Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Tram kendalian autonomous ganti LRT di P. Pinang?

    Tram kendalian autonomous ganti LRT di P. Pinang?

    Kerajaan negeri Pulau Pinang mendedahkan bahawa mereka akan mempertimbangkan pembinaan sistem Autonomous Rail Rapid Transit (ART) bagi sebagai alternatif kepada perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) di negeri itu. The Star melaporkan, kerajaan negeri itu telah diberi taklimat oleh pembina sistem berkenaan, China Railway Construction Corporation (CRCC) Zhuzhou Institute.

    Ketua Menteri P. Pinang, Chow Kon Yeow menjelaskan; “ART masih agak baru. CRCC membentangkan sistem berkenaan kepada kami menggunakan taklimat yang sama ketika Penang Forum. Tidak adil untuk kami memberi maklum balas ketika ini kerana ia masih baru kepada kami, tetapi kami tidak menolaknya mentah-mentah.”

    Chow menambah, dalam video yang ditunjukkan kepadanya, tram berkenaan beroperasi pada lebuhraya yang mempunyai lapan hingga 10 lorong, menjadikan pelaksanaannya tidak praktikal. “Pulau Pinang tidak mempunyai ruang jalan sebanyak itu,” ujarnya. ART tidak menggunakan landasan tren, sebaliknya hanya memerlukan lorong khas untuk bas.

    Tram kendalian autonomous ganti LRT di P. Pinang?

    “Ia menggunakan roda getah, dan dipandu melalui sistem sensor yang dipasang sepanjang jalan yang khusus atau boleh dikongsikan dengan pengangkutan lain. Sekiranya ia sistem yang khusus, banyak perkara lain yang perlu dipertimbangkan, misalnya jika ia menghampiri simpang, sistem lampu isyarat mesti diprogramkan untuk beri keutamaan kepada ART,” tambahnya.

    Sistem ART pertama kali ditunjukkan oleh CRCC pada Jun 2017, dan ia disifatkan sebagai menggunakan ciri silang antara tren, tram dan bas. Ia mempunyai tiga gerabak dengan 30 meter panjang keseluruhan dan menggunakan roda getah. Dengan kelajuan sehingga 70 km/j dan kapasiti penumpang 500 orang, tren berkenaan dikuasakan oleh elektrik dan boleh bergerak sejauh 40 km dengan satu cas penuh.

    Selepas diperkenalkan, sistem ART ini menjalani tempoh percubaan operasinya di Zhuzhou, China. Fasa pertamanya melibatkan empat platform dan merangkumi jarak 3 km. Jarak keseluruhan laluan percubaan ini ialah 12 km, akan dibangunkan dalam dua fasa – fasa seterusnya melibatkan 9 km.

    Tram kendalian autonomous ganti LRT di P. Pinang?

    Tren percubaan itu juga dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti kamera 360-darjah dan tinjuan radar disekelilingnya. Turut ada ialah kelengkapan isyarat komunikasi, pusat kawalan dan sistem keutamaan lampu isyarat. Sistem ART akan diberikan keutamaan di lampu isyarat, dengan cara ia akan menghantar arahan kepada sistem lampu isyarak berkenaan dalam jarak 100 meter sebelum tiba. Lampu isyarat seterusnya akan memastikan ART melepasinya dengan selamat dan cepat.

    Dan, memandangkan ini tren elektrik, terminal utamanya dilengkapi dengan teknologi pengecas pantas – jarak 25 km dengan hanya cas 10 minit. Menurut CRCC, banyak pihak-pihak yang berminat telah datang melawat, termasuk wakil dari 20 bandar-bandar utama di Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, New Zealand, Brazil dan lain-lain.

     
     
  • Proton X70 bakal dilancarkan pada November ini

    Proton X70 bakal dilancarkan pada November ini

    Pelancaran rasmi Proton X70 dijangka akan berlangsung pada bulan November ini, apabila acara pra-tonton yang sedang dikendalikan untuk SUV ini selesai, dengan sesi terakhirnya bakal diadakan pada 4 November ini. Ini didedahkan menerusi media sosial yang dikeluarkan oleh Proton sendiri berikutan tontonan khas SUV terbabit kepada menteri perdagangan dan perindustrian Darell Leiking di trek ujian Pusat Kecemerlangan Proton,Shah Alam, hujung minggu lalu.

    Ia tersasar sedikit daripada masa jangkaannya, pada Jun lalu, CEO Proton Li Chunrong berkata, SUV yang diasaskan daripada model facelift Geely Boyue, dijangka akan dilancarkan ke pasaran pada hujung September atau awal Oktober. Ia melibatkan unit CBU yang diimport dari China sebelum model CKD dijangka mula diproduksi pada tahun hadapan.

    Prebiu X70 akan berlangsung sehingga 4 November ini di beberapa lokasi di seluruh Malaysia, termasuk Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Kuantan, Ipoh dan Kota Kinabalu.

    Menurut CEO Proton Edar Abdul Rashid Musa, rancangan adalah untu mencapai sasaran sebanyak 6,000 pembeli berpotensi menerusi sesi prebiu ini. “Sementara mereka ini hanya sebahagian kecil daripada pembeli berpotensi yang kami sasarkan, pra-tonton ini turut memberi peluang kepada mereka untuk melihat model X70 ini agar mereka dapat membuat keputusan,” ujar Rashid pada bulan lalu.

    Perincian mengenai X70 didedahkan pada bulan lepas, dan SUV ini menampilkan enjin 1.8 liter TGDi pengecas turbo empat-silinder petrol (181 hp/285 Nm) yang dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan dengam pacuan roda-hadapan dan semua-roda ditawarkan. Pelanggan juga ditawarkan dengan empat pilihan varian, dan tempahan untuk SUV ini telah pun dibuka sejak 8 September lalu.

     
     
  • Skoda Kodiaq RS – SUV 7-tempat duduk paling pantas di Nurburgring, 2.0L diesel twin turbo, 240 PS/500Nm

    Skoda Kodiaq RS – SUV 7-tempat duduk paling pantas di Nurburgring, 2.0L diesel twin turbo, 240 PS/500Nm

    Tak ramai di Malaysia kenal jenama Skoda, namun sebenarnya pembuat automotif dari Republik Czech berkenaan mempunyai warisan sejarah sukan permotoran yang agak terkenal khususnya dalam disiplin rali. Untuk model jalan raya biasa, Skoda turut mempunyai lencana ‘RS’ yang diberikan pada versi berprestasi tinggi, dan terbaharu, ia diberikan pada model SUV iaitu Skoda Kodiaq RS yang diperkenalkan di Paris Motor Show 2018.

