan besar hanya 15 orang satu keluarga, kita memang banyak menerima permohonan untuk rentas, tetapi banyak yang kita tolak kerana alasan sebenarnya untuk berjumpa keluarga.

    “Jadi, kita tidak membenarkan kerana apa yang paling penting kita kena sahut seruan kerajaan dan kita buat ini semua untuk memastikan keselamatan keseluruhan rakyat Malaysia,” katanya.

     
     
  • Volvo Car Malaysia tunjuk teaser model baru – XC40 Recharge T5 PHEV 258 hp bakal diperkenalkan?

    Volvo Car Malaysia tunjuk teaser model baru – XC40 Recharge T5 PHEV 258 hp bakal diperkenalkan?

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah mengeluarkan satu teaser melalui laman media sosial mereka, yang seakan memberi bayangan terdapat model baru bakal diperkenalkan. Sudah tentu, perinciannya tidak diberitahu, tetapi terdapat beberapa petunjuk dalam teaser tersebut yang menghala kepada XC40 Recharge T5.

    Dalam gambar yang dimuat naik tersebut, kita boleh melihat lampu hadapan XC40, iaitu sebuah model yang sebenarnya sudah pun dilancarkan di Malaysia. Walaubagaimanapun, terdapat tanda #VolvoRecharged yang menunjukkan ini adalah varian dengan bantuan kuasa kuasa elektrik, dan model ini masih belum tiba di Malaysia.

    Nama Recharge digunakan pertama kali pada XC40 versi elektrik dengan penggerak P8, dan ia membuat penampilan global pertama pada bulan Oktober 2019. Pada masa itu, Volvo juga memberitahu bahawa nama Recharge itu akan digunakan pada semua model Volvo yang mempunyai kuasa elektrik, termasuklah elektrik penuh dan plug-in hybrid.

    Jadi bermakna, apa sahaja model Volvo yang boleh dicas, sama ada ia menggunakan enjin PHEV Twin Engine ataupun elektrik sepenuhnya, ia akan menggunakan nama Recharge. Anda juga sudah boleh melihat terdapat versi Recharge untuk XC90, XC60 dan S60 yang dijual di Malaysia sekarang.

    Pada waktu ini, XC40 yang dikeluarkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia cuma dijual dalam satu varian, T5 AWD R-Design dan dikuasakan oleh enjin empat silinder Drive-E 2.0 liter turbo. Ia mampu menghasilkan kuasa 252 hp dan 350 Nm, dengan kuasa disampaikan kepada semua tayar melalui transmisi automatik lapan kelajuan.

    Sementara itu, XC40 Recharge T5 pula menggunakan padanan enjin petrol tiga silinder 1.5 liter (sama seperti Proton X50) yang berkuasa 180 PS/265 Nm bersama motor elektrik yang diletakkan pada transmisi klac berkembar tujuh kelajuan di hadapan.

    Hasilnya, XC40 PHEV ini cuma menggunakan pacuan dua roda hadapan, dengan motor elektrik itu memberi tambahan kuasa 82 PS (81 hp) dan 160 Nm, seterusnya menjadikan kuasa keseluruhan model ini 262 PS (258 hp) and 425 Nm.

    Pada aspek prestasi, XC40 PHEV tidaklah sepantas XC40 T5 biasa, dan ia cuma boleh memberi laju maksimum 180 km/j (berbanding 230 km/j) serta pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat (berbanding 6.4 saat). Walaupun begitu, ia mempunyai kelebihan pada aspek kecekapan dengan penggunaan bahan api yang dikatakan dapat menjadi serendah 2.0 l/100 km berbanding 7.7 l/100 km pada model XC40 biasa.

    Volvo Car Malaysia tunjuk teaser model baru – XC40 Recharge T5 PHEV 258 hp bakal diperkenalkan?

    Motor elektrik pada model ini mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 10.7 kWh yang diletakkan pada bahagian terowong tengah kenderaan, dan dapat memberikan jarak gerak 42 hingga 45 km menggunakan elektrik sepenuhnya. Pengecas AC 3.7 kW diberikan secara standard, dan bersama sambungan Type 2 serta soket tiga pin biasa 2.3 kW, ia mengambil masa lima jam untuk penuh. Apabila menggunakan stesen pengecas 3.7 kW, 7.0 kW atau 22 kW yang lebih berkuasa pula, masa itu dapat dikurangkan sehingga tiga jam.

    XC40 Recharge T5 ini juga sudah dijual di Thailand, dan media di sana melaporkan bahawa unit yang tiba di negara mereka diimport dari Malaysia. Oleh sebab itu, sentiasa timbul khabar angin model ini akan dilancarkan tidak lama lagi dan teaser itu menghala kepada topik yang sama.

    Pada aspek harga, keadaannya adalah berbeza di Thailand, kerana XC40 Recharge T5 menggantikan varian T4 Momentum (bukan hibrid) dan T5 AWD R-Design yang ditawarkan sebelum ini. Di sana, model permulaan XC40 Recharge T5 R-Design dijual pada harga 2.09 juta baht (RM282,450), iaitu sama seperti XC40 T4 Momentum sebelumnya sementara dua lagi varian iaitu R-Design dengan spesifikasi lebih tinggi serta Inscription dijual pada harga sama iaitu 2.39 juta baht (RM322,993).

    Dengan melihat kepada cara ini, mungkinkah VCM juga akan mengikut strategi yang sama dengan mengeluarkan XC40 T5 AWD R-Design dan menggantikannya dengan XC40 Recharge T5 pada harga sama? Pada masa sekarang, dengan pengecualian cukai yang diberi, XC40 T5 AWD R-Design (bukan PHEV) dijual pada harga RM241,450 tidak termasuk insurans. Terdapat juga kemungkinan dua-duanya sekali ditawarkan kepada pasaran.

    Untuk pengetahuan, dalam pasaran global lain, terdapat juga varian Recharge T4 yang mana enjin tiga silindernya menghasilkan cuma 129 PS dan 245 Nm tork, tetapi digabungkan dengan komponen elektrik yang sama untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 214 PS (211 hp) dan 405 Nm. Kita tidak menjangkakan ketibaan varian ini, dan juga XC40 Recharge P8 (elektrik penuh) kerana biasanya model elektrik penuh adalah lebih mahal berbanding model PHEV.

    GALERI: Volvo XC40 Recharge T5 R-Design

     
     
  • Mitsubishi Outlander PHEV jadi SUV plug-in terlaris di Eropah, PHEV kedua terbaik untuk semua segmen

    Mitsubishi Outlander PHEV jadi SUV plug-in terlaris di Eropah, PHEV kedua terbaik untuk semua segmen

    Mitsubishi Outlander PHEV telah diumumkan sebagai SUV plug-in hybrid paling laris di Eropah. Menurut Jato Dynamics, sebanyak 26,673 unit SUV terbabit telah pun dijual di benua berkenaan pada tahun 2020. Malahan Outlander juga telah diangkat sebagai PHEV kedua terlaris bagi semua segmen.

    Difahamkan, Outlander baharu juga bakal diperkenalkan tidak lama lagi. Ia bagi menggantikan model facelift (seperti dalam gambar di atas) yang telah diperkenalkan hampir tiga tahun yang lalu, menampilkan gaya yang dipertingkatkan dan enjin 2.4 liter kitaran Atkinson dengan kuasa 135 PS pada 4,500 rpm.

    Bateri lithium-ion 13.8 kWh menyalurkan pacuan pada dua motor elektrik, setiap satunya terletak di setiap gandar. Penjana kuasa PHEV menawarkan tiga mod pemanduan – EV Priority, Series Hybrid dan Parallel Hybrid. Dalam mod elektrik sepenuhnya, ia boleh memberikan jarak sehingga 135 km/j, dan kelajuan dari 0-100 km/j dalam 10.5 saat.

    Untuk keselamatan, ia ditampilkan dengan kawalan kelajuan adaptif, amaran ketibaan lorong,
    mitigasi pelanggaran hadapan dan sistem mitigasi pecutan yang tidak disengajakan. Ia juga diberikan penderia parkir hadapan dan belakang, kepekaan trafik lintasan belakang, tujuh beg udara dan penarafan lima-bintang bagi keselamatan pelanggaran NCAP.

     
     
  • Jenama lokal raih 62% perkongsian pasaran di M’sia – tertinggi sejak 2003; Proton naik, Perodua teratas

    Jenama lokal raih 62% perkongsian pasaran di M’sia – tertinggi sejak 2003; Proton naik, Perodua teratas

    Meneliti angka-angka jualan kenderaan di Malaysia sepanjang tahun 2020, kami mendapati ada corak baru di dalam total industry volume (TIV) yang direkodkan. Mengambil kira semua perkara — termasuk pandemik Covid-19 dan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan — pendahulu pasaran, Perodua serta Proton boleh dikatakan menikmati tahun yang baik, didorong kemudiannya oleh pengecualian cukai yang bermula Jun 2020.

    Perodua menjual 220,163 units sepanjang tahun 2020. Walaupun berkurangan daripada jualan tahun 2019 yang mencatatkan 240,341 unit (sasaran asal ialah 240k unit), pencapaian akhir itu kemudiannya tetap melebih sasaran yang diperbaharui, yang diumum pada Ogos tahun lalu, dengan angka 210,000 unit. Sementara itu, bagi Proton yang selesa berada di tempat kedua pula sejak 2019, menyaksikan peningkatan jualan 108,524 unit pada 2020, meningkat 8.3%.

    Dari segi perkongsian pasaran, Perodua mengkuhkan lagi peratusan penguasaannya daripada 39.8% kepada 41.6%, sementara lonjakan jualan Proton membolehkannya menguasai satu per lima daripada pasaran — dengan 20.5% berbanding 16.6% pada 2019. Gabungan kedua-dua angka ini, jenama pengeluar tempatan menguasai sebanyak 62.1% keseluruhan pasaran automotif Malaysia, angka tertinggi sejak tahun 2003.

