Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • MBPJ siasat ejen jual kupon parkir lebih mahal

    MBPJ siasat ejen jual kupon parkir lebih mahal

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah memulakan siasatan ke atas ejen yang menjual kupon parkir melebihi harga yang ditetapkan iaitu RM6. Tindakan akan diambil sekiranya MBPJ mendapati ada ejen yang menyalahgunakan tanggungjawab ini dengan mengenakan caj lebih terhadap jualan kupon parkir ini.

    Menurut jurucakap Jabatan Kewangan MBPJ, siasatan ini dilakukan apabila pihak majlis menerima aduan daripada orang ramai berhubung ada ejen yang menjual buku kupon parkir yang mengandungi 10 helaian tiket tersebut pada harga RM6.50, laporan The Sun.

    Ahli Majlis Bukit Gasing Rajiv Rishiyakaran pula berkata, setakat ini beliau tidak menerima sebarang aduan mengenai perkara ini. Walau bagaimana pun, katanya, orang ramai yang berhadapan dengan isu ini boleh mengemukakan aduan kepada pihak majlis tempatan.

    Sistem parkir berkupon telah diperkenalkan oleh MPBJ sejak 20 tahun lalu, namun ia pernah ditamatkan pada awal tahun 90an, kemudian dilaksanakan semula. Ia merupakan alternatif pembayaran parkir selain menggunakan meter seperti yang masih digunakan sehingga kini.

     
     
  • Honda reka mesin rumput Civic Type R dan Fireblade sempena ulangtahun ke-25 jentera lagenda tersebut

    Honda reka mesin rumput Civic Type R dan Fireblade sempena ulangtahun ke-25 jentera lagenda tersebut

    Selain dari sektor automotif, Honda sebenarnya turut menghasilkan pelbagai produk lain seperti generator elektrik, bot malah Jet peribadi dan juga robot Asimo. Satu lagi produk Honda yang popular adalah mesin rumput – satu produk yang sering dijadikan jenaka dalam dunia modifikasi kereta-kereta Honda.

    Namun, jenaka berkenaan nampaknya diambil positif oleh pihak Honda dan benar-benar menghasilkan mesin rumput Civic Type R! Bukan sahaja muncul dalam versi CTR, malah Honda turut menghasilkan dalam versi superbike Honda Fireblade, sempena ulang tahun ke-25 legenda Type R dan Fireblade yang diraikan tahun ini.

    Kedua-dua versi mesin rumput ini diasaskan dari model Miimo, iaitu mesin rumput robotik yang mampu beroperasi secara automatik tanpa perlu manusia mengendalikannya. Selain dari tidak perlu menggunakannya secara manual, Miimo turut boleh mengecas bateri lithium-ionnya sendiri.

    Untuk Miimo Civic Type R, ia diberikan warna badan keseluruhan ikonik Championship White, logo ‘H’ dengan latar belakang merah pada hadapan dan belakang, dan logo Type R pada kedua-dua sisi. Ia turut diberikan lampu hadapan dan belakang yang realistik menggunakan 40 LED yang berfungsi, pelekat berbentuk lampu hadapan dan belakang, gril serta bampar depan dan belakang.

    Selain itu, Miimo Civic Type R turut diberikan spoiler belakang yang diperbuat dari bahan kalis air dan turut diberi kemasan pelekat gentian karbon, serta corong logam tahan karat berdiameter 32mm dan 25mm yang dijadikan tip ekzos kembar tiga yang seiras dengan Civic-R FK8 sebenar.

    Bagi Miimo Fireblade pula, ia diberikan skim tiga warna merah-putih-biru pada badan, serta ‘muka’ Fireblade pada bahagian hadapan, bersama logo Honda Racing Corporation (HRC). Ia turut diberikan lampu hadapan dan belakang dengan 45 LED yang berfungsi.

     
     
  • Peugeot 3008 2017 dilancarkan di M’sia – dari RM143k

    Peugeot 3008 2017 dilancarkan di M’sia – dari RM143k

    Seperti yang pernah diuar-uarkan sebelum ini, tempahan bagi Peugeot 3008 telah pun dibuka sejak bulan lalu. Namun ia baru sahaja dilancarkan pagi ini dengan menawarkan dua varian iaitu Active THP dan Allure THP.

    Kedua-dua varian ini dijanakan oleh enjin petrol 1.6L THP 165 S&S dan transmisi automatik enam-kelajuan bersama Tiptronic dan mod Sport, dengan hamburan kuasa 165 hp dan tork 240 Nm. Kuasa pacuan disalurkan ke roda hadapan dan SUV ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 211 km/j yang dikatakan terbaik dalam kelasnya.

    Enjin ini juga dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien dengan catatan 7.0 liter bagi setiap 100 km. SUV ini dibina dengan menggunakan platform Efficient Modular Platform (EMP2) yang sama dengan model 308 terkini.

    Peugeot 3008 2017 dilancarkan di M’sia – dari RM143k

    Bagi ketegaran sistem suspensinya, 3008 2017 ini digandingkan dengan topang Independent MacPherson dan palang anti-olengan ‘drop link‘ untuk bahagian hadapan serta gandar Deformable U-shaped cross member untuk bahagian belakang. Tetapan ini mampu memberikan kemantapan pengendalian yang lebih optimum.

    Pembaharuannya banyak dilakukan pada bahagian luaran dan dalamannya, nampak lebih elegan, kontemporari dan bergaya berbanding model sebelumnya. Bagi varian Active THP, ia menampilkan lampu utama halogen dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus halogen dan lampu belakang LED halogen dengan ‘efek kuku singa’ dan roda aloi ‘Los Angeles’ 18-inci yang dibaluti tayar Continental ContiCrossContact LX2 tyres (225/55).

    Bagi Allure THP iaitu varian dengan spesifikasi tertinggi, pastinya menerima lebih banyak elemen menarik termasuk lampu utama LED penuh dengan lampu nyalaan siang LED, dan lampu membelok jujukan serta pakej luaran GT Line. Selain itu, ia turut menampilkan gril yang berlainan bersama pelindung bampar hadapan dicat dengan warna perak dan kemasan krom pula menghiasi seksyen bawah pada bahagian sisi varian ini.

