Hyundai telah menyiarkan gambar teaser bagi Palisade facelift 2023, sambil memberitahu ia akan membuat penampilan pertama di New York International Auto Show (NYIAS), yang akan dibuka kepada media 13 April dan 15 hingga 24 April untuk orang awam.
Dua gambar gelap yang boleh anda lihat di atas adalah bahagian hadapan Palisade baru ini, dan ia masih menerapkan rekaan eksklusif sama seperti Palisade sekarang, termasuklah DRL LED pada hujung bampar yang bersambung dari atas ke bawah.
Bezanya, model facelift ini menggunakan lampu yang lebih menegak jika dilihat secara terus dari hadapan, dengan berbentuk L, sementara lampu DRL sebelum ini lebih melengkung. Gril yang nampak seperti topi tukang masak pada Palisade sekarang juga telah diganti dengan unit yang lebih tajam dan berpetak.
Rekaan elemen di bahagian dalam gril ini dijadikan bersambung sehingga ke lampu utama, yang juga mempunyai bentuk sama. Konsep rekaan seperti ini sebenarnya sudah digunakan oleh Hyundai pada kereta lain termasuk SUV Tucson serta trak Santa Cruz.
Diletakkan lebih tinggi daripada Santa Fe dalam barisan produk Hyundai, Palisade adalah sebuah SUV besar dengan tiga baris tempat duduk dan di Malaysia ia ditawarkan dalam versi yang menggunakan enjin 2.2L turbodiesel (200 PS, 440 Nm, AWD) dan 3.8L NA V6 (295 PS, 355 Nm, FWD). Harganya bermula RM328,888.
Akhirnya, model kelahiran semula untuk jenama kereta kompak smart kini sudahpun didedahkan secara rasmi. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, model tersebut diberi nama smart #1 dan kemunculan sulungnya telah pun dibuat di Berlin, Jerman.
smart yang sebelum ini milik Daimler AG, kini merupakan jenama yang akan menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya (EV) selepas ia secara rasmi menjalinkan kerjasama dengan gergasi automotif China iaitu Geely. Model pertama hasil kerjasama berkenaan, iaitu crossover smart #1 ini masih direka oleh Mercedes-Benz, tetapi pembangunan dibuat oleh Geely termasuk menggunakan platform modular khas untuk kereta elektrik Sustainable Electric Architecture (SEA) Geely, serta akan diproduksi oleh Geely di fasiliti baharu yang terletak di China.
Seperti yang terdedah menerusi imej paten sebelumnya, model produksi smart #1 ini menampilkan rupa yang hampir sama seperti model konsep smart Concept #1 yang muncul di Munich tahun lalu dengan mengekalkan bentuk badan keseluruhan yang direka seperti gula-gula jelly bean.
Perincian lain yang dibawa dari model konsep termasuk rekaan lampu hadapan dan belakang LED yang merentangi keseluruhan lebarnya, liang udara bawah hadapan berbentuk trapezoid, kemasan skid plate di bawah bampar hadapan dan belakang, pembuka pintu yang tenggelam, bumbung panaromik, tiang-C yang tebal dan kesemua pintu dengan cermin tingkap tanpa bingkai.
Apa yang berbeza, terdapat liang udara tambahan pada sisi bampar hadapan, dan pintu direka normal tanpa konfigurasi suicide door pada model Concept #1. Model produksi ini juga diberikan rim dengan permukaan rata bersaiz lebih kecil iaitu 19-inci berbanding 21-inci pada versi konsep, bersama penutup gril aktif yang membolehkan SUV ini mencapai pekali seretan serendah 0.29.
Secara spesifiknya, smart #1 dihasilkan dengan platform SEA dengan dimensi 4,270 mm panjang, 1,822 mm lebar, 1,636 mm tinggi bersama jarak roda sejauh 2,750 mm. Jadi smart #1 sebenarnya adalah SUV dalam segmen B dengan panjang keseluruhan 60 mm lebih pendek tetapi dengan jarak roda 150 mm lebih jauh berbanding Proton X50.
smart #1 ini digerakkan dengan hanya sebuah motor berkuasa 272 ps (200 kW) dan tork maksima 343 Nm, yang hanya memacu roda belakang, membolehkan ia dipandu sehingga kelajuan maksima 180 km/j. Motor tersebut menerima bekalan kuasa elektrik menerusi bateri lithium-ion berkapasiti 66 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 420-440 km dalam kitaran ujian WLTP.
Dengan pengecas AC 22-kW, bateri kereta ini boleh dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa 3.5 jam. Manakala dengan pengecas pantas DC 150 kW pula jumlah cas yang sama boleh dicapai dalam masa hanya 30 minit. Teknologi yang ada pada smart #1 ini juga membolehkan 75% dari kotak komputernya menerima kemaskini secara over-the-air, membolehkan sistemnya ditambah baik dari masa ke masa.
Bahagian dalaman smart #1 ini juga menerima rekaan yang seiras dengan versi Concept #1. Ia direka secara minalis, menampilkan papan pemuka ringkas yang bersambung dengan konsol terowong yang agak tinggi tanpa suis-suis kawalan fizikal. Paparan instrumen digital untuk pemandu direka nipis bersaiz 9.2-inci, dibantu dengan paparan head-up bersaiz 10-inci.
Manakala skrin sesentuh untuk sistem infotainmen yang besar bersaiz 12.8-inci diletak berdiri sendiri pada bahagian tengah papan pemuka. Skrin berkenaan menampilkan antara muka dengan gaya-globe, dan diberikan bersama avatar berbentuk musang. Kawalan sistem pendingin hawa turut diletak di dalam skrin berkenaan membolehkan papan pemuka ini ‘bersih’ dari sebarang suis fizikal. smart #1 ini turut ditawarkan dengan sistem bunyi Beats dengan 13-pembesar suara.
But belakang SUV ini menyediakan ruang kargo dengan kapasiti 273 liter. Tetapi sekiranya tempat duduk belakang dilipat, ruang tersebut meningkat kepada 411 liter. Ia turut diberikan ruang simpanan tambahan pada but hadapan kerana tiada enjin pada bahagian tersebut, tetapi ia agak kecil dengan hanya 15 liter.
Untuk keselamatan pula, smart #1 dilengkapkan dengan tujuh beg udara serta sistem bantuan pemanduan penuh termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop&go, bantuan kekal tengah lorong, bantuan tukar lorong serta pemantau titik buta.
Ia turut akan diperkenalkan dalam versi Launch Edition yang hanya dihasilkan sebanyak 1,000 unit. Model ini diberikan motif chequered pada rim, cermin bumbung, upholsteri putih yang unik serta serlahan-serlahan emas pada bahagian luaran dan dalaman seperti pada Concept #1.
Seperti yang diumumkan sebelum ini, smart #1 sah akan dilancarkan di Malaysia untuk mengambil manfaat atas pengecualian cukai keatas model EV CBU (diimport sepenuhnya) yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini. Namun smart bukan lagi akan dijual oleh pengedar Mercedes-Benz seperti sebelum ini, sebaliknya ia akan dijual oleh Proton Edar untuk pasaran tempatan.
