Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Tun Mahathir teruja lihat Polestar 2 yang di bawa oleh DRB-Hicom, harap Proton dapat hasilkan EV sendiri

    Tun Mahathir teruja lihat Polestar 2 yang di bawa oleh DRB-Hicom, harap Proton dapat hasilkan EV sendiri

    Bekas Perdana Menteri Malaysia yang juga pengasas dan bekas pengerusi Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamed teruja dengan kereta sport elektrik Polestar 2 yang ditunjukkan kepadanya oleh DRB-Hicom pagi tadi.

    “Saya difahamkan yang dengan sekali cas ianya boleh capai sehingga 400KM. Sekali cas mencukupi untuk guna kereta ini seperti biasa. Bagi cas semula pula hanya perlu kurang dari 2 jam untuk dapat 100% bekalan penuh. Jika cas gunakan kuasa elektrik di rumah, ianya mengambil masa selama kurang lebih 7 jam. Tetapi sekarang ini tidak susah kerana sudah terdapat lebih 1000 stesyen di seluruh negara, tidak timbul masalah untuk mengecas kenderaan di mana sahaja,” tulisnya dalam hantaran Facebook yang dibuat.

    “Di kebanyakan negara Kerajaan memberi insentif kepada pembeli kereta letrik. Saya dapati di masa hadapan kenderaan sebegini menjadi pilihan kerana kurang pencemaran. Namun kita perlu ingat walaupun kereta tidak cemarkan udara, bekalan elektrik yang datang dari stesyen janakuasa juga mencemarkan udara.

    “Kereta elektrik belum sampai lagi ke tahap bebas pencemaran udara. Akhirnya mungkin kita terpaksa guna kereta hidrogen, itupun terdapat juga masalah lain yang perlu diuji dan diselesaikan. Sementara itu, untuk bersihkan iklim dalam bandar, kereta eletrik masih menjadi pilihan,” tambahnya lagi.

    Tun M turut tertarik dengan rekaan Polestar ini yang disifatkannya “amat canggih dan futuristik”. Katanya, “kereta ini tiada tempat simpan enjin yang besar, sebaliknya ia dijadikan tempat penyimpan barang. Ciri-ciri rekabentuk dalaman juga kemas dan futuristik, di mana segala kawalan dan tetapan boleh dibuat dengan sentuhan ’tablet’. Sudah tidak ada lagi suis atau tombol di dashboard seperti kereta biasa.”

    Selepas melihat sendiri kecanggihan EV Polestar yang juga salah satu jenama di bawah payung Geely Auto Group ini, Tun M turut berharap agar Proton mampu untuk menghasilkan kereta elektrik pada masa akan datang.

    “Saya harap pihak Proton dapat majukan projek sebegini supaya satu masa nanti Proton juga dapat keluarkan kereta elektrik tersendiri,” katanya.

    Polestar sebelum ini merupakan sayap prestasi untuk Volvo, kemudian ia dipisahkan dari Volvo untuk berdiri sebagai jenama kereta sport yang dijana tenaga baharu. Model pertamanya iaitu Polestar 1 masih menggunakan enjin petrol turbo bersama sistem plug-in hybrid (PHEV), namun bermula dengan Polestar 2 dan seterusnya hanya menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

    Polestar 2 didedah buat pertama kali Februari 2019, dan ia dihasilkan berasaskan platform Compact Modular Architecture (CMA) sama seperti Volvo XC40. Ia menerima dua motor elektrik bagi membolehkan ia memacu semua roda, dan versi terkini model ini dibekalkan dengan kuasa 469 hp dan tork maksima 680 Nm sekiranya pemilik memilih untuk meningkat taraf perisian.

    Berkenaan harapan Tun M agar Proton dapat menghasilkan model EV sendiri, jenama automotif nasional berkenaan sebelum ini sudah pun mengumumkan bahawa ia bakal hadir dengan model EV menjelang 2027. Menurut Naib CEO Proton Roslan Abdullah, Proton memerlukan masa selama lima tahun untuk menentukan teknologi yang paling boleh diterima, mudah diselenggara, dan mampu dimiliki oleh penggunanya.

    Buat masa sekarang, Proton menerusi anak syarikat yang baru ditubuhkan iaitu Proton New Energy Technology (Pro-Net) sedang menguruskan jualan dan pengedaran untuk EV jenama smart (juga di bawah payung Geely) di Malaysia dan Thailand untuk belajar selok belok jualan dan servis selepas jualan model EV sebelum menghasilkan EV dengan jenama sendiri.

    Malah sebelum ini, Roslan turut ada menyatakan bahawa 16 juruteranya akan dihantar ke China selama enam bulan untuk dilatih dalam R&D, menguji prestasi kenderaan, homologasi dan pelbagai ujian dengan tujuan untuk membina dan menjual NEV.

     
     
  • Kembar kei-Car Mitsubishi ek X EV dan Nissan Sakura EV dinobat sebagai Japan Car of the Year 2022/23

    Kembar kei-Car Mitsubishi ek X EV dan Nissan Sakura EV dinobat sebagai Japan Car of the Year 2022/23

    Pasangan kembar kei-Car Mitsubishi eK X dan juga Nissan Sakura telah dinobatkan sebagai Japan Car of the Year (JCOTY) 2022/23. Kedua-dua kei-Car yang dihasilkan dalam versi elektrik penuh (EV) itu bukan sahaja menang dalam kategori Kei-Car, malah menggondol kategori utama anugerah automotif terulung di Jepun tersebut.

    Kedua-dua model kembar ini dibangunkan dan diproduksi oleh kerjasama Nissan Mitsubishi Kei Vehicle (NMKV), menampilkan platform asas dan unit rangkaian kuasa yang sama. Ia dibezakan dengan rekaan luaran yang berlainan, sesuai dengan falsafah rekaan jenama masing-masing.

    Menurut jawatan kuasa JCOTY, kedua-dua EV kei-Car ini telah meningkatkan jumlah penggunaan kereta elektrik di Jepun kerana ia dijual pada harga lebih mampu milik berbanding EV bersaiz penuh yang lain. Malah, Mitsubishi eK X EV dan Nissan Sakura ini memberikan pretasi pemanduan dan pengendalian yang lebih baik berbanding kei-Car biasa.

    Kembar kei-Car Mitsubishi ek X EV dan Nissan Sakura EV dinobat sebagai Japan Car of the Year 2022/23

    “Kedua-dua kereta Kei ini juga dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu yang canggih, dengan fungsi sokongan pemanduan setanding dengan kereta mewah,” tambah jawatankuasa itu lagi.

    Sakura dan eK X EV ini diberikan motor elektrik berkuasa 64 PS dan tork maksima 195 Nm yang diletak pada bahagian hadapan. Ia menerima kuasa dari bateri lithium-ion 350-volt dengan kapasiti 20 KWj yang diletak pada lantai. Dengan satu cas bateri penuh, ia boleh bergerak sejauh 180 km (kitaran WLTC) dengan kelajuan maksima hanya 130 km/j.

    Ia boleh dicas semula dengan pengecas pantas DC 30 kW, membolehkan kadar cas (SoC) dicapai pada kadar 80% dalam masa 40 minit. Bateri berkenaan turut boleh dijadikan sumber bekalan kuasa elektrik mudah alih untuk isi rumah sekiranya berlaku kecemasan atau bencana.

