Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BMW X2 xDrive25e plug-in hybrid F39 – e-jarak 57 km

    BMW X2 xDrive25e plug-in hybrid F39 – e-jarak 57 km

    BMW telah mengumumkan model X2 xDrive25e plug-in hybrid F39 – yang didedahkan pada Januari lalu bersama varian X1 xDrive25e F48 – akan berada di pasaran pada Julai ini.

    Versi PHEV ini diperkenalkan dengan rekaan yang akan ditampilkan pada semua varian X2 bermula Julai ini. Ini termasuklah bahagian hadapan baharu bersama penggayaan permukaan terkini. Elemen yang lebih segar termasuklah bampar yang direka semula tanpa kehadiran lampu kabus, digantikan dengan lampu cuaca buruk untuk membantu menambahkan jarak pandangan dalam keadaan cuaca buruk – disambungkan ke lampu utama LED standard.

    Untuk hujung hadapannya juga ditampilkan dengan elemen rekaan hitam berkilat, termasuk di sekeliling corong pengambilan udara bawah. Varian hibrid ini akan didatangkan dengan ciri Advantage, Advantage Plus, M Sport dan M Sport X, serta diperkenalkan dengan warna luaran baharu iaitu Phytonic Blue.

    BMW X2 xDrive25e plug-in hybrid F39 – e-jarak 57 km

    X2 hibrid ini dikuasakan oleh enjin B38 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol yang mampu menghasilkan output hingga 125 PS pada 5,000 ke 5,500 rpm dan tork 220 Nm dari 1,500 hingga 3,800 rpm, dengan padanan transmisi automatik Steptronic enam-kelajuan yang memacukan kuasa ke roda hadapan.

    Penjana kuasa tersebut turut digandingkan dengan motor elektrik eDrive yang mampu menghasilkan output sehingga 95 PS dan tork 165 Nm pada 100 hingga 3,900 Nm, dan menyalurkan pacuan ke roda belakang menerusi transmisi kelajuan-tunggal. Sistem ini menawarkan gabungan output sehingga 220 PS dan tork 385 Nm, dengan angka prestasi termasuk pecutan 0-100 km/j dalam 6.8 saat dan kelajuan maksimum sehingga 195 km/j. xDrive25e ini berkeupayaan dipacu sehingga 135 km/j jika menggunakan pacuan elektrik semata-mata.

    Bateri lithium-ion 295 voltan, dengan kandungan tenaga kasar sehingga 10 kWh, mampu memberikan X2 hibrid ini pacuan sehingga 57 km (mengikut kitaran NEDC, dan sehingga 53 km pada WLTP) dengan pacuan pemanduan elektrik tulen.

    Bagi masa pengecasan, ia memiliki pengecas onboard 3.7 kWh yang membolehkan unit bateri dicas penuh dalam tempoh lima jam (atau hingga 80% bagi 3.8 jam) apabila disambung ke soket konvensional rumah. Jika menggunakan BMW i Wallbox, pengecasan penuh bagi 3.7kW (16A/230V) mengambil masa sekitar 3.2 jam (atau kapasiti 80% dalam 2.4 jam).

    Bateri lithium-ion diletakkan di bawah tempat duduk belakang, ini bermakna varian hibrid ini kehilangan sedikit ruang but, iaitu kurang 60 liter berbanding model biasa X2 (470 liter). Walau bagaimana pun, BMW memberitahu bahagian yang digunakan masih kekal sama. Dengan tempat duduk belakang yang boleh dibaringkan dalam nisbah 40:20:40, kapasiti ruang penyimpanan barangan boleh dipertingkatkan dari 410 liter ke 1,290 liter.

    Elemen standard untuk xDrive25e, di mana ia 10 mm lebih rendah berbanding varian petrol biasa, turut didatangkan dengan amaran pelindungan pejalan kaki akustik, kawalan suhu automatik dua-zon dengan pengaktifan kawalan pra-penyaman dari telefon pintar menerusi BMW Connected, dan juga roda aloi lima-jejari berkembar 17-inci dan tayar siri 225/55.

     
     
  • Mini Countryman F60 facelift 2020 didedahkan – enjin lebih mesra alam, terima pelbagai ciri standard baharu

    Mini Countryman F60 facelift 2020 didedahkan – enjin lebih mesra alam, terima pelbagai ciri standard baharu

    Selepas diperkenalkan buat pertama kali pada 2017, Mini Countryman F60 kini sudahpun masuk ke fasa facelift. Tingkat taraf kali ini adalah seiring dengan pengenalan model-model facelift Mini yang lain iaitu model standard dalam versi tiga- dan lima-pintu pada 2018, serta model Clubman pada tahun lalu.

    Dengan bentuk lebih menyerupai crossover, Countryman kini adalah model antara yang paling penting dalam barisan keluarga Mini, dengan jumlah jualan hampir 30% dari keseluruhan jualan Mini di seluruh dunia. Untuk model F60 LCI ini, ia diberikan sentuhan semula pada rekaan, kelengkapan, pilihan kemasan dan aksesori, dan juga enjin baharu yang lebih bersih.

    Pada bahagian muka, gril heksagon model baharu ini telah direka semula walaupun nampak seakan sama. Susun atur kemasan pada bampar juga di rombak, dan perubahan paling nyata pada versi ini adalah liang udara menegak yang diberikan pada setiap sisi.

    Lampu hadapan jenis LED dengan fungsi membelok kini adalah ciri standard untuk semua versi Countryman, dan ia turut menampilkan lampu nyalaan siang LED bersama lampu isyarat membelok. Lampu kabus LED juga tampil sebagai ciri standard, datang bersama lampu parkir.

    Mini Countryman F60 facelift 2020 didedahkan – enjin lebih mesra alam, terima pelbagai ciri standard baharu

    Mereka yang mahukan sistem lampu adaptif boleh memilih ciri berkenaan yang hadir dengan fungsi pembahagian cahaya bervariasi dan fungsi matriks untuk lampu tinggi dengan tahap yang boleh dilaras. Manakala pada bahagian belakang, bampar turut direka semula bersama lampu LED dengan grafik bendera Union Jack.

    Model kemaskini ini juga menawarkan kombo warna dan kemasan baharu. Ia termasuk warna badan White Silver Metallic dan Sage Green Metallic yang boleh dikontraskan dengan warna hitam, putih atau perak pada bumbung dan penutup cermin sisi, bergantung pada varian model.

    Mini turut menawarkan opsyen penggayaan Piano Black untuk bahagian luar untuk semua varian Countryman. Pakej berkenaan akan menggantikan kemasan krom pada sekeliling lampu hadapan, lampu belakang, gril, pembuka pintu, dan nama model di belakang dengan warna hitam berkilat.

    Anda juga turut boleh memilih logo Mini, ‘Cooper S’ dan ‘ALL4’ dengan kemasan warna serupa menerusi pilihan dalam katalog aksesori. Manakala untuk rim, pelbagai rekaan boleh dipilih dengan saiz bermula 16- hingga 19-inci, dengan penambahan rekaan baharu Channel Spoke Black untuk rim 17-inci dan juga Turnstile Spoke dua-tona 19-inci.

    Mini Countryman F60 facelift 2020 didedahkan – enjin lebih mesra alam, terima pelbagai ciri standard baharu

    Pilihan padanan kemasan dalaman juga turut ditambah pada versi baharu ini. Pembeli kini boleh memilih opsyen upholsteri baharu Chester Indigo Blue dan Chester Malt Brown, manakala Colour Line pada bahagian bawah panel instrumen dan panel pintu yang sebelum ini hanya ada satu opsyen, kini adalah sebahagian dari skema warna.

    Untuk Cooper S Countryman, Cooper SD Countryman dan Cooper SE Countryman, kemasan Piano Black adalah ciri standard bagi kokpit dan bezel pintu. Ia digabungkan dengan jalur serlahan berwarna British Oak Dark. Manakala kemasan MINI Yours Interior Style Shaded Silver dengan bezel kokpit menyala pula ditawarkan sebagai pilihan.

    Bagi memastikan Countryman ini terus memenuhi piawaian emisi Eropah yang semakin ketat, enjin model tersebut diberikan tingkat taraf yang membolehkan ia beroperasi lebih bersih. Untuk versi petrol, ia kini diberikan particulate filter, manakala untuk enjin diesel ia telah dilengkapkan dengan unit Selective Catalytic Reduction (SCR) yang disuntik cecair AdBlue. Ini membolehkan semua varian Countryman LCI patuh dengan standard emisi Euro 6D yang akan dilaksanakan pada 2021.

