Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • GPX Racing Popz 110 2020 kini di Malaysia — RM5,200

    GPX Racing Popz 110 2020 kini di Malaysia — RM5,200

    Selepas mengeluarkan iklan acah di FB, GPX Racing Popz 110 2020 kini mula dijual di Malaysia pada harga RM5,200. Boleh diperoleh bermula sejak minggu lalu melalui bilik pameran GPX Racing, harga berkenaan tidak termasuk cukai jalan, insurans atau pendaftaran.

    Kapcai dengan gaya retro ini berasal dari Thailand dan kini menjadi tambahan terbaru bagi barisan model GPX Racing sedia ada di sini, seperti Gentleman 200 dan Demonn 150GR dan 150GN. Disasarkan untuk mereka yang berjiwa muda, Popz 110 ditawarkan dalam lima pilihan warna – biru, oren dan merah jambu merupakan warna standard, manakala merah dan putih untuk edisi istimewa.

    Dikuasakan oleh enjin sejukan udara silinder-tunggal berkapasiti 110 cc, angka janaanya bagaimanapun tidak didedahkan – mungkin 9 hp dan 9 Nm adalah andaian yang selamat. Menyampaikan kuasa pada roda pula ialah kotak gear empat-kelajuan pula.

    Kelengkapan dan spesifikasinya pula ada kelebihan. Lampu LED digunakan di depan dan belakang, di kokpit meter kombinasi analog dan digital menjadi mengalas fungsi untuk memaparkan maklumat. Suspensi pula dari jenis teleskopik di depan dengan penyerap hentak berkembar bebanan boleh laras untuk bahagian belakang. Brek pula menggunakan jenis cakera tunggal hidraulic di depan dan jenis dram di belakang – roda pula bersaiz 17-inci.

    Ketinggian pelana ialah 760 mm dengan beratnya didakwa 99 kg. Tempat duduk juga boleh ditetapkan, sama ada untuk penunggang tunggal atau untuk membawa pembonceng sekali. GPX Racing juga memaklumkan model Legend 250 Twin dijangka akan tiba di Malaysia November nanti. Maklumat lanjut berkaitan model tersebut hanya akan didedahkan kelak.

     
     
  • Geely Preface “cucuk” BMW M4, Mercedes-AMG C63 dan Porsche Panamera dalam iklan komersial terbaru

    Susulan pengenalan Geely Preface sebelum ini, syarikat itu kini mengeluarkan pula video iklan untuk sedan mewah itu. Berdasarkan apa yang dapat dilihat, Geely memang mempunyai impian besar; Preface ditampilkan memotong model dari nama-nama besar seperti BMW M4 F82, Merceces-AMG C 63 Coupe C205 dan Porsche Panamera.

    Dalam iklan berkenaan, tiga model buatan Jerman itu sedang melalui kawasan berbukit dengan pemandangan cantik. Di belakang, ada pemandu misteri yang “mengganggu” ketenangan itu – dengan memandu sebuah Geely Preface. Ia kemudiannya diikuti oleh babak pemanduan rancak dengan Preface cuba merapati kelompok itu. Mangsa pertamanya ialah BMW M4, yang dipintas dengan cara mudah laluan dari luar. Tonton untuk mengetahui selanjutnya.

    Di hujung video, tiga kereta Jerman itu diletak menghadap pemandangan yang menarik, dengan Preface tiba untuk ikut serta. Babak terakhir memperlihatkan “CMA” dimunculkan pada keseluruhan skrin – mungkin memberi isyarat bahawa walaupun hanya dengan platform yang sama dengan Volvo XC40 dan Xingyue, Preface mampu menandingi pesaing sporty buatan Jerman.

    Geely Preface “cucuk” BMW M4, Mercedes-AMG C63 dan Porsche Panamera dalam iklan komersial terbaru

    Seronok sebenarnya untuk melihat iklan begini, dengan lapis-lapis maksud yang pelbagai boleh dikesan; salah satunya ialah hasrat Geely untuk bersaing dalam lebih banyak segmen. Bagaimanapun masih banyak perkara yang menjadi tanda tanya tentang Geely Preface ini, misalnya perincian mekanikal seperti enjin yang akan digunakannya.

    Namun, semua itu hanya akan diketahui kelak, menghampiri tarikh pelancaran rasminya yang dijangka hujung tahun ini. Bagaimana kalau Preface ini dijadikan asas kepada Proton Perdana baru nanti?

     
     
  • F1 rosakkan karier saya, kita tak perlukan F1, kita perlukan lebih banyak litar lumba – Alex Yoong

    Ketika zaman perseteruan antara Mika Hakkinen dan Micheal Schumacher, kita di Malaysia ada satu lagi tumpuan yang diberikan dalam Formula 1 – anak jati tempatan, Alex Yoong mula melangkah ke peringkat tertinggi perlumbaan single seater tersebut bersama pasukan Minardi bermula di GP Itali 2001, setelah berjuang dalam perlumbaan Formula 3000 dan Formula Nippon.

    Namun prestasi Alex Yoong dalam perlumbaan berkenaan tidaklah seperti yang diharapkan oleh peminat di Malaysia – beliau pernah berberapa kali gagal layak untuk berlumba setelah gagal mencatatkan masa dalam undang-undang 107% ketika sesi kelayakan. Akhirnya, karier F1 Alex Yoong berakhir pada penghujung musim 2002.

    Dalam satu video wawancara bertajuk “Passion to Profession” yang disiarkan oleh The Motorsport People baru-baru ini, Alex Yoong meluahkan kekecewaannya bahawa Formula 1 sebenarnya bukan sahaja telah merosakkan kariernya, malah telah mengganggu perkembangan sukan permotoran di Malaysia secara keseluruhan.

    F1 rosakkan karier saya, kita tak perlukan F1, kita perlukan lebih banyak litar lumba – Alex Yoong

    Menurut Alex, walaupun Minardi menawarkan tempat untuknya ketika itu, beliau masih lagi perlu untuk mencari penaja sendiri. Dan akibat kekangan kewangan, beliau hanya berpeluang untuk melakukan ujian dua hari sepanjang kariernya, berbanding pasukan lain yang boleh dikatakan melakukan ujian setiap minggu. Ya, hanya 2 hari tersebut Alex berada dalam kokpit F1 selain dari sesi perlumbaan sebenar.

