Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • NAP 2018 akan dukung transformasi industri – Najib

    NAP 2018 akan dukung transformasi industri – Najib

    Dasar Automotif Nasional (NAP) 2018 yang dijangka diumumkan pada suku ketiga tahun ini akan terus mendukung transformasi industri automotif ke arah mobiliti masa hadapan dan seterusnya menjadi enjin penggerak kepada ekonomi Malaysia ke tahap lebih tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Katanya, bagi merealisasikan visi ini, dasar serta peraturan perlu disemak dan diselaraskan, laporan Bernama.

    “Penglibatan secara holistik, merentasi pihak berkepentingan termasuk kementerian, agensi industri automotif dan golongan belia adalah penting dalam merancang dan melaksanakan strategi industri ke arah hala tuju yang sama di samping meningkatkan daya saing industri automotif negara,” katanya semalam ketika berucap di majlis jerayawara Mobiliti Terhubung dan pelancaran Pameran Auto Malaysia 2018.

    NAP 2018 akan dukung transformasi industri – Najib

    Tambah beliau lagi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama-sama Institut Automotif Malaysia (MAI) telah memulakan kajian semula NAP. Untuk NAP 2018 kali ini, ia merangkumi empat tonggak utama iaitu kenderaan generasi baharu, mobiliti, revolusi Industri 4.0 dan kecerdasan buatan.

    Perdana Menteri turut berkata dengan memandang jauh ke hadapan dan melangkah ke arah 2050, industri automotif bakal berkembang menjadi lebih pintar dan canggih dan kini dikenali sebagai mobiliti terhubung dengan kebolehan untuk meneroka dan menganalisis data raya.

    “Semua ini dapat dicapai kerana wujudnya hubungan internet berkelajuan tinggi. Revolusi industri 4.0 merupakan faktor pemboleh kepada mobiliti terhubung. Mobiliti terhubung disasarkan akan melalui peralihan dari sebuah produk kepada sebuah perkhidmatan dan dalam jangka masa panjangnya mempunyai kapasiti yang besar untuk membuka peluang perniagaan dan pekerjaan bagi golongan yang mengambil peluang ini,” katanya.

     
     
  • Puspakom nafi dakwaan ada staf yang terlibat di dalam sindiket pemalsuan tuntutan insurans kenderaan

    Puspakom nafi dakwaan ada staf yang terlibat di dalam sindiket pemalsuan tuntutan insurans kenderaan

    Puspakom telah menafikan tuduhan yang mengaitkan stafnya yang dikatakan terlibat di dalam sindiket pemalsuan tuntutan insurans berjumlah RM2.9 juta, lapor The Sun. Ini merujuk kepada kes terbaru penahanan lapan individu oleh pihak polis susulan kepada sebuah laporan polis yang dibuat bulan lalu. Pihak polis mendapati banyak laporan berkaitan kehilangan kereta yang dibuat adalah palsu.

    Berdasarkan laporan akhbar itu, modus operandi sindiket berkenaan dimulakan dengan mereka mendekati pemilik kenderaan yang mempunyai bayaran bulanan tertunggak. Laporan palsu berkaitan kenderaan hilang kemudiannya akan dibuat, sebelum tuntutan insurans dilakukan. Kenderaan berkenaan kemudiannya akan didaftarkan semula dan dijual melalui “rangkaian” dalaman sindiket berkenaan.

    “Pihak berkuasa selalu memantau tuntutan insurans kenderaan dan kenderaan dengan status hilang. Itu berada di luar peranan dan tanggungjawab Puspakom kerana kami tidak mempunyai capaian terhadap maklumat atau data kenderaan yang dilaporkan hilang yang kemudiannya dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan,” jelas satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Puspakom. Pihaknya juga manambah, staf-staf mereka juga tidak terlibat di dalam sebarang proses siasatan polis.

     
     
  • NAP 2018 dijangka diperkenalkan pada Q3 tahun ini – fokus pada mobiliti, AI dan kenderaan generasi baharu

    NAP 2018 dijangka diperkenalkan pada Q3 tahun ini – fokus pada mobiliti, AI dan kenderaan generasi baharu

    Dasar Automotif Nasional (NAP) 2018 dijangka akan diperkenalkan pada suku ketiga (Q3) tahun ini, menurut Institut Automotif Malaysia (MAI). CEO MAI Datuk Madani Sahari berkata, dasar yang diperkemaskinikan itu akan menyelaraskan industri automotif tempatan dengan mobiliti terhubung, laporan Bernama.