    Untuk Nissan, jenama tersebut turut menerima anugerah Technology Car of the Year 2022/23 menerusi model Nissan X-Trail generasi baharu. Pemenang-pemenang untuk kategori lain adalah seperti berikut:

    Import Car of the Year – Hyundai Ioniq 5
    Design Car of the Year – BMW iX
    Performance Car of the Year – Honda Civic Type R, Civic e:HEV
    Technology Car of the Year – Nissan X-Trail

     
     
  • VinFast VF6 dan VF7 EV SUV diperincikan — FWD, AWD; hingga 354 PS/500 Nm; jaminan bateri 10-tahun

    VinFast VF6 dan VF7 EV SUV diperincikan — FWD, AWD; hingga 354 PS/500 Nm; jaminan bateri 10-tahun

    Januari lalu, VinFast mempersembahkan tiga kenderaan elektrik baru di pameran Consumer Electronics Show (CES) — VF5, VF6 dan VF7. Tiga model itu kemudiannya disertai oleh model VF8 dan VF9 yang sejak itu mula dijual di Amerika Syarikat, dengan harga USD54,990 (RM241,901) jika dengan langganan bateri, atau dari USD64,990 (RM285,826) tanpa langganan tersebut.

    Ketika itu, VF5, VF6 dan VF7 tidak diperkenalkan sebagai kenderaan yang sedia untuk diproduksi sehinggalah ketika pameran Los Angeles Auto Show 2022. Ketika acara itu, pengeluar Vietnam itu menunjukkan rekaan luaran dan dalaman SUV elektrik itu — VF6 dan VF7 — yang direka oleh Torino Design.

    Diposisikan di bawah VF8 dan VF9, VF7 dari segmen C merupakan SUV saiz sederhana dengan ukuran 4,545 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,636 mm tinggi dan jarak antara roda 2,840 mm. Rekaan yang ditampilkan juga sangat sinonim dengan yang pernah ditunjukkan oleh jenama ini: jalur lampu berkelebaran penuh dengan disertai logo VinFast — dengan rekaan lampu belakang yang juga tirus.

    VinFast VF6 dan VF7 EV SUV diperincikan — FWD, AWD; hingga 354 PS/500 Nm; jaminan bateri 10-tahun

    Di dalam, skrin infotainmen disudutkan kepada pemandu, begitu juga dengan corong udara serta barisan butang kawalan yang ada. Untuk pemandu, tiada kluster instrumen konvensional disediakan, sebaliknya ia dipaparkan di skrin sentuh besar atau maklumatnya dipancarkan ke head-up display yang ada. Di konsol tengah pula ada pengecas tanpa wayar, tombol kawalan media, ruang cawan, slot USB dan perehat lengan.

    VF7 akan didatangkan dalam dua varian di AS, dengan paling asas ialah Eco, memanfaatkan motor elektrik di depan yang menjana 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 310 Nm tork. Pilihan lebih tinggi ialah Plus, dengan tambahan motor elektrik kedua untuk sistem pacuan semua roda dan output keseluruhan 354 PS (349 PS atau 260 kW) dan 500 Nm.

    VinFast VF6 dan VF7 EV SUV diperincikan — FWD, AWD; hingga 354 PS/500 Nm; jaminan bateri 10-tahun

    Bagi VF6 yang berada dalam segmen B, ia juga hadir dalam varian Eco dan Plus, dengan varian Plus mempunyai output yang sama dengan VF7 dalam versi pacuan depannya yang asas. VF6 Eco, yang juga pacuan depan, mempunyai motor elektrik yang kurang kuasanya dengan hanya 177 PS (174 hp atau 130 kW) dan 250 Nm. Perincian bateri belum didedahkan, tetapi dinyatakan jaminannya adalah untuk 10-tahun, tanpa had perbatuan bagi bateri EV.

    Ruang dalaman VF6 sama juga dengan VF7, dengan rekaan kokpit yang cenderung kepada pemandu, tetapi dengan konsol tengah yang lebih pendek dan tidak bersambung dengan bahagian bawah papan pemuka. Rekaannya juga kurang dinamik, namun tetap menampilkan rekaan lampu yang mirip. Dari segi dimensi VF6 mempunyai ukuran 4,238 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,594 mm tinggi dan jarak antara roda 2,730 mm.

     
     
  • BYD Atto 3 akan mula dijual di Jepun pada 2023 – bermula RM142k, sasar 100 outlet pengedar pada 2025

    BYD Atto 3 akan mula dijual di Jepun pada 2023 – bermula RM142k, sasar 100 outlet pengedar pada 2025

    Kita baru sahaja menerima SUV elektrik penuh (EV) BYD Atto 3 selepas model dari China berkenaan dilancarkan secara rasmi di Malaysia semalam. Selepas ini, Atto 3 bakal dilancarkan dan dijual di pasaran Jepun bermula Januari 2023. BYD turut merancang untuk melancarkan BYD Dolphin di Jepun pada pertengahan tahun hadapan, diikuti BYD Seal pada akhir 2023.

    BYD Atto 3 akan dijual di Jepun hanya dalam pilihan satu varian, dengan harga bermula 4.4 juta yen (RM142k). Harga berkenaan dilihat jauh lebih rendah dari model-model EV lain seperti Nissan Ariya dan Tesla Model 3 di mana kedua-duanya dijual pada harga lebih dari 5 juta yen (RM161k).

    Atto 3 dipadankan dengan sebuah motor elektrik pada gandar hadapan berkuasa 150 kW (204 PS) dan tork 310 Nm. Motor berkenaan menerima kuasa elektrik dari bateri berkapasiti 58.56 kWj yang membolehkannya bergerak sejauh 485 km dengan satu cas penuh berdasarkan standard WLTP.

    Model ini juga menerima pakej penuh bantuan pemanduan termaju, dan kuasa elektrik pada bateri turut boleh digunakan untuk kegunaan luar menerusi sistem Vehicle-to-Load (V2L) dan Vehicle-to-Home (V2H).

    BYD Atto 3 akan mula dijual di Jepun pada 2023 – bermula RM142k, sasar 100 outlet pengedar pada 2025

    Model-model BYD akan dijual di Jepun oleh BYD Auto Japan, dengan rancangan untuk membina jaringan jualan melebihi 100 cawangan di seluruh Jepun menjelang 2025. Syarikat berkenaan mensasarkan 22 cawangan bakal beroperasi terlebih dahulu pada penghujung Januari 2023.

    Ini bukan kemunculan sulung BYD di Jepun kerana ia terlebih dahulu masuk ke pasaran negara matahari terbit itu menerusi segmen kenderaan komersil. Malah buat masa sekarang BYD telahpun memegang pasaran sebesar 70% untuk segmen bas elektrik komersil di negara itu.

    Di China, BYD telah mencatatkan sejarah bulan lalu dengan mengatasi jualan Volkswagen untuk menjadi jenama automotif paling laris untuk bulan November. Baru-baru ini juga BYD telah dilaporkan berjaya menjual sejuta unit kenderaan tenaga baharu (NEV) dalam tempoh hanya enam bulan.

    Malah tahun lalu BYD telah dinamakan sebagai pengeluar EV ketiga terbesar di China, berada di belakang Tesla dan Volkswagen Group.

