Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mazda kini jadikan Toyota Camry sebagai tanda aras, bukan lagi model-model BMW yang semakin bosan

    Mazda kini jadikan Toyota Camry sebagai tanda aras, bukan lagi model-model BMW yang semakin bosan

    Jika sebelum ini Mazda gemar untuk menjadikan model-model dari BMW sebagai tanda aras menghasilkan produk-produk mereka, namun kini tidak lagi kerana kereta-kereta dari jenama Jerman berkenaan dikatakan tidak lagi seronok untuk dipandu seperti dahulu. Perkara ini diceritakan oleh jurutera Mazda sendiri kepada portal AS, AutoGuide.com.

    Menurut jurutera berkenaan, sebelum ini BMW membangunkan kereta-kereta yang dibina sepenuhnya dengan falsafah “Ultimate Driving Machine” dan menghasilkan jentera yang seronok untuk dipandu serta fokus kepada kehendak pemandu – ia jelas seiring dengan falsafah Mazda sendiri yang menghasilkan kereta-kereta berteraskan dinamik pemanduan dan mengambil berat tentang pengendaliannya.

    Namun untuk model-model terbaharu, Mazda mendakwa BMW tidak lagi mengambil berat terhadap keseronokan memandu dan jenama tersebut kini dikritik bagaimana pendekatan mereka terhadap perasaan pada stereng, enjin dan bunyi ekzos serta berat keseluruhannnya. Kesimpulannya, kereta-kereta BMW terkini diberikan karekter tiruan yang dibuat-buat dan bukan lagi yang sebenar, menjadikan ia tidak lagi seronok untuk dipandu.

    Jadi jika BMW tidak lagi dijadikan sebagai kayu ukur, jenama mana pula yang dijadikan tanda aras untuk penghasilan model-model baharu Mazda? Jurutera berkenaan menjelaskan, syarikatnya kini melihat Toyota Camry sebagai model yang boleh dibuat untuk perbandingan untuk membangunkan model-model baharunya.

    Menurutnya, Camry generasi baharu yang dibina berdasarkan Toyota New Global Architecture (TNGA) berkenaan tidak dapat dinafikan kini mempunyai karekter pengendalian yang lebih tajam dan lebih menyeronokkan, tidak sama dengan model-model bosan dari generasi sebelumnya. “Jika sebelum ini mereka dapat menjual Camry dengan baik walaupun sangat bosan untuk dipandu, sekarang mereka mempunyai kereta dengan pengendalian yang baik di tangan mereka!” jelasnya.

     
     
  • Mercedes-AMG C43 dipasang di Thai, harga RM513k – adakah Malaysia bakal hasilkan AMG versi CKD?

    Mercedes-AMG C43 dipasang di Thai, harga RM513k – adakah Malaysia bakal hasilkan AMG versi CKD?

    Mercedes-Benz telah memperkenalkan versi pemasangan tempatan (CKD) bagi model Mercedes-AMG C 43 Coupé di Thailand, menurut laporan Bangkok Post. Kereta mewah dua-pintu ini merupakan model Mercedes berorientasikan prestasi pertama yang dipasang di negara berkenaan, menggantikan model import sepenuhnya (CBU, dari Jerman) yang dilancarkan tahun lalu, sekaligus menerima harga yang lebih signifikan.

    Bagaimana harganya dikatakan signifikan? Harganya telah menjunam dari 5.19 juta baht (RM642,500) ke 4.14 juta baht (RM512,500). Berbanding model CBU yang dijual di sini pada harga RM548,888 tanpa insurans, dengan versi sedan pula RM499,888. Walau bagaimana pun, ia masih jauh lebih murah berbanding C 63 yang berharga 10 juta baht (RM1.2 juta).

    Walau bagaimana pun, bahagian mekanikal model ini tidak berubah, dengan C 43 masih mengekalkan enjin M276 3.0 liter pengecas turbo-berkembar V6 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 362 hp dari 5,500 ke 6,000 rpm dan tork 520 Nm antara 2,000 dan 4,200 rpm. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan dan pacuan semua-roda 4Matic.

    Adakah Malaysia bakal mengikut jejak langkah Thailand dalam memasang barisan AMG siri-43 (tidak lama lagi menjadi siri-53)? Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun memasang model C- dan E-Class sedan di kilang pemasangan di Pekan, Pahang, begitu juga dengan GLC crossover – jadi untuk model 43 pastinya tidaklah menyukarkan.

    Mercedes-Benz AMG C43 4Matic Coupe di Malaysia

     
     
  • Volvo perkenal XC40 T3 -Drive-E 1.5 liter turbo, tiga-silinder 156 hp/265 Nm- bersama pakej Inscription

    Volvo perkenal XC40 T3 -Drive-E 1.5 liter turbo, tiga-silinder 156 hp/265 Nm- bersama pakej Inscription

    New Volvo XC40 – exterior

    Setelah beroperasi selama 91 tahun, buat pertama kalinya Volvo memperkenalkan sebuah enjin kompak yang beropersi dengan hanya tiga-silinder. Enjin petrol Drive-E T3 1.5 liter berkenaan akan menjana SUV kompak baharu Volvo XC40, yang akan dijual bersama varian sedia ada lain dikuasakan enjin petrol 2.0 liter empat silinder Turbo T4 dan juga diesel 2.0 liter D3.

    Enjin baharu 1.5 liter berkenaan dibangunkan sendiri oleh Volvo berdasarkan rekaan modular yang sama seperti enjin Drive-E empat-silinder. Ia menampilkan penggunaan material aluminium untuk blok dan juga kepala silinder serta diberikan sistem suntikan bahan api terus.

    Walaupun kecil, unit janakuasa baharu ini mampu menghasilkan 156 hp pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 265 Nm bermula 1,850 hingga 3,850 rpm. Untuk permulaan, ia akan digandingkan dengan kotak gear M76 R6.2 manual enam-kelajuan (sama seperti unit pada V40 sedia ada), namun kotak gear automatik lapan-kelajuan automatik akan ditawarkan pada tahun hadapan.

    Volvo perkenal XC40 T3 -Drive-E 1.5 liter turbo, tiga-silinder 156 hp/265 Nm- bersama pakej Inscription

    Drive-E 4 cylinder Diesel Engine – D3/D2 Front

    Volvo XC40 yang digerakkan oleh enjin T3 ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/h dalam masa 9.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 200 km/j. Menerusi kaedah baharu ujian Worldwide Harmonized Light vehicles Test Procedure (WLTP), model T3 ini menerima penarafan penggunaan bahan api gabungan 7.1 liter untuk setiap perjalanan 100 km.

    Menurut Volvo, enjin T3 ini direka bagi membolehkan ia digabungkan bersama sistem hibrid plug-in Twin Engine, seperti yang diprebiu sebagai unit janakuasa T5 Twin Engine sebelum ini.

    Volvo turut mendedahkan bahawa XC40 versi hibrid dan juga janaan elektrik sepenuhnya bakal diperkenal tidak lama lagi. Ia sudah dijangka kerana asas Compact Modular Architecture (CMA) sememangnya direka bagi membolehkan sistem hibrid, hibrid plug-in mahupun sistem elektrik sepenuhnya dipadankan dengan mudah, selain dari unit janakuasa konvesional petrol dan diesel.

