Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Hyundai Grand Creta 2022 – SUV tujuh tempat duduk sama seperti Alcazar, enjin petrol 2.0L atau diesel 1.5L

    Hyundai Grand Creta 2022 – SUV tujuh tempat duduk sama seperti Alcazar, enjin petrol 2.0L atau diesel 1.5L

    Hyundai telah memperkenalkan sebuah SUV tujuh tempat duduk baru yang akan dijual di Amerika Latin serta Afrika Selatan, iaitu Grand Creta. Jika ada yang mengatakan ia nampak familiar, ini adalah kerana ia sebenarnya sama sahaja dengan Alcazar, cuma namanya sahaja ditukar.

    Juga seperti Alcazar, Grand Creta ini dibina atas platform K2, yang turut digunakan untuk kereta saiz biasa seperti Creta dan Venue. Pilihan enjin juga sama, iaitu termasuk unit petrol empat silinder 2.0 liter Nu berkuasa 159 PS pada 6,500 rpm dan 191 Nm tork pada 4,500 rpm.

    Terdapat juga enjin diesel turbo empat silinder 1.5 liter U2 CRDi, yang mampu menghasilkan 115 PS pada 4,000 rpm dan 250 Nm, dan kedua-dua enjin ini menghantar kuasa kepada roda hadapan melalui sama ada kotak gear manual atau automatik enam kelajuan.

    Berkenaan dimensi, ukuran Grand Creta ini sama sahaja seperti Alcazar, iaitu 4,500 panjang, 1,790 mm lebar, 1,675 mm tinggi dan jarak roda 2,760 mm. Rekaan luar dan dalam SUV ini juga tidak diubah.

    Di Afrika Selatan, Grand Creta akan ditawarkan dalam dua varian, bermula dengan Executive yang datang dengan rim 17 inci, lampu utama LED, enam beg udara, pendingin hawa manual, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan inci, kamera dan pengesan undur, balutan kulit sintetik serta pengecas tanpa wayar.

    Varian Elite yang lebih tinggi pula diberi rim 18 inci, pendingin hawa automatik, pengesan jarak hadapan, sistem tanpa kunci dan butang pemula enjin, bumbung panoramik, meja boleh lipat di tempat duduk baris kedua, tempat duduk pemandu kawalan elektronik, panel instrumen digital 10.2 inci dan mod pemanduan.

     
     
  • Proton tunda pelancaran model baru ke 2023 – fokus selesaikan tempahan tertunda dan bekalan komponen

    Proton tunda pelancaran model baru ke 2023 – fokus selesaikan tempahan tertunda dan bekalan komponen

    Lakaran digital Proton X90 oleh Theophilius Chin

    Menurut laporan The Edge, Proton dijangka akan menunda pelancaran model baharunya ke tahun 2023 kerana syarikat pengeluar automotif itu kini sedang fokus untuk menyiapkan tempahan-tempahan yang tertunda bagi model sedia ada serta menyelesaikan masalah berkenaan rantaian pembekalan komponen.

    Laporan dari akhbar berkenaan diambil dari analisis yang dibuat oleh Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, yang turut menyatakan bahawa Proton kini telah memperolehi bekalan mikrocip yang cukup bagi memenuhi tempahan sedia ada.

    Antara model yang dijadualkan untuk dilancarkan tahun ini termasuk versi kemaskini untuk Saga, dan juga SUV tujuh-tempat duduk yang dijangka akan diberi nama X90, diasaskan dari model Geely Haoyue (atau Okavango untuk pasaran Filipina). Dengan perkembangan terbaharu ini, kedua-duanya mungkin hanya akan dilancarkan tahun hadapan.

    Unit prototaip Proton X90 dan Saga kemaskini yang dilihat kerap diuji akhir-akhir ini

    Tahun lalu, Proton berjaya menjual sebanyak 114,708 unit kenderaan, atau 4.5% lebih banyak berbanding 2020. Ia adalah rekod tertinggi sejak 2014, serta membolehkan ia memegang 22.7% bahagian pasaran (angka dari Proton sendiri). Dari jumlah keseluruhan jualan berkenaan, Saga merupakan model yang paling laris, dikuti oleh X50, X70, Persona, Iriz dan Exora.

    Proton, bersama pengeluar-pengeluar kenderaan lain di Malaysia terjejas dengan pandemik Covid-19 tahun lalu, memaksa mereka menghentikan produksi kerana sekatan pergerakan penuh dibuat pada pertengahan 2021. Ini menyebabkan produksi di kilang mereka terjejas, sekaligus turut menyebabkan ia sukar untuk memenuhi tempahan yang telah dibuat pelanggan, lebih-lebih lagi dengan insentif pengecualian cukai jualan yang kini sedang ditawarkan oleh kerajaan.

    Vendor-vendor yang membekalkan komponen turut terjejas tahun lalu – bukan sahaja kerana pandemik, malah masalah bekalan cip semikonduktor global serta bencana banjir yang melanda negara turut menyebabkan keadaan menjadi bertambah buruk.

     
     
  • Honda e:Ny1 Prototype didedahkan – HR-V versi elektrik global, kembar model pasaran e:NS1 di China

    Honda e:Ny1 Prototype didedahkan – HR-V versi elektrik global, kembar model pasaran e:NS1 di China

    Buat masa sekarang untuk pasaran global, Honda hanya ada Honda e untuk model elektrik penuh (EV). Dan ini dia Honda e:Ny1 Prototype, prebiu model EV kedua Honda yang dihasilkan untuk pasaran global. Versi produksi e:Ny1 ini dijadualkan akan mula dijual di Eropah pada 2023.

    Honda e:Ny1 Prototype ini juga sebenarnya adalah versi untuk pasaran global bagi kembar SUV EV e:NS1 dan e:NP1, yang akan dihasilkan dan dijual hanya untuk pasaran China oleh Dongfeng Honda dan Guangqi Honda. Juga seperti yang diketahui sebelum ini kedua-dua SUV elektrik untuk pasaran China tersebut diasaskan dari platform yang sama dengan Honda HR-V generasi ketiga.

    Secara spesifiknya, e:NS1 dan e:NP1 menggunakan platform e:N Architecture F yang dihasilkan untuk model pacuan hadapan, dan ditawarkan dalam dua varian, menurut laporan portal automotif China, Autohome sebelum ini.

    Honda e:Ny1 Prototype didedahkan – HR-V versi elektrik global, kembar model pasaran e:NS1 di China

    Model asas e:NS1 dilaporkan akan digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 182 PS/310 Nm, dijana oleh bateri lithium-ion 53.6 kWj yang memberikan jarak gerak 420 km dengan sekali cas. Manakala model paling berkuasa pula menerima motor elektrik 204 PS, dan diberikan bateri 68.8 kWj yang lebih besar membolehkan ia bergerak sejauh 510 km sekali cas.