    BYD Atto 3 akan mula dijual di Jepun pada 2023 – bermula RM142k, sasar 100 outlet pengedar pada 2025

    Manakala di Malaysia, BYD diuruskan oleh pengedar rasminya iaitu BYD SD Motors. BYD Atto 3 dijual di pasaran tempatan pada harga bermula RM149,800 untuk varian Standard Range yang diberkan bateri 49.94 kWj, serta varian Extended Range dengan bateri 60.48 kWj berharga RM167,800.

    Varian SR boleh bergerak sejauh 345 km (WLTP) untuk satu cas bateri penuh, manakala varian ER pula boleh bergerak sejauh 420 km (WLTP) untuk satu cas penuh. Namun kedua-duanya menerima motor elektrik yang sama berkuasa 204 PS dan tork 310 Nm membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat.

    Untuk mengecas, kedua-duanya menyokong pengecas pantas 80 kW yang membolehkan kadar cas (SoC) 0-80% dicapai dalam masa 45 minit. Atto 3 diberikan waranti selama enam tahun/150,000 km bersama waranti bateri EV Blade selama lapan-tahun/160,000 km. Ia juga diberikan waranti berasingan selama lapan-tahun/150,000 km untuk motor elektrik, pengawal motor elektrik, DC dan unit kawalan elektrik.

     
     
  • Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Dis 2022 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Dis 2022 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom telah mengeluarkan jadual Disember 2022 bagi bagi unit pemeriksaan bergerak untuk Semenanjung Malaysia dan juga ujian luar kawasan di Sabah dan Sarawak.

    Trak unit pemeriksaan bergerak itu bakal ke Perak, Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan. Tujuan bagi insiatif ini adalah untuk mereka yang tinggal jauh dari cawangan Puspakom. Perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah rutin pemeriksaan, tukar nama hakmilik, dan banyak lagi.

    Klik untuk besarkan jadual

    Walau pun tidak menampilkan trak besar seperti di Malaysia Timur, namun Puspakom tetap tidak melupakan pelanggan di pekan kecil di sekitar Sabah dan Sarawak. Walau bagaimana pun unit bergerak itu tetap akan membawa kelengkapan yang diperlukan untuk pemeriksaan kenderaan. Antara daerah yang bakal dikunjungi termasuk Ranau, Kudat, Kota Belud, Semporna, Kunak, Kapit, Limbang, Lawas dan Marudi.

    Puspakom berkata pelanggan boleh terus ke lokasi yang disenaraikan pada tarikh yang disediakan, tanpa perlu membuat temujanji secara dalam talian, seperti yang diamalkan di cawangan Puspakom lain. Unit pemeriksaan bergerak ini beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang, dan ada sesetengah lokasi, ia bermula dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari. Sila semak dahulu jadual yang diberikan sebelum anda ‘menyerbu’ unit pemeriksaan bergerak Puspakom ini.

     
     
  • Honda CRF300L dapat pembaharuan warna di Eropah

    Honda CRF300L dapat pembaharuan warna di Eropah

    Bagi model tahun 2023, Honda cuma memperkenalkan CRF300L dengan warna serta penghadang tangan baru sahaja. Model biasa CRF300L ditawarkan dalam warna merah dan kelabu dengan jalur oren, sementara CRF300 Rally disediakan hanya dalam warna merah.

    Di Malaysia sebelum ini, model sama tetapi dengan kapasiti enjin lebih rendah ada dibawa masuk, iaitu CRF250L dan CRF250 Rally, dengan harga pasaran yang ditetapkan masing-masing pada RM24,378 dan RM27,999 pada tahun 2021.

    Asas dua model ini adalah sama, tetapi perbezaan antara keduanya dapat dilihat pada saiz tangki bahan api (7.8 liter untuk CRF300L dan 12.8 liter untuk CRF300 Rally, lampu hadapan serta perumahnya, tempat duduk, panel badan, panel penghadang bawah enjin serta tinggi tempat duduk. CRF300L mencatat tinggi tempat duduk 880 mm sementara CRF300 Rally pula 885 mm.

    Honda CRF300L dapat pembaharuan warna di Eropah

    Menggerakkan motosikal ini adalah enjin satu silinder suntikan bahan api DOHC 286 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis Assist Slipper untuk menghasilkan kuasa 26.9 hp pada 8,500 rpm dan 26.6 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada dua motosikal ini adalah fork teleskopik, brek cakera dan rim 21 inci di hadapan, manakala di belakang terdapat monoshock berserta ProLink, brek cakera serta rim 18 inci.

     
     
  • Mahkamah tetapkan tindakan kepit tayar tidak sah: MPKB gantung tindakan itu, diarah bayar RM5,000

    Mahkamah tetapkan tindakan kepit tayar tidak sah: MPKB gantung tindakan itu, diarah bayar RM5,000

    Mahkamah Rayuan telah menetapkan bahawa peraturan kepit tayar seperti yang dikuatkuasakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu adalah tidak sah kerana ia bertentangan dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor New Straits Times. Kesannya, majlis berkenaan telah menggantung tindakan kepit tayar serta-merta sejak semalam.

    Penetapan itu bermakna majlis perbandaran hanya boleh mengeluarkan saman, dan bukannya mengepit tayar kenderaan yang diletak di dalam perkarangan kawasan parkir sesuka hati, jelas laporan tersebut. Larangan kepit tayar ini bagaimanapun tidak terpakai bagi kenderaan yang diletak di luar kawasan atau kotak parkir, atau kenderaan yang diletak secara salah dan membahayakan orang lain. Keputusan itu telah diputuskan oleh hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hashim Hamzah, Datuk Abdul Karim Jalil dan Datuk Supang Lian dalam satu sidang, semalam.

    Kes berkenaan muncul apabila perayu Nursyafawati Kasim memfailkan saman sivil terhadap MPKB pada 2019, selepas mendapati kenderaannya telah dikepit tayar pada 25 Julai 2019 kerana gagal menambah jumlah caj parkir lebih masa. Nursyafawati memfailkan saman dengan mendakwa MPKB dan pegawainya menyalah gunakan kuasa. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Kota Bharu memutuskan yang MPKB dibenarkan untuk mengepit tayar kenderaan yang diletak dalam kotak parkir.

    Nursyafawati mendakwa keretanya dikepit tayar kerana tidak membayar caj parkir, dan MPKB hanya membuka kepit berkenaan selepas RM110 dibayar, yang mana RM100 adalah untuk membuka kepit tayar manakala RM10 lagi sebagai denda. Susulan rayuan yang dibuat, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan 2019 oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, dan mengarahkan MPKB membayar kos RM5,000 kepada Nursyafawati.

    “Pihak Majlis akan mematuhi keputusan Mahkamah Rayuan dan telah mengarahkan peguam kami untuk mendapatkan perincian penuh kes berkenaan. Kami perlu tahu perincian keseluruhan kes sebelum sama ada ingin memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan,” jelas Presiden MPKB, Rosnazli Amin.