Proton Edar bukan hanya menjual smart #1 ini di Malaysia, malah turut diberikan hak untuk memasarkan jenama smart berkenaan di pasaran Thailand. Ini bukan sahaja membolehkan Proton belajar dan bersedia untuk menjual dan menyediakan khidmat selepas jualan untuk model-model elektrik penuh sebelum menghasilkan EV dengan jenamanya sendiri kelak, malah turut akan membantu jenama automotif Malaysia berkenaan untuk kembali bertapak di Thailand.
Tata Motors sebelum ini pernah membuat pengumuman bahawa mereka akan melaburkan sejumlah wang yang banyak untuk kenderaan elektrik dalam masa lima tahun akan datang, dan ini akan membawa kepada pengenalan 10 buah kenderaan elektrik (EV). Apa yang anda lihat dalam gambar ini adalah petunjuk kepada salah satu model tersebut.
Ia dipanggil sebagai Curvv, dan Tata memberitahu, versi produksi bagi model konsep ini akan masuk ke pasaran dalam masa dua tahun akan datang. Ada beberapa penggerak akan disediakan sebagai pilihan bagi model ini, tetapi yang utama adalah penggerak elektrik penuh kerana itu adalah perancangan yang memang sudah ada sejak awal bagi Curvv. Enjin pembakaran dalaman pula akan diperkenalkan kemudian.
Melihat kepada laporan yang dikeluarkan oleh Indian Express dan Evo India, Curvv versi produksi nanti akan dibina atas platform Generation 2 Tata yang boleh menerima penggerak elektrik, tetapi Tata sendiri masih belum mendedahkan perincian teknikal atau spesifikasinya.
Meskipun begitu, rekaan luar dan dalam SUV ini sudah pun didedahkan sepenuhnya, menampakkan rekaan yang banyak menggunakan garis tajam berlekuk, sementara bumbung yang menjunam pula membuatkan ia kelihatan seperti Mercedes-Benz GLE Coupe. Selain jalur lampu penuh sepanjang bahagian hadapan dan belakangnya, model ini juga mempunyai lampu di sekeliling lampu belakangnya.
Bahagian dalam pula menggunakan rekaan yang minimalis dengan corong pendingin hawa yang seakan tersembunyi, dua skrin atas papan pemuka yang rata seperti meja serta butang kawalan jenis sesentuh pada panel tengah serta stereng. Penukar gear menggunakan unit tombol yang perlu dipusing sementara di atas pula terdapat bumbung panoramik yang besar.
Susulan pengenalannya di peringkat global pada bulan lalu, Mazda telah mengeluarkan spesifikasi awal bagi CX-60 untuk pasaran Jepun. CX-60 adalah antara empat produk yang menjadi sebahagian daripada kumpulan Large Product jenama ini, selain CX-70, CX-80 dan CX-90.
SUV besar ini memiliki ukuran 4,740 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,685 mm tinggi dan jarak roda pula 2,870 mm. Ini menjadikannya 190 mm lebih panjang, 50 mm lebih lebar dan 5 mm lebih tinggi berbanding CX-5, yang miliki jarak roda 2,700 mm.
Selain dimensi yang besar, model terkini CX-60 ini hanya didatangkan dengan lima tempat duduk. Tidak seperti CX-5, CX-60 dibangun menggunakan Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture dengan platform enjin hadapan yang diletakkan secara menegak untuk memacu roda belakang.
Untuk pasaran Jepun, CX-60 akan ditawarkan dengan empat penjana kuasa. Yang pertama ialah plug-in hybrid (e-Skyactiv PHEV) yang juga telah diumumkan turut ditawarkan untuk pasaran Eropah dan menampilkan enjin Skyactiv 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol, motor elektrik, bateri lithium-ion dan pacuan semua-roda i-Activ. Jumlah keseluruhan kuasa untuk larasan ini mencecah 323 PS (319 hp atau 238 kW) pada 6,000 rpm dan tork 500 Nm pada 4,000 rpm.
Menyertai plug-in hybrid ialah unit Skyactiv-G 2.5 liter yang sama, tetapi tanpa teknologi plug-in hybrid dengan kuasa 188 PS (185 hp atau 138 kW) pada 6,000 rpm dan 250 Nm pada 3,000 rpm. Kuasa ini lebih kurang sama dengan CX-5 spesifikasi Jepun, walau pun puncak tork mampu sampai seawal 1,000 rpm.
Untuk pasaran Jepun, CX-60 juga ditawarkan dengan enjin diesel, dengan unit Skyactiv-D 3.3 liter enam-silinder sebaris turbodiesel yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 231 PS (228 hp atau 179 kW) dari 4,000 hingga 4,200 rpm dan 500 Nm dari 1,500 hingga 3,000 rpm.
SUV ini turut ditawarkan dengan enjin diesel enam-silinder sebaris versi mild hybrid yang dipanggil e-Skyactiv D, yang disepadukan dengan sistem elektrikal M Hybrid Boost 48-voltan yang mampu menyalurkan kuasa hingga 254 PS (251 hp atau 187 kW) pada 3,750 rpm dan 550 Nm dari 1,500 hingga 2,400 rpm. Semua enjin yang disebutkan ini turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan secara standard, namun belum dipastikan adakah AWD turut diberikan sebagai pilihan kepada semua varian.
Jualan bagi CX-60 ini akan bermula di Jepun seawal musim luruh tahun ini, iaitu antara bulan September ke November. Harga dan perincian penuhnya akan diumumkan menjelang pengenalan rasminya kelak. Adakah anda juga mengharapkan model ini akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia?
Kumpulan Gamuda Bhd memaklumkan tempoh baharu konsesi empat lebuh raya yang ditawarkan untuk diambil alih Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) dijangka tamat serentak pada Mei 2032. Lebuhraya terbabit ialah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).
Menurut Timbalan Pengarah Urusannya, Mohammed Rashdan Yusof, ini membolehkan pendapatan yang dijana daripada keempat-empat konsesi berkenaan berada di bawah satu akaun, sekali gus menjadikannya lebih mudah diuruskan dari segi pembayaran semula hutang.
“Ini bermakna, dana lebihan tunai daripada keempat-empat konsesi akan digabungkan dan penyelenggaraan pembayaran hutang akan menjadi satu, tanpa perlu mengasingkan pendapatan mengikut setiap syarikat pengurusan lebuh raya.
“Jika ada antara salah satu daripada empat konsesi itu mengalami kerugian, ia masih boleh ditampung oleh keuntungan tiga lagi konsesi lebuh raya yang lain. Namun, dalam konteks perniagaan lebuh raya kami di Lembah Klang, kemungkinan untuk mengalami kerugian adalah sangat rendah dan tidak mungkin berlaku,” katanya kepada Berita Harian.