    Honda e:Ny1 Prototype yang bakal didedahkan di Eropah ini pula dijangka akan menawarkan konfigurasi yang sama seperti varian paling berkuasa e:NS1/e:NP1. Rupa e:Ny1 ini juga dilihat agak seiras dengan e:NS1, menampilkan badan yang sama seperti model petrol HR-V, bersama gril tanpa liang kemasukan udara (turut menjadi perumah untuk port pengecas) serta rekaan bampar hadapan dan belakang lebih unik.

    Tiada lagi imej bahagian dalaman bagi e:Ny1 ini didedahkan, tetapi boleh dijangka ia akan menampilkan skrin infotainmen 15.2-inci yang diletakkan menegak di tengah bersama paparan instrumen digital 10.25-inci untuk pemandu sama seperti e:NS1, sementara perincian yang lain masih dikongsi bersama HR-V biasa.

    Galeri: Honda e:Ny1 Prototype

    GALERI:Honda e:NS1 untuk pasaran China

     
     
  • WMoto ES250i dilancarkan untuk pasaran Malaysia – skuter 244 cc dengan pelbagai kelengkapan, RM14k

    WMoto ES250i dilancarkan untuk pasaran Malaysia – skuter 244 cc dengan pelbagai kelengkapan, RM14k

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd hari ini telah melancarkan secara rasmi sebuah skuter baru untuk pasaran Malaysia iaitu WMoto ES250i. Ia dijual pada harga RM13,888 tidak termasuk insurans dan akan mula berada di kedai pengedar motosikal WMoto seluruh Malaysia bermula minggu hadapan.

    WMoto ES250i mempunyai saiz hampir seperti Yamaha NMax dan Honda PCX, dan bukannya lebih besar seperti skuter maxi, tetapi ia digerakkan oleh enjin satu silinder SOHC 244 cc dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik (EFI), dan mampu menghasilkan kuasa 21 hp pada 8,500 rpm dan 21 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Skuter ini juga sebenarnya adalah sama seperti Keeway GT270 yang dijual di pasaran Thailand, tetapi ia menggunakan kapasiti enjin yang lebih kecil (Keeway GT270 dipacu oleh enjin 278 cc) bagi memudahkan ia dimiliki oleh pemegang lesen B2 di Malaysia.

    Spesifikasi skuter ini juga boleh dikatakan menarik kerana ia didatangkan dengan sistem brek ABS two-channel dengan tetapan cakera di hadapan dan belakang berserta angkup J.Juan, lampu hadapan projector LED berserta DRL, sistem kunci pintar serta suspensi Kayaba (fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang).

    Rim menggunakan saiz 13 inci dan dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 130/70 di belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 12 liter. Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk soket pengecas USB, meter gabungan digital dan analog, transmisi CVT dengan sistem pacuan tali sawat serta ruang simpanan di bawah tempat duduk. Satu lagi yang istimewa, ES250i turut datang dengan sistem pemerhati tekanan angin tayar, yang boleh mengeluarkan amaran apabila angin di dalam tayar tidak cukup.

    WMoto ES250i ditawarkan dalam tiga warna iaitu merah, biru matte serta kelabu, dan ia didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Pengecualian SST: MAA minta lanjutan tempoh disebabkan tempahan tertunggak kerana isu cip

    Pengecualian SST: MAA minta lanjutan tempoh disebabkan tempahan tertunggak kerana isu cip

    Dalam mesyuarat tahunan umumnya pagi tadi, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut diajukan soalan mengenai adakah kerajaan akan mempertimbangkan lanjutan tempoh bagi pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST), yang dijadualkan berakhir pada 30 Jun ini.

    Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata, pihaknya sedang merangka surat rayuan kepada Kementerian Kewangan berhubung dengan lanjutan terbabit, dan ia akan dihantar selepas mesyuarat ini. “Kami belum menyerahkannya tetapi ia akan dilakukan dengan segera. Keputusannya, kita belum tahu lagi. Kami memang ingin ia dilanjutkan tetapi tidak dipastikan sama ada kerajaan akan terima atau tidak. Terpulang pada keputusan kerajaan,” katanya.

    Aishah turut menambah kekurangan cip semikonduktor di peringkat global masih berterusan menjejaskan keupayaan pengeluaran syarikat kereta sekaligus menyebabkan tempahan juga tertunggak. “Kami akan memberi alasan berhubung dengan permintaan lanjutan tersebut iaitu disebabkan masalah mikrocip dan yang berkaitan. Ramai ahli kami masih tidak dapat membekalkan tempahan ini disebabkan masalah mikrocip.”

    Pengecualian SST: MAA minta lanjutan tempoh disebabkan tempahan tertunggak kerana isu cip

    Pengecualian SST telah dilanjutkan sebanyak tiga kali selepas Perdana Menteri sebelum ini Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumnya pada 5 Jun 2020. Pada asalnya, ia berakhir pada 31 Disember tahun tersebut, tetapi tarikh akhirnya kemudian telah dilanjutkan pada 30 Jun 2021. Selepas itu, sekali lagi lanjutan tempoh diberikan iaitu pada Mei, dan diikuti dengan tempoh ketiga yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 Oktober lalu.

    Setakat ini, sukar untuk menjangka adakah kerajaan akan melanjutkan tempoh pengecualian tersebut memandangkan ia telah dilaksanakan beberapa kali. Jadi, bagi anda yang ingin membeli kereta baharu, masih sempat berbuat demikian (kereta tersebut mestilah didaftarkan sebelum 31 Julai untuk melayakkan anda mendapatkan pengecualian cukai SST), kerana kita tidak tahu adakah peluang sebegini masih ada pada masa akan datang.

     
     
  • Penyelesaian kekurangan bekalan alat ganti Proton — alatan utama akan tersedia menjelang hujung Jun

    Penyelesaian kekurangan bekalan alat ganti Proton — alatan utama akan tersedia menjelang hujung Jun

    Awal bulan ini, Proton secara rasminya mengumumkan syarikat itu telah melaksanakan keperluan mandatori yang mana semua pengedar diwajibkan untuk menyimpan bekalan stok tiga bulan bagi 22 alat ganti utama.
    Langkah ini bertujuan untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan alat ganti bagi servis berjadual dan baik pulih kemalangan yang telah menyebabkan segelintir pelanggan tidak berpuas hati.

    Tempoh untuk syarikat itu memperbetulkan masalah berkenaan kini sudah didedahkan. Ketika wawancara dengan paultan.org minggu lalu, Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah berkata yang syarikat itu telah mempunyai rancangan untuk memastikan masalah kekurangan alat ganti ini dapat diselesaikan.

    Kesan kepada perancangan ini akan dapat dilihat beberapa bulan ke depan, dengan Proton mensasarkan untuk mempunyai stok mencukupi bagi alat ganti utama menjelang hujung Jun nanti. “Apa yang kami maksudkan dengan stok mencukupi adalah stok tiga bulan di pengedar, stok tiga bulan di gudang kami dan stok beberapa bulan di vendor,” jelas Roslan.