    Volvo perkenal XC40 T3 -Drive-E 1.5 liter turbo, tiga-silinder 156 hp/265 Nm- bersama pakej Inscription

    New Volvo XC40 – exterior

    Sebagai perbandingan versi T4 2.0 liter turbo mampu menghasilkan 190 hp pada takat 4,700 rpm dan tork maksima 300 Nm 1,400 rpm hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear AW TG-81SC automatik lapan-kelajuan automatik. Model ini diberikan opsyen sama ada untuk menggunakan sistem pacuan roda hadapan sahaja atau hadir dengan sistem pacuan semua roda.

    Kedua-dua versi tersebut mampu mencapai kelajuan 210 km/j, namun versi pacuan hadapan mampu memecut dari 0-100 km/j lebih cepat iaitu 8.4 saat, berbanding model AWD. Begitu juga dengan ekonomi penggunaan bahan api, dimana model FWD mencatatkan 7.7 l/100 km berbanding 8.0 l/100km pada model AWD.

    Untuk model diesel pula, enjin D3 berkenaan mampu menjana kuasa 150 hp pada takat 3,750 rpm dan tork maksima 320 Nm bermula 1,750 hingga 3,000 rpm. Ia juga digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan yang sama dengan T4 serta pilihan sama ada menggunakan pacuan hadapan atau AWD. Versi diesel ini turut ditawarkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual M76 R7.0 untuk pacuan hadapan atau M66F (juga manual enam-kelajuan) bagi yang memilih sistem AWD.

    Selain dari penawaran unit janakuasa baharu ini, Volvo turut mengumumkan kemasan Inscription untuk XC40, meluaskan lagi pilihan selain pakej Momentum dan R-Design sedia ada. Pakej kemasan Inscription berkenaan terdiri daripada rekaan unik pada skid plate, kemasan tingkap sisi, elemen pada gril hadapan dan juga warna badan istimewa khas untuknya.

    Bahagian kabin pula, kemasan Inscription ini akan menampilkan tombol gear kristal serta panel-panel Driftwood Décor seperti yang ditampilkan buat pertama kali pada XC60. Pelbagai pilihan rim aloi turut disediakan dengan saiz bermula 18 hingga 20-inci.

    Volvo turut menawarkan pakej aksesori lebih sporty untuk XC40 berkenaan yang terdiri dari skid plate kemasan brushed stainless steel, dua tip ekzos bina-dalam serta rim aloi berdiameter 21-inci kemasan Black Diamond Cut.

     
     
  • Dua lagi maut akibat kemalangan di Plaza Tol Batu 3

    Dua lagi maut akibat kemalangan di Plaza Tol Batu 3

    Satu lagi nahas berlaku di Plaza Tol Batu Tiga awal pagi tadi yang mengakibatkan dua nyawa terkorban. Ini merupakan nahas kedua yang berlaku di lokasi yang sama, dengan kejadian pertama berlaku pada 15 Januari lalu selepas plaza tol terbabit ditamatkan operasinya.

    Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata kereta yang dinaiki sepasang sahabat datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Shah Alam dipercayai dipandu laju dan hilang kawalan lalu merempuh tembok tol dalam kejadian 12.55 pagi tadi.

    Pengguna Lebuhraya Persekutuan sebelum ini telah mendesak pihak yang bertanggungjawab supaya segera merobohkan plaza toll Batu Tiga dan Sungai Rasau. Kedua-dua plaza tol berkenaan yang tamat beroperasi sejak Januari tahun ini, menerusi Bajet 2018 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Syarikat konsesi lebuhraya PLUS telah mengumumkan kerja-kerja merobohkan kedua-dua plaza tol berkenaan akan selesai hujung Mac ini.

    Tinjauan kami sebentar tadi mendapati, pondok tol berkenaan telah pun dirobohkan namun tembok dan struktur di kedua-dua plaza tersebut masih dalam peringkat dirobohkah. Justeru, kami menasihati para pemandu yang melalui laluan tersebut agar lebih berhati-hati dalam pemanduan dan jangan memandu laju ketika menghampiri lorong tol berkenaan. Amalkan pemanduan selamat!

     
     
  • Apa isu fairing MotoGP? Pengarah teknikal jelaskan

    Apa isu fairing MotoGP? Pengarah teknikal jelaskan

    Beberapa tahun lalu, Ducati telah memulakan penggunaan ‘sayap’ pada bahagian fairing hadapan jentera MotoGP mereka, yang dikatakan dapat membantu memberi daya tolakan ke bawah (downforce) pada motosikal sekaligus memberikan pecutan serta stabiliti yang lebih cekap.

    Walaubagaimanapun, penggunaan sayap ini telah mencetuskan aduan daripada pelumba lain, menyebabkan pihak pengurusan MotoGP mengkaji semula penggunaannya. Isu yang dibangkitkan adalah keselamatan apabila terkena pelumba lain dan angin daripada sayap tersebut dapat menyebabkan ketidak stabilan kepada jentera lain yang memotong atau duduk di belakang.

    Tahun demi tahun, sehinggalah sesi ujian sebelum musim 2018 bermula, hampir semua pasukan mempunyai sayap aerodinamik pada fairing hadapan ini, tetapi jika anda perhatikan lebih teliti, ia sebenarnya berbeza dengan sayap yang pertama kali digunakan oleh Ducati dulu, dan ia perlu mematuhi peraturan tertentu.

    Berkata berkenaan perkara ini, pengarah teknikal MotoGP, Danny Aldridge menjelaskan: “Perkara penting bagi kami adalah keselamatan. Jadi, ia perlulah mematuhi kriteria di mana bucunya bulat, berada dalam ukuran 600 mm lebar dan kami juga mempunyai peraturan ketat berkenaan saiznya, di mana ia tidak boleh berbentuk sayap. Masih banyak perbalahan mengenai perkara ini tetapi kami memanggilnya sebagai sidepod.”

    “Anda boleh lihat ia mempunyai bahagian atas, bahagian tepi dan bahagian bawah. Jadi, secara teknikalnya, ia tertutup – dan jauh lebih selamat berbanding sayap yang pertama kali digunakan oleh Ducati dulu,” kata Aldridge.

    Walaupun begitu, Aldridge ada menambah bahawa apa yang dapat dilihat oleh orang ramai semasa sesi ujian MotoGP yang berlangsung sebelum ini tidak semestinya adalah sayap yang akan digunakan semasa perlumbaan. Yamaha contohnya, mencuba dua rekaan sayap, di mana satu yang mengikut peraturan, dan satu lagi tidak. Ini belum lagi perlumbaan sebenar, jadi mereka bebas menggunakan apa sahaja yang mahu diuji.

    Apa isu fairing MotoGP? Pengarah teknikal jelaskan

    “Bila tiba hari perlumbaan di Qatar nanti, fairing rasmi yang dibenarkan barulah boleh dilihat. Sudah tentu, sebelum itu, mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada kami kerana tidak mungkin mereka mahu memulakan perlumbaan dengan fairing yang tidak dibenarkan,” tambah Aldridge.

