Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Teksi EV bakal beroperasi di KL menjelang 2020

    Teksi EV bakal beroperasi di KL menjelang 2020

    Kenderaan elektrik (EV) kian mendapat tempat bukan sahaja di peringkat global, malah juga di Malaysia. Makin banyak syarikat pengeluar kenderaan berkeyakinan memasarkan EV di negara ini termasuk dari jenama premium mewah seperti Mercedes-Benz dan BMW.

    Melihat akan trend ini, Big Blue Taxi Facilities (Big Blue) dengan kerjasama Fieldman EV Sdn Bhd mengambil inisiatif melakukan kelainan dalam sektor perkhidmatan pengangkutan di sini iaitu bakal memperkenalkan perkhidmatan teksi EV di sekitar Kuala Lumpur.

    Menurut Pengasas dan Penasihat Perkhidmatan Big Blue Datuk Shamsubahrin Ismail,sebanyak 20,000 unit teksi elektrik akan disampaikan kepada pemandu teksi berdaftar di bawah Big Blue selewat-lewatnya pada tahun 2020, laporan Bernama.

    Katanya lagi, dua orang pakar mengenai enjin dari China dibawa ke Malaysia untuk mengkaji tentang keperluan EV yang bakal digunakan serta akan disuaipadankan dengan keadaan jalan, persekitaran dan suhu di negara ini. Difahamkan, EV terbabit akan dijanakan oleh motor elektrik bagi memberikannya kuasa sebanyak 80 hp dan boleh dipacu sehingga 400 km bagi pengecasan tunggal, dengan kelajuan maksimum 140 km/j.

    Teksi EV bakal beroperasi di KL menjelang 2020

    1,000 contoh pertama bagi teksi EV ini adalah unit CBU, dan penghantaran pertama dijangka bermula pada 2019, dan semua unit direncanakan akan selesai dihantar sebelum 2020 berakhir.

    “Keistimewaan teksi elektrik ini, ia mempunyai ciri unik seperti teksi ikonik di London (teksi hitam) yang sekaligus dapat mencipta kemodenan kepada perkhidmatan teksi,” katanya sambil menambah pelaburan sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk menjayakan projek itu selain menggunakan geran kerajaan untuk pemandu teksi yang berdaftar di bawah Big Blue.

    Menurutnya lagi, Big Blue mahu memperkenalkan teksi elektrik ini selepas mengambil kira harga minyak pada waktu ini yang semakin tinggi serta penggunaan NGV pula yang sering mengalami pelbagai masalah yang menyukarkan pemandu teksi.

    Pada tahun lalu, negara jiran kita, Singapura, telah memperkenalkan 100 teksi elektrik dengan menggunakan model jenama BYD dari China. Manakala di Thailand juga, kerajaan negara tersebut turut merancang untuk melaksanakan teksi elektrik dengan model BYDe6 di kota metropolitan Bangkok. BYD e6 lima-tempat duduk boleh dipacu sehingga 400 km bagi setiap pengecasan.

     
     
  • Haval H8 dan H9 dipertonton di Malaysia – pelancaran pada suku keempat 2018 untuk H9, bawah RM200k

    Haval H8 dan H9 dipertonton di Malaysia – pelancaran pada suku keempat 2018 untuk H9, bawah RM200k

    Haval Malaysia kini sedang mempertontonkan SUV tujuh tempat duduk H9 sebelum ia diperkenalkan secara rasmi di Malaysia menjelang suku keempat tahun ini. Sebagai permulaan, model import sepenuhnya akan ditawarkan dengan harga jangkaan bawah RM200,000 dan kemudiannya akan diikuti model pemasangan tempatan (CKD) pada suku kedua tahun 2019.

    Turut dipertontonkan adalah satu lagi SUV, iaitu H8 yang mempunyai lima tempat duduk, tetapi bagi model ini, Haval Malaysia masih belum ingin memberitahu sama ada ia akan dilancarkan di sini ataupun sekadar pameran untuk melihat reaksi orang ramai.

    Melihat kepada H9, SUV ini nanti akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Luxury dan Ultra, bersama pilihan lima warna luaran iaitu Alaskan Whote, Ebony, Sleek Silver, Kakadu dan Bronze.

    Penggerak SUV H9 ini adalah enjin empat silinder petrol 2.0 liter turbo GW4C20 yang boleh menghasilkan sehingga 215 hp pada 5,500 rpm dan 324 Nm tork antara 2,000 hingga 4,000 rpm. Enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan, serta sistem pacuan empat roda dengan mod Auto, 2H, 4H dan 4L.

    Untuk dimensi pula , H9 ini mempunyai ukuran 4,856 mm panjang, 1,926 mm lebar dan 1,900 tinggi, manakala jarak roda pula adalah 2,800 mm. Sebagai perbandingan, Toyota Fortuner (yang juga adalah SUV tujuh tempat duduk) mempunyai ukuran 4,795 mm panjang, 1,855 lebar, 1,835 mm tinggi dan jarak roda 2,745 mm.

    Pada unit pameran ini, antara kelengkapan yang ada termasuk lampu utama xenon projector automatik, rim 18 inci enam cabang dengan tayar 265/60, kamera undur, tempat duduk kulit, brek letak kenderaan elektronik, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan inci, bumbung suria dan pendingin hawa automatik.

    Haval H8 dan H9 dipertonton di Malaysia – pelancaran pada suku keempat 2018 untuk H9, bawah RM200k

    Untuk barangan keselamatan, terdapat enam beg udara, sistem Electronic Stability Program (ESP) oleh Bosch, Hill Descent and Ascent Control, brek anti kunci (ABS), EBD, sistem pemerhati tekanan angin tayar dan sistem lampu hadapan adaptif (AFS).