    Ini diharap akan dapat menyelesaikan masalah alat ganti yang dihadapi oleh syarikat ini sejak sebelum ini lagi, yang mana ada laporan mendakwa kenderaan pelanggan hanya tersadai di pusat servis rasmi sementara menunggu alat ganti sampai, atau hanya diservis sebahagiannya dan memasang alat ganti yang ada dahulu sebelum pelanggan di minta kembali untuk menukar yang lainnya kemudian.

    Bagi alat ganti yang diperlukan untuk baik pulih kemalangan, Roslan memaklumkan itu juga akan mengikut tempoh masa yang sama. “Bagi alat ganti baik pulih, kami menjangkakan tempoh tiga bulan dari sekarang untuk stoknya ada dalam simpanan. Kami sedang mengenal pasti apa alat ganti utama bagi tujuan itu dan mengenal pasti vendor yang boleh menghasilkannya,” tambah beliau.

     
     
  • Toyota GR Corolla – teaser disiar dalam iklan GR86!

    Toyota GR Corolla – teaser disiar dalam iklan GR86!

    Selepas pelbagai teaser dibuat dalam helah petunjuk tersembunyi menerusi imej-imej di akaun Instagram Toyota USA, kini satu lagi teaser berkaitan Toyota GR Corolla disiarkan – kali ini ia muncul dalam iklan GR86 untuk pasaran Amerika Syarikat!

    Iklan yang dimaksudkan adalah iklan bertajuk “The Focus Group” – yang sebenarnya sambungan dari iklan “The Pitch” untuk GR Supra 2022 sebelum ini. Iklan berkenaan memaparkan bagaimana dua orang dari kumpulan kreatif yang lebih muda ‘berperang idea’ dengan kumpulan korporat yang lebih tua.

    Kumpulan muda berkenaan mencadangkan idea-idea yang lebih mengujakan, memaparkan pemandu Formula Drift Fredric Aasbø melakukan pelbagai aksi stunt menggunakan GR86 tersebut, yang nyata menggembirakan “kumpulan sasaran” untuk iklan itu.

    Manakala kumpulan korporat yang lebih berusia pula mencadangkan idea-idea bosan seperti memaparkan GR86 dipamerkan di pusat membeli belah, ia boleh diparkir dengan mudah serta menampilkan fungsi kamera undur, yang nyata membosankan penonton.

    Namun kumpulan korporat berkenaan memberikan idea terakhir untuk memaparkan barisan kesemua barisan model Gazoo Racing Toyota bergerak dalam formasi-V. Tetapi buat masa sekarang GR hanya ada dua model di Amerika Syarikat iaitu GR Supra dan GR86, sudah tentu formasi-V berkenaan tidak dapat dilakukan.

    Dan tiba-tiba, sebuah hatchback misteri muncul diakhir iklan ini – berdasarkan lampu belakang, ia sememangnya sebuah Corolla Hatchback – asas kepada GR Corolla yang disahkan akan dilancarkan di Amerika Syarikat tahun ini, sebagai ganti kepada model homolagasi Kejohanan Rali Dunia (WRC) Toyota GR Yaris yang tidak dibawa ke pasaran berkenaan.

    Unit Toyota GR Corolla yang muncul diakhir video berkenaan dilihat masih lagi dibalut dengan pelekat penyamaran celoreng merah-putih-hitam GR, diberikan spoiler bumbung pada pintu tailgate belakang serta tampil dengan bunyi ekzos yang garang.

    Toyota GR Corolla – teaser disiar dalam iklan GR86!

    Menerusi teaser yang disiarkan oleh Toyota USA sebelum ini, model berkenaan dibayangkan akan diasaskan dari Corolla Hatchback dengan platform TNGA-C, dan menerima sistem mekanikal yang sama seperti GR Yaris termasuk enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo berkuasa 272 PS, kotak gear manual enam-kelajuan dan juga sistem pacuan semua roda GR-Four.

    Melalui dokumen dalaman yang tertiris dari pengedar Toyota mengandungi maklumat berkenaan pelancaran produk baharu dan juga acara yang bakal dilangsungkan tahun ini pula, GR Corolla dilihat dijadualkan akan mula dijual di Amerika Syarikat bermula pada bulan Oktober tahun ini.

    Masih tidak dapat dipastikan sama ada GR Corolla ini hanya akan dijual di Amerika Syarikat atau ia turut akan menjadi model global dan dijual pada pasaran lain. Namun Toyota dilihat sudahpun mendaftarkan tanda dagang “GR Corolla” di Australia tahun lalu.

     
     
  • TuneBoss tunjuk laju dan kuasa maksimum Yamaha 135 LC Fi standard atas mesin dyno – 126 km/j, 9.4 hp

    TuneBoss tunjuk laju dan kuasa maksimum Yamaha 135 LC Fi standard atas mesin dyno – 126 km/j, 9.4 hp

    Semasa majlis pelancaran Yamaha 135LC Fi awal bulan lalu di Litar Sepang, para media juga diberi peluang untuk menguji motosikal tersebut bagi mengetahui kemampuannya. Memandangkan litar ini luas bagi sebuah kapcai, ramai yang mengambil peluang untuk melihat laju maksimumnya.

    Bagi kami, dengan penunggang yang mempunyai berat sekitar 70 kg, ia boleh mencapai laju sehingga 114 km/j (mengikut meter) di laluan lurus, dan catatan ini boleh jadi berbeza mengikut berat mereka yang berada di atas motosikal.

    Bagi mengetahui kemampuan sebenar motosikal ini, cara terbaik adalah melalui ujian atas mesin dynamometer atau lebih dikenali sebagai ‘dyno test‘, seperti yang ditunjukkan oleh pengeluar produk prestasi motosikal tempatan, TuneBoss.

    Dalam video yang disiarkan, kita dapat melihat 135LC Fi dalam keadaan asal dari kilang berjaya mencapai laju maksimum sehingga 126 km/j, sementara kuasa maksimum yang dihasilkan pula adalah 9.4 hp. Catatan ini bagaimanapun menunjukkan jumlah yang sedikit kurang berbanding apa yang disiarkan oleh Yamaha dalam spesifikasi, iaitu 12.5 hp.

    Yamaha 135LC Fi digerakkan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 135 cc dengan sistem penyejukan cecair dan dipadankan bersama transmisi empat kelajuan tanpa tuil klac tangan. Ia dikeluarkan sebagai pengganti kepada 135LC karburetor sebelum ini, dan dijual pada harga RM7,798 bagi versi standard dan RM8,198 untuk versi SE.

    GALERI: Yamaha 135LC Fi


    GALERI: Yamaha 135LC Fi Special Edition

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia pada Feb 2022 naik 7.7%

    Jualan kenderaan di Malaysia pada Feb 2022 naik 7.7%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Februari 2022, dan ternyata grafnya semakin menunjukkan peningkatan. Sebanyak 43,722 unit kenderaan telah terjual pada bulan itu, iaitu naik sebanyak 7.7% berbanding 40,581 unit yang dijual pada Januari lalu.

