Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Harga minyak 22-28 Mac 2018 – semua naik 2 sen

    Harga minyak 22-28 Mac 2018 – semua naik 2 sen

    Dalam kesuraman petang yang dilihat makin mendung ini, harga runcit bagi bahan api petrol RON 95 dan RON 97 serta diesel dilaporkan naik, masing-masing sebanyak dua sen, bagi minggu bertarikh 22 hingga 28 Mac 2018. Ternyata tuah minggu bertarikh 15 hingga 21 Mac yang mengalami penurunan harga bagi ketiga-tiga bahan api berkenaan tidak dibawa ke minggu seterusnya.

    Bagi petrol, harga RON 95 akan menjadi RM2.20 seliter, manakala RM2.47 seliter untuk RON 97. Untuk diesel Euro 2 pula, menjadi RM2.18 seliter dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Harga runcit baharu tersebut berkuatkuasa pada 12 tengahmalam ini sehingga 28 Mac hadapan.

     
     
  • Mitsubishi Triton Barbarian SVP II untuk pasaran UK – model edisi terhad, hanya 250-unit, bermula RM164k

    Mitsubishi Triton Barbarian SVP II untuk pasaran UK – model edisi terhad, hanya 250-unit, bermula RM164k

    Mitsubishi Motors telah memperkenalkan trak pikap L200 (atau Trition di Malaysia) edisi terhad untuk pasaran UK dikenali sebagai L200 Barbarian SVP II. Ini merupakan model SVP kedua, lanjutan dari edisi pertama sebelum ini dan masih lagi hanya dihasilkan sebanyak 250-unit.

    Pada bahagian luar, Barbarian SVP II menerima serlahan elemen berwarna oren yang lebih menonjol dari Triton Athlete pasaran Malaysia. Ia juga dilihat lebih menyerlah dari SVP sebelum ini dimana hanya menampilkan serlahan berwarna hitam dengan warna badan Electric Blue Metallic dan Cosmos Black.

    Untuk model terbaharu ini, keseluruhan 250-unit berkenaan akan dibahagikan kepada dua – sebahagian akan diberikan warna Diamond Black, dan sebahagian lagi dengan warna Metallic Grey. Serlahan berwarna oren tersebut pula akan ditampilkan pada rim aloi 17-inci, gril dan lampu hadapan, kekemasan lampu belakang, perumah lampu kabus, pelapik belakang pembuka pintu dan rel bumbung.

    Bahagian dalaman juga menerima serlahan berwarna oren berkenaan, terutamanya pada tempat duduk dengan sebahagian kulit, benang jahitan dan jalur paip kemasan diberikan warna yang menonjol tersebut. Logo SVP juga ditempatkan pada kedua-dua perehat kepala tempat duduk hadapan, selain plak dan logo-logo lain yang turut diberikan pada kabin trak pikap ini.

    Manakala pada bahagian kargo pula, L200 SVP ini diberikan pencahayaan pada bed, pintu tailgate bantuan spring serta diberikan penyerap bagi bukaan yang lebih lembut.

    Namun sistem mekanikal trak pikap ini masih lagi tidak berubah dan ia masih dijana oleh enjin turbodiesel 2.4 liter berkuasa 177 hp bersama sistem pacuan empat roda Super Select 4WD.

    Pilihan transmisi enam kelajuan manual masih ditawarkan, manakala pembeli yang memilih kotak gear lima-kelajuan automatik turut akan diberikan pedal penukar gear pada stereng.

    Pada pasaran UK, model Special Vehicle Projects ini dijual pada harga bermula £29,830 atau RM164,149 mengikut kadar tukaran semasa.

     
     
  • Mercedes-Benz C-Class Coupe C205 dan C-Class Cabriolet A205 facelift – enjin dan kelengkapan baharu

    Mercedes-Benz C-Class Coupe C205 dan C-Class Cabriolet A205 <em>facelift</em> – enjin dan kelengkapan baharu

    Selepas Mercedes-Benz C-Class Sedan dan Estate W205 diperbaharui, kini C-Class Coupe C205 dan C-Class Cabriolet A205 pula diberikan facelift. Sama seperti model empat pintu tersebut, model baru ini menerima peningkatan pada bahagian rekaan, pilihan enjin serta senarai kelengkapan yang diberi.

    Pada bahagian luar, elemen baru yang dimasukkan adalah termasuk pada bampar hadapan dan lampu LED High Performance kini datang secara standard – boleh dinaik taraf kepada Multibeam LED dengan lampu tinggi Ultra Range. Lampu belakang LED kenderaan ini juga lebih menonjol.

    Model yang dipasang dengan pakej penggayaan AMG akan menerima rekaan pin krom pada gril radiator, bersama bahagian bawah bampar khas untuk AMG. Pelanggan juga kini boleh memilih Night Package untuk model cabriolet, dan pilihan warna telah ditambah untuk dimasukkan dengan warna perak metalik mojave dan kelabu graphite yang khas untuk model coupe dan cabriolet.

    Masuk ke dalam, terdapat bahan baru yang boleh dipilih untuk kemasannya – kayu walnut coklat dengan liang terbuka, dan anthracite oak dengan liang terbuka, serta kombinasi warna baru iaitu kelabu magma/hitam. Perubahan lain adalah termasuk butang start/stop baru, Keyless-Go secara standard, dan tiga pilihan rekaan kunci – hitam dengan keliling krom berkilat, putih dengan keliling krom dan putih dengan krom matt.

