Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • PKPB: Pekerja yang berulang-alik antara Pulau Pinang-Kedah tidak perlu permit rentas negeri

    PKPB: Pekerja yang berulang-alik antara Pulau Pinang-Kedah tidak perlu permit rentas negeri

    Bagi pekerja yang berulang alik di antara Kedah dan Pulau Pinang, tidak perlu risau untuk mendapatkan surat kebenaran Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor telah mengesahkan pekerja terbabit hanya perlu menunjukkan pas kerja dan surat majikan jika diperiksa polis di sekatan jalan raya yang terdapat di sempadan negeri.

    Kenyataan ini dikeluarkan selepas ada mesej tular di media sosial yang mendakwa pekerja berulang alik antara Kedah dan Pulau Pinang perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

    PKPB: Pekerja yang berulang-alik antara Pulau Pinang-Kedah tidak perlu permit rentas negeri

    “Sejak semalam, tular isu perlu dapatkan surat kebenaran daripada PDRM jika mahu melakukan rentas negeri bagi kategori bekerja malah ada pengguna laman sosial mendakwa mereka telah diarah patah balik oleh polis di sekatan jalan raya kerana tiada surat kebenaran.

    “Jadi, saya nak jelaskan tidak perlu surat kebenaran daripada PDRM untuk rentas negeri, memadai mereka hanya tunjuk pas pekerja dan surat majikan. Cuma bagi rentas negeri untuk pulang ke kampung atau kes kecemasan atau kematian perlu dapatkan surat kebenaran dari ketua balai polis terdekat,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau turut menambah, ketika ini terdapat tiga sekatan jalan raya di sempadan Pulau Pinang dan Kedah iaitu di Kampung Jambatan Merdeka, Pinang Tunggal dan Permatang Bendahari.

    “Menerusi mesej yang tular itu, mereka turut mendakwa diarah berpatah balik oleh polis di sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Dua menghala selatan, sedangkan tiada sekatan jalan raya di situ,” katanya.

     
     
  • Lexus IS 2021 generasi keempat bakal muncul 9 Jun

    Lexus IS 2021 generasi keempat bakal muncul 9 Jun

    Lexus IS generasi ketiga yang ada ketika ini – masih tampil menarik dengan rekaan tajam – sebenarnya sudah berada dalam pasaran sejak 2013 lagi, dengan sekali facelift pada 2016. Kini, selepas tujuh tahun, generasi terbaru model akhirnya akan diperkenalkan tak lama lagi.

    Walaupun pengenalannya agak terlewat berbanding pesaing-pesaing lain, calon daripada pengeluar Jepun ini telahpun menunjukkan teaser bagi Lexus IS 2021, yang bakal menjadi model generasi keempatnya. Lexus memaklumkan, IS terbaru ini akan diperkenalkan dalam talian pada 6 Jun ini di Amerika Syarikat dan 10 Jun untuk pasaran Jepun.

    “Bagi merancakkan lagi segmen pasaran bagi kereta mewah kompak, Lexus akan memperkenalkan sedan sport IS 2021 minggu depan,” baris ayat seperti yang tertera pada hantaran media Lexus Amerika. Agak menarik juga model ini sebenarnya, kerana hingga sekarang, masih belum pernah terdedah penampilan keseluruhannya – termasuk dari imej-imej spyshot. Lexus menyimpan rahsia IS 2021 RWD ini dengan sangat baik dan cermat.

    Setakat ini, tak banyak yang boleh dilihat melainkan rekaan lampu belakang dengan LED khusus yang ada padanya, yang sekaligus memberikan penampilan yang khas untuknya.

     
     
  • PDRM rekod 9 kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk dalam tempoh Januari-Mei 2020

    PDRM rekod 9 kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk dalam tempoh Januari-Mei 2020

    Sejak Januari hingga Mei 2020, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk. Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, jika dibandingkan dengan tahun lalu, PDRM merekodkan sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk dalam tempoh Januari hingga Disember.

    “Trend ini agak membimbangkan kalau kita lihat daripada segi angka itu, belum lagi kemalangan disebabkan kecuaian.

    “Semua rakyat pasti masih ingat petugas barisan hadapan iaitu Koperal Safwan Muhammad Ismail terkorban di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) termasuk paling terbaru awal pagi semalam apabila seorang pemandu mabuk melanggar penunggang motosikal dan menyebabkan mangsa mati di lokasi.

    “Diviralkan pula video pemandu mabuk itu mengheret motosikal sejauh dua kilometer. Kita sudah buat ujian (kandungan alkohol) dan bacaannya melebihi apa dibenarkan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    PDRM rekod 9 kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk dalam tempoh Januari-Mei 2020

    Tambahnya lagi, pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pengangkutan untuk meminda dan menggubal Akta Pengangkutan Jalan (APJ) terutama bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

    Beliau berkata, seksyen sedia ada menetapkan kadar bacaan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 80mg/100ml masih tinggi berbanding piawaian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang membenarkan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 50mg/100ml.

    Menurutnya, beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan cadangan pindaan hukuman berkenaan terutama bagi Seksyen 45A dan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) turut melahirkan kebimbangan terhadap kes pemandu mabuk yang meragut nyawa. Kalau tidak dikawal dengan begitu ketat di masa akan datang ia akan mengorbankan banyak lagi nyawa. Ini tidak memberi ketakutan kepada pemandu mabuk jika undang-undang dan agensi penguatkuasaan tidak dapat mengambil tindakan lebih keras terhadap mereka.

    “Undang-undang sedia ada dilihat tidak setimpal atas kesalahan dilakukan pemandu mabuk sehingga mengorbankan nyawa pengguna jalan raya lain dan tidak memberi pengajaran kepada mereka,” katanya.

     
     
  • Lexus LC 500 2020 dilancar di Malaysia – RM1.25 juta

    Lexus LC 500 2020 dilancar di Malaysia – RM1.25 juta

    Versi terbaru bagi LC 500 kini sudah pun dilancarkan oleh Lexus Malaysia, dengan harga RM1.25 juta, tidak termasuk insurans, bersama jaminan lima tahun tanpa had batuan. Jika dibandingkan dengan model yang dilancarkan pada tahun 2017, model baru yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini hanya sedikit lebih mahal dari sebelumnya. Pada 2018, harganya pernah dinaikkan menjadi RM1.242 juta – harga terbaru ini melibatkan sedikit lagi kenaikan, dengan pertambahan kelengkapan.