    Menurut MAA, peningkatan ini disumbangkan oleh syarikat pengeluar kereta yang meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi tempahan yang tertunggak. Hasil gabungan jumlah jualan dengan yang direkodkan pada Januari, untuk tahun-ke-tarikh berkenaan, mencatatkan peningkatan sebanyak 9.7% (atau 7,463 unit) berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021, dengan sejumlah 84,303 unit kenderaan – walau pun Februari hanya mencatatkan peningkatan jualan sekitar 274 unit berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Jualan Mac juga diunjurkan lebih tinggi, disebabkan tempoh bekerja yang lebih panjang pada bulan ini. Malahan syarikat kereta juga pastinya akan mendorong jualan yang lebih tinggi bagi memenuhi sasaran untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac.

     
     
  • Yamaha Force X diperkenal di China – bawa gaya adventure, enjin 125 cc suntikan bahan api 8.2 hp

    Yamaha Force X diperkenal di China – bawa gaya adventure, enjin 125 cc suntikan bahan api 8.2 hp

    Yamaha telah memperkenalkan sebuah skuter dengan bentuk ala adventure seperti ADV 150 di China, dipanggil sebagai Force X. Saiz badannya nampak seperti sedikit kecil berbanding NMax, tetapi menggunakan rim bersaiz 10 inci yang dibalut tayar 100/90 di hadapan dan belakang.

    Skuter ini dipacu enjin satu silinder SOHC penyejukan udara 125 cc dengan sistem suntikan bahan api, dan mampu menghasilkan kuasa 8.2 hp pada 6,500 rpm dan 9.7 Nm tork pada 5,000 rpm. Kuasa ini sedikit rendah berbanding Avantiz yang dijual di negara kita.

    Force X menggunakan suspensi biasa sahaja, terdiri daripada fork teleskopik di hadapan, dan satu penyerap hentak di belakang, sementara tinggi tempat duduknya adalah 750 mm (-23 mm berbanding Avantiz). Walaupun diketengahkan dengan ciri adventure, skuter ini masih menggunakan kelengkapan seperti skuter jalanan biasa, kecuali tayar berbunga kasar.

    Kemudahan seperti kebanyakan skuter lain juga terdapat pada Force X, seperti ruang simpanan di bawah tempat duduk, poket barangan di bawah bahagian pemegang, pelantar kaki yang luas serta tempat duduk yang selesa.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah panel meter jenis digital, padanan brek cakera hadapan dan dram di belakang, tangki bahan api 5.1 liter serta pemula enjin elektrik.

     
     
  • Masalah alat ganti Proton tidak seteruk digambarkan, namun langkah penyelesaian serius sudah digerakkan

    Masalah alat ganti Proton tidak seteruk digambarkan, namun langkah penyelesaian serius sudah digerakkan

    Sekiranya jualan kenderaan bertambah oleh mana-mana pengeluar, maka persiapan yang sama juga perlu dilakukan terhadap ketersediaan alat ganti dan juga servis lepas jualan. Dan, Proton menjadi satu contoh jelas ketika ini, kerana dengan jualan yang semakin meningkat, syarikat itu mengalami situasi kekurangan alat ganti untuk pelanggan — baik bagi keperluan servis berjadual dan juga baik pulih kemalangan. Ini membuatkan pelanggan tidak berpuas hati.

    Walaupun Proton mengakui masalah itu memang berlaku dan perlukan penyelesaian, syarikat itu tidak terlalu terganggu dengan jumlah aduan kerana memang sudah ada langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi masalah itu. “Dari tanggapan yang dapat dilihat di media sosial, masalah ini nampak macam terlalu teruk sehingga ada yang merasakan ia menghindari pelanggan daripada membeli kereta Proton. Tetapi bagi kami, keadaan sebenarnya tidaklah terlalu buruk,” jelas Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah.

    “Jika anda bandingkan jumlah jualan kami dengan jumlah aduan yang diterima, kita boleh kira jumlah ini di media sosial,” ujarnya dalam wawancara minggu lalu. Tambah beliau, walaupun ada yang membuat bising tentang perkara itu, majoriti pelanggan lebih ramai yang gembira dengan pengalaman bersama jenama ini, tetapi memilih untuk diam.

    Masalah alat ganti Proton tidak seteruk digambarkan, namun langkah penyelesaian serius sudah digerakkan

    ????????????????????????????????????

    Bagaimanapun, Proton tidak mengambil mudah masalah ini. “Walaupun saya katakan ia tidak terlalu teruk, kami pandang serius untuk mencari punca masalahnya, apa yang membuatkan pelanggan tidak berpuas hati, dan apa yang membuatkan pelanggan tidak mendapat alat ganti yang diperlukan tepat pada masanya, atau kenapa kereta pelanggan tidak dibaik pulih dengan sebaiknya,” ujar Roslan.

    Syarikat itu telah mengambil pelbagai langkah untuk membetulkan keadaan, dengan yang terbaru adalah membincangkannya dalam mesyuarat mingguan — dan dipengerusikan oleh CEO Proton, Dr. Li Chunrong sendiri — untuk mengetahui perkembangan lepas jualan dan bagaimana cara untuk mengatasi masalah kekurangan alat ganti. Ini termasuklah untuk memastikan vendor dapat menyerahkan alat ganti yang terbabit, dan alat ganti dari Geely pula tiba tepat pada masanya.

    Awal bulan ini, Proton secara rasminya mengumumkan syarikat itu telah melaksanakan keperluan mandatori yang mana semua pengedar diwajibkan untuk menyimpan bekalan stok tiga bulan bagi 22 alat ganti utama. Langkah pertama ini turut dilanjutkan kepada pusat alat ganti sentral Proton. Dengan semua ini diperkenalkan, ia akan membantu memendekkan tempoh menunggu pelanggan.

     
     
  • M’sia-Thai setuju benarkan pergerakan keluar masuk menerusi dua pintu sempadan darat mulai 1 April

    M’sia-Thai setuju benarkan pergerakan keluar masuk menerusi dua pintu sempadan darat mulai 1 April

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan Malaysia dan Thailand akan membenarkan pergerakan keluar masuk pengembara antara kedua-dua negara menerusi dua pintu sempadan darat mulai 1 April 2022.

    Katanya, kedua-dua negara itu bersetuju membuka pintu masuk di Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan buat masa ini. Dan difahamkan, buat setakat ini juga, pergerakan keluar masuk kedua-dua negara itu hanya terhad kepada pelancong sahaja, manakala kemasukan secara harian dan lain-lain masih dalam perbincangan, laporan Berita Harian.

    “Pada peringkat awal, hanya dua pintu sempadan darat yang dipersetujui untuk dibuka bermula 1 April 2022 iaitu Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan. Kerajaan Thailand hanya bersedia untuk menerima pengembara pelancongan. Bagi pengembara harian dan kerap, perbincangan masih dijalankan antara Malaysia dan Thailand.

    “Buat masa ini, protokol am pengembara umum yang dibuat oleh kerajaan Malaysia, terpakai ke atas pengembara dari Thailand,” katanya.

