Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Proton bakal keluarkan kereta teknologi tinggi, EV, kembangkan eksport dengan adanya AHTV Tg Malim

    Proton bakal keluarkan kereta teknologi tinggi, EV, kembangkan eksport dengan adanya AHTV Tg Malim

    CEO Proton Li Chunrong telah mendedahkan bahawa pengeluar kereta tersebut akan membangunkan kereta berteknologi tinggi dan kenderaan tenaga baharu tidak lama lagi, susulan pelancaran Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, semalam.

    Kenderaan Tenaga Baharu atau New energy vehicles (NEVs) merupakan terma utama bagi kenderaan elektrik (EV), termasuk kenderaan plug-in hybrid, sel bahan api dan elektrik sepenuhnya. Ternyata dengan adanya AHTV ini, sekaligus membuka peluang seluas-luasnya buat Proton dalam membangunkan NEVs, dan dalam masa yang sama syarikat ini turut merancang untuk mengembangkan pasaran eksport sedia ada.

    Baru-baru ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) telah mengeluarkan artikel kaji selidik yang mendedahkan pengeluar kereta nasional ini akan mula mengeksplorasi teknologi hibrid terlebih dahulu sebelum membangunkan kenderaan elektrik penuh, dengan EV pertama disasarkan bakal diperkenalkan pada tahun 2027. Timbalan CEO Proton Roslan Abdullah sebelum ini juga mendedahkan syarikat ini mempunyai rancangan untuk memperkenalkan model hibrid, PHEV dan EV.

    Kita juga mengetahui bahawa model mild hybrid juga berada dalam rancangan Proton, malahan syarikat ini telah mempertontonkan enjin 1.5 liter TGDi dengan belt-driven starter generator (BSG) 48-voltan di Centre of Excellence (COE) di Shah Alam.

    Untuk imbas kembali, AHTV adalah “projek besar berimpak tinggi” yang memfokuskan sistem dan teknologi baharu bagi memacu industri automotif negara. Projek ini akan mengutamakan teknologi-teknologi baharu dalam industri automotif, termasuk teknologi elektrifikasi, kepintaran buatan (AI), teknologi autonomi serta ketersambungan termaju.

    Proton bakal keluarkan kereta teknologi tinggi, EV, kembangkan eksport dengan adanya AHTV Tg Malim

    Seperti yang diketahui umum, Tanjong Malim kini menempatkan fasililti Proton, yang majoritinya dimiliki oleh DRB-Hicom, dan visi kumpulan berkenaan adalah untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai hab industri automotif bagi rantau ASEAN.

    “Ini bagi memastikan bahawa Industri automotif Malaysia terus berkembang dan setanding dengan negara-negara jiran. Dengan wujudnya sistem, infrastruktur dan sokongan daripada pemegang taruh yang betul, AHTV akan berada pada landasan yang baik untuk menarik pelaburan daripada pemain industri di rantau ini, seterusnya memacu pertumbuhan dan keupayaan industri automotif tempatan,” kata DRB-Hicom dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Buat masa sekarang, kawasan sekeliling kilang Proton Tanjong Malim yang berkeluasan 4,000 ekar kebanyakannya telah didiami oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris, vendor sedia ada, sebagai premis komersial dan sebagai hartanah kediaman. Tanah tambahan ini khas untuk pembangunan AHTV, termasuklah universiti penyelidikan.

    DRB-Hicom turut berkata, pada peringkat awal pembangunannya (tiada sebarang garis masa diperincikan buat masa sekarang), kira-kira 370,000 peluang pekerjaan dijangka akan diwujudkan di tapak AHTV bersebelahan dengan fasiliti pembuatan Proton di Tanjong Malim.

     
     
  • Toyota Vios 2022 – versi produksi bagi model konsep Daihatsu DN F-Sedan? DNGA, bakal muncul Ogos ini

    Toyota Vios 2022 – versi produksi bagi model konsep Daihatsu DN F-Sedan? DNGA, bakal muncul Ogos ini

    Ingat lagi tiga model konsep yang telah didedahkan oleh Daihatsu pada tahun 2017 dahulu? Dua daripada model konsep tersebut iaitu MPV Daihatsu DN Multisix dan juga sedan DN F-Sedan Concept telah membuat kemunculan sulung di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017, manakala SUV DN Trec pula didedahkan di Tokyo Motor Show 2017.

    Dua dari model konsep berkenaan telah pun dijelmakan dalam bentuk produksi – DN Trec muncul sebagai kembar Daihatsu Rocky/Toyota Raize (pasaran Jepun dan Indonesia) serta Perodua Ativa (pasaran Malaysia), manakala DN Multisix telah pun diperkenalkan sebagai model generasi baharu Daihatsu Xenia dan Toyota Veloz/Avanza di Indonesia serta bakal tampil sebagai model generasi baharu Perodua Alza yang bakal dilancarkan di Malaysia tak lama lagi.

    Apa yang menarik, kedua-dua model konsep yang telah pun direalisasikan dalam bentuk produksi berkenaan dibina berasaskan platform terkini Daihatsu iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Jadi bagaimana pula dengan F-Sedan Concept? Adakah ia sekadar konsep yang menunjukkan bahawa mereka juga mampu membina sedan kompak memandangkan sudah lama Daihatsu tidak tampil dengan model sedemikian?

    Model konsep SUV Daihatsu DN Trec (kiri) dan model produksi Toyota Raize (kanan)

    Tahun lalu, laporan dari portal automotif Filipina, Autoindustriya mendedahkan bahawa Toyota Vios generasi baharu bakal diperkenalkan di Thailand pada Ogos tahun ini, bagi menggantikan model generasi sedia ada yang sudahpun berada dalam pasaran sejak 2013.