    Beliau berkata, dengan kerjasama kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (MITI), sedang menilai semula polisi yang pernah diperkenalkan pada 2014. Kemas kini tersebut merangkumi empat tonggak utama iaitu kenderaan generasi baharu, mobiliti terhubung, Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0) dan kepintaran buatan (AI).

    “Kami juga berbincang dengan semua pengeluar peralatan tulen (OEM) di dalam sektor automotif untuk mengetahui bilakah mereka akan bersedia untuk menghasilkan kenderaan yang berkaitan. Kami juga bertanya apakah keperluan untuk menyelaras perancangan mereka (bagi penghasilan berkenaan,” ujarnya memberitahu pemberita semalam selepas pelancaran Malaysia Autoshow 2018.

    Mobiliti terhubung bermaksud sebarang jenis pengangkutan, perkhidmatan serta infrastruktur yang beroperasi melalui capaian internet.

    NAP 2018 dijangka diperkenalkan pada Q3 tahun ini – fokus pada mobiliti, AI dan kenderaan generasi baharu

    Madani berkata NAP 2018 yang akan dilaksanakan sehingga 2030, akan memfokuskan penyelarasan dalam industri automotif tempatan dengan mobiliti dan akan meletakkan langkah-langkah bagi membantu OEM mencapainya. Tambahnya lagi, tahun kritikal mungkin berlaku antara 2020 dan 2022.

    “Pengeluar kereta tidak boleh hanya memikir untuk menghasilkan kereta sahaja. Mereka perlu menghasilkan kereta dengan tahap ketersambungan, kepintaran dan keupayaan berkomunikasi tertentu,” jelasnya.

    Madani berkata paling penting untuk semua orang memahami teknologi, bukan setakat untuk yang berada dalam industri yang relevan tetapi juga umum. “Di bawah NAP 2018, kami akan mengeluarkan garis panduan untuk pengeluar kereta, dan juga kementerian serta agensi terbabit. Garis panduan ini dilaksanakan bagi memastikan kita semua bersedia merentasi ekosistem, termasuk bagi masyarakat bersedia menerima mobiliti ini,” ujarnya lagi.

    NAP 2018 dijangka diperkenalkan pada Q3 tahun ini – fokus pada mobiliti, AI dan kenderaan generasi baharu

    Industri mobiliti ini dijangka mampu menghasilkan lebih sejuta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun. Madani berkata sasaran tersebut berdasarkan kajian awal yang dilakukan terhadap ekosistem industri, di mana ia dilihat semakin berkembang.

    “Mobiliti terhubung disasarkan melalui peralihan daripada sebuah produk kepada sebuah perkhidmatan dalam jangka panjang sekali gus membuka peluang perniagaan dan pekerjaan bagi golongan yang mengambil peluang ini,” ujarnya.

    Tambahnya lagi pengeluar kereta nasional Proton dijangka akan berada di barisan hadapan mobiliti terhubung ini melaluin perkongsian dengan Geely, yang membolehkan ia mempunyai akses terhadap teknologi yang diperlukan untuk menyokong visi yang digariskan oleh NAP itu.

     
     
  • Geely dan Aisin umum jalinkan kerjasama untuk memproduksi kotak gear automatik enam-kelajuan

    Geely dan Aisin umum jalinkan kerjasama untuk memproduksi kotak gear automatik enam-kelajuan

    Geely Lou You Engine Company, subsidiari dari Geely Auto Holding kini telahpun mewujudkan kerjasama dengan Aisin bagi memproduksi kotak gear enam-kelajuan automatik, bersama komponen dan jualan. Buat permulaan, kerjasama ini akan menghasilkan 400,000 unit kotak gear setiap tahun.

    Di bawah struktur perjanjian tersebut, kerjasama ini akan bermula dengan modal bernilai US$117 juta, di mana Aisin menyuntik dana bernilai US$70 juta untuk pegangan saham sebanyak 60%. Manakala kepentingan 40% selebihnya dimiliki oleh Geely bernilai US$46.8 juta.

    Dengan pengenalan ‘Strategi 2020 Geely’ dan ‘Inisiatif Biru Geely’, jenama automotif dari China itu kini memerlukan lebih banyak unit kotak gear yang mempunyai enam-kelajuan atau lebih. Jadi, dengan hanya kapasitinya sendiri untuk memproduksi kotak gear bakal menimbulkan masalah dari segi pembekalan. Oleh itu menurut Geely, kerjasama bersama Aisin ini akan mengurangkan kos belian dan meningkatkan kadar keberkesanan.