    Selain Thailand, Singapura juga telah bersetuju untuk membuka pintu sempadannya untuk Malaysia iaitu menerusi laluan darat. Hasil persetujuan berkenaan, pengembara dari kedua-dua negara yang lengkap vaksinasi dibenarkan untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.

     
     
  • CEO Proton, Dr. Li kini ketuai sendiri mesyuarat untuk tangani masalah stok alat ganti, lepas jualan Proton

    CEO Proton, Dr. Li kini ketuai sendiri mesyuarat untuk tangani masalah stok alat ganti, lepas jualan Proton

    Dengan tumpuan terhadap jualan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama selepas pengenalan SUV X70 dan juga X50, Proton sememangnya telah menunjukkan pertumbuhan positif seperti yang dapat dilihat dalam pasaran tempatan setakat ini.

    Namun, itu bukanlah tanpa masalah lain — bahagian lepas jualan syarikat itu juga menerima kesan; kekurangan alat ganti yang berlanjutan telah membuatkan ramai pelanggan mengeluh. Dan, perkara ini tidak pula ingin disorok oleh Proton dan mengakui bahawa memang benar hal ini berlaku serta langkah-langkah untuk menyelesaikannya sedang dijalankan.

    Proton mengakui bahawa ini adalah masalah serius yang perlu ditangani dengan segera dan bijak dan sekiranya diabaikan, turut akan memberi kesan kepada peningkatan jualan yang sedang syarikat itu nikmati. Reputasi yang terbina juga dikhuatiri bakal tercalar.

    Kesungguhan ini disuarakan oleh Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah dalam satu wawancara dengan paultan.org yang diadakan minggu lalu berkaitan masalah lepas jualan yang sedang dihadapi syarikat itu ketika ini. Bukan lagi rahsia bahawa jualan kenderaan menjadi fokus utama Proton, namun kini CEO Li Chunrong telah mengalihkan perhatiannya kepada permasalahan lepas jualan berkenaan dan bertindak mengetuai sendiri “war room” untuk mengatasi masalah ini.

    CEO Proton, Dr. Li kini ketuai sendiri mesyuarat untuk tangani masalah stok alat ganti, lepas jualan Proton

    “Kami serius untuk mencari punca masalah dan apa yang membuatkan pelanggan tidak gembira dengan aspek lepas jualan dan apa yang membuatkan pelanggan lambat mendapat alat ganti mereka,” ujar Roslan, yang juga menjawat jawatan selaku ketua Proton Edar.

    “Kami memandang serius, bukan hanya dalam hal operasi, tetapi termasuk juga diri saya sendiri dan juga Dr. Li. Sebenarnya, Dr. Li sendiri mempengerusikan mesyuarat mingguan, apa yang kami panggil ‘war room’. Dalam seminggu kami luangkan minimum lima jam hanya untuk membincangkan masalah lepas jualan ini. Minggu lalu, kami luangkan hampir 10 jam membincangkan tentang itu,” ujarnya.

    Mesyuarat mingguan ini telah berlangsung sejak 17 Januari lalu. “Ia tidak hanya melibatkan aspek lepas jualan semata-mata, tetapi juga aspek lain seperti perolehan, kualiti dan pengilangan, bukan hanya hal di bawah kendalian Proton Edar. Ini untuk memastikan vendor dapat menyerahkan alat ganti, dan alat ganti dari Geely tiba pada waktunya,” jelas Roslan.

    CEO Proton, Dr. Li kini ketuai sendiri mesyuarat untuk tangani masalah stok alat ganti, lepas jualan Proton

    Ini memakan banyak masa hanya untuk menyelesaikan setiap satu masalah. Apa yang berlaku dalam ‘war room’? Roslan berkata untuk menyelesaikan masalah memang menelan masa. Ini bermaksud, untuk menguruskan rungutan yang diterima dan apa yang mereka baca di media sosial. Selebihnya, Proton memetakan rancangan jangka panjang untuk memastikan kekurangan bekalan alat ganti ini dapat diselesaikan.

    “Sebagai contoh, kami mensasarkan untuk mempunyai stok mencukupi menjelang hujung Jun nanti. Apa yang kami sifatkan sebagai stok mencukupi adalah stok tersedia untuk tempoh tiga bulan pada pengedar, stok tiga bulan untuk gudang kami dan stok beberapa bulan di vendor kami,” jelasnya.

    Awal bulan ini, Proton secara rasminya mengumumkan syarikat itu telah melaksanakan keperluan mandatori yang mana semua pengedar diwajibkan untuk menyimpan bekalan stok tiga bulan bagi 22 alat ganti utama. Langkah pertama ini turut dilanjutkan kepada pusat alat ganti sentral Proton. Dengan semua ini diperkenalkan, ia akan membantu memendekkan tempoh menunggu pelanggan.

     
     
  • Sempadan Malaysia-Singapura bakal dibuka semula mulai 1 April 2022 – tiada ujian saringan, kuarantin

    Sempadan Malaysia-Singapura bakal dibuka semula mulai 1 April 2022 – tiada ujian saringan, kuarantin

    Sempadan darat antara Malaysia dan Singapura akan kembali dibuka bermula 1 April 2022. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong, sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) turut akan dilonggarkan.

    Ini termasuk, pengembara dari kedua-dua negara yang lengkap vaksinasi dibenarkan untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.

    “Malaysia dan Singapura telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dalam pelaksanaan program vaksinasi dan pengurusan pandemik COVID-19 bagi penduduk kedua-dua negara. Kami turut mengambil maklum atas kemajuan yang telah dicapai dalam meneruskan perjalanan rentas sempadan melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (Udara) dan (Darat).

    “Sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik COVID-19, kami bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk membuka sepenuhnya sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi,” ujar Ismail Sabri menerusi entri yang dimuatnaik menerusi Facebook rasminya sebentar tadi.

    Sempadan Malaysia-Singapura bakal dibuka semula mulai 1 April 2022 – tiada ujian saringan, kuarantin

    Sebelum ini, Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia-Singapura dihentikan sementara pada 23 Disember lalu, tetapi kembali dibuka mulai 21 Januari 2022. Dengan pembukaan semula Tambak sepenuhnya, pengembara antara Malaysia dan Singapura tidak perlu untuk menjalani kuarantin tetapi mestilah lengkap divaksinasi.

    Sementara itu, Singapura akan membuka semula sempadannya kepada semua pelancong yang diberi vaksin sepenuhnya dari negara atau wilayah Kategori Perjalanan Umumnya.

    Rangka Kerja Perjalanan Vaksinasi baharu akan berkuat kuasa di Singapura mulai 1 April ini membolehkan semua pelancong yang diberi vaksin sepenuhnya dari mana-mana negara atau wilayah memasuki Singapura tanpa kuarantin. Walau bagaimanapun, ia menetapkan syarat pengembara terbabit tidak melawat mana-mana negara atau wilayah pada Kategori Terhad republik itu dalam tempoh tujuh hari sebelumnya.