     
     
  • Johor mahu wujudkan hab permotoran di Ayer Hitam – dibina seawal Jan 2023 di kawasan seluas 2.8 hektar

    Johor mahu wujudkan hab permotoran di Ayer Hitam – dibina seawal Jan 2023 di kawasan seluas 2.8 hektar

    Kerajaan Johor merancang untuk mewujudkan hab permotoran di Ayer Hitam, di daerah Kluang, sebagai usaha untuk memeriahkan kembali sukan permotoran di negeri terbabit.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Hairi Mad Shah, hab permotoran berkenaan melibatkan pembangunan di kawasan seluas 2.8328 hektar, di atas tanah milik Kementerian Dalam Negeri di bawah pentadbiran Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), laporan Bernama.

    “Insya-Allah, pembinaan yang akan bermula seawal Januari 2023 nanti akan menyemarakkan lagi sukan permotoran di Johor ditambah dengan lokasi strategik Ayer Hitam yang terletak di “central of Johor”.

    Johor mahu wujudkan hab permotoran di Ayer Hitam – dibina seawal Jan 2023 di kawasan seluas 2.8 hektar

    “Berdasarkan rekod penganjuran masa lalu, Ayer Hitam telah banyak menganjurkan acara sukan permotoran sebelum ia terhenti sekitar tahun 2018 dan 2019,” katanya menerusi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam.

    Beliau turut berkata, Ayer Hitam sering menjadi lokasi penganjuran sukan permotoran seperti Malaysian Cub Prix, Motorcross, Pocket Bike, Mountain Bike selain drift dan go-kart.

    Tambah ADUN Larkin ini, pihaknya akan memastikan hab sukan yang terletak di Johor Bahru khususnya di kawasan Larkin akan ditambah baik di bawah kelolaan Perbadanan Stadium Johor (PSJ) dan Majlis Sukan Negeri Johor agar lebih terurus dan diselenggara dengan rapi serta tidak menjadi “gajah putih”.

    “Saya juga berharap setiap daerah di Johor ini juga akan diwujudkan fasiliti sukan atau hab sukan buat para atlet yang yang tidak dapat ke Johor Bahru selain adanya Tunku Mahkota Ismail Youth Center (TMIYC),” katanya.

     
     
  • Toyota bangunkan transmisi manual untuk EV dengan bunyi V8 palsu bagi model produksi akan datang

    Toyota bangunkan transmisi manual untuk EV dengan bunyi V8 palsu bagi model produksi akan datang

    Kereta elektrik (EV) sememangnya sangat laju, memberikan pecutan yang tidak masuk akal. Ini kerana motor elektrik bukan sahaja membekalkan tork yang cukup besar, malah tork tersebut tersedia sejak dari 0 rpm tidak seperti enjin pembakaran dalaman yang memerlukan ia berputar pada tahap rpm tertentu bagi mendapatkan tork maksima.

    Namun apa yang membuatkan EV bosan untuk dipandu adalah kerana ia tidak mempunyai sifat mekanikal yang menghubungkan pemandu dengan kereta seperti bunyi, getaran dan rasa tukaran gear. Bagi mengatasi masalah ini, Toyota kini mengesahkan bahawa ia sedang membangunkan kotak gear manual palsu untuk EV, dan ia bukan sekadar konsep kerana sistem berkenaan disasarkan untuk dipadankan pada kereta-kereta sport EV Lexus pada masa hadapan!

    Perkara ini diumumkan oleh Ketua Jurutera Lexus Electrified, Takashi Watanabe ketika berlangsungnya forum media Kenshiki yang dianjurkan oleh Toyota di Brussels, Belgium. Menurut Watanabe, sistem yang dibangunkan ini adalah cukup lengkap seperti kotak gear manual sebenar menampilkan tuil penukar gear dan juga pedal klac.

    Malah Watanabe turut menyatakan bahawa anda mungkin boleh membuatkan “enjin mati” sekiranya pedal klac tidak dilepaskan dengan betul seperti benar-benar menggunakan enjin pembakaran dalaman dan juga kotak gear manual.

    Sistem berkenaan kini sedang diuji pada SUV EV Lexus UX 300e, dan dalam video yang ditunjukkan oleh Watanabe sistem berkenaan turut menampilkan bunyi sama ada enjin empat-silinder sebaris atau enjin V8 yang boleh dipilih oleh pemandu. Malah ia juga turut diberikan meter rpm palsu bagi memberikan perasaan seperti memandu sebuah kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman sebenar.

    Ketua jurutera berkenaan turut menyatakan bahawa kereta sport EV dengan kotak gear manual ini kelak turut akan menerima teknologi sistem pacuan semua roda dengan torque vectoring Direct4, sistem stereng-dengan-wayar One Motion Grip dan juga sistem Brake-by-Wire. Beliau menyifatkan dengan tiga sistem ini bersama kotak gear manual berasaskan perisian, ia “bakal memberikan peluang baharu untuk talaan penyesuaian prestasi yang berbeza untuk setiap pemandu.”

    Toyota masih belum memberikan garis masa atau menyatakan model mana yang bakal menerima sistem ini. Namun ada kemungkinan ia akan muncul pada model produksi kereta sport yang berada di belakang Watanabe ketika membuat pembentangan ini iaitu Lexus Electrified Sport.

    Model konsep Electrified Sport tersebut sebelum ini telah didedahkan oleh presiden Toyota, Akio Toyoda pada Disember tahun lalu ketika mengumumkan halatuju Toyota untuk segmen EV. Model tersebut didakwa mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2 saat dan dijangka bakal muncul sebagai model ‘halo’ untuk Lexus bagi menggantikan tempat Lexus LFA sebelum ini.

    “Saya tak boleh beritahu bila kami akan melancarkan model produksi berasaskan (model konsep) Electrified Sport. Tetapi saya boleh sahkan kami sedang membangunkannya. Ini bukan sekadar rekaan konsep. Ia benar-benar akan menjadi kenyataan,” kata Watanabe dalam pembentangan tersebut.

    GALERI: Model konsep Lexus Electrified Sport

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat AMU, QM_M bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan dua siri plat nombor pendaftaran baharu bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari Perak, AMU ini bakal dibuka bidaan pada 10 Disember 2022. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 14 Disember. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 15 Disember 2022. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor plat terkini dari Sarawak, QM_M, bidaannya bakal bermula pada 16 Disember 2022 dan berlangsung selama lima hari, yang bakal berakhir jam 10 malam pada 20 Disember ini. Keputusannya akan diumumkan pada 21 Disember 2022.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • BYD Atto 3 EV di Malaysia – lebih 4,500 tempahan pandu uji diterima untuk acara hujung minggu ini

    BYD Atto 3 EV di Malaysia – lebih 4,500 tempahan pandu uji diterima untuk acara hujung minggu ini

    BYD Atto 3 telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia, dan anda boleh membaca perincian berkenaan crossover elektrik penuh tersebut di sini. Selain daripada itu, pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, iaitu Sime Darby Motors (SDM) juga mengumumkan bahawa hujung minggu ini mereka akan mengadakan pelbagai aktiviti dan pandu uji di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur.

    Acara ini bermula esok hingga Ahad nanti dan pendaftaran yang dibuka kepada orang awam yang ingin hadir menunjukkan sambutan menggalakkan. Menurut pengarah urusan bahagian jualan dan pengedaran SDM di Malaysia, Jeffrey Gan, lebih 4,500 tempahan pandu uji telah diterima untuk hujung minggu ini.