    Enjin-enjin petrol tiga silinder pada model One (102 hp) dan Cooper (136 hp) serta enjin empat-silinder pada Cooper S (178 hp), kini direka dengan manifold ekzos yang bersepadu bersama kepala silinder dan pengecas turbo. Ia dibuat bagi mendapatkan suhu yang lebih baik pada gas ekzos dan pengecas turbo berkenaan.

    Dalam masa yang sama, penyejukkan pada takung minyak juga dapat dikurangkan ketika ia tidak diperlukan (semasa beban separa) dengan menggunakan injap penyejuk baharu. Sistem suntikan juga diperkemaskan di mana tekanan pada unit suntikan bahan api tersebut dinaikkan dari 200 bar kepada 300 bar.

    Seperti juga enjin petrol, enjin diesel juga kini diberikan unit stater generator bagi meningkatkan kadar efisiennya. Sistem turbo dua-peringkat yang sebelum ini hanya diberikan pada versi diesel paling berkuasa (Cooper SD 190 hp), kini turut dilengkapkan pada pada Cooper D (150 hp), dengan penyuntik bahan api pada kebuk pembakaran berfungsi dengan tekanan 2,500 bar.

    Sistem pacuan semua roda ALL4 Mini ditawarkan sebagai opsyen untuk semua varian enjin, tetapi ia adalah ciri standard pada model plug-in Hybrid Cooper SE. Ini kerana, Cooper SE Countryman ALL4 diberikan sistem AWD istimewa di mana enjin petrol tiga silinder memacu roda hadapan, manakala motor elektrik pula memacu gandar belakang.

    Ini membolehkan model berkenaan menerima kuasa keseluruhan 220 hp. Kuasa kepada motor elektrik tersebut dibekalkan dari bateri lithium-ion 9.6 kWj, membolehkan kereta ini bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya dalam jarak 55 hingga 61 km.

    Mini Countryman F60 facelift 2020 didedahkan – enjin lebih mesra alam, terima pelbagai ciri standard baharu

    Untuk transmisi pula, Cooper ALL4 dan Cooper D ALL4 kini hadir dengan pilihan kotak lapan kelajuan automatik, sama seperti Cooper S ALL4, Cooper SD dan Cooper SD ALL4. Kotak gear 8AT ini juga adalah ciri opsyen untuk Cooper D.

    Bagi model lain, ia pelanggan boleh memilih sama ada mahu menggunakan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan atau manual enam-kelajuan. Manakala Cooper SE ALL4 pula menerima kotak gear enam-kelajuan automatik. Akhir sekali. versi paling berkuasa untuk model petrol dan diesel boleh dipilih untuk menggunakan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan Steptronic atau lapan-kelajuan automatik Steptronic.

    Mini Countryman facelift ini menampilkan ciri-ciri standard seperti roda stereng balutan kulit dan juga larasan ketinggian pada tempat duduk hadapan. Tempat duduk larasan elektrik pula adalah ciri opsyen, termasuk fungsi memori pada bahagian pemandu. Ia juga dilengkapi dengan panel instrumen digital 5.0-inci bsersama rekan Black Panel di belakang roda stereng.

    Untuk sistem multimedia, Countryman ini diberikan skrin utama 8.8-inci bulat di tengah papan pemuka, dengan sistem Connected Media (termasuk Radio MINI Visual Boost dan paparan instrumen digital) serta pilihan Connected Navigation Plus (ditambah dengan pengecas peranti tanpa wayar dan soket USB kedua).

    Mini Countryman F60 facelift ini juga datang dengan pelbagai aksesori asli yang boleh anda pilih dari katalog. Antaranya adalah rak basikal di belakang, roof box, dan juga karpet kaki untuk kegunaan semua jenis cuaca. Aksesosri John Cooper Works dan lampu projektor LED pintu turut ditawarkan.

    GALERI: Keluarga Mini Cooper Countryman 2020

    GALERI: Mini Cooper Countryman ALL4 2020

    GALERI: Mini Cooper S Countryman ALL4 2020

    GALERI: Mini Cooper SE Countryman ALL4 2020

    GALERI: Aksesori asli Mini Cooper Countryman 2020

     
     
  • Kia Rio facelift 2020 didedah – datang dengan pilihan enjin hibrid ringkas petrol, penampilan yang diubah

    Kia Rio facelift 2020 didedah – datang dengan pilihan enjin hibrid ringkas petrol, penampilan yang diubah

    Kia Rio generasi keempat telah diberikan facelift buat kali pertama, dan ia akan mula dijual di Eropah suku ketiga tahun ini. Selain perubahan gaya dan penambahan kelengkapan, hatchback segmen B ini juga menjadi model Kia pertama yang akan dipacu oleh enjin hibrid ringkas yang dipanggil sebagai EcoDynamics+.

    Pada Rio, pakej EcoDynamics+ ini terdiri daripada enjin petrol tiga silinder turbo 1.0 liter T-GDi CVVD yang digabungkan bersama bateri lithium-ion polymer 48 volt serta unit starter generator hibrid ringkas MHSG yang disambung kepada crankshaft enjin menggunakan tali sawat. Semasa bergerak, MHSG ini akan membantu mengurangkan beban enjin serta emisi manakala waktu mengurangkan kelajuan, unit ini bertindak sebagai generator untuk mengecas semula bateri.

    Menurut Kia, enjin EcoDynamics+ ini dapat mengurangkan emisi CO2 Rio antara 8.1% hingga 10.7% dalam kitaran ujian NEDC. Ia juga menhasilkan kuasa sama seperti enjin Kappa T-GDi sebelum ini – 100 PS atau 120 PS – tetapi mempunyai tork 16% lebih tinggi untuk varian 120 PS, iaitu 200 Nm.

    Kia Rio facelift 2020 didedah – datang dengan pilihan enjin hibrid ringkas petrol, penampilan yang diubah

    Enjin hibrid ringkas ini akan ditawarkan bersama transmisi intelligent Manual Transmission (iMT) baru yang menggunakan sistem “clutch-by-wire”, yang bermakna tiada sambungan mekanikal. Ia turut dihubungkan dengan fungsi start/stop kenderaan, di mana enjin akan dimatikan lebih awal apabila meluncur sebelum berhenti.

    Selain enjin hibrid ringkas ini, Rio juga akan ditawarkan dengan enjin Smartstream 100 PS biasa bersama transmisi yang dipertingkat kepada manual enam kelajuan (sebelum ini lima kelajuan) atau klac berkembar tujuh kelajuan dengan sistem Idle Stop & Go yang diperelok – enjin ditutup apabila brek dan klac ditekan bersama sebelum berhenti.

    Apabila kedua-dua pedal ini dilepaskan, enjin akan hidup semula secara sendiri dan berada dalam gear asal yang telah dipilih. Satu lagi enjin yang ditawarkan untuk Rio adalah unit empat silinder NA 1.2 liter 84 PS dengan dual-port injection.

    Kia Rio facelift 2020 didedah – datang dengan pilihan enjin hibrid ringkas petrol, penampilan yang diubah

    Melihat kepada penampilan, kebanyakan perubahannya berada pada bahagian hadapan, iaitu bampar baru dengan perumbah lampu kabus yang lebih jelas, gril yang telah dikecilkan sedikit serta lampu utama LED yang diberikan standard untuk semua varian. Rekaan rim 16 inci juga adalah baru, berserta pilihan warna Perennial Grey dan Sporty Blue.

    Pada bahagian dalam, perubahan utama adalah skrin sesentuh lapan inci untuk sistem infotainmen yang terletak atas papan pemuka dan boleh dimasukkan dengan sistem telematik UVO Connect “Phase II” yang terbaru. Bergantung kepada varian, sistem ini boleh dilengkapi dengan fungsi navigasi menggunakan satelit serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Panel instrumen resolusi tinggi 4.2 inci juga adalah baru, serta pilihan kemasan bahagian dalam yang berwarna biru. Kia juga memberitahu, sekarang Rio Standard serta GT Line sudah dilengkapi dengan pelarasan tinggi tempat duduk untuk bahagian pemandu manakala untuk bahagian penumpang ia disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Kia Rio facelift 2020 didedah – datang dengan pilihan enjin hibrid ringkas petrol, penampilan yang diubah

    Untuk sistem keselamatan dan bantuan pemandu, pakej Advanced Driving Assistance Systems (ADAS) yang disediakan pada Rio adalah termasuk Forward Collision-Avoidance Assist (FCA) dengan pengesan pejalan kaki, kenderaan serta penunggang basikal, Lane Keeping Assist (LKA), Driver Attention Warning (DAW), dan Blind Collision Warning (BCW).