    Dan apa yang menarik, projek penghasilan Vios berkenaan dikenali dengan kod dalaman D92A. Kod tersebut jelas sama seperti kod yang digunakan oleh Perodua (D38L untuk Aruz, D55L untuk Ativa, D20N untuk Myvi, D87A untuk Axia, D63D untuk Bezza dan D27A untuk Alza generasi baharu). Ini kerana Vios generasi baharu ini bakal menggunakan platform DNGA!

    Jadi boleh diagak bahawa Vios generasi baharu ini mungkin adalah versi produksi untuk satu lagi model konsep tiga serangkai yang diperkenalkan oleh Daihatsu pada 2017 tersebut, iaitu DN F-Sedan Concept. Seperti DN Trec dan DN Multisix , perincian pada DN F-Sedan Concept ini kelak tidaklah 100% akan dijelmakan pada model produksi, tetapi sekurang-kurangnya ia akan menggunakan asas rekaan yang sama.

    Model konsep SUV Daihatsu DN Multisix (kiri) dan model produksi Toyota Veloz (kanan)

    Model konsep F-Sedan berkenaan merupakan sedan yang direka sebagai coupe empat pintu – sesuatu yang baharu dan lain daripada yang lain seperti apa yang lazimnya Daihatsu bawakan sebelum ini. Muka sedan ini direka sangat garang dan diberikan gril bersaiz besar bersama lampu utama dan juga lampu nyalaan siang LED yang direka tirus.

    Rekaan tirus tersebut turut diberikan pada bahagian belakang, yang direka memenuhi panjang bahagian tersebut dan turut menampilkan teknologi LED. Pada bahagian sisi pula, model konsep ini diberikan garis badan yang mengujakan – tirus seakan sedan elektrik Tesla.

    Untuk pasaran Thailand nanti, Vios dijangka akan terus digelar sebagai Yaris Ativ – menampilkan rupa yang sama seperti Vios pasaran lain, tetapi menggunakan enjin 1.2 liter yang lebih kecil bagi membolehkan ia dijual di pasaran berkenaan dengan menerima manfaat insentif Kereta Eco Thailand.

    Toyota Vios 2022 – versi produksi bagi model konsep Daihatsu DN F-Sedan? DNGA, bakal muncul Ogos ini

    Bagi platform DNGA pula, ia sebenarnya diasaskan dari platform TNGA Toyota tetapi diolah semula oleh Daihatsu bagi disesuaikan untuk model-model lebih kompak. Dengan menggunakan platform DNGA ini, Vios generasi baharu berkenaan sudah tentu menerima pelbagai manfaat daripadanya seperti lebih ringan dalam masa yang sama menampilkan kerangka lebih keras, serta menampilkan keselamatan yang lebih baik.

    Malah Autoindustriya turut melaporkan bahawa Vios generasi baharu kelak bakal menawarkan varian hibrid yang akan diperkenalkan pada Oktober 2023. Vios Hybrid berkenaan didakwa bakal menerima teknologi e:Smart Hybrid dari Daihatsu sama seperti sistem yang telah pun dipadankan pada Rocky Hybrid pasaran Jepun.

    Bagi sistem yang dipadankan pada Daihatsu Rocky, sistem e:Hybrid berkenaan menampilkan enjin WA-VEX 1.2 liter tiga-silinder, iaitu versi dengan sistem kitaran Atkinson dari enjin WA-VE 1.2 liter Rocky biasa pasaran Indonesia. Namun enjin tersebut hanya bertugas semata-mata untuk mengecaj bateri hibrid, manakala tayar hadapan dipacu sepenuhnya menggunakan motor elektrik.

    Apa yang menarik, Rocky e:Smart Hybrid ini juga menerima sistem pedal pintar S-PDL, iaitu sistem yang membolehkan pemandu mengawal pecutan serta memperlahankan dan memberhentikan kereta dengan hanya satu pedal. Sistem ini adalah sistem lazim diberikan pada kerete-kereta berkuasa elektrik sepenuhnya, seperti sistem e-Pedal Nissan Leaf generasi kedua.

    Sekiranya teknologi tersebut ditawarkan pada Vios kelak, ini bermakna Honda City RS e:HEV bakal menerima saingan setaranya buat pertama kali. Ini kerana Sistem e:Smart Hybrid rekaan Daihatsu tersebut sebenarnya adalah sistem hibrid jenis range extender, setara dengan sistem hibrid i-MMD pada Honda City RS e:HEV.

    Bagi sistem Honda berkenaan, ia terdiri dari enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama dua buah motor elektrik, yang membekalkan kuasa 108 PS dan tork maksima 253 Nm. Berbeza dengan sistem hibrid i-DCD dari City sebelum ini, ia boleh bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya sambil enjin petrol hanya mengecas bateri sama seperti sistem hibrid range extender, dan ia turut boleh menggunakan kuasa gabungan antara enjin petrol dan juga motor elektrik untuk memacu roda hadapan untuk kelajuan lebih tinggi.

    GALERI: Daihatsu DN F-Sedan Concept di GIIAS 2017

     
     
  • Honda City V Sensing – 34% pembeli memilihnya

    Honda City V Sensing – 34% pembeli memilihnya

    Honda Malaysia telah mendedahkan sejumlah 34% pembeli Honda City memilih varian V Sensing pada suku pertama (Q1) 2022. Diperkenalkan pada November 2021, City V Sensing ditambah dengan sistem bantuan pemandu dan kelengkapan Honda Sensing ke varian V. Dan varian ini diposisikan di antara City V dan City RS e:HEV hybrid dalam barisannya.

    “Sepanjang tahun ini, City cukup dikenali dengan teknologi termaju dan keselamatan. Kami memperkenalkan varian City V Sensing dalam barisan City pada November 2021, dan berdasarkan rekod kami, ia diterima dalam segmenya. Untuk suku pertama tahun 2022, City V Sensing telah menyumbang sebanyak 34% dalam jualan keseluruhan City, menunjukkan perkembangan yang positif bagi varian ini dan sekaligus mengiktiraf Honda Sensing, teknologi keselamatan termaju kami,” kata Pengarah Urusan dan CEO baharu Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura.