    Peningkatan yang diberikan kepada model terbaru ini telah didedahkan secara global April lalu, dengan kebanyakannya tersembunyi di sebalik badannya. Beratnya juga telah dikurangkan sebanyak 10 kg, hasil penggunaan aluminium pada lengan suspensi, anti-roll bar berdiameter lebih besar, spring berkekuatan tinggi dan rim 21 inci yang lebih ringan.

    Pengendalian kereta mewah ini juga dipertingkatkan dengan penggunaan penyerap prestasi baru di bahagian belakang, serta sistem Adaptive Variable Suspension (AVS) yang dirujuk semula. Kemudiannya, ia dilengkapi dengan fungsi Active Cornering Assist (ASA) – pembahagian tork menggunakan brek – manakala sistem stereng (termasuk Rear-wheel Steering) dipertingkat untuk menjadi lebih responsif.

    Lexus LC 500 2020 dilancar di Malaysia – RM1.25 juta

    Di bawah bonet LC 500 2020, enjin petrol V8 NA 5.0 liter 2UR-GSE yang sama masih digunakan, mampu menghasilkan kuasa 470 hp pada 7,100 rpm dan 540 Nm tork pada 4,800 rpm, tetapi transmisi automatik Direct Shift 10 kelajuan yang menyampaikan kuasa kepada roda belakang telah ditala semula untuk ‘menyimpan gear’ lebih lama semasa input minyak dalam “zon aktif” (antara 50 dan 70%) sebelum menukar ke gear lebih tinggi.

    Bahagian luar model ini masih lagi sama, dengan dua lagi pilihan warna ditambah iaitu Blazing Carnelian Contrast Layering and Terrane Khaki Mica Metallic. Untuk bahagian dalam pula, pelanggan boleh memilih kemasan warna merah, hitam atau oren.

    Sistem infotainmen Remote Touch pada LC 500 kini datang dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, dan ia dipaparkan pada skrin 10.3 inci yang lebih besar, dengan resolusi 1280 x 480 piksel. Turut ditambah adalah ciri Power Easy Access, yang membantu pemandu untuk masuk dan keluar dengan melaras tempat duduk serta stereng secara automatik.

    Lexus LC 500 2020 dilancar di Malaysia – RM1.25 juta

    Dalam senarai kelengkapan standard, LC 500 datang dengan lampu utama LED projector dengan lampu DRL LED, pengawal suhu dua zon automatik, sistem bunyi 13 pembesar suara Mark Levinson, panel instrumen digital lapan inci, tempat duduk yang dibalut Alcantara, bumbung gentian karbon, limited-slip differential Torsen serta spoiler belakang aktif.

    Tambahan lain bagi model 2020 ini adalah sistem keselamatan dan bantuan pemandu Lexus Safety System+ (LSS+), yang termasuk Front Pre-Collision System (PCS), Automatic High Beam (AHB), Lane Keeping System dan Dynamic Radar Cruise Control (DRCC). Beg udara kesemuanya ada lapan.

     
     
  • Toyota Hilux facelift 2020 – video teaser tampil Fernando Alonso disiar, lebih kuasa dari enjin 2.8L?

    Nampaknya pendedahan Toyota Hilux dalam versi facelift 2020 untuk peringkat global akan dibuat tidak lama lagi – laman facebook rasmi Toyota UK telah pun menyiarkan video teaser model berkenaan!

    Apa yang boleh dilihat, Toyota nampaknya mahu memberitahu bahawa trak pikap yang disegarkan ini bukan hanya menerima rupa yang lebih menarik, malah dengan penampilan bekas juara Formula 1 dan juga pemandu rali Dakar untuk pasukan Toyota Gazoo Racing, Hilux facelift 2020 ini juga nampak akan menerima kuasa tambahan yang serius menerusi enjin 2.8 liter.

    Buat masa sekarang, Hilux dijana oleh dua pilihan enjin turbodiesel iaitu versi 2.4 liter dengan enjin 2GD-FTV berkuasa 150 PS/400 Nm, manakala model 2.8L dijana enjin 1GD-FTV berkuasa 177 PS/450 Nm.

    Toyota Hilux facelift 2020 – video teaser tampil Fernando Alonso disiar, lebih kuasa dari enjin 2.8L?

    Dalam laporan sebelum ini, model baharu berkenaan akan tetap dijana oleh enjin 1GD-FTV yang sama, tetapi ditingtaktaraf bukan sahaja untuk menghasilkan lebih kuasa, malah turut akan menyelesaikan masalah particulate filter yang selalu tersumbat. Laporan dari Jepun juga ada yang menyatakan bahawa enjin berkenaan akan turut digunakan pada Land Cruiser generasi akan datang.

    Pendedahan sebelum ini turut memperincikan bahawa Hilux facelift 2020 akan hadir dengan muka yang dirombak semula dengan rupa jauh lebih kacak, menampilkan lampu hadapan Bi-beam LED, lampu kombinasi belakang dengan grafik LED berbentuk-B, rim aloi 18-inci baharu, dilengkapi Toyota Safety Sense, dan berberapa warna badan baharu.

     
     
  • PKPB dilanjut atau ditamatkan belum dimuktamadkan, aplikasi Gerak Malaysia tidak lagi digunakan – Menteri

    PKPB dilanjut atau ditamatkan belum dimuktamadkan, aplikasi Gerak Malaysia tidak lagi digunakan  – Menteri

    Kerajaan masih belum memutuskan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan atau dilanjutkan selepas 9 Jun ini, ujar Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Menurutnya lagi, selepas keputusan berhubung PKPB dimuktamadkan, baharu kerajaan akan memutuskan mengenai sama ada menyambung pelaksanaan sekatan jalan raya membabitkan perjalanan rentas negeri.

    “Belum ada jawapan lagi sebab PKPB kita tidak tahu tamat atau tidak pada 9 Jun ini. Oleh itu sekatan rentas negeri sama ada diteruskan atau tidak bergantung kepada keputusan PKPB itu disambung atau tidak, ” katanya pada sidang media harian PKPB sebentar tadi.

    PKPB dilanjut atau ditamatkan belum dimuktamadkan, aplikasi Gerak Malaysia tidak lagi digunakan  – Menteri

    Beliau turut berkata, aplikasi Gerak Malaysia juga sudah tidak lagi boleh digunakan kerana larangan pergerakan rentas negeri telah diwartakan semula.

    Oleh yang demikian, orang ramai yang ingin melakukan pergerakan rentas negeri dan menepati kriteria yang dibenarkan seperti urusan kerja, hal kecemasan atau pun pasangan suami-isteri yang bekerja/menetap di dua negeri berasingan, perlulah memohon kebenaran daripada balai polis berdekatan.