    Bagi membuktikan ia benar-benar sebuah SUV yang laju, Skoda Kodiaq RS ini telah di bawa ke litar Nurburgring Nordschleife bagi mencatatkan rekod. Dipandu oleh ‘Queen of the Ring’ Sabine Schmitz yang juga hanya satu-satunya wanita yang pernah memenangi perlumbaan 24-jam di litar berkenaan, Kodiaq RS berjaya mencatatkan masa lap terpantas 9 minit 29.84 saat.

    Rekod tersebut jika dibandingkan dengan SUV Alfa Romeo Stelvio Quadrifoglio (7 minit 51.7 saat) sememangnya agak ketinggalan, namun Kodiaq RS kini sah dinobatkan sebagai SUV tujuh-tempat duduk paling pantas di litar ‘The Green Hell’ itu.

    SUV ini dijana oleh enjin diesel 2.0 liter dengan dua pengecas turbo, membolehkan ia menghasilkan kuasa 240 PS dengan tork maksima 500 Nm yang boleh dicapai bermula 1,750 hingga 2,500 rpm, menjadikan ia sebagai enjin diesel produksi paling berkuasa pernah dihasilkan Skoda.

    Skoda Kodiaq RS – SUV 7-tempat duduk paling pantas di Nurburgring, 2.0L diesel twin turbo, 240 PS/500Nm

    Digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan, SUV ini mampu untuk memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 7 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 220 km/j. Kotak gear ini turut mempunyai fungsi coasting yang akan memutuskan kuasa dari enjin ke transmisi, membolehkan ia berlayar dengan lebih jimat bahan api dalam mod Eco.

    Buat pertama kali juga Skoda telah memperkenalkan Dynamic Sound Boost (DSB) pada model ini, yang menurut mereka ia memberikan “pengalaman berkarekteristik dan akustik emotif” pada bahagian dalam dan luar kabin. Fungsi tersebut menghasilkan bunyi yang spesifik, yang mengambil kira bunyi semula jadi dari sistem ekzos dan juga profil bunyi enjin yang diperhalusi, menurut Skoda. DSB ini berfungsi bersama Driving Mode Select yang memberikan pilihan profil Comfort, Normal, Sport dan Eco.

    Bagi sistem pacuan semua roda pula, ia dilengkapkan dengan klac pelbagai lapisan elektronik dan juga electronic differential lock yang sentiasa membuat kiraan bagi menghantar tork yang sepatutnya pada setiap roda. Sistem ini mampu untuk untuk menghantar tork sehingga 85% ke roda tertentu secara individu sekiranya diperlukan.

    Untuk pengendlian, SUV ini diberikan sistem Kawalan Casis Dinamik (DCC) yang akan melaras spring dan penyerap hentak bagi disesuaikan dengan permukaan jalan dan juga gaya pemanduan. Enam talaan berbeza telah ditetapkan iaitu Eco, Comfort, Normal, Sport, Individual dan Snow. Ia turut menerima sistem stereng progresif yang akan mengadapatasi nisbah stereng bagi disesuaikan dengan kelajuan semasa, dan mengurangkan daya stereng pada kelajuan rendah/parkir.

    Bagi membezakan model lebih buas ini berbanding versi standard, model RS berkenaan diberikan bampar hadapan dan belakang istimewa, bersama kemasan hitam berkilat pada gril, penutup cermin sisi, kerangka tingkap, dan juga rel bumbung. Bampar belakang diberikan dengan reflektor panjang, dan turut menempatkan dua tip ekzos yang menonjol. Rim “Xtreme” bersaiz 20-inci menghiasi keempat-empat sudut, manakala logo vRS (v bermaksud victory) diletakkan pada hadapan dan belakang.

    Kabin SUV ini diserikan dengan tempat duduk sport bersama panel pintu yang balut Alcantara bersama motif gentian-karbon, dan juga serlahan jahitan merah, elemen rekaan berlian bersilang serta sulaman logo vRS pada perehat badan. Logo yang sama turut diletakkan pada roda stereng dan tombol gear, manakala panel instrumen Virtual Cockpit diberikan latar belakang karbon. Kemasan-kemasan gentian karbon juga boleh ditemui pada papan pemuka.

    Ciri-ciri standard lain yang turut dibekalkan pada SUV ini adalah logo Kodiaq pada bendul pintu, pakej LED untuk lampu suasana, pelapik bumbung berwarna hitam dan juga pelapik-pelapik pedal dari material logam tahan karat. Skoda Kodiaq RS ini turut boleh dipilih dalam versi lima tempat duduk yang menyediakan ruang but dengan kapasiti 600 liter.


     
     
  • Audi SQ2 ditunjuk awal sebelum penampilan di Paris

    Audi SQ2 ditunjuk awal sebelum penampilan di Paris

    Sekarang ini bukan lagi rahsia bahawa Audi sedang membangunkan satu versi yang lebih sporty bagi crossover kompak Q2, dipanggil sebagai SQ2 kerana ia telah banyak kali ditemui sedang diuji. Sekarang, pengeluar dari Jerman itu telah mengeluarkan sendiri satu gambar rasmi sebelum model tersebut ditampilkan buat kali pertama di Paris Motor Show.

    Secara mekanikalnya, SQ2 banyak berkongsi ciri dengan Volkswagen Golf R dan Audi S3, di mana penggeraknya adalah enjin petrol empat silinder 2.0 liter dengan kuasa sebanyak 296 hp dan 400 Nm.

    Ia kemudiannya dipadankan bersama kotak gear automatik Stronic DSG tujuh kelajuan serta sistem pacuan semua roda Quattro, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa cuma 4.8 saat, dan ini adlaah lebih laju daripada Porsche Cayman 718 asas (5.1 saat). Laju maksimum yang boleh dicapai pula adalah 250 km/j.

    Jika mahu membandingkannya dengan pencabar terdekat, BMW X2 M35i yang mempunyai enjin berkuasa 302 hp mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat manakala Mercedes-Benz GLA AMG dengan 375 hp pula memerlukan masa 4.4 saat. Untuk memastikan kenderaan sesuai dengan kuasa, Audi telah meletakkan brek cakera 340 mm di hadapan dan 310 mm di belakang SQ2 ini, bersama suspensi yang lebih rendah dan keras.