    Peningkatan import

    Bagi TIV tahun 2014, berita utama ketika itu ialah jenama bukan nasional telah memintas Proton-Perodua buat pertama kali. Diterajui oleh prestasi mengkagumkan Honda (jualan pada 2014 mencatatkan peningkatan 50% tahunan), jenama luar berjaya menguasai 53% perkongsian pasaran berbanding gabungan Proton-Perodua 47%.

    Jenama lokal raih 62% perkongsian pasaran di M’sia – tertinggi sejak 2003; Proton naik, Perodua teratas

    Ketika itu, perubahan berkenaan sudah boleh dijangka. Sejak tahun 2011 jenama-jenama luar ini telah memperkukuhkan kedudukan jualan mereka. Jenama nasional pula menurun antaranya disebabkan prestasi menurun Proton. 2011 menjadi tahun terakhir Proton memiliki perkongsian pasaran sekitar 20%; sejak itu angka berkenaan menyusut kepada hanya 11% pada tahun 2018. Ketika memasuki millennium dahulu, Proton sahaja sudah menguasi lebih separuh daripada pasaran kenderaan di Malaysia; jadi itu merupakan penurunan teruk.

    Peratusan perkongsian pasaran Perodua pula kekal konsisten di sekitar 30% untuk tempoh sedekad bermula tahun 2006. Walaupun kekal sebagai pendahulu, penurunan gabungan jualan bagi jenama tempatan tetap meresahkan Perodua. CEO ketika itu, Datuk Aminar Rashid Salleh menyifatkan keadaan itu disebabkan oleh liberalisasi pasaran.

    Ketika itulah masanya tiga jenama utama Jepun sangat agresif dalam segmen B, memperkenalkan model-model baru dengan harga yang menghampiri penawaran paling lengkap model Proton dan Perodua. Nissan Almera N17 pada 2012, Toyota Vios pada 2013 dan Honda City generasi keempat (serta Jazz) pada 2014 semuanya laris. Sebagai perbandingan, bagi Proton ketika itu, jualan Preve dalam segmen C, Suprima S serta Iriz yang berlawan dengan Myvi — semuanya bukanlah satu kejayaan dari segi jualan.

    Pada 2016, Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin memaklumkan, perkongsian pasaran pengeluar tempatan yang berada di bawah 50% adalah tidak sihat bagi industri automotif di sini. Kenyataan itu juga sesuatu yang jarang-jarang dikeluarkan secara umum oleh bos Perodua.

    Jenama lokal raih 62% perkongsian pasaran di M’sia – tertinggi sejak 2003; Proton naik, Perodua teratas

    “Walaupun kami faham hasrat kerajaan untuk meliberalisasi industri automotif dalam jangka masa terdekat, kami juga percaya bahawa eko-sistem automotif negara ini, yang terdiri daripada vendor tempatan serta pengeluar tempatan seperti Perodua, masih belum sampai ke tahap yang membolehkan kami bersaing secara adil dengan jenama-jenama besar yang lain,” ujar beliau.

    “Ini kerana kami masih belum sampai ke tahap matang, dari segi skala ekonomi, keboleh-saingan kos dan kualiti, jika dibandingkan dengan jenama global. Jika peratusan itu terus menurun di bawah 45%, maka banyak vendor dan pengedar tempatan terpaksa menamatkan operasi dan ini akan memberi kesan negatif keada ekonomi secara keseluruhannya,” tambah beliau.

    Kebangkitan Proton

    Nasib baik, penurunan melebihi tahap itu untuk jenama tempatan tidak pernah berlaku. Sejak itu, Perodua terus menongkah arus untuk berdepan dengan jenama-jenama luar berkenaan, sementara Proton masih bergelut dengan penurunan jualannya. Dalam graf, titik genting Proton adalah pada 2018, ketika ia hanya mencatatkan 11% perkongsian pasaran. Namun, peralihan paling penting ialah pada tahun 2017, ketika Geely mengambil alih 49.9% kepentingan dalam Proton.

    Kesan daripada peralihan ini rasanya ramai antara kita sedia maklum. Sejak 2019 lagi, banyak model diperbaharui diperkenalkan semula oleh Proton, misalnya Persona, Iriz, Exora dan Saga. Tidak lupa, pengenalan SUV sulung Proton, X70 pula pada tahun 2018, yang mengambil asas daripada model Geely. Kesannya, perkongsian pasaran Proton meningkat, daripada 17% pada 2019 kepada 21% pada 2020.

    Jenama lokal raih 62% perkongsian pasaran di M’sia – tertinggi sejak 2003; Proton naik, Perodua teratas

    Perodua pula sentiasa kekal menunjukkan prestasi jualan yang mengkagumkan. Tahun 2018 merupakan tahun pertama jualan Myvi generasi ketiga, sementara pada tahun 2019 Perodua memperkenalkan pula Aruz tujuh-tempat duduk. Kedua-dua model tersebut, disertai oleh Axia sekali, mendorong Perodua untuk merekodkan jualan 240k unit pada 2019.

    Ini menunjukkan bahawa kedua-dua jenama tempatan ini berkembang dan memperluaskan lagi penguasaan jualan masing-masing dengan meraih bahagian yang disandang jenama import. Lihat Honda misalnya, dengan peningkatan di penghujun 2020, ia mengalahkan Toyota utnuk menjadi jenama kereta bukan nasional paling larus bagi enam tahun berturut-turut, dan berada di kedudukan ketiga keseluruhan.

    Bagaimanapun, 60,468 unit Honda yang dijual tahun lalu adalah 29% lebih rendah berbanding tahun 2019 (85,418 unit), yang telah juga menyusut dengan banyak berbanding tahun 2018 (102,282 unit). Rekod tertinggi Honda Malaysia adalah pada 2017, dengan berhasil menjual 109,511 unit untuk mencecah angka 100k setahun buat pertama kali. Pada tahun 2016-2018, Honda sempat menduduki tempat kedua keseluruhan, mengatasi Proton.

    Apa ertinya semua ini untuk industri tempatan? Seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi Perodua, peningkatan penguasaan oleh jenama nasional akan memberi manfaat kepada eko-sistem automotif, merangkumi vendor dan pengedar tempatan. Proton dan Proton berkongsi banyak pembekal tempatan, dan dengan jumlah yang lebih besar, ia sangat bermanfaat untuk semua. Ini juga tambahan kepada kadar kandungan lokal yang tinggi pada kenderaan keluaran jenama tempatan.

    Bagaimanapun, kapasiti keseluruhan tidak bertumbuh lebih besar. Malaysia merupakan pasaran kenderaan yang hampir tepu. TIV bagi tahun 2020 mencecah 530k unit, dan walaupun Persatuan Automotif Malaysia meramalkan pertumbuhan TIV 8% tahun ini (kepada 570k), pertumbuhan dijangka sederana pada kadar 3.0-3.2% dari 2023 hingga 2025.

    Kelaziman baru?

    Jenama lokal raih 62% perkongsian pasaran di M’sia – tertinggi sejak 2003; Proton naik, Perodua teratas

    Jika pasaran tidak akan berkembang lebih luas, kebangkitan penguasaan jenama tempatan ini bermaksud mereka akan memberi kesan terhadap penguasaan jenama luar yang akan menerima bahagian yang lebih kecil.

    Misalnya Honda, jenama itu mungkin sukar untuk mencapai angka 100k tahunan lagi, dan perlu menilai semula skala perniagaannya kelak. Operasi CKD memerlukan jumlah untuk kekal mapan, dan sekiranya jumlah itu tidak cukup besar untuk pemasangan tempatan, mungkin tidak banyak kelebihan untuk memasang kereat di sini berbanding membawanya masuk dari kilang-kilang lain syarikat itu di ASEAN. Toyota sudahpun berbuat demikian; Camry dan Corolla sebelum ini memang di pasang di sini, tetapi sekarang ia dibawa masuk sebagai unit CBU import dari Thailand sahaja.

    Begitu juga, kurangnya projek CKD, keperluan terhadap alat dan pekerja tempatan juga akan menurun. Bagi pelanggan pula, kenderaan CBU bermakna harga juga akan jadi lebih tinggi atau kurangnya kelengkapan yang ditawarkan, bergantung kepada strategi harga model yang terlibat.

    Tahun 2021 ini akan jadi lebih menarik bagi pengeluar tempatan. SUV Perodua D55L kita tahu akan diperkenalkan secara rasmi tahun ini. Proton juga sebelum ini memaklumkan yang pihaknya mampu memperkenalkan satu produk baru setiap tahun, dan sudah ada khabar angin tentang sedan segmen C, MPV atau SUV besar yang akan menyertai barisan produknya di ini. Apa harapan anda?

     
     
  • Honda HR-V 2021 – lukisan paten bocor!

    Honda HR-V 2021 – lukisan paten bocor!

    Honda HR-V generasi ketiga sebelum ini sudah pun diumumkan akan membuat kemunculan sulung peringkat globalnya pada 18 Februari nanti. Namun, gambaran awal untuk model tersebut nampaknya sudahpun bocor menerusi gambar paten yang disiarkan oleh akaun Facebook Vanhoe Rage.

    Menerusi set gambar berkenaan, HR-V 2021 dilihat bakal menampilkan dua rekaan gril berbeza. Yang pertama, seperti yang dilihat pada gambar spyshot prototaip ujiannya, ia menggunakan rekaan jalur melintang. Manakala satu lagi versi diberikan gril dengan elemen rekaan Diamond-pin, seperti Mercedes-Benz dan juga kebanyakkan model-model baharu dari jenama China.

