Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Hyundai bawa unit pandu uji terus kepada pelanggan

    Hyundai bawa unit pandu uji terus kepada pelanggan

    Sime Darby Auto Hyundai (SDAH) kini menganjurkan kempen “Test Drive to You” yang membawakan kepada pelanggan unit pandu uji terus kepada mereka. Caranya mudah; anda buat tempahan untuk sesi yang diinginkan, dan penasihat jualan akan bawa kereta Hyundai kepada anda.

    “Kempen ini merupakan satu perkhidmatan ekslusif oleh SDAH bertujuan untuk mendekati pelanggan walaupun di mana mereka berada. Kami mempunyai enam cawangan jualan SDAH di Semenanjung Malaysia yang menawarkan perkhidmatan ini. Mereka yang berhasrat hanya perlu mendaftar minat mereka dan SDAH akan mengaturkan sesi pandu uji terus ke rumah atau pelanggan,” ujar Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors, Low Yuan Lung.

    Semua urusan berkenaan pula akan dijalankan mengikut SOP seperti yang telah digariskan oleh kerajaan Malaysia. Ini termasuklah sanitasi permukaan dan juga menjaga jarak sosial ketika sesi ini berlangsung.

    Hyundai bawa unit pandu uji terus kepada pelanggan

    Semua kenderaan akan disanitasi sebelum dan juga selepas setiap sesi pandu uji, topeng muka disediakan untuk pelanggan dan juga penasihat jualan, cecair sanitasi tangan untuk semua, pemeriksaan suhu badan (sesi tidak akan diteruskan sekiranya ada individu yang suhu badannya melebihi 37.5 C) serta penasihat jualan akan duduk di kerusi belakang sepanjang sesi memandu.

    Cawangan SDAH yang terlibat dengan kempen ini adalah seperti berikut; Ara Damansara, Bangsar, Jalan Klang Lama, Ipoh, Prai di Pulau Pinang dan Skudai di Johor. Promosi terkini termasuk rebat sehingga RM13,000, tertakluk kepada had stok.

     
     
  • Ford Ranger FX4 2020 kini di Malaysia – RM127k

    Ford Ranger FX4 2020 kini di Malaysia – RM127k

    Seperti yang telah diumumkan bulan lalu, hari ini Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) telah pun melancarkan trak pikap Ford Ranger FX4 2020 untuk pasaran Malaysia. Model yang dihasilkan dari Ranger T6 XLT ini hadir dengan pelbagai aksesori bagi memberikan rupa yang lebih sporty dan tersendiri.

    Seperti model FX4 terdahulu, konsep yang diberikan pada model baharu ini adalah sama. Ia hadir dengan gril hadapan rekaan baharu serta diberikan kemasan Ebony Black termasuk pada bahagian lain seperti bampar hadapan dan belakang. Manakala penutup cermin sisi dan pembuka pintu pula hadir dengan kemasan hitam berkilat.

    Varian ini juga diberikan rim aloi 18-inci rekaan khas yang juga tampil dalam kemasan Ebony Black, dibalut dengan tayar 265/60R18. Selain itu, FX4 turut diberikan bezel pada lampu hadapan bi-LED yang digelapkan serta pelekat badan FX4 pada bahagian sisi bersama emblem Ranger 3D di belakang.

    Ford Ranger FX4 2020 kini di Malaysia – RM127k

    Untuk kabin, FX4 turut menerima sentuhan istimewa seperti tempat duduk kulit hitam dengan logo FX4 yang ditekap, serta panel atas panel instrumen sentuhan lembut kemasan Ebony Black. Serlahan jahitan benang berwarna Race Red dapat dilihat pada roda stereng, tempat duduk dan tombol gear. Model ini juga diberikan karpet kaki istimewa dengan sulaman logo FX4.

    Untuk kelengkapan lain, FX4 masih hadir dengan spesifikasi sama seperti Ranger XLT. Ini termasuk sistem infotainmen Ford SYNC 3 dengan skrin lapan-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, enam-pembesar suara, paparan berwarna pelbagai info 4.2-inci, tempat duduk larasan berkuasa enam-hala untuk pemandu dan empat hala untuk penumpang hadapan serta cermin sisi boleh-lipat elektrik.

    Unit penjana juga masih sama seperti Ranger XLT dengan enjin Puma 2.2 liter TDCi VGT turbodiesel berkuasa 160 PS dan tork maksima 385 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik, serta sistem pacuan empat roda yang beroperasi dengan sistem on-the-fly shifting, dan juga locking diff elektronik pada gandar belakang.

    Ford Ranger FX4 2020 kini di Malaysia – RM127k

    Ford Ranger FX4 2020 ini dijual pada pasaran tempatan dengan harga atas jalan tanpa insuran RM126,888. Ia ditawarkan dalam tiga warna berbeza iaitu Meteor Grey, Absolute Black dan Arctic White. Setiap pembelian akan menerima perlindungan waranti selama tiga-tahun atau 100,000 km, yang mana sampai dahulu.

    Jika anda berminat dengan trak pikap dengan rupa lebih kacak ini, anda disarankan untuk menempahnya segera kerana SDAC mengumumkan 150 pelanggan terawal akan menerima aksesori percuma bernilai RM5,398. Ia termasuk sports bar untuk bed belakang dalam kemasan hitam matte, filem penapis haba eksekutif untuk cermin tingkap dan juga Perakam Video Digital (DVR) berdefinasi tinggi bina-dalam.

     
     
  • 800 pemandu mabuk telah ditahan sepanjang Jan-Mei 2020, 10 kes telah dituduh di mahkamah – KPN

    800 pemandu mabuk telah ditahan sepanjang Jan-Mei 2020, 10 kes telah dituduh di mahkamah – KPN

    Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan, sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun 2020, sebanyak 800 pemandu mabuk telah ditahan di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10 kes telah dituduh di mahkamah dan selebihnya akan menyusul selepas kertas siasatan dilengkapkan.

    Laporan yang disiarkan menerusi Sinar Harian turut menyebut, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah bersetuju dengan usaha kerajaan untuk untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

    Sebelum ini, Abdul Hamid telah menyuarakan ketegasannya menuntut hukuman maksimum terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut apabila salah seorang anggota polis meninggal dunia dalam kemalangan di sekatan jalan raya yang berlaku berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) pada 3 Mei lalu.

    Manakala kes terbaharu pula melibatkan seorang lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu lelaki disyaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara. Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Mohamed Zaili Mohamed berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

    800 pemandu mabuk telah ditahan sepanjang Jan-Mei 2020, 10 kes telah dituduh di mahkamah – KPN

    Hujung minggu lalu, menerusi entri di Facebook rasminya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

    Beliau turut memaklumkan pindaan akta ini akan dimuktamadkan pertengahan Jun depan sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibentangkan pada persidangan akan datang.

    Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

    Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

     
     
  • Toyota GR Yaris RS tampil di Jepun – lebih ‘murah’ dengan enjin 1.5L 120 PS/ 145 Nm, CVT pacuan depan

    Toyota GR Yaris RS tampil di Jepun – lebih ‘murah’ dengan enjin 1.5L 120 PS/ 145 Nm, CVT pacuan depan

    Selepas membuat kemunculan rasminya pada awal tahun ini di Tokyo Auto Salon, model khas yang direka bagi membolehkan Toyota menghasilkan jentera rali dunia lebih hebat iaitu Toyota GR Yaris kini sudah mula boleh ditempah pada pasaran Jepun. Spesifikasi model tertinggi jentera ini masih sama seperti yang didedahkan sebelumnya, namun apa yang mengejutkan, Toyota memperkenalkan GR Yaris dalam versi lebih mampu milik dikenali sebagai GR Yaris RS.

    Model yang dibuat khas hanya untuk pasaran Jepun ini masih menggunakan kerangka badan tiga-pintu GR Yaris dengan bumbung CFRP lebih rendah, badan lebih lebar serta penggunaan sistem suspensi double wishbone pada bahagian belakang (berbeza dari Yaris standard yang hanya diberikan suspensi torsion beam) serta rim 18-inci bersama tayar 225/40R18.

    Namun untuk GR Yaris RS ini, ia hanya dijana oleh enjin M15A-FKS 1.5 liter tiga-silinder Dynamic Force berkuasa 120 PS dan tork maksima 145 PS. Juga, tiada sistem pacuan semua roda diberikan, di mana kuasa dari enjin hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear Direct-Shift CVT dengan 10-kelajuan maya.

    Toyota GR Yaris RS tampil di Jepun – lebih ‘murah’ dengan enjin 1.5L 120 PS/ 145 Nm, CVT pacuan depan

    Tanpa sistem pacuan semua roda, GR Yaris RS ini ditimbang dengan berat hanya 1,130 kg atau 150 kg lebih ringan dari versi paling berkuasa. Juga, Gazoo Racing turut memberikan talaan suspensi khas untuk model yang kurang berkuasa ini.

    Untuk model tertinggi GR Yaris RZ, seperti yang diumumkan sebelum ini, ia dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo menghasilkan kuasa 272 PS dan tork maksima 370 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan iMT, dan kuasa diagihkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda GR-Four.

    Walaupun tidak mempunyai LSD tengah, GR Yaris dibekalkan dengan sistem Torque Vectoring dengan klac pelbagai lapisan, membolehkan agihan tork antara tayar hadapan dan belakang dapat diberikan menerusi tiga mod pemanduan berbeza; Normal dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; Sport 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; Track 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

    Toyota GR Yaris RS tampil di Jepun – lebih ‘murah’ dengan enjin 1.5L 120 PS/ 145 Nm, CVT pacuan depan

    Manakala untuk pelanggan yang memilih model gred High Performance untuk GR Yaris RZ ini, ia turut akan disertakan dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang, rim aluminium forged dari BBS berdiameter 18-inci serta tayar Michelin Pilot Sport 4S dengan saiz 225/40R18.

    Toyota Jepun kini membuka pra-tempahan dalam talian sehingga 30 Jun ini untuk model edisi khas awalan yang digelar GR Yaris RZ High Performance First Edition dan GR Yaris RZ First Edition.

    Versi istimewa ini menampilkan kemasan hitam matte pada diffuser dan spoiler belakang, corak marmar pada bumbung CFRP, tempat duduk sport dalam kemasan ‘Emotional Colour Premium’ serta cermin hadapan dengan tandatangan Presiden Toyota, Akio Toyoda atau nama samarannya ketika berlumba, Morizo.

    Untuk pasaran Jepun ini juga, Toyota turut menawarkan GR Yaris RC, iaitu model ‘kosong’ yang mudah untuk ditransformasikan sebagai jentera litar atau rali sebenar. Ia masih dijana enjin 1.6 liter turbo serta kotak gear dan sistem GR-Four sama seperti GR Yaris RZ, tetapi hadir tanpa aksesori yang tidak diperlukan seperti sistem infotainmen dan sebagainya.

    Ia juga hanya tampil dengan rim 17-inci dengan tayar 205/45R17. Secara keseluruhan, GR Yaris RC ini telah menyisihkan 30 kg berat yang tidak diperlukan, ditimbang pada 1,280 kg. Walau bagaimanapun, trek roda pada model untuk perlumbaan ini adalah 5 mm lebih lebar dari versi RZ.

    Pelanggan untuk pasaran Jepun yang membeli GR Yaris ini akan menerima pelbagai hadiah menarik dari Toyota. Antaranya model replika skala kecil GR Yaris, dan yang paling menarik adalah tiket untuk ke WRC Rally Japan. Jualan rasmi Toyota GR Yaris ini dijangka akan bermula di Jepun pada September nanti.

    GALERI: Toyota GR Yaris di Tokyo Auto Salon 2020

     
     
  • Proton beri tawaran istimewa untuk petugas barisan hadapan — lima tahun perlindungan insurans peribadi

    Proton beri tawaran istimewa untuk petugas barisan hadapan — lima tahun perlindungan insurans peribadi

    Sepanjang bulan Jun 2020, Proton akan menawarkan lebih nilai untuk menarik minat pembeli; pelanggan yang membeli Proton X70 layak untuk menikmati pembiayaan percuma bagi tahun pertama, tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.

    Bermula 10 Jun, Proton juga akan memperkenalkan satu program khas bagi menghargai petugas barisan hadapan Malaysia khususnya para jururawat, doktor, anggota polis dan tentera serta kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

    Program Perlindungan Credit Shield menawarkan perlindungan insurans peribadi sehingga RM50,000 selama lima tahun termasuk kematian, kematian akibat kemalangan dan hilang upaya kekal kepada mereka yang layak yang membeli mana-mana model Proton.

    “Pengorbanan petugas-petugas barisan hadapan Covid-19 di Malaysia sangat tidak ternilai. Kami berharap agar tawaran yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat menunjukkan penghargaan kami terhadap jasa yang telah disumbangkan oleh mereka.

    “Bagi pakej pembiayaan Proton X70, tawaran tersebut membuka peluang kepada lebih ramai pembeli untuk memiliki SUV premium Malaysia dengan harga yang lebih berpatutan yang kini lebih berbaloi dengan adanya penapis kabin N95 yang baharu,” tambah CEO Proton, Dr Li Chunrong.

     
     
  • Prasarana sasar 1.4j penumpang sehari guna pengangkutan rel di Lembah Klang menjelang 2025

    Prasarana sasar 1.4j penumpang sehari guna pengangkutan rel di Lembah Klang menjelang 2025

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan syarikatnya menyasarkan 1.4 juta penumpang sehari menggunakan pengangkutan rel di sekitar Lembah Klang menjelang tahun 2025.