    Menjengah bahagian kabinnya, kedua-dua varian dilengkapi dengan Peugeot i-Cockpit berserta rekaan yang lebih bergaya terutamanya jelas kelihatan pada suis ala piano, roda stereng berbentuk segi empat tepat dan tuil gear yang direka menarik. Malah ia juga menampilkan butang dial rotary Advanced Grip Control (terletak di sebelah butang kawalan menurun bukit) yang membenarkan pemandu memilih lima mod pemanduan.

    Selain itu, ia juga menampilkan banyak elemen teknologi termasuk kluster instrumen digital 12.3-inci, dengan paparan definisi tinggi yang memaparkan informasi pemanduan. Malahan turut mengetengahkan skrin sesentuh lapan-inci pada papan pemuka yang menyalurkan infotaimen serta kawalan suhu dwi-zon (dengan corong belakang).

    Ia juga menawarkan elemen termasuk sambungan Android Auto, Apple CarPlay dan MirrorLink. Lain-lain elemen yang ditampilkan termasuklah sambungan Bluetooth dan USB, brek parkir elektronik serta sistem bunyi 3D Arkamys bersama enam pembesar suara.

    Memiliki kekemasan yang sedikit berbeza pada Allure dengan menampilkan tempat duduk balutan kulit dengan larasan berkuasa lapan-hala untuk tempat duduk pemandu. Manakala varian Active THP dilengkapi dengan tempat duduk fabrik Mistral Meco dengan operasi manual untuk tempat duduk hadapan. Bagi ruang butnya pula, ia berkapasiti 520 liter, namun dapat dipertingkatkan sehingga 1,670 liter sekiranya tempat duduk belakang yang memiliki fungsi ‘Magic Flat’ dibaringkan secara rata.

    Untuk aspek keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek Kecemasan, kawalan Cengkaman, Kawalan Kestabilan Dinamik, Program Kestabilan Elektronik, Bantuan Mendaki Bukit, Bantuan Kekal Lorong, pengesan parkir hadapan dan belakang serta kamera undur. Dengan elemen keselamatan yang dianggap lengkap ini turut membolehkan 3008 2017 menerima penarafan lima-bintang dari Program Penilaian Kenderaan Baharu Australia (ANCAP).

    Bagi Active THP, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM142,888 tanpa insurans, manakala RM155,888 bagi Allure THP. Harga ini adalah termasuk waranti lima-tahun/120,000 km serta servis 24 jam Peugeot Assistance. Ia turut menawarkan lima pilihan warna menarik iaitu Metallic Copper, Magnetic Blue, Amazonite Grey, Ultimate Red dan Pearl White. Walau bagaimana pun, dua warna pilihan terakhir itu dikenakan kos tambahan sebanyak RM1,590 bagi SUV yang diimport sepenuhnya ini.

    Anda juga boleh melihat spesifikasi lanjut berkenaan Peugeot 3008 baru ini di CarBase.my dan membandingkannya dengan kenderaan lain untuk membuat pilihan. Lihat juga video pandangan awal 3008 yang dilakukan oleh Hazril Hafiz semasa mendekati model ini di pusat pameran.

    GALERI: Peugeot 3008 Allure THP

    GALERI: Peugeot 3008 Active THP

     
     
  • Suzuki Ertiga baharu sedang dibangunkan dan sedia untuk pelancaran pada 1H tahun 2018 di Indonesia

    Suzuki Ertiga baharu sedang dibangunkan dan sedia untuk pelancaran pada 1H tahun 2018 di Indonesia

    Perkhabaran yang kami terima dari Indonesia – model baru Suzuki Ertiga sedang disiapkan dan direncanakan untuk pengenalan di pasaran sana pada separuh tahun pertama 2018. Berita ini didapati daripada sebuah laman automotif Indonesia iaitu Otomania, yang memetik ayat daripada temu ramah dengan pengarah pemasaran PT Suzuki Indomobil, Donny Saputra.

    Berita ini juga muncul kerana segmen MPV permulaan di Indonesia adalah begitu penting dan keadaan bertambah meriah dengan ketibaan Mitsubishi Expander yang membuat penampilan bulan lalu, dan juga Wuling Confero, yang lebih murah. Kedua-dua model ini adalah peserta baru dalam segmen di mana pesaing lainnya adalah termasuk Honda Mobilio, Toyota Avanza, Daihatsu Xenia dan Ertiga sendiri.

    Suzuki Ertiga baharu sedang dibangunkan dan sedia untuk pelancaran pada 1H tahun 2018 di Indonesia

    Suzuki Ertiga pernah diberikan facelift pada tahun 2015, tetapi sejak itu, ia tidak banyak berubah berbanding model yang pernah muncul buat pertama kali di India pada tahun 2012. MPV bajet tujuh tempat duduk ini menggunakan platform Swift, manakala model generasi baru Swift dilancarkan pada Disember 2016. Lukisan render di atas adalah sebuah Ertiga yang dimasukkan dengan ciri Swift baru.

    Ertiga semasa ini juga digunakan untuk model Proton yang dijenamakan semula, tetapi masih menggunakan nama sama. Disebabkan kini Proton sudah mempunyai rakan kongsi strategik dari China, iaitu Geely, berkemungkinan ia tidak lagi akan menggunakan platform Suzuki selepas ini.

     
     
  • Perodua telah jual lebih 137k unit kereta bagi tempoh Jan-Ogos tahun ini – naik 2.6% berbanding 2016

    Perodua telah jual lebih 137k unit kereta bagi tempoh Jan-Ogos tahun ini – naik 2.6% berbanding 2016

    Perodua telah mengumumkan rekod terkini bagi jualan kenderaannya, iaitu bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini dengan mencatatkan sejumlah lebih 137,200 unit telah dihantar kepada para pelanggannya. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 2.6% berbanding 133,700 unit pada tempoh yang sama tahun lalu.

    “Pencapaian ini berjaya dilakukan biarpun dalam keadaan pasaran yang amat mencabar dan justeru, kami amat berterima kasih kepada rakan kongsi perniagaan kami, pihak media dan terutamanya pelanggan-pelanggan kami di atas sokongan padu ini, “ujar Pengarah urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr. Zahari Husin.

    Perkara ini diucapkan dalam majlis penyerahan hadiah kepada para pemenang ‘Peraduan Perodua Servis dan Menang’ yang berlangsung pagi tadi.

    Di mana peraduan ini dianjurkan dengan kerjasama Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, selaku pembekal minyak enjin rasmi Perodua, yang berlangsung sepanjang April hingga Jun 2017.