    Sistem tambahan lain pula adalah termasuk Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Intelligent Speed Limit Warning (ISLW), Smart Cruise Control (SCC), Lane Following Assist (LFA), Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA), Rear Occupant Alert (ROA), dan Leading Vehicle Departure Alert.

    Kelengkapan seperti enam beg udara, cagak Isofix, Vehicle Stability Management (VSM), Electronic Stability Control (ESC), Cornering Brake Control (CBC) dan Straight-line Stability (SLS) diberikan secara standard pada Rio.

     
     
  • PKPB: Selangor catat kesalahan rentas negeri tertinggi, diikuti Kedah dan Melaka – Ismail Sabri

    PKPB: Selangor catat kesalahan rentas negeri tertinggi, diikuti Kedah dan Melaka – Ismail Sabri

    Dalam sidang media harian berkaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebentar tadi, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam, Selangor mencatatkan kesalahan rentas negeri tertinggi dengan melibatkan 284 kes. Ini diikuti oleh Kedah (122 kes) dan Melaka (133 kes).

    Beliau turut menambah, semalam juga, didapati sebanyak 824 kenderaan cuba melakukan pergeraakn rentas negeri di seluruh negara, namun percubaan tersebut berjaya digagalkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas dalam sekatan jalan raya. Malah kesemua pemandu yang terbabit telah diarah berpatah balik, dengan melibatkan 257 kompaun telah dikeluarkan di sekatan jalan raya di sempadan negeri.

    Dalam hal lain, Ismail Sabri turut memaklumkan, pada hari raya ketiga juga, seramai 136 individu telah ditahan oleh PDRM atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP yang telah memasuki hari ke-70. Dalam masa yang sama, sebanyak 25 kompaun juga telah dikeluarkan atas kesalahan aktiviti ziarah Aidilfitri.

    Sebelum ini, kerajaan telah menetapkan aktiviti kunjung-mengunjung Aidilfitri hanya dibenarkan pada 1 Syawal sahaja, dan mana-mana individu yang didapati ingkar dengan melakukan aktiviti berkenaan selepas 1 Syawal, boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 oleh PDRM.

    Bahkan, semalam bukan setakat individu yang terlibat dengan aktiviti menziarah sempena Aidilfitri sahaja ditahan, malah di Melaka, seramai 38 individu ditahan termasuk tiga bayi dan enam kanak-kanak dkerana berhimpun untuk mengambil gambar pemandangan bunga teratai di kawasan kolam tadahan banjir di Taman Semabok Perdana dalam Ops Covid-19 dan Cegah Jenayah Hari Raya Aidilfitri 2020.

    Manakala di Kuala Berang, Terengganu pula, seramai lapan lelaki termasuk lima remaja berusia 15 hingga 16 tahun dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana bermain futsal, malam tadi.

     
     
  • BMW 6 Series Gran Turismo LCI G32 rasmi didedah

    BMW 6 Series Gran Turismo LCI G32 rasmi didedah

    Selepas hampir tiga tahun, BMW akhirnya memberikan facelift (dipanggil sebagai LCI oleh syarikat itu) kepada 6 Series Gran Turismo G32. Ini adalah sebuah model yang lebih besar dan lebih luas berbanding 5 Series G30, dan ia mendapat peningkatan gaya, kelengkapan serta pilihan enjin.

    Pada rekaan luar, gril dibentuk semula dan lebih lebar, lampu mempunyai bentuk baru berserta pencahayaan DRL LED yang sama seperti 5 Series baru, manakala bampar hadapan pula mempunyai bukaan udara tengah yang terbahagi tiga dan bukaan tepi menegak siap dengan Air Curtain.

    Untuk lampu, unit LED penuh diberikan secara standard bersama fungsi membelok adaptif, Selective Beam dan High Beam Assistant dengan teknologi matriks. Jika mahu, pemilik boleh menaik taraf lampu ini kepada unit Adapative LED atau BMW Laserlight.

    BMW 6 Series Gran Turismo LCI G32 rasmi didedah

    Pada bahagian belakang perubahannya tidak begitu jelas dengan rekaan baru adalah pada garis bawah penutup but yang lebih menonjol serta muncung ekzos lebih berpetak. Apabila dipasang dengan pakej M Sport, ia akan menjadi lebih menarik dengan kemasan bampar lebih rendah serta diffuser yang lebih jelas.

    Masuk ke dalam, perubahan paling utama adalah penggunaan sistem Live Cockpit Professional yang datang standard dengan dua skrin 12.3 inci – satu untuk instrumen digital dan satu lagi untuk infotainmen. Ia disambung dengan
    BMW Operationg System 7.0 (atau iDrive 7) dan memberikan pelbagai fungsi sambungan termasuk Intelligent Personal Assistant dan integrasi telefon pintar.

    Selain daripada itu, pelanggan juga boleh memilih pelbagai lagi fungsi yang disediakan sebagai pilihan tambahan termasuk kemasan kulit Sensatec pada papan pemuka, tempat duduk belakang kawalan elektrik, fungsi mengurut pada tempat duduk hadapan, kemasan BMW Individual, kawalan pendingin hawa empat zon, bumbung panoramik, pakej lampu dalaman, sistem bunyi Bowers & Wilkins serta skrin 10.25 inci untuk penumpang belakang.

    BMW 6 Series Gran Turismo LCI G32 rasmi didedah

    Semasa pelancaran, 6 Series GT ini akan datang dengan pilihan dua enjin petrol dan tiga enjin diesel. Semuanya dipasang dengan sistem hibrid ringkas 48 volt dan starter-generator. Sistem ini memberikan tambahan 11 PS (11 hp/8 kW) dan turut bekerja dengan bateri 11 Ah yang terdapat di dalam ruang enjin untuk memberikan operasi sistem start/stop serta coasting yang lebih lancar.

    Bagi enjin petrol, ia terdiri daripada unit empat silinder turbo 2.0 liter berkuasa 254 hp dan 400 Nm untuk 630i dan unit enam silinder turbo 3.0 liter 328 hp dan 450 Nm untuk varian 640i dan 640i xDrive.

    Untuk enjin diesel, pilihannya bermula dengan unit empat silinder turbo 2.0 berkuasa 187 hp dan 400 Nm untuk 620d, diikuti unit enam silinder turbo 3.0 liter 282 hp dan 650 Nm untuk 630d dan 630d xDrive, sementara paling atas adalah enjin enam silinder turbo 3.0 liter yang sama tetapi ditala untuk memberi 335 hp dan 700 Nm bagi varian 640d xDrive.

    BMW 6 Series Gran Turismo LCI G32 rasmi didedah

    Semua enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan secara standard tetapi pelanggan masih boleh menaik taraf kepada unit Steptronic Sport yang mampu memberikan pemanduan lebih sporty, penukaran gear lebih pantas serta fungsi launch control. Varian yang mempunyai xDrive pada namanya bermaksud ia mempunyai pacuan semua roda.

    Pada bahagian casis, suspensi udara yang boleh rata sendiri pada gandar belakang diberikan secara standard dan ia boleh dinaik taraf kepada unit adaptif dengan Active Roll Stabilisation (di bawah Executive Drive). Pembeli juga boleh mendapatkan Integral Active Steering serta pilihan pelbagai rim saiz 19, 20 dan 21 inci.

    Untuk bahagian keselamatan dan sistem bantuan pemandu pula, cruise control dengan fungsi membrek serta Attentiveness Assistant diberikan secara standard manakala pilihan lain pula termasuk Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, yang memberikan Adaptive Cruise Control, Speed Limit Info dan amaran perlanggaran hadapan dengan fungsi membrek.

    BMW 6 Series Gran Turismo LCI G32 rasmi didedah

    Sekiranya memilih pakej Driving Assistant pula, pelanggan akan mendapat Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Speed Limit Assist, Rear Cross Traffic Alert dan Rear Collision Warning.

    Pakej yang lebih tinggi, iaitu Driving Assistant Professional pula menambah Steering and Lane Control Assistant, Lane Keeping Assistant dengan perlindungan perlanggaran tepi aktif, Emergency Stop Assistant, Automatic Speed Limit Assist, Front Cross Traffic Alert, Evasion Assistant, amaran simpang serta amaran salah hala.

    Pelanggan juga boleh menggunakan Parking Assistant dan Parking Assistant Plus untuk meletakkan kenderaan dengan mudah, melalui bantuan paparan 3D keliling kenderaan, Remote Control Parking menggunakan BMW Display Key dan perakam video digital.