    “Dengan mewujudkan kerjasama baharu dengan Aisin kami akan mampu untuk meningkatkan kecekapan asas Geely dalam pembangunan unit janakuasa dan produksi, serta memacu Strategi 2020 dan Inisiatif Biru Geely. Bermula hari ini kedua-dua pihak akan boleh bekerja bersama dalam aspek pembangunan teknologi dan aplikasi untuk mewujudkan kerjasama strategik jangkamasa panjang,” kata presiden dan CEO Geely Auto Group, An Conghui.

    An mengumumkan perkara ini ketika berlangsungnya Beijing International Auto Show 2018, di mana Geely turut mendedahkan model konsep SUV Icon dan juga sedan flagship Borui yang dikuasakan unit janakuasa hibrid.

     
     
  • Volkswagen hasilkan pelindung telefon pintar dari besi kereta yang kemalangan akibat menggunakan telefon

    Kerajaan Sweden baharu sahaja mengharamkan penggunaan telefon pintar ketika memandu bermula Februari lalu, namun kadar kemalangan yang disebabkan dari kerana sikap dan perlakuan tersebut masih lagi belum berkurangan. Oleh itu, Volkswagen Stockholm menjalankan kempen kesedaran versi mereka sendiri dengan membuat pelindung telefon pintar (phone case) yang diperbuat dari besi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan sedemikian.

    Usaha tersebut dijalankan VW Stockholm bersama syarikat pengurusan jenama NordDDB dengan menghasilkan pelindung untuk telefon pintar Apple iPhone 8. Secara simboliknya, ia akan mengingatkan pengguna telefon berkenaan apa yang akan terjadi sekiranya mereka berdegil untuk menggunakan telefon ketika sedang memandu.

    “Kami tahu betapa mudahnya bagi anda tidak sengaja untuk mengangkat panggilan atau menghantar pesanan,” kata pengurus jenama VW Stockhlom, Johan Karlsson.

    “Tetapi anda adalah 23 kali lebih berpotensi untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya jika anda menghantar mesej sambil memandu, jadi sangat penting untuk mengetahui betapa seriusnya perkara ini. Kami percaya pelindung telefon yang dibuat dari kereta-kereta yang tidak bernasib baik ini akan membuatkan anda berfikir dua kali sebelum mengangkat panggilan. Ia akan menjadi pengingat senyap bagi terus fokus ke jalan raya dan tidak melakukan perkara lain ketika memandu,” jelasnya lagi.

    Hanya 153 pelindung telefon tersebut dihasilkan, setiap satunya mewakili kemalangan serius yang dilaporkan ketika bulan pertama undang-undang baharu tersebut dilaksanakan. Ia dijual pada harga 599 Krona atau RM271 di crashedcases.com atau di VW Stockholm sendiri. Hasil jualan tersebut akan didermakan kepada organisasi Trafikskadefonden untuk membantu mereka yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

     
     
  • Petronas perkenal langkah bagi mengurangkan beban kewangan pengusaha stesen minyak – laporan

    Petronas perkenal langkah bagi mengurangkan beban kewangan pengusaha stesen minyak – laporan

    Petronas telah memperkenalkan langkah-langkah untuk mengurangkan tekanan serta beban yang dihadapi oleh operator stesen-stesen minyaknya, menurut satu laporan oleh The Malaysia Reserve (TMR). Banyak operator stesen yang telah mengalami kerugian disebabkan pengenalan harga minyak apungan secara mingguan yang dijalankan sejak April tahun lalu, jelas laporan berkenaan.

    Sumber industri memaklukan akhbar perniagaan itu bahawa Petronas Dagang telah memperkenalkan skim jaminan keuntungan pada 1 Januari tahun ini, dan dibuka bulan ini untuk 1,045 operator stesen minyaknya di seluruh negara.

    “Kami telah memperkenalkan inisiatif segera dan sebagai kesannya, tiada satu pun pengedar Petronas terpaksa menutup operasi mereka sejak 2017,” jelas CEO dan Pengarah Urusan Petronas Dagang, Datuk Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus kepada TMR. Syarikat minyak itu juga sedang berusaha untuk menyediakan insentif jualan yang lebih baik untuk mengurangkan beban kewangan operator stesen, serta program kesetiaan yang lebih baik juga sedang dirangka, tambah beliau.