    Seperti juga C-Class empat pintu, panel instrumen digital penuh 12.3 inci (1920×720 pixel) disediakan sebagai pilihan untuk menggantikan tetapan analog/digital standard (skrin 5.5 inci, paparan 383×600 pixel). Panel paparan tengah pula datang dalam pilihan skrin tujuh inci (960×540 pixel) atau 10.25 inci (1920×720 pixel), bergantung kepada sistem informasi dan hiburan yang dipilih – standard adalah sistem Audio 20 manakala COMAND Online sebagai pilihan tambahan.

    Kelengkapan lain yang disediakan sebagai pilihan adalah pengawal keselesaan Energizing, yang berfungsi dengan sistem pencahayaan suasana 64 warna, teknologi NFC dan sistem bunyi sembilan pembesar suara (225 watt). Beberapa teknologi bantuan pemandu dan keselamatan turut diberi, termasuk Active Distance Control Distronic, Active Lane Change Assist, Active Emergency Stop Assist dan Active Brake Assist.

    Barisan enjin untuk kedua-dua model coupe dan cabriolet adalah sama dengan model Sedan dan Estate, bermula dengan C 200, kemudiannya diikuti C 200 4Matic dan C 220 d. Dua yang pertama adalah varian petrol, dan menggunakan enjin empat silinder M264 baru.

    Mercedes-Benz C-Class Coupe C205 dan C-Class Cabriolet A205 <em>facelift</em> – enjin dan kelengkapan baharu

    Pada C 200 dan C 200 4Matic, enjin 1.5 liter turbo ini menghasilkan 181 hp (184 PS) pada 5,800 hingga 6,100 rpm, dan 280 Nm pada antara 3,000 hingga 4,000 rpm. Ia juga beroperasi dengan sistem elektrikal 48 volt, dan datang dengan starter/alternator EQ Boost yang memberikan 13 hp (10 kW) dan 160 Nm tork semasa awal pecutan sebelum boost turbo penuh.

    Pada aspek prestasi, C 200 boleh meberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat (coupe) dan 8.5 saat (cabriolet) manakala C 200 4Matic pacuan empat roda melakukannya dalam masa tambahan 0.5 saat untuk model coupe dan tambahan 0.3 saat untuk model cabriolet. Model C 200 tanpa 4Matic juga mempunyai kelajuan maksimum lebih tinggi – 239 km/j (coupe) dan 235 km/j (cabriolet), berbanding 234 km/j (coupe) dan 230 km/j (cabriolet).

    Jika tidak mahu enjin petrol, pilihan lain yang disediakan adalah C 220 d, yang menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter OM654 yang mampu menghasilkan 192 hp (194 PS) pada 3,800 rpm dan 400 Nm tork antara 1,600 hingga 2,800 rpm. Masa pecutan 0-100 km/j yang mampu dilakukan oleh model diesel ini adalah 7 saat untuk coupe dan 7.5 saat untuk cabriolet, dengan laju maksimum masing-masing 240 km/j dan 233 km/j. Semuanya dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic.

     
     
  • Volkswagen Golf terima enjin 1.5 TSI ACT Bluemotion baharu – kurang kuasa tapi lebih jimat bahan api

    Volkswagen Golf terima enjin 1.5 TSI ACT Bluemotion baharu –  kurang kuasa tapi lebih jimat bahan api

    Volkswagen memperkenalkan enjin baharu dalam varian model Golf, iaitu enjin 1.5 TSI ACT Bluemotion. Enjin baharu ini menghasilkan kuasa 128 hp (130 PS) dan tork maksima 200 Nm – kurang berkuasa berbanding enjin 1.5 TSI Evo yang menjana 150 PS, namun enjin baharu ini didakwa menawarkan penjimatan bahan-api hampir kepada enjin diesel.

    Apa yang membuatkan enjin baharu ini 10% lebih cekap dari enjin setara dengannya? Pertama, ia dibekalkan dengan sistem Active Cylinder Management (ACT) yang akan ‘mematikan’ fungsi dua silinder ketika beroperasi dengan beban rendah, pada takat rpm 1,400-4,000 rpm dan sehingga kelajuan 130 km/j.

    Selain itu, enjin yang dipadankan dengan kotak gear DSG ini juga diberikan fungsi ‘Eco-Coasting’, yang membolehkan kereta tersebut ‘berlayar’ atau ‘meluncur’ dengan enjin dimatikan sepenuhnya. Menurut VW, sistem ini umpama sistem hibrid-mikro, beroperasi dengan sistem elektrikal asal 12-V.

    Ketika mod ini diaktifkan, contohnya ketika menuruni bukit, sistem pengurusan enjin akan mematikannya enjin dan memisahkannya dari transmisi (melepaskan sambungan klac) bagi membolehkan kereta meluncur dengan bebas. Ketika ini, bateri lithium-ion yang dipadankan akan terus membekalkan kuasa elektrik pada sistem-sistem yang memerlukannya seperti lampu hadapan, sistem infotaimen, pengelap cermin dan pelbagai lagi.

    Enjin ini juga beroperasi dengan kitaran Miller, iaitu kitaran yang menutup injap kemasukan lebih cepat dari sepatutnya. Dengan kaedah ini bersama pengecas turbo dengan turbin geometri bervariasi (VTG), enjin berkenaan mampu beroperasi dengan lebih cekap tenaga.

    Menurut Volkswagen, mod Eco Coasting sahaja mampu untuk mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak 0.4 l/100 km. Untuk keseluruhan, varian Golf baharu ini mencatatkan penggunaan bahan api gabungan 4.8 l/100 km, dan boleh merekodkan bacaan serendah 4.0 l/100 km dalam tetapan extra-urban.