    “Formula 1 merosakkan karier saya dalam pelbagai perkara kerana kami sentiasa di belakang dan kami tak pernah capai kemenangan,” kata Alex.

    “Secara keseluruhan idea berkenaan F1 adalah idea yang bagus. Tetapi anda boleh tengok ia adalah eksperimen yang gagal, maksud saya, untuk meletakkan Malaysia atas peta dunia, tak boleh dinafikan. Untuk pemasaran, tak boleh dinafikan. Hebat. Tetapi untuk perniagaan sukan permotoran, saya katakan ia sangat negatif.

    F1 rosakkan karier saya, kita tak perlukan F1, kita perlukan lebih banyak litar lumba – Alex Yoong

    “Kita ada fasiliti berkelas dunia (Litar Sepang), tetapi selepas itu mereka menutup dua litar (Batu Tiga dan Pasir Gudang) kita yang sempurna. Batu Tiga dan Pasir Gudang adalah litar yang hebat, tetapi ia sudah tiada lagi,” luahnya.

    Alex merasakan dunia sukan permotoran tempatan hampir mencapai tahap apa yang sepatutnya pada era 90’an, di mana litar Batu Tiga dan Pasir Gudang melahirkan ramai bakat-bakat dalam negara dari perlumbaan peringkat akar umbi, namun apabila F1 tiba di Malaysia, segala-galanya musnah.

    Ketika ditanya adakah sukan permotoran di Malaysia berkembang sejak kebelakangan ini, Alex memberikan jawapan yang tajam : “Anda bagitahu, apa yang berubah? Cepat, bagitahu. Banyak litar-litar baru? Sukan permotoran berkembang? Siapa yang menang di peringkat tempatan? Oh, orang yang sama? Wow.

    F1 rosakkan karier saya, kita tak perlukan F1, kita perlukan lebih banyak litar lumba – Alex Yoong

    “Keifli (Othman), anda tahukan dia juga bermula pada era 90’an? Siapa lagi? Tengku Djan juga pada 90’an. Saya ingat ketika dia berlumba dengan Proton, dia bermula dengan Proton setahun selepas saya buat perkara yang sama,” tambah Alex lagi.

    Alex Yoong dapat peluang untuk berlumba pada usia muda kerana ayahnya, Hanifah Yoong menguruskan litar Baru Tiga di Shah Alam dari 1988 hingga 1998. Beliau bermula dengan perlumbaan ‘one make’ Proton Saga, dengan format hampir sama seperti perlumbaan Saga Cup yang dianjurkan oleh Malaysia Speed Festival (MSF) di Sepang buat masa sekarang.

    Selepas gagal di Formula 1, Alex mula menyusun semula kariernya dengan berlumba dalam pelbagai peluang yang diberi, juga dengan kekangan kewangan. Pada tahun 2005, pasukan A1 GP Malaysia ditubuhkan dan Alex diberi peluang untuk menjadi pemandu utama sehingga tahun 2008 – mencapai keputusan terbaik tempat kelima keseluruhan pada musim 2005-2006.

    Beliau juga pernah berlumba dalam piala Audi R8 LMS dari 2012 hingga 2017, dan menjadi juara pada musim 2014, 2015 dan 2016. Buat masa sekarang, Alex menguruskan syarikatnya iaitu Axle Motorsport yang diwujudkan untuk mencungkil bakat-bakat pelumba baharu menerusi simulator perlumbaan (e-sport/sim racing) – antaranya adalah Mior Muhammad Hafiz yang berlumba mewakili Malaysia di FIA Motorsport Games, Itali tahun lalu.

     
     
  • Toyota Yaris dan Yaris Ativ facelift 2020 dilancarkan di Thai – kini dengan AEB dan gaya baharu; dari RM72k

    Toyota Yaris dan Yaris Ativ facelift 2020 dilancarkan di Thai – kini dengan AEB dan gaya baharu; dari RM72k

    Selepas Toyota Vios facelift baharu didedahkan di Filipina, kini tiba pula giliran model sedan segmen-B tersebut diperkenalkan di Thailand, dan ia lebih dikenali sebagai Yaris Ativ. Vios baharu ini turut dilancarkan bersama model hatchback Yaris yang turut menerima peningkatan bagi tahun 2020.

    Kedua-dua Yaris dan Yaris Ativ ini berkongsi barisan varian yang sama, bermula dengan model asas Entry, diikuti dengan Sport dan varian tertinggi Sport Premium. Berkenaan dengan penggayaannya, perubahan terbesar yang dilakukan untuk kedua-dua model berkenaan dapat dilihat di bahagian hadapan, di mana ia kini dipadankan dengan rekaan gril bawah baharu yang diturunkan sedikit dan disambungkan ke gril atas.

    Sementara itu, skim warna untuk spoiler hadapan bawah telah diterbalikkan, kini kemasan utama berwarna hitam, dengan seksyen tengah sama dengan warna badan. Malahan dua varian tertinggi turut dipadankan dengan kit badan secara standard, tetapi tidak pada Entry.

    Lain-lain perubahan termasuk lampu utama reflektor LED yang kini disambungkan ke lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L yang menggantikan jaluran LED pada gril sebelum ini. Selain semakan semula ini, bahagian luaran yang selebihnya tidak perubahan.

    Bagi ciri lain, unit pencahayaan LED digandingkan pada varian Sport dan Sport Premium (yang turut menerima lampu kabus LED), dan turut diberikan unit lampu automatik dan fungsi follow-me-home, sementara Entry pula menerima lampu halogen sahaja. Malah varian paling asas itu hanya didatangkan dengan roda keluli 15-inci, namun dua varian tertinggi menerima padanan roda aloi rekaan baharu yang juga bersaiz 15-inci.

    Menjengah bahagian dalamnya, bentangan papan pemuka masih sama seperti sebelum ini, walau bagaimana pun diberikan kemasan perak metalik pada bahagian tengah – Entry menerima kemasan hitam. Dua varian tertinggi juga menerima ciri yang lebih baik termasuk kluster instrumen Optitron, pendingin hawa automatik dan unit utama dengan skrin sesentuh 6.7-inci bersama sokongan Apple CarPlay.