    “Berkenaan fairing ini, memang jelas ia adalah satu bahagian motosikal yang sangat penting, dan kami juga perlu faham apa hadnya dan apa yang dibenarkan. Seperti yang selalu saya katakan, perkara penting dalam fikiran pihak kami adalah keselamatan, tetapi kami juga perlu membenarkan pengeluar untuk membangunkan dan mereka motosikal yang pantas dan selamat seboleh mungkin,” jelas Aldridge lagi.

     
     
  • Traxxas lancar replika kawalan jauh Ford Bronco 1979

    Nampak macam real? Tidak, imej dan video yang anda lihat ini hanyalah model replika kawalan jauh. Model RC dengan bentuk badan replika Ford Bronco Ranger XLT 1979 ini sebenarnya adalah produk yang baharu sahaja didedahkan oleh pembuat kereta kawalan jauh off-road terkenal, Traxxas.

    Ia bukan sahaja kelihatan seperti Bronco, malah sistem mekanikal model baharu keluaran Traxxas ini juga memberikan prestasi dan keseronokan seperti sebuah SUV 4X4 sebenar. Ia diasaskan dari platform ladder frame logam TRX-4 dengan panjang keseluruhan 50.2 cm dan berat ditimbang tidak sampai tiga kilogram.

    SUV kawalan jauh ini juga direka bagi mendapatkan approach angle 63.82 darjah serta departure angle 43.22 darjah, bagi membolehkan ia merentasi apa sahaja halangan off-road.

    Kuasa motor elektrik SUV replika ini disampaikan kepada keempat-empat roda dengan sistem 4WD menggunakan propeller shaft yang hampir sama dengan kenderaan sebenar. Kotak gearnya mempunyai dua nisbah gear iaitu high dan low yang boleh ditukar menggunakan alat kawalan jauh. Unit differential hadapan dan belakang juga mempunyai fungsi ‘full lock’ bagi membolehkan kesemua roda mendapat tujahan tork sekata sekiranya tersekat dilaluan sukar.

    Apa yang lebih menarik, Bronco kecil ini turut hadir dengan lima mod pemanduan berbeza iaitu Sport, Race, Trailing, Trail dan Crawl, serta turut diberikan fungsi “Hill Hold” kawalan elektronik untuk menuruni bukit licin dan curam yang berfungsi seperti seakan Hill Descent Control seperti SUV sebenar.

    Sebagai produk yang menerima lesen rasmi dari Ford Motor Company, replika Bronco ini menerima perincian yang diperhalusi. Ia diberikan bampar hadapan dan belakang krom, rim dan tayar besar serta grafik badan retro bagi menyerlahkannya seperti model sebenar Bronco keluaran tahun 1979.

    Menurut Traxxas, Bronco ini akan masuk kepasaran Amerika Syarikat akhir bulan ini dengan harga USD479.99 (sekitar RM1.8k mengikut tukaran semasa). Mana nak dapat? Kalau minat, mesti ada jalan kan?

     
     
  • Honda HR-V 2018 datang dengan kit Mugen, Modulo

    Honda HR-V 2018 datang dengan kit Mugen, Modulo

    Jadi, macam mana, dah tengok penampilan terbaru Honda HR-V facelift 2018? Anda rasa cukup menarik? Kalau masih belum memadai, dan nak imej yang lagi ranggi dan sporty, Honda turut memperkenalkan dua kit badan pilihan sebagai iringan – kit penggayaan Modula dan Mugen.

    Kit Modulo seperti yang dilihat pada unit Lunar Silver ini datang dengan beberapa perincian yang berbeza, misalnya kit bahagian depan, sisi dan belakangnya. Pakej ini boleh dimiliki secara berasingan, dengan harga sekitar 79,488 yen (RM2,905).

    Jika ada pelanggan yang mahu lebih lagi, mereka boleh memilih skid plate sebagai tambahan kepada kit badan berkenaan, serta mud guard yang diwarnakan pada harga 15,120 yen (RM553) dengan tema yang sama. Selain itu, Honda turut menawarkan spoiler yang lebih besar dan roof rail pada harga 27,000 yen (RM987) setiap satu.

    Honda HR-V 2018 datang dengan kit Mugen, Modulo

    Jika ingin lebih elemen berkilau, pelanggan boleh memilih perumah lampu kabus krom dengan DRL LED kedua (54,000 yen atau RM1,974), kemasan pada fender (21,600 yen atau RM789) dan rangkaian rim aloi dengan saiz antara 16 hingga 18 inci. Rim berkenaan (tanpa tayar) dijual pada harga bermula 69,120 yen (RM2,526) bagi saiz 16 inci hinggalah 207,360 yen (RM7,578) bagi saiz 18 inci paling tinggi.

    Selain itu, kit Mugen Infinite turut ditawarkan bagi Vezel RS – imejnya juga lebih sporty dan garang berbanding kit Modulo. Ia terdiri daripada kit badan depan, sisi dan belakang, spoiler belakang berkembar, visor pintu aerodinamik dan set rim aloi dwi-tona MD5. Jika mengambil kira set lengkap, kos naik tarafnya adalah sekitar 369,360 yen (RM13,500). Kit ini hanya akan mula beredar pada bulan Mei 2018.

    Bagi set Mugen, tak hanya naik taraf kosmetik ditawarkan. Ada juga beberapa kit untuk memberikan prestasi yang lebih baik – penapis udara prestasi tinggi (16,200 yen atau RM592), sistem ekzos sport (102,600 yen atau RM3,750), minyak enjin Motul 0W20 berkelikatan rendah (3,024 yen atau RM111) dan tin tadahan minyak prestasi tinggi (2,808 yen atau RM102).

    Kedua-dua kit Mugen dan Modulo turut menawarkan naik taraf suspensi, tetapi versi Mugen akan mengurangkan ketinggian kenderaan sebanyak 25 mm. Mugen juga turut menawarkan pad brek prestasi tinggi (19,440 yen or RM711) dan minyak brek prestasi tinggi (3,240 yen or RM118).

    Bagaimanapun, bagi kit Mugen, tak banyak pilihan untuk ruang dalaman. Yang ada cuma perumah cermin pandang belakang gentian karbon (11,880 yen atau RM431), tombol gear gentian karbon dan butang Start/Stop khas Mugen (masing-masing 19,440 yen atau RM711). Tak lupa juga karpet Mugen (24,840 yen atau RM907).

    Bagi Modulo pula, senarai kitnya lebih banyak. Ini termasuk pencahayaan pada dasar pintu, pembalut kulit bagi tempat duduk dan tombol gear, penyusun kargo, sistem infotainmen Gathers dengan sistem tunjuk arah serta sistem bunyi talaan Diatone Sound. Bagi anda, mana satu yang lebih menarik, kit Mugen atau Modulo?