     
     
  • Proton & DRB-Hicom U Creative Car Challenge (PD3C) – pertandingan rekaan untuk 15 institusi tempatan

    Proton & DRB-Hicom U Creative Car Challenge (PD3C) – pertandingan rekaan untuk 15 institusi tempatan

    Proton dan Universiti Automotif Malaysia DRB-HICOM (DRB-Hicom U) secara rasminya melancarkan pertandingan Proton & DRB-Hicom U Creative Car Challenge (PD3C) 2018 di kampus DRB-Hicom U di Pekan, Pahang. Pertandingan rekaan ini akan melibatkan 15 pasukan daripada pelbagai institusi pendidikan tempatan, untuk menghasilkan kereta konsep masa hadapan.

    Dengan tema “Mereka Kenderaan Masa Depan, Hari Ini,” pertandingan tersebut akan berjalan selama enam bulan, dan pusingan terakhir adalah pada 27 hingga 29 September 2018. Setiap pasukan perlu menunjukkan konsep rekaan mereka dengan menghasilkan sebuah prototaip skala penuh dalam tempoh masa tersebut, menggunakan pelbagai model Proton sebagai asas.

    Hadiah utama untuk pertandingan ini adalah trofi dan wang tunai RM7,000 manakala tempat kedua, ketiga dan keempat akan masing-masing menerima wang tunai RM5,000, RM3,000 dan RM1,000. Turut disediakan adalah hadiah sagu hati yang berupa medal serta sijil penyertaan.

    Antara institusi yang telah disenarai pendek pada sesi yang berlangsung 6 dan 7 Mac yang lalu adalah termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Asia Pacific University (APU), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), TAFE College dan ADTEC Melaka.

    Proton & DRB-Hicom U Creative Car Challenge (PD3C) – pertandingan rekaan untuk 15 institusi tempatan

    Dalam sesi tersebut, Proton juga telah mengambil kesempatan untuk menyerahkan kenderaan yang akan digunakan oleh setiap pasukan tersebut sebagai asas. Ini termasuk model Exora, Preve, Suprima S, Saga BLM, Gen.2 dan Iriz, dan semua model ini telah dipilih berdasarkan proses undian yang dijalankan sebelum itu.

    Bagi institusi yang tidak tercalon dalam PD3C, Proton dan DRB turut menganjurkan satu lagi cabaran yang dinamakan sebagai Car Modelling Challenge, di mana peserta perlu menghasilkan model skala 1:4 menggunakan tanah liat, kadbod, ataupun cetakan 3D dalam masa empat bulan. Hadiahnya termasuk wang tunai RM2,500, RM2,000 dan RM1,500 untuk tempat pertama, kedua dan ketiga. Bagi pertandingan ini, setiap pasukan perlu membayar yuran RM800 untuk penginapan dan makanan di Pekan.

    Bagi orang awam, anda boleh menyertai pertandingan rekaan yang akan diadakan semasa pusingan akhir PD3C di Pekan September nanti. Ia disasarkan kepada pereka profesional, pensyarah, graduan dan juga pelajar, dan mereka diberikan masa empat jam untuk menghasilkan lukisan dan render rekaan, untuk merebut hadiah wang tunai tempat pertama RM1,500, kedua RM1,200 dan ketiga RM1,000. Yuran penyertaan adalah RM300 dan ini termasuk penginapan dan makanan.

    Anda boleh mengetahui lebih lanjut mengenai pertandingan ini dan mendaftar di laman rasminya di sini.

     
     
  • Mitsubishi Mirage bakal kembali dengan kuasa turbo?

    Mitsubishi Mirage bakal kembali dengan kuasa turbo?

    Mitsubishi dilaporkan serius untuk menghasilkan hatchback segmen-B dalam tempoh lima tahun akan datang, yang mungkin menyaksikan Colt atau Mirage bakal kembali semula sebagai model generasi baharu. Menurut ketua jualan dan pemasaran Mitsubishi Eropah, Guillaume Cartier dalam laporan Autocar, syarikatnya kini “sedang membangunkan” kereta sedemikian, tetapi keputusan akhir masih lagi belum dimuktamadkan.

    “Masih menjadi persoalan apa keperluannya,” kata Cartier dan menambah model tersebut perlu boleh dijual sekurang-kurangnya 100,000 unit secara global untuk memuktamadkannya. Projek ini juga diambil perhatian setelah Mitsubishi kini merupakan salah satu anggota dalam Pakatan Renault-Nissan, jelasnya lagi.

    Dengan menjadi sebahagian dalam Pakatan berkenaan, jenama dari Jepun itu mempunyai akses terhadap platform dan janakuasa dari Nissan dan Renault seperti platform CMF-B – asas kepada Renault Clio generasi kelima yang bakal membuat kemunculan sulungnya tahun ini. Apa yang menarik, platform tersebut akan dijana oleh pilihan enjin petrol turbo Renault berkapasiti 0.9 liter dan juga 1.3 liter.

    Mitsubishi Mirage bakal kembali dengan kuasa turbo?

    Cartier turut menjelaskan, Mitsubishi mempunyai barisan nama ikonik iaitu Pajero, Lancer dan Colt (Mirage untuk sesetengah pasaran lain), dan Colt semestinya sesuai dan akan dipertimbangkan pada model supermini tersebut. “Apabila kami mempunyai perkara yang berkaitan dengan [nama ikonik] ini, kami perlu pastikan personaliti kereta itu sesuai dengannya,” kata Cartier.