    Sport Premium turut menerima paparan pelbagai-fungsi 4.2-inci untuk kluster instrumen, enam-pembesar suara, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, USP port di tempat duduk belakang, cermin pandang-belakang elektrokromik dan kulit upholstery – Sport menerima campuran kulit dan fabrik, sementara hanya fabrik untuk Entry.

    Varian tertinggi juga menerima Toyota Safety Sense dengan dua sistem -Sistem Pra-Pelanggaran (PCS) dan Kepekaan Ketibaan Lorong (LDA). Ia adalah untuk Yaris dan Vios, tetapi pertama kalinya Yaris Ativ menerima sistem keselamatan aktif. Ini menunjukkan kedua-dua model berkenaan telah mendahului pencabarnya, Nissan Almera di Thailand, yang didatangkan dengan sistem brek kecemasan sendiri untuk varian tertinggi.

    Toyota Yaris dan Yaris Ativ facelift 2020 dilancarkan di Thai – kini dengan AEB dan gaya baharu; dari RM72k

    Walau bagaimana pun, Almera menampilkan ciri tambahan seperti kepekaan trafik lintasan belakang dan pemantauan titik buta, yang tidak didapati untuk kedua-dua Yaris. Walau pun begitu, Yaris yang diberikan PCS dan LDA lebih baik berbanding dengan Honda City yang dijual di Thailand.

    Lain-lain ciri berkaitan dengan keselamatan untuk model sedan dan hatchback itu termasuklah tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), kawalan cengkaman, Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), ABS, EBD, bantuan brek, kamera undur (tidak diberikan untuk varian Entry) dan sistem amaran tali pinggang untuk semua tempat duduk.

    Di bawah bonetnya, kedua-dua model dijanakan oleh unit yang sama; 3NR-FKE 1.2 liter NA empat-silinder yang diperkenalkan pada peningkatan model tahun lalu. Enjin ini menghamburkan kuasa hingga 92 PS dan tork 109 Nm, dengan gandingan transmisi Super CVT-i yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan dan menawarkan penggunaan bahan api sekitar 23.3 km/l.

    Harga bagi Yaris bermula pada 549,000 baht (RM73,302) untuk Entry, dan Sport Premium pula berharga 679,000 baht (RM90,675). Manakala varian Entry untuk Yaris Ativ pula ditawarkan pada harga 539,000 baht (RM71,976), diikuti dengan Sport pada harga 599,000 baht (RM79,989) dan Sport Premium pula berharga 674,000 baht (RM89,998).

    Menurut Headlightmag, harga tersebut adalah lebih 10,000 ke 25,000 baht (RM1,335 ke RM3,338) berbanding sebelum ini, bergantung pada varian. Toyota Thailand juga menawarkan Shadow Package untuk Yaris Ativ dan Flash Package bagi Yaris.

    Palet warna juga telah disemak semula untuk model 2020, dengan Platinum White Pearl (pilihan 7,000 baht atau RM935) dan Greyish Blue Metallic merupakan pilihan baharu bagi varian Sport Premium.

    Toyota Yaris Ativ facelift 2020

    Toyota Yaris facelift 2020

    Perincian Toyota Yaris dan Yaris Ativ facelift 2020

     
     
  • Yamaha Y15ZR GP Edition 2020 di M’sia – RM8,868

    Yamaha Y15ZR GP Edition 2020 di M’sia – RM8,868

    Sebagai memperingati pasukan Yamaha MotoGP, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kini memperkenalkan
    model versi terhad tahun 2020 bagi Yamaha Y15ZR GP Edition. Harga cadangan yang dikenakan bagi edisi ini ialah RM8,868, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

    Dengan penampilan grafik yang mengambil ilham dari jentera lumba pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, Y15ZR GP Edition turut menggunakan tema warna hijau dan hitam yang sama. Setiap unit model versi terhad ini akan didatangkan dengan sijil pemilikan eksklusif serta set jam pintar Y15ZR.

    Menggunakan enjin 150 cc, sejukan cecair silinder-tunggal, Y15ZR GP Edition ini menghasilkan sebanyak 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm. Kotak gear lima-kelajuan kemudiannya menyampaikan kuasa ke roda.

    Menggunakan rim 17-inci dengan saiz tayar hadapan 90/80 manakala di belakang 120/70, model ini menggunakan tetapan fork teleskopik serta suspensi monoshock. Brek pula menggunakan jenis cakera hidraulik di depan dan belakang.

    Lain-lain data termasuk ketinggian pelana 780 mm dengan berat 117 kg, dengan kapasiti tangki minyaknya ialah 4.2-liter. Model edisi terhad ini dijangka akan dipamerkan di bilik pameran pengedar sah HLYM bermula bulan ini.

     
     
  • Hyundai Kona dikesan di M’sia – bakal dilancarkan?

    Hyundai Kona dikesan di M’sia – bakal dilancarkan?

    Selepas Hyundai Kona diperkenalkan pada peringkat global tiga tahun lalu, ada ura-ura mengatakan crossover segmen-B berkenaan akan masuk ke pasaran Malaysia. Namun sehingga kini belum ada lagi petunjuk rasmi dikeluarkan oleh Hyundai-Sime Darby Motors bila ia akan dilancarkan.

    Walau bagaimanapun, seorang pengguna facebook dengan nama Mohammad Syahrool Anuar telah terserempak dengan SUV berkenaan di Ara Damansara tanpa sebarang pelindung atau penyamaran – mungkin ini adalah petanda ia bakal masuk ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

    Dalam laporan kami sebelum ini, Kona dikhabarkan akan dilancarkan di Malaysia sekitar suku pertama 2019 dalam versi yang dijana enjin 1.6 liter turbo berkuasa 177 PS/265 Nm digandingkan dengan kotak gear tujuh-kelajuan klac berkembar automatik – unit berwarna hijau berkenaan adalah dari versi turbo yang disebutkan.

    Hyundai Kona dikesan di M’sia – bakal dilancarkan?

    Model ini sebenarnya turut pernah diprebiu di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) pada November 2018. Tiada maklumat perincian lain untuk model pasaran Malaysia, dan petunjuknya mungkin ada pada dua unit Kona yang dijumpai ini – sekurang-kurangnya hadir dalam dua pilihan warna dengan rupa asal seperti didedahkan tiga tahun lalu.