    Honda HR-V facelift 2018 Mugen

    Honda HR-V facelift 2018 Modulo

     
     
  • Honda HR-V facelift 2018 muncul di Jepun – Honda Sensing standard untuk semua varian, RM76k-RM103k

    Honda HR-V facelift 2018 muncul di Jepun – Honda Sensing standard untuk semua varian, RM76k-RM103k

    Setelah gambarnya bocor, serta berberapa imej awalannya disiarkan oleh Honda sendiri, SUV crossover Vezel (dikenali sebagai HR-V di Malaysia) versi facelift 2018 kini secara rasmi dilancarkan di Jepun.

    Seperti yang anda boleh lihat pada gambar, HR-V versi kemaskini ini menerima muka yang lebih segar yang lebih menyerupai model-model generasi baharu lain seperti Civic dan Accord. Gril baharu SUV ini diberikan bar krom yang lebih tebal, diapit dengan sepasang lampu hadapan reflektor LED baharu.

    Gril pada bampar hadapan juga menampilkan elemen sarang lebah baharu. Manakala pada bahagian sisi, Vezel kini diberikan lampu nyalaan siang yang direka melintang – unit LED untuk varian tinggi, manakala lampu reflektor halogen untuk varian lebih rendah.

    Honda HR-V facelift 2018 muncul di Jepun – Honda Sensing standard untuk semua varian, RM76k-RM103k

    Bagi pasaran Jepun, Vezel kini menerima pakej bantuan pemanduan Honda Sensing sebagai ciri standard untuk semua variannya. Pakej berkenaan terdiri dari sistem seperti Cruise Control adaptif, sistem amaran perlanggaran hadapan (Forward Collision Warning System atau FCW), sistem brek menghindari perlanggaran (Collision Mitigation Braking System atau CMBS), bantuan kekal lorong (Lane Keeping Assist System atau LKAS), sistem amaran pertukaran lorong (Road Depature Mitigation System atau RDM) dan juga amaran keluar lorong (Lane Departure Warning atau LDW).

    Tiada perubahan diberikan pada bahagian belakang, namun pada gambar yang disiarkan set lampu belakang SUV segmen-B ini nampaknya tampil lebih gelap dari sebelumnya. Untuk model JDM, model dengan lampu belakang LED yang diberikan grafik jalur turut ditawarkan, bergantung pada varian. Set-set rim aloi berdiameter 16- dan 17-inci masih kekal dibawa dari model terdahulu, tetapi varian RS diberikan rim aloi lebih sporty dengan kemasan dua-tona berdiameter 18-inci.

    Pada bahagian kabin, Vezel JDM facelift ini diberikan tempat duduk yang direka semula serta diberikan corak jahitan baharu bagi memberikan “kemampuan memegang serta tekstur” yang lebih baik. Model pasaran Jepun ini juga menerima upholsteri dalaman dua-tona (Jazz Brown) yang nampak lebih premium.

    Honda HR-V facelift 2018 muncul di Jepun – Honda Sensing standard untuk semua varian, RM76k-RM103k

    Aspek NVH ruang dalaman ini juga dipertingkatkan dengan material penebat bunyi tambahan bagi mendapatkan suasana yang lebih senyap ketika memandu. Selain itu, bahagian lain masih kekal sama termasuk unit infotainmen yang menampilkan skrin sesentuh yang menyokong fungsi Android Auto dan Apple CarPlay.

    Bagi pasaran Jepun, Vezel/HR-V ini hadir dengan dua jenis janakuasa iaitu enjin petrol 1.5 liter dengan sistem suntikan bahan api terus, dan juga versi Sports Hybrid i-DCD yang dikongsi bersama City dan Jazz Hybrid.

    Versi petrol sepenuhnya digandingkan dengan transmisi CVT automatik (model RS turut diberikan pedal penukar gear pada roda stereng), manakala model hibrid menerima kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan DCT bersama pedal penukar gear sebagai ciri standard. Kedua-dua pilihan janakuasa ini hadir dengan pilihan sistem 2WD atau 4WD, tetapi versi RS hanya hadir dengan pacuan hadapan sahaja.

    Model petrol Vezel dijual pada harga bermula ¥2,075,000 (RM76k) untuk model asas G, hingga ¥2,475,000 (RM91k) untuk model tertinggi RS. Bagi model hibrid pula, ia dijual pada harga bermula ¥2,460,000 (RM91k) hingga ¥2,810,000 (RM103k) bagi model Sport Hybrid RS. Honda mensasarkan model facelift ini akan dijual sebanyak 5,000 unit di Jepun.

    Pasaran Jepun juga menawarkan dua warna baharu – Aurora Amethyst Metallic dan Silver Mist Green Metallic – bersama enam warna asal – Premium Crystal Red, Midnight Blue Beam, Luna Silver, Crystal Black (pearl) dan Rousse Black (metalik) – untuk Vezel yang dikemaskini ini.

    Bagaimana pula dengan pasaran Malaysia? Disember tahun lalu, model berkenaan telahpun dijumpai sedang diuji berhampiran Digital Mall, Petaling Jaya. Awal bulan ini juga Honda Malaysia telah mengumumkan mereka akan melancarkan satu lagi model baharu dalam masa terdekat, yang kami jangkakan ialah model HR-V facelift ini dan berkemungkinan masih ditawarkan dengan hanya pilihan enjin 1.8 liter NA.

    Walaupun sudah berusia tiga tahun dalam pasaran, HR-V masih lagi sebuah model yang popular oleh Honda dimana ia masih mengungguli pasaran SUV segmen-B tempatan tahun lalu.

     
     
  • DBKL lanjut diskaun kompaun sehingga 30 Jun ini

    DBKL lanjut diskaun kompaun sehingga 30 Jun ini

    Sepatutnya diskaun kompaun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tamat 28 Februari ini, namun dimaklumkan ia dilanjutkan sehingga 30 Jun hadapan.

    Menurut DBKL, ini membolehkan pesalah trafik di sekitar ibu negara melunaskan bayaran kompaun lalu lintas yang dikeluarkan oleh DBKL sebelum atau pada tarikh tersebut bagi mengelakkan tindakan mahkamah.

    Selain itu, jika pesalah trafik tersebut gagal melunaskan kompaun, nama mereka juga akan disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Diskaun kompaun lalu lintas yang diberikan adalah RM20 bagi motosikal, RM30 (kereta) dan RM50 untuk kenderaan berat.

     
     
  • Tengku Mahaleel dedah Proton pernah ada rancangan pelbagai model menarik, keuntungan tahun 1985-2011

    Tengku Mahaleel dedah Proton pernah ada rancangan pelbagai model menarik, keuntungan tahun 1985-2011

    Menurut bekas ketua pegawai eksekutif Proton, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff, Proton pernah mempunyai perancangan untuk pelbagai model menarik dan teknologi maju pada masa sebelum ini. Beliau mendedahkan perkara ini dalam laman Facebook, bersama gambar kenderaan yang dimaksudkan.

    Antaranya adalah idea Gen2 dengan bentuk wagon yang direka oleh Russel Carr, yang kini bekerja sebagai ketua bahagian rekaan Lotus Cars. Sementara itu, lukisan model konsep GX-MPV dan sebuah lagi model oleh Edag Zawawi menunjukkan rekaan alternatif yang boleh menjadi MPV pertama Proton – sekarang sudah keluar Exora.