    TMR juga melaporkan, Persatuan Pengedar-pengedar Petrol Malaysia juga meminta kenaikan margin kepada 18 sen seliter, iaitu sekitar 40% lebih tinggu berbanding kadar komisyen ketika ini, iaitu sekitar 12.9% dan merupakan mandat daripada kerajaan Malaysia sejak 2008.

    Sementara itu, Petronas Dagang telah memperuntukkan sejumlah RM300 juta dalam bentuk perbelanjaan kapital pada 2018, lebih rendah berbanding RM400 juta tahun lalu.

     
     
  • Mitsubishi lancarkan unit servis bergerak di Kuching – bakal berkhidmat untuk pelanggan di pedalaman

    Mitsubishi lancarkan unit servis bergerak di Kuching – bakal berkhidmat untuk pelanggan di pedalaman

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini telah melancarkan khidmat servis bergerak di Kuching, Sarawak. Unit khas tersebut diwujudkan sebagai salah satu usaha MMM untuk memenuhi keperluan pelanggan mereka yang berada di kawasan pendalaman.

    Setiap pasukan unit ini dibekalkan dengan trak pikap Mitsubishi Triton yang diubahsuai, lengkap dengan alat pengimbas diagnostik, jek hidraulik, stand, pemampat udara, perkakasan membaik pulih yang lain serta unit generator bagi membekalkan kuasa elektrik.Ia juga turut mempunyai ‘stor mini’ bagi menyimpan alat ganti seperti minyak pelincir dan penapis.

    Satu pasukan dengan sebuah Triton tersebut mampu menjalankan servis berkala sehingga 10 buah kereta sehari termasuk permeriksaan terhadap komponen-komponen wear and tear. Ia juga cukup lengkap untuk membuat kerja rumit lain termasuk menukar tali sawat pemasa (timing belt).

    “Sebagai sebahagian dari program pengembangan perniagaan servis selepas jualan kami, unit servis bergerak Mitsubishi ini memberikan lebih keselesaan dan jaminan kepada pelanggan kami yang tinggal di kawasan pedalaman Sarawak yang jauh dari pusat servis bertauliah Mitsubishi,” kata CEO MMM Tomoyuki Shinnishi.

    Unit servis bergerak ini akan dikendalikan oleh pusat-pusat servis bertauliah Mitsubishi EON Auto Mart dan Jimisar Autotrade. Ia akan memberikan khidmat kepada pelanggan dalam radius 150 km dari bandar Kuching seperti Sematan, Lundu, Bau, Serian dan Simunjan. Pelanggan yang berminat untuk mendapatkan khidmat ini perlulah menghubungi pengedar-pengedar tersebut untuk membuat temujanji.

    “Ini merupakan trak servis bergerak pertama Mitsubishi Motors Malaysia dan pelanggan bakal menyaksikan lebih banyak unit bergerak ini pada masa terdekat serentak dengan galakkan kami kepada pengedar-pengedar bertauliah Mitsubishi yang mempunyai pelanggan flit dan luar bandar bagi memulakan usaha ini supaya dapat memberikan khidmat lebih baik kepada pelanggan,” tambah Shinnishi lagi.

     
     
  • Kerajaan tangguh sementara kenaikan harga minyak

    Kerajaan tangguh sementara kenaikan harga minyak

    Walau pun harga minyak global berada pada trend menaik sejak kebelakangan ini, namun kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk menangguhkan sementara kenaikan harga bahan api berkenaan di pasaran tempatan. Selama enam minggu berturur-turut harga runcit minyak tempatan dikekalkan kepada RM2.20 bagi RON95, RM2.47 untuk RON97, dan RM2.18 Diesel.

    Menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, keputusan itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas mengambil kira tekanan yang akan dihadapi rakyat, terutama bebanan golongan bawahan.

    “Oleh kerana kerajaan masih tidak ada lagi formula untuk menyelesaikan perkara ini (pengukuhan harga minyak dunia) maka Perdana Menteri meminta kita tangguhkan sementara peningkatan harga minyak ini. Jadi saya mahu beritahu kepada orang ramai keputusan ini diambil Perdana Menteri untuk manfaat rakyat,” ujarnya seperti mana yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Beliau turut mengulas tentang tindakan segelintir pihak memviralkan tanda harga minyak yang dikekalkan di pasaran tempatan dengan mengaitkannya kepada kawalan kerajaan ke atas bahan api itu.

    “Jadi tak perlu merungut, takkan benda baik yang orang bagi kita merungut, cukup jangan politikkan benda seperti ini untuk kebaikan rakyat,” katanya sambil menegaskan keputusan itu diambil untuk kebaikan rakyat justeru ia tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak berkepentingan.
    .