     
     
  • MSF SuperMoto Finale hangatkan Kuala Selangor

    MSF SuperMoto Finale hangatkan Kuala Selangor

    MSF SuperMoto 2021/22 Finale akhirnya berjaya berlangsung dan menjadi musim lengkap kejuaraan itu buat julung kalinya. Bertempat di Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor hujung minggu lalu, perlumbaan itu menyaksikan saingan sengit di dalam beberapa kategori.

    Bagi Daniel Haiqal #99, saingan dalam kategori All Stars Pro memang ditakdirkan untuknya, memandangkan pesaing terdekatnya Mohd Saifullah ‘Gabit’ dan Azlan Shah #25 tidak dapat berlumba; Gabit menghadapi masalah kesihatan di Buriram, Thailand ketika beraksi dalam Kejuaraan Asia Road Racing.

    Bermula dari kedudukan pertama pusingan pertama, Daniel bagaimanapun tetap diberi saingan, datangnya daripada pemenang beberapa kali FIM Asia SuperMoto, Khairi Zakaria #32 dan rakan sepasukannya Mohd Khuzaini #47 dari RND Motoworks. Kedua-duanya sangat berpengalaman dalam motocross dan supermoto, litar di Kuala Selangor itu sangat serasi untuk gaya tunggangan agresif mereka.

    MSF SuperMoto Finale hangatkan Kuala Selangor

    Dalam perlumbaan akhir bagi All Stars Pro, sekali lagi Daniel menunjukkan kemahirannya di selekoh dan mendominasi, sementara Khairi dan Khuzaini berentap sengit. Di belakang mereka Khairulamirin dan Zhafir Zamani #5 pula menerima tentangan hebat daripada pendahulu kategori Advanced, #136 Shafiq Ashraf #136 dan Amy Nordin #4. Kelompok ketiga pula terdiri daripada All Star Legends: Kenny Lee, Keith Chia dan Oh Kah Beng.

    Khairi Zakaria sempat mendahului pada suati ketika, sebelum Daniel memintas dengan cemerlang di selekoh tiga dan keluar lebih pantas berbanding Khairi dan menduduki tempat pertama. Namun ketika Khairi mengejar berlaku kesilapan dan terpaksa mengelak perlanggaran dengan Daniel, peluang itu digunakan oleh Khuzaini untuk memintas ke kedudukan kedua. Dalam pusingan berikutnya, Khairi kembali merampas kedudukan kedua dan mengejar Daniel. Namun, selepas 12 pusingan, Daniel tetap didepan dan menghabiskan perlumbaan selaku juara All Stars Pro bagi 2021/22.

    Dalam kategori Advanced, Shafiq Ashraf #136 dari pasukan Super Slide sekali lagi memberikan persembahan meyakinkan dan bertembung dengan pelumba All Stars Pro, Khairulamirin dan Zhafir Zamani dengan pemenang pusingan ketiga, Amy Nordin #4 dari Horizon Racing Team rapat di belakang. Amy bagaimanapun tidak dapat mempamerkan prestasi sebaik ketika di Tangkak bulan lalu, dan Shafiq muncul juara sekali lagi musim ini.

    MSF SuperMoto Finale hangatkan Kuala Selangor

    Kategori All Stars Legends pula bermula dengan persaingan sengit antara Oh Kah Beng #37 dari Team MFG yang mendahului Kenny Lee #9 dan Keith Chia #75 selepas pusingan ketiga. Semua mereka hanya dipisahkan oleh 15 mata ketika memasuki Finale. Kenny Lee memilih jentara Husqvarna TC250 dua-lejang yang lebih ringan dan berkuasa, memberikan kelebihan kepadanya.

    Kategori Rookie nampaknya yang paling sengit melibatkan 20 penunggang, dengan lima daripadanya berpeluang untuk muncul juara memasuki Finale. Saingan dimulakan ketika #88 James Ki (Team MFG) dan #66 Ahmad Farhan (Team KMTR) mencatatkan masa memuaskan, satu saat lebih pantas daripada semua yang ada.

    Ketika permulaan, kedua-dua James Ki dan Ahmad Farhan yang tidak dijangka telah mendahului. Lebih mengejutkan, #69 Adian Yein (Imperials Team SuperMoto) berjaya merapatka ke kedudukan ketiga selepas selekoh pertama, manakala Farid Kamil #55 di tempat keempat. James Ki dan Ahmad Farhan bertarung di depan, yang kemudiannya menyaksikan Ahmad Farhan memenangi kategori itu.

    Keputusan MSF SuperMoto Pusingan 4 Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor

    ALL STARS PRO
    Pertama: #99 Daniel Haiqal, Team KMTR All Stars
    Kedua: #32 Khairi Zakaria, RND Motoworks
    Ketiga: #47 Mohd Khuzaini, RND Motoworks

    ALL STARS LEGENDS
    Pertama: #9 Kenny Lee, Team KMTR All Stars
    Kedua: #75 Keith Chia, Team KMTR All Stars
    Ketiga: #37 Oh Kah Beng, Team MFG Most Fun Gym

    ADVANCED
    Pertama: #136 Mohd Syafiq Ashraf, Team Super Sliders
    Kedua: #4 Amy Nordin, Horizon Racing Team

    SUPER ROOKIE
    Pertama: #66 Ahmad Farhan, Team KMTR All Stars
    Kedua: #88 James Ki, Team MFG Most Fun Gym
    Ketiga: #55 Farid Kamil, Team MFG Most Fun Gym

     
     
  • Van elektrik BYD T3 bakal masuk pasaran Malaysia – CSH Alliance tandatangan MoU dengan BYD Malaysia

    Van elektrik BYD T3 bakal masuk pasaran Malaysia – CSH Alliance tandatangan MoU dengan BYD Malaysia

    CSH Alliance bakal memasuki pasaran kenderaan elektrik (EV) komersial Malaysia melalui kerjasama dengan pengeluar kenderaan dari China, BYD, apabila anak syarikatnya, Alliance EV (AEV) menandatangani perjanjian persefahaman dengan BYD Malaysia, lapor The Star.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, syarikat itu memberitahu selain membantu pemain industri untuk menerima pakai kenderaan komersial sifar emisi, mereka juga akan meneroka pengedaran kenderaan komersial elektrik penuh dan menyediakan servis 4S (jualan, servis, alat ganti dan cat badan), dengan kemungkinan pemasangan tempatan di masa hadapan.

    Syarikat itu juga menyatakan bahawa AEV akan ditugaskan untuk mengedar dan membekal van elektrik penuh BYD T3, berserta servis selepas jualan, alat ganti dan pakej jaminannya. Salah satu pelanggan untuk T3 ini adalah Line Clear Express and Logistics, iaitu sebuah syarikat penghantar dan lojistik yang 15% pegangan di dalamnya adalah milik CSH Alliance.

    BYD T3 adalah sebuah van elektrik kompak berukuran 4,460 mm panjang, 1,720 mm lebar dan 1,875 mm tinggi, dengan ruang kargo berkeluasan 3,800 liter. Ia dipacu oleh motor AC permanent magnet synchronous, menyediakan kuasa 134 hp (100 kW) dan 180 Nm, dan mencapai kelajuan maksimum 100 km/j.