    Tengku Mahaleel juga menyatakan Tengku Djan pernah terlibat dengan projek Sepang, untuk menghasilkan kenderaan sports pertama Malaysia. Model ini membawa persamaan dengan Lotus Europa, dan bagi mereka yang pernah pergi ke Kuala Lumpur International Motor Show 2010 pasti ingat dengan model konsep Lekir.

    Melihat kepada platform SRM (Model Pengganti Satria) yang digunakan untuk Satria Neo pula, ia juga boleh menjadi asas kepada pelbagai model yang termasuk sedan empat pintu, hatchback lima pintu, model dengan bumbung boleh buka (convertible), serta juga MPV.

    Sama seperti Satria generasi pertama, varian GTi juga sebelum ini sedang dibangunkan untuk Satria Neo generasi kedua, bersama versi lumba. Walaupun Satria Neo GTi akhirnya tidak menjadi kenyataan, model yang menggunakan enjin CPS ini ada menerima peningkatan gaya seperti GTi, dan versi R3 seperti Lotus Racing.

    Semasa enjin CamPro masih digunakan, Proton sudah pun sampai dalam proses menguji barisan enjin baru (NEF), yang termasuk unit 2.2 liter dan V6 3.0 liter. Menurut Tengku Mahaleel, enjin ini “lebih baik, lebih murah dan lebih berkuasa berbanding enjin Petronas.”

    Tengku Mahaleel dedah Proton pernah ada rancangan pelbagai model menarik, keuntungan tahun 1985-2011

    Beliau juga menambah bahawa enjin V6 itu direka supaya pada masa hadapan ia boleh dikecilkan kepada tiga silinder sekiranya perlu. Selain itu, bagi unit V6 pula – yang boleh dipasang dengan supercharger – didakwa boleh menjadi peneraju untuk pelbagai aspek, dan mempunyai kuasa lebih 400 hp.

    Selain perancangan model ini, Tengku Mahaleel turut mendedahkan gambar kewangan pendapatan unit jualan dan keuntungan yang dicatat oleh beberapa pengurusan Proton sebelum ini, dari tahun 1985 hingga 2011. Apa pendapat anda dengan model-model serta catatan kewangan yang didedahkan oleh Tengku Mahaleel ini?

     
     
  • Kia Ceed didedah menjelang Geneva Motor Show – terima gaya, nama baharu dan lebih banyak teknologi

    Kia Ceed didedah menjelang Geneva Motor Show – terima gaya, nama baharu dan lebih banyak teknologi

    Menjelang penganjuran Geneva Motor Show 2018 pada Mac ini, Kia telah mendedahkan generasi ketiga bagi model Ceed, yang menerima rekaan, pembangunan, kejutureaan dan dibangunkan di Eropah. Beberapa elemen baharu telah diserapkan bagi hatchback segmen-C ini, termasuklah nama baharu – sebelum ini dikenali sebagai cee-apostrophe-d (cee’d).

    Perubahan terbesar sudah pasti melibatkan penggayaannya yang menerima inspirasi daripada Proceed Concept 2017, dengan lampu utama yang melunjur ke belakang serta lampu nyalaan siang “kiub ais”. Unit pencahayaannya juga disambung pada gril “hidung harimau” yang lebih bersudut serta corong udara bawah yang lebih lebar serta lampu kabus berbentuk segitiga.

    Manakala bagi profil sisinya, ia kelihatan lebih menyerlah berbanding sebelum ini. Dengan garisan yang lebih mendatar dari hadapan melunjur ke kluster pencahayaan belakang. Malah tiang-C juga lebih lebar, meningkatkan lagi imej luaran Ceed dengan bentuk “bulan separuh” bagi garisan atas tingkap.

    Bagi bahagian belakangnya pula, ia juga diberikan sedikit kelebaran, ditambah pula dengan lampu baharu yang dipadankan bersama bampar berpotongan dalam serta plat nombor yang dipindahkan posisinya dari bampar ke tailgate.

    Kia Ceed didedah menjelang Geneva Motor Show – terima gaya, nama baharu dan lebih banyak teknologi

    Ceed menggunakan platform K2 yang baharu dan lebih lebar sebanyak 20 mm (kini 1,800 mm) dan 23 mm lebih rendah (1,447 mm) berbanding model semasa. Namun jarak rodanya tidak berubah iaitu kekal 2,650 mm, namun overhang hadapannya lebih pendek sebanyak 20 mm (ke 880 mm) dan belakang pula dipertingkatkan sehingga 20 mm (kini 780 mm).

    Untuk bahagian dalamnya, rekaan kabinnya mengikut jejak langkah model Kia terkini, bermula dengan paparan skrin sesentuh ‘free-standing’ dengan pilihan 5-, 7- dan 8-inci. Papan pemukanya juga terbahagi pada dua seksyen, dengan perumah suis gear untuk sistem infotainmen dan kawalan suhu diletakkan pada bahagian rendah.

    Untuk pemandu, roda stereng dan tuil gear baharu diberikan, dengan kedua-duanya dibaluti material kulit. Kluster instrumen tiga-pod dahulu telah ditukarkan kini menjadi dua, dengan paparan pelbagai-info diletakkan di bahagian tengah.

    Sistem Drive Mode Select membenarkan pemandu menukar antara mod Normal dan Sport, dengan respon pendikit yag dipertingkatkan dan menaikkan stereng. Penukaran antara keduanya adalah menerusi butang yang diletakkan pada konsol tengah.

    Menurut Kia, platform baharu ini memberikan kesan ergonomik yang lebih baik bagi pakej penjimatan. Ruang but pula kini mencecah 395 liter, dan ruang bagi penumpang belakang telah dipertingkatkan, serta memiliki lebih banyak ruang kelama untuk barisan hadapan dan merendahkan posisi pemanduan.

    Beberapa elemen turut ditawarkan, dengan beberapa pilihan roda diberikan dari roda keluli 15-inci, keluli 16 atau aloi aluminium 16-inci dan aloi aluminium potongan verlian dua-tona 17-inci. Pembeli juga boleh memilih 12 warna pilihan bagi Ceed mereka.

    Selain itu, pilihan lain termasuklah cermin hadapan dengan fungsi haba, pengecas telefon pintar tanpa wayar, tempat duduk hadapan dengan fungsi aliran dan haba panas, tempat duduk belakang dengan haba panas dan sistem bunyi JBL Premium dengan teknologi restorasi muzik Clari-Fi.

    Kia Ceed didedah menjelang Geneva Motor Show – terima gaya, nama baharu dan lebih banyak teknologi

    Untuk yang mahukan pemanduan Eko, ECO Pack turut ditawarkan. Ia didatangkan dengan Active Air Flap yang boleh dibuka dna ditutup bergantung pada keperluan penyejukan enjin, bersama pelindung bawah badan, suspensi yang lebih rendah dan tayar Michelin dengan rintangan olengan yang lebih rendah.

    Bagi aspek keselamatannya, Ceed didatangkan dengan tujuh beg udara dan Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM) sebagai standard. Serta termasuk Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Perhatian Pemandu, Bantuan Kekal Lorong dan Amaran Perlanggaran Hadapan dengan Bantuan Elak Perlanggaran Hadapan.