    Melihat kepada H8 pula, ia adalah sebuah SUV lima tempat duduk yang lebih kecil berbanding H9, dengan ukuran panjang 4,806 mm, lebar 1,975 mm, tinggi 1,794 mm dan jarak roda 2,915 mm. Di Australia, model ini boleh didapati dengan enjin empat silinder 2.0 liter berkuasa 215 hp/ 324 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan dan sistem pacuan empat roda.

    Unit pameran ini datang dengan rim 19 inci, tayar 255/50, lampu utama xenon automatik, kamera undur, tempat duduk balutan kulit, kemasan kayu hiasan, unit infotainmen dengan skrin sesentuh dan lampu kabus.

    GALERI: Haval H9

     
     
  • Harga Honda X-ADV, Africa Twin 2018 diumumkan – masing-masing bermula dari RM61,478 dan RM74,198

    Harga Honda X-ADV, Africa Twin 2018 diumumkan – masing-masing bermula dari RM61,478 dan RM74,198

    Boon Siew Honda hari ini telah mengumumkan harga dan melancarkan secara rasmi dua model yang pernah dipertontonkan sebelum ini, iaitu skuter X-ADV dan jentera jelajah Honda Africa Twin CRF1000L. Masing-masing akan dijual pada harga bermula RM61,478 dan RM74,198 – semua harga ini termasuk GST, tetapi tidak termasuk insurans.

    Bagi Honda X-ADV, ia ditawarkan dalam dua jenis warna; standard dan warna istimewa (yang kedua ini dijual pada harga RM63,598). Bagi Honda Africa Twin pula, ia ditawarkan dalam dua varian; CRF1000L Africa Twin dan CRF1000L Africa Twin Adventure Sports.

    Dan, bagi kedua-dua varian itu pula, terdapat dua versi ditawarkan – Standard (transmisi manual enam-kelajuan) dan juga DCT, dengan harga sehingga RM83,783 bagi model CRF1000L Africa Twin Adventure Sports dengan transmisi DCT yang menjadi penawaran paling tinggi bagi motosikal ini.

    Harga Honda X-ADV, Africa Twin 2018 diumumkan – masing-masing bermula dari RM61,478 dan RM74,198

    Ketika ditampilkan sewaktu pembukaan pusat Honda Big Wing pertama di Setapak Februari lalu, model Honda Africa Twin dijangka akan dijual pada harga sekitar RM80,000 manakala X-ADV pula pada harga sekitar RM70,000.

    Honda X-ADV merupakan sebuah skuter bergaya kembara yang dikuasakan oleh enjin dua-silinder 745 cc dengan sistem penyejukan cecair dan SOHC. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 54 hp pada 6,250 rpm dan 68 Nm pada 4,750 rpm, dan ia menggunakan transmisi automatik klac berkembar enam kelajuan DCT yang juga boleh dikawal menggunakan butang penukar gear di bahagian pemegang.

    Konsep kembaranya disampaikan melalui penggunaan barangan seperti penghadang tangan, pelindung bahagian depan enjin dan rim jenis lidi; bersaiz 17-inci di depan, dengan tayar 120/70 dan bersaiz 15-inci bersama tayar 160/60 di belakang. Penghadang udara di hadapannya pula boleh dilaras dalam beberapa kedudukan, tinggi dan rendah.

    Berat keseluruhan X-ADV ialah 238 kg dan ia dilengkapi dengan tangki bahan api berkapasiti 13.1 liter. Antara kelengkapan lain yang ada ialah sistem tanpa kunci, ruang barangan 21 liter (boleh memuatkan helmet full face), soket pengecas USB di bawah tempat duduk, meter digital gaya rali yang lengkap dengan pelbagai maklumat dan fork terbalik di hadapan dan monoshock dengan Pro-Link di belakang.

    Bagi Africa Twin CRF1000L pula, ia sebuah motosikal kembara sebenar. Ia masih dikuasakan oleh enjin dua-silinder selari 998 cc SOHC, dan untuk model 2018 ini ia dinaik taraf dengan kotak udara dan bahagian dalam ekzos baru, balancer shaft lebih ringan, pam air di dalam perumah klac, termostat dalam head, bateri lithium ion, sistem throttle-by-wire, empat mod tunggangan dan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) dengan tujuh tahap (sebelum ini cuma ada tiga).

    Harga Honda X-ADV, Africa Twin 2018 diumumkan – masing-masing bermula dari RM61,478 dan RM74,198

    Beratnya ialah 232 kg, dan ia datang dengan kelengkapan lain termasuk tangki bahan api 18.8 liter, fork teleskopik 45 mm di hadapan, monoshock boleh laras pra beban dan lantunan, brek cakera berkembar 310 mm dan angkup empat piston di hadapan, brek cakera 256 mm dan angkup dua piston di belakang, siap dengan sistem brek ABS dan rim 12 inci di hadapan dan 18 inci di belakang.

    Tidak lupa juga sebuah lagi model, Neo Sports Cafe CB1000R yang turut dipamerkan. Semua motosikal ini dibawa masuk secara CBU dari Jepun.

    GALERI: Honda CRF1000L Africa Twin


    GALERI: Honda X-Adv

    GALERI: Honda CB1000R

     
     
  • GALERI: Proton Preve Premium 2018 – RM72,510

    GALERI: Proton Preve Premium 2018 – RM72,510

    Proton telah pun memperkenalkan model Preve 2018 yang dipertingkatkan dengan menawarkan dua varian – 1.6 Executive CVT berharga RM64,730 dan 1.6 Premium CVT pula RM72,510, menunjukkan peningkatan masing-masing RM4,120 dan RM1,193. Harga atas jalan tersebut adalah tanpa insurans, dan termasuk waranti lima-tahun/150,000 km.