    Menggerakkan motor itu adalah bateri lithium ion NCM dengan kapasiti 50.3 kWh, boleh membawa van tersebut untuk perjalanan sejauh 300 km dengan sekali cas. Apabila dicas menggunakan sumber AC 6.6 kW, ia akan mengambil masa 7.6 jam untuk penuh, manakala apabila menggunakan pengecas DS 40 kW, ia akan mengambil masa 1.3 jam.

     
     
  • Proton mula guna tenaga solar untuk kilang di Tanjung Malim; jimat bil lebih RM5 juta setahun, mesra alam

    Proton mula guna tenaga solar untuk kilang di Tanjung Malim; jimat bil lebih RM5 juta setahun, mesra alam

    Setakat ini, Proton masih belum memberikan sebarang bayangan untuk melancarkan model-model janaan elektrik sepenuhnya. Namun ini bukan bermakna jenama automotif nasional berkenaan tidak langsung menjalankan apa-apa langkah kearah neutral karbon. Hari ini, secara rasmi Proton mengumumkan bahawa kilangnya di Tanjung Malim sudah pun mula menjana elektrik menggunakan kuasa solar bagi operasi di fasiliti berkenaan.

    Bagi menjana elektrik dari kuasa solar, kilang tersebut telah pun dilengkapi dengan panel solar yang dipasang di ruang parkir transit (tempat parkir sementara untuk kereta yang baru sahaja siap, sebelum diangkut ke pengedar-pengedar seluruh negara), dengan keluasan 23.4 ekar.

    20,544 panel solar berkenaan kini membolehkan 2,880 kereta baharu yang telah siap untuk berteduh di bawahnya sambil menjana elektrik. Panel-panel solar yang di pasang tersebut juga adalah dari jenis dwi-muka – ini bermakna, kuasa solar bukan hanya diterima dari cahaya terus pada bahagian atas, malah cahaya yang dipantul semula pada permukaan badan kereta juga dapat menjana kuasa menerusi muka panel solar sebelah bawah.

    Proton mula guna tenaga solar untuk kilang di Tanjung Malim; jimat bil lebih RM5 juta setahun, mesra alam

    Dengan cara ini juga Proton tidak perlu menggunakan tanah tambahan untuk membangunkan fasiliti solar besar-besaran tersebut. Struktur tiang untuk bumbung solar ini juga direka dengan hanya menggunakan tiang pada bahagian tengah, mengurangkan risiko untuk mana-mana bahagian kereta terkena pada bahagian tiang berkenaan ketika dikendalikan.

    Fasiliti untuk menjana kuasa solar ini disediakan oleh Kumpulan Pekat dan rakan bersekutunya MFP Solar. Fasiliti ini di dakwa sebagai fasiliti solar paling besar yang ada di Malaysia buat masa sekarang, serta mampu menjana kuasa elektrik 9MWp (puncak Megawatt). Bersama panel-panel solar yang telah dipasang pada bumbung kilang, sejumlah 12MWp kuasa elektrik dapat dihasilkan, atau 25% dari keseluruhan kuasa elektrik yang digunakan di kilang berkenaan.

    Menurut Proton, untuk panel solar yang dipasang ditempat parkir ini, ia berpotensi untuk memberikan penjimatan bil elektrik berjumlah RM4.39 juta setahun, manakala panel-panel yang dipasang di atas bumbung pula memberikan penjimatan berjumlah RM1.46 setahun.

    “Kemudahan panel solar Proton adalah sebahagian dari inisiatif hijau syarikat yang menyahut cabaran untuk membantu Malaysia memenuhi sasaran kerajaan untuk menjadi negara neutral karbon menjelang tahun 2050. Selain dari penjimatan utiliti, penggunaan sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui akan membolehkan kami mengurangkan 11,536 tan karbon dioksida di atmosfera yang dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat dan ekosistem di Tanjung Malim,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.

    Proton sebenarnya telah pun mula menjalankan langkah-langkah kearah neutral karbon bermula pada 2015 menerusi lima fasa. Fasa pertama melibatkan perlaksanaan Sistem Pengurusan Tenaga di kilang dan ibu pejabatnya untuk menilai data penggunaan. Hasilnya selepas dua tahun, Proton dapat mewujudkan garis dasar tenaga di semua fasiitinya yang dapat memberikan gambaran lebih mendalam bagi penggunaan tenaga yang lebih efisien.

    Fasa kedua pula melibatkan langkah-langkah kecekapan tenaga di mana beberapa projek telah dilaksanakan. Antaranya adalah pemasangan lampu LED, penggantian penyejuk dengan penyejuk magnet, dan menggunakan unit pemampat induk untuk menyegerakan bekalan udara termampat bagi memenuhi permintaan semasa pada setiap bahagian pengeluaran.

    Proton mula guna tenaga solar untuk kilang di Tanjung Malim; jimat bil lebih RM5 juta setahun, mesra alam

    Ini diikuti oleh fasa 3, yang memberi tumpuan kepada pengurusan sisa dan air dengan melaksanakan sistem di mana air kitar semula digunakan untuk menara penyejuk pemampat serta digunakan sebagai air tambahan untuk tangki air pili (hydrant) di kilang Tanjung Malim.

    Penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti janaan kuasa elektrik menggunakan sistem solar ini merupakan langkah fasa keempat yang dirancang oleh Proton. Manakala fasa 5 pula melibatkan kerja-kerja pendigitalan semua data tenaganya dalam cloud server untuk memperkenalkan teknologi AI dan Analitis Data Besar bagi membolehkan pengurusan tenaga syarikat dengan ramalan penggunaan tenaga dan langkah preskriptif untuk mengurangkan penggunaan tenaga di semua kilang dan kemudahan pejabat.

    Dalam tempoh lima tahun dari 2015 hingga 2020, inisiatif ini telah mencapai penjimatan bil tenaga sebanyak RM20 juta atau bersamaan penjimatan 55,000 MWj dan lebih 40,000 tan pengurangan pelepasan karbon dioksida ke udara.

     
     
  • SIC sambung kontrak penganjuran MotoGP sehingga 2024, Petronas sebagai penaja utama ganti Shell

    SIC sambung kontrak penganjuran MotoGP sehingga 2024, Petronas sebagai penaja utama ganti Shell

    Sepang International Circuit (SIC) telah mengumumkan bahawa perjanjian mereka dengan Dorna Sports berkenaan penganjuran MotoGP di Litar Sepang disambung sehingga tahun 2024. Turut disambut adalah penaja utama baru, iaitu Petronas yang akan menggantikan Shell.

    Dengan ini, bermula pada tahun 2022, sehingga tahun 2024, perlumbaan MotoGP di Litar Sepang akan dinamakan secara rasminya sebagai “Petronas Grand Prix of Malaysia”. Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan juga, kedua-dua pihak dikatakan sudah berbincang untuk menyambungnya lagi sehingga 2026.