    Perodua telah jual lebih 137k unit kereta bagi tempoh Jan-Ogos tahun ini – naik 2.6% berbanding 2016

    Rutin menyelenggara Perodua Alza miliknya telah memberikan hadiah bermakna buat Mohd Saipol Kamal Nor Izam Mohd Saad, 33 tahun, dari Ipoh, yang berjaya membawa pulang seunit Axia setelah dia dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama menerusi peraduan tersebut.

    “Peraduan ini menyaksikan 37,600 penyertaan dengan jumlah keseluruhan 1.26 juta liter minyak enjin yang telah dijual dalam tempoh tiga bulan peraduan ini berlangsung,” ujar Zahari lagi.

    Daripada jumlah penyertaan tersebut, seramai 90 serta telah dipilih untuk memenangi hadiah yang ditawarkan, di mana pemenang dipilih secara rawak menerusi program perisian untuk memastikan tiada isu ‘berat sebelah’.

    “Kami berterima kasih kepada semua pelanggan kami kerana telah memilih Perodua untuk keperluan penyelenggaran. Di antara Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 1.39 juta pengambilan telah didaftarkan di pusat servis kami di seluruh negara,” ujar Zahari lagi.

    Malahan menjelang hujung tahun ini, Perodua menjangka ia akan meningkat sebanyak 2.05 juta pengambilan berbanding 2.03 juta yang direkodkan pada keseluruhan tahun 2016.

     
     
  • Chery Tiggo Coupe Concept sedia untuk Frankfurt

    Chery Tiggo Coupe Concept sedia untuk Frankfurt

    Kita sudah mengetahui bahawa Chery akan menunjukkan buat pertama kali sebuah SUV kompak serta jenama global baru semasa Frankfurt Motor Show nanti, tetapi ia tidak akan terbatas setakat di situ.

    Pertama sekali, kita imbas kembali kepada SUV tersebut, yang akan membuat penampilan global pertamanya di Jerman dalam bentuk pra produksi. “SUV kompak berkualiti tinggi” ini adalah yang pertama dalam barisan modelnya yang akan dijual di Eropah dalam masa beberapa tahun lagi, dan ia menggunakan “platform serba baru, berkualiti tinggi” serta teknologi yang dibangunkan bersama pembekal terkemuka antarabangsa.

    Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Chery, ia tidak menyatakan perkara selanjutnya, tetapi Autocar ada menyebut Bosch terlibat dalam bahagian sistem informasi dan hiburan (termasuk skrin sesentuh 10 inci dan panel meter digital 7.0 inci), Continental untuk sistem elektronik dan Benteler dari Jerman untuk strukturnya. Pada aspek rekaan, SUV ini akan menampilkan falsafah rekaan “Life In Motion.”

    Chery Tiggo Coupe Concept sedia untuk Frankfurt

    Barisan kenderaan baru Chery untuk Eropah akan dikuasakan oleh beberapa enjin yang mendapat bantuan tenaga elektrik termasuk hibrid, plug-in hybrid dan elektrik penuh (EV). Selain itu menurut Chery untuk kelengkapan, ia akan disertai dengan ciri sambungan canggih, sistem keselamatan maju dan kemampuan autonomous.

    Selain SUV (di dalam gambar) yang masih belum diberi nama ini, akan terdapat juga beberapa kereta pameran lain di Frankfurt termasuk Cherry Tiggo Coupe Concept. Seperti juga SUV itu, model ini turut menjadi gambaran kepada arah rekaan kenderaan Chery pada masa hadapan. Walaupun mahu membina jenama baru, nama model sama masih dikekalkan.

    Turut dinyatakan adalah Tiggo Coupe bakal menggunakan teknologi maju termasuk “roda stereng interaktif” pelbagai fungsi yang boleh dilipat masuk dan digunakan sebagai alat kawalan untuk bermain permainan video apabila berada dalam mod autonomous.

    Tiggo Coupe Concept digerakkan oleh motor elektrik 120 kW yang mendapat kuasa daripada pek bateri lithium-ion. Ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa tujuh saat, laju maksimum lebih 200 km/j dan memberi jarak perjalanan sehingga 500 km.

     
     
  • China kaji pengharaman penggunaan kenderaan petrol dan diesel bagi mengatasi masalah pencemaran udara

    China kaji pengharaman penggunaan kenderaan petrol dan diesel bagi mengatasi masalah pencemaran udara

    Selain dari Britain dan Perancis, serta bandar-bandar seperti Paris, Madrid dan Mexico City, China nampaknya kini turut sedang mengkaji untuk mengharamkan penggunaan kenderaan yang dijana oleh enjin pembakaran dalam dengan bahan api petrol dan diesel pada masa hadapan bagi mengurangkan pencemaran alam, lapor Reuters.

    Menurut laporan berdasarkan agensi berita rasmi China Xinhua yang memetik komen dari timbalan menteri industri dan IT republik berkenaan, China merupakan pasaran automotif terbesar dunia dan merupakan negara kedua paling banyak menggunakan hasil minyak di dunia, dan mereka kini sudah mula mengkaji bila penjualan kenderaan yang menggunakan petrol dan diesel akan mula diharamkan.

    “Berberapa negara telah membuat garis masa mereka sendiri untuk menghentikan produksi dan jualan kereta dengan enjin bahan api tradisional. Kementerian juga telah mula menjalankan penyelidikan yang relevan dan akan membuat garis masa sedemikian bersama jabatan yang berkaitan. Kesemua langkah tersebut akan membawa perubahan mendalam terhadap perkembangan industri kenderaan kita,” kata Xin pada acara industri auto di Tianjin, tetapi belum mendedahkan sebarang tarikh terhadap langkah tersebut.

    Bagi menangani masalah pencemaram alam ini dan mendekatkan jurang antara pembuat domestik China yang masih baharu dengan gergasi-gergasi automotif global, China telah mensasarkan agar jualan kereta elektrik sepenuhnya (EV) dan plug-in hybrid (PHEV) mencapai sekurang-kurangnya 20% dalam pasaran pada tahun 2025. Jadi, peralihan sepenuhnya untuk mengharamkan terus penggunaan enjin pembakaran dalaman akan mengambil masa yang lebih lama, sekiranya ia benar-benar berlaku.