    Jika Kona dilancarkan dalam masa terdekat, ia adalah SUV segmen-B paling berkuasa kerana berbanding pesaingnya yang lain seperti Mazda CX-3, Honda HR-V dan Toyota C-HR, hanya Kona dijana oleh enjin dengan suapan pengecas turbo. Namun perlu diingat, Proton X50 yang dikhabarkan akan dijana enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo berkuasa 174 hp/255 Nm juga dijangka akan dilancarkan pada tahun ini.

    Menurut satu lagi laporan tahun lalu, Hyundai Kona turut dirancang untuk ditawarkan dalam versi elektrik sepenuhnya di Malaysia, menerusi kaedah sewaan/pajakan rasmi, dengan sokongan penuh servis selepas jualan oleh pengeluar.

    Jadi bagaimana? Ada yang memang menunggu crossover K-Pop dengan rekabentuk funky ini dilancarkan di Malaysia?

    GALERI: Hyundai Kona 1.6 T-GDI di KLIMS 2018

    GALERI: Hyundai Kona Electric di KLIMS 2018

     
     
  • Proton Perdana baharu diilhamkan dari Geely Preface

    Proton Perdana baharu diilhamkan dari Geely Preface

    Geely baru sahaja mendedahkan versi produksi untuk sedan Preface tempoh hari, dengan elemen rekaan yang nampak hampir sama seperti versi konsepnya yang diperkenalkan pada tahun lalu. Sedan mewah ini diasaskan dari platform Geely-Volvo, Compact Modular Architecture (CMA) yang sama seperti pada Volvo XC40 dan juga Geely Xingyue.

    Tak mustahil, model ini turut boleh dijelmakan sebagai sedan segmen-D Proton iaitu Perdana. Seperti biasa, pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin membantu kita untuk membayangkan bagaimana jika Preface ini ditransformasikan sebagai Perdana generasi baharu.

    Seperti apa yang dibuat pada Geely Boyue untuk diubah menjadi Proton X70, gril expanding cosmos pada Preface ini ditukar kepada gril signatur Proton iaitu Infinite Weave. Theo turut memandankan logo “Thundercats” baharu Proton bersaiz besar pada bahagian tengah gril berkenaan.

    Logo-logo tersebut turut ditempatkan pada semua penutup tengah rim dan di but belakang Perdana ini. Manakala tulisan ‘Proton’ pula diletakkan di bawah jalur krom yang menghubungkan kedua-dua lampu belakang, sama seperti pada Proton X70.

    Proton Perdana baharu diilhamkan dari Geely Preface

    Geely Preface dihasilkan dengan dimensi 4,785 mm panjang, 1,869 mm lebar dan 1,469 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,800 mm. Jadi saiznya dengan Perdana sedia ada adalah lebih kurang sama di mana jarak roda kedua-dua model tersebut memang serupa berukuran 2,800 mm. Namun Perdana yang diasaskan dari Honda Accord generasi ke-lapan berkenaan dihasilkan lebih panjang (5,020 mm untuk model 2.4L), dan kurang lebar (1,845 mm) berbanding Geely Preface ini.

    Proton Perdana generasi terakhir tersebut diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2013, menampilkan rupa yang hampir serupa dengan kembarnya, Honda Accord CP, dibezakan hanya pada logo, gril hadapan dan juga kemasan pada but belakang. Ketika itu, kesemua Perdana yang dihasilkan ini adalah hanya untuk kegunaan Kerajaan Malaysia.

    Ia kemudiannya diberikan rupa yang lebih tersendiri dengan perubahan jauh lebih drastik untuk dijual pada pasaran awam, diperkenalkan pada tahun 2016. Walaupun sudah lama berada dalam pasaran, Proton masih belum mengumumkan sebarang petunjuk bahawa model generasi baharunya akan dihasilkan dalam masa terdekat.

    Adakah anda tertunggu-tunggu model generasi baharu Perdana? Atau lebih berharap Proton menghasilkan sedan segmen-C untuk menggantikan Proton Preve?

     
     
  • Pengecualian membaharui lesen memandu dan cukai jalan sepanjang tempoh PKP tamat 31 Ogos ini

    Pengecualian membaharui lesen memandu dan cukai jalan sepanjang tempoh PKP tamat 31 Ogos ini

    Sepanjang pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, telah mengumumkan lesen memandu dan cukai jalan yang tamat tempoh tidak perlu diperbaharui sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berakhir pada 31 Ogos ini.

    Ia selaras di bawah Seksyen 66 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Justeru, orang ramai boleh memandu kenderaan dengan syarat kenderaan tersebut mempunyai perlindungan insurans yang masih sah dan berkuat kuasa.

    Walau bagaimana pun, PKPP bakal berakhir dalam tempoh kurang dua minggu ini, justeru, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ingin mengingatkan orang ramai yang masih belum memperbaharui cukai jalan atau lesen memandu supaya segera membuat urusan pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu bagi mengelakkan kesesakan di kaunter JPJ.

    Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid sebelum ini berkata sejak 18 Mac hingga 14 Jun lalu, sebanyak 2,119,653 cukai jalan dan 2,184,508 lesen memandu masih belum diperbaharui. Jumlah tersebut sepatutnya lebih rendah sekarang memandangkan semua kaunter urusan JPJ telah beroperasi seperti biasa.

    Pengecualian membaharui lesen memandu dan cukai jalan sepanjang tempoh PKP tamat 31 Ogos ini

    “Orang ramai akan dimaklumkan sekiranya terdapat perubahan dalam polisi pengecualian lesen memandu dan cukai jalan berkaitan dengan PKP. Kita akan memberikan masa yang mencukupi dan perubahan pula tidak akan dilakukan secara mendadak,” ujarnya, seperti dilaporkan oleh The Star.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang, Supt Wan Sharuddin Wan Omar berkata, “Kita tidak akan membenarkan (orang ramai) memandu dengan lesen yang tamat tempoh selepas tarikh akhir yang diberi. Selepas 31 Ogos, penguatkuasaan akan kembali dilaksanakan seperti biasa. Kita akan terus menguatkuasa undang-undang trafik secara lebih kerap.