    Disebabkan oleh pandemik, perlumbaan MotoGP pada tahun 2020 dan 2021 di Litar Sepang tidak dapat dianjurkan, tetapi CEO SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, tahun ini ia akan diadakan dengan tema #WelcomeHone, serta “kebangkitan semula sukan permotoran antarabangsa dengan penawaran yang lebih unik untuk peminat.”

     
     
  • Honda Civic e:HEV hybrid 2022 didedahkan – motor elektrik 184 PS/315 Nm, 2.0L suntikan-terus petrol

    Honda Civic e:HEV hybrid 2022 didedahkan – motor elektrik 184 PS/315 Nm, 2.0L suntikan-terus petrol

    Hampir setahun selepas Civic generasi ke-11 diperkenalkan di peringkat global, Honda Eropah telah mendedahkan varian e:HEV hybrid buat pertama kali. Ia merupakan satu-satunya varian yang akan dijual di benua berkenaan dan menandakan kembalinya janaan elektrik-petrol untuk Civic selepas beberapa ketika.

    Seperti spekulasi sebelum ini, e:HEV hybrid menerima versi Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) ciptaan Honda yang paling berkuasa, yang turut digunakan pada Accord Hybrid. Motor elektrik memacu roda hadapan dengan menghasilkan kuasa 135 kW (184 PS) dan tork 315 Nm, dan dijanakan oleh enjin 2.0 liter kitaran-Atkinson empat-silinder.

    Tidak seperti yang ada pada Accord, penjana kuasa petrol adalah unit suntikan-terus dan ia adalah lebih berkuasa, dan mampu menghasilkan kuasa kombinasi yang lebih tinggi. Tiada spesifikasi yang didedahkan untuk enjin, tetapi unit yang diberikan pada Accord mampu menghasilkan 145 PS pada 6,200 rpm dan 175 Nm pada 3,500 rom, dengan angka prestasi keseluruhan mencecah 215 PS. Honda berkata ia telah membuat beberapa peningkatan untuk mencapai kecekapan haba stratosfera sebanyak 41%.

    Honda Civic e:HEV hybrid 2022 didedahkan – motor elektrik 184 PS/315 Nm, 2.0L suntikan-terus petrol

    Turut ditampilkan ialah bateri sel-72 baharu yang sebahagian daripada Unit Kuasa Pintar yang lebih kecil dan ringan yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang, bersama Unit Kawalan Kuasa kompak yang ditempatkan di bawah bonet bersama penjana kuasa. Honda menyasarkan angka penggunaan bahan api WLTP kombinasi di bawah 5.0 liter untuk setiap 100 km dan emisi karbon dioksida kurang 110 gram setiap kilometer.

    Selain penjana kuasa baharu, Civic Eropah juga akan dijual secara eksklusif dalam bentuk hatchback, sama seperti di Jepun. Ini bermakna bahagian belakangnya adalah 125 mm lebih pendek berbanding versi sedan dengan lampu belakang lebar-sepenuhnya, corong ekzos trapezoidal besar dan resin tailgate yang 20% lebih ringan berbanding sebelum ini. Gril hadapan juga diberikan jaring haksagon dan ia lebih tinggi berbanding sedan, sekaligus membuatkan hujung hadapannya kurang menonjol.

    Di dalamnya, Civic Eropah berkongsi rekaan kabin yang sama dengan semua model di dunia, dengan papan pemuka mendatar yang lebih kemas, corong udara lebar-penuh dengan penutup jaring metal dan skrin sesentuh tengah sembilan-inci “freestanding”. Ciri lain termasuklah ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar dan senarai pilihan termasuk paparan instrumen digital 10.2-inci dan sistem bunyi Bose 12-pembesar suara – kedua-duanya tidak ditawarkan untuk Civic pasaran Malaysia.

    Honda Civic e:HEV hybrid 2022 didedahkan – motor elektrik 184 PS/315 Nm, 2.0L suntikan-terus petrol

    Bagi aspek keselamatan, Civic untuk pasaran Eropah diberikan ciri standard seperti kelengkapan sistem bantuan pemandu Honda Sensing, termasuk brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, low-speed AEB dan keupayaan pemanduan Level 2 semi-autonomous bagi Bantuan Kesesakan Trafik.

    Ia juga dilengkapi tidak kurang dari 11 beg udara, termasuk dua beg udara lutut untuk tempat duduk hadapan, beg udara sisi untuk belakang dan beg udara di tengah antara penumpang hadapan yang buat masa ini eksklusif untuk Eropah.

    Walaupun e:HEV hanya ditunjukkan di sini dalam bentuk hatchback, namun dijangkakan model e:HEV hybrid ini juga akan ditawarkan dalam versi sedan untuk pasaran Asia Tenggara. Thailand juga dilaporkan bakal menerima versi yang sama, dan produksi tempatan untuk versi hatchback lima-pintu telah dihentikan baru-baru ini disebabkan jualan yang agak perlahan. Manakala pasaran Malaysia juga bakal menerimanya tidak lama lagi.

     
     
  • Honda HR-V 2023 pasaran Amerika Syarikat ditunjuk dalam teaser – dapat penampilan unik dan berbeza

    Honda HR-V 2023 pasaran Amerika Syarikat ditunjuk dalam teaser – dapat penampilan unik dan berbeza

    Januari lalu Honda pernah mendedahkan lukisan konsep awal untuk HR-V 2023 pasaran Amerika Syarikat (AS), dan terbaru, satu lagi teaser disiarkan, sambil memberitahu “SUV serba baru yang sporty dan serba boleh ini” akan didedahkan sepenuhnya 4 April ini.

    Teaser terbaru ini menunjukkan bahagian lampu belakang model produksi, dan ia mempunyai lengkuk yang berbeza berbanding lampu yang diberikan kepada model pasaran lain. Perkara ini sudah kita ketahui melalui lukisan yang disiarkan sebelum ini, dan ia nampak seperti rekaan sebuah Acura.

    Namun begitu, bahagian hadapan HR-V pasaran AS ini langsung tidak nampak seperti sebuah Honda atau menggunakan konsep rekaan sedia ada jenama itu. Ia sebaliknya mendapat gril yang besar di tengah, lampu berbucu tajam serta bukaan udara berbentuk C di hujung bampar.

    Pada jangkaan kami, HR-V AS ini mungkin lebih besar berbanding model global, kerana cermin pada pintu belakang mempunyai sedikit lagi tambahan. Kalau anda boleh lihat, model global seperti yang dilancarkan di Thailand hujung tahun lalu dan Indonesia semalam tidak mempunyai cermin segi tiga pada bahagian belakang.

    Perincian teknikal HR-V AS ini masih belum didedahkan tetapi kita boleh menjangkakan penggunaan enjin sama seperti Civic, iaitu 2.0 liter NA i-VTEC 150 hp, dan 1.5 liter VTEC Turbo 180 hp. Ia juga mungkin datang dengan transmisi CVT dan pacuan dua roda dalam keadaan standard, manakala sistem AWD disediakan sebagai pilihan. Turut boleh dijangka adalah versi hibrid.