Tambah beliau, tarikh jangkaan tamat konsesi itu boleh berakhir lebih awal seandainya aliran trafik lebuh raya tinggi dan ALR pula mampu membayar semula hutang dengan pantas. Di mana penamatan tempoh konsesi awal akan memberikan penjimatan kepada kerajaan dan rakyat.
Katanya, pengambilalihan oleh ALR itu turut memberi jaminan bahawa tiada lagi kenaikan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi bagi keempat-empat lebuh raya terbabit. Ia satu tawaran yang menarik berbanding dengan peruntukan perjanjian konsesi asal yang memperuntukkan kenaikan tol bagi lebuh raya secara berkala antara lima hingga tujuh tahun, mengikut perjanjian konsesi masing-masing.
“Di bawah ALR, ia menjimatkan pengguna lebuh raya bertol. Sebagai contoh, pengguna KESAS hanya membayar RM2 dan bukannya RM3 (jika ikut perjanjian konsesi semasa), memberikan penjimatan RM1 atau sekitar 50%.
“Begitu juga SPRINT Pantai, pengguna hanya perlu membayar RM2.50 dan bukannya RM4.50, penjimatan sebanyak RM2 atau 80%. Dengan cara ini, ia memberi penjimatan secara langsung kepada rakyat sebanyak RM4.3 bilion,” katanya.
Gamuda memiliki kepentingan dalam keempat-empat lebuh raya berkenaan sebelum ini, manakala ALR pula adalah syarikat swasta yang ditubuhkan pada Disember 2021 yang tidak berasaskan keuntungan (not for profit), di mana pemegang sahamnya tidak akan menerima sebarang dividen. Ia ditubuhkan dengan tujuan utama untuk mengawal selia syarikat yang memegang konsesi lebuh raya.
Pada 4 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kadar tol lebuhraya yang dikendalikan oleh empat konsesi — Kesas, Smart Tunnel, Sprint dan LDP — tidak akan dinaikkan sehingga tempoh konsesi mereka tamat, dan ini akan dilakukan dengan cara menstruktur semula empat syarikat berkenaan.
Selepas tiga bulan ditampilkan buat pertama kali di Malaysia, BMW i4 kini telah pun dibuka untuk tempahan, melengkapkan lagi barisan kenderaan elektrik (EV) di pasaran tempatan. Gran Coupé lima-pintu sifar-emisi ini menyertai barisan iX dan iX3, memberikan lebih banyak penawaran dan prestasi yang lebih baik.
Hanya satu varian sahaja yang akan ditawarkan iaitu eDrive40 M Sport pacuan roda-belakang yang berharga atas jalan RM389,800 tanpa insurans. Angka ini termasuk dengan pengecualian cukai import, duti eksais dan cukai jalan yang diberikan oleh kerajaan untuk model EV, serta rebat bagi cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bakal berakhir 30 Jun ini. Turut disertakan ialah waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had dan pakej servis; harga akan menurun sedikit sekiranya memilih waranti standard dua-tahun.
Agak mengejutkan apabila ia ditetapkan dengan harga yang agak tinggi, malah lebih tinggi berbanding iX3 dan iX. Dalam pasaran negara lain, i4 sebenarnya lebih murah berbanding iX3 dan iX. Walau bagaimana pun, ia didatangkan dengan lebih banyak kit kelengkapan yang diberikan secara standard berbanding dua lagi model tersebut.
Bagi penjana kuasanya, ia menggunakan satu motor elektrik berkuasa 340 PS (335 hp atau 240 kW) dan tork 430 Nm, dihantar ke roda belakang melalui transmisi satu-kelajuan. Antara catatan prestasinya adalah pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan laju maksimum 190 km/j.
Berkenaan jarak gerak, bateri 83.9 kWh yang digunakan boleh memberi perjalanan sehingga 590 km dengan sekali cas. Apabila menggunakan pengecas pantas DC 200 kW (sambungan CCS Combo 2) dalam masa 10 minit, i4 boleh sudah boleh menyediakan jarak gerak 164 km sementara apabila menggunakan pengecas AC 11 kW (sambungan Type 2), ia akan mengambil masa 8.5 jam untuk penuh.
Model i4 ini adalah diasaskan dari 4 Series Gran Coupé dan ia menerima beberapa ciri rekaan unik yang mirip daripada model biasa dua-pintu itu. Ia ditampilkan dengan lampu utama trapezoidal, lampu belakang berbentuk-L dan gril berkembar ‘kidney’. Walau bagaimana pun versi elektrik ini diberikan corong Air Breather pada fender hadapan, dan antena shark fin profil yang lebih rendah.
Selain itu, kit M Sport ditambah dengan corong pengambilan yang lebih besar, skirt sisi yang lebih dalam dan panel kelabu kontras pada bampar belakang yang disambung pada diffuser besar. Tidak seperti kereta yang dipertontonkan pada Januari lalu, model tempatan ini menggunakan roda aloi yang lebih kecil dua-tona Style 860 M 19-inci. Selain itu, lampu utama Laserlight dan brek M Sport dengan kaliper biru juga diberikan secara standard.
Di dalamnya, i4 berbeza dari 3 Series, 4 Series dan 4 Series Gran Coupé menerusi penampilan panel paparan freestanding dari iX, disepadukan dengan paparan instrumen digital 12.3-inci dan skrin sesentuh infotaimen 14.9-inci. Ia juga menggunakan BMW Operating System 8 baharu dengan antara muka pengguna yang lebih menyerlah, bentangan instrumen yang boleh dikustom dan kawalan suhu bersepadu.
Pakej M Sport juga memberikan ciri tambahan termasuk roda stereng tiga-jejar, tempat duduk sport larasan kuasa dengan fungsi memori pada bahagian pemandu, kemasan aluminium dengan paten rhombic, pedal aloi dan headlining hitam. Papan pemuka dan tempat duduk pula dibaluti upholstery dengan kulit tiruan Sensatec, diberikan pilihan rona sama ada hitam, Mocha atau Tacora Red.
Ciri lain yang turut diberikan secara standard termasuk loadspeaker luaran untuk memberikan amaran kepada penjalan kaki tentang kehadiran kereta ini berhampiran mereka, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu automatik tiga-zon, bantuan parkir, kamera 360-darjah, pengecas tanpa wayar Qi, sistem bunyi Harman Kardon 525-watt, 17-pembesar suara dan tailgate bukaan kuasa bebas-tangan.
Bagi aspek keselamatan, i4 didatangkan dengan kelengkapan penuh Driving Assistant Professional, termasuk brek kecemasan automatik, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dan pengelak pelanggaran serta kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek auto.
i4 ini diberikan pilihan warna Black Sapphire, Mineral White dan Dravit Grey, dengan warna yang bakal ditawarkan kelak iaitu Sanremo Green dan Portimao Blue. Malah rona Brooklyn Grey juga akan diperkenalkan bagi menggantikan Dravit Grey. Menurut BMW Malaysia, bayaran ansuran bulanan akan bermula dari RM4,306.