    “Ini termasuklah jika mahu melakukan pergerakan rentas negeri ke/dari Sabah atau Sarawak ke/dari Semenanjung, perlulah mendapatkan surat kebenaran daripada polis sebelum membeli tiket penerbangan,” katanya lagi.

     
     
  • Lexus RX, NX dengan kit badan Goemon dan Kotaro

    Lexus RX, NX dengan kit badan Goemon dan Kotaro

    Pemilik Lexus RX dan NX yang mahukan kenderaan mereka lebih menonjol atas jalan raya mungkin boleh melihat kepada kit badan ini. Ia bukan ditawarkan oleh Lexus sendiri atau nama-nama syarikat talaan terkenal yang biasa, tetapi daripada SCL Global Concept yang beroperasi di Rusia.

    Untuk model RX, kit yang disediakan dipanggil sebagai “Goemon” manakala untuk NX pula adalah “Kotaro”. Kedua-duanya menggunakan rekaan gril unik, yang seperti mendapat inspirasi daripada karekter sains fiksyen (mungkin Predator).

    Selain muka yang ganas itu, pakej kit badan ini juga datang dengan bonet, tambahan lengkung roda yang lebih lebar, skirt tepi, dua spoiler di bahagian belakang dan bampar belakang yang mempunyai diffuser cukup jelas serta muncung ekzos di tengah. Kit badan NX turut diberi dengan lampu belakang LED baru.

    Menurut syarikat pengeluar kit ini, barangan yang ditawarkan oleh mereka dibuat daripada gentian karbon suhu tinggi dan menepati tahap standard seperti barangan keluaran kilang (OEM). Beratnya juga hampir sama seperti barangan OEM, dengan ketebalan 2-3 mm dan ketahanan suhu sehingga 120 darjah celsius.

    Untuk harga, kit Goemom dijual pada harga US$9,800 (RM42,365) manakala kit Kotaro untuk NX pula berharga US$6,825 (RM29,504). Sudah tentu, ini adalah harga untuk kit itu sahaja dan tidak termasuk kos lain seperti penghantaran.

    GALERI: Lexus RX Goemon

    GALERI: Lexus NX Kotaro

     
     
  • Subaru Forester GT Edition 2020 tiba di Malaysia — enjin 2.0L, 156 PS/196 Nm, sistem EyeSight, RM178k

    Subaru Forester GT Edition 2020 tiba di Malaysia — enjin 2.0L, 156 PS/196 Nm, sistem EyeSight, RM178k

    Subaru Forester GT Edition kini diperkenalkan untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan RM177,788. Ini merupakan pertambahan sekitar RM8,000 berbanding varian 2.0i-S Eyesight. Versi terbaru ini Januari lalu diperkenalkan untuk pasaran Singapura. Ini menjadikannya sebagai model kedua ditawarkan dalam GT Edition untuk pasaran tempatan selepas XV GT Edition yang masuk pasaran pada Mei tahun lalu.

    Berdasarkan varian paling tinggi 2.0i-S ES, versi GT Edition ini menggunakan unit enjin yang sama, 2.0 liter empat-silinder boxer petrol yang menghasilkan 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm pada 4,000 rpm. Ini digandingkan dengan transmisi Lineartronic CVT dan juga sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive.

    Tidak ketinggalan ialah ciri Special X-Mode yang membolehkan pacuannya beralih antara mod Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud. Apa yang membezakan edisi ini ialah kit badan yang digunakan, terdiri daripada lanjutan lip bampar depan, kit badan sisi, spoiler bumbung dan lanjutan lip bampar belakang. Ia juga menerima rim aloi rekaan tersendiri 18-inci, sementara di dalam, kemasan kulit khusus GT Edition digunakan.

    Subaru Forester GT Edition 2020 tiba di Malaysia — enjin 2.0L, 156 PS/196 Nm, sistem EyeSight, RM178k

    Sama seperti varian yang menjadi asasnya, versi GT Edition ini juga hadir dengan sistem EyeSight untuk membantu pemandu. Ini terdiri antaranya daripada ciri brek pra-perlanggaran, pengurusan pendikit, amaran pertukaran lorong serta kawalan melayar adaptif. Ciri bantuan menukar lorong, amaran lintasan trafik belakang, tinjauan cermin sisi dan sistem pengesan titik buta juga termasuk sekali.

    Subaru Forester GT Edition ini juga menerima sistem paparan audio lapan-inci dengan sokongan terhadap Apple CarPlay dan Andoroid Auto. Ciri peninjau sekelilih 360-darjah juga memudahkan lagi pemandu mengendalikan SUV ini di tempat sempit.

    Terdapat tujuh pilihan warna ditawarkan kepada pelanggan untuk edisi ini; Crystal White Pearl, Ice Silver Metallic, Jasper Green Metallic, Horizon Blue Pearl, Sepia Bronze Metallic, Dark Grey Metallic dan Crystal Black Silica.

     
     
  • Drift dalam stesen minyak – dua lelaki ditahan polis

    Baru-baru ini tular satu video memaparkan sebuah Subaru BRZ membuat aksi drift dalam kawasan stesen minyak, yang tentunya akan mendatangkan akibat buruk sekiranya kemalangan berlaku pada persekitaran mudah terbakar berkenaan. Sehubungan dengan itu, polis Perlis telah menahan dua lelaki yang dikaitkan dengan video yang tular tersebut, lapor Berita Harian.

    Menurut laporan tersebut, kejadian berkenaan dilakukan dalam kawasan sebuah stesen minyak yang terletak dekat Jejawi, Perlis. Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis, Asisten Superintendan Mohd Rizal Emran, berkata dua lelaki termasuk pemilik stesen berkenaan, berusia 34 dan 37 tahun itu ditahan selepas tampil menyerah diri di Balai Polis Arau pada jam 8.45 malam tadi.

    Menurutnya lagi, polis turut menyita Subaru BRZ yang dipercayai digunakan untuk melakukan aksi tersebut yang disimpan di perkarangan rumah pemandu terbabit dekat Bintong.

    “Pemilik stesen minyak berkenaan mengaku menganjurkan aksi drift itu, manakala rakannya yang juga pemilik kedai aksesori bertindak memandu kenderaan terbabit.

    “Mereka ditahan kerana melakukan aksi berbahaya yang boleh menyebabkan kemalangan, kebakaran dan kerosakan kepada pelanggan stesen minyak beberapa hari lalu,” katanya ketika dihubungi oleh Berita Harian hari ini.