    Ini bukan kali pertama perkara ini dinyatakan oleh sumber dalaman Mitsubishi sendiri. Tahun lalu, Naib presiden korporat dan perancang produk Mitsubishi Vincent Cobee berkata legasi hatchback kompak berkenaan bakal diteruskan memandang permintaan global terhadap kereta dalam segmen tersebut yang masih lagi tinggi. Beliau juga membayangkan generasi seterusnya Mirage/Colt berkenaan bakal berkongsi platform dan janakuasa bersama produk dari Renault dan Nissan.

    Mitsubishi Colt Mirage yang diperkenalkan sejak era 80’an terkenal dengan imej garang walaupun bersaiz kecil, malah turut diperkenalkan dalam versi berprestasi tinggi dengan enjin turbo dan juga DOHC MIVEC. Namun untuk model generasi terakhir, Mirage tampil dengan rupa yang terlalu feminin serta hanya dijana enjin NA 1.2 liter yang ditala untuk memberikan penjimatan bahan-api terbaik.

     
     
  • Kerajaan akan memastikan penstrukturan semula tol beri situasi menang-menang kepada semua pihak

    Kerajaan akan memastikan penstrukturan semula tol beri situasi menang-menang kepada semua pihak

    Bukan mudah untuk menghapuskan tol di Malaysia dalam masa terdekat yang menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia. Namun demikian, kerajaan mempunyai perancangan jangka masa panjang demi meringankan beban rakyat jelata. Oleh yang demikian, kerajaan akan memastikan penstrukturan semula tol memberi situasi menang-menang kepada kerajaan, syarikat konsesi dan pengguna dengan tidak membebankan pihak berkenaan.

    Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dalam persidangan Dewan Rakyat semalam, walaupun dasar penswastaan diteruskan sejak 1988, kerajaan kini telah banyak melaksanakan penambahbaikan terhadap terma-terma dalam perjanjian konsesi. Ini adalag bagi memastikan keperluan rakyat dipenuhi dan kepentingan kerajaan dipelihara, berbanding dengan terma-terma perjanjian di bawah legasi kepimpinan terdahulu, laporan Bernama.

    “Adalah tidak berdaya maju untuk kita ambil alih keseluruhan tol, lebih baik kita tengok skim penstrukturan semula sekarang,” katanya.

    Tambahnya lagi, dasar menggalakkan penyertaan pihak swasta masih diteruskan supaya dana kerajaan boleh disalurkan bagi keperluan lain yang lebih mendesak seperti pembinaan hospital, pendidikan dan kebajikan yang melibatkan rakyat secara keseluruhannya.

    Sebaliknya, beliau berkata pengambilalihan atau pemansuhan tol lebuh raya perlu melihat kepada kemampuan kewangan kerajaan serta impak ekonomi, sosial dan kos sara hidup rakyat.

    “Berdasarkan makmal Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) pada tahun 2010, anggaran kos keseluruhan pengambilalihan semua lebuh raya adalah RM383.3 bilion di mana pecahan bagi kos mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya sebanyak RM45.2 bilion dan kos pemansuhan kutipan tol sebanyak RM338.1 bilion. Adalah tidak realistik untuk dimansuhkan tol sekali gus sedangkan bajet pembangunan tahunan sekitar RM48 bilion setahun,” katanya.

     
     
  • Hyundai Kite – buggy konsep boleh masuk dalam air

    Hyundai Kite – buggy konsep boleh masuk dalam air

    Hyundai Motor sekali lagi bekerjasama dengan kolej rekaan yang bepusat di Turin, Itali iaitu Istituto Europeo di Design (IED), dan kali ini hasilnya adalah sebuah kenderaan konsep yang dinamakan sebagai Hyundai Kite. Kerjasama pertama dua syarikat ini adalah pada tahun 2014, melalui model sports PassoCorto.

    Sekiranya anda sudah boleh meneka Hyundai Kite ini adalah sebuah buggy dua tempat duduk melalui penampilannya, ia adalah betul. Tetapi, ia juga menggunakan rekaan yang mempunyai satu kelebihan lain iaitu boleh bertukar untuk menjadi jet ski satu tempat duduk dan boleh dibawa masuk ke dalam air.

    Rekaan ini dihasilkan bersama oleh 15 pelajar rekaan pengangkutan IED dan pusat rekaan Hyundai Eropah, sekaligus memberikan peluang kepada pereka muda untuk mengembangkan daya kreativiti dan mendapat lebih pengetahuan tentang proses rekaan sebenar dalam industri.

    “Ini adalah antara langkah yang menunjukkan komitmen kami kepada benua ini, dengan kerjasama bersama institusi tempatan seperti IED untuk mendapatkan hasil yang berguna. Sebagai contoh, pelajar IED yang mereka PassoCorto sebelum ini iaitu Marco Gianotti sekarang bekerja sebagai pereka bahagian luar, di Hyundai,” kata ketua pereka di pusat rekaan Hyundai Eropah, Thomas Bürkle.

    “Hyundai Kite adalah sebuah kenderaan yang tidak mempunyai pintu, bumbung dan tingkap, dan ia boleh dipandu atas jalan biasa dan atas air. Ia dibina atas casis monocoque, dengan panjang 3,745 mm dan tinggi 1,455 mm. Dalam kedua-dua konfigurasi penggunaan, kenderaan ini akan dipacu oleh elektrik, iaitu empat motor brushless di dalam rodanya dan turbin jet air,” tambah dekan IED, Riccardo Balbo.