    Menurut Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, sasaran itu berdasarkan unjuran pertambahan 10% setiap tahun daripada 700,000 penumpang harian bagi kesemua pengangkutan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

    “Sasaran ini adalah inisiatif dan kempen bagi menggalakkan lebih ramai anggota masyarakat menggunakan pengangkutan awam sebagai mod utama pengangkutan pada masa depan. Pasca COVID-19, selepas pekerja-pekerja mula keluar bekerja sepenuhnya, maka jumlah penumpang akan bertambah dan kembali kepada asal,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Prasarana sasar 1.4j penumpang sehari guna pengangkutan rel di Lembah Klang menjelang 2025

    Tambahnya lagi, pengangkutan awam merupakan pilihan terbaik kerana dapat menjimatkan kos kewangan dan tempoh perjalanan.

    “Pengangkutan kereta dari Sungai Buloh ke Kuala Lumpur sekurang-kurangnya memerlukan RM20 sementara perjalanan yang sama menggunakan MRT SBK, tiket berharga RM2 (menggunakan pas perjalanan My100),” katanya.

    Bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berbaki seminggu lagi sebelum diumumkan sama ada dilanjut atau ditamatkan, Prasarana mengambil inisiatif dengan mengehadkan jumlah penumpang untuk setiap satu perjalanan bagi semua perkhidmatannya. Di mana untuk perkhidmatan tren, hanya menampung 50% penumpang daripada kapasiti penuh dan 30% untuk bas.

    Ia adalah bagi memastikan penjarakan sosial di kalangan penumpang adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dalam menangani penularan COVID-19.

     
     
  • Proton jual 5,676 unit kenderaan sepanjang Mei 2020

    Proton jual 5,676 unit kenderaan sepanjang Mei 2020

    Menurut Proton, sepanjang bulan Mei 2020, syarikat itu merekodkan jualan kenderaan sebanyak 5,676 unit – tempoh yang sama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Ramadan berlangsung dan sektor perniagaan kembali memulakan operasi secara berperingkat.

    Ini juga menurut Proton menjadi petunjuk kepada suasana pasaran yang semakin pulih. Sebagai perbandingan, tempoh sama tahun lalu mencatatkan jualah sebanyak 10,611 unit; ini melibatkan perbezaan 46.5% penurunan akibat daripada penularan wabak Covid-19 tahun ini.

    Dengan angka jualan terbaru itu, Proton mencatatkan peningkatan sebanyak 73.2% berbanding jualan bulan Mac 2020, walaupun semua operasi di bilik pameran terpaksa mematuhi syarat ketat SOP sepanjang PKPB. Jualan keseluruhan Proton bagi tempoh lima bulan pertama tahun 2020 ini tetap mencatatkan pengurangan sebanyak 23.3%, sementara TIV pula dianggar menyusut 48.7% bagi tempoh yang sama.

    Dari segi kedudukan pasaran dan pegangan pasaran, menurut Proton syarikat itu kekal sebagai jenama kedua terlaris di Malaysia dengan jumlah pegangan pasaran setakat ini pada 21.1%, iaitu masih selari dengan sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini.

    Proton jual 5,676 unit kenderaan sepanjang Mei 2020

    Sepanjang Mei, empat model Proton mencatatkan jualan tertinggi dalam segmen masing-masing. Proton X70 kekal sebagai SUV segmen C terlaris dengan jumlah terkumpul paling tinggi setakat ini bagi segmen berkenaan. Dikilangkan di Tanjung Malim, model berkenaan diberi naik taraf pada Mei lalu dengan penambahan penapis kabin N95.

    Proton Saga turut menjadi model pilihan pembeli di Malaysia pada bulan Mei. Ini adalah pencapaian kali pertama bagi model tersebut dan turut meletakkan ia sebagai sedan segmen A paling popular sepanjang bulan lalu. Selain itu, model lain yang turut mencatat jualan cemerlang ialah Proton Persona, terlaris bagi sedan segmen B sementara Proton Exora kekal menjadi pilihan utama bagi MPV segmen C.

    “Perintah PKP yang dikeluarkan buat kali pertama sepanjang sejarah Malaysia telah memberi kesan kepada setiap aspek ekonomi negara. Industri automotif kini sedang beransur-ansur pulih, namun bulan pertama merupakan tempoh penyesuaian kerana perlu mengamalkan normal baru yang melibatkan seluruh aspek operasi syarikat,” ujar CEO Proton, Dr Li Chunrong.

     
     
  • Proton mula siar teaser X70 1.5L pasaran Pakistan – daki kawasan berbukit dengan ketinggian 7,500 kaki

    Proton mula siar teaser X70 1.5L pasaran Pakistan – daki kawasan berbukit dengan ketinggian 7,500 kaki

    Proton sudah mula menyiarkan gambar X70 di laman rasmi Facebook mereka untuk pasaran Pakistan. Menerusi satu hantaran baharu di laman berkenaan, imej X70 tanpa sebarang pelekat penyamaran tersebut diambil di kawasan yang terletak pada ketinggian 7,500 kaki, berlatar belakangkan pergunungan Himalaya di daerah Swat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan.

    Menerusi gambar berkenaan juga dapat dilihat bahawa SUV segmen-C tersebut dipadankan dengan logo ‘thundercats’ baharu Proton pada gril hadapan. Lain-lain perincian pada muka dan belakang juga dilihat masih sama dengan X70 CKD yang dilancarkan di Malaysia Februari lalu.

    Sebelum ini SUV berkenaan sudahpun dilihat diuji dengan pelekat penyamaran pada badan di Karachi, ibu negara Pakistan. Menurut portal automotif negera tersebut, CarSpirit.pk, X70 untuk pasaran Pakistan dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo GDI dan juga padanan kotak gear tujuh-kelajuan klac berkembar (DCT) automatik, berbeza dengan pasaran Malaysia yang dijana enjin 1.8 liter turbo GDI.

    Proton mula siar teaser X70 1.5L pasaran Pakistan – daki kawasan berbukit dengan ketinggian 7,500 kaki

    Gandingan unit janakuasa seperti ini adalah sama seperti unit janakuasa SUV segmen-B Geely Binyue (yang bakal dijelmakan sebagai Proton X50). Ia menampilkan enjin 3G15TD 1.5 liter tiga silinder berkuasa 174 hp/255 Nm, yang bukan sahaja menjana Binyue, malah terdapat dalam perut Boyue Pro dan Volvo XC40.

    Manakala untuk kotak gear, unit yang digunakan adalah sama seperti X70 CKD pasaran Malaysia yang baru sahaja dilancarkan bulan ini – dihasilkan oleh Geely bersama Volvo, menggunakan sistem klac basah dengan tujuh-kelajuan, berbeza dengan sistem bermasalah klac kering yang pernah digunakan oleh Volkswagen dan Ford sebelum ini.