     
     
  • McLaren terpaksa berhentikan 1,200 pekerjanya akibat COVID-19 – turut melibatkan pasukan Formula One

    McLaren terpaksa berhentikan 1,200 pekerjanya akibat COVID-19 – turut melibatkan pasukan Formula One

    Ternyata wabak pandemik COVID-19 umpama malapetaka seantero dunia, bukan sahaja mengakibatkan 5,497,725 kes jangkitan dengan jumlah kematian mencecah 346,269 setakat ini, malahan turut menyebabkan kemelesetan ekonomi yang buruk. Begitu banyak perusahaan terpaksa menutup operasi, waima melibatkan syarikat gergasi, malah begitu ramai juga yang hilang pekerjaan.

    Industri automotif juga tidak terkecuali menerima tempias COVID-19. Terkini, pengeluar supercar British, McLaren Group, telah mengumumkan seramai 1,200 kakitangannya akan terlibat dengan program penstrukturan semula atau lebih tepat lagi ditamatkan jawatan, dan ini termasuklah juga pasukan Formula One.

    Menurut laporan Automotive News Europe, langkah ini dijangka akan memberikan kesan terhadap keseluruhan perniagaan melibatkan unit teknologi, automotif dan perlumbaan syarikat berkenaan.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, McLaren Group turut mengesahkan pembatalan acara permotoran, pergantungan pengeluaran dan aktiviti jualan di seluruh dunia banyak memberikan kesan yang menjejaskan perniagaan mereka. Tambahan pula pengurangan permintaan bagi solusi teknologi turut memberikan kesan terhadap aktiviti penjanaan keuntungan, ujar syarikat tersebut.

    McLaren terpaksa berhentikan 1,200 pekerjanya akibat COVID-19 – turut melibatkan pasukan Formula One

    “Keputusan ini ternyata sukar untuk dielak, walau pun kami telah mengambil langkah pemotongan kos untuk kesemua cabang perniagaan kami. Tapi kami masih tidak mempunyai pilihan lain, selain mengurangkan jumlah tenaga kerja,” kata Pengerusi Eksekutif Paul Walsh.

    Perberhentian tenaga ini melibatkan lebih separuh daripada jumlah keseluruhan pekerja iaitu 4,000 orang. Pasukan Formula One sebelum ini mempunyai lebih 800 pekerja, namun dijangka akan mengurangkannya sekitar 70 orang.

    Pada 14 Mei lalu, McLaren dilaporkan mengumpul dana sebanyak $275 juta pound dengan meminjam daripada ibu pejabat Woking dan hasil kutipan jentera perlumbaan bersejarahnya. Buat setakat ini, majoriti pegangan saham bagi syarikat ini adalah milik Mumtalakat dari Bahrain

     
     
  • BMW 5 Series G30 2021 facelift didedahkan – wajah baru, enjin baru serta model 545e xDrive plug-in hybrid

    BMW 5 Series G30 2021 facelift didedahkan – wajah baru, enjin baru serta model 545e xDrive plug-in hybrid

    Untuk model tahun 2021, BMW 5 Series G30 kini ditampilkan dalam facelift Life Cycle Impulse (LCI) terbaru, kekal dengan penampilan keseluruhan yang tidak terlalu berbeza dari sebelumnya. Bahagian gril misalnya, rekaan masih sama walaupun dengan profil bersegi yang lebih ketara yang diapit oleh lampu utama dengan rekaan baru.

    Ciri lampu utama LED adaptif yang sebelum ini ditawarkan sebagai pilihan kini menjadi ciri standard – pembeli boleh juga memilih jenis LED matriks dan juga Laserlight, kedua-duanya hadir dengan lampu nyalaan siang bentuk L. Bampar depan juga diberi pembaharuan; versi standard kini dengan corong udara sudut yang lebih tirus. Sementara bagi versi M Sport pula menerima corong udara yang lebih besar seperti pada model 3 Series.

    Di belakang, lampu LED bentuk L kini dalam lensa 3D dan grafik dalaman bentuk C; lampu utama serta lampu brek juga telah disekalikan. Selain itu, semua model kini menerima corong ekzos trapezoidal – varian standard menampilkan perumah warna kelabu, manakala versi M Sport dengan rekaan bampar yang sedikit berbeza.

    BMW 5 Series G30 2021 facelift didedahkan – wajah baru, enjin baru serta model 545e xDrive plug-in hybrid

    Rekaan rim baru juga diperkenalkan, dalam saiz 18 dan 20-inci. Bagi model M-Sport, brek dalam warna merah boleh dipilih selain daripada warna biru biasa. Terhad ketika pengenalannya, BMW juga menawarkan rim 20-inci M Sport Edition Donington Grey yang terhad kepada 1,000 unit sahaja.

    Tak banyak perubahan yang ditampilkan di ruang dalaman. 5 Series G30 ini masih kekal dengan rekaan papan pemuka yang sama. Hanya beberapa butang kawalan pada stereng diposisikan semula, kawalan pendingin automatik yang dilanjutkan, butang di konsol tengah dalam warna hitam berkilat, tempat duduk rekaan baru serta kemasan dan pilihan upholstery baru, termasuk material kulit tiruan Sensatec.

    Selebihnya, model ini datang dengan iDrive Operating System 7.0 terbaru, dengan kemaskini perisian secara over-the-air dan kawalan suara Intelligent Personal Assistant serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Versi LCI terbaru ini juga menampilkan penggunaan pertama kali bagi ciri BMW Maps, sebuah sistem tunjuk arah dengan teknologi cloud. Paparan digitalnya bersaiz 10.25-inci, sementara Live Cockpit 12.3-inci ditawarkan sebagai pilihan.

    BMW 5 Series G30 2021 facelift didedahkan – wajah baru, enjin baru serta model 545e xDrive plug-in hybrid

    Barisan enjin pula telah dipertingkatkan dengan unit petrol suntikan terus yang lebih optimum dan pengecas turbo bagi semua unit enjin diesel. Unit 2.0 liter empat-silinder menghasilkan 184 PS dan 290 Nm untuk 520i, 252 PS dan 350 Nm dalam 530i dan 190 PS dengan 400 Nm dalam 520d. Sementara bagi unit 3.0 liter enam-silinder sebaris pula menghasilkan 333 PS dan 450 Nm dalam 540i, 286 PS dengan 650 Nm dalam 530d dan 340 PS dengan 700 Nm dalam 540d.

    Bergantung kepada pasaran, semua model ini didatangkan dengan sistem mild-hybrid 48-volt, yang menambah lapan kilowatts (11 PS) bagi lonjakkan pecutan. Hantaran kuasa digalas oleh kotak gear automatik ZF lapan-kelajuan sebagai standard.

    Untuk pengenalan, hanya ada satu varian plug-in hybrid, iaitu 530e, kini menggandingkan enjin 2.0 liter petrol (184 PS/300 Nm) dengan motor elektrik (109 PS/265 Nm) yang lebih berkuasa. Janaan keseluruhan sistem ialah 252 PS dan 420 Nm – tetapi kini turut ada ciri XtraBoost dengan tambahan 40 PS sementara, menjadikan outputnya 292 PS.

    BMW 5 Series G30 2021 facelift didedahkan – wajah baru, enjin baru serta model 545e xDrive plug-in hybrid

    November nanti bakal menyaksikan pertambahan terbaru jenis badan Toturing bagi 530e. Tetapi, yang lebih menarik ialah pada 545e xDrive yang menggunakan unit 3.0 liter enam-silinder sebaris 286 PS, yang memberikan output akhir 394 PS dan 600 Nm. Ciri Integral Active Steering pada gandar belakang kini turut ditawarkan pada model-model plug-in hybrid.

    Ciri keselamatan juga dipertingkat, dengan pertambahan bantuan pengekalan lorong pada pakej Driving Assistant. Driving Assistant Professional yang dipertingkat pula datang dengan ciri pengesanan lintasan trafik bagi sistem brek kecemasan autonomous, Lane Change Assistant berdasarkan tunjuk arah dan ciri yang akan mengalihkan haluan kenderaan secara automatik untuk memberi laluan kepada perkhidmatan kecemasan.

     
     
  • Piaggio berjaya gagalkan cubaan syarikat China daftar rekaan sama seperti Vespa Primavera di Eropah

    Piaggio berjaya gagalkan cubaan syarikat China daftar rekaan sama seperti Vespa Primavera di Eropah

    Sepanjang operasinya selama lebih 70 tahun, Vespa telah berjaya mewujudkan satu identiti kuat yang boleh dilihat pada rekaan motosikalnya. Tengok sahaja model tersebut, anda sudah tahu ia adalah sebuah Vespa. Disebabkan perkara ini juga, banyak syarikat cuba meniru rekaan tersebut untuk motosikal mereka.