    Kedua-dua varian masih menggunakan enjin yang sama iaitu 1.6 liter pengecas turbo petrol empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 138 hp pada 5,000 rpm dan tork 205 Nm antara 2,000 rpm dan 4,000 rpm. Pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT tujuh-kelajuan. Bagi barisan Preve kali ini, Proton telah menggugurkan varian manual naturally-aspirated.

    Perubahan yang dilakukan terhadap Preve ini ialah mempertingkatkan tahap bising, getaran dan kekasaran (NVH), ini termasuklah dengan adanya cagak baharu bagi enjin dan transmisi, penebat dalam tiang dengan karpet lantai baharu, balutan getah tambahan bagi mengurangkan bunyi bising angin dan mengurangkan bunyi desir pendingin hawa.

    Lain-lain elemen yang ditampilkan termasuklah kekemasan tombol gear baharu, penerima radio yang dipertingkatkan dan karpet lantai jenis-fishnet baharu serta pilihan roda 16-inci (pada varian Executive yang tidak ditunjukkan di sini). Perubahan pada luaran pula terhad pada warna dan kekemasan, seperti gril dan bootlid yang lebih gelap, bumbung dan cermin sisi hitam. Varian Premium pula menerima roda bersaiz 17-inci.

    Elemen standard lain termasuklah lampu utama halogen projektor dengan pencahayaan follow-me-home, lampu kabus hadapan dan belakang, operasi tingkap naik/turun auto bagi sisi pemandu dengan anti-pinch dan unit utama radio/CD dengan sambungan Bluetooth, USB dan auxiliary audio. Bagi keselamatannya, semua versi menerima enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, perehat kepala hadapan aktif dan cagak ISOFIX di tempat duduk belakang.

    Bagi varian Premium, elemen tambahan yang ditampilkan termasuklah lampu nyalaan siang LED, butang push-start, kawalan suhu automatik zon-tunggal, navigasi skrin sesentuh, lampu utama dan bilah pengelap cermin automatik, kawalan kelajuan, cermin sisi auto, pedal penukar gear dan lapisan cermin gelap. Lima warna ditawarkan bagi Proton Preve 2018 – Ruby Red, Carnelian Brown, Graphite Grey, Sterling Silver dan Cotton White.

     
     
  • HLYM sambut pengeluaran motosikal yang ke-4 juta

    HLYM sambut pengeluaran motosikal yang ke-4 juta

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd hari ini mencatat satu sejarah baru dalam syarikat apabila mengeluarkan motosikal yang ke 4 juta dari kilangnya. Acara bersejarah ini dilakukan di kilang HLYM di Sungai Buloh, sambil turut dihadiri wakil dari Yamaha Motor Co. Ltd, Japan.

    Pengeluaran motosikal HLYM di Malaysia bermula pada tahun 1979, iaitu melalui model RX100. Daripada waktu itu, kilang HLYM telah mengalami pelbagai peningkatan dan naik taraf, termasuk pemindahan dari Shah Alam ke Sungai Buloh bagi meningkatkan jumlah pengeluaran.

    Antara model penting lain yang dikeluarkan awal adalah Passola pada tahun 1983, Virago 535 pada tahun 1995 sebagai model 500 cc pertama, SRE sebagai model empat strok pertama pada 1997 dan 110SS sebagai model yang mencatat pengeluaran ke 1 juta.

    “Komitmen tidak terhingga yang diterima daripada pasukan yang berdedikasi, daripada pekerja kilang ke wakil jualan, vendor, rakan kongsi serta rangkaian pengedar di seluruh negara telah menjadikan acara ini berjaya. Saya juga mahu mengucapkan penghargaan istimewa kepada Yamaha Motor Company, Japan untuk sokongan mereka,” kata pengarah urusan HLYM, Datuk Jim Khor.

    Pada masa sekarang, HLYM mempunyai pelbagai variasi model yang dikeluarkan daripada kilang mereka, dan ini termasuk E115, Lagenda 115Z, 135LC, Y15ZR, Ego Avantiz, Ego Solariz, NMax, NVX, XMax 250, FZ150i, R25, MT-07 dan MT-09. Bagi model 135LC grafik khas untuk pengeluaran ke 4 juta ini, Jim menyatakan masih belum membuat keputusan untuk menawarkannya kepada orang ramai.

     
     
  • Proton Iriz R5 hadir ke M’sia, namun hanya replika

    Proton Iriz R5 hadir ke M’sia, namun hanya replika

    Pagi ini saya bersemangat untuk MAEPS Serdang kerana diberitahu bahawa Proton bakal mempamerkan jentera rali binaan Mellors Eliiot Motorsport (MEM) yang bakal menyertai Kejohanan Rali Dunia dalam kategori WRC2 iaitu Proton Iriz R5. Jentera yang mengujakan saya sejak pertama kali teasernya disiarkan ini terus kelihatan sebaik sahaja masuk ke dewan A MAEPS melalui pintu utama.

    Namun ketika menghampiri jentera tersebut, sesuatu yang ganjil kelihatan pada kereta rali ini – ia tiada rollcage, dengan papan pemuka standard pemanduan sebelah kanan, tombol gear automatik, roda stereng standard serta masih mempunyai pemain utama sistem infotainmen – Ia sebenarnya hanya sebuah replika dan bahagian dalaman kereta ini hanya menerima tempat duduk perlumbaan dari Racetech bersama tali pinggang dari R3.