    Semasa artikel ini ditulis, pendaftaran masih lagi dibuka dan anda yang mahu menjadi antara yang terawal menguji serta mendekati Atto 3 boleh melakukannya melalui pautan ini, seterusnya memilih masa yang bersesuaian. Selain daripada itu, semasa pelancaran Atto 3 juga BYD SD Motors Malaysia telah mendedahkan bahawa pusat pameran di TREC, Kuala Lumpur akan dibuka bulan ini, diikuti tiga lagi pusat pameran di Ara Damansara, Pulau Pinang dan Johor Bharu tahun hadapan.

    Atto 3 tiba di Malaysia sebagai unit yang diimport sepenuhnya (CBU), dan melalui insentif yang diterima, ia dapat dijual pada harga bermula RM149,800 untuk varian Standard Range dan RM167,800 untuk Extended Range. Harga ini tidak termasuk insurans.

    Kedua-dua varian ini menggunakan bateri Blade EV oleh BYD sendiri, yang disambung kepada sebuah motor elektrik di depan dengan janaan 204 PS/310 Nm. Atto 3 boleh dicas menggunakan pengecasan AC (Type 2) sehingga 7 kW dan juga pengecasan pantas DC (CCS2), dengan kadar maksimum antara 70 kW atau 80 kW, mengikut kapasiti baterinya. Dengan input lebih tinggi, kadar pengecasan 0-80% boleh dicapai dalam masa 45 minit.

    Varian Standard Range (SR) dengan bateri 49.92 kWh dapat memberikan jarak perjalanan 410 km (NEDC, 345 km WLTP), sementara varian Extended Range (ER) dengan bateri 60.48 kWh, dapat memberikan jarak 480 km (NEDC, 420 km WLTP).

    GALERI: BYD Atto 3

     
     
  • Polis Johor cari pemandu kereta plat pendaftaran Singapura yang enggan beri laluan kepada ambulans

    Polis Johor cari pemandu kereta plat pendaftaran Singapura yang enggan beri laluan kepada ambulans

    Polis Daerah Johor Bahru Selatan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura yang didapati tidak memberi laluan kepada ambulans, supaya tampil membantu pihak berkuasa mengesan pemandu tersebut.

    Menurut ketua polis daerah berkenaan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu, Harian Metro.

    “Belum ada individu yang membuat laporan polis lagi. Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh tampil supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya.

    Menerusi video yang tular di laman media sosial hasil rakaman dashcam kelihatan sebuah Mercedes-Benz A180 yang bertindak mara ke hadapan walau pun sebuah ambulans sudah membunyikan siren dan menyalakan lampu isyarat untuk meminta laluan. Walau pun pemandu ambulans berkenaan turut mengangkat tangan untuk meminta laluan, namun pemandu kereta mewah itu tidak langsung bersikap prihatin, sebaliknya teruys berdegil tidak berganjak dari lorong terbabit.

    Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada jam 4.37 petang kelmarin, di bandar raya JB menuju ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

    Pada masa sama, Raub menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan termasuk memberi laluan kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas kecemasan seperti ambulans, bomba atau polis.

    Katanya, perbuatan tidak memberi laluan kepada ambulans boleh menyebabkan siasatan dibuat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

     
     
  • Juara British Rallycross 2022 bakal guna Proton Iriz RX di pusingan akhir Irish Rallycross minggu ini

    Juara British Rallycross 2022 bakal guna Proton Iriz RX di pusingan akhir Irish Rallycross minggu ini

    Juara Kejohanan Rallycross British yang baru ditabalkan bulan lalu, Patrick O’Donovan dari pasukan Team RX Racing bakal beralih dari memandu Ford Fiesta RX kepada Proton Iriz RX di pusingan terakhir Kejohahan Rallycross Ireland yang bakal berlangsung di Litar Mondello Park hujung minggu ini.

    Ini merupakan penampilan pertama Patrick dengan Iriz RX tersebut, yang pada asalnya dibangunkan untuk digunakan oleh ayahnya sendiri iaitu juara British Rallycross Championship 2007, Ollie O’Donovan. Menurut Team RX Racing, langkah ini diambil bagi memberikan peluang kepada Iriz RX untuk berlumba secara kompetitif sebelum siri-siri perlumbaan musim ini melabuhkan tirai.

    Pasukan berkenaan turut menyatakan bahawa Iriz RX telah direhatkan untuk beberapa perlumbaan musim ini kerana ia mengalami pelbagai isu pembangunan yang perlu dibuat. Kemunculan Patrick yang juga juara Rallycross British paling muda dalam sejarah dengan Iriz RX berkenaan di Mondello Park minggu ini bakal memberikan lebih banyak maklum balas kepada jurutera bagi menyediakan jentera berkenaan untuk berlumba pada musim 2023.

    “Ini merupakan perlumbaan pertama saya sejak kami meraikan kemenangan Kejohanan Rallycross British, dan saya sangat tidak sabar untuk bertanding lagi. Saya tidak takut untuk mengakui bahawa saya merasai tekanan pada penghujung musim untuk kejohanan British, jadi untuk pergi ke Mondello Park, berlumba menentang lawan yang sukar tetapi tanpa tekanan untuk mengumpul mata adalah sesuatu yang sangat saya nantikan,” kata Patrick O’Donovan

    “Saya cuba berlumba dengan Iriz RX dalam pusingan Nitro Rallycross di Sweden tetapi ia tidak berjalan lancar. Mereka telah bekerja keras untuk kereta berkenaan sejak itu, dan kami pergi ke Mondello dengan sasaran untuk bertempur di baris hadapan. Sasaran utama bagi saya, walaupun adalah bagi melakukan lebih banyak pembangunan untuk kereta yang akan ayah saya gunakan dalam perlumbaan tahun depan, saya mahu memberinya peluang terbaik yang saya boleh, jadi ia akan menjadi pengalaman yang berharga hujung minggu ini,” tambahnya lagi.

    Proton Iriz RX ini diasaskan dari jentara rali Iriz R5 yang dibangunkan oleh Mellor Elliot Motorsport (MEM), dengan pembangunan yang dibuat di fasiliti MEM yang terletak di Derbyshire, UK. Ia dibina berasaskan spesifikasi Supercar RX1 yang telah ditetapkan oleh FIA, dijana oleh enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan sekitar 600 hp, digandingkan dengan kotak gear sequential enam-kelajuan, sistem pacuan semua roda serta ditimbang sekitar 1,300 kg.

     
     
  • Malaysia sasar 38% jualan automotif keseluruhan pada 2040 adalah EV, 10,000 pengecas awam pada 2025

    Malaysia sasar 38% jualan automotif keseluruhan pada 2040 adalah EV, 10,000 pengecas awam pada 2025

    Ketika pelancaran BYD Atto 3 hari ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut berkongsi sasaran kementeriannya (MITI) berkenaan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

    “Kerajaan sangat menyokong agenda EV untuk memastikan masa depan yang dinamik dan lebih mampan untuk semua rakyat Malaysia. Dasar Automotif Nasional, atau NAP 2020, dan Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon menggariskan hala tuju kerajaan dalam pembangunan industri EV negara,” kata Zafrul.

    “Pada masa ini kami komited untuk memacu usaha menarik pelaburan EV dan memenuhi sasaran nasional sebanyak 15% jumlah industri (TIV) untuk EV dan hibrid menjelang 2030 dan 38% daripada TIV menjelang 2040. Dari segi infrastruktur pengecasan, matlamatnya adalah untuk mempunyai 10,000 stesen pengecas awam menjelang 2025,” tambahnya lagi.