    Vespa mengambil penting perkara ini dan dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini syarikat induknya, Piaggio Group giat mengadakan aktiviti membanteras peniruan rekaan ini di seluruh dunia. Dalam masa dua tahun yang lepas sahaja, 50 cubaan pendaftaran rekaan yang sama seperti rekaan Vespa telah berjaya dibatalkan.

    Paling baru adalah terhadap dua syarikat China iaitu Motolux dan Dayi Motor yang cukup berani membawa motosikal mereka yang mempunyai persamaan rekaan dengan Vespa Primavera ke pameran EICMA 2019 dan cuba mendaftar rekaan tersebut dengan European Union Intellectual Property Office (EUIPO).

    Piaggio berjaya gagalkan cubaan syarikat China daftar rekaan sama seperti Vespa Primavera di Eropah

    Walaubagaimanapun, hasil tentangan daripada Piaggio Group, EUIPO telah mengisytiharkan pendaftaran rekaan dua syarikat itu telah dibatalkan atas sebab “tidak berupaya menunjukkan penampilan utama yang berbeza dengan rekaan yang sudah sedia didaftar”.

    EUIPO juga merujuk kepada Vespa Primavera sebagai rekaan berdaftar yang cuba ditiru dan menyatakan pendaftarn oleh dua syarikat China ini adalah satu cubaan menghasilkan semula elemen estetik Vespa dengan menyalahi undang-undang.

     
     
  • Perodua Alza generasi baharu akan guna platform DNGA, dijana oleh sistem hibrid dengan enjin 1.2L?

    Imej bayangan digital Perodua Alza generasi baharu berasaskan model konsep Daihatsu DN Multisix oleh Theophilus Chin

    Tahun lalu, Perodua dikesan sedang membangunkan MPV baharu mereka yang dijangka akan menggantikan Alza yang sudah berada 10-tahun dalam pasaran. Pengeluar dari Rawang berkenaan dilihat menguji prototaip baharu tersebut dengan ‘menyembunyikannya’ dalam badan Toyota Avanza yang kelihatan pelik, diuji bersama Mitsubishi Xpander dan Suzuki Ertiga baharu di kawasan sekitar Genting Highland.

    Khabar yang bertiup dalam industri, Alza generasi baharu yang kini digelar dengan kod nama D27A tersebut akan dihasilkan menggunakan platform yang sama dengan model generasi seterusnya untuk Daihatsu Xenia dan juga Toyota Avanza – tidak hairan mengapa ia diuji dengan menggunakan dua MPV pasaran Indonesia tersebut sebagai tanda aras. Ketiga-tiga MPV ini juga mungkin adalah versi produksi untuk model konsep Daihatsu DN Multisix yang muncul pada tahun 2017 di Jepun dan Indonesia.

    Menerusi laporan majalah automotif popular Jepun, Best Car dan dipetik oleh portal Creative Trend, Daihatsu kini sedang membangunkan versi produksi MPV DN Multisix berkenaan dengan platform terkini mereka iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

    Perodua Alza generasi baharu akan guna platform DNGA, dijana oleh sistem hibrid dengan enjin 1.2L?

    Macam pernah dengar nama platform ini? Ya, ia adalah asas sama kepada SUV Daihatsu Rocky generasi baharu dan Toyota Raize, serta telah disahkan oleh Perodua sebagai SUV segmen-B baharu mereka yang kini dikenali dengan kod D55L yang dijangka akan dilancarkan pada tahun ini.

    Apa yang lagi menarik, platform yang akan disesuaikan untuk MPV tiga-baris, enam-tempat duduk ini turut akan hadir dengan enjin petrol 1.2 liter tiga-silinder yang akan digandingkan bersama motor elektrik untuk sistem hibrid, menurut laporan berkenaan.

    Sekarang, bolehkah kita berharap pasaran Malaysia akan turut hadir dengan unit penjana yang sama? Ia mungkin tidak mustahil. Dalam pembentangan prestasi jualannya pada awal tahun ini, Perodua hampir mengesahkan bahawa SUV D55L akan dijana oleh enjin sama seperti Rocky iaitu enjin 1.0 liter tiga-silinder.

    Perodua Alza generasi baharu akan guna platform DNGA, dijana oleh sistem hibrid dengan enjin 1.2L?

    Ini bermakna Perodua sekarang menerima akses yang lebih luas terhadap teknologi-teknologi terkini dari Daihatsu. Malah ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show 2018, Perodua turut menayangkan mock-up teknologi hibrid yang akan mereka terima dari Daihatsu, kelihatan hampir sama dengan teknologi hibrid Toyota.

    Walau bagaimanapun, tidak mustahil teknologi-teknologi ini hanya akan ditawarkan untuk pasaran Jepun terlebih dahulu, manakala Daihatsu Xenia, Toyota Avanza dan Perodua Alza akan terus dijana oleh enjin 1.5 liter 2NR-VE yang kini sememangnya diproduksi oleh kilang enjin Perodua terletak di Sendayan, Negeri Sembilan.

    Jadi, apa pula pendapat anda? Lebih selesa jika Perodua tawarkan sistem ringkas yang terbukti tahan lama, atau telah bersedia sekiranya jenama automotif tempatan ini menawarkan model-model dengan teknologi lebih tinggi?

    GALERI: Model Konsep Daihatsu DN Multisix di GIIAS 2017

     
     
  • Data jualan kenderaan di M’sia April 2020 ikut jenama

    Data jualan kenderaan di M’sia April 2020 ikut jenama

    Seperti yang dijangka sebelum ini, bulan April 2020 menyaksikan prestasi jualan yang begitu mendukacitakan dalam industri automotif tempatan di mana ia jatuh hampir 100%, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

    Menurut data yang dikongsikan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), hanya 141 unit kereta yang berjaya dijual dan didaftarkan pada April. Ini menyaksikan penyusutan sebanyak 22,337 unit atau 99.37% berbanding 22,478 unit pada Mac, yang juga 44% lebih rendah daripada jualan yang direkodkan pada Februari 2020.

    Walau bagaimana pun, menjadi tanda tanya, bagaimana jumlah yang direkodkan pada April iaitu 131 daripadanya adalah kenderaan penumpang dan 10 unit lagi merupakan kenderaan komersial, sempat didaftar dalam tempoh semua bilik pameran dan juga pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditutup dalam tempoh PKP? Menurut sumber dalam industri, disebabkan kenderaan baharu tidak perlu menjalami pemeriksaan Puspakom, ia hanya perlu didaftarkan sahaja dan boleh dilakukan menerusi dalam talian sepanjang tempoh PKP.

    Sumber terbabit turut memaklumkan, pendaftaran kenderaan baharu yang dibuat itu setelah pinjaman bank telah diluluskan dan Surat Kebenaran/Persetujuan (LoU) dari bank juga telah dikeluarkan, maka pendaftaran boleh dilakukan di mana ia tidak memerlukan keseluruhan proses dilakukan sekali lagi kerana perjanjian yang termaktub tidak terluput.

    Data jualan kenderaan di M’sia April 2020 ikut jenama

    Namun, kenderaan yang didaftarkan itu tidak memiliki dokumen fizikal atau cukai jalan, jadi, pemilik tetap tidak boleh menggunakan kenderaan terbabit.

    Bagi data jualan April 2020, Perodua masih mendahului carta dengan terjual sebanyak 57 unit, menyaksikan penyusutan teruk berbanding 8,601 unit pada bulan sebelumnya. Manakala Honda pula hanya berjaya menjual sebanyak 27 unit.

    Diikuti dengan Proton (22 unit) dan Toyota (13 unit), Nissan pula di tempat kelima dengan terjual lapan unit sahaja, sementara Mitsubishi pula terjual enam unit.

    Jenama Eropah yang sering mencatatkan prestasi jualan terbaik, Volkswagen, berjaya menjual sebanyak lima unit, manakala Peugeot dan Volvo masing-masing satu unit sahaja. Bagi jenama terkemuka Korea Selatan, Hyundai, pula hanya terjual satu unit. Memandangkan bilik pameran dan pejabat JPJ telah kembali beroperasi, maka bulan Mei dilihat mampu memberikan semula ‘nafas’ kepada industri automotif dan diharap dapat membantu menaikkan semula prestasi jualan yang lesu sepanjang bulan lalu.

    Data jualan kenderaan di M’sia April 2020 ikut jenama

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan April 2020 jatuh hampir 100%

    MAA: Jualan kenderaan April 2020 jatuh hampir 100%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) di dalam laporan jualan kenderaan bagi bulan April 2020 memaklumkan bahawa angka yang dicatatkan memperlihatkan penurunan hampir 100%. Ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, yang turut menyaksikan aktiviti di bilik pameran kenderaan juga terpaksa diberhentikan.