    Namun menurut sumber dari Proton, walaupun kereta ini sebuah replika, ia sebenarnya masih dibina oleh pihak MEM sendiri. Badan asas Iriz 1.6 Premium berwarna hijau (berdasarkan warna pada bahagian belakang kabin yang sudah tiada tempat duduk dan karpet) ini di hantar ke ibu pejabat MEM di UK untuk diubahsuai.

    Proton Iriz R5 hadir ke M’sia, namun hanya replika

    Jadi, kesemua kit badan lebih lebar, bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif serta spoiler belakang yang besar dan tinggi pada kereta ini adalah hasil kerja MEM, begitu juga warna badan perak bersama livery perlumbaan Proton Motorsport, serta perincian-perincian kecil seperti cermin sisi, skup bumbung dan juga liang udara pada bonet. Bagi menampakkan ia lebih hampir kepada jentera Iriz R5 asli, MEM turut memadankan suspensi boleh laras dan juga set brek perlumbaan sebenar pada bahagian hadapan dan belakang.

    Kereta ini juga menerima rim yang sama dengan Iriz R5 di UK – untuk penampilan kali ini, ia dipadankan dengan set roda untuk rali tarmac iaitu Speeline Corse berdiameter 18-inci dibaluti tayar Michelin Pilot Sport dengan saiz 235/40R16. Ekzos juga nampaknya telah diubahsuai di mana paip terus tanpa apa-apa muffler atau pemangkin diberikan dari enjin hingga hujung tip.

    Adakah Proton akan membawa Iriz R5 sebenar untuk berlumba ke Malaysia atau menyertai kejohanana rali Asia Pasifik seperti program untuk Satria Neo S2000 dahulu? Nampaknya jenama automotif nasional tersebut masih lagi belum membuka mulut.

    Untuk jentera Proton Iriz R5 sebenar, ia dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

    Kereta ini telah membuat kemunculan sulung di Good Festival of Speed tahun lalu. Selepas itu, Iriz R5 telah pun berlumba dalam tiga perlumbaan – menjadi juara di Rally Stage Goodwood Festival of Speed, mencapai kedududukan podium di Malton Forest Rally, dan juara di Grizedale Stages Rally. Ia juga telah diuji oleh lagenda serta juara dua kali WRC, Marcus Gronholm dan diberikan maklum balas yang sangat positif.

     
     
  • Perodua Bezza GXtra dilancarkan – lebih banyak elemen ditampilkan dan lebih murah, dari RM35.5k

    Perodua Bezza GXtra dilancarkan – lebih banyak elemen ditampilkan dan lebih murah, dari RM35.5k

    Selepas dilancarkan pada Julai 2016, setahun yang lalu Perodua Bezza telah menerima peningkatan bagi imej luaran dan dalamannya. Hari ini pula, Perodua telah melancarkan satu varian baharu bagi barisan Bezza yang dinamakan sebagai Bezza GXtra. Ia adalah bagi menggantikan varian 1.0 Standard G yang terdapat dalam barisan Bezza sebelum ini.

    Pelancaran Bezza GXtra dirasmikan pagi tadi oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak di Malaysia Autoshow 2018, bertempat di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS). Turut hadir adalah Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.

    Perodua telah memberikan sedikit kelainan bagi Bezza GXTra yang kini merupakan varian asas bagi sedan pertamanya. Ia ditampilkan dengan skirt sisi dan pemegang pintu krom. Selain itu, Bezza GXtra juga diberikan pilihan warna Ocean Blue yang sebelum ini hanya ditawarkan pada varian 1.3L.

    Selain itu, untuk bahagian dalamnya, penambahan trim telah ditampilkan, ini termasuklah papan pemuka dan panel audio dengan kekemasan Piano Black. Begitu juga dengan corong udara, jejari roda stereng dan tapak gear dihiasi trim berwarna terang. Malah kini ia turut menampilkan Bluetooth bagi sistem audio.

    Bagi mekanikalnya, ia masih dijanakan oleh enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan VVT-i dengan output 67 hp pada 6,000 rpm dan tork 91 Nm pada 4,400 rpm. Ia masih hadir dengan pilihan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan E-AT (kawalan elektronik). Penggunaan bahan api yang cekap diteruskan daripada sebelumnya, iaitu 22.8 km/l bagi varian manual dan 21.3 km/l bagi varian automatik.

    Bezza GXtra ditawarkan pada harga pengenalan sebanyak RM35,500 untuk manual dan RM37,500 untuk automatik, atas jalan tanpa insurans di Semenanjung Malaysia. Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun/150,000 km.

    Bezza merupakan sedan pertama keluaran Perodua dan diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) paling mampu milik di Malaysia. Sejak pelancarannya pada pertengahan 2016, ia telah menjadi sedan paling laris di Malaysia, dengan hampir 100,000 unit dijual sehingga kini.

     
     
  • Daihatsu Move sebenar di Jepun dengan muka Kenari!

    Daihatsu Move sebenar di Jepun dengan muka Kenari!

    Bagi kebanyakkan ‘Mat Kereta’, elemen lain dari yang lain atau ‘stand out from the crowd‘ adalah sangat penting buat mereka. Sebab itulah kadang kala ada abang-abang kereta ini meminati Proton Tiara atau Proton Juara kerana model-model tersebut amat berkurangan diatas jalan raya. Bagi yang menggunakan model kebanyakkan pula, Perodua Myvi misalnya, mereka akan memilih untuk memadankan panel-panel badan dari kembarnya dari Jepun iaitu Toyota Passo atau Daihatsu Boon.