     
     
  • SDAC Kuching yang dinaiktaraf telah dilancarkan

    SDAC Kuching yang dinaiktaraf telah dilancarkan

    Sime Darby Auto Connexion (SDAC) pengedar eksklusif Ford di Malaysia telah melancarkan kemudahan yang dinaik taraf, Sime Darby Auto Connexion Kuching, Sarawak.

    Bilik pameran itu direka dengan standard Jenama@Peruncitan global Ford. Ia menempatkan ruang jualan, servis dan alat ganti di bawah satu bumbung untuk memenuhi segala keperluan pelanggan. Dengan keluasan 2,033 meter persegi, ia mempunyai satu bilik pameran yang mampu menempat enam buah kenderaan dan 13 ruang penyelenggaraan yang lengkap dengan sistem pengangkat. Kemudahan itu turut dilengkapi sebuah lounge pelanggan dengan Wi-Fi percuma.

    Kemudahan baharu itu dikendalikan oleh sepasukan juruteknik bertauliah. Pusat Servis Sah Ford itu juga dilengkapi dengan peralatan diagnostik dan perkakasan khas, selain menyediakan bekalan alat ganti tulen sepenuhnya.

    SDAC Kuching yang dinaiktaraf telah dilancarkan

    “Sime Darby Auto Connexion (Kuching) merupakan satu lagi bukti jelas tentang pelan pengembangan rangkaian dan peningkatan aspek khidmat pelanggan. Ia membantu menyokong jumlah pelanggan yang pantas berkembang di Sabah and Sarawak. Setiap aspek kemudahan ini telah direka untuk menyediakan khidmat pelanggan dan pengalaman pemilikan yang canggih dari segi kemudahan, kecekapan serta keselesaan,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.

    Bilik pameran tersebut terletak di lokasi strategik iaitu Lot 19, Blok 10, Batu 1 ½, Jalan Rock, Kuching, Sarawak. Ia dibuka mulai jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Jumaat, dan dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari pada Sabtu. Manakala waktu operasi Pusat Servis pula bermula jam 8 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat manakala pada hari Sabtu pula beroperasi dari 8 pagi hingga 12 tengahari.

    Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian hotline bilik pameran Kuching di talian – bilik pameran 082-523-855, pusat servis 082-523-655 atau layari laman web www.sdacford.com.my.

     
     
  • Proton Saga, Persona edisi terhad ‘Special Skirting’ – kit badan percuma hingga hujung Mei ini sahaja

    Proton Saga, Persona edisi terhad ‘Special Skirting’ – kit badan percuma hingga hujung Mei ini sahaja

    Proton kini menawarkan Saga dan Persona yang datang dengan kit badan opsyenal digelar ‘Special Skirting’ atau SS tanpa sebarang bayaran tambahan tetapi hanya dalam tempoh terhad. Kit ini menampilkan rekaan yang sama seperti sebelum ini di mana Saga diperkenalkan pada Mei tahun lalu manakala Persona pula sejak dilancarkan dahulu.

    Promosi yang akan berakhir pada penghujung Mei 2018 ini hanya ditawarkan untuk Persona 1.6L Premium CVT, manakala untuk Saga pula, ia ditawarkan untuk model 1.3L CVT sama ada Standard, Executive atau Premium.

    Proton Saga, Persona edisi terhad ‘Special Skirting’ – kit badan percuma hingga hujung Mei ini sahaja

    Kit berkenaan terdiri daripada spoiler hadapan yang dipasang pada bahagian bawah bampar, skirt sisi dan juga lip tambahan pada bampar belakang.

    Selepas dari tempoh promosi ini, kit ini masih boleh didapati, namun Proton akan mengenakan bayaran tambahan RM1,800 untuk Saga dan RM1,900 untuk Persona. Warna istimewa gunmetal pada sebahagian kit tersebut juga hanya untuk tempoh promosi ini sahaja, dan ia akan kembali ke warna asal selepas itu.

    GALERI: Proton Saga 1.3L Premium CVT SS

    GALERI: Proton Persona 1.6L Premium CVT SS

     
     
  • Borgward BX5 dan BX7 dipertontonkan di Malaysia

    Borgward BX5 dan BX7 dipertontonkan di Malaysia

    Selepas dikhabarkan jenama dari Jerman, Borgward, bakal dibawa masuk ke Malaysia, hari ini, dua model SUV BX7 dan BX5 telah dipertontonkan buat pertama kali di Malaysia Autoshow 2018 yang mula berlangsung hari ini. Ini juga merupakan penampilan kali pertama di peringkat ASEAN buat kedua-dua model terbabit.