    “Walau bagaimana pun, ia bergantung pada arahan daripada kerajaan sama ada kita akan mengambil langkah yang lebih tegas dalam penguatkuasaan atau pun mengendalikannya dengan cara diplomatik,” ujarnya memberitahu penerbitan yang sama.

    Bagi sesiapa yang masih belum memperbaharui lesen memandu atau cukai jalan yang sudah tamat tempoh, anda hanya ada masa berbaki kurang dua minggu untuk berbuat demikian. Jangan buat-buat lupa pulak ya.

     
     
  • Ford Ranger Wildtrak 2020 di Malaysia – RM150k

    Ford Ranger Wildtrak 2020 di Malaysia – RM150k

    Hujung tahun lalu, barisan model Ford Ranger T6 telahpun dikemaskini dengan perubahan seperti lampu hadapan baharu dan sistem brek kecemasan automatik (AEB), dan ia turut diberikan pada Ranger Raptor 2020. Selepas itu, varian FX4 baharu turut diperkenalkan.

    Ranger Raptor dan FX4 2020 sudah pun dilancarkan di Malaysia. Dan secara senyap, model Wildtrak 4×4 2020 juga sebenarnya telah masuk ke pasaran Malaysia bermula hujung Jun lalu. Tiada sebarang pelancaran dibuat, dan kami mengetahui perkara ini menerusi laman sesawang rasmi Ford Malaysia.

    Perubahan yang diberikan pada Wildtrak 2020 ini sebenarnya agak sedikit, dan anda perlu melihat dengan lebih teliti untuk menyedari apa yang dikemaskini.

    Untuk bahagian luaran, Wildtrak 2020 ini menerima rim 18-inci baharu dengan rekaan enam-jejari berkembar serta lampu hadapan baharu yang tampil dengan lensa projektor empat segi. Bukan hanya rekaan, lampu tersebut kini menggunakan teknologi bi-LED yang lebih terang berbanding sistem xenon sebelumnya.

    Pada bahagian dalaman pula, Wildtrak kini dilengkapi port USB baharu berhampiran dengan cermin pandang belakang bagi memudahkan pemasangan dashcam. Kemaskini terakhir adalah pada pilihan warna badan di mana dua warna baharu iaitu Arctic White dan Meteor Grey bagi menggantikan Frozen White dan Magnetic. Warna Saber dan Absolute Black masih lagi ditawarkan.

    Ciri lain masih lagi sama dengan Wildtrak sebelum ini. Ia dijana oleh enjin 2.0 liter EcoBlue turbodiesel, dan versi 4×4 menampilkan dua pengecas turbo membolehkan ia menghasilkan 213 PS dan tork maksima 500 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan bersama fungsi manual SelectShift.

    Sistem keselamatan dan bantuan pemanduan juga tidak berubah di mana ia tampil dengan amaran pelanggaran hadapan, sistem brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, amaran keluar laluan, cruise control adaptif, dan juga fungsi parkir selari automatik.

    Dengan berberapa perincian baharu yang ditampilkan ini, Ford Ranger 2.0L Wildtrak 4×4 Automatic 2020 kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM150,388. Berbanding versi sebelumnya, model kemaskini berkenaan adalah RM5,500 lebih mahal

     
     
  • Modenas Kriss Concept Merdeka Edition — rugged?

    Modenas Kriss  Concept Merdeka Edition — <em>rugged</em>?

    Pernah anda membayangkan sebuah kapcai seperti Modenas Kriss akan tampil jika ia diberi nafas dan rekaan terkini, sesuai dengan imej futuristik masa depan? Land Rover Defender mungkin menjadi rujukan yang menarik untuk ini. Bagaimana rekaan klasik yang ringkasnya telah berubah kepada sesuatu yang sama sekali berlainan dan moden di dalam penampilan generasi terbaru.

    Walaupun itu bukanlah kesnya dengan Modenas Kriss. Kerana arah tuju syarikat itu setakat kali terakhir ditanyakan adalah untuk menjalin usaha sama dengan Kawasaki selepas berbuat hal yang sama dengan Bajaj dari India. Untuk hadir dengan satu rekaan serba baru, itu jauh sama sekali. Kali terakhir versi terbarunya diperkenalkan pada 2019 juga tidak membawakan pembaharuan yang ketara.

    Modenas Kriss  Concept Merdeka Edition — <em>rugged</em>?

    Terimakaseh kepada pereka tempatan yang hasil kerjanya sudah tidak asing lagi untuk pembaca laman ini, Saharuddin Busri yang mengalihkan tumpuannya kepada model kapcai popular Malaysia itu. Beliau menghasilkan beberapa contoh rekaan dikenali sebagai Modenas Kriss Concept dalam siri kerja grafik terbarunya – termasuk satu dalam visual Merdeka Edition.

    Penampilan motosikal berkenaan sangat futuristik, lengkap dengan pendekataan rekaan yang “tajam”. Sekali pandang, ia mengambil rekaan yang mirip dari kapcai-kapcai popular masakini dengan kapasiti enjin 150 cc, misalnya Yamaha Y15 atau Honda RS150, yang telah diberi ubahsuai. Terdapat jalur seperti DRL LED di depan, dengan lampu utamanya tersorok sedikit di bahagian bawah kepala.

    Bahagian kokpit dengan paparan meter dan keseluruhan yang menghadap penunggang juga menarik untuk diperhatikan. Dengan dua dail meter berserta kemasan krom bulat kelilingnya, turut disediakan tiga ruang kecil – satu adalah butang Start – untuk barangan kecil atau slot USB bagi peranti digital. Ruang yang biasanya dibiarkan kosong itu tetap diberikan elemen rekaan dengan permukaan hitam dan lingkaran perak.

    Modenas Kriss  Concept Merdeka Edition — <em>rugged</em>?

    Untuk menjadikannya sporty, tayar-tayar gemuk digunakan, dengan lengan ayun tunggal untuk roda belakang. Begitu juga dengan ekzos dengan rekaan agresif yang digunakan, semuanya menyumbang kepada imej moden Kriss yang tak pernah kita saksikan sebelum ini.