    Menurut portal tersebut lagi, pilihan janakuasa dengan kapasiti lebih kecil ini dipilih untuk pasaran Pakistan adalah untuk mendapatkan cukai yang lebih rendah (cukai dikenakan pada negara berkenaan adalah berdasarkan kapasiti enjin), seterusnya membolehkan model ini dijual pada harga lebih kompetitif.

    Laporan sebelum ini turut mendedahkan Proton turut akan membawa Saga ke pasaran negara tersebut tetapi dengan enjin 1,299 cc, berbanding model pasaran Malaysia yang dijana enjin 1,332 cc, juga dengan alasan yang sama di mana kereta dengan kapasiti enjin di bawah 1.3 liter akan dikenakan cukai lebih rendah.

    Proton telah mengumumkan akan menjalankan operasi CKD di Pakistan buat pertama kali pada pada Mac 2019. Kilang tesebut akan dibina dan dimiliki oleh Al-Haj Automotive di Karachi dengan pelaburan awal bernilai US$30 juta (RM126 juta), dan bakal memulakan operasi sepenuhnya sebelum akhir tahun ini. Selain dari operasi ini, perjanjian tersebut turut menyebut bahawa Al-Haj akan menjadi pengedar tunggal Proton di Pakistan.

    Pada April 2019 pula, Proton telah bertukar dokumen dengan Al-Haj berkenaan lesen dan perjanjian bantuan teknikal untuk pembangunan kilang di Karachi berkenaan. Majlis di Beijing tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-7 Tun Dr Mahathir Mohamed yang ketika itu sedang menghadiri forum Satu Jalur Satu Jalan, bersama Pengerusi Geely, Li Shufu.

    SUV X70 dengan enjin 1.5L turbo ini dijangka akan dilancarkan di Pakistan sama ada pada akhir tahun ini atau awal tahun hadapan, dan ia akan diperkenalkan sekali dengan Proton Saga, menurut CarSpirit.pk lagi.

     
     
  • Proton Saga kereta paling laris di M’sia untuk Mei 2020

    Proton telah mengumumkan bahawa model mampu milik mereka, Proton Saga adalah kereta paling laris di Malaysia untuk bulan Mei tahun 2020. Selepas disegarkan semula pada Ogos tahun lalu, Saga merupakan antara model Proton yang menunjukkan prestasi jualan konsisten selain dari SUV Proton X70.

    Angka jualan rasmi keseluruhan masih lagi belum dikeluarkan (buat masa sekarang), namun boleh dijangkakan jumlah jualan Saga akan mencatatkan angka yang lebih baik berbanding Perodua Myvi yang diumumkan sudah dijual dengan jumlah 2,612 sepanjang bulan lalu.

    Proton juga kini sedang menawarkan duit raya berjumlah RM288 untuk pelanggan yang menempah Saga secara atas talian menerusi laman sesawang rasmi mereka dengan bayaran hanya RM9.99. Model ini hadir dengan tiga varian bermula dengan Saga Standard MT berharga RM32,800, Saga Standard AT berharga RM35,800 dan Saga Premium AT berharga RM39,800 – kesemua harga ini adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Kesemua varian berkenaan dijana oleh enjin 1.3 liter VVT berkuasa 95 PS dan tork maksima 120 Nm. Model dengan kotak gear manual kekal dengan transmisi lima-kelajuan, namun versi automatik kini menerima kotak gear 4AT dari Hyundai ketika model facelift ini diperkenalkan bagi menggantikan kotak gear CVT sebelum ini.

     
     
  • Volkswagen Malaysia lancar servis hantar ke rumah

    Volkswagen Malaysia lancar servis hantar ke rumah

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) yang giat melancarkan program membeli-belah menerusi dalam talian turut melancarkan Servis Penghantaran Ke Rumah Seluruh Negara. Telah pun bermula, ini membuka peluang kepada para pelanggan untuk memilih penghantaran terus ke rumah selepas selesai menguruskan pembelian mana-mana model baharu Volkswagen. Perkhidmatan ini diberikan oleh semua wakil pengedar VW di seluruh negara.

    Menurut VPCM, penghantaran adalah percuma jika lokasi pelanggan dalam lingkungan 20 km radius daripada wakil pengedar. Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, “Dengan pengenalan perkhidmatan sebegini, ia memudahkan para pelanggan untuk membeli model Volkswagen dengan lebih selesa dan selamat berhampiran rumah mereka.”

    Beliau turut menambah, “Malah ia semudah memilih model yang diinginkan menerusi eShowroom, melakukan proses jualan dan kereta baharu akan terus dihantar ke rumah masing-masing.”

    Semua kereta baharu akan dihantar dengan trak single flatbed yang ditutup dengan kanvas. Malahan ini merupakan sebahagian daripada kempen VPCM Safe Hand, iaitu prosedur tanpa sentuhan untuk aktiviti jualan dan selepas jualan yang telah diimplementasikan. Perkhidmatan penghantaran ini juga mematuhi langkah keselamatan yang ketat, termasuk trak tersebut akan dinyahkuman sebelum dan selepas setiap kali melakukan penghantaran.

     
     
  • Perodua daftar 7,886 kereta sepanjang Mei 2020

    Perodua daftar 7,886 kereta sepanjang Mei 2020

    Walau pun negara sedang berperang melawan penularan COVID-19, sehingga banyak sektor ekonomi turut terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ini tidak menghalang Perodua untuk mencatatkan prestasi jualannya. Sepanjang Mei 2020, Perodua mencatat jualan 7,886 kenderaan pada Mei 2020, membawa jumlah jualan setakat tahun ini (YTD) kepada 52,920 unit. Berdasarkan jumlah keseluruhan industri YTD yang dianggarkan 129,401 unit, Perodua menguasai 41% bahagian pasaran YTD.

    Jualan Mei terdiri daripada 2,612 Myvi, 2,028 Axia, 1,820 Bezza, 950 Aruz dan 476 Alza. Perodua berjaya menjual 8,601 kenderaan dalam bulan Mac sebelum PKP berkuatkuasa pada 18 Mac.

    “Kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami yang dihargai atas kesetiaan dan sokongan mereka. Kami akan memastikan semua keperluan serta kehendak permotoran anda dapat dipenuhi dengan selamat dan segera. Kami yakin dapat memenuhi permintaan anda dalam masa yang terdekat,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua daftar 7,886 kereta sepanjang Mei 2020

    Sambungnya lagi, ““Dalam era penjarakkan sosial dan tahap kesedaran kebersihan yang tinggi, pengangkutan persendirian memainkan peranan yang lebih penting. Kenderaan diperlukan untuk perjalanan singkat dan dekat bagi membeli keperluan rumah. Pemandu e-hailing juga telah bermula menggunakan kenderaan mereka untuk menghantar barang di samping mengangkut penumpang.

    “Kenderaan Perodua amatlah sesuai untuk tujuan-tujuan tersebut, kerana kompak, mampu milik, cekap bahan api, boleh dipercayai, luas dan mudah dipandu.”