    Kedua-dua model SUV yang dipertontonkan – dari model pemanduan sebelah kiri – akan membuat pengumuman rasminya pada 29 April ini. Buat masa ini, tiada perincian diberikan.

    Jenama yang turut dimiliki oleh pengeluar kereta China, Foton Motor, ia turut dirancang untuk pemasangan tempatan. Menurut CEO Institut Automotif Malaysia (MAI) Datuk Madani Sahari baru-baru ini, jenama yang dibawa masuk ke Malaysia oleh Go Bremen Motors, telah merancang untuk mewujudkan kilang pemasangannya (bagi program CKD) kelak, dengan hab automotif di Bagan Datuk, Perak, telah dinamakan sebagai lokasi potensi. Malahan kilang di Gurun, Kedah, yang turut memasangkan model Haval di bawah syarikat induk yang sama, Go Auto, juga mempunyai kebarangkalian untuk pelaksanaan program CKD terbabit.

    Walau pun harganya juga belum didedahkan, namun kami dimaklumkan bahawa program CKD bagi kenderaan ini mungkin bermula pada suku ketiga tahun ini. Namun semua perinciannya hanya akan didedahkan pada hujung minggu ini.

    Borgward, yang mula wujud sejak tahun 1919 sebelum diisytiharkan muflis pada tahun 1961, kemudian dibangunkan semula pada 2015, di mana BX7 telah diperkenalkan di Frankfurt pada tahun tersebut bagi memaklumkan bahawa jenama ini telah kembali ke persada industri automotif global.

    Digambarkan oleh pengeluarnya sebagai “SUV pintar yang lebar, berjenama Jerman” di pasaran China, SUV tujuh-tempat duduk BX7 ini berdimensi 4,715 mm panjang, 1,911 mm lebar dan 1,690 mm tinggi, dengan jarak rodanya 2,780 mm panjang.

    Ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 224 PS pada 5,500 rpm dan tork 300 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan (dwi-klac tujuh-kelajuan juga ditawarkan, namun rasanya bukan untuk rantau ini), dengan kuasanya disalurkan ke semua roda menerusi sistem pacuan semua-roda.

    Bagi BX5 pula, ia diperkenalkan pada tahun lalu di Geneva dan SUV lima-tempat duduk untuk versi pasaran Asia ini adalah lebih kompak, dengan ukuran 4,490 mm panjang, 1,877 mm lebar dan 1,675 mm tinggi, dengan 2,685 mm panjang bagi jarak roda.

    Ia dipadankan dengan enjin 1.8 liter pengecas turbo empat-silinder yang menawarkan kuasa sehingga 190 PS pada 5,500 rpm dan tork 280 Nm dari 1,750 hingga 4,500 rpm. Unit ini turut dipadankan dengan transmisi auto enam-kelajuan, dengan sistem pacuan-semua roda.

    GALERI: Borgward BX7

    GALERI: Borgward BX5

     
     
  • Honda CB1000R 2018 dibawa untuk pameran di M’sia

    Honda CB1000R 2018 dibawa untuk pameran di M’sia

    Selain model semasa yang dipasarkan sekarang, Boon Siew Honda turut membawa sebuah model khas untuk pameran di Serdang iaitu CB1000R 2018. Model ini pernah dilaporkan akan tiba di Malaysia bersama X-ADV dan Africa Twin, tetapi dua model yang disebutkan itu sudah pun dilancarkan, manakala CB1000R masih belum lagi.

    CB1000R pertama kali diperkenalkan kepada orang ramai semasa EICMA 2017, dan ia menggunakan enjin sama seperti CBR1000R, iaitu unit empat silinder 998 cc DOHC, namun kini dinaik taraf dengan piston diperkuat, angkatan injap lebih tinggi, injap lebih besar, lubang pemasukan angin lebih besar dan kebuk pembakaran bentuk baru yang dapat meningkatkan pergerakan udara serta tork di tahap pertengahan rpm.

    Nisbah gear model ini juga dikurangkan sebanyak 4% untuk pecutan lebih baik, dan ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan yang mempunyai klac assist/slipper yang lebih ringan. Sistem ekzos 4-2-1 baru turut dipadankan pada motosikal ini, dan ia adalah 4.5 kg lebih ringan dan dapat memberikan lebih tork semasa rpm tinggi.