    Bahagian belakang, selain tempat duduknya yang turut didatangkan dengan pelindung khusus, rekaan lampunya juga kecil dengan pencahayaan lampu LED. Lampu isyarat pula dalam unit berasingan yang tirus dan nipis, melengkapkan elemen dan rekaan “tajam” yang ditampilkan pada motosikal ini. Jika ini menjadi kenyataan, adakah anda akan jatuh hati dengan Modenas Kriss ini.

     
     
  • Ferrari Roma dan Portofino takkan dapat versi hibrid

    Ferrari Roma dan Portofino takkan dapat versi hibrid

    Ferrari telah pun melaksanakan program elektrifikasinya sebelum ini, di mana ia melibatkan model LaFerrari dan SF90 Stradale. Walau bagaimana pun, tidak semua model yang akan diadaptasi dengan teknologi berkenaan, seperti yang dimaklumkan oleh pengeluar jentera prestasi Itali tersebut kepada Autocar UK bahawa dua model semasa iaitu Portofino dan Roma tidak akan menerima varian hibrid.

    Dalam acara bersama media berkenaan dengan Roma, wakil Ferrari turut memberitahu penerbitan terbabit bahawa elektrifikasi pada asalnya bukanlah untuk model grand tourer dan convertible. Malah unit 3.9 liter turbo-berkembar V8 akan kekal sebagai satu-satunya pilihan enjin untuk kedua-dua model berkenaan dalam jangka masa yang panjang.

    Ferrari Roma dan Portofino takkan dapat versi hibrid

    Ketua pegawai pemasaran dan komersil Ferrari, Enrico Galliera, sebelum ini berkata, platform Roma dibangunkan untuk menerima penjana kuasa petrol-elektrik, namun setakat ini syarikat berkenaan tiada perancangan untuk memberinya versi hibrid. “Platform Roma memang boleh disuaipadan dengan penjana kuasa hibrid, tiada keraguan untuk itu, tetapi kita takkan melakukannya untuk model yang sama,” ujarnya.

    Sebelum ini, Ferrari pernah berkatam 60% daripada 15 model baharu telah direncana untuk diperkenalkan menjelang tahun 2022 dengan menampilkan penjana kuasa hibrid, termasuklah penggantian bagi F8 Tributo, SUV Purosangue dan model generasi akan datang bagi LaFerrari yang dijangka akan menjadi sebahagian daripada barisan model hibrid.

     
     
  • Proton Iriz R5 – harga didedahkan, bermula RM776k!

    Proton Iriz R5 – harga didedahkan, bermula RM776k!

    Ketika kami bersembang dengan pengasas pasukan Mellors Elliot Motorsport (MEM), Chris Mellors tahun lalu, beliau ada menyatakan bahawa jika anda mahukan Proton Iriz R5, ia dijual pada harga yang telah dihadkan oleh FIA iaitu tidak melebihi 198,000 euro atau sekitar RM989k.

    Namun, MEM baru sahaja mengemaskini brosur untuk Proton Iriz R5 tersebut di laman sesawang rasmi mereka, dan kini harga untuk kereta asas, kit untuk rali tarmac dan gravel serta kos-kos lain untuk berlumba dengan kereta tersebut telah ditunjukkan dengan lebih terperinci.

    Menurut brosur tersebut, Proton Iriz R5 ini dijual pada harga asas 140,000 pound sterling, atau sekitar RM776k. Dengan pakej asas ini, anda akan menerima Iriz R5 dalam talaan rali tarmac dengan kelengkapan seperti suspensi, rim aloi Speedline 18-inci dan juga tayar yang bersesuai dengan permukaan bertar. Jika dibeli berasingan, kit untuk rali tarmac ini dijual pada harga 23,500 pound atau sekitar RM130k.

    Klik untuk besarkan

    Pakej asas ini turut termasuk silinder brek utama di hadapan dan belakang, cakera brek berdiameter 355 mm di hadapan dan 300 mm di belakang lengkap dengan angkup dan penyesuai, kelengkapan dalaman termasuk rollcage penuh spesifikasi R5, alat pemadam api, tempat duduk bersama tali pinggang serta roda stereng perlumbaan dan pelbagai lagi.

    Dengan bayaran tambahan 45,000 pound atau sekitar RM249k, anda akan menerima pek opsyen untuk tingkat taraf Iriz R5 ini dengan kelengkapan untuk juru arah seperti paparan Cosworth, perehat kaki dengan suis-suis kaki serta interkom dari Stilo untuk komunikasi antara pemandu dan juruarah. Pek ini juga hadir dengan lampu peta, perehat kaki pemandu, kit liang udara bumbung, jaring untuk meletak helmet, dan juga kit tayar gantian.

    Pek opsyen ini turut memberikan kelengkapan tambahan pada bahagian luaran dan sistem mekanikal termasuk pelindung-pelindung bahagian bawah badan untuk melidungi komponen seperti transmisi, gandar, syaf dan ekzos, cakera brek belakang 355 mm, pad brek Winmax yang dibangunkan untuk kegunaan rali tarmac dan juga tayar perlumbaan dari Michelin.

    Proton Iriz R5 – harga didedahkan, bermula RM776k!

    Selain dari pek ini, MEM turut menawarkan opsyen untuk perincian-perincian kecil lain seperti cermin sisi gentian karbon (500 pound/RM2.7k), set lampu tambahan (4,850 pound/RM27k), salutan anti-silau pada papan pemuka (120 pound/RM665) dan pelbagai lagi.

    Jika anda mahu bertanding dalam rali di atas permukaan gravel, kit untuk rali tersebut dijual pada harga 19,900 pound. Ia bukan hanya melibatkan penukaran set penyerap hentak, malah hadir dengan kelengkapan spesifik lain seperti set brek lengkap dengan pad, lengan stereng bersama komponen berkaitan, rim Speedline Gravel 15-inci dan pelbagai lagi.

    MEM turut menjual perkakas-perkakas khas untuk menyelenggara Iriz R5 ini. Antaranya perkakas untuk kerja-kerja bahagian transmisi dan lain-lain (650 pound/RM3.6k), set stand (440 pound/RM2.4k), set spana untuk penyerap hentak (100 pound/RM554) serta pelbagai lagi.