    Sepanjang Jun 2020, Perodua telah menawarkan kempen ‘Sambutan Bermakna Perodua’ dengan penebusan tunai khas sehingga RM1,300 untuk Aruz dan varian Myvi terpilih. Sementara pembeli model lain akan mendapat e-baucar RM300 yang boleh ditebus untuk pembelian alat ganti dan aksesori terpilih di mana-mana pusat servis Perodua yang sah.

     
     
  • GALERI: Mercedes-AMG A 35 4Matic W177 di Malaysia

    GALERI: Mercedes-AMG A 35 4Matic W177 di Malaysia

    Ini sebuah lagi model yang baru saja diperkenalkan oleh Mercedes-Benz untuk pasaran Malaysia, Mercedes-AMG A35 4Matic hatchback sebagai tambahan kepada model sedannya yang sudah pun masuk ke pasaran sini tahun lalu.

    Untuk Malaysia, A35 ini ditawarkan dalam versi Edition 1, dilengkapi dengan pakej AMG Aerodynamics, AMG Night Package serta rim AMG 19 inci. Harga jualan Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 ini adalah RM379,888 tidak termasuk insurans.

    Enjin yang digunakan pada model hatchback ini adalah sama dengan versi sedan, iaitu unit petrol empat-silinder turbo 2.0 liter M260, yang mampu menghasilkan kuasa 306 hp pada 5,800 rpm dan 400 Nm tork dari 3,000 hingga 4,000 rpm.

    GALERI: Mercedes-AMG A 35 4Matic W177 di Malaysia

    Transmisi pula adalah unit AMG Speedshift 7G tujuh-kelajuan yang digabungkan dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic yang mampu menghantar 50% tork ke roda belakang melalui klac multi-plat elektro-mekanikal. Dengan fungsi Race Start, A 35 hatchback boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat (0.1 saat lebih pantas daripada versi sedan).

    Berikut merupakan galeri terperinci model ini. Untuk perincian lanjut tentang spesifikasi dan penawaran lainnya, boleh rujuk laporan pelancarannya.

     
     
  • Toyota Hilux facelift dilapor akan terima 205 PS/500 Nm dari enjin 2.8 liter turbodiesel, muncul 4 Jun ini

    Semalam, Toyota UK telah menyiarkan video teaser untuk Hilux facelift 2020 yang diuji oleh bekas pemandu Formula 1 yang kini berlumba dalam Rali Dakar dengan pasukan Toyota Gazoo Racing, serta menyatakan bahawa enjin 2.8 liter pada trak pikap tersebut akan menjana lebih kuasa.

    Persoalannya, berapa besar tambahan kuasa yang akan diberikan tersebut? Menurut laporan portal dari Thailand, Headlightmag, model 2.8 liter berkenaan masih akan dijana oleh enjin turbodiesel 1GD-FTV. Namun dengan sentuhan semula yang diberikan, ia mampu menjana kuasa 205 PS dan tork maksima 500 Nm.

    Ini bermaksud, tingkat taraf yang diberikan membolehkan enjin berkenaan mengekstrak 27 PS dan 50 Nm lebih dari jumlah sebelum ini dengan hanya 177 PS/450 Nm, dan Hilux bakal mempunyai tenaga yang sama seperti trak pikap berprestsi tinggi Ford Ranger Raptor.

    Toyota Hilux facelift  dilapor akan terima 205 PS/500 Nm dari enjin 2.8 liter turbodiesel, muncul 4 Jun ini

    Laporan portal berkenaan turut menyebut bahawa model ini akan didedahkan pada 4 Jun ini, bersama-sama SUV Toyota Fortuner, juga dijana enjin yang sama. Walau bagaimanapun, versi dengan enjin 2.4 liter turbodiesel masih dijana oleh enjin sama menghasilkan 150 PS dengan tork 343 Nm untuk versi kotak gear manual dan 400 Nm untuk model yang diberikan kotak gear automatik.

    Menurut Toyota Eropah, unit Hilux prototaip yang diuji Fernando Alonso berkenaan bukan sahaja dijana oleh enjin lebih berkuasa, malah turut hadir dengan geometri suspensi baharu.

    “Enjin 2.8 liter baharu ini memberikan respon yang sangat baik dan suspensi baharu dirasakan sangat bagus. Walaupun anda pandu Hilux ini pada tahap maksimum, ia masih lagi selesa. Saya rasa Hilux baharu ini akan sukar untuk dikalahkan,” kata Alonso.

    Dalam pendedahan sebelum ini, dapat dilihat rupa Hilux facelift ini juga menerima rombakan yang besar, menampilkan lampu hadapan Bi-beam LED, lampu kombinasi belakang dengan grafik LED berbentuk-B, rim aloi 18-inci baharu, serta dilengkapi Toyota Safety Sense, dan berberapa warna badan baharu.

     
     
  • Toyota RAV4 akan tiba di Malaysia tak lama lagi?

    Toyota RAV4 akan tiba di Malaysia tak lama lagi?

    Sejak semalam, 1 Jun 2020, suasana automotif di Malaysia nampak meriah betul. Maklumlah selepas PKP yang ketat sebelum ini, kini banyak perniagaan sudah memulakan operasi. Lebih penting, sejak semalam juga, banyak model-model baru diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, walaupun bukan lagi dalam cara yang biasa ia diadakan.

    Jika anda terlepas pandang, Mercedes-Benz sahaja melancarkan tiga model kompak AMG yang menawan — Mercedes-AMG A45 S 4Matic+, CLA45 S 4Matic+ dan A 35 4Matic. Selain itu, semalam juga Subaru Malaysia perkenalkan Forester GT Edition 2020. Dan, hari ini, Honda Malaysia pula memperkenalkan secara rasmi model BR-V facelift 2020.

    Tentulah, akan banyak lagi model baru yang menyusul. Diam-diam, antara yang paling menarik perhatian sebenarnya adalah dari Toyota. Melalui laman web rasmi, walaupun sedikit agak tersorok iklan teasernya, model RAV4 mula ditunjukkan dengan pesan “Coming Soon”. Tak ada pautan atau maklumat lanjut tentang itu, tetapi ia seolah-oleh mengesahkan bahawa SUV berkenaan akan tiba di Malaysia secara rasmi dalam masa terdekat.

    Toyota RAV4 akan tiba di Malaysia tak lama lagi?

    Toyota RAV4 baru ini diletakkan atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Dengan itu, ia dapat menggunakan suspensi multi-link di belakang, yang menurut Toyota, dapat memberikan pengendalian, kawalan serta NVH yang lebih baik.

    Hujung tahun lalu, model ini dipilih sebagai pemenang bagi anugerah Kereta Tahunan Jepun 2019. RAV4 layak kerana “ia memenuhi semua keperluan di peringkat tinggi”, dan juga ditawarkan dengan tiga jenis sistem pacuan semua-roda. Lain-lain daya penariknya termasuklah pengendaliannya yang selesa, harganya, ruang penyimpanan barang dan modul komunikasi data eksklusif di Jepun.