    Bagaimanapun, sejumlah 141 unit kenderaan tetap direkod sempat didaftarkan sepanjang bulan April berkenaan. Ini adalah penurunan sebanyak 22,337 unit atau 99.37% berbanding sejumlah 22,478 unit yang dicatatkan pada Mac lalu, yang ketika itu juga sudah memperlihatkan penurunan 44% berbanding jumlah keseluruhan Februari 2020.

    Kesan daripada perkembangan itu, jumlah semasa TIV bagi tahun ini ialah 106,601 unit. Ini adalah berkurangan berbanding angka tahun lalu yang dicatatkan dalam tempoh sama iaitu 192,971 unit. Daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang didaftarkan itu, 131 unit daripadanya merupakan kenderaan penumpang manakala 10 unit lagi kenderaan perdagangan.

    Jika ada yang tertanya-tanya mengapa tetap ada pendaftaran kenderaan pada April sedangkan tempoh berkenaan JPJ ditutup operasinya, kami dimaklumkan oleh sumber industri bahawa pendaftaran kenderaan secara online masih berlangsung ketika itu, walaupun kenderaan terbabit tidak dapat diproses sepenuhnya untuk diberikan cukai jalan dan dokumentasi penuh mahupun diserahkan kepada pemilik.

    Menurut sumber yang sama lagi, dalam kes ini, pendaftaran hanya dilakukan bagi kenderaan yang dibeli yang mana pinjaman atau pembiayaannya telah diluluskan oleh sebelum tempoh PKP, serta Letter of Undertaking (LoU) juga telah di keluarkan. Proses pendaftaran pula perlu dilengkapkan supaya tidak berlaku pertindanan dalam perjanjian berkenaan, yang boleh menyebabkan keseluruhan proses itu perlu diulang semula.

    MAA menjangkakan jualan kenderaan bagi Meo 2020 akan lebih tinggi daripada April, tetapi akan kekal di bawah angka biasa yang pernah dicatatkan sebelum ini sebelum tempoh PKP. Kunjungan ke bilik pameran kenderaan akan kekal rendah, manakala bank juga akan lebih ketat untuk memberikan pinjaman menjadi antara faktornya.

     
     
  • Pindaan akta pemandu mabuk akan dimuktamadkan pertengahan bulan hadapan – Dr. Wee Ka Siong

    Pindaan akta pemandu mabuk akan dimuktamadkan pertengahan bulan hadapan – Dr. Wee Ka Siong

    Hari demi hari, semakin ramai yang menjadi korban akibat pemandu mabuk, termasuk yang baharu sahaja terjadi di Kuantan semalam. Justeru, Menteri Pengangkutan Dr. Wee Ka Siong menyatakan bahawa pindaan untuk hukuman lebih berat terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut perlu disegerakan.

    Menulis menerusi laman facebook rasminya, menteri berkenaan menyatakan bahawa pindaan berkenaan mestilah dimuktamadkan pada pertengahan Jun ini.

    “Saya menggunakan kesempatan sempena cuti Hari Raya Aidilfitri dan dalam tempoh PKPB ini untuk berada di Pejabat Menteri Pengangkutan bagi meneliti semua cadangan berkaitan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 khususnya berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol / dadah / memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa pengguna jalan raya lain.

    “Justeru itu, pada 1 Jun 2020, saya akan memanggil satu sesi taklimat di MOT bersama JPJ untuk segera meneliti dan menyemak cadangan pindaan Akta berkaitan. Pindaan Akta ini mestilah dimuktamadkan dalam pertengahan Jun ini dengan mengambilkira pandangan orang ramai melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan, sebelum ianya dibentangkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” tulis beliau dalam kenyataan berkenaan.

    Berkenaan kajian soal selidik yang dinyatakan olen menteri tersebut, anda digalakkan untuk menyertai soal selidik yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan tersebut menerusi PAUTAN INI.

    Dr. Wee turut menegaskan bahawa selari dengan kenyataannya sebelum ini, beliau akan bertindak dan komited demi pembelaan kepada mangsa korban dalam kemalangan maut dan juga menegakkan keadilan untuk keluarga mangsa.

     
     
  • PKPB: Jumlah penumpang ikut kapasiti kenderaan persendirian mulai 27 Mei; syarat sekeluarga, serumah

    PKPB: Jumlah penumpang ikut kapasiti kenderaan persendirian mulai 27 Mei; syarat sekeluarga, serumah

    Dalam sidang media harian berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mulai esok, 27 Mei 2020, jumlah penumpang dalam kenderaan persendirian dibenarkan mengikut kapasiti tempat duduk di dalam kenderaan berkenaan.

    Walau bagaimana pun, selain daripada ahli keluarga, penumpang mestilah terdiri daripada orang yang tinggal serumah dengan pemandu. Di bawah peraturan baharu ini, jumlah penumpang di dalam sebuah kenderaan akan bergantung pada kapasiti kereta seperti yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

    “Sebuah kereta persendirian dengan kapasiti empat orang, hanya membenarkan seorang pemandu dengan tiga penumpang di dalam kereta yang sama, sementara MPV boleh membawa sehingga tujuh orang,” katanya

    PKPB: Jumlah penumpang ikut kapasiti kenderaan persendirian mulai 27 Mei; syarat sekeluarga, serumah

    Keputusan ini diambil selepas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

    Menurutnya lagi, perkara itu telah diwartakan dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.6)(Pindaan) 2020.

    Semalam, beliau turut memaklumkan, jika ada pemandu yang bawa lebih empat penumpang (bagi kereta berkapasiti lima-tempat duduk), misalnya ada bayi bersama yang menjadikannya lima penumpang dalam satu perjalanan, beliau yakin polis akan menggunakan budi bicara dengan adil.

    Sebelum ini, pada PKP fasa kedua yang bermula 1 April, kerajaan menguatkuasakan pelaksanaan satu orang satu kenderaan manakala kelonggaran kepada dua penumpang dalam satu kereta pula diberikan ketika PKP fasa keempat yang bermula 29 April.

    Dalam PKP Bersyarat pula, kerajaan mengehadkan hanya empat orang dalam keluarga yang sama boleh menaiki kenderaan persendirian.

     
     
  • PKPB: MPV dibenarkan membawa enam penumpang, kereta kekal dengan empat penumpang sahaja

    PKPB: MPV dibenarkan membawa enam penumpang, kereta kekal dengan empat penumpang sahaja

    Kerajaan telah memutuskan untuk bersetuju membenarkan kenderaan persendirian membawa sehingga enam penumpang daripada satu keluarga dan rumah yang sama, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

    Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kebenaran itu tertakluk kepada kapasiti penumpang bagi kenderaan berkenaan seperti kenderaan pelbagai guna (MPV).

    Bagaimanapun, beliau menegaskan kebenaran itu hanya akan berkuat kuasa selepas peraturan sedia yang hanya membenarkan empat penumpang dalam satu kenderaan, dipinda dan diwartakan.

    “Kita bersetuju untuk benarkan jumlah penumpang mengikut kapasiti kenderaan, seperti MPV boleh memuatkan enam penumpang dan itu kita benarkan. Namun, saya tidak pasti sama ada akta dan peraturan sedia ada sudah dipinda dan diwartakan. Jika sudah diwarta, maknanya kenderaan seperti MPV boleh bawa enam penumpang, tapi kereta biasa kekal empat penumpang sahaja.

    “Jika ada yang bawa lebih empat penumpang, misalnya ada bayi bersama yang menjadikannya lima penumpang dalam satu perjalanan, saya yakin polis akan menggunakan budi bicara dengan adil,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    Mulai 4 Mei lalu, kerajaan membenarkan kenderaan persendirian membawa empat penumpang dengan syarat mestilah dari rumah dan keluarga yang sama. Menurut Ismail Sabri, kebenaran itu diberikan berikutan isu jarak sosial tidak timbul dalam kalangan keluarga dan mereka yang tinggal serumah.

     
     
  • Proton Satria Neo R3 dan R3 Lotus Racing – bukti kejuruteraan tempatan bukan calang-calang!

    Proton Satria Neo R3 dan R3 Lotus Racing – bukti kejuruteraan tempatan bukan calang-calang!