    Malaysia sasar 38% jualan automotif keseluruhan pada 2040 adalah EV, 10,000 pengecas awam pada 2025

    “Untuk mencapai matlamat ini, pasukan petugas EV kebangsaan (NEVT) yang diketuai oleh MITI dan terdiri daripada kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan berikrar untuk melaksanakan amalan pembangunan EV secara pilih atur. Bagi memastikan strategi kekal relevan, NEVT akan menyemak dan melaksanakan strategi baharu untuk mempromosikan industri EV yang sihat di Malaysia,” jelas Zafrul.

    Beliau turut menyatakan bahawa kementeriannya akan sentiasa berbincang dengan pemegang taruh yang berkaitan bagi lebih mengembangkan lagi industri EV tempatan, termasuk untuk membawa lebih banyak pelaburan bagi pemasangan EV di Malaysia serta memperkasakan sokongan selepas jualan.

    Buat masa sekarang, model-model EV yang diimport sepenuhnya (CBU) telahpun dikecualikan dari duti dan eksais import dan ia dilanjutkan sehingga 31 Disember 2024 seperti yang diumumkan dalam Bajet 2023. Manakala insentif yang sama diberikan pada model EV pemasangan tempatan (CKD) pula adalah sehingga 31 Disember 2025.

     
     
  • BYD Seal dipertonton di Malaysia – fastback elektrik dengan jarak gerak sehingga 700 km, tiba Q4 2023

    BYD Seal dipertonton di Malaysia – fastback elektrik dengan jarak gerak sehingga 700 km, tiba Q4 2023

    Selain Dolphin, turut muncul di majlis pelancaran BYD Atto 3 adalah fastback elektrik empat pintu, Seal. Melalui berita yang kami siarkan sebelum ini, ia dirancang akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada suku keempat tahun hadapan.

    Bagi memberi gambaran kepada saiznya, Seal mencatat ukuran 4,800 mm panjang, 1,875 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda 2,920 mm, sekaligus menjadikan ia pesaing terus kepada Tesla Model 3, dan hampir kepada BMW i4. Seperti yang boleh dilihat, Seal telah mengekalkan banyak rekaan daripada model konsep Ocean-X.

    Dibina dengan tetapan elektrikal 800 volt seperti Porsche Taycan dan Audi e-tron GT, Seal mendapat kuasa daripada bateri Blade yang boleh menawarkan jarak gerak sehingga 700 km, serta sistem pacuan sama dua roda belakang atau empat roda.

    Versi pacuan roda belakang disediakan dalam dua varian, iaitu yang menghasilkan 150 kW (204 hp) dan 230 kW (312 hp), sementara versi pacuan semua roda pula mendapat motor 160 kW (217 hp) dan 312 hp di belakang, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 530 hp.

    Dalam versi AWD yang paling berkuasa, Seal dikatakan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, sementara jarak gerak 700 km yang dinyatakan itu pula mungkin datang daripada salah satu versi pacuan dua roda belakang yang disebutkan tadi.

    Di China, Seal dijual bermula pada harga bersamaan RM210k, tetapi versi Long Range RWD dengan jarak gerak 700 km diletakkan pada RM259k. Jadi apabila mengambil rujukan cara BYD menetapkan harga melalui model Atto 3 yang sudah dilancar, mungkinkah Seal akan tiba di bawah RM300k?

    GALERI: BYD Seal

     
     
  • BYD Dolphin EA1 dipertonton di Malaysia – EV bandar mampu milik dengan harga mungkin bawah RM100k??

    BYD Dolphin EA1 dipertonton di Malaysia – EV bandar mampu milik dengan harga mungkin bawah RM100k??

    Bersama dengan pelacaran Atto 3 sebentar tadi, BYD juga membuat tontonan awal untuk dua lagi model yang akan tiba di pasaran Malaysia, iaitu Seal dan Dolphin. Sebenarnya, ketibaan dua model ini memang sudah diketahui, melalui berita rasmi yang kami terima sejak Oktober lalu.

    Turut dikenali dengan nama EA1, Dolphin adalah sebuah hatchback lima-pintu, dengan saiz hampir sama seperti hatchback segmen-B biasa dan sedikit lebih kecil berbanding Atto 3. Di China, Atto 3 dijual pada harga 150k yuan, manakala Dolphin dijual pada harga 94k yuan.

    Ia digerakkan oleh motor elektrik tunggal berkuasa 174 hp dan tork 290 Nm bagi memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.0 saat. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium fosfat logam (LFP) Blade yang dibangunkan sendiri oleh BYD berkapasiti 44.9 kWj. Untuk pengetahuan, BYD turut membekalkan bateri LFP Blade ini kepada Toyota untuk model bZ3.

    Dolphin turut ditawarkan dalam versi motor berkuasa lebih rendah iaitu 94 hp/180 Nm, tetapi masih menerima bateri berkapasiti 44.9 kWj. Bagi model ini ia mengambil masa 0.9 saat lebih perlahan dalam pecutan 0-50 km/j. Namun jarak geraknya hanya sedikit lebih baik iaitu 405 km dalam kitaran NEDC.

    Di China, Dolphin juga hadir dalam varian paling asas yang menerima motor 94 hp/180 Nm yang digandingkan dengan bateri berkapasiti hanya 30.7 kWj. Bagi model ini jarak geraknya hanya 301 km dalam kitaran NEDC. Pengecas pantas DC turut boleh memenuhkan bateri dari 30-80% SOC dalam masa 30 minit, tetapi kadar maksimumnya hanya 40 kW.

    Dengan satu cas penuh bateri tersebut, Dolphin boleh bergerak sejauh 401 km dalam kitaran NEDC – tolak 20% dari jarak tersebut adalah anggaran untuk jarak dalam dunia sebenar. Untuk mengecas, pengecas AC 7 kW memerlukan 6 jam 25 minit untuk memenuhkan bateri tersebut, manakala dengan pengecas pantas DC 60 kW membolekan bateri dipenuhkan dari 30-80% dalam masa hanya 30 minit.

    BYD Dolphin EA1 dipertonton di Malaysia – EV bandar mampu milik dengan harga mungkin bawah RM100k??

    Melihat kembali pada harganya, dengan Atto 3 yang kini sudah dilancar pada harga bermula RM149,800, ada harapan Dolphin mungkin boleh dijual pada harga bawah RM100k seterusnya menjadikan ia sebagai model EV paling mampu milik di Malaysia selepas ini.

    Buat masa sekarang, antara EV yang paling mampu milik yang boleh anda beli adalah Hyundai Kona Electric yang dijual pada harga bermula RM150k, manakala Ora Good Cat pula dijual pada harga bermula RM140k, iaitu sedikit murah dari Kona Electric. Kalau betul BYD Dolphin ini tiba di Malaysia dengan harga bawah RM100k, adakah anda bersedia untuk beralih menggunakan EV?

    GALERI: BYD Dolphin EA1

     
     
  • LRT Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya pada Jun 2023; 19 set tren baru beroperasi mulai Ogos hadapan

    LRT Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya pada Jun 2023; 19 set tren baru beroperasi mulai Ogos hadapan

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menggesa Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) agar segera membaikpulih masalah teknikal dan dalam masa yang sama menaiktaraf perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.