    Untuk versi pasaran Malaysia, belum ada perincian lanjut yang didedahkan. Untuk itu, terus bertenang dan perhatikan ruang ini untuk kemaskini berkaitannya nanti.

     
     
  • GALERI: Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ di Malaysia – RM448,888, 2.0L turbo 421 PS/500 Nm dan Drift Mode

    GALERI: Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ di Malaysia – RM448,888, 2.0L turbo 421 PS/500 Nm dan Drift Mode

    Semalam, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun melancarkan tiga model A-Class generasi baharu talaan AMG iaitu model hatchback A45 S, versi lebih rendah A35 dan juga coupe empat-pintu CLA45 S. Namun disebabkan negara masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pelancaran tersebut hanya dilakukan secara digital dan set gambar yang kami dapat adalah dari rasmi dari MBM sendiri.

    Hari ini jurugambar profesional kami, Shermen Sim telahpun diberi kesempatan untuk merakamkan dengan lebih terperinci tiga model berkenaan. Jadi, ini adalah galeri lengkap Mercedes-AMG CLA45 S, manakala A 45 S pula anda boleh lihat pada PAUTAN INI.

    Tidak seperti model generasi sebelumnya, AMG 45 kini hadir dalam dua versi iaitu model standard juga versi paling berkuasa dengan lencana S. Pasaran Malaysia tidak ditawarkan dengan model standard, sebaliknya hanya menerima model paling liar Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM448,888.

    CLA45 S generasi C118 ini dijana oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo M139 baharu, menjana 421 PS dan tork maksima 500 Nm. Untuk model standard yang tidak ditawarkan di sini, ia masih diberikan enjin sama tetapi dengan talaan kuasa hanya sedikit tinggi dari model generasi sebelumnya iaitu 387 hp/480 Nm.

    Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift 8G, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic+. Ini membolehkan CLA45 S memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 270 km/j.

    Dengan kuasa yang lebih besar serta sistem pacuan semua roda 4Matic+ yang lebih dinamik, CLA45 generasi baharu ini hadir dengan ‘Drift Mode’ membolehkan ia menggelangsar seakan kereta rali. Mod berkenaan dapat dihasilkan menerusi teknologi yang digelar AMG Torque Control. Menerusi teknologi ini, CLA45 dibekalkan dengan gandar belakang baharu yang dilengkapi klac pelbagai cakera. Lebih informasi berkenaan teknikal jentera ini boleh anda baca pada artikel utama pada PAUTAN INI.

    GALERI: Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ di Malaysia – RM448,888, 2.0L turbo 421 PS/500 Nm dan Drift Mode

    Walaupun diasaskan dari kerangka yang sama, CLA45 AMG tampil dengan rupa yang jauh lebih liar dari CLA biasa. Bahagian muka, seperti model-model tertinggi AMG lain, ia menerima gril Panamericana diapit oleh lampu hadapan Multibeam LED. Bampar hadapan juga hadir dengan liang kemasukan udara yang besar bersama apron yang kelihatan seperti sayap jet.

    Dengan trek roda yang lebih lebar, fender hadapan CLA 45 ini juga direka lebih gemuk dari CLA standard. Di belakang, bamparnya diberikan elemen diffuser dengan perumah untuk menempatkan sepasang tip ekzos bulat bersaiz besar. Lencana ‘S’ turut diberikan pada bahagian belakang bagi memberikan amaran ia adalah dari versi paling ganas, serta hadir dengan rim berdiameter 19-inci.

    Pada bahagian dalaman, rekaan asas kabin A-Class masih jelas kelihatan, dengan skrin sistem infotaimen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) sebagai bintang utama. Seperti biasa, model AMG sebenar ini akan diberikan sentuhan perlumbaan dengan tempat duduk Sport bersama upholsteri kulit buatan Artico hitam dan gentian mikro Dinamica.

    GALERI: Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ di Malaysia – RM448,888, 2.0L turbo 421 PS/500 Nm dan Drift Mode

    Kabin CLA 45 yang muncul ketika dilancarkan ini menerima serlahan-serlahan merah pada bahagian tertentu seperti tali pinggang keledar, dan liang penghawa dingin. Ia turut dipadankan dengan roda stereng AMG Performance, bersama paparan instrumen AMG di belakangnya, yang hadir dengan tema Classis, Sport dan Supersport.

    Paparan istimewa tersebut juga boleh memaparkan informasi-informasi lebih istimewa seperti jumlah G-Force ketika mengambil selekoh dan jam randik. Manakala sistem MBUX pada hot-hatch ini hadir dengan fungsi tambahan AMG Track Pace, iaitu sistem yang mampu untuk merekod lebih dari 80 data spesifik ketika kereta tersebut dipandu di litar, termasuk rekod masa lap dan juga masa sektor dalam warna merah atau hijau.

     
     
  • GALERI: Mercedes-AMG A45S 4Matic+ W177 di M’sia

    GALERI: Mercedes-AMG A45S 4Matic+ W177 di M’sia

    Mercedes-AMG A45S 4Matic+ dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan semalam bersama dua lagi model kompak prestasi lain, iaitu CLA45 S 4Matic+ dan juga A35S 4Matic. Harga jualannya ialah RM459,888.

    Ia dilengkapi enjin M139 2.0 liter yang baru dibangunkan, menjadi antara enjin empat-silinder turbocas paling berkuasa pernah dihasilkan dengan janaan 421 PS – ini mecatatkan peningkatan sebanyak 40 PS. Jumlah tork juga diberi pertambahan; daripada 475 Nm kepada 500 Nm bagi model terbaru ini. Enjin berkenaan digandingkan pula dengan sistem transmisi AMG Speedshift DCT-8G klac berkembar baru dengan lapan-kelajuan.

    GALERI: Mercedes-AMG A45S 4Matic+ W177 di M’sia

    Unit berkenaan membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum 270 km/h. Unit enjin baru ini dikilang menggunakan prinsip atau mendekatan “One Man, One Engine” di Affalterbach.

    Untuk pasaran Malaysia, A 35 4Matic dan A 45 S 4Matic+ di datangkan dengan pakej terhad Edition 1. Ini memberikan penampilan yang lebih agresif bagi A 45 S 4Matic+; apron depan yang khusus, gril AMG dengan perincian perak serta bonet dengan rekaan “kubah” khas, rim aloi 19-inci AMG lima-jejari dalam hitam kesat dan kaliper brek merah serta ekzos berkembar yang membezakannya daripada A 35 4Matic. A 45 S ditawarkan dalam dua warna — designo mountain grey magno dengan perincian kuning matahari dan satu lagi, sebaliknya.