    Ditawarkan pada harga atas jalan RM90,212 tanpa insurans (dengan pengecualian penuh cukai jualan), V Sensing adalah RM3,651 lebih mahal berbanding varian V tanpa Sensing (RM86,561), menjadikannya varian City tanpa hibrid yang paling mahal. Manakala varian City RS e:HEV pula berharga RM105,950 dan merupakan model tertinggi dalam barisan City yang turut menerima Sensing.

    Sama seperti City RS, pek Sensing merangkumi Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Braking System (AEB), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High-Beam (AHB) untuk lampu utama LED. Selain aspek keselamatam, hanya satu ciri yang dipertingkatkan berbanding varian V iaitu paparan instrumen digital 7.0-inci yang ditempatkan di atas tolok analog.

    Malahan semalam juga, Honda Malaysia turut memperkenalkan City Hatchback V Sensing untuk pasaran tempatan.

     
     
  • DRB-Hicom Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) – MoU dengan Geely, Tg. Malim bakal jadi hab auto ASEAN

    DRB-Hicom Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) – MoU dengan Geely, Tg. Malim bakal jadi hab auto ASEAN

    DRB Hicom hari ini melancarkan rancangan pembangunan untuk Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim petang ini, menandakan bermulanya “projek besar berimpak tinggi” yang dikatakan akan memacu industri automotif negara. Majlis pelancarannya hari ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Bin Yaakob. Turut hadir pada majlis berkenaan termasuk Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Projek ini akan mengutamakan teknologi-teknologi baharu dalam industri automotif, termasuk teknologi elektrifikasi, kepintaran buatan (AI), teknologi autonomi serta ketersambungan termaju. Seperti yang diketahui umum, Tanjong Malim kini menempatkan fasililti Proton, yang majoritinya dimiliki oleh DRB-Hicom, dan visi kumpulan berkenaan adalah untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai hab industri automotif bagi rantau ASEAN.

    “Pembangunan AHTV bertujuan untuk mengadaptasi perubahan landskap industri automotif Malaysia dengan menampilkan ekosistem bersepadu yang akan menjadi pemangkin dalam merangsang semula sektor automotif domestik selari dengan hala tuju Dasar Automotif Negara (NAP) 2020,” kata DRB-Hicom dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    DRB-Hicom Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) – MoU dengan Geely, Tg. Malim bakal jadi hab auto ASEAN

    “Ini bagi memastikan bahawa Industri automotif Malaysia terus berkembang dan setanding dengan negara-negara jiran. Dengan wujudnya sistem, infrastruktur dan sokongan daripada pemegang taruh yang betul, AHTV akan berada pada landasan yang baik untuk menarik pelaburan daripada pemain industri di rantau ini, seterusnya memacu pertumbuhan dan keupayaan industri automotif tempatan,” tulis kenyataan itu lagi.

    Dalam majlis perasmian ini, Perdana Menteri turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan AHTV. DRB-HICOM dan Kerajaan Negeri Perak menandatangani MOU untuk mengenal pasti peruntukan tanah tambahan yang sesuai di sekitar kawasan ini bagi pembangunan AHTV.

    Buat masa sekarang, kawasan sekeliling kilang Proton Tanjong Malim yang berkeluasan 4,000 ekar kebanyakannya telah didiami oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris, vendor sedia ada, sebagai premis komersial dan sebagai hartanah kediaman. Tanah tambahan ini khas untuk pembangunan AHTV, termasuklah universiti penyelidikan.

    DRB-Hicom Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) – MoU dengan Geely, Tg. Malim bakal jadi hab auto ASEAN

    Satu lagi MoU yang ditandatangani adalah antara kedua-dua pemegang saham dalam Proton iaitu DRB-Hicom dan Geely Holding Group. MoU tersebut adalah berkenaan untuk membangunkan AHTV secara bersama dan bekerjasama dalam mengenal pasti vendor dan pelabur ke hab ini.

    “Penglibatan rakan strategik DRB-HICOM bagi pengeluar kereta nasional PROTON, Geely Holding Group, yang terkenal dengan kekuatan teknologi mereka dalam ekosistem automotif, merupakan pemangkin kepada AHTV. Ia menjadi pendorong kepada pengeluar dan komponen kereta, terutamanya dari China untuk melabur dalam fasiliti pengeluaran tempatan, seturusnya mewujudkan peluang perniagaan dan eksport baharu,” tulis kenyataan yang dikeluarkan.

    “Geely Holding kini bersedia untuk menyertai dan menyokong apa yang diperlukan. Projek ini melambangkan ekonomi yang sedang berkembang dan kerjasama perdagangan antara Malaysia dan China. Dengan sokongan kuat dari pihak swasta dan kerajaan, pemain luar lain merentas spektrum juga akan digalakkan untuk melabur dalam AHTV, terutamanya dengan infrastruktur dan sokongan yang betul diberikan,” kata CEO Geely Holding Group, Daniel Li Donghui menerusi satu pautan video yang disiarkan.

    DRB-Hicom Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) – MoU dengan Geely, Tg. Malim bakal jadi hab auto ASEAN

    “Kami melihat kehadapan untuk menyumbang kepada kejayaan projek ini, mewujudkan manfaat bersama dan sinergi untuk rakyat, perniagaan serta ekonomi antara Malaysia dan China,” tambahnya lagi.

    Menurut DRB-Hicom, AHTV mempunyai potensi sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN & OIC untuk syarikat yang menjadikannya mereka sebagai pangkalan. Buat masa sekarang, terdapat 17 vendor yang beroperasi di kawasan tersebut.

    Syarikat tersebut turut menyatakan bahawa pada peringkat awal pembangunannya (tiada sebarang garis masa diperincikan buat masa sekarang), kira-kira 370,000 peluang pekerjaan dijangka akan diwujudkan di tapak AHTV bersebelahan dengan fasiliti pembuatan Proton di Tanjong Malim. Apabila Fasa 1 siap sepenuhnya, hab ini akan menawarkan lebih 160,000 peluang pekerjaan, menyumbang kepada ekonomi Perak Darul Ridzuan dan negara.