    Dari aspek penggayaan, SQ2 ini mendapat gril baru yang mempunyai jalur melintang, bukaan udara yang berfungsi di bampar hadapan, lampu utama LED, rim 18 atau 19 inci, dan angkup brek boleh dipilih dengan warna hitam atau merah. Berdasarkan spyshot, bampar belakang turut mendapat sedikit perubahan dan ia mempunyai empat muncung ekzos.

    Untuk bahagian dalam, Audi memberitahu, virtual cockpit kenderaan ini akan mendapat sentuhan unik model S dan akan ada banyak penjenamaan S yang digunakan di beberapa bahagian. Tempat duduk gabungan fabrik dan kulit didatangkan secara standard, dan pembeli boleh menukarnya kepada Alcantara sekiranya mahu. Tempahan untuk SQ2 akan dibuka sebelum tahun ini berakhir, dengan penyerahan akan dilakukan awal tahun hadapan.

    GALERI: Spyshot Audi SQ2

     
     
  • BMW 3 Series G20 didedah menerusi imej konfigurasi

    BMW 3 Series G20 didedah menerusi imej konfigurasi

    BMW 3 Series G20 sudah bersedia untuk diperkenalkan di Paris Motor Show hujung minggu ini, tapi sebelum ini imej konfigurasinya telah didedahkan.

    Imej tersebut telah dimuatnaik menerusi forum Bimmerpost, dan mendedahkan sedan eksekutif kompak generasi ke-tujuh dalam beberapa sudut, kemasan dan warna, termasuk bagi 330i dan M304i serta kemasan Sport Line dan pakej M Sport dengan brek M Sport. Turut didedahkan ialah empat warna luaran – Dravit Grey, Tansanit Blue II, Citrin Black II dan Vermont Bronze.

    Pernah didedahkan menerusi spyshot dan teaser rekaan luaran termasuk gril kidney berkembar besar, dwi ekzos (bulat untuk 330i, trapezoidal pada M340i), lip spoiler kecil dan grafik berbentuk-L untuk elemen pencahayaan. Nampak ada sedikit perubahan pada bahagian penggayaan bagi kereta baharu ini – walau bagaimana pun ia tidak dapat disahkan melainkan pengeluarnya sendiri yang mendedahkanny.

    Ruang dalaman juga telah didedahkan sepenuhnya dengan roda stereng M dan kluster instrumen digital 12.3-inci telah ditampilkan, bersama paparan tengan 10.25-inci dan bentangan baharu bagi corong kawalan suhu dan butang kawalan lain.

    Menariknya, set imej bagi beberapa pilihan dalaman ini menggambarkan varian yang dilengkapi Sport Automatik tidak ditampilkan tuil gear – begitu juga transmission switchgear, jadi ia mungkin dikekalkan sebegini atau pun ada configurator glitch.

    Menggunakan platform Cluster Architecture (CLAR) yang menyaksikan kereta ini lebih ringan berbanding model sebelumnya, dan bagi penjana kuasa, M304i dipadankan bersama enjin B58 petrol 3.0 liter pengecas turbo enam-silinder, manakala 330i pula dengan 2.0 liter turbo empat-silinder dengan sedikit penambahan kuasa dan tork serta penjimatan bahan api yang lebih efisien. Perincian penuh mengenainya akan diketahui apabila ia dipertontonkan secara rasmi minggu ini.

     
     
  • Jualan Proton turun kepada 4,524 unit bagi September

    Jualan Proton turun kepada 4,524 unit bagi September

    Selepas mencapai rekod jualan sebanyak 9,501 unit bagi bulan Ogos, pencapaian jualan bulan September bagi Proton menurun kepada 4,524 unit. Pengenalan SST selepas tempoh cuti cukai selama tiga bulan sebelum itu menjadi antara sebab utama penurunan ini.

    Walaupun jualannya berkurang, Proton mendedahkan anggaran pegangan pasaran (peratusan dari jumlah keseluruhan industri) telah meningkat kepada 15%. Syarikat itu juga memaklumkan, jualan bagi tempoh sama berbanding tahun lalu naik 1%, sementara pegangan pasaran meningkat sebanyak 4% dari 2017.

    “Kami meramalkan kesusutan TIV bagi bulan September disebabkan pelaksanaan GST sifar pada tiga bulan sebelum ini yang telah mewujudkan peningkatan jualan yang luar biasa dalam pasaran. Selepas pengenalan semula SST, pembeli kembali kepada corak pembelian kebiasaannya tetapi terdapat pembetulan dalam jangka masa pendek.

    “Proton membuat keputusan untuk meminimakan impak dengan menyerap SST dan keputusan itu telah memanfaatkan kami berikutan keseluruhan jumlah jualan bertambah ke peringkat yang lebih tinggi setakat ini,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

    Jualan Proton turun kepada 4,524 unit bagi September

    Pelanggan Proton boleh menikmati tawaran harga tanpa SST untuk semua kereta Proton kerana Syarikat memutuskan untuk melanjutkan tempoh penyerapan SST bagi semua kereta bagi tempoh sebulan lagi. Terdapat juga tambahan promosi iaitu rebat untuk model terpilih.

    “Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana memperkenalkan SST. Disebabkan itu, semua harga kenderaan Proton menjadi lebih rendah. Syarikat juga telah memutuskan untuk melanjutkan tawaran harga tanpa SST bagi tempoh sebulan lagi kerana kami ingin menawarkan penjimatan kepada pelanggan.

    “Di samping itu, kami juga mahu menarik pembeli berpotensi dengan tawaran rebat sehingga RM3,000 untuk model terpilih. Pada akhirnya, matlamat kami adalah mengekalkan tahap jualan yang konsisten. Kami juga akan menambah model Proton X70 ke rangkaian kami pada penghujung 2018,” tambah Abdul Rashid.

    Dalam perkembangan lain, Proton turut mengumumkan akan menyerahkan sejumlah RM220,370 kepada Tabung Harapan Malaysia, sebagai tambahan kepada RM61,730 yang diserahkan sebelum ini – menjadikan jumlah keseluruhan RM282,100. “Proton sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk menyumbang RM10 daripada setiap kereta yang terjual kepada Tabung Harapan bermula sejak Jun lalu hingga penghujung 2018,” ujar Rashid lagi.