    ‘Perangai’ semacam ini sebenarnya bukan sahaja di Malaysia, malah ia sebenarnya ‘tabiat global’ bagi peminat-peminat kereta dari seluruh dunia. Jika anda berada di Jepun dan mempunyai sebuah model JDM sebenar, apa yang anda nak buat agar berbeza dengan orang lain yang mempunyai kereta yang sama?

    Mungkin inilah yang mendorong Sato Syota dari Jepun untuk mengubah Daihatsu Move sebenar miliknya kepada sebuah Perodua Kenari Aero atau nama timangannya ‘lampu kacang’. Syota menayangkan gambar ‘Kenari’ tersebut di laman facebook peribadinya, dan mendapat perhatian dan perkongsian dari ‘mat-mat kereta’ di Malaysia.

    Menerusi gambar yang dikongsikan tersebut juga, dapat dilihat Syota turut mengubah ‘Kenari palsu’ miliknya itu dengan gaya ‘tayar kangkang’ atau stance and fitment (SNF). Dia turut menayangkan gambar emblem-emblem Perodua Kenari yang diperolehi baharu dalam plastik, malah turut membuat nombor plat gaya Malaysia dengan nombor pendaftaran ‘SATO 1111’! Hah, terbalik dari abang-abang JDM di Malaysia yang menggunakan nombor plat besi Jepun yang dibeli di kedai potong!

    Macam-macam perangai kaki modified kereta dari Jepun ni sebenarnya. Sebelum ini kami turut menjumpai seorang lagi kaki kereta dari Jepun yang berminat dengan kereta buatan Perodua, di mana beliau membeli sebuah Myvi 1.5 Extreme dan membawanya ke Jepun, dan diubahsuai di Fujita Engineering dengan sasaran menjadikan ia lebih laju dari Toyota Passo TRD!

     
     
  • Mercedes-AMG C43 Sedan, GLC43 CKD dilancarkan – harga lebih kompetitif, hingga RM91k lebih rendah

    Hari ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan dua buah model Mercedes-AMG terawal yang dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia iaitu C 43 sedan dan juga model SUV berprestasi tinggi GLC 43. Kedua-dua model ini telahpun tiba dipasaran Malaysia tahun lalu dalam bentuk diimport sepenuhnya (CBU), dan menerusi model CKD ini tentunya menawarkan harga yang jauh lebih kompetitf.

    Bagi model pemasangan tempatan ini, C 43 sedan akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM408,888 atau RM91,000 lebih murah dari versi CBU terdahulu. Manakala untuk SUV GLC 43 pula, ia berharga RM468,888 untuk versi CKD ini berbanding RM538,888 untuk model CBU sebelumnya – RM70,000 lebih murah.

    Kedua-dua model ini masih dijana enjin M276 DELA 30 3.0 liter V6 turbo berkembar berkuasa 362 hp (367 PS) dan tork maksima 520 Nm, digabungkan bersama kotak gear sembilan-kelajuan automatik 9G-Tronic. Kuasa kemudiannya dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD 4Matic manakala kadar tork diagihkan lebih ke gandar belakang dengan nisbah 31:69.\

    Dengan gabungan berkenaan, model sedan C43 mampu untuk memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat, manakala versi SUV GLC 43 pula memecut dalam jarak yang sama dalam masa 4.9 saat. Walau bagaimanapun, kelajuan maksima kedua-dua model ini dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Untuk pengendalian pula, sedan C 43 ini masih dibekalkan dengan sistem yang sama iaitu penyerap hentak adaptif AMG Ride Control, menawarkan mod Comfort, Sport dan Sport Plus. Sistem berkenaan turut bersepadu dengan sistem talaan pemanduan AMG Dynamic Select, yang mempunyai lima mod berbeza – Eco, Comfort, Sport, Sport Plus dan Individual – yang akan melaras semula respon enjin transmisi serta stereng.

    SUV GLC 43 pula, ia juga masih menerima sistem pengendalian sama seperti model CBU iaitu suspensi AMG Sports berdasarkan sistem Air Body Control. Sistem penyerap hentak adaptif ADS Plus turut diberikan yang memberikan mod Comfort, Sport dan Sport plus, bersama sistem AMG Dynamic Select.

    Apa yang menarik, kelengkapan model CKD ini adalah hampir sama dengan versi CBU walaupun harga yang dikurangkan agak drastik. Kedua-dua model ini masih diberikan pakej penggayaan AMG Line, Night Package, serta lampu hadapan Intelligent LED.

    Untuk sedan C 43, ia diberikan rim AMG dua-tona lima jejari berkembar berdiameter 19-inci, bersama lip spoiler hadapan. Manakala untuk SUV GLC 43, ia dipadankan dengan rim AMG 21-inci, bersama rel bumbung berwarna hitam, Chrome Package pada bahagian luaran serta running board dengan kemasan seperti aluminium bersama stad getah pada pada bahagian sisi.

    Masuk ke bahagian kabin pula, kedua-dua model AMG 43 ini diberikan upholsteri kulit buatan manusia Black Artico/gentian mikro Dinamica, bersama kemasan piano black dan aluminium, tali pinggang keledar Designo Red, tempat duduk berkuasa pada bahagian hadapan lengkap dengan fungsi memori, bumbung suria panaromik, lampu suasana dan karpet kaki AMG.

    Ciri standard lain yang dibekalkan kepada kedua-duanya model CKD ini termasuk sistem penghawa dingin dua-zon Thermotronic, kamera 360-darjah, Parking Pilot, COMAND Online, skrin infotainmen 8.4-inci, sistem bunyi Burmester dengan 13-pembesar suara, Keyless Go dengan butang penghidup enjin, Pre-Safe dan juga roda stereng dengan rekaan rata di bawah.