     
     
  • Toyota Corolla 2020 dapat Paparan Audio 9-inci baharu – sokongan Android Auto, Apple CarPlay; lebih RM3k

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah memberikan sedikit kemas kini untuk model Toyota Corolla 2020 yang hadir dengan unit utama Paparan Audio untuk varian tertinggi 1.8G. Dengan semakan ini, 1.8G kini dijual pada harga 139,888 atas jalan tanpa insurans, di mana ia lebih RM3,000 berbanding sebelum ini.

    Unit utama ini lebih kurang sama seperti yang ditampilkan pada Fortuner dan Innova, dengan skrin sesentuh sembilan-inci yang turut menerima sokongan Android Auto, Apple CarPlay dan Miracast. Walau bagaimana pun, tiada perubahan untuk varian asas 1.8E, yang masih dikekalkan dengan sistem 6.8-inci yang sama.

    Malah harga untuk 1.8E juga kekal pada paras 128,888 dan tidak didatangkan dengan pilihan untuk memasang sistem Paparan Audio dengan kos tambahan. Senarai aksesori tambahan juga masih kekal sama, termasuk paparan pandangan panoramik 3D (RM2,700), perakam video digital hadapan dan belakang (RM1,100) dan Sistem Telematik Kenderaan (VTS berharga RM1,450.

    Toyota Corolla 2020 dapat Paparan Audio 9-inci baharu – sokongan Android Auto, Apple CarPlay; lebih RM3k

    Lain-lain spesifikasi untuk kedua-dua varian masih kekal sama seperti sebelum ini, termasuklah enjin 2ZR-FE 1.8 liter empat-silinder petrol dengan 139 PS (137 hp) dan tork 173 Nm. Ia dipadankan dengan Shiftmatic CVT yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan, bersama dua mod pemanduan (Sport dan Eco).

    1.8E menerima lampu utama halogen larasan manual, roda aloi 16-inci (dengan tayar siri 205/55) lampu belakang LED, kamera undur serta penderia parkir hadapan dan belakang serta lampu kabus untuk ciri standard.

    Lain-lain ciri termasuklah kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, paparan kluster instrumen TFT LCD 6.8-inci, kawalan suhu automatik zon-tunggal dengan corong di belakang, unit utama skrin sesentuh 6.8-inci dengan enam-pembesar suara, balutan upholstery kulit rona hitam dan tempat duduk pemandu dengan larasan berkuasa lapan-hala.

    Ciri tambahan untuk varian 1.8G termasuklah lampu utama projektor LED, roda aloi 17-inc (dengan tayar 225/45), paparan instrumen Optitron tujuh-inci, kawalan suhu dwi-zon, balutan upholstery kulit rona itam, brek parkir elektronik (dengan penahan auto), pedal penukar gear, tirai tingkap sisi belakang, pengecas tanpa wayar Qi, paparan pandangan panoramik 3D, VTS dan perakam video digital.

    Bagi aspek keselamatan, kedua-dua varian 1.8E dan 1.8G didatangkan dengan tujuh beg udara (hadapan, tirai sisi dan lutut pemandu), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), ABS dengan EBD dan bantuan brek, Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak Isofix.

    1.8G turut ditambah dengan sistem bantuan pemandu dan keselamatan Toyota Safety Sense. Ini termasuklah Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Kepekaan Ketibaan Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng dan Bantuan Kesan Lorong (LTA), Kawalan Kelajuan Radar Dinamik (DRCC), Lampu Tinggi Automatik (AHB) dan Pemantauan Titik Buta (BSM).

     
     
  • Honda BR-V facelift 2020 kini di Malaysia, dari RM90k

    Honda BR-V facelift 2020 kini di Malaysia, dari RM90k

    Honda Malaysia dengan rasminya memperkenalkan Honda BR-V 2020, tiga bulan selepas model MPV tujuh-tempat duduk ini dibuka untuk tempahan. Sama seperti sebelum ini, hanya dua varian ditawarkan, bermula dengan BR-V E berharga RM89,900 dan varian paling tinggi, V pada harga RM96,900.

    Kedua-dua harga ini lebih tinggi daripada penawaran terdahulu. BR-V E dikenakan harga RM8,911 (+11%) lebih tinggi daripada yang lama, sementara varian V pula RM9,199 (+10.5%) lebih tinggi. Ini berikutan kenaikan harga yang diumumkan oleh Honda Malaysia pada Februari lalu, yang menyaksikan harga bagi Jazz, City dan CR-V juga naik.

    Bagaimanapun, kelengkapan pada BR-V baru ini diberi peningkatan selari dengan kenaikan harga itu. Dari luaran, perbezaan yang terlihat tidak terlalu ketara. Antara yang baru ialah gril baru, bampar dikemaskini dengan perincian tambahan di bawah (hanya varian V datang dengan lampu kabus), rim aloi 16-inci baru dengan tayar 195/60, antena “shark fin” serta bampar belakang baru dengan pemantul cahaya menegak.

    Honda BR-V facelift 2020 kini di Malaysia, dari RM90k

    Di dalam, kelengkapan seperti tweeter, pencahayaan kabin, penapis kabin, pendingin hawa automatik, sistem tanpa kunci dan butang Push Start adalah standard. Sementara bagi varian V, ia menerima sistem paparan audio tujuh-inci baru, kerusi kulit dengan perincian merah, paddle shifter serta tombol gear kemasan merah. Ciri sedia ada seperti lipatan kerusi 60:40 sekali sentuh dan tumble function bagi kerusi barisan kedua dan tiga masih dikekalkan.

    Enjin masih sama, menggunakan unit 1.5 liter empat-silinder SOHC i-VTEC yang menghasilkan 120 PS pada 6,600 rpm dan 145 Nm pada 4,600 rpm yang dipadankan dengan transmisi CVT. Kelengkapan keselamatan juga kekal sama; dua beg udara depan, ABS dengan EBD, dua Isofix di barisan kedua serta tujuh tali keledar tiga-poin.

     
     
  • Pindaan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk sudah dibentang kepada Menteri Pengangkutan

    Kes kemalangan maut yang disebabkan pemandu mabuk bukan isu retorik politik seperti yang dianggap sesetengah pihak. Perkara ini benar-benar sedang parah dan pemandu mabuk seakan torpedo yang ditembak membabi buta yang akan mengorbankan pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah, tidak mengira siapapun anda.

    Mengikut rekod dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sendiri, dari Januari hingga Mei tahun ini sahaja (walaupun sekitar dua bulan rakyat Malaysia ‘dikurung’ tidak boleh keluar malam kerana Perintah Kawalan Pergerakan), sebanyak sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk ini telah dilaporkan.

    Justeru, kerajaan perlu segera menangani perbuatan mereka yang langsung tidak bertanggungjawab ini. Pihak yang kita harapkan iaitu Kementerian Pengangkutan (MoT) nampak sudah memulakan langkah mereka – selepas menjalankan kaji selidik untuk mengumpul pendapat dari orang awam bulan lalu, semalam satu mensyuarat khas bersama agensi-agensi di bawah MoT telah pun berlangsung.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Dr. Wee Ka Siong, mensyuarat pada 1 Jun berkenaan adalah untuk membincangkan secara terperinci mengenai cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), khususnya mengenai pemanduan di bawah pengaruh alkohol/dadah/merbahaya.