Selepas tular foto-foto warga Singapura mengisi petrol RON 95 bersubsidi setelah pintu sempada antara republik berkenaan dengan Malaysia dibuka bermula 1 April lalu, jelas ia mendatangkan kemarahan dikalangan warga tempatan. Mana tidaknya, RON 95 yang diberikan subsidi berbilion ringgit oleh kerajaan (sudah tentu melibatkan wang pembayar cukai) seolah-olah dirompak oleh warga asing.
Buat masa sekarang petrol RON 95 di Malaysia masih dijual pada harga RM2.05 seliter, di mana harga siling berkenaan boleh dikekalkan dengan subsidi yang diberikan oleh kerajaan. Sebagai perbandingan, petrol RON 97 yang tidak diberikan subsidi kini sudahpun mencecah RM3.81 seliter.
Manakala di Singpapura, buat masa sekarang petrol RON 95 dijual pada harga sekitar SG$3 (RM9.31) seliter dan RON 98 pula sekitar SG$3.47 (RM10.77) seliter. Larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing sudah dilaksanakan sejak 1 Ogos 2010 bagi memastikan subsidi petrol yang diberikan hanya untuk rakyat Malaysia.
Dalam kemarahan rakyat Malaysia dengan perkara ini, tiba-tiba ada satu ciapan dibuat oleh seorang pengguna Twitter dengan nama Abe J yang dilihat agak bijak bagi mengelakkan warga Singapura mengisi petrol RON 95 berkenaan.
Kalau jumpa mana2 kereta singaporean ambik subsidi minyak kita, bila dah tegur pun buat muka taik, tekan je button E-Stop tu lepastu report dekat pihak berkuasa. Ini je cara ajar diorg pic.twitter.com/Bk4DSbqIoY
“Kalau jumpa mana-mana kereta singaporean ambik subsidi minyak kita, bila dah tegur pun buat muka taik, tekan je button E-Stop tu lepas tu report dekat pihak berkuasa. Ini je cara ajar diorang,” tulis Abe J yang kami potong dan tampal dari ciapan tersebut tanpa sebarang olahan ayat yang lebih sopan.
Persoalannya, betulkah tiada masalah untuk kita menekan butang Emergency Stop berkenaan? Sebenarnya jika butang itu ditekan, ia bukan sahaja menghentikan nozel yang sedang digunakan oleh warga Singapura tersebut, tindakan itu turut mungkin boleh menghentikan nozel pengguna pam yang sama di belakangnya.
Untuk sebahagian stesen (lain stesen minyak mungkin mempunyai protokol dan mod failsafe yang berlainan), ia mungkin mengambil masa untuk kembali berfungsi. Jadi tindakan ini mungkin akan menyebabkan pengguna lain yang tidak bersalah turut terjejas.
Sebagai alternatif, sekiranya berhadapan dengan warga asing yang tidak tahu malu ini, mungkin kita boleh terus menegur mereka bahawa mengisi petrol RON 95 adalah tidak dibenarkan untuk kenderaan dengan nombor pendaftaran asing, dalam masa yang sama tunjukkan amaran larangan yang telah ditampal sekitar stesen minyak berkenaan.
Anda juga boleh melaporkan hal berkenaan terus kepada staff stesen minyak tersebut. Atau anda boleh menyalurkan maklumat termasuk gambar serta lokasi stesen minyak menerusi e-aduan KPDNHEP pada PAUTAN INI, WhatsApp di talian 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.
Walau bagaimanapun, tidak seharusnya kita menganggap semua warga Singapura yang datang ke Malaysia semuanya mahu ‘merompak’ subsidi petrol RON 95 kita. Majoriti daripada mereka tahu akan larangan untuk mengisi petrol RON 95 ini dan hanya sebahagian dari mereka dilihat tidak mempedulikan undang-undang berkenaan.
Sebagai jiran yang baik, teruslah alu-alukan mereka datang ke Malaysia kerana sebahagian peniaga-peniaga kita di Johor Bahru agak bertuah menerima pelanggan-pelanggan dari Singapura ini dan menjana pendapatan yang agak lumayan. Tapi jangan lupa, sentiasa bersedia dengan kamera untuk merakam dan membuat aduan tentang kesalahan mereka.
Anda mungkin ada melihat video ujian dyno sebuah motosikal Suzuki Raider R150 Fi yang mampu mencatatkan kelajuan setinggi 177 km/j bukan? Video berkenaan sebenarnya turut mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani.
Dalam laporan FMT, beliau melahirkan kebimbangan terhadap lambakan motosikal kapcai lincah berprestasi tinggi sejak akhir-akhir ini, dan ia adalah antara punca utama peningkatan kadar nahas jalan raya.
“Inilah (kapcai laju) antara penyumbang kepada tingginya kemalangan dan kematian dalam kalangan penunggang motosikal dan (kegiatan) merempit,” katanya kepada portal berita tersebut. Beliau turut menyarankan model kapcai lincah yang berkemampuan tinggi yang ditunggang melebihi had laju wajib itu dilarang berada di jalan raya serta penjualannya di pasaran diharamkan, tulis laporan berita itu lagi.
“Kenderaan (kapcai) seperti ini wajib diharamkan di Malaysia (kerana) tidak ada relevensi kelajuan 177 km/j di jalan raya sedangkan had laju maksimum adalah 110 km/j (di lebuh raya),” tegasnya.
Acryl Sani turut menggesa Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) memainkan peranan utama mengkaji arah tuju permotoran serta merangka polisi motosikal selamat pada masa hadapan. “Miros hendaknya jadi badan pendesak,” tambah beliau.
Laporan FMT ini turut menyebut bahawa setakat Ogos tahun lalu, statistik menunjukkan bahawa bagi setiap 10 orang yang maut di jalan raya, tujuh merupakan pengguna motosikal dengan majoriti kematian adalah terdiri daripada pengguna kapcai.
Suzuki Raider R150 Fi ini baru sahaja dilancarkan ke pasaran Malaysia pada bulan lalu. Model gantian untuk Suzuki Belang berkenaan dijana oleh enjin empat strok, satu silinder, DOHC 147.3 cc, dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, berupaya menghasilkan 18.2 hp pada takat 10,000 rpm dan tork maksima 13.8 Nm pada takat 8,500 rpm secara standard.
Ia juga digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan, serta menerima kelengkapan standard lain seperti brek cakera hadapan dan belakang bersama angku brek dua omboh di hadapan (tanpa ABS), sistem suspensi dengan fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang, rim aluminium 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang serta berat keseluruhan hanya 109 kg.
GreenTech sekali lagi telah menaiktaraf pengecas wallbox ChargEV AC, kali ini bagi menggantikan 48 unit di seluruh negara. Wallbox baharu yang didatangkan dengan skrin LCD bagi paparan status pengecasan dan kabel Type 2, ditampilkan dengan rekaan yang lebih comel berbanding versi ABB yang dipasang pada November lalu.