     
     
  • BMW X2 kini di Malaysia – sDrive20i M Sport, RM321k

    BMW X2 kini di Malaysia – sDrive20i M Sport, RM321k

    Hari ini, BMW Group Malaysia telah melancarkan kenderaan Premium Compact Sports Activity Coupe yang pertama keluarannya, BMW X2, untuk pasaran tempatan.

    Menurut Pengarah Urusan dan CEO BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, “Model BMW X telah mendapat tempat di Malaysia. Tahun lalu sahaja, kami telah menghantar lebih 4,200 unit BMW X Series, sekaligus menyumbang sebanyak 39.6% daripada jumlah keseluruhan sebanyak 10,618 unit kenderaan BMW yang telah dihantar. Hari ini, kami berbangga dapat mengembangkan lagi portfolio BMW X di sini dengan model pertama bagi BMW X2.”

    Bagi BMW X2 ini, Malaysia menerima varian BMW X2 sDrive20i M Sport yang dijanakan oleh enjin 2.0 liter TwinPower Turbo empat-silinder petrol dengan kuasa 192 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tujahan tork 280 Nm dari 1,350 hingga 4,600 rpm, yang menyalurkan kuasanya ke roda hadapan menerusi transmisi Steptronic Sport dwi-klac tujuh-kelajuan. Ia mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat dan kelajuan maksimum pula mencecah 227 km/j. Manakala penggunaan bahan api kombinasi dianggarkan 5.9 liter setiap 100 km.

    BMW X2 kini di Malaysia – sDrive20i M Sport, RM321k

    Ia juga didatangkan dengan suis Driving Experience Control yang membolehkan pemandu memilih mod COMFORT, ECO PRO dan SPORT mengikut kondisi pemanduan. Selain itu, BMW X2 ini turut dilengkapi Performance Control yang membolehkan kawalan enjin dan intervensi brek sewaktu kenderaan melalui selekoh.

    Imej luaran yang sporty ditampilkan mempertaruhkan dua elemen signifikan iaitu gril ‘kidney’ BMW trapezoid yang dipertingkatkan dan juga kekemasan M Sport X baharu. Di mana grilnya telah diposisikan sedikit ke atas, dan lebih lebar dari atas ke bawah, sementara pakej unik gabungan dengan elemen rekaan daripada barisan BMW M dan X.

    Reka bentuk lampu hadapan BMW X2 juga memperkukuhkan keterampilannya yang sporty. Suluhan lampu yang terdapat di bahagian dalam adalah lebih tajam berbanding lampu yang dipasang di bahagian luar, mewujudkan pemfokusan dan kelebihan dinamik. Selain lampu kabus LED, BMW X2 juga turut disertakan dengan lampu hadapan LED yang menawarkan fungsi pencahayaan untuk pemanduan pada waktu siang.

    BMW X2 kini di Malaysia – sDrive20i M Sport, RM321k

    BMW X2 ini juga mempunyai corengan glos pada permukaannya dan emblem BMW yang terletak pada C-Pillars memberi penghormatan kepada tradisi penciptaan premium sports coupe oleh BMW. Pakej BMW M Aerodynamics juga disertakan dalam Sports Activity Coupe ini dengan trim tayar dan salutan pewarna pelindung pada permukaan kesemua pintu kereta tersebut.

    Bentuk X2 juga pastinya menjadi tarikan, biar pun bahagian belakangnya tidaklah landai seperti X4 dan X6, namun ia memiliki “garisan bumbung dengan gaya-coupe serta grafik tingkap yang menarik”. Malah ia juga nampak pendek dan tujuh sentimeter lebih rendah berbanding X1.

    BMW X2 juga ditampilkan dengan garisan BMW Individual High-Gloss Shadow dengan lambang BMW pada tiang-C. Pakej BMW M Aerodinamik juga didatangkan dengan kekemasan gerbang roda dan lapisan pada pintu yang sama dengan warna badan. Ia turut didatangkan dengan roda aloi M 19-inci, spoiler belakang BMW M, dan dua paip ekzos dengan kekemasan krom berkilat. X2 juga direka dengan BMW M Sport Suspension, yang direndahkan sebanyak 10 mm untuk keselesaan pemanduan.

    BMW X2 kini di Malaysia – sDrive20i M Sport, RM321k

    Di dalamnya, X2 juga berkongsi binaan kejuruteraan seperti papan pemuka X1. Namun ia memang cukup bergaya, dengan penampilkan konsol tengah dan beberapa penampilan premium termasuk jahitan kontras dan material yang digunakan iaitu Sensatec, gentian-mikro dan Alcantara.

    Ia turut menampilkan roda stereng dengan butang pelbagai-fungsi, pendingin hawa automatik dua-zon dengan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang, tempat duduk pemandu dengan larasan elektronik dan fungsi memori, BMW Head-up Display, paparan sesentuh 8.8-inci dengan fungsi Navigation Plus, Radio Media dengan empat-pembesar suara dan dua woofer, Extended Smartphone Connectivity dengan sambungan Bluetooth

    Selain itu, ia juga ditampilkan dengan pencahayaan ambien LED bersama pilihan warna jingga, mint, bronze, biru dan putih. Ia turut menawarkan ciri praktikal untuk kegunaan seharian. Selain daripada Comfort Access System yang membolehkan pintu but dibuka secara otomatik, ruang but kenderaan ini juga luas dan berkapasiti 470 liter dan mampu dipertingkatkan sehingga 1,355 liter dengan pembahagian lipatan 40/20/40 di tempat duduk belakang.