     
     
  • Kenapa model Volkswagen di M’sia masih tiada AEB?

    Kenapa model Volkswagen di M’sia masih tiada AEB?

    Di Malaysia, Volkswagen adalah antara jenama yang masih tidak menawarkan sistem keselamatan aktif pada kenderaan mereka. Ini termasuklah model Golf terbaru, yang mana ramai menjangkakan ia akan mendapat sekurang-kurangnya Autonomous Emergency Braking – satu ciri standard bagi kebanyakan pasaran lain.

    Jadi, kenapa ini berlaku? Kami tanyakan soalan tersebut kepada pengarah urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), Erik Winter dalam satu temu bual khas di mana beliau juga menyentuh berkenaan pemasangan tempatan Golf dan fokus syarikat ke arah segmen yang lebih tinggi.

    “Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan, dan kami akan terus menambah ciri kepada produk kami. Setiap peningkatan pada sistem bantuan pemandu memerlukan kelulusan teknikal dan peraturan. Sistem keselamatan aktif ini masih lagi melalui proses penilaian dan kelulusan teknikal untuk Malaysia. Ia akan disediakan kepada pelanggan selepas lengkap melalui proses ini,” kata Winter.

    Kenapa model Volkswagen di M’sia masih tiada AEB?

    Jawapan itu memberi petunjuk sistem keselamatan aktif akhirnya nanti akan disediakan pada model Volkswagen, tetapi masih belum diketahui bila. Kami juga pernah bertanyakan soalan yang sama melibatkan Arteon facelift waktu pelancarannya, dan jawapan beliau, sistem tersebut masih lagi menunggu kelulusan daripada pihak tertentu.

    Sistem keselamatan aktif adalah ciri penting pada kenderaan baru sekarang dan pelanggan sanggup membayar untuk mendapatkannya. Bukan setakat Volkswagen, Audi yang merupakan jenama premium di bawah syarikat induk yang sama juga masih belum menyediakan AEB bagi kenderaan mereka di Malaysia. Ini mungkin kerana mereka juga berhadapan kesulitan yang sama.

     
     
  • Honda City Hatch V-Sensing 2022 di M’sia – RM92k

    Honda City Hatch V-Sensing 2022 di M’sia – RM92k

    Seperti yang dinanti-nantikan, Honda Malaysia telah pun memperkenalkan City Hatchback V-Sensing. Seperti mana versi sedan, varian ini diposisikan di antara City V dan spesifikasi tertinggi City RS, dan ditawarkan pada harga RM91,708 (dengan pengecualian cukai jualan, sehingga 30 Jun 2022). Harga ini termasuk dengan waranti lima-tahun dengan perbatuan tanpa had dan lima kali percuma bagi kos buruh untuk penyelenggaran.

    Kini hadir dengan Sensing, ia menampilkan tujuh ciri bagi sistem bantuan pemandu (berdasarkan kamera) yang sebelum ini untuk RS. Ini termasuk adaptive cruise control, autonomous emergency braking dengan pengesan kenderaan yang datang, penunggang basikal dan pejalan kaki, forward collision warning, lane keep assist system, road departure mitigation, lane departure warning, dan auto high beam.

    Semua ini hanya ditambah sekitar RM3,848 berbanding varian V biasa, dan ia merupakan penawaran yang boleh dianggap menarik. Malah Honda Malaysia turut memaklumkan sekitar 34% City yang dijual pada suku pertama (Q1) 2022 adalah dilengkapi dengan Honda Sensing.

    Honda City Hatch V-Sensing 2022 di M’sia – RM92k

    Lain-lain kit masih kekal seperti varian V, termasuk Honda LaneWatch, kamera undur, enam beg udara, lampu utama LED penuh, lampu belakang kombanasi LED, roda 16-inci, skrin sesentuh infotainmen lapan-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta lapan pembesar suara.

    Sama seperti City sedan, versi hatchback juga diberikan Honda Connect yang merangkumi automatic collision dan alarm detection, speed and geofencing alerts. pengesan kenderaan dan panggilan kecemasan. Aplikasi telefon pintar juga membolehkan pengguna untuk memeriksa status kenderana mereka, mengawal beberapa fungsi dan juga sebagai pengingatan untuk penyelenggaran akan datang.

    City Hatchback ini boleh didapati dalam lima warna pilihan luaran termasuk warna baharu Ignite Red dan Meteorite Grey Metallic. Tiga lagi warna pilihan sama seperti sedan iaitu Platinum White, Crystal Black Pearl dan Lunar Silver Metallic. Jika ingin mengetahui perincian dan kelengkapan penuh City Hatchback ini, sila layari CarBase.my.

     
     
  • Yamaha YZF-R15 V4 ditemui sedang diuji di Malaysia

    Yamaha YZF-R15 V4 ditemui sedang diuji di Malaysia

    Keberadaan Yamaha YZF-R15 V4 di Malaysia untuk sesi ujian memang sudah diketahui, tetapi ini adalah gambar terbaru yang didapati daripada pembaca kami, Zulfahdli Amri Zainal dan Ayie Azzudin. Model R15 generasi keempat ini bakal menggantikan model sekarang yang dijual sejak tahun 2018 pada harga RM11,988 di Malaysia.

    Yamaha R15 V4 pertama kali didedah kepada dunia September tahun lalu di India sementara Indonesia pula mendapatnya beberapa bulan selepas itu. Enjinnya masih lagi sama, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api SOHC, VVA 155 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, tetapi mempunyai kelebihan pada beberapa bahagian lain.

    Paling utama adalah pada bahagian elektronik, di mana selain ABS two-channel, ia juga diberikan terus dengan sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup. Varian yang lebih tinggi pula akan ditambah lagi dengan quickshifter.