Namun buat setakat ini, syarikat terbabit belum mengeluarkan senarai bagi semua lokasi yang terlibat dengan pemasangan wallbox baharu ini, tetapi pastinya pengguna boleh mencarinya menerusi aplikasi mudah alih ChargEV. Menurut kenyataan yang dimuatnaik menerusi Facebook, ada juga perancangan untuk memasang lebih banyak pengecas di sekitar Lembah Klang dan utara tanahair pada tahun ini.
Buat masa ini, ChargEV berkata pihaknya telah menyediakan lebih 400 pengecas di seluruh negara, dengan kadar pengecasan dari 3.7 kW hingga 22 kW, bergantung pada lokasi.
Dalam perkara lain, GreenTech baru sahaja menandatangani perjanjian kerjasama dengan Yinson Green Technologies (anak syarikat Yinson yang disenaraikan dalam Bursa Saham), Di mana Yinson bakal memiliki pegangan majoriti dan menjalankan pengkomersilan, operasi dan penyelenggaraan bagi rangkaian ChargEV.
Menerusi kerjasama ini, pengguna kenderaan elektrik di Malaysia bakal menerima kemudahan rangkaian dan infrastruktur ChargEV yang lebih padu. Pengerusi GreenTech Datuk Hiswani Harun berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan jumlah pengecas di negara ini dari 400 unit ke 2,500 unit.
Tempoh pengecualian bayaran tol selama tujuh hari di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Linkedua) di Johor sempena pembukaan semula laluan darat Malaysia-Singapura bermula Jumaat lalu akan tamat esok.
Menurut PLUS Malaysia Berhad (PLUS), operasi kutipan tol akan dilaksanakan seperti biasa mulai Jumaat ini, 7 April 2022. Justeru, para pengguna dinasihatkan supaya memastikan kad Touch ‘n Go serta e-Wallet Touch ‘n Go mereka aktif serta mempunyai baki mencukupi bagi menikmati perjalanan yang lancar.
“Pengguna lebuh raya yang menggunakan RFID (tag Identifikasi Frekuensi Radio) untuk sistem VEP (Permit Masuk Kenderaan) turut boleh mula menggunakan sistem tersebut di lorong RFID di Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang,” kata PLUS.
Jelasnya lagi, bagi pemandu Singapura yang bercadang untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go di Johor, mereka boleh berbuat demikian di lapan pusat tambah nilai di lebuh raya Linkedua selain pusat tambah nilai di lokasi-lokasi sekitar Tambak Johor.
“Secara amnya, stesen minyak dan kedai serbaneka 24 jam turut menyediakan perkhidmatan tambah nilai kad Touch ‘n Go. Sebagai tambahan, urusan tambah nilai turut boleh dilakukan di kiosk layan diri di plaza tol dan kawasan rehat yang terpilih.
“Penguna lebuh raya juga boleh merancang perjalanan mereka apabila memuat turun aplikasi PLUS yang boleh menghubungkan pelanggan terus ke talian PLUSLine 1800 88 0000 sekiranya berlaku kecemasan,” ujar PLUS lagi.
Pada 30 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari membabitkan semua jenis kenderaan di sempadan Malaysia-Singapura sempena pembukaan semula laluan darat kedua-dua negara bermula 1 April 2022.
Walaupun belum lagi didedahkan sepenuhnya, model generasi baharu Honda Civic Type R telahpun memecahkan catatan rekod terpantas di Litar Suzuka untuk kereta pacuan hadapan, yang sebelum ini dipegang oleh Civic Type R generasi FK8 sedia ada!
Menurut Honda, unit prototaip Civic Type R 2023 berkenaan telahpun mencatatkan rekod 2 minit 23.120 saat pada laluan 5.8 km litar tersebut. Masa yang dicatatkan ini cukup untuk memecahkan rekod yang dibuat oleh versi paling hardcore dan paling ringan untuk FK8 iaitu Type R Limited Edition yang mencatatkan masa 2 minit 23.993 saat – hampir satu saat lebih perlahan! – pada tahun 2020.
Video yang disiarkan ketika rekod tersebut dibuat turut disertakan dengan beberapa data telemetri seperti bacaan daya-G dan juga kelajuan. Namun sudut kamera yang diletak pada kabin kereta berkenaan masih menyorokkan lagi perincian-perincian dalaman model generasi baharu ini.
Walaupun rupa sebenarnya diselindung disebalik pelekat tersebut, masih boleh dilihat ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia lebih lebar, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah. Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, manakala bampar belakang pula diberikan diffuser yang agak agresif serta masih menempatkan tiga tip ekzos pada bahagian tengah.
Spoiler belakang Civic Type R generasi baharu ini masih lagi bersaiz besar, tetapi ia kini direka ala GT-Wing, dengan kakinya dilekat pada kedua-dua tiang sisi cermin belakang. Seperti model FK8, model gantiannya ini turut disertakan dengan rim lebih besar bersama tayar Michelin Pilot Sport, serta set brek Brembo yang jelas kelihatan disebaliknya.
Honda masih belum memberikan sebarang pembayang berkenaan spesifkasi teknikal Civic Type R 2023 ini. Namun ia berkemungkinan masih menggunakan unit rangkaian kuasa sama seperti Type R FK8 tetapi diberikan beberapa tingkat taraf. Pada model sedia ada, Honda Civic Type R dijana oleh enjin K20C1 2.0L turbo empat silinder berkuasa 320 PS (306 hp) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan bersama unit LSD untuk memacu roda hadapan.
Boleh diagak model generasi baharu ini masih tetap akan ditawarkan dengan kotak gear manual, malah video catatan rekod ini turut menunjukkan pemandunya sentiasa sibuk untuk menukar gear sendiri. Menurut Honda, Civic Type R 2023 ini akan didedahkan sepenuhnya pada musim panas ini di Amerika Syarikat, iaitu antara Jun hingga Ogos nanti.
Tidak dinafikan ada juga orang awam yang selamba menggunakan lampu mata arah atau strobe light pada kenderaan persendirian sehingga mencetuskan banyak rungutan di kalangan pengguna jalan raya. Apatah lagi kebanyakan di antara individu yang menggunakan lampu ini suka mengambil kesempatan dan berlagak seperti pegawai penguatkuasa.
Justeru, bagi menangani perbuatan yang tidak beretika ini, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sekali menegaskan pihaknya sentiasa memantau perkara ini.
“Baru-baru ini, terdapat beberapa video tular di media sosial mengenai penggunaan lampu strobe ini dan pihak kami sedang mengambil tindakan sewajarnya kerana nombor pendaftaran kenderaan terlibat telah dikenalpasti.
“JSPT menegaskan mana-mana pemilik kenderaan yang mengubah suai dan menggunakan lampu strobe pada kenderaan persendirian adalah menjadi suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh JSPT.
Jelas JSPT lagi, pemandu boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 138, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59 iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak melebehi enam bulan.