    Secara keseluruhan, bentuk model generasi baharu ini sememangnya adalah versi produksi untuk model konsep Honda SUV e:concept yang didedahkan di Beijing tahun lalu. Malah dengan gambar spyshot unit prototaip ujian yang dijumpai dan digabungkan dengan rekaan e:concept, imej bayangan yang dihasilkan oleh Theophilus Chin sebelum ini telah menghasilkan rupa yang hampir sama seperti rekaan paten yang terdedah tersebut.

    HR-V generasi baharu ini menampilkan rupa yang jauh berbeza dari generasi sedia ada. Ia direka dengan muncung yang kelihatan tinggi dan panjang, garis bahu yang lebih tegap serta garis bumbung dan pintu belakang yang lebih bersegi. Namun pembuka pintu belakang yang ‘disorokkan’ pada sebelah atas memberikan bayangan seolah-olah ia model tiga pintu masih dikekalkan sebagai identiti HR-V.

    Model generasi seterusnya ini juga sudah mula menggunakan rekaan muka signatur baharu Honda dengan lampu dan gril yang lebih bersegi, serta lampu belakang yang lebih nipis, seperti yang diterapkan pada Honda Civic generasi ke-11.

    Tiada sebarang lukisan untuk bahagian dalaman didedahkan. Tetapi menerusi teaser yang disiarkan oleh Honda bulan lalu, boleh dibayangkan HR-V akan dipadankan dengan papan pemuka yang direka lebih melintang dan ringkas, bersama skrin infotainmen yang berdiri sendiri.

    Model konsep Honda SUV e:concept (atas kiri), imej bayangan Theophilus Chin (atas kiri) dan spyshot unit prototaip ujian di Jepun (bawah)

    Bahagian lain yang boleh dilihat dalam gambar teaser tersebut adalah pengawal pendingin hawa serta tombol gear seperti Jazz dan City, serta tweeter pada bahagian pintu yang mungkin menunjukkan tambahan jumlah pembesar suara.

    Tiada sebarang bayang perincian teknikal yang untuk model generasi baharu ini, tetapi Honda telah mengesahkan HR-V akan datang dengan pilihan sistem hibrid e:HEV seperti Jazz dan City. Kedua-dua model berkenaan hadir dengan sistem hibrid dua motor elektrik Intelligent Multi Mode Drive (i-MMD) berkuasa 108 PS/253 Nm, bersama enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 98 PS/127 Nm.

    Juga boleh dijangka HR-V generasi ketiga ini akan turut hadir dengan pilihan enjin petrol sepenuhnya, termasuk enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang telah pun digunakan pada model generasi sedia ada pada pasaran-pasaran tertentu.

     
     
  • Triumph Bonneville 2021 akan didedah 23 Februari

    Triumph Bonneville 2021 akan didedah 23 Februari

    Triumph Motorcycles sekarang mempunyai banyak model daripada pelbagai kategori, tetapi yang paling bersejarah dan membawa gaya warisan adalah siri Bonneville yang kini dipanggil sebagai motosikal kategori klasik moden.

    Dalam keseluruhan model Triumph yang ditawarkan kini, ada empat model yang masih menggunakan nama Bonneville iaitu T100, T120, Bobber dan juga Speedmaster. Walaubagaimanapun, terdapat juga beberapa model lain yang menggunakan bentuk klasik asas hampir sama termasuk Street Twin, Speed Twin, Street Scrambler, Scrambler 1200 dan Thruxton.

    Ini adalah kategori motosikal yang penting bagi Triumph dan dalam masa beberapa minggu lagi, mereka akan memperkenalkan barisan model baru Bonneville tahun 2021 kepada dunia. Video teaser untuk pelancaran ini sudah disiarkan, dengan tertulis siarang langsung akan dibuat pada 23 Februari.

    Memandangkan ini adalah video teaser, kita cuma boleh melihat bayangnya sahaja dan itupun tidak menampakkan perubahan yang jelas kerana bagi mengekalkan identitinya, bentuk asas model ini masih lagi sama. Model yang ditampilkan pula kesemuanya ada enam.

    Untuk model yang berada di pasaran sekarang, semua Bonneville menggunakan enjin dua silinder selari, dan boleh didapati sama ada dalam versi 900 cc ataupun 1,200 cc. Kelengkapan lain yang diberi bergantung kepada model.

     
     
  • Haval H6 2021 akan dilancarkan di Thailand pada Mac ini – bakal tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi?

    Haval H6 2021 akan dilancarkan di Thailand pada Mac ini – bakal tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi?

    Great Wall Motors telah mendedahkan bakal melancarkan Haval H6 di Thailand pada tahun ini. SUV segmen-C generasi ketiga ini merupakan salah satu daripada empat model yang akan dijual di negara berkenaan dalam tempoh 11 bulan akan datang, dengan lima lagi model pula bakal dilancarkan menjelang akhir 2023.

    Tiada perincian mengenainya setakat ini, tetapi H6 akan dipasang di kilang milik syarikat berkenaan yang terletak di Rayong, sebelum ini dimiliki oleh General Motors. Perkhabaran ini juga mungkin memberikan petanda bahawa model yang mungkin bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia, sama dengan unit import sepenuhnya (CBU) atau pun pemasangan tempatan (CKD) (GWM memiliki fasiliti CKD di Gurun, Kedah) dengan cukai import dan eksais yang lebih rendah. Model H6 coupe sedia ada pernah dijadualkan tiba di sini pada tahun 2017 tetapi sehingga sekarang tidak kunjung tiba.

    H6 baharu merupakan kenderaan GWM pertama yang dibangunkan dengan Lemon modular platform, yang turut digunakan oleh kenderaan elektrik Good Cat. Sedikit besar berbanding model sedia ada, H6 baharu ini memiliki penampilan yang lebih menarik berbanding model sebelumnya. Ciri yang diberikan termasuklah gril paten Fangsheng enam-poin, lampu utama LED “Rising Flame”, bampar hadapan berbentuk-X, dan lampu belakang lebar sepenuhnya.

    Di dalamnya, H6 menampilkan kabin futuristik dengan papan pemuka yang minimalis, konsol tengah yang tinggi dengan pemilih gear rotary dan instrumen freestanding 10.25-inci dan juga paparan infotainmen 12.3-inci. Kereta ini juga miliki ketersambungan 5G dan fungsinya boleh dikemaskini.

    Bagi aspek keselamatan, H6 ditawarkan dengan brek kecemasan sendiri dengan pengesan trafik, penunggang basikal dan pejalan kaki, pemantauan titik buta, pengesan isyarat trafik, dan pemanduan sendiri Level 2, fungsi untuk menjaga pendikitan, brek dan stereng. Walau bagaimana pun, tidak dipastikan adakah model pasaran Thai akan menerima ciri ini.

    Di China, H6 menawarkan dua pilihan enjin pengecas turbo empat-silinder – unit 1.5 liter dengan hamburan 166 hp dan tork 285 Nm dan 2.0 liter dengan 208 hp dan 325 Nm. Kesemua model menerima transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan, sementara penjana kuasa 2.0 liter turut diberikan sistem pacuan semua-roda Haldex.

    Menurut laporan portal automotif Headlightmag.com, Haval H6 baharu ini bakal dilancarkan di Thailand pada Mac, kemungkinan besar di Bangkok International Motor Show.

     
     
  • Land Rover Defender Works V8 Trophy 2021 buat penampilan – bermula RM1.09 juta, 25-unit, V8 5.0L

    Land Rover Defender Works V8 Trophy 2021 buat penampilan – bermula RM1.09 juta, 25-unit, V8 5.0L

    Land Rover Defender generasi baharu sudahpun lebih setahun diperkenalkan dalam pasaran. Namun, dengan ‘cult status’ yang ada pada model generasi terdahulu, ia masih lagi diproduksi dalam versi edisi terhad oleh divisi Land Rover Classics, dan ini yang terbaharu – Land Rover Defender Works V8 Trophy 2021.

    Model isitimewa ini hanya dibuat sebanyak 25-unit dalam bentuk badan jarak roda pendek Defender 90 dan wagon Defender 110. Kesemua pembeli Defender Works Trophy ini turut menerima jemputan khas untuk menyertai pertandingan ekspedisi tiga hari pusat latihan all-terrain, ujian dan pembangunan Land Rover di Eastnor Castle, Herefordshire.

    Kesemua 25-unit model edisi terhad ini dibina berasaskan Defender Works V8 2012-2016, diberikan rupa seakan Land Rover ikonik Camel Trophy era 80’an hingga 90’an dahulu dengan warna Eastnor Yellow, serlahan Narvik Black pada ruang roda, bonet dan pintu tailgate belakang, serta rim 16-inci juga berwarna kuning.

    Land Rover Defender Works V8 Trophy 2021 buat penampilan – bermula RM1.09 juta, 25-unit, V8 5.0L

    Ia dijana dengan enjin petrol 5.0 liter berkuasa 405 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 515 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan ZF. Walaupun ia digandingkan dengan kotak gear moden dengan tuil penukar gear pistol, sistem pacuan empat roda Defender Works Trophy ini masih hadir dengan sistem hardcore menampilkan kotak penghantaran dua-kelajuan serta differential tugas berat pada gandar hadapan dan belakang.

    Perincian lain untuk Defender Works Trophy ini termasuk lampu hadapan LED, gril hadapan Heritage, lencana dan grafik yang unik untuk setiap peserta dalam ekspedisi, winch hadapan, rollcage ekspedisi luar badan pelbagai poin, rak bumbung, pelindung bawah badan, bar-A, unit pengambil udara yang ditinggikan untuk meredah sungai, lampu-lampu tambahan LED dan juga tayar jenis mud-terrain.

    Pada bahagian dalaman, model istimewa ini terus datang dengan tempat duduk bucket Recaro yang dibalut kulit Windsor, bersama serlahan jahitan kuning. Walaupun nampak lasak, ia turut disulam dengan berberapa ciri mewah seperti jam istimewa Land Rover Trophy dari Elliot Brown, dan juga sistem Classic Infotainmen yang bersepadu dengan navigasi GPS serta hubungan peranti pintar mudah alih.