     
     
  • Yamaha MT-07 pasaran Malaysia diberi pembaharuan

    Yamaha MT-07 pasaran Malaysia diberi pembaharuan

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd telah memperbaharui model MT-07 di Malaysia dan ia kini boleh didapati dalam warna Race Blu (sudah mula dijual) dan Matt Grey (hanya boleh didapati bermula Januari 2019). Pembaharuan yang diberi tidak berhenti setakat pada warna baru, dan ia turut melibatkan beberapa bahagian lain.

    Antaranya adalah suspensi, di mana pada bahagian hadapan, tetapan fork telah dirujuk semula manakala pada bahagian belakang, monoshock yang digunakan kini mempunyai pelarasan lantunan (rebound). Brek untuk model yang dipertingkat ini pula dilengkapi dengan sistem ABS, dan tempat duduk juga direka semula untuk memberikan lebih keselesaan.

    Untuk penampilan, walaupun sekali imbas ia nampak sama, masih terdapat perubahan yang diberi dan ini termasuk di bahagian panel tepi (warna hitam dengan logo Yamaha), di mana ia telah direka semula dan lampu belakang juga menggunakan bentuk dan pencahayaan yang baru.

    Bahagian lain untuk MT-07 ini masih dikekalkan seperti sebelum ini iaitu ia masih lagi menggunakan enjin dua silinder selari ‘crossplane‘ 689 cc DOHC yang berkuasa 73.7 hp pada 9,000 rpm dan tork 68 Nm pada 6,500 rpm, dan disampaikan kepada tayar melalui kotak gear enam kelajuan.

    Untuk model baru ini, ia dijual pada harga RM38,288 tidak termasuk insurans dan pembeli akan turut menerima kunci cakera brek istimewa yang mempunyai logo Yamaha padanya. Jaminan yang diberikan untuk motosikal ini adalah satu tahun atau 10,000 km.

     
     
  • Pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai lancar

    Pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai lancar

    Tiada sebab untuk projek pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dibatalkan walau pun negara sedang mengalami masalah kewangan. Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir, projek lebuhraya empat lorong sepanjang 73 km itu berjalan lancar setakat ini, laporan Bernama.

    “Semua projek atas kepentingan rakyat tetap kita teruskan dan tidak ada sebab kita berhentikan, cuma rakyat harus bersabar dengan kedudukan ekonomi sekarang,” katanya kepada pemberita semalam. Ia adalah bagi mengulas status lebuhraya tersebut sama ada ditangguhkan pembinaan atau sebaliknya, berikutan masalah kewangan dihadapi negara.

    Menurut laporan terbabit, setakat ini, Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok melibatkan laluan sejauh 10.5km telah siap dan dibuka kepada pengguna mulai Ogos lepas, manakala pakej 2A (Kadok-Ketereh) dan pakej 2B (Ketereh-Kok Lanas) sedang dalam pembinaan. Pakej 1B, 2A dan 2B merupakan fasa pertama daripada tiga fasa bagi projek lebuh raya itu yang dianggarkan melibatkan kos RM1.8 bilion.

     
     
  • Pemilik lesen terbang cuma ada dua minggu saja lagi untuk tampil dan serahkan lesen mereka kepada JPJ

    Pemilik lesen terbang cuma ada dua minggu saja lagi untuk tampil dan serahkan lesen mereka kepada JPJ

    Bagi pemegang-pemegang lesen terbang atau lesen yang diperoleh daripada saluran tidak sah, Kementerian Pengangkutan ada peringatan yang ingin diberikan; anda hanya ada dua minggu saja lagi untuk tampil dan serahkan lesen berkenaan kepada Unit Integriti, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Selepas daripada tempoh itu, menurut menterinya, Anthony Loke, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kerana JPJ mempunyai maklumat terperinci tentang mereka, lapor Bernama.

    “Akan ada mesyuarat pada Isnin bersama JPJ, dan antara perkara utama yang akan dibincangkan ialah angka keseluruhan lesen terbang yang telah pun menyerahkan lesen mereka. Kami telah pun mengingatkan semua mereka yang terlibat memiliki lesen tidak sah ini untuk tampil dan serahkan semula lesen terbabit kepada JPJ. Sekarang, hanya tinggal dua minggu lagi untuk berbuat demikian sebelum sebarang tindakan akan diambil,” jelas Anthony.

    September lalu, beliau memaklumkan kementerian telah mengenal pasti sebanyak 14,000 lesen terbang pernah dikeluarkan oleh petugas JPJ yang tidak bertanggungjawab bagi tempoh dua tahun lalu. Majoriti pemegang lesen berkenaan ialah warga Malaysia. Tetapi ada juga warga asing yang membeli lesen memandu Malaysia. Lesen berkenaan dijual pada harga antara RM2,000 dan RM3,500 setiap satu.

    Bulan lepas, 12 petugas JPJ dari Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengeluaran lesen terbang ini. Anthony menambah, sejak itu, ada dua lagi individu JPJ yang ditahan oleh SPRM.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Iriz facelift dijumpai sedang diuji

    SPYSHOT: Proton Iriz <em>facelift</em> dijumpai sedang diuji

    Tahun lalu Proton memperkenalkan Iriz yang diperhalusi pada aspek NVH dan juga respon pada kotak gear CVT serta enjin. Namun model tersebut menerima perubahan rupa yang sangat kecil, terdiri dari berberapa perincian yang diubah warna. Gambar yang kami terima hari ini nampaknya bukti jelas bahawa Proton akan melakukan sesuatu bagi menyegarkan semula rupa Iriz.

    Imej ini dikirim oleh pembaca Prasanth Hari Kharan yang terserempak dengan hatchback segmen-B yang jelas ialah Iriz di Lembah Klang, namun diberikan pelekat penyamaran pada bampar hadapan dan belakang, serta pita berwarna hitam merentangi pintu tailgate belakang – nampaknya Proton sedang menguji Iriz versi facelift diatas jalan raya awam.

    Proton Iriz diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2014 dan tidak pernah diberikan perubahan rupa yang ketara selepas itu, menyebabkan penampilannya agak ketinggalan berbanding Honda Jazz dan juga Perodua Myvi generasi baharu.

    Untuk versi yang diperkenalkan tahun lalu, Iriz diberikan perubahan dari pada konfigurasi cagak enjin dari empat kepada tiga yang jelas mengurangkan gegarannya, selain penebat bunyi yang lebih berkualiti dan juga sistem ekzos yang diolah semula bagi membuatkan kereta ini lebih senyap ketika dipandu. Manakala talaan pada kotak komputer transmisi CVT dan juga enjin telah dibuat semula bagi mendapatkan respon yang lebih cepat dan linear.