    Mohd Rizal turut mengesahkan bahawa kedua-dua lelaki itu sudah dibebaskan sementara dengan jaminan polis hari ini dan dijangka didakwa dalam masa terdekat dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) dan 81(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

     
     
  • Pemandu mabuk lawan arus di Kuantan dituduh membunuh, tidak dibenarkan untuk diikat jamin

    Lanjutan dari kes sebuah Toyota C-HR yang dipandu melawan arus oleh seorang pemandu mabuk dan merempuh kenderaan yang dipandu kakitangan Alam Flora pada 25 Mei lalu di Jalan Pintasan Kuantan, Mahkamah Majistret Kuantan mendakwa suspek atas tuduhan membunuh hari ini, lapor Astro Awani.

    Tertuduh yang bernama Teoh Kian Peng, 42 tahun, yang berasal dari Tanah Putih, didakwa di hadapan Majistret Najwa Hashim mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Irwan Herman Kamarudin, 41 tahun. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori. Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh dijamin.

    Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Bin Haji Hassan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan minggu lalu, langkah segera yang akan diambil ialah memastikan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan dibawa ke persidangan Parlimen terdekat.

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam turut senada dengan perkara berkenaan dan telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan akta berkenaan secepat yang mungkin.

    Minggu lalu juga Menteri Pengangkutan Dr. Wee Ka Siong menyatakan bahawa pindaan untuk hukuman lebih berat terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut perlu disegerakan dan mestilah dimuktamadkan pada pertengahan bulan ini.

     
     
  • Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 W177 – RM380k

    Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 W177 – RM380k

    Mercedes-AMG A 35 versi sedan sudah dilancarkan pada tahun lepas, dan kini tiba pula masa untuk versi hatchback iaitu Mercedes-AMG A35 4Matic. Ia baru sahaja dilancarkan bersama dua buah lagi model kompak iaitu Mercedes-AMG A45S dan juga Mercedes-AMG CLA45.

    Menjadikannya lebih istimewa, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) menawarkan A35 di dalam versi Edition 1, di mana ia dilengkapi dengan pakej AMG Aerodynamics, AMG Night Package serta rim AMG 19 inci. Harga jualan Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 ini adalah RM379,888 tidak termasuk insurans.

    Enjin yang digunakan pada model hatchback ini adalah sama dengan versi sedan, iaitu unit petrol empat-silinder turbo 2.0 liter M260, yang mampu menghasilkan kuasa 306 hp pada 5,800 rpm dan 400 Nm tork dari 3,000 hingga 4,000 rpm.

    Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 W177 – RM380k

    Transmisi pula adalah unit AMG Speedshift 7G tujuh-kelajuan yang digabungkan dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic yang mampu menghantar 50% tork ke roda belakang melalui klac multi-plat elektro-mekanikal. Dengan fungsi Race Start, A 35 hatchback boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat (0.1 saat lebih pantas daripada versi sedan).

    Untuk bahagian brek, model ini menggunakan angkup empat piston serta cakera berliang 350 mm di hadapan, manakala di belakang pula menggunakan angkup satu piston dengan cakera 330 mm. Suspensi adalah unit AMG Ride Control manakala mod pemanduan pula ada empat (Comfort, Sport, Sport+, Individual dan Slippery) melalui AMG Dynamic Select.

    Bahagian dalam juga melihatkan penggunaan pelbagai aksesori AMG, yang termasuk kemasan warna hitam dan perak, plet tepi pintu, alas kaki, tempat duduk larasan kuasa serta stereng yang dibalut dengan kulit Nappa. Barangan lain adalah seperti lampu suasana dan kawalan suhu automatik.

    Pada bahagian keselamatan, model yang dianggap sebagai model permulaan kepada siri AMG ini dilengkapi dengan Active Brake Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Parking Assist, Blind Spot Assist, kamera undur, sistem PRE-SAFE serta pemerhati tekanan angin tayar.

    Untuk sistem multimedia, ia adalah unit MBUX, yang boleh disambung dengan Android Auto atau Apple CarPlay, berserta kawalan Touchpad, pengecas tanpa wayar, head-up display dan modul komunikasi LTE untuk penggunaan servis sambungan Mercedes Me.

     
     
  • Projek HSR: Malaysia-Singapura bersetuju untuk tangguh lagi keputusan sehingga 31 Disember 2020

    Projek HSR: Malaysia-Singapura bersetuju untuk tangguh lagi keputusan sehingga 31 Disember 2020

    Sehingga kini, biarpun tiada keputusan muktamad mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi KL-Singapura (HSR), namun ini tidak bermakna ia tidak diteruskan, sebaliknya hanya ditangguhkan sahaja.

    Terkini, kerajaan Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menyambung semula perbincangan mengenai projek HSR dalam masa terdekat.

    Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perbincangan itu akan merangkumi beberapa cadangan perubahan dalam aspek komersial dan teknikal. Menurut laporan yang disiarkan oleh Bernama, Azmin turut berkata keputusan tersebut dicapai setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan keputusan mengenai HSR sehingga 31 Dis 2020.

    “Saya telah diminta oleh Jemaah Menteri untuk mengetuai pasukan Malaysia dalam perbincangan dengan Kerajaan Singapura mengenai projek ini,” kata Mohamed Azmin.

    Sebelum ini pada 5 September 2018, kedua-dua kerajaan telah bersetuju untuk menggantung pembinaan projek dua hala itu sehingga 31 Mei 2020 bagi mencari cara terbaik untuk meneruskan projek tersebut. Kerajaan Malaysia telah menyemak semula projek itu dengan MyHSR Corp untuk mengenal pasti pilihan pengurangan kos seperti mengkaji semula dan mengoptimumkan penjajaran, lokasi stesen dan model perniagaan.

    Susulan perkara ini, Kementerian Pengangkutan Singapura turut mengesahkan bahawa kerajaan Malaysia telah memaklumkan kepada republik berkenaan bahawa ia mahu mencadangkan beberapa perubahan kepada projek HSR dan meminta lanjutan tujuh bulan bagi membolehkan kedua-dua pihak membincangkan cadangan Malaysia itu.

    Projek HSR: Malaysia-Singapura bersetuju untuk tangguh lagi keputusan sehingga 31 Disember 2020

    Atas semangat kerjasama dua hala, kementerian itu berkata Singapura bersetuju kepada “lanjutan akhir” penggantungan Projek HSR bagi tempoh tujuh bulan lagi hingga 31 Dis 2020.

    “Kami berharap dapat menerima cadangan rasmi Malaysia mengenai perubahan kepada Projek HSR tidak lama lagi, agar kedua-dua belah pihak boleh memulakan perbincangan dengan segera,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

    Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan turut berkata lanjutan tempoh itu akan menyediakan masa yang mencukupi kepada Malaysia untuk membentangkan cadangannya dan bagi kedua-dua pihak untuk menilai implikasi cadangan perubahan itu.