    Kesemua pembeli Land Rover Defender Works Trophy 2021 ini akan menerima kereta mereka pada pertandingan ekspedisi yang dinyatakan tadi, berlangsung pada lewat tahun ini. Mereka turut akan diberikan tunjuk ajar terus pada ekspedisi tersebut. Di UK, Land Rover Defender Works Trophy 2021 akan dijual pada harga bermula £195,000 (RM1.09 juta) untuk versi D90.

     
     
  • Harga runcit RON95 turun sebanyak 3 sen menjadi RM2.05 seliter, diesel dikurangkan ke RM2.15 seliter

    Harga runcit RON95 turun sebanyak 3 sen menjadi RM2.05 seliter, diesel dikurangkan ke RM2.15 seliter

    Kementerian Kewangan mengumumkan penetapan bagi harga siling petrol RON95 dan diesel telah dilaksana ekoran harga sebenar minyak di pasaran global meningkat.

    Menurut menterinya, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, harga runcit semasa petrol RON95 akan dihadkan pada paras siling RM2.05 seliter. Manakala harga runcit semasa diesel akan dihadkan pada paras siling RM2.15 seliter.

    “Paras harga siling RM2.05 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.15 seliter bagi diesel ini adalah lebih rendah berbanding had harga yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2019 iaitu RM2.08 seliter bagi petrol RON95, dan RM2.18 seliter bagi diesel. Di mana Kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi.

    Harga runcit RON95 turun sebanyak 3 sen menjadi RM2.05 seliter, diesel dikurangkan ke RM2.15 seliter

    “Keputusan ini diambil berdasarkan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang semakin meningkat susulan peningkatan permintaan minyak mentah dunia yang turut dipengaruhi oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia,” ujarnya menerusi kenyataan media yang dihantar lewat petang tadi.

    Tambahnya, “Trend harga minyak global juga dipengaruhi oleh pelan vaksinasi COVID-19 yang mula dilancarkan secara beransur-ansur di seluruh dunia. Malaysia sendiri akan melancarkan Program Imunisasi Kebangsaannnya bermula hujung Februari 2021.”

    Beliau turut berkata, walau bagaimana pun, kerajaan tetap komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi mengimbangi tanggungan subsidi Kerajaan dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

     
     
  • DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

    DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

    Kami dah siarkan berkenaan Dream Street Restoration (DSR) sebelum ini, iaitu firma restorasi yang dibentuk oleh pemandu rali dan juga bekas ahli pasukan Proton R3, Encik Suriya Sankaran bersama anaknya Dharveen Suria, yang pakar untuk melahirkan semula model-model dari casis C99 Proton (Wira 1.8 EXi, Satria GTi, Putra dan Satria R3). Kalau anda belum baca, boleh bacanya pada PAUTAN INI.

    Malah hasil pertama restorasi DSR iaitu sebuah Proton Satria GTi keluaran tahun 2000 dengan plat DSR-001-C99 telahpun kami paparkan dengan terperinci sebelum ini (kalau belum baca, boleh tengok di PAUTAN INI). Sekarang, mempersembahkan, hasil restorasi kedua yang dihasilkan DSR dengan plat DSR-002-C99 – model edisi terhad yang hanya ada 150 unit di atas muka bumi ini – Proton Satria R3!

    Beruntungnya kami kali ini, penulis bukan sahaja dapat melihat sebuah kereta yang menjadi idaman ketika zaman remaja dulu (sehingga sekarang) dalam keadaan yang hampir sama ketika ia keluar dari kilang pada tahun 2004 hingga 2005, dengan hubungan Suriya yang masih rapat dengan ahli-ahli pasukan R3 yang lain, artikel kali ini kami turut akan merungkai fakta-fakta sahih yang mungkin akan membuat kening anda ternaik-naik berkenaan Satria R3 ini, dan tidak pernah tersiar dalam mana-mana media sebelum ini.

    Anda mungkin lihat Satria R3 ini merupakan versi tingkat taraf Satria GTi dari segi rupa dan berberapa perincian prestasi. Namun menurut Suriya, proses restorasi Satria R3 ini jauh lebih mencabar kerana kereta ini walaupun nampak seakan sama dengan GTi, disebalik kulitnya ia adalah model yang benar-benar bespoke dan banyak komponen mekanikal yang tidak boleh ditukar pakai antara GTi biasa dan Satria R3 ini.

    DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

    Berbanding Satria GTi DSR-001 sebelum ini yang diterima selepas ia ditinggalkan dalam keadaan tidak terjaga dalam tempoh masa yang cukup lama, asas untuk projek kali ini adalah sebuah kereta yang kurang berjalan dan dijaga dengan elok. Namun pemilik terkini Satria R3 berkenaan membeli kereta tersebut dalam keadaan badannya telah dilayangkan dengan warna lain, bampar hadapan sudah ditebuk-tebuk, spoiler asli gentian karbon R3 sudah lagi tiada, malah suspensi asal juga telah ditukar menggunakan penyerap hentak boleh laras sepenuhnya.

    Kereta ini dihantar untuk direstorasi sudah tentu selari dengan matlamat DSR, iaitu menjadikan ia menjadi sebaik atau lebih baik dari keadaannya selepas keluar dari barisan produksi di kilang dahulu. Dan seperti proses restorasi sebenar yang lain, ia dimulakan dengan membuka semula semua komponen luar dan dalam yang terlekat pada kerangka badan untuk dibersihkan, dirawat dan dicat semula.

    Ok, tentu ada daripada anda pernah dengar cerita bahawa Satria R3 ini diasaskan dari Satria paling asas 1.3 dan bukan dari Satria GTi bukan? Fahamkan apa yang kami tulis ini tentang fakta sebenar kerangka Satria R3 seperti yang diceritakan oleh bekas eksekutif pembangunan produk Proton R3, Faisal Asri.

    Projek untuk menghasilkan Satria R3 ini bermula ketika zaman R3 dipimpin oleh Tengku Djan Ley sebagai ketua divisi Proton Motorsport, manakala projek ini sendiri diterajui oleh Ketua Projek Istimewa Divisi Proton Motorsport ketika itu, Adian Yein Khalid yang kini telahpun bersama kami sebagai bos besar untuk siri perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF).

    DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

    Sebenarnya, asas untuk model edisi terhad ini bukanlah diasaskan dari kerangka Satria 1.3 atau Satria GTi.Proses produksi Satria R3 ini dimulakan di kilang utama Proton di Shah Alam. Kerangka berkenaan dipasang dengan proses cantuman dua kali lebih banyak dari kerangka Satria GTi di kilang tersebut. Contohnya, sekiranya jarak antara titik kimpalan pada kerangka Satria GTi adalah 100 mm, titik kimpalan pada Satria R3 ini adalah 50 mm.

    Ini menjadikan kerangka tersebut jauh lebih kuat dari kerangka Satria GTi yang akan memberikan lenturan badan yang kurang, seterusnya memberikan pengendalian yang jauh lebih baik. Dalam kata lain, kerangka badan Satria R3 ini bukan dari Satria 1.3 mahupun Satria GTi, ia adalah kerangka bespoke khas dan anda tidak mungkin dapat menghasilkan sebuah Satria R3 convert berasaskan mana-mana Satria lain dengan kualiti yang sama.

    Selepas kerangka Satria R3 ini siap, kilang utama juga menyembur cat dengan kod warna khas untuk Satria R3 ini yang diberi nama Incognito Black. Nama untuk warna hitam ini juga ada ceritanya sendiri; Pada tahun 1995 dahulu, BMW ada membuat satu iklan untuk model M3 E36 dengan memaparkan dua buah kereta berwarna kuning dan hitam dengan latar belakang hitam. Iklan tersebut turut disertakan dengan kapsyen “The new M3, in yellow or incognito” bermaksud “M3 baharu, dalam warna kuning atau tak nampak/menyamar”. Ya, nama Incognito Black tersebut adalah diinspirasikan dari iklan BMW M3 ini.

    Kilang utama Proton ini juga memasang komponen lain untuk Satria tersebut termasuk enjin 1.8 liter 4G93P, tetapi badannya ia tidak diberikan sebarang material penebat bunyi, tiada sistem ABS seperti pada brek seperti Satria GTi. Ini adalah konsep yang hampir serupa yang diterapkan oleh Honda terhadap Honda Civic EK9 Type R untuk mengurangkan sebanyak mungkin berat, serta memberikan had membrek lebih tinggi kepada pemandu tanpa campur tangan sistem ABS khususnya untuk mendapatkan masa lap terbaik di litar.

    Selain itu, ia hanya diberikan rim besi 14-inci, manakala kabin pula hanya diberikan kemasan asas yang sama seperti Satria 1.3 termasuk tempat duduk dan juga roda stereng urethane biasa. Dalam keadaan ini, kereta-kereta yang keluar dari barisan produksi tersebut dihantar ke fasiliti R3 untuk dilengkapkan.

    Ketika R3 mengemukakan permohonan mereka bagi menghasilkan model edisi terhad ini, bos besar Proton ketika itu, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff memberikan syarat bahawa model ini perlu dihasilkan bukan sebagai GTi yang ditala semula, tetapi ia adalah model yang berbeza. Pada bahagian dalaman misalnya, ada perincian-perincian kecil yang anda nampak sama antara GTi dan R3, tapi sebenarnya lain.

    Panel kemasan plastik pada papan pemuka dan juga pada konsol tuil gear misalnya, pada Satria GTi ia hadir dalam warna perak bersama pemegang cawan yang tersorok di bawah corong penghawa dingin yang masih tampil dengan warna hitam pada bahagian luar. Namun untuk Satria R3, komponen yang sama diberikan warna titanium gelap. Satu lagi pada set pedal aloi, walaupun rekaan pada model R3 ini nampak sama seperti pedal GTi, tiada lagi logo ‘GTi’ pada pedal berkenaan menandakan ia tiada kaitan dengan Satria GTi.