    BMW X2 juga menawarkan pelbagai seleksi sistem Driver Assistance kepada pemandu. Selain kawalan jelajah dengan fungsi brek, terdapat fungsi Park Assistant yang dapat membantu pemandu untuk memarkir secara selari. Park Distance Control dan kamera pandang belakang juga memudahkan pengendalian yang lebih tepat dan selesa.

    Ia didatangkan dengan warna-warna yang baharu dan menawan seperti Galvanic Gold Metallic, Misano Blue Metallic dan Sunset Orange Metallic, manakala ruangan dalaman jentera ini yang serba hitam dipadankan dengan sulaman kelabu. Sports Activity Coupe ini juga boleh didapati dalam warna Black Sapphire Metallic dengan ruangan dalaman berwarna Magma Red yang dikontraskan dengan sulaman berwarna kelabu.

    Ditawarkan pada harga atas jalan RM320,800 (tanpa insurans), ia juga hadir dengan waranti lima-tahun dan tanpa had perbatuan, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Jaminan Tayar.


     
     
  • Jeep tunjukkan tujuh model konsep kerjasama Mopar

    Jeep tunjukkan tujuh model konsep kerjasama Mopar

    Dalam satu acara khas untuk penggemar kenderaan pacuan empat roda Utah, Amerika Syarikat, Jeep telah mempertontonkan tujuh model konsep istimewa demi menunjukkan kepada penggemarnya idea-idea serta teknologi baru yang sedang diusahakan oleh syarikat itu.

    Model pertama yang menggunakan warna perak berserta beberapa bahagian kemasan warna biru muda adalah Jeep 4Speed Concept, dikuasakan oleh enjin I-4 2.0 liter turbo bersama transmisi automatik lapan kelajuan. Keistimewaan model ini adalah ia dibina supaya menjadi ringan, dengan penggunaan gentian karbon pada bahagian hud, lengkuk roda serta ruang simpanan belakang.

    Hasil daripada badan yang ringan, Jeep 4Speed ini secara sendiri telah menjadi dua inci lebih tinggi daripada Wrangler biasa dan panjang keseluruhannya juga dipendekkan sebanyak 22 inci. Tidak mengabaikan prestasi, model ini dilengkapi gandar depan dan belakang Dana 44, rim monoblock 18 inci dan tayar BF Goodrich Mud Terrain 35 inci.

    Jeep Sandstorm yang berwarna kuning pekat pula diterapkan dengan inspirasi daripada jentera lumba Baja termasuk bampar yang lebih tinggi, rock rail yang diubah suai, compressor angin atas kenderaan, tempat isi minyak gaya lumba serta lampu tambahan KC Carbon.

    Model ini dikuasakan oleh enjin V8 6.4 liter oleh Mopar bersama padanan transmisi manual enam kelajuan, dan turut dilengkapi dengan suspensi heavy-duty four-link di hadapan, trailing arm four-link di belakang, jarak pergerakan suspensi yang boleh mencapai 18 inci, rim 17 inci dan tayar BF Goodrich Krawler 39.5 inci.

    Beberapa model yang lain juga diubah suai dengan ciri tersendiri, dan kebanyakan kelengkapan yang digunakan padanya boleh didapati dalam katalog aksesori Mopar. Namun, satu yang menarik, Jeep turut membawa sebuah model yang menggunakan badan besi asal dari tahun 1965 iaitu Wagoneer Roadtrip, namun bahagian casis serta enjinnya menggunakan teknologi moden sekarang.

     
     
  • Toyota dedahkan sistem hibrid dengan bahan-api fleksible pertama di dunia, diuji pada badan Prius

    Toyota dedahkan sistem hibrid dengan bahan-api fleksible pertama di dunia, diuji pada badan Prius

    Toyota memperkenalkan unit janakuasa prototaip pertama di dunia yang beroperasi dengan sistem hibrid bersama bahan-api fleksibel (hybrid FFV) di Sao Paulo, Brazil yang diharap akan digunakan secara komersil pada masa akan datang. Unit janakuasa prototaip tersebut diuji dengan memadankannya pada Toyota Prius, dan akan diuji pada dunia sebenar di Brazil untuk menilai tahap reliabiliti, ketahanan dan juga prestasinya.

    Menurut Toyota, unit janakuasa hybrid FFV ini berpotensi untuk mengurangkan pencemaran CO2 dengan menggunakan kelebihan sistem hibrid (dengan kecekapan tenaga yang tinggi, tetapi dengan tahap pencemaran rendah) dan juga kapasiti ethanol (bahan api yang diekstrak dari pokok tanaman, 100% boleh diperbaharui) untuk menyerap kembali CO2. Dengan operasi menggunakan sistem bahan-api fleksible, unit janakuasa berkenaan masih lagi boleh dijana oleh petrol sekiranya ethanol sukar didapati.

    Penyelidikan awalan menunujukkan hybrid FFV menawarkan prestasi terhadap alam sekitar yang lebih baik dari FFV biasa. Ini adalah kerana pencemaran CO2 dapat dikurangkan bermula dari proses pengekstrakan bahan mentah, kemudian pengagihannya ke stesen minyak, hingga letupan yang berlaku di dalam kebuk pembakaran kereta tersebut. Prestasi berkenaan bertambah baik sekiranya menggunakan ethanol E100 yang dihasilkan dari pokok tebu.