Menurut Kaedah 9, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 hanya kenderaan dalan tugas kecemasan seperti kenderaan polis, bomba, ambulans dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja dibenarkan mendapat hak laluan mengatasi kenderaan lain dengan cara membunyikan siren tertentu, loceng atau hon dua nada.
BMW iX dilancarkan di pasaran Malaysia pada Ogos tahun lalu, tapi baru kini kita mendapat unit tempatan, dan difahamkan penghantaran model yang ditempah akan bermula pertengahan bulan ini. SUV elektrik ini telah mula dipromosi sejak Disember lalu, dengan model Sport pula diperkenalkan pada Januari 2022.
Untuk itu, kami membawakan galeri penuh bagi fotonya, dan kereta yang anda lihat ini adalah varian spesikasi asas xDrive40 yang ditawarkan pada harga atas jalan RM361,430, tanpa insurans, atau RM379,800 dengan waranti lima-tahun dan pakej servis, berbanding waranti standard dua-tahun, tanpa had perbatuan (semua model didatangkan dengan waranti bateri lapan-tahun/160,000 km).
Harga ini termasuk dengan rebat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 50% bagi model import sepenuhnya (CBU) yang bakal tamat pada 30 Jun 2022. Bagi varian Sport pula, harganya telah meningkat sebanyak RM46,000, kini menjadi RM407,430, atau RM425,800 dengan waranti lima-tahun dan pakej servis. Jika ingin memiliki Pakej Kuasa yang didatangkan dengan pengecas wallbox 22 kW dan kabel pengecasan awam, kos tambahan sebanyak RM4,600 akan dikenakan.
Bagi penjana kuasanya, kedua-dua varian menampilkan sistem janaan yang sama — dua motor elektrik, diletakkan pada setiap satu gandar yang menyalurkan pacuan semua-roda. Ia memberikan kuasa hingga 326 PS (322 hp atau 240 kW) dan tork 630 Nm, yang membolehkannya dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam 6.1 saat dan kelajuan maksimum mencecah 200 km/j.
Kuasa yang disalurkan untuk e-motor dijanakan dari bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga 76.6 kWh (71 kWh) yang mampu memberikan jarak sehingga 425 km mengikut standard WLTP. Untuk pengecasan, xDrive40 menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW menerusi sambungan Type 2, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar tujuh jam dan 15 minit. Ada juga pengecas pantas DC dengan kuasa sehingga 150 kW menggunakan sambungan CCS2, yang boleh mengecas 0-80% dalam masa 31 minit.
Varian xDrive40 didatangkan dengan ciri standard termasuk lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi, roda aerodinamik 21-inci serta bingkai dekoratif moulding dan penutup tingkap dengan rona hitam berkilat.
Menjengah bahagian kabinnya, ia diberikan sistem Live Cockpit Professional dengan paparan kluster instrumen digital 12.3-inci dan juga paparan skrin sesentuh sentral 14.9-inci — yang kedua-duanya dikuasakan oleh BMW Operating System 8 baharu.
Selain itu, ia turut ditawarkan dengan pakej dalaman Atelier bersama kawalan dan komponen terpilih dalam rona Gold Bronze. Sementara itu, tempat duduk, papan pemuka, konsol tengah dan perehat tangan tengah diberikan kemasan kulit sintetik Sensatec. Kelengkapan standard yang lain termasuk kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, peredam pasif standard, pengecas tanpa wayar Qi, kawalan pergerakan, bantuan parkir, kamera undur dan 12-pembesar suara dengan output mencecah 205 watt.
Untuk varian Sport, ia menerima ciri tambahan termasuk lampu utama Laserlight, brek Sport dengan kaliper berwarna biru, bumbung matahari panoramik dengan pencahayaan Sky Lounge, kamera 360-darjah dan sistem bunyi Harmon Kardon 655-watt dengan 18-pembesar suara.
Bagi aspek keselamatan, iX didatangkan dengan elemen standard bagi pakej Driver Assistant, brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta dan kepekaan trafik lintasan belakang, dan bantuan lampu tinggi.
Varian Sport juga menerima ciri tambahan bagi pek Professional yang merangkumi kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop-and-go, dan bantuan pemusatan lorong untuk fungsi pemanduan separa-automatik Tahap 2. Ia juga diberikan sistem pemantauan tekanan tayar dan sekatan pancaran tinggi bagi mengelakkan pemandu lain silau dengan suluhan lampu varian ini.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sekali lagi menegaskan bahawa warga Singapura yang mempunyai saman trafik tertunggak serta saman berstatus waran tangkap boleh dihalang keluar dari negara ini dan boleh ditangkap.
Menurut Pengarah JSPT, Datuk Mat Kasim Karim, sehingga kini, sebanyak 108,757 saman masih belum dijelaskan daripada 143,427 saman yang dikeluarkan dari 2016 hingga 2021, laporan Berita Harian.
“JSPT ingin mengingatkan kepada semua pesalah trafik warganegara Singapura bahawa mereka boleh dihalang keluar dari negara ini jika mempunyai saman tertunggak sama ada Pol 170A atau Pol 257 berdasarkan di bawah Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah Seksyen 24(4) Akta Polis 1967.
“Jika pesalah trafik berkenaan mempunyai saman berstatus waran tangkap, polis akan menangkap pesalah trafik berkenaan dan dituduh di mahkamah dalam tempoh segera. Jika dapat dituduh pada hari yang sama, pesalah trafik berkenaan akan ditahan sekiranya tidak dapat mengemukakan penjamin dalam kalangan warganegara Malaysia, sebelum dituduh keesokkan harinya,” katanya.
Mengenai penguatkuasaan yang dilaksanakan, Mat Kasim berkata, pihaknya sentiasa mengadakan Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) bagi mengambil tindakan terhadap pesalah trafik warganegara Singapura, sama ada berskala besar yang membabitkan semua kontinjen atau sederhana, yang dilakukan oleh kontinjen Johor sepanjang tahun.
Beliau turut menyangkal isu saman tertunggak terkait dengan kelemahan penguatkuasaan. Katanya, perkara yang turut menyumbang kepada saman tertunggak ini ialah notis saman gagal disampaikan berikutan tidak mempunyai alamat pesalah trafik berkenaan bagi membolehkan saman berkenaan diposkan kepada mereka.
“Selain itu, kemungkinan terdapat kenderaan yang dikeluarkan saman oleh polis sudah dilupuskan apabila sampai tempohnya, iaitu lima tahun berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa di Singapura,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, pihaknya turut mengalu-alukan pelaksanaan pendaftaran kenderaan warganegara Singapura oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP), yang berkuat kuasa di pintu masuk sempadan negara tidak lama lagi.
Berdasarkan sistem ini, maklumat pesalah trafik akan diperoleh bagi membolehkan notis saman dapat disampaikan kepada pesalah trafik.