    Bagi model yang diuji ini, mana-mana bahagian yang ditutup menandakan ia akan menerima perubahan ketika diperkenalkan nanti. Pada bahagian bampar belakang pula, dapat dilihat bahawa kedudukan reflektornya kini lebih tinggi, berkemungkinan pada bahagian bawah mungkin menerima kemasan seperti diffuser.

    Manakala pada bahagian yang ditutup dengan pita hitam, ada kemungkinan Iriz akan diberi kemasan yang akan menempatkan perkataan ‘Proton’ sama seperti SUV X70 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Kami juga menjangkakan model ini turut akan diberikan set rim baharu.

    Buat masa sekarang, Iriz ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.3 liter berkuasa 94 hp/120 Nm dan juga 1.6 liter berkuasa 107 hp/150 Nm. Pilihan enjin paling berkuasa tersebut hanya diberikan kotak gear CVT automatik, manakala model dengan enjin kapasiti paling rendah turut ditawarkan dengan transmisi lima-kelajuan manual.

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Premium 2017

     
     
  • Ford Everest facelift akan tiba di M’sia – auto 10 gear

    Ford Malaysia telah menyiarkan satu teaser berkenaan ketibaan model Everest facelift di laman media sosial rasmi mereka. SUV body-on-frame yang telah disegarkan semula ini ditunjukkan buat pertama kali beberapa bulan yang lalu.

    Berdasarkan kenyataan yang dimuat naik tersebut, pasaran Malaysia nampaknya akan menerima Everest facelift yang dilengkapi dengan transmisi automatik Getrag 10R80 10-kelajuan. Unit ini menggantikan kotak gear 6R80 enam kelajuan yang digunakan pada model sekarang.

    Walaupun masih belum disahkan, kotak gear 10 kelajuan ini berkemungkinan besar dipadankan bersama enjin turbodiesel 2.0 liter EcoBlue, yang mana ia pertama kali digunakan pada Ranger Raptor. Enjin EcoBlue ini adalah daripada keluarga enjin Panther, dan merupakan pengganti bagi barisan enjin Puma yang terdiri daripada turbodiesel Duratorq kapasiti 2.2 dan 3.2L.

    Ford Everest facelift akan tiba di M’sia – auto 10 gear

    Padanan enjin EcoBlue dan kotak gear automatik 10-kelajuan ini sudah pun digunakan pada Everest yang dijual di Thailand, dan ditawarkan dalam dua talaan kuasa berbeza – 180 PS pada 3,500 rpm/420 Nm dari 1,750-2,500 rpm (turbo tunggal) dan 213 PS pada 3,750 rpm/500 Nm dari 1,750-2,000 rpm (bi-turbo). Walaubagaimanapun, beberapa pasaran seperti Australia masih menggunakan padanan enjin Duratorq dengan transmisi enam kelajuan.

    Naik taraf lain yang diberi untuk model facelift ini termasuk gril tiga jalur yang lebih besasr, lampu utama xenon dengan lampu siang LED, sistem masuk dan mula enjin tanpa kunci, sistem infotainmen SYNC 3, trim berbeza dan tailgate elektrik yang boleh dibuka tanpa pegang bagi varian tertentu.

    Untuk sistem keselamatan, Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesan pejalan kaki dan kenderaan, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keeping System (LKS) dan Blind Spot Information System (BLIS) dengan pengesan trafik daripada belakang juga ada ditawarkan untuk varian yang lebih tinggi di Thailand dan Australia.

     
     
  • LRT: Saran tambang lebih murah untuk waktu bukan puncak bagi optima penggunaan tren – Anthony Loke

    LRT: Saran tambang lebih murah untuk waktu bukan puncak bagi optima penggunaan tren – Anthony Loke

    Bagi mengurangkan lebihan kapasiti ketika waktu luar kemuncak, Kementerian Pengangkutan menyarankan agar Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) mengenakan tambang yang lebih murah kepada penumpang-penumpang tren Transit Aliran Ringan (LRT) ketika ‘bukan waktu puncak’ untuk mengoptimumkan penggunaan tren.

    Menurut menterinya, Anthony Loke, walau bagaimana pun, perkara ini perlu dibincangkan dan dirancang secara teliti antara kementerian dengan pihak pengurusan tren, laporan Bernama.

    Selain itu, kementerian juga menggesa agar pihak pengurusan tren terbabit mengadakan sidang media jika ada sebarang kelewatan perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid KL melebihi 15 minit.

    LRT: Saran tambang lebih murah untuk waktu bukan puncak bagi optima penggunaan tren – Anthony Loke

    “Prosedur operasi standard (SOP) baharu yang berkuatkuasa serta merta itu bagi memberikan maklum balas dengan lebih pantas kepada orang ramai jika sebarang kelewatan perkhidmatan berlaku dan mengelakkan kesesakan di stesen-stesen. Semua kelewatan membabitkan masalah teknikal melebihi 15 minit dikategorikan sebagai ‘Gangguan Utama’ dan perlu diadakan sidang media oleh pihak pengurusan Prasarana untuk memberi penjelasan kepada orang ramai,” ujarnya.

    Sambungnya lagi, pada masa yang sama, sebarang insiden dan pengumuman daripada Prasarana turut perlu dihebahkan menerusi media sosial secara lebih kerap dan perlu ditambah baik.

    Selain itu, pihak pengurusan turut diwajibkan untuk memberi laporan bulanan berkenaan perkhidmatan tren kepada Kementerian Pengangkutan.

    LRT: Saran tambang lebih murah untuk waktu bukan puncak bagi optima penggunaan tren – Anthony Loke

    “Kami turut akan melanjutkan SOP ini kepada pengangkutan awam lain seperti KTM pada masa akan datang namun buat masa sekarang kami hanya tertumpu kepada perkhidmatan tren bawah Prasarana,” katanya.

    Sementara itu, Loke berkata semua sistem paparan elektronik maklumat perkhidmatan tren wajib berfungsi di semua stesen LRT laluan Ampang menjelang awal tahun depan. Hal ini kerana sistem itu didapati tidak berfungsi di beberapa stesen LRT.

    “Ia bagi memastikan semua penumpang mengetahui masa ketibaan tren dan merancang perjalanan mereka dengan lebih teliti,” katanya.