    Di fasiliti R3, segala komponen asas yang dibekalkan dari kilang utama telah ditanggalkan kembali dan kemudian staf-staf R3 menggantikan komponen unik dari mereka antaranya sepasang tempat duduk bucket Recaro SR4, tempat duduk belakang dengan balutan fabrik yang sama seperti tempat duduk hadapan, roda stereng Momo Tuner dengan bosskit R3 20 mm, tombol gear gentian karbon, karpet kaki R3, balutan fabrik merah pada panel pintu dan juga tali pinggang keledar juga berwarna merah.

    DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

    Kalau anda perhatikan, Satria R3 ini juga hadir dengan cermin sisi manual tanpa larasan berkuasa elektrik pada GTi. Alasannya tetap sama, untuk mengurangkan sebanyak mungkin beratnya. Malah, karpet besar pada kabin Satria R3 ini juga sebenarnya lebih nipis dari karpet Satria biasa semata-mata mahu lebih ringan. Secara keseluruhan, berat Satria R3 ini tidak mencecah 1 tan, ditimbang hanya pada 995kg.

    Pada bahagian luar, kit badan R3 bermula dari bampar hadapan overfender, skirt sisi dan bampar belakang adalah sama dengan GTi, bersama lampu hadapan dan belakang smoked. Selain dari warna badan, model R3 ini turut dibezakan dengan jalur merah pada sisi badan, spoiler gentian karbon, rim R3 yang dihasilkan oleh Advanti bersaiz 16-inci dengan lebar 7 jj bersama tayar Yokohama Advan Neova AD07 bersaiz 205/45R16.

    Berbalik pada Satria R3 DSR-002 ini, walaupun pada bahagian luarannya sebelum ini cacamarba, mujur pada bahagian kabin kereta ini hampir dara dan tidak terusik. Segala komponen yang ditanggalkan tadi telah dibersihkan semula oleh DSR kemudian dipasangkan semula.

    DSR turut memadankan berberapa aksesori dengan jenama mereka sendiri seperti set karpet kaki, set padel aloi, dan juga tombol gear. Kesemua aksesori DSR ini masih mengekalkan bentuk dan rekaan yang sama seperti aksesori asli R3, cuma dengan logo DSR. Malah sebenarnya, ia dibuat dan dikilangkan oleh vendor sama yang membekalkan aksesori R3 tersebut dahulu.

    DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

    Pada bahagian luaran, DSR turut memperolehi spoiler bawah bampar hadapan opsyen asli R3 untuk Satria ini, manakala jalur sisi ‘bloodstripe‘ R3 telah dibuat semula oleh Motorsport Playground, pihak yang sama menghasilkan grafik badan kereta lumba R3 buat masa sekarang.

    DSR juga berjaya mendapatkan set rim asli Advanti R3 berkenaan kemudian direstorasi semula seperti baharu, serta menghasilkan kembali penutup tengah rim berkenaan dengan logo R3 yang sama seperti komponen asli. Tayar Yokohama Advan AD07 sudah tentu tiada lagi dalam pasaran sekarang, dan ia digantikan dengan Advan Neova lebih moden iaitu AD08R.

    Spoiler belakang gentian karbon yang hilang pada Satria R3 ini, mahu tak mahu, DSR terpaksa menghasilkan satu unit baharu, tetapi ini tidak dihasilkan oleh kilang sama yang membuat komponen asli dahulu. Dan kalau anda nak satu spoiler ini, bolehlah berurusan dengan DSR kerana mereka boleh menghasilkannya lagi.

    Kalau anda nak tahu, spoiler asli Satria R3 sebenarnya dibuat oleh Composites Technology Research Malaysia (CTRM) iaitu salah sebuah syarikat milik DRB Hicom yang turut menghasilkan pelbagai komponen komposit pesawat termasuk Airbus A320, A350, A380, A400 dan lain-lain. Selain spoiler, CTRM juga bertanggung jawab untuk menghasilkan penutup cam valley gentian karbon pada rocker cover enjin 4G93P Satria R3 berkenaan.

    Proton Satria R3 masih diberikan enjin yang sama seperti Satria GTi iaitu unit 4G93P 1.8 liter empat-silinder bersama unit pengurusan enjin dikawal oleh kotak komputer Siemens EMS 400. Namun R3 telah melakukan sedikit pengubahsuaian pada tahap ‘Stage 1’ membolehkan ia menjana 140 hp/148 Nm, melibatkan penggunaan campulley boleh laras, serta sistem ekzos yang diolah semula sepenuhnya – tanpa catalytic converter, serta menggunakan tip ekzos oval yang besar dengan logo R3 di atasnya, diinspirasikan dari Lotus Elise generasi pertama.

    Manakala untuk kotak gear, secara asasnya ia adalah kotak gear yang sama dengan Satria GTi, tetapi nisbah gear lima telah diubah dari 0.756 kepada 0.777. Ini menyebabkan kelajuan maksimanya menurun dari 210 km/j kepada 205 km/j, tetapi ia lebih berguna di litar kerana ia lebih responsif pada gear puncak bagi mendapatkan kelajuan tertinggi misalnya pada dua laluan lurus panjang di litar Sepang.

    Enjin pada Satria R3 DSR-002 ini sebenarnya tidak perlu pun untuk dirombak rawat kerana jarak perbatuannya masih rendah, dan kebanyakkan komponen dalaman masih lagi sangat bersih ketika dibuka. Namun DSR tetap melakukan proses berkenaan bersama servis signatur mereka iaitu proses blueprint.

    DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

    Menerusi proses ini, aci engkol enjin tersebut diimbang semula, manakala setiap komponen dalaman dipasang semula dengan lebih teliti dari proses pemasangan produksi massa di kilang dan melibatkan toleransi paling maksimum.

    Seperti DSR-001 sebelumnya, Suriya turut memberikan peluang untuk penulis memandu uji Satria R3 DSR-002 ini. Berbeza dengan Satria GTi yang menyajikan bunyi sedutan udara yang menaikkan semangat anda untuk terus menekan pedal pendikit, enjin pada Satria R3 ini turut ditambah dengan sensasi irama dari ekzos.

    Memang enjin ini tidak memberikan tujahan tork pada rpm rendah seperti model-model hot-hatch terkini yang menggunakan pengecas turbo. Namun enjin nikmat untuk memandu enjin NA dengan karekter ‘rev happy‘ ini sukar diungkap dengan kata-kata. Bunyi dan respon yang dihasilkan seolah-olah memberitahu pemandu untuk menekannya sehingga ke takat rpm tertinggi.

    Dan dengan enjin yang sudah melalui proses blueprint ini, ia beroperasi dengan cukup lembut, lancar dan stabil. Sekiranya anda bergerak pada kelajuan rendah tetapi dengan gear tinggi, tiada sebarang gegaran dari enjin dirasakan, cuma ia kurang kuasa kerana belum sampai rpm tinggi bagi memberikan tork secukupnya. Memang ajaib.

    DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

    Pengendalian Satria R3 ini juga jauh berbeza dengan Satria GTi, dan ini antara sentuhan ajaib dari pasukan R3. Pergerakan strok penyerap hentak antara GTi dan R3 adalah sama, tetapi sekiranya anda menggunakan penyerap hentak GTi untuk menggantikan penyerap hentak asal Satria R3, ia serta merta akan menjadi tinggi.

    Ini kerana penyerap hentak Satria R3 ini juga adalah bespoke – talaan asal yang membuatkan Satria R3 ini lebih rendah sekitar 10-15 mm lebih rendah dari GTi bukan disumbangkan dari spring yang berbeza semata-mata. Sebenarnya tapak untuk menempatkan spring berkenaan juga adalah lebih rendah dari GTi. Ini membolehkan ia memberikan jarak pergerakan strok yang sama walaupun badan kereta berkenaan lebih rapat ke permukaan jalan bagi memberikan titik graviti lebih rendah – ini memang rekaan yang bijak.

    Malah, suspensi kereta ini telah ditala bagi membolehkan cengkaman dari tayar Advan Neova AD07 tersebut untuk digunakan sepenuhnya. Jadi sekiranya anda menggunakan tayar yang berbeza, dinamik pemanduan Satria R3 ini juga sudah lagi tidak sama.

    Talaan untuk suspensi ini sebenarnya dibuat sendiri oleh Tengku Djan menerusi ujian ekstensif yang dijalankan. Tengku Djan mahukan kereta ini bukan sahaja memberikan prestasi yang terbaik untuk membelasah selekoh selaju yang boleh, malah dia juga mahukan suspensi berkenaan tidak memantul-mantul pada permukaan tidak rata, membolehkan kereta ini Satria R3 ini dipandu laju sama ada di litar atau pun di jalan raya.

    DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

    Hasilnya, bukan sahaja struktur binaan penyerap hentak R3 ini sudah tidak sama dengan GTi, malah spesifikasi injap dalamnya, spesifikasi spring, bar anti oleng hadapan yang berdiameter lebih besar (19 mm) serta getah bushing yang memegangnya adalah berbeza dari GTi dan tidak boleh ditukar pakai antara satu sama lain.

    Ini adalah antara faktor mengapa kebanyakkan pemilik Satria R3 sudah menggantikan penyerap hentak asal mereka kepada penyerap hentak jenis boleh laras sepenuhnya – mereka tidak dapat membeli komponen-komponen suspensi yang sama di kedai-kedai pembekal alat ganti.