    Xin berkata pemain industri automotif tempatan kini berhadapan dengan “tempoh pergolakan” bermula sekarang hingga 2025 bagi beralih kepada kenderaan dengan punca kuasa baharu, memaksa pembuat automotif domestik mengadaptasi cabaran tersebut dan melaraskan semula strategi mereka.

    China kaji pengharaman penggunaan kenderaan petrol dan diesel bagi mengatasi masalah pencemaran udara

    Bulan lalu, laporan Reuters menyatakan China mungkin akan menunda implementasi kuota jualan yang sukar untuk kenderaan plug-in elektrik, membolehkan pembuat-pembuat automotif mengambil masa lebih panjang untuk bersedia. Di bawah cadangan baharu ini, 8% dari jualan perlulah terdiri dari kenderaan EV dan PHEV tahun hadapan, seterusnya meningkat kepada 10% pada 2019 dan 12% pada 2020, tetapi undang-undang tersebut tidak akan berkuatkuasa sehingga 2019, setahun lebih lambat dari perancangan sebenar.

    Sama ada ditangguhkan ataupun tidak, China kini sedang serius dalam peralihan kepada kuasa elektrik ini, dan ia didokong oleh infrastruktur pengecas yang kini sedang berkembang. Menurut laporan China’s People Daily, sejumlah 167,000 unit pengecas kini telah dihubungkan ke platform telematik pada State Grid Corporation of China (SGCC), menjadikan ia jaringan pengecas kenderaan EV terbesar di dunia.

    Dengan menghubungkan 17 pengendali stesen pengecas, SGCC kini menawarkan lebih dari satu juta kWh kuasa setiap hari. Laporan tersebut turut menambah bahawa SGCC kini sedang membina 5,526 stesen pengecas dan penukaran bateri dan lebih dari 40,000 unit pengecas sejak 2006, dengan jaringan lebuhraya cas-cepat yang meliputi 121 bandar dan 16 wilayah. Jarak purata antara setiap dua stesen pula kurang dari 50 km. Syarikat berkenaan bercadang untuk mengembangkan lagi stesen pengecas berkenaan sehingga 120,000 menjelang 2020 nanti.

    SGCC mensasarkan untuk mengurangkan jarak maksima antara stesen pengecas kepada kurang dari lima km di kawasan pinggir bandar, kurang dari tiga km pada kawasan pinggir bandar lebih dalam dan kurang dari satu km pada kawasan bandar.

     
     
  • BMW mahu wujudkan tahap mewah yang tersendiri

    BMW sedang bersedia untuk memperkenalkan barisan kenderaan mewah baru termasuk BMW 8 Series, X7 dan i8 Roadster. Bermula dengan kenderaan ini, mereka mahu meletakkannya di dalam satu tahap mewah yang tersendiri iaitu dipanggil model elit. Kenderaan ini akan mempunyai logo rekaan baru, yang menggabungkan versi logo asal BMW hitam putih, bersama tulisan “Bayerische Motoren Werke.”

    Menurut BMW, logo hitam putih ini digunakan buat pertama kali lebih 100 tahun lalu dan memberi gambaran betapa kenderaan BMW berpegang kepada tunjang warisannya – “keberanian meneroka penyelesaian serta konsep sendiri, dan kemampuan untuk berhadapan cabaran dan bangkit lebih kuat.”

    Seperti yang dinyatakan oleh BMW, pembangunan kenderaan elit ini berkait rapat dengan model Series 7 dan 8, oleh itu, model 7 Series juga akan menggunakan logo serta identiti tersebut. Ia kemudiannya akan disertai oleh 8 Series, X7, i8 dan i8 Roadster. Bagi dua model i8 tersebut, ia juga melambangkan kereta sports masa hadapan BMW.

    Kenderaan yang ditunjukkan dalam gambar dan video di atas masih belum menggunakan logo baru itu, tetapi BMW memberitahu bahawa model pertama dengan identiti elit tersebut akan ditunjukkan di Frankfurt Motor Show tidak lama lagi.

    GALERI: BMW Concept X7 iPerformance


    GALERI: BMW 8 Series Concept

     
     
  • Audi umum tanggungjawab penuh jika teknologi pemanduan sendiri rekaannya terlibat kemalangan

    Audi umum tanggungjawab penuh jika teknologi pemanduan sendiri rekaannya terlibat kemalangan

    Perlumbaan dalam menghasilkan kenderaan dengan teknologi pemanduan sendiri kini didahului oleh Audi dimana sedan flagship jenama berkenaan, A8 dilengkapi dengan teknologi pemanduan sendiri tahap 3, dan merupakan pengeluar pertama yang berjaya mencapai tahap tersebut untuk produksi.

    Seperti biasa, kegusaran orang ramai terhadap sistem ini tentulah berkenaan keyakinan adakah teknologi ini benar-benar selamat? Oleh itu, Audi mengumumkan bahawa mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya kenderaan dengan teknologi pemanduan sendiri mereka terlibat dalam kemalangan sedemikian, lapor Car Advice.

    “Apabila semua fungsi beroperasi seperti yang direka, jika pelanggan mengaktifkan sistem traffic jam pilot dan menggunakannya dengan betul, dan kenderaan dalam keadaan terkawal semasa kemalangan, pemandu pergi ke syarikat insurannya dan syarikat insuran akan memberikan pampasan kepada mangsa kemalangan dan selepas itu mereka datang kepada kami kemudian kami akan membayar kepada mereka,” kata Thorsten Leonhardt, ketua pra-pembangunan pemanduan automatik Audi.

    Audi umum tanggungjawab penuh jika teknologi pemanduan sendiri rekaannya terlibat kemalangan

    Langkah mengambil tanggungjawab terhadap kemalangan ini bukan hanya diambil oleh Audi, malah Volvo sebenarnya telah terlebih dahulu mengumumkan perkara tersebut. Menurut Volvo merujuk kepada undang-undang di Amerika Syarikat, mereka akan “mengambil tanggunjawab sepenuhnya apabila kereta tersebut dalam mod pemanduan sendiri.”

    Pada teknologi pemanduan sendiri tahap 3 ini, sistem tersebut membenarkan kawalan diserahkan sepenuhnya pada kenderaan, membolehkan pemandu melakukan perkara lain selain dari menumpukan perhatian terhadap pemanduan. Pada tahap ini, kenderaan tersebut mampu mengawal sendiri dalam pelbagai situasi, dan pemandu hanya bertanggungjawab untuk mengawal kenderaan setelah diberi amaran untuk mengambil semula kawalan. Sistem traffic jam pilot dari Audi ini mampu beroperasi sehingga kelajuan 60 km/j.