    Malah ia menjadi yang pertama bagi Kia di Eropah, di mana Ceed turut dipadankan dengan Bantuan Mengikut Lorong, yang merupakan teknologi pemanduan sendiri “Tahap Dua”. Sistem ini mengesan kenderaan di hadapan Ceed dan mengenal pasti ruang terdekat di lorong lain untuk bergerak dengan selamat serta mendapatkan lebih banyak ruang dalam kesesakan yang teruk antara kosong dan 130 km/j.

    Penjana kuasa petrol dan diesel ditawarkan untuk Ceed, bermula dengan 1.4 liter MPi (1pp PS), 1.0 liter T-GDi (120 PS) dan Kappa 1.4 liter T-GDi (140 PS) yang menggantikan enjin 1.6 liter GDI naturally-aspirated, yang menawarkan 4% lebih kuasa dan tahap tork yang lebih luas.

    Kesemua penjana kuasa termasuk enjin baharu Kia U3 diesel direka bagi memenuhi piawaian standard emisi terkini Euro 6D TEMP. Penjana kuasa 1.6 liter CRDi juga boleh didapati dengan output 115 PS dan 136 PS. Semua enjin dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan, serta 1.4L T-GDi dan 1.6L CRDi juga ditawarkan dengan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan.

    Seperti Cee’d generasi-pertama, Ceed baharu ini dipasang di fasiliti produksi Kia di Žilina, Slovakia, bersama dengan Sportage dan Venga. Produksinya akan bermula Mei ini, dan akan memulakan jualan di Eropah pada hujung suku kedua 2018.

     
     
  • Hafizh Syahrin selesai uji jentera MotoGP tiga hari di Litar Buriram, Thailand – apa kata pengurus pasukan?

    Hafizh Syahrin selesai uji jentera MotoGP tiga hari di Litar Buriram, Thailand – apa kata pengurus pasukan?

    Musim perlumbaan MotoGP tahun ini mungkin akan jadi yang paling meriah bagi peminat sukan permotoran Malaysia kerana seorang pelumba negara berusia 23 tahun, Hafizh Syahrin semakin dekat untuk berlumba dalam kategori paling tinggi bersama pasukan Monster Yamaha Tech3.

    Keputusan sama ada Hafizh akan menyertai pasukan tersebut masih belum dibuat, tetapi sebagai permulaan yang positif, beliau telah diberi peluang menguji jentera YZR-M1 di Litar Buriram, Thailand hujung minggu lalu selama tiga hari. Selepas ini akan ada satu lagi sesi ujian di Qatar sebelum perlumbaan sebenar bermula (dalam gambar yang dimuat naik pasukan Monster Yamaha Tech3, khidmat Hafizh seperti akan diteruskan).

    Semasa hari pertama ujian di Buriram, Hafizh sekadar cuba menyesuaikan diri dengan jentera MotoGP, kerana itu adalah pertama kali beliau mengendalikan jentera yang lebih besar, berkuasa dan berteknologi tersebut. Walaupun berada di tempat terakhir, masa terpantas beliau untuk hari tersebut hanya ketinggalan 2.368 saat berbanding Cal Crutchlow yang menjadi pendahulu.

    Hafizh Syahrin selesai uji jentera MotoGP tiga hari di Litar Buriram, Thailand – apa kata pengurus pasukan?

    Hari kedua, Hafizh bertambah laju, dengan berjaya mencatat masa terbaik hampir dua saat lebih laju berbanding hari pertama. Namun, beliau ada melakukan sedikit kesilapan di selekoh ke-7 litar tersebut, dan jatuh daripada motosikal. Walaubagaimanapun, Hafizh tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

    Pada hari ketiga, hafizh semakin laju, dan beliau berjaya mencatat beza masa hanya 1.756 saat dengan pendahulu di tempat pertama iaitu Dani Pedrosa. Menariknya, Hafizh juga berjaya menjadi lebih pantas berbanding Jorge Lorenzo yang membawa jentera Ducati.

    “Saya tahu semua orang menjangkakan keputusan berkenaan Hafizh Syahrin. Apa yang boleh saya katakan setakat ini adalah beliau telah melaksanakan tugas dengan hebat semasa ujian ini, menunjukkan motivasi yang baik, sedia untuk belajar dan memecut dalam trek, dalam suasana yang bagus bersama pasukan. Kami akan membuat keputusan secepat mungkin, kerana terlebih dahulu, kami perlu berkongsi segala perincian dengan rakan kongsi pasukan,” kata pengurus pasukan Monster Yamaha Tech3, Herve Poncharal.

     
     
  • Yamaha FJR1300P 2018 jadi motosikal rasmi polis AS

    Yamaha FJR1300P 2018 jadi motosikal rasmi polis AS

    Kalau di Malaysia, motosikal berkuasa tinggi keluaran Honda menjadi pilihan utama untuk digunakan oleh pasukan Trafik PDRM dalam menjalankan tugas sejak dulu. Siapa yang tak kenal, misalnya model lagenda Honda CBX750, yang bahkan masih ada unit yang digunakan sehingga hari ini.

    Tapi, kalau di negara besar lain, jenama dan model mana pula yang dipercayai untuk menggalas tanggung jawab berkenaan? Polis trafik di Amerika Syarikat nampak gayanya akan menerima jentera baru untuk kegunaan rasmi – Yamaha FJR1300P yang dibina khas oleh Yamaha yang menepati keperluan dan penggunaan pihak polis.

    Motosikal ini menggunakan enjin 1,298 cc dengan empat-silinder sebaris DOHC 16-injap sejukan cecair yang mampu menjana sebanyak 145.5 hp pada 8,000 rpm dan 138.3 Nm pada 7,000 rpm tork puncak. Angka yang dijana ini adalah lebih tinggi berbanding model FJR versi biasa, yang hadir dengan output 141.5 hp dan 134.2 Nm.

    Yamaha FJR1300P 2018 jadi motosikal rasmi polis AS

    Enjinnya dipadankan dengan sistem transmisi enam-kelajuan klac basah dengan ciri multiplate assist-and-slipper. Menggunakan sistem suntikan minyak dengan YCC-T, kuasa motosikal ini (final drive) disampai melalui shaft.

    Bagi sistem suspensi pula, bahagian hadapan menggunakan fork 48 mm boleh laras sepenuhnya; jarak larasan 5.3-inci. Bahagian belakang pula menggunakan penyerap hentak tunggal dengan kadar beban dan serapan boleh laras; dengan jarak larasan 4.9-inci.

    Brek depan terdiri daripada cakera berkembar 320 mm, Unified Brake System dan ABS. Sementara itu, bahagian belakangkan dilengkapi cakera 282 mm, juga dengan Unified Brake System dan ABS. Siaz tayar yang digunakan pula adalah seperti berikut – 120/70ZR17 (depan) dan 180/55ZR17 (belakang).