    Jadi bagaimana DSR mahu menghasilkan semula suspensi asal Satria R3 DSR-002 ini bagi membolehkan ia hampir dengan spesifikasi kilang? Nak bawa balik ke R3 di Shah Alam mungkin sudah tidak boleh, tapi individu ‘living legend‘ yang pernah berkhidmat dengan R3 dan membangunkan sistem suspensi berkenaan masih lagi ada. Beliau adalah Faidzil Alang, yang juga kini pemilik jenama suspensi tempatan, Fawster Motorsport.

    Untuk suspensi, DSR menyerahkan sepenuhnya kepada Fawster Motorsport untuk menghasilkan semula struktur dan talaan yang sama seperti asal untuk Satria R3 ini. Ketika saya sendiri memandu Satria R3 DSR-003 ini, penulis sudah cukup kagum bagaimana ia boleh melekat seakan bergerak di atas rel ketika ia pandu laju melalui selekoh, dan tidak memantul ketika melalui jalan yang tidak rata.

    Namun sebenarnya talaan berkenaan masih belum benar-benar dilengkapkan oleh Faidzil Alang dan dia masih lagi dalam peringkat memperhalusinya (Suriya baru sahaja menghubungi penulis sebentar tadi bahawa ia sudah siap sepenuhnya) .Dan disebabkan talaan ini masih belum sempurna ketika sesi penggambaran ini, anda boleh lihat strut bar asli R3 pada bahagian hadapan dan belakang masih belum dipadankan semula.

    Selain itu, dari kilang Model R3 ini turut sudah diberikan cakera dari EBC yang ditebuk dan dilarik begi memberikan cengkaman yang lebih baik, bersama pad brek prestasi tinggi dari Mintex M1144.

    DSR-002-C99 – membedah Proton Satria R3!

    Anda pernah tengok buku manual istimewa yang turut hadir dengan setiap unit Satria R3 ini? Nah, kereta ini masih ada lagi buku berkenaan dan kami sempat untuk membeleknya! Dalam buku berkenaan, R3 memperincikan berberapa perkara antaranya peringatan kepada pemilik untuk ‘memanaskan’ dahulu tayar Advan Neova berkenaan sebelum benar-benar membelasah kereta tersebut.

    Panjang betul artikel kali ini kan? Dan buat pengetahuan anda, proses pembangunan semula Proton Satria R3 DSR-002-C99 ini tidak terhenti setakat ini. Ketika Satria R3 ini dilancarkan dahulu, pihak R3 sebenarnya turut menawarkan tingkat taraf Stage 2 dan Stage 3 untuk pemilik yang berminat. Dengan mengetahui wujudnya pakej opsyen tingkat taraf tersebut, pemilik Satria R3 ini sebenarnya sudah membuat permintaan untuk DSR menjalankan tingkat taraf berkenaan.

    Dan projek ini sebenarnya akan bermula selepas enjin yang telah diblueprint berkenaan melepasi perbatuan break-in pada 1,000 km nanti. Nak tahu apa yang akan dilakukan? Sama-sama kita tunggu dan kami pasti akan memaparkannya dengan satu lagi artikel!

    Artikel ini turut memberikan penghormatan kepada staf-staf kumpulan asal R3 yang menghasilkan Satria R3 ini termasuk ketua pemasaran divisi Proton Motorsport, Khaidi Kamaruddin, serta juruteknik-juruteknik lain seperti Hasan, DJ, Ramlan, Longman, Sohaimi, Azzudin, Osman Jailani, mendiang Daryl Lam dan juga Prinsipal Pasukan R3 buat masa sekarang, Gary Lee. Mereka membuktikan bahawa Malaysia juga pernah mempunyai factory tuner setaraf dengan jenama Jepun dan Eropah!

    GALERI: Gambar rasmi Proton Satria R3 ketika dilancarkan pada Oktober 2004

     
     
  • MINI Cooper SE 2021 dapat edisi Electric Collection

    MINI Cooper SE 2021 dapat edisi Electric Collection

    MINI telah mendedahkan model edisi terbaharu bagi Cooper SE facelift, yang dijangka akan mula dijual di beberapa pasaran terpilih mulai Mac tahun ini. Dikenali sebagai MINI Electric Collection, ia menerima ciri rekaan tambahan dan lebih banyak kelengkapan standard untuk memberikannya penampilan yang lebih eksklusif.

    Bermula dengan luarannya, ia diberikan kemasan Island Blue metalik yang pertama kali ditawarkan untuk Cooper SE. Pilihan lain termasuk kemasan Rooftop Grey baharu, dan ia juga boleh dipilih dengan Multitone Roof dengan imbasan warna dari San Marino Blue ke Pearly Aqua ke Jet Black, dari bingkai cermin hadapan hingga ke belakang.

    Bahagian bonet dan sisi MINI Electric Collection juga diberikan hiasan jaluran eksklusif, dengan padanan perumah cermin sisi hitam serta roda aloi-ringan MINI Electric Collection Spoke 17-inci.

    Untuk melengkapkan lagi gayanya, elemen luaran hitam berkilat turut kelihatan pada gril, lampu utama dan sekeliling lampu belakang, logo MINI, perkataan model di belakang, pemegang pintu dan scuttles sisi. Lampu utama LED adaptif diberikan secara standard, dengan fungsi matrix untuk lampu tinggi.

    Apabila pintu dibuka, kelihatan kemasan ambang pintu dengan logo cetakan MINI Electric, juga bersama kemasan tempat duduk sport dalam material fabrik kelabu cerah dan tali kulit, kemasan MINI Yours Aluminium, anthracite headliner dan roda stereng sport dengan balutan kulit Nappa bersama logo MINI Electric.

    Pakej bagi keselesaan, ketersambungan dan bantuan pemandu ditawarkan secara pilihan, termasuk roda stereng dengan fungsi haba buat pertama kalinya. Ciri standard lain termasuklah pakej Connected Navigation yang boleh dinaiktaraf kepada pakej Connected Navigation Plus dengan paparan utama, pengecas tanpa wayar, Concierge Service dan MINI Connected XL.

    Bagi aspek keselamatan, Amaran Ketibaan Lorong kini ditambah dalam Pakej Bantuan Pemandu, dengan ciri yang lebih termaju bagi Driver Assistance Package Plus termasuk Kawalan Kelajuan Aktif, yang kini ditampilkan dengan fungsi stop/go untuk buat pertama kalinya.

    Untuk penjana kuasanya, ia masih dikekalkan dengan kombinasi motor elektrik berkuasa 184 PS (181 hp)/270 Nm dan bateri lithium-ion 32.6-kWh seperti sebelum ini, dengan mendakwa anggaran jarak yang boleh dicapai adalah antara 203 dan 234 km mengikut kitaran WLTP.

     
     
  • Great Wall Ora Good Cat diperkenal di Thailand — 145 PS/210 Nm, 401 km-501 km jarak, memori parkir AI

    Great Wall Ora Good Cat diperkenal di Thailand — 145 PS/210 Nm, 401 km-501 km jarak, memori parkir AI

    Great Wall Motor kini mula menembusi pasaran Thailand bagi kenderaan elektrik keluarannya, dimulakan dengan pengenalan model Ora Good Cat EV. Nama yang merupakan terjemahan literal dari bahasa Cina, Haomao, Good Cat datang dengan sistem janaan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 145 PS dan 210 Nm tork pacuan roda depan.

    Muncul buat pertama kali di pasaran China September tahun lalu, Ora Good Cat menggunakan platform Lemon oleh Great Wall Motors sendiri yang turut digunakan pada SUV Haval H6, serta akan juga digunakan pada model MINI elektrik akan datang, yang akan dibina dengan usaha sama antara Great Wall dan BMW. Ora berukuran 4,235 mm panjang, 1,825 mm lebar dan 1,596 mm tinggi dengan 2,650 mm jarak antara roda.

    Pecutan 0-50 km/j kereta ini dalam masa 3.8 saat, dengan laju maksimum didakwa mampu mencapai 150 km/j. Ora Good Cat mempunyai berat 1,510 kg, serta ruang 228 liter tersedia, atau 858 liter dengan kerusi belakang direbahkan. Suspensi depan pula menggunakan jenis MacPherson Strut sementara di belakang dari jenis torsion beam. Bergantung kepada tingkat kemasan, saiz tayar yang digunakan antara 205/55R17 atau 215/50R18.

    Great Wall Ora Good Cat diperkenal di Thailand — 145 PS/210 Nm, 401 km-501 km jarak, memori parkir AI

    Terdapat dua kapasiti bateri ditawarkan, 47.8 kWh dan 59.1 kWh, masing-masing memberikan 401 km dan 501 km jarak perjalanan. Pengecasan AC standard memerlukan lapan jam untuk penuh, sementara jenis pengecasan pantas DC dari 30% hingga 80% boleh dicapai dalam masa 30 minit.

    Ciri pemanduan autonomous juga sebahagiannya ada melengkapi model ini, memalui sistem yang dikenali sebagai Ora Pilot Driving, yang termasuk ciri seperti kawalan melayar adaptif, kawalan pendikit automatik dan bantuan selekoh pintar. Turut disertakan ialah ciri lain seperti Wisdom Dodge, yang akan mengalih arah kereta daripada kenderaan besar di lorong bersebelahan dan tetap kekal di lorong sendiri.

    Kereta ini turut menampulkan ciri Ora Pilot Safety, yang merangkumi amaran perlanggaran depan dengan AEB, pengesanan titik buta, amaran pertukaran lorong, amaran perlanggaran belakang dan amaran lintasan trafik belakang. Di bawah ciri Ora Pilot Parking pula ialah fungsi parkir autonomous, yang termasuk memori parkir AI – kereta ini akan mempelajari dan mengingat laluan ke ruang parkir melalui tunjuk arah satelit dan radar ultrasonic.