    GALERI: Audi A8 2018


    GALERI: Audi A8 L 2018

     
     
  • MBPJ ambil tindakan terhadap perkhidmatan perkongsian basikal di sekitar Petaling Jaya

    MBPJ ambil tindakan terhadap perkhidmatan perkongsian basikal di sekitar Petaling Jaya

    Lebih 250 unit basikal yang ditemui di bahu jalan di sekitar Petaling Jaya telah disita oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Basikal-basikal yang disita kerana didapati menghalang laluan ini adalah milik syarikat yang menawarkan perkhidmatan perkongsian basikal, oBike (M) Sdn Bhd, yang menyediakan pengangkutan untuk jarak terdekat, yang turut menggunakan aplikasi dalam talian.

    Platform ini boleh diakses dengan memuat turun aplikasi dalam talian oBike, di mana pengguna hanya perlu membayar, membuka kunci basikal dengan kod QR yang spesifik yang diberikan menerusi aplikasi tersebut dan mula menunggangnya.

    Sehingga kini, terdapat lebih 20,000 pengguna yang telah menggunakan aplikasi ini, di mana setiap penggunaan dikenakan bayaran sebanyak RM1 bagi setiap 15 minit pengkongsian basikal, laporan The Star.

    Walau bagaimana pun, menurut Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, basikal-basikal tersebut terpaksa disita memandangkan pihaknya tidak menerima sebarang permojonan daripada oBike. Malahan basikal-basikal tersebut didapati menghalang laluan pejalan kaki di sekitar Petaling Jaya.

    Namun katanya, pihaknya berharap agar oBike dapat tampil dan memohon kebenaran untuk terus beroperasi bagi perkhidmatan perkongsian basikal tersebut di bandar ini.

    MBPJ ambil tindakan terhadap perkhidmatan perkongsian basikal di sekitar Petaling Jaya

    “Kami menyokong idea ini, malah ia antara salah satu kaedah pengangkutan awam dan boleh memberikan manfaat kepada penduduk di sekitarnya, namun ia perlu beroperasi mengikut undang-undang yang ditetapkan,” ujarnya.

    Tambahnya lagi, walau pun tiada peraturan sah yang termaktub mengenai operasi perkongsian basikal ini di sekitar Petaling Jaya, namun pihaknya sedang merangkanya.

    “Apa yang menjadi kebimbangan pihak kami ialah basikal tersebut tidak mempunyai stesen meletak basikal yang sesuai dan dikhuatiri akan menghalang laluan pejalan kaki di sekitar Petaling Jaya.

    Akhbar terbabit turut menghubungi wakil syarikat oBike dan pengurus pemasarannya Elaine Chan berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama dengan MBPJ untuk menyelesaikan isu ini.

    “Kami telah pun berbicara dengan MBPJ dan ini semua salah faham sahaja,” ujarnya sambil menambah setakat ini tiada lesen yang diperlukan untuk perkhidmatan seumpamanya.

    Malahan kebanyakan perbandaran tempatan lain, tiada undang-undang atau lesen yang telah ditetapkan. Bahkan, oBike juga dibenarkan beroperasi di sekitar Subang Jaya setelah menerima kebenaran akan permohonannya terhadap Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

     
     
  • Toyota bangunkan fungsi navigasi dan pengenalan suara hibrid baharu – diguna pada model JDM dahulu

    Toyota bangunkan fungsi navigasi dan pengenalan suara hibrid baharu – diguna pada model JDM dahulu

    Toyota kan fungsi navigasi dan pengenalan suara hibrid baru untuk sistem hiburan dan informasi mereka sebagai salah satu langkah ke arah “strategi serangkai” berasaskan Modul Data Komunikasi (DCM).

    Fungsi ini menggunakan kedua-dua sistem komputer semasa dalam kereta dan data atas talian (cloud), dan akan bertukar di antara keduanya bergantung kepada sambungan data yang ada dan pemprosesan yang pantas.

    Dengan menggunakan kira-kira laluan berasaskan data atas talian (cloud), pangkalan data masa pemanduan yang menggabungkan masa pemanduan dan data penyebaran dapat menyiarkan laluan yang mengambil masa paling pendek kepada pemandu. Selain itu, jangkaan masa tiba juga dapat diperbaiki.

    Toyota bangunkan fungsi navigasi dan pengenalan suara hibrid baharu – diguna pada model JDM dahulu

    Satu lagi kelebihan fungsi navigasi bersepadu berasaskan data atas talian ini adalah lebih banyak pilihan laluan dapat dipilih oleh pemandu. Perkara ini adalah sama seperti apabila anda menggunakan aplikasi telefon pintar seperti Waze atau Google Maps yang dapat mengambil kira keadaan trafik semasa.

    Sementara itu, fungsi pengenalan suara hibrid baru yang dibangunkan oleh Toyota pula mampu memahami pertuturan biasa dan boleh mencari lebih banyak perkara. Jika sebelum ini, fungsi pengenalan suara biasa (bukan atas talian) hanya dapat mencari perkara yang tertentu sahaja, menggunakan kata kunci tertentu yang disediakan.

    Melalui fungsi baru ini, pengguna boleh menggunakan pertuturan biasa, seperti “cari kedai mee yang senang letak kereta” atau “pasang pendingin hawa paling kuat”, dan ia masih boleh memahaminya. Malah jika tersalah taip sesuatu juga, fungsi baru ini dapat mencari perkara yang berkenaan kerana disambungkan dengan data atas talian.

     
     
  • Audi siar teaser R8 versi pacuan roda belakang

    #breakout @ #AudiIAA Stay tuned!

    A post shared by Audi Sport (@audisport) on

    Sejak diperkenalkan dalam versi generasi pertama pada 2007, Audi R8 merupakan sebuah supercar yang telah diberikan sistem pacuan semua roda Quattro secara standard. Namun, pada teaser baharu yang disiarkan pada laman Instagram mereka, R8 melakukan aksi yang tidak boleh dilakukan oleh model-model sedia ada iaitu ‘donut’ dengan bahagian belakang meliar, serta kedudukan tayar hadapan dalam keadaan counter steer.

    Aksi berkenaan jelas bahawa model baharu ini merupakan sebuah R8 yang diberikan pacuan kuasa hanya pada roda belakang dan menurut Audi ia akan diperkenalkan pada Frankfurt Motor Show tahun ini.