    Kemudiannya pada bahagian panel paparan, unit digital penuh LCD yang digunakan sekarang boleh memaparkan lebih banyak informasi dan boleh disambungkan kepada aplikasi Y-Connect di telefon bimbit untuk memberikan fungsi seperti notifikasi dan tahap bateri. Paparan unit ini juga disediakan dalam dua mod iaitu Street untuk keadaan biasa, dan Track yang boleh memaparkan catatan masa pusingan di litar.

    Sebagai sebuah model yang dipanggil sebagai versi baru, sudah tentu panel badan R15 ini ditukar dan ia melibatkan seluruh bahagian termasuklah tangki, penghadang lumpur dan panel tepi. Walaubagaimanapun, yang paling menarik adalah di bahagian depan kerana R15 V4 ini menggunakan hanya satu set lampu LED bulat di tengah untuk lampu biasa dan lampu tinggi, sementara di tepinya adalah lampu DRL.

    Satu lagi yang menarik, Yamaha juga telah memperkenalkan versi lebih sporty bagi R15 V4 ini, dipanggil sebagai R15M, di mana ia menggunakan skema warna sama seperti R1M, dan diberikan beberapa kemasan unik seperti lencana R15M, penutup atas fork dengan logo R15M, tempat duduk khas, angkup brek Bybre warna emas serta lengan ayun dan pelindung ekzos berwarna kelabu. Spesifikasi teknikal adalah sama sahaja seperti R15 V4 biasa.

    GALERI: Yamaha R15 V4 pasaran Indonesia

     
     
  • Perodua Myvi GearUp 2022 tampilkan kit badan Ace

    Perodua Myvi GearUp 2022 tampilkan kit badan Ace

    Selepas beberapa kali menunjukkan teaser, Perodua akhirnya mendedahkan barisan aksesori baharu, Ace, untuk model Myvi facelift 2022, yang diletakkan di bawah jenama GearUp. Ia telah pun boleh dibeli di mana-mana bilik pameran Perodua yang bertauliah, bersama dengan aksesori lain yang telah diperkenalkan oleh pengeluar kereta ini.

    Pertama kali kit badan ini didedahkan pada hujung Mac lalu, ia menampilkan kemasan apron bampar hadapan, bersama perumah lampu nyalaan siang LED yang jauh lebih besar dengan kemasan hitam, yang kelihatan seperti liang pengambilan udara.

    Tiada lagi kemasan berwarna perak pada bahagian ‘dagu’ Myvi yang digayakan dengan kit badan ini kerana ia telah ditutup dengan kemasan spoiler bawah bampar juga berwarna hitam, yang bersambung sekali dengan kemasan perumah lampu nyalaan siang LED menegak. Namun panel pada bahagian sisi spoiler bawah bampar berkenaan diberikan kemasan warna badan.

    Kemasan warna hitam turut diberikan pada bahagian skirt sisi, manakala bampar belakang diberikan panel tambahan sisi lebih labuh dengan warna badan, dan bersambung dengan kemasan diffuser berwarna hitam pada bahagian tengah. Spoiler asal Myvi 2022 yang ringkas digantikan dengan spoiler bumbung yang jauh lebih besar, menampilkan ‘sayap’ kiri dan kanan yang tidak bersambung.

    Menerusi video yang dimuat naik oleh Perodua menerusi Youtube, kelihatan balutan tempat duduk Ace diberikan, dan ia juga sudah boleh didapati untuk varian G, H dan X. Diperbuat daripada material PVC yang lebih mudah untuk dibersihkan, tempat duduk ini menampilkan kemasan hitam dan merah serta bahagian kecil pada perehat belakang dengan permukaan ala-gentian karbon. Walau bagaimana pun, tempat duduk ini tidak diberikan untuk model spesifikasi penuh AV, kerana ia telah diberikan tempat duduk rekannya sendiri.

    Apa pendapat anda mengenai Myvi 2022 dengan kit badan dan balutan tempat duduk Ace ini? Jika memiliki Myvi 2022, adakah anda akan memilihnya untuk menampakkan jentera anda ini lebih agresif dan garang, sesuai dengan jolokan yang sering diberikan iaitu ‘king of highway’?

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 AV 2022 dalam rona Cranberry Red

     
     
  • Tiada lagi Volkswagen Polo dan Vento di Malaysia; VPCM fokus jual model dalam segmen lebih tinggi

    Tiada lagi Volkswagen Polo dan Vento di Malaysia; VPCM fokus jual model dalam segmen lebih tinggi

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia, (VPCM) mendedahkan bahawa mereka kini lebih fokus untuk menawarkan kereta-kereta berkualiti premium pada harga berpatutan. Oleh itu, dua model entry-level segmen-B jenama Jerman berkenaan iaitu hatchback Polo dan sedan Vento tidak akan dijual lagi di sini, dan model paling mampu milik VW di Malaysia kini adalah Golf R-Line.

    “Ada jarak dalam pasaran untuk kereta berkualiti premium dengan titik harga yang mampu dimiliki, dan itulah yang akan kami tawarkan,” kata Erik Winter, pengarah urusan VPCM dalam satu temu ramah eksklusif.

    “Kami telah mengemaskini portfolio kami bagi memastikan bahawa kami hanya menawarkan model yang sesuai dengan strategi perniagaan kami. Semua model sedia ada kami mempunyai gabungan prestasi, kemewahan dan praktikaliti yang ideal – menjadikannya pilihan terbaik untuk pelanggan,” tambahnya lagi.

    Tiada lagi Volkswagen Polo dan Vento di Malaysia; VPCM fokus jual model dalam segmen lebih tinggi

    Antara contoh apa yang dikatakan oleh Winter ini adalah Arteon R-Line. Dengan harga RM260k, pembeli bukan sahaja menerima sebuah sedan eksekutif dengan bentuk seakan coupe, malah ia dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 280 PS dan tork maksima 350 Nm.