    Toyota dedahkan sistem hibrid dengan bahan-api fleksible pertama di dunia, diuji pada badan Prius

    Pembangunan sistem hibrid FFV ini merupakan salah satu usaha Toyota bagi mencapai sasaran “Environmental Challenge 2050” yang diumumkan sebelum ini, yang dirangka untuk mengurangkan pencemaran CO2 dari kenderaan sehingga 90% – berbanding tahap pada tahun 2010, pada 2050. Antara objektif lain dalam cabaran tersebut adalah melenyapkan terus pencemaran CO2 dari kitaran hayat kenderaan, termasuk bahan mentah, komponen dan pembuatan.

    “Saya sangat berbangga dengan jurutera Toyota Brazil yang berkerjasama rapat dengan jurutera kami di Tokyo untuk membangunkan kenderaan hibrid paling bersih di dunia yang menggunaka ethanol untuk pelanggan kami di Brazil. Ciptaan ini menunjukkan halatuju kami dalam menyedikan masyarakat mobiliti baharu,” kata Steve St. Angelo, pegawai urusan senior Toyota Motor serta CEO Toyota Latin America Region and Caribbean, dan juga pengerusi Toyota do Brasil.

     
     
  • Data jualan kenderaan M’sia Februari 2018 ikut jenama

    Data jualan kenderaan M’sia Februari 2018 ikut jenama

    Data jualan kenderaan di Malaysia untuk bulan Februari baru sahaja dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), dan di sini kami ada pecahannya mengikut jenama. Secara keseluruhannya, 40,578 buah kenderaan dijual pada bulan Februari 2018, dan ini bersamaan dengan penurunan sebanyak 9% berbanding bulan Januari 2018.

    Daripada jumlah keseluruhan yang menurun ini, hampir semua jenama juga mencatat jualan yang berkurangan daripada bulan Januari. Mengambil contoh 10 jenama yang mencatat jualan tertinggi bagi bulan Februari ini, hanya Toyota sahaja yang menunjukkan peningkatan 11.1%, dengan penjualan sebanyak 3,961 unit.

    Berada di tempat pertama bagi jumlah jualan kenderaan bulan Februari 2018 adalah Perodua dengan catatan 17,137 unit, tetapi masih menurun sebanyak 3.1% berbanding bulan Januari. Ia kemudiannya diikuti Honda dengan 6,998 unit (-14.0%), Toyota, Proton 3,857 unit (-19.4%) dan Nissan 1,302 unit (-35.2%).

    Mercedes-Benz walaupun adalah jenama kenderaan mewah berjaya menduduki tempat keenam dengan jualan 1,212 unit (-0.4%) manakala pesaing terdekatnya, BMW berada selang satu tangga di bawah dengan jualan 815 unit kenderaan (-3.0%). Di antara keduanya terdapat Mazda yang berjaya menjual 1,014 buah kenderaan (-22.0%).

    Selain Toyota, jenama lain yang menunjukkan peningkatan jualan adalah Ford sebanyak 9.1% (468 unit), Kia 19.9% (362 unit), Lexus 110% (42 unit), Porsche 28.1% (41 unit) dan Audi 33.3% (20 unit).

     
     
  • Maserati Ghibli facelift 2018 kini M’sia – dari RM619k

    Maserati Ghibli <em>facelift</em> 2018 kini M’sia – dari RM619k

    Naza Italia kini secara rasminya memperkenalkan Maserati Ghibli dan Ghibli S 2018 untuk pasaran Malaysia. Model M157 facelift itu, yang diperkenalkan pertama kali tahun lalu, di jual untuk pasaran tempatan dalam beberapa varian – standard, GranSport dan GranLusso.

    Versi facelift ini memberikan penampilan baru bagi model berkenaan, dengan gril yang lebih besar dan profile “sharknose” yang diwarisi dari Alfieri konsep. Varian paling asas Ghibli serta Ghibli GranLusso berkongsi penampilan muka depan yang sama, sementara varian GranSport menampilkan rekaan bampar yang berbeza.

    Rekaan lampu utama walaupun nampak sama, ia sebenarnya menggunakan lampu LED adaptif baru yang melengkapi varian GranLusso dan GranSport (model standard menggunakan unit bi-xenon). Kit badan sisinya kini menerima warna yang sama dengan badan, dan lencana baru pada fender hadapan membezakan varian masing-masing. Di belakang, diffuser dengan rekaan lebih menonjol dalam warna badan turut disertakan.

    Maserati Ghibli <em>facelift</em> 2018 kini M’sia – dari RM619k

    Elemen penggayaan luaran GranLusso termasik kemasan krom yang digunakan pada bampar depan, lencana khas pada bahagian sayap depan, kit sisi dalam warna badan, brek kaliper warna perak dan rim aloi 20-inci Urano Diamond.

    Di dalam, perincian menggunakan Ermenegildo Zegna Silk – yang digabung dengan kemasan kayu Ebano – menghiasi bahagian tempat duduk, panel pintu, garis bumbung dan siling. Ciri lain termasuk stereng dari kayu eboni balutan kulit, kerusi dengan larasan 12-cara dan lain-lain.

    Bagi GranSport, perincian luaran terdiri daripada kemasan hitam berkilat pada bampar depan, lencana khas pada sayap depan, kaliper brek warna merah dan rim aloi 21-inci Titano Anthracite. Di dalam, ia dilengkapi dengan tempat duduk larasan 12-cara dan balutan kulit sepenuhnya, stereng sport dengan paddle shift dan pedal Inox sebagai standard.

    Ghibli standard masih gunakan enjin yang sama; 3.0 liter twin-turbo V6 yang digandingkan dengan transmisi ZF HP70 lapan-kelajuan automatik. Ia menjana 350 PS pada 5,500 rpm dan 500 Nm pada 4,500 rpm. Bacaan 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat dan laju maksimum ialah 267 km/j.