    Audi R8 berwarna putih dengan jalur merah ditengah tersebut bakal mengikuti jejak kembarnya yang dibina berdasarkan platform serta enjin dan transmisi yang sama iaitu Lamborghini Huracan yang juga telah hadir dengan versi pacuan roda belakang sepenuhnya (sebelum ini dikenali sebagai LP 580-2).

    Video tersebut tidak mendedahkan bunyi enjin varian baharu R8 berkenaan, tetapi ia dijangka bakal menggunakan enjin 5.2 liter V10 yang sama pada model R8 sedia ada. Enjin tersebut hadir dengan dua talaan kuasa iaitu 540 hp/540 Nm untuk varian tanpa plus, dan 610 hp/560 Nm pada varian plus. Versi mana yang akan diberikan pada model RWD nanti masih lagi belum dapat dipastikan.

    Terdapat juga kemungkinan model pacuan belakang ini dijana enjin TFSI 2.9 liter turbo berkembar V6 yang kini menggerakkan Porsche Panamera dan Audi RS5, sebagai model gantian model asas 4.2 liter V8 pada R8 generasi pertama. Jika varian V6 ini diperkenalkan, ia turut diletakkan sebagai R8 versi asas di bawah model tertinggi V10.

     
     
  • Parkir bertingkat automatik untuk PPR dikaji – Ku Nan

    Parkir bertingkat automatik untuk PPR dikaji – Ku Nan

    Pembinaan parkir bertingkat di sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Pantai, Kuala Lumpur, dalam peringkat cadangan, ujar Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan).

    Katanya lagi, projek itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat untuk menangani isu tempat parkir kereta serta menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit. Ia juga adalah bagi memudahkan penghuni meletak kenderaan masing-masing dengan teratur, laporan Bernama.

    “Buat masa ini, kita sedang jalankan kajian untuk melihat di mana tempat yang sesuai untuk laksanakan projek ini. Projek ini mampu menggandakan jumlah tempat letak kereta dan ini akan memudahkan penghuni meletakkan kenderaan mereka,” katanya.

    Sambungnya lagi, walau pun parkir bertingkat di 12 kawasan PPR bakal dibina pada tahun ini dan tahun hadapan, pihak kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan konsep “decking” yang beroperasi secara automatik dengan sistem sedia ada untuk lebih efisien dan pergerakan yang lebih mudah bagi kenderaan, seperti mana yang dipraktikkan di Jepun dan Korea.

    Kajian yang dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini akan menggunakan PPR Kerinchi sebagai projek perintis untuk memudahkan aliran trafik dalam kawasan kepadatan penduduk tinggi, ujarnya lagi.

     
     
  • Mercedes-AMG Project One – imej teaser dikeluarkan

    Mercedes-AMG Project One – imej teaser dikeluarkan

    Mercedes-AMG Project One akan didedahkan esok, semasa Frankfurt Motor Show, tetapi sebelum itu, Mercedes-Benz telah mengeluarkan beberapa imej teaser untuk hypercar inspirasi daripada kereta F1 tersebut.

    Satu daripadanya adalah gambar dari belakang, menampakkan ia duduk rendah, dengan terdapat tiga cahaya lampu petak di setiap penjuru, dan diffuser yang besar dengan muncung ekzos di tengah seperti kereta F1 sebenar. Tempat yang biasanya terdapat cermin belakang pula diganti dengan panel bersirip dan salur udara berkembar.

    Turut disiarkan adalah satu gambar bahagian dalam, berkemungkinan sewaktu kereta ini dibawa masuk ke dalam dewan. Tidak banyak yang boleh dilihat berkenaan kereta tersebut, kecuali stereng petak dengan lampu tahap rpm LED dan butang kawalan berwarna seperti kereta F1, panel meter digital dan skrin sistem hiburan dan informasi di tengah.

    Mercedes-AMG Project One – imej teaser dikeluarkan

    Project One telah diberitahu menggunakan enjin V6 1.6 liter turbo yang diambil daripada kereta lumba F1 E06 Hybrid, tetapi telah diubah suai untuk sebuah kenderaan jalan biasa. Antara perubahan yang dilakukan adalah tahap merah rpm lebih rendah iaitu 11,000 rpm berbanding 13,000 asalnya, peningkatan kecekapan pengurusan suhu sebanyak 43% dan piston, crankshaft serta sistem elektrikal baru. Kuasa yang dihasilkan dikata mampu mencapai 748 hp.

    Menambah kuasa pada enjin ini adalah dua unit motor-generator elektrik, iaitu unit MGU-K di bahagian crankshaft untuk mengitar semula tenaga kinetik dan unit MGU-H untuk membuang haba daripada ekzos, seterusnya memastikan boost turbo dapat dikekalkan pada sepanjang masa. Sistem ini masing-masing menjana 161 hp dan 107 hp.

    Sepasang motor elektrik 120 hp digunakan untuk mendapatkan pacuan empat roda, dengan bahagian gandar hadapan mendapat ciri torque vectoring. Sistem ini juga membolehkan kereta ini bergerak dalam mod elektrik penuh untuk jarak 30 km. Menurut Mercedes-AMG, jumlah keseluruhan kuasa keret aini adalah 1,000 hp dan kelajuan maksumumnya pula adalah 350 km/j.

    GALERI: Bahagian enjin Mercedes-AMG Project One

     
     
  • BMW Concept X7 iPerformance – SUV yang terletak atas daripada X5, versi produksi keluar pada 2018

    BMW Concept X7 iPerformance – SUV yang terletak atas daripada X5, versi produksi keluar pada 2018

    BMW Concept X7 iPerformance telah pun dipertontonkan di Frankfurt dan ia memberikan gambaran apa yang akan dikeluarkan oleh syarikat dari Jerman itu – sebuah SUV perdana yang terletak lebih tinggi daripada X5. BMW juga telah mengumumkan bahawa versi produksi bagi BMW X7 ini akan diperkenalkan pada tahun 2018.

    Paling menonjol pada kereta ini sudah tentu adalah grilnya, yang melibatkan jeriji menegak dan bersaiz besar. Lampu utama jenis lazer yang digunakan pula berbentuk nipis dengan terdapat pencahayaan X berwarna biru di dalamnya. Di bawah gril ini, terdapat kemasan melintang yang bersambung di hujung dengan bukaan udara besar. Rim yang digunakan pula bersaiz 23 inci.