    Selain boleh memiliki kereta ini dengan skim pembiayaan konvensional, anda juga boleh memilih pakej Performance Agility Care di mana ia akan memberikan faedah dari skim Agility Financing dan juga penyelenggaraan berkala kenderaan. Menerusi kaedah ini, C 43 Sedan boleh dimiliki dengan bayaran bulanan serendah RM4,088 untuk tempoh tiga tahun.

    Mercedes-Benz AMG C43 4Matic Sedan

    Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC

     
     
  • Harga minyak 26 Apr hingga 2 Mei – masih kekal

    Harga minyak 26 Apr hingga 2 Mei – masih kekal

    Seperti yang dijangka, harga bahan api untuk minggu bertarikh 26 April hingga 2 Mei masih kekal seperti minggu sebelum ini.

    Di mana harga bahan api RON 95 masih lagi dijual pada harga RM 2.20 seliter manakala RON 97 pula dijual pada harga RM2.47 seliter. Manakala untuk bahan api diesel pula, Euro 2M akan dijual pada harga RM2.18 seliter, diikuti RM2.28 seliter untuk diesel Euro 5.

    Harga ini berterusan sehingga Rabu hadapan. Apakah minggu hadapan, harganya masih kekal? Sama-sama kita nantikan.

     
     
  • Volvo XC40 T5 Twin Engine – versi PHEV diperkenal

    Volvo XC40 T5 Twin Engine – versi PHEV diperkenal

    Volvo telah memilih Beijing Motor Show tahun ini untuk mendedahkan XC40 T5 Twin Engine, iaitu versi plug-in hybrid untuk SUV kompak tersebut. Dengan adanya varian baru ini, setiap SUV yang dikeluarkan oleh syarikat dari Sweden ini boleh didapati dalam versi PHEV.

    Buat masa sekarang, Volvo tidak menjelaskan spesifikasi penuh penjana kuasa T5 Twin Engine ini, tetapi ia sepatutnya sama seperti apa yang pernah ditunjuk pada tahun 2015 lalu. Enjin asas yang digunakan adalah unit tiga silinder 1.5 liter turbo Drive-E yang mampu menghasilkan 180 hp, dan ia disokong dengan motor elektrik 55 kW dan transmisi automatik klac basah berkembar tujuh kelajuan.

    Pada masa itu, kami diberitahu kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan oleh sistem ini adalah 250 PS dan 400 Nm tork. Tetapan ini adalah hampir sama seperti yang digunakan pada Geely Bo Rui GE, yang juga baru diperkenalkan di Beijing Motor Show tahun ini.

    Tidak banyak yang berbeza pada rekaan luar XC40 PHEV ini, jika dibandingkan dengan XC40 biasa, kecuali adanya soket pengecas pada bahagian kiri fender, selain lencana yang bersesuaian dengan modelnya. Bahagian dalam juga sama, cuma sistem Sensus kini mempunyai mod pemanduan tambahan. Model yang anda lihat dalam gambar ini mendapat kit R-Design.

     
     
  • Persimpangan bertingkat LEKAS-Jalan Temiang dibuka kepada lalu lintas – kos pembinaan RM55 juta

    Persimpangan bertingkat LEKAS-Jalan Temiang dibuka kepada lalu lintas – kos pembinaan RM55 juta

    Persimpangan bertingkat Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS)-Jalan Temiang telah pun dibuka kepada lalu lintas mulai hari ini.

    Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, dengan adanya persimpangan bertingkat yang dibina dengan kos RM55 juta itu, penduduk setempat tidak perlu lagi keluar ke bandar Seremban untuk pergi ke Kajang atau Senawang, dan ia menjimatkan masa perjalanan kerana selain jauh, jalan di bandar Seremban juga selalunya sesak, laporan Bernama.

    “Persimpangan bertingkat ini merupakan projek yang memang menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha mempertingkat kemudahan dan infrastruktur rakyat setempat,” katanya kepada pemberita sewaktu merasmikan laluan berkenaan semalam.

    Mohamad berkata Temiang akan menikmati pembangunan yang pesat susulan pembukaan persimpangan bertingkat yang merupakan pintu keluar dan masuk ke kawasan ini.

     
     
  • BMW Concept iX3 – SAV elektrik 268 hp guna asas X3

    BMW Concept iX3 – SAV elektrik 268 hp guna asas X3

    Setelah menyiarkan teaser, kini BMW telah menunjukkan secara rasmi kenderaan konsep iX3 semasa Beijing Motor Show. BMW memanggilnya sebagai sebuah Kenderaan Aktiviti Sport (SAV), dan ia menggunakan asas daripada X3 G01, dikuasakan oleh motor elektrik dan mempunyai gaya rekaan yang tersendiri.

    Sama seperti X3, kenderaan konsep ini duduk di atas platform Cluster Architecture (CLAR) yang digunakan pada model semasa seperti 7 Series G11 dan 5 Series G30, dan juga akan digunakan bagi 3 Series G20 serta X5 G05 generasi seterusnya. Menurut BMW lagi, iX3 Concept ini juga menunjukkan ciri serba boleh platform tersebut, yang boleh digunakan untuk enjin pembakaran dalaman biasa, PHEV ataupun elektrik.

    Seperti yang telah diberitahu, iX3 ini adalah menggunakan kuasa elektrik penuh (EV), dan menampilkan teknologi eDrive generasi kelima jenama itu. Selain bateri yang lebih berkuasa, motor elektrik, transmisi dan kuasa elektronik pada kenderaan ini kini mempunyai satu unit pakej pemacu elektrik yang lebih kompak.