    Kelengkapan lain yang ada pada CB1000R 2018 adalah empat mod tunggangan (Standard, Sport, Rain, User), kesemua lampu LED, pemegang yang 0.5 inci lebih lebar dan lebih tinggi, tayar lebih lebar (190/55 ZR17), fork hadapan Showa Separate Function Big Piston (SFF-BP), kerangka besi Mono-backbone dan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC).

    Walaubagaimanapun, model yang dipamerkan ini diberitahu masih lagi sebuah prototaip dan spesifikasinya mungkin boleh jadi berbeza apabila diperkenalkan untuk pasaran Malaysia nanti. Harga juga masih belum diketahui, tetapi sebelum ini ia sudah dijangka berada di bawah RM90,000.

     
     
  • Proton dedah bayangan rekaan dan ciri lain untuk SUV pertamanya – enjin turbo GDi sah untuk Malaysia

    Selain dari mempamerkan Preve Premium 2018 dan juga replika jentera rali Iriz R5 pada acara yang sedang berlangsung di MAEPS Serdang hari ini, Proton turut menyediakan satu ruangan khas sebagai prebiu model yang paling dinanti-nanti untuk 2018 iaitu SUV pertama keluaran jenama automatif nasional berkenaan yang akan diasaskan dari Geely Boyue.

    SUV ini bakal dilancarkan pada suku keempat tahun ini, dan di ruang pameran berkenaan diletakkan sebuah model separuh badan yang belum diukir sepenuhnya. Muka SUV tersebut masih lagi kelihatan ‘kosong’ terutama pada bahagian gril (diletakkan logo 3D Proton sebenar) dan juga pada liang kemasukan udara pada bampar. Walau bagaimanapun, lampu SUV ini masih seiras Boyue, manakala apron bahagian bawah kelihatan seperti Boyue versi facelift.

    Proton turut menyenaraikan kelengkapan yang bakal diberikan pada SUV pertamanya berkenaan, yang dilihat juga hampir sama seperti apa yang dipadankan pada Boyue facelift.

    Antara sistem tersebut termasuk sistem pemantau titik buta dan juga ciri bantuan pemanduan lain seperti brek kecemasan automatik (AEB), cruise control adaptif, amaran keluar laluan dan juga lampu tinggi automatik.

    SUV ini turut didatangkan dengan pembersih udara pintar, sistem pemantau angin tayar, kamera 360-darjah dan juga sistem infotaimen bersama skrin sesentuh lapan-inci lengkap dengan hubungan internet 4G dan juga aplikasi mudah alih serta fungsi kawalan jauh menerusi telefon pintar.

    Proton dedah bayangan rekaan dan ciri lain untuk SUV pertamanya – enjin turbo GDi sah untuk Malaysia

    Untuk prebiu kali ini, Proton turut mendedahkan sedikit perincian berkenaan enjin – SUV ini bakal dijana unit petrol turbo TGDi. Di pasaran China, satu-satunya Boyue yang menerima enjin berkenaan adalah dari versi 1.8 liter turbo empat-silinder, berkuasa 181 hp/285 Nm dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan. Versi tersebut hadir dengan pilihan sama ada pacuan roda dapan atau AWD.

    Tiada pendedahan rasmi lagi berkenaan harga, namun menurut Menteri MITI Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan dalam satu kenyataannya pada Jun tahun lalu, SUV ini bakal dijual pada harga di bawah RM100k. Dengan senarai kelengkapan yang dinyatakan ini, nampak macam betul-betul berbaloikan? apa pula pendapat anda? Kongsikannya pada ruangan komen di bawah.

     
     
  • Honda Monkey 2018 semakin hampir tiba di Malaysia?

    Honda Monkey 2018 semakin hampir tiba di Malaysia?

    Honda sebelum ini telah mengumumkan model Monkey akan dihidupkan kembali menjadi sebuah motosikal moden yang menggunakan asas MSX125. Berita baik bagi penggemarnya di Malaysia, pengerusi Boon Siew Honda, Datuk Wira Tan Hui Jing menyatakan kepada Paultan.org bahawa ia akan dibawa ke Malaysia.

    Perkara ini dinyatakan beliau semasa pengumuman harga X-Adv dan Africa Twin hari ini, tetapi ia masih lagi bergantung kepada pelbagai faktor seperti harga, persetujuan serta perlepasan kerajaan. Walaubagaimanapun, kilang Boon Siew Honda di Batu Kawan, Pulau Pinang diberitahu sudah bersedia untuk memulakan pemasangan Monkey.