    Selain daripada itu, motosikal ini juga dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri khas untuk kegunaan tugas-tugas polis. Antaranya ialah suis pengawal lampu ronda, penghadang angin bahagian depan yang boleh dikawal secara elektronik sepenuhnya dengan kedudukan menegak 135 mm.

    kedudukan pemegang (handlebar) dengan ketinggian tambahan 20 mm berbanding model untuk orang awam, dengan pelindung kaki serta kusyen tempat duduk yang lebih selesa turut menjadi ciri khas model ini bagi mengurangkan keletihan kepada penunggang dalam perjalanan jauh.

    Ia juga datang dengan ruang barangan yang luas serta kotak barangan tambahan mudah alih di sisi. Nampak menarik dan meyakinkan tak?

     
     
  • Pulau Pinang sediakan lebih banyak perkhidmatan bas perantara percuma di negeri itu mulai 1 April ini

    Pulau  Pinang sediakan lebih banyak perkhidmatan bas perantara percuma di negeri itu mulai 1 April ini

    Sebanyak 46 bas perantara akan disediakan dalam program perkhidmatan bas percuma Congestion Alleviation Transport (CAT) untuk sekitar Pulau Pinang mulai 1 April ini.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Negeri Chow Kon Yeow, CAT akan memberikan kemudahan bas perantara di setiap bahagian di pulau dan tanah besar bagi laluan yang tidak dilalui oleh Rapid Penang, laporan The Star.

    Program CAT ini adalah tambahan bagi dua program bas perantara percuma sedia ada, Transit Bahagian Sentral yang bermula 2008 dan Transit Bas Perantara Jambatan Ekspres yang dilancarkan pada 2011.

    Katanya lagi, perkhidmatan ini disediakan setiap hari iaitu dari jam 6 pagi hingga 10 malam yang melibatkan kawasan George Town, Tanjung Tokong, Sungai Dua, Bayan Baru, Ayer Itam dan Balik Pulau.

    Sementara laluan di tanah besar pula melibatkan Bertam, Bukit Mertajam, Simpang Empat, Nibong Tebal, Seberang Jaya dan Batu Kawan.

    “Perkhidmatan ini diperkenalkan untuk mengalakkan penggunaan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas. Laluan bas berkenaan termasuklah di sekitar hospital, jabatan kerajaan, pusat membeli-belah dan pasar awam,” ujarnya sambil menambah kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM15 juta untuk kemudahan tersebut.

     
     
  • VIDEO: Proton Iriz R5 – Juara Cambrian Rally 2018

    Semalam kami telah melaporkan bahawa jentera rali binaan Mellors Elliot Motorsport, Proton Iriz R5 telah mencapai satu lagi kejayaan iaitu juara untuk pusingan pertama siri kejuaraan British BTRDA Rally, Cambrian Rally 2018. Nak tengok macam mana aksi Iriz R5 tersebut? Nah, Sideways Media telah menyiarkan rakaman mereka pada laman youtube rasminya.

    Proton Iriz R5 yang dipandu Oliver Mellors dan dibantu juruarah Max Freeman berkenaan kini sudahpun mengenakan livery perlumbaan ‘Jalur Gemilang’ yang baharu sahaja diperkenalkan pada bulan lalu. Sama seperti perlumbaan-perlumbaan sebelum ini, Iriz R5 menerima tentangan sengit dari jentera-jentera lebih hebat seperti Ford Focus WRC, Ford Fiesta WRC, dan juga jentera dengan kategori sama Ford Fiesta R5.

    Setelah bertarung hebat dalam 7 SS serta mencatatkan masa terpantas di SS 3, Mellors dan Freeman berjaya menamatkan rali ini ditangga teratas, meninggalkan Paul Bird yang memandu Ford Fiesta WRC 07 di tempat kedua dengan kelebihan 6 saat. Stephen Petch yang memandu Ford Fiesta WRC pula mendapat tempat ketiga, ketinggalan 30 saat di belakang Iriz R5.

    Sebelum ini, Iriz R5 telah pun berlumba dalam tiga perlumbaan – juara di Rally Stage Goodwood Festival of Speed, podium di Malton Forest Rally, dan juara di Grizedale Stages Rally. Ia juga telah diuji oleh lagenda serta juara dua kali WRC, Marcus Gronholm dan diberikan maklum balas yang sangat positif.

    Jentera ini dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

    Selepas proses homologasinya lengkap dijangka pada 1 April ini, Proton Iriz R5 dan MEM bakal memulakan aksi mereka di pentas kejuaraan rali dunia (WRC) dalam kategori WRC2 pula.

    VIDEO: Proton Iriz R5 – Juara Cambrian Rally 2018

     
     
  • Kerajaan cadang tubuh Pusat Kawalan Trafik Kebangsaan untuk penguatkuasaan di lebuhraya

    Kerajaan cadang tubuh Pusat Kawalan Trafik Kebangsaan untuk penguatkuasaan di lebuhraya

    Bagi pengurusan aliran trafik dan penguatkuasaan undang-undang di semua lebuhraya utama di negara ini, kerajaan bercadang untuk menubuhkan sebuah Pusat Kawalan Trafik Kebangsaan.

    Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, perancangan mengenai penubuhan pusat kawalan tersebut sudah pun dibawa ke Jemaah Menteri dan telah dipersetujui secara prinsip. Malah cadangan tersebut dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lagi iaitu pada tahun 2020, laporan Bernama.

    Rancangan penubuhan pusat kawalan ini adalah bagi pengurusan trafik jangka panjang membabitkan semua agensi berkaitan keselamatan dan penguat kuasa lebuhraya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.

    “Matlamat utama adalah untuk tujuan penguatkuasaan dan pengurusan trafik efisien di samping dapat mengurangkan kadar risiko kemalangan. Buat masa ini segala perincian mengenai pusat tersebut sedang berjalan termasuk proses mendapatkan komen semua agensi penguatkuasaan dan kementerian untuk dikumpul dan dikaji,” katanya kepada pemberita kelmarin.

    Tambahnya, di bawah perancangan itu juga kementeriannya bercadang untuk memasang sistem sensor atau pengesan dan kamera di seluruh jalan Persekutuan dan lebuh raya untuk memantau trafik dengan lebih cekap.

    “Dengan sensor dan kamera ini kita juga dapat mengumpul data aliran masuk kenderaan bagi tujuan kajian,”katanya.

     
     
  • Proton Iriz R5 juara lagi; kali ini di Cambrian Rally 2018

    Proton Iriz R5 juara lagi; kali ini di Cambrian Rally 2018

    Gambar oleh ‘Special Stage’ Rally Review

    Rali demi rali, Proton Iriz R5 binaan Mellors Elliot Motorsport terus menunjukkan prestasi cemerlang. Terbaharu, jentera berkenaan sekali lagi dinobatkan sebagai juara, kali ini pada pusingan pembukaan siri kejuaraan British BTRDA Rally, Cambrian Rally 2018.

    Berbeza dari sebelum ini dimana pemandu MEM Oliver Mellors dibantu jururah Ian Windress, pada Cambrian Rally pemandu British berumur 22 tahun berkenaan bergandingan dengan Max Freeman. Menurut MEM lagi, keputusan untuk mengambil bahagian pada pusingan pertama kejuaraan BTRDA Rally ini juga diambil pada saat akhir.