    Pada 25 September lalu, gangguan perkhidmatan LRT Rapid KL laluan Kelana Jaya berlaku disebabkan masalah pada satu daripada komponen sistem semboyan yang mengawal isyarat pergerakan tren automatik di stesen LRT Damai. Kejadian pada waktu puncak itu telah menyebabkan pengguna terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan tren dan pelan pergerakan tren secara manual telah diaktifkan bagi meneruskan perkhidmatan tren.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia, Hap Seng Star lancar pusat kereta terpakai yang bertauliah terbesar di Kinrara

    Mercedes-Benz Malaysia, Hap Seng Star lancar pusat kereta terpakai yang bertauliah terbesar di Kinrara

    Mercedes-Benz Malaysia dan Hap Seng Star hari ini melancarkan pusat kereta terpakai Mercedes-Benz yang diiktiraf (Certified Pre-Owned Centre) bertempat di Kinrara, Puchong.

    Ini menjadi premis terbesar seumpamanya yang menumpukan hanya bagi jualan kenderaan-kenderaan terpakai Mercedes-Benz secara sah di Malaysia, menyertai sebuah lagi pusat sama juga oleh Hap Seng sebelum ini, bertempat di Balakong.

    Dengan pelaburan sebanyak RM41.6 juta, pusat ini didirikan di atas kawasan seluas 46,210 kaki persegi dan mampu untuk mempamerkan lebih daripada 100 kenderaan, dan diselenggara oleh seramai 24 orang petugas. Ia juga menjadi pusat sehenti berkaitan segala urusan pembelian kenderaan terpakai yang diiktiraf sendiri oleh Mercedes-Benz.

    “Kami berbesar hati untuk melancarkan pusat kenderaan terpakai sah Mercedes-Benz ini, yang dikendalikan oleh Hap Seng. Ia melambangkan lanjutan kepada jenama Mercedes-Benz, dan dalam masa yang sama membantu kami untuk meluaskan lagi khalayak pelanggan sedia ada,” ujar Presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner.

    Kelebihan jika pelanggan ingin membeli kenderaan Mercedes-Benz terpakai ialah mereka memandu uji terhadap unit yang diinginkan terlebih dahulu. Selain itu, mereka juga boleh “trade-in” kenderaan lama yang digunakan.

    Semua kenderaan kenderaan yang dijual melalui pusat ini dijamin berada dalam keadaan dan standard yang baik. Pemeriksaan menyeluruh dilakukan ke atas setiap satu kenderaan, jumlah perbatuan juga tidak keterlaluan, bantuan dari segi pembiayaan serta kewangan dan juga penyelenggaraan.

    Selepas pembelian pula, pelanggan akan menikmati sokongan lepas jualan pula. Antaranya jaminan kenderaan 12 bulan, bantuan tepi jalan 24 jam dan juga kontrak servis untuk membolehkan pelanggan menikmatinya tanpa perlu runsing.

     
     
  • Elon Musk lepaskan jawatan pengerusi Tesla, didenda USD20 juta bersama syarikat kerana kenyataan tipu

    Elon Musk lepaskan jawatan pengerusi Tesla, didenda USD20 juta bersama syarikat kerana kenyataan tipu

    Tesla Motors dan Elon Musk telah bersetuju untuk membayar $20 juta masing-masing kepada Suruhanjaya Sekuriti Amerika Syarikat (SEC) untuk menyelesaikan dakwaan bahawa beliau telah mengeluarkan kenyataan tidak berasas pada 7 Ogos lalu. Namun satu lagi berita yang lebih menjadi perhatian, Musk juga telah melepaskan jawatan pengerusi syarikat, tetapi masih kekal sebagai ketua pegawai eksekutif.

    Kenyataan tersebut dikeluarkan melalui satu tweet, di mana Musk menyatakan beliau sedang mempertimbangkan untuk menjadikan Tesla sebagai sebuah syarikat persendirian dengan harga saham $420 seunit (20% premium), dan “dananya telah pun diperoleh”. Hakikat sebenarnya, kenyataan itu tidak mempunyai asas, dan menurut SEC, telah menyusahkan pelabur. Selepas tweet itu dikeluarkan, harga saham syarikat senarai awam itu melonjak naik.

    Perjanjian penipuan sekuriti ini dianggap sebagai satu berita baik bagi pelabur, kerana mereka risau perjalanan undang-undang yang lama hanya akan memburukkan lagi keadaan syarikat yang sedang rugi itu. Ada pakar pentadbir dan pelabur mengatakan kejadian ini mungkin dapat membantu Tesla menjadi lebih kuat selepas menerima kesan daripada perangai Musk yang tidak menentu.

    Elon Musk lepaskan jawatan pengerusi Tesla, didenda USD20 juta bersama syarikat kerana kenyataan tipu

    Ini boleh dilihat dalam waktu yang terdekat di mana antara contohnya, Musk telah menuduh penyelam yang cuba menyelamatkan mangsa dalam gua di Thailand sebagai seorang “pedofilia” dan “perogol kanak-kanak, serta beliau juga menghisap ganja dalam satu rancangan video langsung.

    Dengan perletakan jawatan ini, Tesla perlu menamakan seorang pengerusi, dua pengarah dan jawatankuasa pengarah yang baru, dengan antara perjanjian yang dicadangkan adalah mengawal komunikasi Musk. Ini secara teorinya meletakkan Musk di bawah perhatian tanpa mengeluarkan beliau daripada syarikat.

    Dakwaan yang dilakukan oleh SEC ini telah menyebabkan harga saham Tesla turun sebanyak $7 bilion menjadi $45.2 bilion pada Jumaat lalu. Pada hari itu, Musk juga telah menghantar emel kepada pekerja mendesak mereka supaya “mengabaikan segala gangguan” kerana “cuma ada satu saja lagi hujung minggu yang sukar, dan kita semua akan menang.”

    Elon Musk lepaskan jawatan pengerusi Tesla, didenda USD20 juta bersama syarikat kerana kenyataan tipu

    Pada hari Ahad, beliau telah menghantar satu lagi emel kepada pekerja dengan kenyataan: “Kita sudah hampir mencapai keuntungan dan dapat membuktikan mereka yang selalu mengecam kita adalah salah. Tapi untuk menambah lagi keyakinan, kita perlu melakukan yang terbaik esok (Ahad). Jika kita berhempas pulas esok, kita akan mencapai kejayaan yang epik, melebihi semua jangkaan. Majulah Tesla!”