    Monkey generasi baru menggunakan enjin sama seperti MSX125, iaitu unit satu silinder penyejukan udara 125 cc suntikan bahan api PGM-Fi yang mampu menghasilkan 9.6 hp dan 11 Nm tork. Kelengkapan lain yang ada padanya adalah termasuk lampu LED, rim aloi, meter LCD, fork USD dan brek cakera depan dan belakang dengan ABS.

    Tan juga ada menambah bahawa Gold Wing 2018 turut berkemungkinan tiba di Malaysia dengan versi kotak gear biasa, manakala transmisi automatik DCT pula disediakan sebagai pilihan tambahan. Jikalau tiba pun, paling awal mungkin menjelang akhir tahun ini, ataupun awal 2019. Walaubagaimanapun, sekali lagi, ia masih bergantung kepada pelbagai faktor.

    Selain Monkey dan Gold Wing, antara model baru lain yang berkemungkinan tiba di Malaysia adalah termasuk skuter PCX Hybrid, yang pertama kali diperkenalkan kepada umum semasa Tokyo Motor Show tahun lalu. Skuter yang menggunakan gabungan enjin petrol dan motor elektrik ini sudah pun dilancarkan di Indonesia pada harga Rp40,000,000 (RM11,300).

     
     
  • Volkswagen Golf 1.4 TSI R-Line 2018 masuk pasaran Malaysia secara rasmi, dijual pada harga RM169,990

    Volkswagen Golf 1.4 TSI R-Line 2018 masuk pasaran Malaysia secara rasmi, dijual pada harga RM169,990

    Selepas model asas Volkswagen Golf facelift 1.4 TSI Sportsline dilancarkan bulan lalu, hari ini Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) mendedahkan pula versi dengan kit lebih sporty iaitu varian 1.4 TSI R-Line. Seperti namanya, model Golf dengan unit jankuasa asas ini diberikan penggayaan seperti model paling berkuasa iaitu Golf R.

    Jadi, model tersebut masih dijana enjin 1.4 liter TSI empat-silinder turbo berkuasa 150 PS/250 Nm dipadankan dengan kotak gear tujuh-kelajuan automatik klac berkembar DSG, memacu roda hadapan. Untuk model kemaskini ini, ia turut diberikan electronic differential lock Volkswagen XDS. Model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 216 km/j. Menurut VW, kereta ini mencapai penggunaan bahan api 5.4 liter/100 km berdasarkan ujian NEDC.

    Volkswagen Golf 1.4 TSI R-Line 2018 masuk pasaran Malaysia secara rasmi, dijual pada harga RM169,990

    Antara kit yang dibekalkan pada model ini bagi menampakkan ia seakan Golf R adalah termasuk lampu hadapan LED adaptif (halogen pada Sportsline), bampar hadapan dan belakang serta diffuser belakang yang turut menempatkan tip ekzos trapezoid dengan kemasan krom. Turut diberikan adalah set rim Singapore berdiameter 17-inci membaluti tayar bersaiz 225/45R17.

    Pada bahagian kabin pula, Golf R-Line ini diberikan paparan informasi digital sepenuhnya Active Info Display bersaiz 12.3-inci dan skrin infotainmen 8.0-inci Composition Media dengan fungsi App-Connect yang menyokong Apple CarPlay, Android Auto serta MirrorLink. Ia juga menerima upholsteri kulit Vienna bersama sulaman logo R-Line pada perehat kepala tempat duduk hadapan.

    Untuk keselamatan pula, Golf R-Line hadir dengan tujuh beg-udara, ESC dan Proactive Occupant Protection System yang menggunakan penderia untuk mengesan situasi seperti kemalangan yang akan berlaku dan bersedia untuk melindungi penumpang, contohnya mengetatkan tali pinggang keledar secara automatik serta menutup semua tingkap dan cermin suria.

    Dengan semua ciri ini, Volkswagen Golf 1.4 TSI R-Line dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM169,990. Namun untuk unit terawal ini ia akan dijual pada harga RM166,990 kerana ia hanya diberikan tempat duduk balutan fabrik biasa. Model dengan upholsteri kulit sepenuhnya akan tiba selepas ini.

    Setiap pembelian Golf R-Line ini akan disertakan dengan waranti selama lima tahun bersama bantuan tepi jalan juga selama lima tahun, serta servis percuma 45,000km/tiga tahun. Untuk lebih perincian terhadap model ini, anda boleh lawati laman Carbase.my.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024