    Pada bahagian belakang, lampu LED berbentuk L yang digunakan bersambung di bahagian tengah dengan satu jalur kemasan krom, manakala bukaan udara di penjuru bampar mempunyai konsep yang sama dengan bampar hadapan. Melalui gambar dari atas, SUV ini juga dilihat mempunyai bumbung panoramik yang luas.

    Menurut BMW, saiz X7 yang besar memberikan ruang yang lebih luas di bahagian dalam dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana model BMW lain sebelum ini. Ia menggunakan formasi tempat duduk 2-2-2 dan setiap satunya terletak berasingan. Bahagian bawah tempat duduk ini dibalut dengan kulit berwarna gangsa manakala separuh lagi berwarna putih.

    Bahagian kokpit SUV ini menggunakan rekaan biasa yang sudah biasa bagi BMW. Garisan yang ada menampakkan sambungan antara papan pemuka dan panel pintu, manakala keududukan tempat duduk ditinggikan supaya pengguna lebih mudah memandang jalan. Di bahagian tengah, terdapat skrin sesentuh 12.3 inci.

     
     
  • Video teaser musim baharu Wheeler Dealers disiar – Ant Anstead ganti tugas Edd China di bengkel

    Dewasa ini, pelbagai rancangan bercorak automotif disiarkan pada saluran-saluran television berbayar. Rancangan-rancangan berkenaan bukan hanya terikat pada rancangan berbentuk rebiu, malah yang berkisar dengan proses restorasi turut mendapat sambutan – antaranya Wheeler Dealers yang memaparkan bagaimana Mike Brewer membeli kenderaan terpakai, kemudian dibaiki oleh Edd China sebelum dijual kembali dengan membuat untung.

    Walau bagaimanapun, perselisihan faham telah terjadi antara Edd China dengan produksi rancangan ini iaitu Velocity yang akhirnya menyaksikan hos berkenaan angkat kaki dan tidak terlibat dengan penggambaran Wheeler Dealers musim hadapan. Namun, Velocity telah menyiarkan teaser musim baharu Wheeler Dealers dan mendedahkan peranan Edd bakal digalas oleh Ant Anstead.

    Dua video teaser telah disiarkan oleh Velocity. Pertama memaparkan Mike Brewer yang sedang keseorangan dan menyanyikan lagu All By Myself oleh Eric Carmen secara lip-sync, sebelum Ant Anstead hadir bagi melengkapkan tugas Mike. Manakala video kedua pula lebih panjang, memetik salah satu klip dari musim hadapan, memaparkan Ant membuka dan mengesan kerosakan pada pengecas turbo Ford Escort RS Cosworth sambil menerangkan bagaimana sistem turbo tersebut berkerja.

    Berdasarkan teaser ini, dapat dibayangkan Ant bakal membawa Wheeler Dealers ke tahap yang sama seperti semasa Edd mengendalikan bengkel – melihat bagaimana Ant berjaya memberikan penyampaian yang begitu menarik terhadap pengecas turbo berkenaan. Ant sebenarnya bukan sahaja pengacara TV, malah beliau juga sebenarnya pakar baikpulih, pembina serta pereka kereta dan telah muncul dalam pelbagai rancangan sebelum ini termasuk For the Love of Cars bersama Philip Glenister.

    Mike Brewer dan Edd China sememangnya ikon untuk Wheeler Dealers setelah kedua-duanya menjadi hos rancangan berkenaan sejak musim pertama pada 2003 hingga ke musim ke-13 yang berakhir awal tahun ini. Namun, Edd mula bertikam lidah dengan produksi dengan mendakwa Velocity akan memendekkan babak-babak di dalam bengkel untuk musim ke-14.

    Keputusan Edd untuk tidak terlibat lagi dengan Wheeler Dealers nyata mengecewakan peminat. Tambahan pula, Edd dikatakan bukan sahaja berselisih faham dengan pihak Velocity, malah turut tidak sebulu lagi dengan Mike Brewer. Selain dari memperkenalkan Ant, teaser baharu ini juga Velocity seolah-olah mahu menafikan apa yang didakwa oleh Edd dengan menyiarkan babak di dalam bengkel terlebih dahulu.

     
     
  • Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia untuk kesamarataan di kalangan pencinta motosikal- TPM

    Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia untuk kesamarataan di kalangan pencinta motosikal- TPM

    Bagi mencari satu platform untuk dinaungi oleh semua persatuan motosikal di negara ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan penubuhan Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPPM).

    Katanya, menerusi GPPM, persatuan yang menaungi “bikers kecil” atau “kapcai” akan turut disertakan sekali gus mewujudkan kesamarataan dalam kalangan pencinta motosikal, selain memudahkan penganjuran program yang memberi faedah kepada masyarakat, laporan Bernama.

    “Selama ini bikers atau aktiviti bermotosikal dianggap elitis, angkuh dan hanya berada dalam kelompok sendiri sedangkan sebenarnya penunggang motosikal berkuasa tinggi juga melakukan aktiviti bersama masyarakat.

    “Sebab itu, saya berterima kasih pada bikers kecil atau kapcai yang turut menyumbang sesuatu kepada komuniti dan atas sifat kesamarataan, saya umumkan penubuhan GPPM untuk menggabungkan semua persatuan motosikal di bawah satu bumbung,” katanya sewaktu merasmikan penutupan program Merdeka Rides 2017 anjuran Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) semalam.

    Ahmad Zahid turut mengumumkan bekas Presiden SAM Datuk Seri Rauf Yusof selaku pengerusi penaja GPPM, dan berjanji meluluskan pendaftaran pertubuhan itu dalam masa sebulan selepas permohonan dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

    Katanya selaku Menteri Dalam Negeri, beliau akan membantu memudahkan proses itu agar rancangan menyatukan semua persatuan motosikal menjadi kenyataan.

    “Saya mahu selepas 90 hari diluluskan, GPPM mampu menghimpunkan semua persatuan dan kembali berkumpul di sini (Dataran Putrajaya) bersama 60,000 bikers, bukti kesamarataan antara semua peminat motosikal,” katanya.

     
     
  • Proton Preve dipertingkatkan tidak lama lagi – rekaan roda baharu dikesan; enjin CamPro IAFM digugurkan?