    Ghibli S bagaimanapun menerima prestasi enjin yang dipertingkat. Outputnya kini ialah 430 PS pada 5,750 rpm dan 580 Nm tork pada 2,250 hingga 4,000 rpm – 20 hp dan 30 Nm lebih kuasa berbanding versi 2017. 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat (berbanidng 5 saat sebelumnya) dan laju maksimum ialah 286 km/j (sebelum ini 285 km/j).

    Bagi harga pula, model Ghibli bermula dari RM618,000 (termasuk cukai dan duti) bagi model standardnya. Sementara bagi Ghibli GranLusso dan GranSport pada harga RM668,800. Bagi Ghibli S pula, harganya bermula dari RM718,800 untuk yang paling asas, sementara varian GranSport dan GranLusso-nya dijual pada harga RM768,800.

    Model ini datang dengan jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan serta program servis percuma lima-tahun/100,000 km/j (termasuk pakej Maserati Premium Service Plus tiga-tahun/60,000km/j).

    Maserati Ghibli GranLusso 2018

    Maserati Ghibli GranSport 2018

     
     
  • SPYSHOT: Mitsubishi Triton facelift, dengan muka baru

    SPYSHOT: Mitsubishi Triton facelift, dengan muka baru

    Mitsubishi Triton facelift telah ditemui sedang diuji di Tonsley, Australia Selatan dan melalui gambar ini, walaupun masih menggunakan pelekat camouflage, ia didapati menggunakan muka baru.

    Perbezaan muka hadapan baru ini agak jelas berbanding rupa Triton sekarang, yang pertama kali ditampilkan pada bulan November 2014 dulu di Thailand. Antara perubahannya adalah lampu utama dan gril yang lebih nipis, dan di bawah lampu tersebut terdapat pula lampu kabus di hujung bampar, dengan rekaan menegak.

    Elemen yang dimasukkan pada muka baru ini sebenarnya adalah mengikut karekter rekaan Dynamic Shield baru Mitsubishi, yang sudah digunakan pada crossover Eclipse Cross dan juga MPV Xpander. Ia juga adalah evolusi kepada rekaan yang digunakan pada Pajero Sport sekarang dengan tambahan lampu kabus yang besar.

    Pada Xpander, lampu yang terletak di penjuru bampar ini digunakan sebagai lampu utama, dengan bentuk yang lebih besar dan berada atas pada lampu penunjuk arah, tetapi pada Eclipse Cross, ia lebih kecil dan dijadikan sebagai lampu kabus biasa. Triton nanti mungkin mengikut seperti Eclipse Cross.

    Bahagian lain trak ini masih kelihatan sama seperti Triton yang ada sekarang. Dari tepi, garis badannya juga masih sama dan lengkuk J yang sudah menjadi tanda unik yang membahagikan bahagian tempat duduk dan ruang letak barang masih lagi ada.

    GALERI: Mitsubishi Triton Athelete sekarang


    GALERI: Mitsubishi Eclipse Cross

    GALERI: Mitsubishi Xpander

     
     
  • SUV pertama Lotus akan guna modul dari Geely – CEO

    SUV pertama Lotus akan guna modul dari Geely – CEO

    Perkembangan Lotus beberapa tahun kebelakangan ini agak positif. Di bawah seliaan CEO Jean-Marc Gale yang mula memegang jawatan itu sejak 2014, jenama pengeluar kenderaab British ini telah berjaya mencatatkan keuntungan semula. Bulan lalu, Lotus mengesahkan akan keluar dengan dua model kereta sports baru dan sebuah SUV – barisan produk pertama yang akan diperkenalkan di bawah Geely.

    SUV berkenaan akan menjadi model pertama seumpamanya dihasilkan oleh Lotus, dan akan meminjam sebahagian besar aspek pembangunannya daripada Geely. “Anggaplah ia sebagai modul-modul dari Geely. Kami akan menggunakan gabungan modul-modul sedia ada itu untuk menghasilkan sebuah crossover yang punyai nilai estetika dan prestasi yang baik,” jelas Gales sebagai maklum balas kepada Automotive News Europe.

    Dari petunjuk Gales, model SUV Lotus itu nanti adalah bersaiz sederhana atau lebih besar daripada itu. “Porsche Macan dan Cayenne merupakan segmen yang menarik diperingkat global. Saya tidak akan memperkenalkan model SUV pertama Lotus dalam segmen kompak,” ujarnya sekaligus memberikan pembayang.

    SUV pertama Lotus akan guna modul dari Geely – CEO

    Lotus mensasarkan jualan sebanyak 3,000 unit kenderaannya setiap tahun, dan dijangka dapat dicapai menjelang 2021 atau 2022 dengan pengenalan dua kereta sport baru itu. “Tahun lalu kami menjual sebanyak 1,600 unit, meningkat daripada 1,416 unit pada tahun sebelumnya. Kami mensasarkan jualan lima angka dengan pengenalan SUV baru ini,” ujar Gales.

    Beliau menambah, pendapatan Lotus meningkat sebanyak 24% kepada lebih 114 juta Euro (RM551 juta), dan menjangkakan syarikat itu dapat menggandakan angka itu. Bagi pemasangan SUV berkenaan, China mungkin menjadi lokasi pilihan memandangkan saiz pasaran automotif di sana merupakan yang terbesar di dunia. Bagi model kereta sport pula, ia akan kekal dikeluarkan di UK.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024