    Arteon R-Line juga dipadankan dengan kotak gear automatik klac berkembar DSG tujuh-kelajuan bersama sistem pacuan semua roda 4Motion, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.6 saat – tiada sedan premium dengan harga hampir sama seperti Arteon R-Line ini yang mampu memberikan spesifikasi dan angka prestasi yang sama.

    Walau bagaimanapun, barisan model-model yang ditawarkan oleh VPCM dilihat tidak menawarkan fungsi-fungsi bantuan pemanduan, di mana saingan-saingan terdekat jenama tersebut lazimnya menawarkan perincian paling kurang pun dengan brek kecemasan automatik (AEB) secara standard.

    Pada Volkswagen Golf Mk8 misalnya, ia sebelum ini dijangka akan dipadankan dengan sistem AEB, namun fungsi berkenaan nampaknya tidak disertakan ketika model generasi baharu tersebut dilancarkan di sini pada Februari lalu.

    Memberi respon terhadap perkara ini, Winter berkata: “Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan, dan kami akan terus menambah pelbagai perincian pada produk kami. Apa-apa kemaskini terhadap sistem bantuan pemanduan kami memerlukan kelulusan teknikal dan kawalselia. Sistem-sistem keselamatan aktif berkenaan kini sedang menjalani proses penilaian dan kelulusan teknikal untuk Malaysia. Ia akan ditawarkan setelah proses-proses ini lengkap.”

     
     
  • Toyota Malaysia bakal lancar model baru tahun ini – mungkinkah Avanza baru versi Veloz dan GR86?

    Toyota Malaysia bakal lancar model baru tahun ini – mungkinkah Avanza baru versi Veloz dan GR86?

    Semasa pembentangan prestasi syarikat semalam, UMW Toyota Motor (UMWT) telah menjanjikan “pelancaran produk baru tahun ini.” Mungkinkah model baru yang dimaksudkan ini adalah Toyota Veloz dan Toyota GR86?

    Veloz adalah versi premium bagi Avanza generasi ketiga baru, yang sudah pun membuat penampilan di Indonesia November lalu dan kemudiannya masuk pula ke pasaran Thailand Februari tahun ini. Mengikut kepada saiz, Avanza/Veloz baru ini lebih besar, lebih lebar dan lebih panjang berbanding model sebelum ini, dan ia dibina atas platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dengan kini menggunakan pacuan dua roda hadapan.

    Di bawah bonet Avanza/Veloz baru ini masih lagi terdapat enjin 2NR-VE 1.5 liter NA Dual VVT-i berkuasa 106 PS/138 Nm tork yang sama, tetapi kotak gear automatik empat kelajuan sebelum ini telah diganti dengan unit D-CVT baru seperti Myvi facelift.

    Keistimewaan utama Veloz berbanding Avanza adalah rupa yang lebih garang, dengan gril yang terbuka besar di hadapan, bampar lebih sporty, serta lampu belakang yang bersambung sehingga tengah dan mempunyai pencahayaan seperti BMW 3 Series G20.

    Rekaan papan pemuka Avanza dan Veloz secara asasnya adalah sama, tetapi pada Veloz, ia disambung lagi sehingga ke konsol tengah dan perehat tangan. Pada bahagian ini terdapat pengecas telefon Qi tanpa wayar serta brek parkir eektronik dengan ciri Auto Brake.

    Berkenaan kelengkapan, Veloz datang dengan lampu depan dan belakang LED, cermin sisi boleh lipat automatik dengan lampu di bawahnya, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, balutan tempat duduk gabungan kulit tiruan, panel instrumen digital tujuh inci, kamera undur serta skrin sesentuh 9.0 inci untuk infotainmen dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Varian yang lebih tinggi juga mendapat rim 17 inci dan sistem kamera 360 darjah, sementara pakej Toyota Safety Sense diberikan sekali dengan enam beg udara.

    Jika betul Veloz ini akan tiba di Malaysia, agak menarik untuk kita lihat bagaimana UMWT meletakkan harganya memandangkan Perodua juga akan menggunakan asas Avanza ini untuk Perodua Alza generasi baru mereka yang akan dilancarkan tahun ini.

    Melihat kepada GR86 pula, ia adalah lebih mudah kerana akan diimport sepenuhnya. Model ini mula ditunjukkan kepada umum April 2021 dan ia menggunakan enjin boxer NA 2.4 liter berkuasa 235 PS pada 7,000 rpm dan 250 Nm tork pada 3,700 rpm. Transmisi disediakan dalam versi manual atau automatik enam kelajuan.

    Selain dua model ini, calon lain yang mungkin akan tiba di Malaysia adalah seperti Corolla sedan, Corolla Cross dan mungkin juga Hilux versi GR-S. Seperti yang anda tahu, S itu bermaksud Sport dan Vios adalah model pertama di Malaysia yang mendapat versi GR-S.

    GALERI: Toyota Veloz 2022 pasaran Indonesia

    GALERI: Toyota GR86 2022 pasaran Jepun

     
     
  • Mercedes-Benz EQS SUV terdedah awal sebelum pengenalan rasmi 19 April – skrin 56 inci di dalam

    Mercedes-Benz EQS SUV terdedah awal sebelum pengenalan rasmi 19 April – skrin 56 inci di dalam

    Mercedes-Benz EQS SUV baru hanya akan didedahkan secara rasmi 19 April nanti, tetapi nampaknya gambar model elektrik (EV) itu telah dibocorkan lebih awal oleh akaun Instagram Cochespias.

    Keseluruhan bahagian luar SUV ini sudah boleh dilihat, menampakkan rekaan hampir seperti EQS sebelum ini, termasuk gril yang tertutup sepenuhnya yang menggunakan warna hitam berkilat, serta jalur lampu yang bersambung dari kiri ke kanan.

    Pada bahagian tepi, kita boleh melihat pembuka pintu yang sama rata dengan badan kereta, serta pemijak kaki di bawah pintu. Untuk bahagian belakang, ia juga mendapat jalur lampu dengan grafik yang hampir sama seperti EQS. Gambar yang tersebar ini melibatkan dua versi EQS yang berbeza, yang mana rimnya juga adalah berlainan.