    Sama seperti perlumbaan-perlumbaan sebelum ini, Iriz R5 menerima tentangan sengit dari jentera-jentera lebih hebat seperti Ford Focus WRC, Ford Fiesta WRC, dan juga jentera dengan kategori sama Ford Fiesta R5.

    Proton Iriz R5 juara lagi; kali ini di Cambrian Rally 2018

    Setelah bertarung hebat dalam 7 SS serta mencatatkan masa terpantas di SS 3, Mellors dan Freeman berjaya menamatkan rali ini ditangga teratas, meninggalkan Paul Bird yang memandu Ford Fiesta WRC 07 di tempat kedua dengan kelebihan 6 saat. Stephen Petch yang memandu Ford Fiesta WRC pula mendapat tempat ketiga, ketinggalan 30 saat di belakang Iriz R5.

    Sebelum ini, Iriz R5 telah pun berlumba dalam tiga perlumbaan – juara di Rally Stage Goodwood Festival of Speed, podium di Malton Forest Rally, dan juara di Grizedale Stages Rally. Ia juga telah diuji oleh lagenda serta juara dua kali WRC, Marcus Gronholm dan diberikan maklum balas yang sangat positif.

    Gambar oleh Chicane Media

    Jentera ini dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

    Selepas proses homologasinya lengkap dijangka pada 1 April ini, Proton Iriz R5 dan MEM bakal memulakan aksi mereka di pentas kejuaraan rali dunia (WRC) dalam kategori WRC2 pula.

     
     
  • Ford Focus RS Heritage Edition – terhad 50 unit sebelum pengeluaran dihentikan, selepas tiga tahun

    Ford Focus RS Heritage Edition – terhad 50 unit sebelum pengeluaran dihentikan, selepas tiga tahun

    Ford telah mengumumkan akan menghentikan pengeluaran Focus RS generasi ketiga 6 April ini, selepas tiga tahun ia dikeluarkan. Bagi mengingati peristiwa tersebut, 50 unit terakhir yang dikeluarkan di kilang Ford di Saarlouis Jerman akan mempunyai kelengkapan istimewa, dan dinamakan sebagai varian Focus RS Heritage Edition, eksklusif untuk pasaran UK.

    Model keluaran terhad ini antaranya menggunakan warna luar Tief Orange istimewa untuk menandakan ulang tahun ke-50 nama Escort di Britain. Kelengkapan lain yang didatangkan pada model ini adalah angkup brek warna kelabu, serta rim aloi, cermin sisi dan spoiler belakang hitam berkilat. Barangan standard lain adalah tempat duduk Recaro separa kulit, bumbung suria serta roda stereng dengan ciri pemanas.

    Turut dinaik taraf adalah enjin 2.3 liter EcoBoost padanya, di mana kuasanya dipertingkat hasil penggunaan kit Mountune FPM375 yang diluluskan oleh Ford – sebelum ini ia adalah satu kit pilihan tambahan. Salur pemasukan udara pada kit ini lebih baik, seterusnya menjadikan kitaran turbo lebih lancar. Ditambah dengan talaan semula ECU, kuasanya meningkat 25 PS menjadi 375 PS dan tambahan 40 Nm tork menjadi 510 Nm.

    Ford Focus RS Heritage Edition – terhad 50 unit sebelum pengeluaran dihentikan, selepas tiga tahun

    Catatan prestasi sebenar Focus RS Heritage Edition ini tidak disiarkan, tetapi ia sepatutnya menghasilkan kuasa sama seperti Focus RS biasa yang menggunakan kit Mountune ini, iaitu 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat dan laju maksimum 266 km/j.

    Model edisi terhad ini juga mendapat sistem limited-slip differential (LSD) mekanikal Quaife, yang dapat membahagikan tork kepada tayar lebih efektif, dan ia disepadukan dengan teknologi pemanduan lain yang ada pada Focus RS ini seperti dynamic torque vectoring dan torque vectoring control.

     
     
  • Kerajaan nafi kempen keselamatan jalan raya gagal

    Kerajaan nafi kempen keselamatan jalan raya gagal

    Biarpun ada pihak yang menuduh Kempen Keselamatan Jalan Raya yang dianjurkan saban tahun tidak menunjukkan keberhasilan atau pun dalam makna lain, gagal, namun perkara ini dinafikan oleh Kementerian Pengangkutan.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi, kempen tersebut telah mencatatkan kejayaan apabila jumlah kematian yang direkodkan menurun 412 kes pada tahun lepas.

    Katanya lagi, sebanyak 6,740 kes kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan sepanjang tahun lalu berbanding 7,152 pada 2016, laporan Bernama.

    “Jumlah kematian pada 2016 adalah 7,152 iaitu meningkat 419 kes berbanding tahun sebelumnya iaitu 6,706 kes. Jadi, penurunan jumlah kematian tahun lepas (412 kes) menunjukkan perkembangan yang baik. Saya berharap pemandu akan memandu dengan lebih berkhemah terutamanya pada musim perayaan ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

    Beliau berkata kerajaan akan mengambil pendekatan penguatkuasaan jalan raya termasuk penggunaan Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di semua jalan terpilih untuk memastikan pengguna jalan raya mematuhi had laju yang ditetapkan.

    “Kita faham dengan situasi trafik sesak pada musim perayaan, tetapi kita meminta orang ramai untuk memandu secara berhemah dan patuhi keselamatan serta peraturan jalan raya,” tambahnya.

     
     
  • Zaqhwan Zaidi akan berlumba untuk pasukan Honda Asia-Dream Racing guna CBR1000RR SP2 di Jepun

    Zaqhwan Zaidi akan berlumba untuk pasukan Honda Asia-Dream Racing guna CBR1000RR SP2 di Jepun

    Kumpulan syarikat Honda Asia dan Oceania telah mengumumkan penubuhan pasukan baru ‘Honda Asia-Dream Racing’, dengan ahli pasukannya terdiri daripada mereka yang diambil daripada pasukan lumba dan syarikat Honda dalam benua Asia dan Oceania.

    Pasukan ini terdiri daripada lapan ahli, diuruskan oleh Makoto Tamada manakala pelumbanya adalah Zaqhwan Zaidi, dari Malaysia. Untuk tahun ini, Zaqhwan akan berlumba menggunakan jentera CBR1000RR SP2 dalam kategori Superbike, Motorcycle Federation of Japan (MFJ) All-Japan Road Race Championship.

    Pada tahun depan pula, Zaqhwan akan dinaikkan kepada kelas ASB1000, iaitu satu kelas baru yang diwujudkan dalam siri perlumbaan Fédération Internationale de Motocyclisme (FIM) Asia Road Racing Championship. Selain daripada itu, pasukan ini juga akan berlumba dalam beberapa siri Suzuka 8-Hour Endurance Race.

    Siri perlumbaan MFJ All-Japan Road Race Championship akan bermula 7 April ini di Litar Motegi, dan ia akan berlangsung sebanyak 9 perlumbaan di litar berbeza, tetapi semuanya di dalam Jepun. Pusingan terakhir adalah di Litar Suzuka, pada bulan November.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026