    Klik untuk besarkan

    Brosur ini turut memperincikan dengan lengkap kos-kos penyelenggaran kereta lumba tersebut berdasarkan perbatuannya. Sebagai contoh, enjinnya perlu dirombak rawat setiap 2,000 km, dan ia menelan kos 8,000 pound atau sekitar RM44k setiap sesi.

    MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016 dan ia jentera R5 pertama di dunia yang menerima homologasi penuh untuk versi pemanduan kiri (LHD) dan kanan (RHD). Jentera tersebut dijana enjin petrol 4B11 diambil dari Proton Inspira yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5) dan disuap dengan pengecas turbo. Seperti jentera R5 lain, turbo berkenaan diberikan unit restrictor 32 mm, bagi mengehadkan kuasanya pada tahap sekitar 350 hp/450 Nm.

    Ia digandingkan bersama transmisi sequential lima kelajuan dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda. Manakala untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth.

    Proton Iriz R5 – harga didedahkan, bermula RM776k!

    Kategori R5 ini mula dipertandingkan oleh FIA pada tahun 2012, bagi menggantikan kategori PWRC, Piala Rali Dunia 2 liter (kit car) dan juga spesifikasi S2000 sebagai kejohanan satu peringkat lebih rendah dari kategori utama WRC iaitu WRC2. Kereta dengan spesifikasi R5 ini nyata lebih kompetitif dari kategori-kategori sebelumnya, dengan spesifikasi hampir menyamai kereta dengan spesifikasi WRCar.

    Bagi memastikan setiap pengeluar bertanding dengan kemampuan yang sama, serta memudahkan pasukan-pasukan persendirian untuk bertanding dengan jentera R5 ini, FIA meletakkan harga maksima untuk setiap perincian dan komponen utama serta harga keseluruhan kereta tersebut, dan pengeluar perlu mewujudkan sokongan program perlumbaan pelanggan.

    Selain dari WRC, kereta-kereta R5 ini juga dipertandingkan sebagai kategori utama dalam Kejohanan Rali Eropah (ERC) dan juga kejohanan-kejohanan kelayakan untuk ke WRC di benua berkenaan seperti Kejohanan Rali British (BRC). Jentera dengan spesifikasi R5 ini juga boleh bertanding di kategori utama Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) bersama jentera-jentera spesifikasi AP4.

    Kami telah pun menulis tiga artikel berkenaan perincian kereta ini – mengapa MEM masih menggunakan Proton sebagai platform projek R5 mereka, mengapa kereta ini menggunakan enjin 4B11, dan apa kaitan projek ini dengan Proton di Malaysia – kesemuanya kami korek sendiri dari pengasas MEM, Chris Mellors menerusi satu temu ramah istimewa Oktober tahun lalu.


     
     
  • Kia Grand Carnival 2021 didedah — 3.5L V6 294 PS dan 2.2L diesel 202 PS, sistem keselamatan lengkap

    Kia Grand Carnival 2021 didedah — 3.5L V6 294 PS dan 2.2L diesel 202 PS, sistem keselamatan lengkap

    Kia akhirnya mendedahkan perincian penuh bagi model MPV Grand Carnival generasi keempat, yang mula dijual untuk pasaran Korea Selatan semalam. Di dalam penampilan terbaru ini, Kia menyebut kenderaan ini sebagai “Grand Utility Vehicle”.

    Kelainannya dengan frasa itu ialah Grand Carnival terbaru ini memanfaatkan beberapa sentuhan rekaan gaya SUV, seperti skid plat warna perak di depan dan belakang, body cladding keliling badan dan landasan pada bumbung. Proportion keseluruhan reka bentuknya juga diperbaharui sedikit berbanding model sebelumnya – bahagian overhang lebih pendek dan bonet lebih panjang serta posisi tiang A sedikit ke belakang.

    Penampilan “tiger nose” pada wajah depan juga diberi sentuhan baru, kini bersekali dengan bahagian gril, lampu utama projektor berkembar dan DRL LED yang unik membentuk wajah baru bagi MPV ini. Dari tepi, visual permukaan yang ada diringkaskan lagi dengan hanya ada satu garis bahu dari depan. Tiang A dan D pula dihitamkan, memberikan kesan bumbung terapung. Ini disertai juga oleh “sirip” pada tiang C untuk memberikan kelainan.

    Kia Grand Carnival 2021 didedah — 3.5L V6 294 PS dan 2.2L diesel 202 PS, sistem keselamatan lengkap

    Dengan badan yang agak besar, dan tersorok dengan agak baik di bawah lengkung tayarnya ialah pilihan rim aloi yang ditawarkan terdiri daripada saiz 17, 18 atau 19-inci. Lapan warna pilihan disediakan kepada pelanggan. Di dalam, banyak juga kelainan yang ditampilkan berbanding model lama. Rekaan papan pemuka horizontal, konsol tengah yang tinggi dengan tombol gear bulat ala Jaguar serta paparan 12.3-inci.

    Kluster instrumen digital dan skrin sentuh bagi infotainmen juga dilapik oleh material kaca yang nampak kemas. Bergantung kepada pasaran, Apple CarPlay dan Android Auto, telematik live dan Kia Live Sevices turut ditawarkan.

    Untuk memudahkan interaksi oleh penumpang kerusi belakang, penumpang di depan disediakan kamera kecil serta satu fungsi untuk menyaringkan lagi suara melalui pembesar suara belakang. Mereka yang di belakang pula boleh menggunakan sistem pengesanan suara untuk mengawal fungsi infotainmen dan lain-lain.

    Kia Grand Carnival 2021 didedah — 3.5L V6 294 PS dan 2.2L diesel 202 PS, sistem keselamatan lengkap

    Saiz badan yan lebih besar juga menyediakan ruang kabin yang selesa. Model baru ini 40 mm lebih panjang 5,155 mm, dengan 30 mm daripadanya menyumbang kepada jarak antara roda 3,090 mm. Bahagian overhang belakang juga ditambah 30 mm menjadi 1,130 mm, memberi kelebihan ruang bagi kerusi barisan ketiga dan ruang barangan. Lebar pula ditambah 10 mm menjadi 1,995 mm.