    Pindaan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk sudah dibentang kepada Menteri Pengangkutan

    “Pindaan kepada Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta 333 ini dalam proses untuk dimuktamadkan sebelum dibentangkan kepada Kabinet dan seterusnya dapat dibawa ke Parlimen untuk kelulusan. Ini adalah semata-mata demi kepentingan serta kebaikan rakyat dan negara secara menyeluruh.

    “Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa isu ini amat serius bagi Kementerian Pengangkutan. Apa yang saya boleh katakan buat masa sekarang, hukuman lebih berat akan dikenakan kepada mereka yang disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta 333,” jelasnya dalam satu hantaran pada laman facebook rasmi beliau.

    Dr. Wee turut memberitahu, sebagai langkah untuk mencegah perkara ini bukan sahaja hukuman lebih berat akan diberikan kepada mereka yang telah ditangkap selepas terlibat dalam kemalangan, malah MoT turut menfokuskan kepada pindaan akta dari segi mengenakan hukuman yang lebih berat dan mengetatkan paras nilai ambang pengaruh alkohol dalam darah/pernafasan/air kencing, serta terhadap kependidikan iaitu memberi kesedaran awam mengenai betapa pentingnya menjadi pemandu yang bertanggungjawab.

    Beliau menegaskan bahawa usaha ini memerlukan peranan semua pihak agar masyarakat kita dapat dididik sedari usia kecil mengenai keselamatan jalan raya.

    “Saya ingin ingatkan kepada pengguna jalan raya supaya jadilah pemandu bertanggungjawab dengan tidak memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol atau dadah atau memandu secara merbahaya. Janganlah menggadaikan keselamatan serta nyawa diri sendiri, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain,” tambahnya.

    Pindaan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk sudah dibentang kepada Menteri Pengangkutan

    Menerusi kenyataan yang dibuat minggu lalu, menteri berkenaan mengatakan bahawa pindaan untuk hukuman lebih berat terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut perlu disegerakan dan mestilah dimuktamadkan pada pertengahan bulan ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Bin Haji Hassan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan minggu lalu, langkah segera yang akan diambil ialah memastikan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan dibawa ke persidangan Parlimen terdekat.

    Beliau juga berkata, sebagai langkah pencegahan (deterrent), pihak kerajaan akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara supaya kes yang melibatkan kematian angkara pemandu mabuk turut disiasat dan dituduh mengikut Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 302, iaitu menyebabkan kematian dengan sengaja ataupun Seksyen 307, iaitu cubaan membunuh dengan niat.

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tempoh hari turut senada dengan perkara berkenaan dan telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan akta berkenaan secepat yang mungkin.

     
     
  • Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition didedah – model edisi terhad dengan bumbung & ciri ikonik

    Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition didedah – model edisi terhad dengan bumbung & ciri ikonik

    Pengenalan Porsche 911 Targa 4S untuk model generasi baharu 992 pada bulan lalu sebenarnya sudah cukup untuk mengimbau rekaan ikonik pengeluar kereta sport dari Jerman ini. Namun tidak cukup dengan itu, Porsche kini memperkenalkan pula model edisi terhad yang digelar 911 Targa 4 Heritage Design Edition bagi memperingati lagi rekaan-rekaan warisan jenama berkenaan.

    Model istimewa ini hanya dihasilkan sebanyak 992 unit di seluruh dunia. Dihasilkan oleh Porsche Exclusive Manufaktur, ia tampil dengan rekaan bersejarah Porsche pada bahagian luaran dan dalaman dengan mengambil inspirasi dari model-model ikonik dari era 1950’an dan awal 1960’an.

    Rekaan ‘Targa Top’ – iaitu rekaan bumbung boleh buka tetapi masih mengekalkan tiang-B keras – yang begitu sinonim dengan Porsche 911 dikekalkan pada versi ini. Lima warna badan ditawarkan dan warna Cherry Metallic tampil sebagai warna hero.

    Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition didedah – model edisi terhad dengan bumbung & ciri ikonik

    Kemudian ia diberikan princian-perincian untuk memperingati model-model klasik Porsche seperti emblem dan logo berwarna emas seperti model-model era 50’an, serta rim 20/21-inci Carrera Exclusive Design yang diilhamkan dari rim Fuchs Porsche Turbo klasik.

    Model istimewa ini juga diberikan grafik badan seperti livery perlumbaan Porsche ketika zaman awal mereka berlumba, serta lencana Porsche Heritage pada ruang kargo seperti lencana yang dianugerahkan kepada model klasik Porsche 356 apabila ia mencecah perbatuan 100,000 km.

    Dalam kabin pula model istimewa ini hadir dengan warna dua tona sama ada dengan kulit Bordeaux Red atau hitam digandingkan dengan kulit OLEA club berwarna Atacama Beige. Fabrik Corduroy turut digunakan pada tempat duduk dan kemasan pintu yang bukan sahaja memberikan suasana era 50’an, tetapi juga sebagai ‘meniru’ material yang digunakan pada Porsche 356.

    Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition didedah – model edisi terhad dengan bumbung & ciri ikonik

    Walaupun panel instrumen kekal moden dengan penggunaan teknologi digital sepenuhnya, ia tetap diberikan perisa klasik pada rekaan grafiknya, dibantu dengan jam randik yang menyala dengan cahaya hijau. Nombor unik berlainan untuk setiap unik diletakkan pada kemasan papan pemuka model ini.

    Model edisi terhad ini juga diberikan emblem ‘Porsche Crest’ klasik yang diperkenalkan pada tahun 1963. Ia boleh ditemui ditekap pada perehat kepala tempat duduk dan sarung kunci, serta pada bonet, penutup tengah rim, roda stereng dan juga pada kunci.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan di mana model Heritage Design Edition ini kekal digerakkan penjana sama dengan Targa 4S, iaitu enjin boxer enam-silinder 3.0 liter berkuasa 450 PS dan tork maksima 530 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik PDK lapan-kelajuan, dan kuasa diagihkan ke kesemua roda. Dengan sistem launch control, kereta ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.6 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 304 km/j.

    Porsche turut memperkenalkan jam tangan 911 Targa 4S Heritage Design Edition Chronograph yang dihasilkan khas untuk pemilik-pemilik Targa 4S Heritage Design Edition ini.

    Di Amerika Syarikat, Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition dijual pada harga bermula US$180,600 (RM776,724), dan ia dijangka akan mula dihantar kepada pelanggan pada lewat tahun ini. Nak sekali dengan jam? Anda perlu menambah lagi bayaran sebanyak US$14,000 (RM60,211) untuk mendapatkannya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026