“Sistem ini juga akan mengimbas nombor pendaftaran kenderaan warganegara Singapura yang memasuki sempadan Malaysia serta memaparkan jumlah saman yang tertunggak. Mereka akan dihalang keluar dari negara ini sehingga semua saman mereka dijelaskan berdasarkan peruntukan undang-undang yang dinyatakan tadi iaitu Seksyen 24 (4) Akta Polis 1967 dan Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam masa yang sama, JSPT juga meningkatkan peralatan penguatkuasa yang lebih moden dan berkesan iaitu dengan menggunakan 40 alat Pengimbas Nombor Pendaftaran Kenderaan (iCOPS) bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan saman berstatus waran tangkap.
Malah, beliau berkata, pengimbas itu yang dihubungkan terus kepada pangkalan data dapat mengesan kenderaan hilang atau yang dilaporkan curi, termasuk kenderaan klon.
“Selain itu, bagi meningkatkan kecekapan dan keselamatan pengguna jalan raya, JSPT turut menggunakan Peralatan Pengesan Had Laju (In-Car Radar), yang dipasang pada kenderaan peronda bagi menangani kesalahan memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan mengeluarkan saman terhadap pesalah trafik berkenaan pada ketika itu juga,” katanya.
Geely Jiaji (kod nama VF11) telah dilancarkan di China pada Mac 2019 dan tidak lama lagi ia bakal menerima versi facelift, menurut laporan CarNewsChina. Sebelum ini dilaporkan, MPV tiga-barisan tempat duduk ini, merupakan salah satu daripada kenderaan Geely yang memberikan kebenaran buat Proton memperoleh penggunaan harta intelek (IP) dan hak untuk mengeluarkannya, dan ada perkhabaran mengatakan ia adalah pengganti Exora.
Foto spyshot untuk MPV yang diberikan suntikan lebih segar ini kelihatan tampil dengan bahagian hadapan yang disemak semula, dengan mengadaptasi falsafah rekaan Geely iaitu Vision Starburst. Hasilnya, wajah berbentuk-X ini kelihatan sedikit sama dengan gril Lexus, sementara gril “Kosmos yang lebih besar” turut dibentukkan semula dan kali ini diberikan paten “infinite Weave”. Direka oleh Proton, gril ini juga kelihatan pada X70, X50, Persona, Iriz dan Saga.
Ciri luaran lain yang turut ada perubahan termasuk bahagian belakang, yang kini tampil dengan dua-kepingan lampu yang dibentuk semula. Kluster juga disambungkan ke palang lampu dan perkataan Geely kini ditempatkan pada tailgate yang telah diprofil semula. Selain itu, reflektor juga telah diberikan kedudukan menegak dan diletakkan di penjuru bampar, dengan kepingan krom baharu yang seakan sama dengan saluran ekzos.
Di dalamnya, terdapat beberapa semakan semula dilakukan pada konsol tengah, yang kini nampak lebih ringkas dan mempunyai lebih banyak kawalan yang diletakkan pada tempat yang sama dan selari dengan ruang storan. Selain itu, kelihatan juga ruang storan yang lebih besar di bawah lubang udara tengah, dan tempat letak tangan di bahagian tengah kini tidak lagi boleh dibuka dalam dua bahagian.
Model semasa Jiaji ditawarkan dengan penjana kuasa petrol bersama enjin 1.8 liter pengecas turbo empat-silinder dengan hamburan 181 hp dan tork 300 Nm. Selain itu, ia turut ditawarkan dengan sistem plug-in hybrid yang menampilkan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder dan motor elektrik untuk menghasilkan kuasa 255 hp dan 385 Nm. Setakat ini, tidak dipastikan adakah penjana kuasa ini dikekalkan atau ada perubahan lain buat model facelift.
Selain mengumumkan angka jualan bagi bulan Mac, Proton turut berkongsi berita gembira bahawa syarikat ini telah mencatatkan sejumlah 794 kenderaan yang dieksport pada bulan lalu, sekaligus menjadikannya rekod tertinggi dalam tempoh 108 bulan bagi pasaran eksportnya.
Angka eksport sebanyak 794 unit yang dicapai oleh Proton untuk bulan Mac 2022 adalah melibatkan pelbagai model, dan Pakistan merupakan pasaran eksport terbesar untuk syarikat ini. Di mana sebanyak 690 unit kereta Proton telah dieksport ke negara berkenaan pada bulan lalu. Operasi pemasangan tempatan (CKD) untuk model Saga di Karachi, Pakistan telah pun bermula sejak Oktober tahun lalu.
Menurut Proton, secara keseluruhannya, jumlah eksport pada suku pertama 2022 adalah sebanyak 1,117 unit, mewakili peningkatan sehingga 175% berbanding suku yang sama tahun lalu.
Untuk prestasi jualannya secara keseluruhan, Saga terus mendahului semua model bagi jenama ini dengan sejumlah 6,422 unit pada bulan Mac. Di mana ia merupakan angka jualan bulanan terbaik bagi model tersebut dalam tempoh sembilan tahun ini.
Malahan Saga bukan setakat merajai jumlah jualan Proton, tetapi juga merupakan sedan segmen-A paling laris di negara ini, menurut syarikat ini sendiri. Untuk tiga bulan pertama 2022, Saga telah mencatatkan jualan sebanyak 9,449 unit. Manakala model kedua Proton yang turut mencapai rekod jualan memberangsangkan ialah SUV X70, dengan 2,320 unit dijual pada Mac dan 4,238 unit secara keseluruhan pada tahun ini.
Sudah masuk hari kelima umat Islam di negara ini berpuasa di bulan Ramadan, dan tak lama lagi bolehlah kita meraikan Hari Raya Aidilfitri secara lebih bebas (tapi sila patuhi SOP sedia ada). Yelah, dua tahun kita tak dapat menyambut Syawal secara normal gara-gara pandemik Covid-19. Kali ini, dalam kegirangan yang bakal tercipta, adakah di antara anda yang mahu berkereta baharu di hari raya? Jika ya, inilah masanya untuk merealitikan impian anda.
Terkini, Honda Malaysia sedang menganjurkan promosi ‘Share Rezeki Deals’ sepanjang April 2022, dan ini menggabungkan “Bonus Festival” dengan “Rebat Istimewa” atau baucar servis dengan penjimatan sehingga RM4,000.
Sudah tiada diskaun mega bagi stok 2021 untuk promosi pada bulan ini, bermakna semua kereta buatan tahun lalu telah pun dimiliki. Jadi, jika anda mengambil peluang dengan promosi yang menawarkan penjimatan seperti yang sedang berlangsung ini, pastinya anda akan mendapat kereta ‘baru-keluar-kilang’ buatan tahun 2022.
Bagi model BR-V, HR-V dan CR-V, ia didatangkan dengan ganjaran bernilai RM1,000, sementara model sedan City pula diberikan rebat sebanyak RM2,000. Manakala sedan segmen-D Accord pula ditawarkan dengan penjimatan sehingga RM4,000.