    Great Wall Ora Good Cat diperkenal di Thailand — 145 PS/210 Nm, 401 km-501 km jarak, memori parkir AI

    Ditunjuk bersama Haval H6 ketika taklimat berkenaan, dua model ini akan menjadi pendahulu bagi empat model baru yang akan diperkenalkan di pasaran Thailand sepanjang tahun ini. Dua lagi baki model yang akan menyertainya ialah masing-masing hatchback dan SUV, atau mungkin juga MPV.

    Harga Ora Good Cat di sana masih belum didedahkan, tetapi di China, ia dijual dalam harga antara 103,900 yuan (RM65,221) hingga 143,900 yuan (RM90,340).

    Tahun lalu, Great Wall Motors mengumumkan hasrat syarikat itu untuk menjadikan Thailand sebagai hab bagi kenderaan elektrik keluarannya untuk rantau ASEAN, selepas perbincangan dengan pihak pengurusan tertinggi negara itu — bersama Menteri Tenaga dan Lembaga Pelaburan Thailand. GWM melabur besar di Thailand dalam tempoh enam bulan sebelum itu, sebagai langkah strategi global bagi kenderaan RHD untuk dieksport di rantau ini.

     
     
  • Ducati dedah jentera Desmosedici GP musim 2021

    Ducati dedah jentera Desmosedici GP musim 2021

    Ducati menjadi antara pasukan terawal mendedahkan jentera MotoGP bagi musim 2021, bersama dengan pelumba serta penaja rasminya. Tahun ini, jentera Desmosedici GP Ducati kelihatan menggunakan warna merah lebih pekat serta kebanyakan bahagian lain menggunakan warna hitam atau putih.

    Bagi meneruskan saingan dalam perlumbaan berprestij ini, pelumba yang dipilih adalah Jack Miller, 26 tahun dari Australia dan Francesco Bagnaia, 24 tahun dari Turin. Kedua-dua mereka baru menyertai pasukan factory ini, dan berpindah daripada pasukan Pramac Ducati.

    Daripada aspek penaja pula, Lenovo yang sebelum ini memang sudah menjadi rakan kerjasama dan penaja sejak tahun 2018 menandatangani kontrak baru yang menjadikan syarikat teknologi tersebut sebagai Title Partner. Dengan itu, pasukan factory ini akan dipanggil sebagai Ducati Lenovo Team.

    Walaupun dengan keadaan dunia dilanda pandemik sekarang, 19 pusingan Grand Prix telah disahkan untuk musim MotoGP tahun 2021, dan ia akan dimulakan dengan perlumbaan di Qatar pada 26 hingga 28 Mac, diikuti 2 hingga 4 April di tempat sama untuk pusingan kedua.

    “Jack dan Pecco mempunyai potensi yang besar dan saya rasa, bersama mereka, kami bukan sahaja dapat bersaing untuk mengekalkan gelaran juara pengeluar yang diperolehi pada tahun 2020, tetapi juga boleh mensasarkan gelaran juara bagi pelumba. Mengikut peraturan tahun ini, kami tidak dapat mengubah suai beberapa komponen motosikal tetapi, semasa musim sejuk, kami dapat melakukan beberapa pembaikan pada aspek lain untuk meningkatkan tahap kompetitif jentera kami dan bersedia untuk berhadapan musim baru,” kata pengurus kanan Ducati Corse, Luigi Dall’Igna.

     
     
  • Volkswagen ID. Buzz dalam bentuk produksi dilihat

    Volkswagen ID. Buzz dalam bentuk produksi dilihat

    Jarang-jarang model baru sekarang ini libatkan rekaan Van petak. Mujur Volkswagen akan ada sebuah nanti. Pertama kali dipertontonkan pada Detroit Auto Show 2017, versi produksi bagi Volkswagen ID. Buzz elektrik sepenuhnya telah dilihat, walaupun masih sebagai model ujian yang menggunakan badan van T6.

    Penampilannya nampak lebih pendek dan lebih lebar berbanding van T6 komersial yang dirujuk, dan ia boleh dijangkakan bakal menggunakan penggayaan versi produksi yang pernah dilihat pada model ID. Buzz Concept, serta ilham rekaan yang dipinjam dari ID.3 hatchback dan SUV ID.4.

    Platform Modular Electric Drive Kit (MEB) digunakan untuk ID. Buzz dan ID. Buzz Cargo, yang membolehkan penggunaan sepasang motor elektrik – satu di setiap gandar – untuk mendapatkan output sistem 369 hp. Spesifikasi bateri paling besar akan mempunyai 111 kWh, menawarkan jarak sehingga 600 km; begitu penjelasan Volkswagen ketika pengenalan model konsepnya dulu.

    Volkswagen ID. Buzz dalam bentuk produksi dilihat

    Bagi versi kegunaan yang lebih sederhana, turut ada ada versi pacuan belakang dengan 268 hp, dengan bateri berkuasa 83 kWh. Pada model konsepnya, ID. Buzz boleh mencapai tahap 80% bagi baterinya dalam masa 30 minit pengecasan.

    Volkswagen juga sebelum ini memanklumkan ID. Buzz akan berada di bilik pameran bermula tahun depan, dan antara pasaran yang bakal menerima kelahiran semula van ini dalam bentuk EV termasuklah Amerika, Eropah dan China. Model ini kemudiannya akan diikuti pula dengan versi kargo, ID. Buzz Cargo.

    Model Transporter T6.1 semasa yang ada ketika ini turut menampilkan versi sifar pembebasan gas, walaupun ini dibangunkan bersama ABT. Versi berkenaan menjana kuasa daripada motor elektrik tunggal 112 PS, dengan pek bateri 38.8 kWh atau 77.6 kWh. Menurut Volkswagen Kapasiti yang lebih besar ini membolehkan jarak perjalanan mencecah 400 km (kitaran NEDC).

     
     
  • Toyota dan Subaru dikhabarkan bangunkan hot hatch AWD baharu, bakal didedahkan pada 2022 – laporan

    Toyota dan  Subaru dikhabarkan bangunkan hot hatch AWD baharu, bakal didedahkan pada 2022 – laporan

    Apabila Toyota dan Subaru mengumumkan pakatan kapital baharu pada September 2019, kedua-dua syarikat bersetuju untuk bekerjasama dalam membangunkan kembar Toyobaru generasi akan datang. Perancangan tersebut masih kekal buat masa ini, dengan Subaru telah pun memperkenalkan BRZ baharu pada November lalu, sementara versi Toyota (ada khabar angin mengatakan ia bakal dipanggil GR 86) juga akan muncul tidak lama lagi.

    Menerusi perjanjian ini, di mana ia melibatkan pegangan ekuiti, bakal menyaksikan kedua-dua syarikat bersama membangunkan model pacuan-semua-roda baharu “yang menawarkan sensasi tanpa batas bagi pemanduan semua-roda.” Itulah yang dilaporkan oleh Best Car Web dari Jepun.

    Menurut penerbitan berkenaan, Toyota dan Subaru sedang bekerjama dalam membangunkan satu lagi model Toyobaru, kali ini melibatkan model hot hatch pacuan semua-roda. Dikatakan sebagai “jentera WRC”, model baharu ini dikatakan bakal diperkenalkan pada musim luruh 2022 dan saiznya lebih kurang sama dengan Impreza versi hatchback.

    Perincian mengenai projek terbabit belum didedahkan buat masa ini, tetapi ia bakal menggunakan enjin boxer kebanggaan Subaru, yang juga boleh masuk dengan versi Toyota. Sistem Symmetrical AWD Subaru juga akan digunakan, namun pilihan transmisi masih belum diketahui, tetapi kalau dengan padanan manual, pastinya pemanduan dan pengendalian jentera baharu lebih syiok wo…

    Walau pun Toyota sudah memiliki hot hatch AWD sendiri iaitu dari GR Yaris, tetapi ia tiada rancangan untuk menawarkan model tersebut di Amerika Syarikat. Merujuk pada laman web Toyita USA, pihak di sana dikatakan bakal membawa masuk hot hatch GR, tetapi dalam versi yang agak berbeza.

    Sebelum ini ada perkhabaran mengatakan ia mungkin GR Corolla, tetapi dengan model yang dibangunkan bersama Subaru, ia mungkin hot hatch GR yang pasaran USA bakal terima. “Disebabkan GR Yaris tidak akan dipasarkan di USA, mungkin sudah tiba masanya untuk USA menerima hot hatch Toyota yang tersendiri,” mengikut apa yang tertera pada laman web terbabit.

    Apa pun, mari kita bersama nantikan kedua-dua syarikat mendedahkan lebih banyak info untuk mengesahkan model yang bakal diperlenalkan ini.

     
     
  • BMW F 850 GS 40 Years Edition tiba di M’sia – RM85.5k

    BMW F 850 GS 40 Years Edition tiba di M’sia – RM85.5k

    Model BMW F 850 GS keluaran khas “40 Years GS Edition” kini sudah tiba di Malaysia pada harga RM85,500 tidak termasuk insurans, tetapi dengan jaminan tiga tahun dan program bantuan tepi jalan percuma tiga tahun.

    Model istimewa ini dikeluarkan sebagai menyambut kewujudan model GS selama lebih 40 tahun dan perbezaan utamanya adalah penampilan yang menggunakan gabungan warna hitam serta kemasan kuning pada pelindung tangan, panel tepi serta tempat duduk. Rim spoked bersaiz 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang pula menggunakan jenis aloi yang berwarna emas.

    Selain daripada itu, model ini juga dipasang terus dengan pakej Comfort, Touring, Dynamic dan Active, yang melengkapkan ia dengan sistem tanpa kunci, pemanas tangan, pemerhati tekanan angin tayar, Dynamic ESA (suspensi elektronik), Cruise Control, rak barangan, Shift Assist Pro, ABS Pro, Dynamic Traction Control (DTC) dan empat mod tunggangan.

    Untuk bahagian teknikal lain, ia masih lagi sama dengan F 850 GS biasa yang diambil sebagai asas, iaitu dipacu oleh enjin dua silinder 853 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 95 hp pada 8,250 rpm dan 92 Nm tork pada 6,250 rpm.