    “Saya tetap optimis bahawa HSR yang menghubungkan kedua-dua ibu kota itu akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata Khaw yang juga merupakan Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur dalam catatannya di laman Facebook beliau.

    Ditandatangani pada Disember 2016, projek HSR KL-Singapura melibatkan laluan trek berkembar sepanjang 350 km dengan melibatkan lapan hentian – Singapura, Iskandar Puteri, Batu Pahat, Muar, Ayer Keroh, Seremban, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

    Sebanyak 10 gerabak dijangka akan digunakan bagi setiap keretapi, dengan kapasiti 100 orang dalam setiap satunya. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 300 km/j, dengan tempoh perjalanan dari KL ke Singapuran hanya memakan masa 90 minit.

     
     
  • Proton lantik Roslan Abdullah sebagai Naib Presiden jualan dan pemasaran merangkap CEO Proton Edar

    Proton lantik Roslan Abdullah sebagai Naib Presiden jualan dan pemasaran merangkap CEO Proton Edar

    Mulai 1 Jun 2020, Proton telah melantik Roslan Abdullah sebagai Naib Presiden, jualan dan pemasaran baharu syarikat tersebut. Pada masa yang sama, beliau turut dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Edar Sdn Bhd (PESB), anak syarikat milik penuh Proton yang menguruskan pengedaran kereta-kereta Proton dan menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan kepada pelanggan.

    Menurut Proton, Roslan yang telah hampir tiga dekad berkecimpung di dalam sektor automotif, turut mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas berkaitan landskap automotif di Malaysia. Jawatan yang pernah dipegang oleh beliau termasuklah di bahagian kewangan, operasi dan jualan.

    Sebelum menyertai Proton, pemegang Ijazah Kewangan & Perakaunan dari University of Brighton, United Kingdom ini memantau operasi di DRB-HICOM Defense Technologies Sdn Bhd (DEFTECH). Malah sebelum itu, Roslan juga pernah memegang jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Honda Malaysia serta Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Modenas.

    “Syarikat amat mengalu-alukan kehadiran beliau untuk menjadi sebahagian daripada Proton dan kami mengharapkan agar beliau dapat membantu meningkatkan prestasi Proton pada waktu yang mencabar ini,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

    Dr Li turut berpendapat, pelantikan Roslan dilihat dapat mengukuhkan lagi kedudukan Proton bagi mencapai matlamat dan objektif jangka panjang syarikat pengeluar kereta nasional pertama negara.

     
     
  • Mercedes-AMG A45S 4Matic+ W177 kini di Malaysia – enjin 2.0 liter baru, 421 PS/500 Nm, dari RM459,888

    Mercedes-AMG A45S 4Matic+ W177 kini di Malaysia – enjin 2.0 liter baru, 421 PS/500 Nm, dari RM459,888

    Ada tiga model kompak prestasi Mercedes-Benz yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia hari ini; Mercedes-AMG A 35 4Matic, CLA 45 S 4Matic+ dan yang akan kita teliti di sini, A 45 S 4Matic+. Dari segi spesifikasi, kedua-dua model A 45 berkenaan berkongsi senarai yang hampir sama – dan jauh lebih menarik berbanding versi sebelumnya.

    Paling utama, “jantung” yang digunakan; unit M139 yang baru dibangunkan, menjadi antara enjin empat-silinder turbocas paling berkuasa pernah dihasilkan dengan janaan 421 PS – ini mecatatkan peningkatan sebanyak 40 PS. Jumlah tork juga diberi pertambahan; daripada 475 Nm kepada 500 Nm bagi model terbaru ini. Enjin berkenaan digandingkan pula dengan sistem transmisi AMG Speedshift DCT-8G klac berkembar baru dengan lapan-kelajuan.

    Ini memberikan angka prestasi mengujakan bagi model 45 berkenaan, antaranya pecutan 0-100 km/j bagi A 45 S 4Matic+ ialah dalam masa hanya 3.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum 270 km/h. Unit enjin baru ini dikilang menggunakan prinsip atau mendekatan “One Man, One Engine” di Affalterbach.

    Mercedes-AMG A45S 4Matic+ W177 kini di Malaysia – enjin 2.0 liter baru, 421 PS/500 Nm, dari RM459,888

    Antara pembaharuan yang dilakukan terhadap unit enjin M139 ini ialah posisi mounting yang terbalik yang membolehkan manifold ekzos dan pengecas turbo kini boleh ditempatkan lebih ke belakang, sementara sistem intake pula di depan. Ini memberikan beberapa kelebihan, terutamanya dari segi aerodinamik. Geseran antara ombah dan silinder juga diperkurang dengan penggunaan coating teknologi NANOSLIDE yang dipatenkan – penggunaan yang sama dapat dilihat pada enjin jentera Formula 1 Mercedes AMG Petronas Motorsport.

    Aspek pemanduan dinamik pada model ini juga disumbangkan oleh sistem pacuan semua roda boleh ubah yang dikenali dengan nama AMG Torque Control pada bahagian differential baru di gandar belakang. Ia memiliki dua klac multi-cakera yang dikawal secara elektronik, yang disambungkan kepada kedua-dua sisi drive shaft gandar belakang. Ini membolehkan kuasa tidak hanya boleh dikawal antara roda depan dan belakang, tetapi juga secara terpilih antara roda kiri dan kanan di belakang secara berasingan.

    Kesannya, pemanduan akan menjadi lebih stabil dengan cengkamanan optimum, terutama dalam keadaan selekoh tajam dan keadaan permukaan mencabar. Hal ini juga membolehkan mod pemanduan Drift (standard pasa semua model S, dan termasuk dalam pakej pilihan AMG Dynamic Plus) memberikan lebih keseronokan kepada yang mahukannya.

    Mercedes-AMG A45S 4Matic+ W177 kini di Malaysia – enjin 2.0 liter baru, 421 PS/500 Nm, dari RM459,888

    Untuk pasaran Malaysia, A 35 4Matic dan A 45 S 4Matic+ di datangkan dengan pakej terhad Edition 1. Ini memberikan penampilan yang lebih agresif bagi A 45 S 4Matic+; apron depan yang khusus, gril AMG dengan perincian perak serta bonet dengan rekaan “kubah” khas, rim aloi 19-inci AMG lima-jejari dalam hitam kesat dan kaliper brek merah serta ekzos berkembar yang membezakannya daripada A 35 4Matic. A 45 ditawarkan dalam dua warna — designo mountain grey magno dengan perincian kuning matahari dan satu lagi, sebaliknya.