Namun model Civic baharu tidak pulak tersenarai dalam promosi bulan ini. Memandangkan generasi ke-11 FE ini sedang mendapat permintaan yang tinggi dan tiada insentif tambahan diperlukan. Dilancarkan pada Januari lalu, Civic baharu ini didatangkan dengan enjin turbo dan Honda Sensing secara standard untuk semua varian. Sedan segmen-C ini ditawarkan pada harga bermula RM125,635 untuk varian E hingga RM144,350 bagi RS baharu. Juga tidak disenaraikan dalam promosi ini ialah City Hatchback yang dilancarkan pada Disember 2021.
Jadi, jika anda mahu memiliki Honda baharu, jangan lepaskan peluang untuk memperoleh ganjaran seperti yang ditawarkan ini, dan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) juga masih berlangsung sehingga 30 Jun 2022. Kesemua barisan model yang dijual oleh Honda Malaysia adalah pemasangan tempatan (CKD) dan layak menerima 100% pengecualian SST.
Selepas pembukaan pintu masuk sempadan sejak 1 April lalu, pelbagai kisah yang tular di laman media sosial berhubung dengan warga jiran kita, Singapura, yang masuk ke negara kita. Bukan setakat mengisi minyak petrol RON 95 dan memandu secara melulu di jalan raya di Malaysia, ini ada satu lagi kisah yang dilakukan oleh warga mereka. Ada seorang pemandu warga Singapura telah berkongsi pengalamannya memandu model Tesla 3 ke Pulau Pinang dengan menggunakan sistem bantuan pemanduan automatik atau Autopilot.
Dia telah berkongsi pengalaman sepanjang perjalanan ke utara itu menerusi platform media sosial TikTok dan ia mendapat perhatian ramai termasuklah Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Ekoran perbuatan tersebut, Ketua Penolong Pengarah Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin telah mengeluarkan kenyataan bahawa adalah dilarang untuk menggunakan sistem pemanduan sendiri seperti ini di Malaysia. Malahan pihaknya juga akan membuka kertas siasatan berhubung perkara tersebut, laporan Guang Ming Daily.
Beliau menjelaskan walau pun Malaysia tidak menggubal peraturan berkaitan sistem bantuan pemanduan automatik, namun menurut yang termaktub di bawah Akta Trafik Darat 1959 mengatakan bahawa pemandu perlulah memandu dengan baik, berhati-hati dan menumpukan perhatian. Apa yang dilakukan oleh pemandu Tesla 3 terbabit adalah membiarkan sistem Autopilot berkenaan mengawal sendiri pemanduan. Dan ini suatu kesalahan dan melanggar ordinan tersebut kerana sepatutnya pemandu perlulah sentiasa mengawal sendiri pergerakan stereng.
“Polis percaya bahawa walau pun buat masa ini tiada undang-undang di Malaysia yang melarang pemanduan bantuan sendiri, namun sistem tersebut bukan sahaja tidak dapat mengekalkan perhatian pemandu, malahan juga tidak dapat mengesan sama ada terdapat pemandu di dalam kereta; pemandu mungkin kurang melihat keadaan jalan raya, tetapi lebih memberi perhatian kepada sistem berkenaan. Untuk perkara lain yang tiada kaitan, seperti penggunaan telefon pintar sewaktu memandu. Oleh itu, penggunaan sistem pemanduan automatik semasa memandu masih dilarang di negara kita,” jelas beliau.
Tambah beliau, walau pun semua kenderaan pada masa hadapan dilengkapi dengan fungsi bantuan pemanduan automatik sebegini, namun pemandu haruslah sentiasa memberi perhatian dan peka dengan keadaan jalan raya. Ini kerana sekiranya sistem berkenaan gagal mengesan sebarang bahaya, pemandu boleh bertindak balas tepat pada masanya untuk mengelakkan kemalangan daripada berlaku.
“Walaupun sebagai sebuah negara yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan berkaitan sistem bantuan pemanduan automatik ini, Amerika Syarikat masih menetapkan larangan menggunakannya di kebanyakan negerinya. Dan laporan penyelidikan terkini daripada Institut Teknologi Massachusetts (MIT) menunjukkan bahawa penggunaan fungsi bantuan pemanduan automatik ini boleh menyebabkan pemandu lalai dan tidak peka dengan keadaan jalan raya,”ujarnya lagi.
Jika minggu sebelum ini, petrol RON 97 dilaporkan naik harga sebanyak lapan sen seliter, tapi untuk minggu bertarikh 7 hingga 13 April 2022, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa bahan api tersebut turun harga sebanyak 10 sen seliter.
Ia akan menjadi RM3.81 seliter, berbanding RM3.91 seliter sebelum ini. Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehingga Rabu hadapan, 13 April 2022.
Dan seperti setahun yang lalu, harga untuk petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.
Manakala harga diesel Euro B10/B20 yang juga masih dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.
Sejak sempadan negara kembali dibuka mulai 1 April lalu, sudah beberapa kali netizen menularkan video dan gambar warga negara jiran kita, Singapura, yang membuat onar di sini. Bukan setakat selamba mengisi petrol RON 95 di stesen minyak di Johor, bahkan video memandu laju dan secara berbahaya turut dirakamkan dan ditularkan oleh netizen kita. Perkara ini turut mendapat perhatian Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan M Kumarasan, berkata pihaknya tidak pilih kasih atau mengamalkan ‘double standard’ terhadap mana-mana pihak, malah sentiasa tegas dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya termasuk kepada warga Singapura. Malah sekiranya wujud kesalahan seperti maklumat yang disalurkan, kertas siasatan akan dibuka untuk tindakan lanjut sehingga ke pertuduhan di mahkamah.
“JSPT sentiasa menjalankan penguatkuasaan secara berterusan seperti Ops Utama (Laju) dan operasi rutin di semua lokasi iaitu lebuh raya, Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan Jalan Bandaran. Berkaitan kenderaan Singapura yang memandu secara melulu, memang tidak dinafikan ada kejadian sebelum ini dan memang tindakan diambil,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.
Ia adalah bagi mengulas mengenai tindakan beberapa buah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang dipandu laju dan memotong secara merbahaya di Persimpangan lampu isyarat Felda Gugusan Adela dari Sungai Rengit menghala ke Bandar Penawar pada Ahad lalu. Orang awam sempat merakamkan video aksi kenderaan terbabit sebelum dimuatnaik ke Facebook dan tular di media sosial.
Susulan rakaman terbabit pihak polis bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Kota Tinggi membuka kertas siasatan mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kumarasan menambah, masyarakat adalah mata dan telinga kepada pihak polis. Di mana kerjasama daripada masyarakat dalam menyalurkan maklumat banyak membantu dari segi siasatan dan kejayaan untuk pertuduhan di Mahkamah.
“Sekiranya ada maklumat yang disalurkan kita akan jalankan siasatan lebih-lebih lagi dengan bukti video seperti kes di Kota Tinggi. PDRM khususnya JSPT memang tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang dengan sengaja melanggar peraturan dan undang-undang,” katanya.