    Proton Preve dipertingkatkan tidak lama lagi – rekaan roda baharu dikesan; enjin CamPro IAFM digugurkan?

    Proton Preve bakal menerima peningkatan tidak lama lagi, berdasarkan foto yang dihantar oleh pembaca paultan.org Ahnaf Satari. Seperti mana Iriz dan Exora, Preve akan diberi semakan yang dipertingkatkan bagi senarai elemennya.

    Berdasarkan foto ini, kelihatan elemen yang menerima pembaharuan termasuklah rekaan lima jejari-berkembar baharu bagi roda aloi, di mana ia kelihatan lebih besar (mungkin 17 inci bagi kereta berwarna merah). Buat masa ini, unit 16-inci dipadankan untuk ketiga-tiga varian 1.6L – Executive MT, Executive CVT dan Premium CVT – yang kini masih dijual.

    Proton Preve dipertingkatkan tidak lama lagi – rekaan roda baharu dikesan; enjin CamPro IAFM digugurkan?

    Sumber kami turut mendedahkan, salah sebuah kereta yang ditampilkan itu juga memiliki bumbung yang dicat dengan warna hitam (dengan gaya dua-tona), yang turut dipersembahkan pada model terkini Iriz dan Exora. Berkenaan dengan warnanya lagi, kekemasan warna badan baharu seperti Ruby Red mungkin akan diberikan pilihan terkini bagi sedan ini.

    Peningkatan lain yang bakal dilakukan untuk Preve ini mungkin melibatkan bunyi, getaran dan kekasaran (NVH), seperti mana yang dilakukan pada Iriz dan Exora baharu. Seperti yang dilaporkan pada Ogos tahun lalu, enjin CamPro IAFM (Intake Air-Fuel Module) pada Preve mungkin tidak akan diteruskan, di mana pembeli hanya memiliki pilihan untuk enjin 1.6 liter pengecas turbo CFE sahaja, seperti Exora.

     
     
  • China guna sedan Geely GC9 sebagai kenderaan diplomatik – promosi jenama tempatan kepada tetamu

    China guna sedan Geely GC9 sebagai kenderaan diplomatik – promosi jenama tempatan kepada tetamu

    Sebanyak 50 unit sedan segmen-D Geely GC9 (juga dikenali sebagai Borui) telah diserahkan kepada Biro Perkhidmatan Kementerian Luar Negeri China bagi kegunaan diplomatik – digunakan sebagai kereta ketika kunjungan rasmi dan untuk menjemput tetamu negara, diplomat, serta tetamu kenamaan ke republik berkenaan.

    Kereta-kereta baharu ini diserahkan sebagai tambahan kepada 20 unit telah pun diberikan pada Kementerian Luar China pada tahun 2015, setelah rombakan terhadap polisi kenderaan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan China pada tahun 2012. Langkah berkenaan diambil bagi mempromosikan kereta jenama tempatan untuk kegunaan negeri dan tugas-tugas rasmi.

    Geely GC9 merupakan sedan flagship pertama dalam portfolio produk generasi 3.0 jenama China berkenaan. Ia direka oleh bekas ketua pereka Volvo, Peter Horbury dan platform model tersebut turut direka bersama Volvo. Ia ditawarkan dengan tiga pilihan enjin petrol berlainan iaitu enjin empat silinder 2.4 liter NA, 1.8 liter turbo dengan suntikan bahan api terus, dan juga 3.5 liter V6 NA. Kesemua pilihan enjin ini hanya dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan automatik.

    Untuk model kemaskini versi 2018, GC9 turut diberikan rupa facelift yang lebih segar bersama teknologi bantuan pemanduan iNTEC, serta penambahbaikkan pada pengendalian dan juga aspek NVH.

    Duta Uruguay ke China Fernando Lugris berkata, “kami sebelum ini memilih Geely GC9 sebagai kereta rasmi kami. Reka bentuk model China itu dengan ruang dalaman yang luas, dan teknologi pemanduan pintar memberikan tanggapan yang sangat baik. Jadi hari ini, kami sekali lagi memilih Geely GC9 baharu sebagai kereta rasmi kami. Kami percaya Geely GC9 yang baharu merupakan contoh yang baik dalam kekuatan dan gaya pembuatan automotif di China.”

    Ketika majlis penyerahan kereta-kereta berkenaan, Presiden Geely Holding Group, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Group An Conghui berkata,”Geely Auto telah bertapak dalam industri automotif selama lebih 20 tahun dan sepanjang masa kami komited terhadap dasar membangun melalui teknologi dan inovasi sejajar dengan kehendak pasaran. Walaupun kebangkitan jenama China tidak dapat dielakkan dengan dasar ‘Made in China 2025’, kami berharap jenama China akan menggunakan pengaruh baharu mereka untuk meningkatkan daya tarikan budaya China.”

    “Melihat kepada masa hadapan, kami akan melaksanakan lebih banyak bekalan pembaharuan struktur dan menyampaikan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi yang akan memenuhi permintaan pasaran yang semakin matang,” tambah An.

     
     
  • AWAS kesan 218,861 kes kesalahan trafik setakat ini

    AWAS kesan 218,861 kes kesalahan trafik setakat ini

    Sejak dilaksanakan pada 15 April lalu, kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang dipasang di seluruh negara telah berjaya mengesan 218,861 kes kesalahan trafik setakat ini.

    Menurut rekod yang dicatatkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), daripada jumlah kes yang dikesan sehingga 6 September lalu, sebanyak 18,913 adalah kes kesalahan melanggar lampu isyarat dan 199,948 lagi kesalahan memandu melebihi had laju, laporan Berita Harian.

    Dalam laporan yang sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata pengguna jalan raya yang dikesan melanggar peraturan dikenakan tindakan kompaun.

    “Kita yakin sistem ini dapat membantu mengurangkan kemalangan jalan raya di negara ini,” katanya kepada pemberita.

    Ab Aziz berkata, sistem terbabit amat berkesan bagi mengesan kesalahan lalu lintas dan sekurang-kurangnya dapat memberi kesedaran kepada pengguna.

    “Pendekatan pemasangan kamera AWAS dapat meningkatkan kemampuan kita menguatkuasakan undang-undang. Kalau dulu kita menggunakan kakitangan, tetapi sistem ini dapat membantu kita mengatasi masalah tidak cukup kakitangan. Ia juga berjaya mengesan kesalahan lalu lintas,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026