    Kejayaan yang dimaksudkan mungkin adalah sasaran pengeluaran untuk Tesla Model 3. Menurut Electrek, selepas penagguhan selama beberapa bulan, Tesla dapat mencapai rekod pengeluaran tertinggi dua hari sebelum suku ketiga tahun berakhir. Tesla mensasarkan pengeluaran 50,000 hingga 55,000 unit Model 3 untuk Q3 2018.

     
     
  • VIDEO: Model MT Yamaha 2019 cuma tukar warna?

    Barisan motosikal keluaran Yamaha yang menggunakan nama MT di hadapan adalah penting untuk syarikat itu kerana ia didatangkan dengan karekter yang tersendiri dan muncul dalam pelbagai kategori. Paling kecil adalah MT-125, diikuti MT-03, MT-07, MT-09 dan paling berkuasa, MT-10.

    Semuanya adalah model naked, dan antara aspek yang diberi penekanan adalah tork serta tunggangan yang lincah. Ini bertepatan dengan maksud MT itu sendiri iaitu “Master of Torque“. Kemudiannya dengan badan yang terdedah, semestinya ia lebih ringan berbanding motosikal yang menggunakan fairing penuh.

    Terbaru untuk siri model MT ini, Yamaha Motor Europe telah mengeluarkan sebuah video yang menunjukkan model tahun 2019. Namun, yang ditekankan dalam video ini cuma warna baru, iaitu gabungan merah dan putih yang dipanggil oleh mereka sebagai Ice Fluo. Sebelum ini, warna unik bagi MT adalah Night Fluo gabungan kelabu dan hijau fluorescent.

    Harapnya apabila motosikal sebenar didedahkan nanti (mungkin di EICMA), ia akan menunjukkan peningkatan lain pada bahagian mekanikal atau kelengkapan. Setakat yang dilihat dalam video ini memang tiada, tapi antara harapan pengguna adalah lampu hadapan yang lebih menarik pada MT-07 (seperti MT-09) dan versi prestasi MT-07 SP.

     
     
  • Kadar SST tayar, motosikal elektrik turun kepada 5%

    Kadar SST tayar, motosikal elektrik turun kepada 5%

    Kerajaan telah mengumumkan bahawa kadar cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk tayar pneumatik (tayar yang menggunakan angin) dan juga motosikal elektrik telah diturunkan dan ia kini hanya pada paras 5%, lapor Bernama.

    Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, keputusan itu dibuat oleh Kementerian Kewangan bersama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) setelah menerima maklum balas daripada 18 sesi taklimat soal jawab Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diadakan di seluruh negara melibatkan lebih 15,000 peserta.

    Dalam laporan-laporan sebelum ini, harga tayar kenderaan (kereta penumpang, trak ringan, van dan lain-lain) dijangka akan naik serentak dengan implementasi cukai SST, di mana syarikat-syarikat tayar sendiri – termasuk Michelin, Bridgestone, Goodyear, Continental dan Hankook – mengumumkan bahawa kenaikan harga mungkin berlaku pada 1 September sempena pengenalan semula cukai tersebut.

    Syarikat-syarikat tayar berkemungkinan akan merombak semula harga produk mereka berikutan langkah bagi pengurangan kadar SST ini kepada 5%, begitu juga dengan pengedar-pengedar motosikal elektrik dalam negara. Namun untuk tayar, sepatutnya tiada sebarang kenaikan pada harga buat masa sekarang berikutan semakan semula kadar cukai berkenaan.

     
     
  • SPYSHOT: Porsche 718 Boxster Spyder 2019 dikesan

    SPYSHOT: Porsche 718 Boxster Spyder 2019 dikesan

    Porsche 718 Boxster bakal menerima varian tertinggi baharu dalam bentuk Boxster Spyder, dan terdapat perkhabaran menyatakan ia akan digandingkan dengan penjana kuasa naturally-aspirated enam-silinder berbanding turbo empat-silinder.

    Prestasi didatangkan dari enjin 4.0 liter enam-silinder dari 991.2-gen 911 GT3, walau pun diturunkan hingga 400 hp. Sebelum ini, model terdahulu dipadankan dengan enjin 3.8 liter yang menghasilkan kuasa 375 hp, cukup untuk kelajuan 0-100 km/j dalam 4.5 saat dan kelajuan maksimum mencecah 290 km/j, tetapi Boxster Spyder baharu sepatutnya akan menjadi lebih pantas.

    Gambar spyshot di bawah termasuk dengan pelbagai sudut untuk jentera ini dalam beberapa kerangka prototaip, menandakan model baharu mungkin akan menerima versi yang lebih tegar berbanding Boxster Spyder generasi 981 sebelum ini.

    SPYSHOT: Porsche 718 Boxster Spyder 2019 dikesan

    Turut dijangka model Boxster paling berkuasa ini juga lebih ringan, walau bagaimana pun bahagian belakang (penghormatan untuk model asal 718 Spyder dari 60an) dan soft-top manual (untuk penjimatan berat) akan dikekalkan.

    Selain itu, suspensi yang lebih keras dan rendah, chasis yang disemak semula dan sistem bantuan pemanduan Porsche akan ditampilkan. Boxster Spyder gen-981 turut akan dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan, tetapi Porsche juga mungkin akan menawarkan PDK tujuh-kelajuan untuk kali ini.

     
     
  • Infiniti Q60 Project Black S – 3.0L V6 hibrid, 571 PS

    Infiniti Q60 Project Black S – 3.0L V6 hibrid, 571 PS

    Infiniti bersedia untuk mempamerkan model prototaip Infiniti Q60 Project Black S, sedan hibrid prestasi, di Paris Motor Show yang bakal berlangsung pada minggu hadapan. Dengan teknologi yang diterjemah dari Formula One – khususnya penjana kuasa elektrik dwi-hibrid – menjadi kereta yang boleh digunakan di jalanraya biasa.

    Ia bakal dikuasakan dengan enjin VR30 3.0 liter V6 turbo-berkembar dengan ‘sistem pemulihan tenaga’ (ERS) seperti F1, dengan jumlah kuasa keseluruhan sebanyak 571 PS. Membolehkannya mencatat masa pecutan di bawah empat saat! Dengan enjinnya yang tersendiri sahaja, ia mampu memproduksi 405 PS.

    Ia menggunakan tiga unit motor penjana (MGU) – MGU-K tunggal (‘K’ bermaksud ‘Kinetik’) dengan tenaga kinetik daripada membrek, dan pengecas turbo elektrik berkembar enjin pula dipadankan dengan dua MGU-H (‘H’ bermaksud ‘Heat’ atau haba) iaitu unit yang menjana tenaga haba daripada gas ekzos. Ia membolehkan penjana kuasa untuk menjana kuasa elektrikal semasa membrek dan pecutan.