    Selain itu, model ini juga lengkap dengan ciri AMG Track Pace. Ia merupakan sebahagian daripada perisian sistem infotainmen MBUX (dengan paparan khusus AMG). Ketika di dalam litar, ia akan memerhatikan 80 data spesifik kenderaan, yang boleh digunakan oleh pemandu untuk melakukan analisa prestasi pemanduan.

    Model ini juga datang dengan aplikasi Mercedes me connect untuk mudahkan lagi pengalaman pemilik. Antaranya ia lengkap dengan ciri seperti servis penghidup enjin kawalan jauh hinggalah kepada pengesanan lokasi kenderaan, serta data-data jarak perjalanan, tahap penggunaan minyak, tekanan tayar dan lain-lain.

    Mercedes-AMG A 45 S 4Matic+ untuk pasaran Malaysia dijual pada harga RM459,888. Pelanggan boleh juga memanfaatkan pakej pembiayaan The Agility dan AMGPro yang disediakan oleh Mercedes-Benz sendiri.

    Mercedes-AMG A 45 S 4Matic+

     
     
  • Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ C118 kini di Malaysia – RM448,888, ada Drift Mode, berkuasa 421 PS/500 Nm

    Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ C118 kini di Malaysia – RM448,888, ada Drift Mode, berkuasa 421 PS/500 Nm

    Selain dari hot-hatch A45 generasi baharu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini turut melancarkan sekali kembarnya dengan but belakang dan bumbung lebih rendah, Mercedes-AMG CLA45 4Matic+. Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM448,888, atau sekitar RM40,000 lebih mahal dari model generasi sebelum ini. Walau bagaimanapun tidak seperti A45 S, MBM tidak menawarkan CLA45 S ini dalam versi Edition 1.

    Seperti model generasi sebelumnya, selain dari bentuk badan, spesifikasi mekanikal untuk versi CLA45 ini adalah di bawa terus dari A45. Ketika diperkenalkan buat pertama kali di Goodwood Festival of Speed tahun lalu, siri 45 generasi baharu ini hadir dengan dua versi iaitu model standard dan juga versi paling berkuasa diberikan lencana ‘S’

    Untuk pasaran Malaysia, MBM hanya menawarkan model tertinggi Mercedes-AMG CLS45 S 4Matic+. Kedua-dua model tersebut sebenarnya masih dijana oleh enjin baharu yang sama iaitu enjin empat silinder 2.0 liter turbo M139, namun versi S ini menerima talaan yang membolehkan ia menjana 421 PS dan tork maksima 500 Nm. Untuk model standard pula, kuasa yang dihasilkan hanya sedikit tinggi dari model generasi sebelumnya iaitu 387 hp/480 Nm.

    Untuk menghasilkan enjin produksi 2.0 liter paling berkuasa dalam pasaran buat masa sekarang dan boleh ‘dibelasah’ setiap hari tersebut, pelbagai rombakan besar dilakukan oleh Mercedes-AMG berbanding enjin M133 sebelumnya. Pertama sekali, kedudukan enjin baharu ini telah diterbalikkan 180 darjah, bermaksud manifold kemasukan kini berada di hadapan, manakala pengecas turbo pula berada di belakang berhampiran firewall.

    Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ C118 kini di Malaysia – RM448,888, ada Drift Mode, berkuasa 421 PS/500 Nm

    Rekaan ini membolehkan udara yang disedut lebih cepat sampai ke manifold kemasukan, manakala gas ekzos juga lebih untuk mengalir kebelakang. Ia juga membolehkan bonet direka lebih rendah dan memberikan kesan aerodinamik lebih baik pada bahagian hadapan.

    Enjin M139 ini turut menerima pengecas turbo twin scroll baharu yang kini menggunakan galas bebola (roller bearing) pada syaf turbin bagi mengurangkan kadar geseran. Menurut Mercedes-AMG, pengecas turbo tersebut kini lebih responsif, dan putaran setinggi 169,000 rpm boleh dicapai dalam masa lebih singkat.

    Selain menggunakan minyak pelincir dan air, pengecas turbo tersebut turut disejukkan oleh oleh udara segar menerusi paip saluran yang dibina khas untuknya, menerima suapan udara terus dari gril. Boost maksima yang diterima dari turbin berkenaan pula dikawal oleh wastegate elektronik yang dapat berfungsi dengan lebih tepat berdasarkan bacaan tekanan caj udara, posisi injap pendikit dan kemungkinan untuk berlakunya knocking. Boost maksima standard yang ditetapkan adalah pada tahap 2.1 bar (1.9 bar untuk versi standard)!

    Jurutera Mercedes-AMG juga telah merubah semula sudut penyuntik bahan api dan palam pencucuh pada kebuk pembakaran. Kepala silinder tersebut juga kini dilengkapi dengan injap ekzos yang lebih besar, bagi membolehkan gas ekzos keluar dengan lebih efisien. sekaligus menghasilkan respon lebih baik.

    Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ C118 kini di Malaysia – RM448,888, ada Drift Mode, berkuasa 421 PS/500 Nm

    Selain itu, enjin ini dibina dengan rekaan blok close deck, silinder omboh yang disalut bahan nanoslide dan juga takung minyak pelincir yang dibuat dari bahan aluminium sepenuhnya. Bagi membolehkan ia sentiasa berada pada suhu operasi yang optimum, pam air elektrik dibekalkan pada sistem penyejukkan, bersama tambahan unit radiator kedua yang diletak di belakang ruang roda hadapan untuk membantu radiator utama di bahagian hadapan.

    Enjin ini ditala bagi membolehkan tork maksima dicapai pada 5,000-5,250 rpm (4,750-5,000 untuk versi standard), membolehkan responnya dirasakan seperti sebuah enjin tanpa turbo berkapasiti besar. Tahap redline enjin juga kini lebih tinggi, ditetapkan pada 7,200 rpm. Seperti biasa, setiap satu enjin AMG yang dihasilkan di Affalterbach ini dipasang hanya oleh seorang pakar dengan prinsip “satu enjin, satu orang”.

    Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift 8G, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic+. Ini membolehkan CLA45 S memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 270 km/j.

    Dengan kuasa yang lebih besar serta sistem pacuan semua roda 4Matic+ yang lebih dinamik, CLA45 generasi baharu ini hadir dengan ‘Drift Mode’ membolehkan ia menggelangsar seakan kereta rali. Mod berkenaan dapat dihasilkan menerusi teknologi yang digelar AMG Torque Control. Menerusi teknologi ini, CLA45 dibekalkan dengan gandar belakang baharu yang dilengkapi klac pelbagai cakera.

    Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ C118 kini di Malaysia – RM448,888, ada Drift Mode, berkuasa 421 PS/500 Nm

    Dengan gandar baharu tersebut, tork dari enjin kini bukan sahaja dapat dibahagikan dengan tepat berdasarkan situasi antara gandar hadapan dan belakang, malah ia turut boleh dibahagikan secara berasingan kepada roda kiri dan kanan pada bahagian belakang.

    Jadi karekter pembahagian tork akan berubah mengikut talaan mod pemanduan yang dipilih oleh pemandu. ‘Drift Mode’ tersebut diletakkan pada talaan ‘RACE’ (ESP dimatikan, dan transmisi hanya beroperasi secara manual), dan sekiranya diaktifkan, pemandu dapat melakukan aksi powerslide dengan mudah dengan kawalan dibantu oleh komputer.

    Seperti biasa, walaupun diasaskan dari kerangka yang sama, CLA45 AMG tampil dengan rupa yang jauh lebih liar dari CLA biasa. Bahagian muka, seperti model-model tertinggi AMG lain, ia menerima gril Panamericana diapit oleh lampu hadapan Multibeam LED. Bampar hadapan juga hadir dengan liang kemasukan udara yang besar bersama apron yang kelihatan seperti sayap jet.

    Dengan trek roda yang lebih lebar, fender hadapan CLA 45 ini juga direka lebih gemuk dari CLA standard. Di belakang, bamparnya diberikan elemen diffuser dengan perumah untuk menempatkan sepasang tip ekzos bulat bersaiz besar. Lencana ‘S’ turut diberikan pada bahagian belakang bagi memberikan amaran ia adalah dari versi paling ganas, serta hadir dengan rim berdiameter 19-inci.

    Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ C118 kini di Malaysia – RM448,888, ada Drift Mode, berkuasa 421 PS/500 Nm

    Pada bahagian dalaman, rekaan asas kabin A-Class masih jelas kelihatan, dengan skrin sistem infotaimen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) sebagai bintang utama. Seperti biasa, model AMG sebenar ini akan diberikan sentuhan perlumbaan dengan tempat duduk Sport bersama upholsteri kulit buatan Artico hitam dan gentian mikro Dinamica.

    Kabin CLA 45 yang muncul ketika dilancarkan ini menerima serlahan-serlahan merah pada bahagian tertentu seperti tali pinggang keledar, dan liang penghawa dingin. Ia turut dipadankan dengan roda stereng AMG Performance, bersama paparan instrumen AMG di belakangnya, yang hadir dengan tema Classis, Sport dan Supersport.

    Paparan istimewa tersebut juga boleh memaparkan informasi-informasi lebih istimewa seperti jumlah G-Force ketika mengambil selekoh dan jam randik. Manakala sistem MBUX pada hot-hatch ini hadir dengan fungsi tambahan AMG Track Pace, iaitu sistem yang mampu untuk merekod lebih dari 80 data spesifik ketika kereta tersebut dipandu di litar, termasuk rekod masa lap dan juga masa sektor dalam warna merah atau hijau.

    Sekali lagi disebutkan, Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM 448,888. Selain boleh membelinya dengan kaedah pembiayaan biasa, MBM turut menawarkan skim pembiayiaan dengan bayaran bulanan lebih rendah iaitu Mercedes-Benz Agility Financing dan AMGPro Financing (yang diberikan tambahan Star Protect Plus).

    Menurut MBM, skim ini turut menjamin nilai kereta anda pada masa hadapan dan turut akan menerima faedah lain seperti turut disertakan dengan premium insuran kenderaan komprehensif, khidmat tundaan tanpa had perbatuan, penukaran tayar dan rim dan lain-lain perlindungan menyeluruh.

    Untuk itu, Mercedes-AMG CLA 45 S ini boleh anda miliki dengan bayaran bulanan serendah RM5,355 menerusi pakej Agility Financing dan RM5,588 sebulan dengan pakej AMGPro Financing – kedua-duanya tertakluk pada terma dan syarat.

    GALERI: Imej rasmi Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ C118 pasaran Malaysia

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia lancarkan beberapa model kompak – tonton sendiri siaran langsungnya di sini

    Dalam tempoh kawalan pergerakan yang masih dilaksanakan sekarang ini, satu lagi jenama pengeluar kenderaan di Malaysia, iaitu Mercedes-Benz Malaysia telah mengambil pendekatan untuk melakukan pelancaran model baru secara atas talian.

    Model yang akan diperkenalkan bukat setakat satu, tapi beberapa, dan kesemuanya adalah daripada siri kompak pengeluar tersebut. Walaupun tidak dinyatakan secara terus apakah modelnya, kami menjangka ia adalah A 45 S, CLA 45 S dan A 35 hatchback.

    Anda juga boleh menonton secara langsung pelancaran model kompak berprestasi ini melalui pautan yang disediakan dan selain melihat rupanya, perincian teknikal penting untuk setiap model juga akan dibentangkan seperti kebiasaan.

     
     
  • BMW Malaysia kini berikan jaminan lapan tahun atau 160,000 km untuk bateri model plug-in hybrid

    BMW Malaysia kini berikan jaminan lapan tahun atau 160,000 km untuk bateri model plug-in hybrid

    BMW Malaysia telah mengumumkan bahawa model plug-in hybrid (PHEV) mereka kini datang dengan jaminan lebih lama, iaitu lapan tahun atau 160,000 km, berbanding enam tahun atau 100,000 km sebelum ini. Jaminan ini adalah berbeza dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan yang diberi untuk keseluruhan kenderaan.

    Melalui program jaminan 6+2 tahun ini, antara model yang mendapat manfaatnya adalah 530e G30 – yang ditawarkan dalam varian Sport dan M Sport, serta 740 Le LCI G12. Ia ditawarkan dari 1 Jun hingga 31 Disember 2020, dan boleh dipindah kepada pemilik baru kenderaan sama selagi pakej jaminan itu masih sah.

    BMW Malaysia kini berikan jaminan lapan tahun atau 160,000 km untuk bateri model plug-in hybrid

    Bagi pemilik PHEV BMW sedia ada pula, jaminan tambahan dua tahun dan 60,000 km boleh dibeli pada harga RM2,200 untuk model 330e M Sport F30, X5 xDrive40e F15 dan 530e Sport/M Sport G30. Bagi model 740Le xDrive pula, jaminan tambahan ini dijual pada harga RM7,600.