    Minggu lalu, kami telah memaparkan dua buah model penuh Proton yang dihasilkan oleh sayap perlumbaan rasmi mereka, Race.Rally Research (R3) iaitu Satria R3 dan Satria Neo Clubsport. Tak lengkap rasanya jika kami tidak mengimbau dua lagi model lagenda yang pastinya akan menjadi rebutan pengumpul kereta pada masa akan datang (sekarang pun nampak dah mula) iaitu Satria Neo R3 Lotus Racing dan juga Satria Neo R3.

    Kita mulakan dahulu dengan model paling mahal pernah dihasilkan oleh R3 iaitu Satria Neo R3 Lotus Racing. Seperti yang kita tahu, sebelum 49.9% pegangan Proton diambil alih oleh Geely pada 2017, jenama kereta sport dari British iaitu Lotus adalah jenama yang bernaung di bawah Proton.

    Jadi bagi meraikan kembalinya semula Lotus ke perlumbaan Formula 1, Proton telah menghasilkan Satria Neo R3 Lotus Racing ini dengan pengeluaran hanya sebanyak 25-unit pada tahun 2010. Bukan sahaja jumlahnya yang begitu terhad, malah dengan pelbagai peralatan prestasi yang bukan calang-calang dipadankan pada model istimewa ini, ia dijual pada harga RM115,000!

    Proton Satria Neo R3 dan R3 Lotus Racing – bukti kejuruteraan tempatan bukan calang-calang!

    Neo Lotus Racing ini masih dijana oleh enjin 1.6 liter sama seperti enjin CPS pada model standard. Namun ia telah menerima sentuhan semula dari R3 dengan pemadanan aci sesondol dan sistem ekzos istimewa bersama header yang diperbuat dari titanium, kotak angin untuk sistem kemasukan diperbuat dari gentian karbon serta talaan kotak komputer yang telah diolah, membolehkan kuasa asal 125 Nm/150 Nm melonjak kepada 145 Nm dan tork maksima 168 Nm.

    Enjin berkenaan masih dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan bagi memacu roda hadapan. Namun kotak gear tersebut tetap menerima sentuhan semula dari R3 dengan nisbah gear yang lebih sesuai. Menurut R3, Neo Lotus ini mampu untuk menjerit hingga 7,500 rpm pada setiap gear membolehkan ia mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 200 km/j.

    Pengendalian yang sudah pun diakui sangat baik pada Satria Neo standard di mantapkan lagi menerusi pemadanan penyerap hentak bersama spring boleh laras sepenuhnya dari jenama perlumbaan terkenal dari Sweden iaitu Öhlins. Kemudian, sistem brek hadapan telah diganti dengan cakera dan angkup empat-silinder yang jauh lebih besar keluaran AP Racing.

    Neo istimewa ini kemudiannya menerima set rim 16-inci pelbagai-jejari khas yang lebih ringan, serta diberikan tayar berprestasi tinggi Bridgestone Potenza Adrenalin RE001 205/45R16 secara standard dari kilang.

    Pada bahagian luaran, Neo Lotus ini turut diberikan perincian yang cukup istimewa. Ia hadir dengan kit badan FRP terdiri dari bampar hadapan yang diberikan liang udara lebih besar, skirt sisi lebih labuh, bampar belakang yang diberikan liang udara serta diffuser agresif dan spoiler bumbung.

    Ia turut disertakan dengan fender hadapan yang diberikan liang udara bersama kemasan dengan logo ‘Lotus Racing’ dan menempat lampu isyarat membelok, manakala penutup bonet hadapan pula diperbuat dari gentian karbon. Dengan segala kelengkapan ini, sebanyak 62 kg berat berjaya dibuang dari asal, menjadikan ia kini hanya seberat 1,150 kg.

    Proton Satria Neo R3 dan R3 Lotus Racing – bukti kejuruteraan tempatan bukan calang-calang!

    Kereta ini diberikan ‘warna perlumbaan kebangsaan’ Britain iaitu British Racing Green serta jalur badan dari belakang hingga hadapan berwarna kuning.

    Pada bahagian dalaman pula, model ini menerima tempat duduk R3 balutan kulit Nappa berwarna hijau dan fabrik seakan gentian karbon yang lebih sporty, bersama sulaman logo Lotus Racing pada perehat kepala. Bahagian lain seperti kemasan pada papan pemuka, panel pintu, perumah tuil gear turut diberikan serlahan warna hijau yang sama.

    Tiada roda stereng Momo diberikan, sebaliknya roda stereng asal Satria Neo yang masih mempunyai beg udara digunakan kembali, tetapi ia dibalut semula dengan kulit bersama penanda tengah dan serlahan jahitan benang berwarna kuning seperti pada tempat duduk. Juga model istimewa ini turut diberikan butang penghidup enjin tetapi ia masih memerlukan kunci seperti Honda Civic Type R FD2R.

    Proton Satria Neo R3 dan R3 Lotus Racing – bukti kejuruteraan tempatan bukan calang-calang!

    Setahun selepas Neo Lotus Edition ini diperkenalkan, Proton melancarkan pula Satria Neo R3, iaitu versi yang lebih mampu milik serta dihasilkan lebih banyak tetapi masih terhad dengan pengeluaran hanya 150-unit sahaja.

    Neo R3 2011 menggunakan konfigurasi enjin yang sama seperti Neo Lotus Racing, dengan bekalan kuasa 145 hp dan tork maksima 168 Nm terus dari kilang dari enjin 1.6 liter CPS berkenaan. Tiada suspensi Öhlins dan brek dari AP Racing pada versi ini, namun ia tetap menerima talaan pengendalian lebih unik dari Neo CPS biasa.

    Pada bahagian luar, Neo R3 ini menggunakan asas rupa Neo CPS dengan bampar hadapan dan belakang yang sama dan juga overfender yang mengingatkan kita semula pada Satria GTi. Sentuhan R3 diberikan menerusi spoiler bawah bampar hadapan, spoiler bumbung belakang yang lebih ‘congek’, dan juga rim 16-inci asli R3 dengan offset lebih ngam dengan fender (rim pada CPS nampak lebih ‘kuncup’ kedalam). Kesemua 150-unit Proton Satria Neo R3 ini hanya hadir dengan warna badan Fire Red.

    Pada bahagian dalaman pula, model ini menerima tema warna yang sama seperti diluar iaitu merah-hitam yang diberikan pada tempat duduk lebih sporty yang diletakkan lebih rendah, papan pemuka, panel pintu dan perumah tuil gear. Roda stereng turut dibalut kulit dengan penanda tengah dan serlahan benang merah, serta diberikan butang penghidup enjin sama seperti Neo Lotus.

    Namun pada tahun 2012, Proton sekali lagi melancarkan satu model yang diberikan nama ‘Satria Neo R3’, tetapi anda jangan keliru, kerana ini sebenarnya hanyalah Neo CPS yang diberikan aksesori kosmetik R3, dijual pada harga yang lebih murah, dan ia juga sebenarnya adalah versi ‘selamat tinggal’ untuk Neo kerana ini adalah kumpulan terakhir Satria Neo yang dihasilkan oleh kilang Proton.

    Proton Satria Neo R3 Lotus Racing 2010

    Proton Satria Neo R3 2011

     
     
  • Harga minyak 23-29 Mei – RON 97 dan RON 95 naik sehingga 7 sen, diesel pula naik sebanyak 6 sen

    Harga minyak 23-29 Mei – RON 97 dan RON 95 naik sehingga 7 sen, diesel pula naik sebanyak 6 sen

    Kementerian Kewangan telah memaklumkan bagi minggu bertarikh 23 hingga 29 Mei 2020, kesemua bahan api utama di negara ini sekali lagi dilaporkan mengalami kenaikan harga.

    Bagi petrol RON 97, harganya naik sebanyak 7 sen seliter iaitu daripada RM1.61 kepada RM1.68 seliter. Begitu juga dengan harga runcit bagi RON 95 yang turut mengalami kenaikan sebanyak 7 sen, kini menjadi RM1.38 seliter, berbanding RM1.31 seliter pada minggu sebelumnya.

    Untuk diesel pula, harganya naik 6 sen, kini menjadi RM1.51 seliter bagi Euro 2M, dan RM1.61 untuk Euro 5. Kesemua harga baharu ini efektif mulai 12 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 29 Mei 2020.

    Menurut kementerian terbabit, kenaikan ini adalah disebabkan oleh peningkatan harga minyak yang diproses (refined product), selari dengan harga minyak mentah dunia.

    Walau bagaimana pun, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • PKPB: Melaka catat cubaan rentas negeri tertinggi, diikuti Perak dan Pulau Pinang – Ismail Sabri

    PKPB: Melaka catat cubaan rentas negeri tertinggi, diikuti Perak dan Pulau Pinang – Ismail Sabri

    Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan Melaka mencatatkan cubaan pergerakan rentas negeri tertinggi dengan 886 kes, diikuti Perak dengan 362 kes, dan Pulau Pinang (284).