    Menurut Loke, pada ketika ini hanya 38 set tren untuk Laluan Kelana Jaya yang dapat terus beroperasi berbanding jumlah keseluruhan yang sepatutnya mencecah 56 set.

    “Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya merupakan laluan tren yang paling sibuk dan sesak di antara keseluruhan laluan tren yang ada di Lembah Klang. Terdapat lebih kurang 200,000 penumpang setiap hari. Pada waktu puncak pastinya berlaku kesesakan kerana kapasiti penumpang yang terlalu ramai. Perkara ini memang tidak menyenangkan buat pengguna perkhidmatan ini, apatah lagi kekerapan tren kini menjadi minimum lima minit, berbanding tiga minit yang sepatutnya.

    LRT Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya pada Jun 2023; 19 set tren baru beroperasi mulai Ogos hadapan

    “Walau bagaimana pun, saya dimaklumkan oleh pihak Prasarana, 18 set tren sedang diselenggara dan tidak dapat beroperasi. Justeru, hanya tinggal 38 set tren sahaja yang beroperasi ketika ini. Oleh kerana set tren yang berkurangan, menyebabkan waktu kekerapannya juga bertambah. Untuk mencapai tiga minit, kita perlukan 48 set tren untuk beroperasi.

    “Jadi, saya telah berbincang dengan Prasarana supaya mempercepatkan proses penyelenggaran tren dan beransur-ansur menambah bilangan tren untuk mmeningkatkan kekerapannya,” kata Loke dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat khas dengan Prasarana bagi membincangkan isu LRT yang kian meruncing ini.

    Loke turut berkata, prasarana memberi jaminan bahawa semua tren yang sedang diselenggara itu dijangka akan siap menjelang suku ketiga tahun 2023.

    LRT Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya pada Jun 2023; 19 set tren baru beroperasi mulai Ogos hadapan

    Jelasnya lagi, Prasarana juga telah membeli 19 set tren empat gerabak baharu di mana set pertama akan beroperasi mulai Ogos 2023. Namun buat masa ini, Prasarana sedang berusaha untuk memastikan segala masalah teknikal dapat diatasi, termasuk membuat penyelenggaran menyeluruh untuk sistem. Ia perlu dilakukan untuk memastikan perkhidmatan ini lebih lancar dan selamat.

    “Dalam tempoh ini, kita tahu perkhidmatan ini banyak masalah teknikal, kadang-kadang ada gangguan sistem termasuk power trip dan sebagainya. Saya akui perkhidmatan ini masih belum stabil. Justeru, saya memohon maaf pada semua pengguna kerana mengalami kesulitan disebabkan isu ini.

    “Dalam masa yang sama, saya minta pihak pengurusan untuk bertindak lebih serius bagi meminimumkan masalah. Saya berharap perkhidmatan ini akan lebih stabil dan selamat mulai Jun 2023. Saya akan memantau isu ini secara peribadi dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

    Pada 5 Disember lalu, Loke mengambil kesempatan menaiki LRT Laluan Kelana Jaya pada waktu puncak. Tindakan secara spotcheck itu membuka peluang untuknya meninjau sendiri keadaan di stesen dan di dalam tren.

     
     
  • BYD akan labur RM500j di Malaysia – pusat pameran pertama dibuka di KL bulan ini, 20 lagi tahun depan

    BYD akan labur RM500j di Malaysia – pusat pameran pertama dibuka di KL bulan ini, 20 lagi tahun depan

    Semasa pelancaran SUV elektrik BYD Atto 3 sebentar tadi, syarikat dari China itu juga memberitahu akan melabur RM500 juta ke arah pembangunan rangkaian pusat pameran serta insfrastruktur mengecas di seluruh Malaysia dalam masa dua tahun akan datang.

    Pusat pameran BYD yang pertama akan dibuka bulan ini di TREC, Kuala Lumpur, sementara tiga lagi akan dibuka di Ara Damansara, Pulau Pinang dan Johor pada separuh pertama tahun 2023, dengan kebanyakannya adalah 3S. Menjelang hujung tahun depan, jenama itu, bersama Sime Darby Motors meletakkan sasaran jumlah rangkaian sebanyak 20 pengedar di seluruh Malaysia. Jumlah ini kemudiannya akan digandakan pada tahun 2024.

    “Selari dengan sasaran kami untuk menjadi pendahulu (segmen EV) dan berkehendak memacu aspirasi EV Malaysia, kami teruja untuk memulakan babak baru bersama BYD, mengikuti kejayaan kami di Singapura. Dengan separuh bilion ringgit sedia untuk dilabur, ini akan menyokong rancangan pengembangan agresif untuk jenama ini di Malaysia, dan menunjukkan kepercayaan kami kepada tarikan universal jenama ini,” kata pengarah urusan Sime Darby Motors, Andreq Basham.

    “Melihat kepada rekod Sime Darby Motors, serta kemampuannya sebagai pemain serantau dalam industri automotif, terutamanya rangkaian pengedar yang meluas di Malaysia, digabungkan pula dengan teknologi dan kepakaran BYD, kami akan berusaha untuk memberi kenderaan inovatif kami kepada pelanggan Malaysia dan menyokong hasrat pengurangan karbon negara,” kata pengurus kanan bahagian jualan kenderaan Asia Pasifik BYD, Liu Xueliang.

    Ketibaan jenama ini ke Malaysia dilancarkan bersama model SUV elektrik penuh Atto 3, yang diletakkan pada harga RM149,800 untuk varian Standard Range, dan meningkat sehingga RM167,800 untuk Extended Range. Ia kemudiannya akan disertai pula oleh model e6, sementara Seal (Atto 4) dan Dolphin (EA1) akan memasuki pasaran Malaysia pada suku keempat 2023.

     
     
  • Toyota Hilux GR-Sport kini di Indonesia – RM206k, 2.8L Turbodiesel, 204 PS/500 Nm, 6AT, Toyota Safety Sense

    Toyota Hilux GR-Sport kini di Indonesia – RM206k, 2.8L Turbodiesel, 204 PS/500 Nm, 6AT, Toyota Safety Sense

    PT Toyota Astra Motor (TAM) kini secara rasminya telah pun mula menjual model paling sporty untuk Toyota Hilux di Indonesia iaitu Hilux GR-Sport yang sebelum ini dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022 yang berlangsung pada bulan lalu.

    Model ini bukan sahaja tampil dengan rupa yang lebih agresif, malah ia kini merupakan Hilux paling berkuasa yang ditawarkan di Indonesia. Pada bahagian luaran, trak pikap dengan lencana GR-Sport ini menerima gril hadapan tanpa logo Toyota, tetapi digantikan dengan skrip ‘Toyota’ seperti Land Cruiser GR Sport baharu.

    Skid plate hadapan juga kini menerima kemasan-hitam warna badan, manakala lampu kabus pula LED menerima perumah lebih besar dalam kemasan hitam berkilat. Ia juga diberikan sports bar belakang berwarna hitam, rim aloi 18-inci kemasan hitam dan juga logo-logo GR diletakkan pada bahagian hadapan, sisi, dan belakang. Secara ringkasnya, Hilux GR-Sport pasaran Indonesia ini adalah seiras dengan Hilux GR-Sport versi High Rider pasaran Thailand.