    Menurut perincian jaminan tambahan ini, antara syarat biasa yang ditetapkan adalah termasuk penyelenggaraan penuh di pusat servis rasmi BMW mengikut spesifikasi pengeluar. Di dalamnya juga tertulis, “Ia tidak patut dianggap sebagai polisi jaminan penggantian pencegahan. Hanya modul yang telah disahkan rosak sahaja akan ditukar setelah diuji menggunakan protokol diagnostik BMW, penemuan teknikal atau lain-lain.

     
     
  • Polis KL tahan 979 pemandu mabuk sepanjang tahun lalu, 455 individu pula bagi tempoh Jan-Mei 2020

    Polis KL tahan  979 pemandu mabuk sepanjang tahun lalu, 455 individu pula bagi tempoh Jan-Mei 2020

    Kemalangan maut yang disebabkan oleh pemandu di bawah pengaruh alkohol umpama ‘barah’ dalam masyarakat. Biar pun bilangan kes yang menyebabkan orang lain yang tidak bersalah maut di jalan raya gara-gara sikap dungu individu mabuk alkohol ini amat mendukacitakan, namun masih ramai golongan yang mementingkan diri sendiri tidak peduli dengan senario ini.

    Biar pun banyak pihak yang menghentam perbuatan keji pemandu mabuk ini, namun masih ada juga segelintir masyarakat yang memberikan cadangan tidak boleh diterima dek kewarasan akal termasuklah ‘jangan jual kenderaan kalau tidak mahu perkara ini terus berlaku’.

    Terbaru, Seorang lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu lelaki disyaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, awal pagi tadi. Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Mohamed Zaili Mohamed berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

    Semalam, menerusi operasi (op) mabuk di sekitar ibu kota, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim turut memaklumkan seramai 979 individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan sepanjang tahun 2019.

    Polis KL tahan  979 pemandu mabuk sepanjang tahun lalu, 455 individu pula bagi tempoh Jan-Mei 2020

    Tanpa memperincikan maklumat pecahan statistik kes itu, beliau berkata ada antaranya dituduh di mahkamah dan ada sehingga kini masih dalam siasatan.

    “Kebiasaannya trend pemandu mabuk di ibu negara berlaku selepas tengah malam,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Menurut Mazlan, dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, seramai 455 orang ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

    Sementara itu, mengenai operasi yang bermula pada pukul 11 malam sehingga 1 pagi itu, Mazlan berkata lapan individu termasuk dua bukan warganegara ditahan di tiga lokasi iaitu di Solaris, Jalan Raja Chulan dan Jalan Klang Lama, di sini kerana berada di bawah pengaruh alkohol.

    “Saya ingin menasihatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang dan berharap operasi dijalankan ini dapat mengurangkan jumlah mereka yang membawa kenderaan di bawah pengaruh alkohol bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

    Polis KL tahan  979 pemandu mabuk sepanjang tahun lalu, 455 individu pula bagi tempoh Jan-Mei 2020

    Kelmarin, menerusi entri di laman Facebook rasminya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

    Beliau turut memaklumkan pindaan akta ini akan dimuktamadkan pertengahan Jun depan sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibentangkan pada persidangan akan datang.

    Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

    Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

     
     
  • PKPB: Suami isteri ‘PJJ’ kini kembali dibenarkan rentas negeri seminggu sekali – Ismail Sabri

    PKPB: Suami isteri ‘PJJ’ kini kembali dibenarkan rentas negeri seminggu sekali – Ismail Sabri

    Pada 14 Mei lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan telah membenarkan pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atau berlainan negeri, atau ‘pasangan jarak jauh’ (PJJ), untuk melakukan perjalanan merentas negeri bagi berjumpa dengan pasangan masing-masing.

    Walau bagaimana pun, pada 21 Mei 2020, kebenaran tersebut ditarik balik buat sementara waktu bagi mengelakkan penyebaran COVID-19 menjelang sambutan Aidilfitri.

    Namun demikian, larangan tersebut hanya berlangsung selama seminggu sahaja, dan mulai hari ini, 1 Jun 2020, kerajaan kembali membenarkan individu berkenaan melakukan perjalanan rentas negeri.

    Dalam sidang harian media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam, Ismail berkata, keistimewaan itu hanya diberikan kepada pasangan PJJ kerana bekerja di dua negeri berbeza.

    PKPB: Suami isteri ‘PJJ’ kini kembali dibenarkan rentas negeri seminggu sekali – Ismail Sabri

    “Perjalanan rentas negeri itu terhad, untuk seminggu sekali sahaja dan individu ‘istimewa’ terbabit perlu mengemukakan permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan kebenaran perjalanan merentas negeri,” katanya.

    Mengenai individu yang masih bujang yang telah lama tidak dapat berjumpa dengan ibu bapa di kampung masing-masing susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, Ismail memgharapkan individu berkenaan bersabar.

    “Bagi mereka yang masih bujang, sabarlah kerana giliran anda pasti tiba nanti. Jadi terus patuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

    “Untuk yang perlu melakukan pergerakan rentas negeri atas urusan kerja dan kes kecemasan seperti kematian atau perubatan, tiada masalah untuk perjalanan merentas negeri asalkan ada surat kebenaran dikeluarkan oleh pihak polis,” jelasnya lagi.

     
     
  • Institut memandu kembali beroperasi hari ini – JPJ

    Institut memandu kembali beroperasi hari ini – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan sektor Latihan dan Pengujian Pemandu kembali beroperasi mulai hari ini, 1 Jun 2020. Ini bermakna Institut Memandu dan proses melesenkan pemandu oleh JPJ kembali dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan waktu operasinya dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, JPJ memaklumkan, perkhidmatan yang dibenarkan adalah merangkumi perkhidmatan latihan pemanduan kurikulum pendidikan pemandu, perkhidmatan praujian pemanduan, perkhidmatan ujian teori dan praktikal (litar dan jalan raya) serta perkhidmatan ujian undang-undang berkomputer di pusat ujian yang diiktiraf JPJ.

    Walau bagaimana pun, dalam masa yang sama, JPJ juga menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) selaras dengan ketetapan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti pemeriksaan suhu badan, proses nyahkuman di luar dan dalam kenderaan pada setiap masa, sebelum dan selepas digunakan serta memastikan kapasiti dan aturan tempat duduk terkawal.

    Malahan orang ramai diingatkan agar mematuhi segala arahan yang dikeluarkan dan mengamalkan norma baharu seperti penjarakan sosial, menjaga kebersihan dan memakai penutup hidung dan mulut.

    Semalam, dalam sidang media harian, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berkata, kerajaan sebelum ini menerima rayuan daripada institut memandu dan latihan untuk memulakan operasi dalam tempoh PKPB.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026