    Penjana kuasa dan aerodinamik bagi Black S ini dibangunkan bersama dengan Renault Sport Formula One Team. Bagi rekaannya, ia menampilkan wing ‘Monza’ dengan profil aero yang lebih kurang sama dengan jentera Renault Sport F1, unit tersebut diperbuat daripada gentian karbon. Menerusi teknologi model digital, bentuk dan perkadaran bagi wing tersebut diberikan talaan untuk mendapatkan kestabilan yang lebih tegar dan cengkaman yang lebih tinggi sewaktu di selekoh.

    Infiniti Q60 Project Black S – 3.0L V6 hibrid, 571 PS

    Untuk bahagian sisinya pula, gerbang roda ditambah untuk menambahkan lebar trek dan dipadankan juga dengan roda aloi 21-inci, sementara skirt sisi juga lebih dalam dan terperinci. Manakala bahagian belakang pula lebih berkarakteristik dengan wing yang lebih besar dan diffuser yang cukup menyerlah, ditambah pula dengan ekzos titanium berkembar.

    Presiden dan pengerusi global Infiniti, Roland Krueger, berkata, “Project Black S mewakili elektrifikasi teratas dalam portfolio pakatan (Renault-Nissan-Mitsubishi), dan ini merupakan satu lagi contoh keusahawanan Infiniti dalam langkah menuju elektrifikasi dari 2021 dan seterusnya.”

    Sambungnya lagi, “Project Black S menggunakan pengurusan tenaga pintar dan kuasa yang tinggi daripada penjana kuasa termaju, dengan keupayaan dinamik di jalan raya dan trek dan estetika berasaskan prestasi. Ia banyak menyerapkan pelbagai teknologi dan idea baharu, menunjukkan bagaimana kerjasama dalam pakatan ini mampu menjadi realiti.”

     
     
  • Harga RON 97 naik 14 sen bagi Oktober 2018 – RM2.79

    Harga RON 97 naik 14 sen bagi Oktober 2018 – RM2.79

    KPDNHEP telah umumkan harga petrol RON 97 bagi bulan Oktober akan naik sebanyak 14 sen. Ini menjadikan harga jualannya yang terbaru ialah RM2.79 seliter berkuatkuasa tengah malam ini sehinggalah 31 Oktober nanti.

    Pada September lalu, petrol yang sama dijual pada harga RM2.65 seliter. Harga bahan api lain pula macam biasa, masih kekal sama disebabkan ada pemberian subsidi sehingga hujung tahun ini.

    Untuk itu, harga petrol RON 95 dijual pada RM2.20 seliter, manakala diesel Euro 2M RM2.18 seliter dan diesel Euro 5 pula RM2.28 seliter.

     
     
  • Acura Integra Type R DC2 asli 1997 dijual pada harga RM264k di acara lelongan Barret Jackson Las Vegas

    Acura Integra Type R DC2 asli 1997 dijual pada harga RM264k di acara lelongan Barret Jackson Las Vegas

    Saban tahun, kereta-kereta sport JDM dilihat semakin bernilai dalam pasaran. Jika anda biasa dengan pasaran kereta-kereta begini, anda tentu perasan di Malaysia sendiri Mitsubishi Lancer Evo III asli kini dijual sama harga seperti model Evo IX, manakala Toyota Corolla AE86 yang berusia lebih dari 35 tahun boleh dijual dengan harga lebih RM100k.

    Trend ini sebenarnya bukan hanya berlaku di Malaysia, ia sebenarnya trend pasaran Jepun sendiri dan juga dunia. Menerusi acara lelongan Barret Jackson Las Vegas semalam, satu rekod dunia telah dicatatkan di mana sebuah Acura Integra Type R 1997 telah dilelong dengan harga USD63,800 atau RM264,082.

    Untuk pengetahuan anda, pada era 90’an, Honda hanya menghasilkan model-model Type R untuk pasaran JDM. Namun pada tahun 1997, jenama berkenaan ‘bermurah hati’ untuk membawa Integra Type R DC2 ke pasaran Australia dan Amerika Utara. Namun di Amerika, Inte-R versi pemanduan sebelah kiri ini dibina sedikit berbeza dari versi JDM, dan dihasilkan hanya 320 unit pada tahun 1997.

    Ia dijual di bawah jenama divisi mewah Honda iaitu Acura, dan menerima muka pre-facelift menampilkan sepasang lampu hadapan berbentuk bulat berkembar berbanding lampu tirus melintang untuk model asli JDM spesifikasi 1995. Ia juga tidak menerima tempat duduk hadapan Recaro berwarna merah, tetapi hanya diberikan unit yang lebih sporty dari model GS-R biasa, dibaluti sued dengan serlahan jahitan benang merah.

    Walau bagaimanapun, DC2 R pasaran Amerika ini masih dijana enjin 1.8 liter empat silinder DOHC VTEC B18C yang mampu menghasilkan 195 hp (197 hp untuk JDM) tanpa bantuan turbo, digandingkan dengan kotak gear manual lima kelajuan nisbah pendek.

    Menurut laporan dalam laman Hagerty, Integra Type R DC2 1997 yang terjual berkenaan adalah unit ke-37 dari keseluruhan 320 unit lain. Meter perbatuan kereta tersebut hanya mencatatkan 1,191 batu atau hanya 1,916 km, dan ia hadir dengan ciri opsyen asli seperti sistem penghawa dingin serta pemain CD yang dihubungkan kepada enam pembesar suara.

    Ia juga masih tampil dengan warna asal Championship White, dan apa yang benar-benar membuatkan kereta ini mahal adalah kerana ia langsung tidak diubahsuai – sesuatu yang sangat rare kerana rata-rata Type R akan dibeli oleh mereka yang terpengaruh dengan budaya ubahsuai Jepun.

    Nak tahu lebih lagi berkenaan falsafah kejuruteraan dan spesifikasi Integra Type R DC2 ini dan model-model Type R lain? Baca artikel Legasi Type- R yang telah kami siarkan sempena ulangtahun ke-25 tahun Type R tahun lalu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (-0.20)
RON 97 RM4.35 (-0.30)
RON 100 RM6.75
VPR RM7.98
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (-0.20)
EURO 5 B7 RM4.87 (-0.20)
Last Updated Jun 04, 2026