    Bahagian brek motosikal adventure ini menggunakan unit cakera berkembar 305 mm bersama angkup dua piston di hadapan, serta cakera 265 mm bersama angkup satu piston di belakang. Pelindung radiator serta tongkat tengah yang sebelum ini ditawarkan sebagai pilihan tambahan diberi secara terus pada model edisi khas ini.

     
     
  • Tiga stesen MRT ditutup pada 27-28 Feb 2021 bagi kelancaran kerja sistem migrasi Laluan Putrajaya

    Tiga stesen MRT ditutup pada 27-28 Feb 2021 bagi kelancaran kerja sistem migrasi Laluan Putrajaya

    Rapid KL, pengendali tren MRT telah mengumumkan penutupan tiga stesen MRT iaitu Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sg Buloh pada 27 hingga 28 Februari ini. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja migrasi Sistem MRT Laluan Putrajaya (dahulunya dikenali sebagai Laluan SSP).

    Untuk stesen Kwasa Damansara, kawasan parkir juga turut ditutup. Tetapi parkir bertingkat di stesen Sg.Buloh dibuka seperti biasa.

    Dengan penutupan sementara ini, perkhidmatan MRT akan berakhir di stesen Kwasa Sentral. Perkhidmatan bas perantara MRT percuma akan disediakan di antara stesen Sg Buloh dan Kwasa Sentral, malah dalam perjalanan akan berhenti di Kampung Selamat. Frekuensi bas perantara berkenaan adalah setiap 15 minit.

    Jajaran MRT Putrajaya, atau sebelum ini dikenali sebagai Jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), sudah 80% siap. Fasa satu jajaran berkenaan dari Kwasa Damansara ke stesen Kampung Batu sepatutnya akan mula beroperasi pada pertengahan 2021, sementara selebihnya akan dibuka kepada umum menjelang 2022.

    Jajaran Putrajaya merupakan jajaran MRT kedua Lembah Klang selepas Jajaran Kajang, yang mula beroperasi pada Julai 2017. Laluan sepanjang 56.2 km akan mempunyai 36 stesen, sembilan daripadanya di aras bawah tanah. Ia akan menghubungkan Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.

     
     
  • Nissan 400Z 2022 dilihat dalam warna kelabu pula

    Nissan 400Z 2022 dilihat dalam warna kelabu pula

    Minggu lepas, Nissan perkenalkan SUV Pathfinder dan trak pikap Frontier terbaru melalui sebuah acara maya. Turut tampil memberikan taklimat ringkas ialah ketua pereka Nissan, Alfonso Albaisa yang turut menyebut tentang model konsep Z Proto dipenghujungnya.

    Kereta itu menjadi petunjuk kepada model kereta sport akan datang oleh Nissan, dengan nama 400Z. Dan, versi warna kuningnya sudah pernah kelihatan sebelum ini. Tetapi, ada satu lagi versi yang baru dapat dilihat; model sama dalam warna kelabu.

    Dikesan oleh ahli forum NewNissanZ, kereta berkenaan nampak sangat mirip dengan Z Proto, melainkan dengn warna badan yang berbeza, yang kemungkinan besar akan menjadi warna baru bagi kereta sport berkenaan. Tidak ketinggalan, ada beberapa perbezaan lain berbanding model konsepnya.

    Nissan 400Z 2022 dilihat dalam warna kelabu pula

    Antara yang dimaksudkan ialah kereta tersebut menggunakan rim yang berbeza daripada Z Proto. Kit badan sisi pula nampak lebih ringkas, tanpa sebarang kemasan hitam. Tingkap cermin bahagian sisi yang paling kecil pula di tint habis, sementara lencana Z pada model konsep tidak lagi kelihatan.

    Khabar angin menyatakan bahawa ini mungkin menjadi versi produksi bagi Z Proto. Tetapi, mungkin juga ia hanyalah clay model kereta tersebut. Tentang unit enjin yang bakal digunakan pula, ada gambaran awal yang pernah dikongsi menunjukkan bahawa Z Proto menggunakan enjin 3.0 liter turbo berkembar V6 yang turut digunakan pada Infiniti Q60 Red Sport 400.

    Enjin berkenaan menghasilkan sebanyak 400 hp dan 475 Nm tork pada model coupe Infiniti itu. Output untuk kereta sport Nissan pula masih belum didedahkan, tetapi angka yang ada sudah lebih daripada mencukupi untuk membawakan aspirasi sport. Transmisi automatik akan melengkapinya, dan tentulah tidak ketinggalan versi manual enam-kelajuan yang akan ditawarkan sekali.

     
     
  • Proton X50 dijumpai di Thailand, bakal dilancarkan?

    Proton X50 dijumpai di Thailand, bakal dilancarkan?

    Proton X50 nampaknya telah dijumpai oleh Car Spotting Thailand dengan masih menggunakan pelekat samaran di atas jalan raya. Pembangunan khas untuk pasaran negara jiran itu kini sudah bermula, dan ia berlaku selepas Geely membuat pengumuman sedang membangunkan terjemahan Thai untuk sistem kawalan suara “Hi Proton” yang merupakan sebahagian daripada Geely Key User Interface (GKUI).

    Terjemahan asal daripada Mandarin kepada Bahasa Inggeris untuk sistem “Hi Proton” dibuat menggunakan kumpulan ayat, dan kemudiannya diterjemahkan pula kepada Bahasa Thai. Cara ini bagaimanapun tidak sempurna, dan sekarang khidmat pengguna asal bahasa tersebut digunakan untuk memberi saranan berkenaan budaya tempatan dan kebiasaan tempatan, seterusnya memberi konteks dan membantu sistem tersebut memahami arahan yang diberi.

    Di Malaysia, X50 Standard, Executive dan Premium menggunakan enjin petrol tiga silinder turbo 1.5L port fuel injection, yang mampu menghasilkan kuasa 150 PS dan 226 Nm, sementara varian Flagship paling tinggi menggunakan enjin yang sama tetapi dengan sistem direct injection untuk menghasilkan 177 PS dan 255 Nm tork. Transmisi kedua-duanya menggunakan unit klac berkembar tujuh kelajuan, untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan.

    Semasa pelancaran rasminya, Proton X50 telah menerima pengiktirafan lima bintang dalam ujian Asean NCAP, dan model yang bakal dipasarkan di Thailand juga akan menggunakan penarafan yang sama. Proton juga pernah mengumumkan bahawa jumlah eksport mereka pada tahun 2020 telah meningkat hampir 50% dan mempunyai rancangan untuk menggandakan lagi jumlah tersebut tahun ini.

    Pada bulan Januari tahun lepas, CEO Proton, Li Chunrong memberitahu Geely telah meminta Proton untuk mengembangkan lagi kehadirannya di serata benua Asia Tenggara, dengan memberi fokus kepada pasaran seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei.

     
     
  • Rapid KL sediakan 15 laluan tambahan untuk Bas Perantara LRT merah jambu mulai 18 Februari ini

    Rapid KL sediakan 15 laluan tambahan untuk Bas Perantara LRT merah jambu mulai 18 Februari ini

    Rapid Bus Sdn Bhd menerusi Rapid KL telah menambah 15 laluan tambahan bagi perkhidmatan Bas Perantara LRT berwarna merah jambu mulai 18 Februari ini. Perkhidmatan yang diperkenalkan sebagai projek perintis September adalah inisiatif bagi meningkatkan kemudahan untuk para penumpang.

    “Inisiatif ini adalah kesinambungan kepada projek perintis menggunakan bas berwarna merah jambu yang bermula pada 3 September tahun lalu, yang mana ia turut melibatkan penambahbaikan perkhidmatan Bas Perantara LRT di sepanjang 10 laluan, yang menghubungkan pengguna ke Stesen LRT Gombak, Taman Melati, Sri Rampai, Wangsa Maju, Setiawangsa dan Dato’ Keramat.

    “Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak kami untuk meningkatkan mutu perkhidmatan. Dengan penampilan baharu ini, kami mendapati bahawa para pelanggan dan orang ramai lebih senang membezakan di antara bas Perantara LRT dengan bas Rapid KL biasa,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij.

    Rapid KL sediakan 15 laluan tambahan untuk Bas Perantara LRT merah jambu mulai 18 Februari ini

    Lima belas laluan baharu itu adalah Taman Dato’ Senu-LRT Sentul (T180), LRT Bangsar-Bangsar Shopping Centre (822), Putra Permai-LRT BK 5 (541), LRT Puchong Prima-Taman Mas Sepang (T603), Stesen LRT Taman Jaya-Taman Sri Sentosa (T640) dan Stesen LRT IOI Puchong-Taman Wawasan (T600).

    Sembilan laluan lain termasuklah Stesen LRT Alam Megah-Sek 27 Shah Alam (T757), Stesen LRT USJ 21-One City (T778), Stesen LRT Kelana Jaya-Kelana Centre Point (T781), Stesen LRT Lembah Subang-Ara Damansara (T782), LRT Taman Bahagia-SS 6 (T783), LRT Taman Paramount-Kg Baiduri(T785), LRT Asia Jaya-Universiti Mahsa (T786), Stesen LRT Asia Jaya-Sekysen 14 & 17 (T787) dan Stesen LRT Kerinchi-Pantai Hill Park (T791).

    Tambah Muhammad Yazurin lagi, maklum balas positif daripada para pengguna dalam satu kaji selidik yang dilaksanakan oleh Rapid Bus memberi keyakinan kepada pihaknya untuk meneruskan program berkenaan. Di mana 81% daripada responden berkenaan menyatakan mutu perkhidmatan telah meningkat di dalam pelbagai aspek seperti lebih senang dicam, pematuhan jadual, kekerapan dan ketersediaan bas.