    “Setiap hari saya ulangi jangan buat rentas negeri dan semalam mungkin bila saya umum tiada lagi kebenaran lagi rentas negeri, mungkin ramai yang ingin mengambil kesempatan rentas negeri.

    “Mungkin mereka takut hari ini ada sekatan jalan raya dan sebagainya, dan sebab itu ramai yang cuba merentas negeri,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau turut menambah sebanyak 2,539 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung, telah diarahkan berpatah balik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    PKPB: Melaka catat cubaan rentas negeri tertinggi, diikuti Perak dan Pulau Pinang – Ismail Sabri

    Bagi rentas daerah yang bertujuan mengunjungi sanak saudara sempena Aidilfitri, Ismail Sabri berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan membenarkan pergerakan itu, namun orang ramai tidak digalakkan melakukannya bagi menjaga keselamatan serta kesihatan bersama.

    Beliau menjelaskan saranan tidak mengalakkan pergerakan rentas daerah pada hari raya seperti diambil oleh negeri Johor, adalah selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

    “Tidak digalakkan bukan menyekat. Kalau kita dengar, setiap hari Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan, walaupun dibenarkan rentas daerah tetapi masyarakat tidak digalakkan bagi keselamatan bersama,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, larangan pergerakan rentas negeri yang diumumkan kerajaan semalam juga terpakai untuk suami isteri yang tinggal berjauhan, yang sebelum ini diberikan kebenaran rentas negeri seminggu sekali.

    “Tiada lagi. Sesiapa sahaja tertakluk kepada peraturan yang saya umumkan semalam,” katanya.

     
     
  • Triumph Scrambler 1200 Bond Edition – hanya 250 unit

    Triumph Scrambler 1200 Bond Edition  – hanya 250 unit

    Dua jenama British terkenal iaitu motosikal Triumph dan filem James Bond telah bekerjasama untuk menghasilkan sebuah model istimewa Triumph Scrambler 1200 Bond Edition. Ia hanya akan dikeluarkan dalam jumlah terhad 250 unit untuk seluruh dunia.

    Menggunakan asas daripada model Scrambler 1200 XE, model istimewa ini walaubagaimanapun hampir kesemua bahagiannya dicat warna hitam, dengan cuma bahagian tangkinya sahaja yang dihias dengan logo Triumph yang besar serta cat perak yang mempunyai jalur pinstripe warna emas.

    Bahagian-bahagian lain yang biasanya dibiarkan dengan warna besi asal turut disalut dengan cat hitam termasuk lengan ayun, fork, penghadang lumpur hadapan, pelindung lampu kabus, penghadang bawah enjin, pelindung ekzos serta pelindung tangan.

    Sebagai sebuah model keluaran istimewa, Scrambler 1200 Bond Edition dipasang dengan beberapa kemasan khas untuknya iaitu cetakan nombor keluaran pada bahagian tengah pemegang, tempat duduk kulit yang dijahit dengan tulisan Bond Edition, logo James Bond yang terpapar pada panel instrumen TFT-LCD apabila motosikal dihidupkan serta pelindung ekzos yang tercetak 007.

    Melihat kepada rekod sebelum ini, mungkin ada model edisi terhad ini yang akan tiba di Malaysia tetapi harganya masih tidak diketahui. Bagi Scrambler 1200 yang dijual sekarang, harganya adalah RM86,900 untuk versi XE dan RM80,900 untuk versi XC. Ia dikuasakan oleh enjin 1,200 cc yang mampu mengeluarkan kuasa maksimum 89 hp dan tork 110 Nm.

     
     
  • PKPB: Polis Kedah kongsi talian hotline untuk orang awam buat aduan individu yang ingkar rentas negeri

    Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah telah berkongsi senarai talian hotline Bilik Gerakan COVID-19 negeri terbabit menerusi laman Facebook rasminya. Menerusi talian hotline tersebut, orang awam boleh menyalurkan aduan atau sebarang maklumat mengenai kesalahan rentas negeri terutamanya jika menyedari terdapat individu yang ingkar dengan larangan terbabit.

    Hasil screenshot yang turut dikongsikan oleh IPK Kedah, terdapat pertanyaan daripada orang awam yang mengetahui maklumat ada individu yang bakal pulang berhari raya di kampung halaman yang melibatkan pergerakan rentas negeri. Walau pun ada netizen yang berkata, aduan terhadap individu yang lolos rentas negeri ini seperti bersifat dengki atau busy body, namun admin FB Polis Kedah menjelaskan ia lebih kepada tanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan sejagat bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

    Justeru, IPK Kedah mengalu-alukan sebarang aduan atau pun maklumat berkaitan untuk disalurkan terus ke talian hotline yang disediakan. Buat masa ini, hanya IPK Kedah yang berkongsikan senarai talian hotline untuk membolehkan orang awam membuat aduan berkenaan.

    PKPB: Polis Kedah kongsi talian hotline untuk orang awam buat aduan  individu yang ingkar rentas negeri

    Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini.

    Menurutnya, walaupun ramai yang menganggap tidak mungkin pihak polis dan tentera akan mengawal setiap rumah, kedua-dua pihak berkuasa berkenaan sebenarnya akan membuat semakan di sesebuah kediaman jika didapati terdapat jumlah kenderaan yang banyak di luar rumah tersebut.

    Malah Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk mengesan kereta-kereta yang merentas negeri tanpa kebenaran ini kerana setiap kereta yang telah diberikan permit pergerakan mempunyai rekod dengan polis.

    Semalam, Ismail Sabri turut mengumumkan tiada lagi kebenaran untuk perjalanan rentas negeri dan orang ramai tidak perlu ke balai polis untuk memohon. “Mereka yang balik kampung lebih awal sebelum sekatan jalan raya menggunakan jalan tikus akan dikenakan tindakan sebaik balik ke kediaman selepas Aidilfitri”, katanya.

    Susulan daripada itu, Abdul Hamid telah mengeluarkan arahan kepada pasukannya supaya menahan dan mengenakan kompaun terhadap individu ingkar larangan rentas negeri.

    Selain polis Kedah, IPK Melaka juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik rumah yang menerima tetamu melebihi had dibenarkan. Seramai 94 Petugas Pemantau akan melakukan rondaaan berterusan di taman perumahan dan kampung di negeri itu untuk memastikan pemilik rumah tidak melanggar arahan.

    Manakala di Kelantan pula, semua individu yang melakukan perjalanan rentas negeri masuk ke negeri itu perlu menjalani ujian COVID-19 berkuatkuasa semalam 21 Mei. Di mana kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan berada di sekatan jalan raya di sempadan negeri dan lapangan terbang untuk melakukan ujian saringan.

    Kerajaan negeri membuat keputusan itu susulan seorang wanita hamil dari Ampang disahkan positif COVID-19 ketika melakukan pemeriksaan kandungan di klinik ibu dan anak di kampungnya di Kuala Krai.

     
     
  • PANDU UJI: Mercedes-Benz A 250, A 200 sedan dan AMG A 35 — sama tapi tak serupa, mana lebih sesuai?

    PANDU UJI: Mercedes-Benz A 250, A 200 sedan dan AMG A 35 — sama tapi tak serupa, mana lebih sesuai?

    Perbualan di meja kedai mamak atau dalam sembang-sembang santai kadang kala saya gunakan untuk mengesan kecenderungan orang dalam banyak hal. Dalam istilah orang-orang yang kononnya sedikit kompleks, perkara ini disebut sebagai “sentimen-sentimen” semasa, yang mungkin sedang bergerak dan menangkap perhatian masyarakat umum.

    Spektrum perbualan pula tentulah melibatkan segala macam hal. Tetapi, tidak ketinggalan sebenarnya ia diselit untuk mengesan selera atau imaginasi orang terhadap model-model kenderaan. Biasanya, hal ini di pacu dari dua sisi; berita pengenalan model-model terbaru (ini yang paling kerap), atau kebetulan ada kenalan yang mungkin sedang mencari-cari punca kereta apa yang patut dibeli, atau ingin dicadangkan kepada orang lain.

    Seingat saya, dalam kelompok mereka yang sedikit muda – katakan sekitar usia 35 tahun dan profesional – nama Mercedes-Benz antara yang selalu meniti di bibir mereka ketika membincangkan kereta-kereta yang berada di dalam segmen premium. Selain BMW, Volvo dengan penawarannya yang terkini, terutama dalam pakej kenderaan yang lebih kompak seperti XC40 juga banyak kali muncul.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026