    Dengan semua kerusi tegak, ruang barangan yang tersedia ialah 627 liter. Dan, jika hanya dua tempat duduk depan digunakan, ruang yang ada mencecah 2,905 liter. Untuk memudahkan pengguna memunggah barangan, bukaan ruang berkenaan juga direndahkan sebanyak 26 mm. MPV ini datang dengan konfigurasi tujuh, sembilan dan 11-tempat duduk dalam tiga barisan. Barisan kedua menerika Premium Relaxation Seats.

    Dari segi keselamatan, Grand Carnival baru ini lengkap dengan semua ciri bantuan pemanduan, sekali lagi bergantung kepada pasaran mana ia dijual. Antara senarainya ialah ciri AEB dengan pengesanan pejalan kaki atau pengayuh basikal, kawalan melayar adaptif, ciri pembetulan lorong, tinjauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, pengecaman papan tanda dan amaran perhatian pemandu.

    Kia Grand Carnival 2021 didedah — 3.5L V6 294 PS dan 2.2L diesel 202 PS, sistem keselamatan lengkap

    Pilihan enjin pula terdiri daripada tiga; 3.5 liter V6 yang menghasilka 294 PS dan 355 Nm tork. Unit ini datang dengan ciri penyejukan kitaran semula gas ekzos, pengurusan termal bersepadu dan sistem aliran-silang untuk lebih cekap. Ada juga pasaran akan menerima versi janaan 272 PS dan 332 Nm.

    Selain itu, enjin 2.2 liter Smartstream empat-silinder turbodiesel turut ditawarkan. Ia kini menggunakan blok aluminium yang menggantikan blok besi, dan jimat 20 kg berat. Ia juga dilengkapi dengan penyuntik bertekanan tinggi, shaft pengimbang baru, sistem pengurusan termal – unit ini menghasilkan 202 PS dan 440 Nm.

    Semua enjin digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan. Model ini juga menggunakan sistem suspensi mandiri yang diperbaharui serta aspek NVH yang dipertingkat bagi menawarkan pengalaman yang lebih selesa.

     
     
  • Polis Selangor saman 1,056 motosikal, 365 kereta atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas Motosikal semalam

    Polis Selangor saman 1,056 motosikal, 365 kereta atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas Motosikal semalam

    Semalam Polis Selangor telah mengadakan Operasi Khas Motosikal di seluruh negeri terbabit dan sebanyak 1,421 saman telah dikeluarkan iaitu 1,056 motosikal dan 365 kereta atas pelbagai kesalahan trafik.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at, pihaknya melakukan operasi kerana masih ramai yang berani menanggung risiko tidak menggunakan laluan motosikal yang disediakan di lebuh raya. Pelbagai alasan diberikan oleh para penunggang motosikal termasuk hendak cepat dan laluan motosikal tidak elok.

    Selain itu, pihak JSPT juga memberi tumpuan kepada ekzos diubah suai sehingga mengeluarkan bunyi bising dan mengganggu orang ramai di kawasan perumahan, laporan Harian Metro.

    Polis Selangor saman 1,056 motosikal, 365 kereta atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas Motosikal semalam

    “Kita ada menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan isu ini. Tindakan seterusnya akan diambil. Melalui operasi hari ini, sebanyak 1,483 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya.

    Jelasnya lagi, sebanyak 117 saman dikeluarkan kerana tidak memakai topi keledar, tiada lesen (320), nombor pendaftaran diubah suai (111), tiada cermin sisi (60), penunggang di bawah umur (seorang), tidak menggunakan lorong motosikal (504), ubah suai kenderaan (3) dan lain-lain kesalahan (367).

    “Operasi hari ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak Kesas dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya lagi.

     
     
  • Mitsubishi Xpander akan dilancar di M’sia terus dalam versi facelift dengan kelengkapan yang dikemaskini

    Mitsubishi Xpander akan dilancar di M’sia terus dalam versi facelift dengan kelengkapan yang dikemaskini

    Mitsubishi Xpander sepatutnya dijadualkan mendarat ke pasaran Malaysia pada tahun 2018, tak lama selepas kemunculan sulung peringkat global pada Ogos 2017 di Indonesia. Namun, ia ditunda dan kemudian disahkan sekali lagi akan masuk kepasaran tempatan pada tahun ini.

    Awal tahun ini, Xpander pasaran Indonesia telah pun masuk ke fasa facelift, oleh itu model yang akan masuk ke Malaysia juga akan terus diperkenalkan dalam versi kemaskini yang sama. Jadi untuk pasaran tempatan, kita akan menerima Xpander yang dibekalkan dengan lampu hadapan LED serta kelengkapan tingkat taraf lain.

    Dengan model facelift ini juga bermaksud kita akan menerima Xpander yang lebih ‘matang’, dengan ketahanan dan reliabiti yang lebih boleh dipercayai, serta pilihan aksesori yang lebih banyak telah dibangunkan.

    Malah isu-isu yang berbangkit pada versi asal boleh dikatakan telah selesai menerusi versi kemaskini kini; contohnya, panggilan semula berhubung isu pam bahan api seperti pada pasaran lain tidak akan menjejaskan model pasaran Malaysia kerana ia telahpun menerima komponen yang dikemaskini.

    Ketika dilancarkan nanti, Xpander bakal berhadapan dengan Honda BR-V dan Perodua Aruz dalam saingan SUV-MPV segmen-B di Malaysia. Berbanding Honda BR-V, Xpander sememangnya lebih besar dengan jarak roda 113 mm lebih jauh. Dengan ruang lebih luas ini, Mitsubishi mampu menghasilkan ruang kargo yang lebih besar, manakala tempat duduk belakang pula boleh dilipat rata bagi membolehkan ruang tersebut digunakan dengan lebih baik.

    Kita juga dijangka akan menerima Xpander yang dijana oleh enjin petrol 4A91 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm. Di Indonesia, Xpander hadir dengan pilihan transmisi lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik dan memacu roda hadapan. Di Malaysia, kita mungkin hanya menerima kotak gear automatik.

    Mitsubishi Xpander dijangka akan dijual pada harga sekitar RM80,000 hingga RM90,000. Untuk lebih perincian terhadap Xpander ini berbanding pesaing terdekatnya iaitu Honda BR-V, anda boleh satu lagi artikel kami pada PAUTAN INI.

    GALERI: Mitsubishi Xpander facelift 2020 pasaran Indonesia

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024