    Mercedes-Benz EQS SUV terdedah awal sebelum pengenalan rasmi 19 April – skrin 56 inci di dalam

    Bahagian dalam SUV EV ini bukan lagi satu misteri kerana Mercedes-Benz telah pun mendedahkannya bulan lepas. Sekali lagi, sama seperti EQS, ia juga menggunakan panel paparan Hyperscreen melengkung 56 inci yang terdiri daripada tiga unit skrin, corong pendingin hawa nipis dengan rekaan seperti turbin dan skrin hiburan 11.6 inci untuk penumpang belakang.

    Kelebihan utama EQS adalah ia mempunyai tempat duduk baris ketiga, sekaligus membolehkan ia membawa sehingga tujuh orang. Meskipun gambar bahagian dalam yang didedahkan sudah nampak cukup mewah, nanti akan ada versi Maybach pula seperti yang ditunjukkan awal melalui Concept Mercedes-Maybach EQS.

    Untuk penggerak, Mercedes-Benz memberitahu, model EQ akan datang ini bakal menggunakan sistem pacuan semua roda, sekaligus seakan mengesahkan tetapan dua motor. EQS 580 4Matic mendapat dua motor yang keseluruhannya mampu menghasilkan 523 PS (516 hp atay 385 kW) dan 855 Nm tork, dan tetapan ini dijangka turut digunakan pada EQS SUV.

     
     
  • Auto Bavaria buka pusat Service Fast Lane kedua di Kuala Lumpur untuk pemilik kereta BMW dan MINI

    Auto Bavaria buka pusat Service Fast Lane kedua di Kuala Lumpur untuk pemilik kereta BMW dan MINI

    Auto Bavaria telah melancarkan pusat BMW & MINI Service Fast Lane kedua di Malaysia, berlokasi di Auto Bavaria CSL baharu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Ia dibuka selepas pusat pertamanya diperkenalkan di Auto Bavaria Penang pada Ogos tahun lalu.

    Pusat Service Fast Lane ini memfokuskan perkhidmatan membaikpulih dan penyelenggaraan khas untuk kenderaan BMW dan MINI, dan menyasarkan dapat menyelesaikan perkhidmatan yang diperlukan pada kadar masa yang pantas. Menurut Pengarah Urusan syarikat, Vi Thim Juan, Auto Bavaria CSL telah direka bagi menyediakan perkhidmatan dan pembaikan yang diperlukan untuk kenderaan para pelanggan untuk diselesaikan dalam tempoh dua jam.

    “Untuk BMW Group Malaysia, komitmen yang dikongsikan dengan pengedar kami di seluruh negara adalah bagi memenuhi janji ‘Sheer Driving’ yang menjadi kebanggaan kami. Sebahagian daripada komitmen ini adalah bagi memastikan kami dapat menyampaikan perkhidmatan yang luar biasa kepada semua pelanggan BMW, MINI dan BMW Motorrad – dengan perkhidmatan yang cekap.

    Auto Bavaria buka pusat Service Fast Lane kedua di Kuala Lumpur untuk pemilik kereta BMW dan MINI

    “Kami berbesar hati dapat meraikannya dengan Auto Bavaria sempena penubuhan pusat BMW & MINI Service Fast Lane kedua di negara ini,” kata Hans de Visser, Pengarah Urusan bagi BMW Group Malaysia.

    Dikendalikan oleh 23 kakitangan, fasiliti seluas 39,800 kaki persegi ini turut menyediakan ruang lounge untuk pelanggan, Isetta Bar, dua RATC (reception at the cars) dan stesen pengecasan AC.

    Terletak di PT 129, Jalan Enam, Off, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, Auto Bavaria CSL ini beroperasi selama enam hari seminggu antara jam 8 pagi hingga 5 petang untuk Isnin hingga Jumaat, dan 8 pagi hingga 12.30 tengahari pada setiap Sabtu. Ia ditutup pada hari Ahad dan cuti umum.

     
     
  • SPYSHOT – smart #1 versi prestasi dijumpai di China; dua motor elektrik, 400 hp, bakal guna jenama Brabus?

    SPYSHOT – smart #1 versi prestasi dijumpai di China; dua motor elektrik, 400 hp, bakal guna jenama Brabus?

    SUV elektrik smart #1 baru sahaja didedahkan pada peringkat global di Berlin tempoh hari. Buat permulaan, SUV yang direka oleh Mercedes-Benz, dibangunkan oleh Geely menggunakan platform Sustainable Electric Architecture (SEA) tersebut ditawarkan dalam versi satu motor elektrik berkuasa 272 PS/343 Nm memacu roda belakang.

    smart #1 yang anda lihat dijumpai oleh pengguna Weibo, Jason Ferrari di China ini nampak lebih garang dari versi yang didedahkan sebelum ini kan? Ya, ia bukan sahaja nampak lebih sporty, malah menurut CarNewsChina, ini adalah varian prestasi untuk SUV tersebut, dan bakal menerima lencana penala Mercedes-Benz iaitu Brabus!

    Prototaip tanpa sebarang pelekat penyamaran berkenaan diberikan dua liang udara tambahan pada bahagian muncung bonet hadapan. Liang udara pada sisi bampar hadapan juga berbeza, menampilkan sirip melintang yang lebih panjang, manakala kemasan skid plate pada bawah bampar digantikan dengan panel seakan spoiler bersama serlahan jalur merah.

    Ia turut diberikan kemasan merah yang sama pada bahagian bumbung, penutup cermin sisi, jalur pada bawah skrit sisi dan juga pada angkup brek. Model ini dilihat menerima pembuka pintu berwarna hitam, set rim dengan rekaan berbeza serta spoiler belakang yang lebih besar.

    Juga, ia dilihat diberikan perincian tambahan pada bahagian fender hadapan dan pada bumbung yang berkemungkinan adalah perumah untuk kamera.