    BMW Concept iX3 – SAV elektrik 268 hp guna asas X3

    Menurut BMW, iX3 Concept mempunyai motor elektrik berkuasa 268 hp (200 kW) yang memacu roda hadapan, dan kuasa datang daripada bateri 70 kWh. Turut digunakan adalah unit pengawal cas yang dapat menyokong sistem pengecasan pantas sehingga 150 kW, dan membenarkan ia dicas di stesen pengecas tertentu. Apabila casnya penuh, ia boleh bergerak sehingga 400 km (kitaran WLTP).

    Secara visualnya, terdapat beberapa perbezaan di antara model konsep elektrik penuh ini dengan X3 biasa. Paling jelas adalah di bahagian hadapan, di mana gril kidney padanya adalah bersambung – dan ia pernah dilihat digunakan pada iVision Dynamics yang ditunjuk tahun lepas.

    Bahagian bawah bampar juga lebih tajam, terutamanya pada bukaan udara di bawah yang kini menggunakan kemasan warna hitam berkilat. Terdapat juga bukaan udara kecil di penjuru bampar, tetapi bahagian bonet masih lagi menampilkan garisan yang sama seperti X3.

    BMW Concept iX3 – SAV elektrik 268 hp guna asas X3

    Pada bahagian kiri fender kenderaan ini, terdapat soket mengecas dan ia dihias dengan logo khas BMW i. Pergi ke belakang pula, lampu standard X3 masih lagi digunakan, tetapi muncung ekzos kini sudah tiada kerana ia adalah sebuah kenderaan tanpa emisi. Bahagian itu kemudiannya diganti dengan diffuser yang juga mempunyai kemasan warna biru.

    Versi produksi iX3 Concept ini akan dibuat di Shenyang, China oleh BMW Brilliance Automotive, yang merupakan syarikat kerjasama antara BMW dan Brilliance Auto. Apabila dilancarkan nanti, ia akan memberi saingan kepada kenderaan seperti Jaguar I-Pace, Audi e-tron dan Mercedes-Benz EQC.

     
     
  • Peugeot 5008 2018 dilancarkan secara rasmi – RM174k

    Peugeot 5008 2018 dilancarkan secara rasmi – RM174k

    Selepas dipertontonkan kepada umum dan dibuka untuk tempahan pada pertengahan bulan ini, Peugeot 5008 hari ini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Bukan lagi sebuah MPV seperti versinya yang sebelum ini, Peugeot 5008 kini lebih mirip sebagai sebuah SUV atau crossover dengan tujuh-tempat duduk (5+2).

    Kali ini, hanya satu varian yang akan ditawarkan, iaitu 5008 Allure THP, dan merupakan unit yang diimport sepenuhnya (CBU). Harga jualannya ialah RM173,888 atas jalan, tidak termasuk insurans. Berbanding model 3008 Allure THP, harganya ialah RM18,000 lebih mahal.

    Model baru ini masih lagi menggunakan enjin 1.6 liter THP 165 turbo empat-silinder dengan sistem Start/Stop, yang mampu menghasilkan sehingga 165 hp pada 6,000 rpm dan 240 Nm tork pada 1,400 rpm. Transmisi dibekalkan oleh Aisin dari jenis automatik enam-kelajuan, dan kuasa disalurkan ke roda hadapan. Tahap penggunaan minyak yang dinyatakan oleh pengeluar ialah 7.3 liter bagi setiap 100 km, manakala kadar pembebasan CO2 pula ialah 133 g/km.

    Peugeot 5008 2018 dilancarkan secara rasmi – RM174k

    Peugeot 5008 2018 ini dibina dengan dimensi seperti berikut; 4,641 mm panjang (+194 mm berbanding 3008), 1,640 mm tinggi (+16 mm) dan 1,844 mm lebar (+3 mm). Ia juga 11 cm lebih panjang daripada versinya yang terdahulu. Jarak rodanya pula adalah 2,840 mm, iaitu 165 mm lebih panjang berbanding 3008.

    Untuk bahagian dalam, model ini dilengkapi dengan pendekatan rekaan Peugeot i-Cockpit. Di depan kedudukan sterengnya terdapat panel instrumen digital bersaiz 12.3-inci, yang memaparkan maklumat pemanduan seperti meter jarak perjalanan, meter kelajuan serta trip meter dan sebagainya. Manakala di bahagian tengah pula terletak satu lagi skrin sesentuh lapan-inci untuk sistem infotainmen – dengan sambungan MirrorLink, Apple CarPlay dan Android Auto.

    Tempat duduk baris kedua 5008 ini boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40, dan apabila tegak, ia boleh disandar dan dilungsur ke depan dan belakang untuk mendapatkan ruang yang diperlukan. Dengan hanya satu sentuhan, tempat duduk ini boleh dilipat dan dilungsur sedikit ke hadapan untuk masuk pula ke tempat duduk baris ketiga. Ia juga boleh dilipat rata dengan pembahagian 50:50 – atau boleh cabut terus jika mahu.

    Peugeot 5008 2018 dilancarkan secara rasmi – RM174k

    Seperti kebanyakan crossover tujuh-tempat duduk lain, ruang simpanan apabila semua tujuh tempat duduk tegak adalah terhad, tetapi apabila baris ketiga dilipat, ia boleh memberikan ruang sebanyak 702 liter; lebih 182 liter berbanding 3008.

    Apabila tempat duduk baris kedua juga dilipat, ruang yang tersedia menjadi 1,862 liter, dan anda boleh meningkatkannya lagi menjadi 1,940 liter apabila tempat duduk baris ketiga dicabut terus. Sama seperti 3008, tempat duduk penumpang hadapan juga boleh dilipat rata untuk membolehkan barang yang lebih panjang dibawa.

    Kelengkapan standard yang diberikan adalah sama dengan 3008 Allure; ini termasuk lampu kabus LED, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, kemasan dalam kulit “Claudio”, papan pemuka dan trim pintu yang dibalut fabrik, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan memori, lampu dan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang malap sendiri, corong pendingin hawa baris kedua dan kamera undur.

    Ia juga menampilkan perbezaan dari rekabentuk badannya yang lebih panjang serta cermin belakang yang lebih tegak berbanding 3008; bahagian lain bagaimanapun masih lagi mirip antara keduanya. Ini termasuklah lampu hadapan LED penuh dengan lampu siang LED dan lampu isyarat sequential, rim 18 inci “Los Angeles” serta lampu belakang LED dengan pencahayaan dengan motif “cakar harimau”.

    Bagi ciri-ciri keselamatan pula, 5008 datang dengan enam beg udara, ABS, EBD, BA, Dynamic Stability Control (DSC), Electronic Stability Programme (ESP), Hill Assist Descent Control (HADC, dengan kelajuan 3 km/j), Hill Start Assist, Lane Departure Warning, ISOFIX pengenalan tanda jalan, pemerhati tekanan angin tayar serta pengesan jarak depan dan belakang, dan tak lupa juga ciri Advanced Grip Control.

    Turut disediakan ialah lima mod pemanduan – Mud, Snow, Sand, ESP Off dan Standard – yang boleh dipilih menggunakan tombol di konsol tengah. Selebihnya, Peugeot 5008 2018 ini hadir dengan jaminan lima tahun/120,000 km serta Bantuan Peugeot 24-jam selama tiga tahun. Untuk perincian lanjut berkaitan Peugeot 5008 terbaru ini, layari juga laman CarBase.my.

     
     
  • Vision Mercedes-Maybach Ultimate Luxury – mewah luar dalam, guna empat motor elektrik, kuasa 748 PS

    Vision Mercedes-Maybach Ultimate Luxury – mewah luar dalam, guna empat motor elektrik, kuasa 748 PS

    Kenderaan yang anda lihat dalam gambar ini adalah Vision Mercedes-Maybach Ultimate Luxury, yang pertama kali ditampilkan secara rasmi di Beijing sebagai sebuah crossover elektrik penuh. Menurut ketua pereka Daimler AG, Gorden Wagener, model konsep ini menggabungkan DNA sebuah SUV dan sedan, untuk menghasilkan sesuatu yang digelar sebagai “SUV ultra-moden dengan rekaan tiga kotak.”

    Sememangnya rekaan kenderaan ini adalah unik, dan kebanyakan permukaannya adalah licin, dan dipanggil oleh Mercedes sebagai “imej elegan sporty.” Ukuran keseluruhan kenderaan ini adalah 5,260 mm panjang, 2,110 mm lebar dan 1,764 mm tinggi. Turut boleh dilihat adalah pengaruh daripada model konsep Vision Mercedes-Maybach 6 yang pernah diperkenal sebelum ini.

    Bahagian hadapan kenderaan ini, walaupun mempunyai ciri mewah tersendiri, ia masih nampak biasa, tetapi bila pergi ke belakang, barulah anda akan dapat melihat keunikannya. Penutup but Vision Mercedes-Maybach Ultimate Luxury adalah seperti sebuah kereta sedan, dan bukannya terangkat ke atas seperti kebiasaan sebuah SUV.

    Masuk ke bahagian dalam, anda akan disambut permukaan yang kebanyakannya dibalut dengan kulit, serta beberapa bahagian yang menggunakan kemasan krom serta trim emas. Perincian ini, bersama set minuman teh binaan dalaman pada kenderaan ini juga menunjukkan ia mungkin dicipta untuk memuaskan pasaran China. Selain itu, terdapat juga lampu suasana biru dan kemasan premium lain.

    Melihat kepada papan pemuka kenderaan ini, ia mempunyai corong pendingin hawa yang direka menyamai gril hadapan, dan di tengahnya terdapat sistem Widescreen Cockpit dengan dua skrin 12.3 inci seperti kenderaan Mercedes-Benz. Begitu juga keadaannya dengan pad sesentuh kawalan serta sterengnya. Menurut pengeluarnya, kenderaan ini dihasilkan untuk mereka yang mahu menggunakan khidmat pemandu dan menikmati kemewahan di belakang, dan disitulah perhatian sepenuhnya diberi.

    Vision Mercedes-Maybach Ultimate Luxury – mewah luar dalam, guna empat motor elektrik, kuasa 748 PS

    Pada bahagian enjin, SUV mewah ini turut disokong dengan empat motor elektrik permanent-magnet synchronous, sekaligus dapat menghasilkan sistem pacuan semua roda. Jumlah kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah 550 kW atau 748 PS, dan kuasanya datang daripada bateri 80 kWh yang terletak di atas lantai kenderaan.

    Jarak penggunaan dengan sekali cas penuh dikatakan boleh mencecah 500 km, dan ia dihadkan kepada kelajuan maksimum 250 km/j. Untuk mengecas semula bateri, ia boleh dilakukan dengan menggunakan pengecas DC berasaskan CCS Standard, dan boleh dicas secara pantas sehingga tahap 350 kW. Menurut pengeluarnya lagi, dengan mengecas selama lima minit sahaja, mereka sudah boleh pergi untuk 100 km.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024