    Toyota Hilux GR-Sport kini di Indonesia – RM206k, 2.8L Turbodiesel, 204 PS/500 Nm, 6AT, Toyota Safety Sense

    Begitu juga bahagian dalaman, Hilux GR-Sport di Indonesia ini kelihatan sama dengan model pasaran Thai, menampilkan perincian seperti roda stereng balutan kulit dengan penanda pukul 12 berwarna merah, panel-panel kemasan kelabu gelap, pedal aloi, uphosteri kulit-sued hitam dengan sulaman logo GR, butang penghidup enjin dengan logo GR, serta paparan meter dengan skrin pemula juga berlogo GR.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk lampu hadapan LED, bampar belakang dengan Tailgate Assist, skrin sesentuh utama bersaiz 8-inci, pemantau pandangan panaromik, dan juga sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense bersama bantuan titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.

    Toyota Hilux GR-Sport ini dijana oleh enjin 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel yang menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 2,800 rpm. Model ini hanya ditawarkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dengan pedal penukar gear, digandingkan dengan sistem 4WD bersama unit differential lock pada gandar belakang.

    Untuk kita di Malaysia tiada apa yang istimewa berkenaan enjin tersebut sudah pun berada pada model 2.8L Rouge di sini dengan angka kuasa yang sama. Namun di Indonesia, enjin tersebut membuatkan Hilux GR-Sport ini sebagai Hilux paling berkuasa yang ditawarkan kerana varian lain hanya diberikan enjin turbodiesel 2GD-FTV 2.4 liter berkuasa 150 PS/400 Nm dan hanya hadir dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Tiada sebarang perubahan pada sistem suspensi diumumkan, dan ia masih dipadankan dengan cakera brek 16-inci di hadapan bersama dram di belakang. Namun Hilux GR-Sport ini diberikan angkup brek hadapan berwarna merah dengan logo GR.

    Hanya dua warna badan ditawarkan untuk Toyota Hilux GR-Sport ini iaitu Platinum White Pearl Mica dan Emotional Red. Ia dijual pada harga 731.4 juta rupiah (RM206k) – sebagai perbandingan, model 2.4L MT dalam varian paling tinggi dijual pada harga 464 juta rupiah (RM131k).

     
     
  • BYD Atto 3 EV kini di Malaysia — 49.92 kWh atau 60.48 kWh, capai jarak hingga 480 km, harga dari RM149,800

    BYD Atto 3 EV kini di Malaysia — 49.92 kWh atau 60.48 kWh, capai jarak hingga 480 km, harga dari RM149,800

    Jenama BYD kini dengan rasminya diperkenalkan di Malaysia, dan pengeluar EV dari China ini sedang mengadakan aktiviti dan pandu uji di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur hujung minggu ini. Model pertama yang dilancarkan di sini ialah BYD Atto 3, sebuah crossover elektrik sepenuhnya.

    Pengedar rasminya, BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM, sebahagian daripada Sime Darby Motors) menawarkan dua varian Atto 3 di sini: Standard Range (SR) dengan bateri 49.92 kWh yang memberikan jarak perjalanan 410 km (NEDC, 345 km WLTP), dan Extended Range (ER) dengan bateri 60.48 kWh, dengan jarak 480 km (NEDC, 420 km WLTP).

    Varian SR ini dijual pada harga RM149,800 sementara varian ER pula pada harga RM167,800. Harga bagi EV ini dikecualikan daripada duti, dan merupakan harga atas jalan tidak termasuk insurans. Harga akhir ini juga sebenarnya tidak lari jauh daripada jangkaan awal untuk tempahan sebelum ini, iaitu sekitar RM150k-RM170k.

    BYD Atto 3 mempunyai ukuran dimensi yang lebih besar daripada Proton X50. Dengan 4,455 mm panjang dan 1,875 mm lebar, EV BYD ini 125 mm lebih panjang daripada X50, dan 75 mm lebih lebar. Jarak antara rodanya pula ialah 2,720 mm, 120 mm lebih panjang berbanding X50. Ruang butnya pula ialah 440L, 110L lebih besar daripada X50.

    Di luar, Atto 3 dilengkapi dengan lampu LED dengan fungsi “Follow Me Home” serta lampu depan adaptif, lampu belakang LED, dengan ciri lampu suasana warna tunggal atau pelbagai mengikut varian. Kelengkapan dalamannya — dengan rekaan futuristik yang menarik — pula terdiri antaranya daripada skrin pintar boleh pusing bersaiz 12.8-inci, Apple CarPlay sambungan wayar dan Android Auto sambungan tanpa wayar, penegcas telefon tanpa wayar dan sistem pintar tanpa kunci.

    Keduanya menggunakan bateri Blade EV oleh BYD sendiri, yang disambung kepada sebuah motor elektrik di depan dengan janaan 204 PS/310 Nm. Atto 3 boleh dicas menggunakan pengecasan AC (Type 2) sehingga 7 kW dan juga pengecasan pantas DC (CCS2), dengan kadar maksimum antara 70 kW atau 80 kW, mengikut kapasiti baterinya. Dengan input lebih tinggi, kadar pengecasan 0-80% boleh dicapai dalam masa 45 minit.

    BYD Atto 3 EV kini di Malaysia — 49.92 kWh atau 60.48 kWh, capai jarak hingga 480 km, harga dari RM149,800

    Atto 3 menggunakan tetapan suspensi MacPherson strut di depan, dan jenis multilink di belakang untuk lebih keselesaan. Bagi varian SR, ia menggunakan rim aloi 17-inci dengan saiz tayar 215/60, manakala varian ER pula dengan saiz rim 18-inci dengan profil tayar 215/55 R18.

    Dari segi keselamatan juga Atto 3 tampil agak lengkap. Ia hadir dengan tujuh beg udara, brek parkir elektrik, enam sensor parkir, sistem pengesan tekanan tayar, ABS dan kawalan kestabilan, sistem kawalan cengkaman, EBD, kawalan menuruni curam, kawalan melayar adaptif kelajuan penuh dengan Stop & Go, brek kecemasan autonomous (AEB), amaran perlanggaran belakang (RCW), pengesan titik buta (BSD), amaran buka pintu (DOW) dan amaran lintasan trafik di belakang.

    Ketika ini, pesaing lain bagi EV penuh peringkat kemasukan seperti ini ialah Hyundai Kona Electric (RM156k-RM208k) dan mungkin juga Hyundai Ioniq 5 versi Lite 58 kWh (RM270k). Selain itu, GWM Ora Good Cat juga sudah dilancarkan bulan lalu, dan dijual pada harga dari RM139,800 hingga RM169,800. Lain-lain EV yang pernah dijual di sini termasuklah Renault Zoe (RM163k) dan juga Nissan Leaf.

    Atto 3 didatangkan dalam lima pilihan warna — Ski White, Boulder Grey, Forest Green, Parkour Red dan Surf Blue. Crossover ini didatangkan dengan jaminan selama enam tahun atau 150,000 km, dengan jaminan bateri pula selama lapan tahun atau 160,000 km.

    Acara BYD di Bandar Malaysia ini terbuka kepada orang awam bermula esok hingga Ahad nanti. Jadi, luangkan masa dan berkunjung ke sana untuk melihat sendiri Atto 3 ini, serta pameran teknologi lain daripada BYD.