    Menurut CarNewsChina lagi, smart #1 Brabus ini turut bakal menerima satu lagi motor elektrik untuk memacu roda hadapan, menjadikan ia sebuah model pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 406 PS (400 hp atau 299 kW)! Dan sudah tentu, ia pasti akan menerima bateri lebih besar. Sebagai perbandingan, model standard smart #1 hadir dengan bateri lithium-ion 66 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 440 km mengikut kitaran WLTP.

    Ini sebenarnya bukan model pertama smart yang mendapat suntikan Brabus. Sebelum ini gandingan dua jenama tersebut pernah menghasilkan Brabus 92R yang diasaskan dari smart EQ fortwo cabrio. Namun model berkenaan hanya menghasilkan 92 PS dan tork maksima 180 Nm dari sebuah motor elektrik, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.9 saat.

    SPYSHOT – smart #1 versi prestasi dijumpai di China; dua motor elektrik, 400 hp, bakal guna jenama Brabus?

    Jika kesemua fakta berkenaan #1 talaan Brabus ini menjadi kenyataan kelak, ia tentunya bakal menjadi model produksi paling berkuasa dan paling pantas pernah dihasilkan oleh smart.

    Bagi yang belum mengetahui, smart #1 bakal hadir ke pasaran Malaysia mungkin pada tahun ini juga bagi mengambil manfaat dari insentif pengecualian cukai dan duti untuk kereta-kereta elektrik penuh (EV) yang diimport sepenuhnya. Namun berbeza dari sebelum ini di mana smart dijual oleh pengedar-pengedar Mercedes-Benz, kali ini smart bakal dijual di Malaysia oleh Proton Edar.

    Ia adalah susulan dari memorandum perjanjian (MoU)yang ditandatangani pada awal tahun ini, menyaksikan Proton Edar dilantik sebagai pengimport, pengedar dan wakil jualan untuk kenderaan smart bukan sahaja di Malaysia, malah untuk pasaran Thailand.

    GALERI: smart #1

    GALERI: smart #1 Launch Edition

     
     
  • Pergerakan balik kampung sempena Aidilfitri dijangka bermula 30 April ini; teruslah patuhi SOP – KDNKA

    Pergerakan balik kampung sempena Aidilfitri dijangka bermula 30 April ini; teruslah patuhi SOP – KDNKA

    Hari Raya Aidilfitri tahun ini pastinya dinantikan oleh kita semua setelah dua tahun kerajaan menetapkan sekatan rentas daerah dan negeri di saat Syawal tiba susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Untuk tahun ini, tiada lagi PKP dilaksanakan, sekaligus membuatkan ramai di antara kita yang merancang untuk beraya sakan bersama keluarga dan sanak saudara.

    Pihak polis turut menjangkakan sebanyak 4.7 juta kenderaan akan berada di jalan raya di seluruh negara menjelang Aidilfitri ini.

    Malahan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) turut menjangkakan orang ramai akan melakukan pergerakan balik ke kampung halaman bermula 30 April ini, laporan Harian Metro.

    Menurut Pengarah KDNKA, Datuk Seri Hazani Ghazali, pihaknya akan meningkatkan pemantauan terhadap pergerakan kenderaan dan juga pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh pengguna jalan raya.

    Pergerakan balik kampung sempena Aidilfitri dijangka bermula 30 April ini; teruslah patuhi SOP – KDNKA

    “Pesanan saya kepada semua pengguna supaya mematuhi keselamatan jalan raya serta SOP yang masih dikuatkuasakan pada fasa peralihan ke endemik ini,” katanya.

    Mengenai pelaksanaan SOP, Hazani berkata, pihaknya akan meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan di sepanjang lebuh raya khususnya di kawasan rehat dan rawat (R&R) yang kerap menjadi lokasi tumpuan pengguna sehingga membawa kesesakan.

    “Kita akan menggunakan budi bicara dengan memberi nasihat dan peringatan namun jika masih berdegil barulah kita akan keluarkan kompaun ingkar SOP dan sebagainya.

    “Sepanjang fasa peralihan ke endemik yang bermula 1 April lalu, cuma pada 9 April lalu sebanyak 183 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk melanggar SOP tetapi keseluruhannya kes kesalahan tak banyak berlaku kerana rakyat kita majoritinya sedar dan memahami keadaan semasa Covid-19 serta patuh SOP,” katanya.

     
     
  • Pusat 3S Toyota baharu dibuka di Cyberjaya – dilengkapi kemudahan baikpulih, cat badan kenderaan

    Pusat 3S Toyota baharu dibuka di Cyberjaya – dilengkapi kemudahan baikpulih, cat badan kenderaan

    UMW Toyota Motor telah pun merasmikan pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) Toyota baharu di Cyberjaya. Dikendalikan oleh Otomobil Sejahtera (OSSB), pusat 3S ini turut menyediakan kemudahan baikpulih dan mengecat badan kenderaan (pada dasarnya dikategorikan sebagai fasiliti 4S).

    Memberikan kemudahan yang diperlukan untuk para pelanggan di kawasan sekitarnya, fasiliti tiga tingkat ini turut menyediakan tujuh petak penyelenggaraan dan ruang lounge untuk pelanggan yang dilengkapi kemudahan WIFi.

    “Pusat 3S baharu ini mendekatkan jenama kami dengan para pelanggan. Di mana sahaja mereka berada, kami akan pastikan mereka mempunyai akses yang lancar untuk mendapatkan perkhidmatan kami pada bila-bila masa yang diperlukan,” kata presiden UMW Toyota Ravindran K.

    Terletak di 16, Jalan Autoville 2, Cyberjaya, pusat 3S ini dibuka dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat, manakala hari Sabtu pula beroperasi dari 8 pagi hingga 2 petang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (+1.20)
EURO 5 B7 RM3.55 (+1.20)
